Showing posts with label Peperiksaan. Show all posts
Showing posts with label Peperiksaan. Show all posts

Monday, November 14, 2011

Kita Tidak Pernah Tahu Rancangan Tuhan.



Sepanjang hujung minggu, ramai yang berkicau di Twitter tentang SPM. Tentang bagaimana mereka melalui zaman sebagai murid yang memakai pakaian seragam, beratur masuk ke dewan peperiksaan, menulis jawapan di atas kertas, mempertaruhkan segalanya untuk melihat hasil yang dapat dibanggakan di atas sehelai slip hitam dan putih dengan kesan karbon berikutan begitu banyak salinan. Hasil usaha selama beberapa tahun sekolah, dinilai oleh masyarakat di atas sekeping sijil.

Sebenarnya, bukan sekadar SPM, tetapi bahkan dengan semua orang semakin celik pendidikan, nilai pelajaran yang tinggi demi masa hadapan, bilangan A ataupun CGPA menjadi penanda aras kepandaian seseorang berdasarkan akademik. Bukanlah mengatakan yang kurang A itu kurang pandai, tetapi itulah bagaimana masyarakat melihat kejayaan. Kesedaran untuk menjadi yang terbaik dalam masyarakat, memberikan segalanya demi kelangsungan hidup menyebabkan kita dapat lihat setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, lambakan pelajar yang cemerlang semakin bertambah. Itu sesuatu yang baik, bahkan kita sentiasa berharap agar kecemerlangan akademik, pelajaran - seiring juga dengan kejayaan akhlaknya. Moral yang tinggi dengan harapan, tiada manusia yang hebat tetapi kejayaannya disulami dengan rasuah, sebagai contohnya.

[Sumber gambar]

Melalui zaman kegemilangan dalam sekolah kebangsaan - jadi tikus putih makmal berjaya dalam cubaan PTS kali pertama dalam sejarah di Malaysia. Tanpa pernah tahu apa yang dipelajari dalam Darjah 4, aku jadi sebahagian daripada budak Darjah 5 - sekelas dengan mereka yang pernah setadika dengan aku sebelum aku larikan diri daripada tadika pada usia 5 tahun. Ya, aku pernah lari dari sekolah pada usia yang muda dan itu memberikan kelebihan - aku tidak lari dari mana-mana selepas itu. Tadika banyak tekanan berbanding sekolah, matrikulasi dan universiti rupanya.

Keputusan UPSR tidaklah bagus mana. Sekadar mampu sekolah biasa dan duduk dalam kelas pertama daripada sembilan buah kelas lain, dah cukup elok daripada catatan awal mula kelas dari bawah kan? Maka, bermula hidup tanpa pernah dapat naik pentas untuk terima hadiah. Tingkatan Satu tak dapat, Tingkatan Dua pun tak dapat. Tingkatan Tiga lagilah sadis. Duduk dalam kalangan murid sederhana sebenarnya bukanlah membawa rahmat bahagia. Sebab, yang pandai dan cemerlang ada program mereka sendiri - Titian Emas. Yang gagal ada rancangan mahu beri mereka lulus - GALUS. Yang sederhana hanya duduk dalam kelas dan belajar sesama sendiri. Pergi kelas tambahan selama setahun dengan menaiki bas di bandar - tanpa ada kenalan, alhamdulillah, walaupun percubaan hanya 1A (kena gelak dengan orang, ejek mestilah banyak), PMR sebenar merasa 7A 1B. Tak sia-sia kejar bas setiap minggu, duduk di perhentian bas yang penuh tahi burung ('_')

Naik Tingkatan Empat - kali pertama dapat hadiah. Ya, hadiah daripada PMR itulah. Masa itu, bangga punyalah rasa nak menangis, sebab sejak masuk sekolah menengah, tak pernah dapat hadiah kecemerlangan. Jadi, bila dapat sekali, haruslah kita tamak kan? Mulalah belajar (kononnya) dan dapatkan nombor satu sentiasa. Duduk dalam aliran Sains Tulen (dan semua si pandai-bijak-geliga dah keluar ke SBP, MRSM, Teknik) - maka yang lemah macam aku barulah boleh nak menyinar. Barulah dapat peluang nak masuk apa-apa program, kalau tidak, ajaib. Heh. Tapi, walaupun nombor satu dalam kelas, bukan bermaksud nombor satu dalam tingkatan. Dalam tingkatan sentiasa jadi nombor dua, disebabkan budak kelas Akaun lagi pandai (gigit bibir)

Oh, sebab B itu adalah Sains, maka harapan masuk ke MRSM dan SBP haruslah musnah. Dapat tawaran ke Teknik Bukit Piatu, tapi aku tak pergi. Aku dah siap isi semua borang tetapi hati berbelah bagi. Masa itu, aku masih lagi bercita-cita nak jadi doktor, walaupun keputusan Sains adalah B. Heh. Jadi, Abah berikan aku peluang untuk buat keputusan sendiri - demi masa depan aku. Kononnya demi cita-cita mahu jadi doktor juga, aku buat keputusan mahu kekal di sekolah biasa. 

Tingkatan Lima yang penuh warna. Epal biru hanya pada mata pelajaran tertentu. Masih diselang-seli dengan kehadiran epal merah yang tidak ranum, bahkan busuk. Ya, keputusan mata pelajaran tertentu seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Sejarah tidaklah baik. Er, baik mengaku buruk sahajalah. Kali pertama lulus Matematik Tambahan dengan keputusan B3 adalah masa percubaan SPM. Gila kan? Sebelum itu, jangan harap. Dengan kesungguhan Mak (terima kasih Emak) yang paksa aku pergi kelas tambahan ke sana-sini termasuk di rumah kawan dia (di sini sangat menarik - sambil belajar, aku menghayun buaian dan gantikan lampin bayi) - segala pengorbanan beliau boleh dikatakan berbaloi. Terima kasih juga pada mulut cikgu Sejarah yang mengata aku (aku anggap dia beri perangsang dengan ayat pedas dan sarkastik) - aku mampu buat dia berlinang air mata sewaktu keputusan SPM keluar. SPM - 8A, 1B, 1C6. C6 adalah Biologi. Untung lulus dan kredit, selalu dapat 7-8-9.

[Sumber gambar] - Mahu baca tulisan aku untuk minggu penghargaan di Terfaktab? Tekan sini.

Dapat keputusan SPM - sudah pastilah mengesahkan aku tak akan mampu jadi doktor, walaupun masa itu aku dah tukar cita-cita nak jadi pakar forensik. Pengaruh CSI tentunya ketika itu. Nampak sangat dah lama siri itu kan? Dalam masa yang sama, otak aku asyik terfikir mahu ke UTM. Terima kasih kepada majlis entah apa masa sekolah dahulu, UTM datang dan aku siap tampal poster besar di dinding - lukisan Dato'Lat tentang kursus di UTM. Masa itu aku hanya nampak aku harus ambil kejuruteraan kimia.

Jadi, lepas SPM - aku secara rasmi masuk ke asrama pertama aku. Matrikulasi. Dalam Sains Fizikal, mestilah aku cuma nak jadi jurutera sahaja. Kejuruteraan kimia memang matlamat aku walaupun bukanlah cemerlang sangat sampai dapat 4 rata (4.00). Ajaib kalau dapat, untuk akulah. Orang lain aku tahu ramai dapat.

Sebelum habis matrikulasi, kena isi borang masuk IPT. Kita panggil borang UPU. Tetapi, disebabkan khabar angin bahawa hanya yang dapat 3.5 ke atas sahaja dapat masuk universiti - aku dengan gigih pergi isi borang maktab. Aku tak peduli kalau aku lambat setahun sekalipun (padahal sebenarnya kau sekelas dengan orang yang tua setahun dari kau) - asalkan aku mampu masuk ke universiti. Gila. Aku pergi temuduga, ujian bertulis, dan aku gagal. Masa ini, aku nampak Mak kecewa dengan keputusan tersebut disebabkan dia sudah mula paksa aku ambil pendidikan. Jadi, bila nak isi borang UPU, Mak suruh aku letak pendidikan daripada pilihan pertama hingga kelapan. Er, aku membantah keras, tapi ikut juga disebabkan Mak berikan aku ruang untuk pilih kursus atau bidang -aku pilih Kimia.

Alhamdulillah, lepas temuduga dan sebagainya - aku sambung pengajian sarjana muda dalam bidang pendidikan di universiti selatan tanah air. Dalam masa belajar, aku cuba yakinkan diri bahawa pilihan ini yang terbaik walaupun aku tak nampak adakah aku mampu jadi seorang guru seperti keluarga aku ataupun tidak. Nasib baik Kimia adalah benda yang aku suka, walaupun tidaklah bagus mana. Heh.

[Sumber gambar]

Selepas empat tahun dan juga semasa dalam semester kelima menjalani latihan mengajar, aku baru menyedari bahawa ini satu-satunya benda yang aku pandai buat - mengajar. Belajar dan mengajar. Itu sahaja benda yang aku tahu. Jadi, tiada lagi otak jahat yang mahu menyalahkan keluarga dalam diam kerana membuatkan aku berada di fakulti pendidikan berbanding di fakulti kejuruteraan kimia yang terletak jauh di atas bukit.

Dan hari ini, setelah lebih dua tahun berkhidmat sebagai seorang guru - melalui pelbagai detik dan kenangan dalam kerjaya ini - aku berdiri di hadapan calon SPM sekolah lain dengan gelaran pengawas peperiksaan. Aku mungkin bukan aku yang kalian kenal jika aku seorang doktor, pakar forensik ataupun jurutera. Lord Zara hanya satu mitos ataupun tidak pernah wujud langsung jika aku tidak mengikut kata Mak suatu ketika dahulu.

Ya, kita semua tidak pernah tahu rancangan Allah.
Rancangan yang mungkin nampak pelik pada kita mulanya, tetapi membawa kepada cerita sebaliknya. Membawa bahagia dan merasai setiap perkara yang aku tidak pernah jumpa.


Jadi, sebelum berpisah, terima kasih sekali lagi.
Itu ucapan yang kalian patut ucapkan sebagai penghargaan pada diri setiap hari.

Nota Kaki :
Aku sibuk dengan kerja, maaf aku kurang menulis.

Zara : Usaha mahu melihat sebuah senyuman itu sungguhlah payah tetapi tetap digagahkan agar tiada istilah menyesal tidak sudah. Kesalahan yang membawa sengsara, kesenyapan yang menyuntik resah.

Sunday, November 13, 2011

Hello Kekasih Lama.




Catatan Awal :
Maaf kepada yang menghantar pertanyaan di Formspring, Mukabuku ataupun surat elektronik jika aku menjawab dengan nada agak sarkastik. Secara jujurnya aku memang memberikan peribadi aku sendiri, dan kalau kamu tidak berpuas hati dan mengharapkan aku setuju dengan kamu walau entah bagaimana cara, maafkan aku, aku tidak mampu buat kamu gembira.

Perlu diingatkan, setiap pandangan yang aku berikan bukanlah menjurus kepada terus memberikan kamu penyelesaian, kerana aku faham, setiap daripada kita mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah. Aku biasanya akan bertanyakan kembali soalan yang berkaitan, supaya kamu mampu duduk sekejap dan berfikir apakah yang rasional dalam hidup ini.
Noktah.

[Sumber gambar] - Wii - Wii - Wii - Sebenarnya lebih kepada monyet tersebut punya senyuman.

Jadi, apa kaitan hujung minggu dan kekasih lama?
Lambakan pertanyaan yang aku terima adalah berkisar mengenai kekasih lama dan mahu kembali atau tidak kepada mereka. Pelbagai persoalan yang aku baca, terus terang aku berani menyatakan bahawa kalian yang bertanya itu mahu kembali bersama bukan? Masih terselit perasaan kasih sayang yang menebal dan apa lagi gelaran yang harus aku nyatakan agaknya. Jadi ia membawa kepada persoalan, apa sebenarnya yang kalian mahukan dalam hidup sebenarnya?

01 - Kekasih lama itu cinta pertama.
Kebanyakan orang membuat tanggapan bahawa cinta pertama itu akan kekal selamanya walaupun datang lagi cinta kedua, ketiga, keempat hingga seterusnya. Memori, detik kali pertama menjalinkan hubungan dengan manusia yang membuatkan hati berbunga selain keluarga dan teman rapat, adalah kehadiran si dia. Dengan mengabaikan usia, tidak salah kalau kamu mahu kembali kepada kekasih pertama (atau berapa sahaja bilangannya) - asalkan, kamu tahu kamu sudah buat keputusan yang tepat dan berpuas hati dengan pilihan sendiri.

C : Kekasih saya datang balik.
Z : Sudah tu?
C : Perlu ke saya balik dengan dia?
Z : Kenapa?
C : Dia cinta pertama saya.
Z : Jadi, sebab cinta pertama, awak nak balik semula? Sebab itu sahaja?
C : Kami masing-masing cinta pertama.
Z : Jadi?
C : Saya rasa saya patut terima dia kembali.
Z : Dia rasa?
C : Dia yang datang, mungkin dia rasa dia perlukan saya kembali juga.
Z : Oh, main rasa-rasa rupanya. Rasa apa eh? Manis? Pahit? Masam?


Terpulang pada kamu mahu buat keputusan.
Hidup kamu, kamu yang tentukan.

02 - Kekasih lama itu kata sudah menyesal.
Ada ke orang yang kembali semula, menagih kasih akan bangga dengan perbuatan dia meninggalkan kita suatu ketika dahulu? Kalau ada, sudah tentu ada cerita yang sungguh menarik disebaliknya. Bukan mudah untuk memutuskan perhubungan dua manusia, lebih-lebih lagi hubungan itu bukan sekadar kenalan langgar-bahu-tepi-jalan sahaja. Jadi, sekurang-kurangnya, mungkin akan ada rasa bersalah atas perbuatan dia suatu ketika dahulu.

C : Dia kata dia dah menyesal.
Z : Memanglah kesal kan?
C : Dia kata dia tak dapat hidup tanpa saya.
Z : Selama ini dia bagaikan zombi?
C : Bukan. Dia kata dia perlukan saya dalam hidup dia.
Z : Dan adakah awak perlukan dia juga?
C : Saya memang sentiasa cintakan dia.
Z : Jadi, awak buatlah keputusan sebaiknya.
C : Tapi, macam mana kalau dia buat hal semula?
Z : Awak tanggung akibatnya.

Dah kalau ditakdirkan dia kembali kepada perangai lama, anda perlu bersedia.
Sebab itu sudah dipesan agar berhati-hati dalam mahu buat keputusan.
Adakah terima kembali atas dasar simpati?
Atau sendiri yang mahu menjalinkan semula kasih abadi?

[Sumber gambar] - Kalau buat hal lagi, maksudnya dia sendiri cari mati. Mudahkan?

03 - Kekasih lama itu baik dengan keluarga.
Ah.
Ah.
Ah.
Ini yang selalu buatkan orang nanar dalam membuat keputusan bergeliga.

Dalam otaknya sudah tersantak tekanan keluarga.
Dalam benak fikirannya sudah terlintas bayangan ayah dan bonda.
Dalam mindanya sudah ada kebarangkalian kekasih lama diterima dengan tangan terbuka.
Hanya disebabkan keluarga, bukan sebab dia kembali cinta.
Itu dia takut bakal menimpa.

C : Dia datang balik.
Z : Kau nak dia balik ke?
C : Keluarga dia suka aku.
Z : Jadi?
C : Keluarga aku pun suka dia.
Z : Kau suka dia lagi ke tak?
C : Entah. Tapi, keluarga aku suka dia.
Z : Memanglah kalau bersama, keluarga pun turut riang gembira, tapi aku tak faham kau ni.
C : Entah.

Mahu bersama kembali disebabkan tidak mahu kedua-dua keluarga kecewa?
Terpulanglah.
Kamu buat keputusan sendiri dan aku hanya mampu harap kamu bahagia.

Tapi, kalau hanya disebabkan keluarga, dan hati kamu sudah tiada rasa, bagaimana?

04 - Kekasih lama itu sudah tinggalkan kekasih dia.
Sudah tentulah dia sudah tinggalkan kekasih dia yang selepas kamu, atau beberapa orang selepas kamu, ataupun dia yang ditinggalkan oleh mereka. Karma kadangkala sangat menyakitkan tahu? Bila ditinggalkan secara kejam, tidak mustahil dia akan ditinggalkan dengan lebih kejam dan sadis pula. Takdir masing-masing mana ada sesiapa yang tahu?

C : Dia dah tinggalkan kekasih dia.
Z : Sebab itu dia datang pada kau balik?
C : Tak. Dia kata itu kesilapan dia - jadi dia datang nak tebus semula.
Z : Oh, begitu.
C : Tapi, boleh ke aku nak terima dia semula?
Z : Kenapa cakap begitu?
C : Manalah tahu dia balik pada kekasih lama dia balik. 
Z : Ataupun dia ada kekasih baru pula kan?
C : Kau janganlah cakap begitu.
Z : Kau yang cakap kemungkinan. Heh.

Aku mungkin kejam.
Mungkinlah.
Tapi apa pun, buatlah keputusan yang terhebat dan terbaik dalam hidup kamu.

Nota Kaki :
Sebelum berpisah dan mungkin juga kekurangan penulisan disebabkan akan mula bertugas sebagai pengawas peperiksaan bermula pada 14 November, aku ingin mengucapkan selamat berjaya buat semua calon yang mengambil peperiksaan pada tahun ini. Buat yang terbaik.

http://farm7.static.flickr.com/6114/6338753889_e918f0a352.jpg
[Koleksi peribadi] - 11 November 2011

Kali pertama nota kaki ada gambar.
Heh.

Zara : Kalau kau tidak punya alasan untuk senyum sekalipun, pastikan bahawa kau mencari sebab untuk terus mengukir seulas senyuman berharga.


Tuesday, May 24, 2011

10 Perkara Yang Membencikan Ketika Peperiksaan


Dah masuk minggu ketiga peperiksaan. Setiap kali kalau peperiksaan, setiap kali itu jugalah melihat pelbagai drama yang sejak dahulu tersaji di hadapan mata. Dari zaman menjadi seorang murid, pelajar sehinggalah mahasiswa dan juga guru sekarang ini, ceritanya masih sama. Cuma pelakon sahaja berbeza mengikut keadaan dan masa.

Gambar : Jam yang berdetik, kerusi dan meja juga memberikan sumbangan sewaktu peperiksaan tahu?

1. Pengawas peperiksaan berdiri sebelah dan tengok jawapan aku.
Choi!
Benda begini bila berlaku adalah agak kurang menyenangkan. Habis kaku segala tangan aku nak menulis, otak aku jadi beku dan entah mengapa aku akan menggelabah. Rasa tidak kena bagaikan jawapan yang ditulis itu entah betul atau tidak apabila diperhatikan. Kalau masa sekolah dulu, cikgu yang suka berhenti sebelah meja aku sewaktu peperiksaan adalah cikgu Matematik Tambahan. Dalam banyak-banyak pelajaran, kertas paling membunuh ini memang kegemaran dia berhenti sebelah aku.

Cikgu : Betul ke jalan kerja tu?
Aku : Er, er, er... (sambil mata melingas tengok kertas)
Cikgu : Macam salah je.
Aku : Ye ke? (mata terus tengok kertas lagi tekun)
Cikgu : Tengoklah kalau ada betul ke salah tu. (berlalu pergi)
Aku : (terus mencari dan akhirnya bila tak jumpa, terus buat soalan lain)

Aku sekarang amatlah kurang berjalan dari satu meja ke satu meja sewaktu menjaga peperiksaan. Lebih suka berdiri di belakang kelas dan perhatikan murid. Lebih senang demikian kerana segala pergerakan mereka dalam pemerhatian. Lagi pula, aku ada sedikit kelemahan tidak boleh membaca jawapan salah. Nanti nak sahaja aku beritahu budak jawapan yang betul. Itu dah kira menipu masa peperiksaan eh?

2. Budak sekeliling minta jawapan (serta barang) aku.
Ini bergantung kepada mata pelajaran dulu. Aku pelik kenapa orang nak tanya jawapan aku, sebab aku bukannya pandai dan kau pula berikan isyarat nak minta jawapan (kira meniru aku la tu) dalam peperiksaan. Malangnya aku nak tolong pun tak boleh sebab aku pun kurang percaya dengan jawapan aku lebih-lebih lagi kalau soalan yang perlukan mengarang esei. Memang panjang aku tulis, tapi isinya mungkin bukan setakat ke laut, tapi ke Jurang Mariana terus. Contohnya Sejarah aku dahulu.
Ketawa.

Kawan : Kedekutlah kau.
Aku : Kenapa?
Kawan : Orang minta jawapan tak bagi.
Aku : Itu kira meniru.
Kawan : Ala, tolong kawan-kawan.
Aku : Aku sendiri pun tak tahu buat.
Kawan : Aku nampak kau tulis panjang.
Aku : Kau pernah dengar menggoreng dan merapu dalam kertas?
Kawan : Kau goreng kertas kau?
Aku : Mestilah.

Sekarang ini aku tengok budak boleh main tukar-tukar kertas jawapan semasa peperiksaan. Kalau aku tangkap, sama ada aku koyakkan ataupun aku akan ambil gambar. Senang terus jadi bahan bukti kalau ada perkara berbangkit di kemudian hari. Senang hati aku.

Lagi satu kalau tak minta jawapan, mesti nak minta pinjam barang. Dari pemadam getah, pemadam cecair, pembaris, pengasah pensel, mesin kira, ubat pensel mekanikal (ala, yang karbon halus melidi tu) ataupun minta pinjam pen disebabkan asyik menulis terus habis dakwat. Bila ada pergerakan dan bisikan, bisikan ini pastilah pengawas peperiksaan akan menumpukan perhatian pada kita secara tiba-tiba. Sumpah tak selesa.

http://farm5.static.flickr.com/4072/4717323069_5dce6b16fa.jpg
Gambar : Aku selalunya ada pemadam, pembaris dan segalanya sebagai tambahan, supaya bila orang pinjam, dia boleh terus pegang sehingga habis peperiksaan. Kalau tidak, membingitkan sahaja sepanjang peperiksaan.

3. Orang sekeliling baca soalan kuat-kuat.
Apa barang?
Lain kali masa tulisan jawapan tu yang kau sebut kuat-kuat macam  baca pesanan ringkas sambil tersengih-sengih tu. Baru betul. Ni yang kau baca soalan kuat-kuat, apa kau ingat sesi menghafal soalan ke? Lagi satu, paling menjengkelkan, kalau kau sedang berada di soalan pertama, tetapi orang sebelah kau sedang baca soalan nombor empat atau lima. Oit! Itu sumpah mengundang sumpah seranah berbakul tahu?

Budak : Kalau kita mahu menggunakan mancis, perkataan yang sesuai...
Aku : Syhhhh...
Budak : Menggores? Mencarik? Menggaris?
Aku : Syhhhh...
Budak : Tak pernah dengar perkataan mencarek ni.
Aku : Oi, diamlah! Aku nak jawab juga!

Aku terjumpa seorang murid begini minggu lepas.
Hampir sahaja dia dibaling keluar oleh tiga puluh empat murid yang lain tidak termasuk seorang guru muda yang berbadan gempal tetapi rasa dirinya comel sewaktu berdiri di depan cermin setiap pagi. Ala, aku mengaku, aku lah tu.
Heh.

4. Bunyi tapak kasut pengawas peperiksaan berjalan.
Boleh duduk tak cikgu?
Boleh diri hujung sana sahaja tak encik atau puan? (kalau di universiti)
Ini biasanya pengawas peperiksaan perempuan dengan kasut tumit tinggi mengalahkan artis membuat pertunjukan fesyen. Tapi kalau ada seinci sahaja pun sudah boleh buat bingit memandangkan kebanyakan kelas adalah berlantaikan simen ataupun marmar (jubin). Memanglah keletuk, keletuk, keletuk, sampai satu tahap kalau bengang boleh rasa nak bangun dan menjerit.

http://farm3.static.flickr.com/2568/4068882246_5c2d1b2cff.jpg
Gambar : Dulu aku pernah terganggu dengan bunyi kasut pengawas peperiksaan sehingga terpaksa menekan kalkulator dengan bersungguh-sungguh supaya pengiraan aku tidak bercampur aduk dengan derapan kaki dia. Gila aku ni.

Bila sekarang ini aku menjadi seorang guru, aku pastikan aku memakai kasut tapak rata supaya tidak menimbulkan bunyi yang mungkin akan mengakibatkan anak murid aku tertekan seperti aku dahulu. Oh ya, bukan setakat pengawas peperiksaan wanita sahaja, pengawas peperiksaan lelaki juga, lebih-lebih lagi kalau kasut mereka mempunyai besi. Rasa nak tawarkan diri jadi tukang kasut dan buka ladam tersebut. (Gila kronik kalau dengar bunyi semasa peperiksaan).

Oh ya, pengawas peperiksaan juga tidak perlu berjalan dan mengheret kaki di lantai. Kita bukan berlakon cerita seram yang memerlukan bunyi seretan kasut (kecuali kalian ada sebab kesihatan dan sebagainya, itu dimaafkan).

5. Budak jatuhkan barang semasa peperiksaan.
Bayangkan kau sedang seronok menjawab soalan peperiksaan dan tenggelam dalam kesibukan menulis jawapan disebabkan ilham datang membuak-buak. Tiba-tiba, GEDEGANG!

http://farm4.static.flickr.com/3035/3026801010_d6b2b95009.jpg
Gambar : Choi! Gunakan bekas kain, boleh tak? >.<"

Bekas pensel besi adalah yang paling membingitkan kalau jatuh di atas lantai. Ia merangkap sekali bekas peralatan set geometri, botol air dan sebagainya. Tetapi aku paling sakit hati kalau bekas pensel besi yang jatuh. Sudahlah bunyinya bingit dan memeranjatkan (lebih-lebih lagi kalau kau kuat melatah macam budak yang pakai kaca mata bingkai hitam tu), barang-barang semua berterabur atas lantai. Masa inilah nak tengok mana pembaris tercampak, pen bergolek ke mana, dan segala macam harta benda lain. 

Ini peperiksaan.
Abaikan segala benda kau tu.
Habis peperiksaan nanti kutip (tapi sekarang ni, aku yang selalu tolong budak kutip disebabkan aku tak nak dia gunakan ini sebagai taktik untuk bercakap dan minta jawapan dari kawan-kawan dia). Kerja pengutip barang murid tak termasuk memang mengutip kertas jawapan peperiksaan.
Cikgu memang serba boleh kan?
Heh.

6. Sakit.
Memang membencikan bila sakit. Sudahlah bukan tergolong dalam murid yang betul-betul bijak, kalau kena sakit masa peperiksaan memanglah sadis. Lebih-lebih lagi kalau batuk dan selsema. Kadangkala, kalau batuk, rasa nak telan semula batuk disebabkan takut menganggu orang sebelah. Selsema jangan cakap. Meleleh hingus, terpaksa bawa tisu sebanyak mungkin masuk dewan peperiksaan. Agak-agak nak mengalir, kesat, aku selalu sumbat tisu dalam hidung. Memalukan tetapi itu sahaja jalan terbaik daripada tangan asyik sibuk nak mengesat hidung dan menulis jawapan.

http://farm4.static.flickr.com/3315/3541068689_a8037350fa.jpg
Gambar : Bila pakai ini semasa peperiksaan, sumpah berpeluh dan entah apa lagi. Tapi demi keselamatan diri, orang lain dan tak mahu orang terganggu, maka redha. Cepat buat muka pasrah!

Ada sekali masa aku Tingkatan Lima, sepanjang peperiksaan aku sakit perut yang memaksa aku ke tandas untuk melunaskan hajat besar. Memang sengsara yang amat sangat. Terpaksa siapkan secepat mungkin sebab kita sendiri tak pasti berapa lama masa yang diambil untuk buang air besar kan? Buatnya sembelit ataupun cirit birit sampai tak boleh berdiri? Sadis. Ada satu mata pelajaran sahaja yang aku tak sempat nak pergi buang air besar. Teka apa dia?
MATEMATIK TAMBAHAN.
Gila kalau sempat berak.
Aku bukan genius.

7. Lagu yang didengar semasa belajar malam sebelumnya terngiang di telinga.
Pernah kena pada aku. 
Memanglah semua orang tak sedar benda ini, tetapi aku yang melaluinya sewaktu peperiksaan adalah amat membencikan. Kalau tak silap aku, lagu yang terngiang dan bergema dalam kepala aku masa itu adalah lagu Linkin Park ataupun Evanesence. Masa itu memang terkenal dua kumpulan ini dan aku kononnya, mendengar lagu untuk kekal fokus belajar dan membuat pengiraan. Memanglah tak mengantuk, tapi hasilnya? Rasa nak hempas kepala atas meja peperiksaan.

8. Benda yang dibaca langsung tak dapat ingat.
Siapa yang suka bila benda penting yang mahu diingati langsung tak menjelma?
Mata menerawang, tangan berpusing-pusing, kaki hampir buat tarian bulan berjalan (baca : moonwalk), jari dah conteng-conteng kertas soalan tetapi otak mengkhianati hingga hampir habis masa. Kesudahannya goreng entah apa-apa jawapan sambil berharap tembakan adalah mengena sipi-sipi walaupun sejujurnya tidak akan menepati sasaran. Aku kalau boleh setiap kali peperiksaan memang tak suka tinggalkan ruang kosong, isilah segala apa yang dapat walaupun jawapan adalah tak tepat ataupun menggunakan teori aku sendiri.

http://farm3.static.flickr.com/2720/4483396731_50e581487d.jpg
Gambar : Tekanan sungguh bila otak sepatutnya menjana ingatan tentang fizik tetapi yang terbayang di kepala hanya kimia. Memang tekanan bahagi dengan isipadu dan entah apa lagi. Choi!

9. Main tenung-tenung dengan pengawas peperiksaan.
Aku rasa ini kegemaran pengawas peperiksaan.
Suka sangat main tenung-tenung dengan orang yang sedang jawab peperiksaan. Oi, aku jenis yang sensitif. Kalau orang tengok aku, aku boleh sedar biasanya. Dan itu adalah sangat mencemaskan (serta kadangkala boleh jadi meluat sehingga menimbulkan kebencian) apabila pengawas peperiksaan merenung kita yang tak buat salah atau melanggar peraturan. Mengganggu tumpuan menjawab peperiksaan macam ada benda yang tidak kena.

Tapi, bila aku dah jadi cikgu ini, aku tenung balik orang yang tenung aku.
Ya. Aku tenung orang yang tenung aku.
Tak ada sebab kenapa aku nak tenung orang tak tentu pasal kecuali aku pasti dia sedang melanggar peraturan peperiksaan seperti meniru dan sebagainya. Sekarang aku sedar yang calon-calon peperiksaan merenung pengawas peperiksaan adalah disebabkan mahu mengalihkan tumpuan pengawas peperiksaan daripada memerhatikan mereka sebab secara teorinya siapa yang tahan direnung lama kan? Oh ya, kau boleh abaikan Spongebob dan Patrick - itu memang kegemaran mereka dan berjadual setiap Sabtu (sila rujuk salah satu episod kartun itu).

Cuma, aku belum tahu sebab kenapa pengawas peperiksaan merenung calon tanpa sebab.
Entahlah, mereka mungkin ada sebab tersendiri aku rasa.

10. Jeling orang sebelah yang tulis banyak dan dah lama siap.
Kita baru terkial-kial nak menjawab soalan, sibuk nak fikir jawapan, merangka isi penting dan sebagainya, tetapi orang sebelah dah tulis sepanjang-panjangnya, sampai guna muka surat belakang dan penuh dengan huraian serta gambar rajah pelik yang kita ingat ada dalam nota sekolah ataupun kuliah. Masa itu mula nak menggelabah, dan lagi menyakitkan hati orang sebelah boleh dah lama siap dan bersedia untuk bangun meninggalkan dewan peperiksaan.

Gambar : Tak cukup dengan muka depan, kulit belakang pun jadi nak tulis jawapan ke?

Masih sibuk menulis jawapan, tapi satu demi satu orang lalu tepi dan menghantar jawapan. Aku akui ini pernah aku buat untuk sesetengah mata pelajaran sahaja. Kalau di kampus selatan, mata pelajaran pendidikan bolehlah nak buat begini. Mata pelajaran Kimia dan Matematik? 
Ptuih!

Jika peperiksaan memperuntukkan masa tiga jam, memang tiga jam aku duduk dalam dewan peperiksaan itu menghabiskan sisa jawapan yang entah betul atau tidak - khas untuk mata pelajaran Kimia dan Matematik. Tulislah dan hamburkan segala-galanya yang pernah diajar di dalam kelas ataupun yang tertonggeng belajar dengan kawan-kawan. Selalu juga sambil tulis sambil pusing-pusing tengok kalau ada kawan-kawan dah keluar. Bila nampak genius pun masih gigih menulis, apatah lagi kita yang cikai ini?
Tulis Zara tulis.
(ala-ala Forest Gump pula)

Baiklah.
Itu apa yang aku mahu kongsikan sempena minggu peperiksaan dan cuti sekolah bakal menjelang. Semuanya adalah dari pengalaman sendiri dan sejujurnya mungkin masih banyak lagi, tetapi aku rasa ini antara yang mempunyai kesan mendalam kepada aku dari menjadi seorang pelajar sehinggalah tenaga pengajar sekarang ini.

Nota Kaki :
1. Peperiksaan sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan.
2. Dibuli di sekolah tadi oleh jiran sebelah meja. Sampai hati dia.

Zara : Jangan salah sangka hanya kerana aku masih sendiri, itu tidak bermakna aku kesunyian, kesepiaan ataupun terdesak untuk berdua. Kadangkala orang yang hebat perlu berjalan sendirian demi mencapai matlamat hidup sebelum memulakan hidup yang lebih mencabar.

Tuesday, March 22, 2011

Bolehkah Bercinta Dengan Bekas Kekasih Kakak?


Apa perbezaan ketara antara lelaki dan perempuan?
Dari segi penggunaan hati?

Soalan itu sahabat aku tanya petang tadi. Termangu juga mahu menjawab disebabkan aku sendiri kurang pasti. Jawapan aku mungkin lelaki lebih mengikut kata hati berbanding perempuan. Tapi sahabat itu menafikannya. Dia menyatakan, perempuan cepat berubah hati tetapi akan berpatah balik. Tapi kalau lelaki, sangat susah berubah hati, tetapi kalau sekali berubah hati, lelaki itu tidak akan berpatah balik.

Ada betulnya juga walaupun kebanyakan orang yang aku kenal adalah terbalik daripada situasi itu. Ah, tetapi itu yang buat aku tabik pada lelaki, sebab kebanyakan lelaki (dan ada sesetengah perempuan juga), tidak menggunakan hati apabila membuat keputusan. Mengikut pengalaman sendiri pun, aku sudah tidak mahu ikut kata hati sebab kadangkala kata hati akan dipengaruhi oleh nafsu dan menjadikan keputusan kita melulu. Aneh bila hati menipu.

http://farm4.static.flickr.com/3199/3007760136_57112e9888.jpg
[Gambar : Cinta itu datang dalam pelbagai warna hingga acapkali kita mungkin sukar meneka]

Diajukan dengan soalan yang diterima di Mukabuku aku oleh seorang yang masih menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar tahun akhir pengajiannya. Soalan yang aku jangka seperti dejavu disebabkan malam semalam sewaktu seorang rakan datang, ada berbual tentang perkara yang hampir serupa walaupun tentunya dalam situasi agak berbeza.

BR : Kak Zara, nak tanya sesuatu boleh?
Aku : Apa dia?
BR : Boleh tak saya bercinta dengan bekas kekasih kakak saya?
Aku : Bolehlah. Bukan suami dia kan.
BR : Tapi saya takut kalau saya bawa balik teman lelaki saya ke rumah, kakak saya nampak macam mana?
Aku : Kakak awak berhubung lagikah dengan dia?
BR : Rasanya macam tak, tapi tak tahulah.
Aku : Mana kenal dia?
BR : Dia sekarang tenaga pengajar di universiti saya.
Aku : Wah!
BR : Kenapa Kak Zara?
Aku : Tenaga pengajar maksudnya pensyarah awak?
BR : Lebih kurang macam tutor sebab dia belum habis buat PhD lagi.
Aku : Senang sahaja. Awak tanya pada dia betul-betul kalau awak takut pada kakak awak.
BR : Dia kata tiada apa-apa lagi. Itu dah kisah bertahun lepas.
Aku : Dah kalau dia kata begitu, awak tak percaya?
BR : Lelaki dengan cinta pertama ni kan susah kak?
Aku : Er, kekasih pertama dia kakak kamu ke?
BR : Ya. Dia kekasih pertama kakak juga, tapi sekarang kakak dah kahwin.
Aku : Kalau dah kahwin, awak nak takut apa lagi?
BR : Entahlah Kak. Sebab saya tak tahu nak cakap dengan siapa, itu yang saya hantar mesej pada akak ni FB ni. Maaflah sebab ganggu.
Aku : Tiada masalah.
BR : Kalau akak nak kongsi di blog pun boleh, nanti saya boleh kongsi dengan teman lelaki saya tu.
Aku : Ah, baik.
BR : Lagi satu Kak Zara, pernah tak Kak suka pada teman lelaki kakak pada kak Zara?
Aku : Tak pernah.
BR : Sebab apa?
Aku : Sebab Kak Zara anak sulung.
BR : Oh.

http://farm4.static.flickr.com/3311/3254018044_08974ed788.jpg
[Gambar : Sudahlah aku takut kucing, boleh pula aku letak gambar ini. Senyum cuak]

Itu bukan masalah kalau lelaki itu sudah tiada hati pada si kakak kan? Lebih-lebih lagi si kakak sudah mendirikan rumah tangga. Alahai. Mari kita cuba tengok dari aspek yang mudah. Dari satu segi, orang yang bercinta tidak bersama dengan orang yang dia cinta adalah perkara biasa. Kadangkala kita sayang orang itu macam nak mati, tapi akhirnya dia kahwin dengan orang lain. Sampai majlis dia pun kita datang sebab meraikan disebabkan sudah menjadi kawan. 

Begitu juga kalau terjatuh cinta dengan bekas pasangan kakak atau abang atau sepupu atau kawan baik sendiri, janganlah rasa takut kalau betul kamu bukan perampas kebahagiaan mereka sewaktu bersama. Takdir setiap orang kan lain? Ah, aku tulis ini sebagai pendapat peribadi. Walaupun berulangkali aku tulis begini masih ada lagi yang marah-marah pada insan beku ini. Alahai. Janganlah sedemikian rupa. Lempang karang. Eh?

Dan ya, itu sahajalah sebagai penutup tirai kata selama tiga hari yang akan datang ini. Tiada aku di sini mungkin untuk melunaskan kata-kata demi tatapan semua. Perjuangan untuk masa depan sendiri demi mengejar cita-cita aku selama ini. Sudah tiga kali aku tolak, maka dengan perjuangan minggu hari ini, harapan aku agar ia dapat dijadikan tiket untuk aku melangkah setapak lagi dalam arena ini.

Salam sayang buat semua.
Kalau ada pun tempat aku berbahasa basi dengan kalian yang masih sudi menjenguk, adalah di Twitter dan juga di halaman blog sendiri di Mukabuku. Di situ memang ada komunikasi seperti selalunya aku perlukan mereka yang masih sedar bahawa aku seorang manusia.

Nota kaki :
1. Akan berpergian dari 22 hingga 24 Mac 2011 - Berada di Johor Bahru.
2. Doakan aku berjaya dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi.
3. Maaf atas segala kelemahan diri.

Zara : Bila seorang yang optimis menyatakan bahawa suatu hari nanti jiwa yang kosong ini akan menemui sinar cahaya hati, aku hanya tertawa riang dan menolak kewujudan pesimis yang menyatakan itu sesuatu yang mustahil. Ah, kadangkala pesimis itu aku sendiri.

Sunday, December 05, 2010

Cara Menjawab Soalan Kimia SPM 2010 : Soalan Ramalan, Bocor Atau Letupan Uji Kaji?


Salam semua.
Seperti yang dijangkakan, hari ini hari yang kurang menarik.
Akibat rasa geram pada seseorang, aku keluar memandu dan cuba untuk menghiburkan diri sendiri. Terkena hujan, dan disebabkan kurang tidur juga, akhirnya aku sakit kepala sampai tahap menggigit bantal peluk di tepi kaki pula. Sakit yang teramat sangat.

http://farm3.static.flickr.com/2681/4037257875_0950a27dbd.jpg
[Gambar : Jangan suruh aku makan ubat sebab kali ini aku berusaha untuk tidak bergantung pada ubat]

Sejak bila kau tak makan ubat Zara?
Setiap bulan bila pusingan hormon datang, kau manusia yang mengambil ubat secara berlebihan untuk mengawal sakit. Setiap kali sakit, tidak pernah kau lupa pil-pil pelbagai warna untuk kau lalukan di tekak dan menikmati dunia khayalan semata-mata mahu cepat sembuh. Apa kena dengan kau hari ini?

Pening.
Sakit kepala semakin kuat.

Gagahkan diri untuk menulis supaya otak aku berjalan.
Supaya kesakitan itu dilawan.
Tahan.
Baiklah, dua biji Panadol ditelan.
Dengan gabungan aiskrim coklat dalam setiap suapan.
Moga-moga boleh beri kelegaan.
Ukir senyuman.

http://farm5.static.flickr.com/4118/4736474784_43e306fda8_z.jpg
[Gambar : Rindukan suasana makmal dan persekitaran uji kaji yang merangsang otak]

6 Disember 2010 - Kertas Kimia SPM akan berlangsung (Kertas Sains Tambahan juga). Tapi disebabkan aku tidak pernah mengambil Sains Tambahan, maka aku kurang pasti pula.

08.00 - 09.15 : Kertas 1
10.00 - 12.30 : Kertas 2
02.00 - 03.30 : Kertas 3

Sedikit pesanan tambahan buat adik-adik yang bakal menjawab soalan Kimia hari Isnin nanti.
  • Pastikan kenal simbol yang digunakan - Amatlah menjadi masalah jika K, Na, Mg, HCl, dan sebagainya tidak dikenali. Perhatikan semula jadual berkala, ingatlah nama biasa ataupun nama rasmi di dalam jadual berkala.
  • Teori - Ada pelbagai teori yang digunakan di dalam Kimia. Sila baca kembali supaya boleh mengenal pasti teori yang mana digunakan untuk sesuatu soalan.
  • Langkah Pengiraan - Daripada mahu mengira formula empirik sehinggalah muatan haba,  pastikan jangan berlaku kesilapan dalam pengiraan. Kenal pasti simbol, jangan lupa unit dan sebagainya kerana ia semuanya adalah markah.
  • Siri Elektrokimia - Memang lawak kalau tak hafal cas anion dan kation. Sengaja menempah tiket tidak mahu lulus.
http://wiki.one-school.net/images/thumb/0/0c/ElectrochemicalSeries.png/500px-ElectrochemicalSeries.png
 [Gambar : Ini kalau tidak dihafal memang menempah maut untuk tajuk Elektrolisis, Asid Dan Bes, Garam dan banyak lagi. Sila pitam kalau tidak ingat. Jangan pitam dulu, hafal dulu]

Ringkas : Cara aku hafal ini?
Aku guna akronim untuk setiap huruf depannya.

Positif Ion (Kation) : Kalau (K) - Nak (Na) - Cakap (Ca) - Micheal (Mg) - Adalah (Al) - Zalim (Zn) - Fikir (Fe) - Sejenak (Sn) - Pabila (Pb) - Harry (Hg) - Cubit (Cu) - Adam (Ag)

Negatif Ion (Anion) : Farid (F) - Suka (SO4) - Nengok (NO3) - Chinta (Cl) - Berjalan (Br) - Ikut (I) - Otak (OH)

Garam (baca : Salts)
Ini antara tajuk yang dikatakan membunuh murid. Tetapi aku rasakan ini anatara tajuk yang menyeronokkan. Sungguh, dengan warna garam yang menarik dan kesempatan untuk membuat sendiri ujikaji, memang ia bakal membuatkan murid gembira dengan ujian kualitatif di dalam penghasilan dan pengenalpastian jenis garam.

http://farm5.static.flickr.com/4141/4736475798_f5d0bd10cc_z.jpg
[Gambar : Aku percaya deretan uji kaji di dalam buku serta dibuat oleh murid di makmal adalah sangat membantu daya ingatan dan teknik penghafalan]

Cara pantas yang aku gunakan sewaktu mengajar murid aku semasa Latihan Mengajar dahulu adalah mengaitkannya dengan perkara yang mereka selalu jumpa atau nampak. Kebetulan ketika itu adalah waktu bulan Ramadhan dan ke Bazar Ramadhan adalah wajib buat mereka selain berpuasa itu sendiri.

Murid : Cikgu, susah nak hafal warna dalam tajuk garam.
Aku : Apa yang susah?
Murid : Banyak sangat.
Aku : Apa warna air kopi?
Murid : Hitam.
Aku : Baiklah, itu biasanya untuk garam oksida seperti kuprum oksida. Apa warna Koko?
Murid : Coklat.
Aku : Itu warna untuk Ferum (III). Apa warna air tebu?
Murid : Hijau.
Aku : Itu warna Ferum (II). Warna air anggur?
Murid : Ungu.
Aku : Itu untuk larutan potassium permanganat. Warna air lemon?
Murid : Biru.
Aku : Itu untuk apa?
Murid : Garam kuprum!

... dan begitulah berpanjangan sehingga mereka boleh mengingatkan fakta yang berjela itu dengan mengaitkan benda yang mereka selalu nampak.

Itu sahaja.
Mungkin sedikit sahaja yang dapat aku sampaikan kali ini. Keadaan diri yang kurang sihat membuatkan aku tidak dapat berkongsi banyak. Maaf yang teramat sangat. Jika ada kesulitan ataupun pertanyaan, boleh hubungi aku di Twitter ataupun Mukabuku.

Terima kasih.

Nota Kaki :
1. Kesihatan diri merosot secara mendadak.
2. Nakama kelihatan bersedih akan sesuatu. Ya Allah, berilah kekuatan kepada sahabat itu.
3. Geram dan bengang dengan seseorang sehingga aku yang sakit sendiri. Padan muka Zara!
4. Kurang gemar dengar orang yang lebih tua membebel tentang perkara yang tidak berkaitan dengan aku. Cukuplah aku sentiasa berusaha untuk membahagiakan orang.

Zara : Senyuman aku penuh dengan darah luka hari ini. Ketawa aku penuh dengan pura-pura yang langsung tidak dapat dikenalpasti. Demi manusia yang aku hormati dari sejak dilahirkan sehingga aku menghadap Ilahi, aku redha dengan pujukan dia bahawa kata-kata orang itu di luar sedar sendiri.

[Gambar : Sedang berusaha untuk memandang hidup dari dua kawasan berbeza, namun masih sama nilai dan tujuannya]

Monday, November 29, 2010

Kenapa Suka Kelas Tambahan Sewaktu Zaman Belajar? : Cara Menjawab Soalan Pendidikan Islam SPM 2010


Salam semua.
Hari ini kertas Matematik SPM berlangsung. Tahniah kerana berjaya melepasi peperiksaan yang sungguh menyeronokkan itu. Dan ya, aku serius menyatakan bahawa itu seronok.

Esok adalah peperiksaan Pendidikan Islam. Apa yang membuatkan aku suka dengan kertas ini? Selain daripada boleh menulis banyak, ada beberapa perkara lain. Antaranya :
  • Kalau soalan minta 2 alasan/sebab/hujah, boleh beri sampai sepuluh tanpa rasa bersalah.
  • Lebih banyak kepada kemahiran berfikir dan rasional serta pemikiran logikal. Itu bagus.
  • Dengan pengalaman lebih 20 tahun mengajar, Mak adalah antara sebab mengapa kami adik beradik akan terbaring dengar apa yang dia tanya sebelum peperiksaan. Selalunya, soalan yang dia tanya akan keluar pada hari keesokannya. Ajaib kan?
  • Sebagai budak yang mengikuti sekolah agama Johor, apa yang dipelajari di dalam Pendidikan Islam SPM adalah asas berbanding dengan apa yang kami belajar setiap petang dari Fardhu Ain 1 hingga Darjah Khas. Mak, pengetahuan sedia ada itu sangat membantu.
  • Soalannya selalu berulang dan pembacaan lengkap adalah apa yang sangat diperlukan.

http://farm3.static.flickr.com/2489/3898985603_20ee1ab074_z.jpg
[Gambar : Layangkan sedikit ciuman buat kamu semua]

Disebabkan dahulu belajar di sekolah menengah biasa hingga ke Tingkatan 5, maka, aku sudah diasak ke kelas tambahan sejak di Tingkatan 3. Naik bas setiap hari Sabtu ke kelas tamabahan di bandar sewaktu di Tingkatan 3 dan ketika Tingkatan 4 dan 5 - kelas tambahan aku adalah sangat istimewa. Di kawasan kampung berhampiran dan diajar oleh guru yang jujurnya aku rasa sangat hebat.

Bahasa Inggeris dan Matematik (Tingkatan 3).
Dulu aku mengikuti kelas tambahan ini seorang diri. Bukanlah dalam kelas itu aku seorang, cuma dari kawasan aku, hanya aku seorang yang belajar di situ. Orang lain entah belajar di mana. Lucunya, aku seorang yang akan datang paling cepat dan akan bergegas balik paling cepat semata-mata nak kejar bas balik semula ke rumah. Kalau lambat, akan naik bas yang sampai rumah hampir malam. Sadis.

Aku teringat satu peristiwa di dalam kelas Bahasa Inggeris. Biasanya memang akan diberi lembaran kerja dan kita akan buat sebelum hantar pada guru tersebut, seorang guru Cina yang tua tetapi sangat baik hati. Penerangan dia menarik. Setiap kali awal kelas setiap minggu, dia akan memulangkan kertas jawapan minggu sebelumnya.

Cikgu : (panggil nama budak untuk pulangkan kertas)
Murid -murid : (bangun dan ambil kertas yang dipulangkan)
Cikgu : Sheikh...
Murid -murid : (saling berpandangan)
Cikgu : Sheikh, ambil kertas.
Murid-murid : Tiada siapa nama Sheikh. Kelas lain agaknya.
Cikgu : Saya ajar kelas ini sahaja.
Murid-murid : Cuba cikgu baca nama dia sampai habis.
Cikgu : Sheikh Fatimatul Zahrah, ada sini?
Murid-murid : Sheikh mana tu? Lelaki semua dah dapat kertas.
Aku : (bangun perlahan-lahan dan ke depan) Ini kertas saya.
Cikgu : Kenapa masa saya panggil awak tak bangun?
Aku : Sebab nama saya Sharifah, bukan Sheikh.
Cikgu : Oh, maaf.

http://farm3.static.flickr.com/2426/3901607109_a2f54455fb_z.jpg
[Gambar : Masa nak duduk semula di kerusi, budak-budak lain semua ejek nama aku. Sedih gila tahu?]

Tapi tidak mengapa.
Keputusan aku antara yang cemerlang dalam kelas itu (sambil angkat kening)
Senyum sinis.
(Tiba-tiba kau riak kenapa Zara?)

Matematik Tambahan dan Kimia (Tingkatan 4 dan 5)
Agak terlewat masuk ke kelas tambahan. Sudah separuh Tingkatan 4 aku rasa. Ini antara cikgu terbaik pernah aku jumpa sepanjang hidup aku. Dia boleh mengajar semua benda kecuali Biologi. Ya, dia mengaku benda ini sendiri. Berilah dia apa-apa mata pelajaran, kecuali Biologi, dia akan dapat tolong kami semua.

Matematik Tambahan
Aku masuk ke kelas cikgu ini dalam keadaan keputusan aku selalunya nilai tunggal ataupun tidak pernah melepasi 20 markah. Gila kau, nilai tunggal adalah 0 hingga 9 (tidaklah sampai dapat 0 kan?) - masa ini memang malu nak pergi sekolah, tapi semua orang pun serupa, semakin banyak belajar semakin rasa diri bengap amat. Kerja sekolah selalu tidak dapat disiapkan sebab tak tahu buat. Bila pergi kelas tambahan, bawa buku, tunjuk pada cikgu ini.

Cikgu : Kau belajar peringkat universiti ke?
Aku : Eh, tidaklah.
Cikgu : Mana dapat soalan ni semua?
Aku : Cikgu sekolah punya.
Cikgu : Dahsyat betul.

Dan cikgu inilah penyelamat setiap kali ada kerja sekolah dan sebagainya. Cara dia mengajar memang menarik dan kami ini lebih seperti kawan kepada dia. Cara yang digunakan mudah dan jujurnya, belajar dengan dia, Matematik Tambahan dirasakan amat menyeronokkan. Sungguh menyeronokkan. dan bila habis SPM, tidak ke kelas dia, adalah rasa sungguh bosan. Bila masuk matrikulasi, ada cuti sahaja, pergi belajar dengan dia. Senyum.

Kimia.
Cikgu ini memang terbaik. Cikgu yang sama mengajar Matematik Tambahan. Dia mengajar untuk buat kita ingat apa yang dia ajar sampai mati aku rasa (sebab apa yang dia ajar masih melekat dalam kepala aku). Buku Nota Kimia aku ada dua bahagian. Satu yang diajar di sekolah dan satu lagi apa yang diajar di kelas tambahan oleh cikgu tersebut. Senyum.

Dia mengajar dengan pantas dan bila aku pergi ke sekolah, apa yang diajar oleh guru di hadapan sebenarnya adalah pengulangan atau pengukuhan apa yang aku belajar di kelas tambahan. Enak bukan? Belajar benda yang sama dalam cara dan pendekatan yang menarik. Dan ya, Kimia itu memang menarik. Ada sesiapa nak kata payah gila? (sambil genggam penumbuk)

http://farm3.static.flickr.com/2534/4007172782_e35e09dcf2_z.jpg
[Gambar : Kimia itu macam mata pelajaran Posyen yang Severus Snape ajar. Boleh?]

Dan kalau terlepas sekalipun peluang ke kelas cikgu ini, aku sanggup ganti pada waktu lain walaupun terpaksa belajar dengan entah sesiapa punya kumpulan.

Fizik.
Ini salah seorang yang genius juga. Aku datang jumpa cikgu ini di rumahnya (Mak bawa tentunya) untuk menghadiri kelas tambahan. Mula-mula dia mahu ajar secara beramai-ramai, tapi bila dia tengok asa dan konsep aku lemah, dia suruh aku belajar seorang diri di rumah dia. Ya, macam tenaga pengajar peribadi. Sumpah, memang dia ada sentuhan ajaib.

Senyum.
Dan kejayaan itu tentunya tidak akan datang bergolek. Cikgu ini punya anak yang ramai dan agak kecil pada waktu itu. Kadangkala, sewaktu aku sedang buat latihan di meja di ruang tamu, dia akan berkejar tengok anak dia yang sedang bermain di luar rumah. Peristiwa ini selalu berlaku dan aku teringat apa yang aku selalu lakukan sewaktu belajar.

Cikgu : (sedang keluar melihatkan anak dia yang bermain di laman)
Aku : (sedang buat latihan selepas dia menerangkan konsep)

  • Anak kecil dia dalam buaian bergerak-gerak, merengek -  Aku : henjut buaian sambil sebelah tangan menulis
  • Anak kecil dia menangis - Aku : Tolong berikan susu menggunakan botol.
  • Anak dia bocor lampin - Aku : Tolong gantikan lampin. (Pernah sekali, semasa dalam buaian, lampin bocor, air kencing menitis, memang sadis, tapi aku berani cakap berbaloi buat itu semua disebabkan ilmu itu tidak dapat dibeli)
Si kecil itu sudah besar sekarang ini.
Kalaulah dia tahu kakak ini yang pernah gantikan lampin dia sewaktu kecil dulu, apa dia akan fikir agaknya?
Ketawa.

Yang menariknya, semua guru di atas tidak mementingkan wang semata-mata. Aku rasa pusat tuisyen dulu bukan berlandaskan wang seperti hari ini. Untuk mata pelajaran Matematik Tambahan dan Kimia dulu, aku hanya perlu bayar tidak jejak RM 50 untuk kedua-duanya (itu pun cikgu itu tidak mahu wang sebenarnya).

http://farm3.static.flickr.com/2720/4114805150_48e7d5661e_z.jpg
 [Gambar : Orang selalu kata guru ibarat lilin kan?]

Jangan salah anggap.
Aku tetap menganggap semua guru adalah terbaik. Guru yang mengajar di sekolah juga hebat dan sedikit tambahan daripada luar yang membantu murid (orang yang lemah macam aku) adalah amat digalakkan. Tidak menidakkan kemampuan guru sekolah kerana yang mengajar itu semuanya adalah guru juga.

Senyum.
Mata pelajaran apa yang kamu pernah hadiri kelas tambahan dulu?

Nota Kaki :
1. Hujan lebat.
2. Banyak benda yang dibuat hari ini. Pembelajaran tidak berhenti.
3. Mengantuk, tapi tidak dapat tidur.
4. Aku sudah punya Tumblr (sekadar mengisi masa bosan)

Zara : Senyuman ini tidak pernah palsu dan air mata yang mengalir juga bukan buatan. Terasa seperti sedang melakukan benda yang tidak sepatutnya, tetapi demi kegembiraan yang sementara, aku berdoa agar kegembiraan itu tidak akan terbang selamanya.

Friday, November 26, 2010

Hanya Matematik Tambahan SPM Yang Tidak Mengkhianati Perut Aku Semasa Menjawab Peperiksaan Percubaan : Soalan Latihan Menepati Ramalan


Salam semua.
Bertemu dalam edisi bercorak peperiksaan sempena kedatangan SPM 2010. Oh, aku tersenyum girang apabila ada bekas murid yang masih mengingati aku dan kebetulan membaca blog ini. Disebabkan kalian adalah bekas murid, maka tidaklah aku segan sangat. Lebih-lebih lagi kalian mengenali aku pada tahun 2007, sewaktu menjadi guru praktikal. Senyum.

Berkaitan dengan cara menjawab soalan Matematik SPM yang aku kongsi semalam, aku menerima beberapa cadangan dan perkongsian ilmu juga. Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Ada juga yang bertanyakan, bagaimana mereka melalui peperiksaan tersebut. Terima kasih. Beliau yang beku ini sangat terharu (Ya adik-adik, walaupun kak ini tidak terkenal, beliau masih ada perasaan lagi).

Tinggalkan sebentar tentang peperiksaan sebenar SPM, aku teringat bagaimana aku melalui peperiksaan percubaan SPM yang menjadi titik tolak kenapa aku perlu berusaha dengan gigih dalam mencapai apa yang aku mahukan dalam hidup ketika itu.
  • Dalam bilik aku ada poster besar UTM, yang dihasilkan oleh kartunis Lat. Poster itu lebih banyak berkisarkan tentang kursus-kursus yang ditawarkan di UTM dan dari situlah aku sudah memasang impian, aku mahu belajar di sana.
  • Semasa peperiksaan percubaan, setiap kertas yang aku ambil, aku terpaksa habiskan secepat mungkin disebabkan mengalami sakit perut yang teramat sangat. Gila kan? Orang lain bertungkus lumus dalam dewan, aku pula bertungkus lumus membuang di dalam tandas. 
  • Cuma kertas Matematik Tambahan sahaja yang aku tidak sempat keluar dewan untuk buang air besar. Ketawa. Gila ke? Mana sempat nak bernafas, apatah lagi nak membuang yang ambil masa lama? Sengsara!
http://farm3.static.flickr.com/2743/4464370637_97327aeec5.jpg
[Gambar : Kertas tandas pun boleh menangis bila setiap kertas yang aku lalui harus masuk ke tandas. Kecuali Matematik Tambahan 1 dan Matematik Tambahan 2 sahaja yang tak sempat]

  • Selain itu, semasa menjawab soalan Matematik Tambahan, kepala aku berdengung dan sentiasa terngiang lagu Daniel Bedingfield sebab malam sebelumnya aku mengulangkaji sambil dengar lagu itu. Sumpah, sangat menganggu tumpuan. Sejak dari itu, kalau aku mahu mendengar lagu sekalipun, aku akan dengar lagu yang aku tidak boleh menyanyi bersama-sama.
 http://farm2.static.flickr.com/1360/5102711887_ace67829d1.jpg
 [Gambar : Aku perlukan muzik semasa buat latihan Matematik untuk kekal berjaga dan fokus. Lagu-lagu pilihan aku sejak peristiwa tersebut adalah lagu-lagu yang aku tidak akan terikut-ikut liriknya. Contohnya, lagu Jepun, Korea, Mandarin, Latin]

  • Soalan percubaan Matematik Tambahan aku hampir serupa dengan latihan yang aku buat di kelas tambahan luar. Memang seronok yang amat ketika itu disebabkan di kelas tambahan, kami diasak dengan soalan yang menimbun serta jalan kerja ringkas tetapi mendapat jawapan tepat. Tujuh orang daripada kami yang pergi ke kelas tambahan yang sama tersengih semasa keluar.
  • Aku dapat anugerah Tokoh Maulidur Rasul (kategori Pelajar Harapan Sekolah). Aku hampir pulangkan semula anugerah itu kepada sekolah disebabkan oleh mulut cabul seorang kawan sekelas yang menyatakan "apa guna dapat anugerah itu kalau tak dapat keputusan baik?". Alhasilnya, dia telan balik kata-kata dia sebab aku dapat keputusan lebih baik dari dia. (sambil jeling-jeling angkat kening)
  • Disebabkan dulu kita gunakan keputusan percubaan untuk memohon masuk ke matrikulasi, aku cuba untuk minta tambahan 2 markah lagi pada cikgu Matematik Tambahan demi memastikan aku dapat A2. Tapi jawapan beliau membuatkan aku berputus asa.
Aku : Cikgu, nak tambah markah lagi 2 boleh?
Cikgu : Kenapa?
Aku : Sebab saya nak mohon matrikulasi. Jadi, kalau boleh dapat A2 untuk mata pelajaran ini, baik juga.
Cikgu : Kalau awak berani sebut lagi sekali minta markah, saya potong 5 markah. Boleh?
Aku : Oh, jangan. Terima kasih cikgu.

Sumpah.
Terus insaf.
Itulah cikgu yang kenalkan aku dengan erti kesusahan yang amat dahsyat. Kerja sekolah serta latihan yang diberikan selalunya akan buat aku mengalirkan air mata dan menunggu dengan tidak sabar ke kelas tambahan disebabkan soalan-soalan yang sukar. Guru kelas tambahan aku sekalipun pernah terkejut dengan soalan yang dikemukakan. Dia kata tahap universiti.

Kerana Matematik Tambahan jugalah, aku pernah sembunyikan soalan latihan di dalam baju dan berlari mencari guru Matematik lain di bilik guru disebabkan tidak mahu berdiri di atas kerusi. Apa kau gila kena berdiri atas kerusi makmal yang bulat itu? Ya, bangku makmal. Hukuman dia mula-mula berdiri, lepas berdiri tepi kerusi, pusingan kedua akan berdiri atas bangku, akhir sekali berdiri atas meja. Pitam.

http://farm5.static.flickr.com/4139/4928020792_164ae85f68_z.jpg
[Gambar : Aku bagi alasan kononnya mahu ke tandas, tapi aku ke bilik guru bagi mencari guru lain untuk menyelesaikan soalan tersebut. Bila pusingan kedua masuk, aku cepat-cepat angkat tangan untuk jawab soalan. Ha ha ha]

Memang sukar.
Tapi bila peperiksaan SPM sebenar muncul, kami boleh ketawa tengok soalan.
Gila kan?

Baiklah.
Itu serba sedikit apa yang boleh dikongsi dengan kalian semua.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Perubahan hormon aku nampaknya sangat mendadak selepas kursus renang tempoh hari. Kitaran sudah menjadi tidak sekata. 
2. Sudah selesai masak untuk juadah keluarga.
3. Mengalami keletihan terlampau yang membuatkan aku sering tertidur di depan Sean. Alahai.

Zara : Benar kata orang. Sepuluh saat pertama adalah detik di mana kita menilai yang terbaik untuk terus kekal menikmati perjalanan seterusnya. Kalaupun perjalan selepas itu kurang menarik atau tidak memberangsangkan, sekurang-kurangnya kita akan mengingati detik sepuluh saat yang menggembirakan.

Thursday, November 25, 2010

Cara Menjawab Soalan Matematik SPM 2010 : Soalan Ramalan Atau Soalan Bocor?


Salam semua.
Aku betul-betul terlupa, hari ini, 25 November 2010 adalah kertas peperiksaan Sejarah untuk SPM dan juga STPM. Patutlah semalam ramai yang mencari cara menjawab sejarah SPM, sebab aku ada menulis tentang ini di dalam penulisan ini. Kalau ada pesanan yang berguna, baguslah. Senyum.

Oh ya, Sejarah memang antara mata pelajaran yang semua orang sanggup buat apa sahaja untuk lulus. Sebab kaedahnya mudah sahaja. Satu lagi yang semua orang suka mahu lulus dengan cemerlang adalah Matematik (tapi kalau aku, aku suka semua cemerlang).

http://s3prod.weheartit.netdna-cdn.com/images/4464956/tumblr_laij3hprfM1qct8pbo1_500_large.jpg?1287450461
[Gambar : Saya cintakan Matematik]

Major : Kimia
Minor : Matematik
Dan aku sebenarnya sangat sukakan Matematik dari sekolah lagi. Ya, Matematik. Bukan Matematik Tambahan yang keluar air mata darah untuk jawab satu soalan pun (Oh, teringat zaman dahulu, ini insyaALLAH akan ditulis jika punya kesempatan).

Dan ya, aku belajar Matematik dengan cikgu-cikgu yang sangat menarik. Sungguh.
  • Tingkatan 1 - Aku lupa aku belajar dengan siapa. Gila kan?
  • Tingkatan 2 dan 3 - Aku belajar dengan cikgu yang akan habiskan mengajar sebelum Julai di mana dia akan dapat buat ulangkaji dan latihan secara berganda dan sangat berhasil. Anak-anak murid dia biasanya akan dapat jawab tidak kira apa soalan sekalipun hasil kegigihan dia yang suruh kami beli satu buku dengan beribu-ribu soalan yang digunapakai dari Tingkatan 2 hingga 3. Dia percaya asas yang kukuh adalah seperti mana kita buat bangunan. Kalau bawah dah goyang, nak sampai atas akan jatuh menjunam.
  • Tingkatan 4 - Cikgu yang sama macam Tingkatan 3 (tapi sekejap sahaja).
  • Tingkatan 4 dan 5 - Cikgu ini memang menarik. Cara dia mengajar dan menarik perhatian di dalam kelas adalah faktor penting kenapa semua orang suka Matematik. Oh, dia juga buat kelas tambahan  berbayar Matematik di rumah dia (kawan-kawan dan adik-adik aku pergi, aku tak pernah).
Ada peristiwa penting yang berlaku semasa Tingkatan 3 yang membuatkan aku semakin gilakan Matematik lebih dari yang aku tanamkan dalam diri. Ini disebabkan oleh mulut seorang kawan aku masa peperiksaan setengah tahun yang buat aku berubah secara drastik.

"Apalah kau ni. Kertas lain yang lebih susah kau boleh dapat A, tapi Matematik kau lagi bodoh dari Matematik aku. Dapat B je ke?"

Ada rasa nak bunuh orang?
Kena bodoh dengan orang yang ternyata lebih teruk dari aku, cuma Matematik dia akan sentiasa dapat A.
Akibat tercabar, aku belajar secara menggila demi Matematik yang aku cinta, dan bila keputusan percubaan dan PMR keluar, aku gosok slip peperiksaan itu di muka dia. Puas!

http://i606.photobucket.com/albums/tt144/maclisa/danbo%20robots/201007100849.jpg
[Gambar : Tiba-tiba rasa nak lukis muka orang sebab tak puas hati. Ya, itu kegemaran aku]

Baiklah.
Tiada soalan ramalan atau soalan bocor.
Sebab aku percaya, untuk dapat menjawab soalan Matematik, apa yang kau perlukan adalah latihan yang sangat mencukupi. Bila latihan dapat buat dengan banyak dan tekun, bila diberi apa sahaja soalan, tidak kira bagaimana dipusing, pasti boleh jawab. Tapi tidak mengapa, aku kongsikan bagaimana aku menjawab Matematik SPM waktu tahun 2003 dahulu.

Anda sedia?
Tarik nafas.

http://www.gundammodelkits.com/wp-content/uploads/2010/08/IMG-4753.jpg
[Gambar : Rumus, formula adalah perkara paling penting]

  • Rumus atau formula - Ini perkara yang semua orang tahu dalam Matematik. Biasanya disediakan di muka hadapan sebelum soalan. Bak kata cikgu aku, kalau ada berjuta formula sekalipun, tapi tak tahu nak gunakan di mana, adalah tidak berguna. Maka, biasakan diri menggunakan (senang cerita, memasukkan formula dalam soalan). Ini amatlah berguna ketika peperiksaan.
  • Kalkulator - Jangan lupa bawa. Nak masuk peperiksaan Matematik tak bawa kalkulator? Lawak amat kecuali kau genius Matematik. Dan ya, kenali kalkulator kau, tahu kelebihan agar cara mengira lebih pantas dah mudah. (Nota : Zaman aku dulu cuma boleh bawa Casio 350, tapi aku bawa sekali Casio 570 disebabkan cikgu tuisyen aku suruh. Fungsi 570 sangat bagus sampai Matematik kertas 1 aku tak perlu guna banyak pengiraan manual. Ketawa)
  • Kertas 2 - Beri jalan pengiraan dengan lengkap. Anggaplah pemeriksa kertas itu seorang yang tidak tahu apa-apa. Kalau ada kaedah pengiraan untuk 1 + 2 = 3 sekalipun, tunjuklah. Mana tahu boleh dapat 1 markah kan?
  • Kertas 1 - Jangan membazir terlalu banyak masa untuk buat jalan kerja, sebab kertas 1 adalah kertas objektif. Kalau kau boleh siap dengan cepat menggunakan kaedah pengiraan pantas dan pintas, ayuh, buat sahaja. Yang penting adalah jawapan (dan disinilah kebolehan kau menggunakan kalkulator ditagih)
  • Graf - Biasanya kertas Matematik mesti ada graf kan? Pastikan paksi (baca : axis) adalah betul, lengkap. Jangan cincai sebab markah yang kau akan dapat adalah cincai juga.
Dan ya, sebelum kamu semua tiba-tiba rasa tertekan (ada lagi beberapa hari sebelum peperiksaan pada hari Isnin 29 November ini), ada masa lagi untuk melakukan beberapa perkara seperti :
  • Riadah - Ya, aku tahu mungkin ada yang tidak gemar, tetapi riadah sedikit akan dapat mengurangkan tekanan belajar.
  • Latihan akhir - Soalan ramalan, peperiksaan-peperiksaan tahun lepas, soalan percubaan dan pelbagai lagi adalah membantu bagi mengukuhkan ingatan.
  • Tidur - Yang berkualiti dan cukup adalah perlu. Jangan sampai tidak tidur langsung ataupun tidur sahaja tak sudah-sudah. Pensyarah aku pernah menceritakan, seorang bekas pelajar dia pernah tidak tidur selama 3 hari sebelum peperiksaan, dan ia berakhir dengan jeritan di dalam dewan sebelum pelajar itu keluar berlari sambil mengangkat kainnya keliling masjid (di bawahnya dewan peperiksaan).
  • Jaga kesihatan - Sudah tentu. Kalau kesihatan kurang memberangsangkan, apa kau ingat kau boleh jawab peperiksaan dengan baik? Agak mustahil di situ.
  • ... dan pelbagai lagi sebenarnya.
Apa pun, selamat menjawab bagi semua calon SPM.
Bagi pembaca blog aku pula, kadangkala kita kena baca benda sebegini demi sebuah nostalgia dan memori bukan?
Oh ya, apa tips yang kalian buat pula?

http://s3prod.weheartit.netdna-cdn.com/images/4365297/tumblr_l9q1nzwvam1qagx9bo1_500_large.jpg?1287006083
[Gambar : Saya cintakan awak Matematik]

Nota Kaki :
1. Hari itu ada dengar di radio ada pemanggil yang membakar dan merebus formula Matematik dan minum semata-mata untuk lulus lepas dengar gurauan cikgu dia. Oh, gila lurus bendul, tetapi dia berjaya. Eh, kamu semua janganlah begitu. Takut keracunan.
2. Adik-adik asyik membuat rancangan nak keluar beriadah, tetapi Bonda dan Abah pula sekolah. Tiada siapa mahu menjaga Nenda di rumah pula.
3. Belum ada kesempatan berlatih mengayuh lagi. Alahai.

Zara : Bila alpa dan ada yang mengingatkan, itu sudah menjadi amat bermakna. Sahabat terbaik, sahabat-pijak-kepala sudah kembali. Alhamdulillah, tidak sia-sia aku menunggu sahabat itu kembali. Yang pasti, dia adalah penasihat terbaik diri ini dalam kenal apa sebenarnya sepak terajang duniawi.

Wednesday, November 24, 2010

Cara Menjawab Soalan Sejarah SPM Dengan Betul : Mengikut Pengalaman Peribadi


Sabtu lepas, aku ternampak cikgu Sejarah aku.
Cikgu Sejarah yang pernah menangis disebabkan aku dapat A1 dalam SPM untuk mata pelajaran tersebut. Aku tidak akan pernah lupa tangisan itu. Tangisan yang menunjukkan, cabaran dan kata-kata tekanan dia telah membuatkan aku memberikan segala yang terbaik demi memastikan dia kesal berkata demikian pada aku.

"Kenapa Sejarah awak asyik dapat 7D, 8E dan 9F sahaja? Bapa awak kan mengajar Sejarah? Kenapa awak tak boleh buat?"

Dan aku, didorong oleh darah muda yang pastinya menggelegak, menahan marah dan belajar dengan bersungguh-sungguh.

http://28.media.tumblr.com/tumblr_kp8uco4NqA1qz5njko1_500.jpg
[Gambar : Aku ingat lagi dulu pegang buku latihan sejarah dan buku teks sekali harung]

Dua bulan terakhir sebelum SPM 2003, selepas dikutuk oleh cikgu itu.
  • Sentiasa baca buku teks dan buat latihan secara gila-gila.
  • Hanya buku teks sebagai panduan. Setiap soalan yang dijawab akan aku catatkan di tepi nombor soalan dengan catatan dari mana aku dapat jawapan. Sebagai contoh, muka surat, perenggan adalah menjadi kewajipan (aku suruh anak-anak murid aku buat begini juga)
  • Disebabkan buat secara menggila, aku hampir sampai ke tahap menghafal buku teks. Gila.
  • Buat latihan sebanyak-banyaknya sampai kalau tengok soalan dah boleh kenalpasti jawapan daripada muka surat mana.
Bukan aku tidak minat, cuma aku secara jujurnya merasakan bahawa Sejarah sewaktu diajar oleh guru tersebut adalah tidak seganas guru-guru sewaktu di menengah rendah (Tingkatan Satu hingga Tiga) yang menyebabkan aku sangat takut kalau tidak siap ataupun kurang pengetahuan Sejarah.
  • Tingkatan 1 dan 2 - Cikgu yang ajar sangat menarik tapi juga sangat garang. Lelaki kalau tak siap kerja ataupun beri jawapan yang salah akan kena pukul di punggung dengan kayu beluti pemadam papan hitam yang tebal dan berat. Perempuan akan kena pukul dengan pembaris besi. Apa kau ingat ada sesiapa nak buat salah dalam kelas?
  • Tingkatan 3 - Alangkah salah eja nama cikgu ini boleh kena potong markah kerja kursus, agak-agak kalau salah jawab soalan apa yang kau kena? PMR dapat A.
  • Tingkatan 4 - Cikgu selalu tiada, sukan, bola sepak dan entah apa-apa lagi. Bila muncul dalam kelas, tona pengajaran adalah sekata dan tidak marah-marah. Baik cikgunya, mungkin sebab kami (ke aku seorang?) yang dah terbiasa dengan kaedah garang cikgu sebelum itu, maka keputusan adalah bangang semata.
  • Tingkatan 5 - Cikgu ini bekas anak murid Emak. Baik, lemah lembut tapi disebabkan ayat makan dalam dia, ya, aku berjaya. Alhamdulillah. Apa kau ingat suka dapat 9F, 8E dan 7D dulu? Nak kredit pun boleh separuh mati, bila peperiksaan percubaan meningkat ke 4B ke 3B, apa kau ingat tak meluap bangga dapat 1A bila SPM? Lebih-lebih lagi cikgu tu menangis? Hadiah tidak ternilai tu!

http://farm5.static.flickr.com/4002/4348426818_6bc7422cdc.jpg
[Gambar : Dulu aku pernah terfikir, kenapa kita mesti belajar Sejarah. Dah mati pun menyusahkan orang lagi sebab nak kena ingat tarikh, tempat dan peristiwa entah apa-apa. Tapi bila fikir semula, kalau aku mati pun, aku akan jadi sejarah, walaupun mungkin hanya pada keluarga aku. Heh!]

Soalan Ramalan.
Buatlah apa sahaja soalan ramalan yang cikgu sekolah atau cikgu kelas tambahan atau pengajar peribadi berikan. Tapi jangan lupa baca semua. Ya, baca semua selepas jawab. Tapi kalau aku, sumpah aku tidak akan percaya lagi dengan soalan ramalan satu negara (kalau di universiti, pensyarah sendiri buat soalan, jadi kalau dia meramal, memanglah biasanya keluar kan?)

Aku SPM 2003, semasa umur aku 16 tahun. Ambil awak setahun berbanding kawan-kawan sebaya aku yang lahir tahun 1987. Masa aku, soalan yang diramal akan keluar untuk Sejarah, tidak kira peringkat sekolah, daerah, negeri, SBP, MRSM, semuanya pasal candi. Candi Borobudor dan candi entah apa lagi. Bahagian tamadun dan peradaban dunia.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjrQl9sv_1zXa9SkdKjdzcxBP92Kw_To0Dex4pq1uVfrHCR1hLbn94bhT42kcofCMctM0llBV-aB2_EPg82kC0l8uLJoLM-xvXI2pACE2LQy6Pb2sOCotNeyJncHOH55o9de0sSu1Wfo18/s1600/borobudur1.jpg
[Gambar : Buka kertas soalan, tengok tiada soalan candi, semua terus menggelupur pandang satu sama lain. Padan muka kita semua!]

Tapi, nasib baik ada soalan yang berkaitan dengan pendidikan (walaupun cikgu tak ajar dalam kelas), boleh dijawab dengan kaedah Pendidikan Islam dan Tasawwur Islam iaitu kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan kembangkan fakta secara berilmiah. Ya, nasib baik! Sebab cikgu ajar 4 bab sahaja, soalan katanya akan masuk benda tu semua. Sekali candi tiada, tak melopong ke? (Pitam)

Dah kata ramalan, janganlah percaya semua kan? Macam Profesor Sybill Trelawney dalam Harry Potter, apa kau ingat Harry Potter percaya semua ke? Itu pun masa dia dirasuk, macam kena sawan, baru boleh kau percaya. Kalau dalam keadaan normal? Mata Dalaman konon! (Tiba-tiba meracau cerita Harry Potter)

http://www.aceshowbiz.com/images/news/00016210.jpg
[Gambar : Soalan Sejarah yang akan keluar adalah Sejarah Hogwarts. Sila baca tentang bagaimana keadaan Dewan Besar boleh kelihatan seperti semulajadi walaupun sebenarnya disihir. Oh, berhati-hati dengan serdak teh.]

  • Apapun adik-adik, menjawab soalan Sejarah bukanlah bermakna kau perlu menulis panjang gila tanpa arah tujuan. Fakta itu penting dan kembangkan sedikit isi berdasarkan fakta, bukan merapu tidak tentu hala. Penggunaan peta minda sebelum merangka jawapan adalah sangat penting supaya markah yang banyak (biasanya hingga 20 markah untuk satu soalan), dapat dipenuhi dengan baik.
  • Baca kembali soalan dengan baik dan fikirkan jawapan. Jangan terlampau lama, akan membazir masa.
  • Perhatikan, kadangkala ada soalan yang berulang.

Selamat menjawab!

Nota Kaki :
1. Cuti bermula dengan jayanya hari ini.
2. Perlu mengemas rumah dan peti ais disebabkan peti ais baru tiba semalam.
3. Bila nak mulakan latihan mengayuh untuk ke Batu Pahat pada 30 November ini? 60 km waktu malam.

Zara : Kadangkala, apa yang kita tinggalkan itu jauh lebih baik daripada apa yang kita tunggu selama ini. Kepedihan dan kesengsaraan adalah ayat yang terlampau naif untuk diperkatakan lagi. Helaian kertas dan corak kain berwarna coklat seakan mocha sudah lama dicampak ke tepi.