Tuesday, October 09, 2012

#15 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Hidup sejak kebelakangan ini penuh sangat dengan cerita. Ada yang manis, ada yang pahit serta ada juga yang tanpa rasa. Mahu kata tawar, itu masih satu rasa. Tapi begitulah aku percaya, manusia melalui apa yang mereka perlu lalui - sama ada mahu ataupun tidak. Aku memilih untuk terus berjuang dalam kehidupan aku walaupun ternyata benda ini sedikit sebanyak memakan kekuatan diri. Tidak mengapa, terus, bangkit dan pertahankan apa yang aku miliki.

Ternyata dalam menulis - walaupun sekadar blog picisan (serta digelar sampah - ya, aku tahu kalian baca) - ada juga yang membenci. Entah apa dalam diri manusia begini, aku mampu senyum sahaja. Walaupun bukan daripada pemerhatian aku sendiri - dan diberitahu oleh kawan-kawan yang aku suka, ternyata orang begitu ketandusan kasih sayang - mungkin petanda suatu ketika dahulu sering dibuli ataupun mereka sendiri sebenarnya kaki pembuli - yang akhirnya, setelah dewasa - menjadikan Internet sebagai ruang untuk mencari masalah dengan orang lain. Aneh tapi doakan yang baik sahaja untuk mereka. 

Seperti kata M - Mereka tak punya kuasa, tak punya apa-apa, yang mereka ada hanya laman sosial untuk melontarkan kata hina dan cela. Terima kasih M sebab beritahu aku tentang benda begini, tapi aku rasa, bila L minta kau tidak hiraukan mereka, itu yang kau patut buat. Sebab aku tidak rasa terjejas, dan kau, walaupun seringkali memilih untuk kekal jadi bayangan - kita berdua tahu, perkara begini tidak perlu dilayan. Manusia bongkak akan ditelan tanah juga suatu hari nanti. Ya benar, mereka masih manusia.

[Sumber gambar]

Alhamdulillah. Benda yang dirancang berjalan dengan baik walaupun diakui manusia macam aku kelam kabut (tengok sahaja diwarisi daripada siapa, heh!) apabila mendapat perkhabaran teratak keluarga bakal dikunjungi oleh keluarga lain. Sudah tentu banyak benda yang mahu dilaksanakan tetapi tuntutan kerja serta kekangan waktu menyebabkan ala kadar sahaja - tetapi aku harap para tetamu yang datang berkunjung berpuas hati dengan apa yang dihidangkan serta layanan kami sekeluarga. 

Kita sebagai manusia kadangkala terlupa (ya, aku sendiri selalu begini) - tentang kenyataan bahawa hidup dalam masyarakat ada benda yang walaupun kita enggan ambil tahu dan peduli, kita harus sahaja ambil berat supaya tidaklah tercanguk bila diberitakan sesuatu perkara.

Apa pun, kehidupan sibuk sudah bermula lagi. Jaga diri semua :)

3 comments:

didie noxious said...

keluarga lain dtg bertandang?tujuan apa kak zara?adakah khabar gembira?

NIA SI DRUMSTICK said...

suke baca penulisan zara.. :)

farsyah said...

saya suka stail penulisan akaq :)