Sunday, May 02, 2010

Bingkisan Manisan Secangkir Senyuman.


Bingkisan Manisan Secangkir Senyuman.

http://farm5.static.flickr.com/4070/4417312415_27531f8868_b.jpg

Sebuah kotak dibuka setelah dipilin tanpa kesan.
Mentari mencuri, menyelinap masuk tanpa sebarang tanda memilih insan.
Deruan hembusan bayu mengalunkan ilham puisi ketuhanan.
Dan dia memilih duduk mencari ketenangan.

Birai kotak berdebu diusap perlahan.
Sepi menyelubungi sekeping hati yang dipenuhi kesunyian.
Langit cerah, tapi ada titisan gerimis lembut mula menerjah tangan.
Menelusuri setiap jejak yang ditinggalkan.

Seribu pahlawan.
Helaian manuskrip bukan riwayat dongengan.
Ada bait-bait lusuh kenangan.
Sesuatu mengacau minda, buat dia mengukir senyuman.
Desiran angin buat kepanasan diganti kesejukan.
Mana janji bungkusan manisan?

Satu, dua, tiga, empat sampai lapan.
Kotak terlepas dari jari yang diselimuti sarung tangan.
Goncangan.
Goncangan.
Derakan.

Bangun dari kasur yang menjadi alas punggung seharian.
Pandang ke sudut kanan.
Ada sesuatu dari bungkusan sudah bertaburan.
Ada jejak merah saga yang menarik perhatian.
Bening mata menyoroti tidak terungkapkan.
Mata seorang perempuan.

Ah, itu kenangan.
Itu butiran manisan.
Ornamen bisu sudah dipadamkan.
Bibir merkah dengan secangkir senyuman.
Jari memilih yang mana berkenan.
Larut dalam cinta ciptaan Tuhan.

Satu, dua, tiga empat sampai lapan.
Kira, masuk dan hadam sendirian.
Ada potret beku yang direnung secara berhadapan.
Telan manisan.

Manisan dan senyuman.
Senja turun di ufuk, awan berarak lalu perlahan.
Dia menunggu seorang insan.
Yang bakal muncul dari belakang menghadiahkan pelukan.
Hangat diikuti ciuman.
Suatu kesaksian.

Shafaza Zara Syed
Ranjang Hijau Teratak Keluarga
4.30 petang 2 Mei 2010

*******

Salam sayang buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara.
Cuaca di sini yang panas buat aku malas untuk mengolah pengalaman indah.
Menitipkan sebuah madah yang dicoret tatkala mengenangkan sebuah wajah.
Wajah kesayangan milik hati perempuan.
Nota kaki :
1. Senyuman tidak akan padam dari bibir yang mengalunkan irama kasih sayang.
2. Sedang menggarap Legasi Cinta Alisia Bab 17 dengan perlahan.
3. Mendung muncul bila matahari dilitupi awan.
4. Hati mengenangkan seorang teman yang kini bergelar tunangan orang. Pantasnya masa berlalu meninggalkan kita mengecapi memori.

Zara :  Perlip yang kau titipkan ibarat sinaran matahari. Ia tetap gagah bersinar dan walaupun kita terpaksa menempuhi gerhana, kecerahannya pasti akan muncul semula dan memberikan kehangatan pada ruang marga yang paling dalam kekal bercahaya.

Saya Balik Lambat Sebab Ibu Bapa Saya Bergaduh : Selamat Ulang Tahun Ke-35 Bekas Bakal Suami!


Salam hujung minggu semua.
Apa khabar kalian yang dikasihi?
Moga dalam keadaan yang sihat sejahtera.
Aku masih tiada nafsu untuk menulis puisi atau novel.
Menunggu Empunya Marga hadir di sisi dengan tabah saat ini.

Malam tadi menghadiri kenduri di rumah Mak Long. Sebelum itu singgah di rumah Mak Ngah dan selepas kenduri terus ke rumah keluarga Abah. Jumpa dengan saudara mara. Seperti biasa, pasti ada perbualan yang mencuit hati dan memandangkan mereka semua ada Mukabuku, status yang aku tulis sudah tentu menjadi kontroversi pada mereka. Ketawa.

Hal keluarga menjadi antara topik utama. Memandangkan ramai yang masih di asrama, maka topik asrama antara yang menjadi bahan, lebih-lebih lagi adik aku yang belajar di MRSM Muar tidak dapat pulang minggu ini. Ketawa. 

Makcik : Dia tak balik?
Aku : Tak. Tapi petang tadi dah pergi tengok dia.
Makcik : Oh, dah lama tak jumpa dia.
Abah : Dia kalau balik pun sekejap sahaja.Lepas itu, berkejar nak hantar semula, takut lambat.
Makcik : Budak-budak ini, kena balik sebelum pukul 6. Hari itu teringat apa yang anak cakap, masa hantar dia balik, lambat sikit.
Aku : Apa dia?
Makcik : Ada tiga orang termasuk dia balik lambat. Jadi warden tanya seorang-seorang.
Aku : Bagi alasan apa?
Makcik : Dia cakap dia balik lambat sebab kena hantar kakak kelas tambahan. Yang kawan dia nombor dua sebab rumah nenek ada kenduri.
Aku : Nenek kahwin ke? Alasan P. Ramlee. (ketawa)
Makcik : Yang ketiga lagi sedih alasan.
Aku : Apa dia?
Makcik : Dia cakap mak bapa dia bergaduh. Pastu warden tanya, siapa hantar awak balik?
Aku : Siapa?
Makcik : Pakcik dia hantar dia balik. Sebab pakcik dia rumah dekat situ.
Aku : Alahai.

http://media.timeoutchicago.com/resizeImage/htdocs/export_images/195/195.x600.outthere.dinnertime2.jpg?

Kasihan mendengar alasan sebegitu. Luluh hati bila mendapat tahu warden siap membuat panggilan telefon untuk mengesahkan perkara tersebut, dan terbukti ianya benar. Jujur sungguh anak itu. Sentiasa mendoakan agar keluarga aku dalam keadaan bahagia tanpa ada sebarang masalah yang boleh menggoyahkan kegembiraan kami. Oh, buat aku teringat kepada lampu ajaib tuan punya sarkas. Ini boleh kira permintaan kan?

Keluarga, kawan, teman-teman dan sahabat serta Empunya Marga antara sebab mengapa aku terus tabah menghadapi hidup dengan kekuatan yang kadang-kadang menipis dan menebal. Walaupun kesakitan, aku masih mengukirkan senyuman agar kekuatan yang disalurkan oleh mereka tidak aku bazirkan begitu sahaja. Betapa aku manusia yang kosong tanpa kehadiran mereka. 

Oh, aku mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun ke tiga puluh lima buat bekas bakal suami aku. Maaf, kita tidak ditakdirkan untuk bersama kerana hati aku masih dipunyai oleh jejaka -jejaka yang berasal dari Malaysia. Betapa Bonda pasti akan kecewa kalau aku memilih kamu wahai lelaki yang bertapak dalam hati semenjak tahun 1998. Maaf sekali lagi. Aku hanya mampu mengucapkan selamat ulang tahun dari jauh buat kamu setiap tahun.

Cinta kita tidak mampu bersatu disebabkan kehadiran isteri dan anak-anak kamu wahai wajah kesayangan. Maka, dengan ulang tahun kelahiran ke-35 kamu ini, aku hanya mampu mendoakan agar kamu terpilih mewakili skuad kebangsaan dalam Piala Dunia kali ini. Kalau berjaya, ini mungkin kali terakhir kamu dapat beraksi.

http://prncsjenny.files.wordpress.com/2009/06/david-beckham.jpg

Selamat ulang tahun ke-35 David Robert Joseph Beckham!

Nota kaki :
1. Kalau ada sesiapa yang mahu muntah dengan separuh perenggan di atas, silakan.
2. Masih meneruskan pembacaan untuk temuduga.
3. Menunggu Empunya Marga muncul dengan tabah.
4. Belum memulakan garapan untuk Legasi Cinta Alisia.
5. Membangunkan seseorang untuk peperiksaan dia pagi tadi. Ketawa aku dengar suara orang bangun tidur dan pasti terpisat-pisat. Romantik kah? Ketawa.

Zara : Mendendangkan doa dalam setiap sujud aku agar kamu bertambah kuat demi meneruskan perjuangan yang telah ditakdirkan wahai wajah kesayangan. Aku titipkan kasih sayang dan keampunan di hujung setiap kalimah agar permohonan ini didengari oleh Yang Maha Esa. Pembawa senyuman dalam marga menghimpun kekuatan, menyimpan tenaga dalam menunjukkan wajah kepada dunia. Biarkan bumi disirami hujan, menyapu derita yang pasti akan menemui noktah kerana erti bahagia bukanlah sesuatu yang mustahil bagi kita yang redha dan percaya akan takdirNya.

Saturday, May 01, 2010

Along, Tahun Ni Kan Along Umur 23, Bila Nak Kahwin? : Menu Majlis Kahwin Adalah Ubi Rebus, Boleh?


Salam semua.
Naskah LCA sudah aku ketepikan buat sementara ini.
Nafsu menulis sudah tersekat akibat sesuatu yang aku tidak dapat zahirkan.
Kesakitan itu ditelan dan dihadam sendirian.
Perlu terus melangkah walaupun disiat dan ditusuk sembilu berulang kali.

Usai pulang dari majlis perkahwinan (yang aku langsung tidak hadiri akibat masalah kesihatan), adik duduk mengeluarkan segala benda yang diterima di rumah pengantin. Nasi dan pelbagai lagi. Dan aku mencapai aiskrim kepunyaan budak berumur sepuluh tahun yang tidak dibenarkan melawan kalau kakak ini mahu. Cuaca panas dan aiskrim itu sangat menyegarkan. Ketawa.

Bonda : Tadi rumah Cikgu K makan lontong. Abah kamu merungut tiada sambal kacang.
Aku : Semalam baru makan lontong, itu pun mahu bising ke?
Bonda : Abah kata, kalau lontong mesti lengkap.
Aku : Ceh, semalam dah makan lengkap dengan sambal kacang segala.
Bonda : Rumah pengantin tiada sambal kacang.
Aku : Makanlah dengan lauk lain.
Bonda : Itulah pasal. Kalau rumah kita buat majlis nanti, mak nak buat ubi rebus sahaja. (sambil pandang adik)
Adik : Siapa nak kahwin? Along ke?
Aku : Apa hal Along pula?
Adik : Tahun ni kan umur Along 23?
Aku : Dah tu?
Adik : Kakak kawan-kawan Ayim dah ramai kahwin.
Aku : Itu orang lain, Along lain.
Adik : Along bila?
Aku : (angkat kaki dan masuk bilik) 

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-sjc1/hs079.snc3/14639_359838665542_885375542_10125004_3608917_n.jpg
(Oit, nak cari gaduh dengan Along ke?)

Itu gambar budak yang berumur sepuluh tahun, masih dalam Tahun Empat dan meracau mahu buat Mukabuku malam tadi. Satu-satunya kawan baik aku dalam rumah ini dan boleh disuruh membuat kerja walaupun tiada upah. Selalunya umpan dengan duit juga, tapi dia jarang mahu terima duit. Dia lagi suka kalau dapat makanan ringan. Atlet sekolah yang sudah makin hitam legam seperti kakak dia ini. Ketawa.

Budak kecil ini tidak habis-habis dengan soalan yang sama. Hari itu bila dia tanya soalan yang sama, aku tutup mulut dia dengan coklat. Bila mulut dah penuh dengan coklat, dia tidak boleh bertanya. Bagus kan aku? Menutup minda kreatif pelajar ke? Tidak, itu tidak benar. Senyum.

Dan aku jujurnya belum mahu memikirkan tentang perkahwinan buat masa ini. Masih muda barangkali, dan calonnya entah ada atau tidak, entah bersedia atau tidak, aku sendiri kurang pasti. Biarlah aku meladeni hidup ini dengan cara tersendiri. Lagi pula, masih banyak yang perlu dikecapi.

Nota Kaki:
1. Sedang membuat nota untuk temuduga.
2. Mendengarkan lagu yang meruntun jiwa buat aku tersenyum bahagia. Petanda gila?
3. Membuang seseorang dari Mukabuku aku agar tidak perlu lihat apa yang dia tulis lagi.
4. Buku catatan Legasi Cinta Alisia sudah dicemari oleh darah yang terhambur keluar sebentar tadi.
5. Otak sedang berdenyut dalam kadar 45 kali dalam masa satu minit.

Zara : Sudah cukup puas mengajar diri menjadi tabah. Lihat semua kenangan beku masa milik Empunya buat diri mencarik musnah senyum palsu di wajah. Ganti dengan senyum milik sendiri yang rasanya lebih manis dari biasa. Kalau rindu itu bisa buat kau dan aku bersatu, biarkan ia menerjah laju!

Terima Kasih Adamaya : Selamat Hari Pekerja Buat Semua. Penulis Blog (Blogger) Juga Pekerjaan Kan?


Salam hujung minggu semua.
Tiada nafsu untuk menulis tatkala diri sedang dihambat oleh kekangan masa.
Ah, maaf, aku tidak menulis puisi lagi.

Ada yang bertanya, mengapa aku tidak menulis mengenai drama bersiri bertajuk Adamaya sedangkan aku mengamuk dan meracau di Twitter tatkala cerita itu bersiaran di kaca televisyen. Jawapan aku mudah sahaja, aku akan menulis menggunakan emosi dan bukan tentang cerita itu sesungguhnya. Ketawa.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiuzlEfSofsmNHiTr8-kCAi4FAT_osowj76mvG8M5K3GaJdUAHbapZOXyGkJBUHzMVvtsD9aAZPaknpJ3aZw9OZGp6TsagHSl3czg6zj1cm0eViZCU9TIeCwl2lejs2YYgKk9RllvehDgF8/s400/adamaya.jpg
[Gambar aku pinjam dari blog peminat fanatik cerita ini]

Kembali kepada persoalan, mengapa aku mengucapkan terima kasih kepada drama ini?
Disebabkan aku mengemaskini status Twitter setiap kali cerita ini bersiaran, tidak kira aku emosional, gembira atau sebagainya, aku pasti akan menemui rakan baru di Twitter. Selalunya adalah wanita yang juga tidak berpuas hati dengan jalan cerita serta yang menyukai detik-detik indah dalam cerita ini. Oh, tidak dilupa juga, mereka yang sama-sama emosional dengan aku. Ketawa.

Aku sukakan watak Adam. Mewakili lelaki baik yang belum pasti masih wujud atau tidak di luar sana. Eh, silap. Masih ramai lelaki baik yang wujud, tetapi untuk mencari yang sebaik Adam, mungkin kedengaran agak mustahil. Mungkin, tapi insyaALLAH, masih ada.

Watak Maya sekarang ini memang menjadi kebencian yang teramat sangat. Watak Dani juga amat menjengkelkan. Rasa mahu meletupkan kaca televisyen bila sedang menonton cerita ini. Nah, kan aku kata aku mengikut emosi yang teramat sangat? Baik, aku perlu berhenti menulis tentang ini. Senyum.

Selamat hari pekerja buat semua.
Penulis blog juga satu bentuk pekerjaan rasanya.
Maka, ucapan ini khas buat kalian juga.

Terima kasih buat seorang kawan yang menjadi orang pertama mengucapkan selamat hari pekerja kepada aku. Ah, kamu tidak pernah terlewat untuk jadi orang pertama meraikan aku dalam bentuk ucapan walaupun sekali wahai teman. Tiada sesiapa yang dapat mendahului kamu. Terima kasih kerana ingat bahawa guru juga masih satu bentuk pekerjaan. 

Nota kaki :
1. Semalam (30.04.2010) genap dua tahun pemergian Pak Long Man (abang sulung kepada Bonda). Hari ini bakal menghadiri kenduri di rumah keluarganya. Moga roh Allahyarham dalam rahmat dan lindungannya.
2. Seminggu yang lepas (23.04.2010), genap dua tahun pemergian Pak Ngah Zaman (abang ipar Bonda - suami kepada kakak Bonda). Melihat sepupu-sepupu semakin tabah, aku juga tumpang bangga melihat mereka terus melangkah.
3. Ada empat majlis perkahwinan yang perlu dihadiri hari ini. InsyaALLAH, mungkin akan pergi.
4. Menerima panggilan telefon daripada Hazami Bahrin Daniel. Walaupun sudah menjadi seorang bapa, kamu masih nakal dan terjal seperti dahulu. Bikin aku ketawa sahaja.

Zara : Sedang menyira kekuatan sedaya upaya dalam mengukir senyuman di wajah. Perlip sedang berkerlipan walaupun aku tidak mampu mengira degupan yang mula sirna. Satu persatu dongengan dicurah dengan maulhayat agar ia nyata dan terus kuat.