Sudah 52 tahun kita mengecap nikmat kemerdekaan. Kemerdekaan negara tercinta. Semua insan di dalam Malaysia yang bertuah ini menikmati erti kemerdekaan, berkongsi rasa sesuatu yang kita gelar sebagai perpaduan.
1Malaysia.
Gagasan yang membawa kepada memupuk erti perpaduan yang lebih erat dikalangan kita membuatkan aku tersenyum. Ini sudah menjadi amalan sejak dulu lagi. Mungkin terdapat segelintir masyarakat yang memandang sepi perkara ini, tetapi aku akui, aku sudah terbiasa dikelilingi dengan mereka yang berbilang bangsa semenjak zaman persekolahan hingga universiti.
Ini kami yang menganggotai Sekretariat Pencegahan Rasuah.
Berbilang bangsa dan agama. Bukan tertakluk pada satu golongan sahaja. Malahan, bidang pengajian juga berlainan.
Berkongsi rasa, memulakan sesuatu yang indah dan bertapak dengan payah telah kami hadapi bersama. Ibarat sebuah kampung yang mahu diteroka, kami telah melalui segalanya dalam membentuk sesuatu yang dipandang mulia oleh masyarakat. Bahkan, ianya banyak membantu dalam temuduga yang aku hadiri dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwa.
Ikatan yang terjalin tidak memungkinkan kami goyah kerana hati yang bertaut mesra membuatkan kami saling percaya. Kepercayaan sangat penting dalam memupuk kerjasama yang membentuk perpaduan. Kami bersama sehingga kini walaupun semakin jauh terpisah. Mengenali hati budi dan budaya menjadikan kami saling menghormati diri dan agama.
Mereka mengajar aku nilai persahabatan tanpa perlu ada diskriminasi dan pengasingan yang berbentuk ortodoks yang mungkin dilabel sesetengah orang. Persahabatan itu indah, tidak perlu dibajai dengan racun pemusnah.
Kami.
...dan mungkin juga menjadi kamu. Siapa yang lebih tahu?
Ingatlah, bukan sesuatu yang murah mereka terdahulu telah membayar. Yang tinggal kini bukan setakat sesuatu yang digelar sejarah. Kamu mungkin menolak untuk mengerti apakah yang tersurat disebalik yang tersirat, tetapi mungkinkah apa yang diingini bakal menjadi realiti tanpa niat dan janji terhadap pertiwi?
Kalau kamu tidak mengerti, bangkitlah segera. Bukan sebagai apa, tetapi sebagai satu bangsa yang merdeka! Jangan jadi manusia yang sombong dan alpa. Jangan biar minda meneroka sesuatu yang sia-sia bila kamu diperlukan lebih di tempat yang sepatutnya.
Kerana kita Rakyat Malaysia!
Kerana Tuhan Untuk Manusia.
Zara : Salam Kemerdekaan buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara!