Thursday, July 01, 2010

Runut Irama Jiwa Kita - Episod Enam. Si Jalang TT Muncul Bila Hadif Hafuza Melamar Afrina Afnan


[Episod Tiga]
[Episod Empat]
[Episod Lima]



Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara.Tindakan akan diambil.

Dato’ Haidar Hail terpukul dengan cara Hadif Hafuza membalas ucapannya sebentar tadi. Ah, anak lelaki hanya seorang ini sudah berani memulangkan paku buah keras kepadanya dalam diam. Terasa juga, tetapi tidak diendahkan.

“Dah lama balik Hadif?”

“3 hari dah Papa”

“Cuti sampai bila?”

“Ahad nanti balik kolej semula”

“Mama ada cakap tadi yang semua nak pergi rumah kawan kamu. Maaf, Papa ada urusan, tak dapat bersama”

“It’s okay”

“Are you sure?”

“Yeah”

“Do take care and send my regards to your friend’s parent”

“InsyaAllah, I will”

Dato’ Haidar Hail meninggalkan bilik anak bujangnya. Hadif hanya mengekori dengan anak mata, sambil menggelengkan kepala. Pasti sekejap lagi telefon orang tua itu akan berbunyi dan akan bergegas keluar dengan alasan yang sudah dihafal sejak dari kecil. Ada urusan dengan kawan, ada kerja dengan pelanggan, ah, lebih enak melihatkan keluarga orang lain. Mereka kaya harta, kaya budi bahasa, kaya akhlak, kaya segala. Tapi keluarga dia sendiri? Ah, pincang dalam diam yang hanya dia sendiri dapat rasa. Berpaling mahu masuk ke bilik sebelum terdengar telefon Papa berbunyi.

“As been expected”

Badan direbahkan di katil. Telefon genggam dicapai dan belum sempat dia berbuat apa-apa, satu pesanan ringkas diterima. Ah, gadis pujaan, Afrina Afnan muncul tanpa disangka. Terus dibuka dan dibaca sebelum melonjak terus mahu ke dapur mencari Mama. Mama, ada pesanan dari menantu Mama yang comel dan ceria ini. Berlari ke dapur sambil tangan erat genggam telefon. Muka tersenyum lebar bila mengenangkan ayat yang baru diterima.

“Salam Hadif. Bonda pesan, kalau datang ke rumah, sila datang sebelum Zuhur. Bonda mahu ajak solat jemaah bersama. Titipkan salam buat Papa, Mama dan Kak Hana kamu.”

*******
Senyum.
Ukir wajah.
Letak warna.
Ceria.

Muram.
Bibir melengkung.
Wajah suram.
Duka.

Bicara.
Manis, ayuh jamah semua.
Pahit, telan seorang, cicip bersama.
Masin, tuang laju bagi tawar.
Masam, tahan sama, mungkin nanti tukar rasa.

Ketawa.
Biar besar-besar, kuat-kuat.
Tangis.
Biar perlahan-lahan, teresak-esak.
Senyum.
Biar lebar-lebar, pastikan ikhlas.
Mendung, pinggir ke tepi.
Harapan palsu sebab diri masih rindu matahari.
Pasti.

Zara Zuyyin ketawa sendiri melihatkan coretan yang ringkas buat Afrina Afnan. Kenalan di dalam masjid itu sering membuatkan dia rendah diri dengan kekurangan diri. Afrina Afnan, gadis yang datang dari keluarga berada tetapi tidak pernah memperkecilkan orang lain yang susah atau hidup sederhana. Semuanya dilayan sama rata, sama rasa. Zara Zuyyin bahagia punyai seorang teman sehebat Afrina Afnan. Dia tahu, kalau Afrina punya masalah dari gerak dan tingkah bicara gadis itu sudah terserlah semuanya. Ah, Afrina Afnan tidak boleh sembunyikan gelodak rasa yang terpancar di wajah.

“Zara Zuyyin”

Gadis itu menoleh dan sebiji bola tepat singgah ke muka yang sudah cukup terbakar dengan matahari terik sepanjang masa yang dihabiskan dengan aktiviti luar. Kesakitan yang tidak terperi dirasai, wajah diraup penuh amarah dan air liur penuh darah diludah ke lantai. Gelanggang hoki bakal menjadi saksi pembunuhan pantas di luar asrama.

*******

“Terima kasih Bonda”

“Amboi, belum apa-apa sudah panggil Bonda.”

Hadif Hafuza tersentak dengan teguran Mamanya di hujung meja makan. Datin Hadirah Hafiy tersenyum melihat keletah anak lelakinya. Hadif tersengih malu, merah padam wajah akibat terlanjur kata di hadapan semua. Muka Afrina Afnan dijeling sedikit, mencuri pandang melepaskan rindu yang terbuku di dalam hati.

“Hadif, kenapa makan sedikit sangat? Tambah lagi”

“Oh, dah cukup makcik. Alhamdulillah, dah kenyang”

“Eh, dah panggil makcik pula. Panggil Bonda pun tidak mengapa Hadif”

Semua yang berada di meja makan tersenyum melihatkan Hadif Hafuza yang semakin merah saga kulitnya. Bonda Afrina Afnan tergelak perlahan dan matanya mengerling Afrina yang tunduk mengulum senyum. Anak gadisnya itu bijak mahu menyembunyikan perasaan, tetapi sebagai bonda yang melahirkan dan menatang anak itu sedari kecil, dia tahu apa yang tersirat di hati remaja. Ah, dulu juga pernah melalui zaman sebegitu.

“Afiqah, suaminya ke mana?”

“Suami saya ke Melbourne, Datin. Ada urusan di sana. Dato’ pula?”

“Ada urusan perniagaan, bertemu rakan katanya. Ah, jangan panggil saya Datin. Panggil Hadirah sudah cukup.”

“Segan pula saya”

“Eh, apa yang mahu disegankan? Saya selalu merasakan diri tidak layak memakai gelaran itu. Kendatipun, saya dapat dari suami saya. Lebih mesara kalau awak panggil saya Hadirah”

Puan Afiqah Adni tersenyum dan mengangguk perlahan. Setuju benar dia dengan apa yang dituturkan oleh Datin Hadirah Hafiy. Berbudi bahasa wanita itu, tidak hairanlah Hana Hayfa dan Hadif Hafuza kelihatan terdidik dalam kelas yang sepertinya.

Altamis Awraq menggeleng kepala dan menyembunyikan senyuman nipis. Ah, Bonda sudah berkenankah dengan jejaka yang diundang ke rumah ini? Gerakan yang setentang di hadapannya membuatkan dia menoleh. Hadif Hafuza menolak kerusi sedikit ke belakang dan sedang memandang Puan Afiqah Adni, Bonda yang dikasihi oleh Altamis Awraq dan Afrina Afnan.

“Makcik, boleh saya minta sesuatu?”

“Ada apa Hadif?”

“Boleh saya minta Mama masuk meminang Afrina?”

“Hadif Hafuza Haidar Hail!”


Bunyi kerusi ditolak ke belakang kuat mematikan butir bicara Hadif. Matanya buntang memandang Afrina yang sudah berdiri tegak, memandangnya dengan wajah penuh keliru. Ekspresi muka yang penuh tanda tanya dan entah mengapa, Hadif Hafuza berasa bersalah.

“Afrina, duduk sayang.”

“Tapi Bonda...”

“Duduk dulu, dengar apa Hadif mahu cakap. Teruskan Hadif”

“Maaf Bonda, maaf semua”

Afrina Afnan duduk kembali dan tunduk memandang meja yang sudah dibersihkan oleh Mak Biah. Hadif Hafuza menghela nafas dalam-dalam. Sangat berterima kasih bila mendengar apa yang dituturkan oleh Puan Afiqah Adni. Tangan kiri dan kanannya digenggam erat oleh Bonda dan kakaknya, Hana Hayfa. Rasa keberaniaan meruap di dalam jiwanya, mengentalkan hati mahu menuturkan bicara.

“Makcik Afiqah, bukan sekarang. Saya tahu kami masih belajar di kolej. Saya minta izin, mahu Mama masuk meminang Afrina, bertunang dahulu selepas tamat kolej. Lebih kurang dua bulan sahaja lagi dan insyaALLAH, selepas itu bakal memulakan pengajian di universiti pula”

“Hadif, begini ya? Makcik tiada halangan jika caranya baik dan tujuannya juga baik. Malahan, makcik bersyukur kerana cara kalian bertemu dan menjaga adab pergaulan juga baik. Afrina, satu-satunya puteri dalam keluarga Afif Afnaf dan Afiqah Adni, selain putera kami, abang Altamis Awraq kamu ni.”

“Amboi Bonda, sudah digelar saya ini abang ya? Hadif, nak jadi adik ipar abang, mesti tahan dibuli ya?”


Pecah ketawa mematikan suasana serius yang ditimbulkan oleh Hadif Hafuza sebentar tadi. Puan Afiqah Adni menghela nafas, mahu menyambung perbualan sebelum deringan telefon Hadif Hafuza memecahkan suasana yang tadinya penuh ketawa. Hadif mengerling ke arah paparan telefon genggam miliknya, nama Tihani Tuhfah muncul. Apa lagi yang perempuan jalang ini mahukan? Telefon dimatikan dan hati Hadif menyumpah seranah sekuat hati, mahu melupakan apa yang tiba-tiba berkocak di pemikirannya.

“Maaf, Afrina mahu mencelah sedikit ya? Kamu semua sedang berbicara tentang saya, dan masa depan saya. Maka, bolehkah saya memberikan pendapat saya sendiri?”

“Silakan adik kesayangan abang”

“Tentang apa yang Hadif katakan pada Bonda tadi, Afrina setuju. Itu juga yang Afrina ada fikirkan kebelakangan ini, cuma, ada sesuatu yang perlu diketahui dahulu.”

“Apa dia Afrina?”

Hati Hadif Hafuza berdebar-debar memandang wajah Afrina. Apa yang mahu dituturkan oleh gadis idamannya ini? Adakah sesuatu yang buruk? Ah, gulau hati! Terasa tangannya semakin digenggam erat oleh Mama dan Kak Hana.

Nota Kaki :
1. Maaf atas kelewatan menyambung Runut Irama Jiwa Kita.
2. Nama Bonda Afrina Afnan - Afiqah Adni yang bermaksud sangat pemurah dan sangat berpengetahuan (Afiqah) dan salah satu nama syurga (Adni).
3. Keluarga Afrina Afnan terdiri daripada Afif Ahnaf (bapa), Afiqah Adni (Bonda) dan Altamis Awraq (abang)

Zara : Badan sedang terhidrasi. 3 liter air nampaknya masih belumcukup dan cuaca sehingga malam ini masih lagi bahang dan panas.

10 comments:

Anonymous said...

takde org komen pon, kesian...

joegrimjow said...

saya komen ni

joegrimjow said...

ritu pon skerat je baca
klu buat dapam pdf senang nak di dload lagi best
;)

Khairina 'Izzati said...

wah.hebat.bole pegi jauh.. :)

aLya maNip said...

da lame tGgu smbUngan nie..
neway..thanx k.zara:-)

Aidi-Safuan said...

ukir wajah? camne nak ukir wajah tuh? ajar plz!

Ms J said...

Zara dear.. bila nak sambung?

takky said...

lor...
sampai pisod 6 je???

Ain said...

cpat la sambung... d lme tgu nie...

Airin Y said...

hmm.please sambunggggggggggggggggggggg.