Semalam otak mereng.
Harus diakui bila rasa bersalah dengan orang, walaupun orang tersebut rasa benda itu remeh, otak aku memang tidak mampu mencerna dan menghadam apa yang aku lakukan. Paranoid? Mungkin. Ketakutan aku buat salah dengan manusia adalah disebabkan manusia ada pilihan untuk memaafkan ataupun tidak. Kalau buat salah dengan Maha Pencipta, pintu taubat itu sentiasa terbuka dan ya, Dia Maha Pengampun. Baiklah, berhenti berbicara soal itu. Benda dah diselesaikan dan aku memilih untuk denda diri aku sendiri. Memandangkan manusia yang aku mahu luahkan segala langsung tidak muncul, aku memilih untuk menulis sahaja. Biarlah. Tiada kepentingan lagi, mungkin.
[Bunyi cengkerik diselangi dengan hujan. Merepek]
| [Sumber gambar] |
Jadi, wajarkah menghadiri jemputan majlis perkahwinan?
Hukum menghadiri walimatul urus adalah wajib sebenarnya, seperti yang pernah diperkatakan oleh ustazah aku dahulu. Sebab itu aku berusaha sedaya upaya untuk pergi kalau mendapat jemputan, kecuali atas sebab yang tidak dapat dielakkan, aku terpaksa menyatakan tidak pergi kepada mempelai. Kadangkala ada orang boleh terima, kadangkala kena maki juga, kalau jemputan itu dari rakan yang baik dengan aku - tapi majlisnya bertembung dengan urusan keluarga. Tapi tak mengapa, itu boleh dipujuk.
Tapi, jika mendapat jemputan daripada bekas kekasih, wajarkah kita menghadiri juga?
Soalan ini banyak ditanya oleh kawan-kawan aku dan juga pembaca blog. Baiklah, mari kita lihat jawapan yang sesuai untuk soalan ini. Soalannya, wajar atau tidak bukan? Jadi, ada dua jawapan, iaitu ya dan tidak.
01. Ya, wajar menghadiri.
Datang sahaja sebab dah kena jemput.
02. Tidak wajar menghadiri.
Sebab hati sakit, perit, terhiris dan entah apa lagi.
A : Ni kena jemput ke majlis si S ni. Nak pergi ke tak?
Z : Pergi.
A : Kenapa?
Z : Sebab kalau dia berani jemput, kau kena berani pergi.
A : Nak buat apa?
Z : Pergi makan, jumpa pengantin, balik.
A : Tak, maksud aku, kenapa nak kena pergi? Buat apa?
Z : Sebab kita sendiri tak tahu kenapa dia jemput, jadi hadirkan diri untuk cari jawapan mungkin.
A : Tapi, aku masih teringat dia.
Z : Kalau masih teringat lagi wajar pergi.
A : Nak suruh aku mengamuk depan pelamin?
Z : Tak, pergi sahajalah. Buat muka tak tahu.
A : Muka aku punyalah menarik.
Z : Sebenarnya, kau patut pergi.
A : Supaya aku boleh tepuk tangan sekali dengan orang lain yang gembira?
Z : Meraikan pengantin apa salahnya.
A : Salah sebab dia bekas kekasih aku.
Z : Tapi tema dia ala Jepun weh (mata berkaca tengok kad kahwin)
A : Kenapa?
Z : Kalau kau takut pergi seorang, aku teman.
A : Kau cuma nak tengok hiasan majlis ke?
Z : Bergantung kepada keperluan.
A : Tengoklah dulu aku fikir.
Z : Kalau pergi ajak aku.
A : Kalau kau janji untuk pukul dia.
Z : =.="
| [Sumber gambar] |
Secara jujurnya, aku tertanya-tanya juga kenapa perlu menghantar kad perkahwinan (ataupun undangan melalui laman sosial) kepada bekas kekasih. Manusia itu, manusia yang pernah kau kongsi kasih sayang, yang kau pernah berkongsi keluh kesah, sakit pening selsema demam dan segala macam penyakit, orang yang sangat mengerti kau suatu ketika dahulu sehinggalah takdir menentukan kau dan dia tidak lagi bersama atas sebab tertentu. Tergamak sungguh menghantar kad perkahwinan jika perpisahan dahulu itu dalam keadaan tidak baik, penuh pertengkaran. Rasa macam perlu sangat ke hantar kad itu?
Ada seorang rakan aku yang menghadiri semua majlis perkahwinan yang diundang oleh bekas-bekas kekasih dia. Dia mengambil pendekatan, makan percuma, majlis meriah, kenapa nak bazirkan wang untuk makan tengah hari berbayar di luar? Jadi memandangkan dia punya kekasih baru dan bekas-bekas (ya, bukan seorang) kekasih dia kebanyakannya melangsungkan perkahwinan, dia bawa sekali kekasih abru dia untuk makan tengah hari yang sedap, menarik dan apa lagi mahu digambarkan tentang majlis perkahwinan. Pada dia, benda yang lepas, dia tidak mahu kenang. Dia berdiri depan pengantin dan ucap tahniah tanpa sekelumit rasa bersalah, bahkan penuh rasa bahagia perut dia kenyang dan dia jimat wang untuk makan tengah hari berdua. Er, apa nak dikatakan pada manusia begini ya? Profesional? Entah apa yang pengantin rasa agaknya. Heh.
Ya.
Ada orang yang tidak kisah. Ada orang yang SANGAT kisah. Kawan aku yang lain siap bakar kad jemputan yang dia terima memandangkan si penghantar itu adalah bekas kekasih pertama dan hubungan mereka bukan sekejap. Lagi sebulan sebelum majlis pernikahan, bekas kekasih (senang sebut bekas tunang) - memutuskan ikatan pertunangan, dan kahwin dengan orang lain dua minggu selepas itu. Er, sudah tentulah dia tidak akan menghadirkan diri kan? Kegilaan apakah kerana sepatutnya dia yang melangsungkan perkahwinan dan barang yang telah siap dibeli, boleh pula bekas tunangnya berikan pada pasangan baru. Betapa membeli barang bersama, dan barang itu jatuh pada orang lain? Seksa.
Ia bergantung kepada seseorang sebenarnya.
Hati kita ada had dalam menahan segala perasaan yang hinggap. Ada yang boleh jadi kebal tanpa sebarang rasa, ada yang mudah tersentuh dan terus luka bernanah segala. Jadi, kalau kau tanya aku, jawapan aku mudah sahaja. Kau tanya balik hati kau. Mampu ke kau pergi lihat bekas kekasih kau bahagia? Kalau kau mampu, silakan. Wajib menghadiri majlis perkahwinan yang ada jemputan. Tapi kalau kau rasa hati kau tak mampu nak tanggung beban kesakitan itu, lebih baik tak payah pergi. Buatnya datang gila kau bunuh orang di majlis kahwin, ada pula yang jadi duda/balu sebelum sempat pergi berbulan madu.
| [Sumber gambar] |
Tapi, ada seseorang yang buatkan aku boleh tabik dia. Dia menghadiri majlis perkahwinan bekas suaminya (ya, kahwin muda dan berpisah pada usia muda juga) - dengan tabah seperti tidak pernah berlaku apa-apa antara dia dan lelaki yang sedang bersanding di hadapannya. Bertegur sapa dengan keluarga bekas mertua dengan senang hati bagaikan dia cuma jiran sebelah rumah yang berkongsi dinding tepi. Berbual mesra tanpa riak sedih sekalipun. Bila ditanya, jawapan dia ringkas sahaja - "Lelaki itu jumpa perempuan lebih baik daripada aku. Jadi, aku perlu lepaskan dia pergi"
Jadi, kalau kamu bagaimana?
Adakah mahu menghadiri perkahwinan bekas kekasih, bekas tunang, bekas pasangan ataupun bekas kawan sekalipun?
Kalau aku, aku pergi.
Heh.
Kalau aku, aku pergi.
Heh.
Nota Kaki :
Kerja sibuk akan bermula semula. Ya, macamlah cuti sekolah ini kau cuti Zara. Gila, tahun 2011 aku tidak jumpa istilah cuti dan rehat.
Zara : Ada orang main baling batu sembunyi tangan serupa celaka. Ada juga manusia begini rupanya, menggunakan pengenalan orang lain untuk meninggalkan pesanan, tapi merepek tidak tentu hala.











