Tadi aku melaporkan diri untuk bertugas sempena cuti sekolah.
Sampai di sekolah pada jam 7.30 pagi dan menunggu pejabat buka.
Peringatan buat diri sendiri : Dengarlah kata Bonda yang telah menjadi guru selama 23 tahun, guru bertugas mula jam 8.00 pagi, bukan ikut waktu persekolahan. Degil sebab takut dengan lori - kena bawa kereta perlahan, jadi keluar rumah awal-awal pagi.
Kakak pejabat datang tersengih-sengih jam 7.50 pagi.
Melemparkan senyuman manis walaupun perut memulas akibat teh herba.
Menyumpah diri sendiri laju-laju.
Padan muka.
Kakak pejabat berikan tugas.
Buat dengan tekun dengan rakan lain.
Telinga mendengar kata-kata kakak pejabat.
Senarai tugas untuk tahun depan sudah keluar - dia sedang menyudahkan kerja menaip semula untuk buku mesyuarat minggu hadapan.
Menyelinap berjumpa kakak pejabat.
Terkejut.
Mahu ketawa walau hati terselit rasa gundah gulana.
Senyum.
Ini muka bakal Ketua Panitia Sivik dan Kewarganegaraan tahun 2010.
Ini muka guru penasihat Kelab Catur.
Ini muka guru penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah.
Ini muka guru penasihat rumah pasukan Merah.
Baiklah, anda semua boleh pengsan.
Ketua Panitia Sivik dan Kewarganegaraan.
Berhenti.
Macam mana dengan nasib mata pelajaran yang bakal diajar tahun depan?
Guru Penolong Kanan, cepat keluarkan jadual, aku sudah menggigil kepala lutut.
Guru Penasihat Bulan Sabit Merah.
Ini tidak mengapa.
Pernah menjadi sebahagian daripadanya ketika sekolah menengah.
Kalau susah, panggil sahaja pakar-pakar yang dikenali.
Guru Penasihat Kelab Catur.
Habis ketar tulang berterabur.
Entah berapa kurun tidak bermain permainan itu.
Tidak mengapa, ada jurulatih peribadi yang sudah habis sekolah.
Wajib paksa si kering itu mengajar aku semula.
Guru Penasihat Rumah Merah.
Harap-harap atlet sekolah berkumpul di dalamnya.
Eh, dulu di sekolah aku rumah Biru - Hidup Tun Razak!
Itu dulu, sekarang Merah, entah Temenggong, Laksamana atau apa lagi senarainya?
Aku lupa.
Itu senarai tugas awal.
Mungkin nama akan muncul sebagai guru kelas.
Mungkin nama akan terpacul di bahagian-bahagian lain juga, tidak mengapa.
Itu tugas, amanah, tanggungjawab.
Hasil keluaran kampus selatan tidak akan mengalah.
Mana mungkin berserah tanpa berjuang sampai mengalir peluh dan darah?
Ketawa.
Zara : Minta kebenaran keluar dari sekolah awal untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang bekas rakan sekolah. Hebat musim mengawan tahun ini, hari Isnin pun orang buat kendiri kahwin. Esok pihak lelaki juga jemput ke rumahnya. Alahai.