Showing posts with label Belahan Jiwa Aishah Merdeka. Show all posts
Showing posts with label Belahan Jiwa Aishah Merdeka. Show all posts

Tuesday, August 31, 2010

31 Ogos 2010 - Selamat Hari Kemerdekaan Ke-53 : 1 Malaysia Menjana Transformasi | Perarakan


Salam semua.
Salam!

Salam sejahtera.
Salam sejahtera!

Salam 1 Malaysia.
Malaysia 1.

Baiklah, itu cara bagaimana kita harus menjawab apabila seseorang menghulurkan ucapan sedemikian di dalam majlis. Protokol sedemikian diajar di kem yang aku sertai serta menjadi jurulatih. Oh, bercakap mengenai jurulatih, dua minggu selepas raya, aku akan terlibat lagi menjadi jurulatih untuk sebuah program peringkat kebangsaan. Masih di dalam kawasan Parlimen aku. 

Tertarik dengan tema hari kemerdekaan tahun ini, aku mahu mengulas lebih lanjut tetapi disebabkan masa kurang mengizinkan, insyaALLAH aku akan menulis nanti. Mahu bersiap untuk menyertai perarakan (ke beratur sebenarnya?) sempena hari kemerdekaan di Dataran Ledang. Semua guru wajib ke sini hari ini. Kali pertama menyambutnya sebagai guru rasmi. Senyum.


Hari ini kena berarak memakai baju ini.
Baju batik sekolah sempena Hari Guru 2010.

Kena berada di dataran jam 7 pagi. Jumpa kalian semua nanti. Mungkin akan membuat laporan secara langsung menggunakan Twitter dan Mukabuku sahaja nanti. Jaga diri kamu semua. Apakah erti Merdeka bagi kamu semua?


[Aksara Keraian]

- BILA CINTA BERKIBAR DI HATI ( Anuar Kamaruddin )
- BELAHAN JIWA AISHAH MERDEKA ( Shafaza Zara Syed Yusof )
- PUISI LAUNGAN KERAMAT ANAK MERDEKA ( Nazrul Aziz )

Zara : Masih menerima ucapan sempena ulang tahun aku lagi. Eh, sudah dua hari lepas tahu? Senyum. Terima kasih atas ingatan yang tidak terhingga.


Monday, August 30, 2010

Ramadhan #20 : Apa Erti Merdeka Bagi Kita Semua? Kesinambungan Lagu Dan Tautan Buku Sejarah?


Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Sana sini orang melaung Merdeka sambil menjual bendera.
Hujung sana orang menjerit-jerit sambil kibarkan bendera.
Hujung sini, penjual memperdagangkan pelbagai lagi cenderamata sempena Merdeka.

Itu sahajakah erti merdeka?
Anak-anak muda keluar berjanji dengan pasangan mahu lihat bunga api bersama.
Mahu menonton persembahan penuh ceria.
Mengira bilangan cahaya limpah di lantai tarian berwarna.
Menogok minuman sambil laga-laga gelas dan kepala.

Adakah merdeka itu maksudnya terbang bebas seperti burung?


Dia ini meraikan hari konvokesyen. Maafkan beliau dengan aksi ini yang menjadikan semua junior mahu meniru. -_-" Dan ini dikira sebagai suatu peristiwa bersejarah. Maksud aku, istiadat konvokesyen, bukan aksi lompatan.

Adakah merdeka itu hanya bebas daripada penjajah sahaja?
Tentu sekali tidak.
Jumud kalau yang menyatakan bebas dan merdeka itu hanya bebas daripada penjajah.
Pasti ada silap di mana-mana sewaktu dia belajar Sejarah.

Dan, kenapa kita belajar Sejarah?
Adakah disebabkan kita disogokkan dengan lagu patriotik berunsurkan Kemerdekaan sepanjang masa?
Ah, aku sukakan lagu patriotik dan aku juga cintakan Sejarah.
Tetapi mengapa kita melalui segalanya?

Ini tanah kita dilahirkan.
Ini tanah kita dibesarkan.
Ini tanah kita mencari ilmu, memburu impian.
Ini tanah kita mencari rezeki, memperjuangkan kelangsungan sebuah kehidupan.
Dan ini juga mungkin tanah di mana kita akan disemadikan.

Dan Merdeka daripada anasir luar adalah salah satu yang perlu dijaga.
Bukan setakat fizikal, tetapi pemikiran juga.
Nah, aku tidak menuding jari ke arah sesiapa.
Dan aku juga tidak akan jumud menilai justifikasi manusia.
Semua ada akal, semua boleh fikir, tapi adakah akarnya sama?

Jadi, apakah merdeka bagi anda semua?
Adakah merdeka bila tiba 31 Ogos sahaja?
Adakah merdeka apabila nyanyian patriotik berkumandang tiada henti juga?
Ataupun merdeka disebabkan bercuti, maka tidak perlu ke sekolah ataupun kerja?

Dan aku tinggalkan tapak kaki di salah satu tempat percutian di Malaysia.
Menikmati saat bahagia bersama keluarga.

Zara : Terima kasih kerana sudi membaca nukilan cerpen aku wahai teman semua. Pautannya ada aku letakkan di bahagian kanan blog. Maaf kalau tidak sempurna ataupun sebaik mana.



Belahan Jiwa Aishah Merdeka | Karya Patriotisme : Cerpen Sempena Hari Kemerdekaan Ke-53


Salam semua.
Sempena hari Kemerdekaan ke-53, aku terlibat dengan satu projek menulis cerpen di Aksara Keraian. Jujurnya, itu kali pertama aku menulis cerpen dewasa ini. Terima kasih kepada Anuar Kamaruddin yang mempercayai aku untuk menulis bersama dengan beliau. Seorang anak muda dan Pengetua yang aku hormati.


[Aksara Keraian]

- BILA CINTA BERKIBAR DI HATI ( Anuar Kamaruddin )
- BELAHAN JIWA AISHAH MERDEKA ( Shafaza Zara Syed Yusof )
- PUISI LAUNGAN KERAMAT ANAK MERDEKA ( Nazrul Aziz )

Sila nikmati cerpen daripada aku dan juga dua penulis lain. Alhamdulillah, sudah boleh dilayari dan aku jujurnya bertuah kerana cerpen itu telah ditambah baik oleh seseorang yang tidak dikenali. Oleh Pengetua aku itu barangkali. Entahlah, tidak kira siapa, Alhamdulillah, Anuar dan Aishah Merdeka bersatu di hujung cerita.

*******

“Papa!”

Jeritan kuat di tepi membuatkan ketiga-tiga lelaki itu menoleh. Wartawan muda itu menghampiri mereka. Anuar memalingkan muka. Malu, takut-takut kalau soalan sebentar tadi diulang semula.

“Aishah, duduk sini. Papa mahu kenalkan dengan kawan papa”

“Oh, Haji Zul”

“Aishah kenal?”

“Tadi sudah temuramah dia”

“Oh, baguslah begitu. Kawan lama Papa. Zul, ini anak aku. Aishah Merdeka”

“Ni yang lahir masa hari Kebangsaan tu ya?”

“Ya pakcik”

“Dah besar rupanya”

“Pakcik, kenapa anak pakcik pegang tangan pakcik dari tadi?”


Haji Zul menerangkan segalanya. Anuar tunduk dan entah mengapa, dia menjeling sekilas ke arah muka Aishah Merdeka yang cukup manis itu. Wajah yang penuh dengan kepuasan setelah semua soalannya sudah terjawab. Gadis itu menghampiri dia.

“Anuar, kita serupa”

“Maksud awak?”
Gadis itu hanya tersenyum dan mengajaknya berdiri untuk sama-sama berikrar Rukun Negara.

*******

Lebih pembacaan boleh menggunakan pautan di atas ya?
Terima kasih kerana masih setia bersama aku yang biasa-biasa ini.
Dan ya, buat mereka yang bertanya apakah yang aku belikan untuk diri sendiri tahun ini selain kereta dan Al-Quran (Ya, nak tunggu hantaran kahwin memang tidak akan dapat. Ketawa.)


Baiklah, ini imej hari ini (30 Ogos 2010)
Kali pertama pakai tudung belang-belang begini. Rasa macam warna PLKN pula.
Maaf jika beliau tidak comel pada mata pembaca, sebab beliau tidak kisah. Ketawa.

Nota Kaki :
1. Sepanjang minggu ini aku bertugas. Sila berikan sokongan padu.
2. Baru dapat surat untuk menghadiri mesyuarat di PPD petang ini. Er, nasib baik hari ini aku pakai kasut yang senonoh. Kalau tidak, macam menjerat diri.
3. Silakan baca cerpen tadi dan kalau ada komentar, sila beritahu aku ya?

Zara : Hari ini bersemangat waja membawa 'suami' tercinta. Jangan tanya kenapa, mungkinkah kini telah berusia? Ketawa.