Showing posts with label Flickr. Show all posts
Showing posts with label Flickr. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

[Gambar] : Celaru - Dalam Pembinaan.




Terlampau banyak yang berlaku dalam dua tiga hari.
Tidak.
Sebenarnya terlampau banyak benda berlaku dalam masa sehari.
Tidak.
Kenyataannya, dalam beberapa jam sahaja banyak yang terjadi.
Itu fakta.

http://farm7.static.flickr.com/6113/6270274312_bb6a482b3e.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr] : Gambar tiada kena mengena dengan penulisan.

"Setitis airmata menyatukan aku dengan mereka yang patah hati. Seulas senyum menjadi sebuah tanda kebahagiaan ku dalam keberadaan. Aku merasa lebih baik jika aku mati dalam hasrat dan kerinduan dari jika aku hidup menjemukan dan putus asa."
(Kahlil Gibran)

Sesuatu yang aku sangat pasti sejak kebelakangan ini adalah terlampau banyak benda yang mahu dipersembahkan demi memenuhi keperluan manusia lain di sisi. Aneh sebenarnya jika difikirkan, kerana itu kebiasaannya menjadi perkara terakhir yang aku mahu lakukan memandangkan setiap kehendak manusia adalah berbeza.

Dan yang lebih anehnya, benda yang tidak ada kena mengena dengan aku dikaitkan dan disampaikan dengan tujuan yang aku sendiri tidak mengerti. Aku manusia yang memilih untuk kekal diam dan hidup dalam dunia aku sendiri asalkan segala kebahagiaan aku tidak kau renggut dengan kata nista ataupun perbuatan durjana. Aku masih lagi kuat untuk menyeka air mata kalau itu pertahanan terakhir yang ampuh.


http://farm7.static.flickr.com/6237/6270611225_14e534a93f.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]

Tatkala memejamkan mata, yang aku lihat hanya karya seorang hamba yang merajai sebuah takhta di sebalik desiran pasir pantai pukulan ombak manja. Mungkinkah epilog bahagia bakal menerjah sebuah pawana usang milik bersama, itu tautan jiwa yang tahu dan rasa. Senyuman terukir bukan satu enigma.

Senyum.
Ukir wajah.
Letak warna.
Ceria.

Muram.
Bibir melengkung.
Wajah suram.
Duka.

Bicara.
Manis, ayuh jamah semua.
Pahit, telan seorang, cicip bersama.
Masin, tuang laju bagi tawar.
Masam, tahan sama, mungkin nanti tukar rasa.

Ketawa.
Biar besar-besar, kuat-kuat.
Tangis.
Biar perlahan-lahan, teresak-esak.
Senyum.
Biar lebar-lebar, pastikan ikhlas.
Mendung, pinggir ke tepi.
Harapan palsu sebab diri masih rindu matahari.
Pasti.


Menelaah setiap runut buat jiwa kacau. Membaca setiap bait buat diri keliru. Hadam dalam rongga, pasak tiang neraca, kulum segala derita. Kalau ini puncak bahagia, pasti akan didaki dan terus didakap penuh luka. Tangan paut erat sendirian, walaupun dilempar kata celaka. Diam pembunuh jiwa!

http://farm7.static.flickr.com/6110/6271913442_6299855e88.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr]
Selamat datang kebahagiaan.
Selamat datang kegembiraan.
Selamat datang kasih sayang.
Selamat datang generasi akan datang.


Di sebalik kegembiraan orang lain bersama dengan manusia yang mereka cintai sepenuh hati dan jiwa serta meneruskan legasi perhubungan, ternyata bukan mudah untuk mengekang nafas manusia yang masih tegar membunuh dengan kata-kata tajam yang tiada makna. Hati kena kental. Jiwa kena tabah. Tapi itulah, sekuat mana pun hati manusia, calar dan kesan yang ditinggalkan itu masih lagi membunuh sebenarnya.

I : Tengok tu, umur 19 dah kahwin.
II : Ni yang umur 20 lebih pun tak ada nak kahwin lagi.

I : Entah menunggu siapa agaknya.
II : Kalau ada yang ditunggulah.

I : Kalau tak ada, boleh masuk kumpulan lanjut usia.
II : Orang umur 20 lebih dah mula kelek anak.

I : Sibuk kerja sangat, lupa nak fikir masa depan nak berumahtangga la.
II : Banyak duit kalau tak ada keluarga nak buat apa?


Percayalah.
Kalau boleh membunuh tanpa dapat dikesan dan ditangkap, mungkin lauk ayam goreng sudah bermandi darah manusia. Itu sahaja.

Nota Kaki :
Diam bukan tanda aku terima segala yang kau lungsurkan pada jiwa seorang hamba.

Zara : Letakkan semua benda yang menyebabkan kita sedih ke tepi dan ingat segala yang menggembirakan. Lupakan segala masalah dan hargai segala nikmat yang ada.

Friday, October 21, 2011

Awak Belajar Tentang Dia Setiap Hari.


Selamat datang kasih sayang.
Selamat datang segala dugaan.
Selamat datang pahit manis kehidupan.
Selamat datang kebahagiaan perasaan.
Selamat datang kegembiraan.
Selamat pulang kedukaan.

http://farm7.static.flickr.com/6239/6262582299_9abd851404.jpg
[Koleksi peribadi] : Cawan atas meja kerja.

Awak.
Setiap hari adalah proses pembelajaran.
Pembelajaran yang menyeronokkan. 

Setiap apa yang dilalui ibarat kelas Sosiologi - belajar mengenai manusia dengan lebih mendalam dengan memahami tabiat, perbuatan, naluri dan sebagainya. Apa yang dihadapi setiap hari adalah perkara baru yang membawa kepada perkongsian yang menggembirakan setelah melalui kepayahan yang panjang.

Awak.
Dia kata awak tidak mendengar.
Tetapi pada awak, awak sudah mendengar.
Awak sudah berikan perhatian dalam setiap butir bicara.
Bahkan awak boleh mengulangi setiap perkataan yang dia hamburkan.
Tetapi pada dia, awak sekadar mendengar.
Apa yang dia mungkin harapkan lain. 

Dan di situ awak sedang belajar.
Dan dia juga perlu belajar.

Awak.
Dia kata awak tidak ambil kisah.
Padahal dia adalah manusia yang awak paling ambil kisah.
Manusia yang awak jaga dengan sepenuh hati.
Tetapi itulah, naluri awak dan dia tidak sama.
Awak dan dia perlu memahami persamaan dalam menilai perhubungan.
Dia mungkin perlu tengok awak sangat mengambil berat.
Awak mungkin perlu tunjukkan yang awak paling mengambil berat.
Aneh?

Dan di situ awak sedang belajar.
Dan dia juga perlu belajar.

Awak.
Dia kata dia tidak rasakan awak bersama dia.
Padahal awak sedang berdiri di hadapan dia.
Renung mata dan amati gerak geri dia.
Pelik dengan cara dia.
Mungkin bukan kehadiran fizikal yang dia mahukan.
Mungkin benda lain.
Mungkin perasaan itu yang perlu ada.

Dan di situ awak sedang belajar.
Dan dia juga perlu belajar.

http://farm7.static.flickr.com/6099/6265235667_4143273d0a.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr] : Ya, tangan aku.

Dan apa yang awak pelajari itulah sebenarnya bakal menguatkan awak dan dia dalam perhubungan. 
Awak akan menikmati satu rasa yang lebih baik (mungkin) setelah awak lebih kenal dia (dan dia kenal awak) dalam menyulam rasa.

Awak, ingat lagi kata kunci kita berdua?
Kata kunci hati kita berdua.
Awak ingat lagi?

Masa kita mula-mula kenal, awak cuma nampak permukaan jiwa saya.

Masa mula-mula kita kawan, awak cuma nampak luaran hati saya.
Tapi awak terima dan awak mula tamak.

Awak berdiri di luar hati saya.

Awak ketuk perlahan-lahan.
Awak datang setiap masa, setiap hari.
Awak tanya, bila agaknya awak dapat masuk ke pintunya.

Awak datang setiap hari sehingga saya kehilangan diri.

Awak marah saya - awak kata saya menyelinap masuk ke dalam hati awak tanpa perlu usaha.
Saya termangu - saya dalam hati awak, jiwa awak?
Awak merayu - berikan awak kunci, kata laluan atau apa sahaja agar awak bisa masuk ke dalam.

Saya berikan awak kata laluan.

Awak buka dengan perlahan.
Awak mula berikan sepenuh tumpuan dengan tinggal di situ.
Awak baca setiap helaian manuskrip dalam hati saya.
Lembaran demi lembaran awak baca.

Awak, bila tiba halaman yang sukar untuk difahami, mengapa awak berdiam diri?

Mengapa awak tidak mahu lebih mengerti?
Mengapa awak tidak mahu bertanya kepada saya, tuan punya diri?

Awak, hati yang awak masuki adalah hati saya.

Kamus yang awak perlukan adalah saya.
Awak, adakah awak masih mahu membaca lagi?
Atau mahu berpaling pergi?



Itu sahaja.
Tinggal dahulu.

Nota Kaki :
Kau tanya aku bagaimana menghirup udara yang kadangkala menyesakkan nafas dan menendang nyawa? Jawapannya mudah sahaja. Kau lebih tahu apa penapis untuk membiarkan kau terus bernyawa dan menikmati bahagia.

Zara : Benar barangkali cinta itu penawar. Kerana asakan cinta, manusia menjadi kuat, menjadi lebih tabah dalam menjalani kehidupan. Sesuatu yang indah, apa perlu lagi kita merosakkan dengan sikap yang tiada ertinya dalam kehidupan kita sendiri?