Salam semua.
Hari ini hari Selasa. Hari yang aku sangka akan lebih baik dari hari semalam rupanya tidak menjanjikan seperti yang aku harapkan. Adakah aku meletakkan harapan terlampau tinggi disebabkan semalam sudah diuji sehingga ke tahap kemarahan meledak umpama bom atom kuasa nano?
Kemahiran Hidup.
Di kelas ini, yang kali terakhir aku masuk adalah Jumaat dua minggu lepas disebabkan aku menghadiri kem dan kursus pada hari Selasa dan Jumaat pula hari terbuka sekolah, sesi bertemu ibu bapa dan penjaga. Jadi, sudah lebih seminggu tugasan yang aku berikan pada mereka. Ada beberapa orang yang tidak siap dengan alasan terlupa. Oh, terlupa ya? Makan boleh ingat pula.
Kimia
Laporan eksperimen yang dua minggu lepas, masih tidak dihantar. Kalau buat pun, masih tidak lengkap dengan berlubang sana sini. Baiklah, disebabkan sudah besar semuanya, aku memberikan amaran keras agar kerja itu dihantar esok. Oh, aku tidak akan biarkan kertas itu bersih begitu sahaja. Aku tinggalkan sedikit kesan berupa cop dan juga tulisan amaran agar mereka tidak terlupa lagi. Tunggu esok sahaja apa yang terjadi.
Sains.
Baiklah, hanya seorang sahaja yang terlupa membawa buku. Dimaafkan, tetapi budak yang suka ponteng sekolah itu muncul hari ini. Oh, hobi dia memang tidak datang sekolah dan tugasan yang aku berikan, boleh dikira dengan tangan apa yang disiapkan. Aduhai, tabah Zara. Tabah.
Satu persatu buku nota aku teliti selepas mengajar teori baru di dalam kelas. Oh cara aku memang sebegitu. Memberikan penerangan satu persatu dengan terperinci dan nota boleh dibuat selepas itu, sama ada aku beri atau disalin dari bahagian yang aku mahukan. Disebabkan otak aku sedang fokus secara berganda, aku meneliti setiap baris nota yang dihantar.
Aku : Awak, saya ajar awak apa semalam?
Murid : Perubahan haba.
Aku : Betul. Apa prosesnya?
Murid : Endotermik dan juga eksotermik.
Aku : Bagus. Apa contoh untuk eksotermik?
Murid : Pembakaran, peneutralan dan sebagainya.
Aku : Kalau endotermik?
Murid : Pendidihan.
Aku : Cuba awak tengok apa yang awak tulis ini.
Murid : Eh, maaf cikgu. Maaf, nak cepat.
Aku : Salin pada siapa ni?
Murid : Pada kawan.
Pada buku dia ada perkataan boling untuk "boiling" dan juga pendidikan untuk "pendidihan". Oh, aku tidak tahu mahu ketawa atau baling buku itu keluar. Itu tidak termasuk dengan pelbagai kesalahan ejaan yang lain. Habis aku bulat dan betulkan semua perkataan yang salah. Eh, aku cikgu Bahasa Melayu atau Inggeris ke? Senyum.
Untuk mengelakkan hati menggelegak, mari menghayati gambar makanan yang ditemui di Rantau Panjang, Kelantan. Kelihatan sangat menarik warnanya. Oh, dan juga sedap.
Ini sewaktu sedang dibakar.
Gila betul cara aku menenangkan diri kan? Ya, dengan melihat gambar-gambar hasil kegemaran sendiri menggunakan kamera yang biasa-biasa sahaja. Oh, sambil makan biskut weetameal. Baik dan berkhasiat bukan? Ketawa.
Esok, aku cuma harapkan semuanya kembali normal dan terkawal. Aku jarang marah sebenarnya sewaktu di hadapan murid-murid, tetapi entah kenapa sudah dua hari mereka terlalu menguji aku. Tetapi tidak mengapa. Satu cabaran untuk aku belajar untuk lebih bersabar dan kuat dengan ujian yang agak mudah.
Nota Kaki :
1. Untuk pemenang peraduan, sila hubungi aku di Mukabuku atau di surat elektronik aku. Lebih mudah berurusan secara peribadi.
2. Esok perlu memakai pakaian seragam. Oh, bahagia.
3. Sedang menjalankan satu ujikaji yang aku sungguh minati untuk dipersembahkan kepada murid esok.
4. Pagi tadi berbual dengan Sepet sebentar. Hanya mahu tahu sahabat itu baik sahaja atau tidak, memandangkan dia kini sebilik dengan orang-orang yang dia tidak kenali.
Zara : Bercadang untuk pakai kasut tinggi 3 inci yang runcing dan tajam. Kalau budak nakal dan degil, pijak di hidung serta biarkan ia tersangkut di situ seperti ditindik. Ketawa keji. Gurauan nakal sahaja teman-teman. Jaga diri semua.
Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian.[Halaman Peminat][Kumpulan Pembaca][Bab 01] [Bab 02][Bab 03][Bab 04][Bab 05][Bab 06][Bab 07][Bab 08] [Bab 09][Bab 10][Bab 11][Bab 12][Bab 13][Bab 14][Bab 15] [Bab 16][Bab 17][Bab 18][Bab 19][Bab 20][Bab 21] [Bab 22] [Bab 23] [Bab 24][Bab 25][Bab 26][Bab 27][Bab 28][Bab 29][Bab 30]
4 comments:
kekekeke
lucu!
wah~~~ macam sushi pula bentuk2 warnanya
haha.
adeh.
pendidihan jadi pendidikan?
aiyak.
:D
owh,hari slasa lg baik dr hari yg tendang papan hitam kan.haha.longlive teacher blogger
Post a Comment