Showing posts with label Kembar Zara - SA. Show all posts
Showing posts with label Kembar Zara - SA. Show all posts

Tuesday, January 24, 2012

#04 : Ini Cerita Seorang Perempuan




Tekanan sungguh bila darah tidak berhenti mengalir daripada jari telunjuk yang terkena pinggan pecah. Menaip menggunakan jari tengah atau jari hantu rasa agak kekok, tapi masih boleh dikatakan laju. Mengelakkan guna jari telunjuk diseebabkan enggan papan kekunci dipenuhi darah seperti minggu lepas setelah tercucuk jarum tudung. Gila apabila darah dibazirkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Aku rasa disebabkan sudah terlampau lali menderma darah di hospital, jadi apabila cedera begini, aku rasa sayang pada darah sendiri. Warna pekat sedemikian patut digunakan di tempat yang betul.

Dan hari ini sudah masuk hari cuti yang keentah berapa. Aku malas mahu kira disebabkan aku tidak jumpa makna cuti dalam hidup aku. Rutin harian aku masih serupa, bangun awal pagi - jam biologi diri tidak pernah mengkhianati. Sebelum jam lima pagi aku pasti sudah tercacak bangun untuk memulakan hari. Kalau bermalasan sekalipun, sebelum jam tujuh pagi aku perlu melapor diri ke dapur Puan Mulia. Cuma sejak beberapa hari ini, aku agak culas. Itupun, jam tujuh sepuluh aku dah mula berdondang dengan alatan dapur serta Puan Mulia. Aneh lihat ada orang boleh bangun lambat tanpa dijerkah oleh ibu bapa. Jika di rumah aku, itu sudah jadi tabu. 

Aku menulis tentang detik. Dari empat kepada tujuh, dan saat aku menulis ini, ia sudah masuk ke lapan detik. Nasib baiklah, aku sudah biasa dan mampu menghadapi empat detik. Alangkah dengan empat detik ke belakang aku sudah jadi separa panda (ehem!), kalau lapan detik ataupun tiga belas detik seperti kawan-kawan yang lain, aku rasa aku akan jadi rasaksa. Ah, tidak mahu! Kegilaan apakah aku jadi rasaksa? Impian aku kan mahu jadi seorang adiwira. Ultraman sebagai contohnya. Heh.

http://farm3.staticflickr.com/2469/3537291009_f5f45c2d09.jpg
[Sumber gambar]

Sejak kebelakangan ini, sama ada aku terlampau tua ataupun dasar aku sudah berubah, aku berkicau di Twitter dengan niat seperti selalunya. Berbicara tentang hal sendiri, apa yang aku tidak puas hati dalam hidup aku, apa yang aku rasa dengan manusia lain - benda yang aku malas mahu tulis di blog atau laman sosial yang dipenuhi dengan rakan sekolah, keluarga ataupun rakan sekerja, aku luahkan di sana. Sekurang-kurangnya, dalam seratus empat puluh aksara, apa yang aku tulis hanya sebagai satu bentuk terapai melepaskan apa yang terbuku di dada. Tapi, ada pula sesetengah manusia yang terasa hati tidak tentu hala. Kegilaan apakah ini?

Dalam hidup aku, aku berpegang kepada satu benda. Jika kekurangan kasih sayang daripada manusia, kita boleh cari cinta Maha Pencipta. Kasih sayang dan cinta Dia tiada batasan. Jadi, jika kau tidak mahu mencari cinta Dia, tapi masih mahu mengejar cinta manusia, aku sarankan jangan berikan masalah pada orang lain. Sekurang-kurangnya, kejar apa kau mahukan dengan jalan yang sebaiknya. Ini bila kau mencari masalah dengan aku, sebagai contohnya, aku yang tidak tahu menahu hanya dengar cerita daripada orang lain. Kau marah-marah dengan aku dan melibatkan kawan-kawan aku yang lain, itu benda yang tidak enak tentunya. Sebab pada aku, aku tiada masalah atau isu dengan orang. Kenapa orang nak buat begitu pada aku? Tidak bolehkah kau duduk diam-diam dalam dunia kau dan berkhayal dengan apa kau mahukan? Macam aku buat dalam dunia aku?

Oh.
Manusia kan tidak sama.
Aku tahu dan aku sangat sedar perkara tersebut.
Tapi, aku rasa sesetengah daripada kita pasti tahu apa itu ruang dan peluang. Gunakan dua perkara itu sebaiknya, kerana bila kau peroleh dua benda tersebut, itu suatu benda yang kau wajar tidak persiakan. Kecuali kau selalu bertuah dan dapat apa kau mahukan, kau boleh abaikan benda tersebut.

Aku?
Sudah tentu aku sukar untuk dapat benda tersebut. Jadi bila ia terhidang depan aku, dengan bonus seperti masa, aku akan manfaatkan sebaik mungkin. Kata orang, bagaikan ruas tebu, kita perah sampai tinggal hampas. Kalau aku, sampai tahap begitu sekali aku gunakan. Sebab itu, kalau badan aku sakit sekalipun selepas aku dapat apa aku suka, mahukan, aku masih mampu senyum gembira. Bukan mudah untuk aku capai sesuatu yang aku suka, jadi senyuman itu adalah hadiah paling berharga buat diri sendiri sebagai contohnya.

http://farm4.staticflickr.com/3384/3517876373_4daf4d2a1c.jpg
[Sumber gambar]

Begitu juga dengan keadaan sekarang ini. Sudah hampir setahun aku tidak makan nasi. Aku tulikan diri dengan kutukan, kecaman dan apa sahaja orang lemparkan. Entah, aku sendiri sudah tidak dapat mengingati kenapa aku tinggalkan makanan ruji masyarakat Malaysia tersebut. Kebodohan melampau kata sesetengah orang, tapi macam biasa, aku senyum sahaja. Apa yang aku nak, aku dapat juga, jadi apa yang dikorbankan, kalau ada hasil yang dimahukan, aku sudah boleh tersenyum dan gembira. 

Ia termasuk manusia yang aku suka. Mungkin aku tidak pandai berikan apa yang dia mahukan. Memahami dia sepenuhnya walaupun aku pastinya berusaha, tapi manusia seperti aku mahu berputus asa adalah mustahil. Sebab aku tahu, apa aku mahukan dalam hidup perlu disertai dengan usaha. Kalau aku gagal selepas berusaha, aku boleh menarik nafas lega sebab aku tahu, aku bukan berdiam diri dan tengok begitu sahaja. Melemparkan segalanya kepada takdir untuk menentukan apa aku mahukan. Mustahil benda baik akan sentiasa muncul pada aku, aku bukannya manusia maksum. Terlampau banyak khilaf dan aku tidak mahu tenggelam daripada merasai nikmat dunia yang membolehkan aku hidup sebagai manusia.

Seperti suara mamai yang aku dengar pagi tadi, suara yang jarang kedengaran begitu bunyinya. Selalunya aku yang berkeadaan demikian, selalunya aku yang akan terlelap walaupun talian masih bernyala. Selalunya aku yang akan dipaksa untuk jadi budak baik dan rebahkan diri, menikmati ruang tidur yang berharga. Tapi bila keadaan terbalik, aku tersenyum dan lebih banyak ketawa. Peluang begitu tidak akan selalu muncul. Jarang. Jadi, bila aku dapat, aku rasa bahagia. 

Dia : Saya nak merajuk.
Aku : Kenapa?
Dia : Nak merajuk boleh?
Aku : Beritahulah kenapa nak merajuk.
Dia : Nak merajuk juga, boleh?
Aku : Kalau saya tahu kenapa awak nak merajuk, saya beri. Kalau alasan yang awak berikan, diterima akal, nanti saya fikirkan. Kalau sengaja suka-suka tak boleh.
Dia : Saja suka-suka nak merajuk.
Aku : Tak boleh.
Dia : Kenapa tak boleh?
Aku : Kalau awak merajuk saya kena pujuk kan?
Dia : Ya.
Aku : Awak makan pujuk ke? Macam tak je.
Dia : Entah. Tak tahu.
Aku : Kalau awak merajuk, saya rindu, saya kena pujuk. Betul?
Dia : Betul. Awak kena pujuk.
Aku : Tak boleh. Awak tak boleh merajuk. Saya tak beri awak merajuk.
Dia : Habis tu apa yang boleh?
Aku : Minta benda lain, jangan nak merajuk. Susah saya nanti.


Dan perbualan berlangsung dengan agenda mahu merajuk tidak muncul lagi. Banyak benda yang dibualkan dan ajaibnya, sudah dua hari aku tidak menikmati dadah sintetik yang aku rengguk setiap pagi. Adakah disebabkan aku sudah menikmati dadah yang lebih berharga dan bermakna dalam hidup? Aku sendiri kurang pasti, tapi macam biasa, aku lebih suka untuk teruskan hidup macam biasa dan menikmati sesuatu yang aku hargai dan aku dihargai di dalamnya.

http://data.whicdn.com/images/20586894/big-ben-bracelet-gorgeous-i-love-londen-Favim.com-257518_large.jpg
[Sumber gambar]

Ada orang kata tulisan aku sudah lebih jadi manusia daripada dulunya. Seperti ciptaan beku yang tidak berperasaan. Tahukah kamu bahawa sukar menjadi pelakon atas dunia bila tiada bantuan sesiapa di belakang jika kita terlupa kepada cerita sendiri yang kita cipta? 

Nota Kaki :
Pagi ini sesuatu berlaku dan aku buka mata kepada realiti hidup yang selama ini aku enggan mahu percaya dan terima. Ya, manusia yang kita anggap kawan, yang kita anggap manusia yang mulia, yang kita hormat sepenuh jiwa dan anggap seperti keluarga selalunya akan jadi pemusnah senyuman yang kita tidaka akan dapat jangka. Mereka yang kita kenal sejak sekian lama itulah yang membunuh kita semula.

Zara : Bila aku buka hati dan cerita aku pada manusia lain, kesakitan aku salurkan di tempat yang betul, harapan aku cuma satu - agar hati aku tidak menjadi tempat yang subur dengan kemarahan dan dendam sebab itu tempat yang paling disukai oleh syaitan dan iblis menabur baja dan benih celaka. (Shafaza Zara, 24 Januari 2012)


Monday, January 23, 2012

Dari 4 Detik Ke 7 Detik.




Rasa nak tempeleng diri sendiri bila masuk bilik dari dapur dan nampak dua panggilan tidak berjawab. Dua panggilan dengan 0306 dan 0301, mana boleh aku nak telefon semula. Nampak sangat ada orang mencuba sebanyak dua kali - mungkin dengan harapan aku jawab di awal pagi, sebelum dia masuk tidur beradu selepas penat berjalan. 

Nampak pesanan di Mukabuku.
Keinginan untuk tempeleng diri sendiri meningkat dua kali ganda. Laju aku membalas tapi tiada jawapan. Laju tangan berlari ke Twitter, jika ada teguran. Hampa. Mungkin disebabkan kebodohan dan kealpaan diri sendiri yang suka tinggalkan telefon genggam dalam bilik, memang tidak dapat dengar suara yang dirindui. Bebal sungguh rasa.

Bawa telefon ke dapur.
Biarkan di tepi dengan harapan ada orang akan berusaha untuk telefon kembali. Nampak lampu biru-hijau berkelipan. Aplikasi "WhatsApp" menyala. Ah, dia muncul di situ akhirnya. Bibir menguntum senyuman. Dapur ditinggalkan sementara. Berlari ke bilik, lihat di Twitter, dia juga muncul di situ, menegur kembali aku yang ribut bertanya adakah dia yang membuat panggilan tidak berjawab tersebut.

Aneh.
Jarak jauh, tapi hati aku tenang bila tahu dia selamat di sana. Dengan keluarga, mungkin itu lebih baik daripada aku tidak dengar langsung khabar berita. Dari empat denting ke belakang, aku harus menambah lagi tiga denting. Tujuh denting ke belakang, berderap lebih jauh.

[Sumber gambar]

Semoga selamat di sana.
Tiga minggu sehingga masing-masing dapat lihat wajah semula?
Walaupun dipisahkan oleh kepingan kaca dan jarak jauh yang kita sudah malas kira.

Nota Kaki :
Cuti seminggu tetapi jadual padat dengan entah apa-apa. Cari ruang untuk diri sendiri tetapi masih tidak berjumpa.

Zara : Sukakan seseorang bukan bermaksud kena bersama setiap masa. Berikan dia ruang dalam hidup dia. (Shafaza Zara, 21 Januari 2012)

Tuesday, January 17, 2012

#03 : Ini Cerita Seorang Perempuan



Sejak kebelakangan ini, ada sahaja soalan pelik yang diterima. Jujurnya memang selalu, walaupun benda itu aku sudah nyatakan dengan jelas di dalam blog. Tetapi aku harus akui, bukan semua orang baca apa aku tulis. Lagipun, aku bukan deretan penulis blog yang punya pembaca yang ramai ataupun peminat tegar. Ini kan Zara, manusia beku yang suka sembunyikan rasa tanpa mahu sesiapa baca.

Aneh.
Dalam aku sembunyikan, ada juga yang nakal meneka. Dengan deretan soalan yang aku dapat dari "Formspring". Kelakar juga sebenarnya bagaimana semua itu berlaku. Adakah aku sudah menulis dengan sedikit telus hingga mengakibatkan benda sebegini jadi bacaan orang. Aku sendiri kurang pasti. Lagi pula, benda peribadi aku bukanlah sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan orang, aku rasa. Bukan tidak pernah aku menulis benda sedemikian, ia jadi bahan kutukan pula. Tapi, apalah sangat mulut (dan tangan) manusia kan? Mereka memang tidak akan pernah mahu berhenti.

Jadi, aku buka sedikit ruang untuk menulis buat diri. Lepaskan apa yang aku tanggung dengan berbual dengan kawan baik yang memahami. Mengingatkan aku kembali apa yang aku mungkin terlupa dalam hidup ini. Benda bukan mudah - mencari sahabat sejati. Orang yang tidak akan mengangguk kepala sahaja pada kau, tetapi akan menolong terajang kepala tersebut jika ada kesalahan. Dan aku, ada sahabat sedemikian rupa. Bukanlah dia pijak kepala aku, tapi secara metaforanya, dia manusia yang boleh baca aku dalam keadaan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana. Untuk itu, aku sangat berterima kasih pada dia. Orang yang aku sudah anggap seperti keluarga.

http://farm3.staticflickr.com/2496/5797491379_d95cd351a1.jpg
[Sumber Gambar]

Kebelakangan ini mungkin emosi sedikit kurang stabil. Disebabkan oleh kekangan masa dan juga kerja aku rasa, maka tumpuan aku menulis kurang. Tidak termasuk dengan hubungan jarak jauh yang aku ada. Alhamdulillah, bila dengar nasihat sahabat aku, aku kembali ke satu peringkat di mana, aku susun semula apa yang aku mahukan dalam hidup. Ambil beberapa langkah ke belakang, tetapi tidak berhenti. Dan itu memang gaya kami saling menasihati. Melihat ke belakang bukan bermaksud kalah atau mundur, tapi lihat semula apa yang telah dilalui serta belajar sesuatu daripadanya. Baiklah, itu tentang sahabat-sampai-mati aku.

Dan semalam, aku berbual dengan si dia kesayangan aku. Berbual tentang banyak perkara. Sesuatu yang unik aku rasa bagi kami adalah kebolehan kami berbual tentang perkara yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Pastinya tiada tajuk spesifik memandangkan, aku dan dia datang dari dua dunia berbeza. Seorang sudah memasuki alam pekerjaan dan seorang lagi masih belajar. Tetapi, itu bukan satu masalah. Er, mungkin sedikit masalah bagi aku bila musim peperiksaan ataupun menghantar tugasan tiba. Kurang komunikasi dan kadangkala aku tidak dapat mengawal diri. Tetapi memandangkan aku juga kadangkala sibuk, itu sesuatu yang aku boleh memaafkan diri sendiri. Hello, aku pun manusia juga.

Dia sendiri ketawa dengan pelbagai soalan yang aku terima. Kata dia, orang kenal aku, tapi orang tidak kenal dia. Jadi, soalan itu semua aku yang perlu jawab, bukan dia. Mungkinlah disebabkan aku menggunakan laman sosial secara meluas, dan dia kurang - lebih kepada permainan SC2 dia sahaja. Heh. Tapi, ada benarnya. Kalau mengikut kata sahabat baik aku sendiri, tanggungjawab sosial aku lebih berat, daripada apa yang orang lain mungkin lihat. Jadi, menulis tentang apa sahaja tentang diri aku, atau benda lain - tanggungjawab sosial aku masih lagi berat.

http://farm8.staticflickr.com/7004/6710839929_e3cef1fc12.jpg
[Sumber gambar] - Kami dan ini sekeping sahaja yang aku ada.

Jadi, bagaimana dengan pertemuan budak berdua di atas ini?
Terima kasih secara jujurnya dengan seorang yang agak dikenali di alam maya ini - daripada blog penulis itu sebenarnya, aku mula berkawan dengan dia. Dia merupakan kenalan kepada penulis tersebut. Persahabatan bermula dengan dia mengirim gambar yang aku suka dari koleksi dia. Perbualan hanya berlangsung di Twitter. Mulanya di susur masa, tapi mungkin sebab dia kurang selesa, kami berpindah ke bahagian pesanan. Tiada apa yang dibualkan sangat pada mulanya. Cuma setiap hari ada sahaja benda yang diperkatakan - dari sekadar bertanya khabar hinggalah apa yang dibuat di sekolah, universiti dan benda berkaitan dengan teknologi. Mungkin disebabkan dia adalah seseorang yang berkaitan dengan teknologi dan juga gajet, maka, isi perbualan itu kebanyakannya berkisar tentang itu. 

Hampir setahun berkawan - komunikasi menggunakan Twitter DM ataupun mel elektronik semata. Tiada telefon, pesanan ringkas dan sebagainya. Hanya dua benda itu sahaja, dan dalam proses berkawan itu juga sebenarnya, banyak benda aku belajar dan dia banyak berkongsi maklumat dengan aku. Bahkan, aku mula kenal laman sesawang teknologi seperti Gizmodo dan sebagainya. Ya, ketika aku mula menukar telefon biasa kepada telefon pintar, membeli kereta sendiri - dia sudah ada dengan aku. Ucapan ulang tahun kami pada tarikh yang sama, walaupun berlainan tahun hanya dia hantar menggunakan Twitter ketika itu. Ah, pada aku ketika itu, seorang teman yang baik muncul dan kebetulan dia seperti seorang kembar.

Ada banyak peristiwa yang berlaku dalam masa yang singkat - banyak benda yang aku belajar tentang hidup dan Alhamdulillah, aku tidak keseorangan. Tatkala menghadapi masalah, aku ada sahabat yang cukup istimewa - dan sentiasa menyokong aku. Walaupun sahabat itu mungkin tidak pernah bercakap terus dengan aku tentang ini, aku dapat rasakan bagaimana dia sentiasa ada tatkala aku memerlukan.

Ada satu ketika, aku tidak terikat dengan si dia lagi dan saat itu aku mula teruskan hidup seperti biasa. Kesakitan aku tanam dan aku lebih tertumpu pada kerjaya aku, lebih daripada seharusnya. Kesihatan, kegembiraan, semuanya aku humban demi mengejar apa aku mahukan dalam kerjaya aku. Yang aku tahu, kerjaya membuatkan aku lupa semua masalah peribadi dan aku boleh lebih fokus. Tetapi, aku mungkin lupa, ujian itu datang untuk menguji aku sebagai manusia. Aku dan si dia masih berhubungan sesekali sekala sebab pada aku, dia tetap seorang rakan baik yang aku tidak akan lupa.

http://farm3.staticflickr.com/2212/5701510561_c9a847f117.jpg
[Sumber gambar] - Ini bukan kami tentunya.

Tanpa ada ikatan atau hubungan yang wujud - hanya sekadar istilah kawan baik, pertemuan kali pertama diatur. Si dia singgah ke rumah untuk mengambil sesuatu, bersama dengan adik perempuannya. Kebetulan mereka dalam perjalanan ke sekolah adik mereka di dalam salah satu daerah di Johor. Jadi, itu kali pertama bertemu di alam nyata, tanpa ada halangan kepingan kaca dan melihat pergerakan video di Skype semata. Pertemuan singkat dan sekadar berbual endah tidak endah sahaja. Aku lebih banyak berbual dengan adik perempuan dia sahaja. Dan aku rasa, tidak sampai satu jam pun mereka di rumah aku. Kebetulan bulan puasa. Berikan hadiah ulang tahun kelahiran dia dan satu hidangan sebagai bekalan. Pencuci mulut.

Seperti juga kali pertama bersama, aku sendiri tidak tahu bagaiman hubungan kali kedua kali bermula. Tiba-tiba sahaja kami kembali bersama, seperti suatu ketika yang kami pernah lalui - hubungan lebih daripada sekadar sepasang kawan baik. Hubungan yang ada rasa cinta. Pertemuan kali kedua lebih aneh sebenarnya. Tidak sampai lima belas minit, itulah di luar rumah aku - di tepi jalan, berhadapan dengan rumah jiran aku. Ibu si dia ada bersama, puas aku mengajak masuk tetapi mereka menolak akibat kesuntukan masa, baru pulang menghantar adik ketiga ke sekolah asrama. Berbual dengan ibu dia dalam masa lebih kurang sepuluh minit - dan dengan dia tidak banyak bercakap pun sebenarnya, dia sekadar hulurkan hadiah ulang tahun kelahiran buat aku. Dan itu pertemuan kali terakhir sebenarnya sebelum dia berangkat pulang ke tempat dia belajar. 

Sepatutnya ada satu lagi pertemuan, tetapi keadaan tidak mengizinkan termasuk kekangan masa. Jadi, dia membuat panggilan telefon kepada Abah dan berbual bersama. Apa isi perbualan antara dua lelaki tersebut, hanya mereka yang lebih tahu sebenarnya. Cukuplah untuk menyatakan yang aku gembira bila keluarga aku tahu dengan siapa aku berkawan. Sekurang-kurangnya, apa yang aku lakukan dalam pengetahuan mereka. Jadi, sejak kali terakhir bertemu pada awal September itu, aku mungkin (dan doakan sahaja), akan ada pertemuan lagi pada bulan Julai yang akan datang. Dan sehingga saat aku menulis ini, semuanya dalam keadaan baik-baik dan kami masih lagi dalam proses belajar tentang satu sama lain, kerana setiap hari pasti ada benda baru kan?

http://farm6.staticflickr.com/5148/5701509399_59f77e2fc6.jpg
[Sumber gambar]

“But let there be spaces in your togetherness and let the winds of the heavens dance between you. Love one another but make not a bond of love: let it rather be a moving sea between the shores of your souls.” - Kahlil Gibran


Nota Kaki :
Dijemput untuk berkongsi pandangan dalam satu majlis bersama pelajar pada awal bulan Februari di salah satu pusat pengajian tinggi. Alhamdulillah.

Zara : Sesetengah orang akan membuatkan kamu kuat dengan menyakiti dan meninggalkan kamu. Sesetengah daripada mereka mungkin akan menyebabkan kamu lebih baik dengan mencintai dan menyayangi serta kekal bersama kamu. (Shafaza Zara Syed Yusof, 17 Januari 2012)

Saturday, December 31, 2011

Dua Puluh Sebelas : Sorotan Dan Rangkuman



Hari ini hari terakhir dua puluh sebelas.
Macam baru semalam aku menulis tentang dua puluh sepuluh. Tentang bagaimana tahun dua puluh sepuluh sebagai satu tahun menolak kematangan diri. (baca sini). Tahun dua puluh sebenarnya adalah tahun di mana aku secara dalam diamnya mendaki dan berusaha untuk menulis secara serius bagi tahun dua puluh sebelas. Ya, bagaimana dua puluh sepuluh sudah ditinggalkan, dua puluh sebelas juga bakal melabuhkan tirai.

Dalam tahun dua puluh sebelas, pelbagai peristiwa berlaku. Setiap satunya pasti meninggalkan kesan dan pengajaran untuk memberikan lebih baik pada tahun dua puluh dua belas. Sebagai catatan, tahun dua puluh sebelas bakal aku tinggalkan dengan tiada satu pun istilah percutian. Ya, tiada. Kegilaan aku pada kerjaya dan  entah apa yang merasuk semangat aku untuk tidak kenal erti penat dan lelah berusaha mencapai apa yang aku mahukan. Mungkin ada yang sudah menjadi milik aku, mungkin juga ada yang terlepas dari genggaman serta ada juga yang sudah aku lupakan dalam perjalanan. Hidup perlu diteruskan, bukan?

Senyum.
Itulah satu benda yang aku tidak pernah tinggalkan dalam hidup sepanjang dua puluh sebelas. Jujurnya, aku akan sentiasa pastikan senyuman itu tidak akan menjauh dan terus dibawa ke tahun hadapan dan seterusnya. Kalaupun mungkin aku akan menangis seketika, aku tidak mahu senyuman itu lekang kerana ia dapat mengusir derita. Walaupun orang kata itu satu langkah berpura, kau sebenarnya tidak tahu bila kau akan tersenyum lagi nanti.

[Sumber gambar] - Mari kita lihat apa yang telah dilaksanakan sepanjang dua puluh sebelas.

Januari. [pautan]
Aku mulakan Januari dengan tahun kedua berkhidmat sebagai seorang guru. Dengan tugasan yang bertambah serta banyak lagi benda menyeronokkan termasuk kegiatan aktiviti luar, aku memastikan setiap apa yang aku buat tersusun supaya apa yang aku mahukan terhasil dengan baik. Awal tahun juga kesibukan melanda, tapi aku masih menulis seperti biasa. Dalam aku saling memberikan imbangan yang aku rasa sudah cukup baik antara kerjaya dan kehidupan peribadi, aku diuji dengan kehilangan manusia yang aku cintai pada penghujung Januari. Aneh kenapa tiada dalam Dunia Sebelah Zara?
Senyum.

Februari. [pautan]
Menerima hakikat kehilangan setelah lama bersama bukanlah mudah aku rasa. Cuma bila berhadapan dengan situasi menyakitkan seorang diri, apa yang penting adalah bagaimana menguatkan diri sendiri. Aku rasa disebabkan aku menulis dengan lebih serius tentang perasaan manusia, tentang bagaimana menghadapi masalah dan sebagainya, Dunia Sebelah Zara telah menjadi satu daripada keutamaan aku selain daripada kerja hakiki. Pada bulan ini juga, aku telah dilamar menjadi sebahagian daripada tenaga kerja Terfaktab. Oh ya, bulan Februari juga menyaksikan aku memulakan misi mustahil aku sendiri - tidak makan nasi.

Mac. [pautan]
Bersedia untuk menghadapi peperiksaan - salah satu benda wajib dalam perkhidmatan aku. Saat ini, aku bergelumang dengan nota, latihan dan tugasan yang sudah lama aku tinggalkan. Aku belikan diri sendiri sebuah meja belajar, untuk duduk memberikan tumpuan. Puan Mulia kata aku gila sebab aku memilih untuk beli meja belajar berbanding dengan meja solek. Tapi, dengan meja belajar juga aku boleh bersolek. Bukan kalian tidak kenal kegilaan aku kan?

April. [pautan]
Aku lebih fokus menulis tentang benda yang berlaku dalam hidup aku dan manusia di sekeliling aku. Masa ini aku sudah buang segala perasaan mengarut aku pada benda yang tidak membawa kepentingan langsung. Kegilaan aku pada kerjaya memuncak mulai saat itu. Keseronokkan yang aku dapat daripada apa yang aku buat, tidak termasuk aktiviti luar dan sekolah membuatkan aku lupa segala masalah dan dapat memberikan tumpuan lebih banyak pada diri sendiri dan keluarga. 

Mei. [pautan]
Orang lain mungkin bercerita tentang cuti, tapi aku lebih suka memikirkan kerja aku. Menulis dan terus menulis walaupun banyak kritikan dan komentar yang tidak membina dilemparkan. Aku seperti biasa, hadam segala duka, telan segala kepahitan supaya tidak akan ada jiwa yang tercedera. Cukuplah dengan apa yang aku terpaksa lihat depan mata. Oh, penghujung Mei - Ketua Keluarga Hebat, Puan Mulia dan adik bongsu aku melakukan umrah lagi, bersama dengan beberapa anggota keluarga. Bermula episod aku menjaga adik beradik di rumah ketika cuti dengan mengorbankan kegiatan luar aku semasa cuti.

Jun. [pautan]
Amanah yang ditinggalkan, alhamdulillah dapat dilaksanakan secara baik. Aku banyak belajar bagaimana menguruskan rumah tanpa kehadiran orang tua, belajar memasak secara aku seorang sahaja yang menguasai dapur, menguruskan kewangan dan sebagainya. Tapi malangnya, kegembiraan menyambut orang tua aku di lapangan terbang dicemari dengan insiden yang merobek hati aku sebagai seorang manusia. Herdikan dan makian yang aku terima saat itu daripada manusia yang aku pernah kagumi merubah persepsi aku terhadap apa yang kita panggil sebagai berhemah dan rasa hormat aku terhakis serta merta. Apa pun yang berlaku saat itu, aku dengan gembiranya tahu bahawa aku masih punya Emak dan Abah serta adik beradik yang sentiasa percaya dengan aku. Alhamdulillah.

Julai. [pautan]
Siapa sangka permulaan bulan yang baik akan berubah dalam masa yang sangat singkat? 20 Julai, aku kemalangan dengan Adam Awraq kesayangan yang belum pun mencecah setahun remuk habis di bahagian hadapan, petang dalam perjalanan aku pulang dari sekolah. 22 Julai, dalam jam tiga pagi, rumah aku dimasuki perompak bersenjata seramai empat orang. Segala harta benda berharga direnggut daripada kami sekeluarga. Dan itu adalah tiga hari penuh menyakitkan sepanjang tahun dua puluh sebelas sebenarnya. Malang yang bertimpa di saat Ramadhan bakal menjelma. Hilang pengangkutan disebabkan Adam Awraq ditarik ke bengkel dan telefon genggam memutuskan aku terus daripada semua kenalan sekian lama. Dalam kesedihan yang aku hadapi, sebenarnya aku nampak bahawa rakan alam maya banyak membantu aku sebenarnya. Twitterjaya terutamanya.

Ogos. [pautan]
Awal Ramadhan disambut dengan penuh kesederhanaan seperti biasa. Tetapi, episod penderitaan sebenarnya baru sahaja mahu bermula. 10 Ogos bersamaan dengan 10 Ramadhan, Puan Mulia jatuh di longkang kecil sekolah. Panggilan yang aku terima di sekolah buatkan aku bergegas ke sekolah dia hanya untuk mengejar ambulans yang membawa dia ke pusat kesihatan berhampiran. Pemeriksaan selanjutnya di hospital hanya memberikan kepastian terseliuh yang kami sangka rupanya patah buku lali kanan. Itu tamparan hebat kepada seorang yang kuat bekerja seperti Puan Mulia. Bermalam di hospital bersama dia dan aku mengambil alih sepenuhnya urusan di rumah. Alhamdulillah, pengalaman ditinggalkan selama dua minggu sebelum itu amat membantu. Adam Awraq juga kembali pulih. Selain itu, pada 25 Ogos, kembar yang selama ini aku kenal dengan gambar, perbualan semata-mata datang ke rumah aku. Kali pertama bertemu, bertentang mata secara alam nyata, kasihan, dia dapat hadiah yang pastinya dia tidak akan lupa. 29 Ogos - aku menginjak usia dua puluh empat tahun.

September. [pautan]
Aidilfitri yang menjelma pada penghujung Ogos disambut dengan sedikit kemurungan dengan keadaan Puan Mulia yang masih cedera, tapi kehidupan diteruskan seperti biasa. Dengan Adam Awraq sudah kembali dalam tangan, aku dihimpit dengan kesibukan semula. Pergi kursus, ekspedisi, kegiatan luar, berbasikal dan sebagainya mengisi jadual aku sepanjang bulan September, termasuk beraya dan juga menghadiri majlis graduasi seorang kenalan lama. Buat kali pertama, aku menghadiri #twtupraya bersama dengan kenalan Twitter yang pulang beraya di Muar. Kenangan terindah bersama dengan manusia yang aku kenal di alam maya tentunya. Di samping itu, aku bekerja dengan lebih gila sebagai bayaran selepas sebulan menyisihkan aktiviti sempena menghormati bulan puasa.

Oktober. [pautan]
1 Oktober membawa tulisan aku ke satu dimensi baru. Bersama dengan Terfaktab, kami melancarkan Kitab Terfaktab #1 di Uya Distro. Satu pengalaman baru melihat tulisan aku yang selama ini hanya boleh dibaca di blog sudah tercetak (dan alhamdulillah, dikhabarkan sudah masuk cetakan kedua dan masih banyak tempahan lagi). Tahniah kepada semua skuad Terfaktab dan mereka yang sentiasa menyokong kami. Dalam kesibukan berkejar ke Subang Jaya, dan sebagainya, aku memulakan tugas sebagai pengawas PMR buat kali pertama. Bulan Oktober sememangnya sibuk dan ini kali pertama aku melihat peperiksaan sebagai satu bentuk pertempuran buat diri sendiri juga. Kali pertama memegang kelas Tingkatan Tiga.

November. [pautan]
Di sebalik kesibukan peperiksaan akhir tahun, dan juga raya Aidiladha - aku dapat tugasan lagi. Menjadi pengawas peperiksaan SPM. Betapa aku mencari pengganti, tiada siapa yang mahu. Dalam aku memberontak, aku pergi juga melunaskan arahan. Kan kerja aku adalah SYMP - "Saya Yang Menurut Perintah". Aku terpaksa melupakan aktiviti kokurikulum aku yang menyeronokkan. Berkorban dan keinginan aku juga terkorban. Terpaksa melupakan lawatan ke Perlis dan Selangor. Terpaksa melepaskan peluang menyertai cabaran. Tahniah kepada diri sendiri yang dengan tabahnya tidak buat apa-apa selain menjaga peperiksaan. Sedih. Oh, aku juga mulakan menulis dengan lebih gigih untuk bulan Disember. Ramai kawan-kawan melangsungkan perkahwinan, dan ada yang terpaksa aku tolak undangan dengan baik akibat kesibukan. Seorang kawan baik sejak tiga belas tahun yang lepas melangsungkan pertunangan. Berada di samping dia saat itu, buatkan aku gembira kerana dapat meraikan hari bahagia.

Disember [pautan]
Akhirnya berakhir juga SPM. Aku dapat tumpukan pada acara terbesar dalam takwim kerja aku sebagai seorang jurulatih dengan program basikal peringkat kebangsaan. Sekurang-kurangnya, ada juga benda yang aku suka dapat aku buat. Kenal dengan lebih ramai orang, belajar banyak benda baru dan bertugas dengan cara pimpinan yang berbeza setiap hari membuka mata aku tentang bagaimana manusia perlu terus hidup atas dunia ini. Jujurnya, mereka adalah keluarga yang aku tidak mahu hilang selagi aku terus hidup dan kekal dalam kerjaya ini secara amnya. Oh, selain daripada itu, buku kedua aku muncul pada 10 Disember 2011. Dengan tajuk HERO, aku satu-satunya penulis perempuan di dalam antologi yang menampilkan lima penulis itu. Dilancarkan di Uya Distro (sekali lagi) - dengan kehadiran manusia-manusia yang aku sayang, tapi hanya mampu luahkan dalam hati, aku sangat gembira atas semua kurniaan Ilahi. Aku punya sahabat-sahabat yang baik, keluarga yang menyokong serta pembaca budiman yang aku anggap sebagai kawan. Apa lagi aku mahu minta?

http://farm4.staticflickr.com/3158/3080606182_af39d78aaf.jpg
[Sumber gambar] - Jadi bagaimana dengan cerita peribadi? Aku tidak punya jawapan mahu diberi.

Seperti selalunya, aku mengharapkan kalian yang sudi membaca akan terus menyokong Dunia Sebelah Zara sehingga ke penghujungnya. Oh, esok - 1 Januari 2012 - Dunia Sebelah Zara akan memasuki ulang tahun yang ketiga. InsyaALLAH, akan cuba berikan sesuatu kepada pembaca bertuah yang selama ini sentiasa memberikan semangat serta dorongan untuk aku terus berusaha.

Semoga yang terbaik menjadi milik kita semua. Amin.

Nota Kaki :
1. Orang sering bertanya, apakah setiap kali menjelang tahun baru perlu ada azam baru? Aku memilih untuk buat azam baru setiap hari sebab setiap hari adalah permulaan hari yang baru. Lagipun, tahun baru pada aku adalah semasa bergeraknya awal Muharam. Sebab saat itu adalah pertambahan usia aku bermula.
2. Tahun dua puluh sebelas juga merupakan tahun di mana tulisan aku berkurang dengan drastik.

Zara : Selamat menukar takwim anda semua. Selamat memberikan yang terbaik buat diri sendiri dan semua manusia. Jangan terlampau korbankan kepentingan diri hingga merana demi melihat orang lain tersenyum gembira (peringatan kepada diri sendiri sebenarnya). Jaga diri, jaga hati, jaga iman dan aku cuma mahu beritahu yang aku sayang kamu semua.


Friday, November 25, 2011

Hubungan Jarak Jauh - Ini Mungkin Kisah Kami.




Dalam banyak-banyak menulis sejak kebelakangan ini, aku tidak menulis tentang diri sendiri. Cerita tentang diri banyak aku luahkan dengan berkicau di Twitter (@zara_syed), itupun tidaklah sekerap suatu masa dahulu. Ah, manusia kan berubah? Dan aku juga sebahagian daripada manusia. Perasaan aku, aku salurkan dengan cara berdiam diri, dengan mengambil kira pesanan dan nasihat manusia-manusia yang aku percaya. Ya, walaupun aku bukan sesiapa, dengan nama kerjaya aku, tersilap langkah pasti ada yang membahan nanti. Ah, masyarakat kita kan cepat menghakimi kerjaya seperti aku?

Senyum sinis.
Heh!

http://s2.i1.picplzthumbs.com/upload/img/ce/f3/fa/cef3fa5fe8916f090982d992a97c2408ea51a615_wmeg.jpg
Koleksi peribadi | Picplz | Flickr  | 22 November 2011

Ya.
Mungkin bukanlah sesuatu yang menyenangkan bagi sesetengah pihak untuk membaca kisah cinta, kisah jiwa dan luahan hati manusia. Disebabkan itulah, aku lebih banyak bercakap dengan seseorang, walaupun ternyata aku masih lagi di tahap yang aku sendiri tidak tahu bagaimana. Tetapi, aku lebih suka untuk diam, simpan dan menulis benda yang lebih dekat dengan jiwa. Perasaan aku juga dekat, tapi bagaimana mahu disampaikan ya?

Aku tidak tahu. Jadi, lahirlah koleksi "Awak dan Dia : Kisah Jiwa". Di dalamnya bukanlah semuanya mengenai aku, dia, kami tetapi, lebih kepada cara aku meluahkan apa yang terjadi dengan melihat kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang dekat dengan aku. Maka, aku mohon, jangan ada yang salah sangka dengan membuat anggapan, setiap kali aku menulis, ianya adalah kisah peribadi aku sendiri. Anehnya, tidak begitu. Senyum.

Dia : Ada seorang kawan kata, kenapa blog awak macam sedih.
Aku : Sekejap. Ada kawan awak baca blog saya?
Dia : Ada.
Aku : Mana dapat ni? 
Dia : Mungkin sebab mereka ada baca Twitter juga.
Aku : Oh. Lepas tu awak cakap apa?
Dia : Cakap yang bukan semua tu pasal kita, ada juga pasal kawan-kawan.
Aku : Betul tu.

Salah satu alasan kenapa aku enggan (menolak dalam diam) untuk menulis kisah sendiri adalah, aku tidak tahu hadirin yang membaca. Mungkin salah seorang daripadanya adalah ahli keluarga sendiri ataupun orang yang aku kenali secara peribadi di luar sana. Maka, menyimpan dan menulis sesekali sekala itu lebih baik daripada terlalu bercakap mengenainya dan menjadi bahan kutukan (woo!) bila berjumpa.

Ada hati yang perlu dijaga.
Ada nama yang perlu dipelihara.
Ada maruah yang perlu dibangga.
Ada kasih sayang yang perlu jadi rahsia.
Mungkin kalian begitu juga.

http://30.media.tumblr.com/tumblr_l9ea1h5cgG1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Seperti yang boleh dibaca di Terfaktab tulisan ER - mengenai hubungan jarak jauh ataupun LDR (Long Distance Relationship) - dia menulis mengenai pendapat peribadinya. Ada sesetengah fakta yang aku secara peribadinya bersetuju, dan ada juga yang aku tolak atas beberapa alasan sendiri. Tapi tidaklah sampai aku mahu memaki orang. Bila aku baca komentar penuh emosi beberapa orang, sebenarnya mereka perlu memahami bahawa itu tulisan berbentuk peribadi daripada ER. Nak sakit terlampau banyak? Aduhai, aku tiada komentar.

Bercakap tentang LDR, aku pernah dan berada dalam LDR. Banyak benda yang kita perlu belajar, sama juga kalau hubungan dekat sekalipun. Memang dalam sesetengah perkara, ada benda yang kita mungkin akan nampak agak kasihan - jarak, tidak dapat bersama sentiasa dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, proses pembelajaran berterusan aku mengenai manusia.

Dengan adanya dia, aku belajar beberapa perkara. Bahawa tidak semua benda aku boleh mengharap pada manusia. Dalam erti kata lain, aku sendiri punya banyak kelemahan dalam menguruskan diri, maka apabila mahu memulakan hubungan - aku lebih suka kalau aku dapat memahami orang yang menjadi pemilik rusuk kiri. Sebagai contohnya, aku beli buku untuk menambah pengetahuan aku, bukan untuk saling membezakan antara kami. Dan ini membuatkan aku teringat perbualan aku dengan seorang kawan.

KB : Kau baca buku tu juga?
Aku : Kenapa?
KB : Parah betul buku tu.
Aku : Kenapa?
KB : Aku beli buku tu 2 salinan.Aku baca satu, kekasih aku baca satu.
Aku : Lepas tu kenapa?
KB : Mula-mula baik sahaja. Tapi makin lama, dia macam terpengaruh dengan buku tu. Dia nak aku jadi macam dalam buku tu.
Aku : Eh, kenapa?
KB : Dengan alasan, hubungan dalam tu sempurna. Jadi, bagi mencapai kesempurnaan, kena ikut buku tu.
Aku : Pulak dah.
KB : Kau baca buku tu dan buat macam mana?
Aku : Oh, aku baca dan aku tengok apakah perkara yang aku buat selama ini betul ataupun tidak. Dan paling penting, jangan menyalahkan pasangan. Sebab, dalam tindak tanduk kita, sebenarnya itu yang mungkin menjadikan dia berikan reaksi sedemikian.
KB : Jadi buku tu elok untuk kau?
Aku : Setakat ini baik. Jadi sumber aku berfikir kalau sesuatu perkara berlaku. Tak perlu aku nak sakit hati melayan perasaan, walaupun kadangkala aku lagi suka salahkan diri sendiri.
 KB : Maksudnya?
Aku : Sebab aku tahu apa yang aku baca, aku tahu cara nak elakkan, tapi kadangkala aku ikut hati juga sampai boleh buat situasi rasa kurang senang. Jadi aku yang kena tengok diri sendiri. Dalam masa yang sama, aku belajar untuk beritahu dia cara yang baik juga. Kena cakap elok-elok, sebab aku dan dia agak serupa dari beberapa segi.
KB : Aku tolak buku tu.
Aku : (ketawa) Aku masih mahu belajar dan kaji lagi.

Ya.
Dengan dia aku banyak belajar benda.
Dan aku tahu, aku tidak boleh lagi bersikap keras kepala.
Ada benda yang aku perlu berikan ruang kepada dia.
Untuk membantu aku yang kadangkala gila.

http://29.media.tumblr.com/tumblr_laorz35QHC1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Eh, sekejap?
Mana kisah yang aku nak sampaikan?

Awak.
Dia berterima kasih pada teknologi.
Menghubungi awak yang jauh di mata, bukanlah benda yang rugi.
Berbual dengan awak semudah dia bangun pagi.
Bercakap dengan awak bagaikan awak dan dia berkongsi bantal dan mimpi.
Menatap satu sama lain hanya ditapis oleh paparan nipis lutsinar beberapa inci.
Menghantar ciuman terbang (baca : flying kisses) sentiasa hingga masing-masing senyum nampak gigi.
Dan banyak lagi.

[Siri "Awak dan Dia : Kisah Jiwa" - Awak, Hubungan Jarak Jauh Itu Apa?]


Dan aku lebih suka simpan siapa dia sehingga tiba saat yang sepatutnya. Kalaupun ada yang sudah tahu dan meneka siapakah dia, aku mohon pengertian untuk diamkan sahaja ataupun janganlah diusik dia (kalau kamu kenal). Sebab dia perlukan ruang dan aku suka untuk berikan dia ruang agar apa yang diusahakan mampu dicapai dengan cara sebaiknya.

Nota Kaki :
01 - Hujung minggu mungkin tak akan tulis apa-apa.
02 - Masa berlalu pantas. Dulu kau kawan, tapi bila jumpa orang lebih baik dari aku, aku cuma berdoa kita tidak akan jadi lawan.
03 - Perjalanan ke Perak dan mungkin patah balik ke Selangor pada hari berikutnya.

Zara : Proses pembelajaran itu tidak akan pernah berhenti dan aku sememangnya gembira dengan keputusan dan pilihan aku sendiri. Istilah kesal tidak wujud dalam diri kerana aku percaya, perjalanan itu perlu sampai ke destinasi.

Saturday, November 12, 2011

Adakah Ini Ciri Teman Wanita Anda?



Pengakuan :
Perlu diakui aku sudah jarang membaca blog orang lain kecuali aku adalah peminat tegar blog tersebut hingga aku sudah hafal pautan ke blog mereka. Dan ya, walaupun aku tidak membalas ulasan yang diberikan di dalam penulisan aku, aku akan menjengah blog kalian berdasarkan profil anda. Itu sahaja. Kalau aku tinggalkan komentar, maaf kalau komentar itu berbaur sarkastik. 

Maaf. Maaf. Maaf.

http://farm3.static.flickr.com/2686/4326729362_d46dbe1852.jpg
[Sumber gambar]

Disebabkan ini blog Dunia Sebelah Zara, blog tempat aku menulis segala benda yang aku suka tanpa dipedulikan oleh sesiapa, aku rasa lebih santai dan tenang. Dalam erti kata, kalau di blog yang satu lagi, aku hanya dalam satu barisan yang tidak dikenali dan ya, aku suka sebegitu. Jadi identiti aku masih akan kekal rahsia. Baiklah, itu sebagai satu mukadimah bahawa tidak dikenali di dalam dunia maya dan dunia luar bukan satu masalah bagi aku. Bahkan satu anugerah.

Ada orang tulis macam-macam benda bila marah dan gembira.
Ada orang tulis macam-macam benda bila bahagia dan berduka.
Ada orang tulis macam-macam benda bila dia hilang rasa.

Jadi, bila aku duduk membaca segala status di Mukabuku, Twitter ataupun di e-mail, aku hanya tersenyum melihat orang meluahkan apa yang mereka rasa. Ciri-ciri pasangan mereka, tidak kira lelaki ataupun perempuan, masing-masing meletakkan sesuatu yang buat aku mahu menulis sesuatu. Adakah ciri-ciri ini terdapat pada teman wanita anda ataupun anda sendiri wahai perempuan?

01 - Terlampau mengambil berat hingga tahap mengongkong.
Menjadi sifat perempuan, mengambil berat semua benda. Setiap daripada maklumat yang dia dengari akan menjadi satu memori. Keberkesanan berapa lama memori itu akan tinggal dalam sistem adalah bergantung kepada berapa pentingnya maklumat tersebut pada mereka. Sebagai contoh, ulang tahun setiap ahli keluarga, ulang tahun si dia, segala jenis tarikh yang pada mereka bermakna, tempat tinggal kawan-kawan, dan pelbagai lagi, hatta apa yang mereka pakai sepanjang minggu termasuk minggu sebelumnya. 

Itu baik. 
Tapi setiap benda baik, jika terlampau banyak, boleh mengakibatkan kesan buruk. Seperti juga dadah. Kalau kau makan dadah sedikit, ubat batuk atau panadol sebagainya dalam kuantiti yang dibenarkan doktor, insyaALLAH, penyakit akan sembuh. Tapi kalau diambil secara berlebihan hingga ketagih, memang boleh membunuh. Jadi, adakah situasi di bawah berlaku pada anda?

A : Awak pergi mana semalam?
B : Keluar dengan kawan-kawan.
A : Keluar pergi mana?
B : Sekadar makan-makan je.
A : Ada berapa orang?
B : Dalam 5-6 orang.
A : Saya kenal mereka tak?
B : Entah. Tak kot?
A : Semua lelaki juga ke?
B : Ya.
A : Betul ke?
B : Betul.
A : Awak pakai baju apa je masa keluar dengan mereka?
B : Kenapa?
A : Awak jawab je la.
B : Ala, baju biasa. Kasual.
A : Awak tak pakai baju yang saya bagi?
B : Tak.
A : Awak tak suka eh?
B : Eh. Apa benda yang awak mengarut ni?

Ya, terlampau mengambil berat sehingga selalu tersasar daripada matlamat asal dalam soalan. Silap-silap boleh menimbulkan pergaduhan disebabkan perkara yang kecil. Pakaian apa yang dipakai semua mahu diketahui sehingga juga mungkin warna seluar dalam. Eh, lelaki pakai seluar dalam ke boxer? Mana-mana pun boleh la. Awas kalian, boleh ambil berat, tapi jangan sampai mengongkong.

02 - Suara lantang tanpa berhemah.
Tiada masalah kalau mahu meluahkan apa yang terbuku tidak berpuas hati dalam hati. Daripada terus dipendam, hingga boleh mengakibatkan kesan buruk, beritahu pasangan anda dengan baik adalah perlu demi kesejahteraan hubungan dan juga kesihatan anda sendiri. Sudah tentu anda tidak mahu diserang sakit jantung atau tekanan perasaan disebabkan menjeruk hati sendiri yang tiada nilai pasaran. Hati yang dijeruk tidak dijual di dalam balang-balang pasar raya. Eh.

Anda juga mungkin sudah penat mahu mengalah.
Pada anda, mengalah itu kalah.
Dan anda tidak mahu pasrah.

Ada pendekatan dan cara yang baik bagi memberitahu sesuatu yang anda kurang gemari. Sebagai contohnya, anda kurang gemar si dia memakai baju bewarna hitam disebabkan dia akan kelihatan segak dan semua perempuan lain akan memandang dia. Untuk mengelakkan (kononnya) perempuan lain menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu, anda bercadang menegur dia.

http://farm4.static.flickr.com/3284/2490715232_cfa95d2849.jpg
[Sumber gambar]


Situasi 1

A : Awak jangan pakai baju hitam lagi.
B : Kenapa?
A : Awak nampak tak senonoh.
B : Apa?
A : Awak nampak gemuk. Lagipun, saya tak tahan la orang lain cakap awak gemuk. Lepas tu rasa macam awak selekeh sangat. Awak takde baju lain ke? Warna lain?
B : Apa yang tak senonohnya saya? Tak fahamlah.
A : Saya kata jangan pakai, jangan pakailah!
B : Dah tu awak nak saya pakai apa?
A : Pakai warna lainlah!
B : Saya nak konvo ni, baju saya mesti hitam.
A : Awak jangan konvo macam tu.
B : Apa?!

Untung kalau tak ditinggalkan atau ditangankan.

Situasi 2

A : Sayang, awak nampak segak kalau pakai baju hitam.
B : Biasa sahajalah.
A : Awak memang banyak baju hitam ya?
B : Bolehlah.
A : Kalau awak pakai baju hitam masa keluar dengan saya sahaja boleh?
B : Kenapa?
A : Entahlah, tapi saya rasa awak nampak menarik begitu. 
B : Boleh, tiada masalah.
A : Bukan maksudnya awak tak boleh pakai langsung tahu?
B : Faham. Saya ok je.
A : (gelak kecil) Ramai perempuan tengok awak tahu kalau awak pakai begitu.
B : Saya nak awak sahaja yang tengok saya.
A : Terima kasih awak.

Bukankah situasi itu lebih baik?

03 - Kuat merajuk tidak tentu hala.
Ini antara sikap yang menjadi pilihan sesetengah perempuan.
Merajuk bila apa yang mereka perlukan tidak dipenuhi. Ada baiknya juga merajuk sesekali sekala, sebab anda mungkin dapat melihat sama ada lelaki itu mengambil berat atau tidak. Tapi, kalau sentiasa merajuk, sentap tidak tentu hala bagaikan datang bulan setiap masa, anda sebenarnya sedang menempah kepada bala. Bukan sahaja teman lelaki boleh sakit kepala, orang di sekeliling anda juga mungkin akan geleng kepala dan berlalu dari hidup anda.

Jadi, bagaimana hendak menghadapi situasi orang yang merajuk tidak tentu hala bagaikan cuaca yang tidak menentu ini? Baru kita nak bergelak ketawa, dia sudah tarik muka, hentak kaki dan pandang dinding tanpa sebarang rasa. 
  • Pujuk - Selagi mampu, pujuklah. Cakap baik-baik, moga hati yang keras macam batu itu akan luntur ibarat dicurah dengan bahan kimia yang tajam dan berkuasa. Kalau boleh, biarlah ada bau wangi selepas itu ibarat menggunakan Downy ataupun Softlan.

  • Biarkan dia sejuk - Ada orang masa marah, masa merajuk, langsung tidak boleh disentuh. Makin disentuh, makin panas hati dia. Kalau ada barang di sekeliling, ada harapan segalanya berterbangan dan porak peranda macam budak baru nak 'up' (BBNU) buat vandalisme. Tinggalkan dia buat sementara, buat kerja lain, lepas tu, datang pujuk semula. Berapa lama mahu ditinggalkan untuk keadaan reda, adalah bergantung kepada bagaimana anda kenal pasangan anda.

  • Pujuk diri sendiri - Dah kalau dipujuk pun, tidak mahu berganjak dan keras kepala, biarlah dia pujuk hati sendiri. Bagilah dia merajuk sepuas hati dia. Nanti dah baik, elok semula, datang kembali mungkin rasanya. Biarkan dia layan merajuk sampai dia pun bosan dengan diri sendiri. Heh. (Baiklah, nasihat ini kedengaran keji)

04 - Degil.
#patdd (pandang atas tangan di dada)

Ada banyak kedegilan manusia. Malas mandi mungkin satu kedegilan juga. Degil dan tidak mendengar nasihat yang baik, bolehlah bikin hati agak panas sesekali sekala. Lebih-lebih lagi kalau ia melibatkan sesuatu yang penting sehingga menjejaskan kesihatan.

B : Awak, pergilah tidur.
A : Tak nak.
B : Janganlah degil. Esok kan kena bangun pagi.
A : Tapi, tapi nak berbual dengan awak lagi.
B : Macam inilah, awak tidur dulu, nanti bangun awal pagi, boleh berbual.
A : Macamlah awak ada nanti kan?
B : Ada. Nanti saya kejut awak.
A : Kalau awak takde?
B : Dah tu tak nak tidur?
A : Tak nak.
B : Nanti awak jadi panda, siapa susah?
A : Tak susahkan awak.
B : Degil betul. Nanti jadi panda, lepas tu bawa kereta laju-laju kan?
A : Awak nak saya bawa kereta macam tu?
B : Bukan. Hish.
A : Dah tu?
B : Nak suruh awak jaga kesihatan je.
A : Dah tu kalau saya tidur, awak nak buat apa?
B : Saya tunggu awak. Saya boleh buat kerja lain.
A : Baiklah.


Tapi, nak dapatkan jawapan terakhir itu agak payah kan? (pusingkan anak mata)
Ada benda yang perlu kita degil demi pertahankan pendirian ataupun prinsip, tapi kalau demi kebaikan, ikutlah dan terima nasihat dengan baik. Siapa yang tidak mahukan perhubungan yang sihat dan kebahagiaan yang berpanjangan?

http://farm5.static.flickr.com/4051/4326729534_5529e13fa5.jpg
[Sumber gambar] - Maafkan saya sebab selalu degil. Eh.

Bak kata seseorang, "Saya nak hidup dengan awak bukan untuk sebulan, setahun sahaja. Kalau boleh saya nak hidup dengan awak lama. Mungkin tak lama mana, 5 hingga 6 dekad pun dah memadai asalkan kita bersama hingga akhirnya"

5 hingga 6 dekad tu dalam 50 hingga 60 tahun kan?

Nota Kaki :
Sekadar peringatan. Kalau anda tidak berpuas hati dengan tulisan di atas, sila jangan memaki sesuka hati. Tapi kalau anda mahu memaki pun apa salahnya. Aku tak kisah.

Zara : Kita mungkin bersama disebabkan kita mempunyai ikatan dan persamaan yang nyata. Tetapi, disebabkan perbezaan, kita dapat melihat dunia yang lebih indah dan penuh warna. (Shafaza Zara, 12 November 2011)


Thursday, October 20, 2011

Itu Mungkin Rindu, Kot?


http://farm7.static.flickr.com/6112/6259873587_d160fbf6f3.jpg
Koleksi peribadi : Meja belajar di bilik aku - 19 Oktober 2011

Saya rasa saya rindu awak.
Mungkinlah.
Kot?

Kadangkala bila rindu datang menjelma, saya akan mendengar muzik kegemaran ataupun melihat gambar kita bersama. Bukan untuk mengingatkan diri saya tentang awak, tetapi untuk membuatkan saya rasa saya bersama awak. Dengan begitu sebenarnya, saya boleh mengabaikan jarak yang jauh dan mengurangkan rasa sakit sendirian dalam menjalani kehidupan seharian.

Saya rasa saya rindu awak.
Mungkinlah.
Kot?

Nota Kaki :
Senyum sahaja membaca telahan orang.

Zara : Dan semakin lama, aku semakin mengerti perbezaan itu yang membawa kepada satu persamaan yang lebih unik. Bukankah hidup akau lebih bahagia bila perbezaan itu membawa kepada timbangan neraca yang sekata?

Thursday, September 22, 2011

Kadangkala Tidak Pandai Menggambarkan Perasaan


Sejak kebelakangan ini, lagu yang sering berkumandang di dalam ruang sempit empat persegi berwarna biru itu adalah lagu "Aishiteru" oleh Zivilia Band. Ada sesuatu pada setiap bait lagu itu walaupun hakikatnya aku tidak mengerti apa kaitan "Aishiteru" dengan "Menunggu". Aishiteru maksudnya "Aku Cinta Padamu" (dalam bahasa Jepun, manakala Menunggu itu seharusnya perkataan lain. "Matteru yo" - adalah menunggu awak (sepanjang pemahaman aku selama ini). Tetapi, tidak mengapalah, aku suka lagu itu. 

Walau raga kita terpisah jauh
Namun hati kita selalu dekat
Bila kau rindu pejamkan matamu
Dan rasakan a a a aku

Kekuatan cinta kita takkan pernah rapuh
Terhapus ruang dan waktu
Percayakan kesetiaan ini
Pada ketulusan a a ai aishiteru

Itu antara bait yang aku suka pada lagu tersebut. Salah seorang dari kenalan aku menyatakan lagu itu "gagap" pada penghujung dua rangkap di atas. Ah, kadangkala ia menggambarkan perasaan kita sendiri bukan? Adakah kita dengan lantang mampu mengucapkan rasa kasih sayang pada seseorang? Mungkin sesetengah dari kita boleh tetapi bagaimana yang lain? Hanya mampu memendam perasaan dan mencari ruang yang entah bila akan kunjung tiba hanya demi meluahkan rasa suka. Setiap manusia itu kan tidak sama? 

Senyum.

[Sumber gambar]

Kadangkala dalam menggambarkan perasaan suka kita, kita melakukan perkara bodoh yang mampu mengguriskan hati manusia yang kita cinta sama seperti kita cuba menafikan pada orang lain bahawa kita sedang diulit perasaan bahagia sendirian ataupun meyakinkan diri bahawa biarlah segalanya berjalan dengan rahsia supaya tiada siapa yang mampu mengacau kesempurnaan kehidupan yang didambakan.

Aneh.
Manusia itu unik.
Manusia itu pelik.
Tetapi hanya manusia yang memahami manusia secara seluruhnya.

Kasih sayang dan cinta itu kadangkala macam kau menunggu di stesen kereta api. Kadangkala kereta api akan sampai, tapi bukan ke destinasi yang kau mahukan. Kadangkala, kereta api akan terlepas walaupun telah lama menunggu. Kadangkala tersalah membeli tiket. Menunggu terlalu lama, tetapi kereta api tidak juga kunjung tiba mengikut jadual. Bila terlalu lama menunggu, mula putus asa, tetapi akhirnya kereta api tiba.
Adakah kita manusia yang akan terus menunggu?
Manusia yang sembunyikan perasaan dan teruskan menunggu?
Ataupun manusia yang enggan menahan lagi perasaan dan terus berdiri meluahkan hati yang terbuku?

Saya suka awak.
Saya cinta awak.
Saya ingin memiliki awak.
Saya tidak perlukan berjuta alasan untuk mencintai awak.
Kehadiran awak dalam hidup saya sudah memadamkan segala alasan yang saya boleh cipta demi cinta awak.
Mungkin kadangkala saya bersikap sambil lewa, dingin ibarat musim salju tetapi awak tetap manusia yang saya tunggu setiap hari dan bukannya secara rawak.
Awak manusia yang saya ingati bukan setakat dalam pemikiran tetapi dalam setiap doa yang saya panjatkan pada Maha Esa.
Awak mungkin ketawa bila menyedari semua ini, tetapi ini sesungguhnya bukan lawak.


Bergantung kepada keadaan juga bukan?
Senyumlah demi kebahagiaan sendiri.
Hidup kita, kita yang tentukan.

Nota Kaki :
Menunggu sepanjang hari bukanlah satu kebodohan kerana di situlah apa yang kita mahukan sedang diuji. Apakah kita mampu menunggu seseorang sepanjang hayat?

Zara : Aku setuju dengan apa yang dinyatakan oleh Kahlil Gibran. Dia menyatakan, "nilai dari seseorang itu di tentukan dari keberaniannya memikul tanggungjawab, mencintai hidup dan pekerjaannya. "

Monday, September 19, 2011

Cinta Kalah Dengan Secangkir Kopi.


Hujung minggu yang singkat berlalu.
Dipenuhi dengan pelbagai perkara yang harus dilakukan tidak termasuk menanggung kesakitan bulanan yang pastinya hampir buat jiwa meracau. Bukan tidak biasa, cuma bila salah satu tenaga kerja di rumah berkurangan, sakit adalah pilihan terakhir yang mahu muncul di minda.

Sabtu majlis pertunangan sahabat sejak zaman persekolahan.
Pernah dikiaskan sebagai langit dan bumi antara kami disebabkan perbezaan ketinggian yang nyata. Sudah tentulah aku yang bumi - aku kan pokok bonsai sejak azali? Senyum. Tahniah buat kamu saudari, selangkah kaki sudah diikat dan aku doakan agar ia menemui ikatan simpulan yang cukup menarik di hujung nanti.

Cuaca yang kurang memberangsangkan merencat aku daripada menulis seperti biasa. Kalau ada pun, hanya berkicau tidak tentu hala di Twitter ataupun di laman khas Dunia Sebelah Zara di Mukabuku. Menulis apa yang terlintas di hati dan fikiran walaupun diajukan dengan pelbagai pertanyaan apakah aku sudah mula dijenguk oleh manusia berlainan jantina. Nah, bukankah Dunia Sebelah Zara adalah tempat aku meluahkan apa sahaja bentuk perasaan dan kenyataan?

Senyum.

http://farm4.static.flickr.com/3237/3145740012_bee096d788.jpg
[Sumber Gambar]

"Kalau ada Nescafe, ada awak, yang mana satu saya perlu pilih ya?"

Pilihlah yang menenangkan awak.

"Saya pilih Nescafe" :)

Saya tunggu sebelah. Lepas minum, saya datang pada awak.

"Eh, mungkin saya datang dulu. Sebab Nescafe merangsang adrenalin"

Tak. Kopi buatkan awak tenang. Saya yang buatkan adrenalin awak bergerak laju kan?


Ada yang menyatakan bahawa mereka pasti akan menangis kalau kopi menang berbanding mereka. Kopi menjadi pilihan kekasih hati berbanding mereka yang merupakan seorang manusia. Tapi, tahukah anda bahawa kopi tidak akan tersedia sendiri? Mungkinkah anda yang akan diminta untuk menyediakannya? Secara tidak langsung, anda sebenarnya yang dipilih. Kiasan dalam kehidupan kadangkala aneh untuk difahami. 

Nota Kaki :
Sibuk dengan kerja. Maaf.

Zara : Terima kasih jadi manusia paling sabar bila melayan saya yang cepat panas hati apabila kehendak hati tidak dapat dipenuhi. Ya, kadangkala saya suka meletakkan perasaan yang pertama berbanding rasional diri. Terima kasih sekali lagi.

Saturday, September 10, 2011

Hati Yang Perlu Dipertahankan.


Alhamdulillah.
Semoga segala urusan dipermudahkan. Impian yang dimulakan semula dengan langkah perlahan dan kata-kata sokongan daripada manusia yang aku hormati, aku sesungguhnya berdoa semuanya berjalan lancar sehingga masa menentukan apa yang dirancang.
Dan melanjutkan pelajaran memburu mimpi yang digantungkan sejak tahu apa itu universiti adalah sebahagian daripada apa yang perlu dikejar. Hal yang berkaitan dengan hati serta perasaan boleh diletakkan di suatu kawasan agar tidak diganggu dengan benda bersifat peribadi.

[Sumber gambar] : Terima kasih atas keberanian melakukan sesuatu yang sungguh berharga demi memastikan diri penuh keyakinan dan penuh dengan restu.

Dan kali ini hidup mengharapkan keajaiban.
Itu sahaja dan pastinya doa sebagai iringan.

Aku sayang diri aku.
Lebih daripada sesiapa boleh sayang aku.

Tapi satu benda aku mahu katakan. - "Saya sayang awak juga. Sentiasa"

Nota Kaki :
Hujung minggu yang hujan dan hidup dipenuhi aroma masakan.

Zara : Aku dah habis baca novel #JERAT daripada Fixi. InsyaALLAH, Isnin nanti aku akan tulis ulasannya.

Wednesday, September 07, 2011

#WW #10 : Terima Kasih Atas Kenangan


http://s1.i1.picplzthumbs.com/upload/img/ba/0d/66/ba0d6667868c3a8cb1b24e3a6e971b4cd67f79d7_wmeg_00001.jpg
[6 September 2011] - Terima kasih atas kenangan walaupun sekelumit cuma ia amatlah berharga.

Nota Kaki :
1. Kitab Terfaktab sudah mula boleh ditempah sekarang. Sila tengok di sini. Ada tulisan aku juga didalamnya.
2. Khabarnya majalah Remaja Edisi 15 September ini ada mengenai kami di Terfaktab juga. Boleh beli kalau sudi.


Monday, August 29, 2011

#29 #Ramadhan : 24 Tahun Nikmat Dunia.


Alhamdulillah.
Atas segala nikmat yang tidak terperi di atas dunia ini.
Atas nyawa yang entah di mana tersembunyi.
Atas bilangan tidak terkira rahmat yang diberi.

http://farm7.static.flickr.com/6027/5941290183_24f8468781.jpg
[Sumber gambar]

Terima kasih pada Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.
Terima kasih Mak dan Abah yang membesarkan.
Yang menerima buruk baik puteri sulung, cahaya mata pertama ini selama berpuluh tahun tanpa pernah menyisihkan serta tidak jemu untuk mendoakan manusia yang kadangkala tidak tahu bersyukur ini.

Terima kasih kepada adik-adik yang langsung tidak cakap apa-apa. Sekadar ucapan sudah memadai, tetapi tidak mengapa. Mungkin kalian tidak ingat bila tarikh Along dilahirkan ke dunia. Pastinya disebabkan kalian belum dilahirkan ketika itu.

Buat Pali Si Busuk.
Sahabat terbaik-pijak-kepala-sampai mati.
Terima kasih atas tulisan kamu yang sungguh menyentuh hati.
Aku pastinya tidak akan jumpa manusia lain sebaik kamu (dan sangat memahami) aku sebagai manusia di atas dunia ini yang berjaya mengekalkan garis persahabatan sehingga kini. Sudah empat tahun. Empat tahun sebenarnya sudah berlalu.


Buat kembar tersayang.
Ya, awak tahu siapa awak.
Tahun ketiga saya menerima ucapan itu dari awak wahai kembar.
Dan ya, tahun ketiga juga saya membuat ucapan serupa.

Buat kawan-kawan di Mukabuku, Twitter dan pengunjung Dunia Sebelah Zara, terima kasih atas ucapan yang penuh di dinding, penuh di garis masa dan di ruangan komentar yang mana kamu curahkan ucapan mesra. Terima kasih tidak terhingga kerana memberikan aku sedikit rasa manusia.

Selamat ulang tahun ke-24 Zara.
Tidak banyak yang aku minta.
Aku cuma mahu jadi lebih manusia.
Manusia yang mempunyai rasa.
Dan bukan beku selamanya.

Nota Kaki : Akan sibuk menguruskan dapur.

Zara : Selamat pulang beraya semua. Selamat atas segalanya.


Thursday, July 07, 2011

#WW #2 : Bukan Untuk Aku



[Sumber gambar]

Selepas ini, janji harus ditunaikan. Aku akan keluar dari seluruh hidupnya dan keluarga sebelum hilang bau tanah tumpah darahnya. Dan itu, tidak ada kena mengena dengan soal hati atau perasaan. Dua bulan dari tarikh kaki mencecah tanah.


Friday, January 28, 2011

Bila Kekasih Bertemu Bekas Kekasih...


Hidup ini kadangkala terlampau banyak warna.
Penuh dan sesak hingga kita mahu memilih satu warna sahaja.
Warna yang menggambarkan siapa diri kita.
Benda yang melambangkan perasaan kita.

http://farm5.static.flickr.com/4019/4283576074_b88a418ecd.jpg
[Gambar : Kadangkala kanvas hidup tidak semestinya ceria]

Benda yang dirancangkan musnah. Kegembiraan dan kebahagiaan luntur bila mengenangkan masa yang ada untuk membina segala memori serta kenangan indah hilang begitu sahaja. Hati mula tercalar, sedikit demi sedikit dengan kehadiran orang yang dahulunya pernah menghuni marga sang kekasih pujaan jiwa. Satu demi satu calar mula tertusuk hingga mengalirkan darah merah. Luka kering, tinggal calar serta parut hodoh sebagai hiasan hati yang sudah sakit melata.

Satu.
Dua.
Tiga.
Izinkan berkongsi cerita seorang manusia.
Dia teman, dia sahabat yang aku mahu gembira.
Malangnya, di hatinya mula terdapat palitan duka.
Sakit dan terseksa.
Jiwa.

Dia gadis yang terlampau rapuh. Mencari kegembiraan sendiri bukanlah mudah. Sering terluka akibat memendam rasa dan tatkala dia mula kuat membina hidup dan kerjaya, hati mula disinggahi cinta manusia. Hidup yang selama ini diabadikan buat keluarga semata-mata sudah mula dibuka kepada seorang lelaki yang mencuri jiwanya. Bahagia dan senyum sentiasa dengan keadaan yang mula lain daripada biasa.

Entah kenapa, kegembiraan yang sentiasa dia syukuri itu mula terjejas dengan kehadiran bekas kekasih hatinya. Wanita itu muncul dan mula buat dirinya resah. Dia percaya lelaki itu, percaya dengan janji dan luahan cinta tetapi sejak wanita itu hadir, kelibat lelaki itu sudah hampir tiada dalam setiap hari yang dilaluinya. Tidak seperti selalu, lelaki itu akan ada dan mereka saling bertingkah cerita. Tapi sejak beberapa waktu, benda itu sudah tidak lagi berlaku. Masa seakan beku.

Apakah lelaki itu hanyut bersama bekas kekasihnya?
Apakah lelaki itu sudah lupa akan janji mereka bersama?
Apakah hatinya yang bersangka buruk hingga hampir nanar dan gila?
Entah, dia tiada jawapan walau berfikir pecah kepala.

http://farm4.static.flickr.com/3491/3713326329_c504618e58.jpg
[Gambar : Dia sudah lupa apa itu kesihatan terhadap diri sendiri.]

Gadis : Maaf tadi telefon masa kau mesyuarat.
Aku : Tak mengapa. Dah habis dah ni.
Gadis : Maaf mahu susahkan kau lagi.
Aku : Ah, tiada apa-apa. Kenapa ni?
Gadis : Aku sedih sampai dah tak tahu nak buat apa.
Aku : Apa jadi?
Gadis : Kekasih aku jumpa bekas teman wanita dia lagi. Atau lebih tepat lagi, perempuan itu cari dia.
Aku : Ada urusan apa?
Gadis : Sengaja, suka-suka. Bercuti sambil bekerja di kawasan dia.
Aku : Anggap yang baik sahaja.
Gadis : Sejak wanita itu datang, teman lelaki aku langsung tak hubungi aku.
Aku : Eh, kenapa?
Gadis : Dia kata dia sibuk uruskan keperluan wanita itu.
Aku : Kenapa wanita itu tak uruskan diri dia sendiri?
Gadis : Entah. 
Aku : Kau telefonlah teman lelaki kau, kalau dia tak hubungi kau.
Gadis : Setiap kali aku telefon, operator yang jawab. Kalau aku hantar SMS, dia tak balas.
Aku : Oh, itu gila.
Gadis : Hari itu ada kecelakaan di tempat berhampiran kediaman dia, aku risau jika kawasan rumah dia terjejas sama, aku cari dia berkali-kali tiada jawapan sampai aku terpaksa selongkar FB kawan dia satu persatu untuk tahu kalau dia selamat.
Aku : Habis tu?
Gadis : Dia selamat. Aku tanya pada kawan dia yang kawan dengan aku juga.
Aku : Dia tak hubungi kau?
Gadis : Dia cuma hantar pesanan dia selamat dan itu sahaja.
Aku : Itu sahaja?
Gadis : Ya. Kau tahu apa aku rasa sekarang ni?
Aku : Apa dia?
Gadis : Aku nak ambil penerbangan ke tempat dia dan cari mereka, tengok apa mereka buat.
Aku : Eh, kau kan kerja?
Gadis : Itu kalau aku gila, setakat ini aku cuma dapat berserah dan paksa diri aku percaya dia.
Aku : Tabahlah ya? Aku faham apa yang kau rasa.
Gadis : Kenapa? Kau pernah rasa?
Aku : Tak nak jawab soalan itu, cuma cukuplah aku kata aku faham ya? Kau kena kuat, kau sibukkanlah diri ya? Supaya kau boleh tenang macam selalu.
Gadis : Aku tak kuat Zara, aku tak kuat.
Aku : Kau boleh. Kerapuhan kau adalah kekuatan kau sebenarnya. Percayalah.
Gadis : Kau tahu aku sedang menangis kan?
Aku : Boleh dengar, cuma jangan ikut perasaan.
Gadis : Kalau kau di tempat aku sekarang ini, apa akan kau buat Zara?
Aku : Kalau aku? Aku akan buat macam aku cakap pada kau tadi. Buat sibuk dengan kerja lain sehingga aku tak fikir apa-apa selain kerja.
Gadis : Kau boleh ke lupakan benda begini bila sibuk?
Aku : Macam aku kata, kau harus cuba.
Gadis : Baik. Kau tahu?
Aku : Apa dia?
Gadis : Aku tunggu dia dari awal pagi sampai aku terlelap entah jam berapa.
Aku : Kesihatan diri kena jaga juga kan?
Gadis : Dah tak perlu aku jaga diri aku untuk manusia macam tu.
Aku : Haish! Jangan begitu.
Gadis : Kau comel macam panda, aku nak begitu juga.
Aku : Jangan tiru aku, aku ada alasan sendiri.
Gadis : Alasan apakah? Kecewa? Sedih? Marah?
Aku : Biar aku tanggung sendirian, kau usah risau pasal aku pula.
Gadis : Kau sakit?
Aku : (ketawa) Tidak.

[Gambar : Perlukah aku beritahu kau bahawa sesetengah manusia dalam dunia ini sangat aneh? Mereka tidak akan hargai benda di depan mata mereka dan sibuk mengejar sesuatu yang bukan milik sendiri yang nyata.]

Gadis, aku mahu kau kuat.
Aku mahu kau terus tabah.
Ini ujian kecil yang harus kau tempuh bila sudah mula masuk fasa cinta.
Itu hakikat yang hidup tidak selamanya indah.
Ia kenyataan cinta tidak semestinya bersama.

Senyum.
Kalau air mata itu masih mengalir, tolong seka.
Dongak ke atas, pandang langit dan air mata itu pasti akan berhenti dari terus keluar ke wajah.
Betul kawan.
Kalau kau tak percaya, kau boleh buat.

http://farm4.static.flickr.com/3219/3098475267_1424c5ce34.jpg
[Gambar : Ini mungkin agak melampau dan kejam untuk kau, tapi percayalah, kau tidak akan mati tanpa cinta manusia. Bukankah kau pernah katakan pada aku bahawa cinta kau kepada Allah dan keluarga adalah lebih utama?]

Nota Kaki :
1. Langit seakan mengerti apa yang berlaku saat ini. Hujan mencurah lebat tanpa henti dan matahari hanya menjenguk sesekali. Nampaknya Helios dan Lucifer saling bertingkah siapa lebih layak menunjukkan wajah kepada manusia.
2. Tanggungjawab semakin berat dan aku suka dengan keadaan diri yang lebih kenal apa yang aku mahukan dalam hidup tatkala ini. Sesuatu yang tidak diduga berlaku dan kini, dalam proses mencari jawapan kepada persoalan yang membelenggu.

Zara : Kalaulah kau tahu senyuman yang terukir sentiasa di bibir adalah untuk siapa, dan kalaulah kau mengerti gerak serta isyarat tubuh membawa maksud dan pengertian apa. Ah, manusia sering kali hilang keupayaan merasa apabila tiba saat waktunya. Diam, kulum kesakitan, hamburkan ketawa.