Salam.
Hari ini aku bercuti disebabkan seluruh sekolah di daerah Muar dan Ledang diberikan cuti. Jerebu yang sudah meningkat ke paras bahaya membolehkan kami diberi cuti. Aku rasa yang paling teruk adalah pada hari Selasa, terpaksa memandu dengan memasang lampu walaupun sepatutnya matahari sedang menyinar terik.
Citarasa.
Dunia Sebelah Zara adalah sebuah tempat di mana aku menulis segala macam benda mengenai hidup aku dan manusia di sekeliling aku. Sebab itu ia dipanggil dunia sebelah. Mungkin tidak terus di sebelah aku, tetapi masih di kawasan lingkungan diri aku. Maaf, mungkin citarasa aku dan kamu yang membaca tidak sama.
Pembaca : Kenapa kebelakangan ini dalam blog cerita kisah cinta?
Aku : Kebetulan kawan aku mengalami hal begini.
Pembaca : Semua kawan-kawan kau ada masalah cinta?
Aku : Tidak. Ini cuma sebahagian.
Pembaca : Kau menulis ibarat mengumpat tahu?
Aku : Menulis sesuatu di dalam perspektif aku dan dalam pengetahuan kawan-kawan aku. Aku tidak menulis nama atau kawasan tempat tinggal mereka, bahkan tidak mengkritik. Hanya berkongsi kisah masyarakat.
Pembaca : Nasihatkan kamu supaya berhenti menulis pasal masyarakat. Nanti orang benci.
Aku : Ajaibnya aku dapat lebih ramai kawan apabila cerita yang aku paparkan dekat dengan masyarakat. Masyarakat berkongsi cerita mereka pula dengan aku.
Pembaca : Nanti ramai yang marah-marah, maki kamu.
Aku : Manusia-manusia Tanpa Nama (baca : anonymous) langsung tidak wujud melemparkan cercaan seperti biasanya. Tiada. Mungkin itu yang lebih dekat dengan naluri manusia mereka.
Masalah Dan Cerita.
Ada orang mempunyai masalah dan dipendamkan. Memilih manusia tertentu untuk meluahkan, berkongsi cerita suka dan duka. Seorang kawan pernah menyatakan pada aku begini.
"Jujurnya kamu seorang yang baik. Seorang yang suka memendam rasa, sentiasa mahu gembirakan hati orang lain walaupun tiada siapa yang jaga hati kamu. Kamu nak Bonda terutama sekali keluarga kamu gembira, dan kalau kamu tak suka dengan seseorang sekalipun, kamu tetap akan buat baik dengan dia dan simpan perasaan marah itu dalam-dalam"
Ada orang lebih suka pendam.
Aku suka menulis sebagai satu bentuk perkongsian kerana aku percaya, di luar sana, masih ramai yang mempunyai masalah tersendiri dan mencari ruang untuk berkongsi. Bila kita terjumpa mereka yang berkongsi pengalaman dengan kita, kita lebih mudah atur bicara dan meluahkan segalanya.
Sekurang-kurangnya, itu apa yang aku rasa.
Tidak, aku bukan marah sesiapa.
Aku gembira sebenarnya.
Kerana aku punya tempat meluah bicara.
Mengenai peristiwa meluahkan perasaan yang aku tulis kelmarin, nampaknya, F belum meluahkan isi hati kepada manusia yang dia sukai dalam diam. A cuba untuk membantu.
A : Mana teman istimewa awak?
F : Mana saya ada teman istimewa?
A : Yang awak simpan perasaan itu?
F : Saya malu. Saya segan.
A : Janganlah segan. Awak nak saya tolong?
F : Tolong apa?
A : Biar saya beritahu dia. Siapa nama dia?
F : Tak boleh tahu.
A : Cakaplah...
Nota Kaki :
Di kawasan aku seperti kurang jerebu cuma langit mendung. Bila mahu turun hujan agaknya?
Zara : Melalui suatu proses mematangkan diri sejak mula serius dalam menghasilkan sesuatu sebagai tempat melarikan diri daripada kesakitan yang membunuh dalam diam.







