Showing posts with label Ceritera Indah Kosong Dan Comel. Show all posts
Showing posts with label Ceritera Indah Kosong Dan Comel. Show all posts

Wednesday, November 18, 2009

Bila Emosi Menguasai:Ceritera Indah Berakhir Tetapi Dunia Baru Bakal Bermula! Aku Manusia Ceria!

Salam semua!
Maaf!
Maaf!
Maaf!
Maaf atas kata-kata kasar di dalam penulisan sebelum ini.

Maaf atas penulisan yang amat dikuasai emosi malam tadi.
Sungguh tidak terkawal hingga terlupa diri. Dan buat mereka yang menghubungi aku melalui sistem pesanan ringkas, Mukabuku, Twitter, blog serta panggilan telefon, sumpah, aku amat hargai!

Pertama
Tiada lagi siri Ceritera Indah Si Kosong dan Si Comel lagi.
Penggambaran pengembaraan tidak dapat diteruskan akibat pelakon utama sudah mencari haluan hidup masing-masing. Doakan yang terbaik buat mereka berdua dalam menjalani kehidupan seterusnya. Mungkinkah akan ada siri baru selepas ini? Entahlah.

Kedua
Oh, terlalu mengikut perasaan bila ditegur oleh Emak malam tadi akibat kesilapan kecil. Perubahan hormon mungkin, tetapi ini kesilapan sendiri. Bulan belum mengambang, daerah belum dijajah, tetapi fikiran dan minda gagal dikawal. Manusia keji aku malam tadi. Eh, ke memang keji sentiasa? *ketawa*

Ketiga
Buat sesiapa yang menyatakan supaya aku tidur baik-baik serta jangan menangis, aku hanya ingin menyatakan yang aku memang tidur lena malam tadi dan aku tidak menangis. Sejak bila aku mempunyai hati batu, aku kurang pasti. Eh, mana pergi hati kerak nasi? Mungkin sudah dimakan oleh burung-burung yang berterbangan di dalam hati dan di sawah padi. *ketawa*



Oh, cukup sahaja buat kali ini. Mungkin aku terpaksa menguasai ilmu menghilangkan perkara tertentu di dalam dunia ini. Sudah mahu ke sekolah. Jaga diri kamu semua! Terima kasih kerana sentiasa menyokong aku! Terima kasih kerana tidak pernah meninggalkan aku sendirian.

Zara : Hati sedang menyanyikan lagu indah serta ceria. Menuju ke sekolah dengan penuh semangat Waja walaupun hajat hati mahu memiliki kereta MyVi. Eh, ada kaitan ke? Layan sahaja. Cinta kamu semua!

Tuesday, November 17, 2009

Hidup Ini Memang Macam Palat : Aku Tidak Akan Pernah Menangisi Nasib Diri Lagi!

Hidup ini memang macam palat.
...dan ini apa yang aku hadapi sekarang.

Keluarga.
Cinta.
Kerjaya.
Semua termasuk dalam hidup aku adalah palat.
...dan aku sebagai manusia yang sudah hilang kesabaran, memang mahu menjerit perkataan itu sekuat mungkin.
Ya, hidup aku memang macam palat.

Jahanam.
Celaka.
Ya, memang mulut aku sudah jadi macam sampah sekarang ini.

http://wawan12.files.wordpress.com/2008/08/tong-sampah.jpg

Memang!
Memang!
Memang!

Hidup sudah terbiar.
Hidup sudah berbaur binasa.
Aku sudah hilang kembali.
Jangan pernah tanya ke mana aku bakal pergi!

Zara : Sudah dimarah dan dimaki berbaldi-baldi. Aku hanya mampu menahan telinga mendengar leteran yang tidak akan terhenti selagi aku masih di rumah batu berwarna kuning itu. Sakit dan aku keseorangan. Ya, memang sudah kembali keseorangan.


Tuesday, November 10, 2009

"Memang Kasut Saya Tiga Inci, Tapi Lubang Kubur Lebarnya Tiga Kaki, dan Jangan Lupa Panjang Dan Dalamnya"

Mahu ketawa selama lima minit.
Ketawa sopan, sambil mata menjeling kiri dan kanan.
Muka ditarik ketat-ketat, jangan ada secangkir atau seulas senyuman di wajah, biar kelat.

Bila tekanan darah memuncak, segala bunga tari akan dipencak.
Senyum ikhlas, tawa mesra sudah bertukar wajah melengas.
Jangan pernah mencari pasal dengan penjaga hati wanita dan pejuang di sebelah jejaka.

Pantang!
Pantang bertemu manusia yang bertindak seperti cermin dan gua.
Bila bercakap, ada pantulan dan ada gema.
Oh, jangan bertindak keji sebelum mengkaji dengan siapa anda ingin menghunus taji.

Kelas Tingkatan 1 yang mempunyai 27 warga.
Bila 27 mulut mula menjalankan senaman ringan yang bertukar berat, rentaknya memang bisa membuat hati tenat. Mulut yang bercakap laju tak ubah seperti pakar membuat lepat. Laju mereka mendatangkan hasik dan rezeki, tetapi laju ini hanya bakal memakan diri.

Cikgu Z
Pelajar Lelaki A (PLA)

Cikgu Z : Kenapa suara lelaki yang kuat sangat ni?
PLA : Budak perempuan ni pura-pura sahaja cikgu.
Cikgu Z : Sekurang-kurangnya mereka hormat saya di hadapan ni, kalau bercakap jangan kuat sangat.
PLA : Ala, bukan kuat sangat. Lagipun tiada kerja.
Cikgu Z : Eh awak ni, sekali saya cakap, awak menjawab sahaja ya?
PLA : Biasalah cikgu. Orang cakap kita jawablah.
Cikgu Z : Sudah-sudahlah bercakap tu.
PLA : Ala cikgu ni, biarlah nak bercakap ke apa ke.
Cikgu Z : Patut pun mulut awak lebar kan? Sebab awak banyak cakap.
PLA : Ada mulut memang kena cakaplah cikgu. Mulut saya lebar sebab saya selalu senam mulut saya ni.

Cikgu Z : Tengok tu, menjawab lagi. Sekali lagi awak bercakap kuat lagi, saya denda awak nanti.

Suasana kelas terkawal, dan malangnya, bila dibiarkan, tikus akan gatal dan terasa mahu menjadi gajah yang enak menguasai belantara.

Cikgu Z : Kan saya dah kata, kalau nak berbual jangan kuat sangat?!
PLB : Kalau dah berbual mana sedar cikgu?
Cikgu Z : Sebab itu saya kata kawal suara sendiri.
PLA : Dah tu cikgu nak buat apa ni?
Cikgu Z : Ikut hati nak sahaja saya pijak-pijak awak ni.
PLC : Pijak bagi tinggal kesan tapak kaki ke cikgu? *gelak*
Cikgu Z : Buat apa guna tapak kaki? Saya pakai kasut.
PLA : Kasut tinggi cikgu tu?


[Masih ingat kasut ini?]

Cikgu Z : Memang kalau boleh.
PLB : Berapa tinggi kasut tu cikgu?
Cikgu Z : 3 inci.
PLA : Ala, setakat 3 inci, apa yang sakit sangat?
Cikgu Z : Memang kasut saya tiga inci, tapi lubang kubur lebarnya tiga kaki, dan jangan lupa, panjang dan dalamnya. Tujuh kaki kali tujuh kaki.
PLA : Jadi kenapa?
Cikgu Z : Saya mungkin lupa, tetapi Tuhan Yang Maha Esa tidak pernah lupa.



Tangan menarik buku dan menggalas beg di bahu.
Ucapan terima kasih berkumandang di dalam kelas yang berbentuk kotak empat persegi.
Warga kelas ditinggalkan dengan hati yang puas.
Jangan pernah mahu melawan bicara.

Kasih Si Comel : Tatkala ini Si Kosong sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan. Peperiksaannya bermula pada jam 9.00 pagi.

Zara : Tengah hari ini bakal menghadiri mesyuarat akhir tahun dan diikuti dengan mesyuarat panitia. Sebentar tadi mengadakan perbincangan mengenai lawatan akibat dijemput sebagai guru pengiring oleh pelajar. Bila mahu berjalan, mahukan pucuk muda pula.



Sunday, November 08, 2009

Kalau Mahu Buat Panggilan, Kena Buat Temu Janji Dahulu - Macam Orang Terkenal Pula Kamu Ini Sayang.

Si Comel (SC)
Si Kosong (SK)

Petang tadi Si Comel membuat panggilan kepada Si Kosong.
Memberikan sedikit galakan untuk kertas ketiga peperiksaan Si Kosong yang akan bermula pada jam 9.00 pagi waktu tempatan - 8 November 2009 - Ahad.

SC : Dah habis ulangkaji?
SK : Boleh kata dah, tengah buat latihan tadi.
SC : Oh, bagus-bagus.
SK : Sebenarnya malam tadi fikir nak telefon kamu.
SC : Oh, ya ke? Kenapa tak beritahu awal-awal? Sekarang ini selalu tidur cepat.
SK : Alahai, nak telefon pun kena buat temu janji dulu?
SC : Eh, kan daku artis? *ketawa*
SK : Lupa pula...*ketawa*
SC : Artis lah sangat.
SK : Artis...Kan ada orang kata kamu artis di blog?
SC : *ketawa* Itu kata-kata gila sahaja sayang.

http://s150.photobucket.com/albums/s103/yourspacecooment/getmy/feelin-like-a-lady/call-me.gif

SK : Esok tak payahlah puasa.
SC : Kenapa? Ini sahaja yang aku boleh buat untuk kamu, selain doa.
SK : Tak payah susah-susah. Kesian kamu.
SC : (membebel laju-laju)
SK : Baiklah, ikut kamu ya? Terima kasih sangat-sangat.

Usai meletak Si Merah di atas katil, Si Merah menjerit-jerit. Ada pesanan ringkas dari Si Kosong.

"Malam esok mahu telefon kamu. Terima kasih sebab telefon daku tadi"



Si Comel tersenyum girang.
Doakan kejayaan Si Kosong. Esok kertas pertama Matematik. Sebelum ini dua kertas Pendidikan. Ada enam kertas yang perlu dilalui. Semoga berjaya Si Kosong!

Zara : Tahniah buat Negeri Sembilan yang menjadi Juara! Oh, kacaknya pasangan kembar itu. Hari Isnin bakal menjelma. Mahu melihat reaksi Ustaz G dan Cikgu STR yang pergi ke Stadium Bukit Jalil bagi menyokong Kelantan. 3-1. Harap Manchester United akan menang juga hujung minggu ini!

Wednesday, November 04, 2009

Pengakuan Khas : Aku Memang Penggiat Seni. Lepas Buang Air Di Dunia Aku, Jangan Lupa Cuci Ya?

Salam sayang semua.
Rindu muka-muka ceria kamu semua.
Mahu peluk sebentar - lima saat boleh sayang?
*ketawa*



Sumber didapati dari kotak penulisan sebelum ini. Sila cium SINI dengan lembut ya?
Eh, jangan risau, manusia yang bernama Zara ini tenang orangnya. Aku sudah diuji dengan pelbagai cabaran di sekolah. Ini hanya satu perkara kecil. *ketawa*


Esok [5 November 2009] kertas peperiksaan Si Kosong bakal bermula dengan mata pelajaran yang berkaitan dengan pendidikan. Semoga berjaya buat Si Kosong! Si Comel tahu kamu boleh buat sayang! Oh, jangan bising, Si Comel sudah paksa Si Kosong belajar rajin-rajin.


Tahniah buat Si Busuk yang bakal memulakan kehidupan baru di Kuantan.
Yeah!
Si Busuk sudah berada di sana dan bakal bekerja di bandar Kuantan. Tahniah Busuk! Bakal merindui kamu!


Rasa mengantuk dan aku fikir aku perlukan rehat yang cukup.
Bukankah aku seorang penggiat seni yang berbudaya?
Oh, dan dengan ini, aku berjanji aku akan terus menulis demi diri aku sendiri, demi kamu yang sentiasa menyokong aku!

...dan lagi, jika aku ni seorang artis, kamu akan beratur untuk tandatangan aku kah?

Zara : Dia yang dicintai ada di Kuantan. Dia yang disayangi juga di Kuantan.

Monday, October 26, 2009

Lelaki Satu - Perempuan Tiga : Satu Suami - Tiga Isteri.

Badan penat.
Hati parah.
Tulang temulang berat.
Mahu menggulingkan diri di atas ranjang dengan awalnya malam ini.

Esok segalanya bakal bermula.
Esok segalanya bakal memuntahkan rahsia.
Esok segalanya pasti terlerai.

http://blogstore.lomluang.com/coffeeprince/coffeeprince_cartoons/coffeeprince_cartoon21.jpg
[Gambar penghargaan di SINI]

Jangan ditanya berapa bayaran.
Jangan ditanya berapa duit kesusahan.
Anak bangsa, negara tercinta yang datang terlebih dahulu.

Seorang guru lelaki.
Tiga guru perempuan.

Badan memerlukan rehat.
Tenaga perlu disimpan kuat.

**Buat Si Kosong**
Terima kasih kerana sudi bersama menjalin rasa selama 3 bulan.
Sanggup menunggu aku?

Zara : Maaf aku tidak dapat mengunjungi kalian buat masa ini. Mungkin Dunia ini tidak perlu ditutup walaupun aku sudah mempunyai dunia baru.

Friday, October 23, 2009

Kerjaya Pendidik Itu Satu Seni - Sila Panggil Aku Penggiat Seni Yang Penuh Budaya Wahai Teman Semua

Ya.
Ini khabar gembira yang ku mahu sebarkan buat kamu semua.
Aku masih ditempatkan di daerah aku!
Tahniah buat diri sendiri.

Aku ditempatkan di sebuah kawasan yang agak pedalaman.
Jarak dari rumah ke sekolah adalah 43 hingga 45 kilometer dan mengambil masa lebih kurang satu jam.
Jalan ke kawasan tersebut adalah seperti permainan dalam Destinasi Terakhir 3 [baca : Final Destination 3].
Ya, roller-coaster.
Tiada lampu jalan, tiada rumah , tiada stesen minyak sepanjang jalan.

Tidak mengapa, aku masih tersenyum gembira.
Orang kata, kerjaya seorang pendidik ini adalah suatu bentuk seni.
Anak didik ada pelbagai ragam, ada pelbagai gaya - maka sebagai guru, aku bakal menjadi seorang pengarah, penerbit, penulis skrip, penyedia kelengkapan dan seorang pelakon.
Disebabkan aku dihantar untuk berkhidmat di kawasan yang agak pedalaman, aku dapat merasakan kawasan itu seharusnya masih kuat berpegang dengan budaya.

Secara umumnya di Malaysia, impian setiap pengarah, penerbit, penulis skrip, penyedia kelengkapan - pakaian dan pelakon adalah mementaskan karya di Istana Budaya. Walaupun aku mungkin gagal untuk beraksi di situ, aku masih seorang penggiat seni.
Jadi, sila panggil aku penggiat seni yang penuh budaya.

Oh, jangan bertanya di mana sekolahnya kerana sesiapa yang mempunyai Mukabuku aku, kalian telah dapat melihat gambar peta yang aku ambil menggunakan Peta Google [baca : Google Map].
Aku sudah menggunakan pelbagai enjin carian untuk mencari maklumat mengenai sekolah tersebut tetapi agak menghampakan - TIADA.
Adakah ini bermakna aku tidak perlu memperibadikan Dunia Sebelah Zara?

http://blogstore.lomluang.com/coffeeprince/coffeeprince_cartoons/coffeeprince_cartoon15.jpg
[Gambar penghargaan di SINI]

Sekarang, impian aku adalah mahu memiliki sebuah kereta.
Maaf kepada niat untuk menaiki motosikal ke sekolah - tidak mungkin akan dapat dilaksanakan.
Mungkin kalau sesi persekolahan bermula jam 9 pagi, aku masih boleh menaiki motosikal dengan membawa bekalan minyak tambahan - dan itu sesuatu yang mustahil.
Penempatan rumah? - Masih difikirkan.

Penulisan sebelum ini adalah cara aku menzahirkan ucapan terima kasih buat kamu yang sentiasa menyokong aku dan setia bersama dari blog pertama hingga aku membuka Dunia Sebelah Zara. Agak pelik juga membaca komen supaya aku bersabar dan menunggu jodoh lebih baik - mungkin juga disebabkan gaya penulisan aku kurang tepat. Maaf tetapi aku sangat menghargai komen kamu semua!

...dan aku ingin memetik kata Si Kosong...
"Kalau baca blog kamu Zara, mesti kena tengok label dahulu. Kalau tidak, boleh keliru"


Zara : Sedang membuat rawatan kesihatan untuk diri sendiri. Buat mereka yang berada di Kampus Selatan, aku akan pulang ke sana 25 Oktober ini. Moga kamu sentiasa ceria teman. Selamat berhujung minggu!

Tuesday, October 20, 2009

Tutup Mulut Kamu, Kunci Bibir Kamu, Kosongkan Minda Kamu - Mari Laksanakan Jenayah Yang Sempurna

Diam!
Jangan menjerit!
Jangan pernah memekik!
Jangan pernah meraung!
...dan jangan pernah menangis!

Tutup mulut kamu.
Kunci bibir kamu.
Kosongkan minda kamu.
Ingat yang kamu sedang bebas meluahkan segalanya.

Mari laksanakan misi kita.
Mari tunaikan apa yang perlu dibuat.
Mari kita mulakan sesuatu yang menggembirakan.

Mari laksanakan jenayah yang sempurna.



Ya, ini jenayah yang paling sempurna.
Aku curi hati kamu.
Kamu curi hati aku.

Diam.
Diam.
Diam.

Biar mereka tertanya-tanya.
Biar mereka pusing memikirkannya.
Biar mereka pening mencarinya.

Aku curi hati kamu.
Kamu curi hati aku.
Kita sama-sama simpan.



Zara : Rasa ingin menulis sesuatu. Rasa ingin meluahkan. Rasa ingin menzahirkan. Rasa ingin mencoretkan. Moga dapat bertemu dengan dia, moga dapat bertemu dengan kamu semua. Moga ada suatu pertemuan.

Terkini:
Sudah ada pengunjung ke dua puluh ribu.
Tahniah buat Tuan Kepada Dak Utih, Si Tedi.

Saturday, October 17, 2009

Gulung Di Waktu Pagi Untuk Berguling Di Waktu Petang : Aku, Dia Dan Popia Kentang Serta Sardin

Waktu pagi ketika hujan lebat sedang menggila di daerah aku.
Si Kosong (SK)
Si Comel (SC)

SC : Maaf lambat balas pesanan. Tadi di dapur. Hari ini buat popia. *gelak*
SK : Popia inti kentang ke?
SC : Kentang dan sardin *gelak*
SK : Sedapnya, nak juga.
SC : Pergi kampus, pergi kampus. Sedang menunggu kentang untuk empuk.


::Inti yang sudah siap dimasak::

Tengah hari ketika cuaca sedang panas terik dan garing.
SK : Jangan lupa makan.
SC : Tengok dulu lah.
SK : Makan, jangan degil. Makan popia ke? *gelak*
SC : Popia untuk minum petang.

Petang yang menunjukkan perubahan cuaca yang dahsyat. Panas dan panas. Mungkin perubahan iklim memang membunuh setiap lapisan urat saraf.

SK : Sudah petang! Nak popia. *ketawa*
SC : Alahai...cuaca panas di sini.
SK : Di sini sedang hujan lebat, lain kali boleh pinjam kamu bawa ke sini. Boleh ada minum petang setiap hari.
SC : Ceh! Nak pinjam sebab itu? Sedang menggoreng popia *gelak*
SK : Mesti sedap, nak juga. Hujan-hujan begini sedap kalau dapat makanan panas.
SC : Memang sedap, daku sedang makan panas-panas ni.
SK : Keji, tak nak kawan dengan kamu lagi.
SC : Tak nak kawan tak mengapa, jangan tak nak kahwin (sambil meletakkan gambar ini sebagai bahan penceria dalam pesanan ringkas)


**Popia Kentang + Sardin**

SK : Sampai hati kamu hantar gambar tu! Nak pergi dapur cari makanan lah macam ni. (dan tidak kembali-kembali sehingga malam)

Malam yang dihabiskan dengan bersandar dan baring di kerusi merah - menonton berita dan drama bersiri.

SC : Kamu sedang buat apa?
SK : Tengok Nur Popia... *gelak*
SC : Keji sungguh...

Tapi sebenarnya sedang menonton cerita ini. Alahai, aku memang sangat gembira kalau menonton drama atau apa juga cerita di saluran ini. Aku terpaksa mengeluarkan Si Merah untuk mengira tempoh masa selingan iklan. Rasa macam menonton iklan berbanding cerita sebenar.

http://www.intro2u.net/new/wp-content/uploads/2009/08/nur-kasih-wallpaper.jpg
(Gambar penghargaan di SINI)

Oh, lagu temanya memang menarik. Daya tarikan dalam drama ini buat aku?
Pengarahnya - Kabir Bhatia.
Cara pergerakan ceritan serta sorotan kameranya.

Sebelum terlupa, selamat menyambut pesta cahaya buat sahabat-sahabat yang berbangsa India.
Ramesh, Vinod, Thivya, Ghandis, Shashi, Yogeswari, Nicky, dan semua rakyat Malaysia!
Selamat Menyambut Deepavali!

http://jemima.files.wordpress.com/2006/10/deepavali.jpg
 (Gambar penghargaan di SINI)


Zara : Sedang terfikir, di daerah mana bakal aku ditempatkan. Usai menerima tempelakan dan gurauan kasar tentang perkara ini. Ya, manusia ini belum pernah keluar dari negeri sendiri. *senyum*

Friday, October 16, 2009

"Lelaki Dalam Badan Wanita Atau Sebaliknya Yang Kekurangan Kasih Sayang"

Salam semua!
Tujuan aku meletakkan alamat surat elektronik aku di biodata penulis blog adalah bagi memudahkan kalian bertanya kepada aku jika ada sesuatu yang mustahak atau mengganggu fikiran kalian mengenai aku. Oh, aku redha dan sentiasa tersenyum bila menerima surat-surat elektronik dari kalian. Maksudnya, masih ada segelintir yang mahu berkongsi sesuatu dengan aku - tidak kira anda pembaca senyap atau pembaca yang menunjukkan diri secara terang-terangan pada aku.

Aku agak terlewat duduk di hadapan Sean, bayi kesayangan aku pagi ini disebabkan menghadirkan diri di dapur, menunaikan tanggungjawab aku. Aku terjumpa secara tidak sengaja (atas sebab aku menggodek komputer aku) senarai kad pengenalan kawan-kawan di kampus selatan. Oh, secara tidak sengaja juga aku telah memeriksa penempatan mereka. Sumpah, aku tidak sengaja. Sikap ingin tahu berlebihan itu membuatkan rakan-rakan yang tiada jaringan Internet di rumah berasa tenang setelah aku memberikan mereka perkhabaran gembira tersebut. Baiklah, cukup sampai di sini.

Setelah memeriksa kantung surat elekronik tadi, aku terjumpa sebuah surat elektronik yang ditujukan khas buat aku. Oh, baik aku letakkan sahaja di sini. Aku rasa malas mahu menambahbaik (baca : edit) tulisan tersebut. Penghantar tersebut mengenalkan diri dia sebagai SAYATanya.

Hello Zara. Aku ini kadang-kadang baca blog engkau. Aku cuma nak tanya beberapa perkara saja pada kau. 

1 - Engkau ni sebenarnya lelaki yang wujud dalam badan wanita atau sebaliknya? Sebab aku tengok cara kau tulis macam kau ni keliru dengan identiti kau. Kau lupa yang kau ni perempuan ke lelaki ya? Sebab kau asyik tulis teman wanita, teman lelaki. Ke kau ni jenis manusia dua alam?


2 - Kau ni kurang kasih sayang ke? Asyik panggil orang sayang dalam penulisan atau komen kau pada pembaca kau. Entah-entah diorang geli dengan cara kau tu. Kau kena sedar bukan semua orang suka cara kau tulis tu. Jangan rasa diri kau tu bagus sangat. 


3 - Kau ni dah tiada teman istimewa ke? Dah berpisah dengan dia? Sebab aku tengok kau dah takde tulis pasal orang yang pernah kau gembar-gemburkan dulu tu pun. Dah berpisah kena beritahu lah. Jangan konon-konon letak pelekat yang kau tengah bahagia dengan dia. 


Semoga kau sedar lepas aku tanya kau ni. Kau nak jawab ke tak ikut suka kau. Kalau kau jawab lagi bagus, takde lah orang lain rasa tertipu dengan identiti kau tu.

**************************************************
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjkMjfD2dF5mLxBKqo9zDOfKa6uizpxUaVDn49Y9c1Gbk4TGPpi5YHiT4KSXyO1TykMuS-g0gvblBzKuao80dmf9CRseuhRt20ksdk2AhlRDi5LyajbAjHyd2CruWv0Cy61AvduDe7r-UDi/s400/gender.gif
(Gambar penghargaan di SINI)

Aku sedang berfikir, patut jawab atau tidak soalan-soalan dari SAYATanya itu. Baiklah, untuk tidak menghampakan, aku akan cuba jawab seringkas mungkin.

1 - Saya sedang mengalami datang bulan (baca : period). Awak fikir saya ni apa jantina ya? Sudah bertimbun gambar saya dalam blog ini, sila lihat sahaja. Oh, saya juga masih kenal siapa diri saya dan tidak pernah mendiskriminasi orientasi orang lain.

2 - Entahlah, setakat ini semua orang boleh terima, malahan lebih mesra sehingga boleh menghubungi satu sama lain di luar blog dengan aku. 

3 - Oh, Si Kosong masih bersama aku. Perlu ke sentiasa menulis tentang dia? Rasanya kami lebih gemar keluar sekali sekala sahaja di blog masing-masing. Kami sedang bahagia dan tidak perlu terlalu banyak pendedahan di blog. Siapa yang punya Mukabuku aku mungkin lebih tahu.

http://images2.layoutsparks.com/1/226802/colorful-hearts-love-symbol.jpg
(Gambar penghargaan di SINI)

Baiklah, aku sudah jawab. Mahu mengundur diri sebentar - menggulung popia inti kentang dan sardin. Dah sejuk agaknya inti tersebut.

Zara : Tahniah buat rakan-rakan yang sudah tahu tempat penempatan masing-masing! Selamat bertugas dan sesiapa yang dapat Johor, insyaALLAH bakal bertemu kalian 26 Oktober ini!

Thursday, October 08, 2009

Isinya Besar, Batangnya Halus - Nikmatnya Terasa Hingga Kini : Memang Sedap Sayang!

Nikmat!
Sumpah sungguh nikmat!
Walaupun dinikmati di waktu pagi, tetapi nikmatnya terasa hingga kini.
Isinya yang tebal dan lebar - besar, batangnya yang halus sebagai pemegang.
Bila panas, masukkan ke dalam mulut dan nikmati dengan senyap dan enak. Sedap sungguh sayang!
Tarik isinya dengan gigi, kunyah dan letakkan batang lidinya ke tepi.

Tradisi kami di kawasan Muar - menikmati sate sebagai menu utama sarapan di mana-mana kedai yang menyediakan menu pagi di bandar ini. Memang sesuatu yang belum pernah aku temui di tempat lain.



Sate yang sentiasa akan ditambah oleh pemilik kedai apabila dilihat piring hampir kosong. Enak menikmati kesedapan makanan yang sering menjadi tarikan pengunjung ke daerah kelahiran aku ini. Pelbagai kedai makanan ini memang menerapkan dasar perpaduan.



Oh, ini apa yang aku nikmati pagi tadi. Lontong. Oh, memang enak ditambah dengan kehadiran sate itu.
Sumpah! Memang sangat enak. Malangnya, air barli yang asli sudah tidak disajikan di sini lagi. Oh, mengenai perpaduan yang aku nyatakan tadi, kebanyakan kedai sarapan pagi di bandar kecil ini dikongsi oleh dua bangsa yang berlainan. Melayu menyediakan makanan, dan Cina menyediakan minuman. Begitu juga kedai yang aku kunjungi ini.



Oh, sebelum berpisah, perlu letak wajah budak yang kelaparan ini sebagai pemanis penulisan. Oh, itu hanya ayat penyedap hati, penyegar jiwa tetapi membunuh golongan tertentu. Sila abaikan pesanan tidak bertauliah itu. Selamat menempuhi hari Jumaat sahabat sekalian. Maaf jika penulisan kali ini banyak merapu dari berkongsi ilmu.

Zara : Rasa kurang sihat mencengkam diri secara tiba-tiba. Kasihan pada Si Kosong juga. Khabarnya juga tidak mempunyai kesihatan yang sempurna. Moga kami berdua cepat sembuh hendaknya. Oh, ada yang menyatakan penulisan aku sungguh skema. Rasa mahu tersenyum pula.

Wednesday, September 30, 2009

Dalam Hati Aku Ada Kamu. Kamu Penanam Bunga Di Jiwa Aku.


Kadang-kadang kamu bising tengok aku degil, nakal.
Kadang-kadang kamu fikir aku bakal mencari yang lain.
Kamu kata kamu takut aku hilang pada dia.
Tapi kamu perlu tahu, dalam hati aku hanya ada kamu.


Kamu takut aku menoleh pada kenangan lalu.
Kamu perlu tahu, kalau pun aku menoleh ke belakang, aku hanya mahu mempelajari sesuatu.
Bukan untuk menagih cinta dia dan menyuburkan kenangan lama.


Kalaulah kamu boleh lihat hati aku.
Kalaulah cukup lagu-lagu yang aku dendangkan buat kamu tahu malam tadi.
Aku harap kamu sedar apa yang aku maksudkan.





Terima kasih kamu.
Terima kasih buat kamu kerana menerima aku.



Zara : Sedang dalam keadaan emosi yang kuat dan gembira.



Tuesday, September 29, 2009

Terlajak Kereta Boleh Diundur, Terlajak Pisau Boleh Keras Daging Walaupun Lama Direbus


Badan sudah bersandar di dinding, tangan kejang menghiris daging sebanyak tiga kilogram. Memang bisa membuat diri sampai geram.

Emak sibuk memasukkan beras dan mengetatkan ketupat di sebelah aku. Maaf, proses menganyam sehinggalah mengetatkan ketupat tidak dapat aku penuhi lantaran kekurangan kemahiran tradisional. Berbual sambil membuat kerja boleh mengurangkan tekanan, ini yang aku belajar di sekolah dulu.

Aku : Along nak bagi juadah esok pada CWC ya Mak? Abang selalu bagi pada Ah Yong motor tu.
Mak : Boleh. Ramai sangat kawan kamu dari pelbagai bangsa. Nak kahwin dengan orang macam tu ke?
Aku : (dalam hati : kalau dulu mungkin ya *gelak*) Eh, mana ada Mak? Kan Along dah kata, kawan sahaja semua tu.
Mak : Susah kalau kahwin dengan orang berlainan bangsa dan agama ni. Kena pandai sesuaikan diri.
Aku : Aduhai Mak ni, tenang sahaja.

Tiba-tiba Adik aku berlari ke dapur membawa kad raya.

Ayim : Along ada dapat kad raya.
Aku : Terima kasih.

Tangan membelek kad raya, mata tertancap pada cop di atas setem. Dari Singapura.

Mak : Siapa hantar?
Aku : Dari Singapura.
Mak : CWC ke?
Aku : Ya, siapa lagi kawan yang kerja sana...

Pantas Mak menarik kad raya yang sedang aku baca. Mak tersenyum melihat ucapan yang ditulis oleh CWC. Kata Mak, pandai dia menulis dalam bahasa yang teratur. Kebetulan, Abah ada berhampiran sedang menggoreng ayam. Mak memaklumkan pada Abah isi kandungan kad raya itu. Kalau CWC membaca penulisan ini, mereka berdua mengucapkan terima kasih atas ucapan hari raya dari kamu.

Mak : Kalau mahu pilih kawan, pilih yang baik-baik.
Aku : Eh, kawan Along semua memang baik-baik Mak.
Mak : Maksud Mak kalau nak pilih jodoh ke...(suara Mak perlahan)

Aku sedang khayal memotong daging hampir 4 jam. Jadi aku melayan sahaja apa yang Mak katakan.

Aku : Dah pilih dah.
Mak : Biar betul dah pilih?
Aku : Sudah Mak.
Mak : Budak mana?

Di saat ini aku baru tersedar yang aku sudah terlepas kata. Ya, terlanjur lidah dan mendedahkan rahsia yang aku simpan.

Aku : Err, orang Malaysia lagi. Semenanjung. *gelak untuk menyembunyikan rasa gugup*
Mak : Tahu lah, tapi orang mana?
Aku : ...............



Oh, biarlah isi perbualan yang seterusnya menjadi rahsia aku, Mak dan juga Si Kosong. Nampaknya Mak tidak terlalu terkejut. Mungkin kerana aku telah memenuhi ciri-ciri yang telah dia kiaskan pada aku suatu ketika dulu. Adat berkawan.

Zara : Baru berpuasa hari kedua. Abah sudah selesai puasa enam dan beraya pada hari Ahad yang lalu. Cemburu dengan ketahanan Abah.

Monday, September 21, 2009

Ini Hari Pertama Dan Aku Sudah Longlai Seperti Kehilangan Separuh Nyawa.


Salam Aidilfitri buat kalian.
Masih mencari waktu dan ruang untuk mengunjungi teratak kalian semua.
Kepenatan tetapi hati masih diulit kegembiraan. *senyum*



Ini muka dengan cermin mata.
Kelihatan tembam, bulat dan gemuk?
Oh, aku mahu tulikan telinga dari apa yang dikatakan oleh mereka yang suka mencerca.

Terima kasih atas ucapan Selamat Hari Raya yang aku terima di telefon genggam, Twitter, Mukabuku dan sebagainya. Buat penulis-penulis blog yang tidak melupakan aku juga, terima kasih atas ingatan kalian. Sesungguhnya kalian antara manusia-manusia terbaik yang pernah muncul dalam hidup aku.

Terlalu banyak untuk diceritakan, tetapi aku harus mengundur diri.

Zara : Selamat Ulang Tahun Ke-23 Buat Si Kosong (21 September 2009). Moga yang terbaik sentiasa menjadi milik dia. Ucapan lain harus disimpan buat dia sahaja. Oh ya, warna baju kami sama hari ini.

Buat teman-teman, Zam Akmal, Fisz dan guruku, Cikgu Zainal - mereka juga bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 21 September. Selamat Ulang Tahun!

Wednesday, September 16, 2009

Maafkan Aku Si Kosong : Janji Musnah - Ikatan Terlerai Kerana Dia Hadir Sebelum Kamu Sayang


Malam tadi dihabiskan dengan Si Kosong. Hati yang sudah terisi semula terganggu dengan kenyataan munculnya seorang lelaki yang sering diintai sebelum ini. Pemikiran keji itu cuba ditolak demi menjaga kesuciaan sebuah perhubungan yang bakal menginjak usia dua bulan. Perbualan diteruskan bersama Si Kosong.

Usai menyelesaikan urusan pagi tadi, seperti biasa Sean dibaringkan di atas katil. Fikiran masih menerawang pada kenyataan yang membahagiakan malam tadi bersama Si Kosong. Jari pantas menekan papan kekunci di badan Sean. Akaun surat-surat elektronik diperiksa dan mata tertancap pada satu perkara yang membuat hati berdegup laju.

Oh Tuhan, mengapa dia hadir?
Mengapa lelaki itu hadir lagi?
Mungkinkah dia menyedari hati ini tidak pernah melupakan walaupun aku tidak pernah meninggalkan jejak buat tatapan serta pengetahuan dia?

Si Merah berbunyi. Pesanan ringkas dari Si Kosong membuatkan aku cuba mengalihkan perhatian dari minda yang bekerja keras cuba melupakan dia. Oh Tuhan, berikan aku kekuatan demi melupakan dia. Tetingkap lain dibuka agar aku lupakan bingkisan elektronik yang aku terima dari jejaka itu.

Dunia baru dibuka dan sekali lagi benak pemikiran aku diasak dengan kehadiran dia.
Tuhan, mengapa kamu ciptakan lelaki yang hebat ini untuk menerjah minda aku? Mengapa Tuhan? Mengapa lelaki yang muncul dalam hidup aku ditemukan di alam maya ini?

Dia hadir tatkala aku kehilangan Kekasih Pertama. Dia muncul sebelum Si Kosong tiba. Dia wujud antara mereka berdua. Seperti mereka berdua, dia juga dikenali di alam maya. Gayanya yang bersahaja membuatkan tangkai hati yang dulunya kontang dengan kasih sayang meronta mahu mengenali dengan lebih erat. Penulisan dia adalah satu bonus yang menceriakan hati yang pernah terluka. Kasih sayang yang dia tunjukkan dan dikongsikan membuatkan bibir sentiasa mengukirkan senyuman girang.

Aku mengerti yang aku bakal berkongsi dia dengan mana-mana manusia yang mengenali dia. Dia terlalu baik dan sering membuatkan sesiapa sahaja senang kepadanya. Sungguh! Dia tidak akan menghampakan kalau kamu cuba meminta pertolongan. Senang hatinya berkongsi dan aku juga terpaksa tabah berkongsi dia bersama yang lain. Ah, acapkali hati ini degil. Cuba berkeras, tetapi dia sentiasa bisa melumpuhkan hati dengan gayanya yang ceria.

Oh Tuhan, kuatkan hati ini Tuhan. Aku sudah berikrar janji setia bersama Si Kosong. Kepercayaan dan kasih sayang yang kami bina bukan satu ilusi tapi ikatan antara dua hati. Mungkinkah aku terpaksa melepaskan jejaka ini agar aku dapat membina kehidupan yang membahagiakan dengan Si Kosong? Tabahlah wahai hati, sentiasa tabah dengan apa jua cabaran yang melanda. Lupakan dia walaupun dia pernah singgah sebagai antara manusia yang terbaik dalam hidup di Bumi ini.

Sayangku wahai jejaka...
Walaupun kamu terlalu istimewa, hati ini terpaksa melupakan kamu.
Kaki harus melangkah dan berhadapan dengan dunia sebenar. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi kamu bersama yang lain. Terima kasih atas kenangan yang pernah kita semai bersama. Kamu sentiasa dekat di hati ini. Tutur kata kamu yang indah akan sentiasa terpahat dalam minda dan jiwa ini.
Jejaka, kamu memang manis dan menawan, tapi apakan daya...aduhai.

http://funista.files.wordpress.com/2009/03/striped-socks.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Oh, aku sukakan sarung kaki sampai ada di antara kamu sudah memikirkan ianya bakal jadi hadiah terbaik buat aku dalam apa-apa acara juga. Hanya sarung kaki tertentu sahaja yang dapat digayakan ketika aku memerlukan.

Jangan risau, aku masih bersama dengan Si Kosong. InsyaALLAH, berkat doa kalian, kami masih bersama. Penulisan yang aku paparkan di atas adalah bagi memenuhi tuntutan sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Zelo55. Penulis dikehendaki menulis sesuatu mengenai diri Zelo55. Ya, mungkin penulisan berbentuk pujian menggunung yang disandarkan buat dia, tetapi itulah yang dikehendaki sebagai syarat pertandingan yang dia anjurkan. Untuk maklumat lanjut, sila tekan SINI.

Zara : Sedang menikmati nikmat hujan yang diturunkan Allah ke muka bumi. Oh, bahagia rasa di hati. Bukan sahaja penulisan aku di sini memuji orang, tetapi ada seseorang yang mempunyai bilik bersepah juga menulis mengenai aku di SINI.

Sunday, September 13, 2009

Permintaan Terlampau Seorang Gadis Yang Diliputi Tepung Sambil Memeluk Ketuhar Secara Intim.


Salam kasih sayang buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Maaf jika aku kurang dapat melawati blog kalian semua. Mohon ampun dan maaf disebabkan aku dilanda kesibukan yang bukan mudah diselesaikan. Berperang dengan tepung, penimbang dan ketuhar membuatkan aku hampir kehilangan tenaga dan tiada emosi. Sumpah! Hampir hilang diri.

Proses bermula seawal pagi. Usai membasuh pakaian keluarga dan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh mereka yang bersahur dan berbuka puasa, aku memulakan operasi membuat kuih raya bersama Emak tercinta. Oh, ibu jari aku sedang kejang sekarang. Maaf ku pinta dari kalian. Kuih yang berjaya dibuat hari ini tat gulung nanas, suji Arab dan samperit.

http://www.cartoonstock.com/newscartoons/cartoonists/bfr/lowres/bfrn28l.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Setelah tidak sedarkan diri hampir dua jam petang tadi, aku kembali memeriahkan dapur sambil hampir berguling di lantai disebabkan kepenatan yang dahsyat. Kiranya aku lebih rela beraksi di padang bola berbanding kekejangan akibat menghadap ketuhar baru sebesar 60 liter. Hampir sebesar sebuah peti bergambar yang bersuara. Oh ya, malam ini rasanya aku mahu diurut oleh lelaki ini memandangkan dia sudah kematian isteri dan anak akibat perbuatan John Merah (baca : Red John).

http://www.blakeneely.com/projects/mentalist/the-mentalist.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Rasanya beliau tidak akan menolak. Sekurang-kurangnya, keadaan mental aku bakal berada di tempat yang sepatutnya setiap malam Sabtu menonton dia di SINI. Tulang temulang berbunyi mengalunkan irama yang aku sendiri tidak mahu. Aku rindukan seseorang tetapi terlalu sibuk sehingga hari Ahad. Mungkin juga masa berkualiti bersama dia hampir ke tahap bahaya. Hanya berharap dia bakal mengerti keadaan aku ini.

Buat sahabat sekalian, aku bakal kembali pada hari Isnin. Sila tunggu aku ya? Aku bakal lawati rumah kamu semua selepas aku berjaya memulihkan diri ke tahap yang seharusnya. Kemahiran berguling aku semakin tumpul kebelakangan ini - aku percaya ianya harus digilap kembali. Rindukan kalian semua.

Zara : Mahukan Patrick Jane menguliti aku malam ini - membuatkan aku lupakan segala kepenatan dan permasalahan dengan kebolehan dia memanipulasikan minda.

Friday, September 11, 2009

Khas Buat Si Kosong - Maafkan Aku Kerana Bakal Menerima Kunjungan Merisik Petang Ini


Ini penulisan khas buat Si Kosong.
Maaf kalau aku membuat kamu terus membaca luahan hati aku di pagi Jumaat ini. Petang ini mereka bakal berkunjung. Keputusan di tangan aku. Maafkan Si Comel ini wahai Si Kosong. Aku tidak bisa menahan keinginan keluarga dia dari datang berbuka puasa di kediamanku. Hati ini milik kamu wahai Si Kosong walaupun acapkali kamu tahu aku sering berpoya-poya, namun kamu redhakan semuanya demi melihat senyuman aku.



******************************************
Malam tadi Si Kosong menghubungi aku. Usai peperiksaan dia berakhir semalam, dia sudah menghubungi aku juga. Demi melunaskan janji kami bersama, malam tadi dia menghubungi aku lagi. Hanya berbual kosong dan bertanyakan khabar seperti biasa. Perbualan kami bertukar rentak. Rahsia yang ku simpan terlerai bila dia bertanyakan rancangan aku pada hari Jumaat.

Si Kosong (SK) ; Si Comel (SC)

SK : Esok kamu buat kuih lagi ke?
SC : Mungkin juga, petang rasanya. Nak kena kemas rumah lagi, sebab petang ada orang nak datang.
SK : Siapa nak datang?
SC : Alahai...Ada orang mahu datang berbuka puasa di rumah bersama keluargaku.
SK : Siapa sayang?
SC : Ada orang mahu datang merisik aku. Maaf.
SK : Merisik kamu? Awalnya!
SC : Aku sudah habis belajar, mungkin itu yang membuatkan mereka mahu datang.
SK : Alahai, kenapa tiada orang datang merisik aku?
SC : Kamu belum habis belajar lagi.
SK : Siapa orang yang nak datang tu? Orang mana?
SC : Orang Johor juga. Ala, kamu jangan risau, pandai-pandailah daku uruskan. Lagipun, muda lagi, takkan aku mahu terima.
SK : Manalah tahu kalau makcik itu sanggup tunggu kamu.
SC : Alahai, nanti orang cakap dengan makcik itu, kalau mahukan daku, sila bayar RM 20 ribu.
SK : Kalau makcik itu terus keluarkan cek, cakap dia boleh bayar macam mana?
SC : Err, daku minta lagi benda lain lah. Kereta, rumah, DSLR, telefon genggam, macam-macam lagi.
SK : Oh, tinggi permintaan kamu ya?
SC : Kalau sudah tidak mahu, harus ditolak dengan cara begitu.
SK : Sayang, beritahulah. Mana kamu kenal keluarga makcik itu? Tak suka lah macam ni.
SC : Kenapa ni?
SK : Ya lahh, mana boleh orang datang merisik kamu, nanti lepas tu tiba-tiba kamu bertunang, macam mana?
SC : Alahai, tenanglah.
SK : Mana boleh tenang?
SC : Alahai, itu makcik-makcik aku yang mahu datang berbuka puasa lah...

Ketika ini SK masih tidak mendengar kenyataan terakhir aku itu...

SK : Mana kamu kenal dia sayang?
SC : Eh, kan dah kata makcik-makcik aku mahu datang berbuka di rumah. *gelak*
SK : Kamu kenakan daku sayang, sampai hati...*sedih*
SC : Alahai, daku bergurau sahaja. Hajat hati nak kenakan kamu sampai esok sebenarnya, tapi takut ada orang yang tak senang duduk sepanjang hari nanti.
SK : Memanglah...Sampai hati kamu...
SC : *gelak*
SK : Kalau kamu tak beritahu tadi, mesti daku sudah murung sepanjang hari esok...



Oh, sangat enak mengacau Si Kosong malam tadi. Jangan takut ya Si Kosong. Kalau diizinkan Yang Maha Esa, kamu yang bakal datang merisik dalam masa dua tahun lagi. Alahai...

Zara : Sedang mengemas rumah. Ada orang mahu datang berbuka petang ini. Oh, berbuka sahaja. Tiada anasir dan unsur lain. Selamat berhujung minggu dan mencari malam-malam sepuluh yang terakhir sahabat semua. Sayang dan cinta kamu semua.
Oh ya, tadi Pak Usu menghantar pesanan ringkas buat aku. Mak Usu selamat melahirkan anak kedua mereka dan bayi perempuan itu merupakan cucu ke-37 dalam keluarga sebelah Emak aku.

"Kerana Kamu, Dia Dapat Satu Telur Tambahan dan Aku Pula Berbulu Merah Jambu"


Ini adalah paparan terbaru telefon genggam aku setelah ada yang menyatakan aku manusia yang tidak bersyukur di SINI. Oh, itu hanya pengertian aku berdasarkan emosi aku ketika itu. Tidak melibatkan sesiapa dan manusia bernama Zara ini memang pelik. Untuk membuatkan keadaan bertambah baik, aku gunakan ini sebagai cara membalas balik kasih sayang yang aku terima dari pandangan yang dilontarkan.


*Dengar Tiada Kejahatan (baca : Hear No Evil)*

Oh ya, petang tadi sebelum aku melaksanakan tugasa khas sempena menjelangnya hari raya, aku menerima penggilan dari teman wanita aku, B. Dia mengamuk, aku syak dia sedang dijajah oleh tentera dan telah cedera di medan peperangan.

Aku : Kenapa mengamuk ni?
B : Kamu buat aku pukul Jejaka di luar kawalan. *menangis*
Aku : Eh, kenapa pula? Aku buat apa ni?
B : Jejaka kata kamu sudah bernikah semalam. Aku marah sangat. Aku cakap dia tipu.
Aku : *tersengih* Sudahnya, kenapa kamu pukul dia?
B : Dia kata dia ada bukti dalam komputer riba dia kalau aku mahu lihat. Dia tunjuk pada aku. Aku sudah menangis.
Aku : Oh, itu berita baik. Kamu basah. *gelak*
B : Tapi rupanya itu hanya mimpi kamu! Benci! Jejaka ketawa dengan kuat dan aku sangat bengang. Sudahnya, aku pukul kepala dia dengan tetikus komputer riba dia.
Aku : Oh Tuhan! Dia baik sahaja?
B : Dia dapat telur di dahi akibat perbuatan aku. Dia dapat telur tambahan.
Aku : Oh, kesiannya. Kamu jangan merajuk dengan dia.
B : Belum sempat aku merajuk, aku sudah dapat benda yang berbulu merah jambu. *ketawa*
Aku : Benda apa?
B : Benda berbulu. Budak yang tidak akan berkahwin buat masa terdekat tidak perlu tahu. *ketawa*
Aku : Alahai, kalau tempat gantung di telefon tu, aku pun ada. Warna hitam walaupun aku tak pasang.
B : Bukan... *gelak*


Adakah ini benda berbulu merah jambu yang kamu terima B?
Sila jawab soalan aku.

Buat Jejaka, terima kasih kerana kamu menunjukkan penulisan aku pada B. Mesti kamu gembira melihat air mata yang mengalir dari wanita yang keras hati itu. Tahniah! *senyum*

Zara : Hantaran sudah dihantar. Harap penerimanya bakal menerima dengan senyuman dan menyebarkan rasa cinta yang mendalam ini dengan lebih sempurna. Oh, Si Kosong sudah tamat peperiksaan dan sedang bergembira untuk membuat kuih raya.

Tuesday, September 08, 2009

Tikaman Dari Belakang Atau Hadapan Tidak Menjadi Masalah - Sila Tikam Dengan Lembut.


#Dari kamar seorang guru#

Ucapan selamat berjuang setelah menghabiskan usia selama beberapa tahun belajar demi menghadapi dan melangkahi takah yang seharusnya. Kemuncak sekolah rendah di Malaysia akan dihiasi dengan peperiksaan UPSR yang bakal bermula dari Selasa (08 September 2009) hingga Khamis (10 September 2009).

Ucapan selamat buat adik kandung, Khadijah dan beberapa sepupu dari sebelah Abah dan Emak.
Dari sebelah Abah : Azim
Dari sebelah Emak : Hajar, Afiq, Anas

****************************************

Usai solat hajat bersama keluarga selepas terawih tadi, aku didatangi oleh surat elektronik daripada seorang sahabat lama. Ya, aku pernah menulis mengenai dia walaupun hanya secebis cuma. Dia yang hadir secara maya tetapi mempunyai jalinan yang agak kukuh dengan aku. HB.

HB menyatakan dia dikhianati oleh mereka yang dipercayai dalam lingkungan jaringan sosial dia. Mereka yang terdiri daripada keluarga dan sahabat handai. Dia termangu dan ingin mencari jalan penyelesaian. Surat elektroniknya aku balas secepat mungkin - mengharapkan dia bakal bersabar dengan apa sahaja ujian yang melanda tatkala ini.

Suatu kejutan!
Aku menerima panggilan dari dia!

HB : Saya menunggu jawapan daripada awak. Malaysia baru lepas solat terawih bukan?
Aku : Ya. Jauh juga kamu membuat panggilan ni. Saya sudah jawab semua persoalan kamu di surat elektronik sebentar tadi.
HB : Ya, saya mengerti tetapi masih keliru.
Aku : Keliru mengenai apa?
HB : Apa maksud walau bagaimana cara ditikam, sila pastikan ditikam dengan lembut?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiiSD0hCORjW_ArMwJ7gnOGQCrc3Q2cL9kv_2re2Q4ewfTm5daOQcQ5S7sHTNW8uAviTxnTJqUju5Nh_j0B3U0LrfswBuVuwg7ppYBlvnxrUk362R50mD2nnrf8FYFXThxFSH2pBmhHe_jN/s400/stab-in-the-back.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Aku : *ketawa* Oh, itu maksudnya, walaupun apa yang terjadi, kamu harus tabah dan pastikan hati kamu lembut menerima sesuatu. Kalau hati kamu keras, sudah tentu kemarahan bakal menjelma.
HB : Betul juga. Hati masih rasa sakit.
Aku : Sudah tentu, tetapi ingat isteri dan tiga anak kamu. Usia kamu masih muda lagi. Baru menginjak 23 sahabat.
HB : *gelak* Kamu memang seperti dahulu. Kalau saya mahu terjatuh, kamu tentu akan sentiasa ada untuk menahan dan menarik kembali.
Aku : Sudah tentu. Bila pulang ke Malaysia?
HB : Dua hari sebelum Aidilfitri. Hajat hati mau bertemu kamu bersama anak dan isteri. Moga dimakbulkan doa ini. Mahu mengenalkan kamu kepada Adam D., Hawa Z. dan Qabil O.
Aku : Saya juga mendoakan yang terbaik buat kamu semua.
HB : Sehingga bertemu nanti.
Aku : InsyaALLAH. Salam buat isteri dan anak-anak.

http://www.darksungames.com/dsgallery/cupid_kills.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Moga yang terbaik menjadi milik kamu teman. Moga yang terbaik sentiasa menjadi milik kamu. Aku hanya mampu mendoakan. Yang lain terserah kepada Yang Maha Kuasa.

Zara : Aku mencari ruang peribadi untuk diri sendiri dan menjalani kehidupan seperti biasa dengan mereka yang aku sayang. Jangan mencemuh, jangan menghina. Aku bakal membuatkan kamu terlupa siapa aku nanti. Oh, selamat berjaya juga buat Si Kosong. Dia akan menjalani peperiksaan bermula Selasa hingga Khamis juga!

Monday, September 07, 2009

Malam Tadi Malam Pertama Kami Berdua. Oh, Bukan Bermaksud Telah Melupakan Yang Lama


Semalam keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan untuk diri kekal gagah dan tabah di atas suatu tempat yang di panggil dunia. Acapkali diri disinggahi dengan penyakit kecil seperti itu yang selalunya berjaya mengekang ketabahan hati dan ketahanan tubuh. Ah, selsema sentiasa berjaya membuat aku terdampar di kamar ditemani dengan tisu-tisu yang tidak putus berkunjung ke hidung. Sengsara!

Malam tadi, tidur diulit sedikit kebahagiaan. Aku sudah punya dia yang aku dambakan sejak minggu lepas. Bukan bermaksud aku sudah lupakan Si Hitam. Sumpah! Bukan! Si Hitam dan aku sudah bersama semenjak tiga tahun lalu, banyak yang kami telah lalui bersama. Bukan sedikit cabaran yang kami tempuhi sepanjang aku bergelar mahasiswi atau insan secara umumnya. Kami bersama tatkala senang dan susah.

http://www.doudou-shop.com/produits/couple_ours/couple_ours_zoom.jpg
*Oh, ini bukan dia*

Semalam dia yang baru hadir. Ya, mungkin tidak semewah orang lain, tetapi dia masih yang baru. Baru dilahirkan dan menghuni hati aku semalam. Kami mengikat janji bersama dan dengan harapan masih punya waktu sampai ke satu tahap tidak memerlukan dia lagi atas sebab tertentu. Sungguh, dia hadir membawa sedikit kegembiraan tatkala aku dirundung kesakitan.

Selamat datang Si Merah.
Selamat datang ke dunia sebelah Zara.
Selamat datang ke dunia yang penuh suka dan duka!
Hidup indah bakal bermula dengan kasih sayang seorang wanita muda dan sebuah telefon genggam yang mempunyai paduan tiga warna.
Selamat datang Si Merah sayang.
Oh ya, Si Kosong juga punyai sesuatu yang sama seperti aku. *senyum*

http://www.priceindia.in/mobile-phone/wp-content/uploads/2008/11/nokia-5130.jpg
*Gambar penghargaan di SINI*

Zara : Masih kurang sihat. Selamat bercuti buat mereka yang bercuti hari ini. Oh, Johor tidak mengambil cuti pada hari Nuzul Al-Quran. Hanya pada Awal Ramadhan. Buat sahabat penulis blog yang tidak sengaja membuat panggilan pada aku malam tadi, aku masih mahu ketawa dengan perbualan gila kita walaupun hanya seketika.