Showing posts with label Perkahwinan Dua Jiwa. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan Dua Jiwa. Show all posts

Sunday, January 08, 2012

Jaga Diri - Jaga Hati.




Aku kalau berbual dengan orang mesti akan kata "jaga diri" ataupun "take care" di hujung bicara. Sudah jadi satu kebiasaan aku mencapai ke hujung perbualan dengan cara begitu sebelum memutuskan talian dengan ucapan salam. Kebiasaan disebabkan setakat ini, dalam perbualan aku dengan kawan-kawan ataupun sesiapa sahaja yang berkenaan, tiada siapa yang cakap begitu dengan aku. Setiap kali, hanya aku yang cakap demikian. Mungkin pada kawan-kawan aku, ada satu pandangan skeptikal (yang pernah salah seorang daripada mereka kata) - "Kau boleh jaga diri kau sendiri, tak perlu diingatkan"

Entah.
Aku mungkin mahu jadi tamak.
Mahu orang lain ingatkan aku sesuatu yang aku rasa aku layak.

Layak untuk dapatkan layanan macam manusia lain. Rasa diperlukan sentiasa dan bukan dicari hanya bila mereka dalam kesusahan dan perlukan bantuan, khidmat nasihat daripada aku. Aku tahu manusia sukar lihat aku - manusia yang tidak punya apa-apa atas dunia, apatah lagi sedikit paras rupa yang jadi taruhan manusia lain memilih memulakan persahabatan, tapi disebabkan sudah pandai menerima hakikat sejak sekian lama, aku mahu buat endah tidak endah sahaja. Walaupun harus diakui, hati sedikit tercalar dan aku hanya layak memendam rasa. Betapa sukar aku mahu memujuk hati, menerima apa sahaja orang kata, meminta maaf atas kesalahan yang bukan aku punya dan berpura gembira supaya orang disekeliling tidak nampak aku terluka dengan sikap mereka.

http://farm8.staticflickr.com/7016/6638689355_b6a6ff0208.jpg
| Koleksi dari Flickr sendiri |

Tapi itulah.
Benda itu sebenarnya cuma kehendak hati sendiri.
Tidak ada orang yang buat, sebab kalau kita sebut pada orang, dah jadi macam satu keterpaksaan pula orang sebut pada kita kan? Jadi benda itu kurang keikhlasan aku rasa. Macam kau ucap selamat ulangtahun pada kawan-kawan di laman sosial. Kau tulis benda yang sama pada semua orang. Tulis - salin - tampal semula di dinding setiap orang. Tiada nilai istimewa, semua orang serupa, hatta orang yang kau kenal rapat ataupun makhluk asing mana. Aku rasa kurang seronok, mungkinlah. Heh.

Apa pun, dalam kau jaga diri, ada benda yang kau perlu jaga juga, iaitu jaga hati. Aku rasa ini antara yang paling susah selain jaga iman. Tapi kali ini aku mahu tulis tentang jaga hati. Benda yang lebih pada pengalaman aku, daripada aku bercakap tentang jaga iman, aku mungkin kurang layak. Nanti orang kata aku tiada tauliah dan sebagainya - walaupun saling mengingatkan itu baik. Tapi tidak mengapa, jaga hati sahajalah, selain jaga diri.

Aku rasa setiap daripada kita ada hati yang perlu dijaga. Selain ibu bapa, adik beradik, keluarga, jirang tetangga, saudara mara, kawan-kawan (dan senarainya tidak akan berhenti) - kita juga perlu jaga hati sendiri. Itu lebih penting walaupun aku akui, kalaulah hati aku boleh dikeluarkan dan ia ibarat cermin ataupun kaca, pastinya boleh dilihat kesan retak, kesan pecah, kesan ditampal tidak termasuk calar balar akibat bertahan dengan keadaan sekeliling. Macam mana dengan hati kau pula?

http://farm7.staticflickr.com/6124/5943467523_4453d34178.jpg
[Sumber gambar]

Banyak benda berlaku yang secara jujurnya sangat melibatkan hati dan perasaan. Kita cuma cantumkan kepingan hati kita, jeruk perasaan dengan harapan mampu bertahan, tapi pada satu peringkat kita mahu lepaskan walaupun kita sendiri tahu, ia bukan sahaja bakal melukakan orang lain, tetapi diri kita sendiri. Kalau diberi pilihan, kita mungkin tidak sanggup melukakan hati manusia lain di sekeliling kita, tapi penderitaan yang kita tanggung menyebabkan tekad itu bulat, mahu melepaskan diri dari kesengsaraan. Persoalannya, berapa ramai yang berani untuk keluar daripada itu semua? Sanggup menutup mata dan jiwa demi kelangsungan hidup sendiri?

R : Aku nak buat keputusan tapi tak tahu.
Aku : Keputusan apakah?
R : Kalau aku tak cakap pun kau tahu kan?
Aku : Hmm, boleh baca dari laman sosial kau.
R : Tapi aku tak tulis dengan terus terang pun kan?
Aku : Bukan sehari dua aku kenal kau, bukan aku tak kenal gaya bahasa kau.
R : Aku takut kecewakan semua orang.
Aku : Faham. Tapi kau sendiri macam mana?
R : Susah sangat nak gembira ke?
Aku : Tak susah. Senang. Tapi kita selalu tak dapat, atas beberapa sebab tentunya.
R : Maksudnya?
Aku : Kita selalu buat orang lain gembira, tapi kadangkala nak buatkan diri sendiri gembira pun susah kan?
R : Betul. Itu apa yang aku rasa sekarang ini. Aku tak kisah kalau orang lain tak dapat buat aku gembira, tapi diri aku sendiri pun dah tak boleh nak berikan senyuman depan cermin, macam mana ni?
Aku : Masalahnya, benda ini bukan libatkan kau seorang.
R : Sebab itu aku keliru.
Aku : Dah berbincang dengan keluarga?
R : Aku cuma cakap dengan Mama aku sahaja.
Aku : Dan dia kata apa?
R : Mama aku terkejut. Dia marah mula-mula sebab aku sembunyikan benda ini, tapi aku memang ego. Aku tak nak Mama kata aku apa nanti lepas dia bersusah payah uruskan benda ini.
Aku : Sekarang ini?
R : Mama memahami. Mama tahu aku takut melalui pengalaman teruk dalam nak bina keluarga, padahal bukan sekejap benda ini. Lagi pula, ini bukan lagi zaman bercinta. Ini sudah zaman aku ada yang punya dan aku juga galas tanggungjawab bukan mudah.
Aku : Tapi, kalau itu takdirnya, kita nak buat macam mana?
R : Aku dah tak tahu nak buat macam mana. Jumaat lepas aku dah ke pejabat agama.
Aku : Dah pergi? Kau failkan tuntutan ke apa?
R : Aku mohon sesi kaunseling. Aku tak nak buat keputusan terburu-buru.
Aku : Baguslah kalau begitu.
R : Aku bawa Mama teman aku. Menggigil aku masa nak melangkah masuk. Sebab ini bukan macam beberapa bulan lepas. Dulu langkah mahu menuju kebahagiaan yang aku harapkan, kali ini mungkin bawa kebahagiaan tapi pastinya ada penderitaan sepanjang hayat dalam diam.
Aku : Benda begini kena ada perbincangan dua pihak.
R : Aku jaga hati semua orang, kenapa orang susah sangat nak jaga hati aku?
Aku : Orang tak buat macam mana kita buat pada orang. Setiap manusia kan tidak sama?
R : Sakit oh, sakit sangat.
Aku : Aku tahu kalau aku beritahu kau supaya tabah, kuat dan sabar - kau dah biasa dengar benda begitu kan? Tapi kali ini, aku mohon kau betul-betul tahu apa kau nak buat.
R : Kau rasa ini benda yang betul?
Aku : Kau sendiri rasa macam mana?
R : Aku bercinta dekat lapan tahun setengah, aku berkahwin belum pun setengah tahun, dah begini.
Aku : Sebab itu Kahlil Gibran pernah kata, usia perkenalan bukan jaminan kau kenal seseorang.
R : Aku pernah baca, kau pun pernah tulis dalam blog, tapi benda begini nampak mustahil dalam hidup, dalam beberapa perkara tentunya.
Aku : Entahlah. Aku tak tahu apa yang kita panggil bahagia, apa yang sebenarnya sengsara.
R : Kadangkala kita lagi sanggup derita seorang diri daripada bahagia dengan orang lain derita kan?
Aku : Selalunya begitu. Adakah kita bodoh?
R : Bukan bodoh. Kita korbankan perasaan sebab kita tak nak orang lain terlibat sama.
Aku : Dan bila berdepan dengan situasi begitu, kau masih nak memilih derita lagi?
R : Mungkin aku terpaksa, aku pura-pura senyum dan gembira.
Aku : Sampai bila?
R : Aku mahu berusaha sehabis baik. Kalaulah takdirnya bukan milik aku, aku lepaskan sahaja.
Aku : Dan kau akan tanggung derita juga.
R : Lebih baik daripada aku lihat dia yang aku cinta bergelumang dosa.
Aku : Banyakkan doa, solat sunat dan sebagainya. Ini bukan benda main-main. Bukan kau dah dia sahaja, tapi keluarga juga.
R : Tahu. Doakan aku ya?
Aku : Sentiasa.
R : Doakan aku kuat dan mampu kembali seperti sediakala.
Aku : Bahkan aku harap kau dan dia akan bersama selamanya.
R : Moga-moga.
Aku : Amin. Jaga diri.
R : Kau juga.

http://farm6.staticflickr.com/5032/5910405541_3a3ee02f74.jpg
[Sumber gambar]

Itu antara secebis kisah seorang kawan dalam usaha dia menjaga hati manusia di sekeliling dia. Walaupun aku tahu dia menanggung derita, dia tidak mahu orang lain terpalit dalam kisah duka dia. Sampai satu tahap, aku menunggu dia untuk buka cerita dengan sendiri. Bukan dengan paksaan supaya bercerita - biarlah dia sendiri dengan rela mahu bercakap mengenainya. Aku cuma berharap (dan berdoa) - agar dia mampu menghadapi segalanya dengan tabah, tidak kira bagaimana pengakhiran sebuah ceritera - sama ada ia indah ataupun duka kerana dengan satu pengakhiran (walaupun mungkin tidak sempurna) - dia akan mampu untuk mulakan segalanya semula walaupun payah. 

Dan itu apa yang kita semua buat kan? Mulakan semuanya semula bila kita terhenti di satu perjalanan, tersesat, kita akan kembali berfikir bagaimana mahu mengatasinya. Walaupun ia akan mengambil sedikit masa, membuang sedikit tenaga, tetapi tumpuan kita mahu mencari tempat yang sepatutnya, tidak menghalang kita untuk teruskan perjalanan walau dipenuhi dengan dugaan serta cabaran.

Buat semua pembaca.
Jaga diri, jaga hati (dan juga jaga iman).
Terima kasih sudi membaca.

Nota Kaki :
Hujung minggu yang langsung tidak ceria tapi Alhamdulillah, aku masih bernyawa.

Zara : Melepaskan seseorang yang kita sayang atau cintai sepenuh hati bukan bermakna kita seorang yang kalah. Kita mungkin sedang membina masa hadapan yang lebih baik dengan ketiadaan mereka. Jadi sekalian, kuatkan diri, kuatkan semangat ya? (Shafaza Zara, 8 Januari 2012)


Friday, December 23, 2011

Wajarkah Ke Majlis Perkahwinan Bekas Kekasih?



Semalam otak mereng.
Harus diakui bila rasa bersalah dengan orang, walaupun orang tersebut rasa benda itu remeh, otak aku memang tidak mampu mencerna dan menghadam apa yang aku lakukan. Paranoid? Mungkin. Ketakutan aku buat salah dengan manusia adalah disebabkan manusia ada pilihan untuk memaafkan ataupun tidak. Kalau buat salah dengan Maha Pencipta, pintu taubat itu sentiasa terbuka dan ya, Dia Maha Pengampun. Baiklah, berhenti berbicara soal itu. Benda dah diselesaikan dan aku memilih untuk denda diri aku sendiri. Memandangkan manusia yang aku mahu luahkan segala langsung tidak muncul, aku memilih untuk menulis sahaja. Biarlah. Tiada kepentingan lagi, mungkin.

[Bunyi cengkerik diselangi dengan hujan. Merepek]

http://farm7.staticflickr.com/6173/6176492711_0728b640ba.jpg
[Sumber gambar]

Jadi, wajarkah menghadiri jemputan majlis perkahwinan?
Hukum menghadiri walimatul urus adalah wajib sebenarnya, seperti yang pernah diperkatakan oleh ustazah aku dahulu. Sebab itu aku berusaha sedaya upaya untuk pergi kalau mendapat jemputan, kecuali atas sebab yang tidak dapat dielakkan, aku terpaksa menyatakan tidak pergi kepada mempelai. Kadangkala ada orang boleh terima, kadangkala kena maki juga, kalau jemputan itu dari rakan yang baik dengan aku - tapi majlisnya bertembung dengan urusan keluarga. Tapi tak mengapa, itu boleh dipujuk.

Tapi, jika mendapat jemputan daripada bekas kekasih, wajarkah kita menghadiri juga?
Soalan ini banyak ditanya oleh kawan-kawan aku dan juga pembaca blog. Baiklah, mari kita lihat jawapan yang sesuai untuk soalan ini. Soalannya, wajar atau tidak bukan? Jadi, ada dua jawapan, iaitu ya dan tidak.

01. Ya, wajar menghadiri.
Datang sahaja sebab dah kena jemput. 

02. Tidak wajar menghadiri.
Sebab hati sakit, perit, terhiris dan entah apa lagi.

A : Ni kena jemput ke majlis si S ni. Nak pergi ke tak?
Z : Pergi.
A : Kenapa?
Z : Sebab kalau dia berani jemput, kau kena berani pergi.
A : Nak buat apa?
Z : Pergi makan, jumpa pengantin, balik.
A : Tak, maksud aku, kenapa nak kena pergi? Buat apa?
Z : Sebab kita sendiri tak tahu kenapa dia jemput, jadi hadirkan diri untuk cari jawapan mungkin.
A : Tapi, aku masih teringat dia.
Z : Kalau masih teringat lagi wajar pergi.
A : Nak suruh aku mengamuk depan pelamin?
Z : Tak, pergi sahajalah. Buat muka tak tahu.
A : Muka aku punyalah menarik.
Z : Sebenarnya, kau patut pergi.
A : Supaya aku boleh tepuk tangan sekali dengan orang lain yang gembira?
Z : Meraikan pengantin apa salahnya.
A : Salah sebab dia bekas kekasih aku.
Z : Tapi tema dia ala Jepun weh (mata berkaca tengok kad kahwin)
A : Kenapa?
Z : Kalau kau takut pergi seorang, aku teman.
A : Kau cuma nak tengok hiasan majlis ke?
Z : Bergantung kepada keperluan.
A : Tengoklah dulu aku fikir.
Z : Kalau pergi ajak aku.
A : Kalau kau janji untuk pukul dia.
Z : =.="

http://farm7.staticflickr.com/6057/6236691938_ac03d1df12.jpg
[Sumber gambar]

Secara jujurnya, aku tertanya-tanya juga kenapa perlu menghantar kad perkahwinan (ataupun undangan melalui laman sosial) kepada bekas kekasih. Manusia itu, manusia yang pernah kau kongsi kasih sayang, yang kau pernah berkongsi keluh kesah, sakit pening selsema demam dan segala macam penyakit, orang yang sangat mengerti kau suatu ketika dahulu sehinggalah takdir menentukan kau dan dia tidak lagi bersama atas sebab tertentu. Tergamak sungguh menghantar kad perkahwinan jika perpisahan dahulu itu dalam keadaan tidak baik, penuh pertengkaran. Rasa macam perlu sangat ke hantar kad itu?

Ada seorang rakan aku yang menghadiri semua majlis perkahwinan yang diundang oleh bekas-bekas kekasih dia. Dia mengambil pendekatan, makan percuma, majlis meriah, kenapa nak bazirkan wang untuk makan tengah hari berbayar di luar? Jadi memandangkan dia punya kekasih baru dan bekas-bekas (ya, bukan seorang) kekasih dia kebanyakannya melangsungkan perkahwinan, dia bawa sekali kekasih abru dia untuk makan tengah hari yang sedap, menarik dan apa lagi mahu digambarkan tentang majlis perkahwinan. Pada dia, benda yang lepas, dia tidak mahu kenang. Dia berdiri depan pengantin dan ucap tahniah tanpa sekelumit rasa bersalah, bahkan penuh rasa bahagia perut dia kenyang dan dia jimat wang untuk makan tengah hari berdua. Er, apa nak dikatakan pada manusia begini ya? Profesional? Entah apa yang pengantin rasa agaknya. Heh.

Ya.
Ada orang yang tidak kisah. Ada orang yang SANGAT kisah. Kawan aku yang lain siap bakar kad jemputan yang dia terima memandangkan si penghantar itu adalah bekas kekasih pertama dan hubungan mereka bukan sekejap. Lagi sebulan sebelum majlis pernikahan, bekas kekasih (senang sebut bekas tunang) - memutuskan ikatan pertunangan, dan kahwin dengan orang lain dua minggu selepas itu. Er, sudah tentulah dia tidak akan menghadirkan diri kan? Kegilaan apakah kerana sepatutnya dia yang melangsungkan perkahwinan dan barang yang telah siap dibeli, boleh pula bekas tunangnya berikan pada pasangan baru. Betapa membeli barang bersama, dan barang itu jatuh pada orang lain? Seksa.

Ia bergantung kepada seseorang sebenarnya.
Hati kita ada had dalam menahan segala perasaan yang hinggap. Ada yang boleh jadi kebal tanpa sebarang rasa, ada yang mudah tersentuh dan terus luka bernanah segala. Jadi, kalau kau tanya aku, jawapan aku mudah sahaja. Kau tanya balik hati kau. Mampu ke kau pergi lihat bekas kekasih kau bahagia? Kalau kau mampu, silakan. Wajib menghadiri majlis perkahwinan yang ada jemputan. Tapi kalau kau rasa hati kau tak mampu nak tanggung beban kesakitan itu, lebih baik tak payah pergi. Buatnya datang gila kau bunuh orang di majlis kahwin, ada pula yang jadi duda/balu sebelum sempat pergi berbulan madu.

http://farm7.staticflickr.com/6049/6216500000_6a4d889539.jpg
[Sumber gambar]

Tapi, ada seseorang yang buatkan aku boleh tabik dia. Dia menghadiri majlis perkahwinan bekas suaminya (ya, kahwin muda dan berpisah pada usia muda juga) - dengan tabah seperti tidak pernah berlaku apa-apa antara dia dan lelaki yang sedang bersanding di hadapannya. Bertegur sapa dengan keluarga bekas mertua dengan senang hati bagaikan dia cuma jiran sebelah rumah yang berkongsi dinding tepi. Berbual mesra tanpa riak sedih sekalipun. Bila ditanya, jawapan dia ringkas sahaja - "Lelaki itu jumpa perempuan lebih baik daripada aku. Jadi, aku perlu lepaskan dia pergi"

Jadi, kalau kamu bagaimana?
Adakah mahu menghadiri perkahwinan bekas kekasih, bekas tunang, bekas pasangan ataupun bekas kawan sekalipun?

Kalau aku, aku pergi.
Heh.

Nota Kaki :
Kerja sibuk akan bermula semula. Ya, macamlah cuti sekolah ini kau cuti Zara. Gila, tahun 2011 aku tidak jumpa istilah cuti dan rehat.

Zara : Ada orang main baling batu sembunyi tangan serupa celaka. Ada juga manusia begini rupanya, menggunakan pengenalan orang lain untuk meninggalkan pesanan, tapi merepek tidak tentu hala.

Sunday, October 23, 2011

[Gambar] : Celaru - Dalam Pembinaan.




Terlampau banyak yang berlaku dalam dua tiga hari.
Tidak.
Sebenarnya terlampau banyak benda berlaku dalam masa sehari.
Tidak.
Kenyataannya, dalam beberapa jam sahaja banyak yang terjadi.
Itu fakta.

http://farm7.static.flickr.com/6113/6270274312_bb6a482b3e.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr] : Gambar tiada kena mengena dengan penulisan.

"Setitis airmata menyatukan aku dengan mereka yang patah hati. Seulas senyum menjadi sebuah tanda kebahagiaan ku dalam keberadaan. Aku merasa lebih baik jika aku mati dalam hasrat dan kerinduan dari jika aku hidup menjemukan dan putus asa."
(Kahlil Gibran)

Sesuatu yang aku sangat pasti sejak kebelakangan ini adalah terlampau banyak benda yang mahu dipersembahkan demi memenuhi keperluan manusia lain di sisi. Aneh sebenarnya jika difikirkan, kerana itu kebiasaannya menjadi perkara terakhir yang aku mahu lakukan memandangkan setiap kehendak manusia adalah berbeza.

Dan yang lebih anehnya, benda yang tidak ada kena mengena dengan aku dikaitkan dan disampaikan dengan tujuan yang aku sendiri tidak mengerti. Aku manusia yang memilih untuk kekal diam dan hidup dalam dunia aku sendiri asalkan segala kebahagiaan aku tidak kau renggut dengan kata nista ataupun perbuatan durjana. Aku masih lagi kuat untuk menyeka air mata kalau itu pertahanan terakhir yang ampuh.


http://farm7.static.flickr.com/6237/6270611225_14e534a93f.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]

Tatkala memejamkan mata, yang aku lihat hanya karya seorang hamba yang merajai sebuah takhta di sebalik desiran pasir pantai pukulan ombak manja. Mungkinkah epilog bahagia bakal menerjah sebuah pawana usang milik bersama, itu tautan jiwa yang tahu dan rasa. Senyuman terukir bukan satu enigma.

Senyum.
Ukir wajah.
Letak warna.
Ceria.

Muram.
Bibir melengkung.
Wajah suram.
Duka.

Bicara.
Manis, ayuh jamah semua.
Pahit, telan seorang, cicip bersama.
Masin, tuang laju bagi tawar.
Masam, tahan sama, mungkin nanti tukar rasa.

Ketawa.
Biar besar-besar, kuat-kuat.
Tangis.
Biar perlahan-lahan, teresak-esak.
Senyum.
Biar lebar-lebar, pastikan ikhlas.
Mendung, pinggir ke tepi.
Harapan palsu sebab diri masih rindu matahari.
Pasti.


Menelaah setiap runut buat jiwa kacau. Membaca setiap bait buat diri keliru. Hadam dalam rongga, pasak tiang neraca, kulum segala derita. Kalau ini puncak bahagia, pasti akan didaki dan terus didakap penuh luka. Tangan paut erat sendirian, walaupun dilempar kata celaka. Diam pembunuh jiwa!

http://farm7.static.flickr.com/6110/6271913442_6299855e88.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]
Selamat datang kebahagiaan.
Selamat datang kegembiraan.
Selamat datang kasih sayang.
Selamat datang generasi akan datang.


Di sebalik kegembiraan orang lain bersama dengan manusia yang mereka cintai sepenuh hati dan jiwa serta meneruskan legasi perhubungan, ternyata bukan mudah untuk mengekang nafas manusia yang masih tegar membunuh dengan kata-kata tajam yang tiada makna. Hati kena kental. Jiwa kena tabah. Tapi itulah, sekuat mana pun hati manusia, calar dan kesan yang ditinggalkan itu masih lagi membunuh sebenarnya.

I : Tengok tu, umur 19 dah kahwin.
II : Ni yang umur 20 lebih pun tak ada nak kahwin lagi.

I : Entah menunggu siapa agaknya.
II : Kalau ada yang ditunggulah.

I : Kalau tak ada, boleh masuk kumpulan lanjut usia.
II : Orang umur 20 lebih dah mula kelek anak.

I : Sibuk kerja sangat, lupa nak fikir masa depan nak berumahtangga la.
II : Banyak duit kalau tak ada keluarga nak buat apa?


Percayalah.
Kalau boleh membunuh tanpa dapat dikesan dan ditangkap, mungkin lauk ayam goreng sudah bermandi darah manusia. Itu sahaja.

Nota Kaki :
Diam bukan tanda aku terima segala yang kau lungsurkan pada jiwa seorang hamba.

Zara : Letakkan semua benda yang menyebabkan kita sedih ke tepi dan ingat segala yang menggembirakan. Lupakan segala masalah dan hargai segala nikmat yang ada.

Tuesday, July 12, 2011

Dugaan : Majlis Hujung Minggu Ini Kawan


Dalam hidup ini, manusia sentiasa diduga.
Ya, dugaan serta cabaran yang pelbagai menjadikan kita lebih manusia setiap hari. Kadangkala dengan segala bentuk ujian itu juga, boleh menyerlahkan sisi kebinatangan yang disimpan sejak sekian lama. Dan manusia sebenarnya adalah makhluk yang sangat tidak boleh diduga - dari satu sisi dia akan ketawa, tapi dari satu sisi lain dia mungkin akan gila. 

Aneh?
Tidak juga.
Itu yang dinamakan manusia dan kita-kita semua masih lagi manusia yang acapkali menjadi sasaran para iblis dan syaitan menaburkan benih kemarahan dan pelbagai lagi anasir gila tatkala diberikan ujian. 

http://farm4.static.flickr.com/3664/3672419884_b763f01d5d.jpg
[Sumber gambar]

Tetapi, sebagai manusia, apa yang perlu kita lakukan?
Tatkala datang pelbagai musibah - satu demi satu, selain daripada kembali kepada Yang Maha Pencipta seperti biasa dan meminta yang baik-baik sahaja dalam menyelesaikan segala masalah, kita harus juga akaur kepada fitrah kita sebagai manusia dan janji Yang Maha Esa - kita yang perlu berusaha untuk mengubah nasib kita, bukan orang lain.

Dan, aku dikejutkan dengan panggilan seawal jam dua pagi - hanya untuk mendengar raungan dan tangisan seorang teman yang aku boleh sifatkan sebagai manusia baik yang diberikan ujian tatkala dia sudah tertimpa dengan ujian yang berat sebelum ini. Belum sembuh penderitaan, sudah disakiti hingga terpuruk sendirian.

N : Maaf ganggu kau tidur.
Aku : Kenapa menangis ni? Beritahu aku.
N : Hidup aku malang.
Aku : Kenapa cakap begini? Bakal pengantin mana boleh murung. 
N : Dah tiada lagi istilah bakal pengantin.
Aku : Kenapa?
N : L dah putuskan pertunangan kami.
Aku : Biar betul kau? Jangan main-main.
N : (menangis lebih kuat) Betul. Aku dah tak tahu macam mana ni.
Aku : Keluarga macam mana?
N : Ayah aku memang marah sangat tentunya. Sudahlah dia setuju nak teruskan majlis walaupun ibu aku meninggal bulan lepas, tiba-tiba jadi begini. Lagi berapa hari, macam mana nak tarik jemputan segala?
Aku : Dah duduk berbincang?
N : Dah. Keluarga dia siap dah datang rumah lagi.
Aku : Apa celakanya perangai ni?
N : Aku tak tahu. Bila tanya alasannya, dia kata dia tak nampak masa depan dengan aku.
Aku : Apa?!
N : Dia kata aku tak kuat masa ibu aku meninggal - aku menangis, pengsan sebab terkejut, dia kata dia tak sangka aku boleh jadi selemah itu.
Aku : Tapi ibu, keluarga adalah manusia paling dekat dengan kita dalam hidup. Kalau Puan Mulia sakit pu aku risau, sedih, susah hati - apatah lagi kau yang kehilangan ibu kau. Apa hak dia nak cakap kau lemah bagai sedemikian rupa?
N : (kembali menangis) Tak tahu. Dia kata dia tak nampak aku akan jadi seorang isteri dan ibu yang tabah, kalau kena ujian begitu pun tak tertanggung dah.
Aku : Apa celakanya ayat dia ni.
N : Apa nak buat ni Zara? Majlis Sabtu ni Zara.
Aku : Batalkan. Hantar pengumuman atau apa sahaja pada semua jemputan.
N : Kalau kawan-kawan bolehlah aku beritahu, tapi kad jemputan yang keluarga aku edar, macam mana?
Aku : Kalau susah sangat, tukar sahaja majlis tu jadi kenduri tahlil untuk ibu kau. Lagipun Sabtu ni Nisfu Sya'aban. Buat sahaja kenduri, beri orang makan.
N : Orang kan biasanya puasa hari tu.
Aku : Dari segalanya tak teratur, sekurang-kurangnya ada rancangan kalau masih ada lagi orang datang.
N : Pelamin semua hari Khamis baru orang ni nak cabut.
Aku : Dah, dah, jangan fikirkan dahulu buat masa ni. Kau kerja ke tak?
N : Macam mana nak kerja? Nak letak muka di mana?
Aku : Kau ambil masa kau sendiri, jangan putus asa. Jodoh itu rahsia Allah kan? Kau beritahu aku dulu.
N : Ya, rahsia. Dan siapa sangka, rahsia itu terbongkar sebelum mula segalanya.
Aku : Sekurang-kurangnya sebelum kau jadi isteri dia.
N : Aku tetap sedih.
Aku : Faham. Bukan sekejap kau kenal dia.
N : Aku masih tak faham kenapa dia buat aku begini.
Aku : Berhenti dari cari jawapan sebab kadangkala, lebih baik kita tidak tahu dari tahu hingga menyakitkan hati sendiri.
N : Terima kasih. Pergi tidur semula la.
Aku : Kau pun sama, pergi tidur.
N : Kalau boleh.
Aku : Boleh.

http://farm3.static.flickr.com/2497/3707359938_61103b570c.jpg
[Sumber gambar]

Kadangkala manusia boleh jadi terlampau kejam.
Sudahlah pembunuhan, segala jenayah berlaku di merata tempat dalam dunia, menyakitkan hati manusia masih termasuk dalam salah satu senarai yang panjang berjela. Segalanya sudah ditempah, segala bahan sudah tersedia dan beratur dalam rumah, tetapi bila perkara begini muncul dan goncang segalanya?

Ya.
Kita semua hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.
Itu pasti tetapi dalam hidup ini, ada benda lain yang kita kena lihat lebih luas dari sekadar pandangan mata.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Kesibukan sedang mencengkam diri. Apa sahaja berlaku, kita masih perlu kenal diri.

Zara : Walau betapa kejamnya dunia, kita masih ada hak untuk rasa gembira. Benar bukan?

Thursday, May 26, 2011

Mak Pengantin Tak Suruh Ulas Kerjaya Anak Dia.


Kadangkala disebalik mahu bergembira, suasana meriah tidak terkira mesti ada penyebab mahu buat keadaan jadi agak gundah gulana. Senjata mahu dikeluarkan tetapi apakan daya, keris yang mak andam beri pinjam ini hanya sewa. Kalau buat menikam orang, mesti keris itu akan dijadikan simpanan bahan bukti pihak berkuasa selagi kes belum habis bicara. Belum campur lagi keris itu bakal diconteng dan diletakkan nombor siri. Baju yang dipakai kalau kena percikan darah pun boleh jadi bahan bukti. Sekali lagi, baju pun disewa.
Celaka.

Gambar : Aku malangnya tak dapat cari gambar pengantin yang sesuai. Ini bolehlah. Kau semua tengok gambar ini tahu ini menggambarkan majlis kahwin kan?

Suasana di luar masih gegak gempita dengan bunyi lagu berputar - ikut suka hati pengulas atau apa yang kita panggil sebagai 'deejay'. Sejak dahulu lagi, kalau pergi rumah orang kahwin mesti ada manusia yang kita panggil singkatan dia DJ. Ala-ala radio cuma kau boleh tengok dia berceloteh sama ada bagus macam Fara Fauzana, Faizal Ismail atau teruk macam entah siapa-siapa yang jangka hayat sebagai penyampai radio itu berakhir.

Tapi itu bukan ceritanya.
Aku nak cerita tentang satu majlis perkahwinan yang aku hadiri. Pengantin lelaki adalah kawan aku, manakala pengantin perempuan adalah kenalan pengantin lelaki (Choi! Memanglah. Kalau tak celah mana nak kahwin?). Datang bersama kawan-kawan lain dan memanglah, kalau majlis perkahwinan sekarang ini memang bagus sebab selain nasi yang aku sudah tidak sentuh lagi, ada sahaja makanan sampingan. Kebetulan, masa kami sampai, pengantin lelaki sedang bersiap mahu berarak bersama rombongan pengantin perempuan. Lepas dapat isyarat dari pengantin lelaki dan keramahan ibunya yang suruh kami menikmati hidangan, ya, kami duduklah makan. Sedang menikmati makanan, DJ pun mengumumkan ketibaan pengantin dan adanya persembahan silat.

DJ : Itu dia pengantin sedang berarak masuk bersama dengan rombongan dari negeri X.
Kami : Bagus betul, macam ada perasmian majlis.
DJ : Pengantin dipersilakan duduk sebentar, ada orang nak bersilat.
Kami : Ni kalau program ni, ada buku program kena bagi perasmi.
DJ : Pengantin tengok sahaja tau, jangan bersilat pula laki bini.
Kami : Si K tu ada taekwando lagi. (senyum masing-masing)

Yang membuatkan kami mahu tercekik dan baling pinggan kepada DJ itu adalah ayat-ayat dia yang seterusnya apabila pengantin mahu bersanding. 

DJ : Untung si K dapat isteri cantik. Cikgu biasa dapat kahwin dengan doktor cantik.
Kami : (mula-mula biasa lagi)
DJ : Isteri kerja doktor, suami cikgu biasa, untung tuan rumah. Berseri-seri.
Kami : (mula pandang-pandang)
DJ : Kalau sakit pergi hospital, untung tak payah beratur ada menantu doktor.
Kami : Motif?
DJ : Bla..bla..bla...doktor...bla..bla..bla...cikgu...bla..bla..bla...doktor....bla...bla...cikgu.

Sepanjang kami makan, sampailah nak menghampiri pengantin di pelamin sebab nak beritahu mahu pulang, DJ itu asyik sebut benda lebih kurang sama. Kerjaya pasangan pengantin dan betapa untungnya sebab dapat kahwin dengan doktor. Macam satu benda yang ajaib sampai mahu disebut berulangkali. Perlu diingatkan bahawa, ini bukanlah kali pertama kawan-kawan aku melangsungkan perkahwinan dengan bukan guru, ada sahaja yang kahwin dengan jurutera dan sebagainya, cuma DJ kali ini amatlah pelik dan agak, boleh makan kaki kalau tak kena gaya.

Kami : Baliklah dulu K.
K : Cepat nak balik?
Kami : Apa kau nak suruh kami basuh pinggan mangkuk?
K : (ketawa) Anak-anak dara kena rajin.
Kami : Mentang-mentang dah kahwin. Tahniah.
K : Nanti kalau lalu depan DJ tu tolong bagi ayat pedas sedikit.
Kami : Tahu kau mesti panas atas pelamin ni.
K : Jangan sampai aku tikam dia dengan keris ni karang.
Kami : Jangan. Nanti masuk televisyen.
K : Aku kalau tak ingat semua benda ni sewa, dari baju sampai ke keris, memang aku tikam juga DJ tu karang. Baik kamu bisik-bisik sedikit, sebelum aku makan berdamai ni.
Kami : Siapa nak cakap?
K : Penulis blog nakal belakang tu.
Kawan-kawan lain : Betul. Betul.
Aku : Jadahnya aku?
K : Aku bagi kau tulis dalam blog. Eksklusif.
Aku : (tarik muka)
K : Pergilah. Kira hadiah kahwin aku juga ni. Cincai. Takkan nak suruh Mak aku pula.
Kami : Baik.

http://farm1.static.flickr.com/181/420518310_396ddacd67.jpg
Gambar : Kalau aku kahwin suatu hari nanti, aku nak suruh orang main benda ini (tapi versi lagi maju tentunya). Lepas tu ada harapan kena lempar dengan Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.

Kawan-kawan : Pergilah cakap.
Aku : Takut.
Kawan-kawan : Kau tengok K di belakang tu. Nanti kita semua kena bahan dengan dia.
Aku : Baiklah. Kau semua tegur dulu abang tu.
Kawan-kawan : Bang DJ, oh bang DJ.
DJ : Apa dia adik-adik?
Kawan-kawan : Ni kawan kami ada nak buat permintaan lagu (tolak aku ke depan)
DJ : Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, ada gadis yang nak buat permintaan lagu untuk pengantin. Lagu apa adik?
Aku : Bukan-bukan. Saya cuma nak sampaikan pesanan pengantin.
DJ : Apa dia?
Aku : Dia suruh abang putarkan lagu sahaja lepas ni.
DJ : Kenapa?
Aku : Dia kata dia tak nak majlis perkahwinan dia ada pertumpahan darah.
DJ : (ketawa) Sebab isteri dia orang kerja hospital ke?
Aku : (dalam hati - Bingai ke apa ni?) Tak. Dia suruh putar lagu sahaja. Tak payah ulas apa-apa lagi.
DJ : Takpe. Cakap dengan dia lepas ni abang putarkan lagu ala-ala hospital.
Aku : Er, er...
DJ : (tekan apa entah - keluar siren ambulans)
Aku : Saya cuma nak nasihatkan abang satu je.
DJ : Apa dia?
Aku : Pakai jaket keselamatan kalau tak nak terbunuh. Terima kasih bang.

Kami terus berlalu pergi dan menuju ke arah mak pengantin. Macam biasa adat, kalau dah nak balik jumpa tuan rumah. Lepas itu salam keruk (istilah ini orang Johor guna sebagai lepas salam tuan rumah, dalam tangan letakkan sampul duit. Nilai bergantung kepada keikhlasan masing-masing).

Kami : Terima kasih makcik. Balik dulu.
Mak K : Kawan-kawan K ke?
Kami : Ya makcik.
Mak K : (sibuk hulurkan bungkusan) Ni ambil seorang satu.
Kami : Terima kasih makcik.
Mak K : Bengang betul dengan DJ ni. Orang suruh buat gembirakan majlis, dia buat makcik panas hati ni.
Kami : Sabar makcik.
Mak K : Apa salah ke K kahwin doktor?
Kami : Tak salah makcik.
Mak K : Menyesal betul ada panggil DJ ni. Tak suruh pun sebut-sebut apa kerja pengantin ke apa. Ni macam merendah-rendahkan kerja si K ni.
Kami : Er, balik dulu ya makcik?
Mak K : Hati-hati jalan.

Aku sejujurnya mengerti perasaan Mak K. Dah berapa kali aku menghadiri majlis perkahwinan, aku rasa ini antara sebab kenapa kalau aku ada rezeki kahwin nanti, aku tak nak ada DJ. Bukan apa, kalau DJ yang betul dan buat kerja dengan elok baguslah, kalau yang macam K dapat ini, memang boleh jadi neraka majlis itu nanti. Tapi, aku akui, tak semua DJ begitu. Ada yang bagus dan berhemah. Kalau ada laungan azan, dia akan tutup sebentar lagu yang sedang diputar dan sebagainya. Bukan main belasah, langgar segala benda.

Benda begini kadangkala orang kurang peka. Ada yang tak suka disebut tentang kerjaya, gaji dan sebagainya tetapi orang belasah, mahu sebut semua tanpa mengira sensitiviti sesetengah pihak. Tuan rumah sebagai contohnya, adalah yang paling sebal aku rasa. Benda yang kononnya menghiburkan tetamu buat diri jadi meluat dan nak senyum pada orang yang datang pun kena tegangkan muka dan tepuk manja pipi berkali-kali. Susahlah kalau begitu kan?

Bila fikir semula, ada beberapa sebab aku kurang gemari benda ini sejujurnya. Untuk perhatian, aku tak memandang rendah kerjaya sebagai DJ dan aku sendiri mengakui tak semua orang sama dari segi penyampaian dan gaya. Beberapa sebab aku kurang senang ada DJ di majlis perkahwinan :
1. Kadangkala muzik terlampau kuat. Tetamu nak berbual pun payah.
2. Apa yang diucapkan tak sensitif dengan suasana.
3. Khayal dengan dunia sendiri macam ada konti.
4. Tak hormat tuan rumah, pengantin dan tetamu. Agak-agak kalau nak bergurau kan?
5. Kau semua mesti tak nak tengok gambar seperti di bawah ini kan?

Gambar : Ada sesiapa nak tengok pengantin perempuan begini di majlis perkahwinan? Mungkinkah ini angkara DJ?

Apa-apa pun, aku tahu masih ada pengacara majlis, 'deejay' yang masih membuat tugasan yang hebat dan menggembirakan. Selalu juga jumpa mereka yang begini. Kita boleh makan sambil berhibur dan halwa telinga juga bahagia dengan lagu pilihan mereka.

Itu sahaja.
Dah.

Nota Kaki :
1. Akan mengambil tempat sebagai ketua keluarga selama dua minggu.
2. Dihujani dengan tugasan yang membuatkan diri tak boleh alpa dan mesti sentiasa peka.
3. Menemui cara baru untuk mengawal sekumpulan manusia yang tidak mendengar kata - jangan buat silap dengan mahu injak kepala.

Zara : Evolusi seorang survivalis sedang menunjukkan tanda-tanda kekuatan perlu dipecahkan dengan apa jua cara. Tindak balas luar menikam dengan kuat sehingga tidak dapat duduk diam tanpa sebarang kata. Angkat senjata!

Monday, January 24, 2011

Hadiah Perkahwinan : Apa Yang Sesuai Agaknya?


Salam.
Sudah lama rasanya tidak menulis. Badan yang keletihan serta kesibukan yang melanda membuatkan aku lebih banyak mengasingkan diri, menonton drama sebagai satu cara melelapkan mata dengan cepat (masalahnya, menonton drama Korea yang punya lelaki jambu dan kacak, boleh tidur ke Zara? Ketawa). Ah, berbual dengan kesayangan aku sedikit sebanyak membantu aku mengumpul tenaga, walaupun aku sering disuruh tidur akibat melihat mata yang sudah bertukar menjadi panda (sambil jeling-jeling orang sana - guna kamera sesawang sahaja)

[Gambar : Sepatutnya kena cari gambar Canon EOS 40D]

Bermula dengan setiap hujung minggu bulan satu dua kosong satu satu ini aku dihujani dengan lambakan jemputan ke majlis perkahwinan kawan-kawan, sahabat handai serta kenalan sama ada di dunia realiti ataupun dunia maya, aku terpaksa berkejar untuk menghadiri sesetengah acara. Acapkali banyak yang terpaksa dilepaskan memandangkan jarak yang jauh ataupun ada urusan lain yang lebih utama. Panggilan telefon penuh kegeraman pagi tadi membuatkan aku ketawa, walaupun sepatutnya bukan begitu reaksi aku rasanya.

Kawan : Kenapa kau tak datang majlis aku semalam?
Aku : Sekolah ganti semalam.
Kawan : Lepas sekolah kau tak boleh datang juga?
Aku : Pagi merentas desa, tengah hari ada mesyuarat. Habis sekolah, teman Mak pergi kedai. Aku sampai rumah jam tiga petang.
Kawan : Baru pukul tiga kan? Kenapa tak pergi je?
Aku : Gila kau. Nak ke rumah kau mungkin ambil masa lebih satu jam tahu?
Kawan : Sampai hati kau tak datang.
Aku : Kan aku dah kata aku sekolah kan? Aku bagitahu awal-awal hari tu.
Kawan : Aku kahwin sekali sahaja tahu?
Aku : Mana tahu ada lain kali (Ketawa). Kau dapat hadiah yang aku kirim?
Kawan : Hadiah dengan tuan punya diri lain.
Aku : Penting sangat ke aku?
Kawan : Tak.
Aku : Kalau macam tu, baik kau sediakan sarapan untuk suami kau dari kau membebel marah pada aku.
Kawan : Geram pada kau ni.
Aku : Kenapa? Hadiah aku tak mahal?
Kawan : Sejak bila dalam set cawan, ada botol susu bayi sekali?
Aku : (ketawa) Dua dalam satu, set istimewa.

http://farm3.static.flickr.com/2166/1844936254_7122bf0965.jpg
[Gambar : Ni kahwin kembar ke apa? Muka sumpah serupa. Ketawa.]

Baiklah.
Mari kita sama-sama fikirkan, apa benda yang sesuai untuk pengantin baru agaknya ya?
Sengih.

Barang keperluan rumah.
Dari set cawan, gelas, teko sehingga kepada barangan elektrik, ini yang selalu diberi kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Teringat dulu pernah berkongsi duit dengan rakan beli pembakar roti, mesin membuat kopi, kipas angin, radio dan banyak lagi jika perlu menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakan. Jika yang kenal lebih rapat, tidaklah sampai berkongsi wang, kecuali zaman pengajian dahulu. Tahun akhir ramai yang buat pesta kahwin secara berjemaah sewaktu cuti semester. 

[Gambar : Mesti seronok jika dapat benda sebegini kan?]

Awak : Sayang, minuman petang dah siap?
Dia : Dah sayang. Nanti kita minum di luar ya?
Awak : Baik. Saya tunggu.
Dia : Sekejap lagi saya datang bawakan.
Awak : Jangan lupa kek sekali.
Dia : Ya.

(...sambil minum petang di halaman rumah, berdua, menikmati langit yang cerah dan berbual bersama. Minum teh dan makan kek, habiskan masa berharga....)

Ehem.
Cukuplah berangan begitu.
Terima kasih.

[Gambar : Aku kalau ini mesti seronok. Mangkuk, mug dan piring. Ada sesiapa nak beri?]

Sudah.
Bukan dapat kebenaran untuk berkahwin pun, jadi kalau nak sangat benda ini, cari untuk ulang tahun kelahiran kau sahaja Zara. Jangan nak mengada. 
Baik.
Senyum kelat.

Buku.
Ada tak orang kahwin, kita belikan buku sebagai hadiah perkahwinan?
Aku nak buat tapi masalahnya, susah juga mahu tentukan buku apa yang sesuai. Kalau ditanya pada aku, ya, aku memang sukakan buku sebagai hadiah. Aku terima buku sebagai hadiah ulang tahun,hari kecemerlangan sekolah, konvokesyen dan kadangkala sengaja suka-suka dari teman. Apakah aku akan dapat buku juga sempena majlis pernikahan?
Senyum.

[Gambar : Menariknya kalau dapat buku - boleh mengabulkan impian membuka perpustakaan peribadi sendiri satu hari nanti]

Gajet.
Ada orang yang cukup bertuah dapat hadiah begini daripada rakan sempena majlis perkahwinan mereka. Yang di dalam dulang hantaran itu daripada pasangan ya? Sila jangan silap pula. Oh, nak! Nak! (sambil lompat-lompat sampai tercabut manik pada baju pengantin).

http://farm1.static.flickr.com/56/422310048_7380222149.jpg
[Gambar : Betul, jangan susah-susah nak bawa set cawan yang boleh jatuh pecah berderai. Bawa benda begini dalam bungkusan kecil sudah. Ketawa]

Kalau hadiah sebegini, sila beri di tangan.
Takut masa sibuk-sibuk, ada orang panjang tangan.
Sekian.

Bingkai gambar atau barang perhiasan.
Benda sebegini pun orang selalu beri. Cuma masalahnya, adakah orang yang menerimanya mempunyai selera yang sama dengan kita?

[Gambar : Rasa gambar ini comel]

Awak : Kawan awak beri gambar apa ini?
Dia : Gambar comel dia kata.
Awak : Buruk betul ni, buang dalam tong sampah.
Dia : Orang beri takkan nak buang? Kita beri pada sesiapa masa hari kahwin mereka pula.
Awak : Boleh. Simpan dalam stor.
Dia : Baik.

Tiba-tiba rasa sadis.
Cuba kau beri orang lain, orang lain buat benda yang sama?
Mesti orang kata gambar atau benda itu sudah kena sumpahan.
Gila.

Tanya apa pengantin mahukan.
Ini selalunya apa yang aku buat. Aku akan tanya pada bakal pengantin apa yang mereka mahukan sebagai hadiah. Kadangkala ada yang berterus terang apa yang mereka mahukan. Sesetengahnya akan jawab terpulang. Nanti aku beri dulang, baru kamu tahu.

http://www.pricerighthome.com/images/manchester_united_double.jpg
[Gambar : Biarlah aku berterus terang. Aku nak ini sebagai hadiah perkahwinan, boleh? Ketawa]

Itu sahaja mungkin.
Ada perkara yang mahu dilunaskan.
Kalau kamu semua rasa ada benda lain yang boleh diberikan, sila beritahu aku ya?
Terlampau banyak jemputan perkahwinan yang aku terpaksa catatkan ini.
Kalau terlepas, susah pula nanti.
Senyum.

Nota Kaki :
Sedang sibuk menonton "Teman Wanitaku Seorang Musang Ekor Sembilan (read : My Girlfriend is a Gumiho). Musang ekor sembilan sungguhlah mengingatkan aku kepada Naruto. Eh? Tetapi watak lelaki pembantu adalah kacak melebihi watak utama. Aigoo!

http://25.media.tumblr.com/tumblr_l8gwvnAmEw1qd81i6o1_500.jpg
[Gambar : Gila sempurna muka. Kalah pelakon perempuan pula. No Minwoo]

Zara : Si dia kata aku seperti kanak-kanak yang mahukan gula-gula yang merajuk apabila keinginan tidak dipenuhi. Balik rumah, muka muncung, mogok lapar dan buat kerja gila apabila apa yang aku hajatkan tidak dapat dipenuhi walaupun aku berusaha sedaya upaya. Ah, kamu baca aku walaupun duduk jauh beribu batu!

Tuesday, December 28, 2010

Kenapa Bila Nampak Dia Kahwin, Aku Rasa Kesal Sangat?


Salam semua.
Hari ini lebih baik dari semalam.
Alhamdulillah.
Si dia membebel bila dapat tahu aku mengambil ubat secara berlebihan akibat tidak dapat menanggung kesakitan secara menggila. Kelemahan aku bila menghadapi tekanan dalam bentuk kesihatan sehingga tidak berdaya akan aku atasi dengan sukatan berlebihan. Tidak baik, itu aku mengerti, cuma entah, aku sudah terbiasa dengan pengambilan bahan sedemikian.
Senyum.

Pesanan ringkas yang aku terima dari seorang kawan tadi, membuatkan aku teringat akan panggilan telefon lewat petang Ahad. Panggilan yang membuatkan aku mengerti, manusia selalunya begini. Bila kehilangan, baru kita akan mencari semula apa yang ditinggalkan.

[Gambar : Manusia akan selalu menghargai bila dah kehilangan ke?]

Kawan : Aku pergi majlis kahwin Ana.
Aku : Kau pergi?
Kawan : Dia jemput.
Aku : Oh, baik. Kuat betul kau pergi kan?
Kawan : Aku rasa aku mampu tengok, tapi tak rupanya.
Aku : Habis tu?
Kawan : Nampak dia bersanding, hati aku sebak.
Aku : Nak sebak kenapa?
Kawan : Dulu aku abaikan dia, aku tinggalkan dia sebab kejar perempuan lain.
Aku : Benda lama.
Kawan : Tahu, tapi Ana satu-satunya perempuan yang terima aku, cintakan aku sebagaimana diri aku.
Aku : Habis perempuan lain?
Kawan : Perempuan lain kenal aku bila aku dah berjaya, tak nampak aku dari susah.
Aku : Kau yang buat keputusan ni, kau tanggung sendiri.
Kawan : Pernah aku pujuk Ana, tapi hati dia dah tiada lagi pada aku.
Aku : Berapa kali kau lukakan hati dia? Banyak sangat kan?
Kawan : Ya. Aku rasa berdosa sangat.
Aku : Sudahlah. Ana dah jumpa jalan bahagia dia.
Kawan : Tiada peluang langsung buat aku kan?
Aku : Mulakan hidup baru, macam Ana buat bila kau tinggalkan dia dulu.
Kawan : Dia pernah sakit sebab aku, dia pernah masuk hospital sebab aku.
Aku : Sudahlah, jangan fikir lagi. Tumpukan apa yang kau ada sekarang.
Kawan : Aku tahu. Cuma aku perlu luahkan pada seseorang. Teringatkan kau, tu yang aku telefon.
Aku : Tiada masalah.
Kawan : Kau dah jumpa jalan bahagia kau juga kau?
Aku : Sedang melaluinya, alhamdulillah. Doakan aku jumpa penghujung yang menggembirakan.
Kawan : Pasti.

http://farm5.static.flickr.com/4085/5197699839_9991c283fb.jpg
[Gambar : Kau akan kenal kebahagiaan diri sendiri suatu hari nanti]

Sakit.
Melalui sesuatu seperti itu, aku memahami kesakitan yang pernah Ana hadapi, ataupun apa yang kawan aku alami saat ini. Bukan mudah tetapi manusia seringkali begitu. Kebahagiaan, kegembiraan di hadapan mata ditinggalkan tanpa menyedari itu yang sebenarnya yang mungkin diperlukan. Terbaca sesuatu tengah hari tadi yang membuatkan aku ingin berkongsi.

"Kita semua pelik. Manusia tidak jatuh cinta dengan apa yang ada di hadapan mereka. Mereka mahukan sesuatu yang mereka tidak akan dapat miliki. Semakin sukar dicapai, semakin menarik"
[baca : We're all weird. People don't fall in love whats in front of them. They want what they cant have. The more unattainable, the more attractive.]

 
[Gambar : Kita biasanya mengejar sesuatu yang sukar dimiliki. Betulkan?]

Lebih banyak cabaran, lebih menarik.
Begitu ya?
Senyum sinis.

Aku doakan yang terbaik buat semua rakan-rakan.
Tidak kira siapa kamu.
Kamu tetap manusia yang hadir dalam hidup aku.
Walaupun secebis waktu.
Senyum satu.
Dari manusia beku.

Nota Kaki :
1. Esok ke sekolah - pendaftaran pelajar.
2. Seronok baca buku cara penggunaan mesin memerah susu milik kawan. Dia suruh aku teka harga mesin itu, ingatkan dalam beberapa ratus sahaja, rupanya harga mesin tersebut adalah RM 1700. Peh!
3. Tahniah pada Nakama kerana punya anak saudara baru. Nak satu!
4. Tahniah kepada Busuk kerana sudah mencapai dua benda yang dia inginkan dalam masa singkat ini. Doakan yang terbaik buat kamu sahabat.

Zara : Melalui fasa kehidupan sekarang ini membuatkan aku teringat apa yang dikatakan oleh Busuk. Tengok dua tahun lepas, dan tengok mana kita sekarang. Tengok banyak mana kita berubah dan tengok macam mana kehidupan kita. Ya betul Busuk. Terima kasih kerana sama-sama melalui kehidupan yang penuh warna ini sahabat.

Monday, December 13, 2010

Persediaan Untuk Tukar Status Diri Dan Sarung Cincin Di Jari : Oh, Mungkin Belum Lagi


Selamat datang ke blog Zara.
Oh, sila muntah kerana ada orang asyik dipuji seperti kononnya dia terkenal.
Tidak ya wahai kawan-kawan sekalian.
Gadis (ya, gadis, bukan wanita) di blog ini masih seperti biasa.
Cuma, dia mungkin rasa dia agak remaja.
Mungkinlah.
Ketawa.

[Gambar : Ada orang tanya aku, adakah aku sudi jika gambar aku diambil dari kedudukan begini? Apa jawapan aku agaknya?]

Disebabkan musim mengawan yang luar biasa hebatnya di hujung tahun, aku secara jujurnya agak kurang senang bila menghadiri majlis-majlis sedemikian. Kalau boleh, datang makan, jumpa pengantin sebentar, salam ibu pengantin dan cabut. Dalam setengah jam dah boleh siap kalau aku pergi seorang diri (Sadis ke pergi majlis perkahwinan seorang diri? Siapa kata? Huh!)

Bila ditebak dengan soalan adakah aku sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam menjelajahi kehidupan peribadi, aku ketawa senang hati sahaja. Ah, kalau bersedia adakah boleh terus melangsungkan pernikahan dan mengadakan majlis walimah? Pasti sahaja belum lagi kerana calon (berdehem) masih dalam proses mengenali lebih mendalam tentang hal masing-masing, insyaALLAH. Eh, adakah ini suatu bentuk pengakuan?
Ketawa.

Semalam ada berbual dengan seorang rakan yang telah mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda (18 tahun itu anggap muda) dan sekarang ini dia berumur 23 tahun. Jadi, sudah lebih kurang lima tahun dia mendirikan rumah tangga dan menariknya dia adalah seorang lelaki yang tidak meninggalkan cita-cita. Masih memburu waktu senggang untuk bersama isteri yang masih seorang penuntut juga seperti dia.

Kawan : Bila nak kahwin ni?
Aku : Tak nak jawab boleh?
Kawan : Jawablah. Nanti boleh kumpul duit, rancang nak jumpa kau.
Aku : Sungguh sadis ayat kau. Apa kau ingat jumpa aku macam melancong?
Kawan : (ketawa) Isteri aku nak jumpa artis yang masuk majalah.
Aku : Sengal. Celah mana artis kan?
Kawan : (ketawa) Isteri aku ambil gambar majalah tu tunjuk pada aku semalam.
Aku : Abah belikan aku majalah tu, belum ganti duit dia.
Kawan : Apa punya anak ni? Dah kerja kot?
Aku : (ketawa) Nanti aku bayar, semalam teruja sampai lupa.
Kawan : Kalau dah nak kahwin jangan gila lagi tahu?
Aku : Gila bagaimana?
Kawan : Macam sekarang ni, macam dulu. Tak pernah berubah.
Aku : Tak perlu berubah kalau orang boleh terima kita kan?
Kawan : Mungkin, dan kau juga kena bersedia terima pasangan itu seperti dia terima kau.
Aku : Tiada masalah mungkin.
Kawan : (ketawa) Dah ada calon lah ni kan?
Aku : Mana ada, mana ada.
Kawan : Punyalah nak sembunyi, blog kau tu cermin diri kau. Apa kau tulis itu diri kau.
Aku : Maksudnya?
Kawan : Terdedah ya rahsia yang kau punya hati dah ada orang yang punya.
Aku : Suami orang jangan banyak cakap, nak kena lempang.
Kawan : (ketawa) Kan aku dah kata kau tetap gila.
Aku : Bila nak ada anak?
Kawan : Nantilah dulu, masing-masing tengah buat tesis ni.
Aku : (ketawa) Bagus-bagus.
Kawan : Mari aku kongsi beberapa perkara dengan kau.
Aku : Ya, baik.
Kawan : Nanti tulis dalam blog, aku nak popular juga.
Aku : Gila kau.

http://farm3.static.flickr.com/2570/4165534368_f99fbec08b.jpg
[Gambar : Ada sesuatu dalam gambar ini yang membuatkan aku terpesona]

Ya, kawan.
Aku tulis dalam blog.
Jadi, sementara kau di pejabat, kalau kau baca ini, jangan lupa masukkan bayaran lengkap untuk membeli hadiah perkahwinan yang belum tahu bila akan berlangsung. Terima kasih.
Ketawa.

Berikut adalah beberapa perkara yang dia nyatakan dan aku tambah mengikut kesesuaian diri aku :
  • Mendengar kata dan bersedia untuk mendengar - Aku jujur rasakan ini perlu. Kalau kita biasa buat hal sendiri, tak fikirkan orang lain, tapi bila sudah mahu memulakan fasa hidup yang baru, kita harus lebih banyak komunikasi bagi memudahkan hubungan itu sendiri. Ya, cuma kau tengok dalam surat khabar dan mana-mana media, punca biasa orang bercerai adalah tiada kesefahaman lagi antara mereka (yang mengikut fakta berpunca dari masalah komunikasi).
  • Mengikis sifat buruk diri sendiri - Ini perlu berlaku tanpa pasangan itu perlu menegur banyak kali. Setiap manusia tahu apa kelemahan dan kelebihan diri mereka masing-masing. Jadi, untuk membolehkan hidup lebih gembira dan aman damai, perkara ini harus diselesaikan. Oh, betul juga kan? Aku kalau marah lebih suka buat keputusan sendiri. 
  • Percaya tanpa ada perkataan tapi - Ada pasangan yang mengaku percaya akan pasangan masing-masing tetapi ada syarat. Mungkin perlu untuk langkah berhati-hati tapi janganlah sangat merepek. Contohnya, aku percaya dia bila dia tidak main permainan video selama 3 hari berturut-turut. Baiklah, itu sangat merepek (sambil berlalu makan kerepek). Percaya dan yakin dengan pasangan anda. Bukankah kepercayaan itu asas dalam hubungan?
  • Buat perkara yang disukai bersama - Ada pasangan yang gila-gila yang menyebabkan hubungan itu sangat seronok. Banyak perkara dikongsi bersama dan bila mendirikan rumah tangga, perkara yang sama boleh dilakukan berdua juga. Sebagai contoh, kalau wanita itu suka berbasikal ataupun memanjat gunung atau dalam erti kata lain, aktiviti luar, dapat pasangan yang sukakan perkara yang sama adalah suatu bonus, jadi masa bersama adalah lebih berkualiti dan berharga.
  • Luahkan perasaan masing-masing - Dalam apa jua perkara, baik gembira, atau duka atau apa sahaja, duduklah berbicara tentang perasaan masing-masing. Lebih baik, mesra dan lebih memahami bukan?
Banyak lagi sebenarnya, cuma aku  lebih suka mahu lihat dahulu apakah yang aku boleh kongsi disebabkan aku sendiri bukanlah pakar dalam hal sebegini. Sedikit pengalaman kawan-kawan dan diri sendiri memungkinkan aku menulis dan berkongsi.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Ada orang sudah punya arnab comel sendiri. Sedap dipeluk atau tidak malam tadi?
2. Berlatih menjadi suri rumah (sungguh poyo ayat ini) akibat ada sedikit ketegangan dalam keluarga. Maka, dari sarapan hinggalah hidangan makan malam, aku yang sediakan seorang diri. 
3. Perlu ke sekolah atas urusan berkaitan kerja.
4. Sedang berusaha memahami kehendak dan keperluan diri dan menjaga hati.
5. Eh, kenapa tiada gambar kotak lagi ya?

Zara : Dalam ketawa riang, terselit perasaan terharu bila lihat mata bundar dan comel itu. Mata yang memahami diri bagaikan lahir bersama dan berkongsi uri. Berilah kekuatan kepada diri, melunaskan apa yang dihajati dan disaksikan dalam mimpi.

Saturday, December 11, 2010

Lelaki Hantaran 30 Ribu Sudah Ada Kekasih Baru - Kali Ini Pilihan Ibu Sendiri


Salam semua.
Hanya mahu menulis secara pantas disebabkan mendapat panggilan telefon tengah hari tadi. Ya, sangat gembira sebenarnya apabila menerima panggilan daripada Don yang memaklumkan berita gembira pada aku tentang kawan aku [Hantaran Perkahwinan]

Ini rentetan peristiwa buat mereka yang terpinga-pinga.
Don : Pergi rumah Incik Bulat minggu depan?
Aku : Tak pasti lagi, kenapa?
Don : Kawan kita nak bawa kekasih baru dia, Mak dia pilihkan.
Aku : Wah! Nak tengok!
Don : Pergi rumah Incik Bulat kahwin nanti.
Aku : Betul buat aku teruja tahu?
Don : (ketawa) Mesti kau nak telefon dia kan?
Aku : Nak telefon kawan aku dulu. Nak kejut pergi kelas.
Don : Bunny Twitter?
Aku : Kau mengintai ke apa?
Don : Aku hebat.

[Gambar : Tiba-tiba aku bertukar menjadi penyiasat atau lebih tepat lagi wartawan]

Jadi, selepas mengejutkan si dia (berdehem) yang bangun dan tidur semula sehingga selepas satu jam masih tidur (hujung bulan saya hantar bil telefon pada awak untuk tuntutan ya?) - aku menghantar pesanan ringkas pada kawan itu, bertanyakan dia di mana. Kebetulan dia di rumah, maka, meminta izin dari dia untuk membuat panggilan. Sebelum sempat dia jawab, dia telefon aku terlebih dahulu.

Kawan : Apa khabar?
Aku : Baik.
Kawan : Kenapa tanya boleh telefon ke tak tadi?
Aku : Sebab kau dah jadi kekasih orang kan? Jadi harus berhati-hati. (ketawa)
Kawan : Mana dapat cerita ni?
Aku : Agak-agak kau siapa antena paling laju?
Kawan : (ketawa) Encik Don Bulu.
Aku : Bijak. Jadi, tahniah sebab sudah ada pengganti.
Kawan : (ketawa) Mak aku carikan. Anak kawan dia.
Aku : Dengkinya!
Kawan : Nak dengki apanya? Ada orang tu dah ada arnab comel kan?
Aku : Arnab apakah?
Kawan : Di Twitter, siapa yang kau selalu tulis?
http://farm4.static.flickr.com/3506/3192990575_06f31548c3.jpg
 [Gambar : Tiba-tiba muncul cerita arnab, apa benda ni? Sambil jeling-jeling kesat peluh]

Aku : Eh, ini bukan pasal aku, ini pasal kau.
Kawan : Kau segan ke?
Aku : Tak faham apa kau cakap.
Kawan : (ketawa) Apa yang kau nak tahu?
Aku : Bila mak kau kenalkan?
Kawan : Adalah. Rahsia.
Aku : Nanti aku korek dengan Don.
Kawan : Sampai gugur semua bulu Don pun kau takkan tahu.
Aku : Kenapa?
Kawan : Sebab aku pun tak beritahu Don. Nak suruh kamu tengok sendiri nanti.
Aku : Punyalah berahsia, macam artis dah.
Kawan : (ketawa) Aku bukan artis, kau artis.
Aku : Ceh! Nanti minggu depan kau bawa ya?
Kawan : Ya. Dia pun cuti masa tu. Kecuali ada 'on-call'.
Aku : Dia kerja hospital ke?
Kawan : Eh?
Aku : Kau dah terlepas cakap! Dia kerja doktor?
Kawan : Entah, tak tahu.
Aku : Ya, mesti punya.
Kawan : Kau jangan cakap dengan Don Bulu.
Aku : (ketawa) Tengoklah.
 Kawan : Nanti aku cari siapa arnab.
Aku : Carilah. Kau takkan jumpa.
Kawan : (ketawa) Perempuan hebat simpan rahsia.
Aku : Mungkin.
Kawan : Doakan aku kali ini berjaya. Mak kata boleh masuk meminang dalam raya Cina.
Aku : Dengki!
Kawan : Jangan dengki, suruh arnab datang awal.
Aku : Huh!

[Gambar : Semoga berbahagia kawan]

Alhamdulillah.
Dari gelak ketawa kawan itu, aku tahu dia sudah sudah menemui apa yang dia cari selama ini. Mungkin hari itu ujian kecil buat dia. Semoga dia terus melangkah ke hadapan demi mengejar impian.

Senyum.

Nota Kaki :
1. Sudah tiada kotak jeritan di tepi blog. Tinggalkan sahaja apa-apa di Borang Anjal.
2. Terbaca di Twitter, seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun. Betulkah?
3. Hari ini cuaca nyaman dan terasa gembira apabila dimanjakan (aku manja? - ada sesiapa percaya?)

Zara : Seringkali ada pendapat yang menyatakan, ujian yang mendatang adalah cabaran untuk kita terus maju ke hadapan. Jika tidak pernah diuji, kita mungkin tidak akan pernah berubah dan sedar akan kekurangan serta kelebihan diri. Itu sahaja.