Thursday, January 30, 2014

Dua Belas.


Banyak perkara yang Tuhan berikan pada kita untuk kita lihat kembali --- untuk kita mengkaji adakah kita hambaNya yang bersyukur atau sekadar terima tanpa ada rasa apa-apa. Mungkin, kita menerima dan membawanya sedaya upaya tanpa menyedari setiap daripadanya adalah ujian kecil yang kita perlu tahu keadaan diri (dengan lebih lagi).

Satu benda yang aku cuba untuk memahami dalam kehidupan yang aku lalui adalah bagaimana untuk melakukan semua benda yang diamanahkan dengan tidak menyakiti hati sesiapa walaupun aku terpaksa berperang dengan jiwa sendiri atas pilihan yang aku buat. Duduk dan perhatikan setiap satu daripadanya --- aku yakin yang aku perlu bersyukur sebab aku tak menghadapinya sendirian. Dalam erti kata lain, cabaran satu demi satu muncul, tapi Allah berikan aku seorang teman yang akan sedaya upaya bantu aku. Pasangan aku.

Melihatkan perjalanan sampai ke dua belas, buatkan aku sekali lagi terfikir bahawa, perjalanan masih panjang dan aku kena yakin bahawa semangat yang kuat diperlukan agar aku tidak kecundang dengan cabaran yang mendatang. Bila kesihatan menjadi taruhan, keselamatan diri sebagai satu permainan --- tak akan aku mahu pandang enteng dan korbankan segalanya demi untuk memuaskan keperluan orang lain semata, bukan?

http://distilleryimage1.ak.instagram.com/62edfd3287b811e3ba4f0ebe04367255_8.jpg
Instagram aku : [pautan]



Sunday, January 19, 2014

Lelaki Dan Penanda Buku.


Tabiat aku membaca sangat difahami oleh lelaki ini. Kalau aku diam, senyap sunyi (dan bukannya tidur) --- aku biasanya sedang menguliti buku terbaru yang aku beli. Jadi, tadi, buat kali pertamanya dia nampak tabiat aku yang tidak seperti biasa. 

Dia : Kenapa awak letak buku awak begitu? 

(Sambil tunjuk buku aku dah jadi bentuk khemah pacak, segitiga sebab aku berhenti membaca dan malas nak hafal muka surat) 

Aku : Saya takde penanda buku. Entah mana penanda buku kesayangan saya pergi. Hilang kot?

(Dia pusing - pusing lihat sekeliling, capai sesuatu dan hulur pada aku)

Dia : Nah!

Aku : Ada air. Basah.

Dia : Nah! (Hulur yang lain)

Aku : Thanks. 

Macam dalam gambar. Aku ada penanda buku baru --- syarikat penghantaran makanan pantas. Heh!


http://distilleryimage8.ak.instagram.com/4dfc5b5c810111e38936125381345354_8.jpg
Kalau anda peminat Seksi Ovari, anda pasti akan minat Bibir Ceri Melati ini juga. Dari Fazleena Hishamuddin juga.

Saturday, January 18, 2014

Kembali Ke Asal.


Itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Kembali ke kawasan di mana kita mulakan segalanya, belajar dari segala asas yang dipelajari dan digunakan untuk menjalani hidup --- terlampau banyak kenangan yang bisa buat kita tersangkut dengan kenangan dan enggan melepaskan kehidupan itu pergi.

Sama.
Seperti mana aku yang kembali ke garis permulaan, lihat segala apa yang aku tinggalkan demi kehidupan lain yang aku belum pasti keadaannya, aku hanya mampu berharap aku dapat menghargainya sebagai kenangan dan tidak akan mati dalam ingatan. Mungkin satu hari nanti aku bakal kembali ke sana. Bukan seperti aku yang sekarang, barangkali dengan menjadi manusia, pendidik yang lebih baik.

Jadi, bila aku kembali ke sana --- sekadar melawat, aku dapat rasakan bahawa kasih sayang yang aku curahkan di sana terlampau mendalam. Tempat pertama, bagaimana apa pun aku lalui, aku sangat menyukainya. Zon selesa aku barangkali. Aku sebahagian daripada mereka, mereka sebahagian daripada aku, bagaikan keluarga kedua aku. Rumah kedua aku selepas rumah kediaman keluarga aku. Banyak masa aku berjaga dihabiskan di sana.

http://distilleryimage6.ak.instagram.com/a3b3caee773d11e3b03e125bb13f8fe6_8.jpg
Mulakan kehidupan baru aku dengan letakkan kalendar ini atas meja.

Selamat mulakan kehidupan.
Susah bagaimana sekalipun, tegakkan kepala.
Pandang dengan gembira.