Monday, December 29, 2014

Semangat Sekolah.




Dari zaman aku sekolah, sampai aku dah kerja jadi cikgu sekolah, aku memang suka persediaan sebelum memulakan sesi persekolahan. Sesuatu yang aku sangat tunggu walaupun semuanya sudah berbeza daripada dahulu.

Masa zaman sekolah, bergelar murid --- seingat aku, setiap kali sebelum penggal awal tahun bermula, Abah akan bawa kami pergi pasar raya. Beli alatan sekolah. Bukannya benda-benda mewah, alat tulis sahaja. Yang boleh dibeli dalam kadar yang banyak supaya boleh dikongsi untuk kami semua guna. Abah, Emak pun cikgu --- jadi, kalau beli kira pukul rata semua orang dapat bahagian masing-masing. 

Jadi, bila beli alat tulis, apa yang kami pegang tak semestinya akan dapat kami beli. Mesti ada justifikasi dan semuanya haruslah keperluan, bukan kehendak. Sebagai contoh, aku dapat beli warna pastel Buncho yang botol dua belas tu. Tapi bukan setiap tahun aku dapat ya? Katakan ada warna yang dah habis, aku boleh beli warna yang habis sahaja. Bukan mengada nak beli lain. Sama juga macam kami dapat pensel, pen, pembaris, pemadam baru tapi kalau bekas pensel kami masih boleh digunakan, maka bekas pensel tak boleh beli baru. 

Aku rasa, cara Emak dan Abah yang beli borong alat tulis termasuk buku latihan adalah salah satu benda yang aku ikut sampai sekarang. Aku akan beli barang keperluan aku, dalam kadar yang aku boleh guna sampai setahun atau lebih kadangkala. Salah satu sebab mengapa mereka beli dalam kuantiti yang banyak adalah, kalau kami kehabisan alat tulis (hilang selalunya -_-"), memang akan ada stok di rumah.

Memang aku gila begitu dan baru-baru ini aku jumpa alat tulis yang boleh dibeli secara atas talian, memang lagi gembira aku beli. Kebetulan pemiliknya adalah kenalan aku juga, dengan tawaran harga yang menarik, serta layanan yang bagus --- memang aku beli dengan gembira.

Beli dari @paperdorable. Pemilik dia kacak. Heh!

Siapa yang gila beli alat tulis macam aku juga?
Angkat tangan!

Ah!
Tadi aku baru beli beberapa barang keperluan lagi selepas Menteri Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan 2015 akan ditangguhkan seminggu atas beberapa sebab. Tangguh maksudnya aku punya lebih waktu untuk bersama dengan Muhammad dan selesaikan beberapa kerja yang lain. 


--- via iPhone.

Sunday, December 28, 2014

Perang Hampir Mula.




Mesyuarat pertama sudah dihadiri minggu sudah. Buku pengurusan aku dah perhati halaman demi halaman. Ada banyak benda baru yang perlu aku pelajari demi menghadapi tahun hadapan.

Fuh!
Sekarang ini masih Disember 2014, tetapi jadual aku untuk Januari 2015 sudah hampir penuh. Nampak gayanya, kehidupan aku memang akan dihabiskan di sekolah dan rumah tentunya seperti biasa. Cuma, tahun 2015 pastinya lebih sibuk memandangkan ada beberapa perkara yang aku menggalas kedudukan agak besar. 

Masuk tahun keenam berkhidmat, aku masih banyak perlu belajar. Nota untuk diri sendiri, tahun ini aku perlu mengumpul semua bahan tentang apa aku lakukan dan simpan segala dokumen berkaitan. Menuju ke tahun kelapan perkhidmatan, nampaknya kena lebih bersedia menghadapi pelbagai ujian dan dugaan.

Oh ya, masa aku mesyuarat kali pertama, Muhammad ke rumah pengasuh. Bekalan susu dihantar seperti biasa dalam 13oz. Habis dia minum, Alhamdulillah. Cuma yang aku khuatir adalah bekalan susu makin berkurangan dalam peti sejuk dan bagaimana nak menghadapi kekangan untuk itu semua nanti? 

Moga-moga bekalan susu sentiasa dapat dipenuhi untuk keperluan Muhammad. Moga-moga. 

Nampaknya, perang sudah mahu mula.



--- via iPhone

Thursday, December 25, 2014

Macam Mak Orang





Cuti sekolah hampir tamat.
Aku sebenarnya berperang dalam waktu cuti ini dengan kehadiran si kecil yang punya pelbagai ragam. Cuti hujung tahun yang sangat berbeza berbanding apa aku lalui sebelum ini. 

Entah mungkin Muhammad tahu Bonda dah nak naik sekolah gamaknya, jadi, dia mahu hadiahkan Bonda beg yang lebih mahal di mata. Lebih mahal lebih bagus ya, Muhammad? Jadi, beg bawah mata Bonda ini sekarang apa? Hermes?

Jadi, bila aku mengadu pada suami aku pasal aku kurang dapat rehat siang dan malam, nanti dia akan tersengih.

Aku : Muhammad tak nak tidur. Saya tak dapat nak rehat pun hari ni.
Suami : Kesiannya. Muhammad nakal eh?
Aku : Dah macam apa dah saya ni?
Suami : Macam mak orang lah.
Aku : Ewah.
Suami : Macam mak-mak kan memang tak cukup tidur sebab jaga anak. Awak dah macam tu la sekarang.
Aku : Ya la. 
Suami : (sengih)

Sekarang ini, seiring dengan peningkatan usia, dia dah ada kemahiran baru. Bukan meniarap (sebab dia nak mengiring sahaja, bila aku tolong dia meniarap, dia menangis) --- tapi menangis dengan menjerit selantang yang boleh. Sampai keluar air mata, punyalah sayu meraung. Sentiasa nak Bonda atau Daddy dalam ruang pandangan dia. Kalau menangis, mahu diangkat. -.-"

Bukan aku tak nak layankan dengan sentiasa angkat, (hati Bonda sayu kalau dengar anak menangis), tapi, entah sejak hampir dua bulan ini, kedua-dua belah tangan aku sakit. Pelik juga sebab aku tak pernah terseliuh, atau punya kecederaan lain.

Jadi, lepas aku ke klinik dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor, kes aku dirujuk pada Unit Rehabilitasi. Mengikut doktor, saraf kedua-dua tangan aku bengkak dan entah apa istilahnya, dan aku perlu menghadiri terapi. Nasihat yang paling aku payah nak hadam adalah --- "Puan, kalau boleh kurangkan angkat benda-benda berat. Kalau boleh, angkat anak pun kurangkan"

Macam mana Bonda nak buat begitu wahai Muhammad? Nampak awak menangis menjerit pun, Bonda dah berkejar nak dapatkan awak. 

Harap tangan makin baik. Nak naik sekolah dengan tangan sakit ni, nak menulis pun payah. Hatta nak buat kerja dapur pun jadi perlahan. Hmmm.


--- via iPhone.


Wednesday, December 24, 2014

Berhenti Sejenak


Muhammad dan Bonda. Astaka Morocco, Putrajaya. 17 Disember 2014

Salam.
Sudah hampir lima purnama rupanya aku punya putera yang mendambakan perhatian setiap masa. Lebih-lebih lagi apabila aku tiada depan mata, dia punya menangis --- macam nak runtuh langit dunia.

Dalam masa empat bulan lebih ini, ternyata aku tidak bisa lagi untuk pentingkan diri sendiri. Kalau dulu, bila penat aku boleh rebahkan diri dan menikmati waktu istirehat dengan aman. Segala yang aku mahu lakukan, boleh sahaja aku tangguh. Tapi kini, aku kalau dapat tidur dua jam tanpa terganggu sahaja sudah cukup bertuah. Rasa mahu sujud syukur. Bukan merungut, tetapi itu bagaimana hidup aku sudah berubah. Begitu juga dengan membaca buku. Bila dia tidur, masa itulah yang aku mahu kejar buat benda lain, sampai buku sudah mula menjadi menara. Heh!

Aku dulu bukannya jenis orang yang kalau nampak bayi akan teruja mahu pegang, timang. Memang bukan aku disebabkan aku sangat takut kalau bayi orang lain jatuh dan sebagainya. Kalau orang letak bayi atas pangkuan aku, memang sampai ke sudah aku akan kaki langsung tidak bergerak. Hanya bila aku sudah punya Muhammad, baru aku pegang bayi - secara mudahnya, memang aku kelek anak aku sendiri sahaja. Dasar penakut!

Aku masih dalam proses belajar banyak benda dalam hidup. Dengan adanya Muhammad, aku meneruskan proses pembelajaran itu. Bila dia sakit, berkejar ke klinik seawal pagi. Bila masih kurang sihat, gigih Google cari pakar kanak-kanak terdekat dengan kediaman. Sanggup tunggu waktu pakar itu ada di klinik, demi anak. Padahal bila diri sendiri sakit, nak makan ubat pun malas. Payah dipaksa. Ha ha ha.

Ada orang kata, untuk manusia berubah, selain keinginan mereka untuk berubah, mesti ada orang lain sebagai faktor penyumbang. Dalam hidup aku kini, selain aku nampak lebih jelas fungsi keluarga --- terima kasih Mak, Abah, adik-adik aku, yang aku nampak punyai suami dan kini, anak adalah mengapa, aku mungkin bukan aku yang boleh redah semua sekali macam dulu. Tanpa peduli sangat apa yang bakal berlaku.

Aku sekarang dah macam hati ayam. Heh! Kalau dulu, jika ke pantai, aku berlari mahu menikmati ombak menghempas ke kaki, tapi kini langkah aku terhenti di tepi --- memikirkan wajarkah aku melangkah, kasut masuk pasir dan kaki basah atau aku hanya perlu menikmati pemandangan dari jauh sahaja. 

Ah!
Ada tangan kecil yang menarik baju supaya aku berhenti menulis. Kaki kecilnya sudah menendang tanda kurang puas hati Bondanya tidak beri perhatian. Aku undur diri dahulu.

Nota Kaki :
Maaf buat mereka yang aku lambat balas soalan di SpringMe. Ada juga yang masih rajin menghantar email - yang kalau tak masuk spam, aku balas secepat yang boleh.


--- via iPhone

Tuesday, December 23, 2014

Terus Tulis



Ada satu ketika.
Saat semua orang sudah maju mengejar cita-cita.
Aku tertinggal di belakang, mematikan kata.
Menghumban aksara.

Ada satu ketika.
Aku lihat semua teman meneruskan perjuangan.
Ternyata aku kehilangan.
Ilham coretan.

Seringkali aku hanya menulis bila dipinta.
Disogokkan dengan tema.
Dibekalkan dengan rangka.
Supaya aku mampu melunaskan cerita.

Pernah terlintas di minda.
Barangkali aku sudah tua.
Untuk bersaing menelusuri abjad, melakar karya.
Tapi, aku tersedar atas satu perkara.

Apa yang aku mahukan selama ini hanya perkongsian.
Bukannya sanjungan.
Hatta lambakan pujian.
Bahkan yang aku dengar hanya cercaan.
Tapi, untuk siapa semua coretan?

Kan aku masih punya diri sendiri.
Yang tidak akan pernah lupa kaki atas Bumi.
Yang tidak akan alpa usap kepala dan tiup semangat pada hati.




Rumah Kecil.
1605 : 23 Disember 2014


Monday, December 22, 2014

Teja #02



http://a420coop.com/wp-content/uploads/2013/05/depression_1-ad78d208bfd0907a122c249a74cd8f6ff184705e-s6-c101.jpg

**********
“Pain produces progress. So if you truly love me, you will try to hurt me as much as you can. If you really want me to grow as a person, you will water me with betrayal, abuse, neglect, derision, thievery, and possibly even torture.” 
― Jarod Kintz
**********

“Kau tetap nak kahwin dengan Malim?”
“Apa salahnya?”

“Kau jangan jadi gila Teja. Kau tengok lebam-lebam di badan kau tu”
“Aku salah. Malim hukumlah aku”

“Ni bukan hukum. Ni macam dera dah ni”
“Seri, aku boleh bertahan. Aku sayangkan Malim. Tu cuma cara dia tunjukkan cinta”

“Kau akan menyesal suatu hari nanti”
“Kau jangan doakan aku camtu. Jarod Kintz kan pernah kata kesakitan akan menghasilkan progress”

“Pergi jahanam dengan falsafah kau. Kau akan kesal nanti Teja sebab biarkan diri kau hanyut dengan manusia macam Malim tu”
“Seri!”

Seri menghempas pintu bilik dengan kuat. Entah apa yang merasuk temannya, dia sendiri tidak mengerti. Teja, gadis manis yang pendiam, jatuh hati dengan Malim, rakan sekerjanya. Tetapi, Malim yang dikenali Teja sejak enam bulan yang lepas adalah manusia yang tidak sedar dek untung. Sudahlah kalau bayaran rumah sewa lewat pun, Teja yang membayarkannya, tergamak jantan itu pukul Teja sesuka hati apabila hatinya rawan dengan masalah peribadi. 

Yang lebih tidak difahami Seri, Teja dengan senang hati menerima apa sahaja yang dilakukan oleh Malim terhadapnya. Cinta memang buta, tapi Seri fikir Teja yang membutakan mata hatinya sendiri. Setiap apa yang dinasihatkan, hanya berakhir dengan gelengan dan senyuman Teja.

Bunyi ketukan di pintu memadamkan lamunan Seri. Mesti Teja berdiri di luarnya. Memujuknya setiap kali Seri menghambuskan diri dari kamar. Hatinya sering kali berbolak balik. Teja perlu diajar supaya lebih mengerti apa yang bakal terjadi jika dia terus kekal degil begini.

“Seri”

Seri kekal bungkam di atas katil. Biarkan Teja memanggil selama yang dia mahukan. Seri enggan ambil peduli. Acapkali dia harus beralah dengan Teja, rasakan kali ini, Seri mahu tunjukkan dia juga keras kepala.

“Kau dah tidur ke Seri? Aku minta maaf. Aku sayang Malim, aku sayang kau juga. Good night Seri.”


(bersambung)

Sunday, December 14, 2014

Teja #01


http://a420coop.com/wp-content/uploads/2013/05/depression_1-ad78d208bfd0907a122c249a74cd8f6ff184705e-s6-c101.jpg
[Sumber Gambar]


“We're staying together," he promised. "You're not getting away from me. Never again.” 
― Rick Riordan

**********

        “Teja!”
“Apa lagi?”

“Balik pada aku”
“Tak nak!”

“Kau jangan degil Teja!”
“Cukuplah selama ini aku bodoh”

“Apa maksud kau?”
“Kau ni bodoh ke, Malim?”

“Kurang ajar!”

Serentak dengan herdikan Malim, Teja terbaring di atas lantai. Penampar Malim berbekas di pipi Teja yang mulus. Acapkali begini. Bergaduh, bertikam lidah dan akhirnya Teja juga jadi mangsa. Selama ini dia mampu bersabar, tapi bukan kali ini. Teja tahan air mata dan cuba bangkit. Malim meluru ke arah Teja dan menampar muka Teja berulang kali.

“Sakitlah bodoh!”
“Diam betina!”

Teja ketap bibir dan biarkan Malim yang sudah hilang akal dengan kemarahannya yang membuta tuli. Sedikit sahaja lagi. Sedikit sahaja lagi penderitaan ini akan berakhir. Dia enggan mahu terus sakit lagi.


(Bersambung)