Monday, January 31, 2011

Hidup Riang Perlu Diteruskan.


Hujan mencurah-curah.
Aku hilang tiga hari tanpa ada sesiapa pun yang sedar.
Ketawa.
Kau bukannya penting Zara.
Ludah ke tanah.
Ah, makin bertambah air hujan di tanah merah.

Senyum.
Ini bukan kali pertama.
Bahkan aku sudah lebih bersedia untuk tidak mengalirkan air mata.
Senyum.

[Gambar : Cukuplah permainan sampai di sini sahaja. Kudrat yang tinggal harus kembali bekerja kuat seperti dahulukala.]

Diam.
Dunia masih bergerak seperti biasa.
Ceritera sudah tamat.
Malangnya diakhiri dengan episod duka.
Senyum lagi.

Masa untuk mulakan hidup baru kembali.
Gerakkan dunia seperti biasa.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Aktiviti luar harus diperbanyakkan selepas ini. Kepala yang penuh dengan kerja adalah terapi terbaik.
2. Hujan mencurah-curah dengan lebatnya sejak Rabu lepas. Apakah itu petanda yang aku tidak hiraukan ataupun diri yang tidak mengerti?

Zara : Ternyata menulis kembali adalah terapi terbaik buat aku seperti suatu ketika dahulu. Corak hidup kembali berubah dan ternyata aku masih hidup dan kekal bernyawa. Alhamdulillah.

Friday, January 28, 2011

Kau Dengar Lagi Tangisan Anak Rapuh Itu


Hening subuh, dingin.
Titisan air yang menitis dari hujung rambut dikesat bersungguh sambil mata kerap menjeling ke arah jam yang berdetik di dinding beku. Acapkali mata salah memandang waktu sebenar dan yang sepatutnya.
Diam.

Telefon genggam berbunyi, tangan segera mencapai. Nombor entah mana muncul tidak dihiraukan. Yang pastinya, panggilan itu perlu dijawab terlebih dahulu sebelum fikir entah apa-apa. Suara di hujung talian, mersik dan bergema. Mulanya tidak dikenali, ada gurauan seperti orang luar, sebelum suara sebenar muncul dan memulakan bicara.

Pemanggil : Kau kenapa?

Mendengar suara penuh prihatin bertanya, air mata yang di empang selama berhari-hari musnah, mengalir deras begitu sahaja. Sekali lagi pemanggil mendengar tangisan penuh duka dari hati yang kuat tapi rapuh atas nama cinta. Rasa marhaen penuh celaka apabila air mata berguguran dan pemanggil terlampau baik itu hanya mendengar dan memujuk penuh berjaga.

[Gambar : Menutup mata dari tangisan kelihatan buruk dan menjijikkan hati barangkali. Aneh sekali]

Pemanggil : Ceritakan apa yang jadi.
Penjawab : Sudah dua kali kau dengar tangisan sebegini.
Pemanggil : Cerita apa yang jadi, ayuh.
Penjawab : Begini...

Butir bicara yang keluar acapkali tersekat dengan tangisan yang bukan dibuat-buat. Nafas berombak, memikirkan diri yang sudah tidak terurus, bahkan rambut pun lupa disikat. Ah, kegilaan apakah yang merasuk sehingga diri sendiri terabai entah mengapa. Air mata mengalir laju bila setiap patah bicara terhambur pada pemanggil yang mendengar penuh setia.

Aneh.
Dada lapang walaupun air mata tidak sirna menghilang.
Otak kejang.
Sakit rahang.
Mata merah menyala bagai saga potong lesen terbang.

http://farm6.static.flickr.com/5163/5358525772_2aa0369414.jpg
[Gambar : Apakah kau akan habiskan masa sendirian dan menangis dalam hujan lagi?]

Tamat di sini.
Masa berhenti.
Ini tulisan hari ini.
Tentang siapa, itu kena tanya diri.

Zara : Hidup baik-baik. Hujan lebat yang menghiasi dada langit sejak dua tiga hari ini, sila menjauh pergi. Marga perlukan warna ceria, tolong.

Wednesday, January 26, 2011

Semalam iPhone Dalam Seluar Dalam, Hari Ini Macbook Jadi Kek Busuk.


Busuk.
Adakah legasi kita masih berterusan?
Aku percaya legasi kita sedang diperjuangkan.

Aku tahu kau tak akan jawab telefon.
Aku tahu kalau aku hantar pesanan ringkas pun tidak akan berjawab.
Aku tahu kalau aku kirim Twitter berjuta kali pun pasti tiada balasan.
Sebab kau ada pesan - di ulang tahun kau, kau tidak perlukan itu semua.
Tapi aku tetap mahu mengucapkan selamat ulang tahun buat kamu sahabat.
Senyum.

[Gambar : Selamat ulang tahun ke-24 Busuk. Kek ini sungguh sesuai dengan kau. Sumpah.]

Terima kasih sebab hadir sebagai teman terbaik aku sepanjang kita kenal antara satu sama lain. Hari ini (26 Januari) adalah ulang tahun kelahiran kau yang ketiga sepanjang aku kenal kau. Dah lama rupanya kita kawan kan Busuk?

Busuk.
Kau sahabat terbaik aku.
Walaupun macam-macam peristiwa yang aku lalui, kau tetap ada bersama aku.
Kekal berikan aku semangat, dan tarik aku bila aku jatuh.
Senyum.

Hidup kita unik kan?
Ya.
Itu sahaja.

Macam biasa, aku doakan yang terbaik untuk kau. Sentiasa.
Sebab apa?
Sebab kau manusia yang signifikan dalam hidup aku.
Ingat bicara kita?

Kau : Kalau kau kira yang itu, aku kira juga kau punya yang itu.
Aku : Mana boleh?
Kau : Kenapa?
Aku : Sebab aku langsung tak ingat apa-apa pasal dia.
Kau : Maksud kau?
Aku : Selalunya kalau orang itu ada nilai signifikan dengan aku, pasti aku ingat sesuatu pasal dia. Tapi ini tak, langsung takde.
Kau : Dah kau kawan dengan orang dalam hutan.
Aku : (ketawa) Sumpah keji.

[Gambar : Persahabatan kita yang unik. Kau sahabat aku, aku sahabat kau. Kita nampak garis yang merentangi dan tidak akan melintasi.]

Oh ya.
Kalau kita tengok semula dari tahun dua kosong kosong lapan sehingga ke hari ini, kita berdua sudah terlampau banyak berubah. Dari saat aku bergelar mahasiswi tahun akhir pengajian sarjana muda sehingga aku sudah mula mempunyai pekerjaan tetap, kau antara tulang belakang yang langsung tidak pernah memperlekehkan aku. Terima kasih sahabat.

Dan, aku harap aku jumpa butang ini untuk diberikan kepada teman wanita kau.
Kalaulah aku dapat cari ini untuk diberi pada kalian berdua.
Ketawa.

[Gambar : Baiklah, ini akan mengundang kutukan dari kau. Ketawa]

Selamat ulang tahun sahabat.
Kau masih yang terhebat.

Nota Kaki :
Tulisan aku mungkin kurang sempurna akibat ditimpa hujan tanpa henti, tapi aku mahu kau tahu wahai sahabat, aku sentiasa berharap kau akan dapat menjalani kehidupan yang kau idamkan. Semoga segala impian kau bakal tercapai.

Zara : Kalau ada sesiapa yang menyatakan lelaki dan perempuan tidak boleh menjadi sahabat, kami dengan senyum simpul akan menyatakan kalian tidak melihat dunia dengan tepat lagi. Bukankah bumi ini sfera, bukan bulat?

Tuesday, January 25, 2011

Tempat Terbaik Simpan iPhone : Dalam Seluar Dalam.


Salam semua.
Hari Selasa yang menampakkan Helios serta Lucifer berlumba-lumba mahu menunjukkan wajah. Pemutusnya, awan gelap menyelubungi dada langit dan rintikan hujan bertukar lebat walaupun kini sudah berhenti. Ah, harapnya petang juga begini supaya latihan olahraga dibatalkan. Eh?
Ketawa.

Manusia beku ini sudah bertukar menjadi panda.
Ketawa.

[Gambar : Panda memang comel kan? Cepat kata ya!]

Ah, sudah lebih empat puluh lapan jam tidak melelapkan mata. Harus aku akui bahawa menantikan sesuatu yang tidak pasti memang membunuh sebahagian daripada kekuatan yang selama ini aku kumpulkan. Ternyata, kesakitan yang manusia lain laungkan sudah mula menyelinap masuk ke segumpal darah merah bernama hati. Penuh berjaga aku cuba tapis segala unsur penuh cela, tapi ternyata, aku gagal sedikit walaupun masih lagi gagah.
Senyum manis, paksa.

Sewaktu rehat pagi tadi, ada dua orang murid datang berjumpa aku, membuat pengaduan ada rakan sekelas mereka yang membawa telefon genggam ke sekolah. Aduhai, aku memang lemah mahu menggeledah kelas untuk mencari barang yang terlarang dari di bawa ke sekolah. Mendapat aduan tersebut, aku bergegas mencari ketua disiplin dan pengawas. Walaupun aku sendiri adalah guru badan pengawas, aku lebih suka berbincang dengan ketua disiplin akan tindakan yang bakal diambil.

Jadi, selepas loceng berbunyi, bersama ketua disiplin dan barisan pengawas, kami melakukan pemeriksaan di dalam kelas yang berkenaan. Alhasilnya, telefon genggam ditemui di dalam sebuah beg murid lelaki walaupun aduan diterima ia sepatutnya milik seorang murid perempuan. Antara barang yang ditemui adalah alat solek dan sebagainya. Pemeriksaan badan secara umum dilakukan tetapi telefon genggam yang sepatutnya dikatakan milik murid perempuan tersebut tidak ditemui.

Suspek kelihatan resah walaupun aku tidak menjumpai telefon genggam di beg dan meja mereka. Keadaan diri dia yang membuat muka tidak tahu apa-apa memang menaikkan rasa geram dalam diri aku. Timbul satu ilham, kaedah yang digunakan oleh guru disiplin aku sewaktu zaman persekolahan dahulu.

Aku : Ada benda-benda lain yang awak semua rasa perlu serahkan pada saya?
Budak-budak : Tiada.
Aku : Saya tanya sekali lagi, ada ke tidak?
Budak-budak : Tiada cikgu.
Aku : Baiklah. Awak semua buatkan saya tiada pilihan. Cikgu saya dulu akan raba badan setiap murid kalau dia tidak puas hati dengan apa yang dia tak jumpa. Boleh saya buat?
Budak-budak : Betul cikgu, tiada.
Aku : Saya nak mulakan pemeriksaan terperinci. Sila beratur.
Budak-budak : Baik cikgu.

Sewaktu aku sedang berdiri di hadapan budak pertama, sempat aku menjeling reaksi mereka. Masih tidak ada yang mahu mengaku. Semakin menghampiri murid pertama, seorang pengawas memanggil aku. Suspek sedang bercakap dengan pengawas sebelum sempat aku melakukan pemeriksaan terperinci ke atas mereka. Nah, ugutan sedemikian memang berhasil. Kalau sepuluh tahun yang sudah ianya berhasil, nampaknya ia masih berhasil hari ini.
Ketawa.

http://farm2.static.flickr.com/1001/5178540969_1313d1925d.jpg
[Gambar : Kami dapat iPhone tahu? Dapat iPhone! - Sumpah poyo tulis begini kan? ]

Pengawas itu menghampiri ketua disiplin dan memberikan telefon genggam yang didapati dari murid perempuan tersebut. Bila diselidik, ternyata dia sembunyikan telefon genggam (baca : iPhone) tersebut di dalam seluar dalam. 
Pitam.

Kau berani letak telefon genggam kau dalam baju?
Alangkah kalau Nokia Xpressmusic 5800 pun begitu disayangi dan disimpan kemas di dalam kocek baju atau seluar atau tas tangan, ini iPhone diletakkan di dalam seluar dalam? Mesti ada bau kan?
Eh?
Ketawa.

Cuba kalau telefon itu berbunyi atau bergetar semasa di dalam seluar dalam?
Ketawa.
Jangan bayangkan.
Jangan.
Haram.
Sengih.

Ternyata ketua disiplin tidak mengetahui dari mana telefon genggam itu dikeluarkan. Hasil rampasan dibawa ke bilik guru dan sewaktu dia mahu merekodkan segala barangan yang didapati, aku menghampiri dia dengan membawa sekotak tisu.

Aku : Ustaz, nah tisu.
Ustaz : Kenapa?
Aku : Telefon itu tadi budak itu keluarkan dari seluar dalam.
Ustaz : Hah! Astaghfirullah! (sambil ambil tisu dan mengelap tangan serta merta)

Aduhai.
Entah patut kata hari ini penuh jenaka atau apa agaknya kan?
Senyum.
Tenaga berlebihan bila aku tidak tidur hampir dua malam.

[Gambar : Sungguh menggembirakan apabila ternyata otak aku kejang apabila tidak tidur langsung]

Nota Kaki :
1. Ada latihan olahraga - langit yang mendung tapi sudah mengkhianati dengan memancarkan cahaya matahari terik tidak bertepi.
2. Semakin lama semakin menguasai apa yang perlu diajarkan kepada murid dalam membuat kerja kursus Kemahiran Hidup.
3. Kejohanan merentas desa peringkat daerah akan bermula dan kami adalah tuan rumah. Nak jadi penjaga Lelaki Bawah 18! (sambil buat mata bersinar-sinar)

Zara : Ternyata aku perlu duduk diam tanpa memberikan tindak balas yang sewajarnya. Aku terlampau penat untuk terus bertahan dan menghadam segala kesakitan sendirian. Ah, itu memang aku. Sakit adalah kesayangan marga beku aku.

Friday, January 21, 2011

Kenapa Aku Suka Lihat Lalu Lintas Ke Blog?


Salam semua.
Kepada yang sakit punggung bila baca penulisan sebelum ini, aku minta maaf kalau lubang punggung kau melecet. Tulisan manusia yang biasa-biasa ini bukanlah mahu menyokong atau menidakkan sesiapa. Ia tulisan atas dasar memerhati terlampau lama. Ah, lagi pula hari cuti, menulis ambil masa yang lama akibat menjalankan kerja sebagai suri rumah.
Ketawa.

[Gambar : Ramai pula yang tanya kenapa sudah lama tiada penulisan khusus untuk Encik Arnab. Ketawa]

Baiklah.
Mari kita langsung bicara ke arah persoalan yang aku terima petang tadi angkara penulisan yang biasa. Ah, susah juga bila baling sebiji bom, tapi bawa kesakitan melata kan? Macam tindak balas berantai dalam nuklear, benda ini akan merebak macam virus bila ada yang rasa sakitnya.
Senyum.
Sinis.

Soalan #1: Tulis blog sebab nak kejar trafik ke?
Aku : Bukan biasanya polis trafik yang kejar kita?
Soalan #2 : Penting kah trafik?
Aku : Cuba kau sampai simpang empat, tiada lampu isyarat, kau main redah. Ada berani?
Soalan #3 : Apa kegunaan trafik bagi kamu?
Aku : Ini merujuk kepada trafik apakah?

Soalan ketiga agak relevan walaupun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang asing jika orang memahami maksud trafik yang digunakan. Aku lebih suka melihat lalu lintas ke blog aku atas beberapa sebab walaupun ternyata aku bukanlah terkenal seperti sesetengah orang lain tentunya.
Senyum.

1. Pengunjung datang dari pautan mana.
Ini penting bagi aku disebabkan aku sendiri tidak mengetahui di mana orang meletakkan pautan aku di blog mereka. Jadi, bila aku melihat ada pengunjung yang datang dari blog tertentu, aku dapat membuat kunjungan balas dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi meletakkan blog ini dalam senarai blog yang mereka mungkin gemari atau lawati.

[Gambar : Boleh berkenalan kan?]

Aku : Terima kasih sudi letakkan pautan blog saya di blog awak ya?
Dia : Terima kasih sebab sudi baca blog saya. Mana jumpa?
Aku : Sebab saya tengok ada pengunjung dari blog awak. Terima kasih lagi sekali ya?
Dia : Kenapa cakap terima kasih dua kali? Malu saya.
Aku : Eh? Maaf.

Buat yang meletakkan pautan, tapi aku tidak ternampak atau terjumpa atau mungkin juga terlepas pandang, aku mahu ucapkan terima kasih atas kesudian kalian berkongsi dengan pembaca blog kalian laluan ke Dunia Sebelah Zara yang penuh dengan cacat cela. Ah, repekan aku boleh undang padah dan bikin hati parah.
Senyum dan geleng kepala.

Tiba-tiba pengunjung datang dari blog yang agak lucah, boleh gila aku dibuatnya seperti sebelum ini. Terkejut bila dipautkan di blog sedemikian rupad walaupun hanya sebagai senarai pautan yang selalu dibaca. Nah, kan berpeluh kau Zara.
Ketawa.
Gila.

2. Pengunjung datang dari kawasan mana.
Ini juga penting disebabkan aku boleh mengenal pasti corak pembaca yang membaca penulisan aku. Kebanyakannya datang dari tempat yang aku boleh kenal pasti siapa pembacanya. Tidaklah sampai mengesan alamat IP, aku cuma melihat siapa yang datang dan meneka sesuka kati aku. Sekurang-kurangnya orang yang mendakwa dia baca blog aku, bolehlah aku kenal dengan lebih rapat. Oh, dari situ jugalah aku boleh dapat tahu si dia singgah di blog aku atau tidak. 
Sengih.

[Gambar : Kalau dengan logo epal, larian safari dan terjunan dari negara bersalji saat ini, aku tahu kelibat siapa yang melalui. Ketawa geli hati]

Tidaklah terlampau tepat, tetapi bolehlah sekadar suka-suka mengacau kawan-kawan sendiri.
Senyum.

3. Kata carian atau kata kunci (baca : keywords) yang digunakan.
Ini sesuatu yang menyeronokkan. Sungguh buat aku ketawa betapa ramai orang mempunyai kadar imaginasi yang melampau tinggi. Mari kita lihat kata kunci yang aku dapat untuk hari ini. 

  • dunia sebelah zara
  • sweet couple cartoon
  • jalinan sentuh
  • saya cintakan awak
  • gambar ketawa kartun
  • telefon di terowong
  • kekasih gelapku
  • shafaza_zara blogspot
  • rutin guru dan rutin murid
  • ikatan tali
  • love pictures
  • lord zara
  • ikan musim mengawan
  • kenapa mahu menjadi guru
  • la tahzan
  • motor laju
  • saya rindu awak
  • surat untuk bakal ibu mertua
  • aku direbahkan
  • tiub merah

Tarik nafas.
Untuk hari ini, aku rasa yang terakhir itu agak menggusarkan.
Ketawa.

http://farm4.static.flickr.com/3347/3278230147_4a556a1c75.jpg
[Gambar : Benda yang manis itu sering memudaratkan. Adakah konsep yang sama boleh digunapakai pada manusia juga?]

Kata carian yang berubah setiap hari membuatkan aku menulis sambil berfikir, manusia adalah makhluk yang amat sukar dijangka. Apa yang mereka mahu lihat sebenarnya di luar jangkauan kita yang menulis, acapkali begitu sehingga aku menyedari, menulis ini sudah sebati menjadi urat darah.
Sebenarnya, itu sahaja yang aku mahu tulis saat ini. Tenaga aku untuk menggila sudah banyak terbebas pergi. Jumaat akan ada mesyuarat bersama dengan guru-guru sama daerah untuk membincangkan acara merentas desa kerana kami tuan rumah. Sabtu pula kerja seperti biasa dengan ada acara merentas desa peringkat sekolah.

Nota Kaki :
1. Kalau kau suka menabur sampah (baca : Spam) di Borang Musim Bunga (baca : Formspring) aku, jangan terkejut bila aku menjawab dengan tulisan yang sinikal dan sarkastik.
2. (sambil gosok mata) Budak sekarang memang unik bila berjalan pakai mahkota di atas tudung ke sana ke  mari apabila keluar berjalan. Fesyen menarik barangkali?
3. Mengajar diri senyum dengan ceria di hadapan cermin. Bila kali terakhir aku senyum ikhlas ya?

Zara : Cinta yang romatik itu ibarat dadah. Kau tidak percaya? Lihat ini. Dan, bila datang kepada kau satu drama yang sia-sia dan itu hanya menyakitkan hati, tinggalkan sahaja ia. Sungguh. Aku berkongsi sedikit di Tumblr aku.


Wednesday, January 19, 2011

Laman Sosial Penghubung Cinta : Twitter Salah Satu Cara.


Salam semua.
Menulis tatkala emosi sungguh tidak stabil akibat Adam Awraq telah dilanggar oleh seorang guru yang baru sahaja melaporkan diri di sekolah pagi semalam. Kejadian berlaku petang semalam selepas latihan merentas desa diadakan. Menangis di sekolah dan sepanjang jalan hampir satu jam membuatkan air mata aku sudah kering tetapi kesakitannya membunuh.
Senyum kelat.
Zara, sila tabah.
Nati aku bawa ke Perodua, tahulah bagaimana nanti mereka selesaikannya.
(kesat air mata)

Baiklah.
Mari kita menulis sesuatu yang menggembirakan, boleh? (Boleh ke tak engkau ni Zara?)
Ada sesiapa rasa lapar lepas memandang gambar di bawah?
Senyum (masih kelat)

[Gambar : Macam logo Twitter pula rasanya. Ketawa]

Mari kita lihat apa yang Twitter sajikan untuk semua penggunanya.
Sebelum itu, aku pernah bicara tentang pasangan yang terlampau cemburu tidak perlu ada laman sosial bukan? Cuma kali ini kita lihat bagaimana teknologi yang mudah itu sebenarnya memberikan impak kepada kehidupan.

1. Fungsi "All Friends"
Di sini kita akan dapat lihat status yang dikemaskini oleh setiap orang yang kita ikut (baca : follow). Sesetengahnya menjadikan ia sebagai tempat melepaskan perasaan (macam aku), berkongsi fakta-fakta menarik, tempat menghentam orang lain yang tidak punya akaun Twitter serta banyak lagi. Kadangkala ada yang meletakkan status penuh bunga dan sebagainya, tidak mustahil ada yang akan jatuh cinta. (Tapi kalau dia tujukan pada pasangan dia secara terbuka, jangan pula kau jatuh cinta secara tiba-tiba)

Oh, penulis blog sukakan bahagian ini kerana dapat mempromosi penulisan mereka juga.
Eh, macam biasa buat kan?
Ketawa (pahit)

2. Fungsi "Mentions"
Ini biasanya kita akan tujukan kepada sesiapa sahaja yang kita mahukan. Jika garis masa terlampau laju, kadangkala kita boleh tersalah "mention" - biasa kena pada aku, sebab itu tersangatlah perlu berhati-hati memandangkan setiap kali aku guna Twitter, ia melibatkan beberapa golongan yang berbeza.

Kawan : Kau tulis apa tadi Zara?
Aku : Eh?
Kawan : Kau salah tulis ni.
Aku : (ketawa) Nanti aku padam. Laju betul garis masa gerak.
Kawan : (ketawa)

Di sini juga, kau boleh lihat ada pasangan yang mengungkapkan kata cinta (dan mungkin juga nista) kepada pasangan masing-masing jika kebetulan kamu ikut kedua-dua mereka ataupun membaca profil peribadi mereka. Rahsia yang terbongkar juga kerap berlaku di bahagian fungsi ini.

Kawan #1 : Bunny kau duduk mana?
Kawan #2 : Dah tahu, dah tahu.
Kawan #3 : @Kawan#2 Siapa? Siapa?

[Gambar : Jangan malu-malu eh? Ketawa]

Oh, akibat perbualan di sini jugalah, ramai teman-teman wanita kawan aku di Twitter mula menjadikan aktiviti mengintai sebagai salah satu kegiatan rasmi mereka. Kakak-kakak, adik-adik, saya sudah punya Encik Arnab. Walaupun dia jauh, dia tetap sentiasa ada dengan saya. Kemalangan yang menimpa saya semalam, dia antara yang terawal membuat panggilan kepada saya walaupun saya tahu ia melibatkan kos yang banyak ya? Terima kasih.

3. Fungsi "Direct Message"
Ini yang menyeronokkan. Aku berkenalan dengan Arnab dan berbual dengan dia lebih setengah tahun hanya di Twitter. Gila bukan? Tapi sesungguhnya ia sesuatu yang mencabar sebenarnya buat orang macam aku yang banyak bercakap, aksara 140 adalah mencabar kreativiti untuk menulis dan lebih-lebih lagi kami berdua menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris yang sempurna ketika menulis. Senang kata, tiada singkatan. Ketawa.

http://farm5.static.flickr.com/4051/4655301937_48b88dfdd5.jpg
[Gambar : Kalau kau boleh baca tulisan itu]

Oh, DM juga dijadikan tempat bergosip yang agak peribadi jika tidak mahu semua orang baca di garis masa.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Tulisan aku sumpah bercelaru saat ini.
2. Demam panas secara tiba-tiba : mungkin akibat kemalangan kecil semalam.
3. Kaki bengkak akibat jatuh di laluan merentas desa semalam. 
4. Petang ini ada latihan merentas desa lagi.

Zara : Sedang mengajar diri sendiri untuk lebih tabah atas apa sahaja yang menimpa.

Monday, January 17, 2011

Perkara Pantang Apabila Aku Mengajar Di Dalam Kelas


Salam semua.
Ya, aku dah kembali setelah kehilangan semua pautan akibat menukar dari 32-bit kepada 64-bit. Baiklah, akibat kecuaian diri sendiri yang tidak menyimpan data atau pautan semua blog kegemaran dan apa yang diperlukan, dalam erti kata yang mudah, Sean dalam keadaan baru semula dalam masa kurang daripada sebulan selepas kali terakhir menjalani pemeriksaan kesihatan oleh bapa angkat dia, Si Busuk. Eh, bapa angkat ke pakcik angkat?
Ketawa.

Ehem, cantik teman wanita Busuk.
Bila nak kahwin?
Senyum.

Aku ditanya mengenai pekerjaan aku dan seperti biasa, apabila bertemu dengan rakan-rakan, mereka akan ketawa riang melihatkan aku yang masih bertahan dalam kerjaya ini walaupun kalau diimbau kembali, adalah mustahil aku berada di sini seperti yang dijangka dan diperhati. Ketawa.

Kawan : Kau belum masuk surat khabar lagi.
Aku : Apa dia?
Kawan : Kau belum mengganas di sekolah.
Aku : (=.=) Apa kau ingat aku penjenayah?
Kawan : Keganasan kau masa sekolah masih digeruni, dah jadi cikgu belum ada aksi?
Aku : (=.=) Aku tidak mengganas seperti zaman belajar.
Kawan : (ketawa) Rasa nak sangat tengok kau di sekolah.
Aku : (=.=) Silakan datang kalau berani.
Kawan : (ketawa) Perempuan ganas!
Aku : (ketawa)

http://farm5.static.flickr.com/4077/4931714506_4ecbb2856a.jpg
[Gambar : Agak-agak kau berani ke tidak aku pakai pewarna bibir sebegini?]

Ya, mereka semua memang selalu ulang dialog di atas sejak aku habis Tingkatan Lima bila aku berminat untuk mengisi borang BPG. Oh, tetapi tidak terpilih dan melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Johor sebelum menyambung pengajian di UTM Skudai dalam jurusan pendidikan. Jadi jangan sibuk tanya aku, adakah aku budak KPLI atau DPLI. Sesungguhnya bukan ya?
Senyum.

Kembali kepada tajuk yang dipaparkan, ada beberapa pantang di dalam kelas aku apabila pengajaran berlangsung. Oh, apa kau ingat amalan ilmu-ilmu atau petua sahaja yang ada pantang? Dalam kelas aku juga ada pantang, cuma tidaklah akan diserbu oleh Death Eater jika menyebut nama Lord Voldermort. Sudah mula merepek disebabkan dua hari tidak dilimpahi cahaya helios.

1. Bercakap, berbual secara kuat di dalam kelas.
Ini benda paling pantang. Bercakap sesama sendiri, berbual dengan orang sebelah, orang depan, orang belakang, kiri, kanan malahan di hujung kelas sekalipun amatlah tidak digalakkan kerana suara aku akan serta merta bertukar nyaring dan menyindir tepat ke muka. Sementelahan itu, sikap sarkastik aku dari dulu, kalau aku mengajar, dan ada orang bercakap, aku akan diam dan tengok orang yang bercakap.

Budak : (berbual)
Aku : (berhenti mengajar dan renung budak yang rancak berbual)
Budak-budak lain : (semua tengok pada budak yang aku sedang pandang)
Budak : (berhenti berbual dan tengok aku tanpa rasa bersalah)
Aku : Dah habis bercakap?
Budak : Dah cikgu.
Aku : Kalau belum habis, awak boleh angkat meja dan kerusi awak, duduk di luar, berbual sampai awak berdua gigit lidah sendiri.
Budak : Tak nak cikgu.
Aku : Kalau tak nak, boleh tengok apa saya nak sampaikan? Terima kasih.

http://farm3.static.flickr.com/2460/3598197018_df3f52887f.jpg
[Gambar : Nak bercakap juga? Sila bercakap dengan tangan saya]

Itu untung ditegur sedemikian.
Selalunya jika kesalahan berulang, aku dengan tidak sengaja, terbaling (aku dah kata tidak sengaja, kau lihat imbuhan TER- di situ), buku atau kapur atau pemadam papan hitam atau apa sahaja yang boleh dicapai oleh aku. Setakat ini hanya tiga benda sahaja itu pernah aku baling - pemadam papan hitam aku baling keluar kelas minggu lepas akibat marah dengan kebiadapan budak.

Tak seronok sebenarnya ada rasa marah semasa mengajar.
Perasaan akan menjadi lain dan keikhlasan untuk memberikan yang terbaik akan berkurangan.
Disebabkan itulah aku memang sedaya upaya menzahirkan diri untuk tahan marah dan perasaan.
Jangan meledak menjadi letupan.

2. Bersentuhan, bercuitan, berpegang tangan.
Baik lelaki atau perempuan, ada sahaja yang sambil bercakap, sambil bercuit-cuit, bertolak-tolak padahal aku sedang mengajar di depan. Bergurau senda hingga aku rasa nak makan seorang demi seorang hingga sendawa. Boleh begitu? Ketawa. Tak ingin aku makan budak-budak ini, banyak lagi makanan lain yang menyelerakan. 
Alahai.

http://farm4.static.flickr.com/3148/2929657330_03f89577da.jpg
[Gambar : Kau nak berpegang tangan begini? Boleh. Biar saya pateri dua-dua jari tu dulu]

Aku jujurnya pelik apabila budak lelaki bercakap sesama sendiri sambil bercuitan. Bukan aku tidak biasa melihat gaya mesra manusia, tetapi tidak begitu kena dengan cara dan budaya Malaysia barangkali. Bercakap, ketawa dan saling bertolakan itu mungkin, tapi bercuit-cuit sudah agak janggal di mata aku. Yang perempuan tidak perlu kata banyak, pergerakan tangan bagaikan sedang berpidato di khalayak ramai. Semakin dibiarkan, semakin kuat intonasi suara, semakin pantas gaya tangan seiring dengan bicara.
Sakit kepala.

3. Mata melingas tengok jam dan asyik tanya bila nak rehat.
Cukup suka bila masuk ke kelas yang tiada jam dinding. Ini bermaksud, budak bergantung kepada jam di tangan cikgu atau tangan sendiri atau tangan rakan-rakan mereka. Kebanyakannya akan memilih jam yang paling cepat supaya mata pelajaran cepat habis dan lebih-lebih lagi jika waktu itu sebelum rehat, mereka akan memastikan jam paling cepat akan digunakan (apa kau ingat jam aku salah ke budak-budak?)

Budak : Cikgu, hari ini dapat rehat awal tak?
Aku : Kenapa nak rehat awal?
Budak : Tadi pagi tak makan.
Aku : Siapa yang bising, jangan harap saya beri keluar. Saya boleh duduk di sini dengan awak semua sampai habis rehat.
Budak : (semua diam dan mungkin paksa diri untuk tekun bagi tiga puluh lima minit berikutnya)
Aku : (sengih)

http://farm3.static.flickr.com/2754/4334456172_f4d32f68f4.jpg
[Gambar : Budak-budak memang suka lagu Ana Raffali - Tolong Ingatkan Aku bila rehat hampir menjelma. Mereka akan mula mengira bila saat dapat keluar dari kelas]

Aku : Baiklah, kelas sampai di sini sahaja.
Budak - budak : (separuh dah sampai depan pintu)
Aku : Ada saya kata boleh keluar?
Budak-budak : (patah balik ke meja masing-masing)
Aku : Jangan lupa nak buku minggu depan, macam biasa. Terima kasih semua.
Budak - budak : Terima kasih cikgu (berlari mencicit ke kantin)

Masing-masing macam mangsa kebuluran padahal paginya aku nampak setiap seorang makan nasi lemak sebungkus selepas perhimpunan. Cepat betul dihadam agaknya (sambil geleng-geleng kepala).

4. Tak siap tugasan yang diberikan.
Bikin panas.
Bila kita kata kerja sekolah - dia kata kena buat di sekolah sebab kerja sekolah.
Bila kita kata kerja rumah - dia kata kena buat di rumah sebab kerja rumah.
Senang aku panggil tugasan, jadi peduli apa aku hendak dibuat di mana asalkan kerja aku akan dilangsaikan dan ada bila diminta.

http://farm2.static.flickr.com/1340/5132612818_b7355f7b86.jpg
[Gambar : Pernah bila kau minta hantar buku latihan, yang muncul adalah buku contengan penuh rojak?]

Bab ini adalah yang paling sadis dan menguji keimanan. Jarang dapat seluruh kelas menghantar buku yang aku minta. Pasti ada sahaja yang memenuhkan carta alasan yang boleh sampai termuntah-muntah mahu didengar. Benda yang sama berulang setiap kali, dari zaman aku sekolah bertahun-tahun lepas sampai ke hari ini.

Aku : Kenapa tak hantar?
Budak 1 : Buku lupa bawa.
Aku : Oh, hilang ingatan. Orang seterusnya?
Budak 2 : Tertinggal di rumah.
Aku : Siapa nak baca? Haiwan ternakan? Seterusnya?
Budak 3 : Buku hilang cikgu.
Aku : Dah jual ke bakar dalam tong sampah? Seterusnya?
Budak 4 : Kawan pinjam, tapi kawan tak datang hari ni.
Aku : Kalau saya suruh awak cari di rumah dia boleh?

Begitulah alasan akan berjela-jela.
Tahun ini aku bercadang tidak mahu mengugut sahaja seperti selalunya.
Mahu terus denda.
Ketawa.

5. Biadap.
Ini satu perkara yang sangatlah tidak boleh diterima. Setakat ini, sekumpulan murid Tingkatan Satu yang telah berjaya mencabar etika dan kesabaran aku sebagai seorang guru. Biadap dalam kelas aku, itu satu. Tidak pernah senakal-nakal murid lain sepanjang aku mengajar membuatkan darah aku menyangga hingga ke kepala. Kalau ada sekalipun, masih terkawal dan tidaklah menyerbu darah merah ke muka. Ini melampau hingga aku hilang kesabaran.

[Gambar : Kalaulah aku boleh melancarkan serangan tanpa belas kasihan kan? Baiklah, itu sesuatu yang sungguh mustahil sebenarnya]

Oh, akan berdepan dengan mereka lagi.
Apa perlu aku buat?
Seperti selalunya, ketap gigi dalam-dalam dan lemparkan senyuman bersahaja.
Ah, hati aku bukan rumah terbaik untuk menyimpan dendam kerana ia akan terbaja dengan subur oleh percikan syaitan dan iblis durjana. Baik sahaja aku buang fikiran yang menyesakkan bukan?
Senyum.

6. Tidur di dalam kelas.
Tiada siapa yang dapat enak membuai mimpi di dalam kelas aku. Kau tidur, aku datang kejut, aku goncang, goyang sampai kau bangun. Kalau tak bangun juga, aku akan suruh orang lain kejut. Tak bangun juga aku jerit biar tersentak. Biasanya cara ini berkesan. Jika tidak bangun juga, mungkin aku akan siramkan dengan air atau bacakan Yasin secara berjemaah di sekeliling mejanya sekiranya perlu.

http://farm4.static.flickr.com/3192/2476371119_bb497215ff.jpg
[Gambar : Setakat tahun lepas, semua yang tidur berjaya dikejut dan disuruh basuh muka di bilik air dalam masa kurang dari lima minit]

Walaupun ada orang kata lebih baik dibiarkan mereka tidur dari bangun dan mengacau orang, aku beranggapan yuran yang sudah dibayar adalah amanah yang perlu dipelihara dan dijaga. Gaji yang aku dapat setiap bulan sepatutnya hasil mengajar budak-budak ini menjadi manusia, maka seharusnya, kalau tidur, aku membangunkan mereka agar pengajaran aku dapat dilaksanakan.

Baiklah.
Itu perkara yang aku pantang dan amat jaki jika berlaku di dalam kelas aku. Lain orang mungkin lain gayanya. Aku tetap dengan apa yang aku pegang dari dulu. Itu sahaja.

Nota Kaki :
1. Isnin dan Selasa akan pulang lewat disebabkan ada latihan merentas desa.
2. Aku sudah lupa kehangatan matahari disebabkan cuaca sejuk sejak dua hari ini.
3. Tidak tidur lagi untuk kesekian kalinya minggu ini. Ah, persetankan dengan kesihatan diri, aku punya misi yang lebih penting dalam melunaskan kemarahan diri.

Zara : Semakin lama aku menyedari bahawa apa yang aku perlukan bukanlah apa yang aku lalui saat ini. Detikan dan kata-kata seseorang pada aku di hujung talian telefon mengingatkan aku betapa hidup aku berubah secara mendadak sehingga tiada apa yang diperjuangkan pertengahan tahun lalu dalam genggaman. Kosong. Hilang.

Sunday, January 16, 2011

Kenapa Lelaki Patut Segera Meminang Seorang Guru?


Salam semua.
Oh, ini adalah penulisan bergandingan dengan seorang teman yang pendiam.
Dia menulis tentang - "Kenapa Wanita Patut Menyesal Jika Menolak Lamaran Seorang Jurutera" (Ya, anda bakal jurutera, terima kasih)

Sebelum kamu semua baca dengan lebih lanjut, suka untuk aku mengingatkan ini adalah penulisan santai. Bukan tidak biasa kena maki dengan pembaca, tapi habiskan baca baru maki aku boleh? Terima kasih sekali lagi sambil tunduk-tunduk kepala macam orang Jepun (jeling-jeling bakal jurutera tu)

[Gambar : Kenapa lelaki patut segera meminang seorang guru ya? Lebih-lebih lagi kalau lelaki itu jurutera. Eh? Ketawa sambil pusing-pusing anak mata]

1. Hidup Berjadual.
Bukan kata wanita yang mempunyai pekerjaan lain tidak mempunyai jadual, tapi kalau cikgu, jadualnya setiap hari sudah tetap dan ditetapkan. Sampai penempatan dia di sekolah pun sudah berjadual. Kalau kau tengok cikgu Kimia, hidup dia bukan sahaja berjadual, malah berkala. Macam Jadual Berkala Unsur (baca : Periodic Table) tu. Jadi kalau suami dia itu jurutera, memang senang nak kejut orang bangun pagi.

5.00 pagi : Bangun pagi, masak air, buat sarapan.
5.50 pagi : Mandi, persiapan diri, solat Subuh.
6.20 pagi : Bersiap nak keluar rumah, menuju ke tempat ke sekolah.
7.10 pagi : Sampai sekolah.
7.30 pagi : Mula kelas.
10.10 pagi : Rehat
10.30 pagi : Masuk kelas lagi.
2.00 petang : Balik rumah (kalau tiada kelas tambahan atau aktiviti sekolah)

http://www.qualityprimaryresources.co.uk/WebRoot/StoreLGB/Shops/62030978/470A/6663/E667/BC16/BA85/7F00/0001/A3F7/DAILY_0020_TIMETABLE.jpg
[Gambar : Lebih kurang begini jadual cikgu]

Senang kan?
Jadi, kalau dah berkahwin, isteri itu akan mengatur hidup berkeluarga dengan lebih sempurna (insyaALLAH). 

Pagi : Sarapan + kemas rumah + masak.
Tengah hari : Makan tengah hari + duduk dengan suami (buatlah apa kau nak)
Petang : Rehat + minum petang + sediakan makan malam
Malam : Buatlah apa-apa aktiviti yang perlu

[Gambar : Sayang, awak duduk rumah, buatlah apa yang patut. Semuanya saya dah sediakan, tengok tepi dinding, atas meja solek, depan peti ais dan sebagainya. Ketawa]

Boleh diulang tanpa jemu dan membuat penambahbaikan jika perlu.
(Gila skema ayat macam buku pengurusan sekolah)

2. Dedikasi, komited dan penuh komitmen. (Ini ambil fakta sana)
Seorang guru yang hidupnya hanya berkisarkan sekolah dan tempat-tempat kerja biasanya akan penuh dengan sifat di atas. Bukan apa, ibu bapa penjaga sekarang kebanyakannya mengharapkan cikgu seratus peratus dan budak-budak pula biasanya akan menjadi besar kepala apabila dibiarkan. Maka cikgu kenalah beri perhatian pada murid secara berlebihan (janganlah sampai kau jatuh cinta dengan murid pula!) dalam memastikan duit gaji yang diterima itu halal digunakan dan dimakan. 

Sekejap.
Pernah kau dengar orang lain salahkan jurutera, arkitek, juruterbang, doktor, peguam dan sebagainya bila berlaku keruntuhan akhlak dan gejala sosial?
Mana ada!
Semua nak salahkan cikgu.
Maka, cikgu mestilah kena komited.

Konsep yang sama 
Jadi, kalau suami terabai di rumah, nak salahkan siapa?
Maka, si isteri akan komited untuk memastikan suami gembira, bahagia dan apa sahaja asalkan suaminya tersenyum girang dan tidak memikirkan untuk menambah cawangan lain. Eh?
(sambil asal pensel dan pisau di tepi)

http://farm3.static.flickr.com/2766/4327124010_33737c608b.jpg
[Gambar : Gembira sampai begini pun boleh. Tiada masalah]

3. Tidak boleh menipu atau berpeleseran.
Nak bagi markah, ada skema jawapan.
Pakaian ke tempat kerja, ada etika.
Nak tanda kertas, ada garis panduan.
Sampai sekolah, isi waktu kedatangan.
Balik sekolah, kena tekan lagi nombor di komputer.
Yuran murid semua ada hitam putihnya - nak pungut duit pun ada surat kuasa.
Bila boleh nak menipunya?

Nak berpeleseran?
Jauh sekali.
Kena tangkap boleh kena buang kerja tahu?
Lepas tu masuk surat khabar dan segala media dengan tajuk, "GURU ......"
Gila kau.
Mana nak sempat lupakan suami begitu?
Hidup akan dalam lingkungan - sekolah, keluarga, suami, sekolah lagi, keluarga lagi, suami lagi.

http://farm2.static.flickr.com/1052/553711949_1aadfae1d5.jpg
[Gambar : Apa kau ingat ada mabuk-mabuk? Makan benda ini sudah.]

Buat video sambil terkinja-kinja dikira berpeleseran ke?
Entah.

4. Terapi melepaskan tekanan.
Semua kerja ada tekanan.
Budak yang tolong isi minyak di stesen minyak pun ada tekanan.
Makcik-makcik yang basuh pinggan dan masak di kedai makan pun tertekan.
Tak masuk lagi nak rebus daging dengan periuk bertekanan tinggi tu kan?
Tapi bagaimana nak menguruskan diri kalau tertekan?

Cikgu-cikgu biasanya akan dihantar menghadiri kursus atau bengkel pengurusan tekanan (baca : stress management workshop). Selalunya ada, cuma akhir-akhir ini sejak ekonomi semakin sempit, kursus semakin berkurangan dan beban kerja bertambah. Tapi itu bukan suatu masalah sebab banyak cara lagi boleh melampiaskan tekanan kerja ini.

Aktiviti luar seperti basikal lasak, memanjat gunung, berkayak dan sebagainya sudah lama diperkenalkan kepada guru-guru. Bahkan, boleh ajak pasangan bersama. Elok-elok dalam melepaskan tekanan, boleh bercuti dengan suami sekali kan?

[Gambar : Jangan risau. Kamu mungkin tidak akan jumpa isteri kamu dalam keadaan ini sewaktu balik kerja. Sebab apa? Sebab ramai orang guna telefon genggam sekarang. Ketawa]

Pukul budak-budak di sekolah?
Itu bukan satu benda yang mengasyikkan pun. Masuk penjara ada harapan.
Lebih baik buat sesuatu yang menyeronokkan untuk melepaskan tekanan.

5. Banyak cuti sekolah dan kerja cuma separuh hari.
Ini yang semua orang suka betul pada kerjaya guru.
Pengalaman peribadi, kawan-kawan aku yang bekerja atau bakal bekerja sebagai doktor, jurutera dan entah apa lagi jenis pekerjaan mahu aku carikan mereka pasangan yang bekerja sebagai seorang guru. 

Bakal doktor : Aku dah nak balik Malaysia hujung tahun nanti, habis belajar.
Aku : Ya, bagus! Sila minta hospital yang dekat sini.
Bakal doktor : Carikan aku bakal isteri seorang.
Aku : Kau nak yang macam mana?
Bakal doktor : Aku nak yang kerja cikgu.
Aku : Eh? Kenapa tak nak doktor juga?
Bakal doktor : Susah. Nanti waktu kerja tak sama, nak cuti pun susah.
Aku : Ceh! Memilih. Habis tu kenapa nak cikgu?
Bakal doktor : Sebab senang dia nak uruskan keluarga. Sekolah separuh hari. Bila balik kerja, dia biasanya akan ada di rumah kan? Kalau cuti sekolah, setiap hari pun mesti ada di rumah. Tak payah pening fikir nak ambil cuti ke apa.
Aku : Amboi kau.
Bakal doktor : Tapi tak nak yang macam kau.
Aku : Kenapa?
Bakal doktor : Sebab kau nanti pergi berbasikal masa cuti sekolah. (ketawa)
Aku : Keji gila. Bukan sepanjang cuti aku berbasikal. (ketawa)

http://farm4.static.flickr.com/3380/3217893641_3849796b72.jpg
[Gambar : Kalau nak ajak bercuti ke tempat yang bersalji, cuti hujung tahun adalah masa yang menarik. Ketawa]

6. Penampilan.
Ini sengaja aku tambah sebab orang sana ada tulis pasal rupa.
Dari segi wajah dan sebagainya, aku tidak akan menilai manusia. Tapi kebanyakan guru-guru biasanya punya penampilan yang sedap mata memandang. Pergi sekolah mesti kena dengan gaya. Setiap hari ada berapa pasang mata yang akan memerhatikan langkah guru itu?

Masuk kelas itu, budak-budak tengok.
Masuk kelas sana, ada budak-budak lain pula tengok.
Budak-budak yang suka, akan puji - "Cikgu lawa gila hari ini!"
Sudahlah cukup dengan lawa, cantik, ada pula gila.
Haih!

Sebab itu cikgu-cikgu kalau dipuji, dia tidak akan cepat bangga diri. Sebab apa?
Setiap orang yang suka (biasanya budak-budak yang akil baligh kalau sekolah menengah dan budak-budak jujur dan telus macam sekolah rendah) - selalu puji cikgu. Jadi, bukan suatu masalah dan kau tidak akan nampak cikgu itu kembang-kembang segala bila dipuji cantik, menarik, tertarik, menawan dan macam kena sawan. Eh?

http://farm3.static.flickr.com/2601/3681348169_7cc40d9d7c.jpg
[Gambar : Tidaklah sampai begini kalau setakat nak pergi mengajar setiap hari. Senyum.]

Tapi, kalau lelaki yang disukai memuji?
Ah, itu kena tengok tuan punya diri sendiri.
Ketawa geli hati.

Oh, aku tulis enam sahaja sebagai jawapan kepada projek kolaborasi aku bersama kawan yang baik itu. Lama juga sudah disimpan benda ini dan akhirnya dapat juga membuat penambahbaikan demi menulis dengan suka-suka begini.

Dan ya, ini bukan penulisan untuk menjual diri atau mengiklankan peribadi.
Ini tulisan santai sekadar suka-suka untuk melepaskan tekanan, sebagai satu bentuk terapi.
Oh, siapa yang tidak puas hati, anda dibenarkan untuk memaki.

Nota Kaki :
Akhirnya berjaya juga menulis untuk suatu perkongsian bersama. Kawan, sampai hati betul tidak beritahu yang kamu sudah menyiarkan penulisan kamu itu ya? Sebagai denda, sila berikan ulasan anda kepada penulisan ini. Ketawa.

Zara : Perhatian kepada pencari-pencari jodoh di luar sana, ini bukan suatu garis panduan yang tepat dan jitu. Ini sekadar pandangan peribadi yang suka-suka sahaja. Oh, kalau bakal ibu mertua membaca (eh, sudah ada ke?), saya cuma insan biasa yang suka ketawa gembira. Tidak pasal-pasal pula. Sila abaikan dua baris ayat sebelum ini.

Kamu semua mungkin mahu baca ini juga : Kalau Lelaki Meminang Guru, Perempuan Kena Pilih Siapa?

Terlampau Ramai Pemegang PhD Dari Universiti Sendiri Sakit Punggung


Salam semua.
Kembali menulis setelah beberapa jam berpeleseran dengan diri sendiri. Entah kenapa sejuk dan berhingus macam watak Bo dalam Sin Chan. Mungkin disebabkan cuaca yang entah betul, entah tidak. Selsema berpanjangan dan buat aku kalah dalam penantian. Lebih dua puluh empat jam tidak berhubung dengan dia membuatkan hidup aku sedikit tidak selesa.

Awak, saya salahkan awak boleh?
Sebab awak buat saya terbiasa dengan kehadiran awak.
Walaupun jarak memisahkan, tapi teknologi menghangatkan.
Senyum.
Dah kata cuaca sejuk.
Sudah, jangan fikir lain.

Aku kehilangan Helios dan Lucifer, yang muncul hanyalah Luna apabila malam menjelma. Hari ini aku berkenalan dengan seorang yang menggunakan nama Lucifer - satu nama yang biasanya aku jumpa bila membaca komik atau satira penuh warna. Eh, apa kau ingat aku tidak tahu mitos Greek?
Ketawa.

[Gambar : Baiklah, hari ini kita mahu bicara sesuatu yang serius dalam wacana, boleh?]

Punya panjang mukadimah, tapi belum jumpa isi dan huraian. Sebab itu aku tolak tawaran menjadi guru bahasa Melayu walaupun bak kata guru kanan bidang aku, kebolehan bahasa aku membolehkan aku pergi lebih jauh jika mengajar mata pelajaran itu. Oh tidak. Aku tidak boleh menanda karangan, nanti habis aku cantas semua ayat dan perkataan.

Oh, orang kita memang terkenal dengan terlampau pemegang PhD yang tidak bertauliah. Celah mana nak datang tauliah bila semuanya dikeluarkan daripada universiti sendiri? Hebat betul kan? Oh, PhD di sini bukanlah bermaksud Doktor Falsafah, tapi lebih kepada Perasaan Hasad Dengki. Punyalah kononnya berlapik. Jadi, mari kita tengok, berapa ramai yang sakit punggung (baca : butthurt) yang ada PhD sendiri ini?
Nak tanya, ada majlis konvokesyen juga ke?
Ketawa.
Ludah.

1. Orang lain senang, punggung dia sakit.
Ini memang kegemaran mereka. Orang lain dapat sedikit kegembiraan, mereka sakit hati yang melampau-lampau macam perlu ditukar organ dalaman itu.

PhD : Kau tahu, dia dapat duit terpijak.
Orang : Biarlah.
PhD : Dapat sedikit pun nak kecoh, baru naik pangkat.
Orang : Biarlah dia.
PhD : Menyampah kan?
Orang : Mana kau tahu?
PhD : Nampak tadi, dia senyap-senyap je, takut orang lain nak minta la tu.

Dah kalau dia nak senyap-senyap, kenapa kau nak buat kecoh pula? Biarlah. Ini tidak, bila ada orang menang sesuatu (berdehem), kau tulis macam-macam tentang dia, siap buat khabar angin yang meluap-luap. Oh, tulis meluap-luap macam lahar gunung berapi pula. Tapi begitulah manusia, benda baik salah, benda buruk lagilah salah kan?

http://farm5.static.flickr.com/4022/4313710088_f7acddb85d.jpg
[Gambar : Kenapa kau sakit sangat punggung bila orang lain senang? Kau kena buasir ke apa?]

Sakit punggung (baca : butthurt) ini biasanya dialami oleh golongan lubang punggung (baca : assholes). Itu yang menjadikan punggung mereka pedih bila orang lain ada kelebihan daripada mereka.

2. Orang lain susah pun mereka sakit.
Itu kalau tumpang simpati atau rasa kasihan tidak mengapa, ini sebab sakit hati. Pelik. Orang senang kau sakit hati, orang susah pun kau dengki. Apa kau nak benda buruk jadi pada kau pula? Cukup-cukuplah.

"Eleh, baru demam sedikit dah tulis di Twitter. Macam dah nak mati pula"
[Dah kata Twitter aku, ada kau susah?]

"Muka hodoh memang tiada lelaki yang suka. Kalau ada yang suka mesti buta mata tu"
[Alahai, suka betul kutuk fizikal aku. Dah masuk tahun 2011, boleh guna modal lain? Boleh?]

"Macamlah kau seorang sahaja yang kerja cikgu"
[Sejak bila aku ada buat sekolah sendiri ni?]

http://farm5.static.flickr.com/4073/4848065787_0d3ae744c1.jpg
[Gambar : Terpaksa pegang punggung kalau ketawa sebab takut terkentut tahu?]

Pelik.
Aku ketawa melihatkan deretan surat elektronik memaki penulisan aku.
Kenapa mesti aku ya?
Senyum.

Oh ya, yang petang tadi aku dapat lebih menarik hati sebenarnya. Membuatkan aku tertanya-tanya, apa yang kamu benci dengan aku sebenarnya ya?

"Tulis pasal teman lelaki. Entah wujud ke tidak Arnab kau tu. Kalau dia ada, tunjuklah pada semua orang. Takut nak letak sebab dia tak wujud kan?"

Nanti bila aku letak kau nak tuduh aku gedik sebab letak gambar dengan teman lelaki pula kan? Senyum. Hebat tahu? Sebab bila perempuan cantik yang tulis blog, kau puji-puji. Bila yang kurang cantik, kau mengeji pula. Eh, pernah tengok cermin sendiri atau tidak?
Pernah?
Mesti cermin itu penipu kan?

Eh, itu contoh yang aku kena.
Yang orang lain kena?
Itu boleh dilihat disekeliling kita.
Orang ditimpa musibah, kita sebut Innalillah.
Tapi golongan sakit punggung ini akan kata, Padan Muka!

Sakit betul punggung kau kan?
Kenapa?
Apa yang menjadi masalah dengan kehidupan orang lain dalam kehidupan kau?
Hidup kau terlampau tidak menarik ke sampai kena keji hidup orang lain?

Baiklah.
Malas mahu meneruskan tulisan.
Kalau ramai yang graduasi dari universiti sendiri dengan penyakit hati begini, dunia yang sfera boleh terlipat jadi bersegi-segi akibat takut dimamah caci maki dan umpat keji manusia sebegini. Sudahlah. 

[Gambar : Silakan bercakap atau apa sahaja sampai tergigit lidah, bibir atau gusi]

Oh, yang kata penulisan aku adalah cara mempromosi diri dan kerjaya jurutera, maaflah.
Itu bukan iklan berbayar.
Itu tanda persahabatan.
Terima kasih.

Macam biasa, perhitungan aku bukan di dunia.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Terima kasih yang membaca Tumblr aku. Sungguh, aku belum pandai mengubah apa-apa lagi di situ.
2. Tulisan aku bercelaru - gila.

Zara : Kadangkala ada orang rasa dia tahu segala-galanya tentang kita dan bangga beritahu orang lain. Masalahnya, betul ke kau tahu benda yang benar?

Friday, January 14, 2011

Kalau Lelaki Meminang Guru, Perempuan Kena Pilih Siapa?


Salam semua.
Sudah dua hari aku tidak menulis sesuatu yang baru disebabkan sibuk di sekolah dan juga terkejut melihatkan begitu ramai yang berkongsi (baca : Share) penulisan aku yang bertajuk Kenapa Lelaki Patut Segera Meminang Seorang Guru?. Macam yang aku nyatakan di awal penulisan berkenaan, sila baca sehingga habis dan memahaminya sebelum menghentam aku kononnya mahu memikat lelaki. 

Gila.
Nanti aku nak letak Encik Arnab di mana?
(sambil senyum teringatkan si dia yang sedang berhempas pulas belajar untuk peperiksaan)
Baiklah.
Abaikan hal aku.

[Gambar : Ini bukanlah cara aku menunjukkan sayang pada si dia. Kau gila ke apa nak buat begini? Oh, janganlah benda ini memberi ilham kepada si dia untuk menembak bila balik nanti - sambil berdoa dalam hati]

Senyum.
Kambali ke tajuk asal, perkara ini ada dibangkitkan oleh perempuan-perempuan yang bukan bergelar cikgu. Mereka kata aku memilih kerjaya disebabkan aku bekerja sebagai seorang guru. Yang lelaki pula kata, kalau mereka sudah berkahwin dengan guru, bagaimana nasib perempuan yang bekerjaya lain? Apakah perlu berkahwin lebih bagi menampung perkara tersebut? (Belum apa-apa lagi dah ada niat nak kahwin lebih? - Sambil asah pisau dan menyusun peluru tabur di dalam senapang. Eh?)

Sebenarnya, bergantung kepada pilihan masing-masing. Macam aku nyatakan sebelum ini, apa yang aku tulis adalah dari pendapat peribadi aku dengan melihat kepada persekitaran aku. Diri aku sendiri mungkin bukan contoh yang sesuai agaknya (sambil jeling-jeling gambar si dia). Ketawa.

Oh, mari kita lihat calon-calon lelaki yang mungkin boleh dipilih oleh kamu wahai wanita-wanita di luar sana (sekali lagi aku mohon, baca sampai habis sebelum memaki aku ya? Terima kasih). Dan ia adalah berdasarkan kepada kerjaya-kerjaya lelaki yang aku kenal, maka jangan kata aku memilih bulu pula (aku penyokong gerakan selamatkan haiwan - tiada pakaian bulu)

1. Pendidik (Guru/Pensyarah)
Ramai wanita yang gemarkan lelaki yang bekerja sebagai pendidik. Ini boleh dibuktikan dengan lelaki yang masuk ke arena pendidikan ini kebanyakannya sudah mempunyai teman wanita ataupun sudah bertunang dan ada juga yang sudah berkahwin walaupun baru sahaja memulakan kerjaya. Hebat bukan? Sangat sukar mencari guru lelaki bujang sekarang ini (mengeluh). 

http://img.listal.com/image/1299077/350full.jpg
[Gambar : Kalau cikgu atau pensyarah kau macam ini mesti mata seronok pandang depan kan? Sila mengaku ya sebab ini antara watak yang gadis-gadis suka dalam cerita 'Gossip Girl' ke Glee?. Malangnya aku tak menontonnya, Arnab tengok =_="]

Lelaki yang bekerja sebagai seorang guru diminati mungkin atas beberapa faktor di dalam penulisan ini. Kebanyakannya mempunyai penampilan yang kemas dan hidup yang teratur, cuma jika terlampau banyak beban kerja, mereka ada sedikit perasaan hilang sabar yang bolehlah kamu, wanita di luar sana sila tenangkan. Oh ya, kalau kamu malas menggosok pakaian, sila jangan mencuba nasib disebabkan pakaian rasmi guru ke sekolah adalah seluar, baju kemeja dan tali leher - kecuali kau kahwin dengan guru sukan, tidak mengapa.

Tapi antara guru dan pensyarah, aku rasa guru masih lagi banyak cuti sekolah.
Senyum.

Cadangan : Kalau lelaki itu mengajar di sekolah yang mempunyai murid bermasalah dan dia pula kebetulan adalah guru disiplin yang sering terlibat dengan pergaduhan murid dan sebagainya, sila bersedia untuk melihat dia balik dalam keadaan sedikit kusut. 

2. Doktor (termasuk ahli farmasi, jururawat, pakar forensik dan lain-lain lagi)
Siapa yang tak mahu doktor? Ramai wanita suka doktor sebagai teman mereka (ya, doktor memang calon hangat diperdebatkan dan dimahukan di pasaran kerja dan menantu). Kebetulan pula, lelaki yang bekerja sebagai doktor biasanya mempunyai rupa paras yang menenangkan (apa kau suka tengok doktor muka penuh tertekan bila menerima rawatan?), maka, ramai gadis-gadis atau wanita-wanita yang sentiasa mahukan doktor sebagai teman hidup.

http://rlv.zcache.com/my_son_is_the_most_handsome_doctor_tshirt-p235801624087580124qmkd_400.jpg
[Gambar : Ada mana-mana makcik di luar sana yang berpakaian begini sebagai satu cara promosi anak mereka?]

Tapi, kalau kau jenis cemburu buta, lelaki balik lambat dari hospital kau tuduh keluar dengan jururawat atau mana-mana doktor wanita mahupun pesakit, baik lupakan sahaja. Kalau kau tak boleh terima dia kerja lebih masa dan harus sentiasa bersedia untuk dipanggil bertugas bila-bila masa jikalau ada kecemasan, carilah lelaki yang bekerjaya lain. Bak kata kawan aku, biasanya wanita yang bekerja sebagai doktor, akan berkahwin dengan doktor juga disebabkan persekitaran dan budaya kerja yang sama.

Entah.
Aku mana tahu?
Aku kan cikgu.

3. Jurutera.
Lelaki memang paling ramai ambil kursus pengajian kejuruteraan. Jadi, kebarangkalian bertemu dengan lelaki yang bekerja sebagai jurutera adalah tinggi (mungkin).
Perlukah aku terangkan lebih banyak tentang ini?
Kamu boleh baca di sini. Lebih jelas penerangan dari kaca mata (sebab dia memang pakai cermin mata) seorang bakal jurutera.

Oh, si dia juga bakal jurutera (sambil pusing-pusing mata).
Ketawa.

4. Arkitek.
Ini antara pekerjaan yang membuatkan seorang lelaki itu dikatakan bergaya. Dari hujung rambut sampai hujung kaki, dengan melakar pelbagai rekabentuk dan model, ketelitian dalam kerja yang membuatkan ramai yang mengimpikan lelaki sebegini. perlukah aku suruh kamu angkat tangan untuk mengaku?

Baiklah.
Tidak perlu.

http://farm1.static.flickr.com/25/89962615_c3af129919_o.jpg
[Gambar : Ini aku terjumpa. Eh, mungkin ada kebenarannya disebabkan kebanyakan arkitek atau bakal arkitek yang aku kenali adalah kacak-kacak belaka *sambil mengimbau kenangan belajar*]

Ada sesiapa yang baca ini seorang arkitek?
(Jangan perasan Zara, siapa sahaja yang baca blog kamu?)

5. Juruterbang atau pramugara.
(berdehem sambil jeling orang berkenaan)
Ini antara yang semua orang berkenan kan?

[Gambar : Perlukan penerangan lagi ke?]

6. Orang kerja kerajaan.
Ini yang makcik-makcik semua suka sangat kebelakangan ini disebabkan mungkin paras kewangan yang semakin merosot. Walaupun orang selalu kata, kerja kerajaan gaji sedikit, masih lagi orang suka bakal menantu dan anak mereka yang dalam sektor ini disebabkan pekerjaan terjamin dan berpencen. Eh, macam mata duitan pula. Dah terjangkit makcik yang nak jual anak itu ke kau Zara? Lempang!

[Gambar : Ya, saya dalam perjalanan pergi pejabat, nanti saya sampai. Sekejap]

Oh, kerja kerajaan ini juga mungkin merangkumi dari nombor satu hingga empat. Nombor lima aku rasa tidak ada mungkin.

7. Penulis blog (blogger)
Ini lebih menarik tahu?
Senyum.

http://farm4.static.flickr.com/3390/3344251100_9f5dc1af56.jpg
[Gambar : Ini contoh kalau perempuan]

Apa-apa yang dia suka pasal kau mungkin dia akan tulis. Mungkin tidak secara terang-terangan, tetapi dia tetap akan selitkan demi lihat senyuman di wajah wanita yang dia sayang. Kalau dia kaki Twitter, mungkin dia akan menulis status berdasarkan apa dalam kepala dia waktu itu. Kalau fikir tentang kau, habis semua yang ditulis tentang kau.

Selesai sudah berdasarkan beberapa pekerjaan lelaki yang selalunya dekat dengan aku - meliputi rakan-rakan, kenalan atau saudara mara aku sendiri. Jadi, janganlah ada yang berteriak tidak puas hati dan menyatakan aku memilih pula ya? 

Oh, siapa yang mahu mulakan pergaduhan tulisan, dipersilakan. Aku menanti dengan penuh senyuman, mungkinlah. Seperti aku nyatakan, ini pendapat santai dan suka-suka.

Nota Kaki :
Sudah menjadi seperti siri penulisan yang berunsurkan sedikit kejiwangan pula. Alahai.

Zara : Buat yang meminta aku menulis sedikit mengenai ini, harap kalian berpuas hati. Maaf, kekangan masa membuatkan aku tidak dapat menulis dengan sempurna.

#Tambahan : Masa kalian baca ini (jika sudah masuk Februari 2011), aku bukan lagi hak milik mana-mana lelaki. Terima kasih.

Tuesday, January 11, 2011

Makcik, Boleh Melawat Mereka Dan Keluarga Di Hospital?


Empat Januari Dua Kosong Satu Satu.
Hari kedua sesi persekolahan.
Dentuman kuat dan suara nyaring siren kereta kecemasan menyusul kemudian.
Corak gembira satu keluarga robek.

Anak remaja yang dengan gembira mahu ke sekolah.
Umurnya belum empat belas tahun pun lagi.
Tangan kanan patah.
Tangan kiri patah.
Kaki kanan patah.
Kaki kiri patah.
Tulang pinggulnya beralih.

Si abang yang baru lepas menghadapi SPM harapan membantu keluarga.
Semangat tinggi mahu menyambung belajar.
Belum lapan belas tahun anak itu.
Patah tangan kanan.
Patah kaki kanan.
Patah kaki kiri.
Kau tahu?
Dia bekas pelari.

Si ibu cuma ada empat cahaya mata.
Yang sulung perempuan, baru sambung belajar.
Yang bongsu berusia sepuluh tahun.
Anak kedua dan ketiga lelaki sedang terkedang di unit rawatan rapi.
Angkara siapa?
Kecuaian kamu makcik.
Aduhai.

http://farm4.static.flickr.com/3318/3561636932_f6e3de7c8f.jpg
[Gambar : Tidak tercuitkah walau sedikit hati kamu wahai manusia?]

Si ibu berlinangan air mata.
"Cikgu, orang yang langgar anak saya langsung tak datang jengah"
Aku - terdiam.
"Cikgu, dia kata dia tak salah. Dia tak sengaja"
Aku - duduk dengar.
"Cikgu, dia potong sebuah kereta dan bila dia nak potong sebuah lori, dengan kereta yang laju, dia langgar anak saya dari arah bertentangan di laluan yang betul, dia kata dia tak salah"
Aku - tekun, beri perhatian.
"Cikgu, ada kawan anak saya nampak yang orang yang langgar tu boleh pergi pasar lambak (ini macam pasar malam) pagi tadi. Macam mana dia boleh pergi dan berbelanja masa anak saya tengah begini?"
Kejamnya manusia.

Hari ini kebetulan berniat mahu menderma darah kerana seseorang sedang berjuang dalam arena yang aku hanya mampu kirim doa. Malangnya, niat tidak kesampaian kerana aku tiba lambat di hadapan bank darah. Kebetulan, terjumpa dengan sebuah keluarga murid yang mahu menziarahi keluarga anak murid yang ditimpa musibah. Mencari dari unit rawatan rapi hinggalah ditemui di wad biasa, kedatangan aku disambut dengan senyuman nipis si ibu yang gundah gulana.

Si ibu : Cikgu datang lagi, terima kasih cikgu.
Aku : Eh, tiada masalah makcik. Kebetulan memang ada urusan tadi.
Si ibu : (berbisik) Adik dia dah dipindahkan ke JB, abang dia tak tahu ni. Doktor pesan jangan beritahu, takut tertekan.
Aku : Oh, baik. Dah masukkan besi?
Si ibu : Belum lagi. Dia kurang sihat, tadi demam dan ada batuk-batuk.
Aku : Adiknya dah sedar?
Si ibu : Belum lagi cikgu. Abahnya yang teman ke JB.
Aku : Sabar ya makcik?
Si ibu : Orang yang langgar langsung tak menjengah cikgu.
Aku : Tak datang juga?
Si nenek : (menyampuk) Biarkan cikgu. Nanti Allah berikan pengajaran pada dia.

http://fc07.deviantart.net/fs23/i/2007/335/e/8/i_hurt_myself_today_by_Buschibxo.jpg
[Gambar : Tak boleh bayangkan masih ada manusia yang lebih dingin daripada aku]

Diam.
Mungkin makcik akan kata makcik trauma.
Tapi makcik, hormatilah perasaan si ibu dan keluarganya.

Makcik juga punya anak kan?
Sama sekolah dengan anak si ibu itu pula.
Bagaimana boleh tegar hati seorang wanita lihat wanita lain menderita?
Bukan calang-calang ujian ini.
Diam lagi.

Entah berapa kali pengsan.
Entah berapa kali pitam.
Entah berapa malam si ibu dan si bapa serta seluruh ahli keluarga mereka bermalam di lantai sejuk hospital. Menunggu dengan penuh debaran khabar anak-anaknya. Seorang di hujung dengan keadaan tidak sedarkan driri dan seorang lagi hanya mampu mengebilkan mata, rengsa tanpa keluhan. 

Makcik, adakah makcik tahu bagaimana dua anak itu di sekolah?
Pendiam.
Baik.

Tergamak betul.
Manusia atau bukan?
Alahai.

Makcik.
Pergilah ke hospital sementara masih ada masa.

Tambahan :
- Makcik itu memandu kereta.
- Budak berdua itu menaiki motosikal.
- Si abang yang membawa motosikal, dan si adik membonceng di belakang.
- Kejadian berlaku di jalan raya yang lurus dan tegak.
- Si adik masih belum sedarkan diri sejak dia tiba di hospital selepas kejadian.
- Aku adalah bekas guru tingkatan si adik tahun lepas (Tingkatan 1) dan guru pasukan rumah serta PBSM untuk si abang.

Nota Kaki :
1. Cuti esok (11 Januari 2011) sempena Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.
2. Ada berita sedih daripada si dia - nak menangis. Sayang, kamu kena lebih gigih tahu?
3. Ada orang ajak keluar pula.

Zara : Kadangkala manusia menolak untuk menjadi manusia kan? Aneh.

 

Dunia Sebelah Zara 2009 - 2012 oleh Lord Zara : Dunia Sebelah Zara