Thursday, October 31, 2013

SPPBS - Pengalaman.


Salam semua.
Tulisan kali ini mungkin adalah berkait rapat dengan kerjaya aku sebagai guru. Tapi, aku percaya ramai orang yang mempuanyai sanak saudara, kenalan yang bekerja sebagai guru kerap terdengar rungutan yang berulangkali daripada mereka yang menggunakan sistem SPPBS ini. Untuk pengetahuan, SPPBS adalah Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang digunapakai untuk memasukkan tahap pencapaian anak murid yang menjalani PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah).

Semakin menghampiri tarikh tamat tempoh pengisian tahap pencapaian murid, semakin banyak rungutan yang aku boleh baca setiap hari di laman-laman sosial yang menghimpunkan guru-guru di dalamnya. Sama ada laman sosial rasmi ataupun sekadar satu kumpulan guru yang saling berkongsi cerita tentang pengalaman masing-masing, perkongsian teknik mengajar, nota, lawak jenaka ataupun entah, menjual produk kegemaran (bergantung siapa yang letak cerita dalam tu). Biasalah. Ramai orang, ramai cerita.

Yang menarik minat aku adalah, hampir setiap pos yang aku baca adalah penuh dengan kata-kata yang kurang manis daripada golongan yang mempunyai pekerjaan sama dengan aku.(Ini akan aku tuliskan dalam bahagian seterusnya).

Secara peribadi, aku sendiri menghadapi masalah dengan sistem ini. Tapi, dengan pendekatan menyiapkan sedaya upaya pada pertengahan Oktober, dan memasukkan tahap pencapaian murid setiap bulan secara berkala, sekurangnya, aku tidak menghadapi masalah untuk menyiapkan keseluruhan pencapaian murid bila tiba waktunya. Selain daripada itu, aku juga dah membantu Puan Mulia untuk memasukkan pencapaian untuk murid beliau juga. Ya, aku buat kerja untuk dua orang. Puan Mulia bukan orang yang lahir zaman teknologi. Tidak mesra komputer, tapi sekurangnya, bonda aku ini lakukan kerjanya dalam manual (isi transit rekod dan catatan) --- tugasan aku duduk isikan data yang dia sebutkan.

Aku sendiri ada beberapa kelas dibawah jagaan aku untuk PBS. Kelas berlainan, tingkatan berlainan dan subjek berlainan (ada 2 subjek aku). Sebab itu, sedaya upaya aku lakukan seawal mungkin dengan memikirkan banyak sistem atau tugasan lain yang muncul untuk disiapkan menjelang tamat sesi persekolahan tahun ini. Antaranya :
  • e-Prestasi.
  • SAPS
  • SPS
  • FROG-VLE.
  • SKT

Memang diakui banyak tugasan selain daripada mengajar dan menanda serta menunggu sistem yang kadangkala diselenggara, yang tak boleh dibuka, lambat dan entah apa lagi --- tapi aku secara peribadinya merasakan bahawa, tidak perlu untuk memaki hamun sistem tersebut. Siapa sahaja yang tidak menemui kesukaran untuk mengakses sistem tersebut? Ramai sahaja tapi mungkin boleh menggunakan bahasa yang lebih baik memandangkan apabila diletakkan di laman-laman sosial, banyak mata yang memerhati. Yang mungkin dengan sedikit kesilapan daripada pemahaman yang membaca, golongan pendidik terus dihentam secara seluruhnya.

Tahun lepas sejujurnya lebih parah. Menunggu lebih 24 jam tanpa tidur semata-mata mahu memasukkan markah PBS, dengan begitu lama menunggu, hasilnya tak muncul --- aku rasa tahun ini sejujurnya lebih baik. Aku rasa kegilaan aku akses sistem ini dimana sahaja (dengan buku catatan markah aku sentiasa dalam beg), aku isi di mana sahaja bila ada masa terluang. Dengan telefon pintar, dengan iPad --- dengan apa sahaja akses yang aku boleh dapat. 

Mungkin ada pendapat yang bakal menyatakan --- ya, belum ada anak lagi, bolehlah cakap. Aku jujurnya mengerti kesusahan sedemikian rupa. Bukan kawan-kawan aku tidak punya itu semua, tapi aku perhatikan mereka berhempas pulas dalam kerjaya dan tanggungjawab sebagai bapa/ibu juga. Merungut sedikit itu boleh, tapi sedikitpun aku tidak pernah lihat mereka memaki hamun sistem. Tidak pernah. Siapa yang tak penat bila kita isi markah dengan sedaya upaya tapi hilang sebab server down? Siapa yang tak marah bila kita cuma mampu duduk di halaman hadapan dan lihat icon berpusing-pusing bagi memuatturun paparan yang seterusnya?

Semua orang pun marah. Geram. Sakit hati.
Tapi, rasional sedikit. Jangan gunakan perkataan yang mampu menyinggung orang lain. Yang mampu menyinggung rakan-rakan lain dalam kerjaya yang sama. Yang memandang dan menjaga rapi kerjaya yang dekat di hati ini. Jangan sampai orang luar memandang serong kerjaya kita ini disebabkan oleh tutur bahasa kita yang tidak terjaga dalam meluahkan perasaan amarah akan sistem PBS ini.

Maaf.
Maaf.
Maaf.

Jika tulisan terbuka ini ada yang menyinggung perasaan orang lain, maafkan aku. Cuma, aku sangat sayang dengan kerjaya ini. Hati aku kurang senang bila ada orang menuding jari menyalahkan satu dua orang dalam kerjaya ini tapi melabelkan kita semua sebagai satu golongan kerjaya yang sudah tidak layak dipandang mulia oleh masyarakat. Yang dipandang hina bagaikan kita tidak punya fungsi dalam masyarakat. Bukan sanjungan dipinta tapi sedikit hormat dan penghargaan atas usaha kita dalam mendidik itu, tidak dipandang sia-sia. Itu sahaja.

Moga urusan kita dalam mendidik anak bangsa dipermudahkan.
Moga urusan kita semua dalam menyelesaikan pengisisan PBS sebelum 1 Disember dipermudahkan.
Moga kita semua bakal menjadi guru yang terbaik untuk anak-anak bangsa kita.
Moga-moga.
Amin.

http://distilleryimage6.ak.instagram.com/513bc61241d811e3945d22000a9f13ca_8.jpg
Beg yang diangkut ke sana ke mari. Dari sekolah bawa merata. Penuh dengan urusan dari peribadi hingga tugas menyelamatkan dunia. Ha ha ha. Beg serba guna kata suami.


2 comments:

ika sulaika said...

hai sye student form 4 johor :) cikgu ajar subjek ape ?

takky said...

penah tlg cikgu isikan maklumat murid seluruh tingkatan satu dalam sistem sekolah....
tapi cikgu suruh buat diam2 sebab risau kena marah dgn pihak sekolah since benda 2 harta sekolah dan maklumat tu agak private....
tapi disebabkan dia kena masukkan data murid form 2 dan form 3 juga.....
kami pun tlg dia isikan maklumat form 1.....
bayangkan 1 kelas = 40murid paling biasa....
kami kena isi maklumat utk 7 buah kelas....
rase ye kerja yang saya tlg cikgu saya b4 nie cuma sedikit sahaja berbanding cikgu saya yg kena isi maklumat form 2 & form 3....
belum masuk data mengajar dia sume....
dia ajar 3 subjek masa tu.....
saya berani cerita perkara ini sebab perkara nie berlaku sekitar tahun 2005 atau 2006 tak silap saya.....
saya dan sorang lagi kawan saya berjaga sampai pukul 3 pagi buat kerja nie dekat dewan makan asrama.....
kadang-kadang rasa ade benda melintas dekat belakang kami tapi buat tak tahu je sebab nak abeskan sume keje nie....
amek masa dalam 3 hari x silap saya utk siapkan keja yg cikgu bagi 2.....
huhuhuhuhuhu