Tuesday, March 30, 2010

Kek Cawan Bahagia Cikgu Zara - Edisi Prolog Penuh Cinta Bersalutan Rotan.


Salam semua.
Apa khabar kalian?
Sudah menikmati pembacaan Legasi Cinta Alisia Bab Lapan?
Ukir senyuman.

Hari ini bercadang mahu beri sesuatu pada pelajar kelas aku.
Sesuatu yang mudah dan comel - seorang satu.
Senyum ini manusia beku.



Atas meja aku di bilik guru.
Oh, kelihatan tanda nama aku.
Sengaja menyusun dalam bentuk jantung - dan aku memakai baju ungu.



Penguin merah aku sentiasa menemani di atas meja.
Sering buat aku senyum gembira.
Eh, comel bukan kek cawan bahagia?

Aku tempah khas buat anak-anak kelas aku.
Tempah 30 biji sedangkan kelas aku hanya 22 orang.
Oh, sudah beri tiga pada rakan sekerja dan selebihnya akan aku bawa pulang ke rumah.
Senyum aku lihat kek cawan comel ini.
Eh, mahu ajak mereka makan bersama ketika waktu Sejarah.

Tinggal dulu kamu semua.
Aku mahu masuk kelas menunaikan amanah.

Zara : Mahu ukir senyuman gembira.

Legasi Cinta Alisia : Bab 8 Boleh Dilayari Sekarang. Halaman Peminat Dan Kumpulan Pembaca LCA.


Salam semua.
Apa khabar kalian?
Sedikit berita buat kamu semua.

Jam 10.03 malam.
29 Mac 2010.
Bab 8 Legasi Cinta Alisia muncul untuk tatapan kalian.




[Legasi Cinta Alisia - Bab 08]

Dentuman guruh secara tiba-tiba menyedarkan Chia Hau dari lamunan. Terasa pautan erat di pinggang dan kepala disandarkan di belakang badannya. Dia mengerling ke belakang, Alisia sudah terlena sambil memaut badannya. Terselinap rasa bahagia yang bukan sedikit di dalam jiwa. Bersiul perlahan mendendangkan lagu drama kegemaran.

    “Oh meu Deus! Como sou descuidado?” (Oh Tuhanku! Mengapa saya cuai sangat?)

    Entah bila dia terlanggar bonggol di hadapan dan basikal bergoyang perlahan. Ketawa sendirian dengan telatah sendiri dan gadis itu masih kekal lena di belakang.

    “Chia Hau, kenapa saya suka tengok belakang awak?”

    Chia Hau menekan brek basikal tiba-tiba dan menoleh ke belakang. Muka terkejut terukir di wajah.

*******

Seperti yang kalian dapat saksikan di bawah poster Legasi Cinta Alisia, ada sesuatu menarik menanti kalian. Ya, sudah punya halaman peminat (baca : Fan Pages) dan Kumpulan Pembaca (baca : Group) di Mukabuku.
Jumpa kalian di sana.

Selamat membaca semua!

Zara : Sudah agak lega sekarang ini.

Monday, March 29, 2010

Rindukan Sang Kunang-Kunang Bermesra Bersama Si Rama-Rama


Terbang bebas.
Menikmati langit yang luas.
Mengecapi rasa puas.

Kunang-kunang.
Rindukan cahaya yang terang benderang.
Rindukan kegelapan yang membawa kasih sayang.
Lupakan si petualang.
Ini gaya bebas khas dari kayangan gemilang.

Rama-rama.
Terbang indah di angkasa.
Merindui kemuncak sebuah pawana.
Menikmati alam semesta.
Hidup penuh warna.
Ceria sentiasa.


[Gambar asal tanpa penambahan di sini]

Eu te amo. Você é a menina dos meus olhos. Vamos voar juntos como borboletas.
(Saya cintakan awak. Awak adalah epal di mata saya. Mari kita terbang bersama laksana rama-rama)

Si rama-rama terbang.
Terjumpa dengan sang kunang-kunang.
Ikatan mesra terjalin, perasaan mula membahang.
Cinta agung penuh kasih sayang.

Tidak sama.
Tidak serupa.
Natijahnya, adakah kesilapan bila bersama?
Ciuman tidak pernah dirasa.
Kegelapan dan jangka hayat seketika cuma.
Adakah waktu mencemburui kita?

Cinta sang kunang-kunang dan si rama-rama.
Terpelihara dari kutukan nista?
Pelukan hangat dari dunia?
Nikmati sementara masih ada.
Lupakan mata yang menghina.
Abaikan yang mengata.
Kunang-kunang dan rama-rama perlu bersama.
Demi cinta.

Zara : Selesai sudah Bab Lapan Legasi Cinta Alisia. Boleh dilayari pada jam 10.03 malam nanti ya? Rindukan kalian. Kesihatan aku tidak mengizinkan aku terus bernyawa bersama meraikan. Senyuman.

Sunday, March 28, 2010

Kamu, Cepat Balik. Jangan Makan Telur Warna Warni Dan Menonton Cerita Seram Sampai Pitam.


http://fc06.deviantart.net/fs32/f/2008/223/0/d/Couple_on_a_Bicycle_by_Zairal.jpg

Trivia:
Gambar di atas berkaitan dengan Bab Lapan Legasi Cinta Alisia.
29 Mac 2010 - 10.03 malam

Kamu tersayang.
Cepat pulang.
Aku perlukan bahu untuk ditumpang.

Kamu.
Aku baru nampak pesanan yang kamu tinggalkan buat aku.
Walaupun hanya sepotong ayat di ruang beku.
Tapi itu sudah cukup  buat aku terharu.

Kamu.
Cepat pulang ke pangkuan buku.
Jangan habiskan masa dengan main telur-telur warna ungu atau biru.
Eh, mana warna air yang kamu janji mahu beri pada aku?

Kamu.
Aku sebagai beku.
Kehilangan teman baik yang buat aku ketawa, kamu mampu.
Kamu tahu?

Kamu, bila mahu menggila?
Aku selak kalendar di sisi, sudah minggu ketiga.
Aku rindu mahu meluahkan segala.
Betul, kamu kenal siapa Zara.
Meleleh air hidung bukan tanda aku bahagia.
Ketawa.

Zara : Masih menggarap Bab Lapan. Sudah hampir tepu dengan pelbagai kisah.

Malam Siren : Walaupun Aku Tidak Dapat Hadir, Aku Tetap Muncul Di Layar Skrin - Rasa Artis Sebentar.


Salam hujung minggu semua.
Maaf, aku sedikit kurang bermaya.
Ada pelbagai yang harus ku tempuhi dengan hati duka.
Tetapi tidak mengapa, demi kalian, aku akan kekal ceria.
Senyum mesra.

Ada pelbagai aktiviti yang aku tidak dapat sertai minggu ini.
Ya, masih terkurung di dalam sangkar besi.
Tidak mengapa, aku tabahkan hati.
Keseorangan tanpa sesiapa di sisi.
Senyum, hati basi.

Apa pun, ada kejutan yang aku terima di Mukabuku.
Ya, kejutan manis sampai aku terharu.

http://photos-e.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc3/hs379.snc3/24257_10150159521115543_885375542_11722857_7655464_n.jpg
Foto penghargaan kepada Mynn Bachok.
Kumpulan Statik sedang membuat persembahan pada Malam Siren (baca : Siren's Nite) yang dianjurkan oleh JOHO pada 26 Mac 2010.

Lihat gambar atas dan bandingkan dengan gambar yang bawah ini.


Oh ya, itu makhluk yang sama.
Manusia beku sedingin salju.

Terima kasih pada Raja Nadia yang menanda gambar tersebut dengan nama aku di Mukabuku.
Kejutan yang sungguh merangsangkan aku bangkit dan buang rasa pilu.
Seharian aku menikmati natijah hati bagai ditusuk sembilu.
Tetapi hanya dengan sekeping gambar, aku kuat seperti pahlawan dahulu.
Senyum sendu.

Aku cuma manusia lemah dan sering terjatuh bila aku gagal dalam buat keputusan.
Sakitnya terhiris walaupun cuma sekelumit kesempatan.
Sepurnama aku mencari erti kebahagiaan.
Rebah dan ranap - hanya itu aku mampu coretkan.
Nah, aku beku tanpa perasaan.
Paksa diri ukir senyuman.

Bila aku menerima makhluk lain jadi penghuni bulatan.
Jangan pernah menikam dari belakang mahupun hadapan.
Waima kamu mahu keluar dari kiri atau kanan.
Sebab kamu tidak kenal erti kepercayaan.
Ya, kamu akan meraung kesakitan.
Dan lebih enak, sendirian.
Tanpa kawan.
Apatah lagi teman.

Semalam, kamu buat aku terpaksa meletak satu noktah.
Kamu buat aku menyerah.
Kamu biarkan aku mengalah.
Hati aku terbina dari segumpal darah.
Seharusnya molekul cecair merah.
Tapi aku hanya mengecap bahana amarah.
Sakit tidak terperi bagai dihinggap barah.
Sudahlah.
Aku mahu muntah.

Kehidupan aku sudah semakin bercelaru. 
Setiap nafas yang aku tarik bagaikan tersekat dengan batu. 
Setiap nafas yang aku hembus bagaikan dicucuk sembilu. 
Kehadiran kamu dalam bulatan kehidupan hodoh aku cuma satu metafora palsu? 
Aku sejujurnya keliru. 
Biarkan aku pergi dan berlalu.
Aku sudah tidak layak menikmati bahagia dengan kamu.
Kerana aku manusia beku.

Zara : Berusaha menyelesaikan Legasi Cinta Alisia Bab 8 sambil mengesat air mata duka. Aku tidak layak menikmati kehidupan ceria.

Saturday, March 27, 2010

Sepuluh Kempen Iklan Terkumpul Sedang Berjalan - Kempen Waktu Bumi Malam Ini Bagaimana?


Salam pagi semua.
Minggu ini dipenuhi kejutan yang buat aku gembira.
Ada pelbagai kempen yang sedang berlangsung dengan jayanya.
Moga ada sedikit rezeki yang aku boleh berkongsi rasa.

Dari empat, naik kepada enam.
Enam naik kepada lapan.
Lapan berkurang satu menjadi tujuh.
Tujuh bertambah satu, kembali kepada lapan semalam.
Dan pagi ini, lapan sudah menjadi sepuluh.
Alhamdulillah, sujud syukur atas kurniaan rezeki.

http://www.earthhour.org/assets/img/tools/wallpapers/1024x768-earth-hour.jpg
[Gambar asal di sini - sudah jadi penghias skrin Sean selama seminggu]

Tahun ini bakal menjadi tahun kedua aku melalui Waktu Bumi (baca : Earth Hour).
Tahun lepas aku berada di kampus selatan.
Menikmatinya dengan menyudahkan tugasan yang dititipkan oleh pensyarah.
Jujurnya, ia adalah sebuah kempen yang mudah walaupun ramai yang menyangkal kebaikannya.
Manusia lebih senang melihat keburukan dan mengambil kesempatan dari usaha yang murni.
Dan aku, melihat kelibat kempen ini sebagai sesuatu yang menyatukan manusia.
Senyum.

Malam tadi tidur aku dihiasi dengan mimpi bahagia.
Kehadiran seseorang yang istimewa.
Pautan tangan menarik ke arah laluan cinta.
Deringan penggera telefon buat aku terjaga.
Ah, mengapa mesti tatkala aku mahu melangkah ke babak seterusnya?



Salam hujung minggu semua.
Moga kalian punya hari yang ceria.
Senyum sahaja.

Zara : Hati berdebar setiap kali mendengar bunyi telefon. Petanda apakah ini? Kekurangan vitamin?

Friday, March 26, 2010

Bahasa Portugis Sebagai Bahasa Cinta Legasi Cinta Alisia - Pengaruh Jejaka Kacak Penuh Skandal?


Salam semua.
Terima kasih buat yang menyokong Legasi Cinta Alisia.
Semangat yang kalian utuskan buat jiwa aku membawa.
Untuk terus berkarya walaupun ia picisan cuma.
Senyum mesra.

Terima kasih juga yang meninggalkan komen di sana.
Sudah aku jawab pertanyaan atau teguran kalian.
Sangat berterima kasih dengan nasihat dan tunjur ajar serta perhatian.
Itu buat aku mahu terus memacu pencapaian.

Edisi Bab 7 kali ini diselitkan dengan bahasa pertuturan Brian Zaff, lelaki campuran Cina-Serani.
Latar belakang Brian Zaff belum digali penuh tapi biar aku dedahkan sedikit di sini.
Bondanya berketurunan Cina, dan bapanya Serani.
Disebabkan itu namanya juga bercampur menunjukkan identiti.

Ada yang bertanyakan aku, kenapa memilih Bahasa Portugis sebagai bahasa selingan pertuturan Brian Zaff itu.
Mungkin disebabkan darah campuran yang mengalir dalam nama itu sendiri - jangan berbulu.
Buat aku tersenyum sipu.
Dalam bab ini juga kali pertama aku punya nota kaki di akhir cerita.

Poster yang aku buat untuk Bab 7.
Khas untuk sisipan fail peribadi. Ada sesiapa yang mahu?
Senyum.

Disebabkan hikayat cinta yang selama ini disogokkan kepada pembaca lebih kepada penggunaan bahasa Inggeris, Perancis atau Sepanyol, aku memilih untuk menggunakan bahasa yang dekat dengan jiwa aku. Bahasa Portugis adalah bahasa pertuturan jejaka yang aku sukai. Boleh nanar melihat gelagat dia setiap kali beraksi di atas padang atau di mana-mana papan iklan. Ya, dan walaupun dia telah berpindah entah ke mana dan membuat skandal dengan siapa, dia masih antara pemain yang aku suka.

http://martins23.files.wordpress.com/2007/11/cristiano_ronaldo_shopping5.jpg

Sisipan khas buat pembaca Legasi Cinta Alisia - Nota Kaki Bab Tujuh.

“Alisia, eu te amo mesmo que você não pode entender isto. Nosso jogo não iniciar, e eu me odeio por isso.”- Alisia, saya cintakan awak walaupun awak mungkin tidak mengerti apa yang saya luahkan. Permainan kita langsung tidak bermula dan itu menyebabkan saya benci dengan diri sendiri

“Perdoe-me Brian, o que você quer dizer com isso?”-  Maafkan saya Brian, apa yang awak maksudkan dengan itu?

Adeus Alisia querida. - Selamat jalan Alisia sayang.

Hi senhora. Qualquer coisa que eu possa ajudá-lo? - Hi cik. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?

“Meu nome é Brian Chia Hau”- Nama saya Brian Chia Hau

“Boa tarde, professor”- Selamat tengah hari cikgu

“Boa tarde. Podemos falar na nossa língua nacional, se você não se importa?”- Selamat tengah hari. Boleh kita bertutur dalam bahasa kebangsaan, kalau awak tidak keberatan

“Perdoe-me professor. Você pode falar em Português também, estou impressionado!”- Maafkan saya cikgu. Cikgu juga boleh bertutur dalam bahasa Portugis, saya kagum!

"Eu fui a Portugal antes" - Saya pernah ke Portugal sebelum ini

Do treinador é claro! – Sudah tentu jurulatih!

Não me chame de treinador – Jangan panggil saya jurulatih

“O que significa?” - Apa maksudnya?

“Iniciar o senhor jogo!” – Mulakan permainan tuan!

*******

Terima kasih buat pembaca yang bernama Sabrina.
Dia menyedari ada satu ayat di penghujung cerita yang tidak aku sertakan maknanya.
Senyum mesra.
Itu memang aku sengaja lakukan.
Moga pembaca ternanti-nanti apakah maksud Brian Zaff kepada Alisia.

“Alisia, Eu amo a maneira que você joga no The Game. Eu faço sempre querida.

Selamat berhujung minggu semua.
Selamat membaca Legasi Cinta Alisia - karya picisan manusia beku bernama Zara.
Titipkan pesanan kalau kamu suka atau tidak dengan Alisia.

Zara : Sedang menggarap Bab Lapan dengan gigih sambil bermandikan peluh akibat cuaca terlalu panas. Alahai, siapa suruh pakai baju hitam wahai manusia beku? Ada yang meminta aku membuka blog khas untuk Legasi Cinta Alisia. Kalian fikir bagaimana?


Brian Zaff - Aku Suka Lihat Belakang Badan Kamu : Legasi Cinta Alisia Bab 7 Sudah Boleh Dilayari.


Salam semua.
Maaf atas kesulitan yang timbul pagi ini.
Entah mengapa talian Internet membuat hal.



Legasi Cinta Alisia Bab 7 sudah boleh dilayari sekarang di Aksara Keraian.
Nikmati karya Zara yang mungkin hanya picisan.
Biarlah ia aku tinggalkan sebagai kenangan.
Senyuman.



“Awak dah terlampau banyak berubah.”
“Mungkin dan maaf Brian, saya mahu pulang ke rumah. Sudah lewat senja, dan sebentar lagi waktu Maghrib bakal bermula”
“Oh, maaf. Jumpa lagi di mana-mana Rayyan.”
‘Sejak bila awak panggil saya Rayyan?”   
“Sejak awak panggil saya Brian. Saya lebih suka awak panggil saya Chia Hau. Adeus Alisia querida.”

Brian Zaff tersenyum dan pamit pergi dengan segaris senyuman di wajah tanpa sebarang cela. Aku hanya mampu memandang akibat terpana dengan kata-kata terakhirnya. Adeus Alisia querida adalah perkataan bahasa Portugis yang membawa maksud ‘Selamat Tinggal Alisia Sayang’. Aku ketawa kecil bagi menghalau rasa gundah yang singgah tiba-tiba. Masuk ke kereta dan bergegas pulang ke rumah.

Brian Zaff Chia Hau antara nama yang sering meniti di bibir sewaktu aku hampir menghabiskan sisa reput di sekolah menengah. Dia muncul antara pemain utama terbaik dalam pasukan bola keranjang sekolah setelah dia pindah ke sekolah kami, SMK Muara. Kelibatnya disedari selepas dia menghabiskan masa mengintai pasukan bola keranjang berlatih pada hari pertama persekolahan.

*******

Aku kepenatan menggila hari ini.
Menggila dalam usaha menceriakan diri.
Senyum Zara, tabahkan hati.
Walaupun saat diri hampir mati.

Zara : Selamat membaca Legasi Cinta Alisia Bab 7. Moga kalian menyukainya.

Thursday, March 25, 2010

Susah Betul Melayan Manusia Yang Kurang Susu Ibu Sewaktu Kecil - Adakah Mesin Masa Perlu Dicipta Untuk Pengecut?


Salam semua.
Adakah anda semua sihat selepas melalui hari yang memenatkan?
Kasihan.
Aku juga letih sehingga tiada perasaan.

Sejak kebelakangan ini, dunia blog kami yang menghadiri perjumpaan penulis blog pada 6 Mac 2010 telah diwarnai dengan kehadiran makhluk yang kekurangan kasih sayang. Untungnya dia tidak muncul di sini, tapi dia muncul di blog bahasa kedua aku. Kalau dia muncul di sini dan meracau bagai, aku boleh keluarkan sijil khas untuk membuktikan dia kekurangan kasih sayang semenjak dilahirkan ke dunia.

Aku cuma mahu menegur beberapa perkara mengenai manusia ini yang aku rasakan amat dangkal pemikirannya yang berselindung di sebalik wajah kononnya marhaen terpelihara. Mungkin bakal ada yang meletuskan kemarahan kalau kalian adalah pembaca blognya, tapi mengertilah, kami sudah bosan dan jelik dengan perangai dia yang entah boleh dinamakan manusia.


Susu ibu sangat sedap!
Rugi kamu membesar tak dapat susu ibu!
[Gambar asal]

Pertama - kalau kita mahu mengejar status menjadi terkenal di dunia maya, tidak perlu kita laungkan bahawa hanya kita yang berbahaya dan berhak meluahkan segalanya. Salah di situ wahai pembaca yang setia. Blog memang tempat kamu boleh menulis apa sahaja, tetapi awas, harus tahu batasannya dan tidak perlu menunjukkan anda terlalu jaguh dalam imaginasi liar sendiri. Tidak perlu, ia menjijikkan.

Kedua - kalau mahu gunakan nama ayah atau bonda, hormatilah nama mereka sebagaimana kamu hormati mereka. Tidak salah, malahan kamu boleh berbangga dengan nama itu, tapi kalau asyik mengeji sana sini dengan nama itu, tidakkah orang akan menyumpah kamu dengan menyatakan kamu anak si polan bin si polan? Pasti bukan?

Ketiga - kalau kamu kekurangan kasih sayang yang secukupnya, sila beritahu dengan jelas. Bukan apa, ramai yang boleh berikan kasih sayang dengan percuma. Jelasnya, jangan cuba menagih simpati dan menabur tahi dalam menyempurnakan misi mencari kasih sayang abadi. Kamu hanya akan mendapat caci maki.

Keempat - kalau kamu mahu membantu membina masjid, sila bantu dengan cara yang benar. Jangan mahu membina masjid, tetapi meruntuhkan masjid lain dengan sewenangnya dengan mempromosi serta menganjurkan pernikahan di mana-mana kawasan sempanan. Lainlah kalau kamu mahu buat pembedahan. Tukar jantina jadi permpuan disebabkan tidak dapat rasa susu ibu. Ketawa. Sila jangan halalkan perkara yang haram dengan menyatakan ahli agama yang lebih arif adalah salah. Sudahnya, bila kamu tidak diendah, mulut dan tulisan kamu lebih hina dari sampah. Muntah.

Kelima - kalau kamu mahu menilaikan sesuatu berdasarkan agama, sila tonjolkan imej yang bersesuaian dengan caranya. Jangan mahu bicara tentang agama, tapi dalam masa yang sama menghina orang tertentu, sila letakkan kepala kamu di penjuru. Ya, aku mungkin bukan ahli agama, tapi aku pasti ada cara yang lebih berhikmah, beradab dan sopan kalau mahu menegur sesuatu.

http://www.womens-health.org.nz/uploads/images/More/M%20Hurst%20Poster.jpg
Adakah dia  pernah dibelai sebegini rupa sewaktu membesar sehingga mengalami gangguan otak dengan menyerang ramai manusia yang tidak berdosa? Padahal, ramai sahaja yang boleh membesar dengan sempurna dan hidup bahagia walaupun kekurangan kasih orang tua.

Sudahlah dengan si sengal yang tidak dapat kasih sayang sempurna.
Ada pula kucing dapat mengiau entah kenapa.

Entahlah.
Sukar untuk menelah.
Apa mahunya manusia itu yang terlalu mengikut serakah.
Rasanya dia sudah banyak mengumpul sumpah.
Surat saman dan peringatan memenuhi tong sampah.
Dia lupa, dunia ini indah.
Dia kata dia adalah pembela ummah.
Hakikatnya dia adalah pemusnah.
Dia pejuang untuk memecah belah.

Nota : Ini boleh dipakai untuk semua situasi rasanya tapi penulisan kali ini merujuk kepada seseorang itu.

Zara : Ketawa seorang diri melihatkan manusia yang tidak mengerti betapa ukhuwah itu seharusnya dipelihara bukan atas dasar politik atau parti semata. Ini bukan sifat manusia yang melaungkan dia pejuang agama. Kamu itu pemusnah bangsa.

Bila Cikgu Zara Mula Menunjukkan Keganasan Neraka Dunia Bersaiz Nano, Jangan Mahu Tambah Lara.


Salam semua.
Hari yang telah dikatakan sudah kurang ceria memang akan muncul juga.
Penderitaan bila aku tidak dapat mengekang kemarahan yang tiba-tiba.
Amarah memuncak walaupun selepas itu ia sirna.
Diam, otak aku sudah gagal mencerna.

Aku sejujurnya manusia yang agak baran.
Tetapi sejak melangkah meninggalkan sekolah menengah, ia mampu dikawal dan ditahan.
Sedikit demi sedikit aku tabahkan hati, walaupun dilanda kesakitan.
Tahan, pendam perasaan.
Biarkan angin bayu larikan ia ke selatan.
Aku cuma mahu bertahan.

Ranap.
Sentap.
Langsung tidak menjadikan aku mantap.
Senyap.



Dan hari ini entah kenapa, kemarahan aku meletus dengan jaya.
Kemarahan aku seperti menghamburkan neraka dunia.
Walaupun cuma nano skalanya.

Meja guru ditolak deras.
Kerusi ditendang keras.
Buku bertamburan, bertempiaran kertas.
Ayat yang aku tuturkan sudah menjadi pedas.
Hilang muka bahagia, tukar muka tegas.
Pelajar-pelajar itu sengaja buat aku panas.

Sudah lama tidak menghamburkan amarah.
Bila ia terlepas tadi, aku rasa gundah.
Gusar dengan ketahanan diri yang semakin lemah.
Bangkitlah Zara, kembalikan Cikgu Zahrah.
Sakit bagaikan dipanah.
Musnah.

Senyum Zara.
Kembalikan wajah tenang yang sirna.
Mencari di mana mentari mega.
Membutuhkan semangat penguat jiwa.
Mengapa ada yang menguji hati yang sedang lara?
Tenang wahai pejuang cinta.
Hati sendiri perlu dijaga.

Zara : Melalui separuh hari yang kurang sempurna. Mendoakan separuh lagi bakal memberikan cahaya. Adakah aku sudah mula berputus asa? Jiwa sedang terseksa dan aku menjadi semakin ranap begitu sahaja. Senyum Zara. Itu akan buat kamu lebih ceria. Agaknya.

Melangkaui Sebuah Lohong Hitam - Aku Manusia Sepi Yang Ditelan Cahaya Kelam


Salam semua.
Manusia beku ini menjadi semakin rengsa dalam menentukan sebuah ceritera.
Menelusuri sebuah karya.
Tapi yang dilihat hanya sebuah picisan hamba.
Hampa.

Dan manusia beku ini seperti selalu, menghabiskan nyawa di atas ranjang merah.
Melihat ke mana dia akan diarah.
Senyuman tidak menyimpan amarah.
Kerana manusia itu sudah belajar untuk pasrah.
Tangan memegang amanah.
Hati dialuri darah.

Baru kali ini aku menikmati sesuatu yang disalut cinta.
Bukan penghuni kehijauan sofa.
Bukan penggigit biskut bahagia.
Bukan penjilat kek cawan merah.
Tapi wujudnya jasad seorang manusia.
Manusia beku bernama Zara.

Kehidupan yang sepi sudah menemui lohong hitam.
Aku jengah ke dalam.
Ada rasa perasaan kelam.
Sejujurnya aku mahu melangkah dan merendam.
Tinggalkan cahaya yang semakin padam.
Menuju ke lohong hitam.
Bibir mengatup geram.

Selamat jalan hati.
Selamat tinggal jiwa yang mengkhianati.
Aku ini hanya manusia beku yang sepi.
Renggutan tangan berkuasa heret aku menjauhi.
Aku tidak akan mengogoi seorang lagi.
Sebab aku kini mati.



Zara : Bakal melalui hari baru yang tidak akan menjanjikan sebarang cahaya, bahkan diselaputi kesengsaraan berganda. Itu jalan yang membawa kebahagiaan saat dahulukala. Bila sengsara menghantui sebuah hati merana, aku tahu aku menempah puing lara.

Wednesday, March 24, 2010

Perhatian Ekslusif : Jadi Pembaca, Pengikut Dan Peminat Blog Ini, Anda Akan Dapat Duit RM 100. Apa Tunggu Lagi?


Salam semua.
Apa khabar wahai pembaca Dunia Sebelah Zara?
Pagi anda hari ini lebih baik dari pagi semalam harapnya.
Usai berkursus yang haram tidak mendapatkan faedah pada aku atas masalah terlalu maju memanja dan menyayangi bayi kesayangan, Sean tercinta.


Baca tajuk mesti rasa nak terajang muka aku kan?
Ketawa.
Aku belum cukup kaya untuk buat begitu. Maaf ya?

Hari ini sila izinkan aku menegur sesuatu yang aku rasa agak kurang berkenan.
Panggil aku gila meroyan atau sebagainya, adakah ia akan terkesan?
Malangnya tidak, kasihan.

Kebelakangan ini ramai yang menambah aku sebagai rakan mereka di Mukabuku.
Sudah tentu aku tidak kisah, malah rasa terharu.
Tapi bila gambar profil letak gambar duit dan status asyik cerita tentang duit, memang sungguh aku berbulu.
Mulalah menulis atas dinding Mukabuku aku.
Awak mesti sertai kami, kalau tidak awak tidak akan maju.
Dan lebih degil, menghantar pesanan di kotak pesanan dengan harapan aku setuju.

Mata Duitan : Awak kerja apa?
Aku : Saya kerja kerajaan.
Mata Duitan : Kerja kerajaan susah nak naik gaji kan?
Aku : Ada ikut peringkat, lagipun saya baru kerja empat bulan.
Mata Duitan : Umur awak berapa?
Aku : 22 tahun.
Mata Duitan : Sebulan gaji awak berapa?
Aku : Cukuplah makan.
Mata Duitan : Itulah orang sekarang. Asalkan cukup makan sahaja, dah cepat puas hati.
Aku : Eh, apa masalahnya? Pakai semua cukup, boleh belanja apa yang diri nak. Hidup tidak perlu tamak.
Mata Duitan : Bukan tamak, tapi tak pandai ambil peluang. Saya boleh tawarkan awak dapat duit lebih. Macam awak boleh tengok profil saya. Dah banyak duit yang saya dapat.
Aku : Baguslah untuk awak. Saya tak minat.
Mata Duitan : Saya tinggalkan nombor telefon. Awak MESTI akan ubah fikiran pagi esok.
Aku : Terima kasih, saya memang tak minat.
Mata Duitan : Saya percaya awak PASTI akan ubah fikiran esok pagi. Perkara pertama awak akan buat adalah menghubungi saya.

Betapa tinggi keyakinan Si Mata Duitan kan?
Aku dengan pantas buka profil peribadi dia.
Aku turunkan halaman sampai aku jumpa 'keluarkan dari senarai kawan' (baca : remove from friend list).
Aku tekan Ya, dan aku laporkan sebagai sampah (baca : Report as Spam).

Panggil aku kejam.
Laungkan aku keji dan sebagainya yang aku boleh faham.
Tapi, tolonglah, itu bukan caranya untuk kamu cuba menarik perhatian.
Sangat menjengkelkan cara kamu cuba minta aku sertai kamu.
Dan lagi, kalau kamu nak ambil gambar baring atas duit, mandi duit atau makan roti berintikan duit, tidak payah tanda (baca : tag) aku.
Mual sungguh, sampai mahu muntah biru.

Biarkan aku cari rezeki aku sendiri.
Tidak payah kamu mengutuk pekerjaan aku sebegini.
Aku masih tahu membezakan apa itu keperluan atau nafsu -ikut nafsu liar atau naluri.

Untuk orang begini, janganlah masuk dalam Mukabuku aku lagi.
Jangan masuk halaman pembaca aku dan tabur pautan ke lubuk-lubuk kamu.
Sudahlah.
Dan kalau kamu mahu teruskan, aku tidak akan halangi.
Ikut suka hati.
Tapi, jangan ganggu aku lagi.
Aku akan kekal jaga mengawasi.

Nota ciuman : Kalau aku boleh bagi duit bagi setiap pembaca atau pengikut blog aku, mesti aku sudah ada kereta dan tidak akan menjadi bahan cacian orang kan? Jadi, tiada duit untuk kamu. Duit aku simpan untuk beli kereta. Kan itu impian kita semua?

Zara : Aku agak keletihan hari ini. Kursus yang dihadiri agak baik tetapi malangnya, disebabkan Sean kesayangan aku berdiri dalam pelantar Tetingkap 7 (baca : Windows 7 Ultimate), maka aku tidak dapat menggunakan aplikasi itu. Begitu juga pengguna Vista. Hanya pengguna XP sahaja yang boleh.

Bukan Dia Tak Cinta, Cuma Mungkin Dia Tak Mahu Kantung Dia Penuh Dengan Sampah. Itu Sahaja.

Salam Rabu semua.
Apa khabar kalian yang ku cinta?
Moga yang indah menjadi milik kita.
Senyum mesra.

Dan, malam tadi tatkala sudah lena di ranjang merah, aku menerima panggilan telefon seorang teman.
Aduhai, rasa macam mahu tekan butang tidak mahu dijawab, tapi demi persahabatan.

Teman : Zara, dah tidur?
Aku : Tengok jam pukul berapa, terima kasih.
Teman : Aduh, bisanya ayat. 
Aku : Jadi lain kali fikir dahulu sebelum tanya. Ada apa?
Teman : Nak tanya pendapat sedikit, boleh?
Aku : Silakan, kalau aku boleh jawab, aku cakap.
Teman : Aku selalu tanda (baca : tag) gambar dalam Mukabuku.
Aku : Semua orang pun ada buat.
Teman : Aku tahu, tapi kalau aku tanda teman wanita aku, mesti dia buang (baca : remove). Sakit betul hati aku. Kenapa agaknya ya?
Aku : Normal lah tu.
Teman : Kalau kau kata itu normal, aku tulis di dinding (baca : wall) dia pun dia padam. Kenapa?
Aku : Pendapat aku, dia belum bersedia tunjuk kau pada dunia. Lagipun, kau bukan baru kenal dia sehari. Mesti dah lama kenal, tahu perangai dia.
Teman : Apa yang dia nak malu? Sebab dia tua sedikit dari aku?
Aku : Itu bukan sesuatu yang memalukan. Biar kita fikir positif.
Teman : Apa dia?
Aku : Bukan dia tak cinta kau. Dia tak mahu kantung surat elektronik dia penuh dengan sampah.
Teman : Maksud kau?
Aku : Kalau kau letak gambar, memang semua orang pun berebut nak komen. Jadi, mungkin dia malas terlibat di situ. 
Teman : Tak patut lah tahu?
Aku : Tak patut ke patut, kau kentut, kau sedut.
Teman : Gila ke kau?
Aku : Aku nak tidur. Nanti mengantuk nak pergi sekolah.
Teman : Ya lah. Terima kasih. Nanti aku nak tanda dia banyak-banyak lagi sampai dia tak larat nak buang.
Aku : Pergilah kau buat kerja gila tu.

http://www.annkramer.com/Assets/couple-fighting.jpg
Lelaki : Saya tag awak. Kenapa awak buang?
Perempuan : Penuh sampah dalam kantung surat elektronik saya!
Lelaki : Saya nak buat lagi banyak!

Dan aku terdampar sepi mengantuk meneruskan lena.
Pukul 4.30 pagi telefon berbunyi lagi.
Telefon rumah pula.
Dengar suara bonda menjawab telefon.
Khabar duka.
Rumah jiran yang sepatutnya berangkat menunaikan umrah hari ini dimasuki pencuri.
Habis semua barang diambil termasuk beg baju dan duit.
Boleh aku sumpah pencuri itu supaya pergi mati?

Zara : Hari ini perlu menghadirkan diri ke kursus anjuran Intel di makmal bahasa. Eh, jadi tak payah masuk mengajar bagi separuh masa selepas rehat? Mari berguling gembira. Ketawa.

Tuesday, March 23, 2010

Bila Legasi Cinta Alisia Terletak Cantik Di Laman Penulis Blog Terkenal - Denda Paling Kejam Pada Pelajar

Salam semua.
Aku sedang terharu bercampur baur bila Kak Kujie dari Hidup Biar Sedap menulis tentang Legasi Cinta Alisia. Ya Zara, sila menangis sambil berguling sebagai simbol terharu.Aku mengenali Kak Kujie secara maya bila sering jengah blog dia dari blog penulis blog lain. Segan mahu tinggalkan komen, dan aku selalunya jadi pembaca senyap.

Kali pertama aku berjumpa Kak Kujie adalah di pertemuan penulis blog tempoh hari. Ya, memang sangat terharu dan menggembirakan. Kak Kujie menulis mengenai Legasi Cinta Alisia di sini.


Kiri ke Kanan : Ita Fukada, Kak Kujie dan Zara tanpa cermin mata.

Dan aku telah menerima soalan menarik daripada aizuddinwiddle di Borang Spring Zara.
Apakah denda paling kejam pernah aku beri pada pelajar aku.
Mula-mula mahu ketawa, kerana ini pertama kali diajukan pada aku.

Denda paling aku sukai beri kepada pelajar yang tidak buat kerja sekolah adalah menambah lagi bilangan kerja. Setiap kali mereka culas membuat tugasan yang aku titipkan, nah, kerja mereka akan bertambah. Aku kedengaran sangat kejam bukan? Tetapi selalunya ia berhasil.

Bercadang untuk melempar buku pelajar keluar dari kelas tapi aku tak sampai hati.
Eh, manusia beku ini masih ada aliran simpati dalam diri.

aizuddinwiddle juga bertanyakan kepada aku, apa denda yang aku buat kalau orang tidur dalam kelas.
Pertama - datang dekat dan kejut mereka bangun. Ini biasanya kalau peperiksaan.
Tapi selalunya aku akan baling manusia-manusia yang tidur ini dengan kapur, pen, atau apa sahaja yang aku dapat capai dalam radius utama. 
Dan ya, suara lantang aku akan menjadi halwa telinga mereka yang dengan sewenangnya mahu tidur dalam bilik darjah yang mulia. 
Kalau dapat yang jenis tidak faham bahasa, aku minta kawannya kejut sambil aku cekak pinggang mengawal rasa.

Ada sesiapa mahu tanyakan aku soalan lagi?
Aku dengan rela hati akan berikan jawapan jujur.
Cuma, jangan tanya bila aku mahu kahwin.
Soalan itu sudah terlampau banyak ditanya.
Alahai.

Zara : Eu amo todos vocês. Obrigado por continuar a apoiar-me. - O escritor de Legasi Cinta Alisia.

Dwen Zaff Dan Brian Zaff - Mereka Itu Inspirasi Perjuangan Bola Keranjang Dari Masa Silam.

Salam semua.
Sudahkah anda membaca Bab 6 Legasi Cinta Alisia?
Kalau belum, silakan menelusuri Aksara.
Malunya aku meminta.
Tetapi aku perlukan kritikan kalian - harapnya yang membina.
Untuk aku lebih berjaya.
Senyum mesra.


Bab 07 Legasi Cinta Alisia dalam pembikinan.

Sorotan ringkas Bab Tujuh.

“Alisia, eu te amo mesmo que você não pode entender isto. Nosso jogo não iniciar, e eu me odeio por isso.”

            “Perdoe-me Brian, o que você quer dizer com isso?”

Ada yang sudah membaca, menitipkan komen buat aku.
Ada juga yang bertanya kalau boleh dibuat promosi tentang itu.
Oh Tuhan, aku sangat terharu.
Sudah tentu.
Kalau sesiapa mahu menulis sorotan Legasi Cinta Alisia di blog masing-masing, aku tunggu.
Senyum lagi ini manusia beku.

Soalan nakal yang aku terima.
Dari mana aku dapatkan nama-nama yang indah dan lawa.
Ketawa.
Oh, itu nama-nama manusia yang dekat dengan jiwa.
Ya, jiwa manusia beku bernama Zara.

Dwen adalah satu nama yang indah sejujurnya.
Aku mengenali seseorang yang mempunyai nama itu dan aku terpesona.
Bukan dalam erti kata cinta.
Tapi dalam hubungan yang lebih istimewa.
Dia satu figura.
Bagaikan adik lelaki dan teman yang mampu berkongsi rasa.
Dan ya, dia wujud sebagai seorang manusia.
Ketinggian dia melangkaui aku yang rendah ini tentunya.
Terima kasih Dwen, kerana beri aku pinjam nama.

Brian adalah seorang ahli sukan yang aku kenali.
Cuba membawa ketokohan dia dengan sewajarnya dalam Legasi Cinta Alisia.
Walaupun begitu, aku tidak terikut-ikut dengan dia sepenuhnya.
Entah bila kali terakhir aku lihat kelibat dia.
Dan makhluk itu juga keturunan campuran, berlainan baka.

Mengapa bola keranjang yang menjadi pilihan?
Ini sukan yang aku gemari selain bola sepak yang dilayan.
Antara permainan yang sering buat aku rasa ketinggalan.
Ya, semuanya disebabkan ketinggian.
Tidak lupa juga saiz badan.
Ketawa meroyan.
Hilaian.

Senyuma terukir mesra di wajah.
Tidak, diri tidak akan ukir wajah amarah.
Aku memberikan yang terbaik dalam menunaikan amanah.
Kalau kamu masih mengecam aku dengan perkara nista, kamu bakal kembali pada tanah.

Zara : Sedang berusaha memberikan yang terbaik di tempat kerja dan juga dalam berkarya. Mengimbangi kedua-duanya buatkan aku lebih mengerti kehidupan aku sepatutnya lebih bermakna daripada menghilangkan diri dari semesta.

Borang Spring Zara
[Bab 01] [Bab 02] [Bab 03] [Bab 04] [Bab 05] [Bab 06]

Monday, March 22, 2010

Mungkin Kau Belum Cukup Tahu Sedalam Mana Aku Cinta Kau - Jam 2203 : 22 Mac 2010 - Kita Bermesra.

Salam semua.
Ada sedikit berita gembira yang mahu dikongsikan bersama.
Malam ini riwayat hati bakal diselusuri bagi meneruskan legasi cinta.
Ya, Legasi Cinta Alisia.

Bunga Jiwa dan aku kebelakangan ini agak sibuk menghasilkan karya.
Karya aku lain corak dan gaya.
Naskah dan coretan dia penuh dengan penggunaan bahasa.
Ah, aku dengan mudah tersungkur dengan kilasan penanya.
Dia tarik aku kembali dengan jiwa seni dan semangat membara.
Dan kami akur, kami menulis kerana jiwa.
Pertemuan kami adalah sebuah ceritera.



“Apa ini?"
“Hadiah buat kamu. Terima kasih dengan hadiah yang comel itu.”
“Hadiah cantik, untuk manusia yang menarik. Memang kamu layak dapat.”
“Jaga kamu kalau Hazwani Baiti dengar butir bicara seperti itu. Eh, sudah koyakkan pembalutnya? Apa kamu tidak tahu erti sabar?” .

Terpempan Alisia lihat keletah Danish Aryan seperti anak kecil yang mendapat hadiah. Rakus mengoyakkan pembalut biru muda.
 “Eh, sebelah sahaja kasutnya? Mana lagi sebelah?”
 “Sebelah lagi saya simpan”
 “Kenapa?”
 “Entah. Saya rasa saya perlu simpan. Kalau suatu hari nanti kita terpisah membawa haluan masing-masing, awak akan ingat saya dan kasut ini, mungkin”
 “Kan saya kata awak penuh rasa cinta.”
 “Jangan buat lawak di pagi buta. Eh, dalam kad ini apa? Saya baca sekarang boleh?”
 “Simpan sahaja. Letak dalam kulit buku sejarah. Kalau ada pemeriksaan pengawas, tertangkap padah” 
 

Itu adalah inti pati yang akan muncul dalam Legasi Cinta Alisia Bab 6 malam ini.
Ya, pada jam 2203 waktu tentera (10.03 malam), hanya di Aksara Keraian.

Dan aku sediakan sesuatu yang menarik buat kalian yang membaca ini - tidak kira kalian penggemar Alisia atau tidak.

Sesiapa yang meninggalkan komen pertama di Bab 6 Legasi Cinta Alisia dan menyatakan - Saya cintakan Legasi Cinta Alisia dan Zara akan dititipkan sesuatu daripada aku. 

Jumpa kalian semua di Aksara Keraian jam 10.03 malam ini bagi menelusuri Bab 6.

Zara : Sedang membuat kertas soalan Sejarah Tingkatan Dua untuk bahagian daerah. Aduhai, apa agaknya reaksi pembaca untuk bab enam.

Kalau Sperma Dan Ovum Boleh Masuk Dalam Tabung Uji, Dah Lama Saya Buat Uji Kaji.

Salam semua.
Sedang kepeningan mengajar tajuk Variasi.
Pening kepala sampai mahu muntah, keluarkan isi.

http://www.scienceprogress.org/wp-content/uploads/2007/11/sperm.jpg

Pelajar : Cikgu, kenapa kita tak buat uji kaji lagi?
Aku : Awak nak buat uji kaji apa?
Pelajar : Cikgu kata kromosom ni semua ni, mana kita nak uji kaji?
Aku : Kalau sperma dan ovum ni boleh letak dalam tabung uji, lepas tu kita panaskan dan terus jadi zigot, dah lama saya buat bagi awak tengok.
Pelajar : Zigot itu apa?
Aku : Itu pun tak tahu ke? Dah belajar kan masa Tingkatan 3?
Pelajar : Tiada cikgu. 
Aku : Sekolah agama pun dah belajar dah.
Pelajar : Mana ada.
Aku : ....dan sesungguhnya dijadikan dari setitis air mani, menjadi segumpal darah dan menjadi seketul daging...
Pelajar : Dahsyatlah cikgu! Macam ustazah!

Budak-budak ini memang nak kena agaknya.
Kepala aku makin pening.
Semakin pusing.
Aduhai, bagaimana nak memandu selepas ini?
Pitam.

Zara : Menukar status di Mukabuku semalam. Mendapat reaksi yang sungguh hebat dan gila dan Borang Spring Zara sudah dihentam hebat. Ketawa. Kalian memang nakal dalam buat aku senyum mesra.

Cinta Pertama Yang Berusia 9 Tahun Atau Perkahwinan Sekarang Yang Perlu Diselamatkan?


Salam semua.
Ini hanya tulisan secara mengejut.
Entah mengapa, aku buntu dan merasa sedikit takut.
Gusar dalam memberi pendapat hingga buat dahi berkerut.
Alhasilnya, aku juga sedikit kecut.
Kesakitan mencucuk perut.

Ada seorang teman meluahkan masalahnya kepada aku tatkala aku menceritakan betapa aku menjalani kehidupan dengan bersungguh-sungguh dan mendambakan gelak tawa yang ceria. Dia kata waktu muda seperti aku jangan dipersiakan sebab aku dengan mudah boleh kuasai segalanya. Entah, aku tidak mahu kupas lebih lanjut. Itu ceritera lain gaya. Dia juga menyatakan aku beruntung dalam hidup sampai ke  menikmati puncak jaya.

Teman : Masalah kalau kamu hadapi tidak sehebat saya.
Aku : Apa masalah kamu?
Teman : Kekasih lama saya muncul kembali. Kekasih pertama.
Aku : Ya? Dia mahu apa?
Teman : Menagih kasih lama. Mahu menjadi isteri kedua.
Aku : Isteri kamu kenal dia?
Teman : Kenal, kami sama universiti dahulu. Dan saya tak pernah keluar hanya berdua dengan dia. Pasti ada isteri yang teman sebab dia sudah jadi kawan pada keluarga.
Aku : Oh, pasti isteri kamu tidak akan beri.
Teman : Kami akan duduk berbincang nanti. Dan wanita itu sudah menukar agama dia.
Aku : Menukar agama demi cinta?
Teman : Dia kata dia tertarik dengan Islam. Kalau tidak dapat berkahwin dengan saya pun tidak mengapa.

Selang sehari.

Teman : Semalam kami telah bertemu seperti selalunya. Bersama isteri saya.
Aku : Jadi, apa yang berlaku?
Teman : Dia meluahkan hasratnya pada isteri. Isteri saya mendengar sahaja.
Aku : Oh, baiknya. Dan apa yang jadi?
Teman : Isteri saya beri izin kalau saya mahu kahwin dengan wanita itu, cuma dia mahu bercerai. Tidak rela bermadu.
Aku : Mana ada orang yang senang-senang mahu bermadu.
Teman : Itulah. Saya kagum sebab dia berani tetapi saya sayang isteri saya juga.
Aku : Harus memilih antara dua.
Teman : Saya pernah berkorban dulu, sekarang saya makin pening.
Aku : Sabar, itu sahaja saya boleh cakap.

Hari ini.

Teman : Semalam saya jumpa wanita itu, tanpa kehadiran isteri saya buat kali pertama.
Aku : Isteri kamu marah?
Teman : Dia tak marah-marah, tapi dia tahu saya keluar. Dari hari itu, dia sudah senyap sahaja.
Aku : Jadi, apa yang berlaku?
Teman : Saya sudah pujuk wanita itu pulang sahaja ke negaranya. Biarkan saya bersama keluarga.
Aku : Saya rasa wanita itu tamak.
Teman : Kenapa?
Aku : Dia sudah memiliki hampir segalanya. Mengapa mesti memburu kamu lagi.
Teman : Dia pernah cuba untuk berhenti. Sambung belajar sebagainya. Tapi dia masih hidup dalam kenangan kami.
Aku : Dia sepatutnya lepaskan sahaja. Saya pernah lepaskan orang yang saya cinta demi lihat orang itu bahagia dengan pilihan dia. Saya berusaha agar tidak bina kebahagiaan atas air mata orang lain.
Teman : Entahlah.
Aku : Kamu kena berfikir dengan lebih mendalam. 
Teman : Kasihankan anak-anak.
Aku : Tahu pun.
Teman : Tapi masih ragu-ragu lagi.



Aku sejujurnya agak gusar dalam memberikan pendapat.
Ah, manusia yang bernama Zara ini hanya pernah bercinta.
Soalan yang mendalam seperti ini memang tidak pernah (dan berdoa tidak mahu juga).
Buat mereka yang lebih berpengalaman, apa yang patut dibuat agaknya?
Zara sudah kering ilham mahu berikan pendapat.

Zara : Usai bercakap dengan seseorang yang bikin onar dalam hati. Ah, berkecamuk fikiran. Minta dijauhkan agar esok boleh ke sekolah dengan lebih tabah menghadapi hari muka. Sangat berdoa agar Syaitan Merah mengalahkan Si Merah yang banyak meneguk buihan alkohol itu.