Semalam kononnya keluar membeli sedikit barang keperluan untuk memulakan operasi membuat kuih Puan Mulia. Sebelumnya, melunaskan hajat beliau untuk mencari seorang yang beliau baca di dalam surat khabar. Setelah puas berpusing dalam keadaan panas terik dan pendingin hawa (ke penghawa dingin?) di tahap maksima - kami tiba di tempat tujuan dan kurang daripada setengah jam, semuanya selesai.
Jadi, ke kedai bahan dan peralatan kuih yang baru. Baru dalam erti kata kami tak pernah beli di situ. Ada seorang rakan sekerja aku yang menyatakan di situ murah (dan kami kebetulan terjumpa dia disitu juga) - dan ternyata ada sesetengah barang yang murah kecuali mentega yang pastinya mencekik harga. Macam biasa - sebagai pengguna yang bagus, Puan Mulia enggan mahu beli dan bertegas untuk ke pasar raya berdekatan.
PM : Mahal ni sampai RM 4.40.
Aku : Mahal eh?
PM : Hari tu masa tengok cuma RM 2.80.
Aku : Dekat mana?
PM : Dekat E. Tapi, masa tu baru sehari puasa.
Aku : Hari ni mesti dah mahal juga.
PM : Hari tu Abah suruh beli - tapi tak beli.
Aku : Kenapa?
PM : Sebab baru awal puasa. Malas nak penuhkan peti ais dengan mentega.
Aku : Baik. Dah tu macam mana sekarang?
PM : Pergi E.
Sebagai puteri sulung yang taat (eceh!) - marilah kita bergegas ke pasar raya yang dimaksudkan. Sebelum masuk ke pasar raya berkenaan, Puan Mulia telah menegaskan bahawa hanya perlu beli dua barang iaitu mentega dan emping jagung sahaja. Dua benda sahaja dan seperti biasa - petang Jumaat, orang penuh macam ada jualan murah - padahal tiada apa pun.
PM : Eh, gula kastor. Tadi lupa beli.
Aku : Baiklah. (ambil, baling dalam bakul)
PM : Cepat pergi tempat mentega.
Aku : Baik.
(masa ni adik dah masukkan sebaris minuman kultur dalam bakul)
PM : Tengok harga mentega ni, Along.
Aku : Mana dapat harga awal puasa?
PM : Kesal pula tak beli awal.
Aku : Nak beli ke tidak ni?
PM : Harga sekarang RM 3.80. Bolehlah.
Aku : Murah dari kedai kek tadi.
PM : Tapi kalau nak banding dengan harga awal puasa.
Aku : Nak ke tak nak ni?
PM : Ambil sepuluh buku.
(maka aku tertonggeng-tonggeng capai mentega sampai cukup sepuluh)
PM : Dah cukup?
Aku : Dah.
PM : Pergi cari emping jagung.
Aku : Ya.
(tapi sempat capai jus oren 2 liter sebagai cukai pada Puan Mulia. Heh!)
Selesai dengan barang di pasar raya, Puan Mulia mahu carikan baju raya untuk adik. Budak itu tidak mahu baju raya baru dengan alasan nak pakai jubah - tapi Puan Mulia berkeras mahu dapatkan sepasang. Maka, sebagai pemandu yang setia - Adam Awraq (cucu hitam setia. wah!) - kami pergi ke tempat beli pakaian kegemaran jika dibicarakan tentang baju Melayu ataupun baju kurung dan yang sewaktu dengannya. Penat tawaf, si adik yang baru berusia 12 tahun itu sudah rambang mata - tak tahu mahu beli baju Melayu warna apa.
Adik : Mahal la baju.
PM : Biasalah harga macam ni.
Adik : Kalau tak nak baju Melayu takpe ke?
PM : Belilah.
(dan aku pun sibuk nak beli sepasang untuk diri sendiri yang cuma ada sehelai baju)
PM : Jumpa apa yang kau nak, Long?
Aku : Rambang mata.
PM : Cepat beli.
Aku : Padahal hari biasa harga cuma RM 50 sepasang.
PM : Biasalah raya, memang dia tak turun harga.
Aku : Rayalah orang nak pakai baju banyak, makin mahal buat apa?
PM : Sebab ramai yang cari, memanglah dia tak kisah letak harga mahal sebab orang tetap akan beli.
Aku : Haish.
Disebabkan aku boleh dikatakan beli baju kurung sebagai pakaian rasmi ke sekolah - jadi haruslah aku mencari baju yang boleh dipakai seberapa lama mungkin tanpa lampuk ditelan zaman ke sekolah. Maaflah, aku rasa aku dan Puan Mulia hampir sama (tapi Puan Mulia menafikan dan kata aku lagi banyak baju dari dia - bila fikir balik, mungkin betul) - tapi kami berdua tak ada kegilaan pada pakaian sangat. Pakai sahaja apa yang ada dan tidak terlalu mengikut peredaran masa. Yang selesa dan berkualiti lebih penting. Jadi setelah berpusing-pusing, aku dapat sepasang di tempat yang sama beli baju Melayu adik. Sudah tentunya aku bayar baju raya aku sendiri. Heh :)
Aku : Betul ke harga baju ni begini?
Peniaga : Betul dik.
Aku : Kalau bulan depan saya datang dah jadi RM 50, saya terbalikkan bangunan ni. (ketawa)
Peniaga : (ketawa) Baju ni ada batu-batu kan dik?
Aku : Baiklah.
(aku adalah pelanggan yang kalah dengan peniaga cantik dan lemah lembut. Deng!)
Ah, menyampah dengan harga yang naik melampau-lampau bila mahu menjelang lebaran. Kalau kekal harga yang sama pun masih untung lagi, tapi itu mungkin adalah perancangan mahu dapatkan rezeki lebih di bulan Ramadhan dan membawa laba (harapnya bukan bala) sebagai persediaan menyambut lebaran. Barangkali. Perancangan perniagaan mereka bukan aku tahu. Apa pun, baju semalam tu menarik dan Puan Mulia dah bersedia untuk pinjam baju aku itu disebabkan dia berkenan dengan warnanya. Cewah!
Nota Kaki :
1. Terima kasih pada gadis manis yang menegur aku di kedai kain semalam. Terima kasih kepada baju FIXI yang aku pakai sebenarnya. Heh!
2. Operasi untuk membuat kuih pada hujung minggu, tapi aku masih ada timbunan kertas ujian yang perlu ditanda. Huh!