Showing posts with label Kehidupan Bertiga. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan Bertiga. Show all posts

Sunday, April 19, 2015

Cara Tenangkan Diri Sendiri


Aku rasa bila umur mula menginjak ke nombor yang lebih besar, manusia akan jadi lebih sensitif. Aku rasa aku pun mula termasuk dalam golongan itu. Kalau selama ini aku boleh pura-pura ketawa kalau aku sakit hati sekalipun, tapi kebelakangan ini aku dah kurang mampu. Muka aku terus mencerminkan apa hati aku rasa. Hakikatnya dulu pun mudah tersentak, tapi sekilas boleh terus ubah macam cool.

Malangnya aku mungkin dah kurang cool.
Malangnya, dengan manusia, susahnya aku mendidik hati agar berlapang dada apabila disakiti. Aku cuba segala zikir, segala doa agar aku baik-baik sahaja, tapi bila terfikir semula hal berkenaan, aku jadi sakit semula. Bengang juga dengan diri sendiri, tetapi aku masih usaha lagi. Usaha untuk pujuk hati sendiri memandangkan kalau aku sakit hati macam mana pun, bukan golongan berkenaan akan tahu. Aku juga yang menanggung sendiri rasa sakit macam selalu.

Berita baiknya, selain daripada membaca buku, aku sudah ada kegemaran baru sejak beberapa bulan lepas. Sesiapa yang mengikuti aku di Instagram (@lordzara), mungkin sudah nampak apa yang boleh dihadiahkan buat aku nanti masa bulan Ogos. Heh! Bukan begitu, cuma kegemaran aku yang pantas dan menenagkan : sudah aku temui.

Hoyeah!

https://igcdn-photos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xfp1/t51.2885-15/1516305_875544719173879_1333843203_n.jpg
Hari ke-12 #listersgottalist

https://igcdn-photos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11079028_365110607022176_234119634_n.jpg
Hari ke-13 #listersgottalist

https://igcdn-photos-b-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11142106_1563404917253857_1624220724_n.jpg
Hari ke-14 #listersgottalist

https://igcdn-photos-f-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11084857_880428052014373_1879797987_n.jpg
Hari Ke 15 #listersgottalist
https://igcdn-photos-b-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11084710_471521896335665_1630916876_n.jpg
Hari ke-16 #listersgottalist
https://igcdn-photos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11116924_613086378791800_1355191461_n.jpg
Hari ke-17 #listersgottalist

https://igcdn-photos-c-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xfa1/t51.2885-15/11094458_813472862067402_1999193735_n.jpg
Hari ke-18 #listersgottalist

Aku temui kegembiraan baru dengan menulis dalam ruang yang terhad, dengan menghias #feltdori aku dengan pelekat dan washi tapes. Jadi setiap kali aku rasa marah, geram, aku akan keluarkan planner aku dan mula menulis perkara yang menggembirakan aku. Heh.

Apa pula yang anda buat untuk tenangkan diri?

Saturday, March 07, 2015

Pengalaman Bersalin Anak Pertama


Salam semua.
Minggu ini aku mengajar tentang tajuk Keturunan dan Variasi di Tingkatan 4, selain daripada tajuk Pembiakan di Tingkatan 3. Mengajar tentang Keturunan dan Variasi di Tingkatan 4 (kelas ini bagus dan memberikan kerjasama yang baik di dalam makmal), banyak soalan dan perkongsian bersama di dalam kelas bersama mereka.

Memandangkan aku sudah pernah mengandung dan melahirkan anak, jadi, bila mengajar tajuk berkaitan dalam mata pelajaran Sains, sedikit sebanyak ia membantu kepada penerangan aku, di mana, aku sendiri menjadikan diri sebagai contoh realiti. Heh! Dibantu juga oleh pengalaman rakan-rakan aku yang lain. Jadi, ada murid tanya aku :

"Cikgu, sakit tak bersalin?"
Bolehlah aku kongsikan rentetan peristiwa dalam bentuk garis masa.

[31 Julai 2014]
Pagi itu, dari Segamat (kampung suami), aku singgah di Poliklinik BS disebabkan hari itu genap 38 minggu usia kandungan aku. Disebabkan 2 minggu sebelumnya ada kesan darah dalam air kencing aku, maka, atas nasihat doktor, aku periksa lagi sekali air kencing. Didapati hasilnya kurang baik dan jururawat mencadangkan agar aku teruskan makan ubat.

Disebabkan aku kurang berpuas hati (sebenarnya aku takut), maka aku singgah HPSF sebelum ke majlis perkahwinan sepupu aku. Ya, sepupu aku, Maryam nikah dan kahwin pada hari itu, tetapi aku sibuk ke klinik, hospital dan sebagainya. Jumpa doktor dan ujian air kencing dibuat sekali lagi. Mak telefon aku banyak kali bertanyakan keberadaan aku sebab aku belum tiba lagi di majlis perkahwinan sepupu.

Hasil ujian air kencing menunjukkan normal, tiada darah atau protein. Sama ada sebab aku dah minum air masak banyak sangat ataupun ujian sebelumnya salah - itu aku dah tam ambil peduli. Yang aku tahu, nak sampai cepat ke majlis sepupu aku, walaupun akhirnya tiba jam 1 petang.

Bergambar, makan macam biasa, walaupun orang tegur kaki aku bengkak bagai, petang itu sebelum pulang ke rumah, kami sempat singgah ke 2 rumah terbuka. Oh ya, ini Raya Ke-4.

Tiba di rumah, dah Maghrib. Jadi, aku memang bercadang, nak mandi, solat dan selepas itu, tidur sebab terlampau penat seharian.

Tetapi, ternyata, impian aku tinggal impian.

[31 Julai 2014 : 07.50 malam]
Usai solat, aku baru melabuhkan punggung di birai katil dan bercadang nak baring, bunyi "pop" kedengaran dan aku basah dengan air. Melambak-lambak. Dalam fikiran aku :

"Gosh! Air ketuban pecah!"
Jerit panggil suami yang sedang mandi, panggil Mak Abah dan sesiapa sahaja di luar bilik ketika itu, kebetulan pintu bilik tak bertutup, adik aku jengah bertanya kenapa. Bila aku maklumkan tentang air ketuban dah pecah, adik aku bergegas panggil Mak. Suami yang keluar dari bilik air terus bersiap untuk menghantar aku ke hospital. Lawaknya, Abah boleh keluarkan Naza Ria, tetapi Mak pantas menghalang suruh guna Saga. Mana mungkin nak panjat Naza Ria dengan keadaan dah lencun bagai. Sepanjang perjalanan, Mak menenangkan aku (yang masih terkejut tetapi tiada rasa sakit langsung), dan Abah memandu dalam kelajuan 60km/j. Santai sungguh. 

[31 Julai 2014 : 08.20 malam]
Tiba di HPSF. Terus disorong ke labor room. Diperiksa bukaan sudah 4cm. Masih tiada rasa sakit. Air ketuban masih keluar. Jantung bayi semua baik. Tekanan darah juga baik. Maka, aku dihantar ke labor room untuk bersedia untuk melahirkan. Ramai doktor keluar masuk periksa sama ada pesakit sudah mahu melahirkan atau tidak. Mulut aku terkumat kamit membaca doa yang Mak ajarkan pada aku. Di dalam bilik yang aku ditempatkan, ada doa yang sama. Maka, aku baca perlahan-lahan sambil memikirkan bila ada rasa mahu bersalin.

Semasa doktor keluar masuk, kebetulan aku nampak kawan sekelas aku semasa di sekolah menengah yang bertugas sebagai doktor. Ya Allah, bersyukurnya aku jumpa seseorang yang aku kenal disebabkan suami aku tak boleh menemani aku. Prosedurnya, kalau bersalin di HPSF, suami perlu masuk kelas. Suami aku tak ambil kelas di HPSF (sebab kami sendiri tidak tahu di mana akan bersalin). Kami ambil kelas dari jam 8 pagi - 5 petang di Putrajaya. Malangnya, pihak HPSF memaklumkan bahawa kena ambil kelas di HPSF juga kalau nak tengok isteri bersalin. Jadi, dia tunggu di luar sahaja. Faham bahawa lain hospital, lain prosedur.

Disebabkan ada kawan aku itu, dia benarkan suami aku masuk untuk jumpa aku sebentar. Bukan untuk teman. Jumpa, berikan kata-kata semangat dan keluar. Jadilah kan? Dari tak dapat jumpa langsung. Selepas itu, aku terbaring sambil selawat, baca doa dan tunggu bukaan. Bila bukaan dah 6cm, aku masih belum rasa sakit.

[31 Julai 2014 : 10.00 malam]
Sebenarnya aku segan juga sebab kawan aku yang doktor itu yang periksa aku, tapi jujurnya aku buang rasa malu itu dan meletakkan kepercayaan kepada dia. Sifat percaya itu mengatasi malu aku. Lantaklah aku terkangkang begitu depan dia, sebab aku tahu semuanya berbalik kepada dasar profesionalisme. Terima kasih sangat Aped. Tanpa kau, aku rasa aku cuak sendiri.

Bila hampir kepada 7 atau 8cm (aku lupa), masih belum ada rasa sakit, ubat sudah dimasukkan ke dalam drip aku. Untuk merangsang rasa sakit. Mula-mula memang tiada rasa sakit. Doktor sendiri cakap dengan aku, kalau tiada rasa sakit/memulas, aku tak boleh nak teran bayi keluar. Jadi, aku menunggu rasa sakit itu. Biar datang supaya aku boleh meneran keluar bayi.

Bukaan dah 10cm. Sakit itu sekejap-sekejap cuma. Bila sakit datang, aku diminta untuk meneran keluar bayi. Bila makin lama, makin mengantuk sebab aku memang letih daripada siang. Kawan aku berikan aku semangat supaya tolak sedaya upaya aku semasa sakit. Malangnya, rasa sakit itu sekejap sahaja dan kemudian hilang.

[1 Ogos 2014]
Bacaan jantung bayi semakin menurun, prosedur vakum terpaksa dibuat. Aku sendiri hampir tak sedar apa mereka lakukan sebab yang aku ingat jam sudah melepasi jam 12 malam, aku memang mengantuk. Yang aku ingat, dari tiga orang dalam bilik itu, sudah bertambah menjadi 5-6 orang.

Prosedur vakum pun tak lepas. Kawan aku datang pada aku, beritahu bahawa aku terpaksa menjalani pembedahan C-sect juga. Pakar kanak-kanak masuk dan terangkan pada aku bahawa pembedahan terpaksa dilakukan untuk selamatkan bayi, selamatkan aku juga. Aku tandatangan semua yang perlu sambil disorong ke dewan pembedahan. Pakar bius, pakar bedah semua ada untuk pembedahan kecemasan (saat ini memang bersyukur juga tidak bersalin di hospital swasta disebabkan kes kecemasan).

Bila semua dah bersedia, bius semua dah mula memberi kesan, aku ingat lagi perasaan pisau ditoreh (walaupun tak sakit, tapi boleh rasa pisau lalu), dan semua di kanan kiri aku berinteraksi dengan aku. Aku yang kalah dengan sejuk penghawa dingin mula menggigil sejuk, mereka berikan aku sesuatu untuk kekal suam. 

[1 Ogos 2014 : 2.24 pagi]
Alhamdulillah. Muhammad lahir ke dunia. Pagi Jumaat. Syawal ke-5. Berkongsi Ogos dengan Bonda. Dia ditunjukkan kepada aku dalam keadaan aku yang lemah, mengantuk tetapi sangat bersyukur kerana semuanya baik-baik sahaja. Muhammad terus dibawa pergi untuk diperiksa pakar kanak-kanak dan ditempatkan di NICU.

The rest is history.

Jadi, bila anak murid aku bertanyakan bagaimana sakitnya bersalin, aku boleh kata aku merasa sakit bersalin normal dan pembedahan sekaligus dalam pengalaman pertama. Bak kata jururawat yang menjaga aku (sebab aku duduk bersila semasa nak susukan Muhammad buat kali pertama),

"Puan jangan lupa yang Puan berjahit atas bawah ya?"

Lepas itu, aku trauma sendirian. Aku tak ingat pun aku ada kena jahit di bawah sebab aku mengantuk yang amat sangat. Heh! 

https://igcdn-photos-e-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/10932400_1625047877731180_1870755205_n.jpg
Muhammad dah 7 bulan.

Nota Kaki : Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan petugas di wad bersalin, dewan pembedahan, NICU di HPSF. Kalian memang memberikan layanan yang terbaik.

Sunday, December 28, 2014

Perang Hampir Mula.




Mesyuarat pertama sudah dihadiri minggu sudah. Buku pengurusan aku dah perhati halaman demi halaman. Ada banyak benda baru yang perlu aku pelajari demi menghadapi tahun hadapan.

Fuh!
Sekarang ini masih Disember 2014, tetapi jadual aku untuk Januari 2015 sudah hampir penuh. Nampak gayanya, kehidupan aku memang akan dihabiskan di sekolah dan rumah tentunya seperti biasa. Cuma, tahun 2015 pastinya lebih sibuk memandangkan ada beberapa perkara yang aku menggalas kedudukan agak besar. 

Masuk tahun keenam berkhidmat, aku masih banyak perlu belajar. Nota untuk diri sendiri, tahun ini aku perlu mengumpul semua bahan tentang apa aku lakukan dan simpan segala dokumen berkaitan. Menuju ke tahun kelapan perkhidmatan, nampaknya kena lebih bersedia menghadapi pelbagai ujian dan dugaan.

Oh ya, masa aku mesyuarat kali pertama, Muhammad ke rumah pengasuh. Bekalan susu dihantar seperti biasa dalam 13oz. Habis dia minum, Alhamdulillah. Cuma yang aku khuatir adalah bekalan susu makin berkurangan dalam peti sejuk dan bagaimana nak menghadapi kekangan untuk itu semua nanti? 

Moga-moga bekalan susu sentiasa dapat dipenuhi untuk keperluan Muhammad. Moga-moga. 

Nampaknya, perang sudah mahu mula.



--- via iPhone

Thursday, December 25, 2014

Macam Mak Orang





Cuti sekolah hampir tamat.
Aku sebenarnya berperang dalam waktu cuti ini dengan kehadiran si kecil yang punya pelbagai ragam. Cuti hujung tahun yang sangat berbeza berbanding apa aku lalui sebelum ini. 

Entah mungkin Muhammad tahu Bonda dah nak naik sekolah gamaknya, jadi, dia mahu hadiahkan Bonda beg yang lebih mahal di mata. Lebih mahal lebih bagus ya, Muhammad? Jadi, beg bawah mata Bonda ini sekarang apa? Hermes?

Jadi, bila aku mengadu pada suami aku pasal aku kurang dapat rehat siang dan malam, nanti dia akan tersengih.

Aku : Muhammad tak nak tidur. Saya tak dapat nak rehat pun hari ni.
Suami : Kesiannya. Muhammad nakal eh?
Aku : Dah macam apa dah saya ni?
Suami : Macam mak orang lah.
Aku : Ewah.
Suami : Macam mak-mak kan memang tak cukup tidur sebab jaga anak. Awak dah macam tu la sekarang.
Aku : Ya la. 
Suami : (sengih)

Sekarang ini, seiring dengan peningkatan usia, dia dah ada kemahiran baru. Bukan meniarap (sebab dia nak mengiring sahaja, bila aku tolong dia meniarap, dia menangis) --- tapi menangis dengan menjerit selantang yang boleh. Sampai keluar air mata, punyalah sayu meraung. Sentiasa nak Bonda atau Daddy dalam ruang pandangan dia. Kalau menangis, mahu diangkat. -.-"

Bukan aku tak nak layankan dengan sentiasa angkat, (hati Bonda sayu kalau dengar anak menangis), tapi, entah sejak hampir dua bulan ini, kedua-dua belah tangan aku sakit. Pelik juga sebab aku tak pernah terseliuh, atau punya kecederaan lain.

Jadi, lepas aku ke klinik dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor, kes aku dirujuk pada Unit Rehabilitasi. Mengikut doktor, saraf kedua-dua tangan aku bengkak dan entah apa istilahnya, dan aku perlu menghadiri terapi. Nasihat yang paling aku payah nak hadam adalah --- "Puan, kalau boleh kurangkan angkat benda-benda berat. Kalau boleh, angkat anak pun kurangkan"

Macam mana Bonda nak buat begitu wahai Muhammad? Nampak awak menangis menjerit pun, Bonda dah berkejar nak dapatkan awak. 

Harap tangan makin baik. Nak naik sekolah dengan tangan sakit ni, nak menulis pun payah. Hatta nak buat kerja dapur pun jadi perlahan. Hmmm.


--- via iPhone.


Wednesday, December 24, 2014

Berhenti Sejenak


Muhammad dan Bonda. Astaka Morocco, Putrajaya. 17 Disember 2014

Salam.
Sudah hampir lima purnama rupanya aku punya putera yang mendambakan perhatian setiap masa. Lebih-lebih lagi apabila aku tiada depan mata, dia punya menangis --- macam nak runtuh langit dunia.

Dalam masa empat bulan lebih ini, ternyata aku tidak bisa lagi untuk pentingkan diri sendiri. Kalau dulu, bila penat aku boleh rebahkan diri dan menikmati waktu istirehat dengan aman. Segala yang aku mahu lakukan, boleh sahaja aku tangguh. Tapi kini, aku kalau dapat tidur dua jam tanpa terganggu sahaja sudah cukup bertuah. Rasa mahu sujud syukur. Bukan merungut, tetapi itu bagaimana hidup aku sudah berubah. Begitu juga dengan membaca buku. Bila dia tidur, masa itulah yang aku mahu kejar buat benda lain, sampai buku sudah mula menjadi menara. Heh!

Aku dulu bukannya jenis orang yang kalau nampak bayi akan teruja mahu pegang, timang. Memang bukan aku disebabkan aku sangat takut kalau bayi orang lain jatuh dan sebagainya. Kalau orang letak bayi atas pangkuan aku, memang sampai ke sudah aku akan kaki langsung tidak bergerak. Hanya bila aku sudah punya Muhammad, baru aku pegang bayi - secara mudahnya, memang aku kelek anak aku sendiri sahaja. Dasar penakut!

Aku masih dalam proses belajar banyak benda dalam hidup. Dengan adanya Muhammad, aku meneruskan proses pembelajaran itu. Bila dia sakit, berkejar ke klinik seawal pagi. Bila masih kurang sihat, gigih Google cari pakar kanak-kanak terdekat dengan kediaman. Sanggup tunggu waktu pakar itu ada di klinik, demi anak. Padahal bila diri sendiri sakit, nak makan ubat pun malas. Payah dipaksa. Ha ha ha.

Ada orang kata, untuk manusia berubah, selain keinginan mereka untuk berubah, mesti ada orang lain sebagai faktor penyumbang. Dalam hidup aku kini, selain aku nampak lebih jelas fungsi keluarga --- terima kasih Mak, Abah, adik-adik aku, yang aku nampak punyai suami dan kini, anak adalah mengapa, aku mungkin bukan aku yang boleh redah semua sekali macam dulu. Tanpa peduli sangat apa yang bakal berlaku.

Aku sekarang dah macam hati ayam. Heh! Kalau dulu, jika ke pantai, aku berlari mahu menikmati ombak menghempas ke kaki, tapi kini langkah aku terhenti di tepi --- memikirkan wajarkah aku melangkah, kasut masuk pasir dan kaki basah atau aku hanya perlu menikmati pemandangan dari jauh sahaja. 

Ah!
Ada tangan kecil yang menarik baju supaya aku berhenti menulis. Kaki kecilnya sudah menendang tanda kurang puas hati Bondanya tidak beri perhatian. Aku undur diri dahulu.

Nota Kaki :
Maaf buat mereka yang aku lambat balas soalan di SpringMe. Ada juga yang masih rajin menghantar email - yang kalau tak masuk spam, aku balas secepat yang boleh.


--- via iPhone

Thursday, November 20, 2014

Sebab Masih Hidup



Aku masih lagi macam ibu-ibu muda (kof kof kof) lain. Yang cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan anak bangun malam, esok paginya aku pergi sekolah ala zombie. Dan dalam menyesuaikan diri dalam keadaan begitu, aku akan telefon Mak aku setiap hari. Untuk bercerita tentang apa yang aku lalui, jadi kalau dia dengar, dia akan cadangkan macam-macam benda pada aku.

Jadi seorang Bonda (yeah!) - memang menguji banyak benda pada aku. 
Bila anak menangis malam, bangun nak susu setiap satu jam, aku rasa nak menangis walaupun aku gembira dia nak minum banyak. Aku sedaya upaya tak terlentok terhentak kayu tepi tilam.Walaupun selalu sahaja aku terhentak dan tanggung sakit, tapi tak mengapalah. Demi anak. Semuanya demi anak. Lepas aku susukan dia, aku pass Muhammad pada bapa dia. Bagi can kat Daddy lah!

Dan ya, aku rasa, bila banyak sangat aku risaukan banyak benda, aku akan jadi lebih serabut memikirkan sesuatu yang luar jangka.



Tuesday, September 02, 2014

27 Dan 1.


Sudah dua puluh tujuh usia aku.
Alhamdulillah, Allah masih pinjamkan aku nyawa untuk meneruskan kehidupan atas dunia. Moga dengan usia yang semakin bertambah (yang beerti semakin sedikit tempoh hidup), aku dapat berbakti kepada Mak, Abah, suami, anak, keluarga dan bangsa serta agama aku.

Usia Muhammad juga sudah sebulan.
Sedar tidak sedar, aku sudah jadi Bonda selama sebulan (tambah tolak tiga puluh hari).
Ya Allah, memang pantas masa berlalu, nanti mesti dah nak naik sekolah dan Muhammad perlu dicarikan pengasuh secepat mungkin. Sekuat-kuat, sekasar-kasar Bonda, bila tiba waktu Muhammad menerima suntikan --- cepat-cepat aku serahkan pada suami. Aku takut walaupun aku seorang yang tidak takut suntikan. Bila tiba anak, haih, Bonda jadi rapuh.

Terima kasih Mak, Abah yang berkorban menjaga aku dalam pantang disebalik kesibukan mereka dengan kerja juga. Terima kasih juga buat suami yang berulang setiap hujung minggu bagi melihat aku dan Muhammad di Muar.

http://photos-e.ak.instagram.com/hphotos-ak-xfa1/10624331_370183826465748_850778957_n.jpg
Potret pertama keluarga ketika usia Bonda 27 tahun.

Semoga Bonda cepat sihat.
Semoga Muhammad sentiasa sihat.
Semoga Ayahanda sentiasa sihat.
Agar kita dapat kembali ke Kajang dan cuba hidup bertiga.