Showing posts with label Memori. Show all posts
Showing posts with label Memori. Show all posts

Wednesday, January 09, 2013

#WW22 : Bawa Bekal Ke Sekolah.


9 Januari 2013.

Bekalan hari ini. Apa yang ada, lenjan lebur dalam kuali. Untuk tahun 2013, dah 3 hari bawa bekalan sepanjang minggu ini. Masak awal pagi, tapi sempat makan dekat jam satu petang. Nasib baik tak basi. Ha ha ha.

Jadual waktu perut dah jadi aneh. Mungkin sebab jus yang diminum - perut jadi normal semula. Sebelum tidur malam dah jadi macam emak-emak, sebab dalam kepala fikir satu benda.
"Eh, esok nak masak apa?"

http://distilleryimage7.instagram.com/5f424b8e5a4b11e2a7ab22000a1f97eb_7.jpg
[Instagram aku]

Bila difikirkan kembali (sewaktu aku menghadap bekalan di atas seorang diri dengan ditambah kesejukan dalam tempat kerja) - zaman sekolah aku dari sekolah tadika sehingga ke Tingkatan Lima, setiap hari aku bawa bekal makanan ke sekolah. Ya, setiap hari disebabkan Puan Mulia memang masak awal pagi untuk kami sekeluarga. Masak pagi di sini bermaksud bekalan untuk sarapan dan juga masakan tengah hari bila kami pulang ke rumah dan perlu makan sebelum ke sekolah agama. 

Masa aku dalam Darjah 1 hingga 5, bekalan duit aku ke sekolah hanya dua puluh sen. Aku dalam Darjah 1 pada tahun 1994. Apa yang boleh dibeli dengan dua puluh sen? Entah, aku jarang pergi kantin disebabkan bekalan yang disediakan adalah mengenyangkan. Betul. Jadi dua puluh sen aku hanya digunakan di sekolah agama petang. Beli makanan ringan yang jika boleh, satu harga 10 sen, jadi boleh dapat dua. Ha ha ha.

Bekalan makanan sewaktu sekolah rendah di kediaman lama dulu sering jadi tumpuan rakan-rakan ketika waktu rehat. Mana dapat nasi ayam, nasi minyak, nasi lemak, nasi tumis di kantin sekolah? Tapi dalam bekalan yang aku bawa dari rumah - itu antara menu yang disediakan oleh Puan Mulia. Bawa duit tak mewah, tapi makanan kira mewah dan semuanya disediakan di awal pagi sebelum beliau keluar mencari rezeki dan kami semua ke sekolah.

Bila aku dalam Darjah 6, duit belanja sudah jadi 50 sen. Itu pun aku masih bawa bekal lagi dan 50 sen itu dijimat supaya boleh digunakan sebagai belanja sekolah agama. Kadangkala sekolah agama pun bawa bekal nasi tengah hari - jika ada benda lain yang mahu dibeli menggunakan duit tersebut. Aku ingat bawa bekal cuma di sekolah rendah, tapi sampai sekolah menengah pun masih bawa bekal.

Dari Tingkatan 1 sampai Tingkatan 5, duit belanja aku setiap hari adalah seringgit. Pandai-pandailah mahu jimat kalau teringin mahu makan ataupun beli sesuatu yang lain. Kadangkala bekalan aku sudah makan di awal pagi, jadi dengan duit seringgit, aku beli beratur di kantin dengan menu yang sudah tersedia dalam kepala.

Nasi goreng/mee goreng = 50 sen.
Nugget/keropok lekor = 30 sen.
Air sirap/kordial sejuk = 20 sen.
Jumlah = 100 sen = seringgit.

Habis dah duit. 
Heh!

Bila naik Tingkatan 5, Abah mula bagi aku RM 5. Tapi RM 5 adalah untuk seminggu. Sama sahaja satu hari adalah RM 1 juga. Cuma bila aku ada kelas tambahan, aku akan dapat tambahan duit sedikit, kiranya sehari RM 2. Apa yang aku buat adalah bawa bekal. Bekalan makanan dimakan pada waktu rehat, manakala duit yang ada diperuntukkan untuk beli makanan waktu petang. Pilih makanan paling murah dan mengenyangkan (polisi aku dulu, sampai sekarang kadangkala). Ha ha ha.

Bila mengajar di sekolah, sesekali aku bawa bekalan juga. Untuk tahun 2013 ini, sejak dari hari pertama minggu kedua aku bawa bekalan sendiri. Ada beberapa sebab, antaranya adalah jadual aku agak padat di waktu pagi, jadi bekalan makanan adalah cara terbaik untuk aku dapat juga makan walaupun lambat serta ada sebab sedikit peribadi yang tak perlu dikongsi. Heh!

Tapi, orang yang menerima tabik hormat daripada aku adalah Puan Mulia. Tahun ini bakal masuk tahun ke dua puluh tujuh beliau mengajar dan beliau masih bawa bekalan nasi setiap hari. Ya, sebab dia perut nasi dan untuk mengelakkan dia terkena gastrik, perut dia sensitif makanan pedas - maka, bekalan yang dimasak sendiri di rumah adalah sangat baik untuk dia.

Sekejap.
Esok nak masak apa eh?


Saturday, November 26, 2011

Berpisah Kerana Taraf Pendidikan




Tahniah.
Tahniah buat kawan baik yang melangsungkan majlis pertunangan.
Tahniah buat kawan sekursus di universiti yang sudah bergelar isteri orang.
Tahniah juga kepada rakan-rakan lain yang menjemput aku menghadiri majlis kalian.

Semalam ada berbual dengan seorang kawan lama. Ada urusan yang perlu diselesaikan dan ternyata, perjanjian antara kami tidak dapat dilunaskan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Ah, aku kalau hajat hati dihalang oleh Puan Mulia, maka, aku sanggup buat apa sahaja untuk biarkan dia lihat aku sebagai anak yang mendengar kata, walaupun itu bermaksud aku perlu lupakan apa yang aku hajati. Baiklah, berbalik kepada perbualan aku dan kawan itu, selain daripada mahu ke suatu destinasi yang sama, hajat hati adalah mahu tahu suatu kisah yang dia tidak beritahu dunia, tetapi aku boleh baca daripada catatan ringkas dan kesan yang tertinggal di laman sosial dia.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_labl200Mg71qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Aku : Minta maaf aku tak dapat pergi bersama.
KY : Tak mengapa. Dah Mak kau tak berikan, mesti ada sebab.
Aku : Ya, ada. 
KY : Lain kali sahaja ya?
Aku : Baiklah. Ni sebenarnya, ada benda aku nak tanya pada kau.
KY : Tanya apa?
Aku : Dah lama nak tanya tapi aku senyapkan dahulu. Ingat bila jumpa kau depan-depan, aku nak tanya sendiri.
KY : Tanyalah. 
Aku : Kau dah tak ada apa-apa dengan RS?
KY : Kenapa?
Aku : Sebab aku terbaca sesuatu di laman sosial kau dan dia pun dah buang aku dari senarai kawan. Itu yang aku nak tanya. Kalau aku salah, aku minta maaf awal-awal.
KY : Betul, dah tak ada apa-apa.
Aku : Kenapa?
KY : Sebab dia dah bertunang.
Aku : Apa? 
KY : Tak sangka kan?
Aku : Bertunang dengan siapa?
KY : Sepupu ke saudara dia sendiri, macam tu lah.
Aku : Tapi, aku tengok kamu baik sahaja.
KY : Itulah. Dah orang tak nak, nak buat macam mana?
Aku : Apa alasan sebenarnya?
KY : Mungkin keluarga dia tak suka aku.
Aku : Kenapa tak suka?
KY : Macam kita berdua, setakat ini ada ijazah kan?
Aku : Sekejap. Dia tolak kau sebab dia sekarang ambil PhD?
KY : Macam itulah. Katanya nak yang setaraf. Aku kan baru ada ijazah sarjana muda, apalah sangat kan?
Aku : Tapi, aku tengok dia dulu tak macam tu pun.
KY : Manusia kan berubah.
Aku : Tapi, bukannya lekeh sangat tak ada PhD. Maksud aku, ada ijazah pun orang tak nak sekarang?
KY : Tak setaraf. Kau faham dik? Orang anggap tak setaraf bila aku ni setakat ijazah, dan anak dia ambil PhD. Bakal ada Doktor didepan, dan aku ni, macam kau juga, hanya cikgu.
Aku : Ada masalah ke kalau kita cikgu? Boleh sambung belajar kan?
KY : Memang, tapi buat masa sekarang aku belum sambung lagi kan? Anak dia dah nak habis belajar lagi pun. Nanti nampak sangat perbezaan. Mak dia malu agaknya. Sebab Mak dia pun pandai, terkenal.
Aku : Kaya eh?
KY : Bolehlah dikatakan berada. Kita biasa-biasa dik.
Aku : Tapi, tolak sebab perbezaan pendidikan, macamlah kau tak habis sekolah langsung.
KY : (ketawa) Aku dah tak nak fikir.
Aku : Tapi kalau dia kahwin, dia jemput kau, kau ajaklah aku.
KY : Kenapa?
Aku : Nak tengok dan belajar sesuatu. Bukan sekejap kau dengan dia, dari zaman belajar lagi.
KY : (ketawa) Sekarang ini aku fokus nak cari duit.
Aku : Cari duit dan nak buat apa?
KY : Beli kereta baru.
Aku : Bukan kau baru beli kereta ke?
KY : Lagi dua tahun aku nak tukar kereta.
Aku : Kereta lama?
KY : Nak bagi adik aku guna.
Aku : Tak jadi kahwin, bukan bermaksud kau kena habiskan duit simpanan kau macam tu.
KY : Habis aku nak buat apa? Kau beritahu aku.
Aku : Banyak benda lain.
KY : Aku nak beli kereta.
Aku : Aku doa dalam masa dua tahun ni, kau jumpalah orang lain.
KY : Kenapa?
Aku : Supaya kau tak beli kereta baru.
KY : Choi!

http://25.media.tumblr.com/tumblr_lnuqq38cFg1qax024o1_400.png
[Sumber gambar]

Ya.
Aku faham dalam situasi di atas. Situasi yang dialami oleh KY. Bukan sedikit kawan-kawan aku melalui perkara yang serupa, apabila salah seorang daripada pasangan yang tinggi taraf pendidikan (walaupun belajar tinggi bukanlah kau semua dapat kerja : bak kata kawan aku) - mereka berpisah dengan alasan sedemikian rupa. Tidak dinafikan, bukan semuanya begitu, aku katakan segelintir sahaja yang berfikiran sebegitu. 

Secara peribadinya, aku orang yang memandang tinggi nilai pendidikan. Mungkin sejak dari kecil aku sudah disantakkan dengan kenyataan bahawa dengan ilmu, kita boleh mengubah kehidupan walaupun sedikit, maka aku - orang yang melihat pendidikan adalah perkara yang penting. Lagi pula, ilmu itu ada di mana-mana, maka dengan mengambil kira semua orang layak mendapat pendidikan, aku merasakan keperluan belajar itu antara perkara utama dalam hidup manusia. Dan, aku juga sudah bekerja sebagai seorang gur, pastilah aku mahukan agar semua anak didik aku memperoleh ilmu yang berguna untuk diri dan masa hadapan mereka kan?

Tetapi, itu bukanlah satu benda yang perlu dijadikan alasan atau faktor penolakan dalam hubungan. Adakah nak tanya pada orang setiap kali nak bersama, bercinta dan sebagainya - soalan seperti berikut? :
1. Awak dulu univeristi mana?
2. Awak punya SPM dapat berapa?
3. Awak dulu masa ijazah, kelas berapa? CGPA berapa?
4. Dulu dapat dekan berapa kali? Setiap semester ke tak?
5. Biasiswa ke PTPTN?

Gila ke? Mahu tanya itu semua? Soalan yang sering diajukan oleh orang dalam situasi ini adalah , "Kalau dah tahu aku cuma ijazah sahaja, dan dia nak ambil sarjana (baca : Masters) dan dia kurang selesa atau segan, kenapa dia tak beritahu awal-awal? Bukan aku tak nak sambung belajar, cuma tunggu masa sahaja". Faktor penolakan yang muncul secara tiba-tiba, walaupun tidak dinafikan, mungkin ada faktor luaran yang lain.

Aku : Ijazah, sarjana, doktor falsafah kan keluar dari universiti juga?
Kawan : Setiap dari itu kan tak sama?
Aku : Betul, tapi bukankah boleh berusaha untuk sampai ke tahap tinggi begitu?
Kawan : Maksud kau boleh sambung belajar?
Aku : Betul. Kan kalau ada ijazah, boleh sahaja sambung sarjana atau terus ke doktor falsafah, apa masalahnya?
Kawan : Masalahnya mungkin, masa kau tengah berusaha nak sambung sarjana, orang tu dah ada gelaran Doktor di hadapan nama. Jadi, secara mata kasarnya, dari taraf pendidikan, dah tak sama.
Aku : Macam alasan sahaja.
Kawan : Setiap benda yang berlaku kan perlukan alasan? Sama macam orang yang sama-sama ijazah, tapi sebab graduasi kelas lain-lain pun boleh jadi punca berpisah.
Aku : Sebab kelas pertama, kelas kedua atas, kelas kedua bawah, kelas ketiga pun boleh eh?
Kawan : Manusia kan pelik.
Aku : Segulung sijil itu mahu diletakkan di dalam dulang hantaran ke?
Kawan : Manusia semakin maju, maka pemikiran semakin pelik.
Aku : Dan jelik.
Kawan : Betul. Mungkin orang tua ataupun yang mahu berpisah itu tak sanggup dengar masyarakat mencemuh. Ala, yang itu PhD. Yang bakal pasangan dia cuma ijazah je?
Aku : Tapi, kasihan sangat kalau sebab begini.
Kawan : Memanglah. Macam aku dulu, sebab apa kami tidak bersama? Sebab dia lulusan luar negara, aku cuma dalam Malaysia, walaupun aku graduasi dengan sarjana muda kelas pertama. Kursus yang sama, benda yang sama belajar, tapi sebab dia dari luar negara dan aku cuma lulusan tempatan, keluarga dia kata tak setaraf. Aku ditolak begitu sahaja.
Aku : Benda begini balik kepada hati manusia juga.
Kawan : Ya. Tapi bila melibatkan banyak benda, kadangkala kita terpaksa terima.
Aku : Hadam walaupun berbisa.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_ld3khkSDt41qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Ya.
Aku akur setiap orang ada pandangan dan pendirian masing-masing. Ada sahaja yang tidak habis sekolah, hidup bahagia dengan orang yang kaya raya dan berpendidikan tinggi. Ada sahaja yang hidup bahagia walaupun dia cuma setakat SPM dan bersama dengan pemegang doktor falsafah. Benda begini bergantung kepada hati dan niat kita mahu bersama dengan seseorang. Apakah kita serius, ataupun sekadar mahu menduga sama ada permainan akan sampai ke penghujungnya?

Entah.
Tapi aku suka untuk mengingatkan. Kalau ada sesiapa yang mahu meneruskan hubungan dan menjadikan taraf pendidikan sebagai satu alasan atau faktor untuk berpisah dengan ayat, "Saya tak nak nanti anak kita kata salah seorang daripada kita tak pandai" - aku mohon, tolonglah berfikir dengan semasak-masak dan sejelasnya, apakah matlamat sebenar anda dalam perhubungan. 

Itu sahaja.
Aku juga sedang memohon doa paling tulus agar mereka yang berada di sekeliling aku hidup baik-baik dan gembira sahaja. Bahkan mendoakan diri agar dijauhi dengan situasi sedemikian menduga. Aku secara peribadinya mengintai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam memperbaiki taraf pendidikan (dan juga sahsiah) diri.

Nota Kaki :
1. Salam Awal Muharam semua. Kalau berkesempatan mahu berpuasa esok (Ahad), amatlah digalakkan ya. 
2. Jangan lupa baca doa akhir dan awal tahun pada petang ini (Sabtu)

Zara : Melihat rakan baik sejak tahun 1998 sudah mengikat tali pertunangan, aku hanya ketawa memikirkan adakah aku punya kesempatan untuk melalui saat sedemikian dalam hidup suatu masa nanti? Aku doa moga aku sempat mengecapi sedikit kebahagiaan dunia. Amin.

Monday, November 14, 2011

Kita Tidak Pernah Tahu Rancangan Tuhan.



Sepanjang hujung minggu, ramai yang berkicau di Twitter tentang SPM. Tentang bagaimana mereka melalui zaman sebagai murid yang memakai pakaian seragam, beratur masuk ke dewan peperiksaan, menulis jawapan di atas kertas, mempertaruhkan segalanya untuk melihat hasil yang dapat dibanggakan di atas sehelai slip hitam dan putih dengan kesan karbon berikutan begitu banyak salinan. Hasil usaha selama beberapa tahun sekolah, dinilai oleh masyarakat di atas sekeping sijil.

Sebenarnya, bukan sekadar SPM, tetapi bahkan dengan semua orang semakin celik pendidikan, nilai pelajaran yang tinggi demi masa hadapan, bilangan A ataupun CGPA menjadi penanda aras kepandaian seseorang berdasarkan akademik. Bukanlah mengatakan yang kurang A itu kurang pandai, tetapi itulah bagaimana masyarakat melihat kejayaan. Kesedaran untuk menjadi yang terbaik dalam masyarakat, memberikan segalanya demi kelangsungan hidup menyebabkan kita dapat lihat setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, lambakan pelajar yang cemerlang semakin bertambah. Itu sesuatu yang baik, bahkan kita sentiasa berharap agar kecemerlangan akademik, pelajaran - seiring juga dengan kejayaan akhlaknya. Moral yang tinggi dengan harapan, tiada manusia yang hebat tetapi kejayaannya disulami dengan rasuah, sebagai contohnya.

[Sumber gambar]

Melalui zaman kegemilangan dalam sekolah kebangsaan - jadi tikus putih makmal berjaya dalam cubaan PTS kali pertama dalam sejarah di Malaysia. Tanpa pernah tahu apa yang dipelajari dalam Darjah 4, aku jadi sebahagian daripada budak Darjah 5 - sekelas dengan mereka yang pernah setadika dengan aku sebelum aku larikan diri daripada tadika pada usia 5 tahun. Ya, aku pernah lari dari sekolah pada usia yang muda dan itu memberikan kelebihan - aku tidak lari dari mana-mana selepas itu. Tadika banyak tekanan berbanding sekolah, matrikulasi dan universiti rupanya.

Keputusan UPSR tidaklah bagus mana. Sekadar mampu sekolah biasa dan duduk dalam kelas pertama daripada sembilan buah kelas lain, dah cukup elok daripada catatan awal mula kelas dari bawah kan? Maka, bermula hidup tanpa pernah dapat naik pentas untuk terima hadiah. Tingkatan Satu tak dapat, Tingkatan Dua pun tak dapat. Tingkatan Tiga lagilah sadis. Duduk dalam kalangan murid sederhana sebenarnya bukanlah membawa rahmat bahagia. Sebab, yang pandai dan cemerlang ada program mereka sendiri - Titian Emas. Yang gagal ada rancangan mahu beri mereka lulus - GALUS. Yang sederhana hanya duduk dalam kelas dan belajar sesama sendiri. Pergi kelas tambahan selama setahun dengan menaiki bas di bandar - tanpa ada kenalan, alhamdulillah, walaupun percubaan hanya 1A (kena gelak dengan orang, ejek mestilah banyak), PMR sebenar merasa 7A 1B. Tak sia-sia kejar bas setiap minggu, duduk di perhentian bas yang penuh tahi burung ('_')

Naik Tingkatan Empat - kali pertama dapat hadiah. Ya, hadiah daripada PMR itulah. Masa itu, bangga punyalah rasa nak menangis, sebab sejak masuk sekolah menengah, tak pernah dapat hadiah kecemerlangan. Jadi, bila dapat sekali, haruslah kita tamak kan? Mulalah belajar (kononnya) dan dapatkan nombor satu sentiasa. Duduk dalam aliran Sains Tulen (dan semua si pandai-bijak-geliga dah keluar ke SBP, MRSM, Teknik) - maka yang lemah macam aku barulah boleh nak menyinar. Barulah dapat peluang nak masuk apa-apa program, kalau tidak, ajaib. Heh. Tapi, walaupun nombor satu dalam kelas, bukan bermaksud nombor satu dalam tingkatan. Dalam tingkatan sentiasa jadi nombor dua, disebabkan budak kelas Akaun lagi pandai (gigit bibir)

Oh, sebab B itu adalah Sains, maka harapan masuk ke MRSM dan SBP haruslah musnah. Dapat tawaran ke Teknik Bukit Piatu, tapi aku tak pergi. Aku dah siap isi semua borang tetapi hati berbelah bagi. Masa itu, aku masih lagi bercita-cita nak jadi doktor, walaupun keputusan Sains adalah B. Heh. Jadi, Abah berikan aku peluang untuk buat keputusan sendiri - demi masa depan aku. Kononnya demi cita-cita mahu jadi doktor juga, aku buat keputusan mahu kekal di sekolah biasa. 

Tingkatan Lima yang penuh warna. Epal biru hanya pada mata pelajaran tertentu. Masih diselang-seli dengan kehadiran epal merah yang tidak ranum, bahkan busuk. Ya, keputusan mata pelajaran tertentu seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Sejarah tidaklah baik. Er, baik mengaku buruk sahajalah. Kali pertama lulus Matematik Tambahan dengan keputusan B3 adalah masa percubaan SPM. Gila kan? Sebelum itu, jangan harap. Dengan kesungguhan Mak (terima kasih Emak) yang paksa aku pergi kelas tambahan ke sana-sini termasuk di rumah kawan dia (di sini sangat menarik - sambil belajar, aku menghayun buaian dan gantikan lampin bayi) - segala pengorbanan beliau boleh dikatakan berbaloi. Terima kasih juga pada mulut cikgu Sejarah yang mengata aku (aku anggap dia beri perangsang dengan ayat pedas dan sarkastik) - aku mampu buat dia berlinang air mata sewaktu keputusan SPM keluar. SPM - 8A, 1B, 1C6. C6 adalah Biologi. Untung lulus dan kredit, selalu dapat 7-8-9.

[Sumber gambar] - Mahu baca tulisan aku untuk minggu penghargaan di Terfaktab? Tekan sini.

Dapat keputusan SPM - sudah pastilah mengesahkan aku tak akan mampu jadi doktor, walaupun masa itu aku dah tukar cita-cita nak jadi pakar forensik. Pengaruh CSI tentunya ketika itu. Nampak sangat dah lama siri itu kan? Dalam masa yang sama, otak aku asyik terfikir mahu ke UTM. Terima kasih kepada majlis entah apa masa sekolah dahulu, UTM datang dan aku siap tampal poster besar di dinding - lukisan Dato'Lat tentang kursus di UTM. Masa itu aku hanya nampak aku harus ambil kejuruteraan kimia.

Jadi, lepas SPM - aku secara rasmi masuk ke asrama pertama aku. Matrikulasi. Dalam Sains Fizikal, mestilah aku cuma nak jadi jurutera sahaja. Kejuruteraan kimia memang matlamat aku walaupun bukanlah cemerlang sangat sampai dapat 4 rata (4.00). Ajaib kalau dapat, untuk akulah. Orang lain aku tahu ramai dapat.

Sebelum habis matrikulasi, kena isi borang masuk IPT. Kita panggil borang UPU. Tetapi, disebabkan khabar angin bahawa hanya yang dapat 3.5 ke atas sahaja dapat masuk universiti - aku dengan gigih pergi isi borang maktab. Aku tak peduli kalau aku lambat setahun sekalipun (padahal sebenarnya kau sekelas dengan orang yang tua setahun dari kau) - asalkan aku mampu masuk ke universiti. Gila. Aku pergi temuduga, ujian bertulis, dan aku gagal. Masa ini, aku nampak Mak kecewa dengan keputusan tersebut disebabkan dia sudah mula paksa aku ambil pendidikan. Jadi, bila nak isi borang UPU, Mak suruh aku letak pendidikan daripada pilihan pertama hingga kelapan. Er, aku membantah keras, tapi ikut juga disebabkan Mak berikan aku ruang untuk pilih kursus atau bidang -aku pilih Kimia.

Alhamdulillah, lepas temuduga dan sebagainya - aku sambung pengajian sarjana muda dalam bidang pendidikan di universiti selatan tanah air. Dalam masa belajar, aku cuba yakinkan diri bahawa pilihan ini yang terbaik walaupun aku tak nampak adakah aku mampu jadi seorang guru seperti keluarga aku ataupun tidak. Nasib baik Kimia adalah benda yang aku suka, walaupun tidaklah bagus mana. Heh.

[Sumber gambar]

Selepas empat tahun dan juga semasa dalam semester kelima menjalani latihan mengajar, aku baru menyedari bahawa ini satu-satunya benda yang aku pandai buat - mengajar. Belajar dan mengajar. Itu sahaja benda yang aku tahu. Jadi, tiada lagi otak jahat yang mahu menyalahkan keluarga dalam diam kerana membuatkan aku berada di fakulti pendidikan berbanding di fakulti kejuruteraan kimia yang terletak jauh di atas bukit.

Dan hari ini, setelah lebih dua tahun berkhidmat sebagai seorang guru - melalui pelbagai detik dan kenangan dalam kerjaya ini - aku berdiri di hadapan calon SPM sekolah lain dengan gelaran pengawas peperiksaan. Aku mungkin bukan aku yang kalian kenal jika aku seorang doktor, pakar forensik ataupun jurutera. Lord Zara hanya satu mitos ataupun tidak pernah wujud langsung jika aku tidak mengikut kata Mak suatu ketika dahulu.

Ya, kita semua tidak pernah tahu rancangan Allah.
Rancangan yang mungkin nampak pelik pada kita mulanya, tetapi membawa kepada cerita sebaliknya. Membawa bahagia dan merasai setiap perkara yang aku tidak pernah jumpa.


Jadi, sebelum berpisah, terima kasih sekali lagi.
Itu ucapan yang kalian patut ucapkan sebagai penghargaan pada diri setiap hari.

Nota Kaki :
Aku sibuk dengan kerja, maaf aku kurang menulis.

Zara : Usaha mahu melihat sebuah senyuman itu sungguhlah payah tetapi tetap digagahkan agar tiada istilah menyesal tidak sudah. Kesalahan yang membawa sengsara, kesenyapan yang menyuntik resah.

Sunday, October 23, 2011

[Gambar] : Celaru - Dalam Pembinaan.




Terlampau banyak yang berlaku dalam dua tiga hari.
Tidak.
Sebenarnya terlampau banyak benda berlaku dalam masa sehari.
Tidak.
Kenyataannya, dalam beberapa jam sahaja banyak yang terjadi.
Itu fakta.

http://farm7.static.flickr.com/6113/6270274312_bb6a482b3e.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr] : Gambar tiada kena mengena dengan penulisan.

"Setitis airmata menyatukan aku dengan mereka yang patah hati. Seulas senyum menjadi sebuah tanda kebahagiaan ku dalam keberadaan. Aku merasa lebih baik jika aku mati dalam hasrat dan kerinduan dari jika aku hidup menjemukan dan putus asa."
(Kahlil Gibran)

Sesuatu yang aku sangat pasti sejak kebelakangan ini adalah terlampau banyak benda yang mahu dipersembahkan demi memenuhi keperluan manusia lain di sisi. Aneh sebenarnya jika difikirkan, kerana itu kebiasaannya menjadi perkara terakhir yang aku mahu lakukan memandangkan setiap kehendak manusia adalah berbeza.

Dan yang lebih anehnya, benda yang tidak ada kena mengena dengan aku dikaitkan dan disampaikan dengan tujuan yang aku sendiri tidak mengerti. Aku manusia yang memilih untuk kekal diam dan hidup dalam dunia aku sendiri asalkan segala kebahagiaan aku tidak kau renggut dengan kata nista ataupun perbuatan durjana. Aku masih lagi kuat untuk menyeka air mata kalau itu pertahanan terakhir yang ampuh.


http://farm7.static.flickr.com/6237/6270611225_14e534a93f.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]

Tatkala memejamkan mata, yang aku lihat hanya karya seorang hamba yang merajai sebuah takhta di sebalik desiran pasir pantai pukulan ombak manja. Mungkinkah epilog bahagia bakal menerjah sebuah pawana usang milik bersama, itu tautan jiwa yang tahu dan rasa. Senyuman terukir bukan satu enigma.

Senyum.
Ukir wajah.
Letak warna.
Ceria.

Muram.
Bibir melengkung.
Wajah suram.
Duka.

Bicara.
Manis, ayuh jamah semua.
Pahit, telan seorang, cicip bersama.
Masin, tuang laju bagi tawar.
Masam, tahan sama, mungkin nanti tukar rasa.

Ketawa.
Biar besar-besar, kuat-kuat.
Tangis.
Biar perlahan-lahan, teresak-esak.
Senyum.
Biar lebar-lebar, pastikan ikhlas.
Mendung, pinggir ke tepi.
Harapan palsu sebab diri masih rindu matahari.
Pasti.


Menelaah setiap runut buat jiwa kacau. Membaca setiap bait buat diri keliru. Hadam dalam rongga, pasak tiang neraca, kulum segala derita. Kalau ini puncak bahagia, pasti akan didaki dan terus didakap penuh luka. Tangan paut erat sendirian, walaupun dilempar kata celaka. Diam pembunuh jiwa!

http://farm7.static.flickr.com/6110/6271913442_6299855e88.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]
Selamat datang kebahagiaan.
Selamat datang kegembiraan.
Selamat datang kasih sayang.
Selamat datang generasi akan datang.


Di sebalik kegembiraan orang lain bersama dengan manusia yang mereka cintai sepenuh hati dan jiwa serta meneruskan legasi perhubungan, ternyata bukan mudah untuk mengekang nafas manusia yang masih tegar membunuh dengan kata-kata tajam yang tiada makna. Hati kena kental. Jiwa kena tabah. Tapi itulah, sekuat mana pun hati manusia, calar dan kesan yang ditinggalkan itu masih lagi membunuh sebenarnya.

I : Tengok tu, umur 19 dah kahwin.
II : Ni yang umur 20 lebih pun tak ada nak kahwin lagi.

I : Entah menunggu siapa agaknya.
II : Kalau ada yang ditunggulah.

I : Kalau tak ada, boleh masuk kumpulan lanjut usia.
II : Orang umur 20 lebih dah mula kelek anak.

I : Sibuk kerja sangat, lupa nak fikir masa depan nak berumahtangga la.
II : Banyak duit kalau tak ada keluarga nak buat apa?


Percayalah.
Kalau boleh membunuh tanpa dapat dikesan dan ditangkap, mungkin lauk ayam goreng sudah bermandi darah manusia. Itu sahaja.

Nota Kaki :
Diam bukan tanda aku terima segala yang kau lungsurkan pada jiwa seorang hamba.

Zara : Letakkan semua benda yang menyebabkan kita sedih ke tepi dan ingat segala yang menggembirakan. Lupakan segala masalah dan hargai segala nikmat yang ada.

Saturday, October 22, 2011

Itu Hanya Dia, Bukan Kamu.


Setelah menunggu beberapa lama, akhirnya manusia itu muncul semula. Manusia yang pernah menghiasi impian dan angan-angan dalam mengejar apa yang dimahukan selama ini. Dalam diam, dalam tanpa pengetahuan manusia itu, dia sebenarnya sudah menjadi antara penyebab dia mahu memberikan tumpuan - menjejakkan kaki ke tanah asing tersebut. Demi cita-cita yang belum pernah padam, dia tetap mahu ke sana. Kalaupun tidak dapat meneruskan cita-cita, sebagai pelawat pastinya sudah boleh menjadikan dia tersenyum bahagia.

http://farm7.static.flickr.com/6050/6265932814_4c0fe83f06.jpg
Koleksi peribadi : Flickr

Manusia itu adalah rakan yang baik. Entah sejak bila, secara tiba-tiba manusia itu semakin lama semakin menjauh. Jarak bukan alasan disebabkan mereka sendiri tidak pernah bertemu dan persahabatan mereka dengan anehnya terjalin akibat tercetusnya suatu perkara dahulu. Sudah lebih setahun mengenali satu sama lain, manusia itu dan dia belum pernah menemui titik pertemuan. Dan persahabatan yang terjalin atas kawan disebabkan kawan itu sebenarnya memberikan kenangan yang cukup baik. Tetapi apa yang dialami oleh dia kini hanyalah satu perasaan kosong.

http://farm7.static.flickr.com/6038/6266319076_6aa4da4184.jpg
Koleksi peribadi : Flickr

Dan kisah mereka - manusia itu dan dia hanyalah sebahagian daripada kehidupan yang kadangkala tragis. Kadangkala kejam, kadangkala hanya perlukan satu sebab untuk terus menerus memberikan sesuatu kepada manusia lainnya. Dia mungkin hanya berdiam dan memerhati kerana dia tahu manusia itu sudah tidak lagi mempedulikan apa yang berlaku dan anehnya, perbualan sebaris mereka diakhiri dengan pertanyaan dia tidak memahami apa yang dibalas oleh manusia itu.


Senyum.
Dia senyum kerana dia tahu segalanya akan baik jika dia kekalkan senyuman.
Dia tahu dengan berdiam diri, dia akan jadi kawan yang lebih baik.
Dia tahu dengan menyepikan diri, dia sebenarnya memberikan makna diri.
Dan dia enggan kehilangan terlampau banyak lagi.
Sakit yang ditanggung sendirian sebenarnya tidak terperi.


Padang bola tetap padang bola. Tetapi mungkin ianya lebih indah bila ditambah dengan bunga yang mekar mewangi. Tiada siapa mampu mengubah kenyataan sebuah padang bola kerana keindahannya mampu bertambah. Walaupun kehadiran bunga hanya di luar pagar pemisah, padang bola tetap indah di mata dan jiwa. Kerana itulah padang bola ada kelebihan yang tiada siapa mahu endah. Wujud sendirian - tetapi tetap indah.

Dan kedengaran serta kelihatan sesuatu yang membuatkan dia mahu tegar menunggu manusia itu.
Sesuatu yang membuatkan dia tersenyum dan memanjatkan doa agar segalanya lebih baik dari sebelumnya.
Agar persahabatan itu berterusan demi sebuah senyuman yang pernah mati.
Agar persahabatan itu lebih baik dari apa yang dilalui akibat khianat manusia.
Agar manusia itu tidak pernah berubah.

Anata no koto wo kangaeteiru.

Dan itu sahaja.
Itu sahaja.
Mungkin.

Nota Kaki :
Kelemahan manusia adalah terlalu bergantung kepada manusia lain sehingga tanpa disedari mengakibatkan lebih banyak kesakitan dalam usaha memperbaiki sesuatu yang pincang. Anehnya, kita kurang menyedari kepedihan yang dialami bila melalui kepayahan begitu.

Zara : Kadangkala kita merenung sebuah hati yang kosong tanpa isi serta membuat kita tertanya-tanya, apakah ada peluang kita menyelinap masuk dan tinggal di dalamnya. Seperti juga kau duduk termenung di luar pintu sebuah rumah, tangan teragak-agak mahu menekan loceng atau mengetuk pintu rumah tersebut. Adakah ada ruang yang istimewa untuk kita?

Sunday, October 16, 2011

Tubuh Badan Dan Keyakinan Diri


Itu benda yang selalu dialami oleh remaja bukan?
Tidak semestinya remaja, ia menular ke setiap lapisan masyarakat dan tidak mengira jantina. Mungkin di mulut kamu boleh menafikan fakta tersebut, tetapi secara jujurnya, benda begini masih menjadi kayu pengukur dalam masyarakat dan pelbagai bidang lain yang tentunya menjadi salah satu ciri-ciri yang diperlukan dalam hidup (bagi sesetengah perkara).

http://farm5.static.flickr.com/4008/4326729708_b580cf037b.jpg
[Sumber gambar]

Sabtu, disebabkan ada satu program berkaitan dengan kesihatan, aku menjalani pemeriksaan kesihatan secara suka rela. Ya, bagi sesiapa yang mengenali aku, membuat pemeriksaan gigi secara berkala dalam lima bulan atau enam bulan sekali sudah menjadi rutin. Kalau masa zaman universiti, setiap semester aku akan pergi disebabkan ia menjadi satu kepuasan diri. Menderma darah setiap tiga bulan sekali adalah salah satu rutin yang aku cuba amalkan dengan sasaran setahun mesti empat kali. Tahun lepas hanya beberapa kali dan setakat bulan September lepas, catatan dalam buku merah tersebut, baru tercatat angka 13. Perlu mengejar impian.

Dan semalam, aku berkesempatan untuk bertemu dengan pakar pemakanan. Ya, kali pertama aku jumpa pakar pemakanan bertauliah. Selama ini aku hanya mendengar tentang mereka, bagaimana cara mereka bekerja dan semalam, kebetulan aku rasa aku perlu berjumpa seseorang, maka aku luangkan sedikit masa sebelum acara bermula. Dalam pertemuan itu, pakar pemakanan itu sebenarnya terkejut aku sudah berbulan tidak menjamah nasi. Kalau ada sekalipun, pastinya tidak lebih dari 3 suap. Itupun, nasi putih sahaja tanpa lauk sampingan - beberapa bulan lepas. Ya, aku gila, aku tahu.

Dengan regim gila begitu, ditambah dengan aktiviti sukan serta kesibukan aku bekerja, aku hilang dua belas kilogram. Ya, satu nombor yang agak besar, tetapi hasil pemeriksaan semalam, aku masih dalam kategori gemuk. Masih dalam keadaan di mana berada di sempadan garis - "lebih berat badan". Perlu lebih banyak berusaha aku rasa. Secara jujurnya, mempunyai rangka yang besar seperti ini, termasuk tulang padu dan baka keturunan yang besar, aku takut. Takut dengan keadaan diri. Kesihatan diri.

Selepas pemeriksaan dan mendapat pelbagai nasihat daripada pakar pemakanan tersebut, aku duduk berbual dengan rakan sekerja. Dia bertanyakan apa tujuan aku buat segala rutin gila aku selama berbulan-bulan ini. Secara jujurnya, aku bukan mengejar badan langsing seperti mana-mana model, tetapi aku perlukan badan yang sihat dan bebas dari penyakit. Sejarah perubatan keluarga tidak cemerlang dan aku tidak mahu mengikut jejak langkah mereka dan mengorbankan usia muda aku dengan menelan deretan pelbagai ubatan. Untuk pengetahuan, walaupun tidak menjamah nasi, aku masih lagi mengamalkan pemakanan seimbang. Er, mungkin kurang bekalan karbohidrat sedikit. Hah.

http://farm4.static.flickr.com/3328/3633858301_225ca9fa11.jpg
[Sumber gambar]

Kenapa?
Apa kaitan tubuh badan dengan keyakinan diri?

Aku pernah melalui zaman kanak-kanak dan zaman remaja (sehingga sekarang pun sebenarnya) - orang di sekeliling aku memilih rupa paras, saiz tubuh badan dalam bersosial. Ya, dari dalam kelas, membawa kepada luar kelas sehinggalah membawa kepada alam pekerjaan, orang masih menilai luaran. Sakit? Ya, sangat sakit sebenarnya.

Pernah diejek sebagai hodoh, gemuk, rasaksa, "Giant",  bonsai dan sebagainya, aku melalui hidup yang meletakkan senyuman sebagai salah satu penawar paling ajaib dalam dunia. Senyum sahaja kepada mereka yang menjuihkan bibir disebabkan kehodohan aku. Senyum manis kepada mereka yang mengejek aku gemuk dengan cuba berfikir positif bahawa mereka mungkin kecewa mereka kurus. Senyum sahaja kepada mereka yang jerit aku rasaksa dengan membayangkan mereka sakit hati kerana Ultraman itu hanya wujud dalam televisyen. Ya, senyuman sebagai penawar terbaik aku dalam menjalani kehidupan dalam hidup ini. dan bonsai? Bukankah bonsai pokok yang mahal?

Zaman persekolahan (sehingga sekarang pun), kalau disukai oleh lelaki, adalah suatu perkara ajaib. Disukai oleh perempuan cantik juga satu benda ajaib. Kebanyakan rakan atau manusia disekeliling aku, yang masih kekal sehingga kini adalah manusia yang tidak pernah menilai itu semua. Tetapi sesetengah daripada yang lain, menilai dengan ciri-ciri cantik, tubuh badan yang menarik dalam menjalinkan persahabatan. Kawan-kawan yang boleh saling bertukar pakaian, kasut dan sebagainya. Aku, malangnya, bukan salah seorang daripada golongan tersebut. Mana ada yang mampu menyarung pakaian 3XL aku masa zaman belajar dahulu? Boleh pakai, tapi pastinya boleh letak 5 orang mereka di dalamnya, berbanding aku yang seorang diri dalam pakaian sedemikian.

Satu perkara yang aku suka pada diri aku secara jujurnya, adalah aku meletakkan itu semua di belakang dengan memberitahu diri sendiri - "Tak cantik pun tak mengapa. Tak kurus macam orang lain pun tidak mengapa. Yang penting otak mesti berguna. Yang penting mesti pandai. Cantik dan kurus itu mungkin tak bawa ke mana kalau otak tidak berguna"

Bagi sesetengah orang, itu perkara remeh.
Bagi sesetengah orang, itu perkara mengada.
Tetapi bagi sesetengah orang macam aku (mungkin), itu satu-satunya cara aku berdiri atas dunia. Tiada kecantikan fizikal macam sesetengah orang lain, tiada penampilan menarik, tetapi aku tahu aku ada sesuatu yang lain bagi membolehkan aku 'dilihat' oleh masyarakat. Susah, tetapi itu semua perlukan usaha. 

Aku pernah melihat budak sekolah yang enggan ke sekolah disebabkan pada usia yang boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak, dalam 10 hingga 11 tahun berbadan besar - hampir 100 kilogram, seorang budak perempuan. Betapa dia menjalani hidup penuh derita diejek oleh rakan-rakan dan dia ponteng sekolah hanya disebabkan perkara sedemikian. Pada aku, itu sesuatu yang merugikan. Dan aku bukan dalam kedudukan untuk menyalahkan sesiapa. Cuma, itu sesuatu yang menyedihkan. Masa depan terjejas hanya disebabkan pandangan masyarakat yang tidak cerdik dalam membuat perubahan.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah orang tidak kisah dengan perkara begini.
Apa salahnya badan besar kalau aku sihat?
Apa masalahnya dengan keadaan begini kalau aku gembira?

Bukan satu masalah pun sebenarnya. Seperti yang aku nyatakan, ia bagi sesetengah pihak sahaja. Tidak ditujukan kepada sesiapa dan perlu diingatkan bahawa aku menulis ini sebagai satu luahan berbentuk peribadi. 

Aku tengok langit.
Kehidupan apakah yang aku lalui sekarang?
Aku bukan sesiapa dalam dunia ini. Aku manusia yang hanya tahu buat benda yang aku pelajari sejak sekian lama. Sejak aku kenal lebih mendalam dan menjelajah lebih luas siapa aku. Yang aku temui, satu perkara yang jelas serta cukup nyata. Mata terkelip-kelip sekalipun, aku tetap jumpa sebaris kata, aku bukan sesiapa dalam dunia ini.


Tidak.
Aku tidak pernah langsung menyalahkan sesiapa dalam dunia ini. Sedar apa yang berlaku atas kelemahan diri, kebodohan dan entah apa lagi sifat mazmumah dalam tubuh sendiri membuatkan aku rasa lebih kuat untuk membasuh segala kecelakaan yang bersimpongan. Lemah bukan beerti aku kalah, kuat bukan bermaksud aku akan sentiasa menang. Itu aku selalu ingatkan pada diri sendiri. Ah, manusia kan mudah lupa.


http://farm4.static.flickr.com/3645/3505953881_2d68165dd7.jpg
[Sumber gambar]

Untuk mereka yang pernah wujud dalam hidup aku dengan melemparkan kata-kata menyakitkan seperti yang kamu semua tahu, aku cuma mampu mengucapkan terima kasih. Terima kasih kerana membuatkan aku menjadi manusia yang sanggup buat apa sahaja demi senyuman dan kepuasan diri sendiri. Terima kasih kerana menjadikan aku manusia yang berfikiran jauh dan mengambil berat akan kesihatan diri sendiri. Terima kasih kerana membuatkan aku tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi yang terbaik di atas dunia ini. Terima kasih atas segalanya.

Terima kasih kerana pernah menyakiti aku.

Senyum.
Aku selalu ingatkan diri. Tidak perlu mengejar mahu jadi yang terbaik dalam semua benda. Boleh jadi baik, tetapi kalau boleh, biarlah memberi tumpuan dalam satu perkara kerana itu akan menjadikan diri lebih istimewa dan bernilai. Bersungguh benar  mencari apa kelebihan dan kekurangan diri. Penilaian kendiri buat aku lebih tahu apa yang dia mahu dalam perjalanan menuju abadi.


Betul.
Semakin menginjak usia, semakin banyak benda yang dekat dengan masyarakat yang terpaksa dihadam dan ditelan walaupun pahit. Lebih-lebih lagi dengan kerjaya aku yang dekat dengan masyarakat, setiap hari bercampur gaul dengan masyarakat, mahu atau tidak, kena juga tahan dan ambil sahaja yang perlu dan berguna pada diri. Yang kurang berguna dan aku tandakan sebagai kurang penting, aku abaikan. Senang sahaja hidup aku.

Aku belajar.
Menghargai diri sendiri yang tidak pernah beerti kepada sesiapa.
Akur.

Mencari redha Allah lebih baik daripada redha manusia.
Dan ya, tulisan aku ini bukan tanda tidak bersyukur. Sudah tentu aku bersyukur dengan nikmat Allah, dengan ciptaanNya, dan tidak pernah terfikir untuk mengubahnya. Aku cuma buat sesuatu untuk kesihatan diri sendiri. Itu sahaja.

Noktah.

Nota Kaki :
1. Aku perlu mengurangkan lagi berat badan. 12 kilo itu tidak cukup lagi. Ha ha ha.
2. Ada sesiapa nak menaja aku PB? Eh.

Zara : Hidup kita kena gembira. Orang yang paling tidak gembira sekali dalam dunia ini adalah orang yang tidak menghargai apa yang dia ada, tetapi sibuk nak menghargai dan mendambakan apa orang lain ada. Jadi, sila hargai diri sendiri dan apa disekeliling kita. (Shafaza Zara, 2011)


Tuesday, September 27, 2011

Hidup Itu Indah Walaupun Sementara


Ada ketikanya hidup kita akan dirundung dengan masalah, satu persatu tanpa kita minta. Adakah senyuman kebahagiaan akan direnggut bersama-sama sehingga kita tidak mampu untuk kenal, apa yang kita mahukan dalam kehidupan hari ini dan seterusnya?

Anehnya, ada yang mahu berhenti sahaja.
Tidak mahu melihat ke belakang, mempelajari sesuatu agar kekuatan melangkah ke hadapan bukan satu igauan ngeri, bahkan satu impian yang cantik murni. Mengapa enggan membiarkan hati dan perasaan lebih terbuka memulakan sesuatu yang baru dan tinggalkan yang lama sebagai suatu bentuk pengajaran

Dan aku sejujurnya melihat apakah yang aku mahukan dalam hidup yang sementara ini. Adakah mahu terus berduka dan mengingati kisah silam yang entah apa rasa dan perisa. Ada yang manis tentunya, dan yang pahit serta tawar juga penuh berwarna. Tapi tidak ada suatu pun yang menghalang aku daripada terus hidup dengan ceria dan memilih untuk mencari apa itu bahagia.

Diam.
Tunduk membisu dan teruskan pembacaan satu persatu. Anak yang keletah bercakap, kuat ketawa dan senang senyum ketap gigi tanpa meluahkan bicara sudah semakin senak pemikirannya. Mahu menjadi yang terbaik memang susah dan sukar perjalanannya. Tapi anak itu tahu, dengan menulikan telinga dengan segala tohmahan dunia, dia pasti mampu mengatasi segala. Usikan nakal, telahan gila dan makian cerca sudah lama dia hadam walaupun tekaknya luka. Lidah kelu tetapi jari gemuknya masih mahu menuntaskan bicara. Beku dan sayu.

Duduk berbual dengan seorang rakan sekerja sepanjang petang semakin membuka mata tentang perjalanan hidup sekarang. Ketawa riang dengan melemparkan segala kekusutan ke dalam naluri paling dalam sebenarnya lebih banyak menjadikan diri mampu berdiri hari ini. Setakat telahan manusia yang langsung tidak menyelami apakah makna yang terselindung disebalik aksara beku yang dipaparkan buat dunia, sekali lagi, lantangnya tulisan dan bicara sarkastik hanya mampu diterjemahkan bila dia punya sengihan yang menafsirkan celakanya dunia.

http://s0.i1.picplzthumbs.com/upload/img/c9/31/a2/c931a25483743b9b4d8fb3f2682e4f1f44d7a57e_wmeg_00001.jpg
Keluarga bahagia. Emak, anak dan bapa. Eh. Ini keluarga kesayangan aku. Mereka salah satu sebab mengapa aku rasakan hidup ini amat bermakna.

Senyum sinis.
Istilah sombong, bangga diri dan bongkak pernah dilemparkan sehingga manusia beku ini termangu. Tidur malam sudah jadi tidak menentu apabila memikirkan betapa manusia yang tidak mengenali dan menyelami kiasan hidup sewenangnya melahirkan rasa hati bagaikan kentut di muka sendiri. Ah! Untuk apa meninggi diri sedangkan hidup ini ternyata hanya sementara dan diri beku ini bukan sesiapa di dunia. Tiada yang mengenali bahkan terperuk sahaja membaca satu demi satu benda kaku yang dilayangkan menggunakan teknologi. Indah manusia menjadikan kehidupan ini suatu tempat yang membuang taman permainan dari senarai tempat kegemaran.

Harapan.
Kadangkala ianya kosong dan perlu diisi dengan berhemah agar apa yang dikeluarkan tidak pernah akan membebankan. Kesakitan juga dapat dihindarkan. Bahkan, diri pasti akan penuh dengan senyuman. Walaupun ramai yang akan mencebik dan menolak sebuah impian, siapalah mereka untuk menafikan hak kita dalam kehidupan? Bahkan kita seorang insan. Binatang juga punya hak, apatah lagi kita yang bukan haiwan. Ah, menyelam dan berenang sambil ketawa riang dalam lamunan.

Setiap daripada manusia yang melalui kekecewaan dan mainan perasaan pastilah pernah terlintas mahu memutarkan masa dan kembali kepada saat mereka memulakan sesuatu yang indah tetapi berakhir dengan kisah celaka yang lebih mengundang air mata dan kata-kata kesat semata. Mungkin tidak diluahkan kepada si pembuat onar, tetapi dalam imaginasi liar dan marah, bayangan pembunuhan tanpa ditangkap menjadi wayang hampir setiap malam apabila cinta yang dipertahankan musnah di tangan manusia lain ataupun si dia yang dipuja sepenuh jiwa.

Satu demi satu babak yang dibayangkan muncul di kaca mata.
Bagaimana segalanya dilakukan dengan terperinci, disusun bagaikan mengarahkan sebuah filem seram berdurasi satu setengah jam. Sempurna tanpa satu cacat cela dengan watak utamanya hanya berdua dan pengakhiran yang nyata, pengkhianat akan mati di tangan pencerita walaupun entah berapa kali jalan cerita berubah. Pastinya, mati itu adalah tujuan walaupun hakikatnya bangun dan menangis mengenangkan betapa celakanya manusia yang mengkhianati sesuatu yang indah dan dirai.

Tetapi, itu kalau kita di pihak yang merasai kegagalan yang amat sangat.
Kita di sebelah tembok yang menahan kesakitan bagaikan ditembak.
Kita di bahagian yang menadah diri dengan tikaman bertubi kenyataan kejam.
Itu kalau kita di situ.
Tetapi bagaimana di pihak yang mungkin merasa kesal akan perbuatan mereka?

http://s0.i1.picplzthumbs.com/upload/img/18/dc/d7/18dcd76e87feefea0c6210a602c260d142af90e7_wmeg_00001.jpg
25 September 2011 - Mula semula mencari sesuatu yang lebih baik dalam diri. Apakah mampu memasuki dunia baru dengan senang hati ataupun berhati-hati?


Dan itu antara penyebab mengapa aku memilih untuk terus kekal gembira. Untuk terus ukir wajah ceria.Kerana aku tahu aku berhak memilih yang terbaik dalam hidup aku sendiri. Cukup sudah memberikan terlampau banyak untuk orang lain sehingga diri sendiri tidak mengenal erti gembira yang sebenar.

Doa kuat-kuat agar esok bawa bahagia.
Bisik pada telinga moga mentari kekal bercahaya.

Nota Kaki :
1. Maaf kalau ada yang tidak senang dengan gambar kali ini.
2. Tahukah kamu bahawa sesuatu benda itu boleh disangkal mudah oleh minda tetapi kedegilan hati terhadap sesuatu perkara ibarat mencungkil kotoran degil dicelah sisip kaca makmal?

Zara : Ketawa riang aku mahu kamu renggut. Ini bukan padang ragut yang penuh dengan haiwan berjanggut, ini bukan ladang ternakan yang penuh dengan rumput, ini sebuah hati yang sedang mereput.

Monday, August 08, 2011

#08 #Ramadhan : Hanya Sebab Dia Cikgu


Bangun pagi dengan perasaan gembira.
Tidur malam dihiasi senyuman hingga ke telinga.
Naluri hati dan ingatan bahawa pembenci akan diam bila kebenaran terbuka.
Ah, lebih-lebih lagi jika kemenangan sudah ternyata jadi milik kita.
Ya kan para penyalak dan penghina?
Ketawa.

Dan menjadi kebiasaan pagi, jam biologi badan setakat ini belum mengkhianati. Jam empat lebih atau lima pagi sudah terjaga dan badan bersedia untuk menerima segala cabaran sebagai pemula. Mata tertancap dengan gambar seorang kawan serta ayat dia yang penuh berbunga melampiaskan rasa cinta pada kekasih yang jauh di mata. Ayat mahu bangun sahur bersama. Ayat mahu kejutkan sahur bersama. Ayat penuh janji segala. Nah, aku hanya tersenyum sahaja melihatkan dia mabuk bahagia.

[Sumber gambar]

Tapi, dalam masa yang sama, ada seorang rakan yang menghantar warkah elektronik hanya untuk beritahu dia sudah tiada apa-apa lagi dengan seseorang yang selama ini dia puja dan cinta sepenuh jiwa. Nama kekasih itu sentiasa meniti di bibir ibarat sedang memuji Yang Maha Pencipta. Ah, berzikir itu boleh dibilang bila dan berapa. Memandangkan ada nota kaki supaya membuka 'pesanan segera' - maka selepas menjamah dadah dan tegukan air berkali-kali, curi peluang untuk berbual dengan dia.

Aku : Dah baca apa kau tulis. Apa jadi?
Dia : Dah tiada persefahaman.
Aku : Bulan puasa pun nak bergaduh ke?
Dia : Tak gaduh pun. Aku cakap baik-baik, dia rela.
Aku : Semudah itu?
Dia : Habis tu, kau ingat apa?
Aku : Tak suruh kau gaduh pun, cuma bukan sekejap masa kamu bersama.
Dia : Aku terangkan pada dia alasan-alasan aku. Dia bantah juga, tapi itulah. Aku menang juga.
Aku : Apa alasan kau?
Dia : Sebab utama adalah pekerjaan dia.
Aku : Dia kan kerja cikgu, apa masalahnya?
Dia : Gaji cikgu sedikit. Kau pun cikgu, mesti kau tahu.
Aku : Sekejap. Apa kaitan gaji sedikit dengan kau putuskan hubungan tu?
Dia : Bila gaji sedikit, tak akan membantu dalam rumahtangga nanti. Gaji aku dengan dia tak setaraf, susah. 
Aku : Tak faham aku. Sebab utama adalah gaji?
Dia : Gaji dan lambakan kerja dia antara punca utama.
Aku : Baiklah. Aku tak nak panas hati dulu. Apa kaitan dua benda tu?
Dia : Kerja cikgu banyak, dia akan habiskan banyak masa dengan kerja. Sudahlah kerja menimbun, tapi bayaran gaji sedikit. Tak berbaloi.
Aku : Main sedap mulut kau. Entah-entah kau ada kekasih lain.
Dia : Tak ada pun.
Aku : Habis tu, alasan kau semata-mata sebab dia cikgu?
Dia : Ya. Sebab kerjaya dia tu.
Aku : Ni macam menghina aku juga kau tahu?
Dia : Kau kawan aku. Tiada kena mengena pun.
Aku : Tapi ada kaitan dengan kerjaya aku.
Dia : Kerja tu mulia.
Aku : Tapi kau baru sahaja putuskan cinta kau hanya sebab kerja ini tahu?
Dia : Macam mana nak membantu ekonomi keluarga kalau duduk dalam bandar besar, kalau setakat gaji banyak itu sahaja? Dia sama masuk kerja dengan kau, mesti gaji sama kan? Jadi kau pun tahu berapa sangat duit yang dapat setiap bulan.
Aku : Sejak bila aku kawan dengan manusia yang pandang harta?
Dia : Ini benda nyata.
Aku : Tapi kau buat begitu pada hati manusia.
Dia : Aku dah buat keputusan dan aku rasa lega.
Aku : Terpulang. Aku tidak tahu nak kata apa dah.
Dia : Doakan yang baik-baik sahaja.

[Sumber gambar]

Tatkala ramai orang mencari pasangan hidup masing-masing, ternyata ada yang sebaliknya. Aneh-aneh sahaja hidup ini bukan?

Nota Kaki :
Bangun pagi dengan gembira. Elakkan perasaan benci sebab siapa yang ada sifat itu hati dia keji. Muka senyum berseri. Bukan macam muka selepas di baling tahi. Ala, macam mereka yang selepas kegelapan, penuh tinja berdiri. :)

Zara : Kadangkala kita akan senyum bila kita tahu apa yang kita mahukan dalam hidup bukan apa yang kita kejar selama ini dengan sia-sia. (Shafaza Zara, 8 Ogos 2011)

Tuesday, July 12, 2011

Dugaan : Majlis Hujung Minggu Ini Kawan


Dalam hidup ini, manusia sentiasa diduga.
Ya, dugaan serta cabaran yang pelbagai menjadikan kita lebih manusia setiap hari. Kadangkala dengan segala bentuk ujian itu juga, boleh menyerlahkan sisi kebinatangan yang disimpan sejak sekian lama. Dan manusia sebenarnya adalah makhluk yang sangat tidak boleh diduga - dari satu sisi dia akan ketawa, tapi dari satu sisi lain dia mungkin akan gila. 

Aneh?
Tidak juga.
Itu yang dinamakan manusia dan kita-kita semua masih lagi manusia yang acapkali menjadi sasaran para iblis dan syaitan menaburkan benih kemarahan dan pelbagai lagi anasir gila tatkala diberikan ujian. 

http://farm4.static.flickr.com/3664/3672419884_b763f01d5d.jpg
[Sumber gambar]

Tetapi, sebagai manusia, apa yang perlu kita lakukan?
Tatkala datang pelbagai musibah - satu demi satu, selain daripada kembali kepada Yang Maha Pencipta seperti biasa dan meminta yang baik-baik sahaja dalam menyelesaikan segala masalah, kita harus juga akaur kepada fitrah kita sebagai manusia dan janji Yang Maha Esa - kita yang perlu berusaha untuk mengubah nasib kita, bukan orang lain.

Dan, aku dikejutkan dengan panggilan seawal jam dua pagi - hanya untuk mendengar raungan dan tangisan seorang teman yang aku boleh sifatkan sebagai manusia baik yang diberikan ujian tatkala dia sudah tertimpa dengan ujian yang berat sebelum ini. Belum sembuh penderitaan, sudah disakiti hingga terpuruk sendirian.

N : Maaf ganggu kau tidur.
Aku : Kenapa menangis ni? Beritahu aku.
N : Hidup aku malang.
Aku : Kenapa cakap begini? Bakal pengantin mana boleh murung. 
N : Dah tiada lagi istilah bakal pengantin.
Aku : Kenapa?
N : L dah putuskan pertunangan kami.
Aku : Biar betul kau? Jangan main-main.
N : (menangis lebih kuat) Betul. Aku dah tak tahu macam mana ni.
Aku : Keluarga macam mana?
N : Ayah aku memang marah sangat tentunya. Sudahlah dia setuju nak teruskan majlis walaupun ibu aku meninggal bulan lepas, tiba-tiba jadi begini. Lagi berapa hari, macam mana nak tarik jemputan segala?
Aku : Dah duduk berbincang?
N : Dah. Keluarga dia siap dah datang rumah lagi.
Aku : Apa celakanya perangai ni?
N : Aku tak tahu. Bila tanya alasannya, dia kata dia tak nampak masa depan dengan aku.
Aku : Apa?!
N : Dia kata aku tak kuat masa ibu aku meninggal - aku menangis, pengsan sebab terkejut, dia kata dia tak sangka aku boleh jadi selemah itu.
Aku : Tapi ibu, keluarga adalah manusia paling dekat dengan kita dalam hidup. Kalau Puan Mulia sakit pu aku risau, sedih, susah hati - apatah lagi kau yang kehilangan ibu kau. Apa hak dia nak cakap kau lemah bagai sedemikian rupa?
N : (kembali menangis) Tak tahu. Dia kata dia tak nampak aku akan jadi seorang isteri dan ibu yang tabah, kalau kena ujian begitu pun tak tertanggung dah.
Aku : Apa celakanya ayat dia ni.
N : Apa nak buat ni Zara? Majlis Sabtu ni Zara.
Aku : Batalkan. Hantar pengumuman atau apa sahaja pada semua jemputan.
N : Kalau kawan-kawan bolehlah aku beritahu, tapi kad jemputan yang keluarga aku edar, macam mana?
Aku : Kalau susah sangat, tukar sahaja majlis tu jadi kenduri tahlil untuk ibu kau. Lagipun Sabtu ni Nisfu Sya'aban. Buat sahaja kenduri, beri orang makan.
N : Orang kan biasanya puasa hari tu.
Aku : Dari segalanya tak teratur, sekurang-kurangnya ada rancangan kalau masih ada lagi orang datang.
N : Pelamin semua hari Khamis baru orang ni nak cabut.
Aku : Dah, dah, jangan fikirkan dahulu buat masa ni. Kau kerja ke tak?
N : Macam mana nak kerja? Nak letak muka di mana?
Aku : Kau ambil masa kau sendiri, jangan putus asa. Jodoh itu rahsia Allah kan? Kau beritahu aku dulu.
N : Ya, rahsia. Dan siapa sangka, rahsia itu terbongkar sebelum mula segalanya.
Aku : Sekurang-kurangnya sebelum kau jadi isteri dia.
N : Aku tetap sedih.
Aku : Faham. Bukan sekejap kau kenal dia.
N : Aku masih tak faham kenapa dia buat aku begini.
Aku : Berhenti dari cari jawapan sebab kadangkala, lebih baik kita tidak tahu dari tahu hingga menyakitkan hati sendiri.
N : Terima kasih. Pergi tidur semula la.
Aku : Kau pun sama, pergi tidur.
N : Kalau boleh.
Aku : Boleh.

http://farm3.static.flickr.com/2497/3707359938_61103b570c.jpg
[Sumber gambar]

Kadangkala manusia boleh jadi terlampau kejam.
Sudahlah pembunuhan, segala jenayah berlaku di merata tempat dalam dunia, menyakitkan hati manusia masih termasuk dalam salah satu senarai yang panjang berjela. Segalanya sudah ditempah, segala bahan sudah tersedia dan beratur dalam rumah, tetapi bila perkara begini muncul dan goncang segalanya?

Ya.
Kita semua hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.
Itu pasti tetapi dalam hidup ini, ada benda lain yang kita kena lihat lebih luas dari sekadar pandangan mata.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Kesibukan sedang mencengkam diri. Apa sahaja berlaku, kita masih perlu kenal diri.

Zara : Walau betapa kejamnya dunia, kita masih ada hak untuk rasa gembira. Benar bukan?

Sunday, July 10, 2011

#HS #01 : Walaupun Pahit, Kita Telan Juga.


Dalam hidup, tidak semua yang kita mahukan akan menjadi milik kita. Selalunya, apa yang diidamkan adalah sesuatu yang sukar didapati dan memerlukan usaha yang berlipat kali ganda.

Bagi yang masih setia meneruskan perjuangan, tahniah diucapkan.
Buat yang mengalah sebelum memulakan langkah, terima kasih hanya kerana mampu bersuara gah.
Bagaimanapun, yang berjuang tapi kecundang, terima kasih kerana membanting tulang.
Itu yang mungkin diri kita mahu ucapkan buat kita, si pemilik tubuh.

http://farm5.static.flickr.com/4047/4633330151_7df7f2b990.jpg
[Sumber gambar]
Ya.
Dalam hidup ini, apa yang paling penting bukanlah berapa lama kita hidup, tetapi berapa bermaknakah hidup kita. Kalau hidup kita panjang tetapi tidak berguna, pastinya tidak ada sesuatu pun yang mahu dikenangkan. Ternyata, memilih kesenangan bukanlah sesuatu yang mudah - bahkan barangkali menempah rengsa yang tidak berkesudahan.

Kawan : Aku trauma untuk memulakan hidup baru.
Aku : Kenapa?
Kawan : Setiap kali aku mulakan hidup baru, cinta baru juga akan menyusul dan itu membuatkan aku akan teringat kembali, betapa kecewanya aku dengan cinta lama.
Aku : Jatuh cinta bolehkah dihindarkan?
Kawan : Jatuh cinta kan sama macam kemalangan? Boleh ambil langkah berjaga-jaga.
Aku : Tetapi, seringkali dalam berjaga-jaga, muncul juga sesuatu yang tidak diduga.
Kawan : Itukan sudah ditakdirkan.
Aku : Begitu juga dengan jodoh, jatuh cinta dan sebagainya.
Kawan : Aku tak mahu lagi jadi optimis.
Aku : Kau boleh jadi pesimis kalau mahu.
Kawan : Ah, celakanya hidup.
Aku : Kita selalunya akan salahkan sesuatu, atas semua yang berlaku.
Kawan : Aku benci dengan segala kesengsaraan, kepahitan hidup.
Aku : Walaupun pahit, kita telan juga kan?
Kawan : Ya ke?
Aku : Contohnya ubat. Ubat pahit, tetapi kita telan juga.
Kawan : Sebab ubat menolong kita cepat sembuh - usaha kita.
Aku : Sama dengan kita telan kesengsaraan. Ia tolong kita lupakan lama dan mulakan yang baru. Boleh?


Hidup kan ada sentiasa naik turun.
Macam pasaran saham.
Macam roda.
Macam harga minyak, harga ayam, harga sayuran dan sebagainya.
Dan juga mungkin berat badan.

Sentiasa ada perumpamaan. Sentiasa ada jalan untuk menyelesaikan segala masalah. Apa salahnya kita bukakan minda dan telan sedikit kepahitan agar apa yang kita rasa dihujungnya adalah kemanisan sebuah kehidupan?

Nota Kaki :
Kalau kau tak pernah belajar apa itu sejarah, jangan pernah duduk mengongoi, merengek tidak tentu hala.

Zara : Dalam kesibukan dunia, susahkah kau mahu berhenti sebentar dan bertanyakan khabar? Kesombongan kau ada bayarannya. Mungkin bukan hari ini, tetapi akan datang. Tiada siapa yang tahu.

Thursday, July 07, 2011

#ST #01 : Kebendaan


[Sumber gambar]

Dalam kesibukan yang melanda, dia sempat pinjamkan telinga dan masa mendengar luahan hati seorang kenalan yang meracau sedangkan otak dia sendiri entah kacau bilau dan hidup sudah serupa palat. Tapi dia tahu, celaka bagaimana sekalipun, dia masih ada seseorang yang dia boleh kongsi segalanya. Ya, seorang sahabat-baik-pijak-kepala.

Jadi, bila kenalan itu menghubunginya dan mula bercerita, dia pinjamkan sahaja telinga padahal dia sendiri perlukan bahu untuk menghamparkan masalah diri. Tidak mengapa, dia kemam sendiri, sebab dia sedang meniti takah demi takah yang dia racik demi kelangsungan diri. Apa yang diperbualkan dengan kenalan itu dia dengar sambil angguk kepala. Sementara tangan saling bertingkah menekan hon kenderaan di atas jalan raya.

Kenalan : Kau sibuk?
Dia : Tak juga, kenapa?
Kenalan : Aku tertekan.
Dia : Aku pun lebih kurang. Kau kenapa?
Kenalan : Bekas kekasih aku muncul semula.
Dia : Sudahnya kenapa?
Kenalan : Menyampah aku.
Dia : Kenapa?
Kenalan : Nampak sangat cinta kami putus dulu sebab aku tak akan dapat sediakan segala benda mewah buat dia.
Dia : Kenapa cakap macam tu?
Kenalan : Aku dengar berita dia dapat macam-macam lagi barang dari kekasih dia tu.
Dia : Biarkanlah.
Kenalan : Tapi, aku tahu dia beri tubuh dia untuk benda itu semua.
Dia : Biarlah. Dia dah besar.
Kenalan : Aku tahu, tapi hubungan apa itu? Cinta ke?
Dia : Cinta pelik dan itu mungkin salah satu daripadanya.
Kenalan : Ini gila.
Dia : (ketawa) Jadi, apa masalah kau?
Kenalan : Sebab aku sayang dia, maka aku tak nak dia pergi terlampau jauh.
Dia : Kau bukan milik dia lagi, dia pun sebenarnya tak pernah jadi milik kau. Cinta kalian dulu tu pun entah betul atau tidak kan dari pihak dia?
Kenalan : Tapi, aku sayang dia. Aku lindungi kesalahan dia dari keluarga dia, aku cuba berikan yang terbaik pada dia, tapi dia tetap dengan manusia kaya yang hanya mahu memenuhi keinginan nafsu gila.
Dia : (ketawa) Itu hubungan simbiosis mereka, biarlah.
Kenalan : Kenapa dengan kau ini?
Dia : Kenapa?
Kenalan : Kau macam tak berapa memahami situasi.
Dia : Sangat faham sebenarnya, cuma kita tak mampu buat apa-apa. Itu sahaja.


Dia diam.
Sebenarnya dia mahu ketawa.
Ketawa kuat seperti biasa - lampiaskan sisa kromosom lelaki yang dimilikinya.
Cuma, itulah. 
Dia malas.

Nota Kaki :
Sibuk dengan kerjaya.

Zara : Walaupun bukan untuk aku, tapi aku tahu aku sentiasa doakan yang terbaik untuk teman yang pernah buat aku senyum, gembira, ketawa bersama dan menangis kerana dia.

Sunday, July 03, 2011

Bila Kekasih Kau Punya Nama


Setiap manusia mempunyai tiga nama.
Nama yang diberi, nama yang dipanggil dan nama yang kau bina sendiri.

Ya, setiap satu daripadanya membawa kepada kesan berlainan dalam hidup dan tentunya, nama yang dibina sendiri (dibina atas dasar kebolehan atau sebagainya), membawa kepada tanggungjawab dan kerlipan yang berlainan bagi setiap orang. Nama yang diberi sejak lahir juga kadangkala menyumbang jika kau datang dari keluarga yang mempunyai nama gah. Sebagai contoh, siapa yang kenal Annahari berbanding dengan Al-Bukhary? Kan?

Dan bila kau yang mungkin tidak punya nama, ataupun terlalu rendah ke Bumi (baca : down to Earth) mempunyai pasangan yang dikenali ramai, sedikit sebanyak apa yang kau panggil sebagai ruang peribadi mula dicerobohi oleh manusia-manusia lain yang merasakan bahawa hidup mereka tidak secantik, semenarik, sebagus yang kau berdua lalui. Setiap detik perjalanan hidup kau yang selama ini hanya biasa-biasa, tiba-tiba menjadi bahan perhatian. Perubahan-perubahan pelik yang kau sendiri tidak boleh hadam mula berlaku seperti :

  • Kalau dulu Mukabuku hanya ada rakan zaman sekolah dan zaman universiti, tiba-tiba entah dari mana timbunan permintaan untuk menambah sebagai rakan mula muncul. Bila kau mengkaji-kaji siapa mereka, mereka membentak mengatakan kau sombong disebabkan memiliki idola mereka, kononnya. Kau mahu tekan ya, kau sangsi dengan mereka. Kau tekan tidak, mereka muncul lagi. Jalan penyelesaian, kau biarkan permintaan mereka tergantung.

  • Kalau dulu, kicauan kau merapik-rapik di Twitter, tiada siapa mahu ambil peduli. Perkataan limitasi pun tidak kau kenali. Sejak akhir-akhir ini, apa sahaja yang kau keluarkan, mula ada pemerhati. Bila ada yang tersilap, mulalah ada yang menghentam dan pastinya mengeji. Aneh-aneh manusia ini kau fikirkan. Lohongan hitam apa yang mula terbina ini?

[Sumber gambar : Sepasang kaki yang membawa kita mengenali siapa sebenarnya kita di atas dunia, pernahkah kita berhenti sekejap dan menghargai nikmat itu? (Shafaza Zara, 2011)]

  • Setiap gerak geri dan tulisan kau menjadi bahan perhatian. Kau mula rimas sebab kau menulis demi keselesaan diri dan kepuasaan melihat aksara yang saling bersambungan, penuh cerita hanya kau dan dia. Tetapi yang lain yang baru muncul menghentam kau menjaja cerita, padahal kau sudah memulakan sejak entah berapa lama. Cuma selama ini kau tidak dikenali sebab kau bukan sesiapa. Lainlah orang yang gilakan sinar kerlipan jadi manusia terkenal, bila pasangannya meletup, lamannya jadi kegemaran ramai dan dia mula menjual ceritanya kepada media. Kau ketawa sambil raup muka, bisik doa agar kau tidak tamak sepertinya. 

Bila kau diam membisu, orang kata kau sombong, bongkak dengan status yang kau sendiri tidak mengerti. Anehnya manusia yang gila itu, kau lebih nyaman mendengar salakan anjing di tepi jalan. Garang, air liur meleleh dan menakutkan tetapi tidaklah sehina ayat-ayat yang keluar dari mereka yang pastinya mempunyai taraf yang lebih tinggi, selayaknya.

Kau senyum.
Salakan demi salakan umpama senggama minda yang tidak perlu sebenarnya.
Lorong-lorong penuh warna yang kau tinggalkan lebih enak daripada tuduhan-tuduhan yang kau sendiri tidak tahu muncul dari mana. Kau mahu kembali kepada asal, menjalani kehidupan biasa yang tidak mahu tahu apa-apa tentang manusia yang tidak kenal erti penat menjatuhkan manusia lain sebagai contohnya. Tinggalkan sebentar ruang sepi dan mahu menikmati keselesaan lama. Kau cari kawan lama, cari balik keseronokkan lama (harapannya)

Kau : Ah, binatang belum hidup sekarang ini.
Dia : Binatang apa?
Kau : Macam monyet.
Dia : Ayam goreng kunyit?
Kau : Tak, kau main lagi lubang kunyit?
Dia : Ayam goreng kunyit sedap makan dengan kicap.

Kau mengeluh.
Disebalik kebaikan seseorang yang kau boleh berbual (dengan menaip sebenarnya), bila kau jumpa di luar dia mempunyai kekurangan pendengaran yang mungkin disebabkan pergi menyelam selama seminggu agaknya. Hela nafas panjang, kau capai balik kunci kereta sambil ketawa perlahan dan menyumpah. Dari perkataan monyet, tiba-tiba termasuk isu sensitif seperti lubang kunyit. Ini mesti sebab masa berbual ada iklan televisyen yang tunjuk perhimpunan pakai baju kuning itu haram. Kau terfikir sesuatu, kalau ada syarikat yang mahu dapatkan iklan percuma, saat itu mesti menarik punya - orang berhimpun ala-ala segerombolan peminat muzik. Tapi, itu kalau orang mahu ambil kesempatan-lah.

Duduk diam memandu, kau fikir lagi.
Apakah kekasih kau yang terkenal itu akan sertai benda begitu?
Dia sudah dapatkan baju kuning khabarnya dalam perjalanan terakhir dia sebelum menuju ke rumah.

http://farm3.static.flickr.com/2588/4000700096_36bcbff49c.jpg
[Sumber gambar : Baju kuning seperti ini yang kekasih kau beli. Aneh-aneh sahaja citarasa dia yang dikatakan terkenal tu, tapi ramai pula pemerhati yang memuji keindahannya. Kau pelik dengan deria manusia.]

Kau sendiri pun tidak tahu apa kebaikan punya kekasih terkenal seperti dia.
Adakah menjadi bahan kebencian manusia salah satu daripadanya?
Kau geleng kepala.
Aneh.

Nota Kaki :
Ini sebahagian daripada fragmen sebuah cerita mati - luahan hati seseorang kepada aku yang enggan mahu perbualan kami muncul disebabkan dia benci dengan istilah dikenali.

Zara : Mungkin ada benarnya tanggapan yang menyatakan aku lelaki. Kebelakangan ini, orang semua sangsi dengan jantina aku.