Showing posts with label Zara Dan Lelaki Bernama MS. Show all posts
Showing posts with label Zara Dan Lelaki Bernama MS. Show all posts

Friday, January 28, 2011

Kau Dengar Lagi Tangisan Anak Rapuh Itu


Hening subuh, dingin.
Titisan air yang menitis dari hujung rambut dikesat bersungguh sambil mata kerap menjeling ke arah jam yang berdetik di dinding beku. Acapkali mata salah memandang waktu sebenar dan yang sepatutnya.
Diam.

Telefon genggam berbunyi, tangan segera mencapai. Nombor entah mana muncul tidak dihiraukan. Yang pastinya, panggilan itu perlu dijawab terlebih dahulu sebelum fikir entah apa-apa. Suara di hujung talian, mersik dan bergema. Mulanya tidak dikenali, ada gurauan seperti orang luar, sebelum suara sebenar muncul dan memulakan bicara.

Pemanggil : Kau kenapa?

Mendengar suara penuh prihatin bertanya, air mata yang di empang selama berhari-hari musnah, mengalir deras begitu sahaja. Sekali lagi pemanggil mendengar tangisan penuh duka dari hati yang kuat tapi rapuh atas nama cinta. Rasa marhaen penuh celaka apabila air mata berguguran dan pemanggil terlampau baik itu hanya mendengar dan memujuk penuh berjaga.

[Gambar : Menutup mata dari tangisan kelihatan buruk dan menjijikkan hati barangkali. Aneh sekali]

Pemanggil : Ceritakan apa yang jadi.
Penjawab : Sudah dua kali kau dengar tangisan sebegini.
Pemanggil : Cerita apa yang jadi, ayuh.
Penjawab : Begini...

Butir bicara yang keluar acapkali tersekat dengan tangisan yang bukan dibuat-buat. Nafas berombak, memikirkan diri yang sudah tidak terurus, bahkan rambut pun lupa disikat. Ah, kegilaan apakah yang merasuk sehingga diri sendiri terabai entah mengapa. Air mata mengalir laju bila setiap patah bicara terhambur pada pemanggil yang mendengar penuh setia.

Aneh.
Dada lapang walaupun air mata tidak sirna menghilang.
Otak kejang.
Sakit rahang.
Mata merah menyala bagai saga potong lesen terbang.

http://farm6.static.flickr.com/5163/5358525772_2aa0369414.jpg
[Gambar : Apakah kau akan habiskan masa sendirian dan menangis dalam hujan lagi?]

Tamat di sini.
Masa berhenti.
Ini tulisan hari ini.
Tentang siapa, itu kena tanya diri.

Zara : Hidup baik-baik. Hujan lebat yang menghiasi dada langit sejak dua tiga hari ini, sila menjauh pergi. Marga perlukan warna ceria, tolong.

Monday, October 04, 2010

Normal Perempuan Kata Sayang Kawan Perempuan. Pelikkah Kalau Lelaki Kata Sayang Kawan Lelaki?


Ketawa.
Itu persepsi sesetengah orang.
Tapi pada aku, tidak salah untuk menzahirkan rasa sayang pada sahabat tidak kira lelaki atau perempuan. Ungkapan, aku sayang kau mungkin kedengaran janggal bila lelaki ucapkan kepada lelaki, tetapi perempuan sudah terbiasa mungkin melafazkan demikian.


Aku terpotong ayat di atas yang diucapkan oleh seorang kawan perempuan pada aku.
Dan ada sedikit ayat di bawah yang aku terpotong. Ketawa.
Munsyi dan Hazami adalah dua orang kenalan maya aku.

Senyum.
Kedua-dua mereka adalah normal.
Itu mesti sengaja nak kantung surat elektronik aku penuh dengan pemberitahuan ada komentar baru daripada mereka. Aduhai, tapi ia hiburan petang yang menggamatkan. 
Ketawa.

HBD : Kau cemburu ya?
Aku : Kau gila?
HBD : (ketawa) Aku rasa benda itu normal, cuma orang kita jarang cakap.
Aku : Ada kau pernah cakap dengan orang lain?
HBD : Itukan gurauan. 
Aku : Tahu. Cuma kau pernah cakap dengan orang depan-depan?
HBD : Ada. Dengan Papa, dengan bapa mertua dan anak lelaki aku.
Aku : Selain itu?
HBD : Aku belum jumpa kawan yang sesuai untuk aku cakap depan-depan.
Aku : Segan?
HBD : Lelaki mungkin jenis kurang meluahkan dengan kata-kata, lebih banyak pada perbuatan.
Aku : Alasan. Eh, aku dua-dua pun ada.
HBD : Kau pun orang selalu keliru lelaki ke perempuan.(ketawa)
Aku : Ceh!

Dan bagaimana dengan kamu semua?
Adakah senang meluahkan pada teman rapat kamu?
Senyum.

Tapi kalau kawan lelaki cakap pada kawan perempuan atau sebaliknya,
bagaimana pula?
Senyum lagi.

Nota Kaki :
Hari ini sakit biasa datang menyerang lagi. Kurang daripada satu jam, empat biji pil penahan sakit sudah meluncur laju masuk ke dalam sistem badan aku.

Zara : Jamuan di sekolah berjalan lancar. Tak sia-sia merebus 150 biji ketupat segera malam dan pagi tadi sebagai sajian jamuan. Ketawa.

Thursday, August 05, 2010

Selamat Ulang Tahun Sepet - Kamu Antara Sahabat Yang Aku Sayang Demi Allah.


Salam.
Hari ketiga di kem.
Keletihan tetapi aku masih gembira.
Dan aku mahu ucapkan sesuatu pada seorang rakan.
Tidak.
Malahan, dia juga sahabat.


Selamat Ulang Tahun Ke-23 Sepet.
(Kau tahu siapa kau, maka tidak perlu aku hebahkan pada dunia rahsia kita)

Sudah tentu aku bakal mendoakan yang baik-baik sahaja untuk kamu. Untuk manusia terbaik seperti kaum, hanya doa yang mampu aku titipkan, dan aku amat berharap agar bingkisan yang aku hantarkan sudah berada di pangkuan kamu. Mungkin itu suatu perkara yang sia-sia pada pandangan mata, tetapi jujurnya, aku lebih melihat ia kepada sesuatu yang penuh makna. Sebab aku pernah terbaca di garis masa Twitter yang kamu mahukan itu sebagai hadiah.

Aku tahu warna biru cerah kegemaran kaum, tetapi aku tidak dapat mengabulkan permintaan kamu itu. Tidak mengapa kan sahabat? Nah, kamu tetap yang terbaik pernah muncul dalam hidup aku dan Alhamdulillah, kamu sentiasa ada untuk sahabat kamu yang tidak seberapa ini. Walaupun aku tidak sebaik manusia-manusia lain yang wujud di dalam hidup kamu, terima kasih kerana tidak pernah mendiskriminasi aku.

Dan ya, jangan buli aku sentiasa. Lupakan yang kamu pernah dengar aku menangis kuat tanpa dengar sebutir perkataan pun sepanjang dua minit itu. Awas, jangan dirakam juga lain kali.

Zara : Aku sangat berharap dapat berbual dengan kau hari ini.


Tuesday, July 13, 2010

Hidup Ini Memerlukan Tenaga Yang Bukan Sedikit Untuk Maju Ke Hadapan


Salam semua.
Kembali bertenaga selepas melakukan sesuatu yang sudah dirancang.
Walaupun ada beberapa rancangan yang tertunda, tetapi yang mahu dibuat secepat mungkin serta memerlukan tenaga kerja mahir lain sudah dilaksanakan. Alhamdulillah.



Tenaga.
Apa yang dihimpunkan sejak sekian lama menghirup kesakitan dan menitiskan darah merah pekat dari sesetengah rongga, adalah bukti diri masih bernyawa.
Ada orang mencemuh mengatakan, apalah sangat kalau setakat pernah putus cinta sekali dua.
Ada orang mencebik menyatakan, apalah sangat pernah dihina dan dilemparkan kata nista barang sekali dua.
Nah, itu kesilapan kamu wahai manusia yang tidak pernah mengharungi kepayahan.

Aku jumpa beribu jenis manusia.
Sesetengahnya akan memeluk aku sambil menangis seraya berkata, kita serupa Zara. Kami pernah melalui apa yang kamu rasa, apa yang kamu hadapi bukan sesuatu yang sia-sia. Aku, manusia beku yang kadangkala terpana dengan sentuhan lembut mereka-mereka yang memahami. Coretan yang dihantar kepada aku acapkali buat aku lebih bernafas dan ketawa lembut.

Zara yang ketawa berdekah, yang tersenyum lebar ini masih punya rasa. Anak ini masih lagi anak yang suka membaca puisi di kamar seorang diri. Masih membaca buku cerita kanak-kanak atau remaja sambil membayangkan betapa indahnya kalau dapat melalui kenangan sebegitu rupa. Gadis ini masih anak milikan keluarga. Kakinya terikat sebelah di tangan penjaga, dan laluannya ditentukan ke mana arah hala.

Hidup ini umpama lautan.
Dunia ini adalah suatu kawasasan yang penuh dengan manusia.
Maka, dalam mengayuh merentasi lautan untuk mencari destinasi, syair dan puisi yang beralun umpama kayuhan aku dalam mencari tepian yang mungkin tidak terjangkau oleh diri sendiri. Tetapi adakah aku akan mengeluh lelah lalu mengalah?

Tidak.
Kerana apa?
Aku manusia yang dididik untuk percaya, "Kerana Tuhan Untuk Manusia"

Aku pernah menjerit lantang di sebuah bukit, meriwayatkan kedukaan hati melihatkan kesakitan diri yang sering terpinggir akibat tidak punya rupa dan personaliti. Duduk diam dan biarkan alam yang memamah kesakitan merajai. Tawa dan tangis dilepaskan seiring agar diri tidak diinjak sesuka hati. 

Tetapi adakah semua manusia mengerti?
Tidak.
Kerana apa?
Diri mereka penuh hasad dengki.

Iblis.
Syaitan.
Jahanam.
Durjana.
Mengapa tinta mereka yang kamu makhluk mulia mahu pinjam dan garitkan akan mengeluarkan darah?
Membuat onar dan menimbulkan duka?
Biarkan diri menjamah lara?

Diam.
Kayuhan mencari destinasi yang abadi harus diteruskan.
Cabaran dan dugaan dilalui dengan senyuman.
Jangan pernah kelihatan tangisan.
Simpan keluhan.
Keluarkan jeritan kemenangan.

Nota Kaki :
1. Perbualan dengan seorang sahabat sudah jadi seperti makanan ruji. Ah, kalau dia sudah mula sibuk semula selepas ini, dengan siapa lagi aku mahu melampiaskan ceritera diri?
2. Kehidupan di sekolah semakin hari semakin menyeronokkan. Aku sesungguhnya menikmati setiap inci kegembiraan.
3. Buat yang menghantar komentar dan ulasan, hampir kesemuanya aku sudah benarkan penyiarannya kecuali entah mana yang meracau mencarut segala itu, aku tapis dan buang ke tepi.

Zara : Hari ini menulis dua buah puisi yang lebih kepada coretan peribadi. Sangat penuh emosi sehingga aku tidak sanggup untuk berfikir. Adakah benar kata Kahlil Gibran? Puisi itu sebenarnya lagu yang muncul dari luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum. Entahlah.

Monday, July 12, 2010

Kali Pertama Hilang Kesabaran Di Dalam Kelas | Pemenang Pertandingan Dunia Sebelah Zara


Salam semua.
Hari ini kali pertama aku hilang kesabaran secara serius di dalam kelas. Entah mengapa, kesabaran yang semakin menipis itu terkoyak dan terhambur keluar apabila terasa diinjak dengan perangai murid. Buat kali pertama aku tendang papan hitam di dalam kelas. Ya, tendang papan hitam dengan memakai baju kurung dan bertumit tinggi. Oh, tidak sengaja melepaskan kemarahan kepada harta benda sekolah. Serupa vandalisme ke aku ni? Gila.

Masuk ke kelas dengan bersemangat. Aku memang suka hari Isnin. Setelah hujung minggu, kembali ke sekolah adalah perkara yang sangat menarik perhatian aku. Kedengaran pelik bukan? Tapi aku memang sukakan sekolah. Cuma apabila diuji sedemikian rupa, memang darah aku naik ke kepala. Kerja yang aku berikan dua minggu lepas, ada yang baru hendak buat pagi tadi. Ya Allah! Sepanjang minggu lepas sewaktu aku menjalani kursus, apa yang anak-anak itu buat agaknya?

Aku memegang prinsip, memberikan kerja sekolah mengikut kemampuan dan tahap murid itu sendiri. Tidak ada gunanya memberikan tugasan yang menimbun jika hasilnya aku tahu akan mengecewakan. Lebih baik beri sedikit demi sedikit tetapi hasilnya memuaskan. Tetapi ada segelintir ini yang memang sengaja mencabar kesabaran aku yang selama ini sentiasa diuji tetapi masih terkawal. Hari ini, ia terlepas sedikit dan aku jujurnya, kesal bukan kepalang.


Wajah kesal mungkin. Entah.

Aku dulunya seorang manusia yang mudah hilang kesabaran. Tetapi sejak aku masuk ke matrikulasi, aku mula memupuk perasaan untuk lebih kuat agar tidak menghamburkan kemarahan sesuka hati. Acapkali terlepas di awal-awal aku berlatih, tetapi sejak di universiti, ia hampir dapat dikawal sepenuhnya. Kalau aku marah juga, ia menunjukkan aku sudah sampai ke tahap bahaya. Gila bukan? Dan setakat ini masih dapat dikawal walaupun terhambur tadi.

Kelas senyap dan hasilnya, kerja yang aku mahukan sudah terhidang di atas meja aku tadi selepas rehat. Anak-anak itu sebenarnya boleh membuat kerja dan belajar, cuma mungkin sifat malas dan pengaruh rakan agak menebal di dalam diri mereka. Aku baru keluar dari kelas mereka sebentar tadi, menggantikan masa seorang rakan yang menghadiri kursus. Semua kerja aku telah disiapkan, malahan aku boleh mengadakan perbincangan seperti selalunya dengan mereka. Ah, kelas yang ini memang agak istimewa kerana ianya kelas hujung. Maka, layanannya juga berbeza dan tahap diplomasi juga tinggi.


[Pertandingan]
[01.Kasih][02.Syaza Syafeeqah][03.Si Lampu Neon][04.Sis Adyshariz][05.Nakashima Kureno The Legend][06.HEMY][07.YangBaik][08.Naz][09.Hizami Rahim][10. Amir Said][11. Munsyi Sama][12. masquarade][13.Fndrocka][14.Adziim][15.Yaz]

Terima kasih buat semua yang menyertai pertandingan ini. Sukar untuk memilih yang terbaik kerana semuanya hebat-hebat belaka. Menulis dengan pelbagai gaya dan membuatkan aku ketawa. Dan, walaupun agak terlambat, pemenangnya sudah aku pilih berdasarkan hasil penulisan dan juga pengisiannya.
Pemenang Utama : [06.HEMY]
Pemenang Saguhati : [11. Munsyi Sama] [14.Adziim]

Tahniah kepada pemenang yang layak mendapat hadiah. Buat yang tidak berjaya, bukan hasil penulisan kalian tidak menarik, masih menarik, tetapi yang tiga ini adalah dipilih berdasarkan kriteria penulisan yang baik serta pengisiannya juga. Oh, untuk bulan Ogos, insyaALLAH, akan datang lagi pertandingan. Kenapa agaknya ya? Siapa boleh meneka dengan tepat?
Buat yang sentiasa menyokong Dunia Sebelah Zara, jutaan terima kasih buat kalian. Yang menghina dan mengutuk demi kebaikan juga aku ucapkan terima kasih. Yang mahu meruntuhkan, aku ucapkan terima kasih kerana mahukan aku kuat dalam menghadapi hidup dan cabaran. Cuma, aku tidak akan siarkan komentar yang kalian utarakan jika ia penuh dengan perkataan lucah dan hinaan yang tidak terhingga. Alangkah aku yang membaca ini rasa malu yang teramat sangat kerana yang menulis itu seperti tidak punya maruah, keluarga atau lebih tepat lagi ibu dan bapa.

Biarkanlah.
Hari ini aku mahu hidup dengan lebih ceria.
Hari ini aku mahu hidup demi kesejahteraan aku sebagai seorang manusia.
Hari ini aku mahu hidup kerana aku tahu nikmat yang Allah berikan bukan untuk dipersia.

Nota Kaki :
1. Unjuran kasar yang dilampirkan ke dalam buku buat aku tersenyum.
2. Hari ini menukar sedikit gaya ke sekolah. Entah kenapa sewaktu meyarung pakaian, buatkan aku teringat pesanan seorang teman yang menyatakan dia lagi senang dengan gaya aku yang lama.
3. Cuaca sejuk, hujan sejak awal pagi tadi.
4. Tahniah buat pasukan Sepanyol. Eh, sotong Paul itu perlu direbus agaknya. Ketawa.
5. Sahabat aku, Si Sepet sudah pulang ke kampusnya. Ah, tidak dapat menggila lagi selepas ini.
Zara : Lidah iblis dan tinta syaitan yang mungkin kau pinjam dan gunakan bagi menulis dosa itu lebih baik dibuang dan taubat serta keampunan dipohon dari Yang Maha Esa. Aku manusia biasa, masih lagi seorang hamba. Kau buat kesalahan dengan aku, aku serahkan sahaja hitungannya pada Allah. Itu bukan urusan aku, tapi urusan kau dengan Maha Pencipta.

Sunday, July 11, 2010

Lelaki Pucat Kacak Bersiong | Perlawanan Akhir Piala Dunia 2010 : Belanda Atau Sepanyol?


Salam semua.
Aku mahu tidur dahulu.
Kena bangun awal pagi untuk menonton perlawanan penting.
Berhenti bercakap tentang di mana mahu membeli vuvuzela kerana itu satu-satunya benda yang aku benci dalam saat Piala Dunia 2010 berlangsung.
Kamu pilih mana ya?
Jangan ikut sotong.
Jangan ikut burung.
Ikut semut bak kata Zack Zukhairi.

http://www.cbc.ca/gfx/images/sports/photos/2010/07/09/sneijder-villa_584.jpg

Bercakap tentang lelaki pucat biru yang digilai ramai, aku membaca novel tersebut, kesemuanya sekali. Malangnya, lelaki kacak dan pucat itu tidak aku minati. Aneh bukan?

http://moniquebuzatto.files.wordpress.com/2009/12/edward-cullen1.jpg
Ramai betul orang gilakan si pucat ini kan? [Penghargaan]

Kenapa aku tidak suka dia?
Ada orang tanya soalan itu di Mukabuku aku selepas terbaca status aku yang mungkin mengujakan peminat cerita tersebut untuk membalas dendam. Aku ada sebab yang kukuh iaitu, sila rujuk gambar di bawah.

http://www.moviecitynews.com/arrays/images/2005/poster_hp4_cedric_cho.gif
Ya, sebab dia jadi Cedric Diggory yang memusnahkan impian Harry Potter walaupun ternyata aku lagi suka Harry bersama Ginny. [Penghargaan]

Sekejap.
Apa kaitan bola sepak dengan lelaki ini?
Oh, Sepet cakap yang dia sama keturunan dengan Edward Cullen. Maka, mari berterima kasih kerana tiada bulan di dada langit malam ini. Ketawa.

Nota Kaki :
1. Mengantuk. Mahu tidur dahulu.
2. Mahu mimpi nakama, Sepet, pengamal perubatan yang mahu pulang 27 Julai ini dan diri sendiri.
3. Esok sekolah. Gembira!

Zara : Otak sedang bercelaru. Perlukah kamu mengatakan aku sombong dan tidak berguna hanya kerana aku tidak menunjukkan isyarat atas talian (baca : online) di Mukabuku? Kegilaan apa itu?

Lagu Yang Muncul Daripada Luka Yang Berdarah Atau Mulut Yang Tersenyum


Diam.
Tenang.
Ulitan bayang.
Sejuta percikan.
Bayangan perlipan.
Damai.


Puisi bukanlah pendapat yang dinyatakan. Ia adalah lagu yang muncul daripada luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum.
(Kahlil Gibran)

Orang yang dah janji dengan aku nak balik cuti musim panas, sila balik dengan cepat. 27 Julai lama lagi tahu? Eh, hari ini berapa hari bulan? Sebelas ke? Cepat balik ya wahai pengamal perubatan. Aku sudah simpan kerusi itu untuk kamu.

Sepet tak jadi balik kampus petang ini. Dia balik esok pagi. Masa dia balik esok agaknya aku di sekolah. Jadi, mari doakan si Sepet selamat pulang ke universiti dia esok.

B sudah dimasukkan ke hospital. Menunggu saat melahirkan. Bayi pertama. Harapnya Jejaka yang menunggu di luar akan lebih tabah dan kuat. Eh, sila masuk ke dalam wahai Jejaka. Temani isteri kamu.

Hazami Bahrin Daniel pula macam sudah berhenti menulis blog. Mungkin bapa kepada 3 orang anak itu perlu dipaksa untuk menulis semula. Ketawa.

Nota Kaki :
Tiada rasa mahu menulis.

Zara : Ada sesuatu yang mengusik jiwa sejak dari tadi. Moga ia perkara yang baik.

Hitam - Putih - Merah Jambu | Perempuan, Boleh Pulangkan Kawan Baik Saya Semula?


Salam Ahad.
Semalam aku dibuli oleh Sepet. Tergamak beliau buat aku begitu ya? Menakutkan aku yang berani ini. Oh Sepet, kamu memang pandai. Tunggu aku jumpa kamu lain kali, awas kamu, aku gigit tengkuk kamu. Eh? Silap, aku bukan Edward Cullen yang putih melepak tetapi hakikatnya adalah lelaki yang aku geram di dalam Harry Potter. Ya, dia yang berlakon jadi Cedric Diggory. Sebentar, kenapa aku bicara tentang dia? Bukankah tadi tentang Sepet? Ketawa.


Oh, gambar ini aku ambil sewaktu di Rantau Panjang.
Kali pertama aku terjumpa patung fesyen yang agak menonjol ekspresi mukanya.

Ketawa berdekah.
Pagi tadi aku mamai selepas menonton perlawanan bola sepak. Dalam keadaan mamai sebegitu ada seorang kawan yang tahu aku masih berjaga menelefon aku. Bercerita dan meluahkan kisahnya. Aku seperti biasa, mendengarkan sahaja sambil mengangguk kepala walaupun pastinya dia tidak akan melihat. 

Dia : Kekasih aku marah kita selalu berhubung.
Aku : Dia sebut nama aku ke?
Dia : Tidaklah, dia kata kenapa kawan-kawan aku lagi rapat dengan aku dari dia sendiri.
Aku : Alahai, dia lagi rapat kot? Dia dengan kau bercinta. Kita ni kawan.
Dia : Salah. Kau sahabat. Sahabat dengan kawan lain.
Aku : Betul kata kau tu. Habis tu apa kau cakap dengan dia?
Dia : Aku terangkan dengan dia baik-baik.
Aku : Dah tu?
Dia : Dia tetap nak merajuk. Aku dah hilang ramai kawan dah pasal ni.
Aku : Lepas ni, kau hilang aku pula la.
Dia : Kenapa?
Aku : Untuk jaga hubungan kau dengan dia, aku rasa elok juga kalau tak payah berhubung dengan aku kot.
Dia : Buat lawak kau ni, aku pijak nanti.
Aku : Aku yang nak kena pijak?
Dia : Selain itu, dia masih kekasih yang baik.
Aku : Memang pun. Selesaikan dengan cara yang baik.
Dia : Kau kawan aku, satu-satunya orang yang faham apa aku terangkan.
Aku : Aduhai, aku betul-betul tak faham dengan sikap perempuan lah.
Dia : Kau jantan ke?
Aku : Eh? Bukan ke?
Dia : Datang gila kau pagi-pagi buta ni kan?
Aku : (ketawa)

Ada perbezaan yang nyata antara kawan, sahabat dan kekasih. Walaupun garisannya nipis, tetapi pengertian dia masih tebal dan tidak sama.

Nota Kaki :
1. Oh, siapa yang baca garis masa Twitter aku pasti akan tersenyum melihat aku berbual dengan seorang artis yang mesra dengan peminatnya. Oh, aku ada hantar gambar makanan setelah diminta oleh beliau. 
2. Benci dengan surat khabar hujung minggu. Banyak iklan daripada isi.
3. Ada orang datang rumah sebentar tadi. Betul kata kawan baik aku, budak itu memang pakai maskara ke sana sini, walaupun pergi rumah aku yang jaraknya tak sampai berapa meter untuk mencetak borang peribadi.

Zara : Selesai menulis Legasi Cinta Alisia Bab 30. Sudah dihantar ke kantung Aksara. Selamat hujung minggu semua!

Saturday, July 10, 2010

Busuk Dan Sepet : Dua Insan Yang Buat Aku Cukup Gembira Menjalani Hidup Saat Ini.


Pagi Sabtu yang sejuk.
Usai mengerjakan fardhu, aku melihat telefon genggam. Ada satu panggilan yang tidak berjawab. Dari Sepet. Alahai, Sepet telefon sewaktu aku sudah tidur malam tadi. Maaf sangat-sangat Sepet. Badan aku tidak mendengar kata hati semenjak akhir-akhir ini. Betapa aku mahu kuat dan gigih mahu bertahan, aku kalah dengan badan yang memerlukan rehat.

Semalam, aku sempat menggunakan kamera sesawang (baca : webcam) menggunakan Skype bersama Busuk. Entah bila kali terakhir kami bicara menggunakan itu. Medium perkenalan kami sejak mula. Ya, aku kenal Busuk melalui situ dan kini lebih setahun, aku akui, dia antara sahabat yang masih setia menarik aku saat aku terjatuh apabila dilanda musibah dan ujian.

Banyak yang dibualkan, dan seperti biasa, tiada tapisan apabila berbual dengan dia. Pelbagai jenis bahasa dan pertuturan digunakan dan dia seperti yang selalunya, tidak akan membiarkan dirinya tewas apabila berbual dengan aku. Eh Busuk, tapi semalam aku ada menang juga kan? Perbincangan tentang hala tuju masa depan dan impian dia menjadi sebab mengapa perbualan semalam berlangsung agak lama. Ah, kami ini memang begitu. Ibarat roda yang berputar laju di atas pentas dunia.

Ada sesuatu yang nyata apabila berbual bersama Busuk. Kenyataan bahawa kami yang ibarat langit dan bumi ini boleh ketawa berdekah bersama dan sebagainya sering membuat manusia lain mungkin tertanya-tanya. Pastinya, apabila Busuk berpacaran, aku pula masih keseorangan. Apabila aku punya pacar, Busuk pula sendirian. Dan saat ini, roda berputar lagi dan Busuk mempunyai seseorang dan aku berdiri megah dengan status bujang. Senyum.

Semalam pagi berbual dengan Sepet sewaktu aku di sekolah. Entah mengapa, kalau bicara dengan Sepet, aku akan lupa segala masalah walaupun hakikatnya ada benda yang aku mahu berkongsi bersama dia. Menelusuri hari yang menyakitkan hilang apabila membaca nasihat dia dan juga mendengar suara dia walaupun sekejap. Yang aku tahu, tangan aku tidak boleh gatal sesuka hati mahu membuat panggilan kepada dia. Bukan kerana dia, cuma aku malu dengan perwatakan dia yang ternyata aku kalah.

Sepet akan pulang ke kampus menjalani pengajian tahun akhir dia. Aku sudah berhenti pada satu tahap menjadi pelajar dan kelihatan mustahil aku dapat laksanakan tahun ini memandangkan aku sudah punya tanggungjawab baru yang memerlukan hujung minggu aku penuh dengan segala macam benda. Aku tahu, bila Sepet pulang ke kampus, jarak akan semakin jauh dan mustahil akan dapat berbual seperti selalu. Sementelahan dia dikelilingi oleh manusia-manusia terbaik seperti dia, aku hanya mampu mendoakan sahabat itu sihat sahaja.


Mari anggap ini adalah Busuk, Aku dan Sepet. Boleh?

Selamat berjaya buat Busuk dan Sepet. 
Kamu berdua mungkin tidak akan pernah mengenali antara satu sama lain, tetapi kalian berdua adalah sahabat yang aku sayang dan aku hormati saat ini. Moga ukhuwah yang terpelihara akan lebih menjadikan kita kuat sebagai insan yang berguna. Di saat jatuh dan bangunnya manusia yang bernama Zara, terima kasih kerana sentiasa menarik aku kembali bernyawa.

Nota Kaki :
1. Penat mengisi borang sebagai penjamin kedua untuk adik. Banyak gila perlu diisi.
2. Terdapat kemungkinan akan menulis di blog bahasa kedua semula selepas ini.
3. Sesuatu berlaku sebentar tadi dan entah mengapa, hati terlampau keras untuk tidak mahu menitiskan air mata.

Zara : Apabila aku merasakan kamu sudah semakin jauh dari aku dan aku tidak mampu menarik kamu kembali mendekati aku walau dalam apa jua keadaan sekalipun teman, aku dengan rela hati akan membiarkan kamu pergi menjauh demi mencari kesenangan, kegembiraan dan juga mungkin kebahagiaan sendiri.

Tuesday, July 06, 2010

Sila Jangan Hantar Pesanan Meroyan Kepada Aku Boleh Wahai Perempuan?


Oh, bukan ditujukan pada semua.
Cuma pada segelintir perempuan yang entah bagaimana 'bijaknya', mengatakan aku mengganggu teman lelaki mereka hanya kerana teman lelaki mereka membaca blog aku. Oh, sila guna akal boleh? Mereka hanya membaca blog aku, bukan bercinta dengan aku. Alahai.



Lagi pula, ada orang suka aku ke dengan hanya membaca blog aku yang picisan ini? Ketawa. Tiada ya wahai kaum perempuan yang dengan gigih menghantar pesanan buat aku di Mukabuku atau di surat elektronik. Penat aku mahu jelaskan pada kalian lagi. Aku sedang kurang sihat, jadi sila jangan uji kesabaran aku.  Lagi satu, aku tiada kecantikan wajah seperti kalian yang takut benar dengan perkara kecil sebegitu. Aku mungkin tiada teman lelaki, tetapi aku belum kemaruk mahukan cinta atas air mata orang lain.
Sekian.

Nota Kaki :
1. Esok mungkin akan menulis di awal pagi sebelum aku berangkat pergi.
2. Rindu dengan nakama.
3. Tadi berbual dengan seorang penulis blog terkenal di telefon. Oh, rasa bangga meluap sekejap sebab dia yang telefon aku. Senyum.

Zara : Menghabiskan masa dengan mengemas barang untuk berangkat selama 3 hari. Jaga diri kalian. Doakan aku cepat sembuh dan dapat berkhidmat sepenuhnya dalam program tersebut mulai esok.

Wednesday, June 16, 2010

Pakcik Yang Tinggal Di Kuantan, Maaf Tidak Dapat Bertemu Kamu Di Sukma XIII Melaka 2010


Salam semua.
Tadi orang sekeliling sibuk-sibuk bercakap tentang Piala Dunia dan Sukma, aku teringat dengan janji seorang kawan mahu bertemu dia di Sukma 2010 di Melaka. Kebetulan dia bertugas di sana khabarnya. Aduhai, aku dihimpit kesibukan hingga terlupa dengan janji itu.

Pakcik (merujuk kepada kawan) yang tinggal di Kuantan itu, maaf ya?
Hari tu aku singgah di Kuantan kamu sudah di Melaka. Sekarang ni, kamu di Melaka, aku pula sibuk dengan urusan yang bertimpa-timpa. Tidak mengapa, lain kali sahajalah ya kawan? Ketawa.

http://msn.terengganu.gov.my/maxc2020/appshare/widget/pw_img/9/a10830a9d9c689e07b5eb014d48df592.png

Oh, kalaulah dapat pergi ke Sukma, dapat jumpa kawan-kawan lain juga. Dapat jumpa dengan teman wanita yang dirindui, mungkin juga boleh bertemu nakama. Alahai.

Malam ini ada persembahan Citra Warna 1 Malaysia. Aku disuruh memakai sari? Oh, jangan harap. Nanti aku paksa pelajar yang pakai. Biarlah aku memakai pakaian yang aku suka. Nanti nakama marah, eh? Ketawa. Tidak. Aku kurang ketinggian untuk memakai sari. Itu fakta yang aku buat sendiri untuk mengelakkan diri. Keji kan?

Tuesday, June 15, 2010

Nakama, Baru Dua Hari Sudah Merindui Kamu. Alahai.


Salam.
Sudah turun dari Gunung Belumut tadi. Apa yang berlaku bakal diberitahu kelak. Senyum.

http://www.wwu.edu/vpsa/nakama/resources/NakamaMainLogo.jpg

Nakama, kamu sihat sahaja?
Kerja bagaimana?
Makan atau tidak?
Rindu aku atau tidak?
Baiklah, cukup tentang nakama aku, nanti pening kepala mahu jawab soalan yang begitu banyak.
Senyum.


Kenangan terakhir sebelum melangkah ke Kluang tempoh hari. Senyum.
Dari sebuah blog yang menarik dan penuh dengan maklumat. Dapatkah kamu teka dari blog manakah ini?

Zara : Ikhtiar hidup dari jam 5.00 petang hingga 11.00 malam. Lamanya, alahai.

Monday, June 14, 2010

"Anak Kau Dah Pakai Tudung Pendek Macam Tu, Tudung Dia Yang Besar Beri Pada Aku Sahaja."


Baiklah.
Masa untuk berubah dari jadi manusia yang sopan kepada jahat semula.
Sudah cukup bersabar dengan kata-kata serta komentar yang diterima di Mukabuku selama ini.
Bila kau sekeluarga sentuh bahagian diri yang paling aku agungkan di dunia ini, kalian memang menempah neraka.
Silap bila kau sentuh hati Bonda aku, silap!

Status.
Kau tulis komentar mengutuk, aku biarkan sahaja. Kawan-kawan aku yang kenal aku lebih dari kau yang jumpa aku lima enam bulan sekali terkejut hingga telefon atau menghantar pesanan ringkas bertanyakan apa yang terjadi bila kau menulis begitu. Aku geram, malu dengan sikap kau sekeluarga, tapi aku masih diam, senyap sahaja. Aku biarkan tanpa sentuh atau apa-apa. Kadangkala aku buang sahaja status aku dan ganti dengan yang lain. Tak mengapa.

Gambar.
Aku letak gambar aku. Kau datang membuat ulasan menghina tatkala aku tidak berada di atas talian. Kawan-kawan aku baca dan saling tertanya-tanya apa yang kau sekeluarga ulas satu persatu. Sekejap kau, sekejap suami kau, sekejap anak kau, datang silih berganti bagai gambar aku itu tempat rekreasi. Tidak mengapa, aku anggap kamu semua perlukan hiburan. Aku langsung tidak ulas apa yang kau tulis, aku bersabar. Hendak padam, aku takut kau kecil hati. Aku biarkan sahaja.

Kemuncak.
Aku baru balik dari latihan mendaki gunung. Terlampau penat seperti yang aku khabarkan sebelum ini. Dengan kecederaan, kepala pening akibat cuaca yang membahang di luar, aku cuma mahu sedikit rehat agar aku lebih bertenaga untuk esok dan empat hari seterusnya. Tetapi apa yang terjadi?

Baru aku mahu melelapkan mata, Bonda pulang dari hospital dan terus mencari aku di kamar. Bonda hamburkan kemarahan pada aku disebabkan apa yang kau katakan pada dia. Kau kecilkan hati Bonda dengan menyindir dia tentang aku. Apa yang aku tuliskan di Mukabuku bersama teman-teman, kau hebohkan pada Bonda. Kononnya kau lebih kenal anaknya ini berbanding dengan Bonda yang tinggal serumah dengan aku?

"Fatima selalu guna Internet pukul berapa? Ada nampak dia tulis di Mukabuku sahaja. Dia tak masuk ke dapur ke?"

Perlukah benda itu kau sengaja tanya pada Bonda? Aku yang bayar Internet di rumah ini dan Bonda tidak pernah marah atau menegur tentang itu. Bonda faham dengan ruang yang aku perlu dan aku membantu dia di dapur dan segala kerja di rumah tanpa perlu dia memaksa aku. Tidak pernah. Aku bangun awal pagi, bersiap memasak atau menyediakan sarapan serta menolong apa yang perlu dengan Bonda. Kau duduk serumah dengan kami ke? Perlukah Bonda mencanangkan pada semua orang apa yang anak dia ini buat? Tidak perlu kerana apa yang aku buat sudah cukup bagi dia. Tapi kau, orang luar, menyakitkan hati Bonda begitu?

"Eh, anak kau, si Fatima tu dah pandai pakai tudung belit-belit macam Yuna sejak kerja ni. Mana tudung dia yang besar-besar? Beri pada aku sahajalah."

Apa niat kau cakap begitu pada Bonda? Kau guris hati saudara kandung kau dengan ayat begitu. Kau buat Bonda berkecil hati dengan aku, sungguh berkecil hati hingga apa yang aku cakap sudah tidak diendahkan langsung tadi. Bonda menganggap aku anak nakal yang tidak boleh menerima teguran bila aku tertanya-tanya apa niat kau katakan begitu pada dia. Apa kau mahu kata Bonda tidak pandai mendidik anak? Apa kau mahu hina Bonda kerana dia seorang guru agama dan anaknya berperangai begini? Itu niat kau ke?!


Aku masih juga pakai begini ke tempat kerja. Kau mahu tuudung aku yang murah ini? Kenapa? Mana gaji kau yang beribu itu?


Aku masih juga berpakaian dan bertudung begini untuk ke majlis-majlis atau ke mana sahaja aku pergi. Hatta ke sekolah sekalipun, masih tetap begini.


Kadangkala mengenakan begini pun menjadi masalah buat kau? Aku nampak kau pakai begini juga. Tidak pernah aku kata apa-apa. Oh, mungkinkah sebab tudung aku tudung murah?


Nampaknya pemakaian tudung begini buat kau sesak nafas ya? Gatal mulut kau mahu berceloteh dengan Bonda disebabkan anak sulungnya berpakaian begini?

Tahniah.
Tahniah.
Tahniah.

Kau mengoceh dengan begitu hebat. Apa yang aku boleh buat? Tiada apa-apa. Aku memujuk Bonda dengan bersungguh-sungguh. Aku cuba lembutkan kembali hati Bonda. Esok aku bakal berpergian, kalau Bonda tidak merestui aku, aku mati di pertengahan jalan, aku akan jadi anak derhaka. Itu yang kau mahu aku jadi di hujung nyawa dan hayat aku? Itu kah?

Aku buang kau dari senarai Mukabuku. Tunggu, bukan kau seorang. Suami kau. Anak lelaki kau dan juga tiga anak perempuan kau. Eh, aku mana kejam. Aku kan anak saudara yang baik kan? Aku buang, aku halang (baca : blocked) kau dari masuk ke Mukabuku aku (walaupun kau berusaha untuk masuk ke Mukabuku rasmi aku di sekolah) dan juga melaporkan kau (baca : report as spam). Tidak, aku bukan kejam. Aku buat ini untuk kebaikan bersama. Biar kau boleh terhalang dari melihat siapa aku dan dunia aku. Biar kau cari benda lain untuk mengata aku.

Oh ya, mungkin kau tertanya-tanya kenapa aku tidak pernah menulis atau memberikan ulasan balik bila kau mengutuk aku sesuka hati sebelum ini. Jawapan aku mudah bila adik-adik melihat aku mengamuk macam orang gila akibat tidak dapat mengawal ekmarahan tadi (sudah tentu Bonda tiada di rumah untuk melihat itu semua). Sebab aku masih punya rasa hormat yang tinggi. Tapi kalau kau hakis sedikit demi sedikit, jawapannya pasti, aku akan hilang diri. Dan kau bersedia untuk aku hindari.

Nota Kaki :
1. Masalah makin bertambah rupanya.
2. Tidak mendapat rehat dan aku rasakan degupan jantung aku semakin lemah. Rehat Zara!
3. Tidak dapat langsung melelapkan mata.
4. Sudah menggunakan kata-kata kasar pada nakama tadi, disebabkan aku dalam keadaan marah. Betapa aku rasa bersalah pada dia, walhal aku sedar, dia dapat membuatkan aku lega dengan kata-katanya.
5. Terima kasih buat doktor comel yang gilakan Faizal Tahir seperti aku yang memberikan nasihat juga di Twitter buat aku.
6. Gadis manis yang meminati Zahiril Adzim dan sekuntum ros merah, terima kasih buat aku lega dengan janji mahu meminjamkan aku bahu walaupun hanya di Twitter. 

Zara : Disebabkan kemarahan aku yang meluap gila tadi, Twitter aku mencapai tahap yang sepatutnya kurang dari setengah jam. Ya, itu satu-satunya tempat aku dapat emluahkan kemarahan dan menghamburkan tekanan yang mencengkam. Oh, aku mahu buang air besar, moga-moga kemarahan aku akan terus masuk ke dalam tandas.

Saturday, June 12, 2010

Bila Isteri Keluar Menghadiri Kenduri Kahwin, Suami Perlu Menjaga Rumah Sambil Menanda Kertas.


Isteri aku pergi kenduri kahwin.
Aku pula duduk di rumah menanda kertas peperiksaan pelajar.
Malam nanti mahu menonton bola lagi.
Alahai.


Ruang kerja aku. Ya, aku suka duduk di atas permaidani. Lebih selesa.

Isteriku, cepat balik.
Jaga anak pula, abang nak selesaikan menanda kertas pelajar ni.
Oh ya, isteriku mungkin balik lambat. Apa nak makan tengah hari ini agaknya?
Oh, nasib baik Bonda sudah menyediakan santapan yang enak di dapur.

Masa untuk menyerang dapur!
Ikan pari bakar, sayur pisang masak lemak, siput sedut, sayur kubis, kari ikan.
Gembira.

Oh, baru sahaja menghantar pesanan ringkas kepada isteriku. Dia sudah dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga dia. Oh, kami memang tidak tinggal sebumbung. Gembira! Isteriku sudah mahu pulang! Ketawa.

Ada sesiapa yang mahu percaya bahawa Lord Zara adalah suami orang? Sila baca sini.
Nota Kaki :
1. Kepala aku sedang kurang betul akibat menanda kertas peperiksaan. Maaf.
2. Aku bujang, ya, bujang.
3. Isteri dan suami di atas merujuk kepada aku dan nakama -teman baik aku.
4. Eh, kenapa aku watak suami?
5. Petang ini ada latihan memanjat gunung. Eh, cuaca dah mendung lah!

Zara : Sedang pening sambil ketawa terbahak-bahak membaca jawapan para pelajar. Ya, jawapan yang boleh membuatkan aku gila dalam masa 5 minit sahaja. Pitam.

Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian.[Halaman Peminat][Kumpulan Pembaca][Bab 01] [Bab 02][Bab 03][Bab 04][Bab 05][Bab 06][Bab 07][Bab 08] [Bab 09][Bab 10][Bab 11][Bab 12][Bab 13][Bab 14][Bab 15] [Bab 16][Bab 17][Bab 18][Bab 19][Bab 20][Bab 21] [Bab 22] [Bab 23] [Bab 24][Bab 25]

Friday, June 11, 2010

Awak, Saya Tak Suka Perempuan Yang Gila Bola. Kalau Ajak Awak Bercinta, Boleh Terbalik Dunia.


Salam semua.
Apa khabar kalian hari ini?
Maaf, pagi tadi penulisan agak emosi.
Senyum.
Sudah bertambah baik selepas meluahkan.

Laporan hospital.
Nenda masih di hospital. Dia sudah redha dan bersetuju untuk menerima rawatan di mana sahaja. Sebelum ini dia berkeras enggan pergi meneruskan rawatan disebabkan mendengar omongan kosong yang prosedur itu merbahaya. Ah, mahu sahaja aku layahkan penampar pada orang yang menyatakan, 1 daripada 1000 orang akan mati kalau melakukan prosedur masukkan kamera di dalam perut. Nenda mungkin takut menjadi peratusan yang 1 daripada 1000. Alhamdulillah, hari ini dia sudah bersetuju.

Ada doktor kacak yang serupa dengan Ashraf Muslim di hospital tadi. Eh, comel. Tidak, aku pandang hanya sekali sahaja bila dia lalu di hadapan mata. Betul, aku tidak berpaling untuk kali kedua disebabkan aku ternampak gambarnya terpampang di dinding pula. Eh, kalau renung di situ tidak mengapa kan? Ketawa. Ah, jangan jadi nakal.

Pesanan pelik di Mukabuku.
Aku ada menerima pesanan di Mukabuku. Menurut tuan punya diri, dia adalah pembaca blog aku. Ah, mari kita ikuti apa yang berlaku di dalam perbualan kami. Oh ya, aku sekarang ini menjadi manusia yang lebih sarkastik lebih daripada biasa, maka, janganlah cuba membuat onar, lebih-lebih lagi kalau kamu perempuan yang tiba-tiba menyerang aku tanpa usul periksa. Mari letak nama dia sebagai T.

T : Hai Zara. Saya pembaca blog awak. Blog awak menarik.
Z : Salam. Terima kasih membaca blog saya.
T : Awak suka bola ya?
Z : Suka, kenapa?
T : Saya tak suka perempuan yang gila bola. Saya nampak awak letak 'cursor' Manchester United.
Z : Eh, saya memang minat Manchester United.
T : Piala Dunia mula hari ni. Awak tengok juga ke?
Z : Mestilah! Sekali dalam masa 4 tahun tu.
T : Awak, saya tak suka perempuan yang gila bola.
Z : Apa motif awak cakap begini dengan saya?
T : Kalau ajak awak bercinta, boleh terbalik dunia.
Z : Kejadah nak ajak saya bercinta bagai? Dan kenapa boleh terbalik dunia?
T : Sebab kalau lelaki, dia sampai tak hirau kekasih di tepi. Kalau awak pun mesti begitu kan?
Z : Eh, awak tak tahu ke saya sebenarnya lelaki?
T : Biar betul?
Z : Betul, saya lelaki.

...dan sudah hampir satu jam (ketika aku menaip ini), T tidak membalas lagi pesanan aku. Apakah dia sudah mati atau pitam dengan penipuan aku? Ketawa.


Ya, sepak mula hari ini!

Oh, aku memang gilakan bola sepak. Terima kasih buat mereka-mereka yang mengecam aku kalau pasukan yang aku sokong kalah. Eh, kalau mahu menerima nasib yang sama dengan murid-murid atau rakan sekerja aku di sekolah disebabkan mengapi-apikan aku, ayuh, buka gelanggang, kita beradu. Senyum.

Untuk Encik T.
Maaflah kalau kekasih hati kamu perempuan yang gilakan bola macam aku. Jangan nak melampiaskan kemarahan pada aku yang tidak ada kena mengena ini ya? Oh, untuk pengetahuan kamu, bekas kekasih pertama (oh, nak juga tulis kan? - walhal itu cerita 3 tahun lepas) aku, tidak kisah dengan fakta aku sukakan bola sepak dan gila menonton setiap perlawanan.

Eh, sangat menarik kalau kekasih sama-sama suka menonton bola sepak. Itu satu hobi yang boleh dikongsi bersama, dan lebih menarik kalau berkongsi minat kelab atau negara yang sama. Ketawa. Eh, itu dikira satu impian ke untuk memiliki jejaka sebegitu rupa? Oh, mimpi Zara, mimpi di siang hari lagi.

Nota Kaki :
1. Bertungkus lumus menyiapkan menanda kertas jawapan pelajar.
2. Bersedia untuk Piala Dunia. Bak kata Bonda, tahajud jangan lupa. Ya, agak sentap di situ.
3. Nakama, senyum mari. Senyumlah ya? Aku tidak pandai pujuk orang agaknya. 
4. Ketawa dengan keberanian orang yang bertanya soalan-soalan panas di Borang Spring atau di Mukabuku. Aku sudah nyatakan, aku tidak akan buka siapa pun manusia disebalik itu. Sudahlah.
5. Sudah lama tidak bermain futsal. Akhir sekali bermain semasa hari guru. Alahai.

Zara : Tangan lenguh sedikit tetapi masih lagi berusaha untuk menaip dan menggarap sesuatu. Ah, kalau tidak sempat malam ini, mungkin di waktu lain. Aku semakin tumpul dalam menulis agaknya.

Thursday, June 10, 2010

Kau Dari Dulu Memang Begitu, Tidak Pernah Berubah | Tidak Salah Kalau Kau Cari Dia Untuk Lafaz Cinta


Salam semua.
Terima kasih atas doa yang dititipkan buat nenda.
Masih lemah tetapi beransur pulih.
Oh, nenda adalah mak kepada Bonda.
Satu-satunya yang aku masih ada kerana Abah sudah yatim piatu dan Bonda sudah yatim.
Ya, hanya tinggal Nenda.
Moga-moga dia kembali sembuh seperti sediakala.

Tadi menerima pesanan daripada seorang teman, mengusik apa yang aku beli sewaktu bercuti. Entah, aku juga kurang pasti apa yang aku beli. Ketawa. Eh, aku ada beli selimut tebal untuk diri sendiri. Lebih tebal dari selimut merah, tetapi lebih nipis dari selimut merah jambu. Eh, kali ini ianya warna hijau.

Kawan : Beli apa je?
Aku : Biasa-biasa sahaja.
Kawan : Apa yang istimewa?
Aku : Oh, buku. Dah lama aku cari, akhirnya jumpa.
Kawan : Buku?
Aku : Ya, kenapa?
Kawan : Kau dari dulu memang begitu, tidak pernah berubah. Sentiasa gilakan buku.
Aku : Sesuatu yang buat aku senyap dan sunyi kan?
Kawan : Kau kalau dapat buku, memang berubah jadi pendiam.
Aku : (Ketawa)


Biografi Muhammad bin Abdullah (Perjalanan Hidup Seorang Nabi)
Akhirnya aku berjaya memiliki naskah ini setelah lama mencari.
Eh, aku terjumpa nama sebenar nakama dalam buku ini, sungguh buat aku tersenyum sendiri.

Usai mengerjakan solat Maghrib, aku menerima panggilan dari seorang teman. Ah, dia manusia yang cukup dalam bahasanya. Acapkali aku terpaksa meminta dia mengulang lebih dari sekali pengucapannya, agar aku mudah memahami.

Dia : Kau sendiri semula?
Aku : Aku memang sendiri sejak mula. 
Dia : Tiada lagi cinta berlainan jantina?
Aku : Bahkan sesama jantina juga tidak akan pernah ada. Berlainan jantina, biarkan masa menentukan.
Dia : Mesti kekal percaya dengan janji Allah.
Aku : Itu wajib.
Dia : Aku mahu meluahkan perasaan. Boleh bukan?
Aku : Silakan, itu memang gunanya teman.
Dia : Aku sudah jatuh hati dengan seorang lelaki.
Aku : Ah, pasti manusianya hebat hingga mampu buat kamu terbuka hati.
Dia : Mungkin, dan aku serba salah.
Aku : Kenapa?
Dia : Haruskah meluahkan pada dia?
Aku : Dia sudah punya teman istimewa?
Dia : Setahu aku tiada. Tetapi dia kata, dia menunggu wanita yang hadir dalam mimpinya.
Aku : Ah, begitu sekali?
Dia : Kelihatannya dia percaya dengan mimpi itu, bahkan setiap kali juga akan menyebut nama wanita tersebut.
Aku : Wanita itu wujud?
Dia : Sepertinya mungkin wujud, dan dia berkeras mahu tunggu wanita itu.
Aku : Manusia yang kental pendiriannya. Sekarang kamu teman?
Dia : Teman berbual dan simpan bicara sahaja. Pernah juga aku bermain kata dengan dia, tapi kalah.
Aku : Kau kalah? Berbual tentang apa?
Dia : Tentang peribadi barangkali, aku lupa. Oh, dia mahu ibunya memilih jodoh buatnya kalau wanita dalam mimpi itu tidak dijumpai di alam realiti.
Aku : Kau pinang sahaja dia dulu, habis cerita.
Dia : Kalaulah semudah itu, pasti aku sudah lama lakukannya.
Aku : Jangan suka manusia itu disebabkan hanya terdorong nafsu, itukan yang kita percaya?
Dia : Bahkan aku sukakan dia demi agama dan percaya dengan naluri dan hati ini.
Aku : Banyakkan berdoa. Kalau dia untuk kau, pasti akan jadi milik kau. Kalau tidak, jangan kecewa.
Dia : Aku sudah siapkan diri untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Aku : Contohnya banjir air mata?
Dia : Keji kau ini. Aku tidak akan biarkan air mata mengalir.
Aku : Ah, itu ayat aku.
Dia : (ketawa)

Teman, kekuatan yang pernah kita sandarkan bukan omongan atau sekadar mainan. Kau kuat dan tabah. Ini mungkin permainan dunia, tapi siapa tahu kalau ia jodoh yang dihantarkan terus ke hadapan mata? Banyakkan bersabar dan berdoa, kalau itu takdirnya untuk bersatu, syukur ke hadrat Allah. Kalau tertulis bukan milikmu, doakan yang terbaik jadi milik sang jejaka.

Nota Kaki :
1. Malasnya mahu mulakan proses menanda jawapan pelajar semula.
2. Gambar belum lagi di muat naik di Mukabuku. Penat.
3. Ramai pengamal perubatan yang kacak di hospital tadi. Eh, kejinya. Kan aku datang melawat nenda. Maksiat mata sungguh kamu Zara, tapi kali pertama itu rezeki bukan? Oh, nakal.
4. Maaf kalau-kalau ada yang kecil hati kerana tidak dapat bertemu tempoh hari. 

Zara : Ada manusia yang menulis dan tetap menggarap sesuatu di dalam kamar biru bertemankan ranjang biru. Buang segala nikmat yang kononnya bakal memberikan bahagia, kerana penderitaan yang dihidu adalah lebih enak dari segala yang dicanangkan suatu ketika dulu.