Wednesday, November 03, 2010

Mabuk Peperiksaan #2 : Seronok Meniru? Baiklah. Markah Dapat Dibahagikan Kepada Bilangan Peniru.


Kelakar.
Bila budak meniru dan menyalin segalanya tanpa memikirkan apa-apa. Ah, kalau mahu meniru sekalipun, sila gunakan otak. Ini tidak, demi kasih sayang pada kawan kononnya, marilah kita salah bersama Begitu?

http://arkarthick.com/wp-content/uploads/2010/06/4-cute-funny-danbo-cardboard-box-art-bullying-around.jpg
[Gambar : Kalau nak meniru guna otak boleh?]

1. Meniru bulat-bulat tanpa fikir apa-apa.
Ini banyak aku jumpa dalam kerta peperiksaan hujung tahun (termasuk juga kerja sekolah). Memang lawak budak yang meniru begini disebabkan mereka fikir mereka tidak akan dapat ditangkap walaupun meniru. Hebat. Dengan satu perkataan sahaja, aku dapat tahu mereka meniru.
Contoh : Ejaan loceng, dieja sebagai LONCENG. Ada lebih kurang 5 kertas yang aku jumpa dengan ejaan yang serupa dan contoh yang serupa.
Penyelesaian : Bulatkan dengan pen merah dan catatkan nama mereka di kertas yang aku sediakan di tepi. Senarai nama budak yang meniru.

2. Meniru daripada buku.
Bila masa peperiksaan, mulalah tangan meraba-raba buku bawah meja nak baca buku. Masa sebelum peperiksaan tak pula nak baca buku kan? Kadangkala diselitkan di bawah tempat duduk dan dengan sedaya upaya akan mencari jawapan dalam buku.
Contoh : Meniru bahagian yang senang. Soalan kesan pencemaran. (baca : Mabuk Peperiksaan #1)
Penyelesaian : Nak bagi 0 markah ataupun bagi markah? Sekali meniru pun jawapan salah, nak buat apa? Ketawakan?

3. Cubaan meniru dengan menggunakan nota yang aku sediakan.
Yang ini memanglah sangat lawak. Nota itu aku yang buatkan, mestilah aku sangat memahami di mana isi-isi penting yang aku sediakan. Boleh pula kamu buat alas kertas soalan semasa peperiksaan? Nasib baik bukan aku yang tangkap. Kalau aku tangkap, memang kertas jawapan kamu dah koyak aku kerjakan.
Contoh : Pengertian untuk proses pengaloian (sebab ada soalan dwibahasa). Boleh kau salin ayat bulat-bulat daripada nota macam menghafal pula? Nampak sangat menipu.
Penyelesaian : Aku suruh budak tu berdiri dan aku tanya secara lisan selepas peperiksaan. Terketar-ketar tak boleh jawab.

4. Nak tolong kawan.
Ada sesetengah kes, orang bagi kawan dia meniru disebabkan kawan dia minta. Disebabkan rasa kasihan, dan dia lebih bijak sedikit, maka, beri jawapan dalam kertas pada kawan dia. Bagus. Orang macam ini memang kena ceramah dengan aku dalam kelas selepas peperiksaan semalam.

Aku : Awak beri kawan awak meniru sebab kasihan? Bagus! Awak musnahkan masa depan dia, awak musnahkan masa depan awak sendiri. Sila berdoa agar bukan saya jadi guru kelas awak tahun depan.
Budak : Kenapa cikgu?
Aku : Sebab di sijil berhenti sekolah awak nanti, saya nak tulis kelakuan 'Sederhana'.
Budak : Kenapa kalau tulis macam tu cikgu?
Aku : Sebab percayalah cakap saya, yang tiada siapa akan ambil awak bekerja nanti. 
Budak : Tulislah kelakuan 'Baik' cikgu.
Aku : Nak tulis 'Baik' di saat awak meniru masa peperiksaan? Dalam mimpi.

Banyak lagi sebenarnya. Tidak banyak jawapan mengarut disebabkan banyak soalan yang berkisar mengenai fakta, cuma ada satu dua sahaja manuskrip yang bagi jawapan berunsur kurang ajar (pastinya aku tak boleh letak di sini disebabkan lucah nanti jadinya). Tunggu minggu depan hari Isnin, budak itu harus bersedia untuk dibasuh oleh aku.




Nasib baik tiada lagi yang begini seperti masa peperiksaan setengah tahun.
[Gambar daripada hasil penulisan sini]

Aku seorang yang mudah.
Maka, sebagai pemudahcara, disebabkan aku malas nak beri markah sifar, aku dengan gembiranya mahu menjadi murah hati dengan membuat formula baru untuk peniru-peniru tegar ini.

Bilangan peniru = Kira bilangan yang sama jawapan.
Markah dapat = Pilih kertas yang ada markah paling rendah daripada peniru-peniru.
Markah sebenar = Markah paling rendah dibahagikan dengan bilangan peniru.

Boleh tak?
Mari kita masukkan contoh untuk lebih jelas cara pengiraannya.

Bilangan peniru = 5
Markah dapat = 60, 55, 40, 45, 66 (Kita pilih 40 disebabkan paling rendah)
Markah sebenar = 40 bahagi 5 = 8.

Yeah!
Lebih baik daripada dapat sifar kan?
Ketawa.

Nota Kaki :
Hari ini sudah mula cuti. Oh, banyak yang perlu diselesaikan dan aku mahu mengayuh basikal pagi ini. Cuaca nampak baik dan terang. Terima kasih atas ulasan kalian tentang penulisan semalam. Bukan aku yang mahu menarik minat pembaca lelaki, tetapi kawan aku, seorang lelaki yang bertanyakan soalan itu.

Zara : Melalui dua malam yang menggembirakan. Rasa bahagia menyelinap di dalam hati walaupun ternyata, belum termakbul apa yang dihajati. Senyum. Apa pun, aku bertugas menjaga rumah sepanjang ketiadaan Abah yang menghantar adik lelaki ke UPSI untuk temuduga pada hari ini (3 Nov). Abah ke sana semalam.

Tuesday, November 02, 2010

Tiada Jalan Untuk Kembali Bersama : Bagaimana Mahu Menarik Minat Pembaca Lelaki Ke Blog?


Senyum.
Keadaan selalu berubah dengan cepat. Kadangkala hari ini kita gembira, tapi esok pula tidak selalunya cerah. Dan seperti yang aku nyatakan, bila-bila masa sahaja mungkin ada seseorang sedang memerlukan kita. Walaupun aku mungkin bukan seorang pemberi penyelesaian yang baik, aku seorang yang lebih banyak mendengar (atau membaca) dengan setia.

http://arkarthick.com/wp-content/uploads/2010/06/9-cute-funny-danbo-cardboard-box-art-bokeh-heart-give-all.jpg

AS : Aku geram betul bila dia asyik kacau aku semula.
Aku : Abaikan. Itu cara dia nak dapatkan perhatian kau.
AS : Dia siap tahan aku masa aku balik kerja semalam.
Aku : Eh, siap nak tahan?
AS : Dia merayu aku balik semula pada dia. 
Aku : Kau nak?
AS : Tak nak. Aku tak boleh patah balik.
Aku : Kalau begitu, abaikan sahaja kewujudan dia.
AS : Tak semudah yang dikatakan. Dia telefon, SMS aku dan macam-macam lagi.
Aku : Boleh halang dia kan? Jangan jawab telefon, jangan balas SMS.
AS : Aku dah cakap dengan dia aku tak nak dia lagi.
Aku : Habis tu?
AS : Dia menangis depan aku. Ramai kawan-kawan pejabat aku tengok.
Aku : Buat drama pula.
AS : Ketua aku pun tengok, bengang aku.
Aku : Laporkan pada polis.
AS : Eh?
Aku : Minta buat sekatan dia dari datang menghampiri kau. Macam dalam televisyen tu.
AS : Di Malaysia boleh ya?
Aku : Boleh aku rasa.
AS : Dia menangis dan buat muka penuh pengharapan.
Aku : Kau cair?
AS : Kalau cair tidaklah aku begini.
Aku : Jadi apa kau nak buat sekarang?
AS : Entahlah. Kalau kau?
Aku : Abaikan. Dia akan berhenti bila dia penat.
AS : Dia bukan jenis tahu putus asa.
Aku : Manusia akan tahu penat dan malu juga.
AS : Dia dah ada orang lain. Dia dah pilih orang lain, kenapa nak datang lagi pada aku?
Aku : Mungkin pilihan dia bukan yang terbaik.
AS : Mungkin (ketawa)
Aku : Dulu siapa yang putuskan hubungan?
AS : Aku. Sebab aku tak tahan bila dia ada orang lain.
Aku : Oh. Jadi sila tabah sahaja dan abaikan dia.
AS : Kalau teringat benda ni, rasa nak menangis pula.
Aku : Eh?

*******

http://arkarthick.com/wp-content/uploads/2010/06/6-cute-funny-danbo-cardboard-box-art-with-flower.jpg
[Gambar : Adakah perlu memberikan bunga untuk menarik perhatian?]

Semalam ada seorang rakan mengutarakan soalan, bagaimana cara untuk menarik minta pembaca lelaki ke arah blog kita. Aku sejujurnya kurang mengetahui bagaimana caranya, disebabkan kebanyakan orang yang membaca blog aku rata-ratanya adalah perempuan, kecuali ada sesetengah lelaki yang memang rajin ke sini dan membaca tulisan aku. Tapi ini dari segi pemerhatian peribadi aku sahaja.

1. Tajuk yang menarik dan menangkap perhatian (baca : catchy)
Selalunya begini tidak kira lelaki ataupun perempuan. Tajuk yang digunakan boleh menarik perhatian (dan tidaklah perlu menggunakan perkataan yang perlu ditapis setiap kali). Dan seharusnya jalan cerita ataupun tulisan itu pastilah berkait dengan tajuk.
Contoh : Selamat Hari Hantu (ramai orang yang berminat pastinya).

2. Penulisan yang berkaitan dengan isu lelaki.
Sebagai contoh, sewaktu aku menulis mengenai tajuk hantaran perkahwinan, aku menerima banyak maklum balas daripada pembaca lelaki yang selama ini mungkin hanya baca secara senyap sahaja. Mereka menghantar pendapat melalui komentar blog, pesanan di Mukabuku dan juga Twitter serta Formspring bagi berkongsi pendapat tentang isu ini.

3. Sesuatu yang berkait rapat dengan minat lelaki.
Bola sepak, kenderaan seperti kereta, motorsikal dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan lelaki. Pelbagai tips yang berkaitan dengan penampilan dan sebagainya serta penggunaan alatan teknologi mungkin boleh menarik minat pembaca lelaki. Kamera dan sebagainya (tetapi aku pun baca juga benda sebegini). Jadi, tulislah benda yang universal.

Senyum.
Tapi pada aku, kalau blog itu aku suka, apa sahaja yang ditulis, pasti aku akan baca.

Nota Kaki :
Esok aku sudah mula bercuti sehingga Ahad. Senyum. Semua kerja menanda telah disiapkan. Maka, hari Isnin nanti aku hanya perlu memasukkan markah ke dalam sistem. Senyum.

Zara : Aku sudah menemui cara membanteras budak meniru. Oh, mereka mungkin tidak dapat dihalang, tapi aku sudah tahu bagaimana mahu mengajar mereka akibat menipu aku. Ketawa.

Perlukan Seseorang Untuk Berbual Adakalanya Seperti Masa Menunggu Kedatangan Pengangkutan Awam.


Senyum.
Sejak kebelakangan ini, aku buka aplikasi pesanan segera hanya untuk menunggu seorang teman muncul di atas talian. Seringkali, tanda itu hanya berwarna kelabu, satu simbol yang menyatakan dia tiada di situ atau dia mungkin menyembunyikan diri dari pandangan yang lain.

Mungkin juga.
Kadangkala tidak perlu menunggu sebenarnya, disebabkan orang yang kita tunggu itu tidak akan muncul seperti yang kita mahukan. Kalau muncul sekalipun, kebarangkalian untuk disapa adalah amat tipis sekali dan itu sudah menunjukkan yang kita tak perlu langsung menunggu.

Ketawa.
Kadangkala manusia ada yang gila. Benda yang tidak sepatut dibuat, dilakukan juga demi memuaskan hati dan kehendak diri. Acapkali, ia bukan sesuatu keperluan, tetapi tetap dilaksanakan.

http://farm3.static.flickr.com/2431/3756645031_50d9cb8432_z.jpg?zz=1

"Cinta bagaikan masa menunggu teksi.
Tak datang juga walaupun sudah lama berdiri, tapi bukan pula tiada.
Kerana tiada teksi yang kosong, inilah yang paling membuatkan diri ini berasa marah.
Mungkin akan dapat jika menunggu di jalan yang sebelah lagi.
Akibatnya, hanyalah dalam sekelip mata sahaja teksi telah dinaiki orang.
Tunggu dengan senyap pun teksi tidak akan datang.
Mencari dengan sedaya upaya pun tidak akan dapat.
Kalau tidak dapat, memang tidak akan dapat.

Tidak!
Sepatutnya, orang yang tidak akan datang, memang tidak akan datang.
Apabila meninggalkan kerana putus asa pula, beberapa teksi yang kosong akan datang secara berterusan..."

Hasil tulisan di sini dan sini.

Tidak.
Ia bukan tentang cinta (barangkali).
Itu cuma satu penantian terhadap seorang teman.
Benar.

*******

Rasa memerlukan dan diperlukan.
Entah bila kali terakhir aku rasa begitu.
Maksud aku yang berlainan jantina dan melibatkan perasaan.
Ketawa.

Yang aku tahu, aku sudah terlampau lali dengan rasa berkongsi dengan mereka yang rapat dengan aku tidak kira di alam realiti atau sekadar maya ini. Tetapi ada sesuatu yang buat aku terfikir, adakah aku manusia yang diperlukan, dan apakah aku masih belum cukup puas dalam memerlukan sesuatu?

Masih banyak yang manusia perlukan sebenarnya. Begitu juga dengan aku walaupun aku manusia beku. Ah, bercakap tentang manusia beku, aku teringat dengan apa yang dibualkan dengan seorang kenalan tadi.

HY : Saya rasa awak memang kena tulis blog setiap hari?
Aku : Eh, kenapa?
HY : Sebab blog awak adalah perkara pertama yang saya baca sebelum mula kerja.
Aku : Eh, bacalah doa.
HY : Memanglah baca doa. Tapi sebelum saya mula baca surat khabar, saya akan baca blog awak dulu.
Aku : Terima kasih. 
HY : Blog awak membuatkan saya bersemangat, macam awak sedang bercakap dengan saya, walaupun kita tak pernah jumpa.
Aku : (simbol ketawa) Terima kasih banyak-banyak. Biasa-biasa sahaja.
HY : Boleh saya tahu, awak biasanya akan baca blog siapa?
Aku : Oh, ada beberapa blog yang saya wajib baca setiap hari dan kalau saya terpaksa kerja luar sekalipun, saya akan baca lepas saya balik ke rumah.
HY : Blog siapa?
Aku : Oh, orang yang saya baca blog mereka, mereka tahu betapa saya ketagih pada tulisan mereka walaupun biasanya mereka tidak akan menulis kembali buat saya. Dan saya selalu singgah semula blog yang datang blog saya. Cuma mungkin tak sempat komen.
HY : Antara blog yang awak suka?
Aku : Ada 4 blog lelaki yang wajib saya masuk dan beberapa blog perempuan yang menjadi kemestian.
HY : Blog lelaki?
Aku : Ya.
HY : Siapa?
Aku : Rahsia.

Senyum.
Adik perlukan aku untuk buat Matematik dia, aku perlukan adik untuk tolong aku untuk buat kerja-kerja yang ringan. Saling memerlukan, dan itu hanya satu contoh sahaja. Setiap manusia memerlukan seseorang atau sesuatu dalam hidup mereka. Yang pastinya, semua orang memerlukan Yang Maha Kuasa dalam hidup mereka. Itu kenyataan yang tiada siapa dapat menidakkan.

Senyum.
Bila aku lihat wajah dan senyuman di atas beberapa kepingan kenangan beku masa di hadapan mata, aku tahu, aku tidak diperlukan dalam hidup manusia itu. Kewujudan aku mungkin hanya dalam bentuk nano (untuk mencapai tahap mikro ternyata agak mustahil) dan entah kewujudan itu juga mungkin samar-samar dan langsung tidak nyata.

http://www.pixel-ellipsis.net/wp-content/wallpapers/Moyashimon_Loves_Takoyaki_1920-500x312.jpg
[Gambar : Entah macam mana aku rasa suka sebab ia comel]

Dan itu sahaja.
Aku kurang ceria sejak kebelakangan ini.
Benarkah?

Nota Kaki :
Kalau aku nampak bulat kuning itu muncul sekalipun, aku tidak mampu untuk atur bicara dengan manusia itu. Entahlah, aku ini tidak wujud agaknya.

Zara : Mahu jadi berani. Mahu sangat dapat menyatakan apa yang aku mahu. Mahu sangat buat sesuatu yang sangat bermakna pada diri sendiri. Senyum. Sakit sendirian lagi dan entah mengapa, aku sudah jadi manusia beku yang sepi dan tekun memerhati. Sendiri.

Monday, November 01, 2010

Awak, Pentas Lakonan Awak Dan Payung Sudah Musnah. Tolonglah Jangan Teruskan Lagi, Boleh?


Awak.
Janganlah menipu lagi. Sudahlah ya awak?
Kalau saya boleh beri anugerah pada awak, pasti awak sudah diangkat menjadi pelakon terbaik. Kalah Lisa Surihani tahu?
Sebab apa?
Sebab watak awak lebih versatil.
Betul.

Pentas lakonan terbaik awak musnah. Tapi awak tetap tidak mahu sedar. Masih mahu meneruskan permainan walaupun hakikatnya amatlah payah untuk diterima. Awak datang dekat lagi dengan saya, awak masih mahu main wayang walaupun hakikatnya, dunia sudah lihat awak telanjang.

Diam.
Awak pernah tahu apa kegunaan payung? Saya rasa awak tidak pernah tahu sebab mungkin belum ada sesiapa yang pernah berkongsi payung dengan awak. Sekadar mahu awak tahu yang payung dicipta dengan satu tujuan, iaitu berkongsi perlindungan dengan orang lain.


Awak tidak tahu.
Sebab awak selalu berlindung dibawah payung orang lain tanpa memikirkan apakah payung itu adalah untuk kegunaan bersama atau sekadar tempat awak gunakan sehingga musnah. Awak, itu sangat serupa dengan parasit awak tahu?

http://fc09.deviantart.com/fs38/f/2008/319/4/2/Love_umbrella_by_Sleepy_Hair.png

Awak.
Awak pernah kehujanan kononnya.
Awak pernah ditinggalkan sendirian khabarnya.
Awak pernah sepi akibat mempunyai hidup yang cukup berantakan.
Tapi, itu awak yang kata.

Awak pernah pinjam payung saya, saya beri awak tempat perlindungan dengan niat, inilah nilai persahabatan paling utama. Saya letakkan awak di tempat yang sepatutnya seorang teman perlu berada. Kerana saya tahu, persahabatan antara mengapa saya masih terus gembira di dunia, tapi manalah saya sangka yang awak akan tikam saya sama seperti awak pernah bunuh (dan masih menyeksa) sebahagian daripada manusia lainnya.

Senyum.
Awak, tarian awak sudah pincang.
Awak, drama awak sudah banyak lubang.
Awak, dendangan irama awak sudah sumbang.
Awak, lakon layar awak sudah mula buat orang bengang.

Saya cuma bimbang.
Saya takut awak akan hilang keseimbangan.
Saya risau awak tidak akan mengerti lagi erti senyuman.
Saya tidak mahu awak hilang.

Kerana apa?
Saya tahu pentas tarian, lakonan dan segala macam milik awak yang penuh pura-pura itu adalah cara terakhir awak mahu kekal di atas dunia ini. Awak korek segala lubang, dan awak cuba tutup segalanya walaupun awak tahu yang pasti akan ada kesan yang tidak akan hilang.

Awak : Kau senyap sahaja.
Aku : Maksud kau?
Awak : Kebelakangan ini kau senyap sahaja.
Aku : Kau ramai kawan lain.
Awak : Mana sama dengan orang lain tu.
Aku : Kau bukan cakap ayat tu dengan aku seorang kan?
Awak : Eh, kenapa dengan kau?
Aku : Tiada apa-apa. Cuma hidup akan berubah.
Awak : Aku tidak berubah.
Aku : Boleh kau cerita pada aku semula tentang diri kau?
Awak : Untuk apa?
Aku : Biar aku kenal kau semula.
Awak : (diam)

Awak sedang lari lagi. Setiap kali ada masalah, awak akan lari dan biarkan manusia disekeliling awak yang bersihkan segala benda yang menjadi buah mulut dan bahan caci maki. Awak tidak pernah peduli dengan semua ini. Saya seperti biasa, akan biarkan diri jadi pemerhati segala watak yang awak mahu mainkan dari dulu sehingga kini.

http://arkarthick.com/wp-content/uploads/2010/06/1-cute-funny-danbo-cardboard-box-art-lonely-hopscotch.jpg

Mungkinkah awak sedang bermain seorang diri lagi?
Keseorangan dan semakin ramai yang menjauhi?
Awak memencilkan diri, mengecilkan hati.

Semakin kurang rasa simpati.
Semakin ramai yang menyimpan benci.
Semakin kuat manusia melaungkan segala caci maki.
Tahankah awak di sana dengan semua ini?

Awak kena hadapi seorang diri.
Kerana saya sudah mustahil untuk kekal di sisi.
Selagi awak kekal untuk membiarkan segala jadi tanda tanya, bagaikan misteri.
Itu yang awak perlu bayar atas keterlanjuran awak khayal dalam nikmat duniawi.
Benda yang datang pantas, akan cepat juga terbang pergi.

Diam, undur diri.

Nota Kaki :
Disebabkan aku tidak dapat menjalankan tugas seperti yang diarahkan dari Isnin hingga Khamis, aku perlu membuat surat tunjuk sebab. Tidak mengapa, kesusahan hari ini aku pasti untuk kebaikan pada masa akan datang. Ada banyak hati yang perlu dijaga.

Zara : InsyaALLAH, esok petang aku akan berangkat ke Tanjung Malim, ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas urusan menghantar adik menghadiri ujian serta temuduga di sana. Ujian dan temuduga dijadualkan pada hari Rabu (3 November) daripada pagi hingga ke petang.