Saturday, February 28, 2009

Tolong Tegangkan


Suasana sibuk disekeliling membuatkan aku pening.
Aku duduk di satu sudut, berusaha menyelesaikan kerja aku sendiri.
Aku keluarkan apa yang aku perlukan.
Aku buka satu-satu, cermat.

Aku tunggu dia datang.
Harapan aku, dia datang cepat agar yang lainnya akan lebih pantas.
Dia ibarat magnet berkuasa tinggi.

Mereka datang.
Permohonan maaf aku kepilkan di dalam hati.

Aku : Bahan dah siap. Aku tunggu korang datang.
D : Mari aku tolong kau bukakan.
Mereka : Kau nak tolong buka apa? Jangan main-main.
D : Bukakan sampul ni lah!
Aku : (Tahan marah dalam hati)

Kerja-kerja kami mulakan.
Aku benci bila buat kerja ini - penat, sungguh aku benarkan diri aku gembira.

Aku : Tolong tegangkan bahagian ini.
D : Sekejap, aku tukar posisi dulu.
A : Gilalah! Kau nak tukar posisi?
B : Kau jangan nak main-main kat sini Jang.
D : Jangan bisinglah, kau tolong aku sekali cepat!
Aku : Kalau nak buat benda ini cepat, baik kau tolong tegangkan bahagian tu.
Kalau tak sampai esok kita berkampung kat sini!
C : Kalau nak tegang, mestilah kena pegang. Apalah budak-budak ni.

Tahap kemarahan aku semakin meningkat nampaknya.
Tuhan, tolonglah aku.
Aku penat dengan kerja ini.

Ya, itu tugasan kami.
Tugasan yang buatkan aku separuh mati.
Bantulah aku.

**Nota : Aku tidak balik bilik sampai esok hari. Jumpa kamu semua esok**

Cinta - Kasih - Ciuman


Cinta - Kasih - Ciuman

Kata orang, kalau kita cinta seseorang itu,
kasih sayang kita akan menebal serta membuak (macam gunung berapi),
maka ciuman akan kita berikan.

Ya.
Kadang kala, kalau cinta sangat cinta pada seseorang itu,
kasih pula tidak tercipta,
ciuman langsung tiada.

Cinta tidak wujud,
kadang kala kasih dianggap sebagai cinta,
ciuman masih disimpan.

Oh, tentu kamu tertanya kenapa aku hiraukan sangat tentang 3 perkara ini.
Aku bukan pemuja atau penagih ketiga-tiga benda ini,
aku cuma mahu kamu halakan sebentar mata kamu ke setiap bawah entri aku.
Ya.

Tahniah.
Kamu sudah jumpa Cinta-Kasih-Ciuman.
Jadi, setelah kamu selesai membaca, sudilah apa kiranya berikan aku salah satu
daripadanya.
Kalau semua mungkin lebih baik.

Tidak.
Aku bukan penagih cinta-kasih-ciuman.

Friday, February 27, 2009

Tidur Bersama


"Malam minggu ini mahu tidur bersama?"

"Eh, bukankah kita selalu tidur bersama dahulu?"

"Itu dulu . Sekarang kita sudah jauh terpisah, sukar sekali untuk bertemu,
bertukar kata dan cerita"

"Tapi apa pula kata dia nanti?",aku bertanya.

"Si dia tidak perlu tahu. Kalau pun dia tahu, dia pasti akan membenarkan."

"Aku rasa seperti mengkhianati dia, mengkhianati persahabatan aku dan dia."

"Tiada langsung unsur itu. Aku cuma ingin bersama kamu"

"Kamu pasti dengan permintaan itu?"

"Ya, datanglah. Akhirnya, aku menang".

*********************

Ya, aku akan menemuimu esok.
Pastikan kamu bersedia.
Aku tidak mahu dihiasi dengan janji kosong.

Senyumlah Sayang...


Senyuman itu pemanis wajah.
Itu kata pujangga.

Senyuman itu suatu sedekah.
Itu yang gamaknya orang lagi suka senyum bila kita minta derma.

Senyuman membawa seribu erti.
Pada aku, senyuman itu membawa infiniti erti.
Kita bukan tahu orang senyum kenapa.

Senyuman - boleh awet muda.
Itu fakta yang digembar-gemburkan (macam tanah pula)
Aku rasa mungkin betul, sejarah menunjukkan, keadaan sebenar juga membenarkan.

Aku cuma tertanya-tanya...

"Kenapa sukar sangat orang nak senyum?"
Benda senang itu sayang, gerakkan sedikit otot mukamu,
berbanding kamu buat aksi masam, berkerut dan otot muka takkan menyokongmu lagi.

Oh ya, kepada adik-adik aras ku yang dicintai,
senyumlah sayang.
Jangan bila minta tolong je baru maniskan wajah. Tak elok tau...

**Pesanan penaja dari Si Penagih Senyuman**

Thursday, February 26, 2009

Bulat Bulat Merah Jambu


Hujan lebat.
Aku penat duduk dalam bilik kepungan.
Sejuk - walaupun aku bawa baju panas hari ini.
Tahniah, aku makin maju sebab tiada siapa pakaikan aku.

Aku keluar dari bilik kepungan.
Menuruni tangga dan aku keluar duduk di foyer.
Duduk di foyer tidak bermaksud aku berpoya-poya.

Aku duduk.
Perhatikan ragam manusia.
Ada orang sentuh bahu aku dari belakang.
Ciuman singgah di kepala.

"Zara, lama tak jumpa kamu. Apa khabar sekarang?"

Dian yang datang menyapa aku.

Aku : Aku sihat. Kau macam mana? Main suka kau buat camtu.
Kalau salah orang tadi macam mana?

Dian : Kalau salah, aku minta maaf. Aku cakap aku lupa pakai cermin mata.
Senang ja.

Aku : Kau memang suka macam ni.

Aku duduk dengan Dian.
Tengok orang lalu lalang.

Dian : Wah! Bulat-bulat merah jambu la!
Aku : Apa yang bulat - bulat merah jambu?
Dian : Tu sana. Aku nak pegang lah.
Aku : Jangan Dian. Seganlah.
Dian : Aku nak juga...

Pelukan Hangat Kamu


Pandangan mata berpinar.
Dunia serasa berpusing.
Letakkan kepala perlahan di atas meja.

Aku tengok meja sebelah kanan.
Kosong.
Aku tengok meja sebelah kiri.
Kosong.

Si Hitam berbunyi.

"Sayang, rindu kamu. Tengah buat apa?"

Aku, "Tugasan menghimpit diri, menyeksa jiwa yang tiada raga"

Si Hitam berbunyi lagi.

"Oh, tiada semangat lah ni. Mari, pelukan hangat untuk kamu"

Aku.
Pelukan hangat?
"Oh, baiklah."

Tersenyum.

Wednesday, February 25, 2009

Penulis Berani Mati


Orang kata aku semakin berani.
Semakin berani menulis perkara yang sensitif.
Aku tidak pasti apa maksud sensitif itu.

::Penulis Berani Mati::

Gambar itu aku ambil dari sini.

Sejuklah Sayang


Tangan aku sibuk mengetuk Sean.
Tugasan yang menghimpit - perut yang berkeroncong aku abaikan.
Apalah perut yang bersenandung berbanding tugasan yang membunuh.

"Sejuklah sayang"
Telinga aku menangkap suara gadis.

"Mari Abang pakaikan baju panas (baca : sweater) ini"
Suara jejaka menusuk telinga aku.

Aku pusingkan kepala aku kurang sembilan puluh darjah arah utara.

Si jejaka memakaikan pasangannya baju panas (baca : sweater) hitam.
Si gadis tersenyum malu.
Bahagia.

Aku panggung kepala ke Sean semula dan tersenyum.
Pasangan bahagia sedang melaksanakan aktiviti mereka.
Mengulangkaji pelajaran barangkali.

Aku kurung telinga aku dengan jeritan Avenged Sevenfold.
Aku tenang dengan jeritan mereka.
Jari aku menekan papan kekunci (baca:keyboard) Sean semula.

Aku juga sejuk. Ada sesiapa mahu pakaikan aku dengan baju panas?
Aku janji, aku juga akan tersenyum malu dan bahagia.

Nota : Aku sedang bertapa di sebuah gua di Pergunungan Alps.

Butang Hitam


Butang Hitam dia.
Kami ketawa dengan gembira.
Kami rasa butang hitam dia amat kelakar.
Kami pandang dan ketawa dengan gembira.

Butang hitam dia.
Terampai-ampai.
Terhayun-hayun.
Kami ketawa berdekah.
Melampau.

Butang hitam itu.
Kami tiada - tidak perlukan.
Kenapa dia perlu ada?

Ketawa.

Nota : Kalau butang baju kau putih semua,
jangan kau letak hitam di tengah-tengah. Itu perkara terdesak.
Bukan seni sayang.

Kalau Sangap - Tutup Mulut


Dunia luar semakin gelap.
Tangan masih lincah menekan papan kekunci (baca : keyboard).
Tugasan sedang diberikan sentuhan terakhir (baca : final touch).

Si Hitam berbunyi.
Pesanan dari kawan.

"Zara, awak dah tidur? Masih buat kerja ke? Tak mengantuk lagi?"

Aku balas.
Jari lincah menekan butang-butang Si Hitam.

"Belum. Ya, buat kerja lagi. Kepala saya pening. Mengantuklah juga."

Si Hitam berbunyi lagi.
Pesanan dari kawan lagi.

"Kalau macam tu, rehatlah. Kalau sangap, jangan lupa tutup mulut. Nanti syaitan masuk"

Aku balas.

"Tu sangap yang maksudnya menguap kan?"

Si Hitam berbunyi lagi.
Pesanan dari kawan lagi.

"Ada maksud lain ke? Mesti awak teringat maksud yang Lida cerita kan?"

: Catatan :
Kamus Dewan Edisi Empat
Sangap bermaksud menguap.

Tuesday, February 24, 2009

Busuk Dan Tengik 3


Busuk hari ini - Busuk yang lain.
Busuk yang lebih ceria.
Busuk yang sudah kembali bersatu dengan cinta hatinya.

Bukan hanya dengan manusia,
tetapi juga dengan alatan kegemarannya.
Tengik gembira bila dengar kamu gembira Busuk.

Busuk dan Tengik.
Aku juga gembira hari ini Busuk.
Aku menempah kasih sayang secara haram lagi.
Kau pasti marah tapi aku cuma kesunyian.

Basah Lagi


Hari ini aku basah lagi.
Ya, basah.

Bumi selatan dilimpahi hujan rahmat.
Sudah beberapa hari dilimpahi hujan.
Hujan.

Ya, aku basah sebab hujan.

Porno


Porno.
Orang kata aku tulis porno di blog ini.
Aku penulis porno?

Aku bermain dengan kata-kata.
Kata-kata yang bermain di sekeliling dunia aku.

Aku penulis porno?
Aku terkesima dengan gelaran itu.
Aku ketawa.
Aku menulis dalam bahasa pertama aku.

Kamu suka bukan?
Kamu suka dengan mainan bahasa aku kan?

Telur?
Dara?
Basah?
Permainan kata cuma...

Monday, February 23, 2009

Basuhlah Buah Itu


Aku buat tugasan aku.
Sebentar lagi nak berhadapan dengan "ayah" kesayangan selama 2 semester ini.
Bahaya, salah langkah, aku menempah kenduri selama 3 malam berturut-turut.
Pakej yang akan meliputi selepas 1 minggu, 40 hari serta tahun-tahun berikutnya.

R sudah menghilangkan diri di dalam kelas.
Aku meneruskan tugasan yang perlu ditunjuk.

Seorang wanita dan kanak-kanak muncul dari sebalik tangga.
Wanita yang membawa buku serta anaknya yang memegang beg serta bola.
Bola sepak.

Dalam hati aku:
"Pelajar Master agaknya. Mesti tiada orang jaga anak di rumah".

Aku lemparkan senyuman pada mereka dan meneruskan tugasan aku.

Tiba-tiba ada perbualan yang menarik pancaindera (bukan akhbar sisipan Mingguan Malaysia) aku.
Jari jemari aku yang gemuk berhenti bekerja.
Aku mengaku gemuk di sini.

Mereka.
Kanak-kanak (KK)
Wanita Master a.k.a Ibu KK (WM)

WM : Basuhlah buah tu.
KK : Kenapa nak basuh pula ibu?
WM : Kan kotor buah tu.
KK : Kenapa pula kotor ibu? Adik tak pergi kencing pun.
WM : Bukan buah yang itu. Ni buah yang jatuh kat tangga tadi.

(Si ibu menunjukkan buah epal di tangannya)

Zara : Aku hanya tersenyum di sebalik himpunan buku dan kertas.

Sedut Lemak


Aku lepak dengan D.
Ya, kami golongan yang anggap bersantap bersama adalah lepak.
Kami suka dan bahagia.

D sedut air dia.
Nyaman cuaca waktu itu.

D : Kan seronok kalau sedut air ni macam sedut lemak?
Aku : Apa gila kau ni?
D : Aku nak sedut sikit lagi.
Aku : Kau betul ke tak ni? Lemak apa kau nak sedut?
D: (gelak kejam) Adalah…
Aku : Gila kau ni...

Makanan aku sampai.
Aku dah nak mula makan - D bangun ambil sudu dan garfu.
Ya, kami malas guna tangan.
Ini kan waktu lepak kami?

Abang Kedai sampai…

AK (Abang Kedai) : Ni yang adik pesan kan?
D : Ya bang. Terima kasih.
AK : Sama-sama.

Abang Kedai pergi…
(aku sedang makan dengan tekun)

D : Zara, aku serius nak sedut lemak ni.
Aku : Sedut lemak apa lagi? Kau kuat merepek!
D : Lemak ni lah (tunjuk mangkuk dia)
Aku : Kau memang sengal.

Nota : D makan sup kotak gear (baca : Gear Box) hari itu.

Sunday, February 22, 2009

Kau Buat Aku Basah!


Aku tengok B.
Dia buat pintar sahaja (baca: buat bodoh).

Aku tengok B lagi.
Aku cuit dia.

B : Janganlah Zara. Aku tengah fokus ni.
Aku : Kejap ja lah.
B : Aku nak fokus. Ramai orang ni - aku nak cepat.

Aku senyap.
Budak sebelah jeling aku - senyum sinis.

Dalam hati.
"Apa kau pandang-pandang?"

Aku : B, kejap lah sengal!
B : Ada apa?
Aku : Kau buat aku basah beb!
B : (pandang aku) Apa?! Kau biar betul!
Aku : Kau tengok ni!
B : Alamak…aku betul-betul tak sengaja lah!
Aku : Hotak kau! Salah kau lah!
B : Maaf…aku lupa nak ketatkan botol mineral ni. Maaf sangat-sangat Zara!
Aku : Macam mana aku nak jalan balik ni?
B : Aku lap kau nak? (senyum)
Aku : Kau nak mati kau buat...

Nota : B, kalau kau lupa ketatkan botol mineral kau lagi, aku bunuh kau!

Abah


Selamat Ulang Tahun Ke 48 Abah!
Along rindu sangat pada Abah!

Nanti nak balik rumah bila dah kurang sibuk.
Semoga Abah panjang umur, dan sentiasa sihat serta dirahmati Allah.

P/S : Hari ini ulang tahun Cik Fadil juga. Abah lahir 1961,
Cik Fadil lahir 1962.

Saturday, February 21, 2009

Kenapa Telur Dia Lain?


Aku makan dengan kawan aku.
Dah lama tak jumpa dia, jadi luangkan sedikit masa bersama.
Makan di café universiti sahaja.

Ramai orang sekeliling kami.
Memang ramai - lelaki dan perempuan.

Kawan aku pandang ke satu arah.
Aku tegur dia.

Aku : Kau pandang apa? Makan lah…
Dia : Kau perasan tak, telur budak tu lain…
Aku : (toleh belakang, nampak ada kumpulan pelajar lelaki) Telur?
Dia : Ya. Lain betul telur dia.
Aku : (bingung) Bila masa pula dia makan telur? Tom yam adalah.
Dia : Ye lah… kau dengar telur dia cakap.
Aku : Tu bukan telur! Tu telor lah!

Nota :
Perbezaan yang besar antara telur dan telor.
Telur = dihasilkan oleh haiwan.
Telor = gaya percakapan.

Derma Dara Kamu?


*Tempat Kejadian*

Kolej Perempuan
Bilik Seminar.

Duduk bersama orang-orang yang tidak dikenali.
Rakan bersembang bertukar cerita.
Senyuman buat semua.
Wanita, jejaka kacak, semuanya dihiasi dengan muka seputih mutiara.
Putih pucat.

Rakan Kegiatan Luar berbual bersama.

Dia : Duduk kolej mana?
Aku: Kolej Campur-Campur.
Dia : Jauhnya datang. Datang naik apa?
Aku : Teksi.
Dia : Bagusnya. Memang semangat betul.
Aku : Terima kasih.

Telefon berbunyi.
Dia jawab dan kembali berpusing ke arah aku.
Masih mahu berbual.

Dia : Datang nak derma darah ke?
Aku : Ya, takkan derma dara pula?
Dia : Kalau derma dara, di kolej sebelah la.
Aku : Apakah?!

Nota : Kolej sebelah adalah Kolej Lelaki.

Friday, February 20, 2009

Cium Aku Kalau Kamu Cinta


Aku duduk dengan dia.
Aku duduk atas kerusi.
Dia pula di atas meja.

Aku senyum - ramai orang dalam perpustakaan ini.
Aku duduk tengok dia.
Aku senyum lagi.
Tangan aku ligat menulis sambil aku tengok dia.

Aku tekun menulis.
Aku sentuh dia.
Dia tetap tengok aku.
Aku teruskan menulis sambil aku pegang dia.
Dia tak menolak.
Aku senyum.

Orang lalu lalang tengok aku dan dia.
Ada juga yang berjalan terus tetapi ada yang menjeling ke arah kami.
Aku hanya tersenyum, dia pula tidak menghiraukan mereka.

Aku sudahkan menulis.
Aku selak baju dia.
Dia tidak menolak.
Aku selak lagi - dia tetap biarkan.
Aku tahu, dia tak akan menolak.
Aku pasti.

Aku pegang dia.
Kemas dan kejap.
Aku menebar pandangan ke sekeliling - tak ramai orang dalam waktu macam ini.
Semua orang sibuk dengan urusan masing-masing.

Aku tengok dia.
Teringin.
Sangat teringin.
Aku senyum.

"Takkan ada orang nampak kan?", aku tanya dia.
Dia tetap tengok aku.
Dia rela barangkali.


Aku lihat sekeliling lagi.

Chup!
Aku cium dia sekali.
Aku senyum.
Aku kemas barang.

Aku bawa dia ke mesin pinjaman keluar.
Letak kad pelajar aku di tempat pengimbas.
Masukkan kata laluan.
Aku letak dia di atas alas hitam.

"Gedebuk"
Mesin baca dia.
Tarik kad pelajar.
Resit dikeluarkan.

Aku pegang dia kejap-kejap.
Bawa dia keluar dari rumah dia buat 10 hari.
Dia tidak kisah.

Thursday, February 19, 2009

Belum Ada Album Lagi...


Lepas jumpa Prof Yusof, aku jumpa dengan Ramesh.
Ramesh sedang berbual lagi dengan junior Tahun 3, Wong namanya.
Wong asyik bertanyakan mengenai PSM.
Projek Sarjana Muda.
Dia nak cari penyelia.

Mantap.

Lepas aku dengan Ramesh tak berhenti-henti ceramah tentang PSM,
kami ajak dia jumpa Prof Aziz.
Kami cadangkan dia buat dengan Prof Aziz sebab dia kata dia tak nak kerja di bawah tekanan,
macam aku.

Selesai urusan dia dengan Prof Aziz.
Aku dan Ramesh tunggu di luar.
Kami berjalan bersama Wong.

Berbual sepanjang jalan.
Aku dan Ramesh menuju ke Meranti.
Kami tidak santap tengah hari tadi.

Kenapa kami tidak menyentuh juadah tengah hari?
Sebab Ayam Cincang (baca : Chicken Chop)

Sampai di Meranti.

Ramesh : Nak tempah?
Aku : Boleh juga.
Ramesh : Awak duduk sahaja, saya pergi.
Aku : Tak apa. Saya pergi sekali.

(....ke kedai Ayam Cincang....)

Pakcik : Nak makan apa nak? Ayam Cincang?
Aku : Ya pakcik. Nak dengan nasi sekali.
Pakcik : Nak berapa?
Aku : 3 pakcik. Nasi nak lebih.

Tiba-tiba makcik muncul....

Makcik : Rock, makan apa?
Aku : Makcik, jangan panggil saya macam tu. Makan Ayam Cincang.
Makcik : Memang Rock apa? Kan suara tu Rock.
Aku : (ketawa) ... Alahai makcik. Saya belum ada album lagi.
Kang saya buat makcik nak beli?
Makcik : (ketawa) Yang pirate ada?
Aku : (ketawa) ... Apakah?

Ada seseorang yang tidak puas hati...

Pakcik : Nasi 3 ya nak? Duduk meja mana?
Aku : B5 pakcik.
Pakcik : RM 17.40

Aku jalan ke tempat duduk semula dengan Ramesh.
Aku dengar pakcik tanya pada makcik.

Pakcik : Kenapa panggil dia Rock?
Makcik : Sebab .... (sila rujuk sini)


Wednesday, February 18, 2009

Kasihan...Dia Bogel


Aku duduk dengan kawan aku.
Layan lagu dan buku.

Cuaca sangat panas.
Peluh mencurah-curah.

Aku keluarkan botol minuman.
Aku minum.
Kawan aku minta sedikit.

Aku : Minumlah.
Dia : Terima kasih.

Aku pegang botol lepas dia minum.
Pusing-pusing botol sambil baca buku.

Dia : Kesian dia bogel.
Aku : Siapa? (sambil pusing kiri kanan)
Dia : Tu (sambil jari dia tunjuk botol aku)
Aku : Alahai...botol aku ke?

Aku leka.
Aku pusing botol tu sambil koyakkan plastiknya.
Alahai.
Aku dah bogelkan dia.

Tuesday, February 17, 2009

Sudah Berakhir


Aku anggap kau kawan terbaik aku.
Kawan yang paling memahami aku.
Kawan yang tidak pernah buat aku menangis.
Tapi hari ini,

Tahniah...
Kau dah buat aku menangis.
Kau dah buat aku tidak percayakan diri aku lagi.

Terima kasih.

Monday, February 16, 2009

Kekasih Aku?


Telefon genggam sudah ada dalam tangan.
Setelah 6 hari tanpa dia.
Senyuman terukir di bibir aku.

Perpisahan kita buat aku nanar.
Perpisahan kita buat aku belajar menikmati hidup aku.
Aku hidupkan Blackish (sila baca : Si Hitam)

Beberapa pesanan masuk.
Lebih sepuluh peringatan dan pesanan lama.
Alahai, bila Si Hitam jatuh hari itu, banyak pesanan yang masuk tapi disimpan dalam ingatan Si Hitam.
Aku tak dapat baca dan Si Hitam dimasukkan ke hospital.

Ada pesanan dari dia.
(...Setelah aku terjemah...)

"Sayang, kamu buat apa? Rindu kamu..."

dan pelbagai lagi dari dia....

Pesanan terakhir yang aku dapat dari dia...

" Sayang, jangan risau. Saya dapat pesanan dari rakan kamu. Jangan bersedih. Saya sayang, rindu kamu. Peluk"

Aku tersenyum.
Begitu sekali kamu mencari aku?
Alangkah indahnya dunia aku dengan kamu.
Seorang sahabat yang memahami serta memanjakan aku.

Kamu sahabat aku yang baik.

Thursday, February 12, 2009

Busuk Dan Tengik 2

Busuk dan Tengik.
Kami masih bersama, masih mahu mengenakan antara satu sama lain.
Tengik selalu terkena dengan Busuk.
Itu sesuatu yang pasti.

Aku tidak pernah akan menang kalau lawan dengan Busuk.
Alahai…

Aku masih lagi Si tengik pada Si Busuk.
Si Busuk yang kini sendirian mengharungi kehidupan. Sedihkah hati Si Busuk?
Aku pasti Si Busuk kesedihan, hati meronta-ronta untuk mengukir kisah silam, menyulam kasih sayang.
Tapi Si Busuk tidak menonjolkan, langsung tidak mempamerkan apa yang dia rasa.
Pada aku, Busuk seorang yang kuat dan Busuk juga mengajar aku untuk menjadi lebih kuat.

Sekarang Si Busuk sendirian.
Tiada teman hidup yang dicintai separuh mati.
Akankah Si Busuk mati tanpa cinta?
Tidak, aku apsti ini, kerana Si Busuk cinta kepada dirinya sendiri.
Busuk sayang akan dirinya.
Busuk gersang?
Apakah ini?
Itu cerita lain.
Bukan antara dia dan aku.
Bukan antara Busuk dan Tengik.

Busuk : Taknak aku bercinta dengan ustazah macam kau ni.
Tengik : Kau ingat aku nak ke? Tolong sikit…
Busuk : Tidak mungkin okay?

Busuk seorang yang yang memahami.
Memahami sisi dunia yang terkadang aku tidak tunjukkan.
Memahami aku, Si Tengik yang kadang-kadang terlalu menyedihkan, gila atau apakah ada lagi kata-kata yang aku mampu luahkan?

Si Busuk mengajar aku sesuatu yang aku tidak mungkin dapat dalam mempelajari bahan dalam kuliah. Busuk buka mata aku pada dunia luar yang penuh pancaroba.
Aku nampak, tapi aku hanya suka perhatikan.
Aku belum cukup kuat macam Busuk.

Busuk akan marah aku kalau ada apa-apa salah yang aku buat.
Bukan marah yang mengarut, tapi Busuk tak nak aku ikut kata hati.
Busuk nak aku berfikiran rasional dan bukan hanya mengikut akal secara melulu.
Itu diri Busuk yang aku belum mampu tangani.

Busuk : Kau ceritalah tentang aku.
Tengik : nak buat apa?
Busuk : Kalau orang tanya mana kau dapat nama Tengik, kau bagitaulah pasal hobi kau tu.
Tengik : Kau rasa aku nak cakap ke? Hotak kau.
Busuk : Wak lu.

Itu kami.
Kami yang saling melengkapi.
Aku akan sunyi tanpa Busuk.
Aku tak tahu macam mana dengan Busuk, tapi Busuk tetap kawan yang aku sayang.

Busuk dan Tengik.
Dia dan aku.

Kami mewarnai legasi kami.

Wednesday, February 11, 2009

Sila Ikat Rambut Kamu


Pukul 3 pagi.

Aku rasa sangat penat selepas menghadap Sean dengan penuh kasih sayang.
Sayang macam mana pun, tetap akan ada rasa penat.

Rasa ingin ke kamar mandi.
Bukan untuk mandi, tapi melepaskan hajat.

Keluar dari bilik.
Menuju ke tandas (bahagia bunyinya).

Pukul 3 pagi.
Ada orang cuci baju lagi.
Aku menjeling ke bilik basuhan.

Rambut panjang melepasi pinggul.
Menggerbang sambil mencuci pakaian.
Siapakah?

Perkara pertama aku buat.
ALihkan pandangan mata ke bawah.
Dia berkaki - jejak di atas lantai.

Baiklah.
Dia manusia.

Sila ikat rambut adik.
Menakutkan boleh?
Apakah budak ini...

Monday, February 09, 2009

Kenapa Mesti Dia?


Kawan - kawan datang rumah aku.
Ada majlis kecil-kecilan.
Penatnya badan.

Dia datang juga.
Senior yang aku sayang.
Senior yang baik dengan aku.
Gembiranya hati.

--------------------------------------------------------------------

Malam menjelma.
Senior aku kata dia menumpang tidur di rumah aku.
Aku tanya Mak dan Abah.

Mak kata boleh.
Abah kata boleh.
Aku pelik - ada sesuatu yang tak kena ke ni?

------------------------------------------------------------------------

Senior tidur di rumah aku.
Di kamar aku.
Di sebelah aku.
Apakah maksud ini?

Kenapa mesti dia datang waktu ini?
Waktu yang tidak sepatutnya.
Kami tersenyum.

(setelah diterjemah)

Senior : Awak macam adik saya.

Aku : Awak macam abang walaupun saya tiada abang.

Senior : Awak buat saya gembira sebab ada adik macam awak.

Aku : Sama dengan saya.

Kami tidur.
Tiada apa -apa yang berlaku.

----------------------------------------------------------------

Penggera di telefon berbunyi.
Aku bangun, menutup penggera.
Charl berada di pelukan aku.

"Charl, Zara peluk kamu kuat sangat ke sampai teringat pada Papa kamu yang berada jauh di perantauan bersama isteri dia?"

Charl tidak mampu menjawab.
Badannya yang berwarna merah jambu ku belai.
Charl, mimpi Papa kamu lagi.
Alahai.

Kenapa mesti dia?
Kenapa mesti dia yang bukan kepunyaan aku?
Aduhai.

Saturday, February 07, 2009

Mak, Abah - Along Setuju


Aku balik rumah - bercuti.
Cuti apa, aku kurang pasti - yang penting aku di rumah.

Aku duduk-duduk macam biasa dengan Mak dan Abah.
Berbual tentang aktiviti harian yang aku jalani.
Tak semua aku kongsi - yang baik - baik aku cerita, yang sedih aku simpan sendiri.

Cuti itu lama juga.
Mak panggil aku ke ruang tamu.
Selalu je Mak panggil kalau dia nak berbual dengan aku - sebab Mak kata aku selalu duduk dalam gua kalau aku balik rumah.
Gua aku adalah bilik aku.
Mak kata aku suka memerap dalam bilik.
Baiklah, itu cerita lain.

Mak panggil aku.
Mak tanya aku sesuatu, bukan tanya la, tapi lebih kepada memberi kenyataan.

"Mak ada seorang calon untuk Along ni. Along nak tak?"

Aku tergamam.
Berfikir sekejap. Aku masih sendiri. Tiada salah pun.
Tiada mana-mana wajah yang melintas di dalam minda.

"Boleh je Mak. Along tak kisah."

"Kalau boleh, minggu ni langsung sebelum cuti Along habis. Boleh?"

"Boleh sajalah. Ikut suka Mak dengan Abah"

Abah : Dah setuju dah?

Mak : Berapa orang nak jemput ni?

Abah : Dalam 4 ribu...

Aku : 4 ribu? Banyak gila okay?
----------------------------------------------------------------------

Tiba hari pernikahan dan sebagainya mengikut istiadat Melayu kita ni.

Aku dinikahkan.
Dengan siapa, rupanya pun aku tak pasti.
Yang aku tahu, Mak tak setuju dengan cadangan aku.
Kahwin di restoran makanan segera - jimat belanja aku cakap.
Mak kata jangan.
Abah kata jangan.
Aku?
Terima dan setuju sahaja.

Kawan-kawan ramai datang.
Kawan-kawan sekolah.
Kawan-kawan matrikulasi.
Kawan-kawan UTM.

Semua ada.
Saudara mara, sanak keluarga.
Semua orang datang bawa hadiah dan ucap tahniah.

Yuyue ada datang - siap kelek anak - dia bagi aku hadiah paling besar.
Entah apa isinya, malam nanti aku tengok.

Sab pun datang.
Bukan seorang - makin lawa Sab.
"Eh Sab, dah ada perut sekarang...Berapa bulan lagi?"

Budak-budak TESL yang suka ber'blog' pun datang.
Tiqah, Yana, Azie, Ejat, Naimah - hadiah mereka : letak dalam kotak warna merah jambu.
Ejat kata : Kalau kamu buka kotak ni, hadiah dia kena ambil di luar rumah tau?

Budak-budak Dynamic Team pun ada.
Chua, Lorince, Ady, Yous, Fariz.
Aku jemput mereka datang sebab aku seorang sahaja perempuan dalam kumpulan itu.
Lorince datang dengan isteri dia.
Orang lain tak tahu la pula.
Datang jumpa aku ucapkan tahniah.

Chua : Dulu kata tak nak kahwin. Sekarang kahwin.
Aku : Aku kena kahwin paksa ni. Tak kasihan ke?
Chua : Banyak la paksa. Mesti kalau paksa kau dah lari. Kau kan rock.
Aku : Benda free aku mesti ambil la. Tipikal Malaysia.

Bloggers pun ramai datang.
Bukan dari Malaysia sahaja, Singapura, Indonesia dan Filipina juga.
Eh, sempat mereka tempah penerbangan.

Luth antara orang yang datang.
Luth taja aku punya kain - Luth Textile tu.
Bagus la kau Luth.

Zam - bagi aku cupcakes.
Limah - taja katerer aku.
Apai - designer baju.
Rahami - ambil gambar.

-----------------------------------------------------------------------

Aku cakap aku tak nak bersanding.
Tapi orang sana nak sangat.
Menyampah nak kena senyum paksa selama beberapa jam.
Senyuman palsu serta badan yang penat.

Aku sempat pegang Sean sebelum pergi ke pelamin itu.
Post satu entri tentang apa aku rasa.
Jangan pelamin roboh.
Aku tak nak jadi Sejarah okay?

Aku duduk situ.
Kerusi sebelah kosong.
Kompang kuat sangat. Apasal main kompang?
Buat lah band - baru syok.
Ajaklah Faizal Tahir nyanyi.

Ada orang cubit kat tepi.
Senyap sikit - orang tu dah nak sampai.
Aku - baiklah. Kang bebel banyak pun tak guna. Pasanglah lagu Avenged Sevenfold.

Orang tu sampai.
Kasihan.
Orang Johor kan banyak tol.
Sana sini budak jaga - aku senyum.
Aku dulu pun macam tu.
Rod, buka la benda alah ni.
Aku nak tengok orang yang datang.

Sekejap la sayang - dah sampai.
Rod layan tol lelaki itu.
Banyak kau makan rasuah Rod.
Aku panggil Jenne dengan Ramesh tangkap kau kang.

Dia duduk sebelah aku.
Cuit aku.
Aku toleh.

--------------------------------------------------------------------

Azan Subuh.
Aku bangun.
Mak jerit suruh pergi surau.
Aku seorang - mana pergi kemeriahan semalam?
Danny bergolek kat tepi aku.
Sean ada sebelah Danny.

Aku mimpi je?
Alahai - siapa yang duduk sebelah aku tu?

Friday, February 06, 2009

Sabah? Johor Dan Melaka lah...


Sekarang musim bakal-bakal graduan pendidikan isi borang.
Borang temuduga untuk jadi guru.

Permohonan Penempatan / Pelantikan Guru Sandaran Terlatih.

Kawan-kawan aku ada yang dah isi.
Aku masih terbayang-bayang tempat yang aku inginkan.
Aku nak Sabah.
Nak sangat - sangat.

Jadi aku membuat panggilan.
Menelefon Abah tercinta.

Aku : Salam Abah. Apa khabar?
Abah: Baik, ada apa telefon?
Aku : Along nak isi orang posting [Baca sebagai penempatan].
Abah : isi lah.
Aku : Ye lah. Tapi nak isi mana? Nombor 1 Along letak Johor je la (saja, nak bagi keluarga gembira). Nombor 2 nak isi Sabah boleh?
Abah: Nak buat apa Sabah? Isi Melaka la. Kalau nak jauh sangat pun, pilih Perak.
Aku : La, Along nak Sabah...
Abah : Tak payah la pentingkan diri sendiri. Adik-adik kecil lagi. Mak kau pun tengah tak sihat tu.
Aku : Jadi kena isi tu la ye?
Abah : Ye la. Takkan nak isi Chicago, New Jersey pula?
Aku : Ye la. Nanti orang isi. Kirim salam Mak.

Pagi tadi aku telefon Mak.
Mak ada kat rumah.
Demam lagi - tak sihat.

Mak pun suruh ikut apa yang Abah suruh.
Alahai...
Impian aku nak ke Sabah...

Wednesday, February 04, 2009

Jumpa Putera?


Hari yang bakal memenatkan telah tiba dengan jayanya.
Ini hanya sebahagian dari hari - hari yang aku bakal layu disebabkan tenaga akan habis diperah mengalahkan santan kelapa.
Terima kasih kepada syarikat pembuat dadah-dadah yang aku ambil.
Sekalung tahniah kerana selama ini anda berjaya membuatkan ketahanan diri saya masih di tahap maksimum walaupun malam pasti berguling kepenatan.

Jadi macam aku dah tulis di blog aku yang lain di dalam bahasa kedua aku,
hari ini aku akan jadi demonstrator [sila terjemah untuk aku].


Di depan Putera Raja Negara lain.
*baca sini*

Terima kasih buat pensyarah tercinta yang membuat panggilan buat aku semalam.
Aku terasa amat dihargai dan dibebani.
Bukan dengan permintaan beliau tetapi dengan tugasan yang aku buat dalam gelap.

Terima kasih kepada Abah aku yang telah menyediakan lampu suluh buat aku sejak aku
di matrikulasi.

Jadi, hari penat aku bermula!
Nak tahu jadual aku hari ni?

Sila tekan sini.

Tuesday, February 03, 2009

Kenapa Dah Takde?


Kelas Organisasi dan Pentadbiran Pendidikan.
Hari ini.
Tengah hari tadi.

Selepas bertukar kelas sebanyak 3 kali [akan ada 3 suami kah aku?],
kelas akhirnya berjalan seperti biasa, sebelum digendang lagi selepas 1 jam berlalu.
Terima kasih kepada manusia yang tidak tahu erti kesabaran itu.
Harus dicampak dari Tingkat 4 Fakulti.

Kelas berpindah setelah masuk separuh masa kedua.
Masih kelas yang sama.
Manusia-manusia yang sama.

Penjelasan, pembentangan dari kursus Matematik mengambil tempat.
Pelajar Kimia hanya perlu mendengar serta menyoal.
Bukan tanggungjawab kami [pensyarah menyatakan] untuk membentang minggu ini.
Pelajar Matematik - sila jangan memandang serong kepada aku.
Aku hanya bertanya, bukan meminta.

Bahagian demi bahagian membentang.
Sektor itu, sektor ini.

Di akhir pembentangan ketiga yang berkisar kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia,
ada seorang teman yang bertanyakan soalan.

"Kenapa peperiksaan PTS sudah tiada?"

Anda boleh bertanya, silakan.
Sila jangan jadikan aku sebagai contoh - walaupun itu hakikat diri aku.
Malu aku.

Aku cuma muda setahun dari kamu sayang.
Aku cuma tak gemar dengan pandangan mata orang lain.
Agak sepi dan sorotan mata yang kurang menyenangkan.

Monday, February 02, 2009

Gaza Yang Ditangisi


Bumi Gaza sentiasa dibedil.
Kanak - kanak, wanita, warganya sentiasa hidup dalam ketakutan.
Kematian bagaikan sahabat terdekat mereka.

Apakah kematian itu bukan apa - apa?
Apakah kematian itu hanya satu bentuk sandiwara?
Apakah kematian itu hanyalah satu bentuk ekspresi kekuatan?
Tidak.

Kematian itu adalah bukti kekejaman Zionis.
Kekejaman yang dibuat atas dasar mereka sendiri.
Menghalalkan darah - darah anak bumi Palestin yang tidak bersalah.
Apakah yang dunia lakukan?

Apakah yang dunia lakukan?
Melihat?
Mendengar?
Menangisi?

Doa kalian adalah senjata terbaik.
Sumbangan kalian adalah senjata yang ampuh.
Mungkin sedikit, tetapi impak yang kalian berikan?
Lihatlah impak itu.

Gaza yang ditangisi...

Sunday, February 01, 2009

Busuk Dan Tengik 1


Aku ada seorang kawan.
Aku panggil dia Busuk.
Busuk, kawan yang aku tak pernah jumpa dia alam realiti, tapi memahami sisi dunia aku yang celaru.
Sisi dunia aku yang kadang kala terumbang ambing bagi memenuhi tuntutan manusia di sekeliling aku.
Mungkin dia lebih faham akan dunia di sebelah aku.

Dia panggil aku Tengik.
Tengik dalam erti kata apa pun, aku tidak mengerti.
Mungkin aku sendiri tidak mahu mengerti.
Biarkan sahaja masa berlalu, aku tidak ingin jawapan.

Busuk dan Tengik.
Dua sahabat, mungkin lebih sedang aku menganggap dia sebagai seorang sahabat.
Orang macam Busuk, orang yang aku tak jumpa di dunia aku di sini.
Orang yang aku cari di dunia realiti aku.

Kadang-kadang aku pelik juga dengan tingkah laku aku.
Si Busuk akan dengan senang hati menangkis jawapan aku.
Beserta dengan hujah dia yang tersendiri.

Pada aku, Busuk banyak mengajar aku, Si Tengik ini pelbagai perkara.
Dia ajar aku tentang sisi kehidupan itu sendiri.
Betapa aku mungkin lemah, tetapi ada kekuatan yang perlu aku bangkitkan.

Busuk ajar aku dengan keadaan aku yang lemah serta dipenuhi kesedihan, hanya akan mengundang petaka buat diri aku sendiri.

Terima kasih Busuk.
Kau buka mata aku tentang layar kehidupan yang penuh warna - apa yang perlu aku lakukan agar hidup aku tidak lemah disebabkan oleh secebis kenangan.