Showing posts with label Denaihati. Show all posts
Showing posts with label Denaihati. Show all posts

Sunday, August 29, 2010

HIDUP SEORANG BLOGGER | Selamat Ulang Tahun ke Dua Puluh Tiga Zara


Salam semua.
Hari ini 29 Ogos 2010.
Pada 12.55 tengah hari, 23 tahun yang lepas, anak gadis ini dilahirkan.
Dan hari ini,  anak ini mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurniaan nikmat Allah. Dia telah meminjamkan 23 tahun yang sempurna kepada aku. 23 tahun yang tiada cacat cela kepada anak ini yang masih mendambakan lebih dari apa yang dia ada.


Baiklah, sekarang sudah tahu rahsia di sebalik nombor 'suami' aku ini?
Ya, 2987 adalah mewakili 29.08.1987 (tarikh lahir aku)

Hidup seorang blogger.
Ini penulisan wajib kedua.
Dan kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran aku yang ke-23.
Senyum.

Dan semenjak aku menjadi seorang penulis blog ini, aku mempunyai banyak kenalan yang sering membuatkan aku ketawa dan senyum ceria. Sebagai contoh, hari ini, dinding Mukabuku aku sudah diconteng oleh mereka dengan titipan ucapan dan doa pelbagai gaya. Terima kasih atas niat ikhlas kalian semua dan jujurnya, entah sudah berapa ratus ucapan yang diterima.

SMS berpuluh masuk ke telefon, tidak dilupakan juga dengan panggilan telefon yang membahagiakan. Ada seorang sahaja yang menyanyikan secara langsung lagu untuk aku, seorang sahabat baik-pijak-kepala milik aku. Dan pagi ini, aku lihat dia ada menulis sesuatu buat aku di blog peribadi dia. Terima kasih sahabat. Dua tahun saling kenal mengenali walaupun hanya secara maya, sudah membuatkan aku bahagia. Eh, ini sambutan ulang tahun kelahiran aku yang ketiga semenjak aku mengenali kau! Serius!

Dan mungkin selepas ini, aku akan menulis, siapakah yang membuatkan aku cukup teruja dengan ucapan-ucapan mereka. Ada perkara yang harus dilunaskan. Selamat tinggal semua.

Zara : Hari ini, seperti selalunya, aku akan duduk seorang diri, menulis sesuatu buat diri. Tiada yang istimewa. Dan duduk, salam dengan Abah dan Bonda sambil mengucapkan terima kasih kerana menjaga aku selama ini adalah lebih bermakna.

Sunday, August 22, 2010

HIDUP SEORANG BLOGGER | Dunia Sebelah Zara | Antara Kerjaya Pendidik Dan Terapi Hidup Warna Warni


Salam semua.
Dalam hidup ini, kita menerima cabaran yang bukan sedikit. Ujian yang mendatang bagaikan hentaman peluru yang membuatkan diri menjadi semakin kenal apa erti manusia itu sendiri. Manusia dan kehidupan tidak dapat dipisahkan, dan itu yang membuatkan mengapa kita masih dapat bernafas di dalam dunia dan sedar apa yang kita lakukan untuk menikmati setiap inci Bumi yang berharga.

Aku seorang pendidik dan aku juga seorang penulis blog yang dikatakan tegar oleh kawan-kawan aku. Hakikatnya, blog adalah dunia aku yang kedua. Disebabkan itulah, kalian dapat menikmati Dunia Sebelah Zara.




Jujurnya kehidupan aku sedikit berubah apabila penulisan aku di sini boleh dibaca oleh manusia di mana sahaja. Internet itu sendiri dunia tanpa sempadan dan apabila alam maya sudah melangkaui realiti, kehidupan aku di dalam ini sudah bercampur dengan dunia sebenar itu sendiri. Selalu aku terjumpa, sama ada di luar ataupun sekadar di ruang sembang, orang bertanya tentang keunikan menulis blog, menjadi blogger dan hidup seorang blogger.

Kawan : Apa yang menariknya menulis blog?
Aku : Itu terapi aku sejak di universiti. Menulis di alam maya.
Kawan : Tetapi hidup kau diketahui oleh semua orang yang baca.
Aku : Tidak semua aku paparkan, ada lagi yang aku tapis.
Kawan : Ramai orang yang tahu, jadi macam mana kau boleh elak orang bercakap tentang kau?
Aku : Menjadi diri sendiri di dunia maya, membuatkan aku ramai kenalan jujurnya. Contohnya, masa aku menghadiri temuduga, ada seseorang yang menegur aku. Dia pembaca blog aku. Dan lagi, penemuduga aku, juga bertanyakan tentang integriti menulis di dalam blog. Itu satu pengetahuan yang kau tidak akan dapat dengan sekadar membaca.
Kawan : Tapi menulis blog bukanlah buat kau hidup senang.
Aku : Bahkan aku menulis bukan untuk mencari keuntungan. Sudah aku nyatakan ia sebagai terapi.
Kawan : Orang lain tulis blog buat duit.
Aku : Kau nak bercakap tentang duit? 'Suami' aku sekarang ini antara hasil aku hidup sebagai seorang blogger.
Kawan : Setakat nombor plat kenderaan.
Aku : Dan itu menunjukkan, hidup seorang blogger bukan hanya jumud dalam dunia dia sahaja.
Kawan : Kau dah lama tulis blog, tapi tak popular macam orang lain pun.
Aku : Aku menulis blog bukan untuk popular, itu kau kena ingat.
Kawan : Jadi, macam mana kau bahagikan masa kau nak menulis blog dan kerja?
Aku : Itu baru soalan yang baik.
Kawan : Apa dia?
Aku : Setiap hari pun aku menulis.


Hidup seorang blogger adalah sama macam hidup manusia lainnya.
Cuma yang membuatkan ia lebih istimewa adalah, apa yang dilalui, ada orang lain yang boleh dikongsikan bersama.
Aku lebih memahami erti hidup selepas aku menikmati dua-dua dunia.
Realiti dan maya.
Dan, adakah aku dapat melayarinya kalau aku tidak hidup sebagai seorang blogger?
Jawapan peribadi aku : Tidak.

Hidup kita, kita yang harus menentukannya.
Dan aku suka untuk hidup di dalam kedua-dua dunia.
Di luar aku mungkin sekadar seorang gadis yang menjalani hidup sebagai seorang guru.
Tetapi di dunia maya, aku hidup dengan lebih menjadi aku.

Nota Kaki :
Ini merupakan penulisan wajib 1 untuk pertandingan yang dianjurkan oleh Denaihati. Sekadar menulis untuk berkongsi pandangan aku sendiri di dalam apa yang aku fahami. Oh, ini juga telah ditaja oleh eQurban.

Zara : Semakin lama, semakin jelas dengan apa yang aku mahukan dalam hidup ini. Aku mungkin bukan calon yang terbaik untuk dijadikan suri di hati mana-mana lelaki, tetapi aku masih mahu hidup sebagai diri sendiri yang ceria tanpa mengundang rasa benci daripada mata dan hati yang iri.