Saturday, March 31, 2012

Keputusan #01.


Dalam hidup ini, terlampau banyak benda yang perlu kita buat keputusan. Dari se-enteng (semudah) kita mahu bangun pagi atau tidak selepas jam penggera telefon berbunyi sehinggalah bagaimana kita mahu keadaan ranjang kita sewaktu merebahkan diri bila malam tiba nanti. Itu baru keputusan-keputusan kecil yang kita buat untuk kepuasaan kecil peribadi. Belum lagi kita buat keputusan besar yang kemungkinannya merubah seluruh benda dalam hidup kita suatu hari nanti. Sebagai contohnya, pekerjaan, pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Dan itu, cuma sebahagian.

Ada keputusan yang kau kena fikir banyak kali - dengan mengambil kira semua aspek, kesan positif dan negatifnya, serta apa yang menyebabkan kau mengambil keputusan sedemikian rupa. Pastinya bukan sesuatu yang mudah memandangkan, perkara sebegini kebiasaannya besar dan akan memberikan impak yang bukannya sedikit. Sementelahan pula, cagarannya adalah hidup kau sendiri. Kau renung, kau tenung dan kau amati semua benda dengan mengambil kira kebaikan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan jika bakal muncul. Dan kau sanggup duduk diam, demi kebaikan dan berusaha agar semuanya mengikut apa yang perlu selesaikan.

[Sumber gambar]

Dalam membuat keputusan, pastinya perlu disertakan dengan keberanian. Dan keberanian itu datang dengan keyakinan. Adakah kita mampu buat keputusan yang mampu mengubah landskap kehidupan kita dan yakin di hujung nanti pasti kejayaan akan menjelma? Sudah tentunya dengan doa, usaha, tawakal - penyerahan serta keyakinan kita yang tinggi, memungkinkan segalanya. Tetapi adakah kita bersedia jika ia bukan ditakdirkan untuk kita?

Dan aku, tiada jawapan untuk itu buat masa ini.
Sekurang-kurangnya.

Zara : Kita dilahirkan untuk jadi diri kita, bukan menjadi seorang yang sempurna. Kita ada kerana kita jadi diri kita, bukan kita mahu hidup di bawah bayangan orang lain selamanya. (Shafaza Zara, 31 Mac 2012)

Friday, March 30, 2012

Manis.


Cuaca bahang.
Sekejap panas, sekejap mendung, bikin orang meradang.
Ada yang berlari melangkah setiap penghadang.
Ada yang melompat melepasi tiang penghalang.
Ada yang melontar kuat sehingga terhentak tiang.
Tapi itu tidak menghalang orang bersorak menang.
Ataupun menangisi kekalahan dan kecewa bukan kepalang.

Disebalik keghairahan sukan yang walaupun sesetengah orang lihat setakat peringkat rendah - aku lihat ianya sebagai satu simbol penghargaan kepada mereka yang mencari bakat dan berusaha keras demi diri sendiri. Bukan mereka yang datang dengan sia-sia. Sepanjang beberapa hari ini, aku lihat ada air mata yang tumpah, ada yang mengeluh kecewa dan tidak kurang juga muka penuh senyuman apabila pingat kemenangan tersarung di leher mereka. Ini gelanggang mereka, dan aku cuma sebagai pengurus (yang tidak berbadan kurus) tetapi mahu setiap daripada mereka menikmati keindahan kenangan zaman remaja, zaman persekolahan yang tidak pernah aku nikmati dahulu.

Dan petang hari ketiga, sewaktu aku jaga khemah seorang diri sambil membaca buku, aku didatangi oleh seorang yang tinggi dan memakai nombor di dadanya. Dengan senyum manis, dia  hulurkan ini dan berlalu pergi meninggalkan bayang-bayang yang tidak setinggi dirinya. Aku buka dan aku ketawa seorang diri.

http://farm8.staticflickr.com/7108/7027976297_7b5875030f.jpg
[Flickr aku]

Mengenangkan ada budak aku yang berlari bersama penghantar nota ini (ya, kalau budak aku sendiri - ada yang makan kaki sebab berani beri begini) dan penghantar pesanan ini dari sekolah lain, aku hanya tersenyum sahaja bila nampak dia di kawasan pertukaran baton. Sekurang-kurangnya aku buat apa yang dia minta bukan?

Ah, budak-budak mahu dewasa.

Zara : Hidup ini kadangkala sangat kelakar. Di saat kita sangka kita miliki segalanya, rupa-rupanya, kita akan kehilangan semuanya.

Wednesday, March 28, 2012

Lupa.


Kita kena akui yang manusia mudah lupa. Lupa semua benda hatta cermin mata yang tersangkut di atas kepala pun boleh menggeledah satu rumah membawa ke kereta dan entah ceruk mana lagi di cari sebelum meraba atas kepala dan hey, cermin mata ditemui. Itulah manusia yang penuh dengan kelemahan, kesilapan. Alasan lupa juga sering digunapakai oleh anak-anak sekolah jika tertinggal buku, lupa menyiapkan kerja sekolah dan diamalkan sehingga ke alam pekerjaan. Segalanya terlupa. Segalanya bukan mereka, dan diserapkan dalam kehidupan dengan alasan paling enteng atas dunia - "Saya terlupa".

[Sumber gambar]

Malangnya, bila manusia terlupa terlampau banyak perkara, natijahnya memang berbaur celaka. Setiap kali terlupa, sering sahaja alpa (dan sengaja pula tu!), maka seharusnya manusia begini dihumban ke dalam satu lubang paling dalam dan ditimbuskan dengan tanah supaya mereka ambil masa duduk sejenak (mungkin, kalau tidak mati) - untuk memikirkan apa yang mereka telah lakukan di atas muka bumi. Ya, asyik sahaja terlupa sehingga menyakitkan manusia sekeliling, selayaknya mereka mati (ya, mungkin sekali lagi).

Dan lupa ini terlampau banyak kumpulannya. Sebagai contoh (beberapa sahaja) - ada yang lupa dia pasangan siapa, ada yang lupa siapa kekasih hatinya, ada yang lupa tanggungjawab pada keluarga dan sebagainya. Ah, benda yang rapat, yang intim pun boleh lupa, memang memualkan rasa bukan?

Lupa siapa pasangan hidup adalah paling menjengkelkan. Kita lihat ramai orang yang berlaku curang sana sini, menjual maruah ke hulur ke hilir tanpa menghiraukan pasangan yang setia menunggu di rumah. Padahal, belanja kahwin pun entah sudah lunas ataupun belum. Menghenjut sana sini, mencanang kononnya tidak bahagia, tapi bagaimana mahu bahagia kalau hanya sebelah pihak sahaja berusaha? Kegilaan apakah melihat benda yang tiada timbal balik, bagaikan neraca yang berat sebelah. Kesudahannya, pemberat menjadi beban pada pasangan yang setia, dia yang menanggung derita atas kecurangan kau yang sungguh celaka.

"Kenapa kau buat pasangan kau begitu?"
"Eh, aku ada pasangan eh? Aku lupa"

Ba Alif Ba Ya.

Ada pula yang lupa dengan siapa dia berpacaran. Nah, ini sering menggunakan alasan bahawa mereka belum punya ikatan yang sah, maka berpelesaran adalah tidak salah. Bagus manusia dalam golongan ini sebab mereka merasakan dunia adalah kepunyaan mereka dan pembohongan sudah jadi zikir wajib setiap kali mereka mengeluarkan bicara. Ditambah pula dengan manusia lain yang mereka jalinkan hubungan, sama sepadan, tiada malu tiada segan. Buat apa sahaja yang mereka suka, dan berharap agar kedua-dua hubungan mampu membuatkan mereka gembira.

Ya, kau bosan dengan kekasih gelap kau, kau kembali pada mereka yang menunggu dan memaafkan kau setiap kali. Kau benci dengan kekasih gelap kau yang banyak bunyi, kau tinggalkan si jalang itu dan kau kembali kepada yang masih telan dan hadam segala kesalahan kau ibarat dia hirup kopi setiap pagi. Dan kesalahan ini lebih mengasyikkan apabila kekasih gelap juga memainkan peranan bagi meneruskan kelangsungan drama dosa berpanjangan setiap kali.

"Awak lupa ke yang dia itu kekasih saya?"
"Tak, saya tahu, saya ingat"
"Sudahnya kenapa awak masih ganggu dia lagi?"
"Saya anggap dia kawan saya"
"Kawan apa kalau menggunakan bahasa manis begitu siap dengan aksi awak yang mengiurkan lagi?"
"Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Tanyalah dia pengarang jantung hati"

Ba Alif Ba Ya.

Malangnya manusia begini kau temui setiap kali dalam hidup. Kalaupun bukan dalam hidup kau, pastinya dalam hidup orang lain, bahkan kita sering disuakan dengan cerita begini dalam peti bercahaya di rumah yang sering dihiasi berita penipuan janji manis manusia. Ya, kalau mahu lihat realiti paling penuh penipuan, buka sahaja ketika waktu perdana - pada pendapat aku. Ha ha ha.

Dan itulah. Manusia begini selalu lupa satu perkara atas dunia. Kesedapan membuat dosa itu memang akan buat kita semua ketagih. Sekali buat, terlepas, kita akan buat lagi. Sehingga berulangkali dan sekalipun ditangkap, mereka akan mengulangi kerana sudah lali. Konsep karma itu wujud wahai manusia - dalam semua agama (walaupun kita tidak panggil karma). Hukuman Yang Maha Berkuasa itu ada. Kalau hari ini kau buat baik pada manusia, mungkin balasan itu kau akan dapat baik - jika tidak di dunia, mungkin di akhirat sana. Sama juga kalau kau buat jahat, mungkin natijahnya tidak akan pada kau, tetapi pada manusia sekeliling kau, yang menanggung akibat atas perbuatan kau yang menyakitkan.

Seperti yang Puan Mulia pernah nyatakan kepada aku, dia berkongsi apa yang dikatakan oleh Profesor Hamka :

Buat baik, dibalas baik, itu perkara biasa.
Buat baik, dibalas buruk, itu perkara biasa.
Buat buruk, dibalas buruk, itu perkara biasa.
Buat buruk, dibalas baik, itu adalah perkara luar biasa.
Maka, berjaga-jaga.

Itu sahaja.

Zara : Kehidupan kita pastinya akan berbeza dan berlainan jika kita berhenti membenarkan manusia lain melarutkan dan meracuni kita dengan ayat dan kata-kata mereka yang bertintakan iblis dan bersadurkan syaitan. (Shafaza Zara, 28 Mac 2012)

Monday, March 26, 2012

[Ulasan] : KOPI - Antologi Cerpen Fixi


Kali pertama dalam sejarah sejak aku berjinak-jinak dengan Fixi pada bulan enam tahun lepas, aku terpaksa (ya, kau baca terpaksa di situ) - baca ulasan orang lain terlebih dahulu berbanding aku yang menulis tentang bahan bacaan keluaran FIXI. Ironinya, kali ini adalah buku yang aku tersenarai sebagai salah seorang daripada penulisnya. Janggal pula rasa bila mahu bicarakan tentang naskah comel yang tersusun indah dalam beg aku ini.

Sebab aku salah seorang penulisnya?
Entahlah.

Mungkin sebab aku sebaris dengan manusia-manusia lain yang lebih hebat gaya bahasa, penceritaan dan juga pengalaman - di mana aku manusia yang cetek dengan segalanya serta katik. Ya, katik. Huh!