Wednesday, February 29, 2012

Bahagia.




Dia bangun pagi. 
Tertanya-tanya apakah bahagia yang akan dia temui sepanjang hari nanti.

Apakah yang sudah berada di hadapan mata atau di suatu tempat yang dia langsung tidak pernah jejaki?
Apakah yang melambai di hadapan atau sesuatu yang dia tidak dapat capai walau berlari?
Apakah yang duduk diam di hadapan mata ataupun di tempat tanpa matahari?
Apakah yang menguntumkan senyuman atau sekadar memerhati?
Apakah yang  memujuk rayu atau membiarkan dia memujuk diri sendiri?

Dia sendiri tidak pasti.
Dia sendiri tidak tahu apakah bahagia yang mesti dia kejar sekarang ini.

Adakah semuanya mengikut kemahuan hati?
Adakah semuanya bergantung kepada kehendak diri?
Adakah semuanya hanyut dengan keperluan peribadi?
Adakah semuanya kerana dia enggan hidup dalam sepi?
Adakah semuanya disebabkan dia tidak mahu sunyi?
Adakah semuanya takdir Ilahi?

Dia sendiri tidak tahu lagi.
Dia sendiri masih mencari.

Bahagia itu rupanya bukan sesuatu yang boleh diazamkan dalam hati.
Bahagia itu rupanya bukan sesuatu yang boleh dibeli.
Bahagia itu rupanya bukan sesuatu yang boleh dipaksa mahu cari.

Khabarnya bahagia itu sesuatu yang aneh dalam pemikiran manusiawi.
Khabarnya tidak semua orang mampu bahagia sampai mati.
Khabarnya bahagia itu permainan duniawi.
Khabarnya begitu dan begini.

Tapi dia enggan menoleh ke kanan dan ke kiri.
Dia toleh sebenarnya, tapi mungkin tidak sebanyak dahulu lagi.
Dia tidak pernah putus harap, dia manusia yang sentiasa percaya pada rezeki.
Kalau bukan masanya, mungkin bukan hari ini.
Dia diam dan angguk sahaja sendiri.

[Sumber gambar]

Kau mungkin pernah janjikan bahagia sampai mati.
Walaupun kau rampas kembali.
Bukankah baik kalau kau minta dengan baik dan berhati-hati?
Pasti tiada yang akan sakit sendiri.

Celakanya bila kau anggap kau wakil Tuhan penabur bahagia manusiawi.
Sebab kau sendiri belum tahu bila bahagia akan kau temui.
Adakah kau sangat yakin dan pasti?
Bahagia kau cipta sendiri?

Berhenti jadi keji.
Berhenti.

Tuesday, February 28, 2012

Mocha #01.




Lelaki itu tidak pernah suka kopi. Tidak pernah suka kopi hitam barangkali. Dia minum yang dicampur dengan susu sebab dia memang penggemar susu. Jadi, si perempuan itu yang gilakan kopi, tidak pernah ambil endah, sebab ketagihan dia sudah cukup dan kasih sayang mereka tidak membezakan apa-apa, walaupun minuman kegemaran mereka berbeza. 

Tapi, suatu hari, lelaki itu pulang dengan berita bahawa dia beli set membuat kopi. Si perempuan mula berasa sesuatu yang aneh. Sejak bila lelaki itu pandai minum kopi? Dia tertanya-tanya. Si lelaki bertanya, bagaimana cara membuat kopi yang enak, tetapi perempuan itu, dengan bersahaja, menyuruh lelaki itu mencari sendiri caranya. Dan, alhasilnya, biji kopi yang dikisar itu buatkan si lelaki khayal dengan kandungan kafein yang tinggi. Si perempuan ketawa, dan si lelaki menarik muka.

Perempuan : Kenapa awak minum kopi?
Lelaki : Sengaja.
Perempuan : Awak kan tak suka kopi?
Lelaki : Ada dua sebab kenapa saya buat kopi sendiri.
Perempuan : Kenapa?
Lelaki : Satu sebab awak suka kopi. Dua, sebab saya nak hidangkan awak kopi setiap hari.
Perempuan : Tapi awak ketagih nanti.
Lelaki : Tak mungkin. Saya tak akan jadi macam awak.
Perempuan : Ceh.
Lelaki : Saya terbeli biji kopi yang pekat dan hitam.
Perempuan : Habiskan sahaja.


Lelaki itu setiap malam minum kopi. Entah apa dalam pemikiran dia, si perempuan tidak dapat meneka. Biarlah si lelaki menikmati kopi, dia punya suka. Dan, hujung minggu datang kembali. Lelaki itu dengan riang memberitahu kepada si perempuan :

"Saya sudah beli mocha"

http://farm5.staticflickr.com/4044/5076164145_3a3e5be59d.jpg
[Sumber gambar]



Sunday, February 26, 2012

Sedap.




Ada benda yang kau rasa sedap.
Ada benda yang kau kata nikmat.
Ada benda yang buat kau rasa nak hisap.
Ada benda yang buatkan kau terlelap.

Rasa sedap yang aku rasa mungkin tidak sama dengan kau.
Rasa nikmat yang aku kecap mungkin berbeza.
Ini kerana selera kita tidak sama.
Walaupun kau dan aku mungkin naungan bayang yang sama.

Kita tidak mungkin sama.
Aku rasa apa aku lalui sedap.
Walaupun kau kata ia pahit macam julap.

Saturday, February 25, 2012

#06 : Ini Cerita Seorang Perempuan




Selalunya perempuan itu akan dapat apa yang dia mahukan. Sama ada cepat atau lambat sahaja. Semuanya dia usahakan sendiri. Meminta dari orang lain adalah satu bentuk menunjukkan kelemahan pada dia. Dangkal mungkin, tapi itulah dia. Sejak dari dahulu lagi, sejak dia kenal apa yang dia mahukan dalam hidup, dia bergerak sendiri. Yakin dengan kebolehan (serta pasti dengan kelemahan) diri sendiri, dia sentiasa berusaha untuk dapatkan sesuatu dengan cara tersendiri. 

Tapi, bila dia buka mulut mahu meminta sesuatu, sesuatu yang sangat besar dalam hidup, benda yang mungkin bakal mengubah siapa dia sekarang ini, permintaan dia ditolak secara halus. Dinafikan dengan alasan yang kalau dilihat, mungkin munasabah. Dalam hati dia memberontak secara diam, menekan halus neuron otak dia yang sejak akhir-akhir ini kacau bilau. Kacau dengan segala urusan yang dia sendiri kalau boleh tidak mahu disemakkan. Aneh-aneh sahaja.

Kenyataan yang dia terima membuatkan dia jadi sedikit lirih. Terkilan bila permintaan dia tidak dipenuhi. Mungkin bakal dipenuhi, kalau diperhalusi perbualan 3 kepala, 3 pasang mata, dia dan manusia-manusia yang membesarkan dia, yang menjaga dia hingga dia sudah dewasa ini, dia tahu dia akan dapat apa yang dia mahukan, cuma mungkin perkara itu akan sedikit lambat terjadi. Mereka minta dia menunggu, bersabar dan entah apa lagi yang mereka beritahu, otak dia jadi tepu. Dia nampak, apa yang dia mahukan seperti jauh dari genggaman, tidak seperti mimpi dia yang ingin bersatu. Sakit. 

http://farm4.staticflickr.com/3187/2791470837_18276e0b46.jpg
[Sumber gambar]

Dalam hidup ini, tidak banyak benda yang dia mahukan. Mungkin apa yang dia minta pada keluarga dia adalah sesuatu yang sukar untuk dia dapatkan sendiri. Mustahil itu lebih tepat kerana dia perlukan kebenaran mereka untuk memulakan langkah dia. Sesuatu yang berlandaskan agama, pastinya mendapatkan restu itu lebih baik. Nah, tujuan dia mulia, bukan untuk membawa kepada kecelakaan. Tapi, dia pasti mereka yang lebih merasa apa itu kehidupan, layak memberikan pendapat. Dia tahu apa yang dia mahukan. Dia jelas dengan semuanya. Cuma mungkin, bukan peluang dan rezekinya dalam masa terdekat ini, siapa tahu bukan?

Ini cerita dia.
Cerita dia dalam mengejar apa dia mahukan dalam hidup. Kadangkala perkara berlaku terlampau pantas, sampai dia tidak mampu mengejar dan biarkan diri dia hanyut supaya dia tidak ketinggalan. Kadangkala, benda itu seiring dan dia mampu tenang untuk bergerak bersama. Melupakan kesakitan, menempuh hidup dengan azam baru setiap hari. 

Aneh.
Dia mampu tersenyum lagi walaupun apa yang dia hadapi. 
Nota Kaki :
Diam tanpa bicara kadangkala boleh buat sesetengah hati terluka.

Zara : Persahabatan paling indah adalah sahabat yang menegur tanpa mengira siapa kita dan dalam situasi apa sahaja. Dia akan beritahu kita sejujurnya, bukan menipu dengan niat mahu mengambil hati kita. (Shafaza Zara, 25 Februari 2012)



Monday, February 20, 2012

Lelaki #03 : Bersama Dengan Wanita Lebih Berusia






Tidak semena-mena dihentam bila menulis tentang lelaki. Macam aku kata sebelum ini, benda ini semua hasil pemerhatian dan apa yang kawan lelaki aku nyatakan. Jadi, tulisan aku adalah berbentuk peribadi, sama ada pendapat dari kawan aku, ataupun aku sendiri. Pastinya kalau ia disandarkan dengan fakta, aku akan nyatakan dari mana fakta itu dikumpul. Noktah.

Perkara di atas sering dianggap tabu dalam masyarakat kita. Padahal, ia adalah normal dalam erti kata, jodoh itu rahsia Maha Pencipta. Tidak semestinya, bersama dengan mereka yang sebaya atau lebih berusia (bagi lelaki dalam kes ini) akan memastikan mereka bahagia. Mungkin bersama dengan wanita yang sedikit berusia adalah jodoh mereka selama ini. Tetapi anehnya, masyarakat kita menghukum dengan terus meletakkan kesalahan atas bahu wanita tersebut. Hebat bukan? Lelaki biasanya akan kurang dikecam, berbanding wanita yang dicemuh walaupun apa yang berlaku sebenarnya bukan suatu kesalahan.

Nah, perkahwinan, pernikahan adalah benda yang baik, yang mulia, kenapa harus dihentam bagaikan melakukan maksiat? Alangkah orang yang buat maksiat pun kita tegur secara berhemah dan berhikmah, apatah lagi yang mahu melunaskan benda baik, kenapa harus ditegah?

[Sumber gambar]

Dan, benda begini bukanlah sedikit berlaku dalam kehidupan aku. Ramai sahaja dikalangan kawan-kawan aku yang bersama, dalam erti kata lain, bercinta atau bernikah dengan wanita yang lebih berusia daripada mereka. Yang sudah berkahwin lebih enak kerana, benda baik sebegitu, menutup mulut masyarakat yang entah kenapa, terus menghukum bagai nak gila, tanpa menyedari bahawa junjungan besar kita semua, Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan Saidatina Khadijah yang jauh usianya dengan baginda. Aku mungkin naif dalam membicarakan hal sedemikian rupa, tapi daripada cerita yang selalu kita baca, kita tahu bahawa perkahwinan itu bahagia sehingga ke penghujung hayat Saidatina Khadijah.

Jadi, apabila seorang rakan bertanyakan hal yang sama dengan aku, aku jujurnya gembira kerana dia memilih untuk melangsungkan pernikahan dengan wanita yang dia cinta, dengan restu keluarga - dan itu aku anggap sebagai bonus yang sangat berharga. Mari kita sama-sama perhalusi (dan juga berikan pandangan pada rakan ini, jika boleh) apa yang perlu dia lakukan, dan aku gelar dia Beto disebabkan muka dia ala Beto Kusyairy, pelakon kegemaran aku itu. Heh.

Beto : Aku nak cakap satu benda.
Aku : Apa dia?
Beto : Aku bercinta dengan perempuan yang lebih tua dari aku.
Aku : Jadi?
Beto : Kenapa kau tak terkejut?
Aku : Sebab aku tak nampak masalahnya.
Beto : Dia tua empat tahun dari aku.
Aku : Jadi?
Beto : Aku dah ajak dia kahwin, keluarga aku dah berikan persetujuan.
Aku : Tahniah! Perkahwinan benda baik, jadi apa masalah kau?
Beto : Si dia setuju, keluarga dia pun setuju. Masalahnya, aku dan dia masih tidak punya alasan kukuh untuk beritahu orang sekeliling tentang kami.
Aku : Sekejap. Adakah ini perhubungan rahsia?
Beto : Tak juga. Keluarga aku, kawan-kawan aku tahu dia wujud.
Aku : Jadi, apa yang jadi masalah?
Beto : Perkahwinan libatkan keluarga. Bukan setakat keluarga aku, keluarga dia, tapi sanak saudara, pakcik makcik dan segala jurai keluarga. Senang kata, keluarga kecil dan besar terlibat.
Aku : Baiklah. Teruskan.
Beto : Aku belajar lagi. Si dia dah kerja. Mesti orang akan tanya, apa sebab kami nak kahwin, macam mana aku nak tanggung dia, sedangkan aku sendiri pun belajar ditanggung oleh biasiswa.
Aku : Aku pernah dengar dalam televisyen, pandangan seorang ustaz tentang ini. Dia kata, kalau tak silap aku lah, tanggungan kewangan itu, kalau atas persetujuan, boleh sahaja ditangguhkan sehingga habis belajar dan mendapat pekerjaan sebagai contohnya. Kalau si dia kau setuju, itu akan bawa kebaikan pada kamu berdua.
Beto : Dia tak kisah pun hal kewangan, sebab dia pun tanggung hidup dia selama ini. Tiada masalah. Tapi pandangan orang? Mesti orang kata, aku yang makan duit isteri aku nanti.
Aku : Walaupun hakikatnya, mungkin tidak?
Beto : Biasiswa aku mampu buat aku hidup dalam keadaan senang jugalah. Nak bagi dia pun ada kalau aku berjimat sedikit.
Aku : Baiklah. Seterusnya?
Beto : Aku boleh suruh dia tunggu, dia pun mungkin boleh menunggu. Tapi, berapa lama dia mampu nak menunggu? Bukan masing-masing makin muda.
Aku : Dan dia akan lebih berusia, kau kena nampak tu Beto.
Beto : Aku anggap dia sebaya dengan aku.
Aku : Kau anggap dia sebaya, hakikatnya tidak. Di mata masyarakat pun tidak.
Beto : Itu sebab kenapa aku mahu menyegerakan perkahwinan. Aku sayang dia, suka dia, cinta dia. Aku tak mahu, bercinta begitu lama, tapi akhirnya terbuang begitu sahaja.
Aku : Faham benda itu.
Beto : Dan aku masih lagi tak tahu apa perlu aku beritahu saudara mara aku kalau mereka bertanya, kenapa aku mahu berkahwin, walaupun aku masih belajar.
Aku : Kau takut orang mengata benda yang tak betul?
Beto : Mungkin. Sebab kalau boleh, aku nak sahaja nikah dengan cepat, jadikan dia halal bagi aku, aku halal bagi dia, tapi perkahwinan bukan benda mudah. Dia akan hadapi masalah yang sama dengan aku.
Aku : Silap tu.
Beto : Apa yang silap?
Aku : Dia akan hadapi perkara yang lebih berat daripada kau.
Beto : Maksud kau?
Aku : Dia dah kerja, dia lebih tua daripada kau, orang akan lebih lemparkan benda macam-macam pada dia. Sebab dia dalam kedudukan seorang perempuan yang lebih matang, orang akan bertanya terlampau banyak benda pada dia, serta mengharapkan dia buat keputusan yang lebih baik, sebagai contohnya.
Beto : Perkahwinan bukan benda baik?
Aku : Benda baik, tapi kau sendiri tahu pandangan skeptikal masyarakat.
Beto : Usia itu sekadar angka.
Aku : Betul. Tapi dari usia, masyarakat kita menilai tahap kematangan seseorang walaupun itu tidak semestinya tepat.
Beto : Itulah pasal. Nak kahwin, buat benda baik pun orang jadikan sukar.
Aku : Sebab perkahwinan benda yang tidak mudah sebenarnya. Ada banyak yang perlu diselesaikan, dibincang, diperhalusi dan ia bukan sekadar penyatuan dua jiwa, bahkan dua keluarga yang akan ada risiko yang kita sendiri tidak akan pasti.
Beto : Faham. Jadi bagaimana?
Aku : Jujurnya, aku doakan yang terbaik buat kamu.
Beto : Aku perlu cari sebab yang baik untuk diberitahu pada keluarga. Si dia pun perlu buat benda yang sama.
Aku : Banyakkan berdoa. Benda baik begini, pasti akan dipermudahkan kalau tujuan kamu baik. Niat kamu ikhlas untuk mulakan sesuatu yang baik juga.
Beto : Kalau dari segi fizikal, aku rasa tiada siapa yang  sedar akan usia kami, rupa paras kami.
Aku : Kenapa?
Beto : Sebab aku lagi tinggi, muka aku lagi matang dari dia. Kalau kau tengok si dia aku, macam aku abang, dia adik. Muda kot muka dia, lepas tu dia pendek sikit. Silap, pendek banyak.
Aku : Kemain mengata bakal isteri sendiri.
Beto : (ketawa) Bukan mengata, aku cuba untuk positifkan otak aku.
Aku : Positif sangat ke tu?
Beto : Bercakap dengan kau buat aku lega.
Aku : Kenapa?
Beto : Entah. Sebab aku rasa kau faham situasi aku.
Aku : (ketawa) Aku mengesan sesuatu dalam ayat itu.
Beto : (ketawa) Kalau kau faham, baguslah.
Aku : Sebab kau kawan aku.
Beto : Sebab kau kawan aku juga, aku berani cakap benda begini dengan kau.
Aku : Terima kasih Beto. Berusahalah ya?
Beto : Baik.

[Sumber gambar]

Aku percaya, setiap daripada kita pastinya ada menghadapi situasi begini. Kalau pun bukan diri sendiri, orang berdekatan mungkin ada juga. Sebagai contohnya, seorang rakan aku, berkahwin dengan lelaki yang lebih muda daripada dia selepas diperkenalkan oleh saudara terdekat yang kasihan dengan dia yang sudah tiga kali putus tunang dengan orang lain. Alhamdulillah, dia bahagia, sudah punya anak dua, dan tiada sebab pada aku untuk masyarakat berkata yang tidak baik pada dia. Dia gembira, dan ya, mempunyai kehidupan yang lebih baik, tentunya.

Dalam situasi yang baik, niat yang baik, sudah tentulah sesetengah daripada masyarakat kita (dan ya, kita juga merupakan sebahagian daripada masyarakat) akan melihat contoh yang buruk yang pernah berlaku atau sedang berlaku. Tidak perlu aku tulis, sebab benda begitu ada sahaja dipaparkan di akhbar, televisyen, blog dan sebagainya, tetapi aku percaya tiada salahnya kita tengok dari aspek positif dan yakin dengan keputusan yang dibuat oleh pasangan sebegini dan juga keluarga mereka yang memberi restu dengan niat yang baik, menggalakkan anak masing-masing memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun aku belum punya keluarga, aku pasti, keluarga akan berikan kebenaran dan kebebasan bagi seseorang anak itu, jika mereka yakin dengan anak mereka kan?

Cukuplah dengan ayat-ayat yang menghiris hati seperti "anak ikan" - "kougar" pada mereka yang memilih untuk mengikat perhubungan mereka dengan cara baik. Siapa kita, kita semua untuk menafikan jodoh seseorang. Kalau itu yang terbaik dan ditakdirkan buat mereka, apakah perlu menghentam tanpa asas yang langsung tidak kukuh? Doakan yang terbaik buat mereka itu kan lebih baik? Sebagaimana kita boleh tersenyum melihat lelaki berusia yang berkahwin dengan wanita lebih muda (sehingga pangkat anak atau cucu), kenapa kita tak boleh buat benda yang sama pada lelaki muda yang berkahwin dengan wanita yang sedikit berusia?

Sekadar satu pandangan peribadi.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Kisah silam kita semua hanyalah satu kisah lampau yang punya alasan tersendiri, kerana ia mungkin bukan yang terbaik untuk dijadikan suatu kisah masa hadapan yang baik. Jadi, tidak perlulah, kita terlampau mengenang kisah lampau, jika hanya untuk menyakitkan.

Zara : Hidup kita mungkin aneh. Tiada apa yang perlu dibisingkan. Jika sesuatu itu sudah ditakdirkan menjadi milik kita, ia akan tetap menjadi milik kita. Dengan manusia yang tepat, masa yang tepat dan alasan terbaik. (Shafaza Zara, 20 Februari 2012)

Sunday, February 19, 2012

#05 : Ini Cerita Seorang Perempuan




Dalam dua tiga minggu kebelakangan ini, banyak sangat benda yang terjadi. Benda yang aku nak, benda yang aku langsung tak pernah mahu berlaku, bergaul antara satu sama lain dan menjadikan kehidupan mungkin tunggang langgang di dalam kepala aku sendiri. Sakit hati, menyampah dengan semua yang berlaku membuatkan aku buat beberapa keputusan yang aku mula fikirkan kembali, walaupun aku jujurnya tidak ada rasa kesal langsung. Buat apa aku mahu kesal, sedangkan keputusan itu aku buat dalam keadaan hati yang tenang (dan mengakulah, ada disuntik oleh sedikit rasa marah).

Sesuatu yang paling aku suka tentang diri aku sendiri sejak zaman universiti, sejak aku digula-gulakan dengan hakikat kononnya lelaki suka perempuan rambut panjang, aku simpan dan jaga rambut aku dengan teliti. Walaupun mungkin tidak secantik model dalam peti bersuara dan bergambar di setiap rumah itu, aku masih suka sebab impian aku untuk punya rambut panjang terlaksana. Benda yang aku benci sewaktu sekolah dan matrikulasi, tapi aku mula suka bila aku masuk universiti dan seterusnya bekerja. Penghujungnya, aku gunting sampai sudah ala Rihanna ataupun Aishah Sinclair minggu lepas. Aku keluar rumah, pergi kedai yang aku suka dan ya, tiada istilah pelihara ataupun potong sedikit sahaja, aku biarkan pemilik kedai itu mulakan kerja penggondolan ikut suka.

Baiklah, sekarang aku boleh menyanyi lagu Rihanna.
*betulkan petak suara - Love The Way You Lie*

[Sumber gambar] - Aku pernah ada cita-cita untuk bagi rambut itu panjang begini. Heh.

Serta, dalam menjalani kehidupan yang berantakan, aku bersyukur dan sangat berterima kasih dengan kehadiran seorang teman yang mampu berfikir secara rasional dan logikal untuk aku yang mungkin nampak macam boleh hadapi semua benda seorang diri, tapi sedikit terbawa dengan emosi. Ah, aku masih perempuan lagi, walaupun aku seringkali nafikan naluri itu. Naluri tidak mahu terbawa dengan masalah dan mengakibatkan emosi makan diri aku kembali. Ya, aku tak suka perkara sedemikian berlaku tetapi kadangkala (tidak semua keadaan) - yang membuatkan aku mahu sahaja meletakkan emosi dalam keputusan supaya bila keadaan reda, aku akan punya tempat untuk menyalahkan. Gagal, aku gagal sebab aku tidak pernah mahu keadaan itu berlaku. Jadi, aku lebih berusaha untuk memujuk diri sendiri kalau apa yang aku mahukan tidak menjadi.

Ya.
Ada sahabat.
Sahabat yang buat aku berfikir, apakah tindakan yang aku ambil rasional ataupun logikal ataupun mengikut kepuasan nafsu aku sendiri. Emosi, memang aku emosi bila keinginan aku tidak dapat aku penuhi sendiri. Sesuatu yang aku benci apabila aku tak mampu untuk buat diri sendiri gembira tanpa perlu menjahit luka dan duka yang dalam hingga buatkan aku seperti mayat bernyawa. Aneh perumpamaan, aneh lagi kesan yang tinggal dalam jiwa. Senyuman penuh pura, gerak geri penuh drama dan akhirnya, aku yang sakit, makan diri sendirian. Tapi, sesuatu membawa jiwa aku hidup kembali. Nafsu membaca aku membuak lebih tinggi dan tenaga aku berlebihan dengan kehadiran penjana kegembiraan palsu tetapi merangsang hormon adrenalin. Heh. 

Apa yang membezakan aku dengan penagih alkohol atau dadah bila mereka murung?
Aku ambil kopi dan mereka ambil bahan terlarang.
Mungkin itu sesuatu yang membezakan, menjadikan tindakan aku sedikit mulia.
Tapi masih menggunakan medium lain untuk gembira.
Macam celaka bila difikirkan aku boleh terlentang minum kopi berlebihan.
Heh.

Dan aku masih dalam perjalanan mencari sesuatu dalam hidup.
Langkah akan terhenti suatu hari nanti.
Tapi harapan tidak akan sama sekali.

Nota Kaki :
Hidup ini bukan satu perjudian.

Zara : Ini hidup aku. Hidup yang kau tidak akan mahu tahu, mungkin.

Wednesday, February 15, 2012

Lelaki #02 : Bapa Mahu Menantu Lulusan Setaraf




Dalam "Lelaki #01" - kita telah membicarakan mengenai lelaki yang sedang mencari pasangan yang sekufu dari segi pekerjaan ataupun mungkin juga kewangan. Seperti yang aku nyatakan di dalam tulisan tersebut, itu hak lelaki tersebut untuk memilih pasangan hidup dia. Aku cuma berkongsi dan sedikit mengulas mengenai syarat yang dia kenakan untuk mencari pasangan hidup dia. Sebagai seorang yang mengikuti perkembangan dia, selepas apa yang kawan aku ceritakan, aku jujurnya memahami juga kalau orang tidak mahukan bakal isteri mereka seorang guru atau pensyarah. Selera manusia kan lain-lain?

Jadi, selepas menulis "Lelaki #01" - tidak aku sangka pula ada ramai juga pembaca lelaki Dunia Sebelah Zara. Ingatkan perempuan sahaja yang baca blog yang tidak seberapa ini. Sebab mungkin bahasa yang agak melankolik dan juga sedikit berunsur sastera (bak kata pembaca, gaya Zara!) - aku fikir hanya sesetengah sahaja yang akan meminjamkan mata mereka menjengah blog ini. Alhamdulillah, ada juga pembaca yang sudi berkongsi cerita mereka dengan aku. 

http://farm3.staticflickr.com/2368/2933376975_2779baf2fb.jpg
[Sumber gambar]

Aku dihubungi oleh seorang kawan. Perkenalan kami unik sebenarnya. Melalui alam maya, dan sudah melebihi dua tahun. Berkawan atas kawan atas kawan, tapi kelakarnya, kawan aku pun entah di mana, dia yang tinggal di sisi aku dan saling bertukar cerita. Sudah lebih setahun memulakan alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian di luar negara dan kini bertugas sebagai seorang yang boleh dikatakan mempunyai jawatan tinggi, setaraf dengan kelulusan yang didapati dengan bersusah payah.

M : Zara, saya ada baca blog awak.
Aku : Yang mana?
M : Pasal lelaki tu.
Aku : Oh, terima kasih.
M : Tulis pasal saya pula.
Aku : Tulis apa?
M : Awak kan tahu yang saya masih bujang lagi kan?
Aku : Tahu. Kenapa? Nak suruh buat iklan cari jodoh ke? Saya kenakan harga tinggi.
M : Choi! Bukanlah.
Aku : (ketawa) Habis tu nak apa?
M : Saya ada suka orang sama jabatan, menarik jugalah perempuan tu.
Aku : Dan?
M : Saya ada cakaplah dengan keluarga bila mereka tanya saya.
Aku : Dan?
M : Bapa saya kata tak nak. Dia nak bakal menantu dia lulusan luar negara juga, macam saya.
Aku : Oh, bapa awak yang nak?
M : Sebab dia kata, nanti tak adalah orang yang macam mengata saya ke apa ke. Tapi, saya tak peduli tu semua. Apa sangat lulusan luar negara, sama je macam orang lain. Yang penting ada kerja, budi pekerti baik ke kan.
Aku : Itu mungkin ada benarnya.
M : Bapa kata takkan saya tiada kawan perempuan masa belajar. Masalahnya, kawan sekelas saya bukan ada perempuan Melayu. Kebanyakan budak negara lain dan mereka kawan sekuliah, sekelas. Tak pernah pula belajar 4 tahun bersama dan saya rasa suka. Kawan saya kan semua lelaki.
Aku : Saya ingat lagi awak dituduh homoseksual sebab tu.
M : (ketawa) Tapi saya tak. Saya suka lagi perempuan.
Aku : Perempuan pejabat awak tu lulusan apa?
M : Universiti Malaysia je. Tapi jawatan lebih kurang sama la. Oh, saya lagi tinggi, tapi bagus apa lelaki lagi baik dari perempuan kan?
Aku : Mungkinlah. 
M : Saya geram sangat. Kenapa mesti nak tengok lulusan mana?
Aku : Cakaplah dengan bapa awak elok-elok.
M : Dah cakap. Bukan dia nak dengar.
Aku : Pujuk baik-baik.
M : Dia keras kepala. 
Aku : Sama macam awak.
M : Sekurang-kurangnya saya nampak apa saya nak adalah berlandaskan agama, bukan setakat tengok sijil belajar yang entah-entah boleh dibeli tu.
Aku : Apa kata awak suruh perempuan pejabat awak beli ijazah atas talian luar negara?
M : Sewel Zara.
Aku : Lulusan luar negara juga jadinya nanti kan?
M : (ketawa) Pandai otak nak buat jahat.
Aku : Kadangkala perlu.

http://farm1.staticflickr.com/98/249845749_2b73f27b92.jpg
[Sumber gambar] - Bukan kawan aku.
Pada aku, si bapa mungkin punya alasan tersendiri. Alasan yang mungkin kita sendiri tidak akan faham kenapa dia meletakkan syarat untuk mempunyai menantu graduan luar negara juga. Mungkin juga mahu setaraf dengan si anak agar masyarakat tidak mengecam atau mengata, tetapi, apa yang ada pada nilai sijil sebenarnya? Adakah perlu diletakkan di dalam dulang hantaran dan menutup masyarakat yang tidak bertapis mulut sampai bila-bila?

Nota Kaki :
Kali pertama sakit sampai tidak boleh berdiri.

Zara : Jodoh itu suatu rahsia yang kita sendiri tidak akan mengerti. (Shafaza Zara, 15 februari 2012)


Monday, February 13, 2012

Lelaki #01 : Tak Nak Isteri Cikgu




Bila aku menulis tentang pelbagai isu ataupun dilema yang dihadapi oleh perempuan, ada pula yang pembaca lelaki yang bertanya, kenapa tak ada tentang lelaki. Ehem, aku kan biasanya tulis sesuatu secara umum, boleh sahaja diguna pakai oleh kedua-dua jantina. Mana ada bezakan sangat kan? Dan sebenarnya, apa yang aku tulis selama ini, ada sahaja tentang lelaki, mungkin sebab aku tak dedahkan jantina, maka ada yang tidak sedar. Tapi tidak mengapa.

*betulkan selendang*
Sejak bila aku pandai bezakan lelaki dan perempuan ni? Walaupun kadangkala alter-ego menjelma tatkala berkicau, aku masih layan dua-dua jantina serupa kan? Sampai hati betul kata aku bezakan, padahal orang selalu tak boleh bezakan jantina aku tahu?

http://farm6.staticflickr.com/5011/5471342717_806957f8c1.jpg
[Sumber gambar]

Kebetulan ada seorang rakan datang kepada aku, membawakan satu amanat yang diberikan kepada dia oleh rakan sekerja. Bila dia sebutkan permintaan kawan dia itu, aku terus ketawa. Ketawa dalam erti kata, bagaimana aku mahu menolong dia, bila kawannya buat permintaan yang agak menyukarkan diri mahu menolong. Nak tolong, tapi banyak betul syarat yang dikemukakan. Heh.

Kawan : Nak minta tolong.
Aku : Tolong apa?
Kawan : Ada kawan aku nak cari isteri.
Aku : Menarik.
Kawan : Aku tak tahu nak cakap dengan siapa, cakap dengan kau mungkin membantu.
Aku : Baik, aku dengar.
Kawan : Aku nak tolong pun tak tahu sebab tempat kerja aku mana ada perempuan. Kalau ada perempuan pun, dah kahwin. 
Aku : Teruskan.
Kawan : Tambahan, aku sendiri belum ada calon isteri. Dari aku cari untuk dia, baik aku carikan untuk diri sendiri.
Aku : Jadi kau nak suruh aku tolong carikan untuk kawan kau ni?
Kawan : Kalau kau ada kenal sesiapa yang nak, tolonglah.
Aku : Ada syarat ke?
Kawan : Tak ada pula. Dia ni kerja bagus. Jurutera, gaji empat angka, dah kerja 4 tahun, lulusan ijazah, muka pun boleh tahan kacak.
Aku : Ada gambar? Nak tengok.
Kawan : Sekejap aku tunjuk. (hulur telefon)
Aku : Boleh tahan pun nak suruh orang carikan. Serius tak ada syarat? Nanti ada syarat tiba-tiba, menyusahkan, serta memalukan kita nanti weh.
Kawan : Sekejap aku telefon dia.
Aku : Baiklah.
.
.
.
[menunggu]
.
.
.
Kawan : Baik, dah tanya. Ada syarat rupanya.
Aku : Apa dia?
Kawan : Dia tak nak cikgu atau pensyarah. Nak doktor atau jurutera sahaja.
Aku : (ketawa) Kali pertama aku dengar lelaki tak nak orang dalam bidang pendidikan.
Kawan : Dia kata sebab banyak sangat saudara mara dia kahwin dengan cikgu atau pensyarah, dia tak nak sama dengan mereka.
Aku : Itu menarik.
Kawan : Dan dia kata, sebab doktor atau jurutera sesuai dengan dia. Sebab gaji tak jauh beza, berbanding dengan cikgu atau pensyarah. Lagi satu kata dia setaraf. Cikgu atau pensyarah mungkin tak setaraf dengan dia.
Aku : Itu lagi menarik untuk didengar dan dibahan.
Kawan : Lagi satu dia kata cikgu atau pensyarah banyak sangat jumpa orang, nanti tak ada masa di rumah. Pergi kursus, mesyuarat, dan macam-macam aktiviti, payah.
Aku : Pelik betul budak tu.
Kawan : Dia tak nak cikgu, kau boleh tolong ke tak?
Aku : Beritahu dia, kebanyakan kawan aku yang ambil bahagian jurutera tak kerja jadi jurutera. Jadi pensyarah ataupun masuk bidang lain. Doktor pula biasanya kahwin dengan doktor juga.
Kawan : Dah dia nak jurutera atau doktor sahaja.
Aku : (ketawa) Aku harap kalau dia dapat isteri nanti, jangan isteri dia berhenti kerja jurutera atau doktor dan pilih untuk jadi cikgu atau pensyarah. Baru padan muka dia. 
Kawan : Dah tu memang tak boleh tolong?
Aku : Nanti aku tengokkan kalau ada.
Kawan : Tengokkan kalau ada sekali untuk aku.
Aku : Kau kes lain, lagi payah.
Kawan : Bolehlah. Kenalan kau lagi ramai.
Aku : Nantilah.


http://farm6.staticflickr.com/5177/5520244154_4b8d9163ab.jpg
[Sumber gambar]

Aku jujurnya ketawa bila dengar lelaki tidak mahu bakal isteri seorang guru atau pensyarah. Tidak, bukan aku kata kerjaya aku bagus sangat. Tidaklah, walaupun aku pernah menulis tentang "Kenapa Lelaki Patut Segera Meminang Seorang Guru?" sebelum ini. Aku cuma rasa sebab musabab yang dia senaraikan agak kurang menyenangkan. Ke aku sahaja yang rasa begitu?

Entahlah.

  • Sebab banyak sangat saudara mara dia kahwin dengan cikgu atau pensyarah, dia tak nak sama dengan mereka. - Baiklah. Sebab tak nak sama dengan orang lain. Senang kata sebab nak istimewa berbanding saudara mara dan sepupu sepapat yang mempunyai pasangan yang bekerja sebagai cikgu atau pensyarah. Oh, kita masih dalam permainan bezakan pasangan yang saudara mara kita kahwini atau nikahi. Serupa budak kecil yang tak boleh sama pakaian dengan budak lain yang sebaya. Tak mengapa. Alasan peribadi.

  • Sebab gaji tak jauh beza, berbanding dengan cikgu atau pensyarah. - Ini isu sensitif bagi sesetengah orang. Bab duit memang tak boleh buat main dengan sesiapa. Tanyalah orang yang dah bekerja, bab duit, soal gaji memang sesuatu yang kurang menyenangkan. Lebih-lebih lagi bila orang bandingkan dua kerjaya yang langsung tidak sama. Nak bandingkan gaji jurutera dengan cikgu atau pensyarah, memanglah jauh beza. Lebih-lebih lagi kalau kau kerja dengan kilang-kilang yang hebat sebagai contohnya, mestilah gaji kau lebat. Sifir yang mudah.

  • Lagi satu kata dia setaraf. Cikgu atau pensyarah mungkin tak setaraf dengan dia. - Mungkin betul juga ini. Nanti kalau orang tanya dia, mungkin dia akan segan nak sebut nama pekerjaan isteri dia kan? Bunyi nama kerjaya aku, sebagai contoh - "cikgu" atau pun pensyarah (yang dianggap cikgu juga). Berbanding kalau sebut kerja doktor atau jurutera, bunyinya agak gah kan? Baru boleh bangga nak sebut dengan kuat dan lantang. Heh. Tapi untung juga sebenarnya bila lelaki begini dah tetapkan yang dia tak nak isteri yang tidak setaraf dengan dia. Mungkin dia nak melindungi wanita yang bakal dikahwini daripada diejek atau dicerca oleh kalum keluarga dia, agaknya.

  • Cikgu atau pensyarah banyak sangat jumpa orang, nanti tak ada masa di rumah. Pergi kursus, mesyuarat, dan macam-macam aktiviti, payah. - Tak tahu pula aku yang cikgu atau pensyarah asyik kursus dan mesyuarat tanpa henti. Setakat dalam pengetahuan aku, mengikut pemerhatian kerjaya sendiri, kawan-kawan, kenalan dan sebagainya, benda ini berjadual. Kalau ada dan perlu, baru perlu dihadiri. Kalau kita terlibat, baru hadiri. tak pernah dengar pula orang ada mesyuarat sepanjang tahun. Sekejap, kerja sebagai jurutera atau doktor tak payah jumpa orang ke? Bukankah pelanggan, pembekal, kontraktor dan sebagainya itu manusia? Pesakit, jururawat, pelawat dan sebagainya itu juga manusia bukan? Doktor dan jurutera tidak ada mesyuarat atau kursus (atau seminar, simposium, bengkel) ke? Rasa macam ada je kawan aku beritahu hari tu.

Macam aku katakan tadi. Hak dia lah kan bagaimana mahu memilih bakal isteri. Dah itu syarat yang dia tetapkan, dan mungkin dia akan rasa bahagia begitu. Terpulanglah pada dia. Nanti sahaja aku tengok dalam senarai aku, kalau ada rakan yang boleh dikenalkan. Kalau tidak, terpaksalah kawan aku cari kawan dia yang lain untuk membantu rakan dia yang tidak mahu beristerikan seorang guru atau pensyarah. Kami di lapangan pendidikan dan bekerja sebagai tenaga pengajar ini, bukanlah apa sangat kan?

Heh.

Nota Kaki :
Selamat datang ahli keluarga baru aku yang bernama Idraki Iftiqar. Selepas Sean, Adam Awraq, Iman Kenzo, Altamis, aku sudah ada bayi baru tiba. Indah rasa dunia. 

Zara : Kadangkala kegembiraan dan kebahagiaan itu perlu dibeli bila kita tidak dapat secara asli daripada tempat yang kita rasa kita mampu mengecap bahagia. Kita bayar dengan harga yang mahal sekalipun, kita masih mampu tersenyum kerana bahagia dan gembira itu jadi milik kita. (Shafaza Zara Syed Yusof, 13 Februari 2012)


Friday, February 10, 2012

Pasangan Anda Menipu : Apa Perlu Dilakukan?




Cuaca panas.
Kering dan sangat garing.

Membaca sampai mata berair - bukan sebab menangis, tapi sebab panas melampau. Rasa macam di Madinah suatu ketika dulu. Paling jauh pun setakat ini adalah Mekah, Madinah, dan kawasan-kawasan persinggahan seperti Abu Dhabi, Bahrain, Oman - jadi nak kata cuaca panas macam negara empat musim, jauh sekali. Tapi cuaca memang panas sekarang ini, sebab manusia semakin ramai, taupun benda-benda berkaitan alam sekitar, entah, aku tidak ambil peduli. Yang aku tahu, cuaca panas, aku perlukan banyak air minuman dan latihan sukan harus diteruskan. Noktah.

http://farm4.staticflickr.com/3133/2703793116_a7e65bcb5b.jpg
[Sumber gambar]

Sebelum meneruskan apa yang mahu dibincangkan, mari kita senaraikan contoh-contoh penipuan yang biasanya berlaku dalam hubungan, tidak kira pasangan bercinta, bertunang, berkahwin, hatta sudah bercerai berai. Alangkah dengan kawan-kawan pun boleh menipu, apatah lagi dengan pasangan yang sudah dipercayai sepenuh hati, separuh mati, sesuku duniawi. Eh. 

  • Ada lelaki atau perempuan lain. Lebih mengerikan jika sama jantina dengan dia.
  • Menipu untuk keseronokkan.
  • Pasang lain di belakang.
  • Berpoya-poya.
  • Ada masa lapang, tapi sengaja kata sibuk.
  • (dan banyak lagi)

Jadi, apa yang perlu dilakukan jika perkara sedemikian berlaku pada kita, atau kawan baik atau sesiapa sahaja yang mengalami masalah begini? Ditipu, dikhianati, ditikam dari belakang adalah antara benda yang paling menyakitkan dalam perhubungan. Tanyalah sesiapa, ada di antara mereka yang boleh membiarkan diri ditipu, dibohongi dan mampu ketawa lagi?

Aku kenal seorang yang begitu, tapi itu adalah kes yang terpencil. Mungkin dia gila, mungkin dia terlampau kebal atau entah apa lagi, tapi dikhianati, ditipu oleh orang yang dia cintai dan berikan kepercayaan, dia tidak ada air mata. Kali pertama dia kena, dia menangis selama lima minit dan selepas itu dia teruskan hidup seperti biasa. Bila kena lagi dan lagi, dia hanya ketawa sahaja. Termenung memikirkan justifikasi apa yang dia perlukan dalam hidup dan kini dia teruskan hidup tanpa sebarang rasa. Yang dia tahu, ketawa sahaja. Sebab pada dia, konsep karma itu berlaku. Benda akan berulang, dan kalau tidak di dunia, di akhirat pasti akan tiba. Jadi dia memilih untuk hidup dan gembira.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan apabila pasangan kita disyaki atau terbukti telah menipu. Benda ini adalah cadangan berdasarkan situasi dan jika ia sesuatu yang anda tidak gembira selepas membacanya, aku mohon sila redha ataupun boleh sahaja berikan ulasan dan beritahu mengapa. Oh ya, cadangan ataupun kenyataan yang diberikan adalah pendapat peribadi aku sendiri.

Siasat kebenaran penipuan tersebut.
Sesuatu yang ajaibnya antara pasangan yang mempunyai ikatan hati, perasaan cinta - deria keenam kita akan berfungsi dengan baik dan bukan dengan membuta tuli seperti orang gila. Kadangkala gerak hati, deria itu akan tidak tenang dan kita boleh siasat, apa yang menyebabkan perkara itu berlaku. Tidak salah, diulangi TIDAK SALAH untuk kita menyiasat benda sedemikian dalam senyap-senyap, mengintip atau apa sahaja demi memastikan kebenaran. 

Tetapi, perlu diingatkan bahawa, janganlah sampai memakan diri. Buat dengan mengikut akal fikiran dan jangan nafsu amarah semata-mata. Kadangkala gerak hati boleh menipu juga bila otak kita sering berfikiran negatif dan mencurigai pasangan tidak tentu hala. Jadi, carilah kebenaran yang diperlukan. Jika ia terbukti benar, barulah fikirkan langkah seterusnya.

http://farm4.staticflickr.com/3102/3184120329_a48f719410.jpg
[Sumber gambar]

Apa perlu dilakukan dan kebenarannya, hati anda sudah dibohongi, dikhianati, ditikam dari belakang, dilanggar hingga remuk dan apa sahaja istilah yang biasa digunakan dalam menggambarkan sekeping hati itu dihiris dengan belati dan pecah bagai terhempas ke lantai dan sebagainya?

1. Tanya dengan baik atau berhemah dengan pasangan anda.
Benda ini sejujurnya adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Tanya dengan baik, selidik dengan dia sendiri. Dalam masa yang sama, sila kawal kemarahan dengan baik, sila kawal rasa geram dan segala perasaan kurang enak itu buat seketika. Cuba bertanya dengan dia, apa yang berlaku, dan selesaikan perkara tersebut dengan cepat. Sebab bila diselesaikan dengan cepat, hati kau sendiri akan rasa tenang, rasa terkawal semula bukan?

Tapi bagaimana jika si dia tetap menipu?
Ini adalah taktik dan teknik yang harus kau pelajari. Cara kau bertanya, cara dia menjawab - lebih baik kalau dia berhadapan dengan kau, jadi kau boleh perhatikan gerak geri, riak wajah dan banyak lagi ciri-ciri manusia yang sedang menipu. Ketahuilah, muka orang yang sedang menipu, cara dia bercakap semuanya akan dipengaruhi oleh faktor dia mengawal diri (sangat). Dan, disinilah pentingnya kenapa kau perlu siasat pada awalnya. Sebab kau sudah ada bukti. Gunakanlah bukti tersebut bila dia asyik berdalih dan menukar fakta.

2. Berdiam diri bagaikan tidak berlaku apa-apa.
Ini memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosi yang sangat tinggi. Kau nampak apa yang berlaku, kau tahu sesuatu yang buruk, yang sadis terjadi, tapi kau diamkan diri dan tutup mata kau sendiri. Kau sakit sendirian, tapi kau pujuk hati telan dan hadam segala kesakitan bagaikan tiada apa yang kau dengar, kau lihat atau kau baca. Kau memilih untuk teruskan hidup seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku.

Kau pendamkan rahsia kecurangan dia daripada pengetahuan kawan baik, keluarga dan sesiapa sahaja disekeliling kau termasuk daripada pasangan kau disebabkan kau ambil keputusan untuk selesaikan masalah tersebut dengan cara kau sendiri, tanpa pengetahuan sesiapa. Ini adalah sesuatu yang sangat berisiko disebabkan kita sendiri mungkin tidak tahu, sejauh mana hati kita mampu bertahan dengan beban yang kita tanggung. Sebagai contoh, pasangan kau punya orang baru, bagaimana kau mampu menyaksikan kecurangan dia, tanpa kau berkata apa-apa?

Kalau kau mampu, aku berikan tabik hormat penuh tinggi dengan manusia sebegini.
Oh, situasi itu tidak boleh digunakan (mungkin) dalam situasi orang berkahwin lebih daripada satu. Sebab terang-terangan, dia sudah punya ikatan yang sah, tetapi kalau ada perempuan/lelaki simpanan tanpa ikatan, itu sesuatu yang boleh dianggap sangat tabah jika mampu berdiam diri sahaja.

3. Bercakap dengan orang yang kau percayai/pakar.
Setiap daripada kita pastinya ada seseorang yang kita percayai untuk berkongsi rahsia, berkongsi cerita selain daripada pasangan kita sendiri. Kawan, keluarga, hatta manusia yang kita tidak pernah jumpa sekalipun, tetapi atas faktor selesa, kita mampu berkongsi segala perasaan dengan dia dalam mencari jalan penyelesaian dalam masalah yang menghimpit.

Dalam situasi begini, orang yang kita minta khidmat nasihat, seharusnya orang yang bersikap neutral dan tiada prejudis ataupun pandangan yang berat sebelah dalam memberikan pandangan dia. Ini disebabkan jika ia hanya berpaksikan satu pihak sahaja tanpa justifikasi yang sesuai dan berkaitan serta dipengaruhi emosi semata-mata, apa yang dicadangkan mungkin hanya akan membawa binasa. Maka, pilihlah mereka yang mampu menolong kau bila keadaan begini tanpa sikap yang dinyatakan sebentar tadi.

4. Berikan peluang (entah untuk kali ke berapa)
Selepas kau melalui 3 perkara di atas, kau mungkin berpuas hati dengan keputusan yang kau sendiri buat setelah berfikir dengan sebaiknya. Sebolehnya, ia difikir menggunakan akal serta gerak hati dan bukan otak semata-mata. Sebab otak boleh menipu bila keadaan terdesak dan kita terlampau tertekan. Pastinya, keputusan tersebut juga sudah didahulukan dengan solat sunat, doa dan sebagainya. Bukan membabi-buta dan semata-mata kerana cinta.

Memberikan seseorang peluang untuk berubah itu baik. Macam kita biasa dengar, Nabi pun ampunkan umatnya. Tetapi ada beberapa keadaan, benda begitu tidak boleh digunakan. Aku percaya, setiap daripada kita mampu memaafkan, tetapi melupakan itu agak sukar dilakukan. Bukan disebabkan dendam atau apa (moga dijauhkan sifat dendam), tetapi lebih kepada sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati di masa akan datang, sentiasa berhaga-jaga kerana manusia suka sangat untuk kembali kepada kegiatan lama yang mereka suka.

Jadi, bagaimana lepas berikan peluang tapi terus dibohongi?
Fakta kelima (dan terakhir) di bawah ini adalah jalan terakhir yang selalu dipilih oleh setiap pasangan yang dilanda masalah.

5. Tinggalkan pasangan kau.
Normal.
Benda biasa.

Ini yang sangat biasa, tipikal yang dilakukan oleh manusia apabila mereka dikhianati, mereka ditipu dan sebagainya. Mereka akan meninggalkan penipu tersebut dan mula merancang untuk memulakan hidup baru dengan harapan yang lebih cemerlang. Boleh, tidak ada salahnya kalau kau mahu buat begitu, tetapi ini bukanlah satu langkah yang mudah. Cakap mahu tinggalkan seseorang memang mudah, senang, tapi mampukah kau tinggalkan manusia yang kau cinta begitu sahaja tanpa ada sedikit pun rasa sedih dan kecewa?

Ada di antara kita mampu melangkah pergi, dan teruskan hidup seperti tidak ada apa yang berlaku. Bukan disebabkan mereka tidak cinta tetapi lebih kepada penipuan itu terlampau perit untuk diingati ataupun dimaafkan sehingga membuatkan mereka tidak berpatah balik langsung kepada pasangan yang boleh dianggap telah mencemarkan hati mereka. Ini semua terpulang kepada individu itu sendiri. Kalau mahu bina hidup baru, tinggalkan segala kenangan buruk dan hargai kenangan manis juga boleh.

Ikut suka kalian buat apa yang mampu buat diri gembira.
Sebab hidup kalian, kalian yang tentukan.

Allah sentiasa ada untuk kita.
Cuma mungkin kita yang tidak sentiasa ada untuk Allah.

Nota Kaki :
Kenapa tidak pernah buat keputusan yang menggembirakan hati sendiri, kenapa tidak pernah berikan ruang pada diri untuk bahagia atas pilihan sendiri? Itu soalan yang perlu kau jawab bila kau hadapi situasi yang merumitkan.

Zara : Kadangkala kita terpaksa melepaskan sesuatu yang baik bagi diri kita, untuk sesuatu yang lebih bagus sebenarnya dalam hidup kita. Kita tidak pernah tahu rahsia Tuhan kan? (Shafaza Zara, 10 Februari 2012)

Thursday, February 09, 2012

Barista Cinta : Kopi - Antologi Cerpen Fixi




Salam semua.
Lama tidak mencoret sesuatu di laman peribadi sendiri ini. Kekangan waktu dan tatkala mengatur semula kehidupan yang berantakan. Ah, benda bersifat peribadi janggal sekali mahu dikongsi untuk tatapan umum sementelahan banyak mata yang membaca dan ada juga mereka daripada kalangan yang dikenali. Perit dalam erti kata tidak mampu meluahkan perasaan, tetapi abaikan sahaja kerana bagaimana mahu beraksi jika lakonan dihidu kurang memberangsangkan?

Aneh sahaja kalau gerak tidak selari dengan cara pembawakan diri.
Kontang akal fikiran dalam memberikan sesuatu yang bermakna buat hati.
Namun, sama sekali aku tahu aku tidak pernah sendiri.
Kehidupan ini tidak terlampau kejam bila kita kenal diri.
Ah, aneh-aneh sahaja penulisan aku kali ini.

http://farm8.staticflickr.com/7171/6843182943_c8b9220435.jpg
[Flickr : Tekan untuk bacaan lebih jelas]

Seperti yang kamu semua dapat lihat dalam paparan di atas, itu adalah muka pertama tulisan aku untuk antologi cerpen yang bakal dilancarkan oleh Fixi dalam bulan Mac nanti. Merupakan cerpen ke sebelas daripada sembilan belas buah cerpen lain, yang ditulis oleh sembilan belas penulis lain. Antologi cerpen yang bertajuk KOPI ini boleh dilihat di laman Mukabuku yang disediakan. [pautan]

Jujurnya, mendapat peluang menulis untuk Fixi adalah satu peluang berharga walaupun mungkin akan ada suara sumbang yang menyatakan ia cuma sekadar cerpen. Tapi bagi aku, itu adalah satu tangga lagi yang aku daki selepas Kitab Terfaktab #1 dan Hero. Sebagai penulis blog, aku cuma seorang amatur dalam penulisan. Aku tulis mengikut kata hati aku, mengikut apa aku suka tanpa ada latihan secara bersijil. Tapi, pengalaman itu banyak membantu kita dalam hidup bukan?

Itu salah satu yang aku suka sebenarnya.

Jadi, tentang Barista Cinta.
Itu salah satu tulisan aku yang mungkin kalian akan lihat terdapat perbezaan dengan cara aku menulis di Kitab Terfaktab ataupun Hero. Pastinya dengan mengangkat Kopi sebagai tema dalam penulisan, ia sedikit sebanyak merangsang adrenalin penggemar kopi (lebih tepat lagi penagih tegar kafein!) macam aku dalam menulis. Usah ditanya berapa banyak aku sedut dan hirup kafein dalam melunaskan penulisan ini. Itu adalah rahsia.

Diam.
Aku sedang minum Kopi lagi.

Nota Kaki :
Jari bengkak akibat terhentak meja dalam keadaan tidak mampu mengawal amarah.
Celaka badan.

Zara : Bergerak ke hadapan? Tinggalkan benda yang menyakitkan jiwa? Kau sedang bercakap mengenai aku dan perhubungan kah? Itu benda mudah. Benda yang sangat mudah bila kau ada sebab yang sangat kukuh untuk melunaskannya. (Shafaza Zara, 9 Februari 2012)


Monday, February 06, 2012

Itu Adalah Satu Kekuatan Rahsia.





"Semuanya baik?"
"Semuanya baik sahaja"

"Kau dengan aku nak tipu?"
"Mana ada aku tipu?"

"Kau tengah sedih."
"Mungkin aku sedih, tapi semuanya baik sahaja"

"Kau menangis?"
"Tak"

"Tipu. Kau menangis punya"
"Buat apa aku tipu. Kau lebih kenal aku"

"Ye ke kau ni?"
"Aku berani sumpahlah"

"Baik, aku percaya cakap kau"
"Tapi jangan kau buat aku menangis pula"


Dalam hidup, apa sahaja yang berlaku pastinya ada sesuatu yang tersembunyi cerita yang kita sendiri tidak pasti bagaimana pengakhirannya. Benda yang kita pertahankan, sembunyikan mampu terkeluar segala cerita tanpa kita sedari apabila langkah kita menjadi pincang. Kadangkala dalam hidup, ada satu ketika kita terpaksa mendengar kata hati dan menutup perasaan yang selama ini kita pupuk, kita semai disebabkan apa yang berlaku tiada penawar kesakitannya.

Ada yang menganggap benda sedemikian adalah bodoh. Bodoh dalam erti kata mengikut kata hati, percayakan hati berbanding dengan rasional akal, perkara yang sudah terhidang di hadapan mata. Tetapi, sesiapa yang mengalami perkara begitu sebenarnya tersepit dalam suatu keadaan berbeza dengan semua orang. Setiap daripada kita tidak serupa. Mungkin dengan mengikut hati, kita akan menemui kebahagiaan dan menolak rasional mampu mengundang kecelakaan. Ya, setiap daripada kita ada alasan berbeza bagi setiap perbuatan yang kita lakukan. Itu sesuatu yang tidak dapat disangkal.

http://farm4.staticflickr.com/3638/3561162335_8f0c5529d8.jpg
[Sumber gambar]

Setiap orang adalah pelakon di atas dunia ini. Sama ada mereka pelakon yang baik ataupun tidak, ia mungkin bergantung kepada watak apa yang mereka sedang lakonkan. Watak yang mungkin mereka sukai ataupun mereka pilih sendiri atau yang mereka terpaksa lakonkan atas desakan peribadi. Tapi, dalam hal ini, setiap manusia itu mampu memilih untuk bersikap telus dalam lakonan mereka. Telus dalam erti kata, jika ia sebuah lakonan semata-mata, mereka mampu untuk beritahu sama ada itu adalah sekadar mainan ataupun perkara rahsia. Seperti yang kita tahu, semua manusia itu tidak sama walaupun mereka berkongsi banyak benda bersama.

Seperti hukum Newton, setiap benda ada lawan masing-masing.
Jika hari ini kita menangis, siapa tahu suatu hari nanti kita akan ketawa?
Jika hari ini kita kesepian, siapa tahu suatu hari nanti hidup kita akan terisi?
Jika hari ini kita penuh dengan kemarahan, siapa tahu nanti hati kita akan sejuk sendiri?
Jika hari ini kita diuji tanpa henti, siapa tahu suatu hari nanti kita nampak hikmah tersembunyi?

Kita tidak akan pernah tahu apa yang akan terjadi pada saat berikutnya. Dan aku percaya, setiap daripada kita kalau boleh, tidak mahu tahu apa yang akan terjadi pada saat berikutnya. Mungkin ada yang mahu, tetapi pada aku, biarlah aku lalui segalanya tanpa perlu mengetahui apa akan terjadi pada masa seterusnya. Supaya apa yang aku sedang lakukan, dapat dibuat sebaik mungkin tanpa aku perlu ragui apa yang aku sudah buat. Bunyinya kedengaran agak bodoh, tetapi aku mungkin manusia yang tidak perlukan mesin masa ke hadapan. Masa hadapan adalah sesuatu yang aku tidak mahu lihat. 

http://farm4.staticflickr.com/3553/3765602310_aaef557074.jpg
[Sumber gambar]

Kesakitan hari ini untuk pengajaran pada masa akan datang.
Kesakitan lalu adalah pengubat untuk kesakitan pada waktu sekarang.
Detik waktu penyembuhan di antara dua sela masa adalah sesuatu yang tiada galang.

Ujian memang sentiasa akan datang.
Tetapi bagaimana kita hadapinya, adalah benda yang kita terpaksa rancang.

Ia bukan perkara yang senang.
Ia bukan perkara yang boleh dipandang.
Ia bukan perkara yang dianggap senang lenang.
Ia bukan perkara yang diuruskan sewenang.
Ia bukan perkara yang kau dapat tidur di awangan.

Ujian memang sentiasa ada.
Adakah kau mampu tempuhi segala?
Pekakkan telinga?
Tutupkan mata?
Diamkan mulut dari bicara?
Tahan air masin mengalir dari tubir mata?

Itu adalah satu kekuatan rahsia.
Itu adalah satu kekuatan yang mungkin kau tidak pernah sedar bagaimana.
Tapi itulah yang membentuk kau sebagai manusia.

Nota Kaki :
Sedang mendengarkan lagu yang kena dengan perasaan pada waktu ini. Oh, pilihan lagu Korea bukan bermaksud aku mengagungkan budaya KPop. Mohon jangan jelik sangat perangai boleh?


Zara : Dalam hidup, kita akan bertemu dengan dua jenis manusia. Manusia yang membentuk diri kita, menjulang kita ke atas dengan cara mereka dan juga manusia yang akan meruntuhkan kita ke bawah, merobek perasaan kita tanpa secebis kasihan. Tetapi percayalah, di akhir nanti, kita akan berterima kasih kepada kedua-duanya.

Saturday, February 04, 2012

Ditipu Kali Kedua Dengan Orang Yang Sama.



Hidup ini unik.
Sangat unik.
Kadangkala, kita tidak mengerti bahawa jalinan takdir itu sungguh istimewa hingga membawa kita ke satu tahap yang kita tidak boleh cerna. Segalanya baik, segalanya bagus sahaja. Tetapi, di penghujungnya, ada cerita yang aneh dan pastinya kita tidak boleh panggung baris bicara dan sabda.

Kita percaya manusia.
Kita berikan peluang pada manusia untuk perbetulkan kesilapannya.
Kita redha dengan apa yang pernah berlaku walaupun tidak pernah keluar sebaris kata maaf darinya.
Tapi kita tetap terima, bagaikan tiada apa yang berlaku.
Bagaikan semuanya baik sahaja dan bahagia.
Kita hadam segala kecewa.
Kita telan segala sengsara.
Sampai kering jiwa.
Sampai kontang rasa.


http://farm6.staticflickr.com/5285/5276789931_40b0972588.jpg
[Sumber gambar]

Selamat kembali dunia lama.
Selamat kembali dunia tanpa warna.
Selamat kembali dunia yang hanya tahu bahawa segalanya bukan sia-sia.
Tapi ada pengajaran dan hikmah disebaliknya.

[tambahan]
Selamat datang dunia baru.
Selamat datang dunia tanpa haru biru.
Selamat datang dunia yang bakal membawa kegembiraan aku.

Diam.
Tiada tangisan.
Tiada raungan,
Yang ada hanya secebis senyuman.
Melihat penipuan.

Nota Kaki :
Percaya dengan apa yang dilihat dan dibaca. Apa yang dilihat dalam perbuatan manusia kadangkala anehnya boleh mengelabui pemikiran serta jiwa.

Zara : Hidup perlu diteruskan seperti biasa .

Wednesday, February 01, 2012

#WW18 : Ini Tarian Aku Sendiri




Dalam hidup, ada beberapa perkara yang aku takuti pernah muncul.
Aku tahu, ada yang secara harfiahnya akan muncul dan buatkan aku terhenti pada tahap yang aku sendiri mungkin tidak mampu untuk bersembunyi. Aku mamah kesakitan aku sendirian, tinggalkan alam realiti yang aku hadapi setiap hari dengan sedikit doa agar, di alam maya, tempat tiada siapa kenal manusia beku yang menjalani kehidupan penuh cabaran di luar sana, akan mampu menghela nafas lega.

Buat beberapa lama, tarian ini aku yang punya.
Aku larikan adrenalin gembira aku dengan menulis sesuatu buat tatapan semua.
Buat mereka yang mungkin berkongsi cerita yang sama.
Kerana aku tahu, manusia tidak pernah sendirian atas dunia.
Aku tidak kisah jika aku tidak punya pembaca berjuta.
Aku bukan mengejar gelaran untuk jadi terkenal, kerana aku bukan sesiapa.
Aku cuma mahu hidup dengan baik dalam dunia yang aku cipta.
Ya, Dunia Sebelah Zara.

Tapi, bila ada orang mula buka mulut tentang tempat yang aku sukai ini, aku rasa sedikit tercemar diri.
Tempat aku luahkan segala benda yang aku suka sudah tiada lagi.
Tempat aku berkongsi apa yang aku lalui.
Tempat perlindungan terakhir aku sudah dicerobohi.

Ini tarian aku sendiri.
Ini tarian janggal aku atas pentas peribadi.
Ini tarian yang aku lupakan segala kesakitan setiap hari.

Ini tempat yang kau sudah canang dan biarkan aku bertungkus lumus menjauhi mati.
Ini tempat yang kau sudah buka mulut dan cerita sesuka hati.
Dan aku terfikir mahu mengundur diri.
Supaya tiada istilah benci.
Ataupun sakit hati.

http://farm5.staticflickr.com/4093/4799457610_c202c3fe50.jpg
[Sumber gambar]

A : Awak ingat apa yang saya cakap sebelum ini?
Z : Apa dia?
A : Segala benda yang ada di Internet, akan jadi hak milik setiap orang.
Z : Dan sebab itu awak baca apa yang saya tulis?
A : Sebab benda itu ada dalam Internet.
Z : Sekejap. Kalau awak kata semua benda dalam Internet akan jadi hak milik setiap orang, saya boleh dijumpai di dalam Internet, adakah saya milik setiap orang juga?
A : Terpulang kalau awak rasa begitu.
Z : Awak rasa begitu juga?
A : Entah.
Z : Tak boleh!


Nota Kaki :
Terfikir untuk memperibadikan ruang tulisan aku buat masa ini. Entahlah. Ini bukan dasar penakut ataupun apa, tapi ruang selesa aku sudah mula terdedah. Tiada lagi tempat selamat untuk aku berlindung dan pakaikan topeng pada wajah bila terlampau penat melayan karenah dunia nyata.

Zara : Kadangkala, apa benda yang kita mahukan tidak akan tercapai. Kadangkala, tidak mengira betapa kita mahukan sesuatu, kita terpaksa lepaskan keinginan itu. Dan aku mungkin terpaksa melepaskan ruang istimewa dalam alam maya ini dengan duduk diam pada satu tahap yang aku sendiri pastinya tidak akan pernah rasa gembira lagi. (Shafaza Zara, 1 Februari 2012)