Kali pertama dalam sejarah sejak aku berjinak-jinak dengan Fixi pada bulan enam tahun lepas, aku terpaksa (ya, kau baca terpaksa di situ) - baca ulasan orang lain terlebih dahulu berbanding aku yang menulis tentang bahan bacaan keluaran FIXI. Ironinya, kali ini adalah buku yang aku tersenarai sebagai salah seorang daripada penulisnya. Janggal pula rasa bila mahu bicarakan tentang naskah comel yang tersusun indah dalam beg aku ini.
Bagi seorang penagih tegar kopi (minuman) dan adrenalin aku lebih banyak terangsang dengan kehadiran kafein, secara jujurnya tawaran menulis KOPI aku anggap satu peluang untuk aku meneroka sisi gelap tulisan aku. Tulisan aku yang sedikit berbeza daripada blog walaupun boleh dikatakan bukannya bagus sangat berbanding orang lain. Peluang tidak akan datang banyak kali dan kesempatan yang aku ada, aku gunakan sebaiknya. Aku garap Barista Cinta dalam keadaan otak aku tidak mencerna apa-apa kecuali mendengar lagu Korea - kumpulan 2 AM. Lagu yang langsung tidak ada kena mengena dengan tulisan aku.
Jadi, adakah aku akan mengulas semua cerpen dalam KOPI? Aku cuba dan memandangkan ini ulasan seorang amatur, gadis yang terlampau gilakan buku, aku boleh katakan tulisan aku berdasarkan perasaan peribadi. Tidaklah bagus mana, tetapi, biarlah. Aku punya suka.
1. Kopi 3 Rasa - Shaz Johar.
Seperti dalam 2 novel terdahulu beliau -
Kougar dan
Tabu, Shaz Johar mengangkat feminisme dalam tulisannya. Sesuatu yang aku sendiri akui, sebagai perempuan, aku sendiri gagal untuk melihat perempuan dengan cara sedemikian rupa. Ya, macamlah kau perempuan kan Zara? Dan, aku perlu akui yang aku bertuah, disebabkan aku menghadiri majlis pelancaran KOPI, aku dapat menonton filem pendek adaptasi dari cerpen ini. Tengok filem pendeknya, aku boleh memahami dengan jelas apa yang disampaikan oleh pengarah dan juga Shaz sendiri dalam cerpennya. Jadi, bila baca cerpennya, terus mengesahkan apa yang bermain dalam minda.
Kopi 3 Rasa sendiri ada sindiran halus yang tepat apabila kita dihidangkan dengan pecahan cerita berbeza daripada watak berbeza tetapi kebanyakannya adalah realiti kehidupan yang kita sudah lihat lama. Tumpukan pada watak Datin, Sarah dan Datuk serta kesengsaraan (dalam diam) yang dihadapi oleh pembantu rumah yang setia.
Selingan : Kalau ada yang berkesempatan menonton filem pendek tersebut, sila tonton dengan penuh penghayatan sebab bila anda baca cerpen ini, yang akan terbayang dalam minda anda adalah watak Datuk lakonan Tok Rimau (yang sentiasa jadi sumber inspirasi aku menulis dalam bahasa Melayu). Dan Shaz Johar adalah comel.
2. Bersaksi Kopi - Dayang Noor
Ceritanya manis dan pahit juga. Manis mengenangkan pertemuan dua jiwa, mengenangkan ayat Tiramisu = Till Then I Miss You" dan pahit bila mengenangkan dalam realiti, aku mengenali manusia seperti Armin. Kelakuan yang sungguh sama, hingga membuatkan aku hampir sahaja mengangkat telefon dan bertanyakan manusia itu sebelum aku teringat yang dia benci kopi. Sebuah cerita yang mudah difahami (buat yang merungut tentang novel
Jerat beliau) dan mengakulah, setiap daripada kita mungkin pernah melalui benda yang sama.
Dayang Noor sangat peramah dan suka ketawa. Senyuman yang sangat manis.
3. Kopi Kola - Nadia Khan.
Tulisan salah seorang #idebewe kesayangan aku. Cerita paling logik bila kita membicarakan tentang percintaan dua darjat. Usahlah nak mengharap akan ada cerita macam jiwang semacam atau entah apa lagi senarai cerita jika dua kasta berbeza mahu bersama, pastinya kesudahannya bakal berbunga sahaja. Ini manis, ini ada pahit dan buat kau tersenyum di akhirnya. Adakah percintaan dua jiwa akan menyatu?
Nedd adalah comel. Suka tengok muka Nedd ketawa dan senyum. Oh ya, Nadia Khan adalah penulis
Kelabu.
4. Kopi, Donut dan Bayang Gadis Berambut Hijau - Adib Zaini.
Dari penulis
Zombijaya yang terkenal dengan imaginasi tinggi, dalam cerpen ini kau akan dibawa menghalusi perasaan seorang lelaki yang kehilangan (putus cinta) dengan seorang gadis berambut hijau. Tapi, bukan tentang itu sahaja yang mahu dinyatakan. Perlakuan apabila putus cinta itu yang mencorakkan cerita ini. Di akhir cerpen ini, kau (mungkin) akan kata - "La, dia nak cakap pasal ni ke?"
5. Cinta Kopi - Gina Yap Lai Yoong.
Konflik seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan dan menghabiskan masanya di sebuah kedai kopi Bintang Duit (gelaran aku untuk Starbucks). Perkenalan dia dengan seorang barista menyebabkan dia melihat kehidupan dari sudut berbeza walaupun pada akhirnya, kebenaran yang terbongkar adalah sesuatu yang kita tidak dapat jangka.
Gina merupakan penulis
Ngeri - dan ya, Gina adalah peramah juga. Nampak dia hadir dengan sekumpulan yang mungkin ahli keluarga (lupa nak ditanya). Bila agaknya aku akan dapat merasai benda sedemikian rupa?
6. Luwak dan Kretek - Ridhwan Saidi.
Tipulah aku kata kalau aku tak "bias" bila baca karya Ridhwan Saidi. Aku baca
Cekik, aku baca Amerika dan ya, aku sudah memiliki Mautopia. Jadi, dalam Kopi, cerpen ini antara yang aku tunggu. Permulaan cerpen ini kita dapat mengesan sindiran (aku lihat ia sebagai usikan nakal) penulis kepada soalan yang bermain pada pembaca dan peminat Fixi. Novel Cekik memang kita tidak akan dapat di pasaran terbuka - walaupun ada sahaja yang membolosi rak buku aku rasa.
Kita dibawa kepada pergolakan seorang wanita yang merupakan isteri kedua, bermisai, berselendang ala Yuna (kenapa masa baca bahagian ini aku terbayangkan seseorang?) yang mencari novel biru (pada pemahaman aku - Cekik) sehingga ke pesta buku sehingga berjumpa seorang lelaki yang berkepala musang (Ridhwan Saidi adalah jelmaan musang?) yang membawa dia menikmati kopi luwak (kopi tahi musang) untuk mengetahui rahsia boleh menulis dengan bagus.
Ridhwan Saidi seorang yang suka senyum walaupun aku lihat dia ada ketegasan yang disembunyikan di sebalik wajah dia. Mungkinkah sebab aku bayangkan dia adalah orang yang berbeza, tapi, itu bayangan aku sahaja. Heh.
7. Kopi Percik - Amal Hamsan.
Gadis yang buat aku terpegun bila baca Heroin, berjaya buat benda yang sama bila aku baca Kopi Percik. Sementelahan pula, aku dah menonton filem pendek adaptasi cerpen ini, percik yang aku sangka lain, membawa kepada pengertian lain. Di akhir cerita ini, aku tertanya-tanya, apakah aku bakal punya pengakhiran yang sama kerana aku manusia yang sangat gilakan kopi. Ketagih adalah lebih tepat.
Amal, aok buat koi bangga sungguh dengan hasil tulisan aok. Sungguh ni.
8. Kau Kopikoku - Dheepan Pranthaman.
Cerita ini manis. Memang manis bila mengenangkan kau mungkin pernah melalui perkara serupa ketika membesar. Tapi harus kita ingat, semanis mana kopi, di hujungnya ada kepahitan yang boleh buatkan kita tersedak. Dan ya, Dheepan berjaya dalam ini.
9. Kopi Jantan Kaw - Nik Adam Ahmad.
Ini hebat, dengan gambar sahaja dia mampu buat kalian duduk dan renung cerita yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai gaya.
10. Cethu - Nabila Najwa.
Gaya bahasa dia mengingatkan aku pada Ophan Bunjos (Ghost Writer) yang merupakan salah seorang penulis
Kontrol Histeria dan juga
BIN. Bahasa Indonesia - sementelahan latar belakang pertama adalah di satu kawasan di tanah seberang itu. Aku tidak dapat mengulas lanjut tentang ini, tetapi aku boleh katakan rentetan dan susunan cerpen dia - tentang kehidupan seorang doktor itu membuatkan kita angguk, diam, baca, angguk dan tekun lagi.
11. Barista Cinta - Shafaza Zara Syed Yusof
Takkan aku nak mengulas cerpen aku sendiri? Tapi aku ada dapatkan ulasan khusus dari salah seorang penulis yang aku anggap rakan maya yang dikasihi walaupun sehingga kini aku tidak dapat temui - Luc Abdullah. Berikut adalah ulasan dia tanpa aku ada membetulkan mana-mana perkataan.
Khusus punya, mula-mula aku baca, aku ingat ia tentang kisah cinta barista muda, somehow ia tentang affan, dan barista itu menegur
.
2. aku baca 2x untuk faham seluruhnya cerita, sebab ia dipecahkan kepada beberapa part, jadi aku biasanya akan baca 2x. kali pertama macam tak sangkut paut, sebab aku terlepas pandang scene nama affan pada tag nama, kali kedua aku faham what it is all about.
3. Cara garapan memang lain dari apa yang biasa orang guna kan, buat aku terdiam sejenak dan kembali ke perenggan pertama untuk baca semula. Mungkin aku nampak perenggan awal macam monolog, dan kemudian beralih pada scene cerita, buat aku fikir, what's the next scene?
4. bila sampai ke bahagian akhir, perkataan 'eureka' muncul dalam kepala, sebab ia mencantum kesemua bahagian dalam bahagian akhir tu untuk aku tangkap what is 'Barista Cinta' all about, ustaz muda dan air mani, somehow aku ter-ketawa troll membaca hujungnya.
|
[Terima kasih atas gambar ini Najwa Halmi - Aku kononnya nampak pro walaupun hakikatnya? Hah!] |
Dan ramai orang kata Barista Cinta adalah lucah.
Heh!
12. Hari Inditih - Asyraf Bakti.
Ketahuilah, selain Kontrol Histeria yang memang bacaan kegemaran sebab aku boleh bayangkan setiap aksara dan perlakuannya, Hari Inditih aku boleh bayangkan sedemikian rupa juga. Sampai aku pusing banyak kali buku ini dan juga Google untuk mengetahui sama ada, dia salah seorang daripada barisan KH ataupun tidak. Ini gila, tetapi siapa dapat sangkal bahawa minum kopi juga boleh gila?
13. Malam, Di Meja Kau Terlentok - Hafiz Hamzah.
Aku kurang memahami cerita ini (maaf!) tapi selepas pembacaan 2 kali, aku dapat simpulkan, ia lebih kepada monolog dan juga penceritaan yang mendalam dengan diselitkan nama-nama kopi yang aku dengan pantas mencari (dasar penggila kopi!). Aku mengesan sindiran juga di dalam ini, entah kalau aku salah pula tafsirkan sedemikian rupa.
14. Ritual - Luc Abdullah.
Penulis Sarkasis - Kontrol Histeria -
.44 : Poin Empat Puloh Empat - dan dua lagi zine terbaru, Luc Abdullah yang misteri membawa sesuatu yang segar dalam penulisan walaupun ada yang menyatakan ianya jijik, lucah dan entah apa lagi. Aku baca cerpen Luc ini dan tersedak. Ini realiti kehidupan yang kita tidak boleh tutup mata. Ia berlaku secara berleluasa dan ya, kau boleh tak ambil peduli tapi kau perlu akui, ia sudah jadi hampir biasa dalam masyarakat kita.
Bila aku bertanya pada Luc kenapa aku tak rasa jijik dengan cerita ini (walaupun ada yang kata sedemikian rupa), jawapan Luc pada aku mudah sahaja.
"Mungkin kau dah biasa baca KH, yang Ritual hanya secebis kecil aura KH. ._.' tapi bagi yang tak baca KH, itu memang "Eww" bagi diorang."
15. Tangan Berulat - Fadli Al-Akiti.
Ini tulisan seorang yang hebat, dan aku jujurnya tidak hebat untuk mengulas karya seorang yang berkhidmat di Dewan Sastera. Tapi ya, berlaku adil dan jujur semestinya. Permulaan cerita, kita seperti akan terfikir tentang adakah manusia yang digambarkan telah ditanam hidup-hidup atau apa yang berlaku sebenarnya sebelum kita sedar bahawa kita sedang membaca tentang zombi (mayat hidup). Aku lihat watak Jenny sebagai seorang isteri yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan suaminya - walaupun dia sendiri mempunyai pengakhiran menyayat hati. Tulisan ini menarik dan kalau kau biasa menonton Walking Dead (hatta Zombi Kampung Pisang) - pasti kau dapat membayangkan tulisan ini.
Adakah salah satu daripada fragmen Zombijaya yang hilang? Hanya Fadli yang ada jawapan tersebut. Dan tentang majlis pelancaran KOPI - apa kata kalian baca
catatan beliau tentang itu? Sesuatu yang enak untuk dibaca sementelahan pula, tulisan dia adalah bahasa yang mengiurkan (mengiurkan di sini adalah bahasa yang sedap dibaca dan bukan merepek rempit gila)
16. Venti - Redza Minhat.
|
[Sebenarnya aku nak letak gambar lain, tapi biarlah aku letak gambar ini] |
Redza Minhat adalah seperti Zahiril Adzim pada aku. Seorang yang mempunyai bakat besar tetapi tidak dikenali kecuali kau pengikut teater dan dia juga berlakon filem sebenarnya. Dia comel (kacak juga) tetapi ini bukan apa yang aku nak cerita.
Dalam Venti, Redza Minhat mengecam (menerusi watak di dalam cerpen tersebut) tentang mengapa perlu bayar harga yang mahal untuk segelas kopi dan beberapa perkara lain yang kita kadangkala jadi 'plastik' tanpa kita sedari. Kononnya tidak pandang jenama, tapi kita tetap dapatkan sesuatu itu, sanggup ikat perut dan sebagainya, atau beli sahaja barangan celup sebagai contohnya. Redza juga menulis tentang sesetengah masyarakat (sesetengah) yang memandang pelik pada percintaan berlainan bangsa dengan membangkitkan ayat-ayat yang aku rasa kalau diangkat ke teater ringkas pastinya menarik.
Adegan yang aku dapat bayangkan sambil ketawa (dan ngilu) adalah apabila Indra menyumbat kasut but
steel toenya menusuk anus Hashim. Ngeri tapi aku terasa gelak mengenangkan ada momen yang bahagia terjadi pada Hashim yang kesakitan itu.
17. Kopi Julia - Faizal Sulaiman.
Siapa yang mengenali tulisan Faizal Sulaiman dan terbiasa dengan cerita yang dihidangkan buat pembaca di blog peribadi ataupun Aksara Keraian suatu ketika dahulu, pastinya amat mengetahui bahawa gaya imaginasi yang tinggi FS adalah menyenangkan dan susah untuk kita ketahui tanpa penghayatan yang mendalam. Bak kata FS sendiri, Julia itu bukan Bella, itu adalah saka.
Selingan : Selepas kenal FS lebih 2 tahun (semenjak berkarya di dalam Aksar Keraian) - minggu lepas adalah kali pertama aku bertemu dengan dia.
18. Secangkir Kopi Bersama Dia - Syaihan Syafiq
Untuk orang yang baca tegak sahaja tanpa pengulangan dan berhenti untuk memahami pertindihan adegan demi adegan dalam cerpen ini, kau mungkin akan keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Syaihan dalam cerpen ini. Aku mungkin beruntung kerana telah menonton filem pendek tentang cerpen ini yang membantu pemahaman dan juga Syaihan sendiri yang membongkar (wah gitu!) cerita yang terselindung di sebalik cerpen ini.
Dan, ini kisah tentang seorang lelaki bergelar suami yang perlu buat pilihan dalam hidup. Dia mungkin telah tersasar dan natijahnya sungguh besar apabila dia mahu berpatah balik.
Selingan : Syaihan ini comel dan mudah mesra. Penulis berbakat dan hebat di pentas teater ini sudah muncul dengan novel bertajuk BISIK terbitan Fixi juga. Aku belum mulakan bacaan, nanti kalau dah habis baca, aku buat ulasan, macam biasa.
|
[Muka Syaihan ini mengingatkan aku pada seorang teman lama. Budak NIT, kalau awak terbaca catatan ini, awak tahu awak siapa] |
19. Kopi Mimpi - Raja Faisal
Apa akan jadi kalau kopi dah pupus di muka bumi?
Itu persoalan yang dibawa oleh Raja Faisal atau PapaKing kepada pembacanya. Muncul dengan karya bertajuk Invasi terbitan Fixi juga, aku merasakan yang kebolehan imaginasi dengan makhluk asing, haiwan mutan dan sebagainya memang kelebihan yang dimiliki oleh dia.
Er, aku sendiri tak boleh bayangkan kalau kopi sudah tiada atas muka bumi dan aku perlu bayar harga paling mahal untuk menikmati hidangan yang merangsang aku setiap hari itu.
*******
Dan, itu sahaja penulisan aku kali ini. Berjela sudah aku rasa.
Zara : Gagal buat kali pertama bila menghadap pengamal perubatan bertauliah. Aku perlu akui yang badan aku sudah tidak mampu mengikut kata hati lagi.