Showing posts with label SFZ. Show all posts
Showing posts with label SFZ. Show all posts

Friday, February 10, 2012

Pasangan Anda Menipu : Apa Perlu Dilakukan?




Cuaca panas.
Kering dan sangat garing.

Membaca sampai mata berair - bukan sebab menangis, tapi sebab panas melampau. Rasa macam di Madinah suatu ketika dulu. Paling jauh pun setakat ini adalah Mekah, Madinah, dan kawasan-kawasan persinggahan seperti Abu Dhabi, Bahrain, Oman - jadi nak kata cuaca panas macam negara empat musim, jauh sekali. Tapi cuaca memang panas sekarang ini, sebab manusia semakin ramai, taupun benda-benda berkaitan alam sekitar, entah, aku tidak ambil peduli. Yang aku tahu, cuaca panas, aku perlukan banyak air minuman dan latihan sukan harus diteruskan. Noktah.

http://farm4.staticflickr.com/3133/2703793116_a7e65bcb5b.jpg
[Sumber gambar]

Sebelum meneruskan apa yang mahu dibincangkan, mari kita senaraikan contoh-contoh penipuan yang biasanya berlaku dalam hubungan, tidak kira pasangan bercinta, bertunang, berkahwin, hatta sudah bercerai berai. Alangkah dengan kawan-kawan pun boleh menipu, apatah lagi dengan pasangan yang sudah dipercayai sepenuh hati, separuh mati, sesuku duniawi. Eh. 

  • Ada lelaki atau perempuan lain. Lebih mengerikan jika sama jantina dengan dia.
  • Menipu untuk keseronokkan.
  • Pasang lain di belakang.
  • Berpoya-poya.
  • Ada masa lapang, tapi sengaja kata sibuk.
  • (dan banyak lagi)

Jadi, apa yang perlu dilakukan jika perkara sedemikian berlaku pada kita, atau kawan baik atau sesiapa sahaja yang mengalami masalah begini? Ditipu, dikhianati, ditikam dari belakang adalah antara benda yang paling menyakitkan dalam perhubungan. Tanyalah sesiapa, ada di antara mereka yang boleh membiarkan diri ditipu, dibohongi dan mampu ketawa lagi?

Aku kenal seorang yang begitu, tapi itu adalah kes yang terpencil. Mungkin dia gila, mungkin dia terlampau kebal atau entah apa lagi, tapi dikhianati, ditipu oleh orang yang dia cintai dan berikan kepercayaan, dia tidak ada air mata. Kali pertama dia kena, dia menangis selama lima minit dan selepas itu dia teruskan hidup seperti biasa. Bila kena lagi dan lagi, dia hanya ketawa sahaja. Termenung memikirkan justifikasi apa yang dia perlukan dalam hidup dan kini dia teruskan hidup tanpa sebarang rasa. Yang dia tahu, ketawa sahaja. Sebab pada dia, konsep karma itu berlaku. Benda akan berulang, dan kalau tidak di dunia, di akhirat pasti akan tiba. Jadi dia memilih untuk hidup dan gembira.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan apabila pasangan kita disyaki atau terbukti telah menipu. Benda ini adalah cadangan berdasarkan situasi dan jika ia sesuatu yang anda tidak gembira selepas membacanya, aku mohon sila redha ataupun boleh sahaja berikan ulasan dan beritahu mengapa. Oh ya, cadangan ataupun kenyataan yang diberikan adalah pendapat peribadi aku sendiri.

Siasat kebenaran penipuan tersebut.
Sesuatu yang ajaibnya antara pasangan yang mempunyai ikatan hati, perasaan cinta - deria keenam kita akan berfungsi dengan baik dan bukan dengan membuta tuli seperti orang gila. Kadangkala gerak hati, deria itu akan tidak tenang dan kita boleh siasat, apa yang menyebabkan perkara itu berlaku. Tidak salah, diulangi TIDAK SALAH untuk kita menyiasat benda sedemikian dalam senyap-senyap, mengintip atau apa sahaja demi memastikan kebenaran. 

Tetapi, perlu diingatkan bahawa, janganlah sampai memakan diri. Buat dengan mengikut akal fikiran dan jangan nafsu amarah semata-mata. Kadangkala gerak hati boleh menipu juga bila otak kita sering berfikiran negatif dan mencurigai pasangan tidak tentu hala. Jadi, carilah kebenaran yang diperlukan. Jika ia terbukti benar, barulah fikirkan langkah seterusnya.

http://farm4.staticflickr.com/3102/3184120329_a48f719410.jpg
[Sumber gambar]

Apa perlu dilakukan dan kebenarannya, hati anda sudah dibohongi, dikhianati, ditikam dari belakang, dilanggar hingga remuk dan apa sahaja istilah yang biasa digunakan dalam menggambarkan sekeping hati itu dihiris dengan belati dan pecah bagai terhempas ke lantai dan sebagainya?

1. Tanya dengan baik atau berhemah dengan pasangan anda.
Benda ini sejujurnya adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Tanya dengan baik, selidik dengan dia sendiri. Dalam masa yang sama, sila kawal kemarahan dengan baik, sila kawal rasa geram dan segala perasaan kurang enak itu buat seketika. Cuba bertanya dengan dia, apa yang berlaku, dan selesaikan perkara tersebut dengan cepat. Sebab bila diselesaikan dengan cepat, hati kau sendiri akan rasa tenang, rasa terkawal semula bukan?

Tapi bagaimana jika si dia tetap menipu?
Ini adalah taktik dan teknik yang harus kau pelajari. Cara kau bertanya, cara dia menjawab - lebih baik kalau dia berhadapan dengan kau, jadi kau boleh perhatikan gerak geri, riak wajah dan banyak lagi ciri-ciri manusia yang sedang menipu. Ketahuilah, muka orang yang sedang menipu, cara dia bercakap semuanya akan dipengaruhi oleh faktor dia mengawal diri (sangat). Dan, disinilah pentingnya kenapa kau perlu siasat pada awalnya. Sebab kau sudah ada bukti. Gunakanlah bukti tersebut bila dia asyik berdalih dan menukar fakta.

2. Berdiam diri bagaikan tidak berlaku apa-apa.
Ini memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosi yang sangat tinggi. Kau nampak apa yang berlaku, kau tahu sesuatu yang buruk, yang sadis terjadi, tapi kau diamkan diri dan tutup mata kau sendiri. Kau sakit sendirian, tapi kau pujuk hati telan dan hadam segala kesakitan bagaikan tiada apa yang kau dengar, kau lihat atau kau baca. Kau memilih untuk teruskan hidup seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku.

Kau pendamkan rahsia kecurangan dia daripada pengetahuan kawan baik, keluarga dan sesiapa sahaja disekeliling kau termasuk daripada pasangan kau disebabkan kau ambil keputusan untuk selesaikan masalah tersebut dengan cara kau sendiri, tanpa pengetahuan sesiapa. Ini adalah sesuatu yang sangat berisiko disebabkan kita sendiri mungkin tidak tahu, sejauh mana hati kita mampu bertahan dengan beban yang kita tanggung. Sebagai contoh, pasangan kau punya orang baru, bagaimana kau mampu menyaksikan kecurangan dia, tanpa kau berkata apa-apa?

Kalau kau mampu, aku berikan tabik hormat penuh tinggi dengan manusia sebegini.
Oh, situasi itu tidak boleh digunakan (mungkin) dalam situasi orang berkahwin lebih daripada satu. Sebab terang-terangan, dia sudah punya ikatan yang sah, tetapi kalau ada perempuan/lelaki simpanan tanpa ikatan, itu sesuatu yang boleh dianggap sangat tabah jika mampu berdiam diri sahaja.

3. Bercakap dengan orang yang kau percayai/pakar.
Setiap daripada kita pastinya ada seseorang yang kita percayai untuk berkongsi rahsia, berkongsi cerita selain daripada pasangan kita sendiri. Kawan, keluarga, hatta manusia yang kita tidak pernah jumpa sekalipun, tetapi atas faktor selesa, kita mampu berkongsi segala perasaan dengan dia dalam mencari jalan penyelesaian dalam masalah yang menghimpit.

Dalam situasi begini, orang yang kita minta khidmat nasihat, seharusnya orang yang bersikap neutral dan tiada prejudis ataupun pandangan yang berat sebelah dalam memberikan pandangan dia. Ini disebabkan jika ia hanya berpaksikan satu pihak sahaja tanpa justifikasi yang sesuai dan berkaitan serta dipengaruhi emosi semata-mata, apa yang dicadangkan mungkin hanya akan membawa binasa. Maka, pilihlah mereka yang mampu menolong kau bila keadaan begini tanpa sikap yang dinyatakan sebentar tadi.

4. Berikan peluang (entah untuk kali ke berapa)
Selepas kau melalui 3 perkara di atas, kau mungkin berpuas hati dengan keputusan yang kau sendiri buat setelah berfikir dengan sebaiknya. Sebolehnya, ia difikir menggunakan akal serta gerak hati dan bukan otak semata-mata. Sebab otak boleh menipu bila keadaan terdesak dan kita terlampau tertekan. Pastinya, keputusan tersebut juga sudah didahulukan dengan solat sunat, doa dan sebagainya. Bukan membabi-buta dan semata-mata kerana cinta.

Memberikan seseorang peluang untuk berubah itu baik. Macam kita biasa dengar, Nabi pun ampunkan umatnya. Tetapi ada beberapa keadaan, benda begitu tidak boleh digunakan. Aku percaya, setiap daripada kita mampu memaafkan, tetapi melupakan itu agak sukar dilakukan. Bukan disebabkan dendam atau apa (moga dijauhkan sifat dendam), tetapi lebih kepada sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati di masa akan datang, sentiasa berhaga-jaga kerana manusia suka sangat untuk kembali kepada kegiatan lama yang mereka suka.

Jadi, bagaimana lepas berikan peluang tapi terus dibohongi?
Fakta kelima (dan terakhir) di bawah ini adalah jalan terakhir yang selalu dipilih oleh setiap pasangan yang dilanda masalah.

5. Tinggalkan pasangan kau.
Normal.
Benda biasa.

Ini yang sangat biasa, tipikal yang dilakukan oleh manusia apabila mereka dikhianati, mereka ditipu dan sebagainya. Mereka akan meninggalkan penipu tersebut dan mula merancang untuk memulakan hidup baru dengan harapan yang lebih cemerlang. Boleh, tidak ada salahnya kalau kau mahu buat begitu, tetapi ini bukanlah satu langkah yang mudah. Cakap mahu tinggalkan seseorang memang mudah, senang, tapi mampukah kau tinggalkan manusia yang kau cinta begitu sahaja tanpa ada sedikit pun rasa sedih dan kecewa?

Ada di antara kita mampu melangkah pergi, dan teruskan hidup seperti tidak ada apa yang berlaku. Bukan disebabkan mereka tidak cinta tetapi lebih kepada penipuan itu terlampau perit untuk diingati ataupun dimaafkan sehingga membuatkan mereka tidak berpatah balik langsung kepada pasangan yang boleh dianggap telah mencemarkan hati mereka. Ini semua terpulang kepada individu itu sendiri. Kalau mahu bina hidup baru, tinggalkan segala kenangan buruk dan hargai kenangan manis juga boleh.

Ikut suka kalian buat apa yang mampu buat diri gembira.
Sebab hidup kalian, kalian yang tentukan.

Allah sentiasa ada untuk kita.
Cuma mungkin kita yang tidak sentiasa ada untuk Allah.

Nota Kaki :
Kenapa tidak pernah buat keputusan yang menggembirakan hati sendiri, kenapa tidak pernah berikan ruang pada diri untuk bahagia atas pilihan sendiri? Itu soalan yang perlu kau jawab bila kau hadapi situasi yang merumitkan.

Zara : Kadangkala kita terpaksa melepaskan sesuatu yang baik bagi diri kita, untuk sesuatu yang lebih bagus sebenarnya dalam hidup kita. Kita tidak pernah tahu rahsia Tuhan kan? (Shafaza Zara, 10 Februari 2012)

Monday, February 06, 2012

Itu Adalah Satu Kekuatan Rahsia.





"Semuanya baik?"
"Semuanya baik sahaja"

"Kau dengan aku nak tipu?"
"Mana ada aku tipu?"

"Kau tengah sedih."
"Mungkin aku sedih, tapi semuanya baik sahaja"

"Kau menangis?"
"Tak"

"Tipu. Kau menangis punya"
"Buat apa aku tipu. Kau lebih kenal aku"

"Ye ke kau ni?"
"Aku berani sumpahlah"

"Baik, aku percaya cakap kau"
"Tapi jangan kau buat aku menangis pula"


Dalam hidup, apa sahaja yang berlaku pastinya ada sesuatu yang tersembunyi cerita yang kita sendiri tidak pasti bagaimana pengakhirannya. Benda yang kita pertahankan, sembunyikan mampu terkeluar segala cerita tanpa kita sedari apabila langkah kita menjadi pincang. Kadangkala dalam hidup, ada satu ketika kita terpaksa mendengar kata hati dan menutup perasaan yang selama ini kita pupuk, kita semai disebabkan apa yang berlaku tiada penawar kesakitannya.

Ada yang menganggap benda sedemikian adalah bodoh. Bodoh dalam erti kata mengikut kata hati, percayakan hati berbanding dengan rasional akal, perkara yang sudah terhidang di hadapan mata. Tetapi, sesiapa yang mengalami perkara begitu sebenarnya tersepit dalam suatu keadaan berbeza dengan semua orang. Setiap daripada kita tidak serupa. Mungkin dengan mengikut hati, kita akan menemui kebahagiaan dan menolak rasional mampu mengundang kecelakaan. Ya, setiap daripada kita ada alasan berbeza bagi setiap perbuatan yang kita lakukan. Itu sesuatu yang tidak dapat disangkal.

http://farm4.staticflickr.com/3638/3561162335_8f0c5529d8.jpg
[Sumber gambar]

Setiap orang adalah pelakon di atas dunia ini. Sama ada mereka pelakon yang baik ataupun tidak, ia mungkin bergantung kepada watak apa yang mereka sedang lakonkan. Watak yang mungkin mereka sukai ataupun mereka pilih sendiri atau yang mereka terpaksa lakonkan atas desakan peribadi. Tapi, dalam hal ini, setiap manusia itu mampu memilih untuk bersikap telus dalam lakonan mereka. Telus dalam erti kata, jika ia sebuah lakonan semata-mata, mereka mampu untuk beritahu sama ada itu adalah sekadar mainan ataupun perkara rahsia. Seperti yang kita tahu, semua manusia itu tidak sama walaupun mereka berkongsi banyak benda bersama.

Seperti hukum Newton, setiap benda ada lawan masing-masing.
Jika hari ini kita menangis, siapa tahu suatu hari nanti kita akan ketawa?
Jika hari ini kita kesepian, siapa tahu suatu hari nanti hidup kita akan terisi?
Jika hari ini kita penuh dengan kemarahan, siapa tahu nanti hati kita akan sejuk sendiri?
Jika hari ini kita diuji tanpa henti, siapa tahu suatu hari nanti kita nampak hikmah tersembunyi?

Kita tidak akan pernah tahu apa yang akan terjadi pada saat berikutnya. Dan aku percaya, setiap daripada kita kalau boleh, tidak mahu tahu apa yang akan terjadi pada saat berikutnya. Mungkin ada yang mahu, tetapi pada aku, biarlah aku lalui segalanya tanpa perlu mengetahui apa akan terjadi pada masa seterusnya. Supaya apa yang aku sedang lakukan, dapat dibuat sebaik mungkin tanpa aku perlu ragui apa yang aku sudah buat. Bunyinya kedengaran agak bodoh, tetapi aku mungkin manusia yang tidak perlukan mesin masa ke hadapan. Masa hadapan adalah sesuatu yang aku tidak mahu lihat. 

http://farm4.staticflickr.com/3553/3765602310_aaef557074.jpg
[Sumber gambar]

Kesakitan hari ini untuk pengajaran pada masa akan datang.
Kesakitan lalu adalah pengubat untuk kesakitan pada waktu sekarang.
Detik waktu penyembuhan di antara dua sela masa adalah sesuatu yang tiada galang.

Ujian memang sentiasa akan datang.
Tetapi bagaimana kita hadapinya, adalah benda yang kita terpaksa rancang.

Ia bukan perkara yang senang.
Ia bukan perkara yang boleh dipandang.
Ia bukan perkara yang dianggap senang lenang.
Ia bukan perkara yang diuruskan sewenang.
Ia bukan perkara yang kau dapat tidur di awangan.

Ujian memang sentiasa ada.
Adakah kau mampu tempuhi segala?
Pekakkan telinga?
Tutupkan mata?
Diamkan mulut dari bicara?
Tahan air masin mengalir dari tubir mata?

Itu adalah satu kekuatan rahsia.
Itu adalah satu kekuatan yang mungkin kau tidak pernah sedar bagaimana.
Tapi itulah yang membentuk kau sebagai manusia.

Nota Kaki :
Sedang mendengarkan lagu yang kena dengan perasaan pada waktu ini. Oh, pilihan lagu Korea bukan bermaksud aku mengagungkan budaya KPop. Mohon jangan jelik sangat perangai boleh?


Zara : Dalam hidup, kita akan bertemu dengan dua jenis manusia. Manusia yang membentuk diri kita, menjulang kita ke atas dengan cara mereka dan juga manusia yang akan meruntuhkan kita ke bawah, merobek perasaan kita tanpa secebis kasihan. Tetapi percayalah, di akhir nanti, kita akan berterima kasih kepada kedua-duanya.

Saturday, February 04, 2012

Ditipu Kali Kedua Dengan Orang Yang Sama.



Hidup ini unik.
Sangat unik.
Kadangkala, kita tidak mengerti bahawa jalinan takdir itu sungguh istimewa hingga membawa kita ke satu tahap yang kita tidak boleh cerna. Segalanya baik, segalanya bagus sahaja. Tetapi, di penghujungnya, ada cerita yang aneh dan pastinya kita tidak boleh panggung baris bicara dan sabda.

Kita percaya manusia.
Kita berikan peluang pada manusia untuk perbetulkan kesilapannya.
Kita redha dengan apa yang pernah berlaku walaupun tidak pernah keluar sebaris kata maaf darinya.
Tapi kita tetap terima, bagaikan tiada apa yang berlaku.
Bagaikan semuanya baik sahaja dan bahagia.
Kita hadam segala kecewa.
Kita telan segala sengsara.
Sampai kering jiwa.
Sampai kontang rasa.


http://farm6.staticflickr.com/5285/5276789931_40b0972588.jpg
[Sumber gambar]

Selamat kembali dunia lama.
Selamat kembali dunia tanpa warna.
Selamat kembali dunia yang hanya tahu bahawa segalanya bukan sia-sia.
Tapi ada pengajaran dan hikmah disebaliknya.

[tambahan]
Selamat datang dunia baru.
Selamat datang dunia tanpa haru biru.
Selamat datang dunia yang bakal membawa kegembiraan aku.

Diam.
Tiada tangisan.
Tiada raungan,
Yang ada hanya secebis senyuman.
Melihat penipuan.

Nota Kaki :
Percaya dengan apa yang dilihat dan dibaca. Apa yang dilihat dalam perbuatan manusia kadangkala anehnya boleh mengelabui pemikiran serta jiwa.

Zara : Hidup perlu diteruskan seperti biasa .

Wednesday, February 01, 2012

#WW18 : Ini Tarian Aku Sendiri




Dalam hidup, ada beberapa perkara yang aku takuti pernah muncul.
Aku tahu, ada yang secara harfiahnya akan muncul dan buatkan aku terhenti pada tahap yang aku sendiri mungkin tidak mampu untuk bersembunyi. Aku mamah kesakitan aku sendirian, tinggalkan alam realiti yang aku hadapi setiap hari dengan sedikit doa agar, di alam maya, tempat tiada siapa kenal manusia beku yang menjalani kehidupan penuh cabaran di luar sana, akan mampu menghela nafas lega.

Buat beberapa lama, tarian ini aku yang punya.
Aku larikan adrenalin gembira aku dengan menulis sesuatu buat tatapan semua.
Buat mereka yang mungkin berkongsi cerita yang sama.
Kerana aku tahu, manusia tidak pernah sendirian atas dunia.
Aku tidak kisah jika aku tidak punya pembaca berjuta.
Aku bukan mengejar gelaran untuk jadi terkenal, kerana aku bukan sesiapa.
Aku cuma mahu hidup dengan baik dalam dunia yang aku cipta.
Ya, Dunia Sebelah Zara.

Tapi, bila ada orang mula buka mulut tentang tempat yang aku sukai ini, aku rasa sedikit tercemar diri.
Tempat aku luahkan segala benda yang aku suka sudah tiada lagi.
Tempat aku berkongsi apa yang aku lalui.
Tempat perlindungan terakhir aku sudah dicerobohi.

Ini tarian aku sendiri.
Ini tarian janggal aku atas pentas peribadi.
Ini tarian yang aku lupakan segala kesakitan setiap hari.

Ini tempat yang kau sudah canang dan biarkan aku bertungkus lumus menjauhi mati.
Ini tempat yang kau sudah buka mulut dan cerita sesuka hati.
Dan aku terfikir mahu mengundur diri.
Supaya tiada istilah benci.
Ataupun sakit hati.

http://farm5.staticflickr.com/4093/4799457610_c202c3fe50.jpg
[Sumber gambar]

A : Awak ingat apa yang saya cakap sebelum ini?
Z : Apa dia?
A : Segala benda yang ada di Internet, akan jadi hak milik setiap orang.
Z : Dan sebab itu awak baca apa yang saya tulis?
A : Sebab benda itu ada dalam Internet.
Z : Sekejap. Kalau awak kata semua benda dalam Internet akan jadi hak milik setiap orang, saya boleh dijumpai di dalam Internet, adakah saya milik setiap orang juga?
A : Terpulang kalau awak rasa begitu.
Z : Awak rasa begitu juga?
A : Entah.
Z : Tak boleh!


Nota Kaki :
Terfikir untuk memperibadikan ruang tulisan aku buat masa ini. Entahlah. Ini bukan dasar penakut ataupun apa, tapi ruang selesa aku sudah mula terdedah. Tiada lagi tempat selamat untuk aku berlindung dan pakaikan topeng pada wajah bila terlampau penat melayan karenah dunia nyata.

Zara : Kadangkala, apa benda yang kita mahukan tidak akan tercapai. Kadangkala, tidak mengira betapa kita mahukan sesuatu, kita terpaksa lepaskan keinginan itu. Dan aku mungkin terpaksa melepaskan ruang istimewa dalam alam maya ini dengan duduk diam pada satu tahap yang aku sendiri pastinya tidak akan pernah rasa gembira lagi. (Shafaza Zara, 1 Februari 2012)

Tuesday, January 31, 2012

Panduan Bagi Penceramah - Cara Atasi Gentar.




Salam semua.
Adakah sudah mengundi aku berdasarkan gambar di atas?
Ceh, sempat lagi nak tanya benda begini kan?

Apa pun, aku kembali pada momentum aku untuk menulis. Aku rasa disebabkan apa yang aku lalui sejak beberapa minggu ini, aku mula susun kembali otak aku, agar berfungsi seperti yang aku mahukan dan bukan semata-mata mengikut apa yang aku panggil sebagai kedegilan. Ya, kedegilan dalam meneruskan kehidupan. Melalui masa yang agak sukar, aku rasa kadangkala ianya juga baik dalam menentukan (dengan lebih tepat dan jitu), tentang apa yang aku paling kehendaki, dan tidak hanyut dalam nafsu diri. Ah, bicara pembuka kata sahaja sudah bikin yang baca mahu hentak kepala aku gamaknya. Tapi, ini aku seperti yang kalian semua kenal, gila tidak tentu masa.

http://farm4.staticflickr.com/3144/4077764060_a17e8e3e3a.jpg
[Sumber gambar] - Cuti panjang aku habiskan dengan keadaan lebih kurang begini, tapi sudah tentunya ini bukan aku.

Aneh.
Sesetengah orang mungkin merasakan sedikit aneh bila aku tidak memperkatakan tentang Anugerah Juara Lagu 26 (#AJL26). Sebab selalunya aku akan menulis berdasarkan apa aku suka, apa aku rasa secara peribadi. Kali ini tidak, atas dasar aku menulis dengan lebih gigih di Twitter. Seperti dikhabarkan oleh saudara Hazrey dan Sultan Muzaffar di Twitter mereka, aku berada di tempat pertama manusia yang paling banyak berkicau tentang #AJL26 mengikut rekod yang dikeluarkan pada sidang media. Baiklah, aku tidak mahu memperkatakan tentang itu, sebab ya, aku sendiri mendapat khabar itu dari mereka.

Berbalik kepada tajuk di atas, aku mendapat undangan untuk memberikan ceramah (istilah ini agak menakutkan) pada hujung minggu ini, 4 Februari 2012 di salah sebuah kolej berdekatan dengan rumah aku. Ini kali kedua aku diundang secara rasmi untuk memperkatakan sesuatu yang dekat dengan aku. Sebelum ini, aku berikan ceramah motivasi (ya, bunyinya agak macam bagus) pada sekelompok murid yang dianjurkan oleh kawasan kejiranan aku. Kali ini, peserta atau lebih tepat lagi pendengar yang bakal menyertai adalah daripada manusia yang aku tidak berapa biasa. Lebih tepat adalah golongan yang aku tidak kenali, tetapi aku pernah berada di tempat mereka, melalui apa yang mereka sedang hadapi sehingga membawa kepada siapa aku hari ini.

Jadi, membaca apa yang penganjur hantarkan kepada aku, garis panduan isi penyampaian dan ceramah membuatkan aku sedikit tergelak. Bukan tentang garis panduan itu, tetapi lebih kepada, mampukah aku memenuhi kriteria yang mereka tetapkan? Kegilaan aku sekarang ini bukannya boleh dikawal sangat, apatah lagi sejak aku mengajar mata pelajaran baru, aku memang agak dramatik dalam mengajar di kelas. Kalau ada cerita pendek, puisi, habis semua aku lakonkan. Ya, aku mungkin pelakon yang hebat serta mempunyai lantunan vokal yang menarik, eh. Sudah menyimpang pula. 

Aku akui, aku sedikit gementar tentang perkara tersebut. Jadi aku bercadang untuk mengulas setiap satu daripada panduan bagi penceramah yang telah mereka bekalkan. Bukanlah untuk tujuan yang tidak elok, cuma sebagai ingatan kepada diri sendiri agar kegilaan aku tidak berlaku. Bukankah nanti kamu semua juga yang malu ada kawan seperti aku. (bunyi cengkerik)

http://farm4.staticflickr.com/3664/3394064128_c116989c38.jpg
[Sumber gambar] - Ini semua mungkin bagaikan sekeping kek. Mungkinlah. Mungkinlah. (Cubaan untuk positifkan diri)

01 - Etika pakaian bagi penceramah adalah formal.
Baiklah, benda ini sesuatu yang mudah untuk diikuti. Disebabkan hampir setiap hari aku mengenakan pakaian formal, rasmi, jadi aku rasa ini bukan masalah. Masalahnya aku tiada baju baru. Baju paling baru aku, yang kononnya dibeli untuk majlis ini, aku sudah pakai ke majlis perkahwinan kawan aku. Er, peduli apa aku tiada baju baru. 

02 - Penceramah diminta untuk memberikan ceramah berkenaan tajuk yang diberi selama 1 jam sahaja bagi setiap tajuk.
1 jam itu tempoh masa yang agak lama sebenarnya kalau kau berdiri seorang diri di hadapan dengan diperhatikan oleh ramai orang. Aku mungkin dah lali dengan berdiri lebih daripada satu jam dan bercakap (baca : mengajar) di hadapan anak murid aku. Aku boleh berbual selama enam jam tanpa henti dengan orang yang baru pertama kali aku berjumpa, berbual tujuh jam tanpa hati secara atas talian Skype, tapi satu jam depan orang yang aku tidak kenali serta ceramah berbentuk ilmiah, apa yang aku perlu lakukan? 

Jika sebelum ini, aku dapat paksa tiga orang lagi untuk teman aku - jadi dari ceramah, ia sudah jadi seperti forum, aku harap keajaiban mungkin berlaku pada hari Sabtu ini, ada orang teman aku. Tapi kalau ditakdirkan seorang diri bercakap di hadapan, aku mohon ada orang sedarkan aku jika aku melampaui masa yang dibenarkan. (sambil jeling jam)

03 - Penceramah dibenarkan menyentuh subjek atau perkara yang boleh dikaitkan dengan tajuk yang mereka sampaikan.
Menyentuh subjek itu menyentuh tajuk kan?
Bukan menyentuh peserta ceramah rasanya. Oh, aku dah tengok tajuk, aku rasa aku boleh merepek bercerita tentang banyak benda. Mungkin aku akan cerita mengenai Dunia Sebelah Zara juga. Er, boleh ke tidak agaknya?

04 - Penceramah bebas menyampaikan ceramah mengikut cara dan gaya yang dikehendaki asalkan tidak keterlaluan dan tidak melampaui batas.
(angkat kening)
Cara dan gaya yang dikehendaki? Wah! Macam mana mahu buat ini agaknya? Merujuk kepada patah perkataan seterusnya, - "asalkan tidak keterlaluan dan tidak melampaui batas" - adakah dengan tangan bersilat bagai itu dikira keterlaluan? Aku tidak boleh bercakap tanpa menggerakkan tangan. Dah terbiasa sejak dahulu, tidak kira zaman sekolah, zaman matrikulasi, universiti dan sampailah aku mengajar. Tangan aku memang akan bergerak selaju mulut aku bertutur juga. Hmm, bunyinya seperti masalah besar untuk mengawal diri sendiri. Heh.

05 - Penceramah boleh mendapatkan bantuan dari pihak pengacara majlis dari segi keperluan asas ceramah seperti persiapan peralatan tayang audio/visual, menjaga pergerakan slide show ataupun air minum.
06 - Sekiranya penceramah mempunyai powerpoint untuk digunakan semasa ceramah, sila berikan soft-copy kepada pengacara majlis untuk dimuat turun ke dalam komputer sebelum ceramah bermula.
"Mohon pengacara majlis adalah kacak" (doa dalam hati)
Itu doa merepek. Sila abaikan.

Oh, jadi boleh tayang audio atau visual. Perlu ke aku buat Vlog (video blog) khas bagi ini agaknya ya? Rasa macam teringin mahu buat memandangkan sudah lama tidak memuatnaik video merepek sendiri ke laman sosial. Walaupun tiada siapa yang menonton, tapi aku rasa mahu muncul sedemikian rupa, bukanlah benda yang mudah bagi aku. 

Aku memang manusia yang sentiasa bawa bekal air sendiri. Sekarang aku dalam perkiraan mahu menyediakan bahan ataupun tidak buat mereka yang mendengar ceramah itu. Rasanya perlu ataupun tidak?

http://farm5.staticflickr.com/4043/4350392857_9eb35fc560.jpg
[Sumber gambar] - Perangsang adrenalin aku perlu ambil. Pasti.

07 - Penceramah tidak dibenarkan sekali menyentuh isu sensitif termasuklah isu politik, perkauman, keagamaan dan sebarang perkara yang mampu mengguris mana-mana pihak.
08 - Penceramah tidak digalakkan untuk mempromosikan apa-apa perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk ceramah yang diberi. 
09 - Penceramah juga tidak digalakkan sama sekali untuk mempromosi sesuatu universiti ataupun pekerjaan/syarikat secara khusus.

Aku rasa tiga garis panduan di atas adalah saling berkaitan.

07 - Isu politik, perkauman, keagamaan - adalah perkara yang memang terang-terangan akan mengguris hati mana-mana pihak. Pihak itu (pling!) ataupun pihak (pling!) bak video Kyopropaganda di Tiub Awak (baca : YouTube). Jadi, untuk mengelakkan diri selama, sebarang benda berkaitan benda itu adalah penting untuk dipertuturkan sama ada sengaja ataupun di luar sedar. Tapi, janganlah sampai tak beri salam pada pendengar kan? Sewel betul.

08 - Ala! Tak boleh promosi ke? Baru nak promosi blog sendiri. Baru nak promosi suruh beli Kitab Terfaktab dan Hero. Baru nak suruh mengundi untuk blog ini. Kalau begini, tak boleh adalah merugikan. Terfikir untuk buat iklan antologi cerpen yang akan muncul pada bulan Mac ini serta projek terbaru Terfaktab. Kalau tak dapat ini, bagaimana? 

"Ini tidak adil, tidak adil baginya.
Ini tidak adil, tidak adil bagiku."
Eh, keluar Yuna pula.

09 - Aku paling suka UTM. Ya, aku adalah hasil keluaran UTM dan memang berbangga dengan hakikat tersebut. Kalau orang tanya, aku dengan pantas akan sebut mengenai UTM dan apa yang UTM telah berikan pada aku, sepanjang pengajian aku. Sudah tentunya dengan deretan tenaga pengajar yang bagus, persekitaran yang baik dan sebagainya - serta motonya memang akan aku ingat sampai bila-bila. "Kerana Tuhan Untuk Manusia"

Hidup UTM!
Eh, tak boleh promosi =.="

Pekerjaan pun tak boleh promosi?
Apa maksud ini?
Aku tak boleh galakkan peserta untuk memilih kerjaya serupa aku ke?

10 - Penceramah dinasihatkan untuk tidak menipu sebarang fakta yang berkaitan dengan ceramah.
Saya dengan ini berjanji akan memberikan segala yang terbaik dalam ceramah yang akan saya sampaikan. Saya tidak akan mengaku diri saya cantik sebab itu akan dikira sebagai suatu bentuk penipuan. Eh.

Baiklah.
Itu sahaja buat kali ini.
Cara mengatasi gentar aku adalah dengan memberikan jawapan balas bagi setiap daripada garis panduan yang diberikan. Cabaran buat diri sendiri.

Nota Kaki :
4 Februari 2012 - Moga diberikan aku kekuatan untuk berdiri di hadapan orang dan berikan ceramah terbaik.

Zara : Ujian datang menimpa bila aku belajar untuk rasa selesa dengan suasana serta keadaan yang aku suka. Nampaknya, aku tidak boleh duduk diam dan memerhatikan begitu sahaja. Sesuatu sedang berlaku dan aku dapat menghidunya. Mohon doa agar kejadian setahun lepas tidak akan berulang kembali. Aku tidak cukup tabah untuk menanam hati sendiri lagi. (Shafaza Zara, 31 Januari 2012)


Thursday, January 12, 2012

Awak, Dia Sudah Penat Mencari.




Awak.
Dia sudah penat mencari.
Kelibat awak yang sering muncul dalam mimpi.
Dalam diam, dia menahan sunyi.
Ajar diri supaya jangan rasa sepi.

Awak.
Dia sudah penat mencari.
Awak yang dia tidak akan temui.
Walaupun dia ajar diri supaya terus menanti.
Gerangan manusia yang dia sendiri tidak kenali.

Awak.
Dia sudah penat mencari.
Kalaupun awak wujud, dia tidak mahu bergerak lagi.
Sengaja dia mahu duduk diamkan diri.
Supaya awak yang datang ke sisi.

http://30.media.tumblr.com/tumblr_la3xciU6Nl1qbpwzeo1_500.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Mungkin awak pernah muncul dalam hidup dia.
Mungkin dia terlepas dari jatuh cinta.
Kalaupun awak melalui, dia harap awak akan menyapa.
Supaya dia kenal bahawa awaklah orangnya.

Awak.
Mungkin sebenarnya awak adalah orang yang sentiasa di sisi.
Dia masih tidak sedar akan isi hati.
Bahawa awak yang sedang menanti.
Agar dia tahu yang dia tidak pernah sendiri.
Cuma awak masih enggan berkongsi.
Perasaan hati, luahan rasa peribadi.
Awak masih mahu memerhati.

Awak.
Kalaulah awak yang sedang di samping dia sekarang ini.
Awak berikan masalah supaya dia berdikari.
Supaya dia kononnya belajar erti sunyi.
Bila awak tiada di sisi.
Awak mahu dia belajar singkir rasa sepi.
Supaya bila awak tiada, dia tidak akan menangisi.
Tapi bagaimana kalau kekosongan awak mula diisi?
Dengan orang lain yang awak tidak sangkai?

http://24.media.tumblr.com/tumblr_ledsir3Fhe1qe6d3qo1_500.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Kalau awak datang, datanglah bila dia sudah bersedia.
Untuk mulakan segalanya.
Bukan termenung begitu sahaja.

Nota Kaki :
Tercucuk pin dalam jari masa menulis ini. Berdarah papan kekunci.

Zara : Kalaupun saya rindu, awak tidak akan pernah tahu kan?

Tuesday, January 10, 2012

Mungkin Bukan Dia Orangnya.




Teman.
Mungkin pada satu ketika kau menikmati hidup yang sangat membahagiakan.
Hidup yang sangat menggembirakan.
Segalanyanya berjalan mengikut aturan.
Segalanya elok terletak dalam acuan.
Tapi kau terlupa, hidup ini ada banyak cabaran.
Ada banyak dugaan.
Kegembiraan itu hanya pinjaman.
Yang dalam sekelip mata boleh ditarik tanpa boleh melawan.
Apa yang kita panggil sebagai ketentuan.
Suatu ketetapan.

Teman.
Di saat kau menyulam bahagia, muncul pula manusia ketiga.
Sibuk masuk mahu menyelit di antara kau dan dia.
Kau cuma tolak, tapi dia berusaha juga.
Pada kau aneh, syaitan mana menjelma jadi manusia?
Memporak peranda satu hubungan yang gembira.
Memusnahkan senyuman bahagia.
Dan mula mengundang derita.
Singgah dalam sebuah cerita.

http://farm6.staticflickr.com/5305/5885766281_2b6fa0435b.jpg
[Sumber gambar]

Teman.
Dalam kau mempertahankan hubungan, kau terpaksa mengalah.
Berundur bukan kerana kau kalah.
Tapi kau penat dan terasa lelah.
Hidup kau bertambah payah.
Hubungan menjadi lebih susah.
Kerana hanya kau yang berusaha, tapi si dia buat tidak endah.
Kau lepaskan sahaja, berikan ruang manusia lain mencelah.
Bukan kau tidak cinta, tapi kau lebih rela melepaskan dari terus resah.
Mengenangkan orang yang kau suka sudah berubah.

Teman.
Kau senyum dan berlalu pergi.
Walaupun hanya kau sendiri tahu sakitnya hati.
Orang yang kau sayang mengkhianati.
Bukan sedikit masa sudah kau baziri.
Tapi manusia sentiasa iri.
Apa yang orang lain ada, itu juga yang mahu mereka curi.
Kau relakan sahaja, sebab kau tahu kau tidak akan rugi.

Teman.
Kau jalani hidup baru.
Hidup sendiri tanpa mahu diganggu.
Kau sudah penat menguruskan hidup yang haru biru.
Apatah lagi menyingkirkan perasaan pilu.
Lelah setiap malam menahan sendu.
Mengenangkan pengorbanan yang hilang manis madu.
Tersisa cuma kenangan sepahit hempedu.
Yang kau enggan pandang, dan terus berlalu.

http://farm6.staticflickr.com/5077/5833160727_ac5d3b479c.jpg
[Sumber gambar]

Teman.
Kau sudah mulakan hidup semula.
Kau sudah sibukkan diri dengan bekerja.
Kau sudah penuhkan semua ruang masa.
Kerana kau mahu lupakan dia.
Dan buang segala kisah lama.
Dan juga, kau sudah berpunya.
Dalam erti kata, lebih baik berbanding dia.
Walaupun mungkin dia yang pertama.

Teman.
Secara tiba-tiba dia muncul lagi.
Datang menagih kasih yang dia curangi.
Habis diungkit segala janji.
Walaupun dia yang mengkhianati.
Dia seperti lupa diri.
Pada dia, kau akan tetap menunggu di sisi.
Hanya menunggu saat untuk kembali.
Walaupun hakikatnya dia yang pernah menolak kau ke tepi.
Kau diam dan ketap gigi.
Manusia apa dia ini?

Teman.
Kau diam tanpa mahu buat keputusan.
Kau beritahu dia yang kau sudah ada pasangan.
Kau nyatakan pada dia kau sudah mengikat tali pertunangan.
Kau hulurkan juga kad undangan perkahwinan.
Tapi pada dia itu semuanya pembohongan.
Dia tetap mahu menegakkan perjanjian.
Yang sudah berkurun lama ditinggalkan.
Cintanya sudah berkubur tanpa nisan.
Akibat dia hidup dalam kecurangan.
Meremukkan hati kau yang menahan segala kesakitan.
Tapi dia seperti lupa apa yang dia pernah putuskan.

http://farm6.staticflickr.com/5268/5830218096_33f6db95e9.jpg
[Sumber gambar]

Teman.
Dia minta untuk berjumpa.
Walaupun enggan, kau turutkan juga.
Setelah lama terpisah, kau bertentang mata.
Tiada lagi getaran di jiwa.
Tiada lagi sinar harapan bercahaya.
Jiwa kau kosong tanpa sebarang rasa.
Walaupun di jarinya masih tersarung cincin milik berdua.
Di saat itu kau memutuskan, bukan dia orangnya.
Yang kau mahu hidup bersama membina keluarga.
Walaupun dia merayu bagaikan orang gila.
Kau sudah mampu berlalu sambil tersenyum mesra.
Bagaikan tidak berlaku apa-apa.

Nota Kaki :
Buat seorang teman, walaupun hidup ini kadangkala menyeksa dan menyesakkan, ketahuilah, kita mampu untuk berusaha keluar daripada kesusahan sedemikian.

Zara : Kesibukkan melanda hingga Dunia Sebelah Zara agak terabai buat beberapa ketika. Oh ya, pertandingan Dunia Sebelah Zara berlangsung sehingga 31 Januari 2012 ya? :) Tidak semestinya kau tulis puisi, penulisan biasa sudah cukup sebenarnya.


Sunday, January 08, 2012

Jaga Diri - Jaga Hati.




Aku kalau berbual dengan orang mesti akan kata "jaga diri" ataupun "take care" di hujung bicara. Sudah jadi satu kebiasaan aku mencapai ke hujung perbualan dengan cara begitu sebelum memutuskan talian dengan ucapan salam. Kebiasaan disebabkan setakat ini, dalam perbualan aku dengan kawan-kawan ataupun sesiapa sahaja yang berkenaan, tiada siapa yang cakap begitu dengan aku. Setiap kali, hanya aku yang cakap demikian. Mungkin pada kawan-kawan aku, ada satu pandangan skeptikal (yang pernah salah seorang daripada mereka kata) - "Kau boleh jaga diri kau sendiri, tak perlu diingatkan"

Entah.
Aku mungkin mahu jadi tamak.
Mahu orang lain ingatkan aku sesuatu yang aku rasa aku layak.

Layak untuk dapatkan layanan macam manusia lain. Rasa diperlukan sentiasa dan bukan dicari hanya bila mereka dalam kesusahan dan perlukan bantuan, khidmat nasihat daripada aku. Aku tahu manusia sukar lihat aku - manusia yang tidak punya apa-apa atas dunia, apatah lagi sedikit paras rupa yang jadi taruhan manusia lain memilih memulakan persahabatan, tapi disebabkan sudah pandai menerima hakikat sejak sekian lama, aku mahu buat endah tidak endah sahaja. Walaupun harus diakui, hati sedikit tercalar dan aku hanya layak memendam rasa. Betapa sukar aku mahu memujuk hati, menerima apa sahaja orang kata, meminta maaf atas kesalahan yang bukan aku punya dan berpura gembira supaya orang disekeliling tidak nampak aku terluka dengan sikap mereka.

http://farm8.staticflickr.com/7016/6638689355_b6a6ff0208.jpg
| Koleksi dari Flickr sendiri |

Tapi itulah.
Benda itu sebenarnya cuma kehendak hati sendiri.
Tidak ada orang yang buat, sebab kalau kita sebut pada orang, dah jadi macam satu keterpaksaan pula orang sebut pada kita kan? Jadi benda itu kurang keikhlasan aku rasa. Macam kau ucap selamat ulangtahun pada kawan-kawan di laman sosial. Kau tulis benda yang sama pada semua orang. Tulis - salin - tampal semula di dinding setiap orang. Tiada nilai istimewa, semua orang serupa, hatta orang yang kau kenal rapat ataupun makhluk asing mana. Aku rasa kurang seronok, mungkinlah. Heh.

Apa pun, dalam kau jaga diri, ada benda yang kau perlu jaga juga, iaitu jaga hati. Aku rasa ini antara yang paling susah selain jaga iman. Tapi kali ini aku mahu tulis tentang jaga hati. Benda yang lebih pada pengalaman aku, daripada aku bercakap tentang jaga iman, aku mungkin kurang layak. Nanti orang kata aku tiada tauliah dan sebagainya - walaupun saling mengingatkan itu baik. Tapi tidak mengapa, jaga hati sahajalah, selain jaga diri.

Aku rasa setiap daripada kita ada hati yang perlu dijaga. Selain ibu bapa, adik beradik, keluarga, jirang tetangga, saudara mara, kawan-kawan (dan senarainya tidak akan berhenti) - kita juga perlu jaga hati sendiri. Itu lebih penting walaupun aku akui, kalaulah hati aku boleh dikeluarkan dan ia ibarat cermin ataupun kaca, pastinya boleh dilihat kesan retak, kesan pecah, kesan ditampal tidak termasuk calar balar akibat bertahan dengan keadaan sekeliling. Macam mana dengan hati kau pula?

http://farm7.staticflickr.com/6124/5943467523_4453d34178.jpg
[Sumber gambar]

Banyak benda berlaku yang secara jujurnya sangat melibatkan hati dan perasaan. Kita cuma cantumkan kepingan hati kita, jeruk perasaan dengan harapan mampu bertahan, tapi pada satu peringkat kita mahu lepaskan walaupun kita sendiri tahu, ia bukan sahaja bakal melukakan orang lain, tetapi diri kita sendiri. Kalau diberi pilihan, kita mungkin tidak sanggup melukakan hati manusia lain di sekeliling kita, tapi penderitaan yang kita tanggung menyebabkan tekad itu bulat, mahu melepaskan diri dari kesengsaraan. Persoalannya, berapa ramai yang berani untuk keluar daripada itu semua? Sanggup menutup mata dan jiwa demi kelangsungan hidup sendiri?

R : Aku nak buat keputusan tapi tak tahu.
Aku : Keputusan apakah?
R : Kalau aku tak cakap pun kau tahu kan?
Aku : Hmm, boleh baca dari laman sosial kau.
R : Tapi aku tak tulis dengan terus terang pun kan?
Aku : Bukan sehari dua aku kenal kau, bukan aku tak kenal gaya bahasa kau.
R : Aku takut kecewakan semua orang.
Aku : Faham. Tapi kau sendiri macam mana?
R : Susah sangat nak gembira ke?
Aku : Tak susah. Senang. Tapi kita selalu tak dapat, atas beberapa sebab tentunya.
R : Maksudnya?
Aku : Kita selalu buat orang lain gembira, tapi kadangkala nak buatkan diri sendiri gembira pun susah kan?
R : Betul. Itu apa yang aku rasa sekarang ini. Aku tak kisah kalau orang lain tak dapat buat aku gembira, tapi diri aku sendiri pun dah tak boleh nak berikan senyuman depan cermin, macam mana ni?
Aku : Masalahnya, benda ini bukan libatkan kau seorang.
R : Sebab itu aku keliru.
Aku : Dah berbincang dengan keluarga?
R : Aku cuma cakap dengan Mama aku sahaja.
Aku : Dan dia kata apa?
R : Mama aku terkejut. Dia marah mula-mula sebab aku sembunyikan benda ini, tapi aku memang ego. Aku tak nak Mama kata aku apa nanti lepas dia bersusah payah uruskan benda ini.
Aku : Sekarang ini?
R : Mama memahami. Mama tahu aku takut melalui pengalaman teruk dalam nak bina keluarga, padahal bukan sekejap benda ini. Lagi pula, ini bukan lagi zaman bercinta. Ini sudah zaman aku ada yang punya dan aku juga galas tanggungjawab bukan mudah.
Aku : Tapi, kalau itu takdirnya, kita nak buat macam mana?
R : Aku dah tak tahu nak buat macam mana. Jumaat lepas aku dah ke pejabat agama.
Aku : Dah pergi? Kau failkan tuntutan ke apa?
R : Aku mohon sesi kaunseling. Aku tak nak buat keputusan terburu-buru.
Aku : Baguslah kalau begitu.
R : Aku bawa Mama teman aku. Menggigil aku masa nak melangkah masuk. Sebab ini bukan macam beberapa bulan lepas. Dulu langkah mahu menuju kebahagiaan yang aku harapkan, kali ini mungkin bawa kebahagiaan tapi pastinya ada penderitaan sepanjang hayat dalam diam.
Aku : Benda begini kena ada perbincangan dua pihak.
R : Aku jaga hati semua orang, kenapa orang susah sangat nak jaga hati aku?
Aku : Orang tak buat macam mana kita buat pada orang. Setiap manusia kan tidak sama?
R : Sakit oh, sakit sangat.
Aku : Aku tahu kalau aku beritahu kau supaya tabah, kuat dan sabar - kau dah biasa dengar benda begitu kan? Tapi kali ini, aku mohon kau betul-betul tahu apa kau nak buat.
R : Kau rasa ini benda yang betul?
Aku : Kau sendiri rasa macam mana?
R : Aku bercinta dekat lapan tahun setengah, aku berkahwin belum pun setengah tahun, dah begini.
Aku : Sebab itu Kahlil Gibran pernah kata, usia perkenalan bukan jaminan kau kenal seseorang.
R : Aku pernah baca, kau pun pernah tulis dalam blog, tapi benda begini nampak mustahil dalam hidup, dalam beberapa perkara tentunya.
Aku : Entahlah. Aku tak tahu apa yang kita panggil bahagia, apa yang sebenarnya sengsara.
R : Kadangkala kita lagi sanggup derita seorang diri daripada bahagia dengan orang lain derita kan?
Aku : Selalunya begitu. Adakah kita bodoh?
R : Bukan bodoh. Kita korbankan perasaan sebab kita tak nak orang lain terlibat sama.
Aku : Dan bila berdepan dengan situasi begitu, kau masih nak memilih derita lagi?
R : Mungkin aku terpaksa, aku pura-pura senyum dan gembira.
Aku : Sampai bila?
R : Aku mahu berusaha sehabis baik. Kalaulah takdirnya bukan milik aku, aku lepaskan sahaja.
Aku : Dan kau akan tanggung derita juga.
R : Lebih baik daripada aku lihat dia yang aku cinta bergelumang dosa.
Aku : Banyakkan doa, solat sunat dan sebagainya. Ini bukan benda main-main. Bukan kau dah dia sahaja, tapi keluarga juga.
R : Tahu. Doakan aku ya?
Aku : Sentiasa.
R : Doakan aku kuat dan mampu kembali seperti sediakala.
Aku : Bahkan aku harap kau dan dia akan bersama selamanya.
R : Moga-moga.
Aku : Amin. Jaga diri.
R : Kau juga.

http://farm6.staticflickr.com/5032/5910405541_3a3ee02f74.jpg
[Sumber gambar]

Itu antara secebis kisah seorang kawan dalam usaha dia menjaga hati manusia di sekeliling dia. Walaupun aku tahu dia menanggung derita, dia tidak mahu orang lain terpalit dalam kisah duka dia. Sampai satu tahap, aku menunggu dia untuk buka cerita dengan sendiri. Bukan dengan paksaan supaya bercerita - biarlah dia sendiri dengan rela mahu bercakap mengenainya. Aku cuma berharap (dan berdoa) - agar dia mampu menghadapi segalanya dengan tabah, tidak kira bagaimana pengakhiran sebuah ceritera - sama ada ia indah ataupun duka kerana dengan satu pengakhiran (walaupun mungkin tidak sempurna) - dia akan mampu untuk mulakan segalanya semula walaupun payah. 

Dan itu apa yang kita semua buat kan? Mulakan semuanya semula bila kita terhenti di satu perjalanan, tersesat, kita akan kembali berfikir bagaimana mahu mengatasinya. Walaupun ia akan mengambil sedikit masa, membuang sedikit tenaga, tetapi tumpuan kita mahu mencari tempat yang sepatutnya, tidak menghalang kita untuk teruskan perjalanan walau dipenuhi dengan dugaan serta cabaran.

Buat semua pembaca.
Jaga diri, jaga hati (dan juga jaga iman).
Terima kasih sudi membaca.

Nota Kaki :
Hujung minggu yang langsung tidak ceria tapi Alhamdulillah, aku masih bernyawa.

Zara : Melepaskan seseorang yang kita sayang atau cintai sepenuh hati bukan bermakna kita seorang yang kalah. Kita mungkin sedang membina masa hadapan yang lebih baik dengan ketiadaan mereka. Jadi sekalian, kuatkan diri, kuatkan semangat ya? (Shafaza Zara, 8 Januari 2012)


Friday, January 06, 2012

Itu Kerana Mereka, Awak Dan Saya Adalah Guru.




Sesi persekolahan dua puluh dua belas sudah bermula.
Tamat sudah minggu pertama, bermakna cabaran dan tugasan akan lebih bertambah. Tetapi semua itu bukan perkara besar. Terbiasa dengan kerja, bahkan minggu depan sudah bermula latihan rumah sukan. Pastinya hampir jam enam atau tujuh mungkin aku baru akan tiba di rumah. Sesetengah daripada anda semua mungkin akan berkata, apalah sangat balik waktu begitu, tapi bagi orang yang sudah punya keluarga sendiri, pastinya itu bermakna sudah kurang sedikit waktu berkualiti bagi mereka dan keluarga. Aku? Tidak mengapa, belum punya lagi.

Awal pagi tadi, aku membaca tulisan Qarl tentang persepsi masyarakat (sesetengah daripadanya) yang melabel guru dengan sindiran halus dan tajam. Lebih-lebih lagi dengan timbulnya isu berkaitan dengan bakal guru yang sibuk dengan agenda politik dan sebagainya, masyarakat kita, kebanyakan daripada mereka memang sensitif yang amat sangat dan boleh jadi tidak tentu hala. Tulisan Qarl boleh dibaca di pautan ini. Ulasan aku di blog Qarl, aku salin semula di sini sebagai suatu rujukan tentang pandangan peribadi aku.

Salam Qarl.

Benda ini adalah sesuatu yang lumrah. Terlalu pantas masyarakat kita (sesetengah daripada mereka) - menjatuhkan hukuman kalau mana-mana isu berkaitan dengan guru (atau bakal guru).

Mungkin persepsi mereka masih tebal lagi tentang cikgu ini antara yang perlu dihormati ataupun sentiasa perlu yang baik-baik sahaja, jadi, bila timbul isu kurang enak, jari-jari akan dituding, bibir-bibir akan menjuih menghina kerjaya kita.

Sama juga dengan peristiwa pelajar yang dikatakan berubah dalam beberapa hari ini. Itu hak dia sebagai manusia, mahu buat apa sahaja, tapi masyarakat kita menghentam sistem pelajaran, menghentam bagaimana guru-guru menjalankan tanggungjawab, dan lebih 'enak' sekali mengaitkan ibu dia disebabkan ibu dia juga seorang guru.


Hebatkan masyarakat kita?

Jadi Qarl, satu benda yang Kak Zara pegang dari dulu adalah, kita teruskan perjuangan kita dalam kerjaya yang kita sukai ini. Politic is not my cup of tea. I might read about it, concern but to join it? Nope. I still can't find that politic is wise & clean.

I rest my case too.

http://farm7.staticflickr.com/6070/6160274087_5511b120a8.jpg
[Sumber gambar]

Tahun ini masuk tahun ketiga aku sebagai seorang pendidik, seorang guru yang dipanggil cikgu. Banyak benda yang aku pelajari dan aku perhatikan sepanjang aku bertugas, tidak kira di sekolah ataupun di rumah. Sememangnya setiap kerjaya mempunyai cabaran masing-masing dan harus diakui, mendepani murid yang pelbagai kadangkala boleh menukar mimpi baik menjadi buruk ataupun buruk menjadi baik. Segalanya terpulang dengan cara menangani sesuatu isu.

Sebagai contohnya, jika ada sesuatu isu berbangkit - jika kita merujuk kepada kes yang melibatkan bakal guru berhimpun di universiti mereka pada malam tahun baru. Ketepikan agenda politik ataupun yang sama waktu dengannya kerana itu bukan sesuatu yang aku mahu sentuh. Tapi disebabkan status dia adalah pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan - itu agak menjadi tabu dalam masyarakat. Selain keluarnya persepsi seperti yang diterima oleh Qarl, sudah tentunya ia menjadi tamparan hebat bagi mereka yang menjadi guru apabila keluar kenyataan bahawa - "Cikgu-cikgu yang kerja kerajaan pun mahu menjadi anti kerajaan. Tengok bakal guru pun boleh buat begitu"

Jujurnya memanglah tidak enak. Jika Qarl dalam tulisannya menyatakan banyak perkara yang dia mahu lakukan sebelum mahu menghabiskan pengajian, aku mahu menyorot kembali, apa kegiatan aku sewaktu di zaman universiti. Setakat yang mampu aku ingat, tiada satu apa pun yang berkaitan dengan agenda politik kecuali pergi mengundi setiap kali pilihan raya kampus. Ya, aku terdidik untuk keluar mengundi disebabkan kemeriahan poster, manifesto serta calon-calon yang cantik, kacak serta baik. Maaflah, disebabkan aku tidak mahu terlibat dengan perkara sedemikian, setiap kali aku memangkah, selain daripada kenalan aku sendiri ataupun orang yang aku kenal serta bincang dengan kawan-kawan sebelum beratur di tempat mengundi, di kotak tertutup dan sepi itu, aku pangkah sahaja untuk cukupkan kuota fakulti dan universiti. Dan itu sahajalah fahaman politik aku di universiti. Tidak pernah ada keinginan mahu lebih daripada itu semua. Sampai sekarang, sudah bekerja, sudah mendaftar sebagai pengundi, aku cuma baca dan perhati sahaja dari jauh isu politik. Untuk berbahas, bukan aku.

Seperti juga bila timbulnya isu pelajar cemerlang yang diketahui umum dalam dua, tiga hari ini. Bila orang sibuk di dalam Twitter, Mukabuku, blog dan sebagainya, aku hanya memilih untuk membaca dan memerhatikan sahaja. Tiada komentar khas aku mahu keluarkan, satu disebabkan aku tidak tahu cerita sebenar dan keduanya, pada aku - itu bukan urusan aku untuk konon secara tiba-tiba menjadi lebih baik dari orang lain. Tidak perlu. Tapi sebenarnya, bila membaca tulisan banyak juga manusia yang tidak bertanggungjawab dalam isu tersebut (serta beberapa isu lain), aku sedikit terkilan dengan beberapa perkara.

Guru dikaitkan sebagai tidak tahu mengajar dan menerap nilai murni pada murid.
Aku rasa semua orang akan bersetuju dengan aku bahawa sikap, peribadi dan budi pekerti seseorang manusia itu dipegang oleh mereka sendiri. Betul bahawa didikan di rumah dan di sekolah dikatakan mampu membentuk seseorang. Sejauh mana mereka mahu mengamalkannya, itu terpulang kepada individu. Dan manusia yang melemparkan tuduhan terus, tepat kepada guru atas apa yang berlaku pada mana-mana individu, adalah kurang bijak. Mengapa mahu jatuhkan hukuman macam kamu adalah wakil Tuhan? Atas dasar apa?

Sebab itu aku selalu beritahu anak murid aku satu perkara, supaya mereka jangan buat benda gila. Untung ini Malaysia - dan wartawan serta media kita tidak segila di Jepun, Korea ataupun negara maju yang lain. Apa yang berlaku, jika seseorang ditahan atas perbuatan jenayah (sebagai contoh) - guru sekolah zaman lampau mereka turut dikejar untuk ditemubual. Kalau benda baik tidak mengapa kan?

Memang tanggungjawab cikgu tidak berakhir di sekolah. Berapa ramai daripada kita bila bertemu dengan bekas guru kita, mereka masih mengingati dan berikan nasihat kepada kita? Pastinya ada dalam sekadar bertegur sapa, terselit pesanan seorang guru tu. Aku kalau terjumpa bekas guru, mereka kata "jaga diri" pun dah cukup seronok oh.

http://farm7.staticflickr.com/6062/6153875123_89c735d73d.jpg
[Sumber gambar]

Sistem pendidikan yang (mungkin) tidak sempurna.
Satu benda yang kita kena ingat, tiada benda yang sempurna atas dunia kecuali Allah Yang Maha Esa. Apatah lagi sistem pendidikan yang diciptakan oleh manusia kan? Betapa kita berusaha sekalipun mencipta yang terbaik, pastinya akan ada yang lebih baik. Mungkin betul, disebabkan sistem pendidikan kita bertunjangkan peperiksaan semata-mata, kita menilai setiap individu dengan bilangan A dan juga gred purata di universiti. Lebih banyak A, lebih bijak. Lebih banyak gred purata sehingga ke empat rata, itu yang terbaik. Kita harus akui juga, dalam banyak perkara, ada yang menjurus kepada yang baik. Dalam sesetengah perkara ataupun kes, mungkin akan ada yang menyimpang serta sedikit tersasar. 

Tapi untuk menyalahkan guru seratus peratus, aku masih lagi kurang bersetuju. Bukan disebabkan aku guru, tetapi aku lihat banyak juga orang yang jadi manusia dengan sistem pendidikan yang kita gunapakai selama ini. Ya, jadi manusia. Sebab itu, kampus selatan kesayangan aku menggunakan moto - "Kerana Tuhan Untuk Manusia". Menjadikan orang itu sebagai manusia bukanlah benda mudah. Bak kata seorang pensyarah pada aku, "semua manusia adalah orang. Tapi tak semua orang adalah manusia". Aku rasa ada benarnya. Sebab itu kita selalu dengar orang tua menjerit marah pada anak, suruh anak jadi manusia kan?

Dalam falsafah pendidikan ada menerangkan untuk melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek, bahkan juga dari segi sahsiah. Sepanjang aku hidup, melalui kehidupan sebagai seorang murid sekolah, masuk matrikulasi, universiti dan keluar sebagai seorang guru - aku rasa dalam pendekatan yang cikgu-cikgu aku ajar selama ini tidak pernah berpaksikan peperiksaan semata-mata. Ada sahaja unsur kebaikan yang diselitkan. Mohon jangan jadi jumud dengan beranggapan benda yang berkaitan dengan rohani serta sahsiah itu hanya pada mata pelajaran Pendidikan Islam, Moral dan apa sahaja yang berteraskan agama. Dalam Matematik, Sains dan banyak lagi ada membawa kepada itu  semua. Mungkin tidak nampak secara langsung, tetapi secara tersiratnya ada perkaitan yang boleh kita perhatikan dan perhalusi.

http://farm7.staticflickr.com/6166/6151707619_086dc8db59.jpg
[Sumber gambar]

Dalam banyak-banyak tulisan merapu yang menghentam tidak tentu hala, aku nampak satu perkara yang buat aku tersenyum. Orang ramai selain menuding jari pada guru, semua nak menyalahkan media. Baiklah, itu sesuatu yang aneh. Kau menghentam sana sini pun menggunakan media (Twitter, blog, laman sesawang, Mukabuku itu semua adalah media sosial), jadi kau nak salahkan media juga? Memanglah ada orang salah menggunakan media, benda baik diputarbelit menjadi serupa tahi ataupun benda buruk digambarkan baik, tetapi bukankah setiap daripada kita mampu memilih mana yang baik, mana yang tidak baik dalam hidup? Secara rasionalnya, pilihan di tangan kita. Tidak perlu mengikut arus setiap orang dalam kehidupan sendiri. Gila sungguh perangai begini. 

Dan di media jugalah, perkara begini sering mendapat tempat. Gunalah tajuk "guru-murid-pelajar-sekolah", pastinya lensa kamera dan apa sahaja terus laju mencekup untuk dijadikan bahan berita. Ya, sensasi. Banyak contoh boleh kamu kaitkan, tidak tertakluk kepada satu perkara sahaja. Nanti ada pula kata aku menyokong isu tertentu. Perlu diingatkan, aku menulis dengan neutral, berpegang kepada pendirian aku sendiri sahaja. Tidak perlu ada sokongan ataupun apa, ini tulisan bersifat peribadi sebagai satu reaksi dalam kerjaya aku sendiri.

Baiklah.
Itu sahaja aku rasa. Selamat berhujung minggu buat kalian semua.
Aku mungkin masih perlu bekerja bagi memuaskan diri sendiri yang tidak kenal erti penat dan lelah.

Nota kaki :
Aku tersenyum sahaja melihat seseorang yang aku kenali melarikan diri daripada bertembung dengan aku. Mungkin dia masih teringat yang dia menghalang aku menjadi seorang guru dengan alasan - "kerjaya guru tiada masa hadapan" - padahal dia ketika itu seorang guru juga.

Tambahan : Pertandingan ulang tahun blog masih dibuka. [sini]

Zara : Jadual sehingga penghujung Januari sudah penuh. Aku sedang mengintai peluang dan ruang, sama ada awal Februari aku ada kelapangan ataupun tidak. Permintaan seorang kawan sukar untuk ditolak, tambahan pula, ia boleh memberikan sedikit warna menarik dalam prestasi kerjaya aku.

Tuesday, January 03, 2012

Selesakah Pakai Ketat Begitu?



Peringatan : [Ini adalah pos berbentuk iklan]

Ingat tak hari tu aku ada menulis tentang senggugut?
Ya, salah satu daripada cara yang aku sebut adalah dengan pemakaian korset. Seperti yang kamu semua boleh baca di laman web dan juga halaman yang aku wujudkan tentang korset Premium Beautiful (PB) itu, sedikit sebanyak ia membantu aku dalam masa beberapa minggu ini. Salah satunya, yang paling penting adalah aku jadi manusia berdisiplin. Setiap hari pakai dalam masa lapan jam secara minima. Jadi, aku dapat beberapa soalan dan pertanyaan tentang PB yang aku gunakan. Terima kasih pada Kak Sha yang berikan aku untuk guna.

http://farm2.staticflickr.com/1181/593146961_d1a045b32f.jpg
[Sumber gambar] - Ini bukanlah yang aku guna. Cuma aku rasa warna ini menarik. Heh.

Kali pertama Kak Sha datang rumah aku, dia tolong pakaikan aku PB ni. Ya, Kak Sha adalah orang pertama masuk tengok bilik aku yang tak serupa orang disebabkan aku sibuk dan terpaksa bergegas ke kursus pada petang tersebut. Kak Sha juga adalah orang pertama tengok betapa gemuknya aku, walaupun aku gelak-gelak menahan malu. Nasib baik Kak Sha ada bawa beberapa set lain sebab ukuran yang aku beri pada dia, ada yang kurang tepat. Peringatan, kalau nak ambil ukuran badan, mintalah tolong orang lain. Diri sendiri kalau ambil, mesti ada lari sedikit. Eleh, kau tengok saiz tubuh sendiri kan Zara? (pandang atas, tangan di dada).

Aku : Saya malulah Kak. Badan saya gemuk.
Kak Sha : Gemuk mananya?
Aku : Gila gemuk ni.
Kak Sha : Belakang badan tak ada lemak pun.
Aku : Paha dengan punggung besar.
Kak Sha : (gelak)
Aku : Betullah kan?
Kak Sha : (gelak) Awak pun kata keturunan kan? Dah, pakai cepat ni.
Aku : (mengeluh) Baik.

Jadi, mari aku jawab beberapa soalan yang ditanyakan secara malu-malu pada aku. Sebenarnya aku pun malu nak jawab, dan ambil masa juga sebab aku kena jawab secara jujur kan?

01 - Selesakah pakai ketat begitu?
Sebenarnya tidaklah ketat sampai kau tak boleh bernafas. Masa kali pertama pakai mungkinlah agak sesak nafas, kau nak masukkan badan serupa pasu (merujuk kepada diri aku sendiri) ke dalam benda yang kecil. Tapi, PB ada ukuran dia sendiri, jadi pakai PB sebenarnya selesa. Yang kalau rasa ketat sangat tu, mesti salah ukuran, kau pakai tibai beli sebab tak sanggup nak beritahu ukuran sebenar. Aku cadangkan, kalau kau rasa ukuran terlampau ketat, jumpa balik dengan siapa kau beli. Jangan seksa badan melampau.

Kalau kau dapat ukuran dan saiz PB yang sesuai dengan badan kau, tiada istilah ketat. Istilah yang lebih sesuai aku rasa, adalah selesa. Ya, pakai benda begini kenalah selesa. Kau bukan duduk dalam zaman Victoria, pakai korset sampai boleh nak patahkan tulang weh. =.="

02 - Lama tak masa nak pakai?
Masa mula-mula cuba, nak pakai 'Long Girdle' (LG) - aku melompat-lompat sebab tak boleh masuk. Nasib baik ada set lain, boleh masuk. Sudahlah memang jenis punggung lebar, paha besar - ditambah dengan beberapa bulan berhenti mengayuh, nak masukkan peha adalah satu seksaan. Gila kau, nak masukkan diri dalam 'long girdle tu, hampir setengah jam, sampai berpeluh. Sadis.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhYEDx5F8uA-zMgc9PBq6gSZa3rAkfCcnRZaqunRTXk6AOILYygD5qE1EWV6nkj3fgq2iLyxrQUN1QoXIosDfZeNWyIMV0oPTzUH03ozy2nOrQjbdLSyEgau6liIxfMpVEbZIdIGQVP2Hto/s1600/premium-beautiful-corset-bra.jpg
"Long Brassiere" (LB)

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiIjyStoF0MIfaj9SfAGC1YybpIRoq8tdAlMATcIcieRN9fINfBB89op7Vz1785JgG5ow7Qu6EBLOEAx1N2zjJZqJ53BrC5gs3esGU9apmR_2UCJAC_FujmbzSCnKOT_JMvvYAIAzkZ1wFZ/s1600/premium-beautiful-waist-nipper.jpg
"Waist Nipper" (WN)

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjuDRjRIfkRCfzmuVMVtsOiuAmLbty0yW6k6so1N5htLpjVWEdBomoQD79b8RJ1suz56ERBo31NNl77pHpYwE5ad1Lbjyqax8iOvxgSpcqfzaRSyowVPCT9Tot_NKpvoBYroY2dOh9apcKu/s1600/premium-beautiful-girdle.jpg
"Long Girdle" (LG) [Dari blog Kak Sha]

Bila nak pakai "Long Brassiere"(LB)  - tahan nafas, pusingkan benda alah tu macam nak mati rasa. Nasib baik pakai "Waist Nipper" (WN)  senang. Oit, kalau dah pakai LB, tapi WN mencungap, dah teruk sangat aku kan? Eleh Zara, nasib baik Kak Sha tak rakam kau cemas gila bila nak pakai benda tu semua. Kalau tak, habis nampak muka berpeluh bagai. Heh.

Baiklah. Kali pertama pakai memang dekat satu jam. Sebab aku lembap dan kali pertama nak sesuaikan diri kan? Kali kedua aku pakai, ambil masa dekat setengah jam. Sumpah lama. Aku siap sms pada Kak Sha, beritahu dia lambat gila aku pakai, bila aku nak keluar kerja macam mana? Dia gelak, dia suruh aku cuba.

Sekarang ini aku dah pakai dalam beberapa minggu, tak sampai sepuluh minit dah siap. Laju tak aku? Aku cuma ambil masa agak lama nak pakai LB. Perlu ke aku ulang berapa besar peha dan punggung aku? Tak kan? Heh.

03 - Kalau gaya hidup aktif, boleh pakai ke?
Soalan aku, berapa aktif gaya hidup kau itu ya?
Kalau kau jenis keluar mengayuh macam aku, mengayuh basikal maksud aku, tiada masalah nak pakai korset ni semua. Selesa adalah. Satu, kau tak perlu pakai seluar basikal yang ada pengalas tu. Aku memang tak pakai sebab tempat duduk basikal aku istimewa. Dia ada sarung gel yang lembut, jadi pakai LG buatkan aku tak perlu pakai seluar ketat yang biasa aku guna. Sekejap, aku perlu ingatkan, walaupun kau pakai LG, kau tetap kena pakai seluar dalam. Jangan buat lawak tak pakai pula. =.="

04 - Jadi, kalau hidup aktif, mesti berpeluh. Tak busuk ke?
Ini soalan yang sama aku tanya pada Kak Sha. Material PB ini adalah lain daripada lain. Jenis menyerap peluh, jadi tak berbau. Tapi janganlah kau guna beberapa lama tanpa rasa nak cuci atau anginkan. Jadi, apa yang aku lakukan adalah selepas buka PB ini, aku akan anginkan. Jemur, bagi pengedaran udara yang baik dan juga cuci guna tangan, untuk pastikan tidak berbau. Lagipun, bila sehari tak pakai, rasa macam tiada keseronokkan. Ke aku seorang yang rasa seronok? Heh.

Boleh juga cuci di bahagian-bahagian sensitif. Kak Sha cadangkan guna sabun bayi, sebab sabun bayi tak tajam macam sabun biasa. Tak perlu rendam lama-lama sebab cuma ada sepasang kan? Dah kau gigih pakai setiap hari, kenalah rajin.

05 - Dah ambil makanan tambahan, tak naklah cuba.
Bukan aku paksa orang beli. Aku paksa masuk pertandingan di blog pun tidak. Padahal nak beri kau hadiah. Eh. Aku dulu pun ada ambil makanan tambahan, memang berat badan aku turun, tapi bentuk badan tidaklah jadi comel. Aku tetaplah besar juga. Dah, diam, kau memang besar pun Zara.

Aku cuma mencadangkan, katakanlah kau sedang berpantang makanan, sedang dalam program diet kau sendiri, dan kau mungkin ada cita-cita nak melangsingkan badan dengan ada bentuk badan yang cantik, silakan mencuba ini sekali. Aku mungkin tidaklah langsing (ajaib oh kalau jadi) - tapi ramai juga orang yang sudah langsing dengan pakai PB ni. Satu lagi, kita boleh tahu jadi langsing ke tidak sebab dia ada 3 set cangkuk. Kali pertama memang pakai yang pertama dulu. Jadi kalau makin lama cangkuk kau berpindah, apakah maksud itu? 

(tepuk tangan)
Pandai! Maksudnya kau makin langsing disamping kau dapat kekalkan makan makanan tambahan kau. Makanan tambahan bukankah membawa banyak kebaikan juga? Dapat sihat, dapat kurang berat badan dan pakai PB ini, kau akan dapat bentuk badan yang kau nak. 

06 - Kenapa tak pernah nampak ambil gambar pakai korset?

[Sumber gambar] - Nanti aku pakai begini, terus pula kau sebarkan di laman sosial kata aku macam-macam kan? #sarkastik

Aku beritahu Kak Sha, aku memang tak boleh ambil gambar begini. Dia pun kata tak mengapa. Jadi aku harap tidak timbul masalah bagi yang bertanyakan benda sedemikian rupa. Lagi pula, aku rasa setakat ini yang nampak aku dengan pemakaian korset adalah Kak Sha seorang. Dengan keluarga pun aku tak tunjuk. Gila ke apa. 

Baiklah.
Itu sahaja buat kali ini. Kalau kalian perlukan maklumat lanjut, boleh jengah blog Kak Sha yang kecil molek di sini ataupun ke halaman yang aku wujudkan untuk dia dan PB ini. 

Nota Kaki :
Banyak orang tak puas hati aku menulis tentang bayaran sekolah di Twitter. Nantilah aku tulis pasal ini pula ya? :)

Zara : Hidup kadangkala cukup misteri. Tidak semua perlu kita bongkar sebab kita sebenarnya tidak perlu tahu semua perkara. Kadangkala yang tersembunyi itu lebih baik dibiarkan tertanam begitu sahaja. (Shafaza Zara, 3 Januari 2012)