Tuesday, August 31, 2010

Ramadhan #21 : Selamat Ulang Tahun Zara Walaupun Terlambat. Kamu Sayang Atau Cinta Siapa Ya?


Aku jujurnya ketawa.
Ketawa dengan ucapan sedemikian yang aku terima.

Aku menerima pelbagai ucapan ulang tahun. Daripada teman-teman, daripada kawan-kawan, ahli keluarga tentunya yang paling bermakna. Mari aku berkongsi sedikit dengan kamu semua.

Abah dan Bonda.
Setiap tahun, aku akan duduk di hadapan mereka. Salam dan memeluk serta cium pipi mereka seperti yang aku buat setiap hari. Ya, aku masih anak yang begitu. Setiap kali salam dan mencium tangan mereka, pasti aku akan cium pipi mereka tiga kali. Dan di hari ulang tahun, aku tetap juga begitu. Mengucapkan terima kasih kepada Abah dan Bonda kerana telah menjaga dan mendidik aku sehingga kini. Sudah 23 tahun dan anak ini masih di bawah tanggungan mereka. Eh, zakat fitrah dah 2 tahun aku bayar sendiri ya?

Kawan-kawan serta teman-teman.
Terlampau banyak.
Terima kasih atas ingatan (atau adakah Mukabuku yang mengingatkan? Ketawa)

Ada juga orang yang menyanyikan lagu dengan gembira. Terima kasih pada sahabat aku itu. Memang layan nak angguk kepala bersama-sama. Eh? Gila sudah aku.

Dan aku ketawa bila dapat ucapan seperti di atas. Siapa yang aku sayang atau cinta ya?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj2_t5q2Qxcb4h74505WDgJn8mCXhCGqQv5P1pX3L-ZzoeaHvgn-guzdhpZFSzadzgMHSJJkcpJNhVq7Etf-B6wtHWgRflDugJRffuj4_Mpv06Z_UC9JZJV_b-gYcnNY62T42bkI-Ar34EY/s400/Latte-love.jpg

Aku belajar untuk menghargai diri sendiri dengan lebih banyak apabila aku melalui satu demi satu ujian dalam hidup. Aku belajar memberikan penghargaan kepada diri sendiri kerana aku percaya, bila aku dapat menyayangi diri sendiri, maka, aku dapat menyayangi sesiapa sahaja yang muncul dalam hidup aku. Ya, dan disebabkan itulah, aku sangat suka tersenyum.

Dan aku jujurnya, meletakkan kasih sayang aku pada tempat dan orang yang sepatutnya saat ini. Pada Maha Pencipta, pada Rasulullah, pada Bonda dan Abah, pada adik-adik, pada kawan-kawan yang sentiasa ada dengan aku. Pada manusia yang membenci aku, aku tahu, itu mungkin cara kalian menzahirkan sayang pada aku kan? (Tidak pasal-pasal)

Aku sayang diri aku saat ini.
Sudah cukup.

Aku pernah berikan kelonggaran dengan meletakkan kasih sayang pada kawan-kawan tertentu, tetapi akhirnya, aku juga yang ditikam semula. Sudah penat aku lihat satu demi satu manusia yang pernah aku hormati dan sayangi meninggalkan aku disebabkan mereka menemui cinta baru, kasih sayang baru, tidak kira kawan itu lelaki ataupun perempuan. Cukup aku rasa.

Aku, manusia yang akan menjauhkan diri bila aku tahu aku tidak diperlukan lagi.
Aku, manusia beku yang akan senyum dan angkat tangan, berdoa agar kawan-kawan bahagia.
Aku, manusia biasa melambai tangan pada kawan yang angkat kaki memeluk kasih baru.
Dan aku, tetap kekal seperti dahulu.

Kawan : Kau akan kawan dengan aku sampai bila?
Aku : InsyaALLAH, sampai kau tetap anggap aku kawan kau, sampai bila-bila.
Kawan : Tapi aku sudah ada yang punya.
Aku : Kalau itu menjadikan kau tidak boleh berkawan dengan aku lagi, aku pergi.
Kawan : Maaf.
Aku : Itu hakikat yang aku selalu akur.
Kawan : Maaf.
Aku : Kau tak salah apa-apa, jangan minta maaf.
Kawan : Maaf.
Aku : Aku yang salah sebab tak dapat jaga persahabatan kita.
Kawan : Bukan salah kau.
Aku : Salah aku. Terima kasih.

Aku memang begitu.
Kalau sakit, aku letakkan ubat sendiri.
Kalau cedera, aku akan pastikan aku berusaha untuk sembuh walaupun berhari-hari.
Dan aku, hati itu sudah penuh dengan calar balar tidak bertepi.
Sengih, nampak gigi.

Zara : Hari ini sangat menarik selepas menghadiri upacara perbarisan dan beratur di dataran selepas menyambut hari kemerdekaan. 


31 Ogos 2010 - Selamat Hari Kemerdekaan Ke-53 : 1 Malaysia Menjana Transformasi | Perarakan


Salam semua.
Salam!

Salam sejahtera.
Salam sejahtera!

Salam 1 Malaysia.
Malaysia 1.

Baiklah, itu cara bagaimana kita harus menjawab apabila seseorang menghulurkan ucapan sedemikian di dalam majlis. Protokol sedemikian diajar di kem yang aku sertai serta menjadi jurulatih. Oh, bercakap mengenai jurulatih, dua minggu selepas raya, aku akan terlibat lagi menjadi jurulatih untuk sebuah program peringkat kebangsaan. Masih di dalam kawasan Parlimen aku. 

Tertarik dengan tema hari kemerdekaan tahun ini, aku mahu mengulas lebih lanjut tetapi disebabkan masa kurang mengizinkan, insyaALLAH aku akan menulis nanti. Mahu bersiap untuk menyertai perarakan (ke beratur sebenarnya?) sempena hari kemerdekaan di Dataran Ledang. Semua guru wajib ke sini hari ini. Kali pertama menyambutnya sebagai guru rasmi. Senyum.


Hari ini kena berarak memakai baju ini.
Baju batik sekolah sempena Hari Guru 2010.

Kena berada di dataran jam 7 pagi. Jumpa kalian semua nanti. Mungkin akan membuat laporan secara langsung menggunakan Twitter dan Mukabuku sahaja nanti. Jaga diri kamu semua. Apakah erti Merdeka bagi kamu semua?


[Aksara Keraian]

- BILA CINTA BERKIBAR DI HATI ( Anuar Kamaruddin )
- BELAHAN JIWA AISHAH MERDEKA ( Shafaza Zara Syed Yusof )
- PUISI LAUNGAN KERAMAT ANAK MERDEKA ( Nazrul Aziz )

Zara : Masih menerima ucapan sempena ulang tahun aku lagi. Eh, sudah dua hari lepas tahu? Senyum. Terima kasih atas ingatan yang tidak terhingga.


Monday, August 30, 2010

Ramadhan #20 : Apa Erti Merdeka Bagi Kita Semua? Kesinambungan Lagu Dan Tautan Buku Sejarah?


Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Sana sini orang melaung Merdeka sambil menjual bendera.
Hujung sana orang menjerit-jerit sambil kibarkan bendera.
Hujung sini, penjual memperdagangkan pelbagai lagi cenderamata sempena Merdeka.

Itu sahajakah erti merdeka?
Anak-anak muda keluar berjanji dengan pasangan mahu lihat bunga api bersama.
Mahu menonton persembahan penuh ceria.
Mengira bilangan cahaya limpah di lantai tarian berwarna.
Menogok minuman sambil laga-laga gelas dan kepala.

Adakah merdeka itu maksudnya terbang bebas seperti burung?


Dia ini meraikan hari konvokesyen. Maafkan beliau dengan aksi ini yang menjadikan semua junior mahu meniru. -_-" Dan ini dikira sebagai suatu peristiwa bersejarah. Maksud aku, istiadat konvokesyen, bukan aksi lompatan.

Adakah merdeka itu hanya bebas daripada penjajah sahaja?
Tentu sekali tidak.
Jumud kalau yang menyatakan bebas dan merdeka itu hanya bebas daripada penjajah.
Pasti ada silap di mana-mana sewaktu dia belajar Sejarah.

Dan, kenapa kita belajar Sejarah?
Adakah disebabkan kita disogokkan dengan lagu patriotik berunsurkan Kemerdekaan sepanjang masa?
Ah, aku sukakan lagu patriotik dan aku juga cintakan Sejarah.
Tetapi mengapa kita melalui segalanya?

Ini tanah kita dilahirkan.
Ini tanah kita dibesarkan.
Ini tanah kita mencari ilmu, memburu impian.
Ini tanah kita mencari rezeki, memperjuangkan kelangsungan sebuah kehidupan.
Dan ini juga mungkin tanah di mana kita akan disemadikan.

Dan Merdeka daripada anasir luar adalah salah satu yang perlu dijaga.
Bukan setakat fizikal, tetapi pemikiran juga.
Nah, aku tidak menuding jari ke arah sesiapa.
Dan aku juga tidak akan jumud menilai justifikasi manusia.
Semua ada akal, semua boleh fikir, tapi adakah akarnya sama?

Jadi, apakah merdeka bagi anda semua?
Adakah merdeka bila tiba 31 Ogos sahaja?
Adakah merdeka apabila nyanyian patriotik berkumandang tiada henti juga?
Ataupun merdeka disebabkan bercuti, maka tidak perlu ke sekolah ataupun kerja?

Dan aku tinggalkan tapak kaki di salah satu tempat percutian di Malaysia.
Menikmati saat bahagia bersama keluarga.

Zara : Terima kasih kerana sudi membaca nukilan cerpen aku wahai teman semua. Pautannya ada aku letakkan di bahagian kanan blog. Maaf kalau tidak sempurna ataupun sebaik mana.



Belahan Jiwa Aishah Merdeka | Karya Patriotisme : Cerpen Sempena Hari Kemerdekaan Ke-53


Salam semua.
Sempena hari Kemerdekaan ke-53, aku terlibat dengan satu projek menulis cerpen di Aksara Keraian. Jujurnya, itu kali pertama aku menulis cerpen dewasa ini. Terima kasih kepada Anuar Kamaruddin yang mempercayai aku untuk menulis bersama dengan beliau. Seorang anak muda dan Pengetua yang aku hormati.


[Aksara Keraian]

- BILA CINTA BERKIBAR DI HATI ( Anuar Kamaruddin )
- BELAHAN JIWA AISHAH MERDEKA ( Shafaza Zara Syed Yusof )
- PUISI LAUNGAN KERAMAT ANAK MERDEKA ( Nazrul Aziz )

Sila nikmati cerpen daripada aku dan juga dua penulis lain. Alhamdulillah, sudah boleh dilayari dan aku jujurnya bertuah kerana cerpen itu telah ditambah baik oleh seseorang yang tidak dikenali. Oleh Pengetua aku itu barangkali. Entahlah, tidak kira siapa, Alhamdulillah, Anuar dan Aishah Merdeka bersatu di hujung cerita.

*******

“Papa!”

Jeritan kuat di tepi membuatkan ketiga-tiga lelaki itu menoleh. Wartawan muda itu menghampiri mereka. Anuar memalingkan muka. Malu, takut-takut kalau soalan sebentar tadi diulang semula.

“Aishah, duduk sini. Papa mahu kenalkan dengan kawan papa”

“Oh, Haji Zul”

“Aishah kenal?”

“Tadi sudah temuramah dia”

“Oh, baguslah begitu. Kawan lama Papa. Zul, ini anak aku. Aishah Merdeka”

“Ni yang lahir masa hari Kebangsaan tu ya?”

“Ya pakcik”

“Dah besar rupanya”

“Pakcik, kenapa anak pakcik pegang tangan pakcik dari tadi?”


Haji Zul menerangkan segalanya. Anuar tunduk dan entah mengapa, dia menjeling sekilas ke arah muka Aishah Merdeka yang cukup manis itu. Wajah yang penuh dengan kepuasan setelah semua soalannya sudah terjawab. Gadis itu menghampiri dia.

“Anuar, kita serupa”

“Maksud awak?”
Gadis itu hanya tersenyum dan mengajaknya berdiri untuk sama-sama berikrar Rukun Negara.

*******

Lebih pembacaan boleh menggunakan pautan di atas ya?
Terima kasih kerana masih setia bersama aku yang biasa-biasa ini.
Dan ya, buat mereka yang bertanya apakah yang aku belikan untuk diri sendiri tahun ini selain kereta dan Al-Quran (Ya, nak tunggu hantaran kahwin memang tidak akan dapat. Ketawa.)


Baiklah, ini imej hari ini (30 Ogos 2010)
Kali pertama pakai tudung belang-belang begini. Rasa macam warna PLKN pula.
Maaf jika beliau tidak comel pada mata pembaca, sebab beliau tidak kisah. Ketawa.

Nota Kaki :
1. Sepanjang minggu ini aku bertugas. Sila berikan sokongan padu.
2. Baru dapat surat untuk menghadiri mesyuarat di PPD petang ini. Er, nasib baik hari ini aku pakai kasut yang senonoh. Kalau tidak, macam menjerat diri.
3. Silakan baca cerpen tadi dan kalau ada komentar, sila beritahu aku ya?

Zara : Hari ini bersemangat waja membawa 'suami' tercinta. Jangan tanya kenapa, mungkinkah kini telah berusia? Ketawa.


Sunday, August 29, 2010

Ramadhan #19 : Hadiah Paling Berharga Dalam Usia Mencapai Dua Puluh Tiga Tahun.


Menangis.
Itu dia.
Itu sahaja.

http://3.bp.blogspot.com/_nw8UBuF1zRY/TEnJYyEUNkI/AAAAAAAAA9U/vEluYm9q2Pg/s1600/crying-emo-girl.jpg

Aku ingat umur 23 tahun aku tidak akan menangis dan disakiti lagi oleh jalinan ukhuwah dan persahabatan. Rupa-rupanya aku silap. Selamat ulang tahun ke-23 Zara. Sila terima hakikat yang dunia masih tidak memberikan tempat yang terbaik buat kamu.

Duduk dan nikmati hidup yang semakin lesu.
Ini yang mereka semua mahu.
Senyap, kunci segala pilu.
Diam membisu.

Air mata mengalir sewaktu di dapur. Tidak berhenti dan entah mengapa, aku sendiri tidak mengerti. Sepatutnya aku sudah ampuh dengan sebarang kata-kata yang menikam aku dalam senyap, tetapi rupanya ada bahagian diri aku yang masih tidak sempurna. Yang masih tunduk dengan kesakitan yang memilukan walau sekelumit cuma. Tarik nafas dalam-dalam, aku sudah semakin lega.

Tadi aku dapat berbicara dengan Nakama sekejap. Mendengar suara sahabat itu sudah buat aku sedikit gembira. Dia asyik mahu meminta maaf pula. Ah, bukan dia ada salah dengan aku. Anak itu selalu begitu, nampak sangat aku patut jadi lelaki dan dia jadi perempuan pula. Ketawa. Nakama, kamu tidak mahu menyanyikan aku lagu ke? Tidak perlu, doa kamu sudah cukup buat aku.

Zara : Mahu keluar sebentar. Membeli sesuatu buat diri sendiri. 

HIDUP SEORANG BLOGGER | Selamat Ulang Tahun ke Dua Puluh Tiga Zara


Salam semua.
Hari ini 29 Ogos 2010.
Pada 12.55 tengah hari, 23 tahun yang lepas, anak gadis ini dilahirkan.
Dan hari ini,  anak ini mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurniaan nikmat Allah. Dia telah meminjamkan 23 tahun yang sempurna kepada aku. 23 tahun yang tiada cacat cela kepada anak ini yang masih mendambakan lebih dari apa yang dia ada.


Baiklah, sekarang sudah tahu rahsia di sebalik nombor 'suami' aku ini?
Ya, 2987 adalah mewakili 29.08.1987 (tarikh lahir aku)

Hidup seorang blogger.
Ini penulisan wajib kedua.
Dan kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran aku yang ke-23.
Senyum.

Dan semenjak aku menjadi seorang penulis blog ini, aku mempunyai banyak kenalan yang sering membuatkan aku ketawa dan senyum ceria. Sebagai contoh, hari ini, dinding Mukabuku aku sudah diconteng oleh mereka dengan titipan ucapan dan doa pelbagai gaya. Terima kasih atas niat ikhlas kalian semua dan jujurnya, entah sudah berapa ratus ucapan yang diterima.

SMS berpuluh masuk ke telefon, tidak dilupakan juga dengan panggilan telefon yang membahagiakan. Ada seorang sahaja yang menyanyikan secara langsung lagu untuk aku, seorang sahabat baik-pijak-kepala milik aku. Dan pagi ini, aku lihat dia ada menulis sesuatu buat aku di blog peribadi dia. Terima kasih sahabat. Dua tahun saling kenal mengenali walaupun hanya secara maya, sudah membuatkan aku bahagia. Eh, ini sambutan ulang tahun kelahiran aku yang ketiga semenjak aku mengenali kau! Serius!

Dan mungkin selepas ini, aku akan menulis, siapakah yang membuatkan aku cukup teruja dengan ucapan-ucapan mereka. Ada perkara yang harus dilunaskan. Selamat tinggal semua.

Zara : Hari ini, seperti selalunya, aku akan duduk seorang diri, menulis sesuatu buat diri. Tiada yang istimewa. Dan duduk, salam dengan Abah dan Bonda sambil mengucapkan terima kasih kerana menjaga aku selama ini adalah lebih bermakna.

Sudahlah, Jangan Tipu Dan Berpura-Pura Lagi. Aku Dah Penat Untuk Tersenyum Hari Ini.


Sudahlah disogok dengan helah teman baik yang aku hormati hari ini.
Aku sudah belajar ke tahap seterusnya.
Jangan pernah percaya pada sesiapa lagi.
Sebab ditikam dari belakang bukanlah sesuatu yang manis.
Ini bukan kali pertama.
Tapi kali ini membuatkan aku begitu kecewa.

http://lentecreativo.webs.com/GA%20The%20silence%20of%20the%20lambs%20Silence%20Ana%20Bagayan.jpg
Tidaklah sampai aku menangis. Sungguh bukan aku untuk membazirkan air mata demi manusia yang mengkhianati sebuah persahabatan yang aku pandang tinggi.

Siri pesanan ringkas dan panggilan telefon daripada mereka-mereka yang tidak berbuka di asrama, kolej, universiti, rumah sewa atau ruamh sendiri berterusan. Ya, mereka mana ada baca apa yang aku tulis bukan? Sudah dibilang, aku penulis pincang, dijerkah dengan perkataan bajingan tetapi masih ukir senyuman. Ah, aku kepenatan.

K : "Kami dah sampai, ramai orang"
A : "Jangan sampai kena pijak dengan orang"

K : "Aku bosan, aku sengaja SMS kau. Nak kau tahu yang kau mungkin lagi bosan di rumah"
A : "Dengan keluarga, aku tidak akan bosan"

K : "Penat berdiri, aku dengan kawan aku berlima ni, tapi aku bukan berani nak cakap dengan sesiapa"
A : "Oh, ye ke?" (menguap)
*Selepas itu aku tengok status yang naik daripada seseorang yang aku kenali (dan terkenal) kata dia sedang bersama kau. Muntah!

Dan macam-macam lagi.
Sudahlah.
Aku mengantuk.

Zara : Kau buat aku terlupa bahawa aku hanya kenal kau untuk beberapa bulan sahaja. Jadi, aku tidak boleh mengharapkan kau memahami aku seperti kau kenal kekasih yang kau cinta sepenuh jiwa itu. Biarlah, aku sudah lama berhenti daripada memaki orang.


Saturday, August 28, 2010

Ramadhan #18 : Kalau Dalam Keadaan Baik Pun Kau Tidak Dapat Mengawal Aku, Kalau Aku Jahat?


Menggelegak.
Di saat aku baik sekalipun kau tidak dapat mengawal aku, apatah lagi kalau aku bertukar menjadi jahat?
Kau tidak akan dapat menerimanya nanti.

http://peaceofart.files.wordpress.com/2009/01/lonely_girl_by_luhmorin.jpg

Aku sangat mengerti diri aku, dan aku harap orang walaupun tidak menyukai aku, akan ada sekelumit perasaan memahami. Tetapi malangnya aku salah dan kalian semakin sibuk menginjak aku dengan sedaya upaya walaupun ia menjadikan aku semakin tabah.

Tidak mengapa. Pentas itu kalian langsungkan sahaja tarian sampai kalian puas. Silakan. Tidak mengapa, kita boleh mengata Zara sesuka hati kerana dia akan kekal tersenyum dan ketawa sahaja. Manusia beku itu tidak punyai perasaan. Lantakkan sahaja.

Dan, aku sedang ketawa sekarang ini.
Puas hati dengan apa yang kalian panggil gurauan walaupun sudah aku peringatkan malam tadi.
Benda itu boleh buat aku kecil hati.
Sebab aku tidak dapat sertai.
Tetapi, apakah kalian ambil peduli?
Haram, tidak sesekali.

Silakan, aku sedang menerima.
Kamu tweet apa sahaja.
Kamu DM apa sahaja.
Kamu hantar pesanan ringkas apa sahaja.
Kamu telefon dan bermegah2.
Silakan.

Sebab kalian tidak akan menggugat apa yang aku mahukan saat ini.
Hujung minggu dengan keluarga.
Keluarga datang lebih utama daripada kalian semua.
Kalian kata aku kanak-kanak yang masih tinggal di bawah jagaan Abah dan Bonda.
Biarkan aku, aku bahagia.

Perjumpaan penulis blog, majlis berbuka berlangsung di beberapa tempat hari ini.
Dan aku, akan duduk bersama keluarga untuk makan sambil kenal diri.
Tempat aku bukan di beberapa lokasi.
Tempat aku hanya di sini.
Keluarga di sisi.

Zara : Sudah menghalang beberapa profil daripada mengakses Twitter aku. Sudah cukup dengan kata-kata yang aku terima sejak daripada tadi. Aku mengantuk, mahu merehatkan diri. Andai aku tidak punya perasaan sekalipun, aku masih manusia biasa yang tahu apa erti rehat.


Kadangkala Kau Rasa Kau Ingat, Tapi Sebenarnya Kau Lupa. Aku Lebih Pasti Kau Tidak Pernah Berusaha.


Bunyi gemerincing.
Capai, buka dan baca.
Aku tersenyum seperti selalunya.
Saban tahun inilah cerita yang tidak pernah berubah.
Sudah hampir enam tahun, tetapi gelagat kau masih sama.

Aku ketawa sambil mengesat air mata.
Bukan aku sedih tetapi entah mengapa ia seakan menjadi lawak dan bahan jenaka.
Kalau dulu, mungkin aku akan menconteng semula, membalas dengan taburan aksara.
Tapi sejak akhir-akhir ini, aku memilih untuk berdiam diri sahaja.
Biarlah, aku tahu kau lupa sebenarnya.
Lebih tepat lagi, kau tidak pernah berusaha.
Bukanlah penting, tetapi itu memang satu petanda kau tidak pernah ingat, sesuatu yang mudah belaka.
Ketawa.

Busuk-busuk aku sekalipun, aku tidak pernah alpa.
Aku tetap ingat walaupun mungkin aku sudah tidak zahirkan secara nyata.
Nah, aku memang pelik bila sudah kontang rasa.
Tetapi kau nyata, tidak pernah mahu akui kesilapan begitu sahaja.
Kau laungkan yang kau betul-betul memahami segala.
Mengingati benda enteng perkara mudah bagi orang yang tinggi ilmu dan badannya.
Tetapi malangnya.
Ini tahun ke-enam kau ulangi kesilapan yang sama.

Sudahlah.
Ini bukan benda penting hakikatnya.
Aku cuma menulis disebabkan aku tidak berhenti ketawa.
Agak mengganggu tumpuan aku berkarya.
Jadi, aku mahu lihat sahaja.
Adakah kau akan ulangi lagi kesilapan yang sama?
Aku pasti ia akan berlaku lagi bila tiba waktu dan masa.


Hidup mesti ceria. Itu yang aku letakkan dalam otak yang tidak mahu hadam duka.

Dan semalam, ada seorang pembaca senyap dan seorang guru yang menggelarkan dirinya Kak G bertanyakan soalan kepada aku di BorangAnjal. Terima kasih buat kalian. Cuma, aku tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh pembaca senyap kepada aku. Jujurnya, aku harus belajar untuk hidup dan selesaikan segalanya sendirian sejak aku memahami erti kehidupan itu sendiri.


Cetakan paparan daripada BorangAnjal aku.

Dan seperti aku pernah nyatakan suatu ketika dahulu. Hidup ini tidak akan mengkhianati kita. Kita yang selalu mengkhianati hidup sendiri tanpa menyedari, apakah benar itu yang kita mahukan dalam kehidupan sendiri. Benar, kau lihat sesuatu mungkin dengan mata yang menyerlah dan bersinar. Tetapi, sejauh mana kau benar-benar mengetahui apa yang kau lihat?

Nota Kaki : Buat yang meminta aku meneruskan serta mengupas lebih lanjut tentang pemakaian warna merah jambu, mungkin nanti sahaja. Ada sesuatu yang aku perlu laksanakan hari ini.
Zara : Buat kali pertama, hujan lebat turun jam 3 pagi tadi sehingga ke Subuh. Aku rindukan hujan yang mendamaikan dan membuatkan aku bisa mengulit nikmat kesejukkan sendirian sambil memikirkan, ini kejadian Allah yang aku sangat senangi.


Ramadhan #17 : Merah Jambu Itu Biasanya Bukan Aku Walaupun Orang Sering Kaitkan Dengan Perempuan.


Salam semua.
Hari ini entah kenapa, aku terbeli 3 benda dengan warna merah jambu.
Rasa sungguh bukan aku dengan memilih warna sedemikian rupa. Ya, ada pembaca yang menyatakan betapa aku kelihatan seperti perempuan dengan baju kurung di bengkel pagi tadi disebabkan warna merah jambu itu sendiri. Eh, bolehkah aku membuat bantahan keras?

Aku adalah manusia yang menjadikan biru, hitam dan putih sebagai warna kegemaran.
Tetapi kenapa beli barang warna merah jambu pula tadi?

pink cute stuff Pictures, Images and Photos
[Sumber]
Ternyata ini bukan aku, jangan bikin onar pula ya?
Aku adalah manusia yang tidak pernah bertindik.

Ada 3 benda.
Dan aku termangu bila membuka plastik bila balik tadi.
Sungguh bukan aku.

http://blog.madebygirl.com/media/2009/03/wallpaper-direct.png
Kalau merah jambu begini aku tidak kisah disebabkan warna putih dan hitam lebih mendominasi.
*Bonda pun dah bising kenapa barang aku banyak warna biru, putih, hitam*

Tapi, bila difikirkan kembali, ada sesuatu yang berwarna merah jambu dihadiahkan oleh seseorang buat aku yang aku jaga penuh kasih sayang dan sepenuh rasa. Sesuatu yang berharga aku kira dan dititipkan penuh rasa cinta seorang saudara buat saudara walaupun berlainan agama dan jantina (batuk-batuk). Ketawa. Uppa, tunggu kedatangan adikmu ini.


Nama saya Charlene. Zara adalah penjaga saya.
*Tulisan itu memang sangat cantik kan? Tulisan seorang guru*

Dan, walaupun orang sering mengaitkan warna merah jambu dengan warna perempuan, aku rasa lelaki yang memakai pakaian berwarna merah jambu juga menarik apabila kena dengan orangnya. Sungguh.

Kawan 1 : Lelaki kalau pakai baju merah jambu, nampak macam lembut.
Aku : Warna merah jambu itu lembut, bukan lelaki itu.

Kawan 2 : Kau kalau pakai merah jambu, akan lebih comel.
Aku : *pura-pura pitam*

Kawan 3 : Kau pakai merah jambu, sila campurkan dengan elemen hitam dan putih, baru nampak macam emo dan punk serta rock.
Aku : *laju-laju pakai sambil buat mata berasap (baca : smokey eyes)*

Baiklah.
Ini penulisan gila.
Aku sedang selsema.

Zara : Raya kali ini entah mengapa, aku tiada perasaan mahu menyambutnya. Sudah hilang semangat mahu bergembira disebabkan raya semakin hilang makna. Mungkin sehari dua sahaja yang bahagia, yang lain? Entah, aku mahu pulang cepat bekerja agaknya.


Friday, August 27, 2010

Cinta Aku Pada Kimia Tidak Pernah Luntur Walaupun Bengkel Kayu Sudah Menjadi Gelanggang Bermain.


Salam semua.
Keletihan yang amat sangat.
Nasib baik sekolah hanya separuh hari.

Oh, Johor tidak mengambil cuti Nuzul Quran. Kami sudah mengambil Awal Ramadhan setiap tahun. Selamat bercuti buat teman-teman yang dikasihi. Dan hari ini jadual aku penuh, hanya ada 1 masa terluang dan Alhamdulillah, segala urusan telah dipermudahkan.

Ada yang bertanya, apakah yang aku belajar di universiti kerana sejak kebelakangan ini status aku akan dipenuhi dengan pelbagai nama peralatan bengkel kayu. Kenapa menyukai bahan kimia berkepekatan tinggi walaupun hakikatnya aku mengajar Kemahiran Hidup?

Ketawa.
Sedikit imbas kembali.
Aku tamat universiti dengan Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Kimia). Ya, jurusan utama aku Kimia dan sampingannya (minor) adalah Matematik. Ya, Kimia/Matematik. Dan aku sekarang mengajar :
1. Kemahiran Hidup Tingkatan 1 dan 2.
2. Sejarah Tingkatan 1
3. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 4.
4. Sains Tingkatan 4.
5. Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Tingkatan 5.
6. Pendidikan Seni Visual Tingkatan 3.

Senyum.
Nasib baik ada Sains Tingkatan 4 di situ. Aku sangat bersemangat bila tajuk tersebut mempunyai kaitan dengan Kimia. Oh, hari itu dapat mengajar Kimia sekejap disebabkan ada guru yang bersalin. Selainnya tidak ada dan aku ternyata semakin gembira dengan kehidupan yang aku lalui kini.


Ini aku hari di dalam bengkel kerja kayu Tingkatan 1.

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc4/hs414.snc4/47738_10150253562325543_885375542_14391498_4789154_n.jpg
Dan ini kasut yang dipakai semalam sewaktu di dalam bengkel kerja kayu Tingkatan 2.
Hari ini aku pakai kasut lain.

Kawan : Gila lain bidang kau sekarang.
Aku : Bahagia gila.
Kawan : Versatil ni.
Aku : Amanah ni sebenarnya.

Dan jujurnya, aku memang bahagia dengan apa yang aku ada sekarang ini. Kerjaya semakin menghampiri usia setahun jagung. Banyak yang telah dilalui, dan terlampau banyak yang perlu ditempuhi selepas ini. 

Zara : Bukan kali pertama orang memandang aku dengan pelik disebabkan penampilan diri begini. Senyum sahaja.


Aku Bukan Sesiapa Dan Itu Adalah Fakta | Manusia Beku Yang Mengukir Arca Falah Dalam Kesepian


Satu.
Dua.
Tiga.

Kenyataannya aku masih bukan sesiapa di dalam dunia realiti ataupun maya. Menjalani kehidupan yang biasa dan menikmati setiap inci kehidupan dari sudut pandangan aku yang mahukan sesuatu yang berharga setiap kali nafas dihela. Itu memang aku. Dan yang aku tahu, sejauh mana pun kesakitan datang, aku masih lagi mahu ceria. Sentiasa.

Aku manusia yang suka berjumpa dengan orang lain walaupun dari segi fizikal, ada sesetengah manusia yang tidak boleh menerima kewujudan aku berada di antara mereka. Itu fakta yang aku sedari sejak di bangku sekolah. Kumpulan yang cantik, menarik dan kacak akan berada di satu kawasan. Kumpulan yang cerdik, bijak dan pandai. Kumpulan mengikut kawasan masing-masing dan aku akan berdiri sendirian.

Ya, sendirian.
Dan aku memilih untuk menjadi manusia bebas yang tidak mempunyai puak tertentu. Kadang-kadang si cantik memerlukan manusia seperti aku untuk dijadikan bahan ketawa ataupun sekadar suka-suka disebabkan ahli mereka berkurangan. Kadangkala yang pandai, bijak bestari memerlukan aku yang lemah serba serbi untuk dijadikan bahan uji kaji. Noktah.

http://fc03.deviantart.com/fs14/f/2007/054/b/f/The_Keyper_by_Alyz.jpg

Bila selalu sangat mendengar komentar yang aku ini gemuk, tidak menarik, kurang bijak, lemah, dan pelbagai lagi unsur hinaan, aku sudah lali dan semakin kuat tersenyum dan kadangkala ketawa apabila dikata-kata. Entahlah, dan aku tahu ia semakin menjadikan aku sebagai manusia. Masih terlampau biasa dan selalu berlaku kesilapan juga.

Arca Falah.
Dunia aku yang lesu aku warnakan dengan setiap ukiran senyuman yang membahagiakan. Tatkala orang menyatakan penat, aku dengan lagak riang gembira akan meneruskan apa yang diusaha. Ya, falah itu adalah tujuan aku. Matlamat tidak menghalalkan cara dan itu yang aku sematkan dalam kepala. Sendu dan tawa adalah perhiasan lukisan dan penyuntik warna arca.

Kawan : Kenapa terlalu memaksa diri?
Aku : Kadangkala kita kena kejam pada diri sendiri.
Kawan : Muka dah makin susut.
Aku : Hakikatnya badan mungkin tidak.
Kawan : Mata semakin tebal dengan garisan hitam.
Aku : Menahan kantuk dan penat itu indah.
Kawan : Nanti sakit.
Aku : Lagi sakit kalau jatuh tersungkur menyembah Bumi.
Kawan : Perlahan-lahan.
Aku : Sudah terlampau perlahan aku bina diri.
Kawan : Mata bengkak lagi?
Aku : Sebab tidur, ya.
Kawan : Menangis?
Aku : Tiada sebab untuk itu buat masa ini.
Kawan : Terlampau muda, tetapi terlampau banyak dikorbankan.
Aku : Membina empayar falah untuk diri, kepuasaan peribadi.

Dan, anak naif ini masih lagi di sini. Menjadi warga sejati di negeri sendiri. Meneruskan kehidupan di sebalik apa yang dikejari dan ditinggalkan selama ini. Masih bukan lagi sesiapa yang penuh dengan pangkat, kuasa dan kedudukan teratas yang dipandang mulia oleh masyarakat sejagat umumnya.

Realiti.
Anak sulung daripada enam orang adik beradik.
Gadis yang mempunyai tubuh yang sempurna kurniaan Allah tetapi kekurangan fizikal dari kaca mata manusia.
Mengimpikan menyambung pengajian sarjana setelah surat tawaran ditolak berkali-kali.
Seorang guru muda yang menyukai segala benda dalam hidupnya.

Maya.
Manusia ini bukan sesiapa.
Beku dan tanpa warna.

Kesepian itu bukan tiada warna.
Kesepian itu adalah satu anugerah.

Zara : Usai berbual dengan adik lelaki yang menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru. Banyak yang dikongsi, dan sangat bersyukur dia sudah dapat membiasakan diri dengan kehidupan barunya. Dan, anak itu sudah menjadikan surau di tempatnya seperti surau kesayangannya di kampung kami. Alhamdulillah.