Showing posts with label Perayaan Cahaya - Deepavali. Show all posts
Showing posts with label Perayaan Cahaya - Deepavali. Show all posts

Tuesday, November 02, 2010

Tiada Jalan Untuk Kembali Bersama : Bagaimana Mahu Menarik Minat Pembaca Lelaki Ke Blog?


Senyum.
Keadaan selalu berubah dengan cepat. Kadangkala hari ini kita gembira, tapi esok pula tidak selalunya cerah. Dan seperti yang aku nyatakan, bila-bila masa sahaja mungkin ada seseorang sedang memerlukan kita. Walaupun aku mungkin bukan seorang pemberi penyelesaian yang baik, aku seorang yang lebih banyak mendengar (atau membaca) dengan setia.

http://arkarthick.com/wp-content/uploads/2010/06/9-cute-funny-danbo-cardboard-box-art-bokeh-heart-give-all.jpg

AS : Aku geram betul bila dia asyik kacau aku semula.
Aku : Abaikan. Itu cara dia nak dapatkan perhatian kau.
AS : Dia siap tahan aku masa aku balik kerja semalam.
Aku : Eh, siap nak tahan?
AS : Dia merayu aku balik semula pada dia. 
Aku : Kau nak?
AS : Tak nak. Aku tak boleh patah balik.
Aku : Kalau begitu, abaikan sahaja kewujudan dia.
AS : Tak semudah yang dikatakan. Dia telefon, SMS aku dan macam-macam lagi.
Aku : Boleh halang dia kan? Jangan jawab telefon, jangan balas SMS.
AS : Aku dah cakap dengan dia aku tak nak dia lagi.
Aku : Habis tu?
AS : Dia menangis depan aku. Ramai kawan-kawan pejabat aku tengok.
Aku : Buat drama pula.
AS : Ketua aku pun tengok, bengang aku.
Aku : Laporkan pada polis.
AS : Eh?
Aku : Minta buat sekatan dia dari datang menghampiri kau. Macam dalam televisyen tu.
AS : Di Malaysia boleh ya?
Aku : Boleh aku rasa.
AS : Dia menangis dan buat muka penuh pengharapan.
Aku : Kau cair?
AS : Kalau cair tidaklah aku begini.
Aku : Jadi apa kau nak buat sekarang?
AS : Entahlah. Kalau kau?
Aku : Abaikan. Dia akan berhenti bila dia penat.
AS : Dia bukan jenis tahu putus asa.
Aku : Manusia akan tahu penat dan malu juga.
AS : Dia dah ada orang lain. Dia dah pilih orang lain, kenapa nak datang lagi pada aku?
Aku : Mungkin pilihan dia bukan yang terbaik.
AS : Mungkin (ketawa)
Aku : Dulu siapa yang putuskan hubungan?
AS : Aku. Sebab aku tak tahan bila dia ada orang lain.
Aku : Oh. Jadi sila tabah sahaja dan abaikan dia.
AS : Kalau teringat benda ni, rasa nak menangis pula.
Aku : Eh?

*******

http://arkarthick.com/wp-content/uploads/2010/06/6-cute-funny-danbo-cardboard-box-art-with-flower.jpg
[Gambar : Adakah perlu memberikan bunga untuk menarik perhatian?]

Semalam ada seorang rakan mengutarakan soalan, bagaimana cara untuk menarik minta pembaca lelaki ke arah blog kita. Aku sejujurnya kurang mengetahui bagaimana caranya, disebabkan kebanyakan orang yang membaca blog aku rata-ratanya adalah perempuan, kecuali ada sesetengah lelaki yang memang rajin ke sini dan membaca tulisan aku. Tapi ini dari segi pemerhatian peribadi aku sahaja.

1. Tajuk yang menarik dan menangkap perhatian (baca : catchy)
Selalunya begini tidak kira lelaki ataupun perempuan. Tajuk yang digunakan boleh menarik perhatian (dan tidaklah perlu menggunakan perkataan yang perlu ditapis setiap kali). Dan seharusnya jalan cerita ataupun tulisan itu pastilah berkait dengan tajuk.
Contoh : Selamat Hari Hantu (ramai orang yang berminat pastinya).

2. Penulisan yang berkaitan dengan isu lelaki.
Sebagai contoh, sewaktu aku menulis mengenai tajuk hantaran perkahwinan, aku menerima banyak maklum balas daripada pembaca lelaki yang selama ini mungkin hanya baca secara senyap sahaja. Mereka menghantar pendapat melalui komentar blog, pesanan di Mukabuku dan juga Twitter serta Formspring bagi berkongsi pendapat tentang isu ini.

3. Sesuatu yang berkait rapat dengan minat lelaki.
Bola sepak, kenderaan seperti kereta, motorsikal dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan lelaki. Pelbagai tips yang berkaitan dengan penampilan dan sebagainya serta penggunaan alatan teknologi mungkin boleh menarik minat pembaca lelaki. Kamera dan sebagainya (tetapi aku pun baca juga benda sebegini). Jadi, tulislah benda yang universal.

Senyum.
Tapi pada aku, kalau blog itu aku suka, apa sahaja yang ditulis, pasti aku akan baca.

Nota Kaki :
Esok aku sudah mula bercuti sehingga Ahad. Senyum. Semua kerja menanda telah disiapkan. Maka, hari Isnin nanti aku hanya perlu memasukkan markah ke dalam sistem. Senyum.

Zara : Aku sudah menemui cara membanteras budak meniru. Oh, mereka mungkin tidak dapat dihalang, tapi aku sudah tahu bagaimana mahu mengajar mereka akibat menipu aku. Ketawa.

Saturday, October 31, 2009

LDP dan Pelbagai Tafsiran - Terima Kasih Kerana Jujur Walaupun Kamu Membuat Satu Salah Laku

Salam semua!
Hari ini hari Sabtu dan saat ini hujan sedang mencurah-curah membasahi Bumi.
Usai pulang dari sekolah.
Melunaskan cuti berganti sempena Deepavali yang aku tidak merasai dan disambung dengan kursus LDP.

LDP
Latihan Dalam Perkhidmatan.
Disebabkan jadual aku hari ini sudah diwarnai oleh TIGA jamuan makan, aku merasakan ia lebih kepada LDP juga.
Lebihan Dalam Perut.
Lemak Di Pinggang.

10 Pagi - Jamuan sempena majlis kursus.
1 petang - Kami warga sekolah dijemput hadir ke majlis jamuan Guru Besar Sekolah Rendah.
4.30 petang - Jamuan minum petang usai LDP.

Hasilnya aku merasakan perlu menahan nafsu makan selama beberapa hari agar lemak-lemak hilang dan terbang. Hari ini kepala pusing. Terkenang akan kelas-kelas yang dilalui oleh aku hari ini. Terlampau banyak suka dan duka serta cerita jenaka.

http://blogstore.lomluang.com/coffeeprince/coffeeprince_cartoons/coffeeprince_cartoon11.jpg
[Gambar penghargaan di SINI]

Disebabkan kesilapan kecil GPK memberikan kelas ganti kepada aku hari ini, aku bertembung dengan peristiwa yang enak dan menghiburkan.

Masa Ke-7 : Kelas 2 IK
Ada 3 pelajar lelaki sahaja di dalam kelas.

Aku : Mana orang lain?
Pelajar : Waktu KH cikgu. Semua pergi bengkel.

Aku duduk dan hati terdetik sesuatu yang kurang menyenagkan. Tangan pantas membuka Buku Pergerakan Kelas 2 IK di atas meja. Mata tertancap di jadual. Waktu ke-7 tatkala ini, dan seharusnya memang kelas KH, bukan Bahasa Inggeris yang sepatutnya diganti oleh aku.

Aku : Siapa ajar awak KH?
Pelajar : Cikgu STR.
Aku : Saya nampak Cikgu STR tadi, dia ke bengkel. Awak semua ponteng ya? (nada tinggi)
Pelajar : (muka pucat)
Aku : Pergi bengkel sekarang.
Pelajar : Baik cikgu (bergegas keluar tanpa membawa sebarang buku)
Aku : Buku mana?! Tutup kipas!
Pelajar : (seorang kembali dan melaksanakan arahan aku)

...dan aku memerhatikan mereka sehingga mereka masuk ke bengkel. Untuk memastikan mereka tidak melarikan diri dari ke kelas lagi. Oh, ini bukan kali pertama aku menangkap pelajar ponteng kelas selama aku memulakan tugas, tetapi ini kali pertama berjumpa 3 orang yang jujur kerana ponteng.

Malam ini ada Maskara Shorties.
Sedihnya tidak dapat ke Rumah Pena.
Sumpah!
Sungguh sedih.
Tok Rimau, Saudagar Garam, Dean Sham - jangan lupakan aku ya?

Zara : Hujan masih lebat di luar. Mungkin akan keluar sebentar esok. Aku kehilangan tanda nama. Entah, lupa letak di mana. Cuai!Benci! Sudah aku gunakan semenjak dua tahun lepas. Penuh dengan memori dari zaman Latihan Mengajar.


Oh, aku punya undian yang terbaru di tepi. Jika ada masa, luangkan masa untuk mengundi ya? Dan aku tidak kisah berapa kali kamu mahu mengundi. Terima kasih semua! Selamat berhujung minggu.

Saturday, October 17, 2009

Gulung Di Waktu Pagi Untuk Berguling Di Waktu Petang : Aku, Dia Dan Popia Kentang Serta Sardin

Waktu pagi ketika hujan lebat sedang menggila di daerah aku.
Si Kosong (SK)
Si Comel (SC)

SC : Maaf lambat balas pesanan. Tadi di dapur. Hari ini buat popia. *gelak*
SK : Popia inti kentang ke?
SC : Kentang dan sardin *gelak*
SK : Sedapnya, nak juga.
SC : Pergi kampus, pergi kampus. Sedang menunggu kentang untuk empuk.


::Inti yang sudah siap dimasak::

Tengah hari ketika cuaca sedang panas terik dan garing.
SK : Jangan lupa makan.
SC : Tengok dulu lah.
SK : Makan, jangan degil. Makan popia ke? *gelak*
SC : Popia untuk minum petang.

Petang yang menunjukkan perubahan cuaca yang dahsyat. Panas dan panas. Mungkin perubahan iklim memang membunuh setiap lapisan urat saraf.

SK : Sudah petang! Nak popia. *ketawa*
SC : Alahai...cuaca panas di sini.
SK : Di sini sedang hujan lebat, lain kali boleh pinjam kamu bawa ke sini. Boleh ada minum petang setiap hari.
SC : Ceh! Nak pinjam sebab itu? Sedang menggoreng popia *gelak*
SK : Mesti sedap, nak juga. Hujan-hujan begini sedap kalau dapat makanan panas.
SC : Memang sedap, daku sedang makan panas-panas ni.
SK : Keji, tak nak kawan dengan kamu lagi.
SC : Tak nak kawan tak mengapa, jangan tak nak kahwin (sambil meletakkan gambar ini sebagai bahan penceria dalam pesanan ringkas)


**Popia Kentang + Sardin**

SK : Sampai hati kamu hantar gambar tu! Nak pergi dapur cari makanan lah macam ni. (dan tidak kembali-kembali sehingga malam)

Malam yang dihabiskan dengan bersandar dan baring di kerusi merah - menonton berita dan drama bersiri.

SC : Kamu sedang buat apa?
SK : Tengok Nur Popia... *gelak*
SC : Keji sungguh...

Tapi sebenarnya sedang menonton cerita ini. Alahai, aku memang sangat gembira kalau menonton drama atau apa juga cerita di saluran ini. Aku terpaksa mengeluarkan Si Merah untuk mengira tempoh masa selingan iklan. Rasa macam menonton iklan berbanding cerita sebenar.

http://www.intro2u.net/new/wp-content/uploads/2009/08/nur-kasih-wallpaper.jpg
(Gambar penghargaan di SINI)

Oh, lagu temanya memang menarik. Daya tarikan dalam drama ini buat aku?
Pengarahnya - Kabir Bhatia.
Cara pergerakan ceritan serta sorotan kameranya.

Sebelum terlupa, selamat menyambut pesta cahaya buat sahabat-sahabat yang berbangsa India.
Ramesh, Vinod, Thivya, Ghandis, Shashi, Yogeswari, Nicky, dan semua rakyat Malaysia!
Selamat Menyambut Deepavali!

http://jemima.files.wordpress.com/2006/10/deepavali.jpg
 (Gambar penghargaan di SINI)


Zara : Sedang terfikir, di daerah mana bakal aku ditempatkan. Usai menerima tempelakan dan gurauan kasar tentang perkara ini. Ya, manusia ini belum pernah keluar dari negeri sendiri. *senyum*