Showing posts with label Aiden Diri Penuh Emosi. Show all posts
Showing posts with label Aiden Diri Penuh Emosi. Show all posts

Friday, May 06, 2011

Ini Untuk Puan Mulia Yang Hebat.


Dia aku panggil Emak.
Kadangkala dalam coretan ringkas aku buat manusia yang pernah dan masih melalui cabaran membesarkan anak yang tidak semenggah ini, aku gelarkan dia Bonda. Tetapi di kalangan pembaca, aku masih lagi menggelarkan wanita paling dikasihi di dunia itu sebagai Puan Mulia, sebagai satu tanda penghargaan aku pada dia yang menjadi sumber tenaga.

Bulan ini bulan lima dalam takwim manusia. Puan Mulia ini sememangnya jaguh dalam bulan lima. Nah, mengapa aku nyatakan demikian?
1. Tanggal tiga haribulan lima, Puan Mulia dilahirkan ke dunia (tahun ini sudah genap jubli perak sama seperti pemilik rusuk kirinya)
2. Sejak tahun satu sembilan lapan enam, Puan Mulia sudah menjadi seorang pendidik bangsa. Maka, enam belas bulan lima, dia pasti diraikan juga oleh anak murid, pelajar di sekolah.
3. Ada satu hari dalam bulan lima yang dipilih secara khusus untuk sambutan hari ibu (walaupun sejujurnya setiap hari kita wajar mengingatinya), maka Puan Mulia sebagai seorang bonda, pasti sahaja termasuk dalam kiraan itu.

Senang kata, bulan lima adalah bulan di mana Puan Mulia diraikan berkali-kali.
Oh, dengki. (tiba-tiba)

Gambar : Sekadar hiasan tentunya. Puan Mulia kurang gemar gambarnya diambil dan dia pernah berikan sedikit teguran kepada aku supaya gambar dia tidak dimuatkan sesuka hati ke Internet.

Buat Puan Mulia, sempena sambutan hari kelahiran ke lima puluh tahun dan wajah serta saiz badan yang sering disangka anak remaja, beerti usia semakin meningkat dan semoga dengan kelanjutan usia itu menjadi satu rahmat buat kamu wanita yang melahirkan anak nakal ini. Banyak pastinya yang sudah dilalui oleh kamu wahai bonda yang dikasihi. Hari-hari yang telah berlalu, dengan harapan ia dapat dijadikan renungan dan pengajaran buat kita semua.

Yang baik, manis, terbaik akan kekal menjadi ingatan dan kenangan.
Yang buruk, pahit, menyedihkan menjadi pengajaran.
Yang tawarnya?
Tidak pernah ada.

Mungkin, itu yang sebaiknya untuk kita bersama menjadikan ia satu muhasabah sebagai panduan untuk menelusuri hari-hari yang bakal mendatang. Semoga Puan Mulia (dan termasuk kami semua), mempunyai kehidupan yang lebih cemerlang pada hari ini dan masa akan datang berbanding dengan kehidupan silam yang telah ditinggalkan.

Gambar : Agak-agak kalau kau tulis sebegini rupa sekalipun, dapatkah kau membayar apa yang pernah dicurahkan oleh wanita yang mengandung dan melahirkan kau ke dunia? Mustahil kalau kau kata ya. Mustahi amat wahai si derhaka.

Ibu merupakan kata tersejuk yang dilantunkan oleh bibir – bibir manusia.
Dan “Ibuku” merupakan sebutan terindah.
Kata yang semerbak cinta dan impian, manis dan syahdu yang memancar dari kedalaman jiwa.

Ibu adalah segalanya. Ibu adalah penegas kita dilaka lara, impian kita dalam rengsa, rujukan kita di kala nista.
Ibu adalah mata air cinta, kemuliaan, kebahagiaan dan toleransi. Siapa pun yang kehilangan ibunya, ia akan kehilangan sehelai jiwa suci yang senantiasa
merestui dan memberkatinya.

Alam semesta selalu berbincang dalam bahasa ibu. Matahari sebagai ibu bumi yang menyusuinya melalui panasnya.
Matahari tak akan pernah meninggalkan bumi sampai malam merebahkannya dalam lentera ombak, syahdu tembang beburungan dan sesungaian.

Bumi adalah ibu pepohonan dan bebungaan. Bumi menumbuhkan, menjaga dan membesarkannya. Pepohonan
dan bebungaan adalah ibu yang tulus memelihara bebuahan dan bebijian.

Ibu adalah jiwa keabadian bagi semua wujud.
Penuh cinta dan kedamaian.

("Ibu" - Karya Kahlil Gibran)

Sengaja aku berkongsi apa yang pernah dicoretkan oleh Kahlil Gibran tentang wanita yang bergelar sebagai seorang ibu. Tidak kisah dengan apa panggilan sekalipun, siapa pun dia, wanita itu yang pernah bertarung nyawa untuk mengandung dan melahirkan kita semua. Nah, sekarang, izinkan aku menggunakan panggilan biasa aku kepada Puan Mulia. Dia yang setiap kali aku terpandang, akan aku sebut, "Mak"

Mak.
Terlampau banyak budi Mak pada Along yang Along mungkin telah balas dengan menyakiti, mengguriskan hati Mak, kasih sayang Mak Along telah balas dengan kata-kata dan suara yang tinggi sedangkan Along sendiri tahu dan mengerti bahawa alangkah menyebutkan sekadar perkataan "huh" sudah menjadi suatu larangan Allah. Mak, betapa celakanya anak ini kan? Tapi Mak tak pernah membuang anak ini walaupun jelas sudah anak ini mungkin sudah menyakitkan hati Mak.

Mak.
Bukan sahaja pendidik dan guru di sekolah, bahkan Mak juga cikgu di rumah. Didikan dan asuhan serta nasihat Mak kadangkala Along ambil ringan dan abaikan. Bahkan sebenarnya, dengan berkat usaha dan doa Mak dalam mengasuh dan mendidik Along itulah, Along boleh dikatakan berjaya kini. Tatkala Mak memilihkan laluan hidup yang sesuai dengan apa yang Mak rasa sesuai dengan Along dan Along bertegang urat untuk mendapatkan pilihan Along, ternyata pilihan Mak jugalah yang membawa kepada siapa Along hari ini. Ya, seorang guru seperti Mak dan Abah.

Mak.
Kepayahan dianggap mudah, keselesaan dan kemudahan sanggup diabaikan serta dilupakan sewaktu mengandungkan Along, kesakitan yang langsung Along tidak dapat gambarkan sanggup Mak lalui ketika melahirkan Along (walaupun pernah menonton sekali video melahirkan bayi pun Along sudah ngeri dan trauma sehingga kini), titik peluh basah kering demi mencari rezeki untuk membesarkan Along serta adik-adik lain, tidak pernah Along mendengar Mak mengadu penat, atau letih dan tidak pernah juga Mak mengadu sakit. Alahai, kalau Mak katakan sakit pun pastinya sudah tidak tertanggung lagi penderitaan dan kesakitan itu bukan?

Mak.
Pakar masak terhebat yang sentiasa membuatkan Along duduk dan tidak pernah merungut di depan rezeki. Aneh pula kalau lihat adik-adik mengomel apa yang dimasak oleh Mak sedangkan Along masukkan sahaja makanan terhidang tanpa banyak bunyi. Sesedap atau sehebat mana pun makanan yang disediakan di luar, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Mak. Pernah sekali, lauk yang sudah di mulut, mahu dimasukkan mengisi perut sanggup Mak keluarkan melihatkan Along belum menjamahnya. Mak, Along jujurnya belum pasti akan menjadi wanita sebagus Mak jika punya keluarga sendiri.

Mak.
Abah dan Mak pernah katakan pada Along suatu ketika dahulu bahawa hanya pelajaran, pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib Along. Masa depan Along. Along bukan selama-lamanya akan berada di bawah jagaan Mak dan Abah. Mak dan Abah hanya dapat memberikan Along pendidikan supaya Along boleh memilih jalan dan kehidupan yang Along mahukan. Harta, simpanan yang dikumpul dan ditabung sejak kecil lagi Mak mulakan untuk Along, sanggup dikeluarkan dan dilaburkan semata-mata untuk memberikan peluang pelajaran dan pendidikan kepada Along. Dan ya, Mak kata, duit boleh diberikan, yang penting adalah belajar dan buat yang terbaik demi masa depan. Sebab tiada siapa yang boleh tolong Along kalau Along gagal dan tidak berjaya. Betul, walaupun Allah dapat menolong, tetapi yang kena berusaha untuk mengubah nasib diri, adalah tanggungjawab sendiri.

Mak.
Tatkala Along merenung kembali segala apa yang pernah Mak curahkan buat Along (di atas ini sekelumit cuma), Along sangat bersyukur dilahirkan dalam keluarga ini dan menjadi puteri sulung, cahaya mata pertama hasil pernikahan Mak dan Abah. Walaupun kadangkala Along merungut dan terdetik mengapa Mak tidak seperti ibu-ibu kalangan kawan-kawan Along yang lain, Along sedar bahawa Along hanya punya satu Mak di dunia ini. Mak yang sentiasa bersama dengan Along dan walaupun kita berdua adalah manusia yang jarang menunjukkan emosi, Along sudah dapat kenal pasti yang kita berdua punya ciri-ciri yang serupa. Tentunya bukan dari segi luarannya.

Gambar : Mak, adakah Along mampu untuk menjadi seorang ibu kepada manusia lain suatu hari nanti?

Mak.
Ini sedikit bekal yang Mak titipkan kepada Along dan adik-adik sejak kami pandai mengaji. Sedikit bekalan yang Mak kata jangan dilupakan selepas menunaikan solat. Along mohon untuk berkongsi titipan Mak ini sebagai pengingat diri sendiri, dengan harapan Along tidak menjadi anak derhaka.

"Ya Allah wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami dan dosa kedua-dua ibu bapa kami, dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil. Kami terlalu banyak terhutang budi kepada mereka.

Ya Allah, jadikanlah kami anak-anak daripada orang-orang soleh yang mendoakan keampunan ibu bapa kami, jadikanlah mereka sebagai anak kunci bagi membuka pintu syurgaMu dan janganlah Engkau jadikan mereka anak kunci ke nerakaMu. Teguhkanlah iman mereka Ya Allah. Jauhkan mereka daripada seksaanMu.

Perkenankanlah doa kami ini dan jadikan doa ini merupakan doa anak yang soleh yang Engkau janjikan akan diperkenankan"

Mungkin ini sahaja.
Ini sahaja yang dapat Along coretkan buat Mak.
Terima kasih atas segalanya Mak. Mak adalah orang yang Along sayang dan cinta setiap masa (dan begitu juga dengan Abah tentunya).

Mak.
Selamat ulang tahun kelahiran ke lima puluh.
Selamat hari guru yang kita bakal sambut bersama.
Selamat hari ibu (walaupun kita sentiasa raikannya setiap hari).

Mak.
Mak adalah Bonda terbaik.
Mak adalah Puan Mulia yang hebat.
Semoga yang terbaik sentiasa menjadi milik Mak.
Amin.

**********

Selingan :
Selain untuk penulisan peribadi dan insyaALLAH bakal diberikan kepada Puan Mulia, aku menulis ini sekadar mahu memeriahkan pertandingan yang dianjurkan oleh seorang penulis blog yang telah aku kenali sejak sekian lama, Joegrimjow. Joe, ulang tahun mak kamu juga sama dengan Puan Mulia, dalam bulan lima ini kan? Oh ya, selain itu, Faridzulasyraf.com (Joe juga sebenarnya) dan Abang Ilham ataupun lebih dikenali dengan nama Denaihati.com telah bermurah hati untuk menaja pertandingan sempena hari ibu nanti.

Nota Kaki :
1. Sejak kebelakangan ini, sudah lama tidak memandu ke sekolah membawa Mak lagi disebabkan masing-masing sibuk dengan urusan sekolah.
2. Dapat mendapatkan sesuatu yang dimahukan oleh Mak sempena ulang tahun beliau, Ya Allah, betapa aku sangat gembira melihat senyuman di wajah mendamaikan, yang dibawah telapak kakinya terdapat syurga.
3. Mak tidak mempunyai rangkaian sosial seperti Mukabuku. Jadi, dia tidak boleh mengundi aku untuk #DIGIWWWOW. Kalau kalian mahu mengundi, silakan ya di sini? 

Zara : Walaupun manusia boleh menyatakan dengan harta kekayaan mereka mampu membuat apa sahaja, aku dengan rendah dirinya mahu bertanya, apakah mereka mampu membeli seorang ibu dan menjaganya sehingga tua renta?

Sunday, May 01, 2011

Dan Separuh Nafas Mendesah Pergi


Aneh.
Dia akan jadi manusia yang terakhir tahu setiap benda tentang manusia itu. Manusia yang entah mengapa dengannya, walaupun tidak pernah bersua bisa membuatkan jantung berdebar hingga mahu terkeluar daripada kawasan sepatutnya. Degilnya hati yang sebenarnya tidak pernah berpaling daripada memerhatikan dalam diam seorang manusia pendiam. Dia tahu, dia hanya mampu perhatikan manusia itu dari kejauhan demi jarak yang dia sendiri tidak pernah masukkan dalam pengiraan.

Buat seketika, dia sangka semuanya akan berjalan baik seperti yang pernah dia lihat manusia itu merencana. Pastinya dia tidak berada dalam apa sahaja bentuk rancangan manusia pendiam itu. Hatinya lebih kepada menyukai sesuatu tetapi tidak pernah mampu meluahkan kegemaran. Satu persatu kekuatan dia cuma jalinkan supaya dia tidak kalah sebelum berjuang.

Gambar : Kadangkala dia sedar bahawa dia mencuba dalam diam yang akhirnya memakan dia kembali secara perlahan, tanpa manusia pendiam itu ketahuan.

Sekali cubaan dilakukan.
Detikan yang buat dirinya panas, berpeluh bagaikan mahu gila hanya punya balasan dari si kenit yang dia sendiri tidak kenal siapa. Hanya suara comel sahaja kedengaran di hujung talian. Dia ketawa riang menyembunyikan kegusaran hati yang sebelumnya bagaikan membahan kekuatan diri yang dihimpun selama berhari-hari dan berjam-jam.
Ketawa.

Cubaan kali kedua dilancarkan.
Kali ini suara berbeza tetapi jawapan tetap sama. Manusia pendiam itu berpergian tetapi tiada siapa tahu bila dia akan pulang ke sarang seperti yang dimahukan. Kali kedua juga memujuk hati bahawa kedegilan sendiri tidak punya harga sebab sendiri yang mencari mati. Anehnya, dia manusia yang biasanya akan mencuba sebanyak tiga kali demi kepuasan kendiri hanya menggeleng kepala apabila hati bertanyakan, bila mahu mencuba untuk kali ketiga.

Dan suatu ketika, apabila hati terdetik untuk mencuba buat kali ketiga, jawapan yang entah bagaimana timbul setelah beberapa lama menunggu membuatkan dia terduduk. Ah! Dia terlewat lagi kini. Dia menjadi manusia akhir yang tahu bahawa manusia pendiam sudah meninggalkan ibu pertiwi sekali lagi. Kali ini, dia dapat jawapan terus dengan membaca daripada manusia itu tanpa ada pengantaraan insan lain. Dia ketawa, ketawa kuat sehingga hampir merembeskan air mata yang dia sendiri tidak tahu untuk apa.
Dia manusia pelik.

Dia sering tanya dirinya sendiri, apa yang dia mahukan dari manusia pendiam yang langsung tidak tahu apa yang tersirat dalam hatinya. Termenung lima saat, dia sendiri tidak punya jawapan yang mampu dihebahkan pada dunia. Dunia tidak akan mengerti bahawa saat metamorfosis dia tidak akan kunjung tiba kerana dia sendiri masih menjadi penyimpan rahsia terbesar beberapa makhluk bernyawa termasuklah dirinya sendiri.
Senyap sunyi.

Desiran angin tiba di sisi.
Membawa hujan yang dia sukai.
Seperti selalunya dia akan berlari dan tegak berdiri.
Membiarkan hujan membasahi diri.
Sembunyikan segala keresahan hati.
Air mata mengalir dapat bersembunyi.
Tiada siapa lihat, tiada siapa perhati.
Dia pelakon terbaik pentas duniawi.

Gambar : Kata orang, kalau kita menyukai dan mencintai seseorang, pastikan mereka tahu perasaan kita. Tiada yang lebih teruk atau buruk daripada cinta yang tidak dikongsi.

Dia benci dengan diri sendiri yang penakut mahu mengejar bahagia. Dendangan lagu Empat Musim beralun lembut di dalam kamar dia yang sederhana. Lagu itu berulangkali tanpa henti sementara dia cuma menterjemahkan apa yang berlaku sebenarnya dalam hidup.  Tangan pantas menukar lagu apabila dia sudah tidak mampu mengira lagi. Tidak, dia tidak mampu untuk buat keputusan drastik yang bakal meragut segalanya pergi, lebih baik sahaja dia ketawa dan senyum pada diri sendiri.

Soba Ni Iru Ne?
Koko Ni Iru Yo?

Itu cuma sebahagian daripada fragmen hidup yang tidak sempurna.
Satu kisah yang terselit dicelah senyuman ikhlas yang terukir buat dunia.
Jeritan kesal tidak akan pernah bergema.
Dia tahu ini cuma satu babak drama.
Langkah yang canggung tanpa irama.
Angin lalu lagi dan awan terbuka.
Dia lihat matahari jenguk wajah bercahaya.
Dia berlalu tanpa seguris kilatan kecewa.
Hanya beberapa detik ketawa.
Sebelum hitam segala.
Gelap gelita.

Nota Kaki :
1. Ini hanya tulisan sia-sia cuma. Menulis dalam keadaan mata tidak mampu dibuka.
2. Melunaskan keperluan diri dan cuba memberikan sedikit kepuasan kepada kehendak.
3. Jadual bulan lima sudah mula terisi tetapi masih belum lengkap lagi.

Zara : Jangan sampai menjadi terlalu bergantung dan mengharap kerana setiap orang juga perlukan ruang untuk diri masing-masing, tidak kira apakah hubungan antara kalian dengan manusia lain secara seluruhnya. Buatkan diri sendiri diperlukan dan bukannya satu gangguan.

Saturday, April 30, 2011

Dipukul Dan Memukul Itu Tanda Cinta?


Dia kata, senyum gunakan akal.
Gunakan akal disebabkan dengan siapa kita senyum, garis senyuman itu bergantung kepada ikhlas hati yang memberikannya. Mungkin juga ada yang tersenyum sampai ke telinga hanya disebabkan melihatkan seseorang yang membuatkan hati tercopot gembira. Ada juga yang ukir senyuman sinis melihatkan manusia yang wujud di depan mata mereka. Semuanya bergantung bukan? 
Kepada siapa kita lontarkan senyuman.
Senyum.

http://farm3.static.flickr.com/2557/3825968250_e6fe88da12.jpg
Gambar : Perasaan memerlukan adalah perasaan yang bagus. Kalau kamu suka, tunjukkan ia.

Cuaca yang tidak menentu menjadikan perasaan juga tidak menentu. Entah betul atau tidak, bila payung dibuka untuk mengelakkan hujan, entah bagaimana terik mentari pula yang memancar. Peluh menitik bukan lagi sesuatu yang aneh. Solekan tidak tanggal ibarat geisha yang mahu menari sebagai satu tanda kebudayaan dan bukannya wang, lelaki atau sake semata. Aneh, manusia disekeliling menarikan tarian pincang sebagai satu tanda penghargaan kepada alam.

Itu mungkin satu cerita lain.
Cerita disebalik satu jasad yang sedang menghitung detik kematian.
Setiap kali nafas mendesah, ketika itu dada berombak dan berlari kencang.
Nafas dilepaskan, ombak bagaikan menghempas ke tepian dan reda.
Dia hanya pemerhati sebuah drama kehidupan.
Itu cerita lain.
Sekarang.
Dia pasti.

Gambar : Kadangkala orang yang kuat adalah manusia yang paling mudah untuk kecewa dan terluka. Berikan layanan terbaik kepada mereka, kerana kita harus tahu dan percaya bahawa perasaan itu sesuatu yang rapuh.

Ingat lagi tulisan aku tentang ini?
Anehnya manusia, kita tidak akan berubah kalau kita tidak bergerak.
Tidak kira sekuat mana kita katakan kita sudah berusaha, selagi itu hanya kata-kata, malangnya, tidak ada apa yang akan berubah. Tidak, itu bukannya sesuatu yang pelik kerana tiada siapa akan dapat mengubah nasib seseorang manusia itu kecuali dia sendiri yang mengubahnya.
Itu fakta.

D : Aku masih dengan dia.
Aku : Jadi?
D : Lama aku fikir, dia buat begitu sebab dia cinta aku sangat-sangat.
Aku : Jadi kalau kita cinta orang, kita tunjukkan dengan pukul orang tu?
D : Bukanlah sepenuhnya begitu.
Aku : Habis tu apa kau maksudkan?
 D : Dia mungkin rasa tak selamat sebab aku kerja dan bergaul dengan ramai orang. Berbanding dengan dia yang masih remaja, sedang belajar lagi.
Aku : Itu justifikasi kau?
D : Aku akui kerja aku memang jumpa ramai orang, mungkin itu antara penyebab dia bertindak ganas. Akibat kurang senang barangkali.
Aku : Kalau kau cakap begitu.
D : Kau macam tak suka.
Aku : Sebab kau kata kau nak tinggalkan dia hari tu.
D : Tapi aku terlampau sayangkan dia.
Aku : Terpulang pada kau.
D : Kau tahu?
Aku : Apa dia?
D : Aku paling benci kau kata terpulang.
Aku : Sebab apa?
D : Sebab itu antara tanda kau mengalah ataupun dah putus asa nak tolong aku.
Aku : (ketawa) Kenapa aku nak tolong kau?
D : Apa maksud kau?
Aku : Kenapa aku nak tolong kau bila kau sendiri tak nak tolong diri kau?
D : Aku tak faham.
Aku : Jangan sampai kali berikutnya aku dengar berita pasal kau dari surat khabar atau berita ya?
D : Kenapa kau kata begitu?
Aku : Sedaya upaya aku tolong fikirkan cara kau boleh lari dari cengkaman manusia yang main pukul kau sesuka hati, tapi kau masih nak berpihak pada dia. Jadi, apa yang tinggal pada aku untuk beritahu kau? Tiada langsung, cuma aku boleh doa agar kau dapat cari apa kau mahukan.
D : Cara kau macam nak tinggalkan aku.
Aku : (ketawa) Kau kan kata memukul itu salah satu cara tunjukkan cinta? Aku tak cinta kau, aku tak pukul kau.

Gambar : Kalau kamu berdua banyak menghabiskan masa bertengkar, bergaduh dan bercakaran antara satu sama lain berbanding dengan bergembira dan saling menghargai antara satu sama lain, mungkin lebih baik jika kamu berdua tidak bersama dan tidak pernah bertemu.

Sesetengah orang merasakan perkara sebegitu tidak bernilai dalam kehidupan mereka. Terlalu sombong dan megah menyatakan mereka tegar menjalani kehidupan sendirian. Barangkali mereka alpa, mana mungkin manusia bisa hidup sendirian? Kehidupan dalam masyarakat, bukankah kita menjalinkan suatu bentuk perhubungan yang boleh ditafsirkan sebagai persahabatan? Manusia ini aneh barangkali, hanya mencari tatkala memerlukan, meninggalkan apabila telah cukup segalanya atau telah menemui yang baru.

Pada aku, persahabatan antara perkara yang melengkapkan diri aku, asas dalam kehidupan aku sendiri. Aku diajar, setiap persahabatan itu perlu dihargai, disayangi serta dibajai. Mana mungkin suatu persahabatan itu kekal utuh tanpa kasih sayang antara hati-hati mereka yang terikat di dalamnya?. 

Hati dan perasaan manusia amat kompleks - bukan untuk dipandang enteng dan mudah. Sombong amat mereka yang mendabik dada menyatakan diri mereka telah lengkap dengan pakej sempurna tanpa memerlukan persahabatan. Jika suatu persahabatan itu tidak dibajai, disirami dengan baik, bagaimana ukhuwah itu bisa mampu bertahan?. Jika ditanam anak benih tanpa melalui proses sedemikian, mustahil ia akan terjaga dengan sendirinya. Kita sendiri harus membajai, merawatnya dengan penuh kasih sayang agar benih yang disemai membuahkan hasil nanti.

Dalam menongkah arus globalisasi begini, di mana pemikiran manusia yang terkadang bertukar dangkal, dengan memilih sahabat yang betul-betul memahami serta mampu membimbing serta mengawasi kita dilihat amat perlu. Bahkan, ianya boleh dilihat sebagai suatu mekanisme dalam kita mengharungi cabaran kehidupan. Sahabat yang baik adalah sahabat yang akan menolong serta membantu kita bukan?. Sahabat yang akan berlaku jujur terhadap diri kita. Sahabat yang akan berkata benar dalam apa jua cara dalam memastikan kita dan dia berada di paksi yang sebenar - di paksi yang diredhaiNya.

Sahabat begitu yang aku rasakan aku perlu dalam hidup ini. Alhamdulillah, sesetengah daripada mereka telah aku temui dan kami masih lagi bersama. Sahabat yang tidak pernah melupakan, malahan sering mengingatkan apa yang aku terlupa. Ukhwah itu indah jika kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Buat D, kau telah memilih jalan hidup kau sendiri.

Nota Kaki :
1. Sering tiada bekalan elektrik sejak akhir-akhir ini merencatkan penulisan aku secara terus ke kamar maya. Anehnya, nota tulisan bertimbun sehingga tadi aku terpaksa menepis tangan sendiri jangan menconteng dinding biru.
2. Mana bisa menolak kewujudan keluarga dalam diri, gilakah kau?
3. Oh, boleh sahaja terus mengundi di sini.

Zara : Kadangkala bila kita terlampau mengalah demi menjaga hati manusia lain, kita sendiri menanggung kesakitan yang lebih daripada sepatutnya. 

Friday, April 29, 2011

Kadangkala Perlu Walaupun Sakit.


Senyum.
Bertalu-talu pesanan masuk mendendangkan satu tujuan - duit dan duit serta duit. Manusia aneh yang berkiblatkan duit entah sejak bila mula menjalinkan benang takdir watikah hidup dalam garapan pelik bagaikan mahu menjerat menemankan ke neraka. Cuba dijauhi dan sudah dibisikkan bahawa duit bukan segalanya, tetapi bahkan manusia demikian ternyata degil dan lebih mahu mendengar kata sendiri. Aneh, kedegilan berkadar langsung dengan sifat mazmumah dalam diri bagi makhluk-makhluk yang semakin banyak bergelendangan.
Celaka.

Itu cerita lain.
Sebahagian daripada fragmen hidup yang bercantum-cantum, berpecah mahu membentuk apa itu kehidupan. Kehidupan yang penuh warna hingga kecelakaan sudah hampir memusnahkan kebahagiaan. Mungkinlah juga. Tiada siapa mahu mencampurkan fragmen hidup mereka walaupun itu semua menjadikan mereka lebih manusia. 

http://farm6.static.flickr.com/5138/5419094694_200b3846ee.jpg
Gambar : Maaf mungkin suatu tanda kelemahan, tetapi punya keberanian untuk menghadapi seseorang dan menyatakan maaf adalah satu kekuatan.

Hujan sepanjang malam.
Hujan berlarutan hingga pagi.
Hujan mengiringi dia ke tempat kerja.
Hujan adalah cuaca yang aku sukai.
Bahagia dan kesejukkan yang dibawa untuk menari.
Dan dia manusia yang sukakan ulitan kasih sayang begitu.
Kadangkala tubuh tidak mengerti jiwa yang kita salurkan. Semangat yang kita terapkan di dalam diri terbuai begitu sahaja sedangkan hati meronta mahukan sesuatu yang lebih dari sekadar apa yang terhidang dan tersedia. Kesakitan diketepikan demi mencari kebahagiaan diri. Tetapi mampukah tubuh mengikut apa yang kita semaikan di dalam marga?

Perlip yang pernah singgah hanya sekilas cuma. Demi kebaikan yang lebih utama, keburukan dipuruk di dalam lembayung dan tidak mahu lagi digembur demi diri yang semakin dewasa. Mulut-mulut yang terbuka bertanya tentang kewujudan manusia selepas pertama diabaikan begitu sahaja. Kalau yang kedua atau ketiga  hatta berapa jumlahnya wujud, biarlah dilipat kemas di dalam sejarah disebabkan kebaikan yang diberikan terlampau hingga membuatkan diri rasa terhina setiap kali diari terbuka.

Anak itu masih anak yang lemah.
Tanah yang dipijak masih lagi merah.
Jalan yang dilalui masih belum habis ditarah.
Pokok yang digantung harapan, kuat dan harapnya tidak patah.
Tapi adakah dunia ini mahukan manusia seperti dia?
Ada tempat untuk dia, si insan hina?
Matahari pagi mula memancarkan cahaya.
Langit yang cerah direnung hingga kepulan awan rasa manis bicara.
Manisan yang ditelan sudah tawar rasa.
Diam.
Enggan atur kata.

http://farm6.static.flickr.com/5095/5418492525_2b1a1e156e.jpg
Gambar : Kalau sesuatu atau seseorang itu layak dimiliki, maka seharusnya ia layak untuk ditunggu.

Dia menjadi semakin rengsa dalam menentukan sebuah ceritera.
Menelusuri sebuah karya.
Tapi yang dilihat hanya sebuah picisan hamba.
Hampa.

Dan dia seperti selalu, menghabiskan nyawa di atas ranjang merah.
Melihat ke mana dia akan diarah.
Senyuman tidak menyimpan amarah.
Kerana manusia itu sudah belajar untuk pasrah.
Tangan memegang amanah.
Hati dialuri darah.

Baru kali ini dia menikmati sesuatu yang disalut cinta lebih pada diri sendiri.
Bukan penghuni kehijauan sofa.
Bukan penggigit biskut bahagia.
Bukan penjilat kek cawan merah.
Tapi wujudnya jasad seorang manusia.
Manusia dingin seperti dia.

Kehidupan yang sepi sudah menemui lohong hitam.
Dia jengah ke dalam.
Ada rasa perasaan kelam.
Sejujurnya dia mahu melangkah dan merendam.
Tinggalkan cahaya yang semakin padam.
Menuju ke lohong hitam.
Bibir mengatup geram.

Selamat jalan hati.
Selamat tinggal jiwa yang mengkhianati.
Dia ini hanya manusia beku yang sepi.
Renggutan tangan berkuasa heret dia menjauhi.
Dia tidak akan mengogoi seorang lagi.
Sebab dia kini mati.
Mati dalam erti kata tiada lagi ruang untuk manusia celaka.
Sebab dia kini sudah tahu bagaimana untuk hapuskan segala rasa duka.
Senyum sahaja.
Nota Kaki :
Sudah pulang ke Teratak Keluarga.

Zara : Memulakan pekerjaan semula di kawasan yang disukai dengan pertambahan ilmu semula. Alhamdulillah. Terima kasih semua.

Thursday, April 21, 2011

Kadangkala Dia Mahu Ditunggu


Diam.
Dia tengok manusia sekeliling yang saling bersimpang siur lajunya melaksanakan urusan duniawi. Tidak ada seorang pun yang melintasi dan menghulurkan senyuman ikhlas. Ah, menganggukkan wajah juga jauh sekali, bagaimana dia mahu mengharapkan ada manusia ukirkan senyuman buat dia, manusia yang tidak tahu apa-apa dan hanya duduk diam sebagai seorang pemerhati sahaja?
Senyum.

Aroma indah menusuk ke dalam sistem pernafasan.
Itu mengingatkan dia kepada peristiwa yang silih berganti wujud dalam lipatan tawarikh dia sebagai seorang manusia. Satu demi satu ujian yang perlu dia hadap sampai dia merasakan, kesakitan itu perlu dihadam seperti memamah gula-gula batu yang keras. Sakit itu berikan sedikit kemanisan, umpama pembunuhan yang tiada kesudahan. Nah! Kekejaman mungkin hanya akan berikan nafas saduran, tetapi tidak akan pernah memuaskan.

Gambar : Ada orang yang sangat takutkan ketinggian. Kadangkala itu baik, sebab kalau ditakdirkan terjatuh, ia mungkin memberikan kesan yang sungguh kuat dan teruk. Begitu juga dengan hidup kita tentunya.

Melalui beberapa siri peristiwa dan episod hidup yang penuh dengan pelbagai corak dan cerita, dia merasakan tanpa itu semua dia masih lagi manusia yang lemah. Senyum kanyur sahaja yang mampu diukir buat manusia lain sekeliling dia tatkala dia dirundung, satu demi satu awan derita. Tidak, awan tidak membawa derita, bahkan dengan awan kelabu sedemikianlah, dia mampu cuci satu demi satu kenangan silam walaupun ternyata dia rasa dia masih kotor, celaka yang penuh cela.

Ah, bukan manusia kalau dia tidak pernah mengeluh memikirkan diri yang penuh noda. Tipulah kalau dia tidak pernah bersujud meratap menyesali perbuatan dia tatkala dia diberikan ujian bahagia. Tenggelam dengan keseronokkan bahagia, mengikut kata hati yang akhirnya menipu dia dan berlalu pergi dengan ketawa. Saat bahagia bukanlah mimpi di siang hari, cuma dia terleka dengan kenyataan, bahagia itu pinjaman, bahkan dunia ini juga suatu pinjaman. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik laksana pemiutang dan penghutang. Kalau sudah masa tiba, dia harus relakan segala natijahnya. Ah, hilang bahagia.
Bukankah bahagia itu juga satu ujian?
Tidak semestinya derita sahaja.

Dalam memulakan perjalanan baru, dia menemui pelbagai rentak manusia lagi. Satu demi satu dia lihat cuba untuk mempersembahkan tarian megah ibarat merak mahu memikat pasangan, penuh sombong dan bongkak (ah, dia benci perkataan ini) tetapi terlampau naif dengan apa sebenarnya yang dimahukan oleh pentas lakonan dunia. Mengepak penuh riak tetapi hakikatnya, segala tarian itu pincang dan tiada makna. Aneh, dia lihat manusia sekeliling masih bersorak buat segelintir manusia demikian.
Tahi.

Tarik nafas.
Perlahan.
Dia sedar, dia juga salah satu watak kecil atas pentas lakonan dunia. Bahkan dia juga punya peranan dan bukan sekadar watak tempelan - eh, dia juga punya dialog mahu dituturkan, dia juga punya aksi yang mahu dipersembahkan. Tidak termasuk perasaan yang mahu dia luahkan kepada sekalian penonton yang entahlah dari kelompok dia ataupun sekadar tersesat dan mahu membunuh masa. Cuma, setelah terjatuh dan tersadung di atas pentas beberapa kali, dia mahu teruskan watak mikro dia, sebagai seorang marhaen yang berjiwa besar. Dia tidak mahu terjelepok kesakitan lagi.
Malu.

Gambar : Kegembiraan dan kebahagiaan itu nampak seperti sesuatu yang kecil bila kita pegang dengan tangan sendiri. Berkongsilah dengan yang lainnya, maka kita akan dapat melihatnya dalam keadaan yang lebih besar dari biasa.

Hidup dia masih aneh.
Aneh kerana bila dia memberikan sepenuhnya dan setia dengan sesuatu perkara, semuanya akan jadi kucar kacir dan tidak menjadi seperti perancangan yang sepatutnya. Dia pernah terdetik dan berbisik ke dalam hati, apakah dia perlu jadi seperti lintah, mengeliut dan menyedut segalanya, berpura-pura pakai topeng opera dan berhentikan muzik cha cha?

Ah!
Dia tidak mahu letakkan diri dia sebaris dengan sesiapa yang menikam tepat dan membunuh rasa manusia. Rasa manusia itulah satu-satunya yang menjadikan dia mampu membezakan apa yang dia mahukan, apa yang dia dambakan dan apa yang mahu dikejar dalam hidupnya yang penuh warna sehingga pernah menjadi hampir hitam akibat percampuran tona yang tidak sekata.
Noda?
Eh!

Bergelut dengan masalah sendiri dan memulakan segalanya semula. Cuma kali ini dia tidak perlu bersusah payah memulakan dari titik sifar dan garis permulaan lagi. Hidup bagaikan dam ular, kadangkala dimakan dan dipatuk, tidak semestinya akan jatuh ke petak pertama semula. Mungkin dia pernah sakit terduduk menggelongsor dari kepala ke ekor dan terpaksa berdiri di kotak mula, tetapi kali ini, dia sempat berpaut pada tangga, maka jatuhnya dia tidak sesakit dahulunya. Ah, sudah berapa kali terjatuh ini ya? Nasib baik punggung tidak bengkak segala, kalau tidak pastinya nampak dia terbongkok menahan sakit rasa.
Ketawa.

Kawan : Apa jadi dengan hidup kau?
Dia : Kenapa?
Kawan : Putarannya sungguh pantas.
Dia : Hidup memang pantas.
Kawan : Belum sempat asimilasi, kau sudah ada refleksi.
Dia : (ketawa) Itu namanya sekadar berbasa basi dengan duniawi.
Kawan : Masih mampu ketawa.
Dia : Kalau tidak ketawa, badan akan lebih celaka.
Kawan : Ah, aku dengki.
Dia : Tidak apa perlu rasa iri.
Kawan : Aku mahu rasa perasaan ditunggu.
Dia : Silakan.
Kawan : Kau pernah rasa?
Dia : Tidak pernah, bahkan aku halang diri aku dari bermimpi ditunggu sesiapa.
Kawan : Aneh. Kau sentiasa menunggu?
Dia : (ketawa) Aku hanya menunggu kematian. Tapi itu tidak bermaksud aku langsung tidak berusaha. Bahkan, menghadap kematian juga punya cara bukan?
Kawan : Lagak cerita seperti sudah putus asa.
Dia : Gila! Manusia seperti aku tidak akan kenal erti putus asa. Malu jadi khalifah dunia jika mudah putus asa. Bahkan haiwan yang tiada akal berusaha meneruskan kelangsungan hidup, apatah kita ini manusia. 
Kawan : Bolehkah aku mahu ditunggu?
Dia : Boleh sahaja.
Kawan : Aku akan berusaha agar aku akan ditunggu.
Dia : Sudahkah kau punya seseorang yang akan menunggu kau?
Kawan : Belum lagi, tapi aku punya cita-cita ke arah itu.
Dia : Aku akan ucapkan tahniah bila saat itu tiba.
Kawan : Kau pula bagaimana?
Dia : Takkan lari dari norma manusia.
Kawan : Maksudnya?
Dia : Aku tidak mahu sandarkan hidup aku pada manusia lagi kalau aku mahu teruskan percubaan seterusnya. Tapi tunggu sahaja, aku masih belum ada rentak dan tarian dalam kepala.

Gambar : Bila dia sudah tiba ke arah puncak adrenalin yang tinggi, mungkin dia akan mula menari kembali. Tidak, dia tidak dapat meramalkan bila itu semua bakal terjadi. Aneh? Tidak sama sekali.

Dia sudah pasti.
Apa yang dia mahukan dalam hidup ini.
Cuma sesuatu yang dia dapat rasai.
Dia tidak mahu kesakitan lagi.

Nota Kaki :
Pekerjaan aku sudah jadi makanan ruji. Aku boleh tinggalkan nasi, tidak menjamah walaupun sebutir tetapi tidak kepada pekerjaan aku yang ibarat nadi.

Zara : Menulis seawal pagi membuatkan apa yang aku proses semasa tidur penuh gaya keluar sebutir demi sebutir. Pelik tetapi aku rasakan, meluahkan sekurang-kurangnya dengan orang yang tidak kau kenali akan melegakan otak yang sarat dengan segala macam benda duniawi.

Tuesday, April 19, 2011

Kadangkala Manusia Tidak Tahu Berterima Kasih


Ketawa.
Kelakar sebenarnya apabila melihatkan diri yang pernah jatuh dan rapuh boleh bangun kembali atas dasar kasih sayang kepada diri. Kasihan melihatkan diri yang tidak akan dijaga oleh makhluk bernama manusia menyebabkan diri menarik dan memungut sisa kekuatan terakhir untuk membina sesuatu yang baru, lebih kental, lebih jitu daripada apa yang didendangkan oleh manusia lain seluruhnya.

Aneh.
Dia merasakan anehnya manusia lain yang tidak tahu tersenyum kepada manusia lain. Masam mencuka sepanjang masa tanpa ada segaris aktiviti otot di wajah, kecuali wajah dan bibir yang melengkung. Tidak kira dengan kedutan di wajah tentunya, berlapis-lapis bagaikan satu manifestasi manusia yang langsung tiada rasa. Dia yang kenal hidup haruslah ceria dan penuh warna duduk mengira satu demi satu garisan di muka manusia yang tidak kenal erti senyuman dan berwajah marah sentiasa.

Bukankah senyuman sesuatu yang berjangkit?
Bila kita senyum dengan orang, orang akan senyum balik dengan kita?
Dia pelik bila terjumpa ramai manusia yang kebal dengan virus senyuman.
Kadangkala rasa mahu menjerit ketakutan.
Eh?

Gambar : Kadangkala orang yang kuat dan gagah di waktu siang adalah orang yang menangis sendirian di atas katil pada waktu malamnya. Ironi? Manusia perlukan ruang untuk diri sendiri.

Perbualan dengan seorang teman yang pernah berkongsi suka dan duka bersama sepanjang tahun akhir pengajian di kampus selatan menyebabkan diri tertanya-tanya, apa lagi yang manusia mahukan dalam hidup mereka tanpa menyakitkan orang yang pernah memberikan sesuatu dalam hidup mereka. Tidak, bukanlah mahukan penghormatan atau penghargaan, tetapi sekadar ucapan terima kasih sudah cukup barangkali.

Aneh bukan bila orang dewasa tidak pandai mengucapkan terima kasih, tatkala anak kecil berusia 3 tahun tertunduk-tunduk mengucapkan terima kasih walaupun hanya diberikan sebiji gula-gula.
Manusia memang aneh.
Kan?

Orang dewasa kadangkala terlampau angkuh.
Mungkin tidak semua, tetapi ramai yang ego dan lebih banyak yang gemar menikam dari belakang. Kita tidak boleh salahkan kanak-kanak yang membenci golongan dewasa yang mempunyai sifat dan sikap sebegini, kerana akuilah, kita pernah melalui zaman kanak-kanak yang sedikit kurang menyenangi tindak tanduk mereka yang lebih tua, walaupun acapkali kita mengulangi kesalahan kecil itu dengan sandaran, ah, aku lagi dewasa, lebih hidup lama, sudah makan banyak garam (yang mengakibatkan kena darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya).
Senyum.

Kawan : Apa khabar kau?
Aku : Baik. Maaf aku tak balas pesanan kau, aku baru tengok telefon.
Kawan : Tak mengapa.
Aku : Kau kenapa?
Kawan : Kenapa apa?
Aku : Cara kau cakap macam sedih, ayat kau pun macam sedih.
Kawan : Tiada benda.
Aku : Cakaplah.
Kawan : Aku ni jahat sangat ke?
Aku : Eh, kenapa cakap macam tu?
Kawan : Kau rasa aku orang yang macam mana?
Aku : Setakat yang aku kenal kau, kau baik orangnya. Tiada masalah. Kenapa?
Kawan : Kau ingat kawan aku si Z tu?
Aku : Kenapa dengan dia?
Kawan : Dia ada hantar surat mel pada aku, cakap aku macam-macam.
Aku : Eh, kenapa?
Kawan : Benda ni tiada orang tahu sebenarnya. Cuma itulah, lebih kepada peribadi.
Aku : Cakaplah.
Kawan : Dia dah kahwin. Kahwin di Thailand, tanpa pengetahuan keluarga dia. Keluarga dia ingat dia ni bujang lagi, duduk dengan aku. Dia pula tengah mengandung, jadi kalau ada apa-apa, dia memang cakap dengan aku.
Aku : Habis tu?
Kawan : Anak dia yang pertama, bukanlah anak yang sah. Itu bukan masalah dan keluarga dia jaga budak tu. Kalau dia ada masalah, dia datang cari aku. Minta tolong aku. Kalau ada masalah dengan suami ke apa, dia minta tolong aku juga. Aku sekadar tolong apa yang termampu.
Aku : Jadi, kenapa dia nak marah kau?
Kawan : Entahlah. Hari tu aku ada pinjamkan duit sedikit dan entah dia nak terasa apa dengan aku, sampai dia buang aku dari FB. Itu aku tak kisah, tapi bila dia hantar mel marah-marah aku, panggil aku macam-macam, buat aku terfikir, salahkah aku tolong dia selama ni? Aku tak pernah minta balasan pun sebab dia kawan aku. Cuma, aku sedih bila benda begini terjadi.
Aku : Sabarlah. Aku kenal kau, tahu kau macam mana.
Kawan : Aku sedih sangat. Sebenarnya aku kasihan dekat dia, kalau ada apa-apa jadi pada dia, bukan dia ada sesiapa di sini. Keluarga dia pun tak tahu yang dia dah kahwin. Aku takut kalau apa-apa jadi pada dia, dia tak boleh menuntut di mahkamah. Perkahwinan dia tak daftar lagi.
Aku : Kita fikir positif, mungkin dia punya emosi tak stabil. Mengandung kan?
Kawan : Mungkinlah. Takut dia kena pukul dengan suami dia lagi, dah la tengah mengandung.
Aku : Fikir macam ini sahajalah. Dia dah buang kau, satu-satunya orang yang akan tolong dia masa dia susah. Jadi, biarkan sahaja. Dia akan kesal nanti. 
Kawan : Sebab?
Aku : Sebab dia dah lepaskan pelindung dia selama ini. Orang yang tolong dia tak kira masa, dia dah buang kau. Jadi, tunggu sahajalah. Dia akan kesal sendiri.
Kawan : Lega aku.
Aku : Sebab?
Kawan : Aku dapat luahkan pada orang. Aku ni, kena ada orang yakinkan, baru boleh nak tetapkan fikiran aku. Maaf ganggu kau.
Aku : Takpe. Aku tak kisah. Aku tak nak kau sedih. Tak nak kau rasa terganggu sebab aku kenal kau siapa.
Kawan : Terima kasih.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang terpaksa ditapis dan tentunya aku menulis atas kebenaran kawan tersebut. Tidak pernah aku dengar kawan yang baik itu menyatakan, "biarlah kita tolong orang mana yang perlu. Susah kalau kita bersungguh menolong, sampai satu masa, dia buang kita dan marah kita balik. Macam melepaskan anjing tersepit, dia bebas, dia gigit kita semula".
Nah, sudah marah kawan itu.

Gambar : Kadangkala kita jaga, kita belai, kita tatang, berikan kasih sayang yang sepenuhnya, tetapi akhirnya apa yang kita curahkan memakan diri kita semula. Anehnya manusia. Sudah kalah haiwan pula.

Sisi gelap seorang manusia.
Entah sejak bila ada manusia yang mahu kembali kepada diri dia yang lama. Melalui kehidupan dengan identiti yang baru serta gaya yang baru agak menyesakkan fikiran dia. Benci dengan suasana yang menghimpit, manusia itu pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya suatu masa dahulu. Tidak. Yang selalu menganggu fikiran dan pertimbangan wajar dia bukan manusia lain, selalunya manusia yang dia sendiri sayangi, yang dia hormati dan kasihi.

Tersepit.
Sakit.
Perit.
Menghimpit.
Jerit.

Manusia itu selalunya ketawa dengan gembira dan ukir senyuman bahagia setiap kali lensa menghala ke arahnya. Tidak pernah masalah ataupun garisan wajahnya menunjukkan duka. Tidak ada. Kalaupun terakam dek kelajuan cahaya, mungkin wajah cemberut sahaja yang pernah kelihatan. Itupun disebabkan kedukaan sepintas lalu yang tidak berjaya disembunyikan. Sekejap, jangan khuatir, dia masih ingat dengan janji Tuhan.

Sempurnakan empat perkara tuan dan puan.
Dimandikan.
Dikafankan.
Disolatkan.
Dikebumikan.
Itu yang disematkan.
Dalam fikiran.

Nota Kaki :
Diam dan hela nafas panjang. Ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali manusia itu diuji. Dia masih percaya dengan kata-kata bahawa manusia tidak akan diuji dengan satu perkara yang tidak mampu ditanggungnya. Dia lihat diri dia masih kuat, masih mampu bertahan walaupun tanpa makanan. Ralat jiwa kerana hujung minggu dihabiskan dengan hati yang lara. Kesakitan yang menghimpit marga, dan dia tahu usaha menolak akan jadi sia-sia dan penuh celaka.

Zara : Aku manusia beku yang seringkali senyum tidak mengira dengan siapa. Mungkin aku sudah terbiasa dengan konsep, senyum dengan sesiapa sahaja dan aku biasanya menambah kenalan di mana-mana dengan dimulakan oleh senyuman. Ah, memang di saat ini aku merasakan dengan senyuman, aku lebih kuat untuk menghadapi apa sahaja. Ya, semuanya baik apabila aku senyum dan merelakan apa yang terjadi. 

Saturday, April 16, 2011

Perempuan Itu Tidak Pernah Kesepian.


Terjaga di tengah malam.
Cahaya berbalam-balam berwarna biru. Dia menarik nafas perlahan dan duduk berteleku sebentar. Seluruh tubuh sakit-sakit sejak kebelakangan ini. Kegilaan dia sudah tidak ditafsirkan lagi apabila kerja sudah jadi makanan ruji sendiri. Dia hanya tahu ketawa bila lihat tangan menggeletar apabila memandu dan kerongkong mendambakan kafein yang tinggi. Mata dapat dikekang, tetapi tubuh dia lunyai bagi menunaikan tugas dan memenuhi kepuasan kendiri.

Aneh.
Emosi dia sendiri bercampur baur. Selalunya, ketabahan dia akan bergerak tinggi selaras dengan pertambahan hari. Ketawa riang dia akan menutup celahan yang boleh bawa kecelakaan pada diri. Tidak, dia menolak untuk menjadi lemah kerana kelemahan bakal membunuh dia dalam diam. Adrenalin laju dan dia senang dengan kepayahan untuk mencapai impian dan mengukir ikhlas senyuman.

Gambar : Kepayahan hari ini adalah untuk kesenangan hari esok.

Panggilan dari seorang teman membuatkan dia sebenarnya tersenyum dalam menahan tangisan di tubir mata yang entah bagaimana mahu terbit tatkala dia sedang kepenatan. Ah, jiwanya masih lagi mudah tersentuh kalau ada sesiapa yang mengambil berat. Pertanyaan kawan itu tentang emosi dia membuatkan jawapan yang dilontarkan entah apa-apa. Dia sendiri bahkan pening dan celaru dengan apa yang dia rasa. Cuba meletakkan diri sendiri dalam kasut orang lain kadangkala tidak seindah yang dia cuba terjemahkan. Cuma, mungkin benar, apa yang diluahkan adalah coretan rasa dia sendiri - saat yang paling dalam.

Rungutan.
Satu demi satu luahan, kejian ataupun entah apa-apa lagi yang dia lihat dalam meladeni hidup sebagai seorang manusia. Rungutan demi rungutan dia terima setiap hari membuatkan dia sungguh mengiyakan bahawa manusia tidak akan pernah puas. Ada pasangan tapi pasangan ditinggalkan demi mencari yang lain dengan alasan tidak menggembirakan walaupun pernah hidup susah senang bersama, dan entah macam-macam lagi. Dia membaca dan memberikan pandangan walaupun yang bertanya seperti tidak tahu apa itu terima kasih. Bahkan menjawab dan menyatakan dia salah pula. Dia ketawa sahaja bila dapat tindak balas sedemikian. Dia percaya, manusia tidak layak merungut apabila mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kan lebih enak kalau berikan yang terbaik dan berusaha demi kebaikan diri?
Salahkah?

Ah!
Alangkah uji kaji kimia juga sukar untuk mendapatkan hasil yang sepatutnya, apatah lagi manusia yang entah apa-apa seperti dia. Tidak seimbang barangkali dan untuk memuaskan hati semua orang, dia sudah mulai jahat dan memilih siapa yang patut dia gembirakan. Diri sendiri sudah jadi yang paling utama, tatkala dia sedar, membiarkan diri diinjak adalah merupakan perbuatan paling curang dan tidak setia yang pernah dia buat pada diri sendiri. Kasihan, hati yang penuh calar dan duka, dia biarkan sakit lagi demi manusia lain. Celaka!

Gambar : Sentiasa ingat bahawa kita kena memandang ke atas apabila ada yang mahu menjatuhkan, tegakkan kepala kita dan sentiasa berfikiran positif. Cubalah!

Senyum.
Ada sebaris ayat yang membuatkan dia tersenyum girang walaupun ternyata, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia raup muka dan senyum sahaja. Aneh, dia sudah tidak punya rasa apa-apa lagi. Semuanya sudah diserahkan kepada penulis takdir yang lebih hebat, Yang Maha Berkuasa. Dia sudah tidak mahu membunuh saraf dan neuron sebuah marga. Ternyata, kesakitan dan keanehan dengan hanya melihat gambar dan mengingatkan suara pada suatu masa sudah bikin hati dia gulau penuh dengan tanda tanya dan kebingitan suara.

Dia mahu lenyap dari titisan air mata.
Tanpa sesiapa yang menemani membuatkan dia menjadi lebih tabah walaupun kedegilan hati masih menguasai. Tabahlah wahai bakal sang kekasih (kalau ada) atas sikap dia yang kadangkala membuat kamu terluka. Dia acapkali berubah menjadi sesuatu yang lebih keji. Kalau kamu terluka, maafkan dia ini. Maafkan hati dia. Hati sedang bergoncang merindui sesuatu yang dia sendiri tidak temui - tangan mahu menggapai, malangnya tidak kesampaian. Kepala bergoyang dipenuhi air dan angin serta udara.

Aneh.
Dia memang pelik.

Dia berundur dengan iringan semangat dan jiwa yang merdeka.
Dia mengalah bukan kerana dia kalah tetapi lebih kepada menghormati mereka yang dia sayang. Pergi dan mungkin akan kembali. Jika dia tidak kembali ke sini tatkala semboyan merdeka menjeritkan namanya, sila cari dia di dataran cinta yang masih membara. Eh, maksudnya di mana-mana sahaja yang dia sering berpeleseran membuang segala kesakitan. Hutan belantara, gunung ataupun apa sahaja.
Dia kan aneh?

Kental sebuah semangat. Ajari dia manusia yang bijaksana. Dia mencari erti merdeka dalam diri seorang hamba yang diikat oleh Tuannya. Keajaiban adalah milik Tuhan, bukan dia yang bisa meleraikan ikatan yang tidak bisa terungkai dengan air mata darah sekalipun. Dalam ketawa riang, dia tahu, menahan kesakitan dan hidup disalut kegembiraan adalah yang terbaik boleh diberikan kepada diri.

Gambar : Dalam sesuatu hubungan, tidak semestinya kita mempunyai semua benda yang serupa. Benda yang berlainan itu bahkan menjadikan hubungan itu menarik.

Dia tidak pernah sunyi.
Dia tidak kenal erti sepi.
Yang dia tahu, dia mahu kekal berdiri.

Nota Kaki :
Kepenatan yang menjalar menyebabkan adrenalin manusia dalam diri entah bagaimana mula memuncak dan menurun sepantas ia naik. Senyum sahaja dengan penuh mesra pada manusia sekeliling dia.

Zara : Kalau hati kau pernah disakiti dan dilukai, tetapi masih mampu memaafkan dan menyayangi manusia itu seperti dahulunya walaupun tanpa ada apa-apa ikatan, itu sesungguhnya adalah cinta yang sejati.

Thursday, April 14, 2011

Orang Kata Perempuan Itu Lemah.


Hilang.
Cubaan melepaskan diri daripada segala kesakitan batin menunjukkan hasil yang dia sendiri lebih tabah daripada yang dahulunya. Kali pertama kesakitan itu datang, dia menghadapinya dengan tegar seperti punya pengalaman walaupun dia sebenarnya berdiri megah disebalik kasih sayang manusia-manusia yang bertanggungjawab memberikan dia kasih sayang serta melayakkan dia hadir ke dunia untuk menjadi seorang insan.

Tujuh hari masa yang dia peruntukkan untuk kembali pulih sepenuhnya pada kali pertama belati menghentam diri apabila emosi yang penuh warna tiba-tiba dicurahkan dengan warna hitam seluruhnya. Penat mahu mencuci dan meninggalkan kekotoran yang ternyata, dia terpaksa kerah segala kudrat dan tenaga untuk kembali mencapai warna asas dalam kehidupan manusia - putih bersih, lambangan jiwa yang terpaksa disalin bagaikan kanvas baru tanpa warna.

Dalam diam, dia menongkah arus.
Buang segala kelemahan diri yang menyebabkan dia diinjak sesuka hati. Tidak, dia benci apabila manusia sekeliling mendiskriminasi. Melalui fizikal, melalui jantina atau apa sahaja dia hanya akan senyum dan ketap gigi. Celakanya manusia yang membandingkan manusia lain dan mewujudkan sistem perbezaan laksana taraf dan kasta hanya disebabkan fizikal ataupun jantina. Ah, kekayaan atau kesenangan serta kecantikan itu hanya pinjaman dunia yang manusia-manusia celaka itu juga berhutang seperti dia.
Aneh mereka.

Gambar : Dia percaya, dengan menjadi diri sendiri, dia sebenarnya lebih kenal dan tahu sikap manusia yang mahu membunuhnya dalam diam - serta meninggalkannya mati perlahan, mencungap mahukan udara.

Perempuan lemah.
Perempuan hanya pandai menangis.
Perempuan hanya tahu merajuk bila keinginan tidak dipenuhi.
Perempuan itu, perempuan ini.
Segala kenyataan itu dia sudah lali.

Perempuan buat hati ceria.
Perempuan buatkan hati gembira.
Perempuan menjadikan setiap lelaki nanar dengan cinta.
Perempuan bisa menggoncangkan iman, jiwa dan dunia.
Ah, segala kenyataan itu juga sudah basi.

Perempuan baik untuk lelaki baik.
Perempuan jahat untuk lelaki jahat.
Mustahil perempuan baik akan bersama lelaki jahat.
Mustahil perempuan jahat akan bersama lelaki baik.
Hakikatnya, dia sudah nampak lebih daripada itu semua.
Kenyataan benar dunia yang kadangkala buatkan dia alpa dalam mencari apa yang sepatutnya.
Aneh, dia hanya suka membaca.
Dan merenung jalan cerita.

Mereka kata perempuan seperti dia hanya akan mampu menjadi pilihan terakhir apabila sudah tiada siapa lagi mahu dicari bagi meluahkan rasa. Manusia disekeliling dia membisikkan bahawa menunggu kematian itu lebih baik daripada mengimpikan rasa perkahwinan. Kenyataannya, setiap madu atau racun yang mengalir daripada mulut bertinta entah apa daripada manusia lain hanya mampu membuatkan dia tersenyum dan anggukkan kepala. Ampuh, bisa dan kebal sudah hatinya. Tiada rasa.

Gambar : Kadangkala dia lebih suka tidur dan bermimpi apabila kenyataannya, menghadapi realiti seperti membiarkan diri diinjak dengan sesuka hati. Walaupun begitu, dia lebih suka menjadi pemerhati kerana penderitaan manusia adalah sebahagian daripada perang psikologi dan sosiologi yang dia amati.

Empat tahun lamanya dia memberikan ruang kepada diri untuk kembali sembuh dan hidup kembali. Tentunya kemunculan dia tidak sama seperti yang dahulukala. Bisikan marah, mahu menyeret dia kembali kepada azalinya yang dikatakan lebih baik daripada dia yang berdiri kini. Dia senyum, tidak mahu menyuarakan apa-apa. Sekadar gelengan kepala yang tidak membawa apa-apa kepada penutur bicara. Satu lubang kecil dibina, membiarkan unsur luar masuk dan merasai apa itu hatinya. Dia mahu mewarna kembali dinding yang sejuk dan kelabu.

Kelabu bertukar biru.
Pelbagai warna dilukis dan dia mulai pandai ketawa ikhlas semula.
Bentuk aneh tetapi punya terjemahan sendiri mula pandai lekat pada jiwa.
Dia bilang hari dan waktu yang entah kenapa bergerak perlahan demi kuasai rasa.
Tetapi dia terlupa, betapa cepat gembira itu datang, sepantas itu ia akan pergi.
Warna ceria hitam kembali.
Terlampau pantas.
Dia terkedu.

Kalau dulu dia perlukan tujuh hari.
Kalau dulu, tempoh penyembuhan dan bangkit kembali takwim bertukar empat kali.
Tapi kini, dia sudah lebih kenal diri.
Dia perlukan hanya lima minit untuk senyum dan berdiri.
Sedikit hembusan kalam kepada hati.
Dia boleh ketawa geli hati.
Lagi.

Gambar : Akan tiba suatu saat apabila dia tidak akan lagi jadi persinggahan terakhir sesiapa. Akan tiba masa kegembiraan dan senyuman itu tidak perlu dia dapat dari sesiapa. Kerana dia menyedari sesuatu yang menarik apabila hati dilukai, dia tidak mampu mengingati apa perasaan sebelum segalanya musnah dan pergi.

Perempuan wujud kerana ada lelaki.
Lelaki wujud kerana ada perempuan.
Saling bergantung sesama sendiri.
Itu dia sendiri boleh baca dan kenal pasti serta memahami.

Nota Kaki :
Ketawa riang apabila membaca fakta bahawa bagaimana seseorang yang kita cintai dan mencintai boleh merosakkan sekeping hati, dan bagaimana manusia itu dengan anehnya masih menyayangi dan mengingati manusia sebegini.

Zara : Menulis secara tergesa-gesa sebelum keluar dan hilang lagi. Tidak muncul selama beberapa ketika membuatkan aku menyedari, tiada siapa memerlukan manusia beku ini. Oh, aku menghargai manusia walaupun manusia tidak akan menghargai aku. Ah, kehadiran aku tidak perlukan sebarang alasan dan balasan.

Monday, April 11, 2011

Kadangkala Perempuan Mahu Meluahkan Kesakitan


Senyum.
Kadangkala dia datang dalam keadaan yang cukup tabah walaupun mungkin dia adalah insan yang menangis sehingga tertidur. Dia dengan penuh kuat menyatakan tiada apa-apa yang berlaku dan terus hidup dengan ketawa besar walaupun sebenarnya, dia bijak dalam melakonkan watak menutup kesakitan diri. Itu semua cerita dia, dia yang bukan sesiapa di atas dunia.

Dia manusia yang sering ketawa riang.
Dia manusia yang percaya, setiap manusia lain yang muncul dalam hidupnya, hadir dengan pelbagai alasan, sama ada baik ataupun buruk. Mereka yang hadir membentuk, menjalin hubungan atau apa sahaja, termasuk berpisah dan putus kawan dengan dia. Kerana akhirnya, akibat manusia sedemikian rupa, dia menjadi siapa dia sebenarnya hari ini. Dia yang lebih percayakan diri sendiri, bukan manusia lain yang mungkin mengintai peluang, menyorak supaya dia bunuh diri dan mati.

Acapkali orang merasakan dengan berbual, menulis dan bercerita dengan dia, orang itu sudah mengenali keseluruhannya tentang dia. Malangnya, disebalik ketawa mesra, perbualan ceria, mungkinkah tersimpan sejuta satu rahsia yang tidak dapat diluahkan kepada sesiapa? Dia sendiri menyedari, kesakitan yang terhimpun dalam diri adalah dosa silam yang tidak dapat dinyatakan kepada sesiapa. Merenung ke arah cermin, membuatkan dia jijik dengan apa yang dilalui.

Gambar : Kadangkala dia terjaga dan tidak mengenali siapa dirinya sendiri. Terpinga-pinga membaca apa itu realiti dan menolak kewujudan diri secara senyap dan sunyi.
Seseorang pernah menyatakan kepada dia, anak baik, anak yang tabah akan sentiasa diuji walaupun dia menyedari, kesakitan yang ditanggung sendirian adalah disebabkan metamorfosis diri yang belum lengkap lagi. Metamorfosis adalah sesuatu yang mustahil akan berlaku pada dia selagi kaki dia terikat di dalam kepompong. 

Manusia boleh ketawa, dia silakan.
Manusia boleh menghina, sila mulakan.
Manusia boleh berbuat apa sahaja, dia relakan.

Kerana metamorfosis dia tidak akan bermula. Senyap dan sunyi dunia dia. Dia bina dunia dia sendiri, mengikut acuan yang dia mahukan, dengan rangkaian yang dia senangi dalam usaha membina keluarga kecil yang mengerti kemahuan diri. Diam dia bukan bermakna dia memberikan kebebasan buat manusia lain menginjak diri, tetapi lebih kepada dia enggan meletakkan diri sehina yang melemparkan kata-kata nista sedangkan diri tidak mengerti.
Sesetengah orang betul-betul wujud. Sesetengah orang adalah baik. Tetapi, dia tidak menolak, sesetengah orang adalah palsu. Atau lebih tepat lagi, sesetengah orang adalah bijak dalam berpura-pura. Demi mengelakkan terjebak dengan manusia sedemikian rupa, dia bertindak mengasingkan diri dan keluar hanya bila ada manusia yang mengetuk perlahan tingkapnya. Menjengukkan wajah dan meneliti apa dimahukan mereka sebelum memberikan apa yang diminta. Aneh, dia jadi tabah lebih dari dahulunya.

Usap rambut sendiri.
Dia sebenarnya terharu dengan diri sendiri.
Berbaur bangga sebenarnya apabila hati yang pernah disakiti, dilukai, dikhinati, ditikam, dibakar, dicederakan - masih lagi berfungsi dan bernyawa megah bagi meneruskan kelangsungan hidup yang dia sendiri tidak mengerti. Hakikatnya, derita sebuah diri dan kesabaran sebuah hati sudah menjadi tepu walaupun dia seperti memperlekehkan sekeping hati. Kuatnya, utuhnya bagaikan dia sahaja yang punya diri.

Gambar : Kehidupan terlampau singkat. Menitinya tanpa henti dengan menerima dan memberi kasih sayang, membuang segala kemarahan, menghadapi segala ketakutan dan menghargai segala kenangan indah - menjadikan dia lebih manusia daripada sekadar insan biasa.

Diam.
Dia sedar yang dia telah melalui terlampau banyak perkara dalam hidup. Mungkin ada yang menebak, sekadar pernah terjatuh dan bangkit sendiri, mana ada sepayah benda lain yang ternyata lebih menyusahkan dan membawa sengsara. Tapi anak itu, dia sendiri tahu apa yang dia lalui dan bagaimana dia bangun demi membuktikan nyawa itu mahal harganya, hati itu sesuatu yang tidak boleh dibeli walaupun kekayaan ditabur berjuta.

Cermin.
Pantulan diri sendiri.
Bayangan yang dia benci.
Biasan yang dia sayangi.
Itu semuanya adalah diri yang pernah disayangi, dikhianati cuba bangkit kembali.
Ternyata dia menang dalam berdiri.
Berdiri dan kuat dengan hati.

Diam.
Dalam diam, dalam senyuman, dia tahu dan perhatikan dia sedang dikhianati lagi. Betapa susah dia mahu menjadi anak tabah, sahabat baik, dia sedar, dan mengerti, manusia akan sentiasa menyakiti walaupun hakikat sebenar tidak pernah dikhabarkan kepada sesiapa. Dia membakar segala keyakinan dia ke dalam ruang hati paling dalam, membaling abu kesakitan ke lautan seluas mata memandang supaya tidak ada satu yang akan kembali kepada dia. 

Gambar : Di tubuh itu, luka dan parut sudah saling bertingkah mahu hilang secepat mungkin walaupun kedua-duanya tidak menyedari, yang lebih sakit sebenarnya adalah segumpal darah merah bernama hati. (Shafaza Zara, 2011)

Alunan bacaan ayat suci.
Senyap dan sunyi dunianya dihiasi bunyi.
Bacaan penuh perasaan daripada sumber terdekat yang dia tahu tidak perlu dicari.
Menusuk ke dalam jiwanya yang tidak dapat membezakan apa itu sunyi.
Apa itu sepi.
Dia sendiri tidak mengerti.
Yang dia tahu, dia percaya akan diri.

Kelibat seseorang yang dia mahu lupakan tiba-tiba muncul dan membuatkan dia berperang dengan diri sendiri. Apakah mahu menegur dan bertanyakan sesuatu demi memudahkan suatu urusan yang belum ditemui jalan penyelesaian secara peribadi? Sekadar berbahasa basi, dia menuturkan satu demi satu ayat dengan hiasan ketawa yang dia kulum sambil ketap lidah dan senyum nampak gigi. Betapa dia takut, segumpal darah bernama hati sedang dihiris perlahan menggunakan belati. Aneh, dia masih mampu senyum lagi.

Dia : Saya mahu tanya sesuatu boleh?
Insan : Tanya apa?
Dia : Lebih kepada pendapat.
Insan : Silakan.
Dia : Kalau ada orang yang mengkhianati awak, apa awak akan buat?
Insan : Apakah?
Dia : Apakah awak akan kekal berhubung dengan orang sebegitu?
Insan : Tidak. Saya akan menjauhi orang begitu, tidak akan bertegur lagi dan tidak akan menghiraukan kewujudan orang sedemikian rupa.
Dia : Oh, begitu.
Insan : Kenapa?
Dia : Jadi, kalau saya disakiti, dikhianati dan dilukai sedemikian rupa, maka saya boleh buat begitu kan?
Insan : Ya. Apa yang awak cuba sampaikan?
Dia : Tiada apa-apa. Sekadar perlukan satu pendapat.
Insan : Betul? Tidak ada benda yang mahu disembunyikan?
Dia : Tiada. Sekadar bertanya.

Hari ini, dia sudah temui jawapan.
Jawapan bagi merungkai segala permasalahan diri.
Dia akan menimbus semua kenangan silam dan pandang dengan tegak masa hadapan.
Sebab segalanya sudah tiada erti.

Dia tahu dia tidak perlukan alasan kukuh untuk menghilang kini.
Sebab dia sudah berjanji.
Garis halus mati.

Nota Kaki :
Tidak perlu menjadi kedua terbaik dalam hidup sesiapa sedangkan kau layak untuk menjadi yang pertama bagi hidup seseorang yang layak. Ketahui tahap dan taraf diri sendiri sebelum kau korbankan sesuatu yang pastinya tiada galang ganti.

Zara : Hidup sendirian ini sebenarnya lebih menarik apabila tidak perlu melayan pelbagai drama dan cerita serta sakit hati yang mungkin menjengah. Walaupun begitu, ia mungkin akan menjadikan diri kau kesunyian dan merindui perasaan mahu memiliki dan dimiliki. Mungkinlah sebab aku tidak merasai apa-apa lagi.

Thursday, April 07, 2011

Kau Buka Dan Beri Hati Pada Siapa?


Hidup.
Bila kita pertaruhkan hidup kita yang kita sayang pada tempat yang salah, kesakitan yang kita terima sungguhlah memeritkan. Hidup hanya sekali, itu yang selalu kita bisikkan pada diri sendiri. Apakah meletakkannya di tempat yang salah, melakukan kesilapan dan kita tidak mahu kembali bangkit dan bernyawa?

Kadangkala, kita buka hati kita pada orang yang salah. Kita berikan yang terbaik pada manusia yang kita sangka ditakdirkan untuk kita walaupun akhirnya benda yang diharapkan langsung tidak terjadi. Tetapi, itu bukan satu masalah sebenarnya. Bila kita yang bertanggungjawab untuk membuka hati kita, maka, kita harus mengambil usaha untuk menutupnya kembali. Kuasa di tangan kita.
Benar bukan?

Gambar : Kenapa sepasang kasut kadangkala mempunyai ciri-ciri berlainan daripada sepasang kasut yang sama? Sudah semestinya pemakainya adalah orang yang berbeza. (Shafaza Zara, 2011)


Manusia memang tamak. 
Itu kenyataan kejam yang kita harus akui bersama. Setiap daripada kita adalah tamak dan tidak pernah puas dengan apa yang kita miliki. Katakanlah perempuan yang sudah sedia ada cantik, kurus, langsing, kadangkala akibat tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki, dia akan pergi membuat pembedahan plastik untuk lebih cantik dari orang lain. Lelaki yang sudah memiliki segalanya, mungkin akan menggunakan kelebihannya untuk mendapat cinta yang lebih dari sepatutnya, walaupun sudah ada permaisuri yang menunggunya pulang ke rumah. Mungkin. Itu sebahagian daripada fragmen hidup yang nyata.

Kawan : Aku geram betul.
Aku : Kenapa?
Kawan : Bila aku buka balik hati aku untuk bercinta, orang yang aku nak, langsung tak pernah pandang aku. Tapi orang yang aku tak minat pula asyik mengekori.
Aku : Jadi?
Kawan : Adakah ini balasannya sebab selama ini aku menolak cinta yang hadir?
Aku : Jadi kau nak kata yang kau patut terima cinta orang yang mengekori kau?
Kawan : Bukanlah. Aku memang minat pada seseorang tu, cuma, dia langsung tak pernah endahkan aku.
Aku : Bukankah itu ironik?
Kawan : Maksudnya?
Aku : Manusia memang begitu.
Kawan : Terangkan.
Aku : Manusia selalunya akan tidak menghiraukan orang yang perlukan mereka, tetapi mengejar orang yang mereka suka. Manusia tolak orang yang cintakan mereka, tetapi mengejar orang yang tidak ada langsung perasaan pada mereka.
Kawan : Jadi, benda ni normal?
Aku : Normal terjadi pada manusia biasa.

Terima baik dan buruk.
Pernahkah sebelum kita membuka hati dan menyerahkannya kepada seseorang demi memulakan hubungan, kita telah mengkaji kesan baik dan buruknya yang datang secara pakej apabila kita menerimanya dalam hidup kita? Selalunya manusia akan terlepas pandang perkara sebegini dan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat apabila benda yang istimewa telah bertukar menjadi duka.

Cinta.
Satu perasaan yang istimewa ini seperti dadah sebenarnya.
Dalam kuantiti yang kecil, ia tidak memberikan sebarang erti.
Dalam kuantiti yang sederhana dan berpatutan, ia memberikan kebaikan dan kesenangan seperti mana ubat.
Tetapi, bila dalam kuantiti yang terlampau banyak dan berlebihan, ia bakal memudaratkan.
Itu yang aku rasa, pandangan peribadi aku sendiri.
Ketagihan?
Itu pasti.

Gambar : Dalam mimpi, impian dan cinta - tiada sebarang istilah mustahil yang neuron kita akan cipta. Semuanya boleh sahaja dan bakal sempurna. Tetapi, benarkah?

Banyak hubungan berakhir walaupun sebenarnya, itu tidak perlu berlaku.
Manusia memang suka membiarkan emosi dan sifat ego menguasai sehingga hilang pertimbangan. Dalam satu ketika, nafsu marah memuncak, ego mencanak, emosi merajai hingga sendiri akan lupa diri. Natijahnya? Bila tersedar dan tersentak, baru akan menyesal sendiri. Kenapa membiarkan sesuatu yang indah itu hilang begitu sahaja akibat kelalaian sendiri.
Ah, kata manusia.

Nota Kaki :
1. Ada beberapa soalan di Mukabuku yang sudah aku jawab. Maaf, aku tenggelam dalam pembacaan hingga mengabaikan alam maya.
2. Berjumpa dengan seorang wartawan dan juga penulis blog semalam.
3. Maaflah tidak berkesempatan membalas komentar kalian di halaman Mukabuku untuk blog ini. Aku memang begini bila terjumpa buku yang aku suka.

Zara : Bila sebuah hati sudah rosak, ia akan menjadi keras, tertutup dan dingin. Sekarang, ia memerlukan usaha yang kuat untuk dibuka kembali dan menjadi panas semula. Ah, tapi kalau sekali peluang pernah diberi dan dikhianati, mungkinkah ia akan tertutup selamanya selepas ini?