Wednesday, November 30, 2011

#WW16 : Kitaran Cinta Awak Dan Dia.




Hidup bagaikan roda yang sentiasa berputar.
Cinta sebahagian daripada hidup itu sendiri.
Ada naik, ada turun dan mungkin juga mendatar.

Bila awak cinta dia, awak terluka.
Bila awak terluka, awak mula membenci dia.
Bila awak mula membenci dia, awak cuba belajar untuk melupakan dia.
Bila awak cuba untuk melupakan dia, awak mula merindui.
Awak mula merindui keadaan kosong di sisi.
Awak mula merindui tapak kosong dalam hati.
Dan tanpa awak sedari, awak akan mula jatuh cinta lagi.

Dengan siapa?
Dia?
Orang lain?
Itu tidak pasti.
(Shafaza Zara, 30 November 2011)

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEixDscJ1uSPlxR7CHMV9-5QU1DkCLtOiCUUSe555nbo7f91SlEl1av__ZBCyDnLbgU7ZPN4_DwIIulB2JkxF8OcP6X5dUowPcKTm-t-RKWt7UI4Wh0vp1k3dE-hn04L_wEM7KJobs1oIcQ/s1600/tumblr_lfz4d1l3Hq1qaecyko1_r1_500.png
[Sumber gambar]

Untuk pembacaan "Awak Dan Dia : Kisah Jiwa" [sini]


Nota Kaki :
Adakah awak tahu di mana keadaan awak dan dia sekarang ini?

Zara : Mahu berhenti membuatkan orang lain gembira dan belajar untuk tidak mengorbankan diri sendiri semata-mata mahu memuaskan hati orang lain. Cukuplah dengan kesakitan yang perlu ditanggung. Tidak mahu terus membunuh diri sendiri dalam keadaan senyap sunyi dan sepi.

Tuesday, November 29, 2011

Awak, Menghadapi Perpisahan Tidak Mudah.




Awak.
Keadaan cuaca dunia tidak menentu.
Keadaan kita juga seperti tiada hala tuju.
Anehnya, perjalanan hidup kita bagaikan ular kena palu.
Bersimpang siur, sekejap ke hilir, sekejap mudik ke hulu.
Dan dia, enggan perhubungan ini menjadi bisu.
Sakitnya jiwa dia menahan pilu.

http://24.media.tumblr.com/tumblr_l9rbfgPFYe1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Dia yakinkan diri bahawa awak dan dia akan kekal bersama.
Kekal bersama untuk tempoh yang lebih lama.
Ini bukan kali pertama.
Bukan kali pertama dia jatuh cinta.
Dengan awak, orang yang sama.
Ya awak, dengan awak dia berlajar erti kasih manja.
Dengan awak dia kenal dunia.

Awak.
Semakin lama awak semakin menjauh pergi.
Kelibat awak sudah jarang di sisi.
Pelbagai alasan yang awak beri.
Dan dia, enggan ada pertengkaran yang menyayat hati.
Dia menunggu walaupun pada awak itu langsung tidak beerti.
Susahkah awak untuk memahami?

Awak.
Hati dia semakin lama semakin sakit.
Betapa keyakinan dia mula luntur berdikit-dikit.
Jiwa dia setiap hari dihiris perit.
Parahnya dia sampai menjerit.
Dengan harapan awak tidak dengar walaupun sedikit.
Sebab awak pernah kata, dia kuat walau apa jua yang berlaku waktu 'crit'
Ya, hatta dia kena cirit birit.

http://www.look.yeah1.com/albums/userpics/126515/Strawberrytelle%E2%80%94pe0z%E2%80%94_(15).png
[Sumber gambar]

Awak.
Di mata dia, awaklah yang paling dia cinta.
Paras rupa bukan satu ukuran yang dia layan sehingga buta.
Tapi yang dia mahukan hanya secebis rasa.
Rasa suka.
Rasa cinta.
Daripada awak yang ajar semua.

Awak.
Awak buat dia rasa bermakna.
Awak buat dia rasa dia juga punya kepentingan atas dunia.
Awak buat dia rasa dia manusia.
Awak buat dia rasa berharga.
Awak buat dia rasa betapa manisnya sebuah perasaan dan jiwa.
Awak buat dia rasa dia seseorang yang beruntung dan istimewa.
Tapi, kenapa sekarang awak mahu renggut semua?

Awak.
Susahkah buat dia gembira?
Susahkah buat dia mahu nikmati bahagia?
Susahkah mahu dia ceria?
Susahkah mahu dia suka?
Kenapa mesti berikan dia derita?

Awak.
Dia telan semua alasan.
Dia telan semua apa yang awak berikan.
Bila awak diam, dia akan fikir awak dilanda kesibukan.
Bila awak menjauh, dia cuba yakinkan diri awak perlukan ruang bersendirian.
Bila awak senyap, dia akan fikir bahawa awak dalam kesakitan.
Kadangkala dia sengaja cipta alasan.
Supaya dia mampu hadapi semua ini dengan senyuman.

http://cdnimg.visualizeus.com/thumbs/33/53/deep,drawing,leave,quote,worst,feeling-3353a9628c01fea5238cecba2fd556d5_h.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Adakah dia perlu berlalu pergi?
Bila yang tinggal hanya senarai janji?
Pesanan dan kata-kata yang yang tidak pernah ditepati?
Kosong dan tidak beerti.

Awak.
Kesakitan itu hanya sudah mula dia rasa.
Kepedihan itu sudah mula menular dalam jiwa.
Kerosakan itu mula memecahkan sendi yang bernyawa.
Adakah dia perlu hadapi lagi penderitaan sebelum ianya bermula?

Awak.
Dia sudah penat derita.
Dia sudah penat tahan rasa.
Dia sudah penat mahu bersandiwara.
Dia sudah penat senyum terpaksa.
Dia sudah penat untuk yakinkan diri segala.
Dia sudah penat berkejar setiap masa.
Dia sudah penat untuk paksa diri ketawa.

Awak.
Pernahkah awak berhenti?
Depan dia dan memerhati.
Lihat sama ada awak perlukan dia di sisi.
Ataupun dia hanya sekadar trofi.
Dapat boleh terima puji.
Kalau hilang tidak dikeji.
Dipulangkan tiada yang simpati.

http://28.media.tumblr.com/tumblr_lbcu2yZL4l1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Awak mungkin tidak akan terjaga dari mimpi.
Awak mungkin rasa dia menunggu di sisi.
Adakah mungkin dia sudah berlalu pergi?
Kerana sudah tidak larat menyeka air mata yang jatuh di pipi.

Nota Kaki :
1. Sudah bertambah sihat.
2. Kerja menulis untuk antologi sudah selesai.
3. Kembali bekerja.

Zara : Betapa sukar untuk buatkan orang lain melihat suatu benda yang kita suka itu sebagai bermakna. Ah, tidak semua orang sama kan?

Sunday, November 27, 2011

Benarkah Lelaki Sukar Untuk Difahami?




Salam Awal Muharram semua.
Semoga yang terbaik menjadi milik kalian semua. Alhamdulillah, salah satu benda yang aku hajati, sudah termakbul malam tadi. Terjaga akibat bunyi daripada pesanan Gmail, tidur malam yang kurang lena akibat sesuatu, buatkan aku mampu tersenyum sedikit - demi mengelakkan topeng yang aku pakai semalam terkoyak. Kali pertama pakai topeng - terimalah hakikat penulis ini sungguhlah naif. Eh. Lebih tentang ini boleh dibaca di sini - Cetusan Marga Zara

Baiklah.
Berbalik kepada tajuk di atas, itu persoalan yang sering diajukan oleh golongan wanita yang ternyata memeningnkan kepala akibat jawapan yang sering mereka adakan (heh!) atau terima membuatkan mereka sendiri tidak berpuas hati. Bahkan secara jujurnya, enggan meluangkan sedikit masa untuk membaca keadaan ataupun situasi dengan harapan lelaki, ya, lelaki di luar sana untuk memahami betapa mereka sudah berusaha sedaya upaya untuk kenal lelaki. Mencari jawapan sendirian dan akhirnya, menyalahkan diri sendiri (bagus sedikit kalau begini) ataupun berakhir dengan pergaduhan disebabkan, mereka merasakan mereka lemah dan harap lelaki untuk beritahu mereka, apa yang mereka perlu tahu. 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgW5ogtPNk44lAE0I57S-N3bm0JEp5bBeDk26vXzXzXOC4JcXiZ8F5FBpCrX86ZEWLxcsiNGMjZH1a6mUf4IOnMzjT69SJI47vEc4ybKqQrFbQJLGn-IqJg6IUZO1og6YwrPKvHcIKTSZU/s1600/tumblr_lbhiecN6l91qaji9uo1_500.jpg
[Sumber gambar]- Beginikah yang kamu takutkan? Ha ha ha.

Jadi, mari kita gunakan beberapa soalan yang diajukan di Mukabuku kepada aku. Setiap satunya berkaitan antara satu sama lain aku rasa, jadi aku harap aku dapat berikan pendapat aku kepada gadis-gadis yang bertanya. Sebelum itu, perlu diingatkan ini adalah pendapat peribadi. Kalau tidak puas hati dan mahu memaki, boleh tulis dalam ruangan komentar. Aku terima semua kecuali yang mahu promosi benda. Heh.

01. Apa topik yg makwe boleh buka untuk dapat perhatian pakwenya? Topik yang tak menampakkan perempuan tu bimbo.
Baiklah.
Perempuan di luar sana, adakah anda tahu apa yang diminati oleh pasangan anda? Anda tahu apa yang menarik minat mereka (selain anda, mungkin) - hobi, ataupun apa sahaja? Bolehkah kita bersama dengan seseorang dengan hanya sebelah pihak sahaja yang mengetahui dengan mendalam pasangannya, manakal pihak satu lagi hanya sekadar tahu permukaan dengan alasan, minat kami tidak sama?

Perlukah bersama sebab ada persamaan?
Bukankah perbezaan yang menjadikan ianya lebih menarik?
Kenapa tak nak turunkan sedikit ego (maaf bagi yang mungkin terasa), untuk luangkan sedikit masa membaca apa yang dia suka? Tak salah untuk tahu dan mulakan perbualan itu dengan dia. Dia mungkin nak kongsi dengan awak benda yang dia suka, tapi awak pernah tunjukkan minat atau tidak?

Ya.
Perempuan memang banyak bercakap. Tetapi wahai kawan-kawanku sekalian, sesekali kita perlu biarkan komunikasi dua hala itu berlaku. Kalau hanya satu pihak sahaja yang bercakap dan hanya satu pihak menadah telinga mendengar serta kita menolak dia tatkala dia mulakan sesuatu yang kita tidak faham, alangkah sedihnya kerana komunikasi kurang berkesan sudah wujud dalam keadaan itu.

Sebagai contoh (peribadi), aku seorang yang banyak menulis, membaca, mendengar benda yang aku senang dan hidup aku sering berputar antara tempat kerja dan rumah sahaja. Manakala si dia, membaca juga merupakan suatu kegemaran - tetapi dia lebih banyak membaca artikel di Internet ataupun majalah. Bahan bacaan dia dan aku tidak sama, dan hobi aku menulis blog manakala dia boleh habiskan masa berjam-jam untuk bermain Starcrafts 2. Jadi, apa benda yang boleh dijadikan pemula perbualan dari dua dunia yang berbeza?

  • Mulakan dengan sesuatu yang ringkas. Biasanya si dia akan bertanya khabar dan apa yang aku buat di tempat kerja ataupun di rumah. Ya, ini kebiasaan dia yang buat aku sering geram juga. Geram disebabkan ini biasanya ditanya oleh perempuan - tapi dia yang akan bertanya. Dan walaupun sedemikian, aku senang untuk gunakan situasi yang sama bertanyakan hal dia.
  • Disebabkan dia perlu masak sendiri, aku akan tanya apa yang dia perlu masak dan sebagainya. Selain itu, disebabkan aku tahu dia sukakan Starcrafts 2, aku akan tanya juga sama ada dia perlukan ruang untuk bermain atau tidak. Selain itu, dia juga suka menonton siri drama ataupun filem yang dimuat-turun, jadi, pertanyaan itu sebenarnya bukan satu bentuk sarkastik atau sindiran - tetapi lebih kepada kita mengambil tahu apa yang dia suka. Betul tak sayang? Eh.
  • Selain itu, kalau si dia berkongsi benda yang dia suka - teknologi terbaru, gadget, fesyen, hatta permainan komputer yang aku sendiri kurang mengerti -  aku akan cuba cari sendiri apakah benda yang dia perkatakan. Tetapi yang baiknya tentang dia adalah, kalau dia sedang khusyuk membaca sambil berbual dengan aku, dia akan berikan aku pautan bahan yang sedang dia baca. Maka, aku dapat memahami lebih mendalam dan tahu bagaimana mahu memberikan reaksi kepada dia. Bukankah perkongsian itu adalah lebih baik dalam mana-mana hubungan manusia? Er, berkongsi pasangan, aku tiada ulasan mendalam.

Dan aku sendiri percaya, hidup manusia bukanlah atas satu garisan tegak semata-mata. Pastinya setiap daripada kita mempunyai cerita berbeza setiap hari, kalaupun tidak melibatkan kita, pasti orang lain. Maka, berkongsi, berbual tentang apa sahaja tetapi janganlah sampai menyentuh perkara yang membuatkan pasangan anda rasa mati (baca : turn off).

02. Pasangan saya dah tahu saya macam mana, apa yang saya tak suka dan saya suka. Masalahnya, saya tak boleh terima apa yang dia suka - memang langsung tak kena dengan saya. Jadi, setiap kali dia bercakap benda yang dia suka, saya cepat bosan.

http://data.whicdn.com/images/4574051/tumblr_la9v7jFI791qaecyko1_500_large.png
[Sumber gambar]

Satu perkara yang aku faham dalam perhubungan (tidak kira percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan sebagainya) adalah jangan mementingkan diri sendiri. Ya, sikap jual ikan (baca : selfish) itu perlu dalam situasi tertentu, tetapi dalam cubaan kau memahami manusia di sekeliling, janganlah mementingkan diri sendiri hingga orang yang kau sayang itu terluka.

Apakah kau sanggup setiap kali dia terpaksa tahan muka dan terima sahaja perbuatan kau yang tak suka benda yang dia suka?
Adakah dengan buat dia sedemikian kau rasa gembira?
Adakah dengan mementingkan diri sendiri, kau rasa kau dilayan seperti orang yang berkuasa?

Sebagai contoh, kalau si dia sangat sukakan kereta, walaupun kau mungkin tak tahu apa jenis kereta, kapasiti enjin yang dia sedang cakap dengan penuh bersemangat, salahkah kau pinjamkan telinga untuk mendengar? Perempuan, tolong jangan mementingkan diri sendiri dengan anggapan, lelaki perlu mendengar, perempuan perlu bercakap. Kadangkala, lelaki ada sesuatu yang mahu mereka kongsikan dan keengganan kau mahu mendengar dengan kenyataan, "saya tak faham apa yang awak sampaikan, saya tak minat benda itu, saya rasa tak mengerti, awak tak ada benda lain nak cakap" - semua itu hanya akan mengakibatkan dia enggan mahu cakap apa-apa lagi dengan kau. Dia akan duduk sahaja dengar apa yang kau mahu cakap, berikan reaksi kerana dia faham kau dan kau rasa gembira sebab dia jadi lelaki yang mendengar.

Tapi, adakah dia gembira?
Aku lebih suka kalau pasangan aku bercakap. Aku sendiri memang banyak bercakap dan kalau dia ada sesuatu yang dia mahu perkatakan, aku akan berikan dia peluang. Sebab, bila dia berkongsi benda yang dia suka, benda yang terlintas dalam fikiran dia - itu adalah suatu peluang yang jangan dipersiakan. Betapa menariknya lelaki yang mampu bercakap dengan pasangan dia tentang apa sahaja dan tidak tertumpu kepada satu perkara sahaja. Apakah kau ingat, bila bercinta, hanya perlu bercakap tentant soal hati, jiwa dan cinta semata-mata? Banyak benda lain termasuk mungkin juga cuaca.

03. Saya suka benda tu, dia tak suka. Bila dia tak suka, kami bertengkar dan setiap kali, saya memang tak pujuk. Sebab saya pernah beritahu dia yang saya tak pandai memujuk. Lagipun, kalau lelaki merajuk, bukankah mereka yang kena pujuk hati sendiri? Kita yang perempuan ini barulah layak dipujuk lelaki kan?
Phui!
Adakah setiap kali perempuan merajuk, lelaki kena pujuk? Lelaki merajuk, maka mereka yang pujuk hati sendiri? Kegilaan apakah ini? Jadi, apa gunanya hubungan? Sedapnya jadi perempuan kalau begitu. Buat hal, bikin masalah, mulakan pertengkaran dan mengharapkan si lelaki terima apa sahaja yang kau buat? UNTUNGLAH!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiOKI-Pqnd3XZmSpO7Tc4xw3aMXNNYVWV4MUYATKuN9LdpOW_UJaXN7W3Cci-Btt6vH6jL0KoQlCK5q4XaSU2X1hg7evR1A2k4vnLn0k96K1hZfUq2aM9gxtcM9zWZfG60Seod6SVrBGgv1/s1600/1.png
[Sumber gambar] - Setiap kali lelaki nak kena buat macam ni? Kepala otak anda.

Mungkin lelaki itu berkecil hati dengan kau. Dia merajuk (dan aku tak anggap lelaki merajuk mengada-ngada, disebabkan dia juga manusia yang punya perasaan) dan dengan harapan, kau datang pujuk dia dengan mengucapkan maaf ataupun apa sahaja yang sesuai. Bercakap baik-baik dengan dia. Itu sahaja. Tapi apa yang selalunya terjadi adalah, bila lelaki merajuk, yang perempuan nak sentap tidak tentu hala. Pemutusnya, lelaki itu juga yang kena memujuk kau semula dan bagaimana dengan hati dia? Tiada harga ke?

Jangan jadi manusia berlagak yang mementingkan diri sendiri ya? Jadi seorang yang memahami manusia lain. Kalau nak kata diri tak pandai memujuk, tak memahami pasangan, tak tahu kehendak dia - bolehkah kau berhenti sekejap dan renung kembali apa yang kau perlu lakukan? Pernahkah kau belajar apa yang dia suka?

Aku banyak baca artikel tentang bagaimana hubungan manusia, tak terhad kepada pasangan cinta semata-mata. Tak tahulah mungkin aku jumpa manusia yg ramai setiap hari ataupun apa, tapi setiap hari aku akan cuba membaca sesuatu hasil carian Google tentang manusia. Sebab bila aku membaca, baru aku dapat lihat kelemahan diri aku (bahagian yang aku tak suka tentang diri sendiri) dalam cara aku berkomunikasi dengan orang ataupun bagaimana aku perlu menghadapi si dia - adakah aku melayan dia dengan sewajarnya bagaimana dia tahan dan sabar dengan karenah aku?. Selain itu, sumber daripada buku juga membantu aku sedikit sebanyak seperti yang aku pernah tulis di sini.

http://27.media.tumblr.com/tumblr_l9lpklmQ4y1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar] - Adakah kau mahu seseorang yang berada di samping kau makan hati dan bertahan untuk melayan segala perbuatan kau, kerana dia masih lagi punya rasa cinta? Apa akan terjadi kalau dia sudah penat dan tawar hati?

Lelaki dan perempuan sama sahaja.
Kedua-duanya punya rasa cinta, rasa manusia.
Jadi, kalau kau mahu memahami seseorang itu, fahami diri kau sendiri. Fahami orang disekeliling kau. Kalau kau sendiri tidak suka dikhianati, disakiti, jangan buat perkara sedemikian pada orang lain. Susahkan untuk buat perkara sedemikian? Jangan setiap kali ada masalah, kau akan guna kenyataan bahawa - dia lelaki, kau perempuan. Melontarkan tuduhan lelaki adalah kompleks adalah satu kenyataan yang sama pedihnya bila lelaki mengatakan benda yang sama pada perempuan.

Benar.
Cuba kau sebagai perempuan, lelaki kata - "Eleh, perempuan ni asyik nak merajuk. Sentap tak menyudah. Susah nak faham perempuan, asyik nak mengamuk macam datang bulan" - apa yang kau rasa? 

Fikirkan.
Itu sahaja buat kali ini.

Nota Kaki :
1. Peringatan - ini adalah tulisan bercorak peribadi, menjawab persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang.
2. Buat yang memberitahu aku setiap kali mereka mahu mengambil gambar dalam tulisan aku, perlu diperjelaskan bahawa aku sudah meletakkan sumber gambar dibawah setiap daripadanya. Jadi kalau kau ambil dan letak dalam tulisan kau, jangan jadi serupa lanun dan tidak berikan penghargaan sewajarnya kepada tuan punya gambar tersebut. Bukan aku, tapi tuan punya berkenaan.

Zara : Banyak yang dipelajari dengan membaca. Ya, aku tamak bila tiba soal membaca kerana aku tahu, semakin banyak aku membaca, semakin banyak benda yang aku jumpa, dan semakin jahil rupanya aku yang kekurangan ilmu. Maka, dengan membaca, aku belajar lebih banyak dalam menampung pengetahuan kau yang sempit.


Saturday, November 26, 2011

Berpisah Kerana Taraf Pendidikan




Tahniah.
Tahniah buat kawan baik yang melangsungkan majlis pertunangan.
Tahniah buat kawan sekursus di universiti yang sudah bergelar isteri orang.
Tahniah juga kepada rakan-rakan lain yang menjemput aku menghadiri majlis kalian.

Semalam ada berbual dengan seorang kawan lama. Ada urusan yang perlu diselesaikan dan ternyata, perjanjian antara kami tidak dapat dilunaskan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Ah, aku kalau hajat hati dihalang oleh Puan Mulia, maka, aku sanggup buat apa sahaja untuk biarkan dia lihat aku sebagai anak yang mendengar kata, walaupun itu bermaksud aku perlu lupakan apa yang aku hajati. Baiklah, berbalik kepada perbualan aku dan kawan itu, selain daripada mahu ke suatu destinasi yang sama, hajat hati adalah mahu tahu suatu kisah yang dia tidak beritahu dunia, tetapi aku boleh baca daripada catatan ringkas dan kesan yang tertinggal di laman sosial dia.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_labl200Mg71qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Aku : Minta maaf aku tak dapat pergi bersama.
KY : Tak mengapa. Dah Mak kau tak berikan, mesti ada sebab.
Aku : Ya, ada. 
KY : Lain kali sahaja ya?
Aku : Baiklah. Ni sebenarnya, ada benda aku nak tanya pada kau.
KY : Tanya apa?
Aku : Dah lama nak tanya tapi aku senyapkan dahulu. Ingat bila jumpa kau depan-depan, aku nak tanya sendiri.
KY : Tanyalah. 
Aku : Kau dah tak ada apa-apa dengan RS?
KY : Kenapa?
Aku : Sebab aku terbaca sesuatu di laman sosial kau dan dia pun dah buang aku dari senarai kawan. Itu yang aku nak tanya. Kalau aku salah, aku minta maaf awal-awal.
KY : Betul, dah tak ada apa-apa.
Aku : Kenapa?
KY : Sebab dia dah bertunang.
Aku : Apa? 
KY : Tak sangka kan?
Aku : Bertunang dengan siapa?
KY : Sepupu ke saudara dia sendiri, macam tu lah.
Aku : Tapi, aku tengok kamu baik sahaja.
KY : Itulah. Dah orang tak nak, nak buat macam mana?
Aku : Apa alasan sebenarnya?
KY : Mungkin keluarga dia tak suka aku.
Aku : Kenapa tak suka?
KY : Macam kita berdua, setakat ini ada ijazah kan?
Aku : Sekejap. Dia tolak kau sebab dia sekarang ambil PhD?
KY : Macam itulah. Katanya nak yang setaraf. Aku kan baru ada ijazah sarjana muda, apalah sangat kan?
Aku : Tapi, aku tengok dia dulu tak macam tu pun.
KY : Manusia kan berubah.
Aku : Tapi, bukannya lekeh sangat tak ada PhD. Maksud aku, ada ijazah pun orang tak nak sekarang?
KY : Tak setaraf. Kau faham dik? Orang anggap tak setaraf bila aku ni setakat ijazah, dan anak dia ambil PhD. Bakal ada Doktor didepan, dan aku ni, macam kau juga, hanya cikgu.
Aku : Ada masalah ke kalau kita cikgu? Boleh sambung belajar kan?
KY : Memang, tapi buat masa sekarang aku belum sambung lagi kan? Anak dia dah nak habis belajar lagi pun. Nanti nampak sangat perbezaan. Mak dia malu agaknya. Sebab Mak dia pun pandai, terkenal.
Aku : Kaya eh?
KY : Bolehlah dikatakan berada. Kita biasa-biasa dik.
Aku : Tapi, tolak sebab perbezaan pendidikan, macamlah kau tak habis sekolah langsung.
KY : (ketawa) Aku dah tak nak fikir.
Aku : Tapi kalau dia kahwin, dia jemput kau, kau ajaklah aku.
KY : Kenapa?
Aku : Nak tengok dan belajar sesuatu. Bukan sekejap kau dengan dia, dari zaman belajar lagi.
KY : (ketawa) Sekarang ini aku fokus nak cari duit.
Aku : Cari duit dan nak buat apa?
KY : Beli kereta baru.
Aku : Bukan kau baru beli kereta ke?
KY : Lagi dua tahun aku nak tukar kereta.
Aku : Kereta lama?
KY : Nak bagi adik aku guna.
Aku : Tak jadi kahwin, bukan bermaksud kau kena habiskan duit simpanan kau macam tu.
KY : Habis aku nak buat apa? Kau beritahu aku.
Aku : Banyak benda lain.
KY : Aku nak beli kereta.
Aku : Aku doa dalam masa dua tahun ni, kau jumpalah orang lain.
KY : Kenapa?
Aku : Supaya kau tak beli kereta baru.
KY : Choi!

http://25.media.tumblr.com/tumblr_lnuqq38cFg1qax024o1_400.png
[Sumber gambar]

Ya.
Aku faham dalam situasi di atas. Situasi yang dialami oleh KY. Bukan sedikit kawan-kawan aku melalui perkara yang serupa, apabila salah seorang daripada pasangan yang tinggi taraf pendidikan (walaupun belajar tinggi bukanlah kau semua dapat kerja : bak kata kawan aku) - mereka berpisah dengan alasan sedemikian rupa. Tidak dinafikan, bukan semuanya begitu, aku katakan segelintir sahaja yang berfikiran sebegitu. 

Secara peribadinya, aku orang yang memandang tinggi nilai pendidikan. Mungkin sejak dari kecil aku sudah disantakkan dengan kenyataan bahawa dengan ilmu, kita boleh mengubah kehidupan walaupun sedikit, maka aku - orang yang melihat pendidikan adalah perkara yang penting. Lagi pula, ilmu itu ada di mana-mana, maka dengan mengambil kira semua orang layak mendapat pendidikan, aku merasakan keperluan belajar itu antara perkara utama dalam hidup manusia. Dan, aku juga sudah bekerja sebagai seorang gur, pastilah aku mahukan agar semua anak didik aku memperoleh ilmu yang berguna untuk diri dan masa hadapan mereka kan?

Tetapi, itu bukanlah satu benda yang perlu dijadikan alasan atau faktor penolakan dalam hubungan. Adakah nak tanya pada orang setiap kali nak bersama, bercinta dan sebagainya - soalan seperti berikut? :
1. Awak dulu univeristi mana?
2. Awak punya SPM dapat berapa?
3. Awak dulu masa ijazah, kelas berapa? CGPA berapa?
4. Dulu dapat dekan berapa kali? Setiap semester ke tak?
5. Biasiswa ke PTPTN?

Gila ke? Mahu tanya itu semua? Soalan yang sering diajukan oleh orang dalam situasi ini adalah , "Kalau dah tahu aku cuma ijazah sahaja, dan dia nak ambil sarjana (baca : Masters) dan dia kurang selesa atau segan, kenapa dia tak beritahu awal-awal? Bukan aku tak nak sambung belajar, cuma tunggu masa sahaja". Faktor penolakan yang muncul secara tiba-tiba, walaupun tidak dinafikan, mungkin ada faktor luaran yang lain.

Aku : Ijazah, sarjana, doktor falsafah kan keluar dari universiti juga?
Kawan : Setiap dari itu kan tak sama?
Aku : Betul, tapi bukankah boleh berusaha untuk sampai ke tahap tinggi begitu?
Kawan : Maksud kau boleh sambung belajar?
Aku : Betul. Kan kalau ada ijazah, boleh sahaja sambung sarjana atau terus ke doktor falsafah, apa masalahnya?
Kawan : Masalahnya mungkin, masa kau tengah berusaha nak sambung sarjana, orang tu dah ada gelaran Doktor di hadapan nama. Jadi, secara mata kasarnya, dari taraf pendidikan, dah tak sama.
Aku : Macam alasan sahaja.
Kawan : Setiap benda yang berlaku kan perlukan alasan? Sama macam orang yang sama-sama ijazah, tapi sebab graduasi kelas lain-lain pun boleh jadi punca berpisah.
Aku : Sebab kelas pertama, kelas kedua atas, kelas kedua bawah, kelas ketiga pun boleh eh?
Kawan : Manusia kan pelik.
Aku : Segulung sijil itu mahu diletakkan di dalam dulang hantaran ke?
Kawan : Manusia semakin maju, maka pemikiran semakin pelik.
Aku : Dan jelik.
Kawan : Betul. Mungkin orang tua ataupun yang mahu berpisah itu tak sanggup dengar masyarakat mencemuh. Ala, yang itu PhD. Yang bakal pasangan dia cuma ijazah je?
Aku : Tapi, kasihan sangat kalau sebab begini.
Kawan : Memanglah. Macam aku dulu, sebab apa kami tidak bersama? Sebab dia lulusan luar negara, aku cuma dalam Malaysia, walaupun aku graduasi dengan sarjana muda kelas pertama. Kursus yang sama, benda yang sama belajar, tapi sebab dia dari luar negara dan aku cuma lulusan tempatan, keluarga dia kata tak setaraf. Aku ditolak begitu sahaja.
Aku : Benda begini balik kepada hati manusia juga.
Kawan : Ya. Tapi bila melibatkan banyak benda, kadangkala kita terpaksa terima.
Aku : Hadam walaupun berbisa.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_ld3khkSDt41qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Ya.
Aku akur setiap orang ada pandangan dan pendirian masing-masing. Ada sahaja yang tidak habis sekolah, hidup bahagia dengan orang yang kaya raya dan berpendidikan tinggi. Ada sahaja yang hidup bahagia walaupun dia cuma setakat SPM dan bersama dengan pemegang doktor falsafah. Benda begini bergantung kepada hati dan niat kita mahu bersama dengan seseorang. Apakah kita serius, ataupun sekadar mahu menduga sama ada permainan akan sampai ke penghujungnya?

Entah.
Tapi aku suka untuk mengingatkan. Kalau ada sesiapa yang mahu meneruskan hubungan dan menjadikan taraf pendidikan sebagai satu alasan atau faktor untuk berpisah dengan ayat, "Saya tak nak nanti anak kita kata salah seorang daripada kita tak pandai" - aku mohon, tolonglah berfikir dengan semasak-masak dan sejelasnya, apakah matlamat sebenar anda dalam perhubungan. 

Itu sahaja.
Aku juga sedang memohon doa paling tulus agar mereka yang berada di sekeliling aku hidup baik-baik dan gembira sahaja. Bahkan mendoakan diri agar dijauhi dengan situasi sedemikian menduga. Aku secara peribadinya mengintai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam memperbaiki taraf pendidikan (dan juga sahsiah) diri.

Nota Kaki :
1. Salam Awal Muharam semua. Kalau berkesempatan mahu berpuasa esok (Ahad), amatlah digalakkan ya. 
2. Jangan lupa baca doa akhir dan awal tahun pada petang ini (Sabtu)

Zara : Melihat rakan baik sejak tahun 1998 sudah mengikat tali pertunangan, aku hanya ketawa memikirkan adakah aku punya kesempatan untuk melalui saat sedemikian dalam hidup suatu masa nanti? Aku doa moga aku sempat mengecapi sedikit kebahagiaan dunia. Amin.

Friday, November 25, 2011

Hubungan Jarak Jauh - Ini Mungkin Kisah Kami.




Dalam banyak-banyak menulis sejak kebelakangan ini, aku tidak menulis tentang diri sendiri. Cerita tentang diri banyak aku luahkan dengan berkicau di Twitter (@zara_syed), itupun tidaklah sekerap suatu masa dahulu. Ah, manusia kan berubah? Dan aku juga sebahagian daripada manusia. Perasaan aku, aku salurkan dengan cara berdiam diri, dengan mengambil kira pesanan dan nasihat manusia-manusia yang aku percaya. Ya, walaupun aku bukan sesiapa, dengan nama kerjaya aku, tersilap langkah pasti ada yang membahan nanti. Ah, masyarakat kita kan cepat menghakimi kerjaya seperti aku?

Senyum sinis.
Heh!

http://s2.i1.picplzthumbs.com/upload/img/ce/f3/fa/cef3fa5fe8916f090982d992a97c2408ea51a615_wmeg.jpg
Koleksi peribadi | Picplz | Flickr  | 22 November 2011

Ya.
Mungkin bukanlah sesuatu yang menyenangkan bagi sesetengah pihak untuk membaca kisah cinta, kisah jiwa dan luahan hati manusia. Disebabkan itulah, aku lebih banyak bercakap dengan seseorang, walaupun ternyata aku masih lagi di tahap yang aku sendiri tidak tahu bagaimana. Tetapi, aku lebih suka untuk diam, simpan dan menulis benda yang lebih dekat dengan jiwa. Perasaan aku juga dekat, tapi bagaimana mahu disampaikan ya?

Aku tidak tahu. Jadi, lahirlah koleksi "Awak dan Dia : Kisah Jiwa". Di dalamnya bukanlah semuanya mengenai aku, dia, kami tetapi, lebih kepada cara aku meluahkan apa yang terjadi dengan melihat kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang dekat dengan aku. Maka, aku mohon, jangan ada yang salah sangka dengan membuat anggapan, setiap kali aku menulis, ianya adalah kisah peribadi aku sendiri. Anehnya, tidak begitu. Senyum.

Dia : Ada seorang kawan kata, kenapa blog awak macam sedih.
Aku : Sekejap. Ada kawan awak baca blog saya?
Dia : Ada.
Aku : Mana dapat ni? 
Dia : Mungkin sebab mereka ada baca Twitter juga.
Aku : Oh. Lepas tu awak cakap apa?
Dia : Cakap yang bukan semua tu pasal kita, ada juga pasal kawan-kawan.
Aku : Betul tu.

Salah satu alasan kenapa aku enggan (menolak dalam diam) untuk menulis kisah sendiri adalah, aku tidak tahu hadirin yang membaca. Mungkin salah seorang daripadanya adalah ahli keluarga sendiri ataupun orang yang aku kenali secara peribadi di luar sana. Maka, menyimpan dan menulis sesekali sekala itu lebih baik daripada terlalu bercakap mengenainya dan menjadi bahan kutukan (woo!) bila berjumpa.

Ada hati yang perlu dijaga.
Ada nama yang perlu dipelihara.
Ada maruah yang perlu dibangga.
Ada kasih sayang yang perlu jadi rahsia.
Mungkin kalian begitu juga.

http://30.media.tumblr.com/tumblr_l9ea1h5cgG1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Seperti yang boleh dibaca di Terfaktab tulisan ER - mengenai hubungan jarak jauh ataupun LDR (Long Distance Relationship) - dia menulis mengenai pendapat peribadinya. Ada sesetengah fakta yang aku secara peribadinya bersetuju, dan ada juga yang aku tolak atas beberapa alasan sendiri. Tapi tidaklah sampai aku mahu memaki orang. Bila aku baca komentar penuh emosi beberapa orang, sebenarnya mereka perlu memahami bahawa itu tulisan berbentuk peribadi daripada ER. Nak sakit terlampau banyak? Aduhai, aku tiada komentar.

Bercakap tentang LDR, aku pernah dan berada dalam LDR. Banyak benda yang kita perlu belajar, sama juga kalau hubungan dekat sekalipun. Memang dalam sesetengah perkara, ada benda yang kita mungkin akan nampak agak kasihan - jarak, tidak dapat bersama sentiasa dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, proses pembelajaran berterusan aku mengenai manusia.

Dengan adanya dia, aku belajar beberapa perkara. Bahawa tidak semua benda aku boleh mengharap pada manusia. Dalam erti kata lain, aku sendiri punya banyak kelemahan dalam menguruskan diri, maka apabila mahu memulakan hubungan - aku lebih suka kalau aku dapat memahami orang yang menjadi pemilik rusuk kiri. Sebagai contohnya, aku beli buku untuk menambah pengetahuan aku, bukan untuk saling membezakan antara kami. Dan ini membuatkan aku teringat perbualan aku dengan seorang kawan.

KB : Kau baca buku tu juga?
Aku : Kenapa?
KB : Parah betul buku tu.
Aku : Kenapa?
KB : Aku beli buku tu 2 salinan.Aku baca satu, kekasih aku baca satu.
Aku : Lepas tu kenapa?
KB : Mula-mula baik sahaja. Tapi makin lama, dia macam terpengaruh dengan buku tu. Dia nak aku jadi macam dalam buku tu.
Aku : Eh, kenapa?
KB : Dengan alasan, hubungan dalam tu sempurna. Jadi, bagi mencapai kesempurnaan, kena ikut buku tu.
Aku : Pulak dah.
KB : Kau baca buku tu dan buat macam mana?
Aku : Oh, aku baca dan aku tengok apakah perkara yang aku buat selama ini betul ataupun tidak. Dan paling penting, jangan menyalahkan pasangan. Sebab, dalam tindak tanduk kita, sebenarnya itu yang mungkin menjadikan dia berikan reaksi sedemikian.
KB : Jadi buku tu elok untuk kau?
Aku : Setakat ini baik. Jadi sumber aku berfikir kalau sesuatu perkara berlaku. Tak perlu aku nak sakit hati melayan perasaan, walaupun kadangkala aku lagi suka salahkan diri sendiri.
 KB : Maksudnya?
Aku : Sebab aku tahu apa yang aku baca, aku tahu cara nak elakkan, tapi kadangkala aku ikut hati juga sampai boleh buat situasi rasa kurang senang. Jadi aku yang kena tengok diri sendiri. Dalam masa yang sama, aku belajar untuk beritahu dia cara yang baik juga. Kena cakap elok-elok, sebab aku dan dia agak serupa dari beberapa segi.
KB : Aku tolak buku tu.
Aku : (ketawa) Aku masih mahu belajar dan kaji lagi.

Ya.
Dengan dia aku banyak belajar benda.
Dan aku tahu, aku tidak boleh lagi bersikap keras kepala.
Ada benda yang aku perlu berikan ruang kepada dia.
Untuk membantu aku yang kadangkala gila.

http://29.media.tumblr.com/tumblr_laorz35QHC1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Eh, sekejap?
Mana kisah yang aku nak sampaikan?

Awak.
Dia berterima kasih pada teknologi.
Menghubungi awak yang jauh di mata, bukanlah benda yang rugi.
Berbual dengan awak semudah dia bangun pagi.
Bercakap dengan awak bagaikan awak dan dia berkongsi bantal dan mimpi.
Menatap satu sama lain hanya ditapis oleh paparan nipis lutsinar beberapa inci.
Menghantar ciuman terbang (baca : flying kisses) sentiasa hingga masing-masing senyum nampak gigi.
Dan banyak lagi.

[Siri "Awak dan Dia : Kisah Jiwa" - Awak, Hubungan Jarak Jauh Itu Apa?]


Dan aku lebih suka simpan siapa dia sehingga tiba saat yang sepatutnya. Kalaupun ada yang sudah tahu dan meneka siapakah dia, aku mohon pengertian untuk diamkan sahaja ataupun janganlah diusik dia (kalau kamu kenal). Sebab dia perlukan ruang dan aku suka untuk berikan dia ruang agar apa yang diusahakan mampu dicapai dengan cara sebaiknya.

Nota Kaki :
01 - Hujung minggu mungkin tak akan tulis apa-apa.
02 - Masa berlalu pantas. Dulu kau kawan, tapi bila jumpa orang lebih baik dari aku, aku cuma berdoa kita tidak akan jadi lawan.
03 - Perjalanan ke Perak dan mungkin patah balik ke Selangor pada hari berikutnya.

Zara : Proses pembelajaran itu tidak akan pernah berhenti dan aku sememangnya gembira dengan keputusan dan pilihan aku sendiri. Istilah kesal tidak wujud dalam diri kerana aku percaya, perjalanan itu perlu sampai ke destinasi.

Thursday, November 24, 2011

Awak, Kadangkala Mimpi Itu Membunuh Dia.




Awak.
Dalam mengejar impian, dia terfikir akan sesuatu.
Adakah dia mampu?
Untuk berdiri sama tinggi walaupun tidak sama paras bahu?
Untuk duduk sama rendah walaupun mungkin akan disiku?
Untuk mengekori bagaikan bayang-bayang yang muncul selalu?
Entah, dia tidak tahu.

Awak.
Dia terjaga dari lena.
Dia mimpi benda yang buatkan dia tersenyum bahagia.
Dia mimpi benda yang buatkan hatinya gembira.
Tapi rasa itu tidak lama.
Dia terfikir, apakah harapan tinggi bakal mengundang celaka?
Apakah syurga yang diidamkan akan bertukar neraka?
Ah, dia mula rasa sakit kepala.

http://26.media.tumblr.com/tumblr_lg8idnATpG1qaecyko1_r2_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Kalaulah awak mengerti.
Kalaulah awak memahami.
Kalaulah awak memerhati.
Kalaulah awak menyayangi.
Kalaulah awak merindui.
Kalaulah awak sedia berkongsi.

Awak.
Mimpi itu memang indah.
Khayalan yang dicipta memang meriah.
Angan yang dikarang bersama memang tiada yang susah.
Segala yang dicitakan tidak ada erti payah.

Awak.
Setiap hari dia meyakinkan diri.
Bahawa hanya awak yang dia cintai.
Bahawa hanya awak yang dia rindui.
Bahawa hanya awak yang dia mahukan sebagai pasangan hidup ini.
Bahawa hanya awak yang dia mahu nikahi.
Bahawa hanya awak yang dia mahukan wahai kekasih hati.

Awak.
Adakah ini yang dinamakan ujian?
Adakah ini yang dinamakan cabaran?
Adakah ini yang dinamakan dugaan?
Adakah ini yang dinamakan kesukaran?
Adakah ini yang dinamakan kepayahan?

Awak.
Untuk terus bersama, dia sanggup kesat air mata.
Untuk terus bersama, dia sanggup kekal berpura.
Untuk terus bersama, dia sanggup senyum palsu sentiasa.
Untuk terus bersama, dia sanggup berlakon ketawa.
Untuk terus bersama, dia sanggup bersandiwara.

http://24.media.tumblr.com/tumblr_lfxbksUIYm1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Dia mahu awak mendengar masalah dia.
Dia mahu awak lihat awak beri perhatian walaupun hanya dengan lirikan mata.
Dia mahu awak yakinkan dia bahawa segalanya akan baik sahaja.
Dia mahu awak beritahu dia bahawa itu cuma ujian yang mampu diatasi bersama.
Dia mahu awak cakap dan senyum ceria.
Itu lebih bermakna.

Awak.
Awak sayang dia.
Awak cinta dia.
Awak mahu bersama dia.
Awak mahu jadi pasangan dia.
Cuma mungkin awak tidak luahkan di muka dia.
Itu yang dia tanamkan dalam minda.

Awak.
Dia tidak hanya mahu jadi kekasih.
Dia tidak hanya mahu jadi buah hati.
Dia tidak hanya mahu jadi bakal pasangan hidup.
Dia tidak hanya mahu jadi kawan baik.
Dia mahu jadi segalanya - dalam satu.

Awak.
Supaya awak menyedari, dia sudah bersedia.
Untuk pikul segalanya bersama.
Bukan hanya cari dia demi meluangkan waktu gembira.
Tetapi tetap berkongsi waktu duka.
Mengharungi segalanya demi mengejar mimpi yang terbina.

http://24.media.tumblr.com/tumblr_lfilxtJaV41qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]
Awak.
Awak tahu apa yang buat dia bahagia?
Bila awak ada bersama dia.
Walaupun sekadar sekelumit cuma.

Awak.
Awak tahu apa yang buat dia gembira?
Bila awak lepaskan sebentar kerja.
Dan duduk dengar dia.

Awak.
Awak tahu apa yang buat dia tersenyum manja?
Bila awak bercakap dengan dia.
Walaupun ia cuma usikan nakal bersahaja.

Awak.
Awak tahu apa yang mampu buat dia ketawa?
Bila awak tegur dia macam bayi yang tidak ceria.
Sebab dia tahu, pujian daripada awak adalah bermakna.

Awak.
Tapi awak tahu sesuatu yang buat dia kecewa?
Itu semua hanya mimpi dia.
Yang membunuh sebab dia mengharapkan ianya menjadi nyata.
Dalam diam dia mati begitu sahaja.

Nota Kaki :
Hari dan dunia yang panjang semoga makin mematangkan dan memudahkan segalanya. Disambut dengan senyuman, dilalui dengan penuh redha dan tabah demi apa yang dipanggil kejayaan.

Zara : Bentuk penghormatan terbaik adalah hormat kepada diri sendiri. Berikanlah kepada diri sendiri, dan orang lain tidak akan punya masalah untuk menerimanya bila kita mampu hormat diri sendiri, maka kita akan lebih hormat pada mereka. (Shafaza Zara, 2011)

Wednesday, November 23, 2011

#WW15 : Sebab Awak Impian Dia.



Dalam diam sebenarnya dia memendam rasa.
Awak menoleh ke belakang dan dia sentiasa ada.
Awak mengiring ke tepi dan dia masih mengikuti dengan bersahaja.
Awak berkalih tempat dia masih sempat ketawa.
Awak tertanya-tanya.
Kenapa dia masih tetap terus mengekori setia?

Awak mungkin tidak mengerti bahawa pada dia, awaklah dunia.
Awak mungkin tidak mengerti bahawa pada dia, awaklah teman mencipta bahagia.
Awak mungkin tidak mengerti bahawa pada dia, awaklah pasangan yang dia damba.
Awak mungkin tidak mengerti bahawa pada dia, awaklah sebahagian cita-cita.
Awak mungkin tidak mengerti apa-apa.

Awak adalah impian dia.
Yang dia akan kejar sampai bila-bila.
Dan tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

(Shafaza Zara Syed Yusof, 23 November 2011)

http://26.media.tumblr.com/tumblr_lap57cycHX1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Untuk membaca siri "Awak Dan Dia : Kisah Jiwa" ini bolehlah tekan sini.


Nota Kaki : 
Awak mungkin tidak sedar dia sedang menunggu awak lagi. Tiada sekelumit perasaan kasihan?

Zara : Satu benda yang aku sedari sejak kebelakangan ini adalah senyuman boleh direnggut bila-bila masa oleh orang yang sama walaupun aku cuba nafikan yang itu adalah dari kelemahan manusia. Anehnya, aku masih paksa diri untuk sama-sama ketawa bagai semuanya baik sahaja.


Tuesday, November 22, 2011

Awak, Kadangkala Dia Mahu Perhatian.



Awak.
Dia cuma dengar dengusan nafas.
Dia cuma dengar hembusan udara panas.
Dia cuma dengar ketikan halus peluh berlengas.
Dia cuma dengar papan kekunci diketuk pantas.

Awak.
Dalam diam, dia ketuk dinding biru.
Apa yang dia sembunyikan, hanya dia sahaja yang tahu.
Dia cuba raih perhatian awak yang diam membisu.
Dia teringin beritahu segala tapi dia malu.
Hati dia bertambah pilu.
Bila dia sedar jasad awak wujud, tapi hati awak tiada di situ.

Awak.
Apa yang awak sedang lakukan?
Apakah awak sedang berikan perhatian?
Apakah awak sedar yang dia mahukan sedikit layanan?


http://30.media.tumblr.com/tumblr_lfgrcv1J7Q1qaecyko1_r1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Dia sebenarnya rindu.
Dia sebenarnya mahu awak hentikan waktu.
Biar awak dan dia dapat menikmati masa bersama tanpa silu.
Tanpa ada kelibat orang yang berlalu.
Tanpa sesiapa yang akan buat tuduhan melulu.
Dan kebahagiaan itu tidak diganggu.
Ya, itu yang dia mahu.

Awak.
Kadangkala awak mungkin pelik.
Entah kenapa dia bersikap sedikit jelik.
Entah kenapa dia macam puaka niyang rapik.
Entah kenapa dia jadikan dunia mahu terbalik.
Bersikap melulu macam mahu halau awak balik.

Awak.
Sedarkah awak kadangkala dia berubah?
Pada awak, dia yang dikenali seorang yang sangat tabah.
Dia seorang yang terima segala benda tanpa membantah.
Dia seorang yang angguk kepala pasrah.
Dia seorang yang ligat dan bermulut petah.

Awak.
Tapi dia mula lari sedikit demi sedikit bagaikan ada yang mencelah?
Kenapa kebahagiaan yang dibina seakan mahu rebah?
Kenapa kegembiraan bagaikan dikikis musnah?
Kenapa dahan tempat berpaut mahu patah?
Adakah dia sudah berubah?
Ataupun awak yang berubah?
Dan masing-masing tetap mahu berpura tabah?

Awak.
Dia tetap sayang.
Kasihnya tidak pernah goyang.
Hatinya tidak pernah bergoncang.
Kerana dia mahu kekal menjadi bayang.
Pada awak, manusia yang buatkan dia kenal apa itu jiwa melayang.
Pada awak, manusia yang buatkan dia kenal apa itu mabuk kepayang.
Pada awak, manusia yang buatkan dia kenal apa itu kasih sayang.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_lfeyruvYZe1qaecyko1_r2_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia suka.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia gembira.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia enggan berduka.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia mahu kekal bersama.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia tetap setia.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia tidak pernah gagal panjatkan doa.
Dalam senyap sunyi, dia mahu beritahu yang dia sentiasa mengingati awak setiap masa.

Awak.
Tapi semuanya tidak diluahkan.
Dia lebih banyak melayan perasan.
Dia biarkan otak menerawang mencari jawapan.

Awak.
Kepalanya sesak dengan soalan.
Kenapa awak biarkan dia rasa keseorangan.
Kenapa awak hilang dan pergi meninggalkan.
Kenapa awak diam dan tidak tunjukkan sama ada awak punya perasaan.
Adakah itu cara awak berikan perhatian?

Awak.
Dan dia kaku dan kekal diri disalahkan.
Dia tidak akan menuding jari pada awak, pasti bukan.
Dia melayan pelbagai jawapan.
Yang bersusun atas kepala bagaikan awan.

http://25.media.tumblr.com/tumblr_lefvn5cW8x1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Walaupun tanpa suara.
Walaupun tanpa butir bicara.
Walaupun tanpa pesanan berjela.
Walaupun tanpa meluahkan rasa.
Walaupun hanya dengan detakan aksara.

Awak.
Dia mahu awak tahu yang dia tetap cinta.
Dia mahu awak tahu yang dia tetap menunggu awak di tempat yang sama.
Dia mahu awak tahu yang dia tetap akan berusaha.
Untuk menjadi seseorang yang mampu buat awak bangga.

Awak.
Sebagai seorang yang awak suka.
Sebagai seorang yang awak cinta.
Sebagai seorang yang awak mahu hidup bersama.
Sebagai seorang yang awak mahu cinta hidup selamanya.
Sebagai seorang yang awak tanamkan benih bahagia.

Awak.
Terima kasih atas segalanya.
Awak belum pernah gagal membuatkan dia senyum ceria.
Walaupun itu semua gunakan banyak tenaga.
Awak tetap yang terbaik hidup dalam dia.

Nota Kaki (Pantas penuh erti) :
Awak.
Ada orang curi luahan hati dia pada awak.
Mereka itu pastinya bahan lawak.
Perangai serupa biawak.
Hasil kerja dia habis semua mereka ciplak.
Tulisan dia, semua mereka sapu bersih macam pendayung kayak.
Habis mereka salin sampai nama kekasih mereka pun sama macam awak.
Kasihan mereka awak.
Peniru yang perlu dihantar ke neraka, ah, mereka layak!

Zara : Senyum dalam keadaan yang entah terkawal ataupun tidak. Menelusuri hidup yang semakin lama semakin menakutkan kenyataannya, aku sudah belajar untuk tidak melatah bila disergah.

Monday, November 21, 2011

Awak, Kadangkala Dia Mahu Luah Rasa.




Awak.
Dia sudah penat bersedih.
Dia sudah penat melayan hati lirih.
Dia sudah penat melawan rasa pedih.

Awak.
Dalam bersama awak, dia gunakan banyak tenaga.
Dalam bersama awak, dia gunakan banyak masa.
Dalam bersama awak, dia gunakan banyak air mata.
Dalam bersama awak, dia gunakan banyak usaha.
Dalam bersama awak, dia gunakan banyak segalanya.

Awak.
Dalam diam, dia memendam rasa.
Dalam diam, dia memerhati sambil huraikan tanda tanya.
Dalam diam, dia memikirkan apakah salah silap menyulam rasa.
Dalam diam, dia menghapuskan rasa sakit dengan ketawa.
Dalam diam, dia mencipta khayalan dan teruskan berpura-pura.
Dalam diam, dia menolak segala benda buruk yang terlintas dalam kepala.


Awak.
Adakah awak tahu sukar dia mahu terima semua?
Adakah awak tahu yang dia berhempas pulas untuk berfikiran terbuka?
Adakah awak tahu yang dia lakukan segalanya untuk biarkan hubungan tidak celaka?
Adakah awak tahu senyuman dia sudah tiada rasa?
Adakah awak tahu yang dia pertahankan awak depan keluarga?
Adakah awak tahu yang dia menolak permintaan orang untuk dijodohkan dengan entah siapa?
Adakah awak tahu yang dia sanggup buat apa sahaja?
Demi lihat kelibat awak yang tersenyum bahagia?

Awak.
Kenapa mahu mendiamkan diri?
Kenapa mahu menghilangkan diri?
Kenapa mahu membisukan diri?
Kenapa mahu duduk diam sahaja dan memerhati?

Awak.
Adakah awak sedang menguji?
Adakah awak sedang melihat sejauh mana dia boleh pergi?
Adakah awak sedang berseronok tengok dia mencari?
Adakah awak sedang tersenyum hingga nampak gigi?
Adakah awak sedang ketawa melihat dia berusaha separuh mati?
Hanya untuk pastikan ke mana awak lari?

http://24.media.tumblr.com/tumblr_ler9a9W16k1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Kalau dia tiada di sisi, adakah awak teringatkan dia?
Kalau awak punya masalah, adakah awak mahukan kehadiran dia?
Kalau awak perlukan sesuatu, adakah awak akan minta bantuan dia?
Kalau awak perlukan seseorang untuk kongsi bicara, adakah awak akan menghubungi dia?

Awak.
Dia benci untuk jadi manusia tipikal.
Dia benci untuk jadi manusia sinikal.
Dia benci untuk jadi manusia kritikal.

Awak.
Dia enggan mengawal keadaan.
Dia mahu segalanya berjalan ikut perancangan.
Dia hendak segalanya menuju impian.
Dia tidak mahu mengongkong dalam percintaan.
Dia sedar masih panjang lagi perjalanan.
Untuk awak dan dia bersama sebagai pasangan.

Awak.
Dia mahu awak bahagia.
Dia mahu awak gembira.
Dia mahu awak ceria.
Dia mahu awak tersenyum mesra.
Dia mahu awak tiada gundah gulana.
Dia mahu awak rasa suka bila bersama dia.

http://27.media.tumblr.com/tumblr_lbi7cjQIy51qaecyko1_r2_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Walaupun dia tidak sentiasa luahkan dia suka, dia sebenarnya cinta.
Walaupun dia tidak sentiasa bermanja, dia sebenarnya gembira.
Walaupun dia tidak sentiasa bersama, dia sebenarnya perlukan awak juga.
Walaupun dia tidak sentiasa mengada, dia sebenarnya mahu dimesra.
Walaupun dia tidak sentiasa ketawa, dia sebenarnya sangat bahagia.
Walaupun dia tidak sentiasa faham segala, dia sebenarnya masih mahu belajar semua.

Awak.
Walaupun awak jauh, dia tetap awak punya.
Walaupun awak bukan di depan mata, dia tetap ingat setiap masa.
Walaupun awak menjauhkan diri, dia tetap menunggu awak muncul depan mata.
Walaupun awak tidak berada di sisi, dia tetap dapat rasakan cinta.
Walaupun awak hilang begitu sahaja, dia masih penunggu yang setia.
Walaupun awak tidak selalu luahkan rasa, dia duduk diam dan tunggu awak berkata.
Walaupun awak kutuk dia, dia tetap ukir senyum dan ketawa.

Awak.
Sebab apa?
Sebab awak dunia dia.
Sebab awak dunia dia yang kedua.

Nota Kaki :
01 - Semalam sudah menyiapkan tugasan dalam lingkungan yang dimahukan. Dua belas ribu perkataan sudah cukup rasanya.
02 - Kecewa bila lihat ada orang menciplak tulisan tentang 'hubungan-jarak-jauh' aku di Mukabuku dan mengaku itu karangan dia. Sebak hati sebab siri 'Awak-Dia : Kisah Jiwa' ini adalah garapan yang cukup dekat dengan aku.
03 - Cuti sekolah sudah bermula, tapi aku masih bekerja.

Zara : Demi kelangsungan sebuah nyawa, aku masih mahu menulis. Menulis kerana seseorang pernah beritahu aku, "Teruskan menulis, kerana dengan menulis itu, cara awak meluahkan rasa hati, cara ekspresi diri". Terima kasih sayang. Aku tidak akan pernah berhenti.

Saturday, November 19, 2011

Awak, Itu Cara Tunjuk Kasih Sayang?




Awak.
Awak kata awak rindu.
Awak kata awak perlu.
Awak kata awak mahu ditunggu.
Awak kata awak mahu.

Awak.
Dia menunggu.
Dia sanggup buat segalanya dahulu.
Dia sanggup selesaikan semua urusan agar tidak diganggu.
Dia sanggup uruskan perkara yang mengundang haru biru.
Semuanya sebab awak tahu?

Awak.
Awak cari dia bila awak mahu.
Awak cari dia bila awak perlu.
Awak cari dia bila awak ingin ditunggu.
Awak cari dia bila awak ingin rasa tidak diganggu.
Awak cari dia bila awak enggan suasana keliling awak bisu.

Awak.
Adakah awak tahu yang dia mahu awak cari bila rindu?
Adakah awak tahu yang dia mahu awak cari dia dan menunggu?
Adakah awak tahu yang dia mahu awak cari bila dia membisu?
Adakah awak tahu yang dia mahu awak cari bila dia sedang termangu?
Adakah awak tahu yang dia mahu awak cari bila dia pilu?

http://25.media.tumblr.com/tumblr_lfcm4osvIy1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar]

Awak.
Seronok biarkan dia keseorangan?
Cari dia bila awak tidak mahu kesepian?
Tinggalkan dia bila sudah tiada erti kekosongan?
Senyap sunyi bila awak sudah mengecap kepuasan?
Tiada khabar berita bila awak kononnya dilanda kesibukkan?

Awak.
Sesekali sahaja awak muncul.
Bila awak mahu, awak akan terpacul.
Kalau tidak, awak akan hilang macam bacul.
Dan dia menunggu seharian seperti si bahlul.

Awak.
Bila awak mahu,  dia datang dalam kadar segera.
Bila awak panggil, dia terus muncul depan mata.
Bila awak cari, terus awak jumpa.
Bila awak teringat, dia terus menjelma.
Bila awak rindu, dia berikan ruang bermanja.
Tapi, kenapa awak tidak boleh buat begitu untuk dia?

http://fc05.deviantart.net/fs70/i/2011/010/e/8/love_by_strawberrytelle-d36ulym.png
[Sumber gambar]

Awak.
Dia juga teringin rasa dimanja.
Dia juga teringin rasa istimewa.
Dia juga teringin rasa diperlukan sentiasa.
Dia juga teringin rasa diperkenalkan kepada semesta.
Dia juga teringin rasa disayangi oleh kekasihnya.
Dia juga teringin rasa dipenuhi cinta.
Dia juga teringin rasa dipeluk mesra.
Tapi, kenapa itu hanya khayalannya semata-mata?

Awak.
Bila dia cari awak, awak tiada.
Bila dia menunggu awak, awak tidak muncul seperti biasa.
Bila dia mahu awak, awak berikan alasan berjela.
Bila dia senyap dan mahu biarkan sahaja, awak datang mencari dia.
Apa ertinya semua ini bagi awak ya?

Awak.
Dia mungkin bukan seseorang yang istimewa.
Dia mungkin bukan seseorang yang mampu buat awak ketawa.
Dia mungkin bukan seseorang yang awak boleh lafazkan cinta.
Dia mungkin bukan seseorang yang jadikan awak bahagia.
Dia mungkin bukan seseorang yang awak luahkan segala.
Dia mungkin bukan seseorang yang awak akan tunggu sampai bila-bila.
Tapi awak, dia masih seorang manusia.

http://data.whicdn.com/images/6262213/tumblr_leyfibtNaK1qaecyko1_r1_500_large.png
[Sumber gambar] - Ini mungkin hanya impian dia yang tidak akan terlaksana.

Awak.
Awak boleh kata dia mengada-ada.
Awak boleh kata dia mahu perhatian bermanja.
Awak boleh kata dia kesepian hingga bertindak gila.
Awak boleh kata dia apa sahaja.
Dia rela.

Awak.
Dia masih seorang manusia yang punya rasa.
Dia masih tahu lagi bagaimana mahu kekal setia.
Dia masih mahu jadi seseorang yang awak akan kembali sentiasa.
Dia masih enggan jadi orang lain hanya untuk bergembira.
Dia masih tidak mahu bermain kayu tiga.
Dia masih ingin jadi milik awak selamanya.

Awak.
Dia cuba yakinkan hati.
Ini cara awak amat mencintai.
Ini cara awak mengajar dia bagaimana rasa dirindui.
Ini cara awak mahu dia rasa menghargai.
Ini cara awak mahu dia tahu dia (mungkin) digilai.
Ini cara awak mahu dia enggan berpaling pada sesiapa dan kekal di sini.
Ini cara awak mahu dia menunggu di sisi.

Awak.
Tapi adakah awak tahu kekuatan hati manusia?
Sampai bila seseorang itu mampu tahan segalanya?
Sehingga bila seseorang itu mampu tahan diri dan ketawa?
Sampai saat manakah dia masih mampu berpura?
Yang segalanya baik dan dia masih kekal cinta?

Awak.
Sekental mana pun hati, kekuatan akan kendur.
Jangan sampai dia enggan mahu menegur.
Dan terus berundur.

Awak.
Kalau itu cara awak tunjukkan kasih sayang.
Kalau itu cara awak tunjukkan cinta itu bukan gila bayang.
Kalau itu cara awak tunjukkan bahagia itu tidak melayang.
Dia hanya akan diam dan tunggu hari siang.
Moga akan ada hubungan yang cemerlang.

Awak.
Semoga awak bahagia dengan apa yang awak lakukan.
Kalau awak cari dia dan dia tidak muncul lagi, awak boleh terus langkah ke hadapan.
Kerana dia sudah ke sisi dan berikan awak laluan.
Supaya dia tidak ganggu perjalanan.
Sebab dia mahu kekalkan senyuman.

Nota Kaki :
Baru lima ribu dan aku perlu terus gigih untuk mencapai lima belas ribu patah perkataan. Ah. Kekuatan, silakan menjelma. Tarikh akhirnya sudah kurang daripada dua puluh empat jam.

Zara : Kadangkala kita perlu terima hakikat bahawa benda yang kita perlukan tidak sentiasa akan berada di hadapan mata, walaupun sekuat mana kita berusaha mendapatkannya sehingga tahap mengorbankan kesihatan dan membengkakkan mata. Kalau tidak akan tiba, pastinya ia akan kekal menjadi impian yang tidak terlaksana. Jalan terus dan capai peluang lain tentunya.