Monday, October 31, 2011

Jangan Nak Kejam Sangat Boleh?



Awak.
Mari meraikan kematian.
Watak yang sudah tidak mampu berjalan.
Terberhenti disebabkan sebuah kegagalan.
Takdir menentukan bahawa ini bukan saat menggenggam kejayaan.
Ini saat belajar dari kesilapan.
Untuk buang kesialan.

Awak.
Dia menangis lagi.
Menangis bukan sebab cinta pergi.
Dia menangis bila dia terpinggir kembali.
Benda yang diusahakan tidak bernilai walaupun dia mahu berdiri.
Tangisan itu melumpuhkan sistem pertahanan diri.
Penuh rasa tidak dihargai.
Penuh rasa tidak diperlukan sesiapa di dunia ini.
Penuh dengan perasaan dia makhluk paling bodoh kini.

http://farm3.static.flickr.com/2510/3682893928_69819b77b5.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Itulah kulit sebenar dia.
Dia tidak perlu dihujani cinta.
Dia tidak perlu dilimpahi kasih sayang setiap masa.
Dia mahu segala terurus atas usahanya.
Dia mahu kejayaan yang diusahakan terlaksana.
Dia mahu buktikan bahawa dia juga masih manusia.
Dia mahu buktikan dia punya harga.
Dia mahu berikan nilai pada keluarga.
Dia mahu keluarga buka mata.
Apa yang dilakukan selama ini bukan sia-sia.

Awak.
Kali ini dia gagal kembali.
Sebaris ayat mampu buat dia terduduk rebah ke bumi.
Jiwa dia kosong tanpa isi.
Mata merenung lelangit kamar yang sepi.
Dan tanpa dia sedar air mata membasahi pipi.
Dia ulang tiga kali ayat - "Ini bukan rezeki"
Air mata diseka tetapi ia seakan tidak mahu berhenti.
Dia penat pujuk diri sendiri.
Biarkan mata buntang, senyap dan pipi kering terpalit manik mimpi.
Impian dia musnah lagi.

Awak.
Hati dia sukar mahu dipujuk.
Otak dia sudah mula menjeruk.
Tubuh dibiarkan terpuruk.
Perasaan menjadi semakin teruk.
Diri dirasakan semakin buruk.
Dua tiga kali pandang, dia rasa sudah serupa beruk.
Ah, dia rasa sungguh terkutuk.

http://farm4.static.flickr.com/3447/3750768436_ecc7406214.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Sakit itu buat dia makin gila.
Rasa terbuang buat dia tidak mampu mencerna jiwa.
Tapi dia tetap manusia yang serupa.
Tetap budak yang awak kenal sebegitu lama.
Kegagalan hanya buat dia makin gigih bekerja.
Kesakitan hanya akan buatkan dia lebih kuat berusaha.
Untuk buktikan bahawa dia mampu lunaskan apa sahaja.
Rintangan dan cabaran sudah jadi makanan ruji dia.
Air mata yang tumpah sebagai pelincir dia mahu butikan pada dunia.
Biarkan sakit diinjak membuatkan dia terjaga.
Kalaupun dia tidak mampu kali ini, suatu  hari nanti dia mungkin berjaya.
Walaupun terpaksa telan kesakitan sendirian tanpa bicara.

Awak.
Maafkan dia.
Maafkan dia yang berdusta.
Maafkan dia yang tidak mampu susun bicara.
Maafkan dia yang menafikan dia sedang menjeruk rasa.
Maafkan dia yang berselindung dengan ketawa.
Maafkan dia yang tidak mampu untuk diri setanding dengan awak yang bijaksana.
Maafkan dia yang enggan dilihat lemah depan awak - manusia yang dia cinta.
Maafkan dia yang gigit lidah agar tiada lagi deraian air mata.
Maafkan dia yang selalu mencintai awak hingga tidak mahu awak lihat dia derita.
Maafkan dia yang buat awak geram hingga berlalu pergi demi menghukum dia.
Maafkan dia yang tidak mampu tersenyum dengan ceria.

Awak.
Dia akan kembali.
Untuk buktikan bahawa dia layak dihargai.
Walaupun ia bakal mengambil masa, pastikan ada doa mengiringi.
Dia tahu dia mampu berdiri.
Walaupun awak hanya melihat dari tepi.
Itu sahaja semangat yang dia cari.

Nota Kaki :
Apa yang aku tunggu hampir seminggu sudah muncul keputusannya. Gagal mencuri hati panel penilai disebabkan aspek teknikal yang pastinya membuatkan aku sedikit jatuh. Tetapi tidak mengapa, aku doa agar selepas ini aku mampu gapai impian tersebut. Terima kasih buat mereka yang tidak henti mendoakan dan berikan aku semangat.

Zara : Aku hampir tidak mempercayai perkataan maaf disebabkan aku merasakan maaf itu sepatutnya diucapkan dengan syarat tidak mahu lagi mengulangi kesilapan yang sama. Tapi entahlah, aku masih lagi manusia, dan juga mereka juga.


Friday, October 28, 2011

Awak, Perasaan Dia Mungkin Mati.




Awak.
Adakah seronok melihat drama berjalan begini?
Anehnya ada yang sedang terbaring menunggu mati.
Anehnya ada yang ketawa terbahak geli hati.
Anehnya ada yang senyum sinis sampai nampak gigi.
Anehnya ada yang tahan bahu tunjukkan simpati.

Awak.
Apa yang mahu dikenangkan dalam hidup sementara?
Adakah kegilaan menukar pasangan satu catatan gembira?
Adakah kegembiraan menghiris perasaan itu satu kejayaan berganda?
Adakah kebahagiaan melihat orang lain menderita?
Adakah membina hidup atas laungan sakit manusia?
Adakah itu yang di cari di atas dunia?

http://farm4.static.flickr.com/3622/3658044275_1ca08c5330.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Tidak bolehkah hidup itu hanya mengejar bahagia?
Tidak bolehkah hidup itu mahukan gembira?
Tidak bolehkah kasih sayang itu menyapu rasa luka?
Tidak bolehkah rindu itu mengubat derita?
Tidak bolehkah tolak ansur itu dijadikan satu senjata?
Tidak bolehkah senyuman itu terukir buat selamanya?

Awak.
Apa yang awak mahukan dalam dunia ini?
Adakah sama dengan apa yang dia mahukan ketika ini?
Adakah kalian masih boleh saling mencintai?
Adakah hati itu mampu diubati?
Adakah kasih sayang itu hanya mimpi?
Adakah cinta mampu disemai kembali?

Awak.
Dan dia layak.
Layak untuk bersama dan teruskan hidup bersama.
Tapi, adakah itu boleh dilakukan tanpa usaha?
Bukan setakat doa.
Usaha yang mengiringi itu penting juga.

Awak.
Bagaimana kalau perasaan dia sudah mati?
Mampukah awak kembalikan dia seperti azali?

Nota Kaki :
Kita mencari apa yang kita mahukan dalam hidup sehingga terlupa satu perkara - ketentuan takdir itu sudah lama tertulis dengan jelas. Kalau kita tidak dimaksudkan meneruskan atau mendapat sesuatu benda, betapa kuat kita berusaha ke arah itu, kita tidak akan dapat. Ya, memang usaha itu penting, memang usaha itulah tangga atau eskalator kejayaan, tapi jika tidak mendapat apa kita mahukan, apakah kita patut meratap kuat?

Zara : Masih banyak lagi benda yang boleh kita tumpukan. Alihkan perhatian kita. Cuma, apakah kita mahu? Adakah kita cukup kuat untuk tidak menoleh kebelakang semula - menangis kuat menyesali apa kita lakukan tetapi tidak mendapatkan pengajaran apa yang ditinggalkan? Kenyataannya, kita perlu tanya kepada diri kita sendiri. Peluang apa yang kita mahukan dalam hidup ini?

Thursday, October 27, 2011

Awak Seronok Dengan Kecurangan Dia.




Awak.
Kemarahan menular?
Hati sedang terbakar?
Perasaan bagai dikelar?
Kesetiaan itu bunyinya kelakar?
Maka, selamat datang ke dunia sebenar.

Awak.
Sakit hati?
Jiwa bagaikan ditikam dengan belati?
Bukankah hati itu lembut bagai roti?
Dilenyek dalam air, bagaikan dilanggar lori?
Peroi, reput bagaikan tiada sukatan nutrisi.
Bagaimana rasa mahu membunuh kini?
Selamat datang ke dunia realiti.

http://farm3.static.flickr.com/2472/3561306161_ca39aac368.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Bagaimana rasa dikhianati?
Bagaimana rasa disakiti?
Bagaimana rasa impian itu hanya satu mimpi?
Bagaimana rasa ajakan kahwin itu hanya satu cara penipuan tersembunyi?
Bagaimana rasa kata-kata manis itu hanya satu cara melencongkan perbuatan keji?
Bagaimana rasa hati kini?

Awak.
Sakit?
Perit?
Mahu menjerit?
Keluar berakit?
Meluncur rempit?
Hidup sempit?
Nafas tahan berdikit?

Awak.
Ada manusia yang memang tidak tahan.
Ada manusia yang membiarkan diri dengan godaan.
Ada manusia yang suka sentiasa melayan.
Ada manusia yang dengan mudah tunjukkan rasa kasihan.
Ada manusia yang suka ambil ringan.
Ada manusia yang gemarkan penipuan.
Ada manusia yang anggap percintaan itu satu permainan.
Ada manusia yang rasa bangga dengan kecurangan.
Ada manusia yang mainkan cinta macam bentuk pelancongan.

Awak.
Cemburu?
Badan macam ditembak bertalu-talu?
Kesan belerang penuh di badan, berterabur peluru.
Hati bagaikan ditusuk sembilu?
Bengkak dan berbulu.
Kesetiaan awak dibalas begitu.
Bagaimana rasanya sekarang, dia masih yang satu?
Ataupun sudah tiba masa angkat kaki, dan berlalu?

http://farm4.static.flickr.com/3622/3576600913_a01691fbbd.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Masa untuk biarkan dia kekal dalam permainan.
Tahan hati dari terus merancang pembunuhan.
Biarkan dia terus bergetanyang bagaikan Dementor menyebar kesejukkan.
Sebab jauh mana dia pergi, dia tetap tersungkur ke bawah, depan.
Ya, depan awak bukan?

Awak.
Pujuk rayu dia ibarat manisan.
Tahan.
Apalah sebaris ayat penuh pujaan.
Sedangkan dia bermain hati yang sedang bertahan.


Awak.
Masa untuk kekal dalam permainan.
Masa untuk biarkan dia terus bergelak ketawa macam syaitan.
Masa untuk biarkan dia teruskan kecurangan.
Masa untuk biarkan cemburu menular bagai penyakit membunuh kesihatan.
Sebab kali ini cemburu ini ada alasan.
Kan?

Awak.
Permainan dia terlampau nyata.
Jangan anggap nampak sebelah mata.
Jangan mengalah kerana takut dianggap cemburu buta.
Ini masanya awak tunjuk jagoan juga.
Biarkan dia nikmati kembali apa awak rasa.
Biar kali ini berputih tulang, jangan putih mata.
Anehkah kalau membalas dendam itu manis bagai gula?
Jangan ketawa.
Awak sedang berperang dengan masa.
Demi cinta.

Awak.
Selamat berjuang.
Semoga jangan kalah di medan perang.
Baliklah dengan kemenangan supaya dapat dijulang.
Bukan dengan kekalahan dan dianggap jalang.
Tapi apalah sangat berbanding manusia keji dan curang?

Nota Kaki :
Aneh-aneh melihat orang jumud dalam mengutarakan pendapat. Menulis sesuatu berdasarkan fakta dan pertanyaan dianggap menempah neraka. Ah, manusia semakin gila?

Zara : Kadangkala kita harus terima bahawa sesetengah orang akan hidup dalam hati dan jiwa kita buat selamanya walaupun mereka tidak akan ada dalam hidup kita seperti yang kita mahukan (Shafaza Zara, 2011)

Wednesday, October 26, 2011

Perempuan Itu Dan Kegilaan Dia.




Perempuan itu.
Kegilaan dia.

Hidup masih seperti biasa.
Dia bangun dengan jam biologinya tidak pernah mengkhianati masa.
Anehnya, dia sudah tidak dapat merasa gembira.
Peliknya, dia sudah tidak kenal erti derita.
Jiwa dia kosong tanpa rasa.
Tinggal sedikit nilai manusia.

Perempuan itu.
Dan masih lagi dengan kegilaan dia.

Jenguk wajah menerusi jendela.
Suasana gelap dan dia sedar masih belum ada sesiapa yang terjaga.
Terbaring merenung lelangit bilik yang gelap gelita.
Dia boleh dengar bunyi muzik sayup menyusup telinga.
Dia boleh merasa kesejukan terjaga jam tiga.
Tapi dia enggan bergerak dan lebih rela tahan mata.
Ada sesuatu yang tersekat di jiwa.
Dan dia tahan sahaja.

http://farm4.static.flickr.com/3568/3586670839_697fb06c83.jpg
[Sumber gambar]

Perempuan itu.
Dan kegilaan dia.

Fikiran menerawang mengingati cerita.
Kisah silam penuh warna.
Bila tersedar, dia tahu itu mungkin celaka.
Bila tersentak, dia tahu itu bukan khayalan semata.
Bila terpaku, dia tahu banyak yang dia belajar dari setakat sebuah ceritera.
Dan dia, masih lagi mengekalkan kegilaan yang sama.

Perempuan itu.
Bertahan dengan kegilaan dia.

Hidup dia biasa sahaja.
Hidup yang mungkin tidak bermakna.
Dia tidak kisah asalkan dia selesa.
Selagi dia bernyawa.
Dia mahu kekal di takuk yang sama.
Rasa selamat tidak boleh dibeli di mana-mana.
Anehnya, walau selesa, dia masih terkilan luka.
Penuh kejam bunuh sedikit demi sedikit tunas bahagia.
Dia tidak kenal lagi gembira.

Perempuan itu.
Dan kegilaan dia.

Dia hanya berharap hari ini ada orang buat dia gembira.
Dia hanya berharap hari ini ada manusia yang menyapa.
Dia hanya berharap hari ini tiada manusia yang buat dia menitiskan air mata.
Dia hanya berharap hari ini orang melayan dia baik-baik sahaja.
Dia hanya berharap hari ini bakal berakhir dengan sedikit suntikan nikmat ceria.
Dia hanya berharap hari ini dia mampu senyum seperti sediakala.
Malangnya, itu hanya harapan palsu semata.

http://farm4.static.flickr.com/3613/3602927222_7b40e9879c.jpg
[Sumber gambar]

Perempuan itu.
Berpaut pada kegilaan dia.

Disebabkan biasa terluka, dia pernah tidak percaya sesiapa.
Orang tuduh dia degil, dia hanya ketawa.
Orang kata dia pelik, dia masih ukir senyuman paksa.
Orang lihat dia letih buat semua, dia masih teruskan bekerja.
Kerana dia sedar dia keseorangan dalam dunia.
Teman itu sekadar dongeng manusia.
Dia tahu dia hanya punya Yang Maha Pencipta.

Perempuan itu.
Berjalan mengusung kegilaan dia.

Dia tidak pernah mahu mengalirkan air mata.
Dongak ke langit, dia percaya air mata itu akan masuk semula.
Tubir mata yang bergenang dia akan kata matanya berkaca.
Sakit dengan kemarahan manusia.
Benci dengan keadaan diri yang hanya menelan sahaja.
Geram dengan sikap diri yang tidak mahu melawan kata.
Dia hanya tunduk akur walaupun hati tersayat mengalir darah merah saga.

Perempuan itu.
Kegilaan dia.

Apakah dia khayal mahu gembira?
Apakah dia tamak mahu bahagia?
Apakah dia merepek bila mahu suka?
Apakah dia sewel bila dia enggan lihat derita?
Apakah dia hanya mampu menelan segala duka?
Apakah dia dilahirkan untuk sengsara?

Perempuan itu.
Dan kegilaan dia.
Selamanya.

Nota Kaki :
Selamat menempuh cabaran dalam hidup wahai manusia. Dua tahun masih lagi lemah dan banyak benda perlu ditelaah bagi melunaskan tanggungjawab pada nusa dan bangga. Jangan biarkan diri menderita hanya disebabkan rintangan yang datang melanda.

Zara : Sedang mengumpul kekuatan menghadapi hari yang mendatang kerana impian yang telah dicoretkan di atas laluan telah mula menunjukkan perkara yang dimahukan. Bila kebenaran mula terserlah, jangan pernah biarkan diri terhijab dengan kesilapan yang sama.


Tulis, Conteng Dan Jerit Demi Jiwa.




Entah sejak bila aku sudah mula ada garis panduan yang lebih jelas dalam menulis. Kalau boleh, sehari hanya sekali sahaja menulis di blog walaupun aku mungkin terdedah untuk menulis lebih banyak. Kepuasan aku menulis sebenarnya boleh dikatakan sama dengan menjilat aiskrim sewaktu hujan lebat. Nikmat membawa ke otak. Tapi itulah, dasar manusia. Kadangkala aku tidak menulis berhari-hari, aku biarkan kanvas kosong dan aku bergetanyang tenggelam dalam buku yang membuatkan aku lupa segala. Er, lebih kepada lupa makan dan minum sebenarnya.

http://farm4.static.flickr.com/3559/3594677554_332b9639fe.jpg
[Sumber gambar]

Bila menulis sendirian, ada sahaja benda yang mahu dijeritkan.
Perlahan.
Dalam diam sebenarnya.
Membunuh segala saraf demi meluahkan bukanlah mudah.


*******


Awak.
Tengok apa yang berlaku.
Dia sakit sendirian awak.
Ada awak peduli?
Tidak.

Dia menunggu awak.
Dia menunggu sampai dia lelah sendirian.
Tapi awak ada terbit rasa kasihan?
Tiada mungkin.
Tiada bukan?

Awak.
Dia belajar untuk ubatkan hati yang menderita.
Dia belajar untuk tahu bahawa menunggu itu bukan sengsara.
Dia belajar untuk lebih faham bahawa dia tidak boleh bermanja.
Dia belajar untuk mengerti jarak itu hanya satu unit ilmu kira-kira.

Awak.
Kegembiraan awak dengan manusia  itu sebenarnya buatkan dia terluka.
Tapi sejak dia belajar bahawa benda mustahil kalau dia sentiasa gembira.
Dia mula tahu bahawa dunia semakin gila.
Tapi, dia belum mahu berhenti dari buat kerja bikin hati bahagia.
Belum dan pastinya dia tidak akan putus asa.

http://farm4.static.flickr.com/3400/3594636710_e0f86336cc.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Kata-kata santai awak pada dia sebenarnya ayat yang bawa derita.
Ketawa yang awak dengar dari mulut dia adalah ketawa menutup luka.
Senyuman yang awak lihat terukir dari bibir dia hanya kilasan gigit jiwa lara.
Dan segala penafian dia, hanya mahukan awak tidak sedar apa-apa.

Awak.
Dia bukan mahukan perhatian.
Dia bukan mahukan kasihan.
Dia hanya mahukan satu pengertian.
Bahawa dia manusia yang berpegang kepada persahabatan.
Walaupun, dia tidak menolak percintaan.

Awak.
Dia hanya mahukan senyuman.
Mampukah awak berikan?

*******

Ada benda yang ditunggu.
Moga ada berita baik.
Amin.


Nota Kaki :
Dalam perhubungan sebenarnya, ibarat kerja sepenuh masa. Jangan pernah terlibat kalau tidak bersedia untuk menanggung segala risikonya.


Zara : Jangan pernah sembunyikan perasaan kamu. Jika kamu mencintai seseorang, tunjukkan pada dia. Jika kamu mahu memiliki seseorang, rebutlah peluang tersebut. Hidup terlalu singkat untuk dikesali.

Tuesday, October 25, 2011

[Ulasan] : Ngeri dan Zombijaya - Novel Fixi





Terima kasih kepada Buku Fixi.
Ketagihan aku terhadap buku dapat dilunaskan dengan jayanya. Ya, ketagih aku pada buku sama dengan ketagihan aku pada Nescafe. Rangsangan adrenalin dari kafein itu sama tahapnya dengan buku. Inzal. Ya, boleh inzal kalau dapat membaca. Itu adalah kenapa dalam beg aku pastinya ada sebuah buku ke mana sahaja aku pergi. Lupakanlah teknologi di mana semua orang nak baca buku elektronik ( baca : e-book), aku lebih suka pegang buku secara fizikal. Sudah semestinya mencium buku tersebut - bau kertas buku adalah nikmat. Fetish buku? Diam.


Sebagai orang yang ketagih kepada buku, dapat (ya, dapat) Ngeri dan Zombijaya dalam tangan adalah seperti dapat hadiah. Mudah untuk belikan orang macam aku hadiah, buku sudah cukup. Oh, buku yang bertajuk "The Gift" oleh Cecilia Ahern aku sudah ada. Jadi, jangan terfikir mahu buat lawak dengan berikan buku itu dengan kata, ini kan hadiah? Satu salinan bagi sebuah buku sudah cukup. Eh, di mana aku tadi? Ya, ulasan buku-buku dari Fixi ini.

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/97896710384513-e1316108217739.jpg
[Sumber gambar]

Joanne, Samuel dan Rehan tiga sekawan mahasiswa filem yang bercita-cita besar untuk maju sehingga ke Hollywood. Kegilaan mereka: menghasilkan skrip-skrip yang menampilkan pembunuhan sadis.

Skrip-skrip mereka selalunya ditolak oleh profesor, yang merasakan ceritanya tak berasaskan logik. Namun, segalanya berubah menjadi menggerunkan apabila berlaku siri pembunuhan sebenar yang mirip skrip-skrip mereka.

Trio itu saling mencurigai. Apabila pembunuhan semakin mendekati persekitaran universiti, keadaan bertukar cemas. Adakah pembunuh NGERI itu sememangnya salah seorang daripada mereka?

*******

NGERI adalah hasil garapan Gina Yap Lai Yoong. Kisah di dalam Ngeri membawa kita menelusuri kehidupan pelajar kolej dan sedikit cabaran yang biasanya kita hadapi dalam melayan karenah demi memuaskan hati pensyarah ataupun tutor di kolej atau universiti.

Dan ya, kisah di dalam Ngeri membuatkan aku terfikir, jika ia benar-benar berlaku, alangkah menakutkan. Setiap adegan di dalam skrip yang dibuat oleh Samuel dilaksanakan secara realiti oleh pembunuh sebenar dan ya, secara jujurnya, dalam rancangan pembunuhan yang kita biasa tonton di televisyen - belum ada pembunuhan sedemikian rupa. Mungkin ada kalau aku terlepas beberapa episod, tetapi kalau betul-betul diadaptasi, pastinya akan jadi episod menarik dalam siri sedemikian. Criminal Minds sebagai contohnya. 

Kalau Pecah oleh Nizambakeri lebih kepada sesuatu untuk CSI, Ngeri boleh menjadi satu episod pembunuhan panjang dan berterusan oleh penjenayah bersiri yang tidak sama corak pembunuhannya. Pastinya Dr. Reid dalam Criminal Minds pening kepala. Hotch mungkin terpaksa mengerah semua ahli pasukannya membuat profil penjenayah sadis sedemikian rupa. Pembunuhan anak penjual  burger dalam peti sejuk, mat rempit yang menang kejuaraan ala Pinochio, pencarian harta karun dengan mayat dipotong-potong kepada beberapa bahagian, dan akhir sekali profesor mereka menjadi mangsa.

Ada debaran, dan bagi penggemar cerita misteri dan suka berteka-teki dengan diri sendiri, silakan membacanya untuk mengetahui siapakah sebenarnya pembunuh yang cukup terancang ini. Dan ya, seperti juga Jerat yang ditulis oleh wanita, tiada adegan senggama di dalam ini. Cukup dengan senggama minda aku rasa. Lebih inzal dan ya, sesuai diletak di rak perpustakaan sekolah.

Oh, Gina sangat mesra di Twitter. Jadi kalau mahu bertanya apa-apa kepada dia, boleh cari dia di sana juga.

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/97896710384752-e1318519799631.jpg
[Sumber gambar]

Selamat datang ke Malaysia. Negara yang kaya dengan adat ketimuran. Tetapi apakah yang akan berlaku jika rakyat kita tiba-tiba dikelilingi zombi?

Kalendar lama bertukar baru. Aliff baru mengajak Sofia berkahwin. Ana bakal memulakan hari pertama sebagai cikgu. Kamarul akan bertanding dalam program TV realiti. Dan Nipis seronok di dalam dunianya sendiri.

Mereka tidak tahu yang suasana mereka kenali bakal berakhir. Aman-damai menjadi kacau-bilau. Tamadun hancur. Rutin harian berubah. Semua perlu mengadaptasi dalam dunia baru ini.

Berapa orangkah yang akan mati? Adakah yang mati akan kekal mati? Dan apakah yang menunggu mereka di Putrajaya nanti? Selamat datang ke ZOMBIJAYA.

*******

Kalau hari itu aku ditebak dengan soalan di Mukabuku, apakah itu Twitterjaya (komuniti di Twitter sebenarnya), sekarang kita ada Zombijaya. Maka satu kawasan yang dipenuhi oleh zombi. Lupakan seketika ketawa dan gelak besar semasa menonton Zombi Kampung Pisang kerana Zombijaya ini membuatkan kau akan duduk tekun membaca sambil membayangkan suasana. Lagu yang sesuai dipasang adalah lagu Thriller oleh Michael Jackson ataupun Geli Mat (?). Baiklah, tak lawak, tapi ini keadaan di mana suatu tempat yang aman damai, secara tiba-tiba merebak wabak zombi.

Dalam Zombijaya, tidak dinyatakan dengan jelas bagaimana wabak zombi ini boleh muncul, tetapi aku rasakan ia bermula apabila Aliff digigit oleh anjing liar. Sepatutnya juga wabak itu hanya pada Aliff sahaja, tetapi akibat dia bersenggama (ya, dalam ini Zombijaya ada) dengan Ana, dan Ana juga bersenggama dengan Kamarul, maka wabak ini tersebar antara mereka berdua. Tetapi Kamarul tidak terjangkit. Aneh. Adakah disebabkan dia makan Viagra?

Aliff yang mula nampak dan teringin akan daging segar sentiasa - menggigit ketuanya dalam satu acara lintas langsung yang dipesongkan secara halus dengan kegiatan homoseksual dan suasana politik kita. Ya, Zombijaya adalah satu karya sinikal yang kalau kau mengambil tahu hal semasa, kau akan tahu ia menggambarkan suasana apa.

Ana pula, sebagai orang kedua yang menggigit tengkuk (leher) Ali, anak muridnya yang bergaduh disebabkan pensel dan seterusnya menggigit punggung guru besar dan menjangkitkan wabak ini ke seluruh sekolah. Sanjiv yang terkejut, menyelamatkan diri dan dia antara watak yang kekal hingga ke hampir-hampir penghujung cerita. 

Kamarul - dengan program realiti , menyindir secara halus dengan kebanjiranrancangan sedemikian rupa di kalangan kita semua. Rancangan realiti yang sepatutnya disertai oleh kamarul sebelum dia berhajat untuk berpatah balik semula ke Kuala Lumpur selepas tercetusnya kejadian zombi adalah 'Emperor Kelakar'. Rasa macam loceng berdering di telinga?

Nak aku menulis bagaimana keadaan sewaktu pergolakan dalam Zombijaya? Tidak perlu rasanya, kerana lebih baik kalau kamu baca sahaja tetapi sesuatu yang aku suka dalam Zombijaya, setiap adegan diceritakan dengan teliti dan diselitkan dengan unsur semasa secara sarkastik pun ya. Secebis mengenai Twitter - di mana berita kematian disebar sesuka hati tanpa tahu hujung pangkal dan kebenaran dan apabila kehadiran zombi di war-war di Twitter, orang meragui kesahihan berita. 

Nipis muncul sebagai seorang yang longgar skru otaknya, tetapi dia mampu bertahan dengan pelbagai cara. Di saat genting dan huru hara, manusia akan diuji dengan pelbagai perkara. Yang baik, mungkin jadi celaka, yang jahat, mungkin akan lebih baik - tetapi tidak mustahil akan ada yang jadi lebih kejam dan sadis demi kelangsungan hidup dan juga nafsu yang bermaharajalela.

Sedikit cetusan dan aku sudah berteka-teki dengan penulisnya, Adib Zaini di Twitter - siapakah watak terakhir yang muncul dengan sebaris ayat penuh tanda tanya. Kesan melecur di badan watak tersebut, aku mungkin boleh mengagak, tetapi biar aku simpan sahaja.  Aku perlu mengulang baca aku rasa demi mencari jawapan dan ya, aku baca novel setebal 307 halaman ini dalam masa kurang daripada 3 jam. Ah, aku memang begini kan? Nikmat buku itu aku perah sehingga ke akhirnya.

*******

Baiklah.
Mungkin setakat itu sahaja.
Kalau kamu berminat untuk mendapatkan buku di atas, boleh sahaja layari laman sesawang Buku Fixi dan dengan pembelian secara atas talian, kamu boleh mendapatkan beg Fixi dengan pembelian lebih RM 50. Er, aku tiada beg tersebut. 

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/beg.jpg
[Sumber gambar]

Jadi, dapatkanlah sekarang.
Oh ya, kalau nak beli di Uya Distro juga boleh. Tapi tiada beg di atas. 

Nota Kaki :
1. Kitab Terfaktab sudah ada cetakan kedua. Segera hubungi Lejen Press dan Uya Distro untuk membuat tempahan.
2. Novel Amerika karya Ridhwan Saidi juga menarik. Mahu aku buat ulasan juga?
3. Oh, perlukah aku beritahu yang aku ada semua novel-novel keluaran Fixi ini? Ya, semuanya. 

Zara : Ada orang sedang berjauh hati. Adakah hati itu perlu sama dengan suhu di mana kamu berada sekarang ini? 

Monday, October 24, 2011

Cinta Itu Kenapa Dia Masih Bernyawa.


Manusia macam dia ada terlalu banyak benda yang dimahukan dalam hidup.
Impian dan cita-cita yang tinggi menyebabkan dia tidak kisah berkorban bila mahukan sesuatu. 

Tidak.
Perhiasan, pakaian ataupun benda berteknologi terbaru bukanlah satu keperluan jika dibandingkan dengan kehendak hatinya yang lain. Mengejar impian satu persatu dan dia yakin, walaupun dia rasakan dirinya terlampau lambat dalam mendapatkan apa yang semua orang mungkin ada, masih ada orang lain yang lebih lambat dan mungkin juga masih belum punya apa-apa. Terbiasa mendapatkan apa yang dimahukan sendiri membuatkan dia tidak percaya kebergantungan pada orang lain akan membuatkan dia bahagia.

Ya.
Itu mungkin penyebab dia dikatakan degil, keras kepala hanya kerana dia tidak pernah mahu menoleh meminta bantuan kecuali terdesak sebagai laluan keluar terakhir apabila terhimpit. Membuka mulut meminta bantuan ibarat merendahkan dirinya  yang tidak punya apa-apa sebagai cagaran dalam hidup. Dan sejak dia belajar bahawa dalam hidup ini tidak ada benda yang perlu ditangisi, kecuali pada sesuatu yang benar-benar layak, dia tahu ketawa dan senyuman adalah mengapa dia perlu lebih bahagia.

http://farm5.static.flickr.com/4106/4840126486_5902f84da5.jpg
[Sumber gambar]

Cinta.
Ya, kerana cinta itulah dia masih bernyawa.
Kerana cinta yang mendalam itulah dia masih mampu berdiri dan ketawa.
Kerana cinta yang tidak berubah itulah dia kekal ceria.
Ya, kerana cinta.

Cinta itu.
Cinta yang tidak pernah melukai hati batu.
Cinta yang tidak pernah membuatkan dia beku.
Cinta yang tidak pernah melalaikan waktu.
Cinta yang tidak pernah menjadikan dia berlalu.
Cinta itu.

Cinta dia.
Cinta pada keluarga.
Cinta pada manusia sekelilingnya.
Cinta pada Yang Maha Pencipta.

Cinta itu kenapa dia masih bernyawa.
Cinta itu yang menjadikan dia tidak kenal erti putus asa.
Cinta itu penyebab dia lebih kuat mengejar cita-cita.
Cinta itu menjadikan manusia.

http://farm5.static.flickr.com/4064/4428509102_5e5e29ccaf.jpg
[Sumber gambar]




Cinta.
Itu harta yang dia pertahankan dalam diri yang masih menghirup udara.
Betapa berkali-kali dia jatuh, dia tahu dia masih punya cinta.
Sakit, bercalar dan terluka, dia paksa diri untuk bangun demi cinta.
Mengubati diri sendiri dan bertahan itu sahaja dia perlu untuk teruskan hidup alam nyata.
Dia masih rasa diri diperlukan di atas dunia.

Cinta
Sebab itu dia seorang pencinta keluarga.
Sebab itu dia masih ketawa jika kawan buat celaka.
Sebab itu dia kenal diri dan tidak putus asa.
Sebab itu dia tidak mahu gagal demi mencari rahmat Yang Maha Esa.
Sebab itu dia enggan kembali sebagai hamba penuh dosa.

Sebab cinta.
Ya, semuanya sebab cinta.
Cinta yang wujud dalam dirinya.
Cinta yang menjadikan dia manusia.

Nota Kaki :
Tiada semua mampu berpatah balik dan memulakan sesuatu dari mula, tapi semua orang mampu bermula hari ini, saat ini dan mempunyai pengakhiran yang baik.

Zara : Jika kita terus kekal menunggu tanpa melakukan apa-apa dengan asyik tertanya-tanya apakah ini yang patut kita buat, kita mungkin tidak akan dapat berbuat apa-apa langsung. Pengalaman itu yang kita panggil atas setiap kesilapan (dan mungkin juga kebaikan) yang kita pernah lakukan.

Sunday, October 23, 2011

[Gambar] : Celaru - Dalam Pembinaan.




Terlampau banyak yang berlaku dalam dua tiga hari.
Tidak.
Sebenarnya terlampau banyak benda berlaku dalam masa sehari.
Tidak.
Kenyataannya, dalam beberapa jam sahaja banyak yang terjadi.
Itu fakta.

http://farm7.static.flickr.com/6113/6270274312_bb6a482b3e.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr] : Gambar tiada kena mengena dengan penulisan.

"Setitis airmata menyatukan aku dengan mereka yang patah hati. Seulas senyum menjadi sebuah tanda kebahagiaan ku dalam keberadaan. Aku merasa lebih baik jika aku mati dalam hasrat dan kerinduan dari jika aku hidup menjemukan dan putus asa."
(Kahlil Gibran)

Sesuatu yang aku sangat pasti sejak kebelakangan ini adalah terlampau banyak benda yang mahu dipersembahkan demi memenuhi keperluan manusia lain di sisi. Aneh sebenarnya jika difikirkan, kerana itu kebiasaannya menjadi perkara terakhir yang aku mahu lakukan memandangkan setiap kehendak manusia adalah berbeza.

Dan yang lebih anehnya, benda yang tidak ada kena mengena dengan aku dikaitkan dan disampaikan dengan tujuan yang aku sendiri tidak mengerti. Aku manusia yang memilih untuk kekal diam dan hidup dalam dunia aku sendiri asalkan segala kebahagiaan aku tidak kau renggut dengan kata nista ataupun perbuatan durjana. Aku masih lagi kuat untuk menyeka air mata kalau itu pertahanan terakhir yang ampuh.


http://farm7.static.flickr.com/6237/6270611225_14e534a93f.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]

Tatkala memejamkan mata, yang aku lihat hanya karya seorang hamba yang merajai sebuah takhta di sebalik desiran pasir pantai pukulan ombak manja. Mungkinkah epilog bahagia bakal menerjah sebuah pawana usang milik bersama, itu tautan jiwa yang tahu dan rasa. Senyuman terukir bukan satu enigma.

Senyum.
Ukir wajah.
Letak warna.
Ceria.

Muram.
Bibir melengkung.
Wajah suram.
Duka.

Bicara.
Manis, ayuh jamah semua.
Pahit, telan seorang, cicip bersama.
Masin, tuang laju bagi tawar.
Masam, tahan sama, mungkin nanti tukar rasa.

Ketawa.
Biar besar-besar, kuat-kuat.
Tangis.
Biar perlahan-lahan, teresak-esak.
Senyum.
Biar lebar-lebar, pastikan ikhlas.
Mendung, pinggir ke tepi.
Harapan palsu sebab diri masih rindu matahari.
Pasti.


Menelaah setiap runut buat jiwa kacau. Membaca setiap bait buat diri keliru. Hadam dalam rongga, pasak tiang neraca, kulum segala derita. Kalau ini puncak bahagia, pasti akan didaki dan terus didakap penuh luka. Tangan paut erat sendirian, walaupun dilempar kata celaka. Diam pembunuh jiwa!

http://farm7.static.flickr.com/6110/6271913442_6299855e88.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]
Selamat datang kebahagiaan.
Selamat datang kegembiraan.
Selamat datang kasih sayang.
Selamat datang generasi akan datang.


Di sebalik kegembiraan orang lain bersama dengan manusia yang mereka cintai sepenuh hati dan jiwa serta meneruskan legasi perhubungan, ternyata bukan mudah untuk mengekang nafas manusia yang masih tegar membunuh dengan kata-kata tajam yang tiada makna. Hati kena kental. Jiwa kena tabah. Tapi itulah, sekuat mana pun hati manusia, calar dan kesan yang ditinggalkan itu masih lagi membunuh sebenarnya.

I : Tengok tu, umur 19 dah kahwin.
II : Ni yang umur 20 lebih pun tak ada nak kahwin lagi.

I : Entah menunggu siapa agaknya.
II : Kalau ada yang ditunggulah.

I : Kalau tak ada, boleh masuk kumpulan lanjut usia.
II : Orang umur 20 lebih dah mula kelek anak.

I : Sibuk kerja sangat, lupa nak fikir masa depan nak berumahtangga la.
II : Banyak duit kalau tak ada keluarga nak buat apa?


Percayalah.
Kalau boleh membunuh tanpa dapat dikesan dan ditangkap, mungkin lauk ayam goreng sudah bermandi darah manusia. Itu sahaja.

Nota Kaki :
Diam bukan tanda aku terima segala yang kau lungsurkan pada jiwa seorang hamba.

Zara : Letakkan semua benda yang menyebabkan kita sedih ke tepi dan ingat segala yang menggembirakan. Lupakan segala masalah dan hargai segala nikmat yang ada.

Saturday, October 22, 2011

Itu Hanya Dia, Bukan Kamu.


Setelah menunggu beberapa lama, akhirnya manusia itu muncul semula. Manusia yang pernah menghiasi impian dan angan-angan dalam mengejar apa yang dimahukan selama ini. Dalam diam, dalam tanpa pengetahuan manusia itu, dia sebenarnya sudah menjadi antara penyebab dia mahu memberikan tumpuan - menjejakkan kaki ke tanah asing tersebut. Demi cita-cita yang belum pernah padam, dia tetap mahu ke sana. Kalaupun tidak dapat meneruskan cita-cita, sebagai pelawat pastinya sudah boleh menjadikan dia tersenyum bahagia.

http://farm7.static.flickr.com/6050/6265932814_4c0fe83f06.jpg
Koleksi peribadi : Flickr

Manusia itu adalah rakan yang baik. Entah sejak bila, secara tiba-tiba manusia itu semakin lama semakin menjauh. Jarak bukan alasan disebabkan mereka sendiri tidak pernah bertemu dan persahabatan mereka dengan anehnya terjalin akibat tercetusnya suatu perkara dahulu. Sudah lebih setahun mengenali satu sama lain, manusia itu dan dia belum pernah menemui titik pertemuan. Dan persahabatan yang terjalin atas kawan disebabkan kawan itu sebenarnya memberikan kenangan yang cukup baik. Tetapi apa yang dialami oleh dia kini hanyalah satu perasaan kosong.

http://farm7.static.flickr.com/6038/6266319076_6aa4da4184.jpg
Koleksi peribadi : Flickr

Dan kisah mereka - manusia itu dan dia hanyalah sebahagian daripada kehidupan yang kadangkala tragis. Kadangkala kejam, kadangkala hanya perlukan satu sebab untuk terus menerus memberikan sesuatu kepada manusia lainnya. Dia mungkin hanya berdiam dan memerhati kerana dia tahu manusia itu sudah tidak lagi mempedulikan apa yang berlaku dan anehnya, perbualan sebaris mereka diakhiri dengan pertanyaan dia tidak memahami apa yang dibalas oleh manusia itu.


Senyum.
Dia senyum kerana dia tahu segalanya akan baik jika dia kekalkan senyuman.
Dia tahu dengan berdiam diri, dia akan jadi kawan yang lebih baik.
Dia tahu dengan menyepikan diri, dia sebenarnya memberikan makna diri.
Dan dia enggan kehilangan terlampau banyak lagi.
Sakit yang ditanggung sendirian sebenarnya tidak terperi.


Padang bola tetap padang bola. Tetapi mungkin ianya lebih indah bila ditambah dengan bunga yang mekar mewangi. Tiada siapa mampu mengubah kenyataan sebuah padang bola kerana keindahannya mampu bertambah. Walaupun kehadiran bunga hanya di luar pagar pemisah, padang bola tetap indah di mata dan jiwa. Kerana itulah padang bola ada kelebihan yang tiada siapa mahu endah. Wujud sendirian - tetapi tetap indah.

Dan kedengaran serta kelihatan sesuatu yang membuatkan dia mahu tegar menunggu manusia itu.
Sesuatu yang membuatkan dia tersenyum dan memanjatkan doa agar segalanya lebih baik dari sebelumnya.
Agar persahabatan itu berterusan demi sebuah senyuman yang pernah mati.
Agar persahabatan itu lebih baik dari apa yang dilalui akibat khianat manusia.
Agar manusia itu tidak pernah berubah.

Anata no koto wo kangaeteiru.

Dan itu sahaja.
Itu sahaja.
Mungkin.

Nota Kaki :
Kelemahan manusia adalah terlalu bergantung kepada manusia lain sehingga tanpa disedari mengakibatkan lebih banyak kesakitan dalam usaha memperbaiki sesuatu yang pincang. Anehnya, kita kurang menyedari kepedihan yang dialami bila melalui kepayahan begitu.

Zara : Kadangkala kita merenung sebuah hati yang kosong tanpa isi serta membuat kita tertanya-tanya, apakah ada peluang kita menyelinap masuk dan tinggal di dalamnya. Seperti juga kau duduk termenung di luar pintu sebuah rumah, tangan teragak-agak mahu menekan loceng atau mengetuk pintu rumah tersebut. Adakah ada ruang yang istimewa untuk kita?

Friday, October 21, 2011

Awak Belajar Tentang Dia Setiap Hari.


Selamat datang kasih sayang.
Selamat datang segala dugaan.
Selamat datang pahit manis kehidupan.
Selamat datang kebahagiaan perasaan.
Selamat datang kegembiraan.
Selamat pulang kedukaan.

http://farm7.static.flickr.com/6239/6262582299_9abd851404.jpg
[Koleksi peribadi] : Cawan atas meja kerja.

Awak.
Setiap hari adalah proses pembelajaran.
Pembelajaran yang menyeronokkan. 

Setiap apa yang dilalui ibarat kelas Sosiologi - belajar mengenai manusia dengan lebih mendalam dengan memahami tabiat, perbuatan, naluri dan sebagainya. Apa yang dihadapi setiap hari adalah perkara baru yang membawa kepada perkongsian yang menggembirakan setelah melalui kepayahan yang panjang.

Awak.
Dia kata awak tidak mendengar.
Tetapi pada awak, awak sudah mendengar.
Awak sudah berikan perhatian dalam setiap butir bicara.
Bahkan awak boleh mengulangi setiap perkataan yang dia hamburkan.
Tetapi pada dia, awak sekadar mendengar.
Apa yang dia mungkin harapkan lain. 

Dan di situ awak sedang belajar.
Dan dia juga perlu belajar.

Awak.
Dia kata awak tidak ambil kisah.
Padahal dia adalah manusia yang awak paling ambil kisah.
Manusia yang awak jaga dengan sepenuh hati.
Tetapi itulah, naluri awak dan dia tidak sama.
Awak dan dia perlu memahami persamaan dalam menilai perhubungan.
Dia mungkin perlu tengok awak sangat mengambil berat.
Awak mungkin perlu tunjukkan yang awak paling mengambil berat.
Aneh?

Dan di situ awak sedang belajar.
Dan dia juga perlu belajar.

Awak.
Dia kata dia tidak rasakan awak bersama dia.
Padahal awak sedang berdiri di hadapan dia.
Renung mata dan amati gerak geri dia.
Pelik dengan cara dia.
Mungkin bukan kehadiran fizikal yang dia mahukan.
Mungkin benda lain.
Mungkin perasaan itu yang perlu ada.

Dan di situ awak sedang belajar.
Dan dia juga perlu belajar.

http://farm7.static.flickr.com/6099/6265235667_4143273d0a.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr] : Ya, tangan aku.

Dan apa yang awak pelajari itulah sebenarnya bakal menguatkan awak dan dia dalam perhubungan. 
Awak akan menikmati satu rasa yang lebih baik (mungkin) setelah awak lebih kenal dia (dan dia kenal awak) dalam menyulam rasa.

Awak, ingat lagi kata kunci kita berdua?
Kata kunci hati kita berdua.
Awak ingat lagi?

Masa kita mula-mula kenal, awak cuma nampak permukaan jiwa saya.

Masa mula-mula kita kawan, awak cuma nampak luaran hati saya.
Tapi awak terima dan awak mula tamak.

Awak berdiri di luar hati saya.

Awak ketuk perlahan-lahan.
Awak datang setiap masa, setiap hari.
Awak tanya, bila agaknya awak dapat masuk ke pintunya.

Awak datang setiap hari sehingga saya kehilangan diri.

Awak marah saya - awak kata saya menyelinap masuk ke dalam hati awak tanpa perlu usaha.
Saya termangu - saya dalam hati awak, jiwa awak?
Awak merayu - berikan awak kunci, kata laluan atau apa sahaja agar awak bisa masuk ke dalam.

Saya berikan awak kata laluan.

Awak buka dengan perlahan.
Awak mula berikan sepenuh tumpuan dengan tinggal di situ.
Awak baca setiap helaian manuskrip dalam hati saya.
Lembaran demi lembaran awak baca.

Awak, bila tiba halaman yang sukar untuk difahami, mengapa awak berdiam diri?

Mengapa awak tidak mahu lebih mengerti?
Mengapa awak tidak mahu bertanya kepada saya, tuan punya diri?

Awak, hati yang awak masuki adalah hati saya.

Kamus yang awak perlukan adalah saya.
Awak, adakah awak masih mahu membaca lagi?
Atau mahu berpaling pergi?



Itu sahaja.
Tinggal dahulu.

Nota Kaki :
Kau tanya aku bagaimana menghirup udara yang kadangkala menyesakkan nafas dan menendang nyawa? Jawapannya mudah sahaja. Kau lebih tahu apa penapis untuk membiarkan kau terus bernyawa dan menikmati bahagia.

Zara : Benar barangkali cinta itu penawar. Kerana asakan cinta, manusia menjadi kuat, menjadi lebih tabah dalam menjalani kehidupan. Sesuatu yang indah, apa perlu lagi kita merosakkan dengan sikap yang tiada ertinya dalam kehidupan kita sendiri?

Thursday, October 20, 2011

Itu Mungkin Rindu, Kot?


http://farm7.static.flickr.com/6112/6259873587_d160fbf6f3.jpg
Koleksi peribadi : Meja belajar di bilik aku - 19 Oktober 2011

Saya rasa saya rindu awak.
Mungkinlah.
Kot?

Kadangkala bila rindu datang menjelma, saya akan mendengar muzik kegemaran ataupun melihat gambar kita bersama. Bukan untuk mengingatkan diri saya tentang awak, tetapi untuk membuatkan saya rasa saya bersama awak. Dengan begitu sebenarnya, saya boleh mengabaikan jarak yang jauh dan mengurangkan rasa sakit sendirian dalam menjalani kehidupan seharian.

Saya rasa saya rindu awak.
Mungkinlah.
Kot?

Nota Kaki :
Senyum sahaja membaca telahan orang.

Zara : Dan semakin lama, aku semakin mengerti perbezaan itu yang membawa kepada satu persamaan yang lebih unik. Bukankah hidup akau lebih bahagia bila perbezaan itu membawa kepada timbangan neraca yang sekata?

Wednesday, October 19, 2011

#WW12 : Hati Sudah Sembuh?


http://farm4.static.flickr.com/3417/3499466380_5f086d806c.jpg
[Sumber gambar]

Awak, hati yang pecah sudah pulih?
Awak, hati yang berdarah sudah kering?
Awak, hati yang dikhianati sudah bercantum semula?

Sayang.
Itu cuma perkataan.
Perkataan untuk sedapkan hati.
Hati yang pernah dibunuh berkali-kali.
 
Sayang.
Itu cuma ayat pendek.
Pendek macam rambut kena potong.
Potong memotong hingga habis nafas.
Nafas mendesah dan hilang terus pergi.
Pergi dari sini.
(tulisan dari sini)


Nota Kaki : 
Diam lebih baik.

Zara : Lebih mengetahui dengan jelas perbezaan manusia.

Tuesday, October 18, 2011

Ini Kerana Kita Berbeza


Senyuman.
Kasih sayang.
Kegembiraan.
Warna bahagia.
Ketawa.

Sedih.
Sepi.
Sakit.
Marah.
Benci.
Geram.
Dikhianati.


http://farm5.static.flickr.com/4064/4350449646_bcb4522001.jpg
[Sumber gambar]

Setiap salah satunya mungkin perasaan yang dilalui oleh manusia. Ya, setiap manusia pernah melalui rasa sedemikian dalam hidup. Satu atau dua sekurang-kurangnya.

Angkuhnya dunia.
Sialan.
Ludah.

Kita mungkin tamak.
Kita mahu setiap daripada mereka yang lain sependapat dengan kita.
Kita mahu segalanya jadi seperti yang kita impikan.
Segalanya diatur dengan kehendak kita tanpa mengira keperluan orang lain.
Kejamkah kita?
Pernahkah kita terfikir setiap daripada kita tidak sama?

Kita semua ada benda yang kita ambil kisah, ambil peduli dalam dunia ini. Kalau tak ada dua atau tiga, mesti ada satu, betul tidak? Ah, sebab itu kadangkala boleh terperanjat kalau ada orang kata dia tak kisah dengan semua benda dalam dunia ini kecuali diri dia sendiri. Dia lupa satu benda tu, tapi tak mengapa, manusia memang selalu lupa. Adatlah kata orang tua. Pelupa sebelum usia memang dah jadi lumrah dalam kehidupan sekarang. Siapa suruh makan banyak perasa tambahan yang ada MSG tu kan?

Ala.
Ala.
Alahai.

Si lelaki, mahukan wanitanya mendengar setiap apa yang dia mahukan. Mahu wanita itu menjadi yang begini, begini - disusun atur setiap ciri agar dia dapat memenuhi apa yang dikehendaki.

Si wanita pula, mengharapkan si lelaki akan sama macam cerita yang disogokkan dalam tivi. Kalau boleh, kalah putera raja dalam buku cerita yang ditelaah dari zaman kanak-kanak hingga remaja.
Dan pelbagai lagi sebenarnya.


Ketawa.
Kelakar sebenarnya apabila melihatkan diri yang pernah jatuh dan rapuh boleh bangun kembali atas dasar kasih sayang kepada diri. Kasihan melihatkan diri yang tidak akan dijaga oleh makhluk bernama manusia menyebabkan diri menarik dan memungut sisa kekuatan terakhir untuk membina sesuatu yang baru, lebih kental, lebih jitu daripada apa yang didendangkan oleh manusia lain seluruhnya.

Aneh.
Dia merasakan anehnya manusia lain yang tidak tahu tersenyum kepada manusia lain. Masam mencuka sepanjang masa tanpa ada segaris aktiviti otot di wajah, kecuali wajah dan bibir yang melengkung. Tidak kira dengan kedutan di wajah tentunya, berlapis-lapis bagaikan satu manifestasi manusia yang langsung tiada rasa. Dia yang kenal hidup haruslah ceria dan penuh warna duduk mengira satu demi satu garisan di muka manusia yang tidak kenal erti senyuman dan berwajah marah sentiasa.

Bukankah senyuman sesuatu yang berjangkit?
Bila kita senyum dengan orang, orang akan senyum balik dengan kita?
Dia pelik bila terjumpa ramai manusia yang kebal dengan virus senyuman.
Kadangkala rasa mahu menjerit ketakutan.
Eh?

Tapi itulah.
Setiap dari kita berbeza kan?

http://farm6.static.flickr.com/5171/5465391652_26b25fc4c5.jpg
[Sumber gambar]

Manusia itu selalunya ketawa dengan gembira dan ukir senyuman bahagia setiap kali lensa menghala ke arahnya. Tidak pernah masalah ataupun garisan wajahnya menunjukkan duka. Tidak ada. Kalaupun terakam dek kelajuan cahaya, mungkin wajah cemberut sahaja yang pernah kelihatan. Itupun disebabkan kedukaan sepintas lalu yang tidak berjaya disembunyikan. Sekejap, jangan khuatir, dia masih ingat dengan janji Tuhan.

Senyum.
Perbezaan itu yang menjadikan kita lebih manusia.
Ya.
Mungkin.

Nota Kaki : 
Main sedap hati ceduk artikel dari sini tanpa ada kredit di hujungnya adalah sangat menyakitkan hati. Awak, awak, awak, awak di luar sana, kehidupan kita tidak sama. Jadi, janganlah kata itu awak tulis bila mana perbualan dalam artikel itu masih ada nama saya.

Zara : Senyum tahan diri.

Monday, October 17, 2011

Tahniah Awak. Hati Dia Sudah Pecah.


Awak.
Itu yang mahukan?
Yang awak harapkan?
Awak pasti itu yang awak gelar impian?

http://farm4.static.flickr.com/3348/3502724393_845bdc09e7.jpg
[Sumber gambar]

Awak buatkan dia beranikan diri dan meluahkan rasa hati.
Awak buatkan dia beranikan diri dan telan malu demi memuaskan hati.
Awak buatkan dia menginjak kemahuan diri sendiri.
Awak buatkan dia terpempan dengan jawapan yang menikam diri.
Awak buatkan dia diam dan berlalu pergi.

Tahniah awak.
Adakah awak tahu betapa dia mengumpul kekuatan hanya untuk beritahu awak yang dia suka? Berapa waktu yang dia gunakan berlatih hanya untuk sedar bahawa dia akan kecewa? Hanya untuk diberitakan sebaris ayat, "kita kan kawan sahaja".

Tahniah awak.
Melukakan hati orang lain memang mudah.
Membuatkan kembali ia seperti sediakala tanpa rasa adalah susah.
Ya, susah awak - kalah pakar bedah.
Betapa hati itu sudah bengkak dan bernanah.
Cara merawatnya penuh dengan payah.

Tahniah awak.
Walaupun dia ketawa berdekah.
Walaupun air mata jatuh bersepah.
Walaupun dia ukir senyum payah.
Walaupun hati dia sedang patah.
Dia tetap sandarkan kepala dan enggan goyah.

Dia kata sakitnya dia sebab dia pilih untuk bersuara.
Dia kata sakitnya dia sebab dia enggan simpan perasaan buta.
Dia kata sakitnya dia sebab dia mahu teruskan hidup lebih ceria.
Dia kata sakitnya dia sebab dia hanya mahu mencuba.
Dia kata sakitnya dia.

Dan awak.
Awak rasa ini bahan lawak?
Awak rasa hidup ini satu bahan untuk diinjak?
Ia satu hak.

Dan walaupun awak tolak dia, saya rasa itu sudah cukup buat dia gembira.
Gembira kerana dia berjaya.
Meluahkan walaupun dia kecewa.
Sebab itu lebih baik dari terus simpan angan berbunga.

Nota Kaki :
Saya sudah penat menyeka air mata orang lain. Air mata saya sendiri pun tiada siapa seka suatu ketika dahulu. Deraian air mata pelbagai jantina ada perlbagai warna dan cerita, tetapi mereka tidak semestinya derita.

Zara : Belajar untuk duduk diam dan terima sesuatu dengan lebih mendalam. Buat yang mengerti, ini jalan hidup yang saya pilih demi kelangsungan diri. Oh, selamat sejahtera wahai pemilik rusuk kiri. Bagaimana hidup kini? :)

Sunday, October 16, 2011

Tubuh Badan Dan Keyakinan Diri


Itu benda yang selalu dialami oleh remaja bukan?
Tidak semestinya remaja, ia menular ke setiap lapisan masyarakat dan tidak mengira jantina. Mungkin di mulut kamu boleh menafikan fakta tersebut, tetapi secara jujurnya, benda begini masih menjadi kayu pengukur dalam masyarakat dan pelbagai bidang lain yang tentunya menjadi salah satu ciri-ciri yang diperlukan dalam hidup (bagi sesetengah perkara).

http://farm5.static.flickr.com/4008/4326729708_b580cf037b.jpg
[Sumber gambar]

Sabtu, disebabkan ada satu program berkaitan dengan kesihatan, aku menjalani pemeriksaan kesihatan secara suka rela. Ya, bagi sesiapa yang mengenali aku, membuat pemeriksaan gigi secara berkala dalam lima bulan atau enam bulan sekali sudah menjadi rutin. Kalau masa zaman universiti, setiap semester aku akan pergi disebabkan ia menjadi satu kepuasan diri. Menderma darah setiap tiga bulan sekali adalah salah satu rutin yang aku cuba amalkan dengan sasaran setahun mesti empat kali. Tahun lepas hanya beberapa kali dan setakat bulan September lepas, catatan dalam buku merah tersebut, baru tercatat angka 13. Perlu mengejar impian.

Dan semalam, aku berkesempatan untuk bertemu dengan pakar pemakanan. Ya, kali pertama aku jumpa pakar pemakanan bertauliah. Selama ini aku hanya mendengar tentang mereka, bagaimana cara mereka bekerja dan semalam, kebetulan aku rasa aku perlu berjumpa seseorang, maka aku luangkan sedikit masa sebelum acara bermula. Dalam pertemuan itu, pakar pemakanan itu sebenarnya terkejut aku sudah berbulan tidak menjamah nasi. Kalau ada sekalipun, pastinya tidak lebih dari 3 suap. Itupun, nasi putih sahaja tanpa lauk sampingan - beberapa bulan lepas. Ya, aku gila, aku tahu.

Dengan regim gila begitu, ditambah dengan aktiviti sukan serta kesibukan aku bekerja, aku hilang dua belas kilogram. Ya, satu nombor yang agak besar, tetapi hasil pemeriksaan semalam, aku masih dalam kategori gemuk. Masih dalam keadaan di mana berada di sempadan garis - "lebih berat badan". Perlu lebih banyak berusaha aku rasa. Secara jujurnya, mempunyai rangka yang besar seperti ini, termasuk tulang padu dan baka keturunan yang besar, aku takut. Takut dengan keadaan diri. Kesihatan diri.

Selepas pemeriksaan dan mendapat pelbagai nasihat daripada pakar pemakanan tersebut, aku duduk berbual dengan rakan sekerja. Dia bertanyakan apa tujuan aku buat segala rutin gila aku selama berbulan-bulan ini. Secara jujurnya, aku bukan mengejar badan langsing seperti mana-mana model, tetapi aku perlukan badan yang sihat dan bebas dari penyakit. Sejarah perubatan keluarga tidak cemerlang dan aku tidak mahu mengikut jejak langkah mereka dan mengorbankan usia muda aku dengan menelan deretan pelbagai ubatan. Untuk pengetahuan, walaupun tidak menjamah nasi, aku masih lagi mengamalkan pemakanan seimbang. Er, mungkin kurang bekalan karbohidrat sedikit. Hah.

http://farm4.static.flickr.com/3328/3633858301_225ca9fa11.jpg
[Sumber gambar]

Kenapa?
Apa kaitan tubuh badan dengan keyakinan diri?

Aku pernah melalui zaman kanak-kanak dan zaman remaja (sehingga sekarang pun sebenarnya) - orang di sekeliling aku memilih rupa paras, saiz tubuh badan dalam bersosial. Ya, dari dalam kelas, membawa kepada luar kelas sehinggalah membawa kepada alam pekerjaan, orang masih menilai luaran. Sakit? Ya, sangat sakit sebenarnya.

Pernah diejek sebagai hodoh, gemuk, rasaksa, "Giant",  bonsai dan sebagainya, aku melalui hidup yang meletakkan senyuman sebagai salah satu penawar paling ajaib dalam dunia. Senyum sahaja kepada mereka yang menjuihkan bibir disebabkan kehodohan aku. Senyum manis kepada mereka yang mengejek aku gemuk dengan cuba berfikir positif bahawa mereka mungkin kecewa mereka kurus. Senyum sahaja kepada mereka yang jerit aku rasaksa dengan membayangkan mereka sakit hati kerana Ultraman itu hanya wujud dalam televisyen. Ya, senyuman sebagai penawar terbaik aku dalam menjalani kehidupan dalam hidup ini. dan bonsai? Bukankah bonsai pokok yang mahal?

Zaman persekolahan (sehingga sekarang pun), kalau disukai oleh lelaki, adalah suatu perkara ajaib. Disukai oleh perempuan cantik juga satu benda ajaib. Kebanyakan rakan atau manusia disekeliling aku, yang masih kekal sehingga kini adalah manusia yang tidak pernah menilai itu semua. Tetapi sesetengah daripada yang lain, menilai dengan ciri-ciri cantik, tubuh badan yang menarik dalam menjalinkan persahabatan. Kawan-kawan yang boleh saling bertukar pakaian, kasut dan sebagainya. Aku, malangnya, bukan salah seorang daripada golongan tersebut. Mana ada yang mampu menyarung pakaian 3XL aku masa zaman belajar dahulu? Boleh pakai, tapi pastinya boleh letak 5 orang mereka di dalamnya, berbanding aku yang seorang diri dalam pakaian sedemikian.

Satu perkara yang aku suka pada diri aku secara jujurnya, adalah aku meletakkan itu semua di belakang dengan memberitahu diri sendiri - "Tak cantik pun tak mengapa. Tak kurus macam orang lain pun tidak mengapa. Yang penting otak mesti berguna. Yang penting mesti pandai. Cantik dan kurus itu mungkin tak bawa ke mana kalau otak tidak berguna"

Bagi sesetengah orang, itu perkara remeh.
Bagi sesetengah orang, itu perkara mengada.
Tetapi bagi sesetengah orang macam aku (mungkin), itu satu-satunya cara aku berdiri atas dunia. Tiada kecantikan fizikal macam sesetengah orang lain, tiada penampilan menarik, tetapi aku tahu aku ada sesuatu yang lain bagi membolehkan aku 'dilihat' oleh masyarakat. Susah, tetapi itu semua perlukan usaha. 

Aku pernah melihat budak sekolah yang enggan ke sekolah disebabkan pada usia yang boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak, dalam 10 hingga 11 tahun berbadan besar - hampir 100 kilogram, seorang budak perempuan. Betapa dia menjalani hidup penuh derita diejek oleh rakan-rakan dan dia ponteng sekolah hanya disebabkan perkara sedemikian. Pada aku, itu sesuatu yang merugikan. Dan aku bukan dalam kedudukan untuk menyalahkan sesiapa. Cuma, itu sesuatu yang menyedihkan. Masa depan terjejas hanya disebabkan pandangan masyarakat yang tidak cerdik dalam membuat perubahan.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah orang tidak kisah dengan perkara begini.
Apa salahnya badan besar kalau aku sihat?
Apa masalahnya dengan keadaan begini kalau aku gembira?

Bukan satu masalah pun sebenarnya. Seperti yang aku nyatakan, ia bagi sesetengah pihak sahaja. Tidak ditujukan kepada sesiapa dan perlu diingatkan bahawa aku menulis ini sebagai satu luahan berbentuk peribadi. 

Aku tengok langit.
Kehidupan apakah yang aku lalui sekarang?
Aku bukan sesiapa dalam dunia ini. Aku manusia yang hanya tahu buat benda yang aku pelajari sejak sekian lama. Sejak aku kenal lebih mendalam dan menjelajah lebih luas siapa aku. Yang aku temui, satu perkara yang jelas serta cukup nyata. Mata terkelip-kelip sekalipun, aku tetap jumpa sebaris kata, aku bukan sesiapa dalam dunia ini.


Tidak.
Aku tidak pernah langsung menyalahkan sesiapa dalam dunia ini. Sedar apa yang berlaku atas kelemahan diri, kebodohan dan entah apa lagi sifat mazmumah dalam tubuh sendiri membuatkan aku rasa lebih kuat untuk membasuh segala kecelakaan yang bersimpongan. Lemah bukan beerti aku kalah, kuat bukan bermaksud aku akan sentiasa menang. Itu aku selalu ingatkan pada diri sendiri. Ah, manusia kan mudah lupa.


http://farm4.static.flickr.com/3645/3505953881_2d68165dd7.jpg
[Sumber gambar]

Untuk mereka yang pernah wujud dalam hidup aku dengan melemparkan kata-kata menyakitkan seperti yang kamu semua tahu, aku cuma mampu mengucapkan terima kasih. Terima kasih kerana membuatkan aku menjadi manusia yang sanggup buat apa sahaja demi senyuman dan kepuasan diri sendiri. Terima kasih kerana menjadikan aku manusia yang berfikiran jauh dan mengambil berat akan kesihatan diri sendiri. Terima kasih kerana membuatkan aku tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi yang terbaik di atas dunia ini. Terima kasih atas segalanya.

Terima kasih kerana pernah menyakiti aku.

Senyum.
Aku selalu ingatkan diri. Tidak perlu mengejar mahu jadi yang terbaik dalam semua benda. Boleh jadi baik, tetapi kalau boleh, biarlah memberi tumpuan dalam satu perkara kerana itu akan menjadikan diri lebih istimewa dan bernilai. Bersungguh benar  mencari apa kelebihan dan kekurangan diri. Penilaian kendiri buat aku lebih tahu apa yang dia mahu dalam perjalanan menuju abadi.


Betul.
Semakin menginjak usia, semakin banyak benda yang dekat dengan masyarakat yang terpaksa dihadam dan ditelan walaupun pahit. Lebih-lebih lagi dengan kerjaya aku yang dekat dengan masyarakat, setiap hari bercampur gaul dengan masyarakat, mahu atau tidak, kena juga tahan dan ambil sahaja yang perlu dan berguna pada diri. Yang kurang berguna dan aku tandakan sebagai kurang penting, aku abaikan. Senang sahaja hidup aku.

Aku belajar.
Menghargai diri sendiri yang tidak pernah beerti kepada sesiapa.
Akur.

Mencari redha Allah lebih baik daripada redha manusia.
Dan ya, tulisan aku ini bukan tanda tidak bersyukur. Sudah tentu aku bersyukur dengan nikmat Allah, dengan ciptaanNya, dan tidak pernah terfikir untuk mengubahnya. Aku cuma buat sesuatu untuk kesihatan diri sendiri. Itu sahaja.

Noktah.

Nota Kaki :
1. Aku perlu mengurangkan lagi berat badan. 12 kilo itu tidak cukup lagi. Ha ha ha.
2. Ada sesiapa nak menaja aku PB? Eh.

Zara : Hidup kita kena gembira. Orang yang paling tidak gembira sekali dalam dunia ini adalah orang yang tidak menghargai apa yang dia ada, tetapi sibuk nak menghargai dan mendambakan apa orang lain ada. Jadi, sila hargai diri sendiri dan apa disekeliling kita. (Shafaza Zara, 2011)