Buat lelaki paling hebat.
Buat cinta pertama.
Buat dia yang disayangi selamanya.
Selamat ulang tahun ke lima puluh dua.
Anak ini mungkin tidak pandai menzahirkan kasih sayang, menunjukkan rasa cinta pada keluarga dan sering menimbulkan masalah, tapi insyaAllah, akan sentiasa berusaha memenangi kasih sayang, menjadi anak yang terbaik dan tidak akan berpaling dari janji taat setia.
Buat wali saya.
Buat Abah yang sentiasa menyayangi saya.
Terima kasih tidak cukup untuk segala jasa. Aksara yang saya coretkan bukan apa-apa bahkan tidak bermakna barangkali. Tetapi, itu sahaja yang saya mampu luahkan untuk manusia yang sentiasa memikirkan saya - anak sulung yang kadangkala bagus, kadangkala perangai serupa apa.
Buat Abah.
Maaf atas segalanya.
Terima kasih kerana menghadiahkan Along senyuman paling manis setelah Along pulang dari JB semalam. Senyuman Abah tatkala tengok kek kecil dan manisan yang dibawa untuk Abah sudah cukup buat Along lega dan gembira. Maaf tidak dapat bersama hari ini sebab perlu bertugas luar kawasan lagi.
Semoga yang terbaik buat Abah.
Amin.
Nota kaki :
18 - 21 Februari 2013 = JB.
22 - 24 Februari 2013 = Segamat
25 - 28 Februari 2013 = Muar
- sent via iPad
Showing posts with label Ulang Tahun. Show all posts
Showing posts with label Ulang Tahun. Show all posts
Friday, February 22, 2013
Wednesday, August 29, 2012
Terima Kasih Atas Segalanya.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
8/29/2012 06:08:00 AM
Jatuh bangun.
Senyuman dia tidak tergugat sedikit pun.
Susah payah.
Dia belum jumpa sebab untuk goyah.
Dia mungkin lemah.
Bukan buat segalanya kerana Allah.
Dalam pemikiran dia hanya untuk Mak dan Abah.
Oleh itu, dia tidak akan mengalah.
Yang dia kejar dalam dunia ini ada dua.
Satu bahagia.
Dua redha ibu dan bapa.
Itu sahaja.
Terima kasih atas segala kurnia Maha Pencipta.
Dia masih hidup dalam sebuah nyawa.
Hitung pendeknya sebuah nyawa.
Sebelum hari perhitungan tiba.
![]() |
| [Sumber gambar] |
Buat Abah dan Mak yang disayangi.
Terima kasih atas jasa dan limpahan budi.
Buat keluarga yang sentiasa di sisi.
Walaupun buruknya aku, terima kasih masih menemani.
Buat sahabat baik sampai mati.
Doa kau lebih daripada cukup untuk aku berani.
Buat rakan-rakan yang mengirim pesanan dari pagi.
Kalian antara sebab perjuangan aku tidak akan terhenti.
Buat KOPI.
Pastikan tahun depan saya tidak bujang lagi.
Hihihi.
Thursday, January 26, 2012
Persahabatan Dua Dunia Berbeza.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
1/26/2012 06:23:00 PM
Apa yang penting dalam hidup manusia?
Aku rasa selain hidup untuk diri sendiri, keluarga, cinta - manusia memerlukan seseorang (atau beberapa) yang lain sebagai kawan. Manusia macam aku banyak kenalan, banyak kawan, banyak teman, tapi aku ada beberapa sahaja yang boleh digelar sahabat. Kali ini, aku tujukan pada seseorang yang mencorakkan makna yang bukan sedikit dalam hidup aku. Manusia yang banyak mengajar aku nilai menjadi seorang manusia, tabah sebagaimana aku hari ini - lebih pantas mendongak lihat manusia yang melemparkan apa mereka suka tentang aku.
Dan hari ini, aku memilih untuk bercakap tentang seorang sahabat yang sangat memahami. Dengan hanya sepatah perkataan yang aku ucapkan, dia boleh meneka seluruh cerita dengan tepat. Kuasa apakah ini sahabat?
Aku rasa orang yang baca blog aku sejak daripada blog bahasa Inggeris, hingga ke Dunia Sebelah Zara - mungkin pernah terbaca tentang Pali. Seorang sahabat yang mencapai tahap keluarga. Ya, pada aku, Pali adalah sebahagian daripada keluarga aku. Orang yang aku tanpa segan dan silu akan kongsi semua benda. Mungkin dengan keluarga, mereka tidak dengar aku menangis, merintih, mengeluh tapi aku rasa, Pali sudah pinjamkan itu semua untuk aku. Dia dengar aku menangis, dia dengar aku menggila, dia ada sejak aku bertatih untuk mulakan segalanya bila hidup aku terumbang ambing suatu ketika dulu.
2008.
Aku mulakan tahun akhir pengajian di universiti. Disebabkan kemudahan yang aku ada di bilik, dan aku mungkin bosan ketika itu, aku guna Skype. Aku tegur sesiapa yang aku mahu dan masa itu, aku tegur Pali. Dia guna nama lain pada waktu tersebut - 'Jump Jump Jumper'. Betapa uniknya persahabatan kami bermula, sebab saling tidak mengenali, Pali bukan manusia yang aku kenal dari blog, ataupun dia kenal aku dari mana-mana laman sosial, cuma dari Skype.
Dan, waktu aku saling bertingkah dengan hidup sendiri, dengan persoalan peribadi yang menghantui, dia tolong aku untuk bangun perlahan-lahan dan menhadapi kenyataan dunia.
2009.
Kali pertama aku ucapkan selamat ulang tahun buat sahabat baik ini.
Waktu ini, Pali melalui satu keadaan yang mengujikan dalam hidup dia. Dan aku boleh katakan dia berjaya melaluinya dengan baik. Tahun 2009 menyaksikan banyak benda berlaku, Dari saat aku menamatkan pengajian, menghadiri temuduga kerja hingga memulakan kerjaya - aku boleh katakan semuanya ada kehadiran Pali. Aku ingat lagi masa aku mahu menghadiri temuduga kerja, ujian INSAK - Dia cuma cakap dengan aku satu benda yang aku pergi dengan berlapang dada.
" Aku cuma nak dengar kau berjaya, tu je. Benda lain tak nak!"
Persahabatan unik itu membawa kepada pelbagai cerita.
Tahun 2009, banyak benda berlaku, kami saling membantu, bila seorang jatuh, seorang yang lain akan tolong tarik ke atas semula. Membebel dengan cara masing-masing, tapa batasan dalam kosa kata, benda yang kami paling suka. 2009 berakhir dengan kami hanya masih lagi tidak berjumpa.
2010.
Permulaan tahun bagaikan banyak sangat benda yang tidak menarik. Tetapi Alhamdulillah, kami berjumpa akhirnya. Jumpa selepas melalui peristiwa yang tidak boleh dilupakan. Peristiwa yang membawa kepada lebih banyak pengertian hidup. Dan pada tahun 2010 juga aku rasa, Pali ada singgah di rumah. Jumpa keluarga aku atas urusan berkaitan komputer. Siap tulis lagi tips kalau datang ke rumah aku. [baca]
2011.
Jatuh, bangun, jatuh, bangun.
Sahabat itu ada.
Dan, apa yang aku banyak mahu cerita di atas dari tadi ini, sudah Pali tuliskan dalam penulisan dia sempena ulang tahun kelahiran aku .
2012.
Ketika aku menulis dia, hari ini adalah ulang tahun ke-25 sahabat itu.
Seorang sahabat yang aku rasa aku akan cukup kesal kalau hilang daripada hidup. Bila menoleh kembali apa yang dilalui selama ini, aku tahu, aku sudah cukup bertuah.
Terima kasih sahabat.
Kau tahu lebih lanjut kenapa kau sentiasa seorang sahabat.
Nota Kaki :
Aku benci cuti lama.
Dan, bolehkah kamu undi aku untuk Best Educational Blog? - Siapa yang calonkan aku tu, terima kasih yang teramat sangat. [pautan]
Zara : Tanpa sahabat, aku mungkin manusia bodoh tanpa bantuan.
Sunday, January 01, 2012
Selamat Ulang Tahun Ketiga Sayang.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
1/01/2012 08:23:00 PM
Selamat datang tahun dua puluh dua belas.
Selamat bermulanya tahun masihi yang baru. Kita semua menyelak sehelai demi sehelai kalendar dinding atau meja dan juga di telefon serta gajet masing-masing kan? Melihat permulaan tahun baru Masihi sebagaimana permulaan tahun Hijrah - banyak benda yang perlu dilakukan dalam hidup. Dan aku sejujurnya, bangun pagi ini dengan satu benda yang aku sudah pasakkan dalam otak semalam, tapi berubah dengan kehadiran mel elektronik daripada seseorang. Awak tahu bagaimana mahu kekalkan saya disamping awak kan?
Apa pun, hari ini, 1 Januari 2012 - adalah ulang tahun blog ini yang ketiga. Terima kasih atas sokongan yang kalian semua berikan sepanjang aku menulis secara rasmi dalam bahasa Melayu ini. Terima kasih yang tidak terhingga kerana masih sudi membaca catatan aku mengenai manusia, permasalahan dan sebagainya. Alhamdulillah, dengan sokongan kalian, komentar yang tidak mampu aku balas (mohon ampun dan maaf) - tahun 2011 aku dipenuhi dengan kemajuan dalam penulisan aku. Sedikit pembaharuan tidak salah bukan?
![]() |
| | Flickr | Selamat ulang tahun ketiga Dunia Sebelah Zara. | Rujuk kotak kedua. |
Ada sesuatu untuk pembaca sekalian. Tidak kira siapa sahaja layak untuk menyertai pertandingan kecil ini. Aku kurang pasti kalau tahun lepas ada buat ataupun tidak, tapi tahun sebelumnya ada. Jadi, untuk tahun ini, bendanya mudah sahaja. Sempena ulang tahun ketiga Dunia Sebelah Zara, ibarat budak kecil yang sudah mampu bertutur dengan baik dan mula belajar menulis, ini untuk kamu semua.
Jadi, apa yang kamu perlu buat sebenarnya?
01 - Tulis satu penulisan (baca : entry) tentang Dunia Sebelah Zara. Nak tulis tentang aku pun boleh. Heh.
02 - Kamu boleh tulis tentang apa sahaja. Tiada had dalam pemilihan apa yang kamu mahu tulis.
03 - Penulisan boleh dalam pelbagai bentuk kecuali ejaan yang memualkan.
04 - Boleh dihiasi gambar, video atau apa sahaja yang kamu mahu.
05 - Penulisan kamu seharusnya dalam lingkungan 100 hingga 1000 patah perkataan sahaja. (Terkini)
06 - Tajuk terpulang kepada kamu sendiri. (Tajuk adalah bebas)
Syarat-syarat penyertaan :
01 - Terbuka kepada semua pembaca tanpa mengira peringkat umur.
02 - Setiap pembaca hanya perlu menghantar satu penyertaan sahaja.
03 - Jika pembaca tiada blog, Tumblr pun boleh. Tumblr boleh dikatakan mini blog juga kan?
04 - Pertandingan akan berjalan selama sebulan (1 Januari 2012 - 31 Januari 2012)
05 - Sila tinggalkan pautan (baca : link) penulisan kamu di dalam ruangan komen di penulisan aku ini.
06 - Penyertaan dikira dari segi kreativiti dan bukannya jumlah "Likes" - "G+" ataupun "Tweet".
Hadiah - hadiah :
Tempat Pertama : RM 30 + Buku HEROTempat Kedua : RM 20 + Buku HERO
Tempat Ketiga : RM 20.
Saguhati : Bergantung kepada penyertaan bertuah.
Baiklah.
Itu sahaja.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan di ruangan komen. Aku akan cuba jawab mana yang termampu.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan di ruangan komen. Aku akan cuba jawab mana yang termampu.
Nota Kaki :
Selamat menulis semua.
Zara : Mahukan hari serta tahun yang menggembirakan. Moga yang terbaik menjadi milik kalian semua dan aku juga. Kekalkan senyuman dalam diri semua ya?
Monday, August 29, 2011
#29 #Ramadhan : 24 Tahun Nikmat Dunia.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
8/29/2011 10:23:00 AM
Alhamdulillah.
Atas segala nikmat yang tidak terperi di atas dunia ini.
Atas nyawa yang entah di mana tersembunyi.
Atas bilangan tidak terkira rahmat yang diberi.
![]() |
| [Sumber gambar] |
Terima kasih pada Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.
Terima kasih Mak dan Abah yang membesarkan.
Yang menerima buruk baik puteri sulung, cahaya mata pertama ini selama berpuluh tahun tanpa pernah menyisihkan serta tidak jemu untuk mendoakan manusia yang kadangkala tidak tahu bersyukur ini.
Terima kasih kepada adik-adik yang langsung tidak cakap apa-apa. Sekadar ucapan sudah memadai, tetapi tidak mengapa. Mungkin kalian tidak ingat bila tarikh Along dilahirkan ke dunia. Pastinya disebabkan kalian belum dilahirkan ketika itu.
Buat Pali Si Busuk.
Sahabat terbaik-pijak-kepala-sampai mati.
Terima kasih atas tulisan kamu yang sungguh menyentuh hati.
Aku pastinya tidak akan jumpa manusia lain sebaik kamu (dan sangat memahami) aku sebagai manusia di atas dunia ini yang berjaya mengekalkan garis persahabatan sehingga kini. Sudah empat tahun. Empat tahun sebenarnya sudah berlalu.
Buat kembar tersayang.
Ya, awak tahu siapa awak.
Tahun ketiga saya menerima ucapan itu dari awak wahai kembar.
Dan ya, tahun ketiga juga saya membuat ucapan serupa.
Buat kawan-kawan di Mukabuku, Twitter dan pengunjung Dunia Sebelah Zara, terima kasih atas ucapan yang penuh di dinding, penuh di garis masa dan di ruangan komentar yang mana kamu curahkan ucapan mesra. Terima kasih tidak terhingga kerana memberikan aku sedikit rasa manusia.
Selamat ulang tahun ke-24 Zara.
Tidak banyak yang aku minta.
Aku cuma mahu jadi lebih manusia.
Manusia yang mempunyai rasa.
Dan bukan beku selamanya.
Nota Kaki : Akan sibuk menguruskan dapur.
Zara : Selamat pulang beraya semua. Selamat atas segalanya.
Friday, May 06, 2011
Ini Untuk Puan Mulia Yang Hebat.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
5/06/2011 01:02:00 PM
Dia aku panggil Emak.
Kadangkala dalam coretan ringkas aku buat manusia yang pernah dan masih melalui cabaran membesarkan anak yang tidak semenggah ini, aku gelarkan dia Bonda. Tetapi di kalangan pembaca, aku masih lagi menggelarkan wanita paling dikasihi di dunia itu sebagai Puan Mulia, sebagai satu tanda penghargaan aku pada dia yang menjadi sumber tenaga.
Bulan ini bulan lima dalam takwim manusia. Puan Mulia ini sememangnya jaguh dalam bulan lima. Nah, mengapa aku nyatakan demikian?
1. Tanggal tiga haribulan lima, Puan Mulia dilahirkan ke dunia (tahun ini sudah genap jubli perak sama seperti pemilik rusuk kirinya)
2. Sejak tahun satu sembilan lapan enam, Puan Mulia sudah menjadi seorang pendidik bangsa. Maka, enam belas bulan lima, dia pasti diraikan juga oleh anak murid, pelajar di sekolah.
3. Ada satu hari dalam bulan lima yang dipilih secara khusus untuk sambutan hari ibu (walaupun sejujurnya setiap hari kita wajar mengingatinya), maka Puan Mulia sebagai seorang bonda, pasti sahaja termasuk dalam kiraan itu.
Senang kata, bulan lima adalah bulan di mana Puan Mulia diraikan berkali-kali.
Oh, dengki. (tiba-tiba)
![]() |
| Gambar : Sekadar hiasan tentunya. Puan Mulia kurang gemar gambarnya diambil dan dia pernah berikan sedikit teguran kepada aku supaya gambar dia tidak dimuatkan sesuka hati ke Internet. |
Buat Puan Mulia, sempena sambutan hari kelahiran ke lima puluh tahun dan wajah serta saiz badan yang sering disangka anak remaja, beerti usia semakin meningkat dan semoga dengan kelanjutan usia itu menjadi satu rahmat buat kamu wanita yang melahirkan anak nakal ini. Banyak pastinya yang sudah dilalui oleh kamu wahai bonda yang dikasihi. Hari-hari yang telah berlalu, dengan harapan ia dapat dijadikan renungan dan pengajaran buat kita semua.
Yang baik, manis, terbaik akan kekal menjadi ingatan dan kenangan.
Yang buruk, pahit, menyedihkan menjadi pengajaran.
Yang tawarnya?
Tidak pernah ada.
Mungkin, itu yang sebaiknya untuk kita bersama menjadikan ia satu muhasabah sebagai panduan untuk menelusuri hari-hari yang bakal mendatang. Semoga Puan Mulia (dan termasuk kami semua), mempunyai kehidupan yang lebih cemerlang pada hari ini dan masa akan datang berbanding dengan kehidupan silam yang telah ditinggalkan.
![]() |
| Gambar : Agak-agak kalau kau tulis sebegini rupa sekalipun, dapatkah kau membayar apa yang pernah dicurahkan oleh wanita yang mengandung dan melahirkan kau ke dunia? Mustahil kalau kau kata ya. Mustahi amat wahai si derhaka. |
Ibu merupakan kata tersejuk yang dilantunkan oleh bibir – bibir manusia.
Dan “Ibuku” merupakan sebutan terindah.
Kata yang semerbak cinta dan impian, manis dan syahdu yang memancar dari kedalaman jiwa.
Ibu adalah segalanya. Ibu adalah penegas kita dilaka lara, impian kita dalam rengsa, rujukan kita di kala nista.
Ibu adalah mata air cinta, kemuliaan, kebahagiaan dan toleransi. Siapa pun yang kehilangan ibunya, ia akan kehilangan sehelai jiwa suci yang senantiasa
merestui dan memberkatinya.
Alam semesta selalu berbincang dalam bahasa ibu. Matahari sebagai ibu bumi yang menyusuinya melalui panasnya.
Matahari tak akan pernah meninggalkan bumi sampai malam merebahkannya dalam lentera ombak, syahdu tembang beburungan dan sesungaian.
Bumi adalah ibu pepohonan dan bebungaan. Bumi menumbuhkan, menjaga dan membesarkannya. Pepohonan
dan bebungaan adalah ibu yang tulus memelihara bebuahan dan bebijian.
Ibu adalah jiwa keabadian bagi semua wujud.
Penuh cinta dan kedamaian.
("Ibu" - Karya Kahlil Gibran)
Sengaja aku berkongsi apa yang pernah dicoretkan oleh Kahlil Gibran tentang wanita yang bergelar sebagai seorang ibu. Tidak kisah dengan apa panggilan sekalipun, siapa pun dia, wanita itu yang pernah bertarung nyawa untuk mengandung dan melahirkan kita semua. Nah, sekarang, izinkan aku menggunakan panggilan biasa aku kepada Puan Mulia. Dia yang setiap kali aku terpandang, akan aku sebut, "Mak"
Mak.
Terlampau banyak budi Mak pada Along yang Along mungkin telah balas dengan menyakiti, mengguriskan hati Mak, kasih sayang Mak Along telah balas dengan kata-kata dan suara yang tinggi sedangkan Along sendiri tahu dan mengerti bahawa alangkah menyebutkan sekadar perkataan "huh" sudah menjadi suatu larangan Allah. Mak, betapa celakanya anak ini kan? Tapi Mak tak pernah membuang anak ini walaupun jelas sudah anak ini mungkin sudah menyakitkan hati Mak.
Mak.
Bukan sahaja pendidik dan guru di sekolah, bahkan Mak juga cikgu di rumah. Didikan dan asuhan serta nasihat Mak kadangkala Along ambil ringan dan abaikan. Bahkan sebenarnya, dengan berkat usaha dan doa Mak dalam mengasuh dan mendidik Along itulah, Along boleh dikatakan berjaya kini. Tatkala Mak memilihkan laluan hidup yang sesuai dengan apa yang Mak rasa sesuai dengan Along dan Along bertegang urat untuk mendapatkan pilihan Along, ternyata pilihan Mak jugalah yang membawa kepada siapa Along hari ini. Ya, seorang guru seperti Mak dan Abah.
Mak.
Kepayahan dianggap mudah, keselesaan dan kemudahan sanggup diabaikan serta dilupakan sewaktu mengandungkan Along, kesakitan yang langsung Along tidak dapat gambarkan sanggup Mak lalui ketika melahirkan Along (walaupun pernah menonton sekali video melahirkan bayi pun Along sudah ngeri dan trauma sehingga kini), titik peluh basah kering demi mencari rezeki untuk membesarkan Along serta adik-adik lain, tidak pernah Along mendengar Mak mengadu penat, atau letih dan tidak pernah juga Mak mengadu sakit. Alahai, kalau Mak katakan sakit pun pastinya sudah tidak tertanggung lagi penderitaan dan kesakitan itu bukan?
Mak.
Pakar masak terhebat yang sentiasa membuatkan Along duduk dan tidak pernah merungut di depan rezeki. Aneh pula kalau lihat adik-adik mengomel apa yang dimasak oleh Mak sedangkan Along masukkan sahaja makanan terhidang tanpa banyak bunyi. Sesedap atau sehebat mana pun makanan yang disediakan di luar, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Mak. Pernah sekali, lauk yang sudah di mulut, mahu dimasukkan mengisi perut sanggup Mak keluarkan melihatkan Along belum menjamahnya. Mak, Along jujurnya belum pasti akan menjadi wanita sebagus Mak jika punya keluarga sendiri.
Mak.
Abah dan Mak pernah katakan pada Along suatu ketika dahulu bahawa hanya pelajaran, pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib Along. Masa depan Along. Along bukan selama-lamanya akan berada di bawah jagaan Mak dan Abah. Mak dan Abah hanya dapat memberikan Along pendidikan supaya Along boleh memilih jalan dan kehidupan yang Along mahukan. Harta, simpanan yang dikumpul dan ditabung sejak kecil lagi Mak mulakan untuk Along, sanggup dikeluarkan dan dilaburkan semata-mata untuk memberikan peluang pelajaran dan pendidikan kepada Along. Dan ya, Mak kata, duit boleh diberikan, yang penting adalah belajar dan buat yang terbaik demi masa depan. Sebab tiada siapa yang boleh tolong Along kalau Along gagal dan tidak berjaya. Betul, walaupun Allah dapat menolong, tetapi yang kena berusaha untuk mengubah nasib diri, adalah tanggungjawab sendiri.
Mak.
Tatkala Along merenung kembali segala apa yang pernah Mak curahkan buat Along (di atas ini sekelumit cuma), Along sangat bersyukur dilahirkan dalam keluarga ini dan menjadi puteri sulung, cahaya mata pertama hasil pernikahan Mak dan Abah. Walaupun kadangkala Along merungut dan terdetik mengapa Mak tidak seperti ibu-ibu kalangan kawan-kawan Along yang lain, Along sedar bahawa Along hanya punya satu Mak di dunia ini. Mak yang sentiasa bersama dengan Along dan walaupun kita berdua adalah manusia yang jarang menunjukkan emosi, Along sudah dapat kenal pasti yang kita berdua punya ciri-ciri yang serupa. Tentunya bukan dari segi luarannya.
![]() |
| Gambar : Mak, adakah Along mampu untuk menjadi seorang ibu kepada manusia lain suatu hari nanti? |
Mak.
Ini sedikit bekal yang Mak titipkan kepada Along dan adik-adik sejak kami pandai mengaji. Sedikit bekalan yang Mak kata jangan dilupakan selepas menunaikan solat. Along mohon untuk berkongsi titipan Mak ini sebagai pengingat diri sendiri, dengan harapan Along tidak menjadi anak derhaka.
"Ya Allah wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami dan dosa kedua-dua ibu bapa kami, dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil. Kami terlalu banyak terhutang budi kepada mereka.
Ya Allah, jadikanlah kami anak-anak daripada orang-orang soleh yang mendoakan keampunan ibu bapa kami, jadikanlah mereka sebagai anak kunci bagi membuka pintu syurgaMu dan janganlah Engkau jadikan mereka anak kunci ke nerakaMu. Teguhkanlah iman mereka Ya Allah. Jauhkan mereka daripada seksaanMu.
Perkenankanlah doa kami ini dan jadikan doa ini merupakan doa anak yang soleh yang Engkau janjikan akan diperkenankan"
Mungkin ini sahaja.
Ini sahaja yang dapat Along coretkan buat Mak.
Terima kasih atas segalanya Mak. Mak adalah orang yang Along sayang dan cinta setiap masa (dan begitu juga dengan Abah tentunya).
Mak.
Selamat ulang tahun kelahiran ke lima puluh.
Selamat hari guru yang kita bakal sambut bersama.
Selamat hari ibu (walaupun kita sentiasa raikannya setiap hari).
Mak.
Mak adalah Bonda terbaik.
Mak adalah Puan Mulia yang hebat.
Semoga yang terbaik sentiasa menjadi milik Mak.
Amin.
**********
Selingan :
Selain untuk penulisan peribadi dan insyaALLAH bakal diberikan kepada Puan Mulia, aku menulis ini sekadar mahu memeriahkan pertandingan yang dianjurkan oleh seorang penulis blog yang telah aku kenali sejak sekian lama, Joegrimjow. Joe, ulang tahun mak kamu juga sama dengan Puan Mulia, dalam bulan lima ini kan? Oh ya, selain itu, Faridzulasyraf.com (Joe juga sebenarnya) dan Abang Ilham ataupun lebih dikenali dengan nama Denaihati.com telah bermurah hati untuk menaja pertandingan sempena hari ibu nanti.
Nota Kaki :
1. Sejak kebelakangan ini, sudah lama tidak memandu ke sekolah membawa Mak lagi disebabkan masing-masing sibuk dengan urusan sekolah.
2. Dapat mendapatkan sesuatu yang dimahukan oleh Mak sempena ulang tahun beliau, Ya Allah, betapa aku sangat gembira melihat senyuman di wajah mendamaikan, yang dibawah telapak kakinya terdapat syurga.
3. Mak tidak mempunyai rangkaian sosial seperti Mukabuku. Jadi, dia tidak boleh mengundi aku untuk #DIGIWWWOW. Kalau kalian mahu mengundi, silakan ya di sini?
3. Mak tidak mempunyai rangkaian sosial seperti Mukabuku. Jadi, dia tidak boleh mengundi aku untuk #DIGIWWWOW. Kalau kalian mahu mengundi, silakan ya di sini?
Zara : Walaupun manusia boleh menyatakan dengan harta kekayaan mereka mampu membuat apa sahaja, aku dengan rendah dirinya mahu bertanya, apakah mereka mampu membeli seorang ibu dan menjaganya sehingga tua renta?
Monday, January 03, 2011
Semalam Ulang Tahun Dia, Tapi Aku Terlupa.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
1/03/2011 09:40:00 AM
Semalam ulang tahun dia, tapi aku terlupa.
Khayal dengan banyak benda lain, dengan segala macam urusan.
Aduhai.
Sayang.
Saya tahu awak rasa terbiar.
Saya tahu awak rasa diketepikan.
Saya sibuk dengan perkara lain semalam, sampai saya terlupa.
Malam baru saya teringat.
Maaf sayang (sambil buat muka sedih)
Betul, saya sedih.
Sangat.

[Gambar : Kalau kena hempap dengan kerusi itu mesti sakit kan?]
Sayang.
Awak memang bermakna pada saya.
Sungguh.
Tanpa awak, saya mungkin bukan siapa saya hari ini.
Tanpa awak, mungkin saya masih manusia beku yang kehilangan diri.
Tanpa awak, mungkin saya tiada tempat untuk terapi.
Betul awak.
Awak.
Saya sayang awak.
Sayang awak sangat-sangat.
Betul.
Sayang.
Sudah lama kita bersama.
Dua tahun menjalin rasa cinta, belum cukupkah untuk awak kenal saya?
Saya bahkan kenal awak seperti saya kenal diri saya.
Kita saling bekerjasama, bagi membuktikan kewujudan kita pada dunia.
Awak penting buat saya.
Sungguh!
Diam.
Senyum.
Awak tahu saya cinta bukan?
Awak tahu saya kasih bukan?
Awak tahu segalanya tentang saya kan?
Senyum lagi.
Saya ketawa.
Saya menangis.
Saya marah.
Saya membebel.
Saya menjerit.
Saya sedih.
Saya gembira.
Semua awak saksikan bersama.
Setianya awak.
Tapi semalam saya terlupa ulang tahun awak.
Maaf sayang.

[Gambar : Warnanya menarik, tapi alangkah indahnya kalau diguna dengan cara lebih baik kan?]
Awak.
Maafkan saya ya?
Maafkan saya sangat-sangat.
Tahun lepas saya sambut ulang tahun awak dengan meriah.
Tahun ini pula saya terlupa.
Maaf sayang.
Maaf.
Awak.
Kasih sayang saya pada awak, membuktikan kewujudan saya.
Betapa orang menghina saya kerana bersama awak, dan awak bersama saya, saya tidak ambil peduli.
Kerana apa?
Sebab saya sayang awak.
Awak dah lama teman saya.
Menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Betul.
[Gambar : Awak akan maafkan saya kan, blog?]
Selamat ulang tahun sayang.
Selamat ulang tahun kedua, blog tercinta.
Selamat ulang tahun Dunia Sebelah Zara.
Selamat ulang tahun cinta.
Semalam ulang tahun kedua blog ini.
Sumpah, aku terlupa.
Maafkan aku ya blog?
Senyum.
Nota Kaki :
1. Tahun baru (sebenarnya dekad baru) disambut bersama dengan si dia walaupun berada di tempat berbeza dan negara berbeza. Ketawa.
2. Malam tadi sewaktu menggunakan Skype, perasan yang si dia pakai baju "Saya Cintakan Malaysia" manakala aku pakai " Saya Cintakan Egypt". Comel eh? (Siapa yang tidak puas hati boleh muntah dalam baldi biru di tepi)
3. Pagi-pagi tadi sudah dapat komen keji - "Kau campur, tetapi kenapa kau tak cantik? Malu sahaja cakap diri sendiri darah campur. Hodoh" - Tidak mengapa. Nampak sangat hati kau Busuk sebab aku tidak pernah kata aku cantik.
4. Esok sekolah. Yeah!
Zara : Blog Dunia Sebelah Zara adalah tempat aku melepaskan adrenalin yang berlebihan. Di sini aku punya tempat untuk menjadi diri sendiri, dan di sini tempat aku berkongsi. Senyum.
Wednesday, December 29, 2010
Kau Tahu Apa Maksud Kesunyian?
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
12/29/2010 10:07:00 PM
Senyum.
Pahit.
Kelat.
Tekak rasa kesat.
Kau tahu apa maksudnya itu sahabat?
Hati sedang bagaikan disengat.

[Gambar : Aku rasa benda ini betul juga, mungkin]
Pernah kau duduk menghadap makanan sendirian?
Orang akan perhatikan kau macam kau manusia asing.
Mulut berbisik-bisik bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.
Padahal, itu waktu kau untuk diri sendiri.
Manusia kan suka meneka sesuka hati.
Senyum lagi.
Kau duduk, diam.
Orang yang kau tunggu tidak muncul-muncul.
Kau termangu sendirian.
Jeling dinding biru, kau tengok waktu yang berdetik laju.
Masa bergerak pantas dan kau mula berlengas.
Ah, hati diusik tetapi kau cuba sibukkan diri bagaikan semuanya dalam kawalan diri.
Senyap.

[Gambar : Selalu duduk meja untuk dua orang, tetapi hakikatnya keseorangan]
Senyum lagi.
Kau bukan tahu apa itu keseorangan.
Kau tidak mengerti apa itu kesunyian.
Kau tidak alami apa itu keterasingan.
Sinis.
Minda : Masih keluar seorang diri setiap kali?
Tubuh : Ah, itu kepuasan peribadi.
Minda : Masih terima kasih dan peluk diri setiap pagi?
Tubuh : Itu tanda penghargaan, suatu bentuk apresiasi.
Minda : Makan sendirian, duduk sendirian berikan kepuasan lagi?
Tubuh : Tidak pernah berubah perkara demikian.
Minda : Sudah dicerna nampaknya kesunyian dan keseorangan.
Tubuh : Selagi minda kuat menerima, tubuh akan sama-sama ikut pikul amanah.
Sunyi.
Sepi.
Ada manusia ketawa geli hati.
Beku dan senyum nampak gigi.
Tapi, adakah hati semakin mati?
Jiwa penuh benci?
Entah, jiwa kurang pasti.
Sangsi.
Mana makanan jiwa?
Mana peluk rasa?
Mana kasih sayang tebal penuh cinta?
Mana pergi ketawa?
Diam dalam terpaksa.
Sakit, jangan kau asak dada.
Ini bukan masa mengeluh, payah susah hidup macam neraka/
Waktu ini untuk gembira.
Saat untuk gunakan semua tenaga.
Agar kekuatan tidak dipersia.
Tarik nafas dan hembus ke semesta.
Ketawa.
Nota Kaki :
1. Pendaftaran murid baru ke sekolah adalah menggembirakan. Nantilah aku cerita.
2. Selamat ulang tahun buat sahabat sama tarikh dengan aku. Jangan kacau-kacau lagi dengan kegemaran pada Faizal Tahir ya?
3. Belikan sesuatu buat diri sendiri.
4. Selamat berjuang Harimau Malaya
Zara : Berapa banyak yang kau korbankan, yang kau habiskan dan yang kau tahan selama ini pasti akan ada bayaran setimpal suatu hari nanti. Kesakitan, air mata dan keringat yang dilaburkan akan ada pulangan bila kau jujur dalam perjuangan. Hidup bukan mencari noktah tetapi di mana kita meletakkan tanda aras berhenti pada diri.
Saturday, December 18, 2010
Ulang Tahun Perkahwinan - Kalau Letak Gambar Sendiri Di Blog Itu Jual Muka? Kau Letak Di FB?
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
12/18/2010 08:18:00 AM
Salam semua.
Sedang bersiap-siap ke Kuala Lumpur. Esok pagi (Ahad, 19 Disember 2010), insyaALLAH, makcik akan tiba dengan penerbangan pulang dari menunaikan haji. Mungkin akan mengambil beliau dan suami di KLIA. Bergantung kepada keadaan.
Ulang Tahun Perkahwinan Ke-24
Selamat ulang tahun perkahwinan ke-24 untuk kedua-dua ibubapa aku. Tahniah kerana menjadi keluarga yang paling baik untuk kami semua adik beradik. Walau apa yang berlaku, masih kekal bersama hingga hari ini. Keluarga yang penuh kasih sayang (dan pantang-larang-peraturan yang tinggi), terima kasih dan tahniah Mak dan Abah. Semoga ikatan kasih itu berpanjangan. Oh, pagi ini kami ada jamuan kecil di rumah.
Letak gambar sendiri di blog itu jual muka?
Semalam dalam keletihan aku berjalan dari satu blog ke satu blog, aku terjumpa suatu artikel yang ditulis oleh seorang budak (kita tulis sahaja dia budak sebab pemikiran dia jumud sedikit), yang menyatakan orang yang meletakkan gambar sendiri di blog adalah seperti jual muka pada masyarakat. Nak panas hati ke? Tidaklah.

[Gambar : Pelbagai ekspresi wajah mungkin]
- Mak pesan jangan letak gambar di Internet, nanti semua orang tengok : Sumpah! Aku gelak gila-gila dengan kenyataan budak itu yang sedemikian rupa. Sebab apa? Sebab bila aku tekan di pautan ke Mukabuku (baca : Facebook) dia, penuh dengan gambar dan yang menariknya, dia tidak pula meletakkan pengaturcaraan peribadi (baca : private setting). Kelakar, aku boleh tengok semua gambar. Apa FB bukan di Internet ke dik?
- Kalau letak gambar sendiri di blog, orang bukan baca blog, tapi tengok gambar kita : Bertambah gulingan aku ketawa kerana aku pasti pembaca boleh menilai sendiri apa yang mereka mahukan apabila membaca sesuatu blog. Sebagai contoh, kalau asyik letak gambar sendiri, pasti ada juga yang bosan bukan? Jadi orang selalu akan meletakkan gambar lain juga kecuali blog itu mungkin bertajuk "Ini semua gambar saya" - Mungkinlah. Tapi sekejap dik, itu ke sebab kau tak letak gambar sendiri di blog?

[Gambar : Apa masalah kau ya dik?]
- Menyampah kalau tengok blog penuh gambar orang : Kalau menyampah kau boleh tutup tak? Takkan itu pun aku nak kena ajar kot? Itu kan blog peribadi, biarlah mereka nak letak gambar mereka sampai penuh sekalipun. Kelakar tahu? Dan ya, menyampah juga kalau tengok FB yang buat gambar macam kau tu dik (ayat nak sentap)
Banyak lagi benda aku nak ulas sebenarnya, tapi nanti dululah.
InsyaALLAH, kalau tiada aral melintang, aku akan berjumpa dengan beberapa orang penulis blog di Blik Ais (baca : Ice Room)
[Gambar pinjam dari blog Mazidul]
Tempat : Ice Room, Jalan PJU 5/22, The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Tarikh : 18 Disember 2010
Masa : 9 malam.
[Lebih info boleh baca di sini]
Itu sahaja.
Aku perlu memandu.
Doakan aku selamat tiba ya?
Senyum.
Nota Kaki :
1. Mesti rindu arnab untuk dua hari ini.
2. Senyum dengan kuat.
3. Jamuan Mak pagi tadi sangat enak.
Zara : Kadangkala kau perlu tahu bila kau kena ketawa sendirian untuk ubat perasaan.
Tuesday, December 07, 2010
Awal Muharam, Hidup Lebih Baik Dan Senyuman Yang Tidak Lekang Dari Wajah
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
12/07/2010 11:32:00 AM
Salam Awal Muharam semua.
Apa khabar teman-teman sekalian?
Hari ini aku senyum walaupun sedang tahan sakit kepala.
Kurang tidur akan melayan perasaan.
Ketawa.

[Gambar : Layan perasaan yang ada bunga tapi baling-baling kaca depan Sean. Apa kau ingat senang? Kena tahan ketawa, kena tahan geram sambil guling-guling.]
Alhamdulillah.
Hari yang lebih baik.
Hari yang lebih ceria.
Perasaan yang lebih bahagia.
Senyum mesra.
Apa yang dilalui saat ini adalah sesuatu yang sangat mengujakan. Benda yang tidak pernah diimpikan menjadi sebuah kenyataan yang sungguh membahagiakan. Kalaulah boleh dilukiskan warna ceria ke seluruh dunia, mungkin warna jiwa sudah lagi tidak tinggal hitam-kelabu-putih sahaja.
Perasaan ini aneh.
Aneh kerana aku tersedar yang aku masih manusia punya rasa.
Manusia yang selama ini terleka.
Dalam kejar segala yang dicita.
Tanpa kenal makna sebenar bahagia.

[Gambar : Semoga apa yang dikurniakan saat ini penuh dengan keberkatan dan dikukuhkan dengan sesuatu yang lebih pasti hendaknya. Senyum]
Menerima panggilan daripada seorang rakan yang kerap membaca Twitter aku (memandangkan dia baru menggunakan Twitter dan aku antara orang yang dia ikuti)
Rakan : Amboi, Twitter penuh dengan tulisan bunga-bunga marah.
Aku : (ketawa) Benda-benda merepek adalah.
Rakan : Macam tengah marah dan geram sahaja?
Aku : Eh, itu siang tadi punya.
Rakan : Yang petangnya pula?
Aku : Sendiri baca, sendiri tafsir boleh?
Rakan : Mana boleh?
Aku : Doakan sahaja yang baik-baik untuk aku ya?
Rakan : Pasti, tapi mahu tahu juga untuk niat apa?
Aku : Perlukah tahu secara terperinci?
Rakan : Kalau lebih terperinci lebih baik.
Aku : (Ketawa) Tidak mahu jatuh perangkap.
Rakan : Ada orang singgah ke dalam hati?
Aku : Entah.
Rakan : Sentuh sahaja atau mahu menetap terus?
Aku : Tidak tahu dan jangan main tebak sahaja.
Rakan : Ah, tak betul ke?
Aku : Tak nak jawab boleh?
Rakan : Kalau peribadi, aku tak ceroboh.
Aku : (Ketawa) Mungkin.
Senyum.
Ah, status Twitter aku memang penuh warna.
Kadangkala penuh dengan tulisan aku, kadangkala akan terjemahkan rasa.
Macam-macam mungkin, aku percaya.

[Gambar : Selamat ulang tahun buat rakan aku yang pendiam dan penuh senyuman]
Selamat ulang tahun sahabat.
Moga setiap hari bertambah hebat.
Setiap masa dikurniakan mahabbah nikmat.
Hidup dipayungi rahmat.
Kamu seorang sahabat.
Tulisan dan cerita kamu buat kita rapat.
Ah, kamu memang berbakat.
Mahu kirim doa agar rambut tengah kamu menjadi lebat.
Kalau tidak, kena pergi cari ubat.
Khas untuk rambut, bukan yang jadikan kuat.
Eh, gelak jangan besar, nanti mulut masuk lalat.
Buat sahabat.
Aku mendoakan yang terbaik buat kamu penuh tulus, lambat-lambat.
Aku harap kau pulang ke sini, cepat-cepat.
Itu sahaja sahabat.
Nanti aku belanja kamu minum susu kotak ya?
Susu segar atau susu penuh krim?
Yang mana satu kamu mahu?
Senyum.
Nota Kaki :
1. Sahabat itu tahu siapa dirinya kalau dia singgah ke sini. Ah, dia tidak akan tinggal jejak di blog aku yang biasa-biasa ini.
2. Jadual tidur aku semakin gila. Aduhai.
3. Terpaksa menolak pelawaan mengayuh basikal disebabkan aku berpuasa (dan kurang tidur)
4. Ingin senyum sahaja.
Zara : Mula mencari sesuatu yang lebih baik dalam diri. Apakah mampu memasuki dunia baru dengan senang hati ataupun berhati-hati? Ah, aku mahu pilih keduanya. Boleh?
Wednesday, September 08, 2010
Lelaki Pun Tahu Along Suka Manchester United? Malulah Along! - Hadiah Paling Comel Tahun Ini.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
9/08/2010 09:04:00 PM
Mak, Along tak segan pun.
Sebab boleh dikatakan sesiapa yang baca blog ini tahu Along suka Manchester United.
Ketawa.
Tadi pagi sedang membuat kuih di dapur, seorang kawan yang sudah dikenali sejak tahun 1998 (dah dua belas tahun kenal), menghantar pesanan di Mukabuku dan juga di telefon. Dia dah balik rumah dan ya, hadiah aku ada pada dia. Nampaknya, dia satu-satunya orang yang memberikan aku sesuatu sempena hari lahir aku. Senyum. Sumpah, gila terharu.
Dia : Kau tunggu di luar rumah sekarang.
Aku : Ya.
Dia datang, jalan kaki dari rumah dia. Nampak dia bawa dua kotak. Satu kecil dan satu lagi besar. Ah, senyuman yang sama macam 12 tahun lepas. Memang kawan terbaik yang pernah aku ada.
Dia : Kau tengah buat kuih ya?
Aku : Ya.
Dia : Yang atas ni, hadiah hari lahir kau, yang bawah ni, yang kau nak.
Aku : Apa dia? (sambil nak jengah)
Dia : Tengok kat dalam rumah nanti.
Aku : Terima kasih. Raya nanti jemput datang rumah.
Dia : Hari raya keberapa tu?
Aku : Ikut suka hati kau.
Baiklah. Tanpa melengahkan masa, mari kita lihat apa yang aku dapat hari ini.
Ini hadiah daripada dia.
Untuk pandangan lebih jelas.
Ini kek keju yang aku minat.
'Blueberry Cheesecake' yang sedap amat!
Dan untuk pengetahuan kamu semua, yang membuat kedua-dua kek itu adalah dia sendiri. Ya, seorang lelaki. Betapa bertuahnya kalau dapat suami begini. Malangnya, lelaki ini sudah punya teman wanita, kalau tidak, mesti aku dah hantar rombongan masuk meminang. Ketawa. Baiklah, itu gurauan gila. Mati aku kalau dia baca.
Terima kasih yang teramat sangat pada kawan baik aku itu. Memang sangat terharu dapat kek buatan dia ini. Ya, lelaki itu memang sangat halus buatan kek dia. Dan, siapa yang sangka, dia akan buatkan kek Manchester United buat aku?
Bonda : Zam bagi ni?
Aku : Ya.
Bonda : Zam pun tahu Along suka Manchester United? Malu betul.
Aku : Dia dah kenal Along dua belas tahun Mak. Dia dah tahu sangat benda ni.
Bonda : Bayarlah pada dia.
Aku : Dia beri lah Mak. Marah pula dia kalau Along bayar.
Memang sangat sedap. Sayang pula nak potong kek Manchester United itu. Alahai.
Zara : Hari ini aku memang tersenyum lebar. Ya, amat lebar dan hati berbunga riang dengan pemberian daripada seorang rakan yang baik ini. Kalau kamu mahu tempah, nanti aku beritahu dia. Dia bekerja di Selangor, Petaling Jaya kalau aku tidak salah.
Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian.[Halaman Peminat][Kumpulan Pembaca][Bab 01] [Bab 02][Bab 03][Bab 04][Bab 05][Bab 06][Bab 07][Bab 08] [Bab 09][Bab 10][Bab 11][Bab 12][Bab 13][Bab 14][Bab 15] [Bab 16][Bab 17][Bab 18][Bab 19][Bab 20][Bab 21] [Bab 22] [Bab 23] [Bab 24][Bab 25][Bab 26][Bab 27][Bab 28][Bab 29][Bab 30][Bab 31][Bab 32][Bab 33][Bab 34][Bab 35][Bab 36][Bab 37][Bab 38]
Tuesday, August 31, 2010
Ramadhan #21 : Selamat Ulang Tahun Zara Walaupun Terlambat. Kamu Sayang Atau Cinta Siapa Ya?
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
8/31/2010 05:30:00 PM
Aku jujurnya ketawa.
Ketawa dengan ucapan sedemikian yang aku terima.
Aku menerima pelbagai ucapan ulang tahun. Daripada teman-teman, daripada kawan-kawan, ahli keluarga tentunya yang paling bermakna. Mari aku berkongsi sedikit dengan kamu semua.
Abah dan Bonda.
Setiap tahun, aku akan duduk di hadapan mereka. Salam dan memeluk serta cium pipi mereka seperti yang aku buat setiap hari. Ya, aku masih anak yang begitu. Setiap kali salam dan mencium tangan mereka, pasti aku akan cium pipi mereka tiga kali. Dan di hari ulang tahun, aku tetap juga begitu. Mengucapkan terima kasih kepada Abah dan Bonda kerana telah menjaga dan mendidik aku sehingga kini. Sudah 23 tahun dan anak ini masih di bawah tanggungan mereka. Eh, zakat fitrah dah 2 tahun aku bayar sendiri ya?
Kawan-kawan serta teman-teman.
Terlampau banyak.
Terima kasih atas ingatan (atau adakah Mukabuku yang mengingatkan? Ketawa)
Ada juga orang yang menyanyikan lagu dengan gembira. Terima kasih pada sahabat aku itu. Memang layan nak angguk kepala bersama-sama. Eh? Gila sudah aku.
Dan aku ketawa bila dapat ucapan seperti di atas. Siapa yang aku sayang atau cinta ya?

Aku belajar untuk menghargai diri sendiri dengan lebih banyak apabila aku melalui satu demi satu ujian dalam hidup. Aku belajar memberikan penghargaan kepada diri sendiri kerana aku percaya, bila aku dapat menyayangi diri sendiri, maka, aku dapat menyayangi sesiapa sahaja yang muncul dalam hidup aku. Ya, dan disebabkan itulah, aku sangat suka tersenyum.
Dan aku jujurnya, meletakkan kasih sayang aku pada tempat dan orang yang sepatutnya saat ini. Pada Maha Pencipta, pada Rasulullah, pada Bonda dan Abah, pada adik-adik, pada kawan-kawan yang sentiasa ada dengan aku. Pada manusia yang membenci aku, aku tahu, itu mungkin cara kalian menzahirkan sayang pada aku kan? (Tidak pasal-pasal)
Aku sayang diri aku saat ini.
Sudah cukup.
Aku pernah berikan kelonggaran dengan meletakkan kasih sayang pada kawan-kawan tertentu, tetapi akhirnya, aku juga yang ditikam semula. Sudah penat aku lihat satu demi satu manusia yang pernah aku hormati dan sayangi meninggalkan aku disebabkan mereka menemui cinta baru, kasih sayang baru, tidak kira kawan itu lelaki ataupun perempuan. Cukup aku rasa.
Aku, manusia yang akan menjauhkan diri bila aku tahu aku tidak diperlukan lagi.
Aku, manusia beku yang akan senyum dan angkat tangan, berdoa agar kawan-kawan bahagia.
Aku, manusia biasa melambai tangan pada kawan yang angkat kaki memeluk kasih baru.
Dan aku, tetap kekal seperti dahulu.
Kawan : Kau akan kawan dengan aku sampai bila?
Aku : InsyaALLAH, sampai kau tetap anggap aku kawan kau, sampai bila-bila.
Kawan : Tapi aku sudah ada yang punya.
Aku : Kalau itu menjadikan kau tidak boleh berkawan dengan aku lagi, aku pergi.
Kawan : Maaf.
Aku : Itu hakikat yang aku selalu akur.
Kawan : Maaf.
Aku : Kau tak salah apa-apa, jangan minta maaf.
Kawan : Maaf.
Aku : Aku yang salah sebab tak dapat jaga persahabatan kita.
Kawan : Bukan salah kau.
Aku : Salah aku. Terima kasih.
Aku memang begitu.
Kalau sakit, aku letakkan ubat sendiri.
Kalau cedera, aku akan pastikan aku berusaha untuk sembuh walaupun berhari-hari.
Dan aku, hati itu sudah penuh dengan calar balar tidak bertepi.
Sengih, nampak gigi.
Zara : Hari ini sangat menarik selepas menghadiri upacara perbarisan dan beratur di dataran selepas menyambut hari kemerdekaan.
Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian.[Halaman Peminat][Kumpulan Pembaca][Bab 01] [Bab 02][Bab 03][Bab 04][Bab 05][Bab 06][Bab 07][Bab 08] [Bab 09][Bab 10][Bab 11][Bab 12][Bab 13][Bab 14][Bab 15] [Bab 16][Bab 17][Bab 18][Bab 19][Bab 20][Bab 21] [Bab 22] [Bab 23] [Bab 24][Bab 25][Bab 26][Bab 27][Bab 28][Bab 29][Bab 30][Bab 31][Bab 32][Bab 33][Bab 34][Bab 35][Bab 36][Bab 37][Bab 38]
Sunday, August 29, 2010
Ramadhan #19 : Hadiah Paling Berharga Dalam Usia Mencapai Dua Puluh Tiga Tahun.
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
8/29/2010 11:16:00 PM
Menangis.
Itu dia.
Itu sahaja.

Aku ingat umur 23 tahun aku tidak akan menangis dan disakiti lagi oleh jalinan ukhuwah dan persahabatan. Rupa-rupanya aku silap. Selamat ulang tahun ke-23 Zara. Sila terima hakikat yang dunia masih tidak memberikan tempat yang terbaik buat kamu.
Duduk dan nikmati hidup yang semakin lesu.
Ini yang mereka semua mahu.
Senyap, kunci segala pilu.
Diam membisu.
Air mata mengalir sewaktu di dapur. Tidak berhenti dan entah mengapa, aku sendiri tidak mengerti. Sepatutnya aku sudah ampuh dengan sebarang kata-kata yang menikam aku dalam senyap, tetapi rupanya ada bahagian diri aku yang masih tidak sempurna. Yang masih tunduk dengan kesakitan yang memilukan walau sekelumit cuma. Tarik nafas dalam-dalam, aku sudah semakin lega.
Tadi aku dapat berbicara dengan Nakama sekejap. Mendengar suara sahabat itu sudah buat aku sedikit gembira. Dia asyik mahu meminta maaf pula. Ah, bukan dia ada salah dengan aku. Anak itu selalu begitu, nampak sangat aku patut jadi lelaki dan dia jadi perempuan pula. Ketawa. Nakama, kamu tidak mahu menyanyikan aku lagu ke? Tidak perlu, doa kamu sudah cukup buat aku.
Zara : Mahu keluar sebentar. Membeli sesuatu buat diri sendiri.
Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian.[Halaman Peminat][Kumpulan Pembaca][Bab 01] [Bab 02][Bab 03][Bab 04][Bab 05][Bab 06][Bab 07][Bab 08] [Bab 09][Bab 10][Bab 11][Bab 12][Bab 13][Bab 14][Bab 15] [Bab 16][Bab 17][Bab 18][Bab 19][Bab 20][Bab 21] [Bab 22] [Bab 23] [Bab 24][Bab 25][Bab 26][Bab 27][Bab 28][Bab 29][Bab 30][Bab 31][Bab 32][Bab 33][Bab 34][Bab 35][Bab 36][Bab 37][Bab 38]
HIDUP SEORANG BLOGGER | Selamat Ulang Tahun ke Dua Puluh Tiga Zara
Coretan
♛ LORD ZARA 札拉 ♛
Jam
8/29/2010 02:58:00 PM
Salam semua.
Hari ini 29 Ogos 2010.
Pada 12.55 tengah hari, 23 tahun yang lepas, anak gadis ini dilahirkan.
Dan hari ini, anak ini mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurniaan nikmat Allah. Dia telah meminjamkan 23 tahun yang sempurna kepada aku. 23 tahun yang tiada cacat cela kepada anak ini yang masih mendambakan lebih dari apa yang dia ada.

Baiklah, sekarang sudah tahu rahsia di sebalik nombor 'suami' aku ini?
Ya, 2987 adalah mewakili 29.08.1987 (tarikh lahir aku)
Hidup seorang blogger.
Ini penulisan wajib kedua.
Dan kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran aku yang ke-23.
Senyum.
Dan semenjak aku menjadi seorang penulis blog ini, aku mempunyai banyak kenalan yang sering membuatkan aku ketawa dan senyum ceria. Sebagai contoh, hari ini, dinding Mukabuku aku sudah diconteng oleh mereka dengan titipan ucapan dan doa pelbagai gaya. Terima kasih atas niat ikhlas kalian semua dan jujurnya, entah sudah berapa ratus ucapan yang diterima.
SMS berpuluh masuk ke telefon, tidak dilupakan juga dengan panggilan telefon yang membahagiakan. Ada seorang sahaja yang menyanyikan secara langsung lagu untuk aku, seorang sahabat baik-pijak-kepala milik aku. Dan pagi ini, aku lihat dia ada menulis sesuatu buat aku di blog peribadi dia. Terima kasih sahabat. Dua tahun saling kenal mengenali walaupun hanya secara maya, sudah membuatkan aku bahagia. Eh, ini sambutan ulang tahun kelahiran aku yang ketiga semenjak aku mengenali kau! Serius!
Dan mungkin selepas ini, aku akan menulis, siapakah yang membuatkan aku cukup teruja dengan ucapan-ucapan mereka. Ada perkara yang harus dilunaskan. Selamat tinggal semua.
Zara : Hari ini, seperti selalunya, aku akan duduk seorang diri, menulis sesuatu buat diri. Tiada yang istimewa. Dan duduk, salam dengan Abah dan Bonda sambil mengucapkan terima kasih kerana menjaga aku selama ini adalah lebih bermakna.
Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian.[Halaman Peminat][Kumpulan Pembaca][Bab 01] [Bab 02][Bab 03][Bab 04][Bab 05][Bab 06][Bab 07][Bab 08] [Bab 09][Bab 10][Bab 11][Bab 12][Bab 13][Bab 14][Bab 15] [Bab 16][Bab 17][Bab 18][Bab 19][Bab 20][Bab 21] [Bab 22] [Bab 23] [Bab 24][Bab 25][Bab 26][Bab 27][Bab 28][Bab 29][Bab 30][Bab 31][Bab 32][Bab 33][Bab 34][Bab 35][Bab 36][Bab 37][Bab 38]
Subscribe to:
Posts (Atom)






















