Salam semua.
Menulis ulasan buku atau novel dari Fixi sebenarnya atas dasar pengiklanan seperti yang dituduh oleh sesetengah pemberi komentar tanpa nama. Seperti yang pernah aku nyatakan sebelum ini, aku berkongsi benda yang aku suka daripada pandangan aku sendiri tanpa mengira apa yang orang lain mahu nyatakan sebenarnya. Dasar tidak peduli apa yang dikatakan oleh orang. Ha.
Apa pun, sebelum aku menulis lebih lanjut, aku suka untuk berkongsi bahawa kali ini, novel Jerat ini aku dapat sebagai hadiah. ya, hadiah menulis cerpen kurang daripada 300 perkataan anjuran Fixi. Mungkin akan menampal cerpen yang tidak seberapa itu nanti. Tunggu sahajalah. InsyaALLAH.
*******
Apakah kaitannya dua pembunuhan kejam dan satu kemalangan (atau
mungkin juga sebenarnya percubaan bunuh yang gagal) dengan sebuah tender
IT bernilai RM400 juta?
Kemalangan itu meragut ingatan Shereen. Apabila terjaga dari lena
yang panjang, semuanya hilang. Dia perlu bangun semula dan bina
kehidupan dan kenangan baru. Tetapi kini dia tidak pasti, siapa kawan,
siapa lawan. Siapa Tash? Siapa Melia? Siapa Adele? Siapa Rizwan Zakaria?
Siapa Datuk Hasnoor? Siapa Rahmat Hamidi? Dan siapa pula Pak Ya?
Di tengah-tengah kekalutan itu, dia juga perlu membongkar kegiatan
penyeludupan kod-kod program ke luar negara yang didagangkan di pasaran
gelap. Mampukah kepakaran IT Forensiknya membantu? Mungkinkah dia akan
melepasi JERAT, atau akhirnya kecundang?
*******
Itu adalah sedikit sinopsis seperti yang dipaparkan di laman sesawang
Buku Fixi. Kita ditinggalkan dengan pelbagai persoalan tentang sesuatu yang berkaitan dengan teknologi, pembunuhan dan juga senarai nama yang membawa kepada ayat ini -
"Mesti baca sampai habis untuk meneka apa yang berlaku". Ya, aku menggunakan ayat meneka disebabkan, membaca buku tanpa berfikir sungguhlah umpama membaca tulisan di dinding tandas. Otak tidak perlu bekerja, hanya perut dan usus sahaja berbicara. Kosong, tanpa senggama minda.
Jerat dimulakan dengan pembunuhan Tan Sri Zakaria dan diikuti oleh cubaan membunuh Shereen. Konflik pertama muncul apabila digambarkan kematian Tan Sri Zakaria (atau lebih dikenali sebagai Pak Ya) mempunyai perkaitan dengan cubaan membunuh Shereen. Hampir sebulan selepas kemalangan tersebut, Shereen tersedar dari koma dan hilang ingatan.
Dari situ, muncul pelbagai watak seperti Melia yang aneh-aneh sahaja, Rizwan yang digambarkan sebagai manusia yang tegas dan merupakan bekas kekasih Shereen, Tash yang berkongsi wad dengan Shereen, Adele yang sanggup meninggalkan Microsoft dan kembali ke syarikat lama, Datuk Hasnoor yang beberapa kali membuat panggilan kepada Shereen sebelum kemalangan, Rahmat Hamidi yang mempunyai isteri bernama Sharifah Salwa dan Pak Ya yang sudah menjadi arwah.
Perjalanan Jerat dipenuhi dengan persoalan demi persoalan yang cuba dirungkaikan oleh Shereen yang hilang ingatan dengan dibantu oleh orang di sekeliling dia. Setiap apa yang muncul, ditangani dengan pengetahuan seseorang yang masih mencari-cari sesuatu. Kebenaran pastinya yang dimahukan oleh manusia sedemikian dan demi menggali kebenaran (dengan diiringi oleh kehadiran jambangan bunga penuh dengan pesanan benci) - ada beberapa perkara yang terkorban dan pastinya, pengakhiran Jerat sesuatu yang boleh dikatakan agak tragis.
Jerat seperti juga
Kasino, sarat dengan istilah yang berkaitan dengan bidang teknologi maklumat. Kalau dalam Kasino, aku mungkin menggunakan enjin carian Google untuk mencari nama jenama satu persatu, dalam Jerat - istilah sains komputer yang banyak membuatkan cari pantas mencari maksud disebaliknya. Aku percaya, latar belakang Dayang Noor (penulis) dalam bidang tersebut, membuatkan istilah tersebut tidak asing bagi beliau.
Tetapi, berbanding dengan lima novel Fixi terdahulu yang ditulis oleh lelaki ke semuanya, Jerat ditulis oleh seorang wanita. Dan uniknya, dalam lima novel terdahulu, paling tidak ada satu adegan senggama manusia (dan juga senggama haiwan dalam
Cekik). Tetapi, dalam Jerat, tiada. Mungkinkah sebab ia ditulis oleh wanita? Eh.
*******
Kau pacat?
Atau ketuat?
Entah-entah ketupat.
Ataupun lepat.
Ah, mungkin juga palat.
Ketawa jahat.
Susah sebenarnya apabila ramai orang yang dahagakan perhatian ini. Macam-macam cara dia akan buat asalkan cahaya dan tumpuan mata serta segala deria tertumpu hanya pada dia.Tidak, manusia yang dahagakan perhatian tidak semestinya kanak-kanak. Kalau kanak-kanak, senang kita mahu hiburkan. Ini lebih kepada orang dewasa. Ya, orang dewasa yang terdapat kemungkinan kekurangan susu cap gantung semasa kecil.
Seperti yang Altamis tahu benar, kalau mahu menembak, memerlukan sasaran yang jelas. Peluru perlu cukup, kemahiran perlu tinggi dan rasa malu itu sudah ditolak ke tepi bagi mencari kepuasan mendapatkan tumpuan yang tidak berbelah bagi. Badan pun entah sempat basuh ke tidak, mana tahu berdaki tetapi itu tidak penting seperti mahu mencari sesuap nasi. Yang menjadi keutamaan adalah perhatian serta pakej caci maki akibat perbuatan sendiri. Mari kita lihat, sasaran orang yang terlampau perlukan perhatian di mana.
Kedengaran bunyi lagu Bunga Api (baca : Fireworks) oleh Katy Perry yang seksi. Altamis yang leka memasang satu demi satu kepingan di atas meja mendongakkan kepala. Menarik nafas panjang sambil mengingatkan kejayaan satu demi satu sebelum ini. Manusia lunatik mana yang tidak pernah kecundang di tangan dia, tanpa dia perlu menyentuhnya?
Bunyi degupan di Twitter membuatkan Altamis menjengah. Hidup kau, kau yang tentukan. Bukan menyalak macam bajingan. Dan ya, kalau kau tak kenal erti sarkastik dan sebagainya, jangan bikin hidup orang lain celaka dengan kebodohan kau memahami sesuatu perkara. Mengkritik setiap status dia di Twitter tanpa alasan atau sebab munasabah hanya menunjukkan kau manusia yang tiada apa-apa. Sekadar menjadikan hidup orang lain sebagai satu kepuasan kau untuk kau terus hidup dalam dunia?
Altamis senyum sinis. Mangsa muncul dan bakal masuk ke dalam perangkap masa. Masa untuk memburu semula. Bilah rotan tolak ke tepi, aksara disusun dan dia jerat jagoan.
*******
Baiklah.
Itu sahaja kali ini.
Selamat membaca #Jerat karya Dayang Noor.
Sesiapa yang belum beli, boleh mendapatkannya secara atas talian atau ke Uya Distro.
Nota Kaki :
1. Alhamdulillah, berita yang ditunggu, kurang daripada 24 jam sudah muncul dengan perkhabaran baik.
2. Menunggu #Ngeri oleh Gina. Juga dari Fixi.
3. Tidak bertuah untuk memenangi #Ngeri dalam pertandingan menulis cerpen itu. Tahniah kepada Luc Abdullah (Lucifer) yang menang.
Zara : Sedang berusaha mendapatkan sesuatu yang lebih baik tentunya dan apa yang aku nampak adalah satu benda. Perlu teruskan berusaha kerana masih banyak yang bersusun dipanggil cita-cita.