Tuesday, March 13, 2012

[Ulasan] : BIN



Seperti yang dijanjikan, aku mahu menulis tentang BIN. Ya, sebuah buku tulisan dua penulis yang berbakat, M. Faiz Syahmi dan Ophan Bunjos. Nama kedengaran kurang terkenal di kalangan pembaca blog mungkin, tetapi kalau kita tulis nama lain mereka seperti "Inchek Peddo" dan "Ghost Writer" daripada Kontrol Histeria, pastinya ramai yang dapat meneka bagaimana corak penyampaian tulisan mereka berdua.

Bila BIN tiba bersama dengan .44 - Poin Empat Puloh Empat, sebenarnya aku baca BIN terlebih dahulu. Satu mungkin disebabkan aku pernah berjumpa dengan penulisnya, ataupun disebabkan kulit luar serta ucapan ringkas yang aku terima di kulit dalam buku BIN ini. Entah yang mana satu, aku sendiri kurang pasti sebenarnya. Seperti .44 yang dipenuhi dengan satira menyindir masyarakat, isu semasa dan banyak aspek lagi dengan gaya sarkastik, tidak dapat dinafikan, bahawa BIN menggunakan cara yang hampir serupa tetapi pengolahan yang berbeza sebagai inti pati di dalamnya.

BIN dan .44 adalah terbitan Kerat Studio. Oh ya, mereka sedang mengulang cetak BIN, dan sedikit pembaharuan pada kulitnya boleh dilihat di halaman Mukabuku mereka.

http://farm8.staticflickr.com/7052/6975696503_a81e22952e_z.jpg
[Flickr Peribadi] - Gambar buku BIN bersama dengan seketul entiti yang diletakkan dengan maksud tersendiri.

Ada empat puluh kispen (kisah pendek) dalam BIN. Dua puluh dari Ophan Bunjos dan dua puluh lagi daripada M. Faiz Syahmi. Oh, jika kamu tertanya-tanya apa titik-titik di atas tulisan BIN tersebut, ia sebenarnya adalah tulisan 'Braille' yang membawa maksud yang sama iaitu BIN. Baiklah, ada yang mahu merungut tentang kulit buku yang khabarnya boleh buat remaja terangsang? Ceh! Takkan tengok kulit buku begini sudah terangsang? *kekening*

  • M. Faiz Syahmi - Lebih mesra dengan panggilan Peddo dan aku selesa dengan itu. Gaya bahasa Peddo dalam BIN, boleh dikatakan selari dengan gaya dia di dalam Kontrol Histeria dan juga Sarkasis. Boleh dikatakan aku terbiasa dengan gaya Peddo dengan beberapa faktor tertentu, tulisan dia kebanyakannya berpaksikan sarkastik, seksualiti sinis dan juga sadistik. Fetish selari dengan gaya Sarkasis dan Kontrol Histeria menjadikan kita mahu lebih banyak daripada penulis ini walaupun dia ada ajak aku bakar bahagian dia dalam buku ini. Heh!

Cuma, ya, ini sedikit kelainan yang kau tidak dapat jangka di dalam BIN - dalam siri #1 hingga #5 : Ray Ban dan Mangkuk Sia - kau akan nampak sisi lain Peddo, sisi yang unik dan istimewa. Aku secara peribadinya, menyukai siri ini yang tampak lebih manusia dan menyentuh sudut ruang paling dalam jiwa. Betapa dua manusia yang tidak sama, mempunyai kekurangan yang nyata, tetapi menggunakan kelebihan masing-masing dalam mencari apa yang mereka mahukan dalam hidup. Mungkin apa aku katakan sedikit tidak jelas, tetapi, sila duduk tekun dan baca, ini antara yang disukai. 

Selain itu, dalam "Musim" - Peddo menggunakan gaya penulisan Kontrol Histeria yang menampakkan sisi gelap dan sadistik cerita. Kalau kamu terbiasa dengan gaya sebegini, pastikan yang kamu bersedia untuk bertarung dengan imaginasi. Dan ya, dalam "Saya Sayang Cikgu!" - ada unsur sarkastik tetapi sedikit lucu. Secara keseluruhannya, Peddo sebenarnya boleh menulis dalam pelbagai gaya.

  • Ophan Bunjos - Dikenali sebagai "Ghost Writer" menyambut hari kelahirannya hari ini (12 Mac 2012) dan baru sahaja menamatkan zaman bujang, khabarnya pada 10 Mac 2012, kalau aku tidak silap. Selamat berbahagia dengan pasangan. Oh, dah jadi ruang aku berikan ucapan pula. 

Dalam membaca tulisan Ophan, kau sebenarnya memerlukan pemahaman yang lebih kerana ceritanya mungkin mudah, tetapi cara tulisannya sesuatu yang membawa kau berfikir. Sesetengah daripada kispen tulisan Ophan dalam BIN, menggunakan bahasa ala Indonesia, dan juga bahasa tinggi yang banyak metaforanya. Sedikit sebanyak, gaya tulisan sastera ala gerila (yang aku gelar sewaktu bongkar buku Abah zaman dahulu kala) ada di dalam tulisan Ophan. 

Kispen pertama dalam BIN, tulisan Ophan yang bertajuk "Dunkelweizen" - menarik minat aku. Satu, pemilihan perkataan Dunkelweizen itu sendiri, yang merujuk kepada jenama bir di dalam kispen tersebut. Minuman itu digambarkan dengan baik sekali dan secara halusnya membawa kepada sifat manusia apabila berhadapan dengan kesunyian, dua manusia yang berlainan jantina dan bagaimana mereka menjalani kehidupan mereka. Gaya bahasa ala Indonesia boleh ditemui dengan wujudnya perkataan seperti 'amburadur' - 'teler' - sigaret' - 'opsi' dan sebagainya. 

Aku mengesan sindiran tajam dalam "V For Celah Kangkang" - bila teringatkan budak-budak yang suka buat tanda V terbalik ketika bergambar. V yang secara biasanya V ditafsirkan sebagai keamanan kan? Tetapi, seperti yang pernah dinyatakan oleh seorang rakan universiti dahulu, V terbalik slanga Brit akan membawa maksud yang kurang baik. Dalam kispen ini, yang tidak sampai satu muka pun, Ophan mengajak kita berfikir, apa yang kita tonton di kaca televisyen itu, ada perkara yang kita tidak sedar berlaku, ada yang kita mungkin suka (dan juga jijik) dan juga sebenarnya jijik, tetapi kita mungkin tidak sedar. Rancangan Animal Planet contohnya.

Kesimpulannya, kalau kau penggemar karya indie dan tidak hanya membaca deretan buku cinta khayalan yang buat kau hempas kepala disebabkan ia menjadikan kau rasa cinta kau tidak sempurna dan indah, lebih baik kau dapatkan buku ini. Sekurang-kurangnya dengan kulit hadapan sahaja, kau sudah boleh biarkan imaginasi kau terbang meliar tinggi.

Zara : Sedang mempertaruhkan dua benda dengan harapan apa yang dimahukan sampai ke dalam genggaman. Memerlukan tenaga tapi aku biarkan sahaja angan terbang bebas. Sudah wujudkan dua halaman baru yang boleh dilihat [sini] dan [sini]

2 comments:

Unknown said...

ulang cetak BIN? wajib aku beli

Unknown said...

menarik isinya