Showing posts with label Kerjaya Seni Sebagai Pendidik. Show all posts
Showing posts with label Kerjaya Seni Sebagai Pendidik. Show all posts

Monday, December 29, 2014

Semangat Sekolah.




Dari zaman aku sekolah, sampai aku dah kerja jadi cikgu sekolah, aku memang suka persediaan sebelum memulakan sesi persekolahan. Sesuatu yang aku sangat tunggu walaupun semuanya sudah berbeza daripada dahulu.

Masa zaman sekolah, bergelar murid --- seingat aku, setiap kali sebelum penggal awal tahun bermula, Abah akan bawa kami pergi pasar raya. Beli alatan sekolah. Bukannya benda-benda mewah, alat tulis sahaja. Yang boleh dibeli dalam kadar yang banyak supaya boleh dikongsi untuk kami semua guna. Abah, Emak pun cikgu --- jadi, kalau beli kira pukul rata semua orang dapat bahagian masing-masing. 

Jadi, bila beli alat tulis, apa yang kami pegang tak semestinya akan dapat kami beli. Mesti ada justifikasi dan semuanya haruslah keperluan, bukan kehendak. Sebagai contoh, aku dapat beli warna pastel Buncho yang botol dua belas tu. Tapi bukan setiap tahun aku dapat ya? Katakan ada warna yang dah habis, aku boleh beli warna yang habis sahaja. Bukan mengada nak beli lain. Sama juga macam kami dapat pensel, pen, pembaris, pemadam baru tapi kalau bekas pensel kami masih boleh digunakan, maka bekas pensel tak boleh beli baru. 

Aku rasa, cara Emak dan Abah yang beli borong alat tulis termasuk buku latihan adalah salah satu benda yang aku ikut sampai sekarang. Aku akan beli barang keperluan aku, dalam kadar yang aku boleh guna sampai setahun atau lebih kadangkala. Salah satu sebab mengapa mereka beli dalam kuantiti yang banyak adalah, kalau kami kehabisan alat tulis (hilang selalunya -_-"), memang akan ada stok di rumah.

Memang aku gila begitu dan baru-baru ini aku jumpa alat tulis yang boleh dibeli secara atas talian, memang lagi gembira aku beli. Kebetulan pemiliknya adalah kenalan aku juga, dengan tawaran harga yang menarik, serta layanan yang bagus --- memang aku beli dengan gembira.

Beli dari @paperdorable. Pemilik dia kacak. Heh!

Siapa yang gila beli alat tulis macam aku juga?
Angkat tangan!

Ah!
Tadi aku baru beli beberapa barang keperluan lagi selepas Menteri Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan 2015 akan ditangguhkan seminggu atas beberapa sebab. Tangguh maksudnya aku punya lebih waktu untuk bersama dengan Muhammad dan selesaikan beberapa kerja yang lain. 


--- via iPhone.

Saturday, January 18, 2014

Kembali Ke Asal.


Itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Kembali ke kawasan di mana kita mulakan segalanya, belajar dari segala asas yang dipelajari dan digunakan untuk menjalani hidup --- terlampau banyak kenangan yang bisa buat kita tersangkut dengan kenangan dan enggan melepaskan kehidupan itu pergi.

Sama.
Seperti mana aku yang kembali ke garis permulaan, lihat segala apa yang aku tinggalkan demi kehidupan lain yang aku belum pasti keadaannya, aku hanya mampu berharap aku dapat menghargainya sebagai kenangan dan tidak akan mati dalam ingatan. Mungkin satu hari nanti aku bakal kembali ke sana. Bukan seperti aku yang sekarang, barangkali dengan menjadi manusia, pendidik yang lebih baik.

Jadi, bila aku kembali ke sana --- sekadar melawat, aku dapat rasakan bahawa kasih sayang yang aku curahkan di sana terlampau mendalam. Tempat pertama, bagaimana apa pun aku lalui, aku sangat menyukainya. Zon selesa aku barangkali. Aku sebahagian daripada mereka, mereka sebahagian daripada aku, bagaikan keluarga kedua aku. Rumah kedua aku selepas rumah kediaman keluarga aku. Banyak masa aku berjaga dihabiskan di sana.

http://distilleryimage6.ak.instagram.com/a3b3caee773d11e3b03e125bb13f8fe6_8.jpg
Mulakan kehidupan baru aku dengan letakkan kalendar ini atas meja.

Selamat mulakan kehidupan.
Susah bagaimana sekalipun, tegakkan kepala.
Pandang dengan gembira.

Thursday, October 31, 2013

SPPBS - Pengalaman.


Salam semua.
Tulisan kali ini mungkin adalah berkait rapat dengan kerjaya aku sebagai guru. Tapi, aku percaya ramai orang yang mempuanyai sanak saudara, kenalan yang bekerja sebagai guru kerap terdengar rungutan yang berulangkali daripada mereka yang menggunakan sistem SPPBS ini. Untuk pengetahuan, SPPBS adalah Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang digunapakai untuk memasukkan tahap pencapaian anak murid yang menjalani PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah).

Semakin menghampiri tarikh tamat tempoh pengisian tahap pencapaian murid, semakin banyak rungutan yang aku boleh baca setiap hari di laman-laman sosial yang menghimpunkan guru-guru di dalamnya. Sama ada laman sosial rasmi ataupun sekadar satu kumpulan guru yang saling berkongsi cerita tentang pengalaman masing-masing, perkongsian teknik mengajar, nota, lawak jenaka ataupun entah, menjual produk kegemaran (bergantung siapa yang letak cerita dalam tu). Biasalah. Ramai orang, ramai cerita.

Yang menarik minat aku adalah, hampir setiap pos yang aku baca adalah penuh dengan kata-kata yang kurang manis daripada golongan yang mempunyai pekerjaan sama dengan aku.(Ini akan aku tuliskan dalam bahagian seterusnya).

Secara peribadi, aku sendiri menghadapi masalah dengan sistem ini. Tapi, dengan pendekatan menyiapkan sedaya upaya pada pertengahan Oktober, dan memasukkan tahap pencapaian murid setiap bulan secara berkala, sekurangnya, aku tidak menghadapi masalah untuk menyiapkan keseluruhan pencapaian murid bila tiba waktunya. Selain daripada itu, aku juga dah membantu Puan Mulia untuk memasukkan pencapaian untuk murid beliau juga. Ya, aku buat kerja untuk dua orang. Puan Mulia bukan orang yang lahir zaman teknologi. Tidak mesra komputer, tapi sekurangnya, bonda aku ini lakukan kerjanya dalam manual (isi transit rekod dan catatan) --- tugasan aku duduk isikan data yang dia sebutkan.

Aku sendiri ada beberapa kelas dibawah jagaan aku untuk PBS. Kelas berlainan, tingkatan berlainan dan subjek berlainan (ada 2 subjek aku). Sebab itu, sedaya upaya aku lakukan seawal mungkin dengan memikirkan banyak sistem atau tugasan lain yang muncul untuk disiapkan menjelang tamat sesi persekolahan tahun ini. Antaranya :
  • e-Prestasi.
  • SAPS
  • SPS
  • FROG-VLE.
  • SKT

Memang diakui banyak tugasan selain daripada mengajar dan menanda serta menunggu sistem yang kadangkala diselenggara, yang tak boleh dibuka, lambat dan entah apa lagi --- tapi aku secara peribadinya merasakan bahawa, tidak perlu untuk memaki hamun sistem tersebut. Siapa sahaja yang tidak menemui kesukaran untuk mengakses sistem tersebut? Ramai sahaja tapi mungkin boleh menggunakan bahasa yang lebih baik memandangkan apabila diletakkan di laman-laman sosial, banyak mata yang memerhati. Yang mungkin dengan sedikit kesilapan daripada pemahaman yang membaca, golongan pendidik terus dihentam secara seluruhnya.

Tahun lepas sejujurnya lebih parah. Menunggu lebih 24 jam tanpa tidur semata-mata mahu memasukkan markah PBS, dengan begitu lama menunggu, hasilnya tak muncul --- aku rasa tahun ini sejujurnya lebih baik. Aku rasa kegilaan aku akses sistem ini dimana sahaja (dengan buku catatan markah aku sentiasa dalam beg), aku isi di mana sahaja bila ada masa terluang. Dengan telefon pintar, dengan iPad --- dengan apa sahaja akses yang aku boleh dapat. 

Mungkin ada pendapat yang bakal menyatakan --- ya, belum ada anak lagi, bolehlah cakap. Aku jujurnya mengerti kesusahan sedemikian rupa. Bukan kawan-kawan aku tidak punya itu semua, tapi aku perhatikan mereka berhempas pulas dalam kerjaya dan tanggungjawab sebagai bapa/ibu juga. Merungut sedikit itu boleh, tapi sedikitpun aku tidak pernah lihat mereka memaki hamun sistem. Tidak pernah. Siapa yang tak penat bila kita isi markah dengan sedaya upaya tapi hilang sebab server down? Siapa yang tak marah bila kita cuma mampu duduk di halaman hadapan dan lihat icon berpusing-pusing bagi memuatturun paparan yang seterusnya?

Semua orang pun marah. Geram. Sakit hati.
Tapi, rasional sedikit. Jangan gunakan perkataan yang mampu menyinggung orang lain. Yang mampu menyinggung rakan-rakan lain dalam kerjaya yang sama. Yang memandang dan menjaga rapi kerjaya yang dekat di hati ini. Jangan sampai orang luar memandang serong kerjaya kita ini disebabkan oleh tutur bahasa kita yang tidak terjaga dalam meluahkan perasaan amarah akan sistem PBS ini.

Maaf.
Maaf.
Maaf.

Jika tulisan terbuka ini ada yang menyinggung perasaan orang lain, maafkan aku. Cuma, aku sangat sayang dengan kerjaya ini. Hati aku kurang senang bila ada orang menuding jari menyalahkan satu dua orang dalam kerjaya ini tapi melabelkan kita semua sebagai satu golongan kerjaya yang sudah tidak layak dipandang mulia oleh masyarakat. Yang dipandang hina bagaikan kita tidak punya fungsi dalam masyarakat. Bukan sanjungan dipinta tapi sedikit hormat dan penghargaan atas usaha kita dalam mendidik itu, tidak dipandang sia-sia. Itu sahaja.

Moga urusan kita dalam mendidik anak bangsa dipermudahkan.
Moga urusan kita semua dalam menyelesaikan pengisisan PBS sebelum 1 Disember dipermudahkan.
Moga kita semua bakal menjadi guru yang terbaik untuk anak-anak bangsa kita.
Moga-moga.
Amin.

http://distilleryimage6.ak.instagram.com/513bc61241d811e3945d22000a9f13ca_8.jpg
Beg yang diangkut ke sana ke mari. Dari sekolah bawa merata. Penuh dengan urusan dari peribadi hingga tugas menyelamatkan dunia. Ha ha ha. Beg serba guna kata suami.


Sunday, September 22, 2013

Demi Amanah.


Salam.
Aku baru balik dari kursus selama 5 hari 4 malam. Kursus CPD (Continuing Profesionalisme Developement). Kalau kau tanya aku tentang pengisian kursus, tentunya aku akan kata menarik (walaupun ada beberapa gaya penyampaiannya buat aku sedikit tepu). Keseluruhannya bagus cuma tempat adalah paling teruk pernah aku pergi.

Kau nak kata aku berkira?
Memilih?

Aku beritahu sebab dan selepas tu, kau boleh kata apa sahaja (lagi).

  1. Dalam bubur sarapan pagi ada lipas berenang.
  2. Masa masuk, cadar berhabuk, dan bilik air sangat berlumut.
  3. Hanya hari pertama sahaja bilik dikemas. Sehingga hari terakhir, tiada pengemasan.
  4. Lauk ikan keli ada telur lalat.
  5. Ikan goreng busuk --- digoreng garing dengan tepung demi hilang busuk, kot.
  6. Barang aku hilang dalam dewan seminar. 
  7. Tuala yang disediakan pihak hotel tak berganti sampai hari terakhir. Takpe.

Dengan pelbagai keadaan fizikal di atas, aku jujurnya lebih senang dengan kursus seminggu sebelum ini di Pangkor. Aku tidur 5 hari 4 malam dalam khemah dengan cuaca hujan lebat, air masuk khemah, tapi masih gembira. Makan beratur panjang dengan peserta hampir 300 orang (mungkin lebih) hanya di kantin tapi makanannya lazat. Penat macam nak mati buat aktiviti --- bertampal dengan koyok segala tapi masih sedap. Masih nikmat berbanding duduk dalam dewan tetapi dengan keadaan fizikal di atas.

Heh.

Tapi, itu bukan perkara pangkal yang aku mahu ceritakan.
Jauh menyimpang aku ni.

Bila pergi kursus ni, aku sedar banyak benda.
Aku terkenang diri aku yang dulu.
Yang masih belajar dalam cari siapa aku.
Dalam konteks seorang guru.

Dilahirkan dan dibesarkan oleh guru.
Dididik oleh pelbagai jenis guru di sekolah.
Diberikan pelbagai maklumat, ilmu di pengajian lebih tinggi.
Aku rasa aku jumpa pelbagai jenis tenaga pengajar.

Dan satu pun tidak pernah buat aku benci dengan istilah belajar.
Langsung tidak pernah.

Kalau pun dulu aku sering gagal Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Sejarah --- tapi seorang di kalangan guru aku tak pernah panggil aku bodoh. Benda yang aku rasa menjadikan siapa aku hari ini adalah tidak pernah guru aku panggil aku bodoh. Walaupun ada sahaja budak lain, kawan dan bukan kawan yang panggil aku bodoh sebab selalu angkut huruf G --- aku tenang sahaja dan anggap itu cabaran. Aku lulus semua sekali mata pelajaran di atas dan daripada 4 yang aku nyatakan di atas, hanya Biologi aku cukup-cukup makan. C6. Yang lagi tiga, aku dapat A1 (Sejarah) dan A2 (Fizik dan Matematik Tambahan).
 
Semuanya sebab cikgu.

Jadi, bila ditanya, dibandingbeza dengan pelbagai kerjaya lain, ada orang tanya kenapa aku duduk dalam kerjaya ni. Kerjaya yang orang sekarang pandang rendah dan sebagainya. Mungkin tahap dan nilai guru sekarang dilihat tidak sama dengan zaman kegemilangan satu masa dulu. Entah.

Jawapan aku mudah.
Demi kegembiraan.

Aku gembira dengan kerjaya aku. Aku sentiasa merasakan hidup memerlukan kegembiraan --- jadi sebagai seorang guru, aku merasakan bahawa kegembiraan itu adalah perlu. Semangat yang pernah ditanyakan oleh seorang pensyarah aku dulu --- masih aku rasakan dalam hati. setiap hari, bekerja melihatkan mereka yang duduk depan mata aku, aku sentiasa mengenangkan diri aku yang suatu ketika dahulu pernah duduk di situ. Bagaimana guru-guru aku melayan aku, aku sedaya upaya mahu buat perkara yang sama untuk anak-anak dihadapan aku.

Demi senyuman.
Aku akan kuatkan usaha.
Untuk jadi yang unggul dalam membawa rasa cinta.
Kepada ilmu, buat mereka.

Ini adalah amanah.
Amanah yang dititipkan buat aku.
Sekuat mana cabaran yang aku hadapi dalam kerjaya ini, aku tak mahu tumbang dihadapan mereka yang aku harus kelihatan kuat sentiasa. Yang aku mahu pamerkan rasa kuat dan bangga akan sedikit perubahan yang mungkin aku dapat rasa.

http://distilleryimage8.ak.instagram.com/ae6c810c21d811e3b4cc22000a1fbe13_7.jpg
[Instagram aku] : Beritahu diri sendiri bahawa kerja adalah amanah. Senyum dan teruskan usaha.

Apa yang aku hadapi hujung minggu ini, buat aku berbelah bagi.
Dengan keputusan yang aku buat secara peribadi.
Adakah demi kepuasan sendiri.
Ataupun sekadar berusaha sepenuh hati.
 
Nota Kaki :
Nanti aku kongsi sedikit ilmu yang didapati dari kursus itu yang aku rasa sesuai untuk kalian di sini.

Saturday, September 01, 2012

Hina Kerja Cikgu Rupanya #01


Ada seorang rakan penulis berkongsi dengan aku - satu artikel yang pastinya sudah tersebar luas merata tempat barangkali (dan aku mungkin lambat - disebabkan aku melayan tetamu berkunjung, maafkan aku) tentang betapa dia memandang rendah pada kerjaya yang aku sanjung tinggi ini. Ya, kerjaya yang aku pilih sebagai sumber pendapatan disamping aku dapat berbakti sedikit kepada masyarakat. 

Jadi, sekilas pendapat aku tentang isu ini?
Aku akan senaraikan satu persatu (pendapat peribadi selepas membaca kali pertama secara permukaan semata).

01 - Penulis berkenaan ada masalah dengan guru-guru dia sewaktu dia membesar. Mungkin dari zaman dia tadika hinggalah dia menamatkan pengajian di peringkat universiti. Oh, jangan lupa. Pensyarah juga adalah dalam kategori guru disebabkan mereka mendidik walaupun mereka di dalam kategori lain berbanding kami. Aku secara dasarnya memandang tugasan mereka - mendidik. 

02 - Cikgu tidak perlu kehidupan sosial? Jadi, orang yang bukan guru sahaja boleh bersosial? Aneh di situ ya. Aku tak nampak kenapa cikgu tidak boleh bersosial - tidak boleh punya blog, laman sosial dan sebagainya. Kerja lain silakan sambil bekerja sambil kemas kini status disebabkan kerjaya anda kebal. Sebagai cikgu, kami tidak dibenarkan berbuat demikian dan biarlah kami menulis status kami di papan hitam sahaja. Eh.

03 - Cikgu juga tidak boleh ada pekerjaan sampingan disebabkan mereka telah makan gaji yang lebih tinggi sedikit daripada mereka yang memerah tenaga lebih 12 jam di sektor industri? Oh, jadi masih ada lagi golongan jumud yang merasakan bahawa yang menjadi cikgu ini kerjanya membawa kain, alat solek, tudung, dan sebagainya ke sekolah untuk berjual? Salahkah mereka yang masih dedikasi ini (seperti yang dikenali ramai dan terbukti mereka hebat) untuk berbuat demikian? Kadangkala ada yang bawa barang yang dititip oleh saudara atau jiran tetangga. Sekadar membantu. Bukan mereka punya pun.

04 - Penulis berkenaan putus cinta dengan guru. Ah, ini mungkin juga. Manalah tahu kan disebabkan dia salah seorang penggemar blog yang memaparkan "Definisi Cinta Infiniti Sejak 2010" (angkat kening). Mungkin kecewa dengan sikap bekas kekasih yang seorang guru - serta sibuk dengan kelas tambahan serta jualan langsung menjual barang secara atas talian - maka hubungan mereka putus di tengah jalan. Barangkali juga. Boleh difikirkan ini.

05 - Penulis berkenaan juga merasakan bahawa para guru (pendidik sekalian - dengan nada semangat) - harus berhenti menulis blog dan bermain Mukabuku. Aku percaya penulis berkenaan tergolong dalam golongan yang baca blog liburan, santai sambil menukar "tab" antara blog dengan Mukabuku dengan jari pantas menekan "Like" - "Like" - serta "Share" artis-artis kegemaran dia. Barangkali dia sedang sibuk menonton "Oppa Gangnam Style" di Youtube untuk dibuat bersama dengan para pekerja dibawah seliaannya? Jadi, dia merasakan setiap kali orang melayari Internet juga buat benda yang sama?

Barangkali dia tidak tahu wujud kumpulan di Mukabuku yang berkongsi pendapat dan sumber maklumat pengajaran? Tidak termasuk blog dimana kami boleh muatnaik dan muat turun soalan serta bank soalan percuma yang disediakan oleh guru-guru yang hebat? Mereka juga menggunakan Internet. Serta medium laman sosial untuk berkongsi.

Ah, bagaimana ini? Haruskah aku berhenti menulis blog?


[Sumber gambar]

Itu hanya sekilas pendapat aku.
Pendapat lagi panjang, nanti sahaja. Aku mahu pendapat kalian (kalau sudi berkongsi tentang perkara ini).
 

Jadi, sebelum berpisah. Ingat satu perkara sekalian.
Ada "untung" juga jadi cikgu ini. 
Sebab kau boleh jadi muda sentiasa.
Eh.

Nota Kaki : Aku yang datang dari jurusan pendidikan - major Kimia, minor Matematik - tapi mengajar PJK, Sains, Pendidikan Sivik Kewarganegaraan, KH Perdagangan, Sejarah - dan kau anggap kalau satu cikgu tu tahu satu benda, sampai mati pun dia tahu satu benda sahaja? Aku percaya kau ponteng dulu masa sekolah ini. :)

Friday, July 20, 2012

15 Alasan Untuk Berpacaran Dengan Guru.


Salam semua.
Ingat lagi tulisan aku tentang "Kenapa lelaki patut segera meminang seorang guru?" - Ya, aku dapat banyak pendapat tentang tulisan itu dan tulisan itu sudah banyak dikongsi secara haram di Mukabuku dan mana-mana laman sesawang lain dan menukar pemilikan dengan alasan semua benda di Internet adalah hak milik setiap insan. Tidak mengapa, kita sangka baik sahaja. Itu perkongsian, perkongsian (urut dada sendiri).

Apa pun, aku mahu berkongsi satu artikel yang diberikan oleh seorang rakan kicauan aku di Twitter. Artikel itu dalam Bahasa Inggeris dan memandangkan aku enggan menterjemah setiap baris ayat, aku akan kongsikan dalam bentuk asal tetapi komentar dalam bahasa Melayu. Adil kan? Heh. Jadi, 15 sebab untuk berpacaran dengan guru :

[Sumber gambar]

1. They’re conversationalists. All day long, teachers work to connect with students of all kinds of backgrounds, intellectual levels and work ethics.

Bab konversasionalis itu aku kurang mengerti sebenarnya. Tetapi ya, kami, para guru memang berhadapan dengan murid-murid yang terdiri daripada pelbagai jenis latar belakang - dari yang sangat kaya hinggalah mungkin yang kurang mampu. Itu belum diira dengan tahap intelek masing-masing yang bisa bikin kami separa gila. Dan ya, etika kerja pastinya sesuatu yang menjadikan kami antara golongan yang langsung tidak boleh melakukan kesilapan. 

2. Teachers can charm parents. They meet with them a lot, and know how to put people at ease. Date a teacher, and you won’t have to stress about the inevitable meet-the-parents dinner.

Kami mampu buatkan ibu bapa terpesona (dan juga menyerang kami sebenarnya, heh!). Mungkin disebabkan sepanjang tahun ada sahaja hari bayar yuran, hari pendaftaran, hari terbuka, majlis solat hajat, majlis penyampaian hadiah (dan acara-acara lain yang bersusun melibatkan keluarga) - kekerapan kami berhadapan dan berurusan dengan pelbagai jenis keluarga menjadikan kami tahu bagaimana mahu melayan mereka. Ada yang datang dengan sikap baik dan sungguh bersopan santun. Ada pula yang mungkin tidak begitu - jadi, kalau apa sahaja jenis keluarga yang datang ke sekolah, kami memang tabah dan redha.

3. Teachers adapt quickly, whether it’s welcoming new students or embracing new curriculum. Change doesn’t faze them.

Mungkin juga. Sebab setiap kali menteri pelajaran (sebagai contohnya) bertukar, setiap kali itu juga ada polisi ataupun dasar yang berubah. Jangan kata menteri, hatta sekolah dapat pengetua/guru besar baru sekalipun, pasti akan ada perubahan. Jadi, guru-guru perlu pantas menerima perubahan demi menjamin keselesaan bekerja dan berkhidmat untuk bangsa dan negara. Begitu juga dengan murid yang silih berganti - datang dan pergi. Perubahan tidak lagi mengejutkan kami, bahkan kami golongan SYMP (Saya Yang Menurut Perintah).

4. Teachers can explain the same thing in a variety of ways until a point is made effectively, making sure that miscommunication doesn’t hurt the relationship.

Ini berlaku dalam kelas jika kita mahu merujuk situasi. Memandangkan ada sesetengah sekolah yang mencampur-adukkan pelajar tanpa ada pengasingan berdasarkan akademik, maka daya pemahaman setiap pelajar adalah berbeza. Ada yang menangkap dengan cepat, ada juga yang mungkin sedikit lambat. Kita boleh gunakan situasi yang sama jika ada manusia-manusia yang kurang faham bahasa untuk berikan mereka gambaran yang tepat (jika di luar sekolah).

A : Saya suka awak.
B : Saya tak suka awak.
A : Tapi saya suka awak.
B : Saya tak suka semua benda tentang awak.
A : Kalau muka saya?
B : Seluruhnya tentang awak!

5. Teachers are patient. At least the good ones are.

(Batuk)
Sesetengah daripada mereka mungkin cepat hilang sabar.
(pandang atas tangan di dada)

6. Teachers are great with kids. So if you’re looking for the parent of your future kids, a teacher is a great candidate.

(Batuk)
Ini aku rasa cikgu tadika ataupun cikgu sekolah rendah lebih bagus. Mereka berhadapan dengan kanak-kanak yang perlukan tunjuk ajar dalam semua benda. Menariknya, budak sekolah rendah sangat mendengar arahan dan amat patuh dengan setiap apa yang kau sebutkan. Sekolah menengah - kami berhadapan dengan remaja yang sudah mula pandai berfikir walaupun mungkin apa yang mereka fikirkan tidaklah betul semua - tapi, aku sejujurnya lebih senang mahu menangani budak sekolah menengah. Lebih dekat dengan jiwa aku barangkali. Zaman manusia sedang memberontak lebih kena dengan aku. Heh.

7. Teachers are up on the latest lingo and pop-culture trends. If you want to know what’s hip with kids these days, your date will know.

Kau tak perlu Google benda kalau kau berhadapan dengan budak-budak di sekolah. Kau perhatikan sahaja apa ada atas meja ataupun barang-barang mereka - kebanyakannya sangat mengikut aliran semasa. Kalau tengah demam KPop, daripada Super Junior, Big Bang sampailah kepada entah apa aku pun tak kenal. Kalau artis Malaysia, daripada yang muda-muda lahir dari program realiti hinggalah yang terkenal sebab lakonan dan sebagainya. Aaron Aziz? Melambak artikel itu aku jumpa terselit dalam buku mereka.

8. They have the summer off — and all holidays.

Malaysia tak ada musim panas. Tapi, segala macam cuti memang dikaitkan dengan cikgu dan sekolah. Cuti umum, cikgu cuti. Cuti sekolah lagi. Cuti berganti. Cuti peristiwa dan sebagainya. Ramai cikgu-cikgu yang ambil kesempatan cuti untuk berehat bersama keluarga ataupun mengadakan kelas tambahan. Tidak kurang juga cuti sekolah sering dikaitkan dengan lambakan guru-guru yang membuat majlis perkahwinan mereka. 

Tapi, aku sendiri tak berapa gemar cuti. Cuti sekolah aku biasanya habis dengan aktiviti luar yang berkaitan dengan kerja aku juga. Jadi, cuti sekolah kurang bermakna bagi aku. Aku lagi suka sekolah. Ya, hadamlah yang manusia beku ini lebih gilakan pekerjaan dia.

9. Coming up with fun, creative solutions to problems is part of their day job. Teachers make problem-solving fun!

Untuk ini, mungkin disebabkan jika dilihat kepada corak kerja dan persekitaran - setiap satu murid ada masalah mereka sendiri dan sebagai guru, pastinya masalah itu perlu dibantu supaya tidak mengganggu proses pembelajaran. Setiap murid itu unik, dah nama pun manusia kan? Jadi, cara untuk membantu mereka adalah berlainan bagi setiap orang kerana masalah mereka juga berlainan. Ada yang mempunyai masalah keluarga, masalah kewangan, pembelajaran, hatta masalah yang berpunca dari diri sendiri dan rakan-rakan. Yang obses dengan cikgu pun ada, oopps!

10. Teachers have great — and predictable — hours. You can plan consistent date nights with ease.

Kalau dengan cikgu, jadual kerja mereka biasanya sudah boleh dijangka. Paling lewat barangkali tiba di rumah adalah jam 8 malam - bergantung kepada aktiviti di sekolah ataupun mungkin kesesakan lalu lintas yang merunsingkan semua golongan. Ada juga yang mengikuti aktiviti luar (batuk) - tidak pulang ke rumah dan bermalam di kawasan yang ditetapkan. Tidak kurang juga yang menghadiri seminar, kursus dan sebagainya. Tetapi, semuanya berjadual dan ya, kalau kalian mahu keluar dengan golongan guru - sila pastikan jadual waktu mereka dengan baik. Ah, tentatif selalu berubah tahu?

11. If you had a crush on a teacher as a youngster, now’s your chance to finally date one — legally.

Mungkin sesetengah daripada kita ada yang jatuh hati, jatuh cinta dan segala macam jatuh dengan cikgu sekolah sendiri suatu ketika dahulu. Tetapi memandangkan situasi dahulu, dia guru dan anda murid, makanya hajat hati itu tersimpan dalam lubuk hati paling dalam (cewah!). Jadi, anda mencari seseorang yang serupa dengan cikgu anda - tidak kiralah dari segi paras rupa, hatta kenderaan yang dibawa - anda mampu untuk bersama dengan dia tanpa kisahkan tentang perkara yang boleh membuatkan anda dipandang aneh oleh masyarakat.

Tapi, kalau cikgu yang anda idamkan masih lagi bujang dan mencari jodoh, tidak ada salahnya anda masuk meminang. Kalau dia cikgu lelaki sekalipun, anda mampu untuk meminang dia. Manalah tahu, anda akan jadi sebahagian daripada statistik yang berkahwin dengan guru sendiri. Eh, tiada salahnya tahu?

12. Date a teacher and you’ll be dating someone who is shaping future leaders. Yes, your date is super-influential.

Ini bergantung sebenarnya. Ada sesetengah golongan dalam masyarakat memandang rendah kerjaya guru. Mungkin mereka dulu belajar sendiri di rumah - maka, tiada nilai yang mereka pandang pada pekerjaan yang hanya makan gaji - pergi sekolah, balik rumah - cuti hujung minggu (pada pandangan mereka walaupun realitinya tidak begitu).

Tetapi, buat sesetengah orang pula, mereka merasakan kerjaya ini adalah yang membentuk generasi akan datang serta membentuk mereka seperti yang mereka ada sekarang. Bak kata Allahyarham Usman Awang, sehebat mana sekalian pekerjaan - sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa. Yang mengajar tulis, baca. Dan jangan ada yang terlupa, guru-guru kita dahulu adalah orang yang sangat berpengaruh dalam erti kata, nasihat dan tunjuk ajar mereka masih kita ingati sampai ke hari ini. Betul kan?

13. Teachers don’t tolerate bullying or intolerance. They stand up for those around them.

Sebenarnya, saya memang ada simpan nombor telefon polis dan talian kecemasan dalam telefon genggam saya. Ah, itu jawapan hampir kesemua guru yang aku kenal. Bukan kami berkawan rapat dengan pihak berkuasa (sesetengah kami mungkin ya, atas dasar urusan kerja ataupun peribadi - manalah tahu) - tetapi itu adalah sebagai satu langkah berjaga-jaga memandangkan murid sekarang antara generasi yang anda tidak boleh jangka. Mungkin di depan anda mereka sedang tersenyum riang, anda palingkan kepala sudah ada kerusi yang terbang terkena kepala.

Hello. Rakan Cop?

14. Everyone has a favorite teacher they look back on fondly. You’re likely dating someone’s hero.
Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Mungkin bagi sesetengah daripada kita menjadikan bekas-bekas guru kita sebagai satu tempat rujukan - dari segi sahsiah, akademik, paras rupa, penampilan diri dan sebagainya dalam kita mencorak masa hadapan. Aku pun mungkin tidak terlepas daripada itu. Ada guru yang menjadi sumber inspirasi untuk aku jadi sehebat dia, sebagus dia dalam banyak perkara - pengajarannya, tahap akademik hingga ke doktor falsafah walaupun dia masih mengajar di sekolah menengah biasa dan banyak lagi. Di mata aku, dia bijak sebagai seorang manusia yang boleh buatkan anak-anak murid dia masih mendengar apa yang dia katakan - walaupun jika dilihat dari sudut pekerjaan, kami sudah sama. 

Ah, adakah aku adiwira bagi anak-anak murid aku juga?
Heh!

15. You’re a respectful, mature adult. At the end of a crazy week, your presence will be a welcome break from adolescent angst.

(senyum)
Aku percaya setiap daripada kita perlukan ruang peribadi untuk bersama dengan manusia yang kita suka. Mungkin pada hari biasa, manusia itu adalah manusia yang tekun dengan kerja dia dan hujung minggu adalah ruang untuk dia tunjukkan diri sebenar dia pada manusia yang dia suka. 

Sumber : 15 Reasons to Date A Teacher (pautan)

http://farm7.staticflickr.com/6010/6013584875_33d887d5e3.jpg
[Sumber gambar]

Apa-apa pun, aku secara peribadi merasakan kita tak perlukan berpuluh alasan untuk menyayangi manusia lain. Kadangkala hanya dengan satu alasan (dan juga mungkin tiada alasan dan sebab) - kita mampu untuk menyayangi manusia lain yang kita suka dengan jiwa mereka. 

Projek Tadarus Al-Quran Ramadhan 2012 sudah dibuka.
Boleh cari di Twitter dengan hashtag : #TadarusQuran3 #dsz.
Penyertaan boleh diletakkan di pautan ini. (pautan)

Friday, January 06, 2012

Itu Kerana Mereka, Awak Dan Saya Adalah Guru.




Sesi persekolahan dua puluh dua belas sudah bermula.
Tamat sudah minggu pertama, bermakna cabaran dan tugasan akan lebih bertambah. Tetapi semua itu bukan perkara besar. Terbiasa dengan kerja, bahkan minggu depan sudah bermula latihan rumah sukan. Pastinya hampir jam enam atau tujuh mungkin aku baru akan tiba di rumah. Sesetengah daripada anda semua mungkin akan berkata, apalah sangat balik waktu begitu, tapi bagi orang yang sudah punya keluarga sendiri, pastinya itu bermakna sudah kurang sedikit waktu berkualiti bagi mereka dan keluarga. Aku? Tidak mengapa, belum punya lagi.

Awal pagi tadi, aku membaca tulisan Qarl tentang persepsi masyarakat (sesetengah daripadanya) yang melabel guru dengan sindiran halus dan tajam. Lebih-lebih lagi dengan timbulnya isu berkaitan dengan bakal guru yang sibuk dengan agenda politik dan sebagainya, masyarakat kita, kebanyakan daripada mereka memang sensitif yang amat sangat dan boleh jadi tidak tentu hala. Tulisan Qarl boleh dibaca di pautan ini. Ulasan aku di blog Qarl, aku salin semula di sini sebagai suatu rujukan tentang pandangan peribadi aku.

Salam Qarl.

Benda ini adalah sesuatu yang lumrah. Terlalu pantas masyarakat kita (sesetengah daripada mereka) - menjatuhkan hukuman kalau mana-mana isu berkaitan dengan guru (atau bakal guru).

Mungkin persepsi mereka masih tebal lagi tentang cikgu ini antara yang perlu dihormati ataupun sentiasa perlu yang baik-baik sahaja, jadi, bila timbul isu kurang enak, jari-jari akan dituding, bibir-bibir akan menjuih menghina kerjaya kita.

Sama juga dengan peristiwa pelajar yang dikatakan berubah dalam beberapa hari ini. Itu hak dia sebagai manusia, mahu buat apa sahaja, tapi masyarakat kita menghentam sistem pelajaran, menghentam bagaimana guru-guru menjalankan tanggungjawab, dan lebih 'enak' sekali mengaitkan ibu dia disebabkan ibu dia juga seorang guru.


Hebatkan masyarakat kita?

Jadi Qarl, satu benda yang Kak Zara pegang dari dulu adalah, kita teruskan perjuangan kita dalam kerjaya yang kita sukai ini. Politic is not my cup of tea. I might read about it, concern but to join it? Nope. I still can't find that politic is wise & clean.

I rest my case too.

http://farm7.staticflickr.com/6070/6160274087_5511b120a8.jpg
[Sumber gambar]

Tahun ini masuk tahun ketiga aku sebagai seorang pendidik, seorang guru yang dipanggil cikgu. Banyak benda yang aku pelajari dan aku perhatikan sepanjang aku bertugas, tidak kira di sekolah ataupun di rumah. Sememangnya setiap kerjaya mempunyai cabaran masing-masing dan harus diakui, mendepani murid yang pelbagai kadangkala boleh menukar mimpi baik menjadi buruk ataupun buruk menjadi baik. Segalanya terpulang dengan cara menangani sesuatu isu.

Sebagai contohnya, jika ada sesuatu isu berbangkit - jika kita merujuk kepada kes yang melibatkan bakal guru berhimpun di universiti mereka pada malam tahun baru. Ketepikan agenda politik ataupun yang sama waktu dengannya kerana itu bukan sesuatu yang aku mahu sentuh. Tapi disebabkan status dia adalah pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan - itu agak menjadi tabu dalam masyarakat. Selain keluarnya persepsi seperti yang diterima oleh Qarl, sudah tentunya ia menjadi tamparan hebat bagi mereka yang menjadi guru apabila keluar kenyataan bahawa - "Cikgu-cikgu yang kerja kerajaan pun mahu menjadi anti kerajaan. Tengok bakal guru pun boleh buat begitu"

Jujurnya memanglah tidak enak. Jika Qarl dalam tulisannya menyatakan banyak perkara yang dia mahu lakukan sebelum mahu menghabiskan pengajian, aku mahu menyorot kembali, apa kegiatan aku sewaktu di zaman universiti. Setakat yang mampu aku ingat, tiada satu apa pun yang berkaitan dengan agenda politik kecuali pergi mengundi setiap kali pilihan raya kampus. Ya, aku terdidik untuk keluar mengundi disebabkan kemeriahan poster, manifesto serta calon-calon yang cantik, kacak serta baik. Maaflah, disebabkan aku tidak mahu terlibat dengan perkara sedemikian, setiap kali aku memangkah, selain daripada kenalan aku sendiri ataupun orang yang aku kenal serta bincang dengan kawan-kawan sebelum beratur di tempat mengundi, di kotak tertutup dan sepi itu, aku pangkah sahaja untuk cukupkan kuota fakulti dan universiti. Dan itu sahajalah fahaman politik aku di universiti. Tidak pernah ada keinginan mahu lebih daripada itu semua. Sampai sekarang, sudah bekerja, sudah mendaftar sebagai pengundi, aku cuma baca dan perhati sahaja dari jauh isu politik. Untuk berbahas, bukan aku.

Seperti juga bila timbulnya isu pelajar cemerlang yang diketahui umum dalam dua, tiga hari ini. Bila orang sibuk di dalam Twitter, Mukabuku, blog dan sebagainya, aku hanya memilih untuk membaca dan memerhatikan sahaja. Tiada komentar khas aku mahu keluarkan, satu disebabkan aku tidak tahu cerita sebenar dan keduanya, pada aku - itu bukan urusan aku untuk konon secara tiba-tiba menjadi lebih baik dari orang lain. Tidak perlu. Tapi sebenarnya, bila membaca tulisan banyak juga manusia yang tidak bertanggungjawab dalam isu tersebut (serta beberapa isu lain), aku sedikit terkilan dengan beberapa perkara.

Guru dikaitkan sebagai tidak tahu mengajar dan menerap nilai murni pada murid.
Aku rasa semua orang akan bersetuju dengan aku bahawa sikap, peribadi dan budi pekerti seseorang manusia itu dipegang oleh mereka sendiri. Betul bahawa didikan di rumah dan di sekolah dikatakan mampu membentuk seseorang. Sejauh mana mereka mahu mengamalkannya, itu terpulang kepada individu. Dan manusia yang melemparkan tuduhan terus, tepat kepada guru atas apa yang berlaku pada mana-mana individu, adalah kurang bijak. Mengapa mahu jatuhkan hukuman macam kamu adalah wakil Tuhan? Atas dasar apa?

Sebab itu aku selalu beritahu anak murid aku satu perkara, supaya mereka jangan buat benda gila. Untung ini Malaysia - dan wartawan serta media kita tidak segila di Jepun, Korea ataupun negara maju yang lain. Apa yang berlaku, jika seseorang ditahan atas perbuatan jenayah (sebagai contoh) - guru sekolah zaman lampau mereka turut dikejar untuk ditemubual. Kalau benda baik tidak mengapa kan?

Memang tanggungjawab cikgu tidak berakhir di sekolah. Berapa ramai daripada kita bila bertemu dengan bekas guru kita, mereka masih mengingati dan berikan nasihat kepada kita? Pastinya ada dalam sekadar bertegur sapa, terselit pesanan seorang guru tu. Aku kalau terjumpa bekas guru, mereka kata "jaga diri" pun dah cukup seronok oh.

http://farm7.staticflickr.com/6062/6153875123_89c735d73d.jpg
[Sumber gambar]

Sistem pendidikan yang (mungkin) tidak sempurna.
Satu benda yang kita kena ingat, tiada benda yang sempurna atas dunia kecuali Allah Yang Maha Esa. Apatah lagi sistem pendidikan yang diciptakan oleh manusia kan? Betapa kita berusaha sekalipun mencipta yang terbaik, pastinya akan ada yang lebih baik. Mungkin betul, disebabkan sistem pendidikan kita bertunjangkan peperiksaan semata-mata, kita menilai setiap individu dengan bilangan A dan juga gred purata di universiti. Lebih banyak A, lebih bijak. Lebih banyak gred purata sehingga ke empat rata, itu yang terbaik. Kita harus akui juga, dalam banyak perkara, ada yang menjurus kepada yang baik. Dalam sesetengah perkara ataupun kes, mungkin akan ada yang menyimpang serta sedikit tersasar. 

Tapi untuk menyalahkan guru seratus peratus, aku masih lagi kurang bersetuju. Bukan disebabkan aku guru, tetapi aku lihat banyak juga orang yang jadi manusia dengan sistem pendidikan yang kita gunapakai selama ini. Ya, jadi manusia. Sebab itu, kampus selatan kesayangan aku menggunakan moto - "Kerana Tuhan Untuk Manusia". Menjadikan orang itu sebagai manusia bukanlah benda mudah. Bak kata seorang pensyarah pada aku, "semua manusia adalah orang. Tapi tak semua orang adalah manusia". Aku rasa ada benarnya. Sebab itu kita selalu dengar orang tua menjerit marah pada anak, suruh anak jadi manusia kan?

Dalam falsafah pendidikan ada menerangkan untuk melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek, bahkan juga dari segi sahsiah. Sepanjang aku hidup, melalui kehidupan sebagai seorang murid sekolah, masuk matrikulasi, universiti dan keluar sebagai seorang guru - aku rasa dalam pendekatan yang cikgu-cikgu aku ajar selama ini tidak pernah berpaksikan peperiksaan semata-mata. Ada sahaja unsur kebaikan yang diselitkan. Mohon jangan jadi jumud dengan beranggapan benda yang berkaitan dengan rohani serta sahsiah itu hanya pada mata pelajaran Pendidikan Islam, Moral dan apa sahaja yang berteraskan agama. Dalam Matematik, Sains dan banyak lagi ada membawa kepada itu  semua. Mungkin tidak nampak secara langsung, tetapi secara tersiratnya ada perkaitan yang boleh kita perhatikan dan perhalusi.

http://farm7.staticflickr.com/6166/6151707619_086dc8db59.jpg
[Sumber gambar]

Dalam banyak-banyak tulisan merapu yang menghentam tidak tentu hala, aku nampak satu perkara yang buat aku tersenyum. Orang ramai selain menuding jari pada guru, semua nak menyalahkan media. Baiklah, itu sesuatu yang aneh. Kau menghentam sana sini pun menggunakan media (Twitter, blog, laman sesawang, Mukabuku itu semua adalah media sosial), jadi kau nak salahkan media juga? Memanglah ada orang salah menggunakan media, benda baik diputarbelit menjadi serupa tahi ataupun benda buruk digambarkan baik, tetapi bukankah setiap daripada kita mampu memilih mana yang baik, mana yang tidak baik dalam hidup? Secara rasionalnya, pilihan di tangan kita. Tidak perlu mengikut arus setiap orang dalam kehidupan sendiri. Gila sungguh perangai begini. 

Dan di media jugalah, perkara begini sering mendapat tempat. Gunalah tajuk "guru-murid-pelajar-sekolah", pastinya lensa kamera dan apa sahaja terus laju mencekup untuk dijadikan bahan berita. Ya, sensasi. Banyak contoh boleh kamu kaitkan, tidak tertakluk kepada satu perkara sahaja. Nanti ada pula kata aku menyokong isu tertentu. Perlu diingatkan, aku menulis dengan neutral, berpegang kepada pendirian aku sendiri sahaja. Tidak perlu ada sokongan ataupun apa, ini tulisan bersifat peribadi sebagai satu reaksi dalam kerjaya aku sendiri.

Baiklah.
Itu sahaja aku rasa. Selamat berhujung minggu buat kalian semua.
Aku mungkin masih perlu bekerja bagi memuaskan diri sendiri yang tidak kenal erti penat dan lelah.

Nota kaki :
Aku tersenyum sahaja melihat seseorang yang aku kenali melarikan diri daripada bertembung dengan aku. Mungkin dia masih teringat yang dia menghalang aku menjadi seorang guru dengan alasan - "kerjaya guru tiada masa hadapan" - padahal dia ketika itu seorang guru juga.

Tambahan : Pertandingan ulang tahun blog masih dibuka. [sini]

Zara : Jadual sehingga penghujung Januari sudah penuh. Aku sedang mengintai peluang dan ruang, sama ada awal Februari aku ada kelapangan ataupun tidak. Permintaan seorang kawan sukar untuk ditolak, tambahan pula, ia boleh memberikan sedikit warna menarik dalam prestasi kerjaya aku.

Saturday, December 31, 2011

Dua Puluh Sebelas : Sorotan Dan Rangkuman



Hari ini hari terakhir dua puluh sebelas.
Macam baru semalam aku menulis tentang dua puluh sepuluh. Tentang bagaimana tahun dua puluh sepuluh sebagai satu tahun menolak kematangan diri. (baca sini). Tahun dua puluh sebenarnya adalah tahun di mana aku secara dalam diamnya mendaki dan berusaha untuk menulis secara serius bagi tahun dua puluh sebelas. Ya, bagaimana dua puluh sepuluh sudah ditinggalkan, dua puluh sebelas juga bakal melabuhkan tirai.

Dalam tahun dua puluh sebelas, pelbagai peristiwa berlaku. Setiap satunya pasti meninggalkan kesan dan pengajaran untuk memberikan lebih baik pada tahun dua puluh dua belas. Sebagai catatan, tahun dua puluh sebelas bakal aku tinggalkan dengan tiada satu pun istilah percutian. Ya, tiada. Kegilaan aku pada kerjaya dan  entah apa yang merasuk semangat aku untuk tidak kenal erti penat dan lelah berusaha mencapai apa yang aku mahukan. Mungkin ada yang sudah menjadi milik aku, mungkin juga ada yang terlepas dari genggaman serta ada juga yang sudah aku lupakan dalam perjalanan. Hidup perlu diteruskan, bukan?

Senyum.
Itulah satu benda yang aku tidak pernah tinggalkan dalam hidup sepanjang dua puluh sebelas. Jujurnya, aku akan sentiasa pastikan senyuman itu tidak akan menjauh dan terus dibawa ke tahun hadapan dan seterusnya. Kalaupun mungkin aku akan menangis seketika, aku tidak mahu senyuman itu lekang kerana ia dapat mengusir derita. Walaupun orang kata itu satu langkah berpura, kau sebenarnya tidak tahu bila kau akan tersenyum lagi nanti.

[Sumber gambar] - Mari kita lihat apa yang telah dilaksanakan sepanjang dua puluh sebelas.

Januari. [pautan]
Aku mulakan Januari dengan tahun kedua berkhidmat sebagai seorang guru. Dengan tugasan yang bertambah serta banyak lagi benda menyeronokkan termasuk kegiatan aktiviti luar, aku memastikan setiap apa yang aku buat tersusun supaya apa yang aku mahukan terhasil dengan baik. Awal tahun juga kesibukan melanda, tapi aku masih menulis seperti biasa. Dalam aku saling memberikan imbangan yang aku rasa sudah cukup baik antara kerjaya dan kehidupan peribadi, aku diuji dengan kehilangan manusia yang aku cintai pada penghujung Januari. Aneh kenapa tiada dalam Dunia Sebelah Zara?
Senyum.

Februari. [pautan]
Menerima hakikat kehilangan setelah lama bersama bukanlah mudah aku rasa. Cuma bila berhadapan dengan situasi menyakitkan seorang diri, apa yang penting adalah bagaimana menguatkan diri sendiri. Aku rasa disebabkan aku menulis dengan lebih serius tentang perasaan manusia, tentang bagaimana menghadapi masalah dan sebagainya, Dunia Sebelah Zara telah menjadi satu daripada keutamaan aku selain daripada kerja hakiki. Pada bulan ini juga, aku telah dilamar menjadi sebahagian daripada tenaga kerja Terfaktab. Oh ya, bulan Februari juga menyaksikan aku memulakan misi mustahil aku sendiri - tidak makan nasi.

Mac. [pautan]
Bersedia untuk menghadapi peperiksaan - salah satu benda wajib dalam perkhidmatan aku. Saat ini, aku bergelumang dengan nota, latihan dan tugasan yang sudah lama aku tinggalkan. Aku belikan diri sendiri sebuah meja belajar, untuk duduk memberikan tumpuan. Puan Mulia kata aku gila sebab aku memilih untuk beli meja belajar berbanding dengan meja solek. Tapi, dengan meja belajar juga aku boleh bersolek. Bukan kalian tidak kenal kegilaan aku kan?

April. [pautan]
Aku lebih fokus menulis tentang benda yang berlaku dalam hidup aku dan manusia di sekeliling aku. Masa ini aku sudah buang segala perasaan mengarut aku pada benda yang tidak membawa kepentingan langsung. Kegilaan aku pada kerjaya memuncak mulai saat itu. Keseronokkan yang aku dapat daripada apa yang aku buat, tidak termasuk aktiviti luar dan sekolah membuatkan aku lupa segala masalah dan dapat memberikan tumpuan lebih banyak pada diri sendiri dan keluarga. 

Mei. [pautan]
Orang lain mungkin bercerita tentang cuti, tapi aku lebih suka memikirkan kerja aku. Menulis dan terus menulis walaupun banyak kritikan dan komentar yang tidak membina dilemparkan. Aku seperti biasa, hadam segala duka, telan segala kepahitan supaya tidak akan ada jiwa yang tercedera. Cukuplah dengan apa yang aku terpaksa lihat depan mata. Oh, penghujung Mei - Ketua Keluarga Hebat, Puan Mulia dan adik bongsu aku melakukan umrah lagi, bersama dengan beberapa anggota keluarga. Bermula episod aku menjaga adik beradik di rumah ketika cuti dengan mengorbankan kegiatan luar aku semasa cuti.

Jun. [pautan]
Amanah yang ditinggalkan, alhamdulillah dapat dilaksanakan secara baik. Aku banyak belajar bagaimana menguruskan rumah tanpa kehadiran orang tua, belajar memasak secara aku seorang sahaja yang menguasai dapur, menguruskan kewangan dan sebagainya. Tapi malangnya, kegembiraan menyambut orang tua aku di lapangan terbang dicemari dengan insiden yang merobek hati aku sebagai seorang manusia. Herdikan dan makian yang aku terima saat itu daripada manusia yang aku pernah kagumi merubah persepsi aku terhadap apa yang kita panggil sebagai berhemah dan rasa hormat aku terhakis serta merta. Apa pun yang berlaku saat itu, aku dengan gembiranya tahu bahawa aku masih punya Emak dan Abah serta adik beradik yang sentiasa percaya dengan aku. Alhamdulillah.

Julai. [pautan]
Siapa sangka permulaan bulan yang baik akan berubah dalam masa yang sangat singkat? 20 Julai, aku kemalangan dengan Adam Awraq kesayangan yang belum pun mencecah setahun remuk habis di bahagian hadapan, petang dalam perjalanan aku pulang dari sekolah. 22 Julai, dalam jam tiga pagi, rumah aku dimasuki perompak bersenjata seramai empat orang. Segala harta benda berharga direnggut daripada kami sekeluarga. Dan itu adalah tiga hari penuh menyakitkan sepanjang tahun dua puluh sebelas sebenarnya. Malang yang bertimpa di saat Ramadhan bakal menjelma. Hilang pengangkutan disebabkan Adam Awraq ditarik ke bengkel dan telefon genggam memutuskan aku terus daripada semua kenalan sekian lama. Dalam kesedihan yang aku hadapi, sebenarnya aku nampak bahawa rakan alam maya banyak membantu aku sebenarnya. Twitterjaya terutamanya.

Ogos. [pautan]
Awal Ramadhan disambut dengan penuh kesederhanaan seperti biasa. Tetapi, episod penderitaan sebenarnya baru sahaja mahu bermula. 10 Ogos bersamaan dengan 10 Ramadhan, Puan Mulia jatuh di longkang kecil sekolah. Panggilan yang aku terima di sekolah buatkan aku bergegas ke sekolah dia hanya untuk mengejar ambulans yang membawa dia ke pusat kesihatan berhampiran. Pemeriksaan selanjutnya di hospital hanya memberikan kepastian terseliuh yang kami sangka rupanya patah buku lali kanan. Itu tamparan hebat kepada seorang yang kuat bekerja seperti Puan Mulia. Bermalam di hospital bersama dia dan aku mengambil alih sepenuhnya urusan di rumah. Alhamdulillah, pengalaman ditinggalkan selama dua minggu sebelum itu amat membantu. Adam Awraq juga kembali pulih. Selain itu, pada 25 Ogos, kembar yang selama ini aku kenal dengan gambar, perbualan semata-mata datang ke rumah aku. Kali pertama bertemu, bertentang mata secara alam nyata, kasihan, dia dapat hadiah yang pastinya dia tidak akan lupa. 29 Ogos - aku menginjak usia dua puluh empat tahun.

September. [pautan]
Aidilfitri yang menjelma pada penghujung Ogos disambut dengan sedikit kemurungan dengan keadaan Puan Mulia yang masih cedera, tapi kehidupan diteruskan seperti biasa. Dengan Adam Awraq sudah kembali dalam tangan, aku dihimpit dengan kesibukan semula. Pergi kursus, ekspedisi, kegiatan luar, berbasikal dan sebagainya mengisi jadual aku sepanjang bulan September, termasuk beraya dan juga menghadiri majlis graduasi seorang kenalan lama. Buat kali pertama, aku menghadiri #twtupraya bersama dengan kenalan Twitter yang pulang beraya di Muar. Kenangan terindah bersama dengan manusia yang aku kenal di alam maya tentunya. Di samping itu, aku bekerja dengan lebih gila sebagai bayaran selepas sebulan menyisihkan aktiviti sempena menghormati bulan puasa.

Oktober. [pautan]
1 Oktober membawa tulisan aku ke satu dimensi baru. Bersama dengan Terfaktab, kami melancarkan Kitab Terfaktab #1 di Uya Distro. Satu pengalaman baru melihat tulisan aku yang selama ini hanya boleh dibaca di blog sudah tercetak (dan alhamdulillah, dikhabarkan sudah masuk cetakan kedua dan masih banyak tempahan lagi). Tahniah kepada semua skuad Terfaktab dan mereka yang sentiasa menyokong kami. Dalam kesibukan berkejar ke Subang Jaya, dan sebagainya, aku memulakan tugas sebagai pengawas PMR buat kali pertama. Bulan Oktober sememangnya sibuk dan ini kali pertama aku melihat peperiksaan sebagai satu bentuk pertempuran buat diri sendiri juga. Kali pertama memegang kelas Tingkatan Tiga.

November. [pautan]
Di sebalik kesibukan peperiksaan akhir tahun, dan juga raya Aidiladha - aku dapat tugasan lagi. Menjadi pengawas peperiksaan SPM. Betapa aku mencari pengganti, tiada siapa yang mahu. Dalam aku memberontak, aku pergi juga melunaskan arahan. Kan kerja aku adalah SYMP - "Saya Yang Menurut Perintah". Aku terpaksa melupakan aktiviti kokurikulum aku yang menyeronokkan. Berkorban dan keinginan aku juga terkorban. Terpaksa melupakan lawatan ke Perlis dan Selangor. Terpaksa melepaskan peluang menyertai cabaran. Tahniah kepada diri sendiri yang dengan tabahnya tidak buat apa-apa selain menjaga peperiksaan. Sedih. Oh, aku juga mulakan menulis dengan lebih gigih untuk bulan Disember. Ramai kawan-kawan melangsungkan perkahwinan, dan ada yang terpaksa aku tolak undangan dengan baik akibat kesibukan. Seorang kawan baik sejak tiga belas tahun yang lepas melangsungkan pertunangan. Berada di samping dia saat itu, buatkan aku gembira kerana dapat meraikan hari bahagia.

Disember [pautan]
Akhirnya berakhir juga SPM. Aku dapat tumpukan pada acara terbesar dalam takwim kerja aku sebagai seorang jurulatih dengan program basikal peringkat kebangsaan. Sekurang-kurangnya, ada juga benda yang aku suka dapat aku buat. Kenal dengan lebih ramai orang, belajar banyak benda baru dan bertugas dengan cara pimpinan yang berbeza setiap hari membuka mata aku tentang bagaimana manusia perlu terus hidup atas dunia ini. Jujurnya, mereka adalah keluarga yang aku tidak mahu hilang selagi aku terus hidup dan kekal dalam kerjaya ini secara amnya. Oh, selain daripada itu, buku kedua aku muncul pada 10 Disember 2011. Dengan tajuk HERO, aku satu-satunya penulis perempuan di dalam antologi yang menampilkan lima penulis itu. Dilancarkan di Uya Distro (sekali lagi) - dengan kehadiran manusia-manusia yang aku sayang, tapi hanya mampu luahkan dalam hati, aku sangat gembira atas semua kurniaan Ilahi. Aku punya sahabat-sahabat yang baik, keluarga yang menyokong serta pembaca budiman yang aku anggap sebagai kawan. Apa lagi aku mahu minta?

http://farm4.staticflickr.com/3158/3080606182_af39d78aaf.jpg
[Sumber gambar] - Jadi bagaimana dengan cerita peribadi? Aku tidak punya jawapan mahu diberi.

Seperti selalunya, aku mengharapkan kalian yang sudi membaca akan terus menyokong Dunia Sebelah Zara sehingga ke penghujungnya. Oh, esok - 1 Januari 2012 - Dunia Sebelah Zara akan memasuki ulang tahun yang ketiga. InsyaALLAH, akan cuba berikan sesuatu kepada pembaca bertuah yang selama ini sentiasa memberikan semangat serta dorongan untuk aku terus berusaha.

Semoga yang terbaik menjadi milik kita semua. Amin.

Nota Kaki :
1. Orang sering bertanya, apakah setiap kali menjelang tahun baru perlu ada azam baru? Aku memilih untuk buat azam baru setiap hari sebab setiap hari adalah permulaan hari yang baru. Lagipun, tahun baru pada aku adalah semasa bergeraknya awal Muharam. Sebab saat itu adalah pertambahan usia aku bermula.
2. Tahun dua puluh sebelas juga merupakan tahun di mana tulisan aku berkurang dengan drastik.

Zara : Selamat menukar takwim anda semua. Selamat memberikan yang terbaik buat diri sendiri dan semua manusia. Jangan terlampau korbankan kepentingan diri hingga merana demi melihat orang lain tersenyum gembira (peringatan kepada diri sendiri sebenarnya). Jaga diri, jaga hati, jaga iman dan aku cuma mahu beritahu yang aku sayang kamu semua.


Saturday, November 26, 2011

Berpisah Kerana Taraf Pendidikan




Tahniah.
Tahniah buat kawan baik yang melangsungkan majlis pertunangan.
Tahniah buat kawan sekursus di universiti yang sudah bergelar isteri orang.
Tahniah juga kepada rakan-rakan lain yang menjemput aku menghadiri majlis kalian.

Semalam ada berbual dengan seorang kawan lama. Ada urusan yang perlu diselesaikan dan ternyata, perjanjian antara kami tidak dapat dilunaskan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Ah, aku kalau hajat hati dihalang oleh Puan Mulia, maka, aku sanggup buat apa sahaja untuk biarkan dia lihat aku sebagai anak yang mendengar kata, walaupun itu bermaksud aku perlu lupakan apa yang aku hajati. Baiklah, berbalik kepada perbualan aku dan kawan itu, selain daripada mahu ke suatu destinasi yang sama, hajat hati adalah mahu tahu suatu kisah yang dia tidak beritahu dunia, tetapi aku boleh baca daripada catatan ringkas dan kesan yang tertinggal di laman sosial dia.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_labl200Mg71qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Aku : Minta maaf aku tak dapat pergi bersama.
KY : Tak mengapa. Dah Mak kau tak berikan, mesti ada sebab.
Aku : Ya, ada. 
KY : Lain kali sahaja ya?
Aku : Baiklah. Ni sebenarnya, ada benda aku nak tanya pada kau.
KY : Tanya apa?
Aku : Dah lama nak tanya tapi aku senyapkan dahulu. Ingat bila jumpa kau depan-depan, aku nak tanya sendiri.
KY : Tanyalah. 
Aku : Kau dah tak ada apa-apa dengan RS?
KY : Kenapa?
Aku : Sebab aku terbaca sesuatu di laman sosial kau dan dia pun dah buang aku dari senarai kawan. Itu yang aku nak tanya. Kalau aku salah, aku minta maaf awal-awal.
KY : Betul, dah tak ada apa-apa.
Aku : Kenapa?
KY : Sebab dia dah bertunang.
Aku : Apa? 
KY : Tak sangka kan?
Aku : Bertunang dengan siapa?
KY : Sepupu ke saudara dia sendiri, macam tu lah.
Aku : Tapi, aku tengok kamu baik sahaja.
KY : Itulah. Dah orang tak nak, nak buat macam mana?
Aku : Apa alasan sebenarnya?
KY : Mungkin keluarga dia tak suka aku.
Aku : Kenapa tak suka?
KY : Macam kita berdua, setakat ini ada ijazah kan?
Aku : Sekejap. Dia tolak kau sebab dia sekarang ambil PhD?
KY : Macam itulah. Katanya nak yang setaraf. Aku kan baru ada ijazah sarjana muda, apalah sangat kan?
Aku : Tapi, aku tengok dia dulu tak macam tu pun.
KY : Manusia kan berubah.
Aku : Tapi, bukannya lekeh sangat tak ada PhD. Maksud aku, ada ijazah pun orang tak nak sekarang?
KY : Tak setaraf. Kau faham dik? Orang anggap tak setaraf bila aku ni setakat ijazah, dan anak dia ambil PhD. Bakal ada Doktor didepan, dan aku ni, macam kau juga, hanya cikgu.
Aku : Ada masalah ke kalau kita cikgu? Boleh sambung belajar kan?
KY : Memang, tapi buat masa sekarang aku belum sambung lagi kan? Anak dia dah nak habis belajar lagi pun. Nanti nampak sangat perbezaan. Mak dia malu agaknya. Sebab Mak dia pun pandai, terkenal.
Aku : Kaya eh?
KY : Bolehlah dikatakan berada. Kita biasa-biasa dik.
Aku : Tapi, tolak sebab perbezaan pendidikan, macamlah kau tak habis sekolah langsung.
KY : (ketawa) Aku dah tak nak fikir.
Aku : Tapi kalau dia kahwin, dia jemput kau, kau ajaklah aku.
KY : Kenapa?
Aku : Nak tengok dan belajar sesuatu. Bukan sekejap kau dengan dia, dari zaman belajar lagi.
KY : (ketawa) Sekarang ini aku fokus nak cari duit.
Aku : Cari duit dan nak buat apa?
KY : Beli kereta baru.
Aku : Bukan kau baru beli kereta ke?
KY : Lagi dua tahun aku nak tukar kereta.
Aku : Kereta lama?
KY : Nak bagi adik aku guna.
Aku : Tak jadi kahwin, bukan bermaksud kau kena habiskan duit simpanan kau macam tu.
KY : Habis aku nak buat apa? Kau beritahu aku.
Aku : Banyak benda lain.
KY : Aku nak beli kereta.
Aku : Aku doa dalam masa dua tahun ni, kau jumpalah orang lain.
KY : Kenapa?
Aku : Supaya kau tak beli kereta baru.
KY : Choi!

http://25.media.tumblr.com/tumblr_lnuqq38cFg1qax024o1_400.png
[Sumber gambar]

Ya.
Aku faham dalam situasi di atas. Situasi yang dialami oleh KY. Bukan sedikit kawan-kawan aku melalui perkara yang serupa, apabila salah seorang daripada pasangan yang tinggi taraf pendidikan (walaupun belajar tinggi bukanlah kau semua dapat kerja : bak kata kawan aku) - mereka berpisah dengan alasan sedemikian rupa. Tidak dinafikan, bukan semuanya begitu, aku katakan segelintir sahaja yang berfikiran sebegitu. 

Secara peribadinya, aku orang yang memandang tinggi nilai pendidikan. Mungkin sejak dari kecil aku sudah disantakkan dengan kenyataan bahawa dengan ilmu, kita boleh mengubah kehidupan walaupun sedikit, maka aku - orang yang melihat pendidikan adalah perkara yang penting. Lagi pula, ilmu itu ada di mana-mana, maka dengan mengambil kira semua orang layak mendapat pendidikan, aku merasakan keperluan belajar itu antara perkara utama dalam hidup manusia. Dan, aku juga sudah bekerja sebagai seorang gur, pastilah aku mahukan agar semua anak didik aku memperoleh ilmu yang berguna untuk diri dan masa hadapan mereka kan?

Tetapi, itu bukanlah satu benda yang perlu dijadikan alasan atau faktor penolakan dalam hubungan. Adakah nak tanya pada orang setiap kali nak bersama, bercinta dan sebagainya - soalan seperti berikut? :
1. Awak dulu univeristi mana?
2. Awak punya SPM dapat berapa?
3. Awak dulu masa ijazah, kelas berapa? CGPA berapa?
4. Dulu dapat dekan berapa kali? Setiap semester ke tak?
5. Biasiswa ke PTPTN?

Gila ke? Mahu tanya itu semua? Soalan yang sering diajukan oleh orang dalam situasi ini adalah , "Kalau dah tahu aku cuma ijazah sahaja, dan dia nak ambil sarjana (baca : Masters) dan dia kurang selesa atau segan, kenapa dia tak beritahu awal-awal? Bukan aku tak nak sambung belajar, cuma tunggu masa sahaja". Faktor penolakan yang muncul secara tiba-tiba, walaupun tidak dinafikan, mungkin ada faktor luaran yang lain.

Aku : Ijazah, sarjana, doktor falsafah kan keluar dari universiti juga?
Kawan : Setiap dari itu kan tak sama?
Aku : Betul, tapi bukankah boleh berusaha untuk sampai ke tahap tinggi begitu?
Kawan : Maksud kau boleh sambung belajar?
Aku : Betul. Kan kalau ada ijazah, boleh sahaja sambung sarjana atau terus ke doktor falsafah, apa masalahnya?
Kawan : Masalahnya mungkin, masa kau tengah berusaha nak sambung sarjana, orang tu dah ada gelaran Doktor di hadapan nama. Jadi, secara mata kasarnya, dari taraf pendidikan, dah tak sama.
Aku : Macam alasan sahaja.
Kawan : Setiap benda yang berlaku kan perlukan alasan? Sama macam orang yang sama-sama ijazah, tapi sebab graduasi kelas lain-lain pun boleh jadi punca berpisah.
Aku : Sebab kelas pertama, kelas kedua atas, kelas kedua bawah, kelas ketiga pun boleh eh?
Kawan : Manusia kan pelik.
Aku : Segulung sijil itu mahu diletakkan di dalam dulang hantaran ke?
Kawan : Manusia semakin maju, maka pemikiran semakin pelik.
Aku : Dan jelik.
Kawan : Betul. Mungkin orang tua ataupun yang mahu berpisah itu tak sanggup dengar masyarakat mencemuh. Ala, yang itu PhD. Yang bakal pasangan dia cuma ijazah je?
Aku : Tapi, kasihan sangat kalau sebab begini.
Kawan : Memanglah. Macam aku dulu, sebab apa kami tidak bersama? Sebab dia lulusan luar negara, aku cuma dalam Malaysia, walaupun aku graduasi dengan sarjana muda kelas pertama. Kursus yang sama, benda yang sama belajar, tapi sebab dia dari luar negara dan aku cuma lulusan tempatan, keluarga dia kata tak setaraf. Aku ditolak begitu sahaja.
Aku : Benda begini balik kepada hati manusia juga.
Kawan : Ya. Tapi bila melibatkan banyak benda, kadangkala kita terpaksa terima.
Aku : Hadam walaupun berbisa.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_ld3khkSDt41qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Ya.
Aku akur setiap orang ada pandangan dan pendirian masing-masing. Ada sahaja yang tidak habis sekolah, hidup bahagia dengan orang yang kaya raya dan berpendidikan tinggi. Ada sahaja yang hidup bahagia walaupun dia cuma setakat SPM dan bersama dengan pemegang doktor falsafah. Benda begini bergantung kepada hati dan niat kita mahu bersama dengan seseorang. Apakah kita serius, ataupun sekadar mahu menduga sama ada permainan akan sampai ke penghujungnya?

Entah.
Tapi aku suka untuk mengingatkan. Kalau ada sesiapa yang mahu meneruskan hubungan dan menjadikan taraf pendidikan sebagai satu alasan atau faktor untuk berpisah dengan ayat, "Saya tak nak nanti anak kita kata salah seorang daripada kita tak pandai" - aku mohon, tolonglah berfikir dengan semasak-masak dan sejelasnya, apakah matlamat sebenar anda dalam perhubungan. 

Itu sahaja.
Aku juga sedang memohon doa paling tulus agar mereka yang berada di sekeliling aku hidup baik-baik dan gembira sahaja. Bahkan mendoakan diri agar dijauhi dengan situasi sedemikian menduga. Aku secara peribadinya mengintai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam memperbaiki taraf pendidikan (dan juga sahsiah) diri.

Nota Kaki :
1. Salam Awal Muharam semua. Kalau berkesempatan mahu berpuasa esok (Ahad), amatlah digalakkan ya. 
2. Jangan lupa baca doa akhir dan awal tahun pada petang ini (Sabtu)

Zara : Melihat rakan baik sejak tahun 1998 sudah mengikat tali pertunangan, aku hanya ketawa memikirkan adakah aku punya kesempatan untuk melalui saat sedemikian dalam hidup suatu masa nanti? Aku doa moga aku sempat mengecapi sedikit kebahagiaan dunia. Amin.

Monday, November 14, 2011

Kita Tidak Pernah Tahu Rancangan Tuhan.



Sepanjang hujung minggu, ramai yang berkicau di Twitter tentang SPM. Tentang bagaimana mereka melalui zaman sebagai murid yang memakai pakaian seragam, beratur masuk ke dewan peperiksaan, menulis jawapan di atas kertas, mempertaruhkan segalanya untuk melihat hasil yang dapat dibanggakan di atas sehelai slip hitam dan putih dengan kesan karbon berikutan begitu banyak salinan. Hasil usaha selama beberapa tahun sekolah, dinilai oleh masyarakat di atas sekeping sijil.

Sebenarnya, bukan sekadar SPM, tetapi bahkan dengan semua orang semakin celik pendidikan, nilai pelajaran yang tinggi demi masa hadapan, bilangan A ataupun CGPA menjadi penanda aras kepandaian seseorang berdasarkan akademik. Bukanlah mengatakan yang kurang A itu kurang pandai, tetapi itulah bagaimana masyarakat melihat kejayaan. Kesedaran untuk menjadi yang terbaik dalam masyarakat, memberikan segalanya demi kelangsungan hidup menyebabkan kita dapat lihat setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, lambakan pelajar yang cemerlang semakin bertambah. Itu sesuatu yang baik, bahkan kita sentiasa berharap agar kecemerlangan akademik, pelajaran - seiring juga dengan kejayaan akhlaknya. Moral yang tinggi dengan harapan, tiada manusia yang hebat tetapi kejayaannya disulami dengan rasuah, sebagai contohnya.

[Sumber gambar]

Melalui zaman kegemilangan dalam sekolah kebangsaan - jadi tikus putih makmal berjaya dalam cubaan PTS kali pertama dalam sejarah di Malaysia. Tanpa pernah tahu apa yang dipelajari dalam Darjah 4, aku jadi sebahagian daripada budak Darjah 5 - sekelas dengan mereka yang pernah setadika dengan aku sebelum aku larikan diri daripada tadika pada usia 5 tahun. Ya, aku pernah lari dari sekolah pada usia yang muda dan itu memberikan kelebihan - aku tidak lari dari mana-mana selepas itu. Tadika banyak tekanan berbanding sekolah, matrikulasi dan universiti rupanya.

Keputusan UPSR tidaklah bagus mana. Sekadar mampu sekolah biasa dan duduk dalam kelas pertama daripada sembilan buah kelas lain, dah cukup elok daripada catatan awal mula kelas dari bawah kan? Maka, bermula hidup tanpa pernah dapat naik pentas untuk terima hadiah. Tingkatan Satu tak dapat, Tingkatan Dua pun tak dapat. Tingkatan Tiga lagilah sadis. Duduk dalam kalangan murid sederhana sebenarnya bukanlah membawa rahmat bahagia. Sebab, yang pandai dan cemerlang ada program mereka sendiri - Titian Emas. Yang gagal ada rancangan mahu beri mereka lulus - GALUS. Yang sederhana hanya duduk dalam kelas dan belajar sesama sendiri. Pergi kelas tambahan selama setahun dengan menaiki bas di bandar - tanpa ada kenalan, alhamdulillah, walaupun percubaan hanya 1A (kena gelak dengan orang, ejek mestilah banyak), PMR sebenar merasa 7A 1B. Tak sia-sia kejar bas setiap minggu, duduk di perhentian bas yang penuh tahi burung ('_')

Naik Tingkatan Empat - kali pertama dapat hadiah. Ya, hadiah daripada PMR itulah. Masa itu, bangga punyalah rasa nak menangis, sebab sejak masuk sekolah menengah, tak pernah dapat hadiah kecemerlangan. Jadi, bila dapat sekali, haruslah kita tamak kan? Mulalah belajar (kononnya) dan dapatkan nombor satu sentiasa. Duduk dalam aliran Sains Tulen (dan semua si pandai-bijak-geliga dah keluar ke SBP, MRSM, Teknik) - maka yang lemah macam aku barulah boleh nak menyinar. Barulah dapat peluang nak masuk apa-apa program, kalau tidak, ajaib. Heh. Tapi, walaupun nombor satu dalam kelas, bukan bermaksud nombor satu dalam tingkatan. Dalam tingkatan sentiasa jadi nombor dua, disebabkan budak kelas Akaun lagi pandai (gigit bibir)

Oh, sebab B itu adalah Sains, maka harapan masuk ke MRSM dan SBP haruslah musnah. Dapat tawaran ke Teknik Bukit Piatu, tapi aku tak pergi. Aku dah siap isi semua borang tetapi hati berbelah bagi. Masa itu, aku masih lagi bercita-cita nak jadi doktor, walaupun keputusan Sains adalah B. Heh. Jadi, Abah berikan aku peluang untuk buat keputusan sendiri - demi masa depan aku. Kononnya demi cita-cita mahu jadi doktor juga, aku buat keputusan mahu kekal di sekolah biasa. 

Tingkatan Lima yang penuh warna. Epal biru hanya pada mata pelajaran tertentu. Masih diselang-seli dengan kehadiran epal merah yang tidak ranum, bahkan busuk. Ya, keputusan mata pelajaran tertentu seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Sejarah tidaklah baik. Er, baik mengaku buruk sahajalah. Kali pertama lulus Matematik Tambahan dengan keputusan B3 adalah masa percubaan SPM. Gila kan? Sebelum itu, jangan harap. Dengan kesungguhan Mak (terima kasih Emak) yang paksa aku pergi kelas tambahan ke sana-sini termasuk di rumah kawan dia (di sini sangat menarik - sambil belajar, aku menghayun buaian dan gantikan lampin bayi) - segala pengorbanan beliau boleh dikatakan berbaloi. Terima kasih juga pada mulut cikgu Sejarah yang mengata aku (aku anggap dia beri perangsang dengan ayat pedas dan sarkastik) - aku mampu buat dia berlinang air mata sewaktu keputusan SPM keluar. SPM - 8A, 1B, 1C6. C6 adalah Biologi. Untung lulus dan kredit, selalu dapat 7-8-9.

[Sumber gambar] - Mahu baca tulisan aku untuk minggu penghargaan di Terfaktab? Tekan sini.

Dapat keputusan SPM - sudah pastilah mengesahkan aku tak akan mampu jadi doktor, walaupun masa itu aku dah tukar cita-cita nak jadi pakar forensik. Pengaruh CSI tentunya ketika itu. Nampak sangat dah lama siri itu kan? Dalam masa yang sama, otak aku asyik terfikir mahu ke UTM. Terima kasih kepada majlis entah apa masa sekolah dahulu, UTM datang dan aku siap tampal poster besar di dinding - lukisan Dato'Lat tentang kursus di UTM. Masa itu aku hanya nampak aku harus ambil kejuruteraan kimia.

Jadi, lepas SPM - aku secara rasmi masuk ke asrama pertama aku. Matrikulasi. Dalam Sains Fizikal, mestilah aku cuma nak jadi jurutera sahaja. Kejuruteraan kimia memang matlamat aku walaupun bukanlah cemerlang sangat sampai dapat 4 rata (4.00). Ajaib kalau dapat, untuk akulah. Orang lain aku tahu ramai dapat.

Sebelum habis matrikulasi, kena isi borang masuk IPT. Kita panggil borang UPU. Tetapi, disebabkan khabar angin bahawa hanya yang dapat 3.5 ke atas sahaja dapat masuk universiti - aku dengan gigih pergi isi borang maktab. Aku tak peduli kalau aku lambat setahun sekalipun (padahal sebenarnya kau sekelas dengan orang yang tua setahun dari kau) - asalkan aku mampu masuk ke universiti. Gila. Aku pergi temuduga, ujian bertulis, dan aku gagal. Masa ini, aku nampak Mak kecewa dengan keputusan tersebut disebabkan dia sudah mula paksa aku ambil pendidikan. Jadi, bila nak isi borang UPU, Mak suruh aku letak pendidikan daripada pilihan pertama hingga kelapan. Er, aku membantah keras, tapi ikut juga disebabkan Mak berikan aku ruang untuk pilih kursus atau bidang -aku pilih Kimia.

Alhamdulillah, lepas temuduga dan sebagainya - aku sambung pengajian sarjana muda dalam bidang pendidikan di universiti selatan tanah air. Dalam masa belajar, aku cuba yakinkan diri bahawa pilihan ini yang terbaik walaupun aku tak nampak adakah aku mampu jadi seorang guru seperti keluarga aku ataupun tidak. Nasib baik Kimia adalah benda yang aku suka, walaupun tidaklah bagus mana. Heh.

[Sumber gambar]

Selepas empat tahun dan juga semasa dalam semester kelima menjalani latihan mengajar, aku baru menyedari bahawa ini satu-satunya benda yang aku pandai buat - mengajar. Belajar dan mengajar. Itu sahaja benda yang aku tahu. Jadi, tiada lagi otak jahat yang mahu menyalahkan keluarga dalam diam kerana membuatkan aku berada di fakulti pendidikan berbanding di fakulti kejuruteraan kimia yang terletak jauh di atas bukit.

Dan hari ini, setelah lebih dua tahun berkhidmat sebagai seorang guru - melalui pelbagai detik dan kenangan dalam kerjaya ini - aku berdiri di hadapan calon SPM sekolah lain dengan gelaran pengawas peperiksaan. Aku mungkin bukan aku yang kalian kenal jika aku seorang doktor, pakar forensik ataupun jurutera. Lord Zara hanya satu mitos ataupun tidak pernah wujud langsung jika aku tidak mengikut kata Mak suatu ketika dahulu.

Ya, kita semua tidak pernah tahu rancangan Allah.
Rancangan yang mungkin nampak pelik pada kita mulanya, tetapi membawa kepada cerita sebaliknya. Membawa bahagia dan merasai setiap perkara yang aku tidak pernah jumpa.


Jadi, sebelum berpisah, terima kasih sekali lagi.
Itu ucapan yang kalian patut ucapkan sebagai penghargaan pada diri setiap hari.

Nota Kaki :
Aku sibuk dengan kerja, maaf aku kurang menulis.

Zara : Usaha mahu melihat sebuah senyuman itu sungguhlah payah tetapi tetap digagahkan agar tiada istilah menyesal tidak sudah. Kesalahan yang membawa sengsara, kesenyapan yang menyuntik resah.