Thursday, June 30, 2011

Cuba Lari Dari Norma


Setiap kali menonton drama yang selalunya ditonton tanpa sengaja, corak drama Melayu sangat tipikal. Sukar nak mencari yang mempunyai jalan cerita yang lain daripada biasa. Ya, ada, bukan tiada langsung, cuma bolehlah dikira dengan menggunakan jari lagi. Kalau jari tak cukup, masih boleh conteng-conteng atas kertas - bilangannya masih sedikit. Tapi, itu cerita lain. Mungkin.

Kalau setiap kali (ter)-tonton drama, ada sesuatu yang aku akan gelak ketawa berdekah disebabkan jalan ceritanya akan sama dengan sesuatu yang sangat sinonim dalam drama kita. Sifat dengki, saling mahu menikam dari belakang dan apa sahaja sifat buruk pasti ditonjolkan dalam drama. Mesti ada walaupun setakat dua tiga orang watak makcik mengambil berat hal-hal orang sekeliling (baca : mengumpat) semasa membeli sayur di kedai runcit yang hidup segan, mati tak mahu.

http://farm3.static.flickr.com/2608/3861865246_c851497f49.jpg
[Sumber gambar : Makcik nak beli sayur ni, nak kirim ke?]

Dan tadi siang, ada drama entah apa yang sedang disiarkan di televisyen, sesuatu yang menangkap perhatian aku dan ketawa berdekah membayangkan sesuatu. Perniagaan, dunia korporat sering dipaparkan dalam drama dengan kereta mewah, rumah tersergam indah dan pelbagai aksesori lagi sebagai penambah perisa. Pada satu tahap, ahli perniagaan itu berjaya, pastinya dalam berjaya dan mempunyai ramai kenalan, dia juga mengumpul musuh yang bukan sedikit.

Drama (ala-ala televisyen yang tipikal)

A : Kita kena perangkap Datuk C tu.
B : Perangkap macam mana tu Tan Sri?
A : Awak cari mana-mana perempuan, pastikan dia goda Datuk C tu sampai dapat. Bila tiba saatnya, kita akan jatuhkan dia.
B : Baik Tan Sri.

Maka, si B pun carilah perempuan untuk menggoda Datuk C menurut arahan ketuanya, Tan Sri A. Dalam drama kita, penggunaan gelaran Datuk, Tan Sri itu sangat berleluasa. Hakikat percaturan hidup mereka ke? Entah, tapi itu yang disogokkan dalam drama tidak sudah-sudah.

B : Tan Sri, tugasan yang Tan Sri suruh saya dah buat.
A : Bagus, macam mana?
B : Saya dah suruh D goda Datuk C dan kalau boleh, buat hubungan seksual dengan dia.
A : Bagus.
B : Kita boleh cetuskan skandal dan akhirnya dia terperangkap.
A : (ketawa berdekah) Mana ada lelaki menolak perempuan kan?

Setelah beberapa episod bergelumang dengan dosa, Datuk C terperangkap dan dia dijatuhkan dari syarikat. Dia muflis akibat dikikis oleh si D. Maka, Tan Sri A berjaya dan dalam masa yang sama, Datuk C mula menyimpan dendam. Dan drama akan berpanjangan dengan rentetan yang entah apa-apa lagi.

Selalunya begitu kan?
Cuma kita olah sedikit dan lari dari norma drama biasa yang kita tonton.

Drama (selepas olahan kononnya)

A : Kita kena perangkap Datuk C tu.
B : Perangkap macam mana tu Tan Sri?
A : Awak cari mana-mana perempuan, pastikan dia goda Datuk C tu sampai dapat. Bila tiba saatnya, kita akan jatuhkan dia.
B : Baik Tan Sri.

Maka, si B pun carilah perempuan untuk menggoda Datuk C menurut arahan ketuanya, Tan Sri A. Macam biasa, kita akan disajikan dengan adegan B perlu membuat panggilan telefon, mencari mana-mana ibu ayam dan sarang pelacuran, ataupun mencari pelacur kelas atasan demi memenuhi tuntutan kerja yang diminta oleh ketuanya, Tan Sri A.

B : Tan Sri, tugasan yang Tan Sri suruh saya dah buat.
A : Bagus, macam mana?
B : Tak jalan Tan Sri.
A : (muka terperanjat) Macam mana boleh jadi begitu? Si D itukan cantik. Dahi licin.
B : Tetap tak boleh Tan Sri. D dah guna pelbagai cara sampai dia pun mengalah.
A : (menyumpah) Apa masalah ni?
B : Datuk C homoseksual, Tan Sri.
A : Apa?!

Nah, boleh atau tidak?
Ketawa.

Boleh juga buat skandal sebenarnya tu. Tetapi itulah, balik-balik ada adegan orang tua dan perempuan muda muncul dari dalam selimut dan entah apa-apa lagi. Kalau ahli perniagaan tu muda, mesti ada adegan dia terdampar atas katil dengan perempuan terbaring sebelah dia, macam kena perangkap dan sebagainya. Aduhai.

http://farm6.static.flickr.com/5195/5882142619_aea6464dc2.jpg
[Sumber gambar : Apa pun, kenapa ahli perniagaan dan korporat selalu sangat digambarkan kacak dan sebagainya?]

Sudah menjengah bulan tujuh dua kosong satu satu.

Nota Kaki :
Lagi tiga buku sudah sampai di rumah.

Zara : Mak andam ada, perancang perkahwinan ada, jurugambar ada, segala macam ada boleh ditempah. Ni tukang salam dan persilakan orang masuk rumah serta pemantun tegar ada tak? Kalau tiada, aku nak jadikan kerjaya separuh masa waktu cuti.

#WW #1 - Ini Bukan Riak


[Hasil belian bulan enam dua kosong satu satu]


Ini hasil tangkapan bulan enam. Ada tiga lagi dalam perjalanan.

Nota Kaki : 
Ada sesuatu yang aku belajar hari ini. Aku tidak boleh bergurau dengan orang. Kalau aku bergurau dengan orang lain, maksudnya tahap pemikiran aku rendah. Oh, begitu rupanya.

Zara : Nanti aku sambung belajar lagi ya?

Wednesday, June 29, 2011

Pakcik, Makcik - Mungkin Hari Ini Kalian Ibu Bapa Paling Hebat


Benda sama berulang lagi di dalam media.
Sesuatu yang pastinya sangat disukai dan pastinya akan memenuhi dada-dada akhbar, tidak termasuk segala lagi wacana yang ada. Tulisan mengenai kerjaya yang aku sukai - adalah berita yang sangat ditunggu oleh mereka yang laparkan bahan untuk memukul kerjaya ini. Ternyata, masa sangat pantas berlalu sehingga budak sekarang lain macam gaya dan cara. Dan itu, salah satu faktor penyebabnya adalah ibu bapa.

Sebenarnya mahu tulis benda lain, tapi marilah tulis ini sebagai satu bentuk pandangan peribadi daripada aku. Seorang guru yang baru sahaja meninggalkan zaman persekolah tidak sampai sepuluh tahun. Masih merindui zaman manis hidup sebagai seorang murid sekolah dan kini berada di kalangan budak sekolah yang rata-rata sebaya adik beradik sendiri dan kaum kerabat keluarga.

[Sumber gambar]

Ibu bapa, penjaga sekarang suka serang cikgu di sekolah. Rasa bagus sangat ya pakcik-makcik? Nanti jangan marah kalau anak tak jadi manusia disebabkan diri sendiri yang memanjakan dengan terlampau. Ya, kalau ternyata kesalahan berpunca dari cikgu sekalipun, bolehkan berbincang secara berhemah. Mesyuarat sesama sendiri dan dengan ibu bapa sendiri menunjukkan keganasan di sekolah, apa yang mahu ditunjukkan kepada anak itu sebenarnya? Ibu bapa aku akan lindungi aku walaupun sebesar mana kesalahan aku?
Tumbuk cikgu, acu pistol di kepala, letak parang di leher - anak baru sekolah rendah mak bapak dah begitu. Ambil anak tu, ajar sendiri ya?
Melihat kepada peristiwa  yang berlaku kebelakangan ini, aku secara jujurnya ketawa sinis. Ya, ketawa sinis mengenangkan anak yang baru dalam peringkat awal kanak-kanak - dalam sekolah rendah sudah dilindungi secara ketat oleh ibu bapa yang anehnya, menghadam segala cerita anak tanpa usul periksa. Ah, mana hilangnya kualiti ibu bapa sebagaimana yang kita semua ada suatu ketika dahulu?

Ya, kalau dulu aku adalah seorang yang sangat takut untuk berbicara tentang kelakuan, kesalahan kecil yang aku lakukan di sekolah pada Puan Mulia ataupun Ketua Keluarga Hebat. Kenapa? Sebab aku sendiri yang akan dipersalahkan balik. Tiada istilah mengadu, bahkan kalau dalam aduan itu kononnya aku cuba membela diri sebagai tidak bersalah, silap hari bulan, aku yang kena pukul semula di rumah. Sebab itu, aku pernah katakan pada budak, aku tak berapa nak tahu perasaan dipukul atau didenda oleh guru di sekolah, disebabkan aku lebih kenal itu semua di rumah.

Pakcik makcik mungkin rasa hebat, rasa anak betul - tapi tahu apa kesan pada anak tu nanti? Anak itu akan jadi kebal dan tak akan diendahkan oleh guru di sekolah.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi0axD7MSUOf3IhCmaWbMfvnI9YWfT_84Xsa2-u9ldpdm6TKaSKpj6fbkYf1tBytO-lcfXp_jfB_6MoJQ9PZoxH2I7tjOeknjEx2q8HrpCWQYVGU-SqN8OlKH75SiHgZQvBQ8jCN6eH7ydR/s400/3-D+Gang+1.jpg
[Sumber gambar : Daripada siri drama yang aku suka]

Wahai ibu bapa sekalian.
Apa salahnya kalau anak dalam jagaan kalian balik ke rumah, membentak mengenai guru mereka dan mengadu tentang apa sahaja - tanya dahulu dan selidik dengan sebenarnya apa yang berlaku. Bukannya mendengar bulat-bulat apa yang dikatakan oleh anak-anak dan terus menyerang guru. Sebagai contoh, anak didenda oleh guru di sekolah disebabkan dia mencederakan rakannya yang lain. Ibu bapa atau penjaga terus menyerang guru tersebut tanpa usul periksa - apa yang kita dapat lihat pada ibu bapa atau penjaga tersebut? Dari mana anak itu mewarisi sifat menyerang orang lain ataupun sifat ganas?

Bapa borek, anak rintik, cucu gedik.
Ini yang sering diluahkan oleh kawan-kawan yang menghadapi kesukaran menguruskan murid di sekolah. Pelbagai kejadian lebih besar tentunya berlaku dan aku sendiri menyaksikan banyak perkara dari zaman aku sekolah sehinggalah aku menjadi cikgu. Tapi tentunya, benda begitu tidak wajar dibocorkan kepada media memandangkan sekolah adalah satu institusi pengajian paling asas bagi setiap manusia selain rumah. Sesiapa yang mengikuti kicauan aku di Twitter pastinya sudah membaca luahan aku mengenai benda ini. Ah, aku sudah lihat pengalaman demi pengalaman dalam hidup. Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat juga sudah berada dalam kerjaya ini lebih daripada dua puluh empat tahun.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgaDMjF8O_nuvk8jWk3fFQ78pAVst4G6Dj2LV0MQ6wGAgmIMO7oQMFdn6g4JxAOxTcsAEcIcXQP6PIby7CwqrLO_vo6ytVzq1dK6aIeaBNrfCnr6TRx9tlgOBvsliXJWJmVdznfgIjKerC3/s400/36+Gokusen+3+ep2.jpg
[Sumber gambar : Aku rasa ayat ini boleh digunapakai dalam menenangkan hati mengawal kemarahan menghadap murid]

Ya.
Jangan melenting wahai guru-guru sekalian.
Sebab tugas kita mendidik murid-murid kita menjadi manusia tidak akan terhalang dengan kedangkalan pemikiran ibu bapa yang memanjakan anak secara berlebihan. Kita masih boleh memberikan yang terbaik pada mereka dan walaupun mereka menolak sekalipun, ingat satu perkara yang sungguh indah. Ya, aku jujurnya menggunakan ini untuk kekal positif dan tenang dalam kelas - "Jika seorang membuat masalah dan enggan mahu meminjamkan telinga, mata dan seluruh panca indera dia terhadap ilmu yang kita berikan, kita masih ada beberapa orang yang lain. Jika semuanya berkelakuan sedemikian, ingat sahaja tugas kita ini amanah. Tanggungjawab."

Buat guru-guru - selamat bertugas.
Buat para ibu bapa - kenal anak anda sendiri.

Nota Kaki :
1. Akhirnya Kasino sudah tiba.
2. Projek berjalan lancar, alhamdulillah.
3. Dihimpit kesibukan dan aku ternyata bahagia hidup dalam kesibukan demikian.

Zara : Ada orang menjemput aku ke laman sesawang mencari jodoh. Alahai. Comelnya. Mana datang ilham nak mengajak aku ke arah benda sedemikian rupa itu? Ketawa.

Friday, June 24, 2011

Ikut Hati Memang Mahu Maki


Kalau ikutkan hati, ikutkan nafsu, mungkin bukan di sini.
Bukan sampai tahap ini.
Kawal diri.

Kalau ikutkan hati, ayat pasti penuh maki.
Tapi, masih lagi kenal segi.
Tabahlah hati.

Kalau ikutkan amarah yang seronok berjimba, senggama minda sampai mati.
Biar kering segala neuron saraf - macam tunggul patah gigi.
Hina, kering, senyap, sepi.

Tapi itulah.
Kalau ikut hati.

http://farm3.static.flickr.com/2422/3665169303_3b015a8a71.jpg
[Sumber gambar]

Aku masih kenal tulang penyangga diri.
Masih basah lagi lidah dan bibir dengan ajaran guru yang tidak terperi.
Sebab itu aku masih boleh ketawa sambil tutup muka alas pipi.

Nota Kaki :
Aku masih suka lelaki wahai manusia keji. Tidak perlulah kau menyalak kuat bagaikan aku rampas kekasih kau yang aku pandang sepi. Ah.

Zara : 25 hingga 26 Jun 2011 akan berada di Rompin, Pahang.

Wednesday, June 22, 2011

Dia Sudah Berhenti Berharap


Melihatkan segaris senyuman pahit di wajah manusia itu, aku hanya mampu lemparkan senyuman manis agar kepahitan itu mampu terbang pergi. Tangisan rapuh usikan sudah lama dilupakan. Senyuman dan sapaan sebaik sahaja aku meletakkan kenderaan di sebelah kenderaan dia, membuatkan aku terfikir apakah perbualan selepas itu akan dipenuhi dengan perkara baik atau buruk?

[Sumber gambar]

Lengan terasa kebas.
Jarum dan tiub yang menyedut darah buat kali kedua belas masih bermain dalam minda.
Tapi demi kawan itu, tetap gagahkan diri.

Mata saling bertentangan.
Hanya senyuman sahaja yang dihulurkan dan soalan demi soalan yang ditanyakan dijawab dengan perlahan - satu perkataan demi satu perkataan. Kali terakhir bertentang mata adalah bulan sembilan setahun yang sudah. Ketika itu segalanya adalah satu permulaan melihat manusia yang selama ini kononnya gagah dan mampu hadapi apa sahaja.

Kawan : Sihat?
Aku : Macam yang awak lihat.
Kawan : Derma darah lagi?
Aku : Ya.
Kawan : Kali keberapa?
Aku : Baru masuk kali kedua belas.
Kawan : Dah lama tak jumpa kan?
Aku : Dah nak dekat setahun - jarak dekat tapi masa memisahkan jauh.
Kawan : Betul juga.
Aku : Sudahlah. Bukan satu masalah besar pun. Belum makan lagi kan? Saya teman awak makan.
Kawan : Duduk makan dengan saya boleh?
Aku : Sebab itu saya datang juga walaupun baru keluar dari bank darah.
Kawan : Lelaki bertuah akan dapat awak.
Aku : Malang bagi saya sebab itu sesuatu yang mustahil.
Kawan : Ini memang awak.
Aku : Apa?
Kawan : Putarkan ayat supaya diri sendiri tidak terperangkap.
Aku : Makan. Itu penting untuk kau.

http://farm3.static.flickr.com/2794/4087010715_060df0414f.jpg
[Sumber gambar]

Tangan menari di atas pinggan.
Siat satu demi satu kepingan tepung yang dipenuhi keju, udang dan entah apa-apa lagi.
Perbualan berlanjutan dan isi perbualan lebih mendalam. Ah, bila manusia yang punya kerjaya serupa berkongsi meja - aku paling benci dengar ceramah berjela tentang apa yang aku suka dalam hidup tetapi ditentang secara senyap dan agak sarkastik dengan orang yang tidak kenal aku sepenuhnya. Tapi tadah sahaja telinga sebab isi perbualan yang penting belum tiba.

Kawan : Ruang itu saya tak boleh isi kan?
Aku : Ruang apa?
Kawan : Benda yang saya cakap sebentar tadi.
Aku : Takdir dah terberhenti di situ setakat ini.
Kawan : Tiada harapan langsung untuk masuk bukan?
Aku : Terpulang kepada awak.
Kawan : Saya dah berhenti berharap.
Aku : Baguslah.
Kawan : Sebenarnya saya masih mahu tetapi bila mengenangkan jawapan sampai sekarang tak dapat, saya dah tak boleh nak tunggu lagi.
Aku : Kalau dah tetapkan fikiran baguslah.
Kawan : Entahlah. Bila nampak dia, rasa tak keruan lagi.
Aku : Kata dah berhenti berharap?
Kawan : Kalau dia bukan depan mata, boleh kawal diri, perasaan ini.
Aku : Jadi, hilangkan diri dari nampak dia.
Kawan : Tak mudah.
Aku : Jadikan segalanya mudah.
Kawan : Macam mana?
Aku : Soalan itu tiada jawapan dari saya. Awak kena cari sendiri.

Diam.
Persoalan pelik itu tergantung.
Tiada jawapan mutlak - bahkan pertanyaan semakin bergayutan. 
Dan jari terus menerus bekerja - memusatkan tumpuan pada hidangan dalam pinggan.

Zara : Retorik jiwa? Kalau itu soalan yang kau tanya, kau boleh temui jawapannya di tempat aku hidangkan segala duka dan lara. Sudah tentunya ada rasa gembira juga.

Monday, June 20, 2011

Yang Haram Cuma Babi Dan Arak Kan?


Kehidupan yang entah apa-apa dilalui dengan gembira. Menikmati setiap detik yang hadir secara bersungguh dan memikirkan betapa nikmat ini bukan semua orang dapat. Tidak semua orang menikmati keindahan yang sama bahkan tidak ada manusia yang serupa pengalaman hidup dan cara mereka menterjemahkannya. Aneh barangkali melihat bagaimana manusia boleh mematikan riwayat hidup mereka dengan mudah tanpa memikirkan apa yang sepatutnya yang mereka lakukan demi kelangsungan hidup.

http://farm5.static.flickr.com/4053/4360741172_036237b080.jpg
[Gambar : Letakkan semua benda yang menyebabkan kita sedih ke tepi dan ingat segala yang menggembirakan. Lupakan segala masalah dan hargai segala nikmat yang ada]

Diam.
Tanpa rela, tanpa banyak bicara dia lebih gemar duduk membaca dan menelaah segala benda. Lihat sekeliling sama ada apa yang dilakukan selama ini bermakna ataupun tidak. Ah,dia masih lagi manusia biasa. Duduk panjatkan segala macam permintaan pada Yang Maha Kuasa sudah jadi kebiasaan - cuma dia tidak tahu, bila permintaannya bakal dikabulkan.

Kawan : Kau diam sahaja.
Dia : Mana ada?
Kawan : Betul.
Dia : (sengih) Perasaan kau sahaja.
Kawan : Betul ni.

Dia dah terbang hilang.
Terbang meninggalkan daerah kesayangan sebuah hati yang pernah dicemari dengan pelbagai noda dan dosa serta kesakitan yang berpanjangan. Termenung jauh kesepian dalam mengubati hati yang sering luka dengan gelagat manusia yang tidak pernah henti dalam menabur benih benci tidak berkesudahan.

*******
[Certot dari sini]

“Karl!”

“Ya ayah”


“Ambil ni”, sambil hulur seuncang benda yang bergemerincing, Kamil usap kepala anak yang baru pandai membaca dan mengira di tadika.  Karl buka uncang, ketawa girang sambil tangan tunjuk jempol pada bapanya. Kamil senyum sahaja.

“Karl, sekolah belajar apa hari ini?”

“Matematik, kira-kira. Cikgu Khairiah kata kalau belajar Matematik, beli barang kat kedai tak kena tipu.” 

 Kamil mengekek ketawa mendengar celoteh anak kecil itu. Terbayang muka Cikgu Khairiah yang sawo matang dan tersenyum setiap kali dia hantar Karl ke tadika.

“Ayah, ada kawan Karl pinjam benda ni nak buat Matematik kat rumah dia”, Karl tunjuk kepingan berwarna hijau, merah, putih dan biru itu kepada ayahnya. Dia  hanya tersenyum sambil terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh ibu bapa budak itu di rumah bila nampak anaknya mengira guna kepingan buruk yang di bawa balik untuk Karl, anak yang tak kenal ibunya sejak lahir.

“Karl, masuk tidur, esok nak sekolah”

“Nanti ayah, nak siapkan kerja sekolah”

“Jangan lupa pungut benda yang bersepah nanti ni”

“Baik ayah”


Kamil beransur ke bilik. Kepala cecah bantal yang entah bila kali terakhir dicuci. Jadi bapa tunggal (istilah yang dia sendiri guna lepas isterinya lari), Kamil rasa dia sudah buat yang terbaik buat anaknya.
*******

“Ayah!”

Karl lari-lari anak pada Kamil yang setia menunggu di bawah pokok manga tadika setiap hari. Belum pernah gagal dia. Wajah Karl yang bengkak menangis diperhatikan, air mata yang mengalir dikesat perlahan.

“Kenapa Karl?”

“Kawan Karl, Kaizen kata benda yang Karl buat mengira ni haram. Dia kata bapak dia kata haram. Haram ke ayah?”

“Tak. Tak haram”

“Yang haram cuma babi dan arak kan ayah? Kasino tak kan?”


Kamil usap kepala Karl. Anak itu belum cukup besar untuk mengerti bapanya kerja di kasino. Kepingan yang dia buat mengira setiap malam itu “chips”. Benda bersusun di kasino – tempat kerja dia.

http://farm3.static.flickr.com/2620/3877559292_44eb24b5e4.jpg
[Sumber gambar]

Selingan : Cerita pendek sepanjang 300 patah perkataan ini aku tulis untuk pertandingan yang dianjurkan oleh Fixi. Malangnya gagal meraih sebarang tempat. Masih banyak perlu diperbaiki nampaknya. Yang menang memang hebat, tetapi aku akan tetap berusaha untuk menjadi yang terhebat. Mengalah itu payah.

Nota Kaki :
1. Bolehkah aku minta tolong kalian suka (baca : LIKE) dan tweet penulisan ini sebelum jam 12 malam 20 Jun 2011? Terima kasih. 
2. Maaf sudah lama tidak menulis, baru pulang dan minggu ini aku langsung tidak lekat di rumah.
3. Minggu sibuk bakal bermula lagi.

Zara : Bila kali terakhir kita bertegur sapa agaknya ya?

Tuesday, June 14, 2011

Semuanya Demi Senyuman Itu.


Kepala terjengul : mencari kelibat orang yang ditunggu sekian lama.
Tempoh dua minggu sungguh menyeksakan walaupun ternyata dapat diharungi dengan tabah. Ya, demi amanah, demi apa sahaja yang boleh dilakukan untuk seorang manusia yang dengan sedikit kata-katanya boleh bikin hati sayu dan menangis. Ah, sekeras mana pun hati, dengan dia, dengan wanita mulia itu, pastinya akan runtuh segala benteng kedegilan diri.

http://farm4.static.flickr.com/3253/3048056170_275f6cb6ef.jpg
[sumber gambar]

Nampak sahaja kelibat wanita yang pernah bertarung nyawa melahirkan ke dunia, langsung bergegas, salam, peluk cium melepaskan rindu yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata. Ya, sedar bahawa kami berdua tidak pernah meluahkan rasa hati masing-masing. Keras kepala barangkali ataupun tidak terbiasa. Tapi mungkin juga dari perbuatan, dapat jalin semua rasa.

Dengar suara yang paling rindu - suara yang mendamaikan jiwa.
Dengar suara yang paling rindu - suara yang membuaikan rasa.
Dengar suara yang paling rindu - suara yang sentiasa menitipkan pesanan jadi manusia.
Dengar suara yang paling rindu - suara yang tidak pernah gagal memanjatkan doa.
Dengar suara yang paling rindu - suara yang berjaya buat dia kawal rasa benci marah menggila.

Satu perkataan.
Bahagia.

Habis segala acara.
Tidur entah ke mana.
Buang semua kebaikan diri, demi mahu lihat senyuman dia.
Ya, senyuman Puan Mulia.

http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash2/38458_10150232915850543_885375542_13781101_7066258_n.jpg
[Gambar simpanan peribadi]

Pagi tadi, bangun awal seperti biasa.
Selalunya hanya sediakan sarapan sebelum ke sekolah, dan Puan Mulia akan buatkan makanan tengah hari untuk keluarga. Tapi pagi tadi, aku bangun sendirian, dan mula masak nasi ayam. Ya, Puan Mulia belum pernah merasai nasi ayam yang aku sediakan sendirian tanpa bantuan dia. Sewaktu dia mengerjakan umrah temph hari, adik-adik sudah jadi aku punya bahan uji kaji - sama ada kebolehan aku memerhati gerakan Puan Mulia selama ini menjadi ataupun tidak. Dan ternyata, aku memperbaharui catatan masa aku sendiri dalam penyediaan makanan pagi tadi.

Sediakan dan hidangkan sebelum aku bergegas bersiap untuk ke sekolah.
Dari jam lima pagi hingga enam suku pagi aku berada di dapur menyediakan ini semua. Dari nasi, hinggalah menggoreng ayam dan menghidang makanan. Terjah bilik Puan Mulia, dan salam dia seperti biasa untuk ke sekolah. Dia bercuti rehat sehari katanya. Langsung tidak beritahu dia sarapan apakah yang aku sediakan di dapur.

Petang.
Balik dalam keadaan mamai tetapi gagahkan diri jumpa Puan Mulia. Dia sedang menyusun segala barang yang mahu diberikan kepada rakan-rakannya di sekolah. Terbaring di tepi dan perhatikan dia sambil melayan cakap. Kepala makin pening, memberat, tetapi masih cuba bertahan. Sampai rasa mahu terlelap, aku bangun, mahu meninggalkan kamar.

Puan Mulia : Terima kasih masak hari ni.
Aku : Er, mak makan?
Puan Mulia : Makan. Adik-adik, Abah semua pun makan.
Aku : Er, Isa bawa balik asrama?
Puan Mulia : Bawa kot? Tapi tadi dia dah makan lah.
Aku : Er, macam mana? 
Puan Mulia : Sedap.
Aku : Er, nasi tu tak tawar ke?
Puan Mulia : Tak. Cuma ada macam lebihan perasa.
Aku : Eh, ada ke?
Puan Mulia : Yang Maggi Cukup Rasa tu.
Aku : (ketawa) Sebab nak cepat tadi, takut tak berasa, tu yang terletak lebih tu kot? Tak perasan.
Puan Mulia : Tak apa. Dah boleh masak dengan baik dah tu.
Aku : Er, (ketawa)

Puan Mulia senyum.
Ya, senyum dan ucapkan terima kasih.
Kau tahu apa aku rasa?
Aku tak perlukan apa-apa benda di dunia jika dapat buat dia gembira.

Tak banyak duit, tak banyak harta.
Tapi dengan apa yang aku ada, aku cuba buatkan dia bahagia.
Itu janji aku sebab aku rasa jika dia menangis kerana aku, maka aku celaka.

Puan Mulia : Kau masak nasi tapi kau tak makan nasi lagi kan Long?
Aku : Masak tu penting. Makan tu belakang cerita.
Puan Mulia : (geleng kepala)

http://farm4.static.flickr.com/3006/2754363562_a75794b69e.jpg
[sumber gambar]

Mak.
Terima kasih atas segalanya.
Terima kasih kerana buat yang terbaik buat Along.
Sesuatu yang Along akan ingat sampai bila-bila. [Dipetik dari penulisan sebelum ini]

Puan Mulia : Cubalah belajar pandai-pandai. Anak-anak kawan Mak semua masuk asrama.
Aku : Mak yang tak beri Along masuk asrama.
Puan Mulia : Kalau masuk asrama boleh dapat markah tinggi ke?
Aku : Manalah tahu kan?
Puan Mulia : Belajar kat rumah pun bagus apa.
Aku : Dah tu cakap anak orang lain lagi pandai.
Puan Mulia : Banyak A budak-budak tu semua dapat.
Aku : Nak banding dengan orang yang masuk MRSM, SBP, mana nak sama. Kalau budak-budak tu semua tak dapat banyak A memanglah malu. Dah kata semua sekolah budak-budak pandai. Mana boleh nak bezakan dengan Along yang sekolah biasa? Peperiksaan pun tak sama.
Puan Mulia : Habis anak penoreh getah sekolah Mak boleh dapat A lagi banyak dari kau? Peperiksaan pun sama kan? Setara dari negeri.

Bila kena ayat terakhir tu terus insaf.
Memanglah kalah kan? Tak boleh nak bantah lagi, maka belajarlah sekuat dan sekeras entah apa pun aku tak tahu asalkan Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat gembira. Ya, aku dulu belajar dengan niat agar mereka berdua tidak akan malu bila setiap kali peperiksaan keputusan keluar. Niat tak berapa nak betul kan?
Senyum.
Mak.
Mak adalah Bonda terbaik.
Mak adalah Puan Mulia yang hebat.
Semoga yang terbaik sentiasa menjadi milik Mak.
Amin.

Nota Kaki :
1. Ini catatan untuk pusingan berikutnya sempena pertandingan yang dianjurkan oleh Joegrimjow. Ya, dia bersama Bang Denaihati yang menaja pertandingan ini.
2. Akan pergi untuk beberapa hari.

Zara : Kau akan kenal siapa kawan dan lawan apabila kau ditimpa kesusahan ataupun ujian. Mereka yang teguh berdiri di belakang dan sentiasa menahan kau dari rebah itulah yang sepatutnya kau jaga dan pelihara dengan penuh taqwa. Bukan mereka yang datang dekat bila kau kaya, dan lari pergi, terbahak ketawa bila kau duka.

Monday, June 13, 2011

Sejuta Kali Tengok, Sejuta Kali Doa.


Dia sangka segalanya indah.
Kepingan demi kepingan bersusun di dalam mata dia. Satu demi satu muncul dalam gerakan paling perlahan yang mampu dia rasa. Malangnya, segala pergerakan dia rasakan celaka. Ya, celaka. Kebahagiaan, kegembiraan yang dia nantikan malangnya muncul hanya sementara. Senyuman dan tawa riang hilang dalam sebaris kata penuh tempikan amarah yang membuatkan dia terpinga-pinga. Jahanam manakah yang menjatuhkan maruah dan bersorak megah?

Angkuhnya dunia.
Sialan.
Ludah.

http://farm5.static.flickr.com/4042/4330956650_a14f0df65c.jpg
[Gambar : Rahsia untuk gembira adalah lakukan apa yang kita gemari. Dan rahsia untuk berjaya adalah sukakan apa yang kita lakukan. Mudah bukan? (Shafaza Zara, 2011)]

Nuansa atma dia penuh gemuruh amarah serta merta.
Celakanya manusia yang baru pulang lihat lembayung maha kuasa. Saat tempikan bergema, muka penuh nafsu amarah dan hidung merah panas berjelaga, dia tahu saat itu bermulanya kisah duka yang bakal berantaian entah ke mana. Nikmat yang baru dia kecapi bersama dengan mereka yang dia cinta sepenuh jiwa dan sanggup berkalang nyawa hilang begitu sahaja. Mulutnya mahu mula mengeji tapi mengenangkan wajah sayup yang pernah bergadai memastikan dia muncul di dunia ini, dia patuh dan bergerak penuh perlahan - mendengar arahan.

Nafas mendesah.
Laju - dan syaitan sedang memalukan gendang menaikkan amarah.
Telinga berdesing, kepala berpusing dan jiwa jahat dia mula meruncing.

Tapi, suatu suara penuh kasih sayang menegur dia dari tepi.
Dia berpaling, lihat wajah yang penuh cahaya itu, dia berbelah bagi.
Sanggupkah dia lihat manusia itu malu di sini?
Tidak sama sekali hatta dia perlu mati.
Kendurkan rasa hati.
Dia undur diri.
Hati?

Tawa dan tangis dia bergaul dalam minda.
Pilih satu sudut terpuruk dan dia lepaskan segala.
Amarahnya dikeluarkan dalam bentuk air mata.
Kau tidak kalah bisik hatinya.
Kau cuma bertarung dengan jiwa.
Jangan pernah kalah dengan manusia yang penuh sifat cela.
Walaupun dia mengerti dia masih lagi seorang manusia.
Celaka.

http://farm3.static.flickr.com/2792/4181897997_bdfd30c07a.jpg
[Gambar : Kita tidak akan tahu apa dan bila sesuatu itu akan berlaku. Ia akan berlaku secara tiba-tiba dan itulah sebenarnya kehidupan - penuh kejutan dan itulah bagaimana sesuatu itu harus disesuaikan. - (Shafaza Zara, 2011)]

Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang mendamaikan jiwa.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang membuaikan rasa.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang sentiasa menitipkan pesanan jadi manusia.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang tidak pernah gagal memanjatkan doa.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang berjaya buat dia kawal rasa benci marah menggila.

Inikah apa yang dia rasa?
Amarah yang bakal mengheret terus ke neraka?
Kejamkah dia menghukum manusia yang bikin hatinya nanar dan gila?
Dia senyap, tertanya-tanya.

Orang baling dia dengan batu.
Dia kira satu persatu.
Duduk diam berteleku.
Dia pungut dan mulakan sesuatu yang jitu.
Bina satu tapak kukuh agar tiada musuh mahu serang kubu.
Dia sekarang bina kota pertahanan penuh dengan rasa sakit tepat ke ulu.
Ya, agar tiada orang yang memusnahkan apa yang dia perlu.

Dia sedar satu perkara.
Dalam hidup dia sedang berlumba.
Jika dia mencari kebaikan dan kegembiraan, dia akan bertemu dengan suka.
Jika dia memilih kejahatan dan kesedihan. dia pastinya akan berduka.
Dan itu yang pastinya dalam hidup manusia.
Kita memilih untuk rasa.
Bahagia?
Celaka?

http://farm3.static.flickr.com/2662/3950782843_983f818826.jpg
[Gambar : Hidup bukannya semata-mata untuk tiba ke tempat yang mahu dituju, tetapi bagaimana kita menikmati perjalanan ke arah situ. (Shafaza Zara, 2011)]

Diam membisu.
Barisan aksara dilihat satu persatu.
Pesanan itu membuatkan dia buka kembali mata dan terfikirkan sesuatu.
Ya, dia manusia beku.

Kenapa dia harus lihat manusia lain terlampau hebat dari dia? Darjat dan kedudukan akademik pandangan tinggi manusia bukan ukuran kematangan mereka. Jeritan dan tempikan itu masih bergema dalam minda, dalam kepala. Dia tunduk, senyum dan tahan air mata. Dia benci mahu menyeka. 

Ukir senyuman dan dia menyedari sesetengah manusia sebenarnya terlalu dungu dalam mengawal diri dan nafsu. Amarah manusia lain serta dia tidak perlu bersadur dan bersatu. Orang kata kita perlu melupakan perkara yang lepas. Ah, pepatah sendiri menyatakan barang yang lepas jangan dikenang. Tapi dia mahu membantah. Tidak benar sebenarnya bahawa kita perlu melupakan perkara yang sudah berlalu. Sebenarnya, kita perlu lupakan manusia di dalam peristiwa tersebut dan ambil pengajaran yang pastinya sangat berharga.

Retorik manusia.
Dia lupa dia juga masih makhluk bernyawa.
Dan dia mahu laksanakan metamorfosis dia secara menggila.
Hanya dibawah kesedaran dia.
Ketawa.

Nota Kaki :
Kerja dan kesibukan sudah bermula semula. Dan itu amat perlu bagi seorang gila (kerja) seperti dia.

Zara : Hidup ini adalah lebih kepada perubahan. Ya, berubah kepada kebaikan atau keburukan. Kadangkala semuanya menarik dan cantik, kadangkala ianya mungkin menyakitkan dan membawa dukacita, tetapi selalunya ia melibatkan keduanya.

Saturday, June 11, 2011

Jangan Buat Dia Menangis


Langit mendung.
Awan gelap berarak.
Dia tetap setia pandang langit. Telefon genggam yang berbunyi langsung dia tidak hiraukan. Ah, apalah makna melihat telefon genggam yang pastinya tidak akan bawa kegembiraan pada dia? Bunyi pesanan ringkas bertujah-tujah masuk tetapi tiada satu pun yang dilihat atau dipandang. Aneh-aneh sahaja perasaan kerana cuaca tidak menentu. Aku tunggu hujan. Ah, perlukah menyanyi dan bersenandung demi menikmati rahmat yang itu?

http://farm5.static.flickr.com/4036/4456145801_fe249ff4f6.jpg
[Sumber gambar]

Hidup ini ternyata suatu mukim yang aneh.
Manusia sering tidak dapat menerima siapa kita disebalik kekurangan kita, kelemahan kita tanpa mengetahui apa perasaannya jika bersama kita di waktu gembira dan bahagia. Ya, rencam manusia normal, mereka melihat yang buruk terlebih dahulu sebelum mahu menoleh ke arah kebaikan yang mungkin bakal mereka perolehi jika bersama. Senyum. Itu benda yang selalu terjadi bukan?

Kurang masuk akal sebenarnya apabila kita melepaskan sesuatu benda yang kita mahukan dan tunggu terlampau lama, tetapi tidak masuk akal juga kita mahu terus berpegang dan bertahan tanpa apa-apa yang dapat kita pegang, sandarkan dan rasai. Mungkin ada yang menyatakan ia sifat pengecut, tetapi mungkinkah dengan beralah sedikit, kita akan dapat sesuatu yang lebih baik di kemudian hari?

Kita bersenandung.
Pelbagai irama yang keluar.
Curahan perasaan yang sekejap membunuh, sekejap mencurahkan warna yang kita sendiri tidak pasti. Kita tunggu hujan datang untuk membasuh segala kesakitan yang kita alami. Pergi mati dengan segala kesan sampingan. Jahanam dengan perasaan yang menyeksakan diri. Air mata terlarut di dalam basahnya air hujan lebih penting daripada segala perasaan yang mencengkam.


[Gambar] : Tahukah kamu bahawa setiap daripada kita melalui jalan yang unik dan istimewa dalam hidup? Tiada orang lain yang lebih bagus daripada kita yang melalui jalan kepunyaan kita. Bukankah hidup kita, kita yang tentukan? (Shafaza Zara, 2011)

Tahukah kau satu perkara?
Bujang, sendirian itu bukanlah satu status. Itu adalah perkataan terbaik dalam menunjukkan seseorang itu kuat, tabah dalam mengharungi kehidupan dia tanpa perlu bergantung harap pada orang lain. Mungkin akan tiba masanya dia akan menemui pasangan yang sesuai di dalam hidup, tetapi apakah tahap kebergantungan dia mahu kalian pertikaikan?

*******

Sekadar mahu berkongsi tulisan aku di Cetusan Marga Zara. Ya, tulisan ini sudah dikongsi lebih seratus kali dalam masa kurang tujuh jam selepas disiarkan. Sungguh, aku terkejut.


Saya rindu awak.
Awak rindu saya tak?

Saya rindu banyak benda tentang awak.
Awak, apa yang awak rindu tentang saya?

Saya rindu nak dengar suara awak.
Awak, pernah tak rasa rindu nak dengar suara saya?

Saya rindu mahu lihat awak.
Awak, rasa tak rindu nak lihat saya?

Saya rindu nak berbual dengan awak.
Awak, awak berbual dengan siapa sekarang ni?

Saya mahu lupakan kerinduan saya pada awak.
Awak mesti dah tiada rasa rindu pada saya kan?

Saya rindu awak sebab awak pernah hidup dalam diri saya.
Tapi saya tak pasti awak rasa begitu atau tidak.

Saya rindukan diri saya.
Rindu diri saya sebelum kenal awak.

http://farm1.static.flickr.com/182/390550642_b78dfe5d06.jpg
[Sumber gambar]

Dan itu penutup sebuah kisah.
Cuma satu aku pinta, jangan buat dia menangis.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Terfikir untuk kembali ke laluan asal - menulis buku. Mungkinkah bakal terlaksana?

Zara : Benda paling penting dalam hidup adalah belajar dengan apa yang telah kita lalui dan berusaha untuk jadi manusia lebih berguna selepas ini. Bukan terus menangisi.

Friday, June 10, 2011

Mari Lari Dari Rumah


Bila kita bersedia untuk memudahkan segala benda, jangan pernah untuk membandingbeza dengan orang lain. Jadilah diri kita yang sebenar dalam mencapai kebaikan yang kita tahu dan kita sedar dengan sebaiknya. Di saat segalanya selesai dan terjawab, itulah ketikanya kita mendapat penghargaan dan pengiktirafan yang bukan sedikir daripada orang sekeliling kita.

Sedar ataupun tidak, sesetengah daripada manusia sekeliling kita hanya berbual, mencari kita hanya mereka menghadapi masalah, memerlukan sesuatu dan apabila hajat mereka tercapai, secara ajaibnya, mereka akan menghilang begitu sahaja. Ya, bila kehidupan mereka sudah bertambah baik, mereka hilang begitu sahaja.


Dan itu yang membuatkan sebahagian daripada manusia (ya, mungkin kita-kita ini), yang lebih gemar menjadi penipu, pembelit, kaki temberang, kaki muslihat, dan sebagainya - hanya dengan tujuan untuk orang lain kagum dengan diri mereka. Sukar menjadi diri sendiri yang kononnya tidak akan mempunyai kelebihan semata-mata takut untuk menghadapi dunia. Ya, mungkin dunia akan menghakimi kita secara buruk, secara negatif dengan siapa diri kita, tetapi bukankah menjadi diri sendiri itu lebih menarik?

Gambar : Pengalaman adalah perkara yang kita dapat apabila kita tidak dapat apa yang kita mahukan. Dan pengalaman itu sebenarnya sesuatu yang lebih berharga untuk kita dapatkan dalam hidup (Shafaza Zara, 2011)

Sekejap.
Kenapa aku tulis benda-benda begini sekarang?
Oh, sebab aku sedang memberikan tumpuan kepada pembacaan aku. Memang begini kalau aku sudah tenggelam dalam dunia yang aku sukai. Aku selalu terfikir, indahnya kalau ada orang beri aku hadiah buku. Berikan aku satu set buku dari rangkaian penulis yang aku gemari ataupun apa sahaja bahan bacaan yang aku suka kelek ke sana ke mari. Dan ya, buat yang sudah lama mengenali aku, memang aku suka cium bau buku. Sebelum membaca, aku akan cium buku, nikmati sedikit demi sedikit dan memandangkan aku seorang yang membaca dengan pantas, aku sudah hampir habis enam buah buku dalam minggu ini. Ya, gila kan? Semuanya aku beli secara atas talian ataupun ke kedai buku berhampiran.

Kita semua pernah terjatuh.
Mungkin ada parut yang tinggal daripada kesan kita terjatuh itu.
Tetapi tahukah kita bahawa parut yang tinggal itu bukan kesan sebagai tanda peringatan betapa sengsara dan sakitnya kita, tetapi ia sebagai peringatan, betapa kuatnya kita melalui dan menghadapi kesakitan pada suatu masa dahulu. Ya, kalau kita pernah lari dari rumah, cedera dan sebagainya, kita tetap kembali pada rumah yang kita tinggalkan.

Gambar : Hargailah kehidupan kita sendiri. Kerana kita hanya punya satu kehidupan.

Tidak.
Tulisan ini bukan mahu mengajak kalian semua lari dari rumah, cuma mahu kita fikirkan sesuatu perkara. Adakah kita tidak akan kembali pada rumah yang kita tinggalkan? Adakah kita mahu cuba sesuatu yang melampaui keupayaan tanpa mahu menoleh ke belakang dan melihat apa yang pernah kita naungi selama ini?

Aku memilih untuk duduk diam sebentar.
Mahu lihat kembali bagaimana aku memulakan segalanya.
Dari sekecil-kecil perkara.
Ya. 

Sebolehnya, aku menulis yang pendek-pendek sahaja seperti dahulu layaknya. Saat aku mula bertatih kembali, mengenal betapa bahasa kebangsaan aku mula terhakis apabila kesibukan membuatkan pertuturan dan pergaulan aku dengan bahasa ibunda sudah jadi entah apa-apa. Ya, kembali kepada di mana aku bermula dan aku sedang mahu menulis sedemikian rupa. Maaf kalau rumahnya penuh cacat cela. Nah, aku kan masih lagi segumpal sampah tanpa makna?


Lari dari rumah?
Tidaklah.
Aku cuma keluar sebentar dari Dunia Sebelah Zara.
Lari ke sebelah sana.

Aku hanya mahu mulakan semula.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Buku-buku terakhir yang aku tunggu sudah tiba. Dari MPHOnline dan juga #CEKIK dari  Fixi.

Zara : Tangan yang pernah menyeka kesakitan aku pada suatu ketika dahulu adalah lebih bermakna dan penting daripada beberapa tangan tidak terkira yang datang memberikan tepukan gemuruh dengan apa yang aku nikmati sekarang.

Wednesday, June 08, 2011

[Ulasan] : Pecah, Dendam, Kougar - Novel Fixi


Orang yang gila membaca macam aku hanya tahu satu benda setiap kali keluar membeli belah. Ya, cari kedai buku dan tengok apa benda yang menarik minat aku. Jujurnya, kali terakhir aku beli novel cinta adalah tahun lepas setelah beberapa tahun tidak beli. Sebab apa? Sebab itu biar aku sendiri simpan dan jaga rahsia. Ah, aku sendiri pun menulis kan? Cuma itulah, bila aku nak mulakan semula pun aku kurang pasti.

Ada orang cakap pada aku masa aku bising-bising di Twitter - mana mahu cari novel yang setiap orang beritahu mereka sedang baca. Terimalah hakikat bahawa Twitter adalah pelantar terbaik dengan 140 aksara untuk bercerita dan menghebahkan maklumat. Cuma orang degil masih lagi terlekat pada cara lama dan tidak mahu berubah, dan apa pesanan yang aku terima? - JANGAN BACA NOVEL FIXI, NANTI ROSAK MINDA.

Tapi semua orang pun tahu yang aku degil.
Apa yang orang larang, itu yang aku buat. Kenapa aku nak dengar kata orang sebelum baca sendiri? Penilaian kendiri aku tidak akan sama dengan pendapat orang sampailah aku membaca sendiri. Aku baca artikel mengenai Amir Muhammad (Twitter : @amirmu)dan novel-novel Fixi di surat khabar serta menonton dia di dalam televisyen berbicara tentang buku ini. Jadi, kenapa aku perlu mendengar kata orang bila aku mahu mendapatkan bahan bacaan peribadi sendiri?

Petang itu terus aku keluar cari buku-buku tersebut di kedai buku selepas aku dapat maklumat daripada salah satu penulisnya. Disebabkan aku dapat maklumat mana mahu membeli novel PECAH daripada penulisnya, Khairulnizam Bakeri (Twitter : @nizambakeri), aku baca novel itu terlebih dahulu.Oh, sepatutnya dalam koleksi ini ada CEKIK tetapi tidak dijual di kedai, dan aku sudah tempah. KASINO belum dipasarkan lagi.

[Gambar : Untuk tumbesaran, mungkin boleh tekan gambar ataupun sini sahaja]



Bank CIMB Shah Alam simpan harta. Herman, Alan, Radi, dan Don sempat lari dengan wang. Namun Alan ditembak pengurus bank. Parah. Mereka sepakat ke hospital.

Rumah Seri Memori simpan warga emas. Bakar – sang penghuni dimamah dosa – tiba-tiba tumbang. Hilang sedar. Lidya – sang jururawat – dan Dr Vivian gegas bantu. Mereka sepakat ke hospital.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah simpan nyawa. Alan di wad kecemasan. Bakar di wad lelaki. Herman-Don-Radi mahu cabut namun terbantut. Kereta kandas, sedang Inspektor Paul tiba pantas. Pintu pagar hospital dikawal, mereka perlu cari akal.

Herman-Lidya cinta hati. Dalam denyut debar Herman; di celah kerunyut gebar Bakar; satu-persatu kisah terpokah. Satu-persatu PECAH.
*******

Untuk pengetahuan semua, aku baca novel ini (serta dua lagi novel) tanpa baca bab pertama yang boleh dilihat di laman sesawang mereka. Sudah jadi kebiasaan aku, baca buku tanpa ada unsur luar yang menganggu tumpuan. Cuba ya, sinopsis di belakang buku mestilah dibaca untuk dapatkan gambaran awal.


Kau akan mula membaca dengan gambaran membawa kepada adegan rompakan dan seterusnya ke pusat penjagaan warga emas. Beberapa babak imbas kembali juga terdapat dalam novel ini yang akan memberikan gambaran lebih jelas apa yang sedang kau nikmati. Ya, aku tulis nikmati disebabkan apa yang kau baca dan cuba teka pada babak seterusnya tidak akan sama. Hebat, ya, aku boleh kata hebat disebabkan segala pergolakan dalam cerita ini akan membawa kepada Herman si peguam dan Lidya, bekas jururawat yang bertugas di pusat jagaan warga emas. 

Nak tahu lagi? 
Baca sendiri. Sebab aku tak mahu memecahkan keseronokan selak sehelai demi sehelai novel karya Nizam Bakeri ini. Dan buat penggemar siri penyiasatan dan jenayah seperti CSI dan Criminal Minds, minda kamu akan bergerak laju dan ya, kali ini penjenayah (kalau boleh aku tulis begini) dan rancangannya tidak akan terjangkau oleh minda kamu. Senggama sedikit minda itu, jangan simpan bagi berkarat. Belum pernah umur ada orang kepala dia membesar disebabkan dia membaca.


http://a7.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/248979_10150223999038728_659158727_7038434_5195384_n.jpg
[Gambar : Ini dicetak-paparan (print screen) oleh penulis novel ini ya?]


"Abang tak abang, siapa kacau aku pecah!"
[Eh, yang ini dari KL Gangster - sengaja aku tulis]


Seganas namanya, Kougar membawa kita menelusuri kehidupan Kisha, seorang wanita lanjut usia yang mempunyai kehidupan yang boleh dikatakan baik. Tetapi seperti kebanyakan realiti kehidupan yang biasa kita lihat, wanita berusia pastilah menjadi bahan perbualan dan ditujukan dengan pelbagai lemparan kata-kata serta pertanyaan sinis mengapa masih belum melangsungkan perkahwinan. Kisha juga menepati apa yang dimaksudkan dalam kamus urban dengan apa itu kougar - seorang wanita lanjut usia yang suka kepada lelaki muda. 

Pergolakan hidup Kisha bermula dengan kewujudan lelaki-lelaki dalam hidup dia - Azril, Datuk Emir, Razif, Yusri dan beberapa rakan sekolah lamanya. Satu demi satu cabaran yang dihadapi membawa kepada lebih banyak kisah yang membuatkan kita terfikir akan masyarakat kita yang terselindung disebalik sifat baik budi yang sejak kebelakangan ini lebih banyak main wayang daripada hakikat sebenar sebuah keluarga. 

Membaca Kougar membawa kita merenung masyarakat yang semakin hilang diri, dan kita sebagai masyarakat, apakah kita terus melemparkan kata-kata nista kepada yang melalui kehidupan tidak terjangkau dalam minda ataupun membantu mereka yang kesusahan tanpa memikirkan latar belakang mereka? Nilai siapa kita di dalam ini.

Salahkah menjadi wanita yang lewat berkahwin?


*******
Khalil Gibran seorang billionaire yang mempunyai ramai kroni dalam bidang politik, jenayah dan penguasaan. Ramai wanita ingin menjadi miliknya, walau bergelar simpanan — dan Khalil Gibran memenuhi setiap impi mereka.

Dia mula menjadi zalim dan ganas  apabila dia melihat kekejaman yang pernah dilakukan ke atas ayahnya. Kariernya bermula sebagai anggota keselamatan yang terkenal dengan teknik interogasi yang ekstrem. Kemudian, kejayaan awal empayar bisnesnya adalah melalui cara-cara haram.

Tetapi dia mula insaf apabila hatinya mengenal kasih sayang dan cinta. Sifat kemanusiaan rupa-rupanya masih wujud dalam dirinya. Khalil Gibran ingin menjadi manusia baru. Berjayakah dia lari sepenuhnya dari sifat lamanya? Atau apakah DENDAM akan terus bertakhta?

*******

Sebaris ayat yang aku boleh katakan - Pihak berkuasa pasti tidak akan suka dengan cerita ini.
Kenapa?

Rasuah berleluasa, cara keji, taktik kotor dalam meluaskan kuasa, pengaruh serta pangkat menjadi antara inti sari novel Dendam. Kita dibawa melihat seorang lelaki yang hidup berpaksikan dendam. Khalil Gibran (nama penulis/pemuisi kegemaran aku) - dia dibesarkan dengan sogokan dan omongan bapanya yang kurang upaya akibat kekasaran yang dibuat oleh anggota polis sewaktu melakukan demonstrasi.

Kita bertuah sebenarnya membaca garapan ini, yang sedikit sebanyak menyelongkar kehidupan golongan atasan yang biasa kita tonton di dalam kaca televisyen ataupun di panggung, cuma kali ini tunjangnya bukan cinta semata-mata berbanding kisah lain yang kita disogokkan betapa terdapat isteri yang terlampau mulia ataupun suami ideal di luar sana. Realiti kehidupan yang sedikit pahit mahu dihadam oleh kebanyakan yang bakal terasa, tetapi kita tidak dapat menafikan ianya berlaku dalam masyarakat kita.

Karma itu terjadi dan kita melihat perjalanan seorang manusia yang bermula dengan sifat penuh dendam, penuh amarah dan hidup dalam perasaan sedemikian. Tetapi, bagaimana manusia itu akan mengakhiri kehidupannya sendiri? Apakah sama dengan permulaannya?

Baiklah.
Itu sedikit sebanyak ulasan aku mengenai pembacaan aku. Tentunya aku tidak akan menulis keseluruhan cerita di dalamnya memandangkan sebagai penulis aku juga tidak gemar membocorkan kejutan dan keseronokan menunggu serta menghayati isi pembacaan kepada pembaca. Cuma aku boleh katakan, baca dengan minda terbuka. Jangan disebabkan kita sentiasa disogokkan dengan kehidupan fantasi yang sentiasa menggembirakan, maka kita pandang jijik pada kehidupan realiti yang sebenarnya saduran yang kita enggan toleh walaupun seinci.

Ada pendapat yang menyatakan novel-novel begini memaparkan aksi yang tidak sesuai dibaca oleh khalayak. Aku cuma dengan jujurnya ketawa dengan kedangkalan pemikiran sedemikian. Kalau kau kata buku-buku di atas membincangkan sumbang mahram, rasuah, seksual san sebagainya secara terbuka, aku mahu tanya kalian sedemikian satu dua perkara. Jawab kalau boleh ya?

1. Kenapa masih membaca lagi surat khabar tabloid yang penuh dengan cerita sedemikian rupa?
2. Kenapa tidak menegur novel-novel cinta yang ada adegan sedemikian?
3. Kenapa terlampau jumud dan hanya dengar kata orang sahaja?
4. Kenapa masih menonton drama ataupun filem yang menonjolkan aksi serupa?

Kalau jawapan yang diberikan adalah semuanya sebagai bentuk pengajaran dalam realiti kehidupan, aku tidak akan menyanggah bahkan ketawa kerana ia akan menjadi jawapan yang sama mengapa kalian perlu membaca terlebih dahulu sebelum melemparkan kata-kata aneh yang menunjukkan kedangkalan diri. Sumbang mahram, minum arak, berhibur berlebihan dan segala bentuk hedonisme memang wujud dalam masyarakat kita tanpa kita sedari ataupun tidak. Cuma terpulang kepada kita untuk memilih jalan yang benar dan baik dalam kehidupan.

Dan aku sedang menunggu ketibaan novel CEKIK tiba di rumah serta kemunculan buku KASINO di pasaran. Untuk kenal lebih lanjut tentang FIXI, boleh melayari laman sesawang mereka ataupun di Mukabuku.

Ah, bilalah Amir Muhammad, Nizam Bakeri dan Shaz Johar mahu ikut aku di Twitter ni?
Baiklah, itu tiada kena mengena.
Harapan.
Noktah.

Tambahan :
Aku dapatkan novel-novel ini di Popular. Kamu boleh cari di Popular ataupun tempah terus daripada laman sesawang mereka.

Nota Kaki :
1. Sepatutnya aku mahu buat #WW seperti orang lain, tetapi nanti dulu. Aku lebih gemar menulis dan sedang tertanya-tanya, yang mana satu patut aku mulakan semula? Legasi Cinta Alisia ataupun Runut Irama Jiwa Kita? Tunggu sahaja berita yang bakal aku coretkan di Coretan Marga Zara.
2. Dulu pernah menulis mengenai Siapa Kekah Bidan Sepiah oleh Sindiket Sol-Jah.
3. Blook Sperma Cinta dah tiba. Yeah!

Zara : Menulis sambil mendengar lagu De Colores - Joan Baez.

Di Mana Garisan Mula Semula?


Hidup ini bagaikan satu perlumbaan.
Kita ada garisan mula.
Kita ada garisan penamat.
Sepatutnya.

Tetapi bagaimana kalau dalam perlumbaan itu kita terberhenti di mana-mana? Di antara garisan permulaan dan garisan penamat. Di mana kita harus mulakan segalanya kembali? Kembali ke garisan mula dan kembali di dalam laluan dengan pincang dan perlahan, ataupun mundur setapak dua ke belakang dan lari kembali di mana kita jatuh dan cuba untuk berdiri?

http://farm3.static.flickr.com/2386/2193327230_681fabf784.jpg
Gambar : Orang yang paling kuat adalah orang yang tidak menunjukkan kekuatan mereka di hadapan kita, tetapi menang besar tanpa pengetahuan sesiapa. (Shafaza Zara, 2011)

Mencari.
Dia masih mencari di mana perlu bangkit semula.
Dia tahu dia patut bangun semula.
Bukan untuk sesiapa, tapi untuk kebaikan diri dia.

Pada pendapat kamu, di mana dia patut mula?
Atau lebih tepat lagi, apa yang patut dimulakan semula?
Legasi Cinta Alisia?
Runut Irama Jiwa Kita?

Keliru.
Mahu bangun semula.
Benci dengan diri yang tiada punya naluri gembira.
Mati jiwa bahasa.
Ah, kacau.

Sukar untuk buat pilihan.

Bulu-bulu bertaburan di atas lantai.
Rambut-rambut juga.
Malahan kulit-kulitnya sekali.
Aduhai...
Luluh hati.

Pelbagai warna di atas meja.
Kuning, merah, hijau dan ada juga coklat.
Kesemuanya berbulu, berambut dan berkulit.

Yang berwarna coklat paling menyedihkan.
Air bergenang keluar dari tepinya.

Yang hijau hanya dipandang sepi.
Falsafah terlalu hijau digunakan di sini.
Terlalu muda, terlalu mentah untuk dijamahi oleh sesiapa.

Yang kuning?
Yang merah?
Kuantitinya beransur-ansur merosot.
Cepat sahaja berbanding yang lain yang nampaknya masih tidak berganjak.

Bulu-bulu bertaburan.
Rambut-rambut bersepahan.
Kulit-kulit bergelimpangan.

Ketawa galak mengiringi suasana.
Tisu-tisu putih juga melayang ditiup sang angin dari kipas yang ligat berputar.
Tisu dicapai, bibir dikesat.
Adakah tisu juga akan dibiarkan melayang?

Habis manis sepah dibuang.
Pepatah itu jelas tergambar disini.
Aduhai.

Itu sahaja.
Noktah.
Novel-novel ini boleh dibaca di SINI.

Zara : Akan sentiasa ada orang yang lebih cantik, lebih pandai, lebih segalanya daripada kita. Tetapi semua orang tersebut, tidak akan menjadi KITA.






Tuesday, June 07, 2011

Dia Bukan Sesiapa Dalam Dunia Ini.


Menelusuri hidup yang semakin lama semakin mencabar, dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang mulanya dia tidak pernah ambil endah selama ini. Dia tahu, tapi segala yang dilalui membuatkan dia hanya mendiamkan diri. Hidup ini bukan apa-apa buat manusia seperti dia yang lebih tegar memasungkan wajah, tubuh dan jiwa pada kerjaya dan rutin harian yang biasa-biasa. Seorang teman pernah menyatakan secara senyap bahawa, dia adalah manusia biasa-biasa yang melalui kehidupan luar biasa. Dia sendiri tidak mengetahui apa itu semua. Yang dia tahu, dia adalah manusia yang sama seperti dahulunya.

Bezanya?
Dia lebih kenal apa dia mahu dalam dunia. Kehidupan dia yang biasa-biasa, teman-teman dia yang biasa-biasa dan kerjaya yang memuaskan hati dia. Cukup dengan itu semua dan dia punya kekuatan dan kelemahan yang harus dipertingkatkan dan dibaiki setiap kali dia berdiri di hadapan cermin empat segi. Ya, dia manusia yang kalah dengan dosa silam setiap kali melihatkan kecelakaan yang diri sendiri pernah timbulkan. Bila diingatkan kembali, dia rasa mahu bunuh sebahagian daripada neuron dan saraf diri. Bodoh, bebal dan jahanam sungguh peristiwa lampau berkalang noda. 

http://farm5.static.flickr.com/4001/4688099733_8f826be29a.jpg
Gambar : Ada orang kata senyap adalah tangisan paling kuat seorang perempuan. Kita boleh tahu bahawa dia sangat terluka apabila dia langsung tidak menghiraukan kita. (Shafaza Zara, 2011)

Kadangkala dia mahu juga beritahu orang yang dia sakit.
Kadangkala dia mahu juga bercerita bahawa dia tidak gembira.
Kadangkala dia mahu juga kisahkan hidup dia lain macam dan entah apa-apa.
Kadangkala dia mahu juga riwayatkan betapa dunia ini penuh parodi dan ironi.

Tetapi, entah bagaimana mulut dia sentiasa terkunci. Dia selalu lihat watak yang keras dalam diri dia. Watak yang entah bagaimana pula terpahat dan terhadam disebalik senyuman yang dia lemparkan. Otak dia terjemah segala benda macam tayangan gambar yang tidak pernah berhenti. Sebelum tidur, bangun tidur, rebahkan diri di ranjang, sofa atau mana sahaja, otak dia masih mahu bekerja sebab pada dia hidup sesuatu yang sangat bermakna. Senggama minda sentiasa berlaku. Ya, minda sekarang pandai senggama dan bukan setakat bekerja biasa. Otak dirangsang dengan lebih banyak pengetahuan semasa.

Esak tangis manusia di tepi dia siang hari itu dia tengok.
Orang keliling yang jalan sana sini pandang dia.
Pandang juga manusia yang menangis sebelah dia.
Muka comot, mata macam penuh jelaga.

Dia raba beg, hulurkan tisu gambar kartun yang dia beli sebab murah. Murah berbanding dengan gambar lain yang lebih menjelikkan dia. Murah tapi dia tahu berkualiti dan boleh diraup pada muka. Sekurang-kurangnya walaupun tisu muka itu asalnya surat khabar orang buang dalam tong sampah, dia tahu ada nilai dan harga serta kurang bahaya. Manusia sebelah dia capai tisu, tapi pegang sahaja. Dia mengeluh. Tisu lain ditarik keluar dan pipi manusia yang comot berjelaga itu dia kesat. Rambut yang terjuntai dia seka, tak hiraukan manusia lain yang lalu lalang dan jengah macam ada sesi buat drama seksual di tangga.

Dia : Kan aku dah kata, jangan pakai benda begini.
Manusia comot : (masih menangis)
Dia : Kau boleh berhenti menangis?
Manusia comot : (teresak-esak)
Dia : Kenapa kau pakai penggaris mata yang tak telap air?
Manusia comot : (bunyi menyedut hingus)
Dia : Muka kau sembap. Macam keluar air mata hitam.
Manusia comot : (menangis semula)
Dia : Celakalah.

http://farm5.static.flickr.com/4068/4441509981_40f86f840d.jpg
Gambar : Sayang atau benci saya terpulang kerana awak. Kalau awak sayang saya, saya akan sentiasa dalam hati awak. Kalau awak benci saya, saya akan sentiasa dalam ingatan awak. Pilihan di tangan awak. (Shafaza Zara, 2011)

Dia lemah.
Tapi dia tahu dia kuat.
Hidup perlu seimbang, macam neraca yang dia selalu guna dalam kehidupan lampau. Mana boleh berat sebelah dan mengakibatkan semua benda jadi tidak menentu? Itu yang membuatkan dia sedar bahawa kekuatan yang dia punya hari ini, adalah bayaran kepada kelemahan dia suatu ketika dahulu. Saat dia jatuh, saat dia pungut diri sendiri dan saat dia buang segalanya ke dalam lembah paling jauh.

Bunyi esakan memang menganggu.
Raungan kenderaan atas jalan raya menambah gejala penyakit otak.
Dia mahu menyumpah, tapi dia kulum semula kata-kata. 
Bangun, sapu habuk di punggung bersalut jeans longgar.
Tangan dihulur pada manusia yang menangis, tetapi tidak disambut.
Esakan makin kuat.
Dia berlalu.

Manusia comot : (jerit) Kenapa kau tak tunggu aku?
Dia : Aku tak biasa menunggu.
Manusia comot : Penipu.
Dia : Aku tak suka tengok orang menangis.
Manusia comot : Macam kau tak pernah menangis.
Dia : Aku sembunyikan air mata aku dari dunia.
Manusia comot : (terjelepuk) Dunia tak adil.
Dia : Sudahlah. Orang ingat aku buat apa benda pada kau pula nanti.
Manusia comot : (meraung)

Dia berlalu.
Langsung tidak mahu menoleh lagi.
Hati tegar dengan keputusan yang dibuat. Bila dia jadi manusia yang terlampau baik, ada sahaja yang mula melampau dan mahu makan kaki dia yang pastinya boleh meninggalkan kesan mendalam, baik dari luaran ataupun dalaman. Malas mahu memaki benda yang dia sendiri tahu dia tidak akan dapat kawal diri. Ah, dia memang boleh jadi seperti malaikat bila dia mahu dan bertukar syaitan dari neraka kalau tidak kena cara. Cara, dia sebut betul, bukan dara. Lain perkataan, lain huruf, lain maksud.

http://farm5.static.flickr.com/4028/4414318035_2eeed5257c.jpg
Gambar : Jangan pernah ubah kemahuan kita semata-mata mahu mengejar sesuatu yang bersifat sementara (Shafaza Zara, 2011)

Dia tengok langit.
Kehidupan apakah yang dia lalui sekarang?
Dia bukan sesiapa dalam dunia ini. Dia manusia yang hanya tahu buat benda yang dia pelajari sejak sekian lama. Sejak dia kenal lebih mendalam dan menjelajah lebih luas siapa dia. Yang dia temui, satu perkara yang jelas serta cukup nyata. Mata terkelip-kelip sekalipun, dia tetap jumpa sebaris kata, dia bukan sesiapa dalam dunia ini.

Dia tengok lagi langit.
Apa rancangan istimewa dalam hidup dia sejak awal musim mahu mulakan segala?
Oh, untuk belajar memaafkan dan melupakan.
Memaafkan kebodohan diri sendiri.
Melupakan segala kesilapan dahulu.
Itu rancangannya.
Berjaya?
Gagal?

Walaupun dia bukan sesiapa kepada sesiapa dalam hidup ini, dia percaya satu benda nyata yang buka minda dia seiring dengan dia buka mata setiap awal pagi lepas kembalinya nyawa. Satu kenyataan yang dia senyum sendirian sebelum menutup mata walaupun jam bergerak meninggalkan dinihari. Dia masih lagi hamba, makhluk ciptaan Yang Maha Kuasa. Yang punya tanggungjawab diri.

Tidak.
Dia tidak pernah langsung menyalahkan sesiapa dalam dunia ini. Sedar apa yang berlaku atas kelemahan diri, kebodohan dan entah apa lagi sifat mazmumah dalam tubuh sendiri membuatkan dia rasa lebih kuat untuk membasuh segala kecelakaan yang bersimpongan. Lemah bukan beerti dia kalah, kuat bukan bermaksud dia akan sentiasa menang. Itu dia selalu ingatkan pada diri sendiri. Ah, manusia kan mudah lupa.

Manusia comot : Kau perempuan pun begini.
Dia : Apa?
Manusia comot : Mana sifat belas kau?
Dia : Sifat belas mana kau mahu aku tunjukkan?
Manusia comot : Orang menangis kau patut tenangkan, bukan duduk macam patung tanpa perasaan.
Dia : Aku menangis tiada siapa pernah tenangkan.
Manusia comot : (diam)
Dia : Sudahlah.
Manusia comot : Tapi itu bukan bermaksud kau tak boleh tenangkan orang.
Dia : Dari segi psikologi, kadang-kadang lebih baik biarkan orang menangis supaya dia boleh buang segala perasaan buruk.

Senyum.
Dia selalu ingatkan diri. Tidak perlu mengejar mahu jadi yang terbaik dalam semua benda. Boleh jadi baik, tetapi kalau boleh, biarlah memberi tumpuan dalam satu perkara kerana itu akan menjadikan dirinya lebih istimewa dan bernilai. Bersungguh benar dia mencari apa kelebihan dan kekurangan diri. Penilaian kendiri buat dia lebih tahu apa yang dia mahu dalam perjalanan menuju abadi.

Dia belajar.
Menghargai diri sendiri yang tidak pernah beerti kepada sesiapa.
Akur.

Jadi, siapa dia?
Siapa kamu?
Dia bukan sesiapa dalam dunia ini.
Kamu mungkin lebih bermakna dari segalanya.

Nota Kaki :
1. Ketawa membaca penulisan 'bahasa terlarang' di dalam akhbar hari ini. Nampak sangat pendapat yang diberikan tidak seimbang. Aneh.
2. Selesai membaca tiga buah buku kurang dari masa yang aku peruntukkan. Nanti sahaja kalau ada masa, aku akan menulis ulasan. [Perhatian kepada mana-mana pelajar yang membaca blog ini, anda tidak dibenarkan menulis kembali ulasan itu dalam buku NILAM]

Zara : Kita tidak perlu memuaskan hati semua orang. Kita adalah pengarah hidup kita, penulis dalam hidup kita dan juga, kita adalah pelakonnya.