Sunday, April 29, 2012

Kitab Terfaktab - Nakal Tapi Halal


Kelahiran kedua.
Terbitan anak-anak muda.
Bagi menghasilkan pembacaan jiwa.
Bagi berkongsi rahsia.
Bagaimana mengatasi masalah tiba.
Semua orang pernah merasainya.
Yang berlainan mungkin cara mengatasi sahaja.

"Melepaskan seseorang yang kita sayang atau cintai sepenuh hati bukan bermakna kita seorang yang kalah. Kita mungkin sedang membina masa hadapan yang lebih baik dengan ketiadaan mereka. Jadi sekalian, kuatkan diri, kuatkan semangat ya?"
  Lord Zara : Kitab Terfaktab - Nakal Tapi Halal

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhetYKsUHpK5r2QHTgh6ZXtXwolLRsCpnex4xoiFjEAp_xW2keOCiuqlM499sVrULaE5lQ8eoMlCNMR-mLT6FT2Y2d9aJy1fs8wWdXXEYNuW6LOgcVl6JnXhjbBznwspHWTCCfCTfapVQ/s1600/cover+kitab.jpg


Menulis dua artikel. Membuat  temuramah dengan Neddo Khan penulis Kelabu yang cantik dan baik hati. Dan ya, hari ini bakal bertemu mereka yang menyokong selama ini. Sekalian dijemput hadir.

Tarikh : 29 April 2012
Masa : 4 petang
Tempat : Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC.

Kebanyakan daripada Skuad Terfaktab akan berada di sana. Jadi, bawa bertenang dan belilah Kitab Terfaktab ini. Jumpa di sana, insyaALLAH.

Saturday, April 28, 2012

Sendiri #05.


Kewujudan kau suatu pembohongan.
Kata-kata yang kau nyatakan suatu penipuan.
Janji yang yang kau taburkan hanya kecurangan.
Gerakan, bahasa tubuh kau hanya lakonan.

Betapa celakanya bila tahu kau ukir senyuman.
Senyuman tanda kemenangan.
Bahawa setiap yang kau mahukan dalam genggaman.
Tangisan kecewa sebagai satu alunan kegemaran.

Kau datang dan pergi ikut kesukaan.
Bila kau perlu kau layangkan pesanan.
Bila kau rindu kau buat panggilan.
Bila kau rasa tidak perlu, kau tinggalan.

Celakanya jiwa.
Celakanya rasa.

[Sumber gambar]

Bila kau datang, kau cuma bawa kesengsaraan.
Bila kau datang, kau hanya bawa kemurungan.
Sama seperti kau tidak dapat dipastikan kewujudan.
Sialan.

Dan dia sudah hampir mati kerana kau bajingan.

Zara : Sangat menakutkan apabila orang yang menyatakan dia mencintai kita tetapi boleh meninggalkan kita bwgitu sahaja tanpa kesal, tanpa alasan walaupun kita menahan tangisan rapuh di hadapannya. (Shafaza Zara, 28 April 2012)

Thursday, April 26, 2012

Setia 2.4


Apa yang lebih menyakitkan daripada dibenci?
Apa yang lebih menyakitkan daripada dikhianati?
Apa yang lebih menyakitkan daripada dibohongi?
Apa yang lebih menyakitkan daripada dicurangi?

Diabaikan oleh manusia yang disayangi.
Diabaikan oleh manusia yang dicintai.
Diabaikan oleh manusia yang dikasihi.

Sekurang-kurangnya, jika manusia demikian benci, khianat, bohong dan curang, mereka masih sedar dan mengakui kewujudan kita. Tapi bila manusia mengabaikan kita, manusia itu pastinya beranggapan yang kita tidak wujud - ada secara makna tetapi bayang yang tidak perlu mereka kisahkan. Ah, serupa celaka sebenarnya berhadapan dengan manusia sebegini, kita berlari mengejar, kita merangkak mahu mencapai - tetapi kita diabai.


[Sumber gambar]
Kau menunggu.
Kau habiskan waktu.
Kau abaikan apa yang perlu.
Hanya sebab masih mahu setia, wak lu!

Orang kata kau bodoh.
Kau hanya tarik muka hodoh.

Orang kata kau menyedihkan.
Kau senang-senang ukir senyuman.

Orang pandang kau dengan muka simpati.
Kau sengih sampai nampak gigi.

Orang kata suruh bersabar.
Kau gelengkan kepala sambil buat mata bersinar.

Orang tanya sampai bila kau mahu menunggu.
Kau hanya kata sampai dia lepaskan kau bila tiba waktu.


Zara : Sangat sukar untuk menunggu sesuatu yang kita tahu tidak akan terjadi. Tapi, lebih sukar untuk berputus asa bila itu segalanya yang kita mahukan. (Shafaza Zara, 26 April 2012)

Wednesday, April 25, 2012

Sendiri #04.


Kau masih punya Tuhan.
Kau masih punya keluarga yang memerlukan.
Kau masih punya kawan-kawan.
Kau masih punya pendirian.
Kau masih punya harapan.
Kau masih punya kehidupan.
Kau masih punya tenaga tersimpan.

Itu yang kita biasa sebagai jawapan.
Itu yang kita biasa terima bagi menjawab persoalan.
Itu yang kita biasa dengar bila hambur tangisan.
Itu yang kita biasa hadam sebagai bahan pujukan.
Itu yang kita biasa telan.

Kadangkala kita menangis bukan kita mahu penyelesaian.
Kadangkala kita meluahkan bukan kita mahu jawapan.
Kadangkala kita berkongsi bukan kita mahu tunjuk kelemahan.
Kadangkala kita mencari bukan sebab kita kesepiaan.
Kadangkala kita bising bukan sebab kita kesunyian.
Kadangkala kita diam bukan kerana dihimpit kesusahan.

Kita mungkin perlukan sedikit perhatian.
Untuk manusia berikan sedikit masa melayan.
Kesakitan yang kita sembunyikan.
Kehampaan yang kita cuba padamkan.
Hanya untuk manusia dengar dan perhatikan.
Dalam diam, tenggelam dalam renungan.
Berkongsi rasa, meluah perasaan.
Mengelakkan diri dari tertekan.
Dan berhenti fikirkan kesedihan.

Mungkin sebab itu kita tegar sendirian.
Melayari kehidupan.
Bukan sebab kita tidak memerlukan teman.
Cuma kita terlampau sakit untuk mulakan hubungan.
Yang setiap kali akan menyakitkan.
Itu hanya kemungkinan.


"Kadangkala merindui seseorang dalam hati itu adalah tanda kita masih mengingati mereka. Sama ada baik atau buruk, kita sahaja yang tahu rahsianya"
[Shafaza Zara Syed Yusof, 25 April 2012]

[Sumber gambar]

Zara : Kadangkala kita sepatutnya meletakkan perasaan kita di tempat pertama, agar kita tidak dilukai dengan teruk sehingga cedera. (Shafaza Zara, 25 April 2012)

Tuesday, April 24, 2012

Mocha #04.


Datang dan pergi.
Macam serbuk kopi.
Sekejap penuh balang tinggi.
Sekejap sudah hampir ke dasar tidak berisi.

Tidak semua kopi hitam.
Kehidupan juga tidak sentiasa kelam.
Mungkin gelap ketika malam.
Sedikit sebanyak kita mungkin rasa seram.
Menanti siang tiba dengan sedikit geram.

Kopi ada pelbagai jenis.
Manusia juga datang dengan pakej sadis.
Walaupun senyuman bahagia dan ayat manis.
Terselindung aneh peristiwa tragis.
Perasaan bagaikan najis.

Seperti menghadap secangkir kopi.
Aroma indah masuk ke hidung dan senyum berseri.
Sekejap sahaja, dan ia tidak akan kembali.
Macam bahagia yang muncul sesekali.
Seperti derita yang akan kekal di sisi.
Pemusnah senyuman yang diikat separuh mati.

[Sumber gambar]

Bila minum kopi kadangkala kita mabuk sendiri.
Tenggelam dalam aroma dan nikmat kopi.
Sehingga apa yang terluah tidak disedari.
Mungkin bahagia bila kita lihat kembali.
Tetapi kesannya membunuh diam hati.
Benda yang kita sangka hanya jenaka manusiawi.
Rupanya mampu menjadikan manusia mayat berdiri.
Hidup, tapi separuh mati.
Menahan tangisan dan air mata di pipi.
Dan kau termangu sepi.

Nikmat datang dan pergi.
Kadangkala ia kekal lama di sisi.
Kadangkala ia tidak mahu singgah lama dan sunyi.
Kita sahaja yang kenal jalan hidup dan jalan mati.

Zara : Jangan biarkan manusia menjadikan kita sebagai satu pilihan di mana mereka boleh cari kita bila perlu dan tinggalkan bila mereka rasa tidak mahu. Tapi, biarkan mereka tahu bahawa kita adalah pilihan tepat yang mereka tidak mahu hilang selamanya. (Shafaza Zara, 24 April 2012)

Monday, April 23, 2012

Sendiri #03.


Kau mungkin ada untuk orang lain.
Orang lain mungkin tiada untuk kau.

Kau mungkin perlukan bahu untuk menangis.
Untuk melepaskan rasa sadis.
Untuk melupakan kisah tragis.
Untuk mengubat perasaan yang macam najis.
Untuk melegakan hati yang terhiris.
Untuk mengubati kesakitan bagaikan digilis.

Tangan kau mula mendail secara rawak.
Satu demi satu nama muncul di kepala yang sedang semak.
Tapi malangnya, panggilan kau dijawab suara rosak.
Mesin kokak.

Kau menangis di tepi dinding.
Kau cuba alihkan perhatian kau dengan bunyi bising.
Kau menangis melepaskan perasaan hingga pening.
Kau cuma berhenti bila kepala berat berpusing.
Beratnya kau sendiri tidak mampu heret timbang di dacing.
Nafas kau terhenti.
Bila kesakitan mula merajai.
Tapi kau kuatkan diri.
Kau jerit yang kau enggan mati.
Selagi apa yang kau mahukan belum kembali.
Kau mampu hadam kesakitan sebab kau masih menanti.
Air mata kau sudah tiada nilai lagi.

[Sumber gambar]

"Kali pertama aku rasa hidup aku kosong, sepi. Adakah sebab aku semakin tua?"

"Bukan. Itu disebabkan ini kali pertama kau betul-betul jatuh cinta dengan seseorang, tetapi seseorang itu menyakitkan kau sebegini rupa, hingga kau tidak berdaya untuk merasa apa-apa"


Zara : Jika suatu perhubungan itu tidak menjadikan kita manusia yang lebih baik, mungkin kita bersama orang yang salah sebab kita bersama, melalui semua benda dan kita belajar daripadanya. (Shafaza Zara, 23 April 2012)

Sunday, April 22, 2012

#10 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Bila mengulang-tonton sebuah drama Korea yang bertajuk "9 Ends 2 Out" - entah kenapa, aku melihat diri sendiri yang sejak kebelakangan ini menempuhi beberapa perkara yang menjadikan hidup sedikit kelam kabut. Sesuatu dalam drama itu membuatkan aku terpaku, dan mengalirkan air mata tanpa aku sedari. Mungkin aku tenggelam dengan penceritaan atau aku merasai sendiri penderitaan yang ditanggung oleh watak Nan Hee. Mungkin salah satu daripadanya.

Perbualan aku dengan seorang kawan (lebih tepat, seorang sahabat) pagi tadi membuatkan air mata bergenang di tubir mata. Mungkinkah sebab dia membaca terlampau banyak tentang aku, tentang siapa aku di mata dia, berbanding orang lain yang mungkin tinggal serumah tetapi tidak kenal siapa aku - tapi dia ketahui aku lebih dari sekadar manusia yang senyum palsu bila berhadapan dengan kamera dan dunia. Ketikan kamera dan aku sebati - adunannya gambar kenangan beku masa yang aku sendiri tak mengerti akan keluar dan ternyata, dari sinaran mata, kita mampu baca manusia. Dan aku, kalah dalam soal itu, bila orang boleh lihat aku begitu tekun dan dalam.

Kalah.
Tetapi untuk menang dalam masa yang sama, tidak susah.

Kenyataan.
Tapi pernyataan disanggah dengan tiada persetujuan.

Mungkin benar kata dia. Saat ini aku tidak perlukan pisau untuk menghiris sesuatu agar terluka dan membiarkan ianya sembuh sendiri dengan masa. Ini bukan masa melihat sama ada kesakitan itu akan sembuh dan hilang walaupun berusaha bagai separuh gila.

Saat ini aku perlukan sepucuk pistol. Sama ada aku pegang, tarik picu di kepala atau buang begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa. Tarik picu, ledakkan semua dan mati untuk bangkit semula. Ataupun aku boleh buang pistol tersebut, kekalkan diri dalam keadaan semasa dan hadam segala yang datang tanpa mengubah apa-apa disebabkan aku selesa untuk biarkan diri tenggelam dalam sebuah seksaan yang nyata, aku nampak dan aku rasa - dan ajaibnya, aku selesa dan redha.

 "Sebab aku kenal kau macam mana. Aku kenal kau masa kau positif, semangat kau. Aku pernah tengok mata kau masa kau betul-betul semangat untuk buat satu benda. Tapi kau jangan lupa, masa kita lepak sama-sama, aku tengok mata kau lain. Mulut kau positif, tapi dalaman kau? Aku tak tahu macam mana nak cakap, tapi kalau kau betul-betul bersemangat, aku boleh rasakan semangat kau"

Mungkin sahaja aku gila.
Kita lihat sahaja.

Zara : Awak bunuh saya lagi. Kali ini dengan kadar yang sangat perlahan sehingga menarik nafas pun saya perlu gunakan seluruh kekuatan. (Shafaza Zara, 22 April 2012)

Saturday, April 21, 2012

Sendiri #02.


Kau berjalan tanpa siapa pegang tangan.
Kau bangun menyedari kejamnya kehidupan.
Kau lapar tapi lupa apa itu makanan.
Kau kehausan tapi lupa mahu meneguk minuman.
Kau penat tapi kau waktu rehat kau abaikan.
Kau rindu tapi kau sebenarnya sendirian.
Kau menangis tapi kau tenggelam dalam kesedihan.
Kau gembira tapi itu semua senyuman kepalsuan.
Kau bahagia tapi ianya sekadar lakonan.
Kau terjaga tapi tiada langsung pesanan.
Kau termenung tapi tiada siapa hiasi khayalan.
Kau bermimpi tapi segalanya tiada langsung harapan.
Kau sakit tapi kau hanya terbayangkan kematian.

Bila jatuh sebenarnya kau ada dua pilihan.
Menerima segala tekanan dan putus harapan.
Atau kau bangkit berdiri menerima cabaran.
Semuanya kau yang harus tentukan.


Ada dua perkara yang paling sukar untuk manusia lakukan.
Untuk memberikan seseorang kepercayaan.
Untuk mengekalkan janji yang telah disimpulkan.
(Shafaza Zara, 21 April 2012)


[Sumber gambar]

Zara : Kadangkala kita perlu belajar untuk melepaskan sesuatu yang bukan lagi dalam kawalan. Banyak lagi perkara yang perlu kita hadapi dan nikmati dalam kehidupan. Kesakitan boleh dielakkan, jika kita mampu bertahan dan kekalkan senyuman (Shafaza Zara, 21 April 2012)

Friday, April 20, 2012

[Ulasan] : Mannequin Marionette - M. Faiz Syahmi


Macam aku pernah katakan sebelum ini, tulisan aku dalam siri "Satu Tajuk Satu Perkataan" adalah himpunan tulisan tanpa perasaan. Tulisan aku di bawah sedar - tanpa meletakkan perasaan aku sendiri. Aku menulis dalam kekosongan jiwa yang aku sendiri sahaja mengerti. Jadi jangan datang ke hadapan dan meledakkan soalan - adakah ini tentang kamu Zara? 

Kembali ke alam nyata.
Hari ini aku mahu menulis ulasan tentang Mannequin Marionette karya M. Faiz Syahmi. Mannequin Marionette adalah di bawah kategori 'zine' yang menghimpunkan puisi, kispen, cerpen, esei, reviu dan juga kata-kata yang diceduk dari diri penulis itu sendiri. Ya, ini Faiz Syahmi yang dikenali dengan nama Encik Peddo yang menulis Kontrol Histeria, BIN, Sarkasis dan IFall (Ini akan aku ulas nanti).

Mannequin Marionette tiba pada aku secara atas tangan di hadapan Kompleks Sukan MBJB, lebih tepat, kolam renang MBJB sewaktu aku sedang menghadiri kursus dan ujian kecergasan. Terima kasih pada si comel Isaac Ismael yang datang menghantar Mannequin Marionette bersama IFall dan BKDM (Ya, akan aku tulis nanti). Dan, aku mulakan pembacaan Mannequin Marionette dengan pemikiran bahawa gaya Peddo adalah sama dengan tulisannya sebelum ini (dan ya juga sebab dia ada reviu HERO dalam ini).

http://farm8.staticflickr.com/7267/7050513607_65eca95cb3.jpg
[Flickr Aku]

Mannequin Marionette hadir dengan sesuatu yang tidak dijangka. Sesuatu yang sebenarnya tidak terlintas bahawa Peddo boleh lari daripada gaya tulisan dia yang biasa aku kenal sebelum ini. Jika sebelum ini fantasi seksual dan juga erotik, sadis serta sarkastik dihidangkan dengan saduran fetisy pada budak bawah umur, Mannequin Marionette adalah sesuatu yang aku kira lebih dekat dengan jiwa. Lebih manusia, kalau kalian faham dengan apa yang aku maksudkan.

Kulit :
Ini adalah zine. Seperti mana zine yang dihasilkan sendiri oleh penulis (dari kos hinggalah ke penghantaran) - aku kira, kulitnya sudah cukup untuk menggambarkan apa yang mahu disampaikan oleh penulis. Figura muka yang sengaja dikaburkan seorang lelaki (rasa macam bukan Peddo - tapi maafkan aku kalau mata aku salah) mungkin cubaan Peddo untuk menghasilkan sesuatu sendiri dan dengan identiti dia sendiri. Itu kulit hadapan.

Di kulit belakang kita ada satu boneka perempuan yang tergantung tali - menepati Mannequin Marionette itu sendiri secara peribadi dengan ayat yang aku rasa sungguh bermakna. 

"Kau bukan siapa-siapa bagiku. Kau hanyalah boneka"

Dan kalau kalian sedar, naskah Mannequin Marionette yang aku terima ditanda dengan #27. Itu kelahiran ke-27 bagi edisi Mannequin Marionette yang dicetak khas.

Isi :

Aku tidak akan mengulas semua tulisan Peddo dalam Mannequin Marionette tetapi aku lebih suka untuk berkongsi pendapat peribadi aku dengan apa yang dia hidangkan di dalam itu.

  • Kispen pertama yang menunjukkan Peddo meletakkan diri sendiri (serta mungkin sebahagian jiwa dia) dalam tulisan itu apabila dia menulis mengenai "Homles" (baca : homeless). Manusia tanpa rumah, yang digambarkan dengan baik dan menjadi refleksi dalam diri. Aku secara peribadi, melihat hati manusia adalah rumah yang terbaik. Apakah mungkin Peddo cuba menyatakan dengan sinikal selain dia melihat bayang-bayang diri sendiri pada manusia homles - dia juga melihatkan manusia yang tanpa jiwa dan hati sebagai manusia tiada rumah?
  •  "Coba Beritahu Adakah Aku Hanya Boneka" - sesuatu yang sangat rapat dan rapuh pada jiwa. Mungkinkah sebab aku mengalami situasi yang hampir serupa, menyebabkan aku merasai kesakitan dalam tulisan itu, tapi macam aku katakan, Mannequin Marionette adalah tentang tulisan jujur Peddo. Aku rasakan ia jujur dan katakanlah ia berkaitan dengan hidup beliau sekalipun, tiada siapa yang tahu kecuali dia kan? Ini salah satu cerpen yang aku sangat suka dan ternyata, Peddo memang lari dari gaya tulisan dia sebelum ini.
  • Senarai puisi Peddo dalam ini banyak juga dan aku mengesan sinikal seperti lazimnya dia berkarya. Cuma kali ini, sinikal dia boleh dikatakan suci. Suci dalam erti kata, penggemar tulisan dia sahaja yang boleh menyedari. Jujur dan mengesankan, dan aku cadangkan kalian baca "Dunia Gila"
  • Reviu (baca : review) yang Peddo sajikan di dalam ini adalah meliputi buku-buku yang dia baca dan aku juga membaca hampir kesemua dalam senarai itu. Oh, dalam Mannequin Marionette - Peddo ada membuat reviu tentang HERO dan mengulas tentang Nuansa Atma Adiwira yang merupakan tulisan aku. Aku jujurnya ketawa sebab aku menunggu seseorang mengulas tulisan aku di dalam itu disebabkan aku mengerti (dan sedar diri) bahawa orang membaca HERO disebabkan rakan-rakan lain yang berpengaruh dan hebat di dalam itu. Terima kasih Peddo atas ulasan yang aku rasa amat jujur.

Oh, gaya aku menulis ulasan kali ini meniru sedikit gaya Mannequin Marionette (bahagian reviu maksud aku). Aku tak akan suruh orang beli Mannequin Marionette tapi aku akan kata, dapatkan naskah ini. Naskah jujur seorang kawan, seorang yang aku boleh panggil sebagai sahabat kalau dia sudi. Bukan bias, tapi ini tulisan hebat.

Zara : Aku akan bekerjasama dengan Peddo untuk zine duet kami - #GumihoArsitektur. InsyaALLAH, bakal dikeluarkan pada penghujung Mei.

Thursday, April 19, 2012

Sendiri #01.


Bila kau lupa siapa sebenar diri.
Bila kau lupa bila air mata jatuh ke pipi.
Bila kau lupa kau tahan caci maki.
Bila kau lupa hinaan manusia sudah terlampau lali.
Bila kau lupa kegembiraan itu tidak hakiki.
Bila kau lupa lepaskan beban di bahu sendiri.
Bila kau lupa sabarkan hati.
Bila kau lupa tiada manusia kekal di sisi.
Bila kau lupa kesakitan itu tanggung berdiri.
Bila kau lupa kesihatan terjejas bakal membawa mati.

"Kadangkala mati dalam diam lebih baik dari biarkan diri terseksa sendiri."
[Shafaza Zara, 19 April 2012]

http://farm6.staticflickr.com/5454/7093065739_d2685213e7.jpg
[Flickr Zara]

Puan Mulia marah-marah bila dia tengok aku ambil kafein tak tentu hala. Maaf Mak, kegembiraan rupanya perlu dirangsang sendiri.

Zara : Perasaan paling teruk dalam hidup ini adalah bila kita merasakan yang kita sudah melakukan yang terbaik, tetapi malangnya itu masih belum mencukupi. (Shafaza Zara, 19 April 2012)

Silam.


Kadangkala, ada benda yang kita simpan sendirian.
Kadangkala kita lebih rela mati kesepian.
Daripada kita mengamuk kemarahan.
Kita salurkan di tempat impian.

http://farm6.staticflickr.com/5116/6945690564_5e2c338c2c.jpg
[Flickr aku]

Zara : Kadangkala putus asa itu nampak lebih bermakna.

Tuesday, April 17, 2012

Setia 2.3



Satu purnama.
Dua purnama.
Tiga purnama.

Si gadis dan si jejaka sudah tiada cerita. Hidup sahaja mereka dalam dunia masing-masing. Si gadis enggan mahu menoleh ke belakang walaupun si jejaka masih tegar mencari. Pada dia, si gadis adalah perempuan yang dia suka, perempuan yang kekal menunggu walaupun segala benda buruk melanda. Mungkin dia kesal dengan sikap buruknya, maka dia enggan pergi dari hidup gadis. Dia mahukan seseorang yang buat dia lupakan segala benda dan hanya menyayangi dia, tapi malangnya, gadis sudah kabur dari pandangan mata. Kasih sayang si jejaka, dia tahu hanya sementara cuma.

Si jejaka masih pegang pada janji. Janji yang dia buat pada si gadis. Kalau dia tidak dapat memiliki, tiada yang lain dapat memiliki si gadis. Mana mungkin dia serahkan manusia yang setia sedemikian rupa pada lelaki lain yang dia sendiri tidak kenal asal usulnya? Si gadis itu dia yang punya dan perkhabaran yang sampai ke telinga buatkan nafsu amarah memenuhi minda.

"Awak dah ada lelaki lain?"

"Seperti awak yang sudah ada perempuan lain"

"Saya dah tinggalkan semua perempuan yang saya ada sebelum ini"

"Termasuk saya sekali"

"Tidak. Saya cuma pergi supaya awak akan rindukan saya"

"Masa untuk saya rindukan awak sudah berlalu"

"Apa maksud awak?"

"Saya sudah melalui zaman tidak tidur malam, menangis sendirian demi awak"

"Saya sudah berjanji untuk berubah"

"Awak sudah terlambat"

"Awak, kenapa?"

"Terima kasih awak"

Klik!

[Sumber gambar]

Si gadis putuskan talian.
Si gadis enggan mahu teruskan.
Si gadis menanggung kesakitan.
Yang sudah sekian lama dia diamkan.

Si jejaka memandang sepi telefon di sisi.
Mengapa si gadis sudah berubah hati?
Apakah terlampau banyak dosa yang tidak dia ketahui?
Ataupun si gadis sudah punya pengganti?

Satu minggu.
Dua minggu.
Tiga minggu.

Sepanjang si jejaka mencari, si gadis hanya mendiamkan diri. Bagaikan si gadis sudah ditelan bumi dari menjawab panggilan dan membalas pesanan yang dihantar. Tetapi si jejaka masih nampak si gadis berada di atas talian. Ditegur masih tiada balasan. Si jejaka terfikir, apakah ini cara si gadis cuba tunjuk kemarahan, tunjuk perasaan tidak puas hati akan layanan yang diterima selama ini. Si jejaka tersenyum dalam diam dan mengakui, betapa dia masih sayang gadis yang sudah berpacaran sekian lama dan pastinya si gadis tidak akan melepaskan dia. Bukan sekali dua mereka berantakan, tetapi si gadis tetap menerimanya dengan tangan terbuka. Pastinya kali ini si gadis yang mahu merajuk dan biarkan si jejaka merinduinya. 

Satu hari.
Satu minggu.
Satu purnama.

Si jejaka sudah mulai putus asa. Mana si gadis yang setia? Mana si gadis yang langsung tidak pernah gagal mencari dia - hatta si gadis tahu dia sedang curang di belakang ataupun di hadapan mata? Mana si gadis yang sanggup pekakkan telinga dan bisukan mulut dari bicara setiap kali dia bikin onar dan si gadis menahan air mata? Sudah ke manakah dia menghilangkan diri? Kenapa dia hidup sunyi sepi?

"Awak"

"Ya, saya"

"Awak mana?"

"Saya ada, tidak ke mana"

"Oh, tapi saya cari awak, dan awak tiada"

"Saya perlukan masa untuk diri saya"

"Kita masih bersama kan?"

"Kita hanya kawan kini"

"Kawan?"

"Maaf, saya pilih untuk setia pada orang yang tidak mengecewakan saya"

"Awak sudah ada yang lain?"

"Saya memilih untuk dengar pilihan keluarga"

"Dan awak tinggalkan saya?"

"Biarlah kali ini saya yang berlalu pergi"


Si gadis enggan sambung bicara.
Dia tahan air mata.
Dia enggan ukir wajah duka.
Biarlah wajah dihiasi senyuman bahagia.

Si jejaka terdiam seribu bahasa.
Mana si gadis yang setia?
Mana si gadis yang tidak banyak bicara?
Mana gadis yang tahan terluka?

Si gadis mahu hidup baru.
Supaya dia tidak lagi luka ditusuk sembilu.

Si jejaka masih enggan percaya.
Dia kehilangan manusia yang paling setia.

Zara : Manusia boleh fikirkan apa sahaja tentang kita dan kita (malangnya) tidak mampu mengawal itu semua. Kita tidak perlu runsing sebenarnya disebabkan di saat mereka memandang rendah kepada kita, kita sudah menang tanpa mereka sedari hakikatnya. (Shafaza Zara, 17 April 2012)

Monday, April 16, 2012

Hutang.


Terpanggil untuk menulis sesuatu dibawah pengaruh kopi serta ubat yang diambil bagi mengurangkan kesakitan. Sabtu lepas, pulang daripada majlis perkahwinan, aku duduk minum dengan dua rakan Twitter - isu yang muncul di susur masa menangkap perhatian tapi aku biarkan hingga pulang ke rumah. Buka laman sosial Mukabuku, aku tengok ramai yang berkongsi tentang gambar-gambar perarakan agenda memansuhkan PTPTN. Bagi yang membaca tulisan tentang perkara tersebut yang sepertinya tidak diberikan liputan oleh media perdana (ataupun aku yang terlepas tonton?) - aku pasti ada pelbagai reaksi tersendiri. Jadi, aku mahu menulis tentang apa yang aku rasa tentang hal itu (serta perkara yang mempunyai kaitan - mengikut pandangan aku sendiri).

[01] Memansuhkan PTPTN - memansuhkan pinjaman sedia ada yakni bebanan hutang peminjam. Ini menarik sebenarnya. Menarik dalam erti kata, bagaimana perasaan orang seperti aku yang meminjam tetapi sudah memulakan pembayaran sejak mula bekerja tiga tahun lepas. Bagusnya kalau pinjaman itu secara tiba-tiba mansuh, tetapi aku ada soalan yang bermain di minda - apakah adil bagi manusia yang tegar membayar setiap bulan berbanding dengan orang yang langsung tidak pernah bayar? 

Aku boleh dapat duit aku balik ke? Orang lain boleh dapat duit mereka balik ke?
Heh!

[02] Pendidikan percuma untuk semua. Secara jujurnya, aku tidak rasa ini perlu kecuali atas sebab musabab seperti keadaan ekonomi seseorang yang tidak memampukan mereka untuk melanjutkan pelajaran (dan ini antara sebab kenapa tidak perlu mansuhkan PTPTN). Kenapa aku kata pendidikan percuma itu tidak berapa perlu? 

  • Pendidikan berbayar pun ramai budak yang tidak mahu belajar - malas dan pelbagai isu lagi dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti. Sedangkan wang yang mereka perlu leburkan begitu banyak untuk mencapai kejayaan, mereka tiada kesedaran untuk belajar, apatah lagi jika segalanya disediakan percuma. Agak-agaknya apakah mereka (kebanyakan dari mereka) akan belajar bersungguh-sungguh? - Contoh pendidikan percuma : ceramah agama di masjid ataupun program anjuran kolej universiti. Berapa orang yang datang dengan rela hati? 
  • Kalau nak pendidikan percuma (dengan erti kata lain, tak nak guna duit sendiri barangkali) - kenapa tidak berusaha untuk mendapatkan biasiswa dengan belajar bersungguh-sungguh? Setahu aku (maafkan jika sudah berubah) - jika mendapat ijazah kelas pertama, pinjaman akan berubah menjadi biasiswa - senang kata, tidak perlu bayar. Ataupun, dapatkan sahaja biasiswa dengan mempamerkan keputusan cemerlang dalam SPM, STPM ataupun matrikulasi. Siapa yang tak nak taja orang bijak?
[03] Sebenarnya pinjaman PTPTN itu bukanlah wajib. Itu satu pilihan yang kau boleh sendiri tentukan mahu ataupun tidak. Jadi, bila kau dah pilih, dah guna duit itu selama mana kau belajar - tidak perlulah kau nak menuntut tidak mahu bayar kembali. Banyak cantik muka, orang dah bagi pinjaman, kau boleh pula buat bantahan beramai-ramai nak suruh hapuskan hutang tersebut - dengan menyatakan ada riba, bunga dan sebagainya. Ehem, kenapa tak buat sahaja bantahan depan bank ataupun mana-mana peminjam wang lain sebab kau tak mahu bayar?

Serupa dengan peminjam hutang lintah darat - tak nak bayar dan takut kena hentam, kena simbah cat merah, kau pergi laporkan kegiatan mereka pada pihak polis. Macam begitu ya? Eh, orang begini tak boleh pinjam apa-apa aku rasa, dan tolong jangan bagi pinjam hatta ruang tempat letak kereta. Nanti dia buat bantahan dan nak ambil ruang letak kereta secara mutlak. Jangan bagi pinjam beras, nanti dia kata beras dah jadi tahi. Heh!

[04] Tulisan aku adalah pendapat peribadi aku sebagai peminjam PTPTN. Tidak bermakna aku penyokong kerajaan ataupun pembangkang - aku menulis sebab aku seorang peminjam dan aku berterima kasih atas pinjaman itu walaupun yuran aku pun tidak mampu dibayar guna duit pinjaman itu. Aku pinjam sebanyak RM 8400 untuk 8 semester - secara purata, aku dapat RM 1050 setiap semester dan yuran aku adalah lebih kurang RM 1500 (termasuk sekali asrama).

Jadi, duit PTPTN yang aku dapat adalah membantu meringankan tanggungan keluarga, sekurang-kurangnya yuran pengajian aku hanya perlu ditambah sedikit sahaja. Hidup dengan duit yang keluarga bagi - buatkan aku tahu betapa berharganya nilai duit. Alhamdulillah, duit PTPTN aku tidak pernah dapat dibazirkan tidak tentu hala. Nak bayar yuran pun tak lepas, celah mana nak bermewah? Nak cari duit beli secawan kopi pun susah. Beli Nescafe satu beg besar dan minum berbuih seorang diri dengan berjimat adalah. Ha ha ha.

http://farm4.staticflickr.com/3203/2895214903_f6a243b98a.jpg
[Sumber gambar]

Soalan (keji) kepada adik-adik yang sedang mengikuti pengajian dan mendapat pinjaman - kalau pinjaman pada masa hadapan dihapuskan, mana awak nak dapat duit untuk pengajian? Minta pada ibu bapa? Buat pinjaman peribadi di bank? Apa yang awak mahu cagarkan? Diri sendiri?

Dan katakanlah pinjaman dihapuskan - tetapi yuran pengajian tetap ada, apa akan jadi? 

[05] Melihat kepada gerombolan yang mengikuti bantahan seperti dalam gambar yang disebarkan di Mukabuku, aku cuma berdoa dalam diam agar adik-adik itu tidak ditangkap dan dibuang universiti - digantung pengajian dan sebagainya (jika mereka masih dalam pengajian). Selain daripada muka yang tidak bertutup (sekurang-kurangnya kalau nak buat benda begini, tutuplah muka kan?) - gambar yang tersebar di sana sini, pasti ada muka-muka yang kenal anda. Jadi, banyakkan berdoa agar tiada tindakan diambil pada kalian semua.

Bukan apa adik-adik, kalau digantung pengajian, ataupun dibuang universiti - dan adik-adik pula adalah peminjam PTPTN, siapa yang rugi? Pengajian entah ke mana, hutang itu masih perlu dibayar pastinya. Dan yang aku sendiri gagal mencerna, budak-budak yang berhimpun begini - mereka tidak ingat ibu bapa yang berusaha keras memberikan pendidikan kepada mereka kah? Apa perasaan ibu bapa kalau anak mereka tiba-tiba digantung pengajian atas sebab membuat bantahan jalanan begini? 

Entahlah. Aku dulu belajar sebab nak bahagiakan Puan Mulia dan Ketua Keluarga - nak tamat belajar dengan menjadikan mereka bangga dan Alhamdulillah, aku menamatkan pengajian dalam tempoh waktu yang ditetapkan, genap 8 semester. Sekurang-kurangnya walaupun aku tidak sepandai anak orang lain, aku masih lagi jadi apa yang mereka mahukan.

[06] Betul. Semua orang suka benda percuma. Tetapi, membayar untuk pendidikan, apa salahnya? Membayar untuk sesuatu yang kita mahukan demi masa hadapan - laburkan sedikit wang untuk laluan mencapai kejayaan - mengejar impian, apa salahnya? Bukankah hasil yang dituai nanti adalah untuk kebaikan sendiri? Kita perlu terima hakikat yang pendidikan sudah jadi satu bentuk perniagaan - dan kita sebagai pengguna, kalau mahukan sesuatu, kita kena bayar. Kalau tiada duit sendiri, kita dapatkan pinjaman dan sebagainya. Sama macam kita mahukan kereta, rumah - kita mahu, dan kita berusaha untuk dapatkannya. Sama konsep?

Dan pada aku, bila kita bayar untuk pendidikan - maksudnya kita hargai nilai pendidikan - nilai ilmu dan pelajaran (serta pengalaman) yang kita bayar untuk dapatkannya. Bukankah manusia biasanya sangat menghagai sesuatu bila mereka terpaksa keluarkan belanja. Sama macam adik-adik gunakan duit pinjaman untuk beli telefon pintar pelbagai jenama yang diusung ke sana ke mari itu, mesti hargai kan telefon mahal itu kan? Heh!

[07] Sebelum aku berundur, aku cuma harap yang buat bantahan jalanan hari itu adalah peminjam PTPTN. Kalau muka tajaan ibu bapa sendiri ataupun biasiwa, adalah lebih baik duduk sahaja di bilik dan meneruskan tugasan yang pensyarah berikan. Itu lebih baik daripada apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Kalau anda peminjam PTPTN sekali pun, lebih baik tumpukan daya usaha untuk belajar bersungguh-sungguh, jadi pemegang ijazah yang berdaya saing di pasaran pekerjaan - dapatkan pekerjaan yang bagus dan mulakan pembayaran semula PTPTN secepat mungkin. Sebab dengan pembayaran pinjaman anda itulah, generasi yang baru dapat guna duit itu juga untuk membiayai pengajian mereka.

Nota Kaki :
Aku akan sokong kalau mereka nak mansuhkan bunga pinjaman itu - sebab aku tak dapat pengecualian sistem Ujrah. Yang penting, kau pinjam, kau bayar. Kalau tak, menjawab di akhirat nanti ya adik-adik sekalian?

Zara : Tiada yang betul melainkan kebetulan bak kata Ridhwan Saidi dalam Mautopia. 

Sunday, April 15, 2012

Setia 2.2



Kadangkala si gadis sendiri tidak mengerti, dia dikhinati oleh manusia yang menghampiri dia atas nama cinta. Sejauh mana dia mahukan cinta yang baik-baik sahaja dan belajar untuk setia pada manusia yang dia suka, dan menyukai dia kembali - lelaki yang hadis semuanya sama. Menyayangi dia dan akhirnya meninggalkan dia tanpa sebab musabab yang dia sendiri ketahui. Kali pertama melalui kesakitan itu, dia menyimpulkan mungkin dia seorang yang tidak bergaya. Maka, dia, syukurlah punyai otak yang boleh dikatakan bijak - menggunakan teknologi maklumat dan wacana ilmu - untuk memperbaiki diri serta penampilan kendiri. Daripada seseorang yang boleh dikatakan selekeh, dia jadi gadis yang boleh dikatakan sedap dipandang mata.

Dengan si jejaka, gadis tidak tahu apa salah dia. Dikhinati, dipermainkan tapi dia masih mampu bersabar dan telan derita. Dia lihat berbanding dengan perempuan lain yang dipilih oleh jejaka untuk menggantikan dia, kebanyakannya dia menang berbanding mereka. Sekurang-kurangnya dia tidak pernah meminta apa-apa daripada jejaka, apa yang dia mahu, dia gunakan duitnya sendiri, hasil titik peluh dia bekerja dan menyimpan untuk diri sendiri. Perempuan lain yang muncul, mengikis jejaka dan jejaka gembira dengan benda begitu. Si gadis terfikir - adakah kerana dia terlampau berdikari, maka jejaka tidak suka begitu, begini? Entah, gadis sudah mahu berhenti, daripada terus mengingati.

Tetapi, celakanya badan. 
Rupanya hati dia masih mampu ditawan.
Rupanya pemikiran dia masih mampu dijinakkan.
Jejaka datang membawa perkhabaran.
Keluarganya mahu merisik dan menjalankan majlis pertunangan.
Dan si gadis tetap jadi pilihan.
Perempuan lain hanya persinggahan.
Gadis senyap tanpa jawapan.
Kosong bagaikan Najwa Latif punya nyanyian.

[Sumber gambar]

"Kenapa awak datang balik?"

"Salahkah saya datang?"

"Awak sudah ada perempuan lain"

"Dia cuma kawan. Saya anggap dia kawan."

"Dia kata awak kepunyaan dia"

"Dan awak terus percaya? Bukankah kita sudah berjanji berdua?"

"Dan awak hilang begitu sahaja"

"Awak patut tunggu saya punya cerita"

"Serta biarkan diri saya sendiri tanggung derita?"

"Hanya awak yang saya mahu di dunia hingga syurga"

"Kalau masuk syurga"

"Saya tak harap untuk heret awak bersama ke neraka"

"Saya tak nampak kenapa saya perlu ikut awak kembali"

"Awak akan tetap bersama saya"

"Kenapa awak kata begitu?"

"Sebab saya kenal hati awak. Awak nampak kasar, tapi awak penuh cinta"

"Cinta yang saya korbankan masa, harta, nyawa"

"Dan tiada perempuan lain buat begitu untuk saya"

"Sebab saya bodoh"

"Bukan. Sebab awak cinta sejati yang semua lelaki sanggup mati"

"Malangnya, tiada lelaki begitu saat ini"

"Saya sanggup untuk itu"


Dan entah bagaimana, mereka boleh kembali bersama sekali lagi. Untuk kali ke berapa, dia berikan si jejaka itu peluang bagi menebus dosa silam yang buat kali pertama - dia dengar sebuah kemaafan paling tulus diminta dengan nama Allah serta ibu yang melahirkan sebagai cagaran. Si gadis diam kerana dia tahu, hatinya tidak berada dalam keadaan stabil seperti dahulu kala. Kesakitan sudah mula menjalar masuk - kesihatan dia yang dulu dia abaikan bila dia terpaksa bersihkan segala cela yang si jejaka tinggalkan mula menuntut hak kembali. Si gadis senyapkan sahaja diri - dia mahu lihat sejauh mana keadaan jejaka setelah peluang diberi.

Satu minggu.
Dua minggu.
Tiga minggu.

"Perempuan itu datang lagi"

"Bukankah saya kata dia kawan?"

"Dia kata dengan saya dia tidak akan berhenti menyukai awak"

"Boleh tak awak abaikan dia?"

"Macam mana saya mahu buat bila dia cari saya?"

"Dia gila"

"Dia kata Mak dia suruh tetap dapatkan awak"

"Awak jangan layan perempuan celaka itu"

"Celaka pun awak pernah suka dia"

Satu purnama.
Dua purnama.

Keadaan kembali pulih, tapi si gadis masih tiada jawapan tentang peminangan atau perkahwinan. Dia mengelakkan diri setiap kali si jejaka buka mulut mahu bertanya. Di pihak ayah dan ibunya - dia enggan mahu buka mulut berkongsi cerita. Dia pernah malu bila bapanya bertempik dia kembali pada jejaka selepas apa yang berlaku kali pertama. Gadis pernah dengar ibu bersungut di belakang bila dia dengar si gadis kembali pada si jejaka yang merobek hati gadis anaknya. Tapi jauh di sudut hati - dia tahu keluarga dia mahu dia bahagia. Dia mencari bahagia walaupun ternyata dia pertaruhkan hati serta jiwa. Kadangkala dia rasa diri dia bodoh - dia sengaja menempah bala bencana.

Satu minggu.
Dua minggu.
Tiga minggu.

Si jejaka menghilangkan diri kembali. Senyap sunyi tanpa khabar berita. Kalau dihantar pesanan suara, dia hanya akan balas dan mengatakan segalanya baik sahaja dan dia perlukan masa untuk diri sendiri atas urusan kerja. Si gadis sudah enggan mahu sibuk seperti dahulu kala. Bila perlu sahaja dia akan tanya sebab si gadis tahu, si jejaka hanya akan cari dia bila dia perlukan sesuatu dalam hidupnya. Bila sepi, dia akan datang mencari. Bila si gadis sibuk, si jejaka pusing mencari. Biarkan hati berbunga riang dan kemudian dengan kejam biarkan dia mereput mati kembali.

Si gadis sudah mangli.
Tapi dia belum fikir mahu berhenti.
Selagi seseorang belum mati.

Zara : Hidup boleh jadi lebih menggembirakan dan kurang mengecewakan apabila kita menyedari bahawa apa yang kita miliki saat ini adalah sesuatu yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa - benda yang kita pernah mahu tetapi tidak dapat memiliki mungkin hanya akan bawa bencana yang kita tidak akan dapat jangka. (Shafaza Zara, 15 April 2012)

Saturday, April 14, 2012

Setia 2.1



Sejak si Jejaka memulakan hidup dia dengan perempuan yang si Gadis tidak mahu ambil endah, Gadis kekal dalam hidup dia yang biasa-biasa. Mungkin sebab dia masih sayang pada jejaka - dia tidak ambil peduli apa yang manusia itu sudah buat pada dia, dan hidupnya bertambah baik tanpa kehadiran jejaka yang pernah hadir dalam hidup dia. Jejaka itu kawan, jejaka itu sahabat baik dia satu ketika dahulu dan mereka pernah jalinkan perasaan. Dia baik sahaja dengan semua itu, cuma jejaka menjauhkan diri dan dia, malas mahu ambil peduli.

Tapi, hujan lebat juga pastinya berhenti.
Begitu juga dengan perasaan manusia sepi.
Entah kenapa si jejaka kembali.

"Saya tak boleh hidup tanpa awak"

"Awak dah pilih orang lain berbanding saya"

"Saya buat kesilapan. Saya lebih pentingkan nafsu"

"Awak sudah buat pilihan"

"Saya mahukan awak kembali"

"Saya tak boleh buat keputusan sekarang ini"

"Saya harap awak pertimbangkan ya nanti?"

"Tengoklah"



Si gadis biarkan permintaan jejaka tanpa jawapan. Dia enggan sebenarnya pertaruhkan jiwa dia lagi. Dia enggan menanggung kesakitan ditinggalkan dengan seribu persoalan tanpa dia tahu apakah kesalahan dan kesilapan dia dalam perhubungan. 
Adakah menjadi manusia yang setia, dia sebenarnya telah menempah derita?
Adakah dengan menjadi manusia yang penyabar, dia bakal terbakar?

Gadis diam tanpa banyak bicara dan entah bagaimana - mereka boleh kembali bersama. Segalanya dimulakan tanpa perlukan ucapan saya cintakan awak - awak cintakan saya. Mereka kembali menjadi pasangan sebagaimana kali pertama mereka menyulam rasa sekian lama. Hati gadis sebenarnya masih waspada dan berjaga-jaga, bimbang segalanya bakal berubah sekelip mata. Tetapi jejaka melayan dia dengan baik dan dia fikir, kikis sahaja perasaan curiga. Berlebihan nanti boleh mengundang celaka. Jadi, mereka bahagia dengan masing-masing melayan rasa cinta dan bahagia.

Beberapa bulan berlalu, mereka masih bahagia - kesibukan dan bekejar dengan masa, tetapi mereka masih berhubung tanpa ada selisih faham - kerana mereka sendiri tidak pernah bertengkar dan saling menaikkan suara. Tiada istilah marah, tiada istilah menyampah dalam kehidupan dan hubungan mereka. Segalanya berjalan seperti biasa - bahkan boleh dikatakan lebih baik daripada kali pertama. Bahkan, dalam diam, si gadis sudah mula gigih menyimpan wang sendiri - mana tahu kalau ada rezeki jodoh dipanjangkan dan mereka boleh memulakan hidup bersama.

Suatu hari, si jejaka hilang lagi. Hilang berhari-hari. Si gadis mula risau, susah hati, apakah yang ditakutinya bakal kembali? Dia mencari maklumat, menyelongkar setiap inci kawasan yang dia ketahui dalam diam - apakah jejaka mencari kembali wanita yang berjaya merebut jejaka tersebut darinya. Tetapi wanita tersebut ternyata sudah lama menjauhkan diri - kerana si jejaka menyakitkan dia lebih dari menyakitkan gadis. Gadis enggam ambil tahu secara terperinci, maka dia dalam diam, mahu mengurut dada, mengelap peluh di dahi. 

Jejaka datang, jejaka pergi. Sudah kembali kepada perangai lamakah dia kini? Tumpuan gadis pada hidup, peribadi dan kerjaya harus sahaja diimbangi. Di tempat kerja, dia gadis lincah dan sentiasa senyum berseri. Tidak akan sekali dia pamerkan masalah dia pada manusia di sisi. Dalam dia mengelamun pandang luar tingkap, mencuri lihat matahari - satu pesanan laman sosial berbunyi. Dia buka dan baca.

"Awak kah gadis kepunyaan jejaka?"

"Ya, siapa awak?"

"Saya baru pulang berjalan dengan dia"

"Atas urusan kerja?"

"Jangan jadi bodoh, kami pastinya pasangan bercinta"

"Apa maksud awak?"

"Jauhkan diri dari dia, jejaka saya yang punya"

"Awak!"

Tiada pesanan berjawab.
1 minit.
1 jam.
1 hari.
1 minggu.


[Sumber gambar]

Si Gadis masih menunggu kalau Si Jejaka bakal kembali.
Dia hanya mahu jawapan bagi soalan hati.
Bukan penting untuk cinta bertaut lagi.
Tapi, kenapa dia ditinggalkan sepi.
Janji rupanya dibuat untuk dimungkiri.

Kali kedua dikhianati.
Gadis masih mampu senyum sendiri.
Jejaka lupa hukum Tuhan barangkali.
Dia ada adik perempuan - ibu - makcik - kawan - dan mungkin bakal ada isteri.
Dia tidak akan dapat lari.
Zara : Kita tahu seseorang itu rapat dengan kita apabila emosi dia mampu mempengaruhi emosi kita secara misteri. Mungkinkah ikatan kimia itu kuat bila hati-hati bertaut kerana kasihkan saudaranya? - Jangan pernah menghakimi keputusan yang seseorang buat, tanpa kau tahu sebab dan kenapa dia melakukannya (Shafaza Zara, 14 April 2012)

Friday, April 13, 2012

Setia 2.0


"Saya buat ini semua demi kebaikan bersama"

"Kebaikan apa yang kita dapat?"

"Perlu ke kita sentiasa berhubung, berbual?"

"Tak perlu. Cuma, saya tak rasa awak perlu hilangkan diri dan muncul sesuka hati"

"Saya tak nak awak cuma harapkan saya"

"Maksudnya apa?"

"Saya tak nak awak terbiasa dengan saya. Nanti saya tiada, macam mana?"

"Apa maksud awak tiada?"

"Bila saya sibuk, nanti awak cari saya, saya tak dapat datang pada awak, susah"

"Jadi, ini latihan kiranya?"

"Ya, ini latihan supaya kita tidaklah terlalu bergantung antara satu sama lain"

"Baik. Awak nak buat sampai bila?"

"Nanti kalau perlu, saya akan cari awak, boleh?"

"Jadi, saya tak boleh hubungi awak?"

"Boleh"

"Saya boleh hubungi awak, tapi awak tak akan balas kan?"

"Begitulah. Saya tak halang awak cari saya, tapi saya memang tiada reaksi"

"Baiklah, kalau awak suruh begitu. Tapi kalau awak hubungi saya?"

"Kenapa?"

"Perlukah saya balas?"

"Pernahkah awak tak balas bila saya cari awak?"

"Tak pernah."

"Jadi, teruskan apa yang awak buat"

"Oh, adil ya?"

"Terpulang pada awak"

http://farm3.staticflickr.com/2194/4478889110_7fdb60e024.jpg
[Sumber gambar] - Gambar ini ironi. Setuju?

Jadi manusia yang mendengar kata dalam hubungan, si gadis hanya mengiyakan sahaja apa yang diminta oleh si jejaka. Ada benar dalam tutur katanya, tidak perlu sentiasa berhubungan, tidak perlu saling mencari kerana mungkin akan timbul rasa bosan dan ada orang perlukan waktu sendiri. Dia hadam sahaja permintaan - memandangkan dia rasa dengan perkara demikian mungkin jejaka akan merindui dia jika berhubungan sekali sekala. Dia masih meneruskan rutin, tegur jejaka - kirim pesanan ringkas, hantar pesanan elektronik dan sebagainya - kerana dia sudah terbiasa. Tidak lagi mengharap jejaka akan balas. 

Perkara itu berlarutan beberapa lama. Gadis sudah terbiasa ditinggalkan berhari-hari. Sementelahan pula, jejaka sering mengingatkan bahawa tanpa ikatan sah, mereka sebenarnya hanya sedikit sahaja istimewa berbanding teman biasa. Tidak perlu setiap hari menyatakan cinta ibarat pasangan yang sudah bernikah. Gadis, akur sahaja. Dia simpan sahaja apa yang dia sudah sediakan dalam kepala. Kalau jejaka muncul, baru dia bersuara. Kalau tidak, dia teruskan hidup yang biasa-biasa.

Lebih kurang tiga purnama keadaan berlarutan dan si gadis terima satu pesanan daripada si jejaka. Sudah lama dia menunggu manusia itu muncul, walaupun dia masih meneruskan rutin menghantar pesanan dan sebagainya tanpa balasan. Hati dia berbunga bila lihat teguran si jejaka.

"Hai awak"

"Hai sayang"

"Saya cuma nak beritahu yang saya sudah ada pengganti awak"

"Apa?"

"Dia lebih mengambil berat berbanding awak."

"Tapi, saya juga cari awak setiap hari, walaupun awak tak balas saya"

"Itu tidak memadai, selamat tinggal"

Klik!

Gadis jatuh terduduk tanpa bicara.
Dia mendengar kata.
Dia buat apa yang diminta.
Tapi, ini yang diterima.
Langsung tiada sebutir air mata.
Yang ada cuma khayalan yang berderai bagaikan kaca.

Zara : Tiada yang lebih menyakitkan di atas dunia ini berbanding dikhianati, disakiti oleh manusia yang kita tidak akan pernah sangka akan melukai kita satu hari nanti. (Shafaza Zara, 13 April 2012)

Sabariah.


Sebelum tidur semalam, dengan sakit di tangan (kedua belah) dan sakit dalam hati (huru-hara manusia ini) - aku buka satu persatu gambar dan pembacaan aku waktu zaman masih belajar. Kebetulan, aku terbaca tentang biasiswa untuk pelajar perdana yang mengikuti pengajian Julai atau Sepetember, aku teringatkan di waktu bulan begini, sekitar tiga tahun lepas- aku sedang bertungkus lumus dengan projek sarjana muda. Menggila demi apa yang dipanggil segulung ijazah. 

Dalam banyak-banyak gambar, ada sesuatu yang menangkap mata aku. Teman sebilik yang pendiam. Perjalanan hidup aku masa di universiti saling selang seli. Tahun pertama aku dengan kawan sekursus, tahun kedua dengan budak perancang bandar, tahun ketiga dengan kawan sekursus dan tahun akhir dengan arkitek (Ya, dan dia jadi arkitek kini). Mungkin yang paling pendiam antara tiga orang lain yang tinggal bersama aku yang gila ini.

Nama dia Sabariah. Dan aku rasa, nama itu sesuai dengan orangnya. Penyabar. Mungkin sebab aku bising, suka memekak dan terima kasih pada kerjaya yang aku pilih, aku memang sesuai dengan kerja bercakap. Hah! Kadangkala segan sebab bising dan aku keluar bilik - pergi bising di bilik sebelah (seorang adik-seorang kakak-dan mereka berdua sudah berkahwin, ehem!). Sabariah yang lebih mesra dipanggil Sab, mengajar aku banyak benda dalam diam. Dalam diam dia, dia buatkan aku jadi manusia lain bila dalam bilik dan bila aku di bilik-bilik kuliah. Dan dengan dia, aku mula kenal jiwa yang aku buang satu ketika dahulu.

Sab teliti, dan aku suka tengok dia bekerja dalam bilik. Tekun. Ada orang kata, kalau nak berjaya di universiti, kita kena sebilik dengan orang yang sama kursus dengan kita - jadi kita punya daya saing akan lebih tinggi dan sikap berlumba itu akan dalam keadaan maksima. Tapi aku sebilik dengan dia yang lain kursus, aku lebih tekun aku rasa, walaupun bukanlah aku belajar sentiasa. Ha ha ha. Sebab dia bijak - jadi aku mahu jadi setanding juga, walaupun ukuran penilaian kami berbeza.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdbNxVU6tQthLLmO7exy9PmekY3z8cmBdt_UnZuUT07ofWAHSiK0QeNmEt6gaZoDiXBU6lyl-cHeLPFUp1IgualK2sVF14flK-glVWQkWal7dF4kDlwL3DKt226JG1MMD36QPchuc0fCs/s604/diva.jpg
20 Februari 2010 - Tahun akhir pengajian Sab.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhglpix6_KFj6RlkDwqYJ1sknLpWO0euyI0pOr7y2eK7j08iS3llg09T3JM9hQoMtbhIU3W0xiH2yevB018GA_wM_sZxVCMjJ9NMzFQnvsw2UIxEBKu3g9r0oYRMubOZEX9Df8TIzmtT_w/s640/diva%2520nakal.JPG
Kali terakhir kami berjumpa. Kalau kau tanya aku, apakah aku sedih, aku akan jawab ya.

Tahun 2012.
Aku rasa sudah beberapa tahun berlalu - sejak aku jumpa Sab. Terima kasih pada teknologi sebab kami masih lagi dapat berhubung. Aku masih lagi dapat baca tulisan dia, aku masih lagi dapat menjengah gambar dia, berdoa agar ada pertemuan dengan dia sebab acap kali aku turun ke ibu negara, aku tidak berkesempatan untuk bertemunya. Dalam banyak-banyak benda yang aku rindu dengan Sab, aku rasa, aku rindu duduk makan dengan dia. Sebab banding dengan aku, dia makan dengan sopan dan memang terserlah sifat kewanitaan. Aku? Perlukah aku cerita? 

Malam tadi aku mimpi dia. Aku harap bila aku berkesempatan nanti, aku jumpa dia. Sebelum sel-sel badan aku mengkhianati aku sejak sebulan lepas ini, otot-otot mula mengeluh dan sistem badan memberontak, aku harap akan ada pertemuan. Dan aku, bila aku mimpi bertemu dengan kawan lama, aku tahu apa maknanya itu. 

Aku sudah terlalu rindu.

Zara : Kadangkala aku rasa aku bukan kawan yang baik. Sebab aku tidak mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kawan-kawan aku yang hebat. Tapi aku bersyukur, sekurang-kurangnya, mereka hadir dalam hidup aku - memberikan aku sebab lebih kuat untuk terus jadi manusia.

Thursday, April 12, 2012

Senyap #01.


Senyap.
Pernahkah kau dengar bahawa dengan kesenyapan seseorang itu, ada manusia lain yang boleh mati dan berputus asa dalam hidup mereka?

Senyap.
Pernahkah kau tahu apabila seseorang yang dikasihi, dicintai senyap begitu sahaja, manusia yang mencintai dan menunggu boleh menghabiskan nyawa sendiri tanpa dia sedar bahawa dia akan lenyap?

Senyap.
Pernahkah kau mengerti bahawa kesenyapan kau membunuh manusia disekeliling yang kau tinggalkan dalam diam - hanya kerana kau sahaja tahu alasan kenapa kau berbuat demikian?

Senyap.
Pernahkah kau tahu dengan sikap degil dan membatu diri kau menyebabkan ada manusia yang sudah putus asa dan putus harapan dengan kau yang membiarkan dia perlu hidup sendiri menanggung kecurangan dan pengkhianatan kau dalam kesenyapan ibarat munculnya kayap?

Senyap.
Pernahkah kau berhenti dan buka mulut untuk menegur manusia yang kau sayangi lebih dari sepuluh perkataan, padahal dia menunggu kau ibarat burung kecil yang tidak sabar meninggalkan sarang selepas kuat sayap?

Senyap.
Pernahkah kau cari dia yang semakin lama semakin hilang rasa, hilang kawalan diri akibat kesenyapan kau yang mencengkam diri manusia biasa - menularkan kesakitan dalam jiwa ibarat pohon yang tumbuh merayap?

[Sumber gambar]
Senyap.
Pernahkah kau tahu bahawa kesenyapan kau telah membunuh manusia yang kau sayangi?


Senyap.
Dia sudah lenyap.
Dia sudah ranap.

Senyap.
Tahniah, kau sudah jadi pembunuh seperti yang kau harap.


Zara : Jadi manusia yang setia bukannya sukar, bahkan ianya sangat mudah. Jika kau sebenarnya sangat mencintai seseorang, kau tidak akan buat apa-apa yang merosakkan hubungan tersebut dan juga tidak akan menyakiti serta melukai seseorang yang kau cintai itu. (Shafaza Zara, 12 April 2012)

Wednesday, April 11, 2012

Rindu #01.


Dia.

Manusia yang suka hilang.
Bila dia suka, dia datang.
Bila dia benci, dia menghilang.
Bila dia sunyi, dia akan kata sayang.
Bila dia rasa sendiri, dia akan kata rindu bukan kepalang.

Satu pihak lagi.

Rasa malang.
Rasa mahu sailang.
Manusia yang buat dia rasa kehilangan bayang.
Yang merenjat dia jadi manusia penyayang.

Dia.

Bila pihak satu lagi sudah berhenti makan hati.
Bila pihak satu lagi sudah pasung bibir tidak pernah berbunyi.
Bila pihak satu lagi sudah serahkan segalanya dalam belas Ilahi.
Dia datang seperti tiada apa yang terjadi.

Satu pihak lagi.

Kenapa dia kembali?
Kenapa dia cederakan hati?
Kenapa dia tidak pernah gagal mendebarkan jantung berfungsi?
Kenapa dia masih mampu membekukan diri?
Kenapa dia masih gagal ditangisi?

Dia.
Entah apa sebab dia.

Satu pihak lagi.
Entah kenapa dia kekal berdiri.

[Sumber gambar]

Kalau awak gunakan kopi untuk merasai kehadiran saya, saya juga gunakan kopi untuk hilangkan rindu pada awak. Selagi tak hilang, saya minum.


Zara : Kepada diri sendiri yang disayangi, jika kamu mengharapkan terlalu banyak, kau akan kecewa terlampau besar juga apabila benda yang dimahukan tidak dicapai. Sekian. Manusia yang sayang diri sendiri. (Shafaza Zara, 11 April 2012)