Salam semua.
Ah, pagi cuti yang sepatutnya aku habiskan bersama dengan kawan-kawan berbasikal bukit, tetapi aku terperangkap di dalam rumah akibat kecederaan di tiga tempat di kaki (entah bagaimana mata Mak boleh tajam sangat nampak bengkak di lutut, betis dan buku lali). Pemutusnya, kereta aku dihalang keluar meninggalkan rumah walaupun basikal memang sudah sedia di dalam kereta.
Ah, demam panas aku semakin meningkat suhunya (Memang akan jadi kemarahan si dia bila aku degil mahu terus dengan aktiviti lasak yang memamah tenaga diri tanpa fikir kesihatan sendiri). Maaf sayang, aku memang begini, tidak, kita berdua memang sama-sama degil bukan?
Ketawa.
[Gambar : Kita sama-sama duduk di dalam kasut yang sama kan?]
Aku, manusia beku yang tahu menulis apa yang aku rasa aku perlu luahkan pada dunia. Mungkin tidak menarik bagi kebanyakan manusia lain, tapi yang merasa dan membaca berkongsi asas sama, pasti dapat menilai apa ia sekadar repekan atau tulisan munasabah. Ah, itu bukan persoalannya bukan?
Ada sesuatu yang menarik minat aku dalam dunia maya ini, salah satunya adalah perbalahan antara manusia yang berterusan tanpa ada sebab yang munasabah selalunya. Ah, manusia memang makhluk aneh bukan? Benda sedikit yang tidak menganggu mereka akan dibesarkan menjadi satu pertengkaran yang berterusan padahal masalah besar ditutup sebelah mata.
Ludah.
Baiklah.
Merujuk kepada persoalan di atas, aku memilih yang kedua, iaitu hasil penulisan. Kenapa? Aku akan beri justifikasi berdasarkan pendapat peribadi aku sendiri. Kalau sesiapa rasa mahu sentap sehingga mahu rentap pakaian dan sebagainya, sila dapatkan baju tambahan di kedai berhampiran.
[Gambar : Begini tidak perlu identiti bukan? Ketawa]
1. Hasil penulisan sebab identiti itu hak peribadi masing-masing.
Identiti setiap penulis adalah hak peribadi mereka. Siapa mereka di sebalik tulisan mereka tidak menjadi masalah buat aku. Ya, ada yang dengan terang-terangan menonjolkan diri mereka dan ada pula yang lebih gemar duduk menulis di belakang skrin tanpa mendedahkan siapa mereka kepada dunia. Pada aku, asalkan penulis selesa, itu lebih baik kerana mereka akan menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Teringat aku dengan seorang penulis blog yang kini sudah kurang mengemaskini blog dia walaupun ternyata dia lebih terkenal daripada artis.
Kawan : Aku kalau boleh putarkan masa, aku nak jadi seperti dahulu.
Aku : Maksud kau?
Kawan : Aku yang orang langsung tak kenal, dapat aku tulis suka-suka tanpa perlu ramai yang menggila.
Aku : Ini bukan apa yang kau nak, memang datang sendiri.
Kawan : Aku tahu, tapi dah sampai kacau hidup peribadi aku, aku rasa bosan, menyampah.
Aku : Kita tak boleh kekang manusia kan?
Kawan : Tahu.
Sampai mengecam peribadi orang, perlukah?
Aku rasa tidak perlu.
2. Identiti bukan satu peluang mengaibkan orang.
Seringkali ada yang menjadikan identiti penulis blog itu untuk mengaibkan mereka. Disebabkan itulah, ramai yang berselindung, enggan mendedahkan diri dan wajah kepada pembaca. Biarlah hasil tulisan mereka sahaja yang dibaca dan diminati ramai dan bukan diri mereka.
Ah, menulis ini sama juga seperti aku yang berkongsi serba sedikit tentang diri. Pembaca kenal aku sebagai guru, dan itu seringkali jadi tohmahan golongan pembenci yang dengan senang hati menuding jari kepada kerjaya aku jika berlaku sesuatu. Sekejap, kalian dulu lahir ke dunia, membesar dan tiba-tiba terus bekerja ya? Hebat! (sambil tepuk tangan kuat-kuat)
Macam aku kata sebelum ini, terlampau ramai yang akan sakit punggung apabila benda yang tidak ada kena mengena dengan mereka jadi bahan untuk terus meluaskan empayar dan bergelar jagoan di dalam gelanggang yang langsung tidak bermutu. Ah, kita yang tentukan di mana kita patut beraksi dan sila ingat, dunia realiti tidak boleh dicerap masuk ke dunia maya kalau tidak kena dengan gayanya.
Itu fakta.
[Gambar : Kau nampak kuku kaki orang berwarna, kau terus tebak dia lupa agama? Mungkin dia ambil gambar kaki orang lain kan? - Ini ternyata memang bukan kaki aku. Ketawa]
Senyum.
Apa lagi yang mahu diselongkar agaknya?
Ketawa.
Sinis.
3. Hasil penulisan akan membawa kepada siapa penulisnya.
Ada orang baca blog dan terus suka disebabkan penulisnya.
Ada orang baca blog sebab dia mendasari tulisannya.
Itu ternyata membawa kepada dua benda yang berbeza.
Sebagai contoh, ada yang asyik membaca blog seseorang itu disebabkan tuan punya blog seorang yang dikenali dengan paras dan penampilan yang menarik walaupun gaya penulisannya sedikit membantu menaikkan lagi sahamnya di mata pembaca. Padahal, isi kandungan serta gaya penulisan itu sebenarnya adalah hak milikan penulis lain yang tiada nilai komersial dan kurang menarik.
Kalau kau menipu di dalam karya (aku anggap menulis blog sebagai satu karya - di mana hasil tulisan itu sepatutnya milikan sendiri), orang akan mendapatkan kau secara menggila. Ada yang menulis jujur pun orang menggila mahu mencari apabila hanya karyanya sahaja tersebar tanpa manusia yang menaip di belakang itu dikenali. Ah, manusia memang mahu mencari benda yang tidak nyata di depan mata. Kalau tidak, mana mungkin aktiviti paranormal muncul melata?
Setuju?
[Gambar : Kadangkala, ada manusia yang mahu lari dari identiti dia sendiri, itu sesuatu yang kau patut hormati]
Citarasa manusia memang berbeza.
Begitu juga menulis, setiap orang punya pemikiran yang berbeza walaupun ada fahaman yang serupa.
Jadi, kalau kau menjadikan memburu dan menghentam orang sebagai sumber utama, ada perkara yang terlepas pandang - mesti ditoleh semula sebelum tersungkur kerana hidup ini tetap bagai pusingan roda. Karma itu terjadi walaupun konsepnya ada yang tidak mengerti bagaimana mahu diasimilasi.
Senyum, pahit lagi.
Jagoan.
Perlu cari gelanggang yang sesuai.
Aku seperti yang dahulu, masih lagi suka menjadi penonton dan pendengar drama yang hebat - bukan penuh dengan ayat melarat dan cacian penuh merempat. Ah, kalau kau pakai bingkai sampai orang jerit mata empat, kau tetap manusia yang bisa jadi hebat, cuma harus kena masa dan tempat.
Hidup ini tidak semudah kau lihat langit dan nampak awan larat.
Tidak kawan.
Sebab hidup kadangkala macam palat.
Tamat.
*******
- Selingan -
Buat penggemar pembeli barangan secara atas talian, anda dijemput untuk ke blog ini untuk membeli barangan yang anda minati. Oh ya, boleh juga menambah Kak Fazemy di Mukabuku dia untuk sebarang urusan pembelian ya? Terima kasih.
Nota Kaki :
1. Cuti Thaipusam aku dihabiskan dengan mengawal diri daripada mengambil ubatan yang ternyata satu simbol aku menolak kewujudan sakit dalam diri. Proses menolak (baca : in-denial) yang aku kurang sihat barangkali.
2. Senyum melihatkan manusia yang tidak dikenali sebenarnya mampu buat diri kau tersenyum sebentar dan melupakan kesakitan.
Zara : Kau yang melanggar punggung kereta aku yang sedang pegun di bawah tempat meletak kenderaan, tiba-tiba kau tarik muka bila aku menghadiahkan senyuman seperti biasa tanpa penuh dendam dan marah? Ini sudah lebih memandangkan kau dan aku ternyata berbeza jantina.