Thursday, March 03, 2016

Kerana Kita Semua Layak Gembira


Semua orang pernah jatuh. Merasa kegagalan dalam hidup.

Ada antara mereka yang terus terbenam dalam kegagalan. Terus menerus menyesali diri tanpa mahu berubah.

Tetapi, tak kurang juga yang bangkit dari rasa gagal. Cuba sedaya upaya untuk buktikan mereka mampu berjaya. Gagal sekali, bukan bermaksud dunia telah berakhir. Ada peluang untuk mengubah nasib kepada yang lebih baik.

Jadi, jangan terus menerus rasa kecewa. Jadikan ia pengajaran untuk lebih maju pada masa akan datang. Bukankah kita semua setuju bahawa kita semua layak untuk gembira?

Jadi, kejarlah bahagia.
Dengan usaha.
Dan juga doa.

03 Mac 2016 - Catatan 63/366 #hobonichi aku di @lordzara


Wednesday, February 10, 2016

Blog Hampir Mati.


Salam semua.
Selalunya aku berkongsi cerita di laman Instagram sahaja (@lordzara), jadi aku semakin lama semakin jarang masuk ke laman blog pula. Entah kenapa kanvas yang lebih besar dan menyenangkan ini aku semakin lupa. Terlalu mengikuti perkembangan semasa mungkin atau juga aku sudah punyai cinta baru yang lebih laju untuk aku kejar.

Kanak-kanak keliru dengan pilihan yang mereka ada. Orang dewasa juga begitu, kan?

Mungkin aku akan kembali menulis dengan perlahan semula. Membaca banyak benda kebelakangan ini membuatkan jiwa aku mati kerana hanya beberapa penulisan sahaja yang mampu buat aku rasa lega. Yang lainnya membuatkan aku terfikir, betapa dalam mengejar kemodenan, manusia jadi lapar rasa terkenal, lapar pengiktirafan menyebabkan mereka mempersembahkan sesuatu yang separuh masak kepada khalayak pembaca.