Wednesday, September 25, 2013

#WW25 : #ProjectZS


Dan begitulah hidup.
Orang yang tiada kehidupan lain selain rumah - sekolah - rumah.
Kerja - membaca - kerja - menanda - membaca - kerja.

http://distilleryimage11.ak.instagram.com/8eccb07c25db11e3bd9722000ae80ebd_7.jpg
[Instagram aku] - Letak kerja ke tepi. Masa untuk buat kerja lain sekejap.

Macam buat folio sekolah.
Sekurangnya ia tak buat aku lelah.


Tuesday, September 24, 2013

Kerana Mereka.


Salam.
Aku rasa, sampai sekarang aku boleh hadap apa sahaja dalam hidup, adalah disebabkan aku punya mereka yang sangat kuat sebagai penyangga kehidupan aku. Kuat macam mana sekalipun orang pandang aku (mungkin), aku selalu mengingatkan diri aku --- dua manusia yang tidak pernah tinggalkan aku sejak aku wujud dalam dunia.

Ya.
Mak dan Abah.
Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.

Sekarang ada suami.
Jadi, ada tiga kini.

Tapi sekarang ini, aku hanya mahu berkongsi tentang yang lebih dekat dengan hati. Yang kena dengan situasi aku, emosi aku saat ini. Barangkali, terlampau banyak benda yang aku mahu fikirkan dalam satu masa, berkadar langsung dengan emosi serta suasana dari aku mula bekerja, aku fikir, bila dinilai kembali, kawan aku yang paling akrab adalah Emak. Sejak aku tamat pengajian dan memulakan kerja, aku duduk dengan keluarga. Sampai aku dah kahwin dan berjauhan dengan suami atas tuntutan kerja. Hidup aku, ada Emak sentiasa.

Anak emak.
Kawan aku pernah kata aku anak emak. Jujurnya, kita semua adalah anak kepada emak kita kan? Apa sahaja yang kita lakukan mesti akan terlintas pemikiran tentang emak sendiri. Kalau tak banyak, sedikit sudah tentu. Jadi, setiap kali aku mahu lakukan sesuatu, aku mesti teringatkan emak. Terfikirkan bagaimana reaksi emak kalau emak dapat tahu dan sebagainya. Dalam beberapa situasi, kalau aku rasa Emak akan benci perkara tersebut, aku akan tinggalkan sahaja. Biar pun aku sendiri akan rasa kecewa. Mudah.

Dengan Mak, aku banyak cerita benda.
Dari hal sekolah, membawa kepada hampir setiap benda yang aku rasa boleh bercakap dengan dia. Mak pun ke sekolah bersama aku, pulang bersama, hidup bawah satu bumbung yang sama, jadi dengan Mak sahajalah aku boleh bercakap selain Abah (sesekali dengan adik beradik yang pulang dan suami bila hujung minggu). Selainnya, hanya mereka. 

Jadi, bila berbual dengan Mak malam tadi, tentang benda yang dekat dengan hati, aku tekankan kaki aku ke lantai, kepal tangan dengan kuat, tahan air mata dari mengalir dan cuba berlagak tenang sedaya upaya yang aku boleh. Ya, aku anak yang sedemikian rupa. Yang sejak dahulunya memang berfikiran dangkal (mengikut ukuran pemikiran orang lain) --- memandangkan pada aku, kegembiraan aku bergantung kepada kegembiraan Mak dan Abah aku. Menyakiti mereka, umpama menyakiti aku secara langsung.

Ya.
Naif eh?
Peduli pula aku.

Membuatkan mereka tersentuh, mengalirkan air mata --- kau bakal berhadapan dengan aku yang kalau amarahnya tidak terkawal, mungkin aku bukan lagi anak yang berikan senyuman paling cantik (walaupun hati dicarik-carik) pada kau. Mudah sahaja. Mudah berurusan dengan aku, memandangkan, aku punya wanita paling mulia di mata aku di jiwa aku.

"Mak, kalau orang tak suka kita camne?"
"Kita jangan tak suka orang"

"Kalau orang tetap tak suka kita?"
"Mungkin kita ada rasa tak suka pada orang. Bersihkan jiwa dari ada rasa macam tu pada orang lain"

"Tapi kalau kita takde benci pada orang, tapi orang benci juga pada kita?"
"Itu ujian Allah pada kita. Nak tahu sejauh mana sabar kita"

"Sabar pun ada had juga Mak"
"Mak tahu. Tapi, benda begini kita tak boleh jangka. Allah buat sesuatu kan bersebab. Banyakkan istighfar. Doa. Solat hajat. Moga Allah tunjukkan cara"
Itu Mak.
Tatkala aku separa mamai dipenuhi dengan darah muda, panas menggelegak dan rasa mahu marah semata, dia ada untuk beritahu aku bahawa segala perasaan itu boleh dikawal dengan senjata yang bertunjangkan agama. Doa. Amalan-amalan mulia. Baik wajib, sunat segala. Supaya, anak yang setiap kali ada bersama dia ini mampu kawal marah (walaupun seringkali hampir jadi pengganas jalan raya).

Senyum.
Dalam segala urusan, ada kata-kata Emak buatkan aku lebih menghargai apa yang aku cuba buat dan lakukan. Mungkin dengan didikan yang garang, yang buat aku sering tertanya-tanya dahulu, mengapa, mengapa, mengapa --- kini aku dapat jawapan yang aku dambakan.

Setiap apa yang Mak dan Abah lakukan ada justifikasi mereka sendiri yang tidak perlu diberitahu kepada anak-anak dalam bentuk lisan. Satu hari, mereka akan mengerti. Dan kini, aku mengerti setiap tindak tanduk yang mereka lakukan (sekurangnya).

Mak.
Terima kasih atas segala.
Sekurangnya, malam tadi, sewaktu letak kepala atas bantal, Along boleh atur semula banyak benda dalam kepala. Apa yang dicari hari ini, dikutip demi masa hadapan yang lebih baik bukan untuk keperluan sendirian semata. Bukan sekadar mencari di mana hilangnya jiwa --- tapi mengukuhkan diri agar tabah menghadapi apa sahaja. 

Senyum.
Terima kasih, Mak.
Selamanya Puan Mulia.

http://distilleryimage0.ak.instagram.com/4b82debebaaa11e2aa0322000a1fa408_7.jpg
[Instagram aku] : Gambar masa bertunang sahaja yang aku ada sewaktu menulis ini.

Nota Kaki :
Bila segalanya tidak seperti yang kita fikirkan, rancangkan --- jangan pernah berputus asa. Biar kalah mencuba daripada duduk diam dan pujuk diri untuk pasrah. (Shafaza Zara, 23 September 2013)

Sunday, September 22, 2013

Demi Amanah.


Salam.
Aku baru balik dari kursus selama 5 hari 4 malam. Kursus CPD (Continuing Profesionalisme Developement). Kalau kau tanya aku tentang pengisian kursus, tentunya aku akan kata menarik (walaupun ada beberapa gaya penyampaiannya buat aku sedikit tepu). Keseluruhannya bagus cuma tempat adalah paling teruk pernah aku pergi.

Kau nak kata aku berkira?
Memilih?

Aku beritahu sebab dan selepas tu, kau boleh kata apa sahaja (lagi).

  1. Dalam bubur sarapan pagi ada lipas berenang.
  2. Masa masuk, cadar berhabuk, dan bilik air sangat berlumut.
  3. Hanya hari pertama sahaja bilik dikemas. Sehingga hari terakhir, tiada pengemasan.
  4. Lauk ikan keli ada telur lalat.
  5. Ikan goreng busuk --- digoreng garing dengan tepung demi hilang busuk, kot.
  6. Barang aku hilang dalam dewan seminar. 
  7. Tuala yang disediakan pihak hotel tak berganti sampai hari terakhir. Takpe.

Dengan pelbagai keadaan fizikal di atas, aku jujurnya lebih senang dengan kursus seminggu sebelum ini di Pangkor. Aku tidur 5 hari 4 malam dalam khemah dengan cuaca hujan lebat, air masuk khemah, tapi masih gembira. Makan beratur panjang dengan peserta hampir 300 orang (mungkin lebih) hanya di kantin tapi makanannya lazat. Penat macam nak mati buat aktiviti --- bertampal dengan koyok segala tapi masih sedap. Masih nikmat berbanding duduk dalam dewan tetapi dengan keadaan fizikal di atas.

Heh.

Tapi, itu bukan perkara pangkal yang aku mahu ceritakan.
Jauh menyimpang aku ni.

Bila pergi kursus ni, aku sedar banyak benda.
Aku terkenang diri aku yang dulu.
Yang masih belajar dalam cari siapa aku.
Dalam konteks seorang guru.

Dilahirkan dan dibesarkan oleh guru.
Dididik oleh pelbagai jenis guru di sekolah.
Diberikan pelbagai maklumat, ilmu di pengajian lebih tinggi.
Aku rasa aku jumpa pelbagai jenis tenaga pengajar.

Dan satu pun tidak pernah buat aku benci dengan istilah belajar.
Langsung tidak pernah.

Kalau pun dulu aku sering gagal Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Sejarah --- tapi seorang di kalangan guru aku tak pernah panggil aku bodoh. Benda yang aku rasa menjadikan siapa aku hari ini adalah tidak pernah guru aku panggil aku bodoh. Walaupun ada sahaja budak lain, kawan dan bukan kawan yang panggil aku bodoh sebab selalu angkut huruf G --- aku tenang sahaja dan anggap itu cabaran. Aku lulus semua sekali mata pelajaran di atas dan daripada 4 yang aku nyatakan di atas, hanya Biologi aku cukup-cukup makan. C6. Yang lagi tiga, aku dapat A1 (Sejarah) dan A2 (Fizik dan Matematik Tambahan).
 
Semuanya sebab cikgu.

Jadi, bila ditanya, dibandingbeza dengan pelbagai kerjaya lain, ada orang tanya kenapa aku duduk dalam kerjaya ni. Kerjaya yang orang sekarang pandang rendah dan sebagainya. Mungkin tahap dan nilai guru sekarang dilihat tidak sama dengan zaman kegemilangan satu masa dulu. Entah.

Jawapan aku mudah.
Demi kegembiraan.

Aku gembira dengan kerjaya aku. Aku sentiasa merasakan hidup memerlukan kegembiraan --- jadi sebagai seorang guru, aku merasakan bahawa kegembiraan itu adalah perlu. Semangat yang pernah ditanyakan oleh seorang pensyarah aku dulu --- masih aku rasakan dalam hati. setiap hari, bekerja melihatkan mereka yang duduk depan mata aku, aku sentiasa mengenangkan diri aku yang suatu ketika dahulu pernah duduk di situ. Bagaimana guru-guru aku melayan aku, aku sedaya upaya mahu buat perkara yang sama untuk anak-anak dihadapan aku.

Demi senyuman.
Aku akan kuatkan usaha.
Untuk jadi yang unggul dalam membawa rasa cinta.
Kepada ilmu, buat mereka.

Ini adalah amanah.
Amanah yang dititipkan buat aku.
Sekuat mana cabaran yang aku hadapi dalam kerjaya ini, aku tak mahu tumbang dihadapan mereka yang aku harus kelihatan kuat sentiasa. Yang aku mahu pamerkan rasa kuat dan bangga akan sedikit perubahan yang mungkin aku dapat rasa.

http://distilleryimage8.ak.instagram.com/ae6c810c21d811e3b4cc22000a1fbe13_7.jpg
[Instagram aku] : Beritahu diri sendiri bahawa kerja adalah amanah. Senyum dan teruskan usaha.

Apa yang aku hadapi hujung minggu ini, buat aku berbelah bagi.
Dengan keputusan yang aku buat secara peribadi.
Adakah demi kepuasan sendiri.
Ataupun sekadar berusaha sepenuh hati.
 
Nota Kaki :
Nanti aku kongsi sedikit ilmu yang didapati dari kursus itu yang aku rasa sesuai untuk kalian di sini.

Monday, September 16, 2013

Hidup.


Barangkali sebagai manusia kita acapkali mahu tamak. Tamak dengan segala benda yang kita nampak atas dunia. Seringkali kita terdorong mahu mengambil semua di hadapan mata tetapi terhenti sebelum kita cuai mahupun alpa.

Tidak semua benda, kita yang punya.
Tidak semua harta, kita layak mendapatnya.
Ada yang sudah dalam tangan, boleh hilang terbebas ke udara.


Begitulah dengan kita manusia.
Ada yang kita berkehendakkan perlu dikawal secara menggila.
Tidak mungkin selamanya kita kena menahan diri daripada mendapatkannya. Cuma ada waktu yang sesuai, keadaan yang mengizinkan --- nah, ambil sahaja. Itu suratannya. Jika bukan rezeki, yang sudah di dalam mulut pun boleh terluah.

Kan?

http://farm8.staticflickr.com/7419/9753348352_29aefa3937.jpg
[Flickr]

Istilah kesal?
Mungkin ada.
Mungkin tiada.

Cuma.
Ada beza pasrah dan redha.
Beza.


Wednesday, September 04, 2013

#WW24 : Penang Dan Kami.


Aku suka Utara.
Selain daripada negeri aku sendiri, Utara adalah tempat yang aku suka. 
Kecuali kau kira betapa penatnya kaki melekat lama dalam kereta.
Jalan sesak serupa gila sebab cuti umum negara.
Selainnya, semua buat aku gembira.


http://farm6.staticflickr.com/5550/9653100818_5f4d306236.jpg
[Flickr suami] : Ini sangat mengingatkan aku pada Tok Rimau.

http://farm8.staticflickr.com/7429/9649901125_97d53f751d.jpg
[Flickr suami] : Perjalanan kami pulang, sudah hampir siap warna.

Selain Ipoh yang banyak benda aku rasakan berunsur seni, Penang pastinya ada banyak benda menarik di belakang-belakang lorong serta jalan yang tidak dijangka. Terima kasih pada suami yang kebetulan bawa sekali Pentax dia. Benda tidak dirancang, lepas sarapan terus ke bandar. Patutnya pulang ke rumah penginapan. Main belasah tanpa acara.
 
Dah.
Jom tengok sebahagian gambar.
 

http://farm3.staticflickr.com/2807/9649875395_aa27f0a688.jpg
Ini di Lebuh Campbell. Bukan sup cendawan tu.

http://farm8.staticflickr.com/7406/9653113876_557f1d601d.jpg
Baru nak rasa macam England, sekali ada perkataan Penang. Heh!

http://farm4.staticflickr.com/3736/9653131138_d5ebdd9d17.jpg
Armenian Street. Potong sungguh sebab ada orang letak kereta mereka depan ni. Tempat begini jangan letak kereta la hoit!

http://farm3.staticflickr.com/2833/9653132480_bd4e1bc964.jpg
Ini di kawasan Hokkien kalau tak silap.

http://farm6.staticflickr.com/5497/9653129312_a2c933f765.jpg
Aku tak faham kenapa banyak sangat Minions.

http://farm3.staticflickr.com/2842/9653122820_4a64f6fb0c.jpg
Bukan minah rempit.

http://farm6.staticflickr.com/5545/9649893829_60a30eeb34.jpg
Bukan merajuk. Bukan.

Dan yang terakhir sekali, kami jumpa sesuatu di dinding yang menarik hati. 

Isteri : 

http://farm4.staticflickr.com/3774/9649886623_7d7c2d6bc0.jpg


Suami : 

http://farm4.staticflickr.com/3780/9653121088_d731eb07e6.jpg


Lebih gambar boleh dilihat di Flickr Set : Penang Trip.

Nota kaki : Ke Utara semula untuk urusan kerja.

Tuesday, September 03, 2013

Tinggal Persoalan.


Diam.
September sudah muncul.

Harga bahan bakar melonjak naik.
Dengan harapan harga diri manusia masih kekal tinggi, baik.

Ada seorang kenalan bertanyakan soalan malam tadi. Tatkala sibuk bersama dengan rakyat Malaysia lain mengisi tangki minyak masing-masing (aku isi sebab esok nak pergi sekolah dan tangki itu tak boleh tidak penuh) --- persoalan yang dihadapi barangkali boleh menyebabkan seseorang naik minyak.

DR : Sibuk ke?
Aku : Tak sangat. Kenapa?

DR : Nak tanya pendapat.
Aku : Silakan.

DR : Kau kenal dengan AS kan?
Aku : Kau punya tunang dulu tu ke?

DR : Bekas tunang.
Aku : Ya, tahu. Tahu.

DR : Ada orang mengaku dia dah empat tahun bercinta dengan AS.
Aku : Oh, ye ke?

DR : Ya. Dan aku bersama AS selama lima tahun. Apa maksudnya tu?
Aku : Maksudnya kau tak payah hiraukan dia lagi.

DR : Bukan. Maksudnya dia menipu aku selama ni.
Aku : Hello. Masa dengan kau pun, dia ada skandal dengan dua orang lain kan? Kau nak bukti apa lagi?

DR : Aku sakit hati.
Aku : Sakit hati tu aku faham. Yang aku tak faham, kau cakap pasal dia lagi dah kenapa?

DR : Sebab aku rasa dikhianati sangat.
Aku : Selama ni pun dia khianat semua orang. Bukan kau seorang. Keluarga kau. Keluarga dia.

DR : Benci betul aku.
Aku : Sudahlah. Kau dah nak kahwin lagi dua minggu. Abaikan dia. 

DR : Kalau aku jumpa dia, aku nak pukul dia dengan penyapu.
Aku : Kenapa kau tak nak sedut guna vacum je?

[Sumber gambar]

Menipu dan terus menipu.
Berani datang balik dan cuba untuk pujuk rayu.
Bolehkah kau berhenti dan jujur beritahu.
Kenapa kau teruskan drama yang sudah layu.
Berhenti dari tuding jari sambil tersedu.
Lakonan kau serupa kayu.

Nota Kaki : Hidup itu menarik dan perancangan Allah itu cantik. (Shafaza Zara, 29 Ogos 2013)