Friday, July 30, 2010

Pohon Adalah Syair Yang Ditulis Bumi. Kita Tebang, Jadikan Kertas Dan Tulis Kehampaan Kita.


Tulisan.
Karya picisan.
Adalah sesuatu yang membuatkan aku masih kekal dengan satu nama.
Legasi Cinta Alisia.

Pohon adalah syair yang ditulis bumi pada langit. Kita tebang pohon itu dan menjadikannya kertas, dan di atasnya kita tulis kehampaan kita.
(Kahlil Gibran)

*******

Mata dibuka perlahan. Dinding berwarna merah jambu dan tirai berwarna sedondon mengelilingi katil. Ini bukan biliknya. Kepala cuba digerakkan tetapi kesakitan yang tiba-tiba mencucuk di bahagian pinggang, membuatkan dia terhenti. Air mata mengalir laju, menahan kesakitan yang bukan kepalang membunuh. Detikan mesin di tepi dan wayar yang berselirat membuatkan dia tertanya-tanya apakah yang berlaku sebenarnya. Tirai ditarik dari luar dan matanya merenung ke arah celahan yang terbuka.

“Kau!”

“Rasa lebih baik?”

“Keluar!


Ketawa perlahan cuba disembunyikan oleh pelawat yang paling tidak diingini itu. Perutnya rasa memulas yang teramat sangat, seperti ada rasaksa yang sedang mengikis satu demi satu lapisan perutnya. Wajah yang mengetawakan dirinya itu direnung. Matanya terbuntang dan dia menyumpah perlahan. Badan yang sedang terkedang itu lebih mendatangkan kemarahan buat dirinya sendiri. Tidak berupaya menggerakkan badan dan akhirnya, dia tahu, pelawat itu harus sahaja dihadapi walaupun kebencian menebal di dalam dirinya.
   
“Kau buat apa di sini?”

“Saja, melawat kau”
   
“Tak payah!”
   
“Takkan tak suka tengok aku kot?”
   
“Jangan nak bawa malang pada aku la!”
   
“Tak perlu kot, sebab kau memang dah malang.”
   
“Sial!”

   
Pasu bunga yang terletak cantik di tepi meja dicapai dan dibaling ke arah manusia yang melawatnya itu. Jatuh berderai dan pelawat itu hanya ketawa. Apalah sangat itu semua jika hendak dibandingkan melihat wajah pesakit yang berang menggila?
   
“Keluar!”
*******

Inspirasi akan selalu bernyanyi; kerana inspirasi tidak pernah menjelaskan. 
(Kahlil Gibran)


*******
   
“Tariq Lutfi”
   
“Alisia Rayyan”


Suasana senyap menyelubungi.