Showing posts with label Langit Aku. Show all posts
Showing posts with label Langit Aku. Show all posts

Sunday, May 02, 2010

Bingkisan Manisan Secangkir Senyuman.


Bingkisan Manisan Secangkir Senyuman.

http://farm5.static.flickr.com/4070/4417312415_27531f8868_b.jpg

Sebuah kotak dibuka setelah dipilin tanpa kesan.
Mentari mencuri, menyelinap masuk tanpa sebarang tanda memilih insan.
Deruan hembusan bayu mengalunkan ilham puisi ketuhanan.
Dan dia memilih duduk mencari ketenangan.

Birai kotak berdebu diusap perlahan.
Sepi menyelubungi sekeping hati yang dipenuhi kesunyian.
Langit cerah, tapi ada titisan gerimis lembut mula menerjah tangan.
Menelusuri setiap jejak yang ditinggalkan.

Seribu pahlawan.
Helaian manuskrip bukan riwayat dongengan.
Ada bait-bait lusuh kenangan.
Sesuatu mengacau minda, buat dia mengukir senyuman.
Desiran angin buat kepanasan diganti kesejukan.
Mana janji bungkusan manisan?

Satu, dua, tiga, empat sampai lapan.
Kotak terlepas dari jari yang diselimuti sarung tangan.
Goncangan.
Goncangan.
Derakan.

Bangun dari kasur yang menjadi alas punggung seharian.
Pandang ke sudut kanan.
Ada sesuatu dari bungkusan sudah bertaburan.
Ada jejak merah saga yang menarik perhatian.
Bening mata menyoroti tidak terungkapkan.
Mata seorang perempuan.

Ah, itu kenangan.
Itu butiran manisan.
Ornamen bisu sudah dipadamkan.
Bibir merkah dengan secangkir senyuman.
Jari memilih yang mana berkenan.
Larut dalam cinta ciptaan Tuhan.

Satu, dua, tiga empat sampai lapan.
Kira, masuk dan hadam sendirian.
Ada potret beku yang direnung secara berhadapan.
Telan manisan.

Manisan dan senyuman.
Senja turun di ufuk, awan berarak lalu perlahan.
Dia menunggu seorang insan.
Yang bakal muncul dari belakang menghadiahkan pelukan.
Hangat diikuti ciuman.
Suatu kesaksian.

Shafaza Zara Syed
Ranjang Hijau Teratak Keluarga
4.30 petang 2 Mei 2010

*******

Salam sayang buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Cuaca di sini yang panas buat aku malas untuk mengolah pengalaman indah.
Menitipkan sebuah madah yang dicoret tatkala mengenangkan sebuah wajah.
Wajah kesayangan milik hati perempuan.
Nota kaki :
1. Senyuman tidak akan padam dari bibir yang mengalunkan irama kasih sayang.
2. Sedang menggarap Legasi Cinta Alisia Bab 17 dengan perlahan.
3. Mendung muncul bila matahari dilitupi awan.
4. Hati mengenangkan seorang teman yang kini bergelar tunangan orang. Pantasnya masa berlalu meninggalkan kita mengecapi memori.

Zara :  Perlip yang kau titipkan ibarat sinaran matahari. Ia tetap gagah bersinar dan walaupun kita terpaksa menempuhi gerhana, kecerahannya pasti akan muncul semula dan memberikan kehangatan pada ruang marga yang paling dalam kekal bercahaya.

Wednesday, December 09, 2009

Awak Buat Saya Bahagia Sampai Sanggup Mati Tiga Kali.




Sedang berguling mengira waktu untuk lari pulang ke rumah.
Sudah menyelesaikan urusan menjaga pelajar yang mengambil peperiksaan hari ini.
Berguling ke kanan, berguling ke kiri.



Si Merah berbunyi.
Ada pesanan ringkas dari seorang teman.

Teman : Tengah buat apa?
Aku : Kat sekolah. Bertugas.
Teman : Hidup macam mana sekarang?
Aku : Hidup aku berbentuk jantung dan petak.
Teman : Hidup basah lagi?
Aku : Tidak.
Teman : Masih tengok langit?
Aku : Setiap hari.
Teman : Awak buat saya bahagia sampai sanggup mati tiga kali.
Aku : Kau nak mati tiga kali? Gila.
Teman : Salah hantar. Itu untuk kekasih hati. Abaikan sahaja.
Aku : Oh, nak aku tolong jawabkan?
Teman : Nak jawab apa?
Aku : Kalau awak mati tiga kali, saya kena sediakan kain kapan tiga kali, kenduri pun kena lebih lagi.
Teman : Macam haram.
Aku : Aku menyatakan yang tersirat.

Zara : Rindukan perkataan bahagia yang semakin sirna dalam kehidupan sebagai seorang wanita muda. Kegembiraan pati terpenting dalam kehidupan dan aku sedang menghirupnya dengan rakus dan gembira.


Sunday, July 05, 2009

"Air Kepala" Dan Jualan Garaj


Aku menemani Mak dan Abah ke jualan barangan terpakai semalam.
[Ya, aku akan tulis mengenai hal itu selepas ini]

Banyak barangan yang ditemui dan aku sukai.
Kebanyakkannya adalah perabot dan aku juga menemui sesuatu yang aku mahukan.
Oh ya, akan aku khabarkan dalam penulisan yang akan datang.

Cuaca sangat panas, bahang, terik!
Aduhai.
Aku dapat mengambil beberapa gambar langit dan awan lagi.
Gembira sungguh hati ini.



**Antara gambar awan dan langit yang aku ambil di Batu Pahat semalam**

Berjalan mencari harga dan tawaran yang terbaik membuatkan diri aku hampir terhidrat.
Air bekalan sudah habis menyebabkan aku menghampiri satu kedai jualan.
Aku lemparkan senyuman tatkala penjual menyedari kehadiran aku.

"Cik Adik nak air apa?"

"Air kelapa ni satu ya?"

"Cik Adik Manis suka kepala ya?"

"Hah?!"

"Eh, tidak. Maksud saya, kelapa"

"Ya."

Nota Ciuman : Aku sedang memuatnaik beberapa gambar jualan garaj.
Akan dipersembahkan kepada kalian nanti.
Sementara itu, sila tekan SINI untuk gambar langit serta awan.

**Terkini**

Pelbagai benda boleh ditemui di jualan garaj semalam.
Mak dan Abah mahu mencari perabot rumah.
Ya, rumah sudah siap diperbaiki, jadi ini masanya mencari barangan rumah.



Ini antara yang menarik minat aku semalam.
Nampak comel sekali, tetapi malangnya, sudah ditempah oleh orang.
Kesedihan betul.

Pelbagai barang menarik hati aku untuk diabadikan bersama buat tatapan kalian semua.





Dua patung di atas memang sangat menarik.
Masih belum punya pembeli lagi.



Aku tertanya-tanya apa kegunaan benda ini.
Aduhai.



Ini benda sangat menggamit memori aku.
Ya, unta.



Set sofa jati ini menjadi milik kami.
Ya, harganya cukup murah.
^___^

Anda boleh melihat lebih banyak foto dengan menekan SINI.
Sila berikan komen jika anda pengguna "MukaBuku"
Sayang kalian semua.
Selamat berhujung minggu!

Monday, June 29, 2009

Aku Sukakan Langit Dan Awan


Aku sukakan langit.
Langit menceritakan apa yang ada dalam diri aku.
Aku sukakan biru, hitam dan putih.
Langit telah melukiskan segalanya buat aku.



Aku nampak kelibat seekor unicorn di langit ketika ini.
Salah mata aku atau aku biarkan khayalan dan imaginasi menguasai diri?
Awan memutih dan aku tersenyum melihatnya.

Langit yang aku tinggalkan di kampus Selatan,
adakah sama dengan langit yang aku lihat petang tadi?
Aku rindu...

Nota : Untuk gambar langit lagi, sila tekan SINI.



Oh ya,
aku letakkan gambar-gambar langit itu di dalam akaun "MukaBuku" aku.
Sila tinjau jika kamu berkenan.
Esok sudah mula bekerja.

Monday, April 20, 2009

Seluar Kecil Kamu Jatuh, Sila Ambil Di Atas Tanah...


Dunia aku hanya di meja berwarna jingga ini.
Makanan aku hanya roti coklat kismis.
Minuman aku hanya secawan dadah.

Nota-nota tulisan aku bertaburan.
Aku penat.

Aku tarik langsir.
Aku tebarkan pandangan ke luar.
Kawasan pembinaan sebelah asrama aku.

Aku pandang langit.
Cuaca cerah.

Aku pandang ke tanah.
Mari memulakan pengiraan.

Satu, Dua, Tiga, Empat, Lima dan seterusnya...
Baju besar, baju kecil, baju dalam, baju luar...
Seluar besar, seluar kecil, seluar dalam, seluar luar...
Selimut...
Tuala...

Hasilnya?

Terdapat pelbagai seluar.
Terdapat pelbagai baju.
Terdapat pelbagai warna.

Kenapa ini yang menjadi pemandangan indah buat aku?
Aku perlukan ketenangan.
Esok perjuangan bermula.
Alahai.

Nota : Jika warga blok aku baca blog ini, sila ambil seluar kecil yang jatuh itu.
Aku berkira-kira berapa lama dia akan tersadai di tanah.

Saturday, March 21, 2009

Maaf, Aku Basah Lagi Kerana Kamu.




Aku basah lagi hari ini.
Walaupun langit mendung dan langit tidak berhenti menghiburkan aku dengan
dendangan kilat serta guruh,
aku sudah basah di sini.

Aku basah dengan air mata.
Aku sudah basah.
Maafkan aku teman, nilai kebergantungan aku pada kamu sangat tinggi.
Apakah aku mampu melihat kesedihan menyelubungi kamu?
Tidak.

Aku menunggu.
Aku masih menunggu.
Air mata aku diseka ke tepi.
Aku sayang kamu.



Nota : Jawapan balas dari Tuan Nanako aku telah terima.
Akan aku kirimkan disini selepas emosi aku kembali teratur.
Adakah kamu akan menunggu aku?