Wednesday, September 30, 2009

Dalam Hati Aku Ada Kamu. Kamu Penanam Bunga Di Jiwa Aku.


Kadang-kadang kamu bising tengok aku degil, nakal.
Kadang-kadang kamu fikir aku bakal mencari yang lain.
Kamu kata kamu takut aku hilang pada dia.
Tapi kamu perlu tahu, dalam hati aku hanya ada kamu.


Kamu takut aku menoleh pada kenangan lalu.
Kamu perlu tahu, kalau pun aku menoleh ke belakang, aku hanya mahu mempelajari sesuatu.
Bukan untuk menagih cinta dia dan menyuburkan kenangan lama.


Kalaulah kamu boleh lihat hati aku.
Kalaulah cukup lagu-lagu yang aku dendangkan buat kamu tahu malam tadi.
Aku harap kamu sedar apa yang aku maksudkan.





Terima kasih kamu.
Terima kasih buat kamu kerana menerima aku.



Zara : Sedang dalam keadaan emosi yang kuat dan gembira.



Tuesday, September 29, 2009

Terlajak Kereta Boleh Diundur, Terlajak Pisau Boleh Keras Daging Walaupun Lama Direbus


Badan sudah bersandar di dinding, tangan kejang menghiris daging sebanyak tiga kilogram. Memang bisa membuat diri sampai geram.

Emak sibuk memasukkan beras dan mengetatkan ketupat di sebelah aku. Maaf, proses menganyam sehinggalah mengetatkan ketupat tidak dapat aku penuhi lantaran kekurangan kemahiran tradisional. Berbual sambil membuat kerja boleh mengurangkan tekanan, ini yang aku belajar di sekolah dulu.

Aku : Along nak bagi juadah esok pada CWC ya Mak? Abang selalu bagi pada Ah Yong motor tu.
Mak : Boleh. Ramai sangat kawan kamu dari pelbagai bangsa. Nak kahwin dengan orang macam tu ke?
Aku : (dalam hati : kalau dulu mungkin ya *gelak*) Eh, mana ada Mak? Kan Along dah kata, kawan sahaja semua tu.
Mak : Susah kalau kahwin dengan orang berlainan bangsa dan agama ni. Kena pandai sesuaikan diri.
Aku : Aduhai Mak ni, tenang sahaja.

Tiba-tiba Adik aku berlari ke dapur membawa kad raya.

Ayim : Along ada dapat kad raya.
Aku : Terima kasih.

Tangan membelek kad raya, mata tertancap pada cop di atas setem. Dari Singapura.

Mak : Siapa hantar?
Aku : Dari Singapura.
Mak : CWC ke?
Aku : Ya, siapa lagi kawan yang kerja sana...

Pantas Mak menarik kad raya yang sedang aku baca. Mak tersenyum melihat ucapan yang ditulis oleh CWC. Kata Mak, pandai dia menulis dalam bahasa yang teratur. Kebetulan, Abah ada berhampiran sedang menggoreng ayam. Mak memaklumkan pada Abah isi kandungan kad raya itu. Kalau CWC membaca penulisan ini, mereka berdua mengucapkan terima kasih atas ucapan hari raya dari kamu.

Mak : Kalau mahu pilih kawan, pilih yang baik-baik.
Aku : Eh, kawan Along semua memang baik-baik Mak.
Mak : Maksud Mak kalau nak pilih jodoh ke...(suara Mak perlahan)

Aku sedang khayal memotong daging hampir 4 jam. Jadi aku melayan sahaja apa yang Mak katakan.

Aku : Dah pilih dah.
Mak : Biar betul dah pilih?
Aku : Sudah Mak.
Mak : Budak mana?

Di saat ini aku baru tersedar yang aku sudah terlepas kata. Ya, terlanjur lidah dan mendedahkan rahsia yang aku simpan.

Aku : Err, orang Malaysia lagi. Semenanjung. *gelak untuk menyembunyikan rasa gugup*
Mak : Tahu lah, tapi orang mana?
Aku : ...............



Oh, biarlah isi perbualan yang seterusnya menjadi rahsia aku, Mak dan juga Si Kosong. Nampaknya Mak tidak terlalu terkejut. Mungkin kerana aku telah memenuhi ciri-ciri yang telah dia kiaskan pada aku suatu ketika dulu. Adat berkawan.

Zara : Baru berpuasa hari kedua. Abah sudah selesai puasa enam dan beraya pada hari Ahad yang lalu. Cemburu dengan ketahanan Abah.

Monday, September 28, 2009

Aksi Ngeri Dan Terbukti Senyuman Boleh Membuatkan Gula-Gula Berputar Laju Di Mulut.


Salam sayang buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara!
Selamat kembali ke kampus masing-masing buat yang masih bergelar pelajar dan selamat memulakan tugas seperti biasa buat yang sudah bekerja. Bagi mereka yang masih gigih menanam anggur seperti aku, mari kita panjatkan doa agar peluang terbentang luas buat kita semua.



Terlalu banyak yang ingin dikongsi buat kalian semua tetapi memandangkan kesibukkan membataskan diri untuk bermesra, aku tinggalkan kalian sebentar dengan gambar pada hari ke lapan dalam bulan Syawal ini.

Budak kecil itu bernama Syed Hassan Nasrallah.
Sepupu aku yang paling kecil setakat ini di sebelah keluarga Abah.
*senyum*

Zara : Sedang menikmati kesejukkan hujan dan mengagumi betapa kecilnya dunia ini.

Saturday, September 26, 2009

Selamat Pengantin Baru Buat B Dan Jejaka. Jangan Hantar Gambar Nakal Kamu Berdua!


Hari ini B dan Jejaka bersanding.
Malangnya aku tidak dapat menghadiri pernikahan dan persandingan teman wanita sendiri.
Aku cuma harap B dapat memahami keadaan diri ini yang dihimpit dengan kesibukan sempena hari raya Aidilfitri.


*Ini Irsyad yang comel bersama makcik saudara yang sungguh bulat*

Ada orang yang bertanyakan apakah Si Kosong datang berkunjung ke rumah aku kali ini.
Oh, jawapannya TIDAK.
Jarak yang jauh dan ini bukan masanya untuk pertemuan indah.
Hari ini sudah dua bulan kami bersama selepas ikatan penyatuan dua hati.


Sepupu-sepupu tersayang yang sentiasa membuat aku ketawa walaupun mereka membuli dengan gigih.

Senyuman sentiasa bakal terukir di wajah dengan mereka-mereka yang berada di sekeliling aku.
Rindukan mereka semua.

Zara : Buat B dan Jejaka, kamu berdua memang sangat nakal! Hantar gambar berkucupan selepas nikah pada aku? Adakah itu satu cara untuk buat aku berkahwin cepat? *ketawa*

Thursday, September 24, 2009

Mereka Buat Aku Tersenyum Gembira Dan Mengimbau Kenangan Yang Indah


Hari ini rakan-rakan sekolah datang ke rumah.
Hati diulit bahagia dan bertambah bahagia dengan kebenaran dari Abah untuk aku keluar bersama mereka.



Mereka yang hadir di ruang tamu rumahku yang kecil itu.
Gembira dan senyuman mesra terukir di wajah masing-masing.



....dan, ini kami...
Aku suka dengan warna ceria beg yang aku pegang. Sangat suka.

Zara : Badan penat dan hampir meletup.

Tuesday, September 22, 2009

Bulat, Tembam, Gemuk, Hodoh - Ada Aku Akan Memikirkan Kata- Kata Yang Kamu Sajikan?


Selamat Hari Raya.
Penulisan aku semakin berkurangan bukan bermakna perut sudah menjadi ketat dengan juadah yang menimbun terhidang. Kepenatan membataskan pemikiran dari meneroka jauh walaupun aku mempunyai bekalan kalsium yang tinggi.



Oh, setelah aku letakkan gambar aku pada hari raya pertama,
ada yang menyatakan aku kelihatan sungguh bulat, gemuk, hodoh dan tembam.
Terima kasih atas segala pujian.
Aku sangat gembira.

Maka, aku hadiahkan lagi satu gambar buat tatapan kamu.
Sekian. Kejahatan dibalas dengan kebaikan kata guruku.

Zara : Senyum dan teruskan senyum.

Monday, September 21, 2009

Ini Hari Pertama Dan Aku Sudah Longlai Seperti Kehilangan Separuh Nyawa.


Salam Aidilfitri buat kalian.
Masih mencari waktu dan ruang untuk mengunjungi teratak kalian semua.
Kepenatan tetapi hati masih diulit kegembiraan. *senyum*



Ini muka dengan cermin mata.
Kelihatan tembam, bulat dan gemuk?
Oh, aku mahu tulikan telinga dari apa yang dikatakan oleh mereka yang suka mencerca.

Terima kasih atas ucapan Selamat Hari Raya yang aku terima di telefon genggam, Twitter, Mukabuku dan sebagainya. Buat penulis-penulis blog yang tidak melupakan aku juga, terima kasih atas ingatan kalian. Sesungguhnya kalian antara manusia-manusia terbaik yang pernah muncul dalam hidup aku.

Terlalu banyak untuk diceritakan, tetapi aku harus mengundur diri.

Zara : Selamat Ulang Tahun Ke-23 Buat Si Kosong (21 September 2009). Moga yang terbaik sentiasa menjadi milik dia. Ucapan lain harus disimpan buat dia sahaja. Oh ya, warna baju kami sama hari ini.

Buat teman-teman, Zam Akmal, Fisz dan guruku, Cikgu Zainal - mereka juga bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 21 September. Selamat Ulang Tahun!

Sunday, September 20, 2009

Rahsia Terbongkar, Kebenaran Terserlah Di Petang Menjelang Aidilfitri Yang Mulia


Salam Aidilfitri buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Maaf dipinta andai kata terdapat salah dan silap sepanjang kita bermadu kasih sayang di sini. Moga cinta, kasih sayang yang tersulam dengan ikatan sebuah pelukan, gulingan dan ciuman mampu bertahan demi sebuah ukhuwah yang terbina dalam hati kita semua.

Oh, rahsia yang disimpan dan diselindung dari pengetahuan bonda tercinta terbongkar akhirnya. Emak tidak tahu tentang kewujudan Si Kosong sehingga ke hari ini. Ya, aku yang membongkar tanpa sengaja. Lidah pantas menjawab dan bergurau senda dengan Emak hingga rahsia terungkai tanpa sengaja. Oh Tuhan, harap Emak mampu menerima.
(Aku bakal menulis mengenai ini selepas Raya)

Sempena Syawal yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, aku ingin memohon ampun dan maaf jika ada tersalah kata dan merosakkan bahasa. Ah, silap ini datang dari kelemahan aku sebagai seorang manusia biasa. Moga segalanya bakal sempurna di hari lebaran ini.

http://i237.photobucket.com/albums/ff174/pixelcode/rayaraya/kad-raya-6.jpg

Salam sayang Aidilfitri buat kamu semua.
Andai kata kamu berkesempatan untuk mengunjungi kediaman aku di Muar ini, silatitipkan pesanan di sini atau di surat elektronik aku. Senyum sentiasa dan ingatlah, bahawa aku sentiasa sayangkan kalian semua!

Zara : Moga yang terbaik sentiasa menjadi milik bersama. Oh ya, mungkin aku hanya akan mengemaskini blog bila berkesempatan. Maaf tidak dapat mengunjungi kalian semua seperti biasa! Buat rakan-rakan di luar negara, akan aku titipkan kenangan-kenangan raya pada kalian semua!

Friday, September 18, 2009

"Aku Kalau Boleh Nak Raya Rumah Keluarga Aku Juga, Kalau Tidak..."


Saatnya hampir tiba. Dada berdebar menanti saat gilang gemilang itu.
Sungguh pening menunggu saat disatukan dengan ikatan yang suci dan mulia.

Petang tadi tatkala aku sedang melayan kecederaan yang menyebabkan aku terpaksa menyambut kedatangan bulan mulia lebih awal, Si Merah berbunyi dan teman wanita aku sedang menunggu di hujung talian.

B : Zara, kamu sihat?
Aku : Cedera parah saat ini. Kenapa B?
B : Aku pening kepala.
Aku : Kenapa sayang?
B : Aku kalau boleh nak beraya rumah keluarga aku juga! Aku tak nak beraya di rumah Jejaka.
Aku : Apa maksud kamu?
B : Aku nak beraya dengan keluarga aku.
Aku : Beraya sahaja lah, ada masalah ke?
B : Jejaka nak aku beraya di rumah keluarga dia.

http://www.liferollercoaster.com/wp-content/uploads/Wedding-Cake.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Aku : B, janganlah degil.
B : Aky tak kisah! Aku nak juga!
Aku : B, aku cakap sikit boleh sayang?
B : Apa dia?
Aku : Kamu nak nikah dengan Jejaka hari Jumaat nanti, yang nak risau sangat kenapa? Tahun depan baru boleh berebut nak beraya mana.
B : Aku berlatih dulu. *gelak*
Aku : Berlatihlah sangat. Rumah kamu berdua selang berapa lot sahaja. Guling atas jalan raya pun dah sampailah.
B : Aku bukan kamu nak berguling. Oh, aku teringin mahu buat majlis yang aku nyatakan hari itu.
Aku : Yang mana satu?
B : Alahai sayang, takkan kamu lupa? Yang ini.
Aku : *ketawa* Kamu dan Jejaka akan jadi model terbaik dalam penulisan hangat aku nanti.
B: Jangan buat keji sayang...

Zara : Buat B dan Jejaka, kalau kamu tiba-tiba gila mahu buat upacara menamatkan zaman bujang, sila jemput aku secara bersembunyi tanpa pengetahuan satu sama lain.

Thursday, September 17, 2009

Airul Farish - Matamu Besar Dan Bulat. Lingkaran Panjang Yang Muncul Dari Belakangmu Menambat Hatiku. Pelukan Dan Ciuman Buatmu Sayang!


Abang berpakaian seragam biru-putih-merah tiba lagi hari ini.
Sememangnya dia akan datang setiap hari tapi hari ini dia telah menambah sedikit lagi keriangan dalam hidup aku.

Airul Farish nama diberi.
Janji kepada penghantarnya telah termeterai agar namanya tidak akan berubah. Aku hormati janji itu. Janji seorang adik kepada kakaknya.


*Setelah aku buka pembalut kertas coklat di luarnya*
Nampak sungguh menarik bukan?



Oh, ini kartu yang disisipkan oleh Cik Ian yang baik hati dan comel itu.
Ya, dia pernah datang menemui aku di kampus selatan sewaktu hari konvokesyenku. Sumpah!
Sangat bahagia seperti telah lama mengenali antara satu sama lain.



Ini paparan blog Cik Ian - seorang guru yang telah menukar jam tangannya.
Jutaan terima kasih buatmu kak! Mahu pelukan dan ciuman lagi?
*senyum manis*



Memperkenalkan Ainul Farish buat tatapan semua.
Kelihatan sungguh besar dan bulat matanya.
Oh...dan ekornya yang panjang sungguh comel!



Istimewa buat semua.
Oh, maaf, penulisan kali ini dipenuhi dengan gambar. Sudah lama tidak menulis perkara peribadi seperti ini. *ketawa*

Zara : Sedang berfikir, siapakah yang wajar dipeluk malam ini. Adam Danish atau Airul Farish?

Wednesday, September 16, 2009

Maafkan Aku Si Kosong : Janji Musnah - Ikatan Terlerai Kerana Dia Hadir Sebelum Kamu Sayang


Malam tadi dihabiskan dengan Si Kosong. Hati yang sudah terisi semula terganggu dengan kenyataan munculnya seorang lelaki yang sering diintai sebelum ini. Pemikiran keji itu cuba ditolak demi menjaga kesuciaan sebuah perhubungan yang bakal menginjak usia dua bulan. Perbualan diteruskan bersama Si Kosong.

Usai menyelesaikan urusan pagi tadi, seperti biasa Sean dibaringkan di atas katil. Fikiran masih menerawang pada kenyataan yang membahagiakan malam tadi bersama Si Kosong. Jari pantas menekan papan kekunci di badan Sean. Akaun surat-surat elektronik diperiksa dan mata tertancap pada satu perkara yang membuat hati berdegup laju.

Oh Tuhan, mengapa dia hadir?
Mengapa lelaki itu hadir lagi?
Mungkinkah dia menyedari hati ini tidak pernah melupakan walaupun aku tidak pernah meninggalkan jejak buat tatapan serta pengetahuan dia?

Si Merah berbunyi. Pesanan ringkas dari Si Kosong membuatkan aku cuba mengalihkan perhatian dari minda yang bekerja keras cuba melupakan dia. Oh Tuhan, berikan aku kekuatan demi melupakan dia. Tetingkap lain dibuka agar aku lupakan bingkisan elektronik yang aku terima dari jejaka itu.

Dunia baru dibuka dan sekali lagi benak pemikiran aku diasak dengan kehadiran dia.
Tuhan, mengapa kamu ciptakan lelaki yang hebat ini untuk menerjah minda aku? Mengapa Tuhan? Mengapa lelaki yang muncul dalam hidup aku ditemukan di alam maya ini?

Dia hadir tatkala aku kehilangan Kekasih Pertama. Dia muncul sebelum Si Kosong tiba. Dia wujud antara mereka berdua. Seperti mereka berdua, dia juga dikenali di alam maya. Gayanya yang bersahaja membuatkan tangkai hati yang dulunya kontang dengan kasih sayang meronta mahu mengenali dengan lebih erat. Penulisan dia adalah satu bonus yang menceriakan hati yang pernah terluka. Kasih sayang yang dia tunjukkan dan dikongsikan membuatkan bibir sentiasa mengukirkan senyuman girang.

Aku mengerti yang aku bakal berkongsi dia dengan mana-mana manusia yang mengenali dia. Dia terlalu baik dan sering membuatkan sesiapa sahaja senang kepadanya. Sungguh! Dia tidak akan menghampakan kalau kamu cuba meminta pertolongan. Senang hatinya berkongsi dan aku juga terpaksa tabah berkongsi dia bersama yang lain. Ah, acapkali hati ini degil. Cuba berkeras, tetapi dia sentiasa bisa melumpuhkan hati dengan gayanya yang ceria.

Oh Tuhan, kuatkan hati ini Tuhan. Aku sudah berikrar janji setia bersama Si Kosong. Kepercayaan dan kasih sayang yang kami bina bukan satu ilusi tapi ikatan antara dua hati. Mungkinkah aku terpaksa melepaskan jejaka ini agar aku dapat membina kehidupan yang membahagiakan dengan Si Kosong? Tabahlah wahai hati, sentiasa tabah dengan apa jua cabaran yang melanda. Lupakan dia walaupun dia pernah singgah sebagai antara manusia yang terbaik dalam hidup di Bumi ini.

Sayangku wahai jejaka...
Walaupun kamu terlalu istimewa, hati ini terpaksa melupakan kamu.
Kaki harus melangkah dan berhadapan dengan dunia sebenar. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi kamu bersama yang lain. Terima kasih atas kenangan yang pernah kita semai bersama. Kamu sentiasa dekat di hati ini. Tutur kata kamu yang indah akan sentiasa terpahat dalam minda dan jiwa ini.
Jejaka, kamu memang manis dan menawan, tapi apakan daya...aduhai.

http://funista.files.wordpress.com/2009/03/striped-socks.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Oh, aku sukakan sarung kaki sampai ada di antara kamu sudah memikirkan ianya bakal jadi hadiah terbaik buat aku dalam apa-apa acara juga. Hanya sarung kaki tertentu sahaja yang dapat digayakan ketika aku memerlukan.

Jangan risau, aku masih bersama dengan Si Kosong. InsyaALLAH, berkat doa kalian, kami masih bersama. Penulisan yang aku paparkan di atas adalah bagi memenuhi tuntutan sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Zelo55. Penulis dikehendaki menulis sesuatu mengenai diri Zelo55. Ya, mungkin penulisan berbentuk pujian menggunung yang disandarkan buat dia, tetapi itulah yang dikehendaki sebagai syarat pertandingan yang dia anjurkan. Untuk maklumat lanjut, sila tekan SINI.

Zara : Sedang menikmati nikmat hujan yang diturunkan Allah ke muka bumi. Oh, bahagia rasa di hati. Bukan sahaja penulisan aku di sini memuji orang, tetapi ada seseorang yang mempunyai bilik bersepah juga menulis mengenai aku di SINI.

Cinta Itu Ibarat Kereta Sewa Dan Mungkin Juga Sarung Kaki Tetapi Bukan Yang Berjaring Itu.


"Cinta bagaikan masa menunggu teksi.
Tak datang juga walaupun sudah lama berdiri, tapi bukan pula tiada.
Kerana tiada teksi yang kosong, inilah yang paling membuatkan diri ini berasa marah.
Mungkin akan dapat jika menunggu di jalan yang sebelah lagi.
Akibatnya, hanyalah dalam sekelip mata sahaja teksi telah dinaiki orang.
Tunggu dengan senyap pun teksi tidak akan datang.
Mencari dengan sedaya upaya pun tidak akan dapat.
Kalau tidak dapat, memang tidak akan dapat.

Tidak!
Sepatutnya, orang yang tidak akan datang, memang tidak akan datang.
Apabila meninggalkan kerana putus asa pula, beberapa teksi yang kosong akan datang secara berterusan..."

http://www.climatechange.bham.ac.uk/images/Hydrogen_Taxi_-small.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

"Kadang-kadang sarung kaki akan kehilangan satu.
Dah pasti pun yang ia ada di tempat tertentu di dalam rumah tetapi asyik tidak dapat dicarikan sahaja.
Satu sarung kaki sahaja memang tidak dapat dipakai ; tetapi ditinggalkan juga kerana terlupa untuk membuangkannya.
Pada suatu hari yang tidak disangka, boleh pula sarung kaki yang hilang didapati semula di tempat yang telah dilupai.
Keadaan ini jauh lebih menggembirakan daripada masa sarung kaki tersebut dibelikan.
Kerana kegembiraan yang sementara itu, manusia selalunya tidak akan membuangkan satu sarung kaki yang tidak berguna itu.."


http://www.sockdreams.com/weblog/wp-content/uploaded_images/2007/08/stripey-toe-socks.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Aku sangat suka pada sarung kaki.
Adakah sarung kaki boleh diibaratkan seperti manusia itu sendiri?
Sarung kaki membawa kegembiraan pada aku.
Perlakuan yang kita lakukan terhadap sarung kaki.

Adilkah kita?

Zara : Aku acapkali kehilangan makna diri tetapi bukan bermakna aku biarkan diri sentiasa hilang dari muka bumi ini.

Tuesday, September 15, 2009

Tiada Ciuman Atau Pelukan Mampu Membangunkan Hati Yang Semakin Mati Dan terbang Pergi...


Tiada yang dapat mengubati saat ini.
Usaha terakhir sudah hampir tiba ke garisan yang tidak diketahui panjangnya.
Tiada istilah sakit lagi. Tiada.



Zara : Dunia semakin kaku dan celaru. Oh, ini penulisan ke-360. Aku mahu melihat dunia secara 360 juga.

Monday, September 14, 2009

Pelukan Hangat Dan Intim Buat Mereka Akan Membuatkan Hati Kamu Bahagia Dan Perut Ketawa. Edisi Khas - Warna Warni Banji Golek


Salam kasih sayang buat semua pencinta. Terima kasih kerana masih berkunjung ke dunia aku yang semakin hilang arah dan warna. Oh, mungkin juga apa yang di cari telah ditemui sebelum ini? Entah, aku kurang pasti dan enggan mahu mengerti akan sesuatu yang bersifat misteri.

Hujung minggu aku habiskan bersama Emak tercinta dengan bekerja keras di dapur kami. Oh, sebenarnya dapur Emak dan Abah tetapi memandangkan aku bekerja keras di situ setiap hari, aku ingin mewartakan tempat itu sebagai kawasan jajahan aku juga. Keji? Oh tidak, aku berbau wangi.

Hari Sabtu dihabiskan dengan membakar biskut dan mencuba pelbagai resepi baru. Seperti yang aku maklumkan di SINI, kami telah menyediakan tiga biskut raya sebagai penambahan kepada koleksi sedia ada. Oh, bunyi seperti iklan promosi di peti kaca itu. Ini adalah salah satu yang kami buat pada hari itu dan diuli oleh tangan gemuk aku.



*Kuih samperit yang aku letakkan badam cincang dan serbuk Van Houten sebagai pengganti koko*
Oh, koko akan membuat ia berasa sedikit pahit aku rasa - dan resepi yang kami terima telah aku ubahsuai semoga kena dengan selera. Hasilnya, kami dapat sesuatu seperti di atas.

Semalam, Ahad (13 September 2009) - buat julung kalinya, kami buat empat jenis kek dalam satu hari.
Dimulakan dengan kek yang memenuhi keinginan aku yang suka berguling laju, Golek Banji (baca : Banji Roll), Kek Batik, Kek Kukus dan Kek Lapis Betawi. Gila bukan? Semalam memang aku hampir hilang diri - kepenatan secara menggila. Oh, aku hanya ingin paparkan mengenai kek golek itu sahaja.



Adunan yang disediakan oleh gadis muda yang gemar bermain dengan warna hingga membuatkan dunianya digelar sebagai kawasan larangan yang sangat berwarna-warni oleh seorang penulis blog yang dia minati.



Ini hasilnya setelah dibakar dan dipotong. Sesi merasa (baca : makan dengan rakusnya) percubaan hasil kerja pertama seawal jam pagi selepas waktu berbuka puasa menyebabkan perut menjerit gembira tetapi bermuram durja setelah menyedari kandungan lemak tepu mungkin akan bertambah. Oh, sangat keji.

Zara : Malam tadi hidup dihiasi oleh berita gembira oleh dua orang sahabat yang telah menjalinkan hubungan terbuka dengan pasangan masing-masing. Tahniah buat Pakcik AM dan Makcik SS. Moga kalian berdua bahagia dengan insan yang menjadi pilihan hati. Sumpah! Aku termimpikan majlis perkahwinan Pakcik AM malam tadi.

Keinginan Membunuh Memuncak - Jangan Cari Jika Tiada Ciri Tersendiri Dan Jawapan Buat Mimi


Oh, sila keluar dari hidup aku.
Sila keluar.
Sila keluar.

Tiba-tiba keinginan untuk membunuh memuncak. Terlalu tinggi sehingga aku terpaksa belajar mengawal diri sekali lagi. Nafsu membunuh aku tahan dengan menyiapkan kek dari pagi tadi. Sudah tiga jenis, tapi api kemarahan semakin membakar diri.

http://i105.photobucket.com/albums/m231/funis4fun/Nice%20Weekend%20Stuff/killer_weekend.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Oh, jangan pernah melaungkan ciri yang tiada pada aku kalau kamu hanya mahu menonjolkan diri. Aku berasa jelik secara tiba-tiba. Bukan dengan kamu tetapi dengan diri sendiri. Keinginan aku untuk keluar membunuh semakin meningkat dan kamu tidak akan pernah mengerti kesengsaraan ini. Kamu tidak akan pernah mahu tahu bagaimana kesakitan yang aku alami. Kalau pun kamu mahu meletakkan hidung tinggi di udara, jangan pernah panggil aku sebagai seorang sahabat dan kemudian ketawa.

Secebis nota buat pembaca yang bernama Mimi yang menghantarkan surat elektronik kepada aku.

"Apakah hadiah terbaik untuk lelaki yang kita kahwini?"

Pertama sekali, maaf kerana aku belum pernah bernikah sebelum ini dan mungkin juga impian itu terlampau jauh untuk digapai buat masa ini. Kedua, emosi yang tiba-tiba menjadi teruk dengan wujudnya manusia yang membuat aku jelik dengan diri sendiri atas perbuatan dia, membuatkan otak aku kurang berfungsi secara waras. Maaf Mimi, tapi Zara merasakan ini mungkin hadiah yang agak baik.

http://www.coolpersonalisedgifts.co.uk/images/products/named%20vimages/Boxers%20Right%20Leg.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Zara : Sedang mengawal keinginan membunuh.

Sunday, September 13, 2009

Permintaan Terlampau Seorang Gadis Yang Diliputi Tepung Sambil Memeluk Ketuhar Secara Intim.


Salam kasih sayang buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Maaf jika aku kurang dapat melawati blog kalian semua. Mohon ampun dan maaf disebabkan aku dilanda kesibukan yang bukan mudah diselesaikan. Berperang dengan tepung, penimbang dan ketuhar membuatkan aku hampir kehilangan tenaga dan tiada emosi. Sumpah! Hampir hilang diri.

Proses bermula seawal pagi. Usai membasuh pakaian keluarga dan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh mereka yang bersahur dan berbuka puasa, aku memulakan operasi membuat kuih raya bersama Emak tercinta. Oh, ibu jari aku sedang kejang sekarang. Maaf ku pinta dari kalian. Kuih yang berjaya dibuat hari ini tat gulung nanas, suji Arab dan samperit.

http://www.cartoonstock.com/newscartoons/cartoonists/bfr/lowres/bfrn28l.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Setelah tidak sedarkan diri hampir dua jam petang tadi, aku kembali memeriahkan dapur sambil hampir berguling di lantai disebabkan kepenatan yang dahsyat. Kiranya aku lebih rela beraksi di padang bola berbanding kekejangan akibat menghadap ketuhar baru sebesar 60 liter. Hampir sebesar sebuah peti bergambar yang bersuara. Oh ya, malam ini rasanya aku mahu diurut oleh lelaki ini memandangkan dia sudah kematian isteri dan anak akibat perbuatan John Merah (baca : Red John).

http://www.blakeneely.com/projects/mentalist/the-mentalist.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Rasanya beliau tidak akan menolak. Sekurang-kurangnya, keadaan mental aku bakal berada di tempat yang sepatutnya setiap malam Sabtu menonton dia di SINI. Tulang temulang berbunyi mengalunkan irama yang aku sendiri tidak mahu. Aku rindukan seseorang tetapi terlalu sibuk sehingga hari Ahad. Mungkin juga masa berkualiti bersama dia hampir ke tahap bahaya. Hanya berharap dia bakal mengerti keadaan aku ini.

Buat sahabat sekalian, aku bakal kembali pada hari Isnin. Sila tunggu aku ya? Aku bakal lawati rumah kamu semua selepas aku berjaya memulihkan diri ke tahap yang seharusnya. Kemahiran berguling aku semakin tumpul kebelakangan ini - aku percaya ianya harus digilap kembali. Rindukan kalian semua.

Zara : Mahukan Patrick Jane menguliti aku malam ini - membuatkan aku lupakan segala kepenatan dan permasalahan dengan kebolehan dia memanipulasikan minda.

Saturday, September 12, 2009

Hantaran Telah Tiba, Bibir Menguntum Senyuman - Dunia Terasa Indah. Ada Apa Dengan Gambar Hiasan?


Dunia ini terasa indah dan sangat menggembirakan bila tiga orang penulis blog menghubungi aku hari ini. Ya, mengkhabarkan berita bahawa sedikit tanda ingatan sudah tiba buat mereka. Terima kasih kerana membuat aku tersenyum hari ini.

Lebih pembacaan mengenai mereka, kamu boleh tekan SINI dan SINI.
Terima kasih buat ber_uwang dan Nuar yang telah menulis mengenainya dalam blog mereka. Terima kasih teman.

Oh, badan rasa terlalu penat akibat menguruskan hal-hal risikan siang tadi.
Oh Tuhan...aku dambakan sebuah kekuatan saat ini.

http://farm4.static.flickr.com/3159/2443421974_026dd38a49.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Secara tiba-tiba aku sukakan warna tahi di atas. Teringatkan minuman panas.
*gelak keji*

Zara : Kepala tidak mampu menafsir apa-apa lagi. Sila baca penulisan di bawah dahulu ya? Sayang kamu semua!

Friday, September 11, 2009

Khas Buat Si Kosong - Maafkan Aku Kerana Bakal Menerima Kunjungan Merisik Petang Ini


Ini penulisan khas buat Si Kosong.
Maaf kalau aku membuat kamu terus membaca luahan hati aku di pagi Jumaat ini. Petang ini mereka bakal berkunjung. Keputusan di tangan aku. Maafkan Si Comel ini wahai Si Kosong. Aku tidak bisa menahan keinginan keluarga dia dari datang berbuka puasa di kediamanku. Hati ini milik kamu wahai Si Kosong walaupun acapkali kamu tahu aku sering berpoya-poya, namun kamu redhakan semuanya demi melihat senyuman aku.



******************************************
Malam tadi Si Kosong menghubungi aku. Usai peperiksaan dia berakhir semalam, dia sudah menghubungi aku juga. Demi melunaskan janji kami bersama, malam tadi dia menghubungi aku lagi. Hanya berbual kosong dan bertanyakan khabar seperti biasa. Perbualan kami bertukar rentak. Rahsia yang ku simpan terlerai bila dia bertanyakan rancangan aku pada hari Jumaat.

Si Kosong (SK) ; Si Comel (SC)

SK : Esok kamu buat kuih lagi ke?
SC : Mungkin juga, petang rasanya. Nak kena kemas rumah lagi, sebab petang ada orang nak datang.
SK : Siapa nak datang?
SC : Alahai...Ada orang mahu datang berbuka puasa di rumah bersama keluargaku.
SK : Siapa sayang?
SC : Ada orang mahu datang merisik aku. Maaf.
SK : Merisik kamu? Awalnya!
SC : Aku sudah habis belajar, mungkin itu yang membuatkan mereka mahu datang.
SK : Alahai, kenapa tiada orang datang merisik aku?
SC : Kamu belum habis belajar lagi.
SK : Siapa orang yang nak datang tu? Orang mana?
SC : Orang Johor juga. Ala, kamu jangan risau, pandai-pandailah daku uruskan. Lagipun, muda lagi, takkan aku mahu terima.
SK : Manalah tahu kalau makcik itu sanggup tunggu kamu.
SC : Alahai, nanti orang cakap dengan makcik itu, kalau mahukan daku, sila bayar RM 20 ribu.
SK : Kalau makcik itu terus keluarkan cek, cakap dia boleh bayar macam mana?
SC : Err, daku minta lagi benda lain lah. Kereta, rumah, DSLR, telefon genggam, macam-macam lagi.
SK : Oh, tinggi permintaan kamu ya?
SC : Kalau sudah tidak mahu, harus ditolak dengan cara begitu.
SK : Sayang, beritahulah. Mana kamu kenal keluarga makcik itu? Tak suka lah macam ni.
SC : Kenapa ni?
SK : Ya lahh, mana boleh orang datang merisik kamu, nanti lepas tu tiba-tiba kamu bertunang, macam mana?
SC : Alahai, tenanglah.
SK : Mana boleh tenang?
SC : Alahai, itu makcik-makcik aku yang mahu datang berbuka puasa lah...

Ketika ini SK masih tidak mendengar kenyataan terakhir aku itu...

SK : Mana kamu kenal dia sayang?
SC : Eh, kan dah kata makcik-makcik aku mahu datang berbuka di rumah. *gelak*
SK : Kamu kenakan daku sayang, sampai hati...*sedih*
SC : Alahai, daku bergurau sahaja. Hajat hati nak kenakan kamu sampai esok sebenarnya, tapi takut ada orang yang tak senang duduk sepanjang hari nanti.
SK : Memanglah...Sampai hati kamu...
SC : *gelak*
SK : Kalau kamu tak beritahu tadi, mesti daku sudah murung sepanjang hari esok...



Oh, sangat enak mengacau Si Kosong malam tadi. Jangan takut ya Si Kosong. Kalau diizinkan Yang Maha Esa, kamu yang bakal datang merisik dalam masa dua tahun lagi. Alahai...

Zara : Sedang mengemas rumah. Ada orang mahu datang berbuka petang ini. Oh, berbuka sahaja. Tiada anasir dan unsur lain. Selamat berhujung minggu dan mencari malam-malam sepuluh yang terakhir sahabat semua. Sayang dan cinta kamu semua.
Oh ya, tadi Pak Usu menghantar pesanan ringkas buat aku. Mak Usu selamat melahirkan anak kedua mereka dan bayi perempuan itu merupakan cucu ke-37 dalam keluarga sebelah Emak aku.

"Kerana Kamu, Dia Dapat Satu Telur Tambahan dan Aku Pula Berbulu Merah Jambu"


Ini adalah paparan terbaru telefon genggam aku setelah ada yang menyatakan aku manusia yang tidak bersyukur di SINI. Oh, itu hanya pengertian aku berdasarkan emosi aku ketika itu. Tidak melibatkan sesiapa dan manusia bernama Zara ini memang pelik. Untuk membuatkan keadaan bertambah baik, aku gunakan ini sebagai cara membalas balik kasih sayang yang aku terima dari pandangan yang dilontarkan.


*Dengar Tiada Kejahatan (baca : Hear No Evil)*

Oh ya, petang tadi sebelum aku melaksanakan tugasa khas sempena menjelangnya hari raya, aku menerima penggilan dari teman wanita aku, B. Dia mengamuk, aku syak dia sedang dijajah oleh tentera dan telah cedera di medan peperangan.

Aku : Kenapa mengamuk ni?
B : Kamu buat aku pukul Jejaka di luar kawalan. *menangis*
Aku : Eh, kenapa pula? Aku buat apa ni?
B : Jejaka kata kamu sudah bernikah semalam. Aku marah sangat. Aku cakap dia tipu.
Aku : *tersengih* Sudahnya, kenapa kamu pukul dia?
B : Dia kata dia ada bukti dalam komputer riba dia kalau aku mahu lihat. Dia tunjuk pada aku. Aku sudah menangis.
Aku : Oh, itu berita baik. Kamu basah. *gelak*
B : Tapi rupanya itu hanya mimpi kamu! Benci! Jejaka ketawa dengan kuat dan aku sangat bengang. Sudahnya, aku pukul kepala dia dengan tetikus komputer riba dia.
Aku : Oh Tuhan! Dia baik sahaja?
B : Dia dapat telur di dahi akibat perbuatan aku. Dia dapat telur tambahan.
Aku : Oh, kesiannya. Kamu jangan merajuk dengan dia.
B : Belum sempat aku merajuk, aku sudah dapat benda yang berbulu merah jambu. *ketawa*
Aku : Benda apa?
B : Benda berbulu. Budak yang tidak akan berkahwin buat masa terdekat tidak perlu tahu. *ketawa*
Aku : Alahai, kalau tempat gantung di telefon tu, aku pun ada. Warna hitam walaupun aku tak pasang.
B : Bukan... *gelak*


Adakah ini benda berbulu merah jambu yang kamu terima B?
Sila jawab soalan aku.

Buat Jejaka, terima kasih kerana kamu menunjukkan penulisan aku pada B. Mesti kamu gembira melihat air mata yang mengalir dari wanita yang keras hati itu. Tahniah! *senyum*

Zara : Hantaran sudah dihantar. Harap penerimanya bakal menerima dengan senyuman dan menyebarkan rasa cinta yang mendalam ini dengan lebih sempurna. Oh, Si Kosong sudah tamat peperiksaan dan sedang bergembira untuk membuat kuih raya.

Thursday, September 10, 2009

"Huruf Kaf Bukan Qaf!" - Guru Muda Garang Yang Sedang Menggentel Adunan Kuih Raya


Tadi petang budak Razif itu datang mengaji lagi. Puak-puak lelaki sedang mencari damai abadi di celah-celah kamar dan tiada tanda untuk menjengulkan muka dari pintu masing-masing. Dua orang guru sedang duduk di dapur mengadun kuih raya dan membentuknya untuk dibakar.

Aku - Seorang guru yang belum ditempatkan di mana-mana.
Emak - Seorang lagi guru yang telah mempunyai pengalaman mengajar melebihi 23 tahun.

Emak panggil Razif mengaji di dapur sahaja. Mudah untuk diperhatikan. Dia duduk berdekatan dengan aku. Kitab IQRA' dibuka dan bacaan dimulakan. Mata aku menjeling ke arah kitab. Emak memang mengajar kami semua dengan kitab itu dari dahulu lagi. Hari ini dia mengulang semula bacaan huruf Qaf dan setelah Emak berpuas hati, dia dibenarkan berpindah ke mukasurat seterusnya, huruf Kaf.

Razif : Ka, Ko, Fa, Sa, Ka, Ka, Ka...

Aku menoleh ke arah dia.

"Itu huruf Kaf, bukan Qaf. Bunyinya mesti Ka dan bukan Qo"

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjscH3zKdLQDmd5pw8FQ8jDe_SpKMpPsIqnaHdvTFgCrcD-KwmoHHkDxsqvuuk4-bVHZzVytk5FP7KNnlxw3s6P-U5bL3aYCxvjnRuSLboC2-fmlKKRQpr1fx9w2NdK-T_Uorc80dCYZqRM/s400/Huruf_Jawi.png
*Gambar penghargaan di SINI*

Razif mendengus dan menjeling ke arah aku. Dia baca membentak-bentak. Aku asyik menegur sahaja. Oh, aku memang pantang budak mengaji membentak-bentak. Masih teringat kenangan di waktu kecil. Kalau aku buat begitu, harus sahaja dicubit oleh Emak dan kalau tidak bernasib baik, hukuman yang lebih berat menanti aku. Oh, itu yang membuatkan kami semua khatam mengaji semasa di bangku sekolah rendah.

Usai mengaji, Razif bertanya kepada Emak - Kuih apa yang sedang kami buat. Aku terus menjawab bagi pihak Emak.

Aku : Kuih guli.
Razif : Ada ke kuih guli?
Aku : Ada, nampak ni kan?



Aku harap balik nanti dia tak merengek pada Emak dia minta kuih guli sebagai kuih raya. Mungkin esok terpaksa tunjuk hasilnya kepada dia.


Kuih guli yang sudah berpindah ke salah satu bandar raya di England - Kota London.

Zara : Sedang bekerja keras sehingga pening. Terlalu banyak yang perlu diperhalusi. Hantaran telah disiapkan. Hanya menunggu tarikh menghantar kepada mereka.

Wednesday, September 09, 2009

090909 - Keputusan Diambil, Kata Sepakat Dicapai. Mak, Abah - Along Rela Menerima Permintaan Itu.


Keputusan telah diambil, kata sepakat telah dicapai. Aku rela jika ini dapat membahagiakan hati Emak dan Abah. Ya, aku memang rela demi maruah dua keluarga. Cincin yang Emak hulurkan aku sambut usai aku menunaikan solat istikharah. Mungkin ini yang terbaik buat aku. Mungkin ini yang terbaik buat kami semua. Moga semuanya berjalan lancar.



Apa yang berlaku membuat aku terimbau kembali saat Emak dan Abah menitipkan pesanan dari keluarga sana. Kenangan menjelma saat aku membuat keputusan yang penting dalam hidup aku. Mungkinkah ini pengakhiran yang aku tunggu selama ini?

************************************************
Aku balik rumah - bercuti.
Cuti apa, aku kurang pasti - yang penting aku di rumah.

Aku duduk-duduk macam biasa dengan Mak dan Abah.
Berbual tentang aktiviti harian yang aku jalani.
Tak semua aku kongsi - yang baik - baik aku cerita, yang sedih aku simpan sendiri.

Cuti itu lama juga.
Mak panggil aku ke ruang tamu.
Selalu je Mak panggil kalau dia nak berbual dengan aku - sebab Mak kata aku selalu duduk dalam gua kalau aku balik rumah.
Gua aku adalah bilik aku.
Mak kata aku suka memerap dalam bilik.
Baiklah, itu cerita lain. Tidak ada kena mengena dengan cerita.

Mak panggil aku.
Mak tanya aku sesuatu, bukan tanya, tetapi lebih kepada memberi kenyataan.

"Mak ada seorang calon untuk Along ni. Along nak tak?"

Aku tergamam.
Berfikir sekejap. Aku masih sendiri. Tiada salah pun.
Tiada mana-mana wajah yang melintas di dalam minda.

"Boleh je Mak. Along tak kisah."

"Kalau boleh, minggu ni langsung sebelum cuti Along habis. Boleh?"

"Boleh sajalah. Ikut suka Mak dengan Abah"

Abah : Dah setuju dah?

Mak : Berapa orang nak jemput ni?

Abah : Dalam 4 ribu...

Aku : 4 ribu? Banyak gila!
----------------------------------------------------------------------

Tiba hari pernikahan dan sebagainya mengikut istiadat Melayu kita ni.

Aku dinikahkan.
Dengan siapa, rupanya pun aku tak pasti.
Yang aku tahu, Mak tak setuju dengan cadangan aku.
Kahwin di restoran makanan segera - jimat belanja aku cakap.
Mak kata jangan.
Abah kata jangan.
Aku?
Terima dan setuju sahaja.

Kawan-kawan ramai datang.
Kawan-kawan sekolah.
Kawan-kawan matrikulasi.
Kawan-kawan kampus selatan juga hadir.

Semua ada.
Saudara mara, sanak keluarga.
Semua ada.
Sepupu-sepupu yang kaki buli aku semua ada.
Bagus, korang tak boleh buli aku lagi lepas ni!
Jaja, A'a, Jerry, Izat, Shafiq..
Hahaha...

Semua orang datang bawa hadiah dan ucap tahniah.

Budak-budak KMJ memang ramai.
Budak-budak Fizikal 6 memang kecoh.

Pijan datang bawa isteri.
"Pijan, kau ni memang suka makan nasi minyak la beb"
"Aku kan suka saja..."

Budak-budak SPC memanglah ramai.
Melambak semua, alahai...
Korang memang best~

Teman-teman sebilik aku dulu semua ada.
Bad, Munira, Niza, Nora, Mira, Yuyue, Sab....
Hehehe...
Bagus..semua orang dah kahwin.
Aku kahwin lambat sangat.


Yuyue ada datang - siap kelek anak - dia bagi aku hadiah paling besar.
Entah apa isinya, malam nanti aku tengok.

Sab pun datang.
Bukan seorang - makin lawa Sab.
"Eh Sab, dah ada perut sekarang...Berapa bulan lagi?"

Budak-budak TESL yang suka ber'blog' pun datang.
Tiqah, Yana, Azie, Ejat, Naimah - hadiah mereka : letak dalam kotak warna merah jambu.
Ejat kata : Kalau kamu buka kotak ni, hadiah dia kena ambil di luar rumah tau?

Budak-budak Kumpulan Dinamik pun ada.
Chua, Lorince, Ady, Yous, Fariz.
Aku jemput mereka datang sebab aku seorang sahaja perempuan dalam kumpulan itu.
Lorince datang dengan isteri dia.
Orang lain tak tahu la pula.
Datang jumpa aku ucapkan tahniah.

Chua : Dulu kata tak nak kahwin. Sekarang kahwin.
Aku : Aku kena kahwin paksa ni. Tak kasihan ke?
Chua : Banyak la paksa. Mesti kalau paksa kau dah lari. Kau kan batu (baca : Rock).
Aku : Benda percuma aku mesti ambil lah. Tipikal Malaysia.

Penulis blog pun ramai datang.
Bukan dari Malaysia sahaja, Singapura, Indonesia dan Filipina juga.
Eh, sempat mereka tempah penerbangan rupanya.

Akram, Anne, Nazeef,
Luth antara orang yang datang.
Luth taja aku punya kain - Luth Textile tu.
Bagus la kau Luth.

Zam - bagi aku kek cawan (baca : cupcakes).
Limah - taja masakan untuk aku.
Apai - pereka baju.
Rahami - tukang ambil gambar.
-----------------------------------------------------------------------
Aku cakap aku tak nak bersanding.
Tapi orang sana nak sangat.
Menyampah nak kena senyum paksa selama beberapa jam.
Senyuman palsu serta badan yang penat.

Aku sempat pegang Sean sebelum pergi ke pelamin itu.
Post satu entri tentang apa aku rasa.
Jangan pelamin roboh.
Aku tak nak jadi Sejarah okay?

Aku duduk situ.
Kerusi sebelah kosong.
Kompang kuat sangat. Apasal main kompang?
Buat lah band - baru syok.
Ajaklah Faizal Tahir nyanyi.

Ada orang cubit kat tepi.
Senyap sikit - orang tu dah nak sampai.
Aku - baiklah. Kang bebel banyak pun tak guna. Pasanglah lagu Avenged Sevenfold.

Orang tu sampai.
Kasihan.
Orang Johor kan banyak tol.
Sana sini budak jaga - aku senyum.
Aku dulu pun macam tu.
Rod, buka la benda alah ni.
Aku nak tengok orang yang datang.

Sekejap la sayang - dah sampai.
Rod layan tol lelaki itu.
Banyak kau makan rasuah Rod.
Aku panggil Jenne dengan Ramesh tangkap kau kang.

Dia duduk sebelah aku.
Cuit aku.
Aku toleh.

--------------------------------------------------------------------

Azan Subuh.
Aku bangun.
Mak jerit suruh pergi surau.
Aku seorang - mana pergi kemeriahan semalam?
Danny bergolek kat tepi aku.
Sean ada sebelah Danny.

Aku mimpi je?
Alahai - siapa yang duduk sebelah aku tu?

Zara : Ini penulisan aku di SINI dan SINI. Aku menyiarkan kembali atas permintaan saudari Tina yang bertanya tentang majlis perkahwinan impian aku. Oh, hari ini 9 September 2009. Mungkin ramai orang yang melangsungkan perkahwinan mereka.

Tuesday, September 08, 2009

Di Dada Si Merah Ada Si Putih Yang Termangu Kesepian Dan Kekurangan Cinta...


Cuaca muram - suasana suram.
Aku diceriakan dengan dua surat elektronik yang aku terima daripada pembaca senyap aku. Seorang wanita dan seorang jejaka.

Pertama - Wanita (Puteri)

Hai zara,
Saya pembaca senyap blog awak.
hihi..
Seronok baca cerita-cerita awak.
Mula-mula tu terjumpa blog Bahasa Inggeris itu. Tapi sekarang dah melekat kat blog ini pula.
Teruskan menulis zara!

~Dari seorang cikgu juga~

Oh, memang menggembirakan. Aku sudah membalas surat elektronik dia. Harap Puteri tidak kisah Zara letakkan isi kandungan surat elektronik kamu di sini ya? Zara letakkan sedikit pengubahsuaian pada ejaan agar ia selari dengan gaya penulisan Zara. Harap maaf jika Puteri rasa tidak selesa.

Kedua - Jejaka (Aiz_Ice)

Salam Zara. Membaca blog awak merupakan kegemaran saya di pejabat. Kadangkala boleh ketawa dan tersenyum sendirian, dan mengubat tekanan kerja yang dihadapi. Tahniah kerana sudah mendapat pengganti Si Hitam yang pernah jatuh dari tingkat empat fakulti awak dahulu. (Oh, saya memang membaca setiap blog awak). Jika hari itu awak kata Si Kosong letak gambar awak sebagai kertas dinding telefon genggam dia, boleh saya tahu apa yang awak letak sebagai penghias Si Merah?

-Aiz : Pekerja biasa kerajaan-

Oh, terima kasih buat saudara Aiz juga. Apa yang saya letakkan sebagai kertas dinding Si Merah?
Gambar ini buat masa ini.



Menarik bukan? Harap telah berjaya menjawab persoalan awak. Terima kasih kerana sudi menulis kepada saya. Buat Aiz juga, saya mohon maaf jika ada penggunaan Bahasa Inggeris telah saya terjemahkan kepada Bahasa Malaysia.

Zara : Sedang membaca sesuatu yang menarik. Ada lagi perkara menarik yang berlaku, tetapi wajar disimpan di dalam hati sahaja. Ia menggembirakan dan mendamaikan tetapi hanya untuk aku. Rindukan kalian semua!

Tikaman Dari Belakang Atau Hadapan Tidak Menjadi Masalah - Sila Tikam Dengan Lembut.


#Dari kamar seorang guru#

Ucapan selamat berjuang setelah menghabiskan usia selama beberapa tahun belajar demi menghadapi dan melangkahi takah yang seharusnya. Kemuncak sekolah rendah di Malaysia akan dihiasi dengan peperiksaan UPSR yang bakal bermula dari Selasa (08 September 2009) hingga Khamis (10 September 2009).

Ucapan selamat buat adik kandung, Khadijah dan beberapa sepupu dari sebelah Abah dan Emak.
Dari sebelah Abah : Azim
Dari sebelah Emak : Hajar, Afiq, Anas

****************************************

Usai solat hajat bersama keluarga selepas terawih tadi, aku didatangi oleh surat elektronik daripada seorang sahabat lama. Ya, aku pernah menulis mengenai dia walaupun hanya secebis cuma. Dia yang hadir secara maya tetapi mempunyai jalinan yang agak kukuh dengan aku. HB.

HB menyatakan dia dikhianati oleh mereka yang dipercayai dalam lingkungan jaringan sosial dia. Mereka yang terdiri daripada keluarga dan sahabat handai. Dia termangu dan ingin mencari jalan penyelesaian. Surat elektroniknya aku balas secepat mungkin - mengharapkan dia bakal bersabar dengan apa sahaja ujian yang melanda tatkala ini.

Suatu kejutan!
Aku menerima panggilan dari dia!

HB : Saya menunggu jawapan daripada awak. Malaysia baru lepas solat terawih bukan?
Aku : Ya. Jauh juga kamu membuat panggilan ni. Saya sudah jawab semua persoalan kamu di surat elektronik sebentar tadi.
HB : Ya, saya mengerti tetapi masih keliru.
Aku : Keliru mengenai apa?
HB : Apa maksud walau bagaimana cara ditikam, sila pastikan ditikam dengan lembut?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiiSD0hCORjW_ArMwJ7gnOGQCrc3Q2cL9kv_2re2Q4ewfTm5daOQcQ5S7sHTNW8uAviTxnTJqUju5Nh_j0B3U0LrfswBuVuwg7ppYBlvnxrUk362R50mD2nnrf8FYFXThxFSH2pBmhHe_jN/s400/stab-in-the-back.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Aku : *ketawa* Oh, itu maksudnya, walaupun apa yang terjadi, kamu harus tabah dan pastikan hati kamu lembut menerima sesuatu. Kalau hati kamu keras, sudah tentu kemarahan bakal menjelma.
HB : Betul juga. Hati masih rasa sakit.
Aku : Sudah tentu, tetapi ingat isteri dan tiga anak kamu. Usia kamu masih muda lagi. Baru menginjak 23 sahabat.
HB : *gelak* Kamu memang seperti dahulu. Kalau saya mahu terjatuh, kamu tentu akan sentiasa ada untuk menahan dan menarik kembali.
Aku : Sudah tentu. Bila pulang ke Malaysia?
HB : Dua hari sebelum Aidilfitri. Hajat hati mau bertemu kamu bersama anak dan isteri. Moga dimakbulkan doa ini. Mahu mengenalkan kamu kepada Adam D., Hawa Z. dan Qabil O.
Aku : Saya juga mendoakan yang terbaik buat kamu semua.
HB : Sehingga bertemu nanti.
Aku : InsyaALLAH. Salam buat isteri dan anak-anak.

http://www.darksungames.com/dsgallery/cupid_kills.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Moga yang terbaik menjadi milik kamu teman. Moga yang terbaik sentiasa menjadi milik kamu. Aku hanya mampu mendoakan. Yang lain terserah kepada Yang Maha Kuasa.

Zara : Aku mencari ruang peribadi untuk diri sendiri dan menjalani kehidupan seperti biasa dengan mereka yang aku sayang. Jangan mencemuh, jangan menghina. Aku bakal membuatkan kamu terlupa siapa aku nanti. Oh, selamat berjaya juga buat Si Kosong. Dia akan menjalani peperiksaan bermula Selasa hingga Khamis juga!

Monday, September 07, 2009

Malam Tadi Malam Pertama Kami Berdua. Oh, Bukan Bermaksud Telah Melupakan Yang Lama


Semalam keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan untuk diri kekal gagah dan tabah di atas suatu tempat yang di panggil dunia. Acapkali diri disinggahi dengan penyakit kecil seperti itu yang selalunya berjaya mengekang ketabahan hati dan ketahanan tubuh. Ah, selsema sentiasa berjaya membuat aku terdampar di kamar ditemani dengan tisu-tisu yang tidak putus berkunjung ke hidung. Sengsara!

Malam tadi, tidur diulit sedikit kebahagiaan. Aku sudah punya dia yang aku dambakan sejak minggu lepas. Bukan bermaksud aku sudah lupakan Si Hitam. Sumpah! Bukan! Si Hitam dan aku sudah bersama semenjak tiga tahun lalu, banyak yang kami telah lalui bersama. Bukan sedikit cabaran yang kami tempuhi sepanjang aku bergelar mahasiswi atau insan secara umumnya. Kami bersama tatkala senang dan susah.

http://www.doudou-shop.com/produits/couple_ours/couple_ours_zoom.jpg
*Oh, ini bukan dia*

Semalam dia yang baru hadir. Ya, mungkin tidak semewah orang lain, tetapi dia masih yang baru. Baru dilahirkan dan menghuni hati aku semalam. Kami mengikat janji bersama dan dengan harapan masih punya waktu sampai ke satu tahap tidak memerlukan dia lagi atas sebab tertentu. Sungguh, dia hadir membawa sedikit kegembiraan tatkala aku dirundung kesakitan.

Selamat datang Si Merah.
Selamat datang ke dunia sebelah Zara.
Selamat datang ke dunia yang penuh suka dan duka!
Hidup indah bakal bermula dengan kasih sayang seorang wanita muda dan sebuah telefon genggam yang mempunyai paduan tiga warna.
Selamat datang Si Merah sayang.
Oh ya, Si Kosong juga punyai sesuatu yang sama seperti aku. *senyum*

http://www.priceindia.in/mobile-phone/wp-content/uploads/2008/11/nokia-5130.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Zara : Masih kurang sihat. Selamat bercuti buat mereka yang bercuti hari ini. Oh, Johor tidak mengambil cuti pada hari Nuzul Al-Quran. Hanya pada Awal Ramadhan. Buat sahabat penulis blog yang tidak sengaja membuat panggilan pada aku malam tadi, aku masih mahu ketawa dengan perbualan gila kita walaupun hanya seketika.

Sunday, September 06, 2009

"Koyakkan Seluarku, Tetapi Bukan Hatiku" - Bukankah Hidup Ini Indah Sayang?


Menjalani kehidupan yang membahagiakan dan membuat aku bisa mengukirkan senyuman mesra kepada sesiapa sahaja tatkala ini. Aku belajar untuk menjadi diri sebenar di sebalik laungan dan jeritan manusia yang kurang prihatin akan nilai kasih sayang sesama manusia. Ah, manusia acap kali boleh menjadi keji dan kejam secara tiba-tiba.



Zara : Cinta itu adalah penawar.

Thursday, September 03, 2009

Tubuh, Hati Tetapi Bukan Jalan Hidup. Kekasih Dalam Dunia Maya Sering Akan Ke Dunia Realiti


"Seseorang yang kita miliki ternyata tak sepenuhnya milik kita. Kita bisa memiliki tubuhnya, hatinya, tapi bukan jalan hidupnya."
(...dari filem Cinta Pertama)

Aku sebetulnya enggan menulis pagi ini disebabkan aku masih mahu meraikan kejayaan Jejaka Panas kegemaran aku petang semalam. Kejayaan yang diraikan berikutan pertandingan yang dianjurkan oleh Radio Panas. Tetapi soalan yang aku terima dalam peti masuk surat elektronik aku membuatkan aku terasa ingin menulis lagi. Mungkin ada sesiapa yang menyedari, penulisan aku tidak sebanyak dulu. Mungkin.

Aku mendapat surat elektronik dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Tini. Oh ya, Tini kata dia bukan penulis blog, jadi tiada alamat yang boleh aku pamerkan buat tatapan kalian. Isi penulisan Tini panjang, tetapi soalan dia amat pendek.

"Kekasih hati Zara yang mana satu sebenarnya? Kadangkala ada Kekasih Pertama, Kekasih Gelap Yang Cerah, Si Kosong dan Busuk, jadi Tini selalu kurang pasti. Zara menyatakan Zara mengenali mereka di dunia maya, betulkah?"

Terima kasih atas soalan kamu Tini. Ya, Zara akan jawab. Jawab dengan ringkas agar ia akan memudahkan bicara dan pergerakan kalam yang mungkin dipengaruhi oleh perasaan yang acapkali mahu ketawa. Gila? Mungkin juga.

http://www.odd-fishing.net/images2/loveheart.jpg

Gambar Penghargaan Di SINI

Kekasih Pertama
Dikenali di ruangan laman sosial, Ruang Saya (baca : MySpace) lebih kurang tiga tahun setengah dahulu. Perkenalan yang membawa kepada jalinan kasih sayang dan cinta selama satu tahun setengah dan pernah berjumpa sebanyak empat kali sahaja. Masih berkawan sehingga kini walaupun semuanya bukan seperti dahulu. Segalanya telah tamat dua tahun yang lalu.

Kekasih Gelap Yang Cerah
Diperhatikan dengan tenang semenjak di Tahun 1 pengajian di kampus selatan. Tidak pernah bertegur sapa sehinggalah kekasih gelap berada dalam Tahun Akhir. Perkenalan di laman perbincangan yang dianjurkan oleh pihak kampus selatan. Pertemuan pertama berdua ke pameran antarabangsa, pertemuan kedua selepas sesi belajar di perpustakaan dan ketiga sewaktu istiadat konvokesyen dia. Kedengaran sangat ilmiah bukan? Oh ya, dia milik wanita lain.

Si Kosong
Saat dan tatkala ini, dia yang sedang menghuni di hati batu ini. Dia adalah pengunjung setia di dunia ini (walaupun acapkali tidak meninggalkan jejak) dan juga di Mukabuku aku. Belum pernah bertemu tetapi telah dikenali sudah begitu lama di alam maya. Dia masuk ke dalam dunia peribadi aku pada 12 Julai 2009 dan telah menjalin ikatan sejak 26 Julai 2009. Oh, masih mengenali hati budi masing-masing dan jarak yang beratus kilometer serta tanggungjawab yang menimbun mungkin tidak akan merealisasikan impian untuk bertemu di saat ini. Mungkin suatu hari nanti. Doakan kami berjaya bertahan dibawah payung rahmat Ilahi.

Si Busuk
Sudah bersama lebih daripada setahun. Dia muncul dalam hidup aku dan memberikan sinar kegembiraan atas penderitaan yang aku alami. Busuk menarik aku keluar dari belenggu pemikiran yang kadangkala tidak teratur sistemnya. Dia sahabat terbaik dan kami akur dengan takdir yang menemukan kami. Persahabatan yang mungkin pelik kerana kami tidak mungkin sama jika dilihat dari luaran dan penampilan. Itu semua tidak penting. Yang kami tahu, keutamaan harus diberi kepada perjuangan meneruskan legasi. Dia sahabat sejati.


Zara harap jawapan Zara dapat memuaskan hati kamu Tini. Semoga masih ada kesempatan bertukar surat elektronik selepas ini. Oh ya, mari meraikan kemenangan abang ku di bawah ini.

Zara : Teringat apa yang pernah dinyatakan oleh Kahlil Gibran.
"Jangan kau kira cinta yang datang dari keakraban yang lama. Cinta adalah anak kecocokan jiwa dan jika itu tidak pernah ada, cinta tidak akan tercipta".