Monday, March 19, 2012

Bekas.


Tidak semua apa yang kita mahukan akan tercapai.
Kita berkenalan sejak kecil. Membesar bersama-sama, pergi sekolah mengayuh basikal seterusnya berkejaran di sekolah sewaktu rehat. Apabila hujan, saling berebut tempat berteduh di bawah bangsal buruk di tepi kebun getah. Tolak menolak, tarik menarik sudah jadi permainan di kala bosan. Usia meningkat, jarak semakin jauh dan entah kesilapan apa entah, persahabatan itu sudah tiada ada nilai langsung. Tiada lagi tegur sapa, yang ada cumalah sekadar tahu siapa dia. Mana segala kenangan bersama?

Itu jadi bekas.
Bekas kawan.

Tidak semua apa yang kita mahukan akan tercapai.
Kita bercinta bagai nak gila, separuh dengan manusia yang buatkan kita teruja, tetapi akhirnya kita berpisah dengan dia. Kita tinggalkan dia, atau dia tinggalkan kita dengan sebab yang entah kukuh, entah tidak. Yang kita tahu, secara tiba-tiba, dalam ikatan yang sekadar aku cinta padamu, kau juga cinta padaku, musnah begitu sahaja. Manusia yang kita sayang itu, sudah jadi orang asing pada kita.

Itu jadi bekas.
Bekas kekasih.

Tidak semua apa yang kita mahukan akan tercapai.
Kita habiskan wang berpuluh ribu. Jemputan beribu orang, sanak saudara, keluarga terdekat, jauh datang mendoakan yang terbaik bila kita menjalinkan ikatan yang sah dengan manusia yang kita cinta. Tidak kira sama ada diaturkan okeh keluarga, berkenalan di alam maya, perkenalan oleh kawan, hatta terkahwin tanpa perasaan, kita menerima takdir dan ketentuan dengan gembira (hendaknya). Gunungan hadiah menimbun di dalam kamar belum habis dibuka, kita sudah bergegas ke mahkamah. Kebahagiaan yang kita impikan mungkin musnah. Percintaan yang mungkin sekejap, mungkin lama, atau baru sahaja mahu disemai selepas nikah tidak dapat diselamatkan. Amarah menguasai, lafaz yang memutuskan ikatan sah terkeluar. Yang halal jadi haram kembali.

Itu jadi bekas.
Bekas pasangan.
Tidak kira suami atau isteri.

[Sumber gambar]
 
Tidak ada sesiapa atas dunia ini yang suka ditinggalkan. Meninggalkan mungkin ada, tetapi ditinggalkan dengan kesakitan, aku percaya kebanyakan daripada kita enggan melalui kesakitan yang bukan kepalang tersebut. Kadangkala kita kena melepaskan manusia yang hadir dalam hidup kita. Semua manusia yang hadir dalam hidup kita memang memberikan makna yang berbeza, tetapi kita harus tahu bukan setiap daripada mereka akan kekal sehingga ke penghujungnya.

Kalau kita ada dengar orang yang menyatakan bahawa mereka telah melupakan segala bekas-bekas (tidak kira bekas kawan, kekasih atau pasangan hidup mereka - kecuali bekas makanan aku rasa) - sebenarnya sedikit sebanyak aku merasakan itu adalah satu bentuk penafian yang sangat ketara penipuannya. Ya, kita boleh kata manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Itu mungkin betul. Tapi hakikatnya, manusia itu tidak pernah pergi dari hidup kita. Cuma peranan ataupun watak mereka sahaja yang berubah di dalamnya. Kalau sebelum ini dia mungkin kekasih yang kita tidak sanggup kehilangan, saat ini dia mungkin hanya seorang teman yang kita enggan dengar namanya langsung. 

Kadangkala kita akan merasa pelik bagaimana itu semua boleh berlaku. Orang yang rapat, terlampau rapat dengan kita, hatta berkongsi katil, bantal dan juga tempat mandi boleh berubah dalam sekelip mata. Manusia yang sangat memahami kita (ya, kita rasa begitu) - boleh berubah tanpa dapat kita duga, kesakitan yang dia bawa dalam perubahan itu boleh membawa kepada bencana (dan mungkin juga berita gembira). Daripada serapat-rapat manusia, mereka jadi orang yang sangat asing bagi kita.

Siapa mereka?
Siapa dia?
Bekas kita.
Bekas awak semua.
Bekas mereka.

Zara : Hello cinta pertama. Awak mungkin yang pertama tapi awak bukan segalanya. Awak mungkin yang pertama, tapi awak mungkin bukan yang terakhir. (Shafaza Zara, 19 Mac 2012)

11 comments:

Raden said...

bekas memg bkn yg terakhir..tp bekas memg tinggalkn bekas dlm hati. ceh..

Faraa Kucas said...

bile da jadi bekas memang susah nak go on balek..kalau boleh go on, memang kool laa kann :)

dayah said...

semuanya kenangan.. jgn la bermusuh

Yana Shaharuddin said...

Zara pls tolong sy..
I tried to forget him. Lepaskan dia, tp sy xkuat.. makin paksa diri lupakan dia, makin selalu igt kat dia. Dah nak masuk 2bln break, xtau sampai bila sy nk mcm ni.. ):

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@nurul liyana.

Awak kalau boleh lupakan manusia yang pernah hadir dalam hidup awak, saya akan kata awak hebat. Kita tak boleh lupakan orang sebab once kita buat begitu, sebenarnya kita makin biarkan diri kita mengingati dia :)

Apa yang awak perlu buat adalah fikirkan diri awak sendiri dulu :)

Unknown said...

alhamdulilah dia yg pertama dia yg pertama..moga kekal abadi selamanya. takmau bekas2 ni.pedih!

pelangi chenta said...

cinta pertama mmg sukar utk dilupakan lebih2 lagi kalau dah bersama-sama lama.tapi itu bukan tanda bahawa kita perlu sentiasa mengingat cinta pertama sehingga menyakitkan hati kita.

Sichubby Alyn said...

Melupakan adalah perkara yg sakit menyakitkan :)

NL said...

Awak mungkin bukan yang pertama tapi awak mungkin jadi yang terakhir :)

NL said...

Lagi satu, melepaskan itu lebih baik dari melupakan. Tiap apa yang jadi dalam hdup kita ialah pengajaran dan panduan. Sekali pun dah lepas, ia beri pengalaman kepada kita. Manusia membesar dengan pengalaman kan? Jadi, lepaskan mereka pergi tapi jangan pernah lupakan mereka sebab mereka pernah jadi sebahagian daripada hidup kita :)

Layyinul Harir said...

try to forget,but makin rasa teringat dan terbayang2 oleh kenangan lama.

haruskah hidup dalam kenangan lama lagi ek?