Sunday, February 28, 2010

Bukan Aku Malas, Tapi Aku Menghalang Diri Aku Dari Menyumpah Dan Mencarut Terlalu Banyak. Eh, Aku Dapat Masuk Kelompok Lima Teratas!


Salam semua.

Al-Fatihah.

Ada yang bertanya kenapa aku tidak menulis tentang isu yang menjadi tajuk-tajuk utama akhbar serta debatan hangat di blog-blog semua hari ini. Ya, kebanyakan daripada anda menulis tentang Syafia Humairah, anak kecil yang telah didera sehingga meninggal dunia oleh teman lelaki ibunya.
Aku membaca dari sebuah blog ke sebuah blog tentang kisah yang menyayat hati itu.
Tatkala ramai manusia lain yang mendambakan cahaya mata, ada pula si puaka yang bertindak di luar batas seorang manusia. Kalah haiwan buas di dalam hutan layaknya. Tergamak bertindak kejam ke atas seorang kanak-kanak yang tidak berdosa.

Malam semalam, sewaktu aku menonton berita, jari terus menggenggam penahan kerusi kayu.
Usai menyedekahkah Al-Fatihah buat anak kecil itu, mulut sudah tidak mampu dibendung. Istilah celaka saling menghiasi bibir tatkala mendengarkan berita itu. Masih wujud manusia begini di zaman berteknologi tinggi. Ada orang sanggup bayar berjuta untuk menyuburkan sistem peranakan mereka, tapi makhluk itu?

Kisah selanjutnya kamu boleh baca di akhbar dan blog-blog yang memaparkan cerita itu.
Aku secara jujurnya tidak boleh meneruskan penulisan kerana pasti emosi akan menguasai keseluruhan petikan ini. Betapa jahil dan angkuhnya manusia durjana itu. Kenapa dikaburkan wajahnya?

Tunjukkan sahaja pada dunia bahawa sifat kebinatangan dia memang terserlah.
Tunjukkan betapa manusia itu angkuh menjahanamkan tubuh kerdil anak kecil itu.
Aku cuma berharap dia akan dihantui dosa itu buat selamanya.
Moga dia akan menerima balasan yang setimpal atas perbuatannya.
Biar jeritan kesakitan Syafia itu bergema dalam telinganya.
Biar laungan mendambakan ibunya merasuki dia.

Dan, aku usai menonton berita malam ini.
Ibunya menangis teresak-esak di hadapan kaca televisyen.
Air mata membasahi mata.
Tapi wajahnya, tercalitkan perasaan duka?
Entah, aku bukan di tempat yang layak untuk menyatakannya.

http://geminigirl07.files.wordpress.com/2008/04/hurt-children2.jpg

Entah.
Bila manusia mahu sedar agaknya.
Sebutir permata itu sangat berharga.
Sakit ibu yang melahirkan tidak terbendung perasaannya.
Si pesalah itu seharusnya dihumbankan masuk ke dalam neraka.

Sudah Zara.
Sudah.
Kalau tulisan ini diteruskan, pasti terlampau banyak kata nista akan dilemparkan.

**********

Selingan.
Terima kasih atas undian kalian selama dua minggu ini.
Sangat berterima kasih atas kasih sayang yang kamu semua berikan buat aku.
Minggu ini minggu penentuan.
Ada beberapa soalan yang aku perlu sediakan jawapan.
Doakan sahaja aku bakal berjaya ya?
Senyum mesra.

Zara : Sedang asyik berdiskusi dengan seorang bakal doktor muda. Oh, sambil-sambil buat kertas soalan Sains Tingkatan Empat. Siapa-siapa yang tahu bank soalan terbaik, sila beritahu aku ya? Penat aku cari soalan. Ikut hati, habis aku imbas semua dalam buku ini.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Bila Cinta Bagai Masa Menunggu Kereta Sewa, Ada Sesiapa Sanggup Menggigit Biskut Bahagia Dan Mencicah Minuman Duka Bersama?


"Cinta bagaikan masa menunggu teksi.
Tak datang juga walaupun sudah lama berdiri, tapi bukan pula tiada.
Kerana tiada teksi yang kosong, inilah yang paling membuatkan diri ini berasa marah.
Mungkin akan dapat jika menunggu di jalan yang sebelah lagi.
Akibatnya, hanyalah dalam sekelip mata sahaja teksi telah dinaiki orang.
Tunggu dengan senyap pun teksi tidak akan datang.
Mencari dengan sedaya upaya pun tidak akan dapat.
Kalau tidak dapat, memang tidak akan dapat.

Tidak!
Sepatutnya, orang yang tidak akan datang, memang tidak akan datang.
Apabila meninggalkan kerana putus asa pula, beberapa teksi yang kosong akan datang secara berterusan..."



Salam semua Pencinta Dunia Sebelah Zara.

Aku pernah menulis mengenai cinta ibarat kereta sewa atau selesa dipanggil teksi oleh kebanyakan daripada kita. Betapa saat kita mencari makna cinta dalam hati, kita semakin kehilangan diri. Kita teruskan mencari dan memaksa diri untuk memuaskan hati manusia lain yang tamak haloba di sekeliling kita.

Bukan.
Bukan kita tidak mahu bahagia.
Tapi, adakah bahagia yang kita cari itu sekadar memenuhi pertanyaan yang mereka kerap lontarkan?
Bila keseorangan, ditanya bila mahu berdua.
Bila berdua, ditanya bila mahu melangsungkan acara bahagia.
Bila ikatan suci sudah dimeterai, ditanya pula bila mahu berisi perutnya.
Bila sudah selamat melahirkan, ditanya pula bila mahu bertambah zuriat keturunan segala.
Adakah pertanyaan itu punya penghujungnya?
Tidak.

Manusia tidak akan pernah puas.
Longgokan segunung berlian sekalipun, manusia tetap akan mencari yang lain.
Tangan kanan menarah gunung berlian, tangan kiri mendulang emas.
Kaki kanan memijak bumi, kaki kiri menongkat langit.
Manusia selalunya begini.



Kendatipun orang tanya aku sedemikian, aku hanya ketawa.
Ketawa melihat betapa rakusnya manusia dalam berlumba.
Tidak tuan, tidak puan sekalian yang bernyawa.
Bukan aku menolak cinta.
Siapa yang tidak ingin menikmati bahagia?

Aku masih mencari manusia yang sanggup menggigit biskut bahagia bersama.
Aku mengembara melihat siapa yang sanggup mencicah minuman duka.
Aku memerhati mereka yang menelan masam kehidupan sambil ketawa.
Aku mahu lihat adakah sisipan pahit mampu ditogok bersama.

Rona bahagia biar aku jalani sendirian.
Payaunya kehidupan biar aku selesaikan.
Aku masih muda dalam berjalan di atas Bumi yang sudah tua.
Biar aku selesaikan urusan terbengkalai aku dengan Maha Pencipta.
Tanggungjawab aku pada keluarga masih ada.

Jangan suka menebak aku dengan soalan yang tidak mesra telinga.
Takut-takut aku mula menyinga.
Muka tukar warna saga.
Hilang segala tatasusila.
Ah, bahaya.

Zara : Sedang berhempas pulas menyiapkan soalan ujian bulanan lagi. Entah mengapa hati tiba-tiba enggan sembunyi rasa sakit hati. Sedang memujuk dia sambil ukirkan senyuman pasti. Moga-moga hati dapat tenang dan bahagia menikmati kehidupan alam ini.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Ledakan Tekstual Bukan Seksual: Blog Bukan Sekadar Suatu Penulisan - Ia Perkongsian Hati, Sayang Dan Cinta Dengan Semua. Apa Mimpi Dan Impian Kamu?


Ada orang tanya aku, bagaimana aku masih boleh bertahan untuk menulis walaupun ramai yang masuk untuk mengutuk dan menghina di ruangan-ruangan yang aku sediakan.
Jawapan aku mudah sahaja.
Aku menulis daripada hati aku sendiri dan mereka tidak punya hak untuk membuat keputusan apa yang hati aku perlu luahkan. Jari akan terus menari gemalai di atas papan kekunci Sean, meluahkan apa yang tersurat dan tersirat dalam dunia aku yang hanya tinggal sebelah.

Aku menyukai seni.
Seni aku tidak terbatas dalam ruang lingkup orang yang terbatas pemikirannya.
Kalau aku kata kimia itu seni, maka itu apa yang aku rasa.
Kalau aku kata kopi itu suatu hasil seni, maka itu yang aku dambakan saat itu.

http://s3.amazonaws.com/readers/2008/11/06/monkey_1.jpg

Semua orang punya mimpi dan impian.
Ya, semua orang.
Begitu juga aku.

Sedar dengan kekurangan diri yang pernah dikatakan hati batu, aku mula merasakan betapa kasih sayang adalah pengikat hati-hati manusia. Cinta bukan sekadar omongan kosong yang tiada makna tetapi kasih sayang yang bertaut adalah suatu rasa.

Bila menulis di Dunia Sebelah Zara, aku rasakan cinta dalam hati mula wujud kembali.
Walaupun tidak bersandarkan pada makhluk yang berjantina lelaki, cinta itu sentiasa mekar mewangi dengan kehadiran kamu semua di sini. Ya, kamu layan aku seperti seorang manusia biasa yang tidak punya apa-apa. Di sini, orang tidak menilai aku berdasarkan rupa dan taraf akademik semata-mata.
Senyum.
Lumrah dunia.

Aku pasang impian.
Tetapi adakah impian aku akan jadi kenyataan?
Mungkin, ia sekadar igauan.
Tetapi tidak mustahil untuk dizahirkan.

Apa impian kamu semua?
Sudahkah ia sempurna?
Sudah mula bertatih atau baru sahaja bermula?
Mari kongsikan rasa hati bersama.

Zara : Salam hujung minggu semua. Maklumat lanjut mengenai perhimpunan penulis blog boleh dibaca di sini. Mungkin akan aku letakkan di tepi blog sebentar lagi. Peluk cium untuk kamu semua.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Saturday, February 27, 2010

Kalau Betul Kamu Cintakan Zara, Buktikannya Sekarang. Pengumuman Lokasi Pertemuan Penulis Blog Terbesar Di Malaysia - Mahu Bertemu Semua!


Aku mahu menangis.
Kamu kata kamu cinta aku juga.
Kamu kata kamu suka dengan pelukan hangat dan ciuman mesra aku.



Kalau sungguh bagai dikata, apalah sudi kiranya kamu hulurkan kasih sayang buat aku.
Kasih sayang untuk membolehkan aku berada di pusingan akhir selepas undian ditutup esok.
Senyuman ceria bila aku mendengar perkhabaran itu.
Tetapi keadaan mungkin berubah walaupun kita berusaha.

Ini Zara.
Aku tidak mahu mengaku kalah begitu sahaja.
Pohon jasa kalian untuk mengundi aku di ruangan komen INI dan pilih peserta nombor 52.
Teruskan mengundi dengan gigih ya?
Ajak kawan-kawan kamu semua mengundi untuk Zara.
Ketawa.

http://i357.photobucket.com/albums/oo11/Cyberpiba/Good%20Morning/Coffee%20Art/CoffeeLove2.jpg

Kedengaran aku meraih undi dengan penuh gila.
Sila jangan abaikan pesanan ini kalau kamu cinta.
Mari kita berkongsi ciuman secara tidak langsung di sini.
Senyum.

Tambahan Terkini :
(diambil daripada blog Encik Mazidul)

Lokasi : COMMONWEALTH FOREST PARK & RESORT

Kompartmen 3 Hutan Simpan Bukit Lagong
Km 23 Jalan Kuala Lumpur - Rawang
48000 Rawang Selangor

Sila rujuk cfpresort.com

Masa : 3-6 petang.

Bayaran : RM10 setiap seorang (umur 12 tahun ke bawah PERCUMA) untuk BBQ dan sewa tapak. Makanan dan minuman selain daripada itu, sila bawa secara 'pot luck'. 

Semua bloggers sila pakai baju merah (baca: ada calit merah sikit pun ok)
Maklumat lain akan diumumkan kemudian. Terima kasih.

Siapa ada kelapangan aku jemput kamu datang bersama.

Zara : Walau orang menuduh aku gila, aku hanya akan senyum dan tertawa seperti biasa.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Mari Bercium Secara Tidak Langsung Dengan Menggunakan Secangkir Kopi Cinta Dan Bibir Yang Basah Menikmati Sisipan Aroma Bahagia.


Badan terlampau penat dengan urusan dunia.
Mujur dapat berehat bersama dengan seorang yang aku cinta.
Ya, dan kami mempunyai jantina yang serupa.
Mahu tuduh aku biseksual, silakan sahaja.
Ketawa.

Duduk bersama dan lihat gelagat manusia.
Perbualan berkisar tentang indahnya cinta.
Ada datuk dan nenek berpegang tangan, minum bersama.
Ada keluarga yang makan semeja ketawa gembira.
Ada pasangan yang saling menyilang kaki dan bergurau senda.
Ada yang duduk seorang diri sambil menyudu gula.

http://www.templates.com/blog/wp-content/uploads/2009/02/2the-love-coffee-by-vanessa.jpg

Dia : Kita minum berdua tidak mengapa?
Aku : Sudahnya, kamu menjemput siapa?
Dia : Entah, mungkin lelaki dewasa yang aku puja. Kamu?
Aku : Mungkin lelaki muda yang aku suka.
Dia : Asalkan bukan pelajar kamu.
Aku : Bukan, walaupun umurnya mungkin sama.
Dia : Kamu memilih berdasarkan nafsu?
Aku : Tidak. Jangan terlalu ambil endah, ini mungkin omongan kosong sahaja.
Dia : Kalau tidak berkhayal manakan datang impian?
Aku : Impian itu sumbernya mimpi.
Dia : Pantas menjawab laksana sudah bersedia.
Aku : Katanya hidup atas bumi yang makin tua.
Dia : (ketawa)

Jari dia pantas mengangkat kopi di hadapan mata.
Menghirup penuh nikmat dadah perangsang kategori kedua.
Aku menoleh dan tertawa.

Dia : Mengapa?
Aku : Muka penuh nikmat.
Dia : Sudah tentu, ini kegemaran.
Aku : Kamu tahu sesuatu?
Dia : Apa dia?
Aku : Orang kata, kalau kita minum dari cawan orang lain, macam kita bercium secara tidak langsung dengan pemilik cawan itu. 
Dia : Benarkah?
Aku : Itu kata orang. Aku sendiri tidak tahu.
Dia : Eh, ini cawan siapa?
Aku : Cawan aku, air aku.
Dia : Jadi kita sudah bercumbu secara tidak langsung?
Aku : Oh, jijiknya aku rasa.
Dia : (Ketawa.)

Menoleh untuk mencoret makna bahagia.
Kami manusia yang biasa-biasa.
Kami simpan kenangan untuk membekukan masa.
Kami takut lihat dunia yang semakin musnah, tanda kiamat bakal menjelma.
Tuhan, kami mahukan kekuatan untuk menghadapinya.

Zara : Sedang dihimpit kesibukan yang tidak terperi lagaknya. Mencari erti kehidupan yang semakin menghilang di saat diri mahu menongkah arus dunia. 

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Prolog : Doktor, Jurutera, Pemain Bola Keranjang, Peguam, Arkitek, Pelukis, Pelakar Dan Guru - Mereka Mewarnai Kehidupan Nyata Seorang Gadis Muda.


Doktor.
Dia bermula dengan langkah yang penuh bergaya dan berjaya. Dalam perjalanan hidupnya, tiada istilah gagal dalam arena akademik. Semua peperiksaan disapu bersih dengan tinta yang bersinar sentiasa. Lahir dalam keluarga yang agak berada, tiada istilah hidung disangkut di langit baginya. Senyuman penawar duka. Air mata pernah tumpah di hadapan seorang gadis yang setia menyimpul rasa dalam diam buat dirinya.

Dia kini mula melangkah dalam mengenal cinta setelah entah berapa kali melalui episod duka. Ya, kelemahannya hanya melibatkan wanita. Gadis hanya mampu lihat dan mengucapkan tahniah. Beri nasihat dan menemani ketika dia perlukan teman berbicara. Untuk melangkaui batas, gadis sudah tidak mampu lagi melangkah.

Jurutera.
Terkenal dengan kegemaran menukar wanita sejak di bangku sekolah, entah mengapa gadis terjebak jatuh cinta dengan dia setelah doktor menceritakan si jurutera berminat dengan telatah si gadis yang ceria. Gadis rela walaupun hatinya telah diberi kepada doktor yang berkaca mata. Demi persahabatan antara doktor dan jurutera, gadis pasrah menghitung kasih sayang dan menyulam rasa bersama jurutera kacukan Melayu dan Belanda.

Tapi jurutera itu tetap dia yang selalunya. Kasih sayang terlerai dan ungkapan perpisahan diucap tatkala gadis mahu menyambut ulang tahun kelahirannya. Sebak di hati walaupun gadis ditenteramkan oleh doktor yang sentiasa di sisi. Gadis terbayang, kalaulah doktor boleh baca apa dalam hati.

Pemain Bola Keranjang.
Berlainan agama dan bangsa, buat teman-teman gadis cuba menghalang sedaya upaya. Jangan kata mereka, jangan cuba melampaui batasan yang dibina. Gadis enggan mengaku kalah walaupun sedar, mereka menghalang hanya kerana taraf akademik tidak sekata. Tapi siapa yang mampu meneka suratan takdir dalam menyatukan jiwa?

Sebak dalam jiwa melihat dia berjalan, ketawa sambil menjeling ke arah gadis yang mengintai dari sebalik jendela. Jejaka itu tahu dia hanya mampu melihat ke dalam sangkar permata dan gadis lebih arif, dia hanya layak mengait benang lara. Cinta dalam hati berkubur begitu sahaja?

Peguam.
Asalnya gadis hanya lihat dia sebagai orang yang biasa-biasa. Entah mungkin kerana darah campuran ataupun mukanya yang tiada jiwa, buat gadis tertanya-tanya manusia apakah yang sering dilihat kelibatnya. Teknologi membuatkan permainan hati makin terasa. Peguam mengatur langkah lebih agresif untuk lihat siapakah yang berada disebalik tabir nama yang indah.

Permainan sampai ke kemuncaknya. Hari ulang tahun gadis adalah penentu pecahnya sebuah rahsia yang tersimpan kejap dalam urusan yang melibatkan hati dan perasaan.

Arkitek.
Dia hanya watak tempelan dalam menyulam jenaka mulanya. Permainan dalam erti kata mencari bermain watak bahagia, siapa kalah dia yang kena. Terpempan bila dia mula mencelah masuk, mecuri kehadiran watak utama itu sendiri.

Bila arkitek berjenaka mahu hantar rombongan merisik dan meminang si gadis, keadaan makin rumit jalan cerita hidupnya. Tidak bersedia, dan mahu membunuh arkitek sambil ketawa. Arkitek dapat lihat disebalik muka kental si gadis, dia masih wanita yang selalu kalah bila melibatkan teman dan sahabat sejati.

Pelukis.
Siapa sangka cinta maya boleh bertahan hampir dua musim bunga?
Tapi bila nafsu menguasai segalanya, pelukis mula hilang punca dan memilih untuk kembali kepada tabiat lama, menyalin wanita seperti membuang seluar dalam layaknya. Gadis terpempan lihat cinta teragung yang dijaga menjadi pemusnah ketika ulang tahun mula menghampiri dan menukar angka.

Kejamkah lelaki itu?
Dia sangka dia mampu bertahan dengan godaan wanita muda di sekelilingnya.
Tapi nafsunya tiada siapa dapat mengekang dengan mudah. Heretan ke ranjang oleh teman sekuliah memusnahkan cinta mereka berdua tatkala jarak mereka dilaungkan sebagai punca pemisah. Gadis hilang punca, tetapi seketika cuma.

Pelakar.
Jarak usia yang terserlah bukan ukuran dalam membina rumah bahagia bersama. Diikat oleh kasih sayang sesuatu yang tidak bernyawa, sekali lagi cinta gadis diuji dengan jarak dan masa. Perbezaan waktu dua benua membuatkan keduanya mendambakan masa terhenti pada suatu saat untuk mereka berdua sahaja. Gula-gula, lukisan dan tulisan hanya bukti mereka bersama di sebuah ruang yang dipanggil kotak kerja.

Masa telah berhenti.
Tetapi malangnya, cinta juga entah ke mana hilangnya. Pelakar kembali ke bumi kelahiran, mencari gadis yang jauh lebih berusia. Cinta mula diragui kewujudan tatkala ada hati yang bergolak, berperang antara kasih dan realiti sebuah kehidupan.

Guru.
Entah, mungkin juga dia akan keluar dari kerjaya itu.
Dia manusia yang terlalu baik tapi penuh dengan cemburu buta.
Mana bisa lihat gadis kepunyaannya diminati ramai jejaka. Dia sedar, kecantikan mungkin tiada pada sang gadis, tapi keluhuran hati dalam berkarya dan mengenal dunia membuatkan gadis dikelilingi oleh kawan serta teman yang mesra.

Dia benci dengan tekanan. Tetapi dia tidak pernah meluahkan. Gadis dituduh beku dan tidak mesra seperti yang selalunya. Kaku dengan tuduhan, gadis memilih untuk berdiam diri yang menyebabkan suratan takdir terhenti. Kalaulah dia seorang isteri, pastinya hukum zihar sudah jatuh tatkala si lelaki mengungkap kata yang menyinggung hati. Dia pasrah.

*******


Kalaulah sekeping hati boleh diganti setelah teruk dikhianati, pasti sudah dibeli.
Hati pernah mati.
Tetapi hati tidak akan menangis lagi.
Hati sudah belajar untuk sentiasa mengasihi.
Bukan untuk mereka yang tidak menghargai.
Tetapi untuk diri sendiri.

*******

Hari minggu yang penuh dengan tugas melunaskan tanggungjawab dan amanah.
Selamat berhujung minggu semua wahai pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Oh, di atas itu adalah hasil cubaan projek pertama.
Apakah sebenarnya?
Tunggu permulaan kisah.

Zara : Sedang ketawa melihat sesuatu yang terpalit atas kanvas atas nama seni. Sokongan seseorang itu buatkan dia kuat untuk menulis kembali dan menjadi sumber kekuatan diri. Terima kasih buat penulis blog yang sudah terbit hasil karyanya. Senyum sahaja.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Friday, February 26, 2010

Sejak Bila Zara Menyapu Bersih Anugerah Homoseksual, Biseksual Dalam Arena Penulisan Blog Sejagat? Tiada Istilah Seluar Dalam Basah Di Sini.


Tuan-tuan dan puan-puan.
Sila jangan menceroboh dengan keji Kotak Luahan Cinta aku di tepi kanan blog ini.
Aku akui aku pernah menghalang (baca : banned) alamat Internet Protokol (baca : IP adress) manusia jahanam yang dengan suka hati meninggalkan kata caci nista di situ.
Tapi disebabkan sistem kotak luahan cinta aku itu akan menghalang semua IP yang bermula dengan nombor yang sama, maka ada antara kalian yang tidak dapat meninggalkan pesanan. Jangan khuatir, aku sudah hapuskan penghalang. Maka selepas ini, kalau orang mencarut sekalipun, aku redha sahaja.
Baiknya hati aku.
Ketawa.

Buat golongan sasaran yang entah mengapa cuba membakar aku dengan gigih, aku mohon maaf sekali lagi. Aku bosan dengan drama dunia yang kamu mahu sajikan. Drama yang berskala rendah dan dihasilkan dengan niat untuk mengeji kedudukan aku yang tidak terkenal ini buat aku rasa sengsara.
Sengsara untuk mengawal diri daripada menyumpah kamu wahai pembuang najis yang tidak bertamadun serta tidak bertimbang rasa.

Aku tidak pernah mendiskriminasi orientasi seks orang lain.
Kawan-kawan aku juga ada yang mempunyai orientasi begini.
Tetapi, itu bukan bermakna aku juga begitu.
Jadi, sila hati-hati.
Dengan penggunaan kata-kata kamu menuduh aku begini.
Silap langkah, ada hati yang mati.
Ketawa geli hati.

Cukuplah kamu buat aku ketawa secara menggila.
Kalaulah aku jumpa kamu semua di dunia nyata, aku akan libas kamu secara melintang dan menegak dengan gembira.
Oh, aku juga mungkin akan tinggalkan tanda Z di bahagian belakang kamu agar kamu kekal mengingati betapa indahnya menghina aku yang sukakan seni, pelukan, ciuman dan cinta.
Ketawa.
Nafas tarik tinggi, hela.
Hembus ke bawah, ludah ke tanah, nyata.

Kata carian ke blog aku semakin gila.
Aku memang ketawa berdekah hingga jatuh dari dakapan kekasih bertuala kelabu dalam tab mandi merah.
Kucing kekasih mengiau manja tanda amarah.
Nyata, kalian ini memang bikin aku ceria.

Seluar Dalam Basah.

http://i.ytimg.com/vi/70xKFih59EI/0.jpg
[Bukan kepunyaan aku. Mahu tahu pemiliknya sila tekan sini dengan gembira]

Eh, terlampau banyak penulisan mengenai seluar dalam di blog aku ya?
Mungkin juga.
Tetapi kamu memang buat aku malu.
Hampir kesemua kata carian adalah berasaskan kepada seluar dalam.
Ya, sila pitam.

Buat mereka yang masih bertanya tentang lokasi di mana pertemuan pada 6 Mac 2010 ini akan diadakan, menurut Bapak Gula-Gula, paling lambat, hari Isnin ini akan diberitahu keputusannya. Jadi, kita semua nantikan bersama.
Senyum.

Tiada istilah penulisan hebat.
Tiada istilah saya penulis baru.
Tiada istilah saya tidak punya blog.
Tiada istilah blog saya entah apa-apa.
Kalian semua dijemput hadir tentunya.

Zara : Tatkala ini sedang menyiapkan kertas ujian pertama Perdagangan dan Keusahawan Tingkatan Satu dan Dua, Sains Tingkatan Empat tentunya. Oh, nasib baik Sejarah Tingkatan Satu sudah ada orang lain yang buat. Lega. Boleh aku berkejar menulis untuk projek terbaru aku bersama mereka.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Mana Mak? - Sedikit Lagi Aku Mungkin Akan Terkenal Di Kaca Televisyen Utama Negara Malam Ini. Tangisan Dan Ketawa Manusia Di Dunia.


Tadi pagi aku ke masjid.
Meneruskan tradisi yang diamalkan sejak sekian lama.
Berkumpul beramai-ramai di masjid, mendengar ceramah dan menikmati masa berkualiti dengan keluarga,
Jangan dilupakan air sirap bandung terbaik.
Beriyani dalam dulang dimakan bersama ketika angin sepoi-sepoi bahasa.
Masjid utama di tepi sungai Muar.

Usai mencuci tangan selepas makan bersama sepupu, aku lihat ada anak kecil menangis seorang diri.
Orang ramai berkeliaran di tepi hanya memerhati.
Eh, anak siapa agaknya.
Datang menghampiri kanak-kanak perempuan itu.

Aku : Adik cari siapa?
Budak : (menangis dengan kuat)
Aku : Mana mak adik?
Budak : Nak mak! Nak mak!
Aku : Mak adik ada kat mana?
Budak : Sana. (sambil tunjuk menerawang entah ke mana)

Orang ramai mula memerhatikan kami bertiga.
Aku panggung kepala pada sepupu.
Dia angkat bahu sambil jengah-jengah tengok kalau ada sesiapa mengaku budak itu kepunyaan mereka.

Aku : Macam  mana ni?
Sepupu : Cari mak dia je la kot?
Aku : Bolehlah, semua orang perhati macam kita buli budak pula.

Mata-mata sinis memerhati kami.
Eh, apa kalian fikir kami sedang mendera budak ini?

Aku : Mana mak adik?
Budak : Sana, sana, sana.
Aku : Merata budak ini tunjuk pula.

Kami berdua tertoleh-toleh kalau ada yang menghampiri kami.
Ada seorang lelaki datang ke arah kami.

Budak : Ayah!
Aku : Ayah adik ya?
Pakcik : Jumpa di mana ni?
Aku : Dia tengah menangis tepi longkang tempat air sirap tadi.
Pakcik : Mak dia cari dia ni di sebelah sana. Terima kasih ya?
Aku : Tidak mengapa.

Sepupu aku sudah tarik nafas lega.
Aku juga.

Aku : Kalau bapa dia tak muncul tadi, ada harapan kita masuk televisyen ni.
Sepupu : Oh, berita budak hilang ya?
Aku : Mestilah. Penat pakai lawa-lawa begini.
Sepupu : Kalau nasib tak baik, berita penculikan pula. (Ketawa)
Aku : Dari culik budak kecil, baik aku culik lelaki dewasa.
Sepupu : Culikkan aku satu. (ketawa)


Tidak, ini bukan pesalah atau penculik gila.

Duduk di bawah pohon rendang mendengarkan ceramah amat enak.
Ada sesuatu yang sangat menarik perhatian aku hari ini.

Ketika kamu dilahirkan, menangis keluar daripada perut ibumu, orang disekeliling kamu ketawa gembira dan senyum bahagia.
Maka berusahalah wahai manusia.
Tatkala kamu meninggal dunia, biarlah manusia disekeliling kamu yang menangis hiba, sedangkan kamu pula tersenyum bahagia menghadapNya.

Secara jujurnya ia memang terkesan di hati aku.
Bagaimana pula dengan kamu?

Zara : Cuaca hari ini sangat menguji aku. Panas dan kering diikuti tiada bekalan elektrik pula. Sudah empat kali aku keluar masuk bilik mandi. Aduhai.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Salam Maulidur Rasul Semua - Perjumpaan Penulis Blog Terbesar di Malaysia : Kami Tidak Menilai Siapa Anda, Jadi Mari Sertai Bersama!


Salam maulidur rasul semua!
Mari kita memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Moga ia akan membolehkan kita mendapaat syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

Merujuk kepada perhimpunan terbesar penulis blog (dan pembaca setia juga) di Malaysia,
kami tidak menilai siapakah anda semua.
Sila baca penulisan di bawah ini.
Mari datang dan sertai kami pada 6 Mac 2010.
Anda semua dijemput hadir!

Zara : Bergegas ke masjid.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?]

Thursday, February 25, 2010

Perjumpaan Terbesar Penulis Blog Di Malaysia - Anda Semua Dijemput Hadir Kalau Mahu Bermesra Serta Mencatat Rekod Dan Sejarah Bersama.


Secara jujur, setelah menulis blog secara tegar selama lebih setahun, boleh dibilang berapa orang sahaja penulis blog yang aku pernah temui. Ada yang sengaja datang berjumpa, ada yang kebetulan singgah kerana urusan kerja dan ada juga yang bertemu disebabkan kami di bawah satu bumbung pengajian yang sama.

Kekangan demi kekangan dihadapi menyebabkan aku entah berapa kali tidak dapat menyertai perhimpunan penulis blog yang aku suka. Terima kasih pada mereka, aku tetap dapat membeli sesuatu walaupun aku jauh. Senyum. Ya, kami penulis blog yang sentiasa mesra.

Pagi tadi sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, aku diterjah oleh seseorang.
Terima kasih, aku kena tipu lagi.

Pemanggil : Salam. Ini Cikgu Zara ke?
Aku : Ya, saya.
Pemanggil : Cikgu, saya nak beritahu anak saya tak dapat datang ke sekolah. Tiga hari dia tak boleh datang ke sekolah.
Aku : (dalam hati - bila aku beri pelajar nombor telefon aku) Anak pakcik? Siapa nama dia?
Pemanggil : Maria Odessa (begini lebih kurang bunyinya).
Aku : Eh, siapa ini? Jangan main-main.
Pemanggil : (Ketawa)
Aku : Siapa ni?
Pemanggil : Ini Hazrey lah. Bapak Gula-gula.

Tahniah Zara.
Anda kena tipu lagi.
Padan muka, siapa suruh format telefon genggam dan hilang nombor semua orang?
Sedih.

Berbalik kepada kisah tadi, Hazrey atau lebih mesra dipanggil Bapak Gula-Gula mahu mengadakan satu pertemuan penulis blog. Eh, anda tidak kenal dia? Mungkin anda tidak menonton televisyen. Tidak mengapa, dia memang suka merendah diri. Aku pernah jumpa dia sebelum ini. Memang semanis nama dia. Eh silap, isteri dia lebih manis. Sila baca SINI untuk lihat kertas cadangan maya dia. Senyum.

Selain dia, yang mungkin akan turut serta adalah Mazidul Akmal Sidik. Cadangan dia adalah lebih hebat. Mahu perhimpunan penulis blog (baca : blogger) dicatatkan di dalam Buku Rekod Malaysia (baca : Malaysian Book of Records). Kamu boleh baca penulisan dia mengenai hal tersebut di sini. Ada beberapa nama juga yang disebut bakal menjadi tuan rumah seperti Ondscene dan sebagainya. Berita lebih bakal ditulis selepas mendapat pengesahan daripada Bapak Gula-Gula dan sekutunya. Ketawa.

InsyaALLAH, kalau tiada aktiviti sekolah pada minggu hadapan, aku mahu juga ke sana. Sesiapa yang punyai kesempatan dan mahu berjumpa, silakan sahaja, Oh, ini tidak mengira anda adalah penulis blog ataupun tidak. Semua dijemput hadir.

Tarikh : 06 Mac 2010.
Tempat dan Masa : Sekitar Kuala Lumpur atau Selangor.
Akan dipastikan kemudian. (boleh baca di sini untuk lihat cadangan aktiviti)


Doakan sahaja 6 Mac 2010 ini tiada aktiviti sekolah ya?

Kalau kamu semua punya kesempatan nanti, mari kita memeriahkan acara ini.
Sungguh mahu jumpa kamu semua.
Betul.
Senyum.

Akan menulis tentang ini lagi selepas mendapat pengesahan tempat dan waktu daripada mereka yang terlibat secara langsung. Kalau kamu berminat untuk menyertai, sila tinggalkan pesanan di ruangan komen. Sayang kamu semua.
Peluk.

Zara : Masih keletihan dan sangat bersyukur esok adalah cuti umum buat semua. Punya masa untuk membuat kertas ujian sekolah dan sedikit projek terbaru bersama beberapa orang penulis blog terkemuka. 

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?]

Zara, Kamu Kelihatan Bodoh Dan Hodoh Bila Menyarung Kasut Sukan Dengan Berbaju Kurung. Sangat Hodoh! - Ahli Sihir, Aku Sedang Berkabung!


Pertama sekali, sila maafkan aku kalau kamu jumpa perkataan kesat dalam penulisan kali ini.
Ya, aku menulis dengan membiarkan emosi menguasai dan sumpah, disebabkan aku keletihan akibat perjalanan semalam serta kurang tidur, jangan ambil mudah disebabkan aku muda.

Pagi ini ada acara sukantara yang tidak sempat dihabiskan dua minggu lepas. Hanya ada satu acara dan dua kategori sahaja. Aku datang ke sekolah dengan semangat yang waja walaupun harus diakui yang aku kekurangan tidur serta terlalu penat untuk memulakan kerja. Tidak mengapa, demi anak bangsa, manusia yang bernama Zara ini harus tabah.

Aku tahu juga hari ini ada sukantara cuma sebagai ketua rumah pasukan merah serta bertugas sebagai pengelola peserta, aku rasa aku tidak perlu menukar pakaian hari ini. Selalu, aku manusia pertama yang akan tercacak di hadapan perhimpunan pelajar untuk acara sukan. Cuma hari ini sahaja, dan aku sedang berkabung.Tidak percaya? Lihat pakaian aku.



Tapi macam biasa, aku hanya suka diri aku sahaja.
Kalau aku suka dengan gaya aku, kamu bukan di tempat yang setepatnya untuk menghina sesuka hati.
Dan hari ini, ahli sihir sudah melampaui batas yang tidak sepatutnya.

Ahli sihir : Eh, kenapa pakai baju kurung dan kasut sukan?
Aku : Hari ini saya tak tukar baju. Jadi pengelola sahaja.
Ahli sihir : Eh, budak-budak tengok sahaja kau pakai kasut sukan dengan baju kurung.
Aku : Biarlah, bukan salah apa pun.
Ahli sihir : Nampak bodoh je.
Aku : Saya biasa pakai macam ini di universiti. Tiada apa yang aneh pun.
Ahli sihir : Hodoh sahaja. Mana ada orang pakai macam ini?
Aku : (mula menyumpah dalam hati) Ada kak. Ramai sahaja orang pakai macam ini. 
Ahli sihir : Yang penting, nampak hodoh sangat.
Aku : Ada saya peduli? Takkan saya nak pakai kasut tinggi dan berjalan atas padang? Saya bukan orang macam itu.
Ahli sihir : Ye lah, nampak bodoh pakai macam ini (sambil tunjuk aku).

Oh Tuhan!
Sila berikan aku kekuatan dari terajang muka manusia durjana itu.
Berikan aku ketabahan agar aku tidak menempelak di muka dia.
Bantu aku Ya Allah.
Aku sedang membajai kesabaran dalam hati.

Ahli sihir, kamu bukan di posisi yang sesuai untuk mengata aku.
Kamu laungkan pada pelajar untuk menutup aurat ketika bersukan, tapi pada masa yang sama kamu pakai baju lengan pendek.
Kamu jeritkan pada aku tidak boleh memakai baju warna selain putih ketika mengajar pendidikan jasmani, tapi kamu pakai baju warna warni.
Kamu mengata aku kelihatan hodoh, tidak mengapa.
Cuma aku mahu kamu berdiri dahulu di depan cermin sebelum mengata aku dengan lantang.
Lihat ahli sihir.
Adakah cermin akan pecah?
Aku tidak peduli.


Kasut sukan aku yang tidak bersalah.

Kenapa masih ada manusia begini dalam dunia ini?
Tiada sekelumit ucapan simpati bila aku kehilangan.
Tidak mengapa.
Tapi perlukah malukan aku di hadapan rakan sekerja?
Sila pergi dengan kata-kata kamu.
Itu mengganggu.
Berbulu.

Zara : Doakan aku sabar. Doakan aku mampu tersenyum sentiasa.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Wednesday, February 24, 2010

Kelahiran Dan Kematian - Adakah Ini Sahaja Yang Mampu Menyatukan Hati Manusia?


Usai tiba di rumah.
Sudah sempurna urusan dunia sepupu tersayang.
Terima kasih buat yang sudi datang.

Lebih tiga jam di unit forensik buat aku belajar lebih tentang erti manusia itu sendiri.
Betapa kerdilnya manusia.
Betapa lemahnya kita.
Betapa halusnya jarak pemisah nyata dan barzakh.

Terlalu kepenatan untuk mencoretkan sesuatu buat kamu yang setia.
Terima kasih atas ucapan takziah.
Terima kasih ini aku hulurkan dari hati, sumpah!

Nyata, aku belum cukup sempurna sebagai manusia.
Emosi aku terlalu berat dugaannya, tetapi akal aku tidak mahu mengikutnya.
Entah, aku nanar.
Berpinar.

Esok sudah perlu mula bekerja. Ke sekolah.

Zara : Tiada kata.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Ya Allah, Kamu Uji Kami Di Tarikh Yang Sama Lagi. Adakah Aku Bukan Manusia Bila Tiada Tangisan Di Saat Kematian?


Pagi 23 Februari 2010, aku menulis tentang datuk dan nenek aku yang pulang menemui Ilahi pada tarikh yang sama. Betapa suratan dan kebetulan, jarak enam tahun, datuk mengikut jejak langkah isterinya yang dicintai. Hanya doa dan iringan sedekah jariah mampu kami sekeluarga kirimkan buat mereka.
Allah Yang Maha Besar!
Malam tadi Abah menerima panggilan telefon.
Tertera nama anak saudaranya merangkap sepupuku di paparan.

Pemanggil : Salam. Kenal Azhar?
Abah : A'a, jangan main-main. Cik ada nombor kamu ini.
Pemanggil : Pakcik, saya kawan Azhar. Saya mahu beritahu pada pakcik yang Azhar baru sahaja meninggal dunia pakcik. Dia kemalangan sebentar tadi.
Abah : Innalillah. Biar betul? Jangan main-main.
Pemanggil : Betul pakcik. Saya rakan sekerja dia.

Ya Allah!
Kamu khabarkan kami berita yang paling menyayat hati keluarga.
Tarikh yang sama Ya Allah!
23 Februari, kami kehilangan lagi.

Al-Fatihah.

Abah bergegas membuat panggilan pada bapa saudara aku. Ya, anak dia, harus segera diberitahu. Kebetulan, tatkala Abah telefon, Pak Long sudah bergegas keluar kerana telah mendapat berita tersebut juga. Maka, kami di sini, sibuk menyebarkan berita tersebut pada saudara mara yang lain.

Aku tersentak bila Abah menyebut Innalillah.
Bila Abah khabarkan berita itu pada kami, aku hanya mampu berdiri tegak.
Terpacak tanpa emosi.

Ya Allah, kenapa dengan diri aku?
Hati sedih, meruntun kehilangan sepupu tersayang, tetapi tiada setitis air mata yang keluar?
Tiada tangisan dari mata ini.
Bekukah aku sebagai manusia?


Al-Fatihah
Syed Azhar Syed Abdullah (dalam kotak merah)
19 Januari 1984 - 23 Februari 2010.

Kemalangan jalan raya di Sepang meragut nyawa dia.
Nyawa sepupu kami yang merupakan cucu keempat keluarga.
Satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dia.
Anak sulung pula.

Dia antara sepupu terbaik aku.
Membesar bersama dan banyak menghabiskan masa tatkala menginjak usia.
Entah berapa tahun aku tidak bertemu dia sehingga raya tahun lalu.
Dia masih macam dulu.
Kalau tidak bersua muka, pasti ada pesanan yang aku terima di Mukabuku.

Tapi, tiada lagi selepas ini.
Dugaan tergempar bagi kami yang sukakan sifat kelakarnya.
Hebat cabaran tatkala selama ini kami lihat kematian lapisan generasi tua sahaja.
Dan aku kecewa bila ia berlaku tatkala bulan merah menjelma.

Aku tidak dapat melelapkan mata.
Jari aku masih mahu mencoretkan sesuatu tentang dia.
Tetapi hati yang sedih sudah tidak mampu aku kekang sifatnya.
Tiada tangisan, cuma kesedihan.

Esok, 24 Februari 2010, pagi usai Subuh aku akan berangkat ke sana.
Sudah memberikan perkhabaran kepada Tuan Pengetua.
Esok tidak akan ke sekolah.

Mendapat perkhabaran dari makcik yang sedang menunggu di bilik mayat, jam 9 pagi esok bedah siasat akan dilakukan di Hospital Serdang.
Mungkin tengah hari bakal dikebumikan di kawasan perkuburan berdekatan rumahnya.

Buat mereka yang bertanya dan menyatakan mahu ziarah kalau ada kesempatan, aku letakkan alamat rumah keluarga Allahyarham di sini.

Allahyarham Syed Azhar Syed Abdullah.
1341, Jalan 1D/2, Taman Baru Sungai Buloh,
47000 Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Terima kasih pada mereka yang mengucapkan takziah di Mukabuku dan Twitter.
Moga Allah sentiasa merahmati kalian juga hendaknya.
Oh, aku mungkin hanya akan mengemaskini status terkini tanpa dapat berinteraksi dengan kalian.
Siapa yang mendambakan nombor telefon aku untuk dihubungi, tinggalkan sahaja permintaan di surat elektronik aku ya?

Salam.
Aku undur diri.
Al-Fatihah.

Zara : Ya, aku masih terkejut. Doakan aku lebih tenang ya? Terima kasih buat wajah kesayangan aku, Si Busuk yang menenangkan aku tatkala aku kusut dengan diri aku yang tidak dapat mengalirkan air mata.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Tuesday, February 23, 2010

Dunia Saya, Mata Awak. Saya Memang Sayang Awak. Tidak Perlu Bedah Dada Sebab Awak Boleh Perhati Dari Gerak Saya. Lihat, Awak Tahu Saya Cinta.


Dunia saya kecil dan cuma sebelah.
Mata awak besar dan indah.
Bila dunia kita bersatu, ada sesuatu yang nyata.
Awak dan saya telah berjanji setia.

Awak datang dan buat saya rindu lebih daripada biasa.
Saya benci dengan jarak yang memisahkan kita.
Saya sakit hati bila lihat awak mengucapkan selamat tinggal.
Saya berpaling lepas awak lepaskan bunyi hon terakhir.
Saya tahan air mata, agar mata saya tidak bertambah sembapnya.

Awak, saya masih punya mata terakhir.
Mata terakhir yang awak titipkan buat saya.
Cantik dan buat saya senang dengan kehadirannya.
Awak, saya mahu jerit kuat-kuat bahawa saya rindu gila.

Awak, lihat bayang-bayang awak dari belakang sudah buat saya gembira.
Lihat jarak kita dekat kembali walaupun seketika cuma.
Lega dapat luangkan masa dengan awak walaupun masa membenci kita.
Sekejap sangat awak, sedetik itu membunuh rasa.

Entah kenapa, saya ketuk Sean dengan jari, saya terpandang macam awak di sebelah.
Macam waktu mula-mula kita bersama.
Ingat lagi harumnya minuman setiap pagi.
Walaupun butir bicara jarang keluar dari mulut kita, tapi belakang badan kita macam asyik berbicara.
Kesunyian kamar indah menjadi saksi betapa kita ikat dua jiwa.
Awak dan saya.

Betapa air mata mengalir laju saat ini.
Betapa saya merindui saat melihat awak pergi.
Sedihnya hati saya, sunyi.


Mereka di sana jauh, tapi kita berdua dekat bersama.

Awak, akan adakah titik pertemuan antara kita lagi?
Bakal menyatukah dua hati yang bersama hingga kini?
Hati kita mungkin satu pecahan seni.
Mungkin juga.

Kali ini awak berpaling pergi demi terus memburu sebuah cita.
Tetapi awak pahatkan memori indah kita di sebalik lensa.
Kenangan beku masa.

Zara : Entah mengapa hati dipagut rindu pada teman wanita secara tiba-tiba. Mungkin perbualan bersama di Mukabuku membuat aku tersentuh sebegini rupa. Sayang, kalau kamu baca, mahu kamu tahu yang aku rindu kehadiran kamu di sebelah.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Sehingga Kematian Memisahkan - Enam Tahun Berpisah, Bertemu Walau Berbeza Alam Dan Dunianya. Cinta Bersatu Atas Nama Ketentuan.


23 Februari 2001
Jauh pergi meninggalkan dimensi dunia nyata.
Cinta yang disemai, kasih sayang yang dibina bukan satu lakonan dunia.
Betapa hati yang suci terhadap ikatan yang dihormati dalam mebina semua keluarga.
Hari ini kita terpisah juga.
Terpisah dengan satu sebab dan takdir ketentuanNya.
Selamat tinggal cinta.
Mohon agar tiga perkara itu sentiasa dihulurkan bagi memastikan merasa bahagia.

Melihat gerak mata.
Bahasa tubuh sudah dapat diterka.
Menanggung rindu pada kekasih, cinta hati yang dipuja.
Benih-benih cinta besar dan menjadi semuanya.
Syukur pada Yang Maha Esa.
Ini berkat pernah bersama.
Rindunya.
Soalan bila dapat bersama hanya berlegar di minda.
Kalau sudah tiba masa, hanya perlu redha.
Sehingga saat itu, hanya perlu bersedia.
Sentiasa.

23 Februari 2007.
Generasi kedua sedang enak mengatur langkah pulang dari kuliah.
Deringan telefon genggam memutuskan bual bicara bersama teman.
Talian dijawab dan dirinya hampir rebah.
Tuhan, adakah ini suratan dan ketentuan?
Cinta bersatu setelah enam tahun terpisah?
Air mata jatuh berderaian.
Ini saat untuk pulang dan menjadi saksi atas segalanya, hati mendesah.
Teman ditinggalkan.
Berlari pergi walaupun nafas berposah.

Pulang ke sana.
Pulang untuk melihat dia yang bakal bersatu dengan kekasihnya.
Teman, isteri, dan sahabat paling setia.
Berpuluh tahun mengikat janji setia dan terpisah, kini bakal bersatu kembali melangkaui dunia.
Enam tahun jarak pemisah bukan tanda.
Seperti berjanji pula.
Sayangnya, penyatuan itu mendambakan lebih dari sekadar air mata.

23 Februari 2010.
Cinta sudah bertaut lebih kembali tiga tahun usianya.
Betapa generasi pertama, kedua dan ketiga merindui kelibat mereka.
Tidak, kami tidak meratap kehilangan keduanya.
Kami redha.
Itu suratan dan takdir yang sudah lama terukir di atas sana.
Terima kasih kerana meminjamkan kami erti mendalam sebuah cinta.
Buat kami mengenali siapa dan dari mana asalnya keturunan terpelihara.

http://www.magnetreps.com/wp/wp-content/uploads/2008/04/life-is-beautiful.jpg

Senyum terukir di wajah.
Doa dikirim buat mereka berdua.
Moga mereka berdua tenang di sana.
Moga kesudahannya menjanjikan bahagia.
Sehingga ke dalam syurga.

***Dalam kenangan***
Ayahanda dan bonda kepada ketua keluarga.
Bonda ketua keluarga - 23 Februari 2001
Ayahanda ketua keluarga - 23 Februari 2007.

Doa hanya mampu dititipkan buat mereka.
Moga sentiasa terpelihara.
Selamanya.
Al-Fatihah buat mereka berdua.

Zara : Bakal meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun dijajah bulan merah. Sakit harus ditahan. Diri harus kental sentiasa. Ceria. Harus kuat demi sebuah cinta. Cinta kepada negara.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Monday, February 22, 2010

Lahir, Besar, Sekolah, Matrikulasi, Universiti, Kerja Di Johor - Sebab Utama Mahu Beli Baju JOHO. Cikgu Temah Tembam Beraksi Di Kampung Atas Talian.


Sembilan belas lapan puluh tujuh - anak gadis lahir di Muar, Johor.
Sembilan belas sembilan puluh tiga - budak perempuan masuk sekolah tadika rasmi di Pagoh, Johor.
Sembilan belas sembilan puluh empat - masuk sekolah darjah satu di Pagoh, Johor.
Sembilan belas sembilan puluh lapan - darjah enam di kawasan Serom, Johor.
Sembilan belas sembilan puluh sembilan - tingkatan satu di Sungai Mati, Johor.
Dua ribu empat - matrikulasi di Tangkak, Johor.
Dua ribu lima - universiti di Skudai, Johor.
Dua ribu sembilan - bertugas sebagai guru dalam daerah Ledang, Johor.

*******

Hampir lengkap kitaran hidup aku di dalam negeri tercinta, Johor.
Senyum.
Bumi bertuah, tanah tercinta.

Ada aku kisah orang kata aku tidak pernah tinggalkan tanah kelahiran?
Ada aku peduli orang kata aku gilakan Johor sampai meroyan?
Eh, kamu mana tahu aku pernah ajukan permohonan?
Keluar bertugas di luar, tetapi takdir sudah menjadi satu suratan.
Ini gelanggang di mana aku mulakan permainan.
Di sini juga ada yang perlu aku pertahankan.

Diam.
Senyum.
Mesra.

Maka, itu antara yang mendorong aku sangat menggila mahukan sesuatu daripada JOHO.
Kamu tidak kenal siapa JOHO?
Silap juga kalau tidak perkenalkan siapa mereka.
Tekan sahaja nama mereka di atas, kamu akan dibawa menjelajah ke sesuatu yang istimewa.
Kalau kamu cari perbezaan antara kita, kamu silap.
Kalau kamu mahu cari celahan politik, kamu tersalah langkah.
Kalau cari isu dan masalah bangsa atau agama, kamu sudah menempa laluan yang tidak sepatutnya.
JOHO dipenuhi pencinta.
Senyum.

Ya, kamu tahu betapa aku suka dengan perkataan cinta.
Bila seni bercampur dengan cinta, itu memang apa yang aku selalu perkenalkan diri di dunia.
Aku penggiat seni yang mungkin lain cabangnya.
Mungkin tempat berbeza.
Tapi cinta itu luhurnya dari sumber gah dan mesra.
Ya, segumpal darah merah yang kamu panggil hati cinta.
Ketawa.

Oh, tanpa perlu bicara menggila.
Kali ini mereka membawakan sesuatu yang buat hati gembira.
Bait-bait suka sudah menjelma.
Alangkah indahnya jika kami dapat bersama.

http://farm3.static.flickr.com/2738/4369042509_0a13c84c83.jpg
[Gambar dipinjam dari SINI]

Ya, mahu miliki baju itu dari mereka.
Kelihatan menarik dan tergambar rasa cinta.
Eh, aku memang suka.
Bila seni dan cinta bersatu, pasti akan ada irama indah bahagia.
Kamu mahu terus baca?
Sila tekan perkataan warna merah untuk bawa kamu ke SANA.

*******

Cikgu Temah Tembam sudah mula beraksi dalam kampung.
Kampung yang istimewa.
Kampung Fatimah Kacip sudah mula memecah wataknya.
Kamu punya waktu untuk mencari diri sebenarnya?
Sila datang ke Hari Terbuka.
Ya, Kampung Fatimah Kacip juga ada hari terbuka.
Siapa kata harimau jadian boleh kekang kami dari memulakan sesuatu yang membara?
Ketawa.
Kamu ada rasa mahu jumpa kami di hari terbuka?
Silakan, kami tunggu dengan hati gembira.

Bentang permaidani merah.
Tidak, kami tidak akan kekah.
Betul, sumpah!

Silakan melangkah.
(walaupun atas talian di Mukabuku cuma)

Zara : Hari ini aku dilanda sesuatu yang buat hati agak nanar. Mungkin akan membiarkan, mungkin akan menulis tentangnya, tetapi apa yang pasti, aku hanya mahu senyum mesra. Bibir mula merekah, aku perlu gosokkan sedikit pelembap agaknya.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Sudah Terhantuk, Baru Terngadah, Kepala Terhantuk, Lalu Berdarah Merah. Adakah Nafas Bakal Mendesah?


Sudah terhantuk, baru terngadah.
Kepala terhantuk, lalu berdarah merah.
Kepala merekah, hayat terjejas, nafas mendesah.


Zara dahulunya adalah seorang yang agak kelam kabut. Acapkali tersasar dalam membuat keputusan dalam hidup menyebabkan diri sendiri agak terkilan bila hasilnya tidak seberapa. Makanya, peribahasa yang sangat sesuai untuk menyimpulkan perangai yang tidak semenggah itu adalah sudah terhantuk baru terngadah. 

Benci sungguh dengan diri sendiri kalau terbit perasaan kesal. Makanya, mulai saat terkena suatu peristiwa yang telah merubah segalanya, Zara selalunya akan duduk dan memikirkan sesuatu dari pelbagai aspek - positif dan negatif - lihat kebaikkan dan keburukannya. Ah, memang tidak menyenangkan sikap itu. Bila sudah mengambil pendekatan berjaga-jaga, syukur, sifat dan perangai itu sudah dapat dikikis sedikit demi sedikit walaupun kadangkala ia terbit.

Eh, cepat-cepat tolak ke tepi. Senyum. Ajar diri sentiasa tabah dan jangan merungut. Oh, ini memang aspek penting yang dipelajari untuk mengubah naluri sikap itu. Ah, kalau tersilap, itukan dugaan serta pelajaran buat diri? 
 Senyum lagi. 

Kalau tidak pernah melalui kegagalan atau kesilapan, mana mahu lihat tauladan bukan? Gagal itu sakit. Lagi sakit kalau sentiasa dikenang. Hidup untuk hari ini dan akan datang. Buang rasa kesal dan sentiasa fikirkan yang terbaik dalam hidup. Lakukan yang paling cemerlang agar rasa kesal tidak akan pernah diundang.

 *******

Petikan di atas adalah jawapan untuk soalan minggu kedua Pertandingan Top 100 Wanita.
Ya, yang kamu semua undi untuk aku itu.
Aku berada di tangga keempat.
Memang jauh pungutan undi, tetapi tidak mengapa, jasa kamu semua sudah lebih hebat daripada yang aku jangka. Mari aku berikan sedikit pelukan dan ciuman mesra.
Ketawa.

Mulai minggu ini semuanya bukan berdasarkan tekan kotak di tepi.
Aku mohon jasa kalian tekan INI dan masuk ke ruangan komen, undilah aku aku dengan meninggalkan komen sukakan peserta nombor 52.
Malu juga merayu undi begini.
Tetapi kalau kamu suka dengan penulisan aku seperti di atas, dan juga ada dalam halaman itu, alangkah indahnya kalau kamu juga menolong aku.
Senyum.

[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]

Aku suka menulis.
Dengan menulis aku lebih kenal diri aku.
Aku kenal kamu semua dengan menulis di sini juga.
Pelukan hangat dan kasih sayang buat kamu semua.
Ya, kamu tidak silap.
Kamu boleh lihat Tok Rimau sudah mengundi untuk aku.
Terima kasih Tok!

Zara : Hari ini ulang tahun kelahiran tuan ketua keluarga. Sudah berumur 49 tahun bakal wali aku itu. Moga dipanjangkan usianya dan dimurahkan rezeki serta dikurniakan sejahtera.