Friday, July 29, 2011

#FF #04 : Projek Tadarus Al-Quran 2011 Kembali.


Salam semua.
Tinggal beberapa hari lagi Ramadhan 1432H akan menjelma. InsyaALLAH, 1 Ogos 2011 kita semua akan mula berpuasa. Seperti tahun lepas, tahun ini, Dunia Sebelah Zara akan meneruskan projek tadarus bersama rakan maya. 

http://farm6.static.flickr.com/5161/5358374166_5d20992de8.jpg
[Sumber gambar]

Diambil dari tulisan aku pada tahun lepas :

Ini adalah satu cadangan. Kalau ada sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi aku ataupun tinggalkan komentar kalian di sini bersama dengan cadangan penambah baikan ataupun lain-lain. Aku bercadang untuk mengumpulkan sesiapa yang berminat, tidak kira kamu adalah penulis blog, pembaca blog,  pengguna Twitter, ataupun sekadar terjumpa penulisan ini untuk sama-sama memeriahkan bulan Ramadhan dengan projek ini. 

Cadangan yang mahu diutarakan :

1. Mengumpul sesiapa yang berminat untuk menyertai projek kecil ini.
2. Membahagikan juzuk-juzuk Al-Quran untuk dibaca. Kalau ada yang mahu mengajak ahli keluarga ataupun sahabat handai untuk turut serta adalah digalakkan, jadi ada seseorang untuk menyemak bacaan anda.
3. Peringatan : Harus jujur dalam pembacaan. Ini elemen penting memandangkan kita semua jauh daripada antara satu sama lain.
4. Menetapkan satu tarikh agar semua orang sudah tamat dengan tugasan masing-masing.
5. Majlis khatam Al-Quran - Baiklah, aku bercadang untuk mengirimkan sedikit saguhati ataupun cenderamata kepada sesiapa yang sudi menyertainya. Kalau ada kesempatan untuk berbuka puasa beramai-ramai, aku akan berusaha untuk menjayakannya. [Yang ini tidak dapat dilaksanakan tahun lepas]

Baiklah.
Itu cadangan aku.
Bagi sesiapa yang berminat, boleh tinggalkan nama mereka di ruangan komentar di sini. Kalau ada sebarang penambah baikan kepada projek ini, boleh utarakan pendapat juga. Boleh juga diwar-warkan di blog masing-masing agar lebih ramai menyertai projek ini. Selain itu, maaf kalau ada yang tidak menyukai projek ini.

Terima kasih.
Salam sayang daripada aku.
1. Anda boleh kongsi (baca : Share) kalau anda minat.
2. Anda boleh 'tweet' kalau anda suka untuk mengajak yang lainnya.
3. Tiada tujuan mahu riak atau apa sahaja sifat yang tidak baik, ini cuma cadangan kalau ada sesiapa berminat.

**********
Jika berminat : Sila terus ke sini.

[29 Julai 2011]
Salam semua.
Alhamdulillah, menjelang Ramadhan pada tahun ini, projek tadarus khas penulis blog, pembaca akan dibuka semula. Dan tidak juga lupa kepada pengguna Twitter dan lain-lain yang berminat untuk menyertai kami. Penerangan mengenai projek ini boleh dibaca di pautan tahun lepas dan aku mungkin akan kemaskini di penulisan lain juga. Tetapi tiada masalah. Boleh sahaja kalau berminat. Caranya mudah.
1. Tinggalkan komentar anda beserta nama, tarikh dan kumpulan serta juzuk yang anda berminat di laman khas projek ini. (sila rujuk carta tahun lepas di sana)
2. Tinggalkan juga alamat surat elektronik (baca : email) ataupun pautan Mukabuku (baca : Facebook), ataupun Twitter anda.
3. Ahli keluarga, sahabat handai yang berminat juga boleh.
Contoh : 

Nama : Lord Zara
Tarikh : 29 Julai 2011
Kumpulan : 1
Juzuk : 1-3
Baiklah. Itu sahaja.
Kalau perlukan penerangan lebih, boleh sahaja hubungi aku di mana sahaja - FB, Twitter ataupun ruangan komentar di sini atau di laman projek tersebut. 

Nota Penting : Projek akan berlangsung sepanjang Ramadhan. Terbuka sampai sebelum 28 Ogos 2011. Secara rasmi akan bermula pada 1 Ogos 2011.

KUMPULAN A [2011]
1. [Juzuk 1-3] :
2. [Juzuk 4-6] :
3. [Juzuk 7-9]
4. [Juzuk 10-12]
5. [Juzuk 13-15] :
6. .....

Nota Kaki : Sila rujuk LAMAN KHAS untuk slot juzuk yang masih kosong ya? Terima kasih.

Zara : Itu sahaja buat hari ini. Terima kasih atas perhatian anda semua.

Thursday, July 28, 2011

#ST #04 : Perjalanan Sudah Terhenti


Dia mendiamkan diri.
Dalam suatu perancangan yang penuh teliti, dia sendiri hampir terduduk apabila apa yang dia mahukan terberhenti begitu sahaja. Enggan bangun pada mulanya tapi dia sendiri harus akur bahawa apa yang dimahukannya sudah sepatutnya dilepaskan. Aneh, dia enggan bising dan mengoceh tentang kepayahan yang ditanggung sakitnya.

[Sumber gambar]

Dia ada kegemaran aneh sejak kebelakangan ini.
Membaca dan membuat analisa satu demi satu frasa yang dia baca. Bukan, dia bukannya pengintip tegar sesiapa - tetapi ada sesuatu yang membuatkan dia jadi tidak tentu rasa. Tidak tentu hala. Mungkinkah dia seorang yang mengalami konflik dalam hidup? Paranoid? Trauma? Dia yakin tidak, tapi cuma itulah, dia merenung satu paparan yang mengalami perubahan sedikit demi sedikit setiap masa. Kadangkala perubahan itu membuatkan dia tersenyum, ada kalanya dia memasamkan muka.

Hampa.
Dia sewajarnya hampa dengan kegiatan diri yang terbaru itu. 
Kecewa. 
Perbuatan itu mengundang duka. 
Sikap aneh itu sebenarnya mencipta derita.
Nestapa.
Sengsara.

Manusia yang berfikiran seperti dia sudah rasakan waktu terhenti. Jam sudah berhenti berdetik untuk kisah bodoh yang dia enggan menoleh lagi. Ya, dia rasa dungu. Bebal. Tapi dia hanya merenung senyap dan sepi. Bukan dia enggan menyentuh apa-apa lagi, cuma dia merasakan kesakitan sudah cukup sesekali. Bukan datang seperti suapan makanan ruji. Perlu diambil setiap hari.

Sepi.
Sunyi.
Dua benda itu sudah lama dia tidak kenal lagi.
Bukan bermakna hidupnya sentiasa penuh warna, cuma dari sekelumit percikan yang dia ada, dia simpan dan enggan menoleh membusungkan bicara. Aneh-aneh sahaja, dia enggan lagi mahu ucapkan kata gembira berlandaskan sedikit suntikan manja. Sudah sampai tahap dia menolak segala senyuman dan kekal menjadi manusia beku yang tiada rasa.

Dan dia mahu terbang pergi.

Nota Kaki :
InsyaALLAH, kembali bekerja hari ini.

Zara : Sudah tujuh hari tanpa telefon genggam. Masih tegar mengikut arahan pihak berkuasa.

Wednesday, July 27, 2011

#WW #5 : Masih Sempat Kejar Waktu?


http://farm5.static.flickr.com/4035/4382271903_ddd5cb82bd.jpg
[Sumber gambar]

Masih punya waktu?
Masih punya kesempatan?
Masih punya ruang dan masa?

Zara : Projek tahun ini akan mula dibuka Jumaat ini. Tunggu ya? Rujukan projek tahun lepas boleh dilihat di sini.

Tuesday, July 26, 2011

Bila Kita Tidak Boleh Berpatah Balik


Dalam hidup kita, sedikit sebanyak ada benda yang kita enggan mahu menoleh semula. Jangan kata menoleh, mahu menjengah kembali hanya sekadar untuk mengambil pengajaran sekalipun, kita jadi enggan tak enggan sahaja. Kenapa? Mungkin ada sekelumit rasa kesal yang terpalit setiap kali kita melihatkan sesuatu itu.

Aneh.
Setiap dari kita pastinya pernah terfikir untuk memadam kesilapan lalu. Kesilapan, sama ada berpunca dari sendiri atau orang lain. Sengaja atau tidak sengaja, kita mahu segalanya hilang, musnah supaya kita tidak perlu menangisi sesuatu yang menyesakkan minda setiap kali mahu melelapkan mata. Tidak juga sewaktu diri sedang diulit mimpi indah, kita terjaga dengan penuh resah. Gelisah. Sumpah diri, rasa celaka.

Manusia itu kan berbeza.
Setiap dari perasaan kita juga tidak sama.
Satu tahap, kita mungkin pernah luahkan perasaan tanpa sedar, ikut gila.
Tidak kira perasaan marah, sedih, kecewa dan mungkin juga rasa cinta dan suka.
Tetapi, kita menyedari bahawa, benda sedemikian sepatutnya tidak boleh diluah begitu sahaja.
Adakah kita boleh berpatah balik dan padam segala?
Kebiasaannya tidak, tetapi tidak mustahil ya.

[Sumber Gambar]

Kita hantar pesanan ringkas pada seseorang.
Entah bagaimana, kurang dari 30 saat selepas itu kita rasa itu bukan yang terbaik.
Apa yang harus kita nyatakan?
Tersalah menghantar pesanan?
Padahal sudah ternyata ada nama dia dalam ayat kita.
Boleh dipadamkah kesalahan itu?

Kita mungkin berkicauan di burung biru Twitter.
Kelajuan garis masa yang acapkali kita mungkin tidak terkejar membuatkan kita terfikir, apa yang ditulis boleh dipadam jika kurang dari 4 saat kita terhantar dengan salah ejaan dan sebagainya. Tetapi jangan lupa, ada orang lebih laju dari kita. Pantas. Kita padam dengan laju, tetapi masih ada yang tangkas menyimpannya. Nah, itu kalau sekadar kesalahan ejaan. Tapi kalau sudah terluahkan perasaan?
Sila lap peluh itu.

Banyak benda yang kita boleh berpatah balik.
Tetapi adakah jika diberi peluang segalanya akan bertukar baik?
Adakah segalanya akan kembali seperti asal bagaikan tidak terusik?
Ataupun hanya dipandang sepi sebagaimana taik?
Itu tidak pelik.
Jelik.

Pepatah Melayu ada menyatakan - "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya" dan aku mahu menambah, terlajak terbabas tertekan minyak, habis remuk Adam Awraq kesayangan jiwa. Baiklah, itu cerita lain sebenarnya.

Dan, bukan benda baru apabila manusia sering mengeluh, "kalaulah, kalaulah, kalaulah" - segala macam kalau dengan diiringi ayat penuh penyesalan sebenarnya, cuma sesetengah orang enggan mahu mengaku kebenaran yang sudah terhidang di hadapan mata. Penyesalan enggan diterima tetapi mahu disanggah dengan sedaya upaya supaya segalanya dapat dimiliki semula. Kembali pada sediakala.

Tidak.
Kalau kembali pun mungkin tidak akan sama.
Pasangan bercerai, rujuk semula.
Pasangan bercinta, berpisah dan kembali bersama.
Kereta remuk, kembali pulih diguna.
Perasaan lain dan sebagainya tidak akan sama.
Bergantung kepada keadaan - sama ada akan jadi lebih buruk atau bahagia.

Dan seperti biasa, hidup kita, kita yang tentukan. Mungkin satu peringkat kita sedang menyimpan perasaan pada seseorang dan kita terluah kepadanya tanpa disedari. Adakah kita boleh berpatah balik dan menyatakan bahawa ayat yang terkeluar itu adalah di luar sedar? Kita hanya sekadar hanyut dengan perasaan yang tidak dapat dikawal?

Itu kalau cinta.
Kalau perkara lain seperti penceraian dan sebagainya?
Keputusan lain, yang berat serta mampu mengubah hidup manusia?

"Ah, jaga-jaga Cik Salmah" (bak kata Sharif Dol dalam Seniman Bujang Lapok)

Nota Kaki :
Kesibukan dan aku sedang kembali ke landasan semangat seperti yang dahulunya. Kembali menulis seawal pagi dan meninggalkan sedikit titipan buat mereka yang aku sayangi.

Zara : Aneh sahaja bila menyedari yang aku mungkin sudah terjebak ke dalam kancah sesuatu yang aku sedaya upaya mahu menghindari. Doa aku moga benda yang dirasakan hanya satu ilusi kerana jika ia benar, ia mungkin boleh buat senyum kembali. Jika tersalah, pastinya ada atma yang terluka lagi.

Monday, July 25, 2011

Itu Mungkin Permintaan Yang Kau Tidak Tahu


Satu peringkat, bila aku mula rapat dengan seseorang (dalam erti kata persahabatan), aku akan dapat merasakan sesuatu apabila sahabat itu dirundung malang. Kesedihan. Murung. Perasaan itu dapat dihidu dan jantung aku (entah perlu berterima kasih atau apa), akan berdetak hebat bagaikan sedang dipalu rebana yang tidak mahu diendah. Aneh.

Tidak.
Bukan aku tidak menyukai benda sedemikian. Itu menjadikan aku lebih manusia bukan?
Cuma, apabila aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan mendengar suara lirih sahaja, aku jadi mati akal. Mati rasa. Daya tumpuan aku berkurang dan aku kena memaksa diri aku bekerja. Aneh lagi?

[Sumber gambar | Tumblr aku]

Setiap daripada kita punya impian. 
Punya harapan.
Punya satu bentuk kekuatan.
Permintaan.

Aku mungkin sayang kau.
Mungkin juga aku suka kau.
Aneh, aku ada rasa pada kau.
Diam, aku tolak tepi tetapi aku tetap rasa aku minat kau.
Bodohnya, tapi aku masih punya perasaan pada kau.
Gundah, aku jengah kau.
Aku mungkin suka kau.

Aku sayang kau.
Ya, aku minat kau.
Tapi aku tak akan beritahu kau.
Sebab hati kau sedang galau.
Sedang kacau bilau.
Dan kawasan itu tak akan aku kacau.
Sebab aku tahu aku bukan di hati kau.

Tapi, aku tetap rasa aku suka kau.
Aneh, aku mungkin sasau.
Tak, aku cuma risau.
Jika benar, aku suka kau.

[Shafaza Zara, 25 Julai 2011 - 5 : 45 pagi]

Dan kadangkala, kita akan mematikan sesuatu sebelum sempat sesuatu itu bermula.
Kita enggan terjebak lebih jauh dan takut akan mengundang celaka.
Musibah memang bukan kita pinta tetapi kesakitan itu cela.
Sakitnya buatkan kita enggan buka mata.
Sengsara.

Nota Kaki :
Apa warna baju yang dipakai hari ini?

Zara : Sedikit sebanyak ketegangan otak sudah mula disalurkan apabila aku mula bekerja semula dan memberikan tumpuan lebih kepada penulisan. Aneh-aneh sahaja, aku sudah lari dari kebiasaan norma.

Sunday, July 24, 2011

#HS #03 : Awak Tahu Erti Harapan?


Suatu ketika dahulu, harapan pernah membukit.
Tinggi dengan niat mahu mencucuk langit.
Tapi sebelum segalanya bermula, datang sakit.
Akhirnya, impian itu hilang laju bagai pelesit.

http://farm5.static.flickr.com/4032/4401451339_b80fca2bff.jpg
[Sumber Gambar]

Kadangkala bila kita terlampau baik dengan orang, kita dituduh memberikan harapan pada orang lain. Membiarkan seseorang meletakkan harapan tanpa kita jangka dan akhirnya, apabila segalanya terbongkar, kita yang dipersalahkan kenapa menjadi terlampau baik dengan orang.

Dan ya, apabila Abah cakap mengenai sesuatu pagi tadi, aku hanya mampu gelak kuat sahaja. Abah, ketahuilah bahawa tiada sesiapa, diulangi, tiada sesiapa pun pernah menaruh harapan pada anakmu ini Abah. Puteri sulung yang sering dicemuh kawan-kawan sebagai makhluk yang tidak berperasaan ini memang tiada siapa yang sudi mahu ketuk pintu hati.

Dan aku lebih suka hidup begini.
Manusia beku yang dikatakan berjiwa mati.

Dan harapan adalah bahasa paling utama di dunia.

Nota Kaki :
Esok entah apa yang menanti. Aku tak mahu fikir apa-apa.

Zara : Sesuatu terjadi dikatakan ada hikmah disebaliknya. Jadi, apakah kejadian baru-baru ini mengundang hikmah yang bukan sedikit nikmatnya? Entahlah.

Friday, July 22, 2011

#FF #03 : Rumah Dirompak Di Pagi Jumaat


Terjaga dengan panggilan adik suruh aku buka pintu bilik yang berkunci, parang panjang di leher, rantai direntap dan aku diseret keluar, tangan diikat dengan dawai pagar hijau, nampak duit aku dan segala harta benda kami dirompak pada jam lebih kurang 3.30 pagi.

Dan itu, kita panggil pengalaman paling mengerikan selepas aku baru menulis tentang musibah pada aku dan Adam. Pengalaman ini buatkan aku jadi prejudis. Ya, hati aku yang selama ini memandang semua manusia adalah sama, tidak semua orang jahat tetapi segalanya berubah pagi ini. Empat orang Indonesia masuk ke dalam rumah, bersenjatakan parang panjang, pisau pemotong daging, pemotong dawai yang besar dan sebatang pemutar skru panjang - aku tak salahkan diri sendiri dan ahli keluarga yang tidak melawan. Nyawa kami lebih penting bukan?

http://farm3.static.flickr.com/2707/4365614366_9c596902c9.jpg
[Sumber gambar]

Nampak duit yang aku baru keluarkan diambil di depan mata.
Nampak segala harta benda kami diambil tanpa mereka menutup muka dan bercakap-cakap, meminta, mengugut pada kami dengan slanga yang paling dikenali. 

Puan Mulia sedang solat tahajud sewaktu kejadian berlaku dan dengan telekung masih di badan, sudah diperlakukan sedemikian rupa. Celakanya badan manusia bajingan sedemikian.

Dan sewaktu aku menahan sakit, melihat satu demi satu perlakuan mereka yang macam dirasuk syaitan mencari segala macam benda berharga, terdengar dari bilik aku, bunyi orang sedang buka penutup botol minuman berkarbonat yang aku baru beli. Ya, si celaka itu minum Pepsi aku dan makan gula-gula aku. Dan selepas itu tahinya dijumpai di luar rumah (memang ilmu mereka, semuanya begini)

Dan sebelum beredar, mereka tutup lampu dan ayat terakhir mereka, sebelum meninggalkan kami semua dan menyuruh diam adalah - "Call driver. Udah siap"

Komputer riba aku dibaling ke atas lantai lepas dikeluarkan dari bilik. Baiklah, walaupun terhempas, Sean masih boleh digunakan. Dengan kerugian yang agak beribu pastinya, dengan kehilangan wang, telefon, dan pelbagai barangan lain, aku cuma berharap semoga aku ada kuasa untuk hantar mereka semua ke neraka.

Buat yang bertanya kenapa aku tak melawan dan sebagainya, aku cuma mahu tanya sesuatu, kalau parang panjang berkilat sudah di tengkuk, apa lagi mahu dipertaruhkan?

Oh ya, aku perlu menulis mengenai ini disebabkan polis ada menyatakan bahawa mereka meminta semua pihak berjaga-jaga memandangkan bulan puasa dan raya semakin dekat. Pencuri ataupun maling bajingan ini semua mahukan duit lebih dan pantas untuk pulang beraya bersama keluarga di seberang sana. Jadi semua, awas ya?

Nota Kaki :
1. Bagaimana aku tidak mahu prejudis lagi selepas peristiwa ini? Selama ini aku boleh ajar diri aku semua manusia baik, tetapi selepas peristiwa pagi tadi, maaf, aku belum mampu.

2. Rumah aku dipasang dengan jeriji besi, sistem penggera, selak dua di setiap pintu dan sentiasa berkunci pun masih dimasuki bajingan itu semua.

Zara : Satu demi satu ujian dan alhamdulillah, keluarga aku selamat. Itu lebih penting.

Thursday, July 21, 2011

#ST #03 : Musibah Datang Tanpa Diminta


Siapa yang mahukan musibah dalam hidup?
Siapa yang mendoakan kecelakaan dalam hidup sendiri atau manusia kesayangan mereka?
Siapa yang mendambakan kemalangan dan kemusnahan pada harta kesayangan?
Siapa yang menginginkan ujian yang mendesak jiwa?

Tiada siapa aku rasa dalam dunia ini menginginkan perkara sedemikian terjadi. Dan semalam, 20 Julai 2011, aku menerima satu lagi musibah. Tidak, langsung tidak dirancang dan apakah aku gila mahu merancang perkara buruk terjadi pada aku? Sudah tentu tidak.

Demi mengelakkan dari terlanggar seekor kucing yang melintas mengejut, kereta aku, si Adam Awraq terbabas dan menghentam pokok. Kemusnahan jangan cakaplah, aku keluar dari kereta dengan keadaan menggigil - walaupun langsung tiada air mata yang mengalir. Adam langsung tidak boleh bergerak, tayar terus pecah dan entah apa-apa lagi. Aku lihat ada air menitis dari kawasan yang remuk teruk akibat rempuhan - mungkin air dari sistem penghawa dingin - ibarat Adam menangis kesakitan. Pilu. Sumpah pilu.

Dan, alhamdulillah, aku bersyukur disebabkan otak aku dapat berfikir dengan tenang bila berlaku kemalangan semalam, perkara pertama aku buat telefon Puan Mulia dan seterusnya Perodua, bagi menyelamatkan Adam. Ya, itu sedikit sebanyak rentetan yang dapat aku berikan. Yang lain, masih seperti biasa, aku kena elakkan dari menjadi kelam kabut - sesuatu yang aku mahu tabik diri sendiri semalam (secara peribadi) disebabkan aku dapat mengatur apa yang aku mahu lakukan. Terima kasih pada latihan yang aku terima sepanjang aku bekerja 2 tahun ini, sifat itu sudah mula dapat dikawal.

[Sumber gambar] - Berapa lama agaknya aku akan terpisah dengan Adam sepanjang tempoh pemulihan dia?

Dan ya, aku tidak letak gambar kecelakaan Adam Awraq di Mukabuku. Menghormati permintaan Puan Mulia yang enggan cerita ini tersebar ke mulut-mulut yang tidak sepatutnya. Ada benarnya juga, cuma semalam, aku berkicau di Twitter sahaja. Di Twitter aku lebih asyik memandangkan tidak semua orang mengenali aku seperti di Mukabuku. Sekurang-kurangnya, aku lebih kenal diri aku dan mereka yang berkicau di samping aku.

Dan sekarang, aku perlu bergerak pergi melunaskan segala perkara berkaitan urusan Adam Awraq. Abah marah-marah sahaja, jerit aku suruh ke sana ke mari. Ya, aku rasa dia mungkin risau, tapi dia sendiri tidak mengerti cara meluahkannya. Mungkin.

Nota Kaki :
Alhamdulillah. Masih bernyawa. Masih punya banyak peluang untuk perbaiki diri (dan Adam). Untuk yang mengirimkan doa, terima kasih tidak terhingga. Yang mendoakan aku makin celaka, terima kasih juga.

Zara : Masih punya manusia-manusia yang mengingatkan aku bahawa ini semua adalah tertulis dalam Sunnatullah. Ya, aku akur.

Wednesday, July 20, 2011

#WW #4 : Cinta Buat Manusia Ketagih?



http://farm5.static.flickr.com/4056/4343863556_e439514b93.jpg
[Sumber Gambar]

"Cinta wujud dalam keadaan cukup berputar belit, penuh muslihat. Kadangkala kita rasa kita dilamun cinta, sedangkan hakikat sebenar kita hanya kawan. Tetapi, kadangkala bila kita berpegang teguh dengan istilah kawan dan persahabatan, tanpa kita sedar, kita sudah jatuh cinta"
[Shafaza Zara, 2011]


Tuesday, July 19, 2011

Adakah Itu Cinta Atau Sekadar Suka-Suka?


Setiap manusia melalui satu fasa, satu detik dalam hidup mereka - rasa ingin mencintai dan dicintai.
Menyayangi dan disayangi.
Diperlukan dan memerlukan.


Dan manusia itu, kadangkala perlu mencari walaupun mungkin ia akan datang sendiri.
Hidup ini kan aneh barangkali. 


Masa kita mencari dengan penuh gigih, tiada apa yang terbentang ataupun terhidang dalam hidup. Bila kita berhenti mencari dan mula rasa mahu berputus asa, satu demi satu menjelma di hadapan mata dan kita mungkin keliru, yang mana satu perlu diraih dan ditolak walaupun dirayu tanpa jemu.


http://farm3.static.flickr.com/2793/4284552475_41a2f8443c.jpg
[Sumber gambar]
Dan, dalam perjalanan mencari bahagia - membuat keputusan dalam hidup, ada satu saat, kita akan tersentak dan tertanya-tanya. Apakah ini benar jalan menuju gembira? Apakah benar ini cinta atau sekadar suka-suka?

"Kalau cinta itu datang kerana Allah, sejauh mana dia pergi pun, dia tetap akan kembali. Kalau cinta itu sekadar suka-suka, nafsu, bila dia pergi, kita akan sedih sekejap sahaja dan akan pulih kembali dan tidak rasa apa-apa"
(Ayat Syed Yusof, Abah aku 2007)


Dan, untuk menjawab pertanyaan itu tadi, kita perlu tanya diri sendiri. 
Tanya kematangan diri dan jangan lupa, mohonlah pada Yang Maha Esa itu sendiri.

Nota Kaki :
Sibuk sepanjang minggu ini.

Zara : Juvana dah habis. Aku ganti Cikgu Zakiah tu nanti. Jangan lupa undi.

Sunday, July 17, 2011

#HS #02 : Kadangkala Kita Benci Mimpi


Setiap orang bermimpi.
Mempunyai impian yang kadangkala kita sendiri tidak dapat pastikan hinggalah kita terjaga dari tidur dan cuba menggapainya, ia hilang begitu sahaja. Ya, hidup ini memang aneh dan menyimpan pelbagai persoalan. Kita yang perlu merungkainya walaupun acapkali kita bertindak menjauhkan diri dengan alasan - sakit kecewa itu bukan sedikit atau ringan tanggungannya.

http://farm3.static.flickr.com/2002/2385441378_0b11259a78.jpg
[Sumber gambar - Salahkah bermimpi?]

Kita dihidangkan dengan sajian penuh nikmat daripada dapur yang dikatakan lazat.
Kita hidu bau aroma hidangan dengan penuh semangat.
Tapi, bila saat mahu mencuba, kita liat.
Kita takut hidup jadi palat.
Lihat?

Satu tahap dalam kehidupan kita, pastinya kita mengharapkan mimpi-mimpi yang datang dalam lena kita menjadi kenyataan. Sudah tentunya, mimpi itu mimpi yang baik, mimpi yang membuatkan kita terjaga dari tidur dengan senyuman penuh di wajah walaupun kurang lima minit selepas itu kita mula mengukir wajah duka. Benda yang kita harapkan menjadi realiti rupanya fantasi akibat hormon yang saling berperang tatkala kita kepenatan seharian dan terlena di ranjang sendirian.

A : Saya suka awak.
B : Betul ke?
A : Betul, saya sangat suka awak. Cinta awak itu lebih tepat.
B : Sebenarnya saya juga cinta awak - dan saya harap kita dapat berkongsi rasa ini.
A : Ternyata, saya juga mengimpikan benda yang sama.
B : Terima kasih kerana benarkan saya bahagia.

[Sumber gambar]

Dan, kita terjaga hanya untuk menyedari perbualan penuh bahagia itu hanya satu cebisan mimpi yang menyentak tidur dari terus berpanjangan. Penggera berbunyi mematikan lamunan dan muka diraup - meninggalkan ranjang sambil terkenangkan mimpi sewaktu mengosongkan usus besar yang bekerja sepanjang hari sebelumnya. 

Kita layak bermimpi. Setiap orang layak punya impian masing-masing. Setiap dari kita mengimpikan sesuatu yang baik dalam hidup. Apa yang kita perlukan untuk mengejar mimpi dan impian tersebut? Kita perlu memahami apakah sebenarnya impian tersebut dan bekerja keras untuk mendapatkannya. Ingat satu benda iaitu selagi kita percaya bahawa tiada benda yang mustahil, kita akan berjaya.


Salahkah kita untuk bermimpi?
Tidak.


Impian kita ibarat mimpi indah yang kita mahukan dalam menyempurnakan hidup kita. Impian itu bagaikan bintang yang walaupun kelihatan mustahil untuk kita sentuh dan pegang, tetapi jika kita mengikutinya dan kekal berada di landasan yang betul, tidak mustahil kita akan berjaya menggapainya.

Dan aku mungkin sedang bermimpi saat ini.
Satu pinta aku, jangan kejutkan aku dari mimpi ini - ia mungkin akan jadi pengakhiran paling menyakitkan hati.
Aneh, aku masih suka mimpi siang hari.
Ketawa geli hati.

Nota Kaki :
Makan durian dalam kuantiti tidak terkawal menyebabkan otak aku berkecamuk. Keluar mengayuh sebentar hari ini sebelum bekerja pada hujung minggu yang ceria.

Zara : Sesuatu yang sangat menarik mengenai mimpi adalah ia sebenarnya satu sempadan antara lena dan jaga, dan kita kadangkala tidak dapat mengasingkan antara realiti dan fantasi dan kita tidak tahu sama itu adalah sekadar mimpi atau sebaliknya hingga kita tersedar dan lihat mana sebenarnya kita berada.

Friday, July 15, 2011

#FF #02 : Hubungan Bermasalah - Kita Kekal Atau Lari Sahaja?


Tidak semua yang kita mahukan akan kita dapatkan.
Kadangkala kegembiraan yang tersaji di hadapan kita membuatkan kita seronok dan penuh dengan bahagia walaupun kita menyedari ianya sementara. Kita pegang prinsip, setiap orang perlu gembira, layak menikmati gembira dan mampu ketawa.

http://farm3.static.flickr.com/2127/2514234672_a13342b0a8.jpg
[Sumber gambar]

Dalam satu peringkat, kita akan menemui hubungan yang bermasalah. Bukan setakat cinta antara lelaki dan perempuan, malahan juga termasuk hubungan keluarga, rakan sekerja dan sebagainya. Kita melihat sesuatu yang sangat menakutkan dan di situ kita mula lihat ujian yang kecil boleh membawa kepada malapetaka yang tidak mampu dibayangkan dengan benak minda.

Saat itu kita akan terhantuk (mungkin) dan tertanya - apakah bila suatu hubungan itu berantakan, apa yang perlu kita lakukan? Kekal disamping mereka (dan mungkin juga atas kebaikan sendiri) ataupun lari sahaja dari masalah yang mungkin akan menjejaskan kita.

Pilihan di tangan kita.

Zara : Hidup ini, kita yang tentukan. Jangan pernah harap orang lain akan buat keputusan.

Thursday, July 14, 2011

#ST #02 : Adakah Kita Akan Terus Menunggu?


http://farm4.static.flickr.com/3589/3492377539_e7a497e801.jpg
[Sumber gambar]

Kadangkala kita habiskan masa dengan menunggu sesuatu atau seseorang. Menunggu dengan penuh harapan diselitkan dengan doa mengharapkan suatu keajaiban dari suatu perhubungan. Kita tetap setia menanti dengan keyakinan yang sangat tinggi bahawa segalanya akan ada hasil suatu hari nanti.

Kita pujuk diri dengan sedikit rasa percaya dan keyakinan yang mungkin menjadi sia-sia. Kita beritahu pada diri sendiri, Rossa (penyanyi Indonesia) itu juga menyanyikan lagu "Ku Menunggu" dan dalam videonya, penantian atau penungguan itu berhasil.

Dan, dalam menunggu itu, terlampau banyak yang kita korbankan.
1. Masa
2. Wang/harta/material.
3. Perasaan.

Menunggu sesuatu yang tidak pasti sudah jadi rutin kegemaran kita tanpa kita sedari. Dan, menyimpan rasa paling dalam sehingga diri tidak kenal itu sayang, cinta atau dendam, sejauh mana sebenarnya kita mampu menunggu dan berbahagi rasa?

Itu sahaja.

Zara : Petang ini perlu menghantar Adam ke klinik Perodua.

Tuesday, July 12, 2011

Dugaan : Majlis Hujung Minggu Ini Kawan


Dalam hidup ini, manusia sentiasa diduga.
Ya, dugaan serta cabaran yang pelbagai menjadikan kita lebih manusia setiap hari. Kadangkala dengan segala bentuk ujian itu juga, boleh menyerlahkan sisi kebinatangan yang disimpan sejak sekian lama. Dan manusia sebenarnya adalah makhluk yang sangat tidak boleh diduga - dari satu sisi dia akan ketawa, tapi dari satu sisi lain dia mungkin akan gila. 

Aneh?
Tidak juga.
Itu yang dinamakan manusia dan kita-kita semua masih lagi manusia yang acapkali menjadi sasaran para iblis dan syaitan menaburkan benih kemarahan dan pelbagai lagi anasir gila tatkala diberikan ujian. 

http://farm4.static.flickr.com/3664/3672419884_b763f01d5d.jpg
[Sumber gambar]

Tetapi, sebagai manusia, apa yang perlu kita lakukan?
Tatkala datang pelbagai musibah - satu demi satu, selain daripada kembali kepada Yang Maha Pencipta seperti biasa dan meminta yang baik-baik sahaja dalam menyelesaikan segala masalah, kita harus juga akaur kepada fitrah kita sebagai manusia dan janji Yang Maha Esa - kita yang perlu berusaha untuk mengubah nasib kita, bukan orang lain.

Dan, aku dikejutkan dengan panggilan seawal jam dua pagi - hanya untuk mendengar raungan dan tangisan seorang teman yang aku boleh sifatkan sebagai manusia baik yang diberikan ujian tatkala dia sudah tertimpa dengan ujian yang berat sebelum ini. Belum sembuh penderitaan, sudah disakiti hingga terpuruk sendirian.

N : Maaf ganggu kau tidur.
Aku : Kenapa menangis ni? Beritahu aku.
N : Hidup aku malang.
Aku : Kenapa cakap begini? Bakal pengantin mana boleh murung. 
N : Dah tiada lagi istilah bakal pengantin.
Aku : Kenapa?
N : L dah putuskan pertunangan kami.
Aku : Biar betul kau? Jangan main-main.
N : (menangis lebih kuat) Betul. Aku dah tak tahu macam mana ni.
Aku : Keluarga macam mana?
N : Ayah aku memang marah sangat tentunya. Sudahlah dia setuju nak teruskan majlis walaupun ibu aku meninggal bulan lepas, tiba-tiba jadi begini. Lagi berapa hari, macam mana nak tarik jemputan segala?
Aku : Dah duduk berbincang?
N : Dah. Keluarga dia siap dah datang rumah lagi.
Aku : Apa celakanya perangai ni?
N : Aku tak tahu. Bila tanya alasannya, dia kata dia tak nampak masa depan dengan aku.
Aku : Apa?!
N : Dia kata aku tak kuat masa ibu aku meninggal - aku menangis, pengsan sebab terkejut, dia kata dia tak sangka aku boleh jadi selemah itu.
Aku : Tapi ibu, keluarga adalah manusia paling dekat dengan kita dalam hidup. Kalau Puan Mulia sakit pu aku risau, sedih, susah hati - apatah lagi kau yang kehilangan ibu kau. Apa hak dia nak cakap kau lemah bagai sedemikian rupa?
N : (kembali menangis) Tak tahu. Dia kata dia tak nampak aku akan jadi seorang isteri dan ibu yang tabah, kalau kena ujian begitu pun tak tertanggung dah.
Aku : Apa celakanya ayat dia ni.
N : Apa nak buat ni Zara? Majlis Sabtu ni Zara.
Aku : Batalkan. Hantar pengumuman atau apa sahaja pada semua jemputan.
N : Kalau kawan-kawan bolehlah aku beritahu, tapi kad jemputan yang keluarga aku edar, macam mana?
Aku : Kalau susah sangat, tukar sahaja majlis tu jadi kenduri tahlil untuk ibu kau. Lagipun Sabtu ni Nisfu Sya'aban. Buat sahaja kenduri, beri orang makan.
N : Orang kan biasanya puasa hari tu.
Aku : Dari segalanya tak teratur, sekurang-kurangnya ada rancangan kalau masih ada lagi orang datang.
N : Pelamin semua hari Khamis baru orang ni nak cabut.
Aku : Dah, dah, jangan fikirkan dahulu buat masa ni. Kau kerja ke tak?
N : Macam mana nak kerja? Nak letak muka di mana?
Aku : Kau ambil masa kau sendiri, jangan putus asa. Jodoh itu rahsia Allah kan? Kau beritahu aku dulu.
N : Ya, rahsia. Dan siapa sangka, rahsia itu terbongkar sebelum mula segalanya.
Aku : Sekurang-kurangnya sebelum kau jadi isteri dia.
N : Aku tetap sedih.
Aku : Faham. Bukan sekejap kau kenal dia.
N : Aku masih tak faham kenapa dia buat aku begini.
Aku : Berhenti dari cari jawapan sebab kadangkala, lebih baik kita tidak tahu dari tahu hingga menyakitkan hati sendiri.
N : Terima kasih. Pergi tidur semula la.
Aku : Kau pun sama, pergi tidur.
N : Kalau boleh.
Aku : Boleh.

http://farm3.static.flickr.com/2497/3707359938_61103b570c.jpg
[Sumber gambar]

Kadangkala manusia boleh jadi terlampau kejam.
Sudahlah pembunuhan, segala jenayah berlaku di merata tempat dalam dunia, menyakitkan hati manusia masih termasuk dalam salah satu senarai yang panjang berjela. Segalanya sudah ditempah, segala bahan sudah tersedia dan beratur dalam rumah, tetapi bila perkara begini muncul dan goncang segalanya?

Ya.
Kita semua hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.
Itu pasti tetapi dalam hidup ini, ada benda lain yang kita kena lihat lebih luas dari sekadar pandangan mata.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Kesibukan sedang mencengkam diri. Apa sahaja berlaku, kita masih perlu kenal diri.

Zara : Walau betapa kejamnya dunia, kita masih ada hak untuk rasa gembira. Benar bukan?

Sunday, July 10, 2011

#HS #01 : Walaupun Pahit, Kita Telan Juga.


Dalam hidup, tidak semua yang kita mahukan akan menjadi milik kita. Selalunya, apa yang diidamkan adalah sesuatu yang sukar didapati dan memerlukan usaha yang berlipat kali ganda.

Bagi yang masih setia meneruskan perjuangan, tahniah diucapkan.
Buat yang mengalah sebelum memulakan langkah, terima kasih hanya kerana mampu bersuara gah.
Bagaimanapun, yang berjuang tapi kecundang, terima kasih kerana membanting tulang.
Itu yang mungkin diri kita mahu ucapkan buat kita, si pemilik tubuh.

http://farm5.static.flickr.com/4047/4633330151_7df7f2b990.jpg
[Sumber gambar]
Ya.
Dalam hidup ini, apa yang paling penting bukanlah berapa lama kita hidup, tetapi berapa bermaknakah hidup kita. Kalau hidup kita panjang tetapi tidak berguna, pastinya tidak ada sesuatu pun yang mahu dikenangkan. Ternyata, memilih kesenangan bukanlah sesuatu yang mudah - bahkan barangkali menempah rengsa yang tidak berkesudahan.

Kawan : Aku trauma untuk memulakan hidup baru.
Aku : Kenapa?
Kawan : Setiap kali aku mulakan hidup baru, cinta baru juga akan menyusul dan itu membuatkan aku akan teringat kembali, betapa kecewanya aku dengan cinta lama.
Aku : Jatuh cinta bolehkah dihindarkan?
Kawan : Jatuh cinta kan sama macam kemalangan? Boleh ambil langkah berjaga-jaga.
Aku : Tetapi, seringkali dalam berjaga-jaga, muncul juga sesuatu yang tidak diduga.
Kawan : Itukan sudah ditakdirkan.
Aku : Begitu juga dengan jodoh, jatuh cinta dan sebagainya.
Kawan : Aku tak mahu lagi jadi optimis.
Aku : Kau boleh jadi pesimis kalau mahu.
Kawan : Ah, celakanya hidup.
Aku : Kita selalunya akan salahkan sesuatu, atas semua yang berlaku.
Kawan : Aku benci dengan segala kesengsaraan, kepahitan hidup.
Aku : Walaupun pahit, kita telan juga kan?
Kawan : Ya ke?
Aku : Contohnya ubat. Ubat pahit, tetapi kita telan juga.
Kawan : Sebab ubat menolong kita cepat sembuh - usaha kita.
Aku : Sama dengan kita telan kesengsaraan. Ia tolong kita lupakan lama dan mulakan yang baru. Boleh?


Hidup kan ada sentiasa naik turun.
Macam pasaran saham.
Macam roda.
Macam harga minyak, harga ayam, harga sayuran dan sebagainya.
Dan juga mungkin berat badan.

Sentiasa ada perumpamaan. Sentiasa ada jalan untuk menyelesaikan segala masalah. Apa salahnya kita bukakan minda dan telan sedikit kepahitan agar apa yang kita rasa dihujungnya adalah kemanisan sebuah kehidupan?

Nota Kaki :
Kalau kau tak pernah belajar apa itu sejarah, jangan pernah duduk mengongoi, merengek tidak tentu hala.

Zara : Dalam kesibukan dunia, susahkah kau mahu berhenti sebentar dan bertanyakan khabar? Kesombongan kau ada bayarannya. Mungkin bukan hari ini, tetapi akan datang. Tiada siapa yang tahu.

Friday, July 08, 2011

#FF #01 : Harga Yang Kita Bayar


Dalam hidup ini, kadangkala kita membayar harga yang terlampau tinggi untuk sesuatu yang kita sendiri akan rugi. Bukankah hidup ini dikatakan sebagai satu tempat memperjudikan nasib yang kita sendiri tidak akan tahu untung atau ruginya?

http://farm6.static.flickr.com/5273/5861313764_4ceffb8be4.jpg
[Sumber gambar]

Kita sayang orang, orang mungkin tak sayang kita.
Kita hormat orang, mungkin orang tak hormat kita.
Macam-macam perangai kan?

Tapi itulah, kita tetap juga manusia. Mereka juga manusia.
Tetapi, apakah yang membezakan antara manusia itu dengan kita semua eh?

Mungkin sekarang kita tidak tahu jawapan yang sesuai. Ada lambakan persoalan, jawapan yang memenuhi pemikiran tetapi kita tidak dapat mencerna yang mana satu baik untuk kita. Tidak mengapa, ia masih sesuatu yang menggembirakan untuk tidak tahu jawapan sebenar kerana ia akan membuatkan kita sentiasa mencari - menggali jawapan kepada pelbagai persoalan.

Kadangkala, tidak tahu itu lebih baik bukan?
Dari tahu dan akhirnya menyakitkan.

Nota Kaki :
Esok ada perhimpunan #Bersih 2.0 - pastikan diri anda jangan terperangkap di jalan-jalan yang ditutup ya? Nanti jauh pula nak menapak.

Zara : Sudah terang lagi bersuluh bahawa selepas ini janji itu harus dikotakan. Celaka badan (dan perasaan) mengharapkan kawan itu seperti dahulu dengan janjinya. Dengan itu, segala janji yang pernah disimpulkan terlerai dengan tumpahnya darah. Tamat.

Thursday, July 07, 2011

#ST #01 : Kebendaan


[Sumber gambar]

Dalam kesibukan yang melanda, dia sempat pinjamkan telinga dan masa mendengar luahan hati seorang kenalan yang meracau sedangkan otak dia sendiri entah kacau bilau dan hidup sudah serupa palat. Tapi dia tahu, celaka bagaimana sekalipun, dia masih ada seseorang yang dia boleh kongsi segalanya. Ya, seorang sahabat-baik-pijak-kepala.

Jadi, bila kenalan itu menghubunginya dan mula bercerita, dia pinjamkan sahaja telinga padahal dia sendiri perlukan bahu untuk menghamparkan masalah diri. Tidak mengapa, dia kemam sendiri, sebab dia sedang meniti takah demi takah yang dia racik demi kelangsungan diri. Apa yang diperbualkan dengan kenalan itu dia dengar sambil angguk kepala. Sementara tangan saling bertingkah menekan hon kenderaan di atas jalan raya.

Kenalan : Kau sibuk?
Dia : Tak juga, kenapa?
Kenalan : Aku tertekan.
Dia : Aku pun lebih kurang. Kau kenapa?
Kenalan : Bekas kekasih aku muncul semula.
Dia : Sudahnya kenapa?
Kenalan : Menyampah aku.
Dia : Kenapa?
Kenalan : Nampak sangat cinta kami putus dulu sebab aku tak akan dapat sediakan segala benda mewah buat dia.
Dia : Kenapa cakap macam tu?
Kenalan : Aku dengar berita dia dapat macam-macam lagi barang dari kekasih dia tu.
Dia : Biarkanlah.
Kenalan : Tapi, aku tahu dia beri tubuh dia untuk benda itu semua.
Dia : Biarlah. Dia dah besar.
Kenalan : Aku tahu, tapi hubungan apa itu? Cinta ke?
Dia : Cinta pelik dan itu mungkin salah satu daripadanya.
Kenalan : Ini gila.
Dia : (ketawa) Jadi, apa masalah kau?
Kenalan : Sebab aku sayang dia, maka aku tak nak dia pergi terlampau jauh.
Dia : Kau bukan milik dia lagi, dia pun sebenarnya tak pernah jadi milik kau. Cinta kalian dulu tu pun entah betul atau tidak kan dari pihak dia?
Kenalan : Tapi, aku sayang dia. Aku lindungi kesalahan dia dari keluarga dia, aku cuba berikan yang terbaik pada dia, tapi dia tetap dengan manusia kaya yang hanya mahu memenuhi keinginan nafsu gila.
Dia : (ketawa) Itu hubungan simbiosis mereka, biarlah.
Kenalan : Kenapa dengan kau ini?
Dia : Kenapa?
Kenalan : Kau macam tak berapa memahami situasi.
Dia : Sangat faham sebenarnya, cuma kita tak mampu buat apa-apa. Itu sahaja.


Dia diam.
Sebenarnya dia mahu ketawa.
Ketawa kuat seperti biasa - lampiaskan sisa kromosom lelaki yang dimilikinya.
Cuma, itulah. 
Dia malas.

Nota Kaki :
Sibuk dengan kerjaya.

Zara : Walaupun bukan untuk aku, tapi aku tahu aku sentiasa doakan yang terbaik untuk teman yang pernah buat aku senyum, gembira, ketawa bersama dan menangis kerana dia.

#WW #2 : Bukan Untuk Aku



[Sumber gambar]

Selepas ini, janji harus ditunaikan. Aku akan keluar dari seluruh hidupnya dan keluarga sebelum hilang bau tanah tumpah darahnya. Dan itu, tidak ada kena mengena dengan soal hati atau perasaan. Dua bulan dari tarikh kaki mencecah tanah.


Monday, July 04, 2011

[Ulasan] : Cekik dan Kasino - Novel Fixi


Sebenarnya, selepas menulis mengenai Pecah, Dendam dan Kougar, sedikit sebanyak aku menerima pertanyaan tentang novel-novel keluaran Fixi yang sudah menjadi koleksi peribadi aku. Di Mukabuku, setelah aku memuatnaik gambar buku-buku yang aku beli, pastinya akan ada sahaja yang bertanya bagaimana mahu membeli. Di Twitter lagi gila sebenarnya. Aku dapat ramai pengikut (baca : follower) baru disebabkan oleh novel-novel Fixi. Ada yang siap sanggup berlumba dengan aku siapa yang habis baca dahulu ataupun yang dapat dahulu naskah novel Fixi.

Baiklah saudara Amir Muhammad, adakah aku sudah layak menjadi sebahagian tenaga kerja promosi Fixi? (tiba-tiba)

Memandangkan aku jauh dari Selangor ataupun Kuala Lumpur, aku harus akur membeli secara atas talian sahaja pilihan yang aku ada. 

Kasihan kan?

[Gambar diambil dari penulisan #WW #1 aku]

Baiklah.
Menelusuri dua novel ini, ada sesuatu yang sangat sinikal tentang apa yang melanda negara disampaikan dengan penuh tajam tanpa kita sedari. Pergolakan masyarakat, kedangkalan kita memahami hakikat sebenar dan cuba berlindung disebalik gambaran yang kita sendiri kurang pasti, akan membawa kita lebih kenal dengan diri serta pegangan kita sendiri. Betul. Kita masih manusia biasa yang mempunyai pemikiran tersendiri, tetapi kita jangan lupa, otak kita tidak akan bermakna jika kita tidak menggunakannya. Jangan jadi macam manusia degil, bodoh dan sombong - mereka percaya kepala mereka akan berubah bentuk jika terlampau banyak berfikir. Celaka kan?


http://fixi.com.my/wp-content/uploads/Cekik_400x256.jpg
[Sumber gambar]

Tahun 2020, di Bandar. Warith, pemuda berusia 16 tahun, menerima berita pembunuhan bapanya di Kampung melalui telefon. Imbas kembali Warith sewaktu kecil menonton video porno milik bapanya. 

Warith kini bersekedudukan dengan teman wanitanya Suria, yang berusia 32 tahun. Dari jendela apartment mereka, Menara Warisan Merdeka kelihatan agam.
 
Warith pulang ke Kampung dengan Suria. Di kawasan perkuburan, mereka didatangi Detektif Anthony, yang pernah mengenali Suria sewaktu sama-sama gila-gila remaja. Mereka kemudian ke tempat pembunuhan, di mana beberapa rahsia lain akan terbongkar.

CEKIK ialah hidangan pascamoden yang memeranjatkan. Ia mengajak kita merasai apa itu nafsu, apa itu kota, apa itu mi Maggi, McDonalds, khutbah, tudung dan juga liwat.

*******

Dalam CEKIK, kita dapat melihat sesuatu yang sinonim dan dekat dengan masyarakat. Tentang remaja, tentang kemahuan dan kehendak yang apabila tidak dapat dipenuhi, nafsu memberontak yang remaja lakukan ternyata boleh lari dari norma. Aneh-aneh sahaja kalau kita menolak dan mengatakan tidak, kerana ia pernah dilaporkan terjadi dalam masyarakat. Tidak, ia tidak perlu digemburkan memandangkan benda begini kalau disebutkan selalu akan dikata jalang.

Warith, seorang remaja yang tinggal bersama ayahnya yang digambarkan sebagai seorang yang kuat agama tetapi menonton cerita lucah. Ayah yang tidak pernah berikan dia kasih sayang sebenarnya, tetapi masih berikan dia makan setiap hari dengan hidangan yang sama - nasi putih, sambal ikan kembung dan kicap sikit. Dan tanpa dia sedari, ayahnya telah meliwatnya sewaktu dia cuba untuk tunjuk jagoan makan cili padi. 

Warith lari ke bandar, cuba lari dari bayangan ayahnya dan dia terjumpa dengan Suria yang menyimpannya di rumah. Wanita lanjut usia yang bekerja sebagai golongan profesional - lebih kepada hubungan kougar dan anak ikan sebenarnya dan Warith ternyata bahagia dengan pilihan dia. Mungkin, Suria adalah cinta dan kasih yang dia mahukan dalam hidup.

Tetapi, dengan satu panggilan telefon yang diterima tatkala sedang masak mi segera dengan dua biji telur sambil memikirkan sama ada mi itu sudah kembang atau belum, membawa kita tentang perkaitan antara Warith (dan berapa lama dia sendiri tidak mengetahui yang namanya salah), Suria, Detektif Anthony yang pernah menonton porno bersama Suria sewaktu zaman sekolah dan juga ayahnya, yang mati dicekik di surau berhampiran rumah mereka. Siapa pembunuhnya?

Dan dalam CEKIK juga aku mula jumpa beberapa perkataan baru yang ternyata, menambah lagi koleksi istilah untuk aku gunakan dalam menulis di dalam blog ini. Betul, kalau dulu aku suka menjalankan uji kaji dengan menulis perkataan yang aku suka walaupun kalian tidak faham makna, dan aku mahu kembali menulis dengan gaya sedemikian rupa.

CEKIK membuatkan loceng minda berdering. Ada sesuatu yang kita kena lihat pada anak muda, remaja kita. Kalau kita terlupa dan sengaja alpa, kita sama-sama menempah neraka.


http://fixi.com.my/wp-content/uploads/kasino-a_397x297.jpg
[Sumber gambar - Ini edisi yang aku punya disebabkan aku beli secara atas talian]

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/kasino-coverb1.jpg
[Sumber gambar - Ini khabarnya untuk yang dijual di kedai-kedai buku]

Mohd Narcissus Yussof ialah seorang usahawan Bumiputera yang pantang dicabar.  Dia berkebolehan, kacak serta selesa dengan gaya hidup yang mewah dan hedonis. Tetapi dirinya kini tersepit.

Apabila negeri di mana dia berniaga diambil alih oleh Pakatan Rakyat, sumber kewangannya tergugat.  Lebih parah, dia kini terhutang RM3.8 juta kepada kerajaan negeri.  Dia ada hanya 2 minggu untuk melangsaikannya atau padah, dihadapkan ke badan pencegah rasuah.

Mohd Narcissus harus beradu dengan masa untuk menyelamatkan reputasi. Antara ikhtiarnya ialah dengan mencuba nasib di gelanggang judi antarabangsa.  Nasib dunianya yang selama ini bergantung kepada tampuk kuasa politik semakin menghimpit.  Di medan KASINO sebegini, kemuliaan hanyalah dari kemenangan
.

*******

Disebabkan minat yang melampau, aku pernah hantar juga tulisan sepanjang tiga ratus patah perkataan demi mendapatkan naskah KASINO secara percuma. Malangnya, tiada rezeki aku disitu dan itu sebenarnya tidak menghalang aku untuk mendapatkan naskah ini secara atas talian.

Mengikuti baris demi baris karya Saifullizan Tahir ini sebenarnya membuatkan kau tersenyum dan tangan akan pantas mahu menggunakan enjin carian - Google contohnya. Kenapa? Sebab setiap kali dipaparkan watak Narcissus dan segala jenama yang dipakainya (termasuk dengan gundik dan segala watak lain dalam itu), harus diakui, jenama yang belum pernah didengari juga aku temui. Nasib baik ada terselit jenama ZARA. Ketawa.

Novel Saifullizan Tahir yang dengan terperanjatnya aku, bila dia mengikuti aku di Twitter (sebelum aku sempat mencari dia) dan bertanya sama ada aku sudah terima naskah KASINO atau belum - aku ketawa sendirian sambil mengangguk setuju, ya, hidup ini adalah satu perjudian. Cerita ini dalam sesetengah bahagian amat dekat di hati, memandangkan, Saifullizan Tahir menggambarkan Mohd Narcissus Yussof dibesarkan di Johor dan bersekolah agama di sana. Ya, aku sebahagian daripada hasil keluaran sekolah agama petang-petang juga.

Narcissus adalah satu potret usahawan, ahli perniagaan dan arkitek yang tidak pernah meninggalkan solat - sentiasa berusaha menunaikan ibadah fardu itu walau di mana sahaja dia berada, termasuk ketika dia sakit tetapi wain merah tetap menjadi minuman yang menyegarkan minda. Arak dan perempuan menjadi kegemaran Narcissus yang berusaha dan percaya dia bukan bodoh tetapi orang lain yang bodoh. 

Ada Dolly.
Ada Salmah.
Ada Mageedah.
Dan jangan lupa, ada Anwar Ibrahim dan juga Bik Mama.

Kita juga dibawa mengenali Narcissus yang menjadikan kasino sebagai gelanggang dia mendapatkan semula duit sebanyak RM 3.8 juta dalam masa empat belas hari. Kemewahan yang dia tidak mahu tinggalkan, dengan tangan sentiasa menekan Beri Hitam (baca : Blackberry). Dan politik juga seperti yang kita selalu dengar itu tentunya. Kita baca dan ketawa sebab apa yang ditulis sebenarnya cerita nyata yang ramai orang tidak mahu terima.

Dan, seperti juga dalam ulasan sebelum ini, kalau masih ada yang bising-bising dan kata novel-novel Fixi tidak sesuai untuk dibaca, aku cadangkan kalian baca sahaja dahulu. Ini memberikan pendapat dan salakan omongan kosong, ternyata tidak membantu. Sudahlah statistik membaca dikalangan rakyat Malaysia aku sering tertanya-tanya siapakah yang menjadi golongan yang ditanya. Kalau aku boleh membaca lima belas buah buku sebulan, mana satu rakyat Malaysia yang membaca hanya satu atau dua buah buku setahun itu? Memang menyakitkan hati betul.

Dan, itu sahaja buat kali ini.
Ada ciretan ringkas aku di Terfaktab sempena minggu perkahwinan.
Boleh baca kalau sudi.
Noktah.

Nota Kaki :
Entah bagaimana aku boleh terlibat dengan manusia-manusia yang tidak pernah kenal erti puas dalam hidup. Apa lagi yang mahu mereka jilat agaknya atas dunia ini. Hinggap dari satu pundak ke satu pundak lain, aku tertanya-tanya, apa lohongan hitam mereka sudah tepu dengan dosa?

Zara : Yang bertanya dengan aku apa maksud "lubang kunyit" dalam penulisan sebelum ini, aku ketawa sahaja sendiri. Gali maknanya kalau kamu tidak sedar bahawa ianya dicanang kuat dalam media sebelum ini - kalau kamu bacalah.

Sunday, July 03, 2011

Bila Kekasih Kau Punya Nama


Setiap manusia mempunyai tiga nama.
Nama yang diberi, nama yang dipanggil dan nama yang kau bina sendiri.

Ya, setiap satu daripadanya membawa kepada kesan berlainan dalam hidup dan tentunya, nama yang dibina sendiri (dibina atas dasar kebolehan atau sebagainya), membawa kepada tanggungjawab dan kerlipan yang berlainan bagi setiap orang. Nama yang diberi sejak lahir juga kadangkala menyumbang jika kau datang dari keluarga yang mempunyai nama gah. Sebagai contoh, siapa yang kenal Annahari berbanding dengan Al-Bukhary? Kan?

Dan bila kau yang mungkin tidak punya nama, ataupun terlalu rendah ke Bumi (baca : down to Earth) mempunyai pasangan yang dikenali ramai, sedikit sebanyak apa yang kau panggil sebagai ruang peribadi mula dicerobohi oleh manusia-manusia lain yang merasakan bahawa hidup mereka tidak secantik, semenarik, sebagus yang kau berdua lalui. Setiap detik perjalanan hidup kau yang selama ini hanya biasa-biasa, tiba-tiba menjadi bahan perhatian. Perubahan-perubahan pelik yang kau sendiri tidak boleh hadam mula berlaku seperti :

  • Kalau dulu Mukabuku hanya ada rakan zaman sekolah dan zaman universiti, tiba-tiba entah dari mana timbunan permintaan untuk menambah sebagai rakan mula muncul. Bila kau mengkaji-kaji siapa mereka, mereka membentak mengatakan kau sombong disebabkan memiliki idola mereka, kononnya. Kau mahu tekan ya, kau sangsi dengan mereka. Kau tekan tidak, mereka muncul lagi. Jalan penyelesaian, kau biarkan permintaan mereka tergantung.

  • Kalau dulu, kicauan kau merapik-rapik di Twitter, tiada siapa mahu ambil peduli. Perkataan limitasi pun tidak kau kenali. Sejak akhir-akhir ini, apa sahaja yang kau keluarkan, mula ada pemerhati. Bila ada yang tersilap, mulalah ada yang menghentam dan pastinya mengeji. Aneh-aneh manusia ini kau fikirkan. Lohongan hitam apa yang mula terbina ini?

[Sumber gambar : Sepasang kaki yang membawa kita mengenali siapa sebenarnya kita di atas dunia, pernahkah kita berhenti sekejap dan menghargai nikmat itu? (Shafaza Zara, 2011)]

  • Setiap gerak geri dan tulisan kau menjadi bahan perhatian. Kau mula rimas sebab kau menulis demi keselesaan diri dan kepuasaan melihat aksara yang saling bersambungan, penuh cerita hanya kau dan dia. Tetapi yang lain yang baru muncul menghentam kau menjaja cerita, padahal kau sudah memulakan sejak entah berapa lama. Cuma selama ini kau tidak dikenali sebab kau bukan sesiapa. Lainlah orang yang gilakan sinar kerlipan jadi manusia terkenal, bila pasangannya meletup, lamannya jadi kegemaran ramai dan dia mula menjual ceritanya kepada media. Kau ketawa sambil raup muka, bisik doa agar kau tidak tamak sepertinya. 

Bila kau diam membisu, orang kata kau sombong, bongkak dengan status yang kau sendiri tidak mengerti. Anehnya manusia yang gila itu, kau lebih nyaman mendengar salakan anjing di tepi jalan. Garang, air liur meleleh dan menakutkan tetapi tidaklah sehina ayat-ayat yang keluar dari mereka yang pastinya mempunyai taraf yang lebih tinggi, selayaknya.

Kau senyum.
Salakan demi salakan umpama senggama minda yang tidak perlu sebenarnya.
Lorong-lorong penuh warna yang kau tinggalkan lebih enak daripada tuduhan-tuduhan yang kau sendiri tidak tahu muncul dari mana. Kau mahu kembali kepada asal, menjalani kehidupan biasa yang tidak mahu tahu apa-apa tentang manusia yang tidak kenal erti penat menjatuhkan manusia lain sebagai contohnya. Tinggalkan sebentar ruang sepi dan mahu menikmati keselesaan lama. Kau cari kawan lama, cari balik keseronokkan lama (harapannya)

Kau : Ah, binatang belum hidup sekarang ini.
Dia : Binatang apa?
Kau : Macam monyet.
Dia : Ayam goreng kunyit?
Kau : Tak, kau main lagi lubang kunyit?
Dia : Ayam goreng kunyit sedap makan dengan kicap.

Kau mengeluh.
Disebalik kebaikan seseorang yang kau boleh berbual (dengan menaip sebenarnya), bila kau jumpa di luar dia mempunyai kekurangan pendengaran yang mungkin disebabkan pergi menyelam selama seminggu agaknya. Hela nafas panjang, kau capai balik kunci kereta sambil ketawa perlahan dan menyumpah. Dari perkataan monyet, tiba-tiba termasuk isu sensitif seperti lubang kunyit. Ini mesti sebab masa berbual ada iklan televisyen yang tunjuk perhimpunan pakai baju kuning itu haram. Kau terfikir sesuatu, kalau ada syarikat yang mahu dapatkan iklan percuma, saat itu mesti menarik punya - orang berhimpun ala-ala segerombolan peminat muzik. Tapi, itu kalau orang mahu ambil kesempatan-lah.

Duduk diam memandu, kau fikir lagi.
Apakah kekasih kau yang terkenal itu akan sertai benda begitu?
Dia sudah dapatkan baju kuning khabarnya dalam perjalanan terakhir dia sebelum menuju ke rumah.

http://farm3.static.flickr.com/2588/4000700096_36bcbff49c.jpg
[Sumber gambar : Baju kuning seperti ini yang kekasih kau beli. Aneh-aneh sahaja citarasa dia yang dikatakan terkenal tu, tapi ramai pula pemerhati yang memuji keindahannya. Kau pelik dengan deria manusia.]

Kau sendiri pun tidak tahu apa kebaikan punya kekasih terkenal seperti dia.
Adakah menjadi bahan kebencian manusia salah satu daripadanya?
Kau geleng kepala.
Aneh.

Nota Kaki :
Ini sebahagian daripada fragmen sebuah cerita mati - luahan hati seseorang kepada aku yang enggan mahu perbualan kami muncul disebabkan dia benci dengan istilah dikenali.

Zara : Mungkin ada benarnya tanggapan yang menyatakan aku lelaki. Kebelakangan ini, orang semua sangsi dengan jantina aku.

Friday, July 01, 2011

Tiga Lagi Tiba


Kesibukan menghimpit dan tersepit.
Tetapi itu bukan penghalang aku memuaskan nafsu pada helaian naskah buku.
Aneh, kegilaan itu ibarat candu.
Syabu.

http://a3.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/267696_10150679039345543_885375542_19325767_2123672_n.jpg
Lengkap sudah hasil tangkapan bulan enam.

Aku seorang ulat buku.
Buku adalah dadah penawar bagi kegiatan aku yang lain.
Beri aku buku, dan aku akan menjadi manusia pendiam.
Tapi kalau kamu bagi aku buku lima, kamu akan dapat balik lima kuasa dua, bukan lima kali dua.

Ah, tulisan aku makin pendek.
Harap-harap nafas aku tidaklah.
Ah.

Nota Kaki :
Larian 1Murid, 1Sukan, 1Malaysia.

Zara : Ada kerja yang aku sedang usahakan.